Search This Blog

Tuesday, June 28, 2011

Bayi bawah rumpun serai



KOTA BHARU - Seorang bayi lelaki masih bertali pusat ditemui selamat di bawah rimbunan serai kayu berhampiran tali air di Kampung Permatang Machang, Jelawat, semalam.

Bayi seberat 2.8 kilogram berkenaan ditemui seorang penduduk berusia 29 tahun kira-kira jam 11.30 pagi semalam dipercayai ditinggalkan di kawasan semak dipercayai selepas dilahirkan beberapa jam sebelum itu.

Ia dikatakan diletakkan dalam beg kertas sebelum ditemui penduduk dan dipercayai baru dilahirkan kira-kira sejam sebelum ditinggalkan di tepi semak tersebut.

Bayi berkenaan juga bernasib baik kerana ia ditemui dengan segera dan sekiranya ditinggalkan dalam jangka yang masih lama kemungkinan akan mati kelemasan.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, bayi yang sihat tubuh badan tersebut dihantar ke sebuah klinik di Jelawat sebelum ia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sejurus ditemui.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya terus melaporkan di balai berdekatan dan kita kini masih mengesan ibu dan bapa kepada bayi ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di ketika melawat bayi berkenaan di HRPZ II semalam.

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata, pihaknya menerima bayi berkenaan kira-kira jam 1.44 petang semalam di unit kecemasan sebelum di bawa masuk ke Wad 2 pada jam 4 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati bayi yang masih bertali pusat itu berada dalam keadaan baik, cukup sifat tanpa sebarang kecederaannya.

“Bayi ini akan berada di bawah pemerhatian pihak hospital sebelum menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh mengesahkan kes tersebut.
SH

Bayi dalam semak



KAMPUNG SURAU BA-TOR – Seorang lelaki terkejut apabila mendapati bunyi pelik yang didengari dari dalam semak, rupanya seorang bayi lelaki yang hampir kelemasan.

Mohd Satar Mat Ali, 49, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya kerana motosikal yang dibaikinya terpaksa ditinggalkan di bengkel.

Menurutnya, apabila tiba di tepi tali air, dia terdengar suatu bunyi pelik dari arah semak.

“Saya mencari bunyi tersebut dan terkejut apabila itu adalah suara bayi yang diletakkan dalam sebuah beg kertas.

“Melihatkan bayi itu yang masih bertali pusat dan berdarah, saya segera memberitahu penduduk mengenainya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berani menyentuh bayi tersebut sehinggalah penduduk tiba dan memindahkannya ke kawasan yang lebih redup.

Katanya, kemudian penduduk lain menghubungi pihak polis dan jururawat turut datang memotong tali pusat bayi berkenaan.

“Saya amat terkejut dan sedih dengan apa yang ditemui hari ini, dan tidak menyangka ia berlaku dalam kampung ini.

“Mujurlah bayi itu selamat, dan saya rasa jika ia tidak ditemui dalam sedikit masa lagi berkemungkinan dia akan meninggal dunia kerana kelemasan dan kepanasan di dalam semak tersebut,” katanya.
SH

Warga emas tak keruan



LABOK - Setiap kali hujan lebat, fikiran warga emas, Habsah Mat Nor, 60, tidak keruan memikirkan masalah banjir kilat yang dihadapinya jika hujan berterusan hampir sejam di rumahnya di Kampung Telaga Tujuh di sini, semalam.

Masalah dikatakan berlarutan selama bertahun itu menyebabkan kerugian harta benda sejak pintu air berhampiran rumahnya dibina.

Habsah berkata, setiap kali hujan lebat, air melimpah masuk ke bahagian dapur rumahnya menyebabkan kerosakan peralatan elektrik.

Menurutnya, limpahan dipercayai akibat masalah pembetung dipasang terlalu kecil dan tidak mampu menampung jumlah air setiap kali hujan lebat.

“Masalah ini sudah lama berlaku dan aduan kepada pihak berkenaan telah dilakukan, namun tiada tindakan diambil sedangkan saya yang tinggal seorang diri terpaksa menanggung pelbagai kerugian.

“Lagipun air deras setiap kali hujan menyebabkan hakisan dan jarak antara longkang dan ruang depan rumah mak cik semakin dekat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pembetung air perlu dibaiki dan ditukar kepada saiz lebih besar sesuai dengan keperluan dan bagi mengelakkan masalah banjir kilat kepada penduduk berdekatan.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, dia terpaksa memanggil anak-anaknya yang tinggal berdekatan bagi membantunya mengalihkan barang.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu turun meninjau masalah tersebut sebelum membuat keputusan cara mengatasinya.

“Ikutlah nak tukar pembetung atau apa, asalkan makcik tidak dihantui masalah banjir kilat lagi,” katanya.
SH

Lori ais terbalik



PASIR MAS – Seorang pemandu lori ais di sini, cedera ringan apabila lori yang dipandunya terbalik dan merempuh bahagian hadapan gerai, berdekatan persimpangan ke Hospital Pasir Mas, semalam.

Pemandu berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia yang dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang, kejadian itu berlaku apabila tayar belakang bahagian kiri pancit.

Ini menyebabkan dia hilang kawalan dan lori bergesel di atas jalan sebelum melanggar gerai berhampiran.

“Mujurlah gerai berkenaan belum dibuka jika tidak, pasti peniaga dan pengunjung mendapat kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, peniaga, Mariam Sulaiman, 48, berkata, dia turut risau mengenai keselamatannya jika pemandu di sini, mengabaikan keselamatan diri dan masyarakat setempat.

“Ramai yang memandu secara merbahaya malah melebihi had laju yang ditetapkan, sedangkan laluan ini digunakan oleh ramai penduduk,” katanya.
SH

Warga emas tak keruan



LABOK - Setiap kali hujan lebat, fikiran warga emas, Habsah Mat Nor, 60, tidak keruan memikirkan masalah banjir kilat yang dihadapinya jika hujan berterusan hampir sejam di rumahnya di Kampung Telaga Tujuh di sini, semalam.

Masalah dikatakan berlarutan selama bertahun itu menyebabkan kerugian harta benda sejak pintu air berhampiran rumahnya dibina.

Habsah berkata, setiap kali hujan lebat, air melimpah masuk ke bahagian dapur rumahnya menyebabkan kerosakan peralatan elektrik.

Menurutnya, limpahan dipercayai akibat masalah pembetung dipasang terlalu kecil dan tidak mampu menampung jumlah air setiap kali hujan lebat.

“Masalah ini sudah lama berlaku dan aduan kepada pihak berkenaan telah dilakukan, namun tiada tindakan diambil sedangkan saya yang tinggal seorang diri terpaksa menanggung pelbagai kerugian.

“Lagipun air deras setiap kali hujan menyebabkan hakisan dan jarak antara longkang dan ruang depan rumah mak cik semakin dekat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pembetung air perlu dibaiki dan ditukar kepada saiz lebih besar sesuai dengan keperluan dan bagi mengelakkan masalah banjir kilat kepada penduduk berdekatan.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, dia terpaksa memanggil anak-anaknya yang tinggal berdekatan bagi membantunya mengalihkan barang.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu turun meninjau masalah tersebut sebelum membuat keputusan cara mengatasinya.

“Ikutlah nak tukar pembetung atau apa, asalkan makcik tidak dihantui masalah banjir kilat lagi,” katanya.
SH

Tidak pernah serik



KUALA TERENGGANU - Tidak pernah serik! Walaupun dua tahun lalu pernah dikenakan kompaun sebanyak RM14,000 atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit, namun hukuman itu langsung tidak meninggalkan ‘kesan’ kepada tauke restoran masakan ala Thai dari Kuala Berang, Hulu Terengganu ini.

Ini terbukti apabila sekali lagi tauke wanita itu dikenakan denda sejumlah RM12,000 di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas kesalahan sama mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja bukan warganegara tanpa permit sah.

Mengikut fakta kes, tertuduh, Naleha Hamid, 31, pada 22 April lalu jam 1.15 pagi telah didapati mengambil Mr. Mahnawee-Da-Ooh, 26, seorang warganegara Thailand sebagai tukang masak utama di restorannya di Jalan Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu dalam serbuan khas Imigresen ‘Ops Sapu’.

Semasa serbuan, tertuduh telah menyorokkan pekerjanya itu di dalam sebuah almari dan mengaku bersalah menggaji pekerja asing Thailand itu tanpa permit sah sejak setahun lalu.
SH

Terlepas hukuman gantung



KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar kolej menarik nafas lega setelah dilepaskan tanpa dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Keputusan terhadap tertuduh, Syamil Taufik @ Zainal Arifin, 20, dari Taman Setia, Durian Burung itu dibuat selepas hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menerima permohonan pihak pendakwaan yang meminta agar Syamil dilepaskan tanpa dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 59.9 gram.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, tertuduh boleh dipanggil atau didakwa bila-bila masa sahaja jika pihak pendakwaan menerima bukti dia terlibat dengan kesalahan-kesalahan lain.

