PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam, mengesahkan penahanan dua warga asing yang dipercayai ditaja sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan mempunyai kaitan dengan perhimpunan Bersih.
Beliau berkata, kedua-dua warga asing terbabit sedang dalam proses untuk pengusiran ke negara asal masing-masing.
“Mereka adalah ahli NGO antarabangsa dan sekarang kita sedang meneliti asal-usul kedua-dua mereka sebelum pengusiran dilakukan. “Biarlah pihak berkenaan berunding dengan saluran diplomasi, risikan dan keselamatan sebelum proses itu dilakukan,” katanya, pada sidang media selepas menghadiri persidangan mini sempena Pameran dan Persidangan Kelengkapan Umum Polis (GPEC) Asia 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman dan Datuk Lee Chee Leong serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.
Hishammuddin mengulas laporan media mengenai penahanan sekumpulan 29 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama seorang lelaki Filipina, Romeo Castillo, 59, dan seorang warga Korea, Min Young Song, 24, di hadapan Kolej Matrikulasi di Ledang, Johor, Sabtu lalu.
Laporan itu dipetik kedua-dua warga asing terbabit memasuki negara ini atas pembiayaan NGO asing, yang berpangkalan di luar negara bagi memastikan Malaysia huru-hara.
Bagaimanapun, beliau enggan memberi maklumat terperinci mengenai kedua-dua warga asing terbabit.
“Ini jelas memberi gambaran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sendiri tidak tahu ada pihak yang mengambil kesempatan di atas apa yang mereka mulakan dalam perhimpunan yang dijadualkan 9 Julai ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai jangan memandang rendah terhadap kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pihak berkuasa terbabit tahu apa yang berlaku di negara ini.
“Apa yang saya nak tekankan, PDRM mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terhadap kes yang mempunyai asas serta bukti yang cukup melalui undang-undang.
“Sebelum ini ada yang kata kita tak ambil tindakan dan tak buat siasatan. Di sini saya ingin jelaskan jangan fikir kita tidak ada kemampuan dan memperlekehkan PDRM.
“Dan percayalah apa saja tindakan yang kita ambil adalah untuk kebaikan semua pihak, demi keselamatan rakyat dan negara,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya jangan cabar mencabar untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini.
Katanya, pihak polis akan mengambil tindakan kepada semua pihak yang terbabit dalam perhimpunan itu tanpa memilih bulu.myMetro | Tahan 2 warga asing