Sebelum ini, tertuduh yang masih menuntut dalam semester empat Diploma Kejuruteraan di sebuah kolej di Kemaman ketika ditangkap berhadapan dengan pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 59.9 gram di rumah bernombor 713, Lorong Setia 8, Taman Setia, Durian Burung, Kuala Terengganu pada 17 September 2010 jam 8.10 pagi.

Dia sebelum ini tidak mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39b (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Ooi Chooi Gaik manakala tertuduh diwakili peguam bela Nordin Kassim.

Media sebelum ini menyiarkan pihak polis berjaya merampas 4,000 biji pil kuda bernilai kira-kira RM100,000 hasil penahanan dua adik-beradik, seorang pelajar kolej, 19, dan abangnya, 23, seorang pengusaha kedai dobi.

Turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Setia, Durian Burung itu ialah seorang remaja wanita, berumur 19 tahun yang juga penuntut sebuah kolej.
SH

Cabul gadis dalam bilik air



DUNGUN – Seorang ustaz sanggup membelakangkan hukum agama apabila tergamak menodai kesucian seorang pelajar ketika memberi rawatan kepada gadis belasan tahun yang difahamkan pernah mengalami gangguan makhluk halus itu.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Bukit Besi, dekat sini antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari 25 Jun lalu, ketika pelajar Tingkatan Lima di salah sebuah sekolah di Bukit Besi itu sedang menerima rawatan daripada suspek, yang juga difahamkan seorang bekas guru al-Quran di kampungnya.

Sebelumnya, suspek diundang oleh bapa mangsa untuk melakukan proses pemulihan setelah anak gadisnya itu dikatakan terkena gangguan makhluk halus.

Ustaz terbabit yang kononnya tahu bab-bab agama dan ilmu halus difahamkan telah memulakan rawatan di ruang tamu.

Detik hitam itu bagaimanapun bermula apabila suspek mengarahkan mangsa ke bilik air untuk melakukan proses mandian, kononnya untuk membuang bala.

Bapa mangsa yang turut berada di situ mulai rasa sangsi setelah suspek dikatakan mengambil masa yang agak lama untuk merawat mangsa di dalam bilik air.

Bagaimanapun ketika berada di bilik air, mangsa yang diarahkan mandi dalam keadaan berkemban itu dikatakan telah dinodai oleh suspek yang berlagak alim itu dengan mencabul kehormatannya.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan separuh sedar kerana difahamkan masih belum pulih daripada terkena gangguan makhluk halus.

Sebaik selesai rawatan, mangsa terus keluar dari bilik air dan menyendiri di bilik tidur, manakala suspek pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

Tembelang suspek yang difahamkan sering menjadi imam di salah sebuah surau di kampung berdekatan bandar Bukit Besi itu mulai terbongkar setelah mangsa menceritakan perbuatan terkutuk suspek kepada ibu bapanya.

Mangsa diiringi bapanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Besi keesokan hari, sebelum suspek ditahan kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor (gambar) mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah.
SH

Pukul rakan sehingga tidak waras



KUALA TERENGGANU - Hanya kerana ditegur agar berhenti bermain gitar kerana bising, seorang buruh lombong bijih timah warga Myanmar sanggup bertindak tidak berperikemanusiaan dengan memukul kepala rakan senegaranya menggunakan tukul besi pada 13 Mei lalu.

Tertuduh, Biak Kam, warga Myanmar mengetuk kepala rakannya, Mr A Bawi, 31, menggunakan tukul besi sepanjang 10 setengah inci sebanyak dua kali, sehingga menyebabkan mangsa cedera parah pada otak, luka pada bahagian kepala sehingga menampakkan tulang tengkorak dan tisu otak serta pendarahan teruk pada kedua-dua belah telinga, hidung serta mulut.

Kesan daripada kecederaan itu, mangsa yang tinggal serumah dengan tertuduh di rumah kongsi, Lombong Bijih Besi, Ladang Espek Peringkat lima, Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun itu kini menjadi tidak waras dan kecacatan itu disahkan kekal selamanya.

Tertuduh dihukumpenjara enam tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, semalam.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan huku­man­ itu selepas tertuduh melalui jurubahasa, Nor Hayati Abdul Rashid mengaku bersalah melakukan kecederaan parah ke atas mangsa di rumah kongsi, Lombong Bijih Besi, Ladang Espek Peringkat lima, AMBS, Dungun pada 13 Mei 2011 kira-kira jam 12.30 malam.

Dalam penghakimannya, Zainal Abidin berkata, kesalahan tertuduh terlalu berat kerana disebabkan tindakannya itu, rakan senegaranya hilang kewarasan sehinggalah ke akhir hayat mangsa.

Mengikut fakta kes, mangsa yang cedera dan berlumuran darah di bahagian muka dijumpai di tepi jalan di KM 99 Jalan Jerangau Jabor oleh anggota polis yang membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan AMBS, Dungun kira-kira jam 2.35 pagi.

Pemeriksaan lanjut di rumah kongsi itu menemui sebatang tukul besi panjang kira-kira 10 setengah inci yang masih ada kesan darah disorokkan di bawah katil, sebilah gunting sepanjang kira-kira tujuh setengah inci yang juga masih ada kesan darah di atas meja kecil luar rumah kongsi itu serta sebuah tilam yang berlumuran darah di atas tanah berhampiran lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham di mana mangsa telah menegur tertuduh yang sedang bermain gitar supaya jangan berbuat bising dan telah menendang kaki tertuduh di bahagian paha kiri tetapi tidak dibalas oleh tertuduh.
Selepas itu, tertuduh kembali ke dalam bilik tidur untuk menelefon teman wanitanya namun telah diambil oleh mangsa dan disimpan. Bagaimanapun, telefon itu dikembalikan semula kepada tertuduh.

Mangsa dan tertuduh kemudiannya telah menonton televisyen bersama-sama di dalam bilik mangsa.

Melihat mangsa sedang berbaring membelakangkan tertuduh ketika menonton televisyen, tertuduh telah mengambil sebatang tukul besi yang terdapat di luar rumah kongsi dan masuk semula ke bilik mangsa lalu terus mengetuk kepala mangsa sebanyak dua kali.
SH

Misteri kehilangan Aizat


HULU TERENGGANU - Misteri kehilangan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun malam Jumaat lalu di kawasan hutan Terengganu Mati, di sini, masih belum terjawab biarpun operasi mencari dan menyelamat telah memasuki hari keempat semalam.

Difahamkan, mangsa, Mohd Aizat Mat Hussain, 15, berasal dari Paloh 3, Gua Musang, Kelantan, pergi ke kawasan itu untuk memancing bersama tiga ahli keluarganya yang lain petang Khamis lalu dan turut mendirikan khemah di lokasi berkenaan.

Mangsa dikatakan pergi memancing sendirian di satu kawasan yang terletak tidak jauh dari tapak khemah didirikan mereka, dan kehilangannya hanya disedari apabila dia tidak pulang semula ke khemah setelah beberapa jam keluar memancing.

Biarpun usaha mencari telah dilakukan terlebih dahulu oleh tiga ahli keluarga itu, namun keadaan gelap membantutkan usaha itu, sehinggalah gerakan mencari dan menyelamat dimulakan petang Jumaat lalu.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Pitter Tengah dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat pada hari pertama berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kira-kira 4 petang Jumaat lalu dan terus ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.

“Operasi pada 24 Jun lalu turut dilakukan bersama-sama orang kampung melibatkan lebih 20 orang dan berakhir jam 3.30 pagi (25 Jun), tetapi belum menemui mangsa, kecuali sepasang selipar dan dua batang joran dipercayai milik Mohd Aizat.

“Manakala operasi hari kedua juga melibatkan lapan anggota dan operasi lebih menjurus kepada tinjauan kerana kita tidak dapat pastikan sama ada mangsa hilang akibat terjatuh dalam air atau hilang di daratan (sesat),” katanya.

Menurutnya, operasi hari ketiga (26Jun) diketuai sendiri oleh Ketua Balai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK I, Mohd Zazuli Badru bersama 14 anggota bermula jam 2.30 petang hingga 7 malam dengan turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).

“Hari ini adalah hari keempat operasi mencari dan menyelamat dilakukan dan mangsa masih gagal ditemui, apatah lagi kita tidak dapat pastikan sama ada mangsa terjatuh dalam air ataupun hilang di daratan,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian, semalam.
SH

Empat pengedar dadah kena cekup



KUANTAN - Cubaan empat individu dipercayai pengedar dadah mengaut keuntungan berjaya dipatahkan polis apabila kesemua mereka dicekup dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini, kelmarin.

Berikutan penahan semua suspek itu, polis merampas 678.3 gram dadah termasuk heroin dan syabu dianggarkan bernilai hampir RM20,000.

Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Wira, sebuah motosikal, telefon bimbit dan beberapa peralatan menghisap dadah daripada suspek terlibat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, tangkapan pertama dibuat 21 Jun lalu apabila pihaknya mendapat maklumat berhubung kegiatan itu di Kampung Bukit Koman, Raub.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan seorang berusia 30 tahun kira-kira jam 3 petang di hadapan sebuah rumah dipercayai miliknya.

“Hasil pemeriksaan ke atas buruh itu, polis berjaya menemui dan merampas 119.3 gram heroin yang disorok dicelah topi keledar atas sebuah motosikal di hadapan rumah itu,” katanya, semalam.

Toon Khuan berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah opiad.

“Manakala semakan rekod mendapati lelaki itu seorang penagih tegar berulang dan turut memiliki 3 rekod jenayah lampau” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang pemandu kereta selepas didapati cuba berhenti di tepi jalan dan berpura-pura tidur bagi mengelak sekatan jalan raya di Kampung Sekolah, Kuala Krau, kelmarin.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 2 petang itu, polis mendapati lelaki terbabit bukan sahaja cuba mengelak diperiksa polis kerana berada di bawah pengaruh dadah tetapi bimbang kegiatan sebenarnya dihidu pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira yang dipandu lelaki itu, polis menjumpai 500 gram heroin dan 10 gram syabu diisi dalam beberapa peket plastik.

“Susulan penahan lelaki itu, polis turut dirampas kereta yang digunakan, dua telefon bimbit dan wang tunai RM2,200 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

Toon Khuan berkata, lelaki itu didapati pernah ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) sebanyak dua kali.

Sementara itu, polis menahan dua lelaki dalam sebuah rumah di Desa Mawar 1, Muadzam Shah dekat Rompin dan merampas sembilan peket plastik kecil serta satu keratan straw berisi dadah heroin seberat 49 gram

“Lelaki berusia 29 dan 50 tahun itu dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan yang menjadikan penagih kawasan terbabit sebagai sasaran," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.
SH

Polis sekat ceramah Bersih



GOMBAK - Ceramah umum bagi mengupas isu-isu semasa sepatutnya berlangsung malam kelmarin bertukar sebaliknya berikutan sekatan kedatangan pengunjung di sekitar Gombak.

Ketua Pemuda Pas Gombak, Syarhan Humaizi Abd Halim berkata, pimpinan pihaknya kesal dengan tindakan membuat sekatan berkenaan.

“Ceramah sepatutnya berlangsung dengan aman tetapi menjadi sebaliknya sedangkan kami sudah meletakkan kain rentang dan edaran risalah lima hari sebelum tarikh ceramah,” katanya.

Menurutnya, ceramah itu adalah sempena pelancaran Semarak Gelombang Hijau peringkat Pas Gombak melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang dan DUN Batu Caves, yang telah berlangsung sejak Sabtu sebelum itu.

Katanya, pelbagai acara muslimat, Nisa’ dan Pemuda Pas Gombak, kaunter pendaftaran daftar pemilih, kaunter pembukaan keahlian Pas, aktiviti sukan dan senaman diadakan.

“Polis datang sekitar taman perumahan di Gombak dan memasang siren memberi amaran agar penduduk tidak menghadirkan diri dalam ceramah ini.

“Berikutan sekatan, kami terpaksa mengubah tempat ceramah (dari Greenwood) ke Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Gombak Setia. Hampir ribuan hadir di ceramah itu biarpun dalam keadaan padang yang gelap tanpa didirikan khemah dan tidak disediakan tempat duduk yang selesa,” katanya.

Katanya, pihak polis hanya membenarkan ceramah dibuat hingga 11.30 malam dan tidak dibenarkan mengupas isu berkaitan dengan Bersih 2.0.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Pas Gombak, Abdul Rashid Abdullah pula berkata, pada ceramah anjuran Pemuda Pas Gombak malam itu berlaku penangkapan seorang penduduk.

“Kita difahamkan mangsa ditangkap memakai baju Bersih 2.0 sebelah dalam dan di luar pakaiannya dipakai vest Pas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan penangkapan seorang lelaki dalam ceramah itu dan membebaskannya awal pagi semalam setelah mengambil penerangan berkaitan.

Menurutnya, telah banyak laporan diterima polis berkaitan Bersih dan pihaknya tidak membenarkan sebarang unsur berkaitan termasuk pemakaian baju Bersih dalam majlis sedemikian.

“Kita mengambil tindakan di bawah Seksyen 105 berkaitan langkah-langkah cegah jenayah. Penganjur juga bersetuju program diadakan tidak membabitkan sebarang unsur berkaitan Bersih.

“Maknanya kita telah bertindak awal untuk tangani perhimpunan haram ini. Pihak polis akan pantau setiap ceramah berkaitan diadakan,” katanya.
SH

12 peragut diberkas



SUBANG JAYA – Polis berjaya memberkas 12 peragut yang melakukan jenayah sekitar Subang Jaya dalam beberapa kejadian berasingan sejak 15 Jun lalu.

Penangkapan dibuat termasuk membabitkan dua pelajar tingkatan empat dan seorang pelajar tingkatan lima.

Kes terbaru membabitkan tiga remaja menyamar polis dan cuba menyamun seorang pelajar.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun menunggang motosikal berdekatan bulatan Puchong Perdana.

Menurutnya, tiba-tiba datang tiga lelaki berusia 17 hingga 22 tahun menaiki tiga motosikal berasingan mengaku sebagai polis menahan dan membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

“Polis palsu berpakaian preman itu kemudian memeriksa dompet dan mengambil sejumlah wang tunai serta telefon bimbit milik mangsa. Mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

“Bertindak atas laporan, polis peronda membuat gerakan dan berjaya memberkas dua daripadanya beberapa minit selepas itu,” katanya seorang lagi rakan suspek berjaya ditahan kemudian.

Beliau berkata, ketiga-tiganya akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan akan direman sehingga esok.
SH

Berdepan tuduhan menculik



AYER KEROH – Lima lelaki termasuk dua anggota tentera dituduh di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, di sini, semalam atas dakwaan menculik seorang penolong pengurus kilang, Februari lalu.

Mereka yang dituduh, Kamaruzaman Mohamed, 34, seorang jurukimpal; Sulaiman Abdul Kadir, 31, seorang juruteknik; Farezzuwan Mohd, 23, seorang kelindan lori; selain dua anggota tentera, Murukesan, 23 dan Robin Anak Ajing, 30.

Kamaruzaman juga masih menjalani hukuman penjara selama 14 tahu:n sejak Mac lalu kerana terbabit dalam kes rompakan.

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh dengan niat hendak membuat tebusan menculik dan mengurung Tan Tiang See, 40, di sebuah rumah beralamat No.48, Jalan Cengal 1, Taman Merdeka, Batu Berendam, sehingga wang tebusan RM500,000 dibayar abang mangsa, Tan Thean Lee, 49.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan gudang K & H Trading Sdn Bhd, Jalan TTC 25, Cheng Industrial Estate kira-kira 6 petang, 14 Februari lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz, pada hari kes disebut pertama kali di Mahkamah Tinggi, semalam memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Hakim, Datuk Ahmadi Asnawi, kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan lantikan peguam bagi tertuduh Kamaruzaman.

Hanya Kamaruzaman tidak diwakili peguambela, sementara Sulaiman diwakili Zulfikri Zakaria, Farezzuwan diwakili P. Nair dan Murukesan serta Robin diwakili Paran Sundram.
SH

Maut jatuh dari bangunan



JEMPOL – Lagi kejadian maut melibatkan pekerja asing di pusat pembinaan di daerah ini. Dalam kejadian 4 petang, Sabtu lalu, Hatiyeh, 32, maut dipercayai tergelincir dari bangunan dua tingkat dengan ketinggian 11.8 meter.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Sabri Mohamad berkata, sebelum terjatuh mangsa dikatakan sedang leka melakukan kerja-kerja memplaster bangunan di sebuah pusat pembinaan, dekat Air Hitam.

Menurutnya, kejadian itu disedari oleh penyelia pusat pembinaan tersebut dan bergegas membawa mangsa ke Hospital Jempol.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dan patah kaki kanan meninggal dunia di hospital berkenaan. Mangsa juga dipercayai baru sebulan bekerja di kawasan itu bersama suaminya.

“Jenazah mangsa kemudian dituntut oleh keluarganya, kelmarin,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Dalam kejadian berasingan, cubaan tiga remaja lelaki belasan tahun mencuri rokok di sebuah kedai berhampiran sebuah bank, di sini awal pagi Sabtu lalu gagal apabila mereka berjaya ditangkap pihak polis.

Remaja itu dipercayai mengumpil pintu pagar belakang kedai berkenaan dengan menggunakan alat pengumpil.

Mohd Sabri berkata, kejadian itu disedari oleh anak pemilik premis berkenaan yang berada di tempat kejadian.

“Selepas itu, dia terus melaporkan kejadian berkenaan di Balai polis berhampiran. Tindakan pantas pihak polis berjaya menumpaskan cubaan remaja lelaki tersebut.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 448 kanun keseksaan atas pencerobohan jenayah,” katanya.
SH

Anggota polis maut dirempuh



PETALING - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 3.4 Jalan Klawang-Titi, dekat sini, kira-kira 10.30 malam semalam.

Mangsa, Nor Amin Tarmizi, 27, dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Petaling sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari arah laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Omar berkata, ketika kejadian, kereta terbabit yang dipandu oleh anak seorang anggota polis dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian setelah tercampak dari motor beberapa meter dan mayatnya dibawa ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat.

“Kawasan berkenaan adalah selekoh tajam berdekatan Sekolah Menengah Teknik Kuala Klawang.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Setapa berkata, pemandu kereta terbabit adalah seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), berumur dalam lingkungan awal 20-an.

Bapa kepada pemandu terbabit bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Klawang.

Nor Amin yang berasal dari Kuala Semanggor, Perak bertugas di Balai Polis Titi meninggalkan seorang balu, Noor Faezah Zainal, 36, dan seorang anak berumur setahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasoh 3, dekat sini.
SH

Kilang gempar kerana musang



MELAKA - Kehadiran ‘tanpa undang’ seekor musang menyebabkan suasana di sebuah kilang dekat Telok Mas, di sini kecoh seketika, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, kelibat musang itu disedari seorang pekerja kilang semasa hendak membuang air apabila terkejut melihat haiwan berkenaan di bahagian atas saluran paip air tandas kilang berkenaan.

Mohd Shamil Sharif, 20, berkata, semasa kejadian, dia baru hendak memulakan tugasnya, sebelum pergi ke tandas.

Menurutnya, semasa berada dalam tandas, tiba-tiba dia terlihat seekor haiwan seakan-akan kucing berbulu kehitaman dan berekor panjang di bahagian atas paip air berkenaan.

Terkejut dengan penemuan itu, dia terpaksa beralih ke tandas lain kerana bimbang haiwan berkenaan akan mengancamnya.

“Bila saya lihat ekornya agak panjang, terfikir di hati saya ia adalah seekor musang sehinggakan saya terpaksa membatalkan niat untuk membuang air di tandas berkenaan.

“Bimbang akan ancaman haiwan berkenaan, saya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mendapatkan bantuan untuk menangkapnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Shamil juga tidak menolak kemungkinan haiwan itu masuk menerusi bahagian siling yang pecah.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Lt. Muda Rosli Hasaim berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira 9 pagi.

Menurutnya, usaha menangkap musang berkenaan sukar kerana kedudukan haiwan itu terlalu tinggi menghampiri bumbung, di samping saiz bilik air sempit.

“Pelbagai usaha kami lakukan untuk menangkap musang berkenaan kerana ketinggiannya pada paras kira-kira 10 meter menghampiri bumbung.

“Selain menggunakan tangga, kami turut menggunakan tali pencerut bagi memudahkan usaha menangkapnya. Tetapi selepas setengah jam berusaha, kami hampir menangkapnya tetapi ia meronta-ronta sehingga terlepas ke kawasan semak berhampiran,” katanya.

Rosli berkata, haiwan berkenaan adalah dari jenis musang pandan dan boleh menggigit.
SH

Kereta peniaga dilarikan ‘polis’



NIBONG TEBAL – Seorang lelaki berada dalam keadaan cemas apabila dia hampir menjadi mangsa kepada tiga perompak semasa berada di kedainya di Jalan Atas, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata, kejadian yang berlaku awal pagi itu menyebabkan mangsa kehilangan sebuah kereta jenis Honda Accord miliknya.

“Mangsa yang berusia 49 tahun memberitahu, ketika kejadian mangsa meletakkan keretanya di hadapan kedai dalam keadaan enjin dihidupkan. Difahamkan, mangsa berada di kedainya pada waktu itu bagi mengambil barang yang tertinggal

“Mangsa yang menjalankan perniagaan runcit dan minuman keras dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta yang turut meletakkan kenderaan berkenaan di hadapan kedainya ketika dia (mangsa) sedang membuka pintu kedai,” katanya.

Sejurus itu, mangsa didatangi seorang lelaki yang memakai rompi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyatakan hasrat berjumpa mangsa.

Shafien berkata, pada masa sama, mangsa sempat melihat ke arah kereta yang dinaiki lelaki terbabit dan mendapati terdapat dua lagi lelaki dalamnya.

“Kemudian, seorang daripada lelaki berkenaan keluar dan menarik tangan mangsa manakala lelaki yang memakai rompi PDRM mengeluarkan gari seperti mahu menangkap mangsa. Tergamam akan kejadian berkenaan, satu pergelutan berlaku dan mangsa berjaya melarikan diri bersama gari terbabit.

“Menurut mangsa, ketika hendak melarikan diri, kunci kereta yang dipegang terjatuh dan menyebabkan kereta mangsa dilarikan lelaki terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan atau Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
SH

Maut kereta langgar kereta



SUNGAI DAUN - Dua maut dalam kemalangan yang berlaku di Batu 14 membabitkan dua kereta dari arah bertentangan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan yang berlaku berlaku kira-kira jam 2.47 petang, semalam yang melibatkan sebuah kereta Daihatsu Charade berlanggar dari arah bertentangan dengan sebuah lagi kereta Toyota LE.

“Kereta Dahaitsu yang dipandu Azhar Ahmad, 40, dari arah Alor Setar menghala ke Yan berlanggar dengan sebuah lagi kereta Toyota dari arah bertentangan yang membawa tiga penumpang dan seorang pemandu.

“Dipercayai kereta Toyota itu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta yang dipandu Azhar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam kemalangan terbabit Azhar dan seorang penumpang Toyota yang duduk di bahagian belakang, Harun Othman, 58, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Toyota dan seorang penumpang dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar manakala seorang penumpang lagi di hantar ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kedua-dua mangsa kemalangan yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Yan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan kejadian terbabit.

Bapa kepada Azhar, Ahmad Yahya, 70, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya ialah semalam ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah datang ke rumahnya untuk mengambil barang-barang keperluan untuk membina rumah.

“Saya mendapat berita kemalangan yang melibatkan anak saya daripada adiknya, setelah mendapat berita ini saya terus bergegas ke tempat kejadian. Pada waktu itu pihak bomba sedang mengeluarkan mangsa dari sebuah lagi kereta.

“Dia adalah anak keempat daripada 10 orang adik beradik. Sebelum kejadian ini Azhar tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang pelik dan dia berbual seperti biasa sahaja,” katanya.

Ahmad berkata, Azhar semasa kejadian dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Batu 17 daripada tempat kerjanya di Padang Pusing.

Saksi yang melihat kejadian ini diminta menghubungi Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Yan, Asistan Superintendan Ahmad Salimi Md Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menerusi talian 04-4655222 bagi siasatan lanjut.
SH

Rumah ibu tunggal musnah



BUKIT SELAMBAU – Seorang ibu tunggal anak lima di Kampung Sungkap Para, Bukit Selambau di sini yang hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian harta benda akibat kebakaran mendapat perhatian daripada wakil rakyat.

Mangsa, Habibah Abd Rahman, 44, mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, S Manikumar hadir melawat ke lokasi kejadian semalam dan menghulurkan bantuan kilat kepada keluarganya.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan barangan keperluan harian dalam membantu meringankan beban mereka.
SH

Petani kerugian, sawah terbiar



AIR PUTEH – Hampir 20 petani di Kampung Kubang Kuar dekat sini kecewa kerana terus menanggung kerugian tinggi apabila hampir 28 hektar sawah milik mereka di situ terbiar disebabkan tiada bekalan air untuk disalurkan ke situ.

Sinar Harian difahamkan semua petani di situ tidak dapat mengusahakan tanaman padi dengan sempurna menyebabkan mereka terpaksa membiarkan semua sawah begitu sahaja kerana tidak sanggup lagi bergantung kepada air hujan.

Difahamkan petani di situ mengalami masalah bekalan air hampir 50 tahun, namun sehingga kini masih lagi tiada penyelesaian yang dapat diambil pihak berkenaan walaupun banyak aduan dimaklumkan.

Petani, Nordin Ahmad, 73, berkata, semua petani di kawasan itu kecewa apabila masalah bekalan air tidak mampu lagi diselesaikan sehingga menyebabkan mereka terpaksa membiarkan kawasan sawah itu begitu sahaja tanpa mendapatkan hasil.

“Masalah ini dialami hampir 50 tahun dan semua petani mengusahakan tanaman padi di situ dengan bergantung kepada bekalan air hujan sekian lama, tapi kini petani tidak sanggup lagi bergantung kepada air hujan.

“Petani tidak sanggup terus bergantung kepada air hujan kerana terpaksa menanggung kerugian yang tinggi memandangkan keadaan cuaca tidak menentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih dua hektar kawasan sawah miliknya itu terpaksa dibiarkan begitu sahaja walaupun sudah beberapa kali dia membajak tanah itu untuk tanaman padi, namun sehingga kini bekalan air masih tiada.

Sementara itu, seorang lagi petani, Abdul Rahman Harun, 66, mempunyai hampir 1.4 hektar kawasan sawah di situ berkata, dia kecewa kerana sudah beberapa lama masalah ini berlaku namun tiada jalan penyelesaian lagi.

“Pada tahun lepas ada pihak Lembaga Pertanian Muda (Mada) Koobah datang melihat kawasan sawah padi di sini namun difahamkan struktur tanah di situ tidak mempunyai air menyebabkan masalah itu tidak mampu diselesaikan.

“Petani berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan dengan segera memandangkan petani terpaksa membayar hasil tanah dua kali setahun namun hasil tidak diperoleh,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pada dua tahun yang lalu petani cuba mengusahakan sawah di situ namun hasil yang diperoleh begitu merugikan kerana padi mengalami kerosakan kerana bekalan air tidak mencukupi.

“Kawasan sawah di situ hanya dipenuhi rumput dan lalang sahaja dan petani terpaksa menunggu musim hujan untuk kembali mengusahakan sawah sedangkan musim penanaman padi sudah lama dijalankan sedangkan petani di sini masih lagi menunggu air.

“Kami (petani) tidak tahu lagi untuk merujuk masalah ini kepada pihak mana untuk segera menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Menurutnya, masalah petani di sini akan selesai dan lega jika pihak berkenaan menyediakan tali air di kawasan sawah itu kerana jarak sungai dengan kawasan itu hanya satu kilometer sahaja.
SH

Lelaki miliki dadah dijel lapan bulan



IPOH – Seorang lelaki dihukum penjara lapan bulan Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana memiliki pelbagai jenis dadah.

Faizal Hairi Aris, 32, mengaku salah memiliki dadah terdiri daripada heroin, monoethylamine, syabu (methamphetamine) dan ganja (kanabis) di sebuah pondok kecil di Kampung Sungai Tapah Tambahan, di sini, kira-kira jam 5.15 petang, 29 Mac lalu.

Berdasarkan fakta kes, polis menemui satu uncang mengandungi 12 peket plastik lutsinar berisi heroin dengan berat kasar 17 gram, dua peket syabu (berat kasar 3 gram) dan ketulan mampat daun kering ganja, seberat 7 gram di atas sebuah meja kecil.

Majistret Noor Akmal Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama; penjara lima bulan bagi pertuduhan kedua; penjara lima bulan untuk pertuduhan ketiga dan penjara empat bulan untuk pertuduhan keempat.

Beliau memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak dari tarikh tangkapan yang juga hari kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Muhammad Nor Abdurrahim yang memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas lelaki itu memandangkan gejala dadah adalah pembunuh nombor satu negara.
SH

Terlantar akibat kemalangan



CHANGKAT JERING – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meluluskan bantuan pesakit terlantar kepada seorang mangsa kemalangan yang kini terlantar akibat patah tulang peha kiri.

Teh Hong Seng, 78, kini hanya mampu terlantar setelah mengalami kemalangan, 23 Mei lalu.

Hong Seng berkata, meskipun telah menjalani pembedahan, keadaan kesihatannya masih belum pulih menyebabkan segala keperluan dan aktivitinya dibantu isteri.

“Saya perlu menggunakan tiub getah untuk membuang air kecil kerana tidak dapat berjalan dan terpaksa memakai lampin pakai buang untuk memudahkan kerja isteri,” katanya kepada Sinar Harian pada lawatan turun padang Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie di Kampung Changkat Jering, di sini.

Hong Seng berkata, meskipun tidak berupaya, dia tetap bimbang dengan keadaan isterinya, Yeap Cheng Lean, 73, yang terpaksa bekerja keras menjaga dan mengurus kehidupannya.

“Isteri saya juga sudah berusia, tidak mampu untuk mengangkat berat, jika ini berlarutan sudah tentu kesihatannya pula terjejas,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Seai Kie turut menyampaikan bantuan segera RM500 bersama bekalan lampin pakai buang.

“Saya harap bantuan yang diberikan akan meringankan beban yang ditanggung pasangan ini.

Pihak kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka yang layak untuk menerima bantuan sewajarnya,” katanya.
SH

Setiausaha politik dipukul



TAPAH - Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Tanjung Malim cedera di bahagian badan apabila dipukul individu tidak dikenali, 23 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Koo Kam Wen, 62, dipukul di bahagian belakang badan menggunakan kerusi palstik oleh seorang lelaki di sebuah restoran di Pekan Tapah, Jalan Stesen, di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan secara tiba-tiba memukul mangsa menggunakan kerusi.

Ketika kejadian, menurutnya, mangsa dikatakan sedang menunggu rakannya di kedai berkenaan.

“Mangsa cuba untuk menghalang dengan tangan kiri, tetapi lelaki itu terus memukulnya beberapa kali.

“Malah lelaki itu dipercayai turut menumbuk muka mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.

Pergaduhan itu kemudiannya berjaya dileraikan rakan mangsa.

Roslan berkata, mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan dilaporkan mengalami lebam dan luka kecil pada kedua-dua belah tangan.

Polis, katanya, telah menahan lelaki berkenaan pada 26 Jun lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kami masih menyiasat motif sebenar individu berkenaan menyerang mangsa.

”Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Roslan memaklumkan, sebanyak 46 laporan polis berkaitan bantahan kepada perhimpunan Bersih diterima IPD Tapah.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini, tiada laporan dibuat berkaitan usaha menyebarkan risalah dan baju untuk perhimpunan berkenaan.

“Sekiranya ada, pihak kami akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
SH

Bengkel, rumah musnah



BUNTONG - “Nasib baik jiran berhampiran sempat menyelamatkan kereta dan motosikal daripada terbakar,” kata Jomhari Mat, 61, mangsa kebakaran rumah setingkat yang terletak di Kampung Tersusun Buntong, kelmarin.

Ketika kejadian, Jomhari sedang membakar sampah di bengkel membaiki perabot yang terletak bersebelahan rumahnya.

“Secara tiba-tiba angin kuat sehingga menyebabkan api mulai marak serta menyambar rumah termasuk bengkel saya,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pemandu di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda kerana api marak terlalu pantas.

“Namun kami sekeluarga bernasib baik kerana tiada perkara buruk yang berlaku dalam kebakaran itu,” katanya.

Katanya, semua dokumen penting, peralatan elektrik, pakaian dan kelengkapan persekolahan anak hangus hanya dalam sekelip mata.

“Kami sangat sedih kerana terlalu banyak kenangan sewaktu menetap di rumah berkenaan dan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6.20 petang.

Menurutnya, ketika pihaknya mendapat panggilan mereka dimaklumkan bahawa terdapat kawasan belukar yang terbakar.

“Bagaimanapun, apabila tiba kami mendapati ia membabitkan sebuah rumah dan sebuah bengkel,” katanya.

Katanya, dua jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan api berjaya dikawal 16 minit kemudian dan operasi dihentikan pada jam 7.55 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
SH

Berdepan tali gantung



JOHOR BAHRU – Tiga lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati dan dua remaja dijatuhi hukuman penjara bagi tempoh diperkenankan Sultan Johor oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, selepas didapati bersalah menculik seorang remaja perempuan tiga tahun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut Jalan Datuk Abdul Hamid, Tampoi, di sini, pada 28 April 2008 yang lalu.

Tiga lelaki yang dihukum gantung sampai mati ialah R Ravikumar, 22, P Steven, 27, dan P Vicknes, 29, manakala dua tertuduh yang masih di bawah umur ketika kesalahan dilakukan dipenjara atas berkenan Sultan Johor di bawah Seksyen 27(2)(b), Akta Kanak-kanak 2001.

Pesuruhjaya Kehakiman, Kamardin Hashim membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujah pendakwaan dan kedua-dua peguam bela tertuduh.

“Selepas mendengar hujah pembelaan, mahkamah mendapati ia adalah satu bentuk penafian dan rekaan sema-mata hingga gagal menimbulkan keraguan sekali gus pendakwaan berjaya memutuskan kesalahan tersebut,” katanya.

Kes mereka dibicarakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka termasuk seorang yang masih bebas didakwa menculik mangsa yang berusia 13 tahun ketika :kejadian dengan niat menuntut wang :tebusan sebanyak RM500,000 ke atas ayah mangsa.

Empat daripada sembilan tertuduh didakwa menculik mangsa ketika mangsa bersama dua rakannya dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki sebuah kereta.

Mangsa dibawa ke sebuah rumah pangsa di Kuala Lumpur dan bapanya kemudian dihubungi salah seorang tertuduh untuk menyerahkan wang :tebusan sebanyak RM500,000, sebelum membayar RM80,000 di sebuah stesen minyak berhampiran Plaza Tol Sungai Besi sekitar jam 6.30 petang pada 24 April 2008 selepas melakukan rundingan menerusi panggilan telefon.

Selepas wang tebusan dibayar, mangsa kemudiannya dibenarkan pulang oleh penculik yang membelikan tiket tambang bas ke Johor Bahru sekali gus selamat tiba di rumah jam 12.30 pagi pada 25 April.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela masing-masing iaitu S Vijayaretham dan Mohd Hajan Omar.

Terdahulu, empat daripada sembilan suspek kes berkenaan telah dibebaskan pada 4 April yang lalu selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie.

Sementara itu, bapa mangsa ketika ditemui pemberita berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, sehingga kini anak gadisnya masih lagi trauma dan takut untuk keluar rumah hingga ditemani oleh keluarganya untuk ke mana-mana.

“Kami juga turut membuat :keputusan berpindah rumah selepas insiden yang tidak disangka itu,” katanya.
SH

Lima pekerja asing ditahan



JOHOR BAHRU - Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor menahan lima daripada 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia menerusi Ops Selera di salah sebuah restoran di Setia Tropika, di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah I Jabatan Imigresen Johor, Mohamad Nasir Abas berkata, serbuan sekitar jam 12.45 tengah hari itu dilakukan oleh 12 anggota penguat kuasa hasil intipan yang dilakukan terdahulu.

“Ketika serbuan dilakukan, kesemua pekerja warganegara asing ini sedang asyik melayan pelanggan.

“Hasil pemeriksaan, lima daripada 10 pekerja terbabit berusia sekitar 20 hingga 50 tahun terpaksa ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya, di sini.
SH

SHBapa dakwa dilibas pedang



KOTA BHARU - Sedih apabila anak sendiri tergamak melibas pedang kepada bapa kandung hanya kerana tidak puas hati mengenai urusan perkahwinan yang ditetapkan keluarga.

Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Su, 60, melahirkan kekecewaan itu terhadap perbuatan melampau kedua-dua anak perempuannya yang berusia 21 dan 25 tahun tanpa diketahui punca sebenar kemarahan itu.

Bapa kepada 14 anak itu berkata, bagaimanapun anaknya yang berusia 22 tahun itu berkemungkinan marah terhadap ibu tiri mereka, tetapi tidak pula menyatakan punca sebenar.

“Hati bapa mana tidak sedih jika anak sendiri sanggup bertindak demikian.

“Ibu tirinya pun bertanya mengapa mereka sanggup bertindak begitu tetapi mereka enggan menjelaskannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, ibu tiri kepada anak-anaknya itu banyak membantu sehingga mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Pak Su berkata, lebih menyayat hati setelah dalam kejadian itu, anak perempuannya juga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat hingga menguris hatinya sebagai bapa dan orang tua.

“Hancur luluh hati saya hingga setiap malam menangis mengenangkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan dari mulut seorang anak kepada orang tua,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian dekat sini terhadap kejadian itu.

Bukan sahaja cuba dicederakan, tetapi Pak Su juga mendakwa, menerima pesanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ditulis dengan kata-kata kesat.

Menurutnya, dia tidak akan menerima permohonan maaf daripada kedua orang anaknya tetapi berdoa supaya Allah swt memberi petunjuk dan membalas perbuatan mereka.

Sementara itu, salah seorang anaknya hanya dikenali sebagai Nor ketika dihubungi berkata, tidak ada niat menderhaka terhadap bapanya dan mendakwa terdapat salah faham di antara mereka bertiga.

“Kami akui ada kesalahan daripada pihak kami, walau apa pun kami tidak berniat untuk menderhaka kepadanya kerana dia adalah bapa saya dan kami masih sayangkannya, namun jika ada salah atau silap kami mohon maaf.

“Sebenarnya perkara ini sepatutnya dibincangkan bersama ahli keluarga terlebih dahulu, tetapi ia sudah berlaku begini dan diketahui umum saya reda,” katanya.

Nor juga berharap masalah yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan segera demi menyelamatkan hubungan keluarga mereka.

APMM tahan dua kapal di perairan Malaysia

SH

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal gagal melaporkan ketibaan di perairan Malaysia dan salah satunya sedang leka melakukan kerja-kerja kimpalan tanpa kebenaran di perairan Pengerang, Kota Tinggi di sini, (27 Jun 2011) semalam.

Kapal MT Suppass Star dan MV Accares 1 yang berdaftar di dalam negara ini ditahan pada pukul 11.15 pagi dan 12.15 tengahari di dua lokasi berasingan kira-kira 1 hingga 1.2 batu nautika Tenggara Tanjung Stapa, Kota Tinggi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kedua-dua kapal berkenaan ditahan ketika KM Manjung melakukan rondaan rutin di perairan itu berjaya mengesan mereka yang dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, pemeriksaan pertama ke atas kapal MT Suppass Star pukul 11.15 pagi mendapati kapal tersebut sedang melakukan kerja-kerja kimpalan (Hot Work), gagal melaporkan ketibaan kapal dan bersauh tanpa kebenaran.

"Lebih kurang jam 12.15 tengahari sebuah lagi kapal berjaya ditahan APMM yang melakukan kesalahan yang sama iaitu gagal melaporkan ketibaan di perairan Malaysia dan gagal membayar dius api.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua kapal membawa seramai 14 kru warga asing dan warga tempatan termasuk 10 Indonesia dan empat Malaysia.

“Buat masa ini kapal bersama kru ditahan di lokasi tersebut sementara ketua jurutera, dokumen kapal dan kru dibawa bersama ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan di Johor Bahru bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Zulkifili berkata, kedua-dua kapal akan disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance (MSO) 1952 Sek 491B(1)(l) dan Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia, gagal membayar dius api dan menjalankan kerja-kerja kimpalan tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan, pemilik kedua-dua kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.- Bernama

Bersih: Pembuka jalan politik baru


Perhimpunan Bersih 2.0 telah mengundang berbagai tindak balas dari penyokong Barisan Nasional. Dari respon persatuan-persatuan peniaga kepada yang paling ekstrim dalam bentuk ancaman membunuh Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga.

Walau apa sekalipun respon dan alasan, kesemuanya bertujuan untuk menghalang berlakunya himpunan ini. Respon dan tindak balas sebegini merupakan bukti betapa BN amat gentar dengan himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

Mereka khuatir kerana perhimpunan ini bakal merupakan pembuka jalan kepada era politik baru dan penamat kepada politik pimpinan BN.

Hakikatnya, rakyat semua mengetahui bahawa Pilihan Raya yang dianjurkan selama ini adalah tidak adil, berat sebelah dan diurus dengan tujuan untuk memenangkan BN.

Pilihan Raya dan kebebasan bersuara yang dibenarkan sekadar untuk memberikan persepsi adanya demokrasi, tetapi tahapnya dikawal supaya tidak menjejas kedudukan BN. Dalam keadaan begitu sekalipun BN telah dapat dikalahkan di beberapa negeri pada tahun 2008.

Sekiranya Pilihan Raya pada ketika itu diadakan secara bebas dan bersih, dengan diberi semua pihak akses kepada media perdana, tiadanya undi pos dan lain-lain seperti terkandung dalam tuntutan BERSIH (1), insyaAllah sudah pasti BN akan dapat dikalahkan diperingkat Kebangsaan juga.

Oleh yang demikian, Bersih (2) perlu diteruskan supaya BN memahami bahawa rakyat tahu bagaimana mereka telah ditipu selama ini dan bagaimana penipuan ini mengekalkan sebuah kerajaan yang telah hilang kredibiliti serta legitimasinya dalam kedudukan berkuasa.

Kerajaan BN wajib menghormati rakyat dan itulah sebenarnya intipati tuntutan Bersih. Iaitu supaya suara dan kehendak rakyat dalam memilih kerajaan yang ingin diamanahkan dengan kuasa pemerintahan dihormati dan diterima. Tanpa adanya sebarang usaha penyalahgunaan kedudukan dan kekuasaan untuk menentukan pilihan rakyat melalui proses pemilihan yang berat sebelah lagi songsang.

Sekiranya melalui proses pemilihan yang Bersih ini rakyat menolak BN di peringkat Negeri dan Negara, maka BN wajib menerima pilihan rakyat dan berundur secara terhormat. Itulah intipati demokrasi. Bukan hanya sebagai cogankata dan retorik semata-mata, sambil pandangan dan pendapat rakyat dikuasai dan kehendak rakyat dinafi melalui proses yang tercemar.

Semua yang ingin menghalang Bersih, samada PERKASA, Pemuda UMNO atau pihak Polis sekalipun, hanya menzahirkan keinginan untuk mempertahankan sesuatu yang ditolak rakyat, iaitu proses Pilihan Raya yang dicorakkan mengikut kepentingan BN.

Sepatutnya mereka, lebih-lebih lagi pihak Polis, berdiri bersama rakyat dalam usaha membersihkan proses pilihan raya. Supaya penipuan terhadap rakyat dan kekuasaan ke atas rakyat melalui penipuan ini dapat dihentikan. Himpunan Bersih merupakan usaha mulia, tuntutan adil lagi berasas dan menepati kehendak Syariat Islam dan Perlembagaan Negara; sepertimana yang telah dinyatakan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Prof. Aziz Bari.

Oleh itu, pihak Polis sepatutnya menjaga dan melindungi peserta himpunan, menjaga lalu lintas supaya kesan kesesakan dikurangkan, menjaga keselamatan peserta supaya tiada sebarang provokasi dan dengan itu ianya akan berjalan dengan selamat dan aman.

Sepatutnya PERKASA dan Pemuda UMNO turut bersama menyokong dan bukan bertindak-balas seperti sekarang. Namun, hakikatnya, mereka bukan mementingkan rakyat dan hak rakyat. Mereka hanya mementingkan status quo dan usaha mempertahankannya walaupun rakyat inginkan ianya ditukar.

9 Julai 2011, tarikh keramat, tarikh perubahan, tarikh kebebasan. Saya berharap agar warga Shah Alam khususnya dan Malaysia amnya akan bersama saya, turun pada hari itu untuk bersama-sama mencatat sejarah di bumi Malaysia yang kita cintai.



KHALID SAMAD




Dipetik daripada blog YDP Pas Shah Alam, Khalid SamadSH

1,374 kes ah long direkod sejak 2005



KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,374 kes berhubung salah laku pemberi pinjam wang atau ah long direkodkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak awal tahun 2005 sehingga Mei tahun ini.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) berkata, sebanyak 739 kes didakwa, 25 orang telah dibicarakan manakala enam disabitkan kesalahan.

“Kesemua mereka ini telah diambil tindakan, kementerian dengan agensi-agensi terlibat akan bertindak apabila kita terima aduan dari peminjam dan orang ramai,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada Persidangan Dewan Rakyat semalam.

Abdul Manan ingin tahu mengenai pengawasan pihak berkuasa terhadap aktiviti salah laku pemberi pinjam wang atau ah long yang masih berleluasa.

Lajim berkata, hukuman denda telah dipertingkatkan dari minimum RM20,000 kepada RM250,000 dan maksimum RM100,000 kepada RM1,000,000 bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan.

“Kementerian juga melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan membatalkan talian telefon yang tertera pada iklan-iklan haram yang ditampal di tepi jalan dan harta awam,” katanya.
SH

25 amal ajaran sesat ditahan



NUSAJAYA - Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) giat memantau saki baki ahli kumpulan ajaran sesat yang dikenali sebagai Kumpulan Layar Bahtera yang dikesan bergiat aktif di Masai, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, seramai 25 ahli kumpulan terbabit ditahan iaitu 22 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun di sekitar Taman Rinting pada awal bulan ini kerana mengamalkan ajaran sesat.

Beliau berkata, ajaran berkenaan diketuai seorang lelaki berusia 40 tahun berasal dari Selangor yang sudah diharamkan pada 2010 dan diwartakan pada tahun ini, menyebar fahaman bertentangan dengan ajaran Islam sejak tiga tahun lalu.

“Ketua kumpulan itu yang dipanggil Nakhoda, mendakwa mengetahui segala ilmu dan benda ghaib, menyatakan semua manusia adalah Allah, malaikat adalah manusia yang taat, jin adalah manusia dikurniakan ilmu yang tiada pada manusia biasa serta iblis adalah manusia yang melakukan kemungkaran.

“Selain itu, kumpulan itu juga mendakwa syaitan adalah manusia yang menjadi penghasut, Gunung Tursina di Timur Tengah adalah Gunung Ledang serta mentafsir ayat al-Quran serta hadis mengikut cita rasa sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-12, di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, kumpulan itu juga tidak mengamalkan sembahyang wajib lima waktu dan sudah mengumpul hampir 40 pengikut sejak lebih tiga tahun lalu.

“Kita juga mengesan kumpulan itu giat menyebarkan fahaman mereka menerusi laman sesawang tetapi kita sudah meminta kerjasama pihak berwajib untuk menutupnya,” katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati pengikut kumpulan terbabit kebanyakannya bekerja sebagai mekanik dan pekerja kontrak dan rumah ketua kumpulan terbabit dijadikan markas penyebaran agama sesat.

Kesemua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau kedua-duanya.
SH

Askar Korea Utara dilapor kelaparan


SYDNEY: Korea Utara sedang menghadapi kesukaran memberi makan anggota tenteranya, menurut satu klip video yang diperolehi dari negara itu, yang menunjukkan seorang askar mengadu bahawa unitnya lemah kerana kekurangan makanan.

Stesen televisyen Australian Broadcasting Corporation (ABC) berkata video itu diambil secara sulit oleh seorang wartawan Korea Utara sepanjang beberapa bulan pada awal tahun ini dan diseludup keluar dari negara komunis itu ke China. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Tujuh mayat mangsa kanu karam ditemui


JAKARTA: Kakitangan penyelamat Indonesia menemui tujuh mayat dan terus mencari tiga lagi selepas sebuah kanu yang membawa 16 orang karam di sebatang sungai di Jawa Timur, semalam, kata seorang penyelamat.

Kemalangan itu berlaku sekitar 11.15 pagi apabila orang ramai sedang menyeberangi sungai Bengawan Solo di kampung Kanorejo, di daerah Bojonegoro, kata seorang penyelamat di Pejabat Mencari dan Menyelamat di Jawa Timur melalui telefon. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Lagi tiga maut akibat E. coli di Jerman


BERLIN: Jerman melaporkan tiga lagi kematian akibat penularan wabak bakteria E. coli, menjadikan jumlah kematiannya sebanyak sekurang-kurangnya 47 orang.

Institut Robert Koch, sebuah pusat pengawalan penyakit di Jerman, semalam berkata 46 kematian dilaporkan di negara itu, manakala seorang yang mati di Sweden dan seorang lagi di Amerika Syarikat, yang dipercayai ada kaitan dengan wabak itu. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara: "i"

Polis rasuah dipenjara 14 hari


ALOR SETAR 27 Jun - Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah meminta wang rasuah daripada orang awam, tiga tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman itu terhadap Nordin Muhammad Nor, 47, selepas tertuduh disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, didakwa meminta suapan RM180 daripada Khoo Shu Chan sebagai dorongan supaya tidak disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen motosikal dan cukai jalan tamat tempoh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu semasa sekatan di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar pada pukul 2.45 petang pada 1 November 2008.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pelajar kolej terselamat daripada digantung



SYAMIL Taufik dibawa keluar oleh anggota polis selepas mahkamah semalam melepaskan tanpa membebaskannya berhubung tuduhan mengedar dadah.


KUALA TERENGGANU 27 Jun - Seorang pelajar sebuah kolej swasta terselamat daripada hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepaskan tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah tahun lalu.

Syamil Taufik @ Zainal Arifin, 19, yang kelihatan tergamam mendengar keputusan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa bagaimanapun berlari meninggalkan pekarangan mahkamah sejurus selepas itu.

Dia didakwa mengedar 59.9 gram dadah jenis methamphetamine di sebuah rumah di Lorong Setia 8, Taman Setia, Durian Burung di sini pada pagi, 17 September tahun lalu.

Pelajar bidang kejuruteraan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Semasa membacakan keputusannya, Hakim Mohd. Yazid memberitahu, tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun jelas beliau, pihak pendakwaan masih boleh mendakwa tertuduh jika wujud bukti lain.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik manakala Syamil diwakili peguam, Nordin Kasim.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, polis berjaya mematahkan kegiatan pengedaran pil kuda terbesar di daerah ini dengan tertangkapnya sepasang kekasih berusia 19 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah.

Seorang lagi lelaki iaitu abang tertuduh berusia 23 tahun turut ditahan dan polis merampas 4,000 pil kuda bernilai kira-kira RM100,000 dalam serbuan itu.

Bagaimanapun, abang dan teman wanita tertuduh tidak didakwa di mahkamah.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Suami isteri didakwa edar kanabis


KOTA BHARU 27 Jun - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mengedar 1,792.6 gram kanabis, tahun lalu.

Tertuduh Che Razanan Che Isa, 48, dan isterinya, Matini Ismail, 42, yang diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abdullah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 5 petang, 2 Disember tahun lalu di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di RPT Limau Kasturi, Gua Musang dekat sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Tak mengaku salah curi baju


KUALA LUMPUR 27 Jun - Seorang pekerja hotel separuh masa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri dua helai baju T berjumlah RM108.92, Sabtu lalu.

Mohd. Shahdizul Aliff Segul, 18, didakwa mencuri sehelai baju jenama Diesel berharga RM39.92 dan sehelai lagi berjenama Soda Men berharga RM69 di pasar raya Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dang Wangi di sini pada pukul 6.50 petang, 25 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Chew Zi Xian mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd. Azali Ibrahim membenarkan remaja itu, diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

2 lelaki warga Myanmar dicari



Hla Kyaw Sein, Nyunt Win


TAPAH 27 Jun – Polis mencari dua buruh lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh seorang rakan sekerja mereka dari Bangladesh di sebuah reban ladang ternakan ayam di belakang Taman Ria, Air Kuning, di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, kedua-duanya ialah Hla Kyaw Sein dan Nyunt Win yang masing-masing berusia 36 tahun.

Katanya, siasatan polis menemui sebatang kayu berukuran 71 sentimeter panjang dengan kesan darah di bilik kedua-dua lelaki terbabit.

“Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua lelaki itu melarikan diri. Sebelum kejadian, terdapat saksi melihat mangsa memasak bersama kedua-dua mereka di rumah pekerja ladang tersebut,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Tertipu gara-gara ingin miliki telefon bimbit murah


AKIBAT terlalu percaya dengan urus niaga dalam talian di Internet, seorang pemuda berputih mata apabila bayaran sebanyak RM3,700 yang dibuat bagi membeli telefon bimbit melalui urus niaga berkenaan lesap.

Malah disebabkan sikap tidak berhati-hatinya, dia juga terpaksa membayar RM600 kepada tiga rakannya yang menempah telefon berkenaan melaluinya.

Menurut Tonoh Seesaw, 26, dia amat tertarik apabila melihat iklan dalam talian Alibaba.com yang menawarkan telefon Samsung Galaxy Tab dengan harga RM600.

Teruja dengan iklan tersebut, katanya, dia turut mempromosikan kepada rakan-rakannya mengenai produk yang ditawarkan dengan harga yang murah itu.

Seterusnya tanpa melakukan pemeriksaan terperinci, Tonoh berkata, dia terus menelefon nombor telefon yang tertera dalam laman web urus niaga itu bagi memesan lima unit telefon Samsung Galaxy Tab dan satu iPhone4.

"Namun selepas saya memasukkan duit sebanyak RM3,700 ke dalam akaun itu, saya terkejut kerana diminta membayar baki RM5,800 dengan alasan invois yang saya terima ialah untuk pembelian 12 unit telefon dengan harga RM9,500.

''Setelah berasa ditipu saya telah menelefon nombor berkenaan tetapi tidak dapat dihubungi dan apabila saya membuat aduan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), saya mendapati syarikat berkenaan iaitu Techcomes Limited tiada dalam pendaftaran SSM,'' katanya.

Justeru, ujar Tonoh, dia telah membuat laporan polis dan membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Presiden TTPM, Pretam Singh Darshan yang mendengar tuntutannya baru-baru ini berkata, pihaknya tidak dapat membuat apa-apa tindakan memandangkan syarikat yang didakwa itu tidak didaftarkan di negara ini.

Justeru katanya, beliau telah meminta pengadu supaya memfailkan semula tuntutan terhadap penerima wang melalui nama pemilik akaun.

''Saya tidak boleh membuat apa-apa tindakan sekiranya syarikat tidak wujud dan saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan urus niaga dalam talian,'' ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Saya hanya ingat mati - Zabri



MUHAMMAD Aznil Afnan Ariffin masih koma di Unit Rawatan Rapi HUSM, Kubang Kerian, semalam.


KOTA BHARU 27 Jun - "Saya hanya ingat mati ketika nampak kereta dari depan terbabas dan berpusing-pusing sebelum dirempuh lori yang saya pandu," ujar pemandu lori ais, Zabri Hussein, 29.

Dia yang patah paha dan lutut kanan dalam nahas itu, mengakui trauma mengingati detik-detik tragis kenderaan dipandunya bertembung dengan kereta Proton Iswara di Kilometer 15, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas kelmarin, menyebabkan tiga pelajar Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) kampus Bachok terbunuh.

Akibat kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bahagian hadapan lorinya remuk dan dia tersepit pada bahagian stereng sebelum dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.

Mengimbau kembali nahas itu, Zabri yang sudah berumah tangga berkata, akibat kemalangan cermin hadapan lorinya pecah dan dia nampak kelindannya, Azri Mat Nawi, 24, tercampak keluar tetapi hanya cedera ringan.

Menurutnya, ketika kejadian dia yang bekerja dengan sebuah syarikat membekalkan air batu, dalam perjalanan pulang ke Tanah Merah selepas menghantar bekalan di Kubang Kerian dekat sini.

Jelasnya, sejurus sampai di Salor iaitu kawasan kemalangan, dia nampak kenderaan dinaiki penuntut terbabit memotong empat kenderaan lain sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan berpusing-pusing beberapa kali lalu bertembung dengan lori yang dipandunya.

"Sejurus selepas kemalangan, suasana hening dan sepi, tidak kedengaran apa-apa daripada kereta tersebut," katanya.

Dalam kemalangan itu, tiga pelajar KIST, Shaiful Jawahir Razali, Mohammad Aliff Mohd. Suhaimi dan Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md. Saud kesemuanya berusia 19 tahun, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Aznil Afnan Ariffin, 19, dari Pengkalan Chepa, parah dan masih belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi Hospital Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menurut ibu Muhammad Aznil, Samsiah Che Ismail, 41, anak sulung daripada tiga beradik itu, masih koma akibat cedera teruk di kepala dan muka.

Samsiah berkata, sebaik sahaja suaminya, Ariffin Abdullah, 46, wadar penjara di Pengkalan Chepa mendapat berita tersebut, mereka bergegas ke HUSM.

"Walaupun luluh hati saya melihat keadaannya yang parah namun tetap bersyukur kerana dia masih dipanjangkan umur sedangkan tiga lagi rakannya meninggal dunia.

"Saya harap dia sedar dari koma, sihat dan boleh menyambung pelajarannya semula di KIST," katanya yang turut menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk Pengurus Hal Ehwal Pelajar KIST kampus Bachok, Mohd. Sapuan Awang.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bayi baru lahir dibuang dalam semak



JURURAWAT HRPZ II, Nuraini Mohd. Nor memegang bayi dijumpai seorang penduduk Kampung Permatang Machang di dalam semak-samun dan dihantar ke hospital itu untuk rawatan, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A.MAJID


KOTA BHARU 27 Jun - Kejam! Begitulah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan mengenai ibu bapa yang tergamak membuang bayi mereka yang masih hidup di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Permatang Machang dekat sini, hari ini.

Mujurlah si kecil yang dalam keadaan masih berdarah di seluruh badan serta bertali pusat itu ditemui penduduk kampung, Mohd. Satar Mohd. Ali selepas terdengar rengekan bayi malang tersebut ketika melalui jalan itu pukul 11.30 pagi.

Ketika ditemui bayi seberat 2.8 kilogram itu diletakkan di dalam sebuah beg kertas sebelum dibuang di kawasan semak setinggi lebih satu meter dipercayai untuk mengelak orang ramai menemuinya.

"Saya berjalan kaki untuk balik ke rumah dari bengkel motosikal. Ketika lalu di kawasan itu tiba-tiba terdengar bunyi rengekan lalu saya segera memeriksa kawasan semak tebal itu.

"Saya memasuk semak dan terkejut kerana ia bunyi dari seorang bayi yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di tempat bayi itu dibuang dekat sini, hari ini.

Menurut Mohd. Satar, dia memanggil penduduk kampung dan bersama-sama mengeluarkan bayi itu dari semak sebelum menghubungi polis yang kemudian membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi hari ini berkata, bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan kini dirawat di HRPZ II.

Katanya, polis menyiasat perkara tersebut mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

"Polis masih mengesan ibu bapa bayi tersebut dan berharap ada pihak tampil memberikan maklumat untuk memudahkan lagi siasatan," jelas beliau.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Perompak curi, bakar Ferrari California



GAMBAR model kereta mewah Ferrari California yang sama seperti dimiliki oleh jutawan Australia, Nathan Tingkler. – AGENSI


SYDNEY 27 Jun – Polis hari ini menemui semula kereta Ferrari California berharga A$500,000 (RM1.6 juta) milik seorang daripada lelaki terkaya di Australia yang telah dicuri dari rumahnya Sabtu lalu.

Kereta milik jutawan perlombongan, Nathan Tinkler ditemui dalam keadaan hangus terbakar di Raymond Terrace, bersebelahan dengan Lebuh Raya Pasifik, utara Newcastle.

Polis kini sedang melakukan ujian forensik ke atas kereta itu dan belum ada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.

Tinkler sedang tidur di dalam rumahnya yang berdepan dengan pantai berdekatan dengan Newcastle, utara Sydney ketika pencuri-pencuri itu memasuki rumahnya tengah malam Sabtu lalu.

Menurut polis, selain Ferrari California berwarna hitam keluaran 2010 yang dilaporkan hanya ada 141 unit sahaja di Australia, pencuri-pencuri tersebut turut melarikan jam tangan, komputer riba dan kamera digital milik keluarganya.

“Mereka empat sekeluarga sedang tidur di tingkat satu rumah itu ketika pencuri-pencuri itu memecah masuk tetapi mereka semua selamat,” lapor polis.

Tinkler merupakan pemilik dan pengarah Tinkler Group, sebuah syarikat yang mula dikenali selepas membuat pinjaman sebanyak AUS$500,000 (RM1.6 juta) untuk membeli lombong arang batu pada tahun 2006.

Dia kemudiannya menjual lombong arang batu itu kepada Macarthur Coal dengan harga AUS$275 juta (RM878 juta).

Tinkler, 35, yang juga merupakan lelaki terkaya di Australia bawah usia 40 tahun dan bernilai A$1.01 bilion (RM3.23 bilion) itu turut memiliki kelab liga ragbi Newcastle Knights dan kelab bola sepak Newcastle Jets. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara