Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Kecewa kereta baru dibeli rosak



IPOH - Seorang guru kecewa apabila kereta yang baru dibelinya dua bulan lalu rosak di tengah hutan ketika dalam perjalanan pulang dari Cameron Highland dan terpaksa membayar kos baik pulih lebih RM3,000.

Ketika kejadian, Aminah Husin, 52, cemas apabila enjin keretanya berasap di kawasan Hutan Bertam pada jam, 7.30 petang, 18 Februari lalu. Lebih mencemaskan apabila telefon bimbitnya gagal digunakan untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, dia dibantu pekerja trak tunda yang membawa kereta itu di Ringlet, Cameron Highland sebelum ke pusat penyelenggaraan kereta itu di sini.

“Saya tidak berpuas hati terhadap apa yang berlaku berikutan kereta itu baru sahaja dibelinya dan kerosakan mekanikal berkenaan tidak logik berlaku. Mekanik pusat penyelenggaraan itu mendakwa kerosakan pada bahagian radiator kereta berpunca dari kecuaian pihak mangsa.

“Bagaimanapun, saya menafikan perkara itu berikutan tidak pernah membuka bahagian enjin kereta sejak ia dibeli dan diambil dari syarikat pengedar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, baru-baru ini.

Mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat aduan di TTPM Mac lalu sebelum kes terbabit dibicarakan Presiden Tribunal Pengguna, Quaik Chong Yu.

Bagaimanapun, perbicaraan kali kedua itu menemui jalan penyelesaian apabila pihak syarikat pengedar kereta terbabit sanggup memberi ganti rugi dalam bentuk perkhidmatan pemeriksaan kenderaan percuma dan diskaun bagi pembelian alat ganti kenderaan.

Sementara itu, Ketua Unit TTPM, Hamidah Azizan berkata, kesedaran masyarakat berhubung hak pengguna menyebabkan TTPM kini semakin popular dan menjadi tempat rujukan kepada pengguna jika menghadapi masalah.
SH

Tekong maut, empat terselamat



PERAI - Seorang tekong lemas selepas tercampak daripada bot yang dinaiki bersama empat pemancing ketika dalam perjalanan ke Pulau Aman, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Kamsiran Geemin, 52, dari Jalan Terubok, Seberang Jaya dikatakan membawa empat pemancing dari Jeti Sungai Perai kira-kira jam 1.30 petang sebelum bot yang dinaiki dipukul ombak di pertengahan jalan.

Ketika hendak berpatah balik ke jeti, bot mereka dipukul ombak lalu mangsa bersama seorang pemancing itu tercampak ke dalam laut yang bergelora.

Pemancing yang tidak diketahui identitinya itu bagaimana pun berjaya ditarik ke atas oleh rakan-rakannya, manakala mangsa dihanyutkan ombak berikutan keadaan laut dan cuaca yang tidak mengizinkan.

Mereka yang terselamat kemudiannya kembali ke Jeti Sungai Perai untuk meminta bantuan.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Wan Azmi Ahmad berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan usaha mengesan mangsa yang lemas sejurus menerima panggilan pada jam 2.59 petang.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dekat jambatan kedua Pulau Pinang berhampiran Kuala Juru kira-kira jam 6.30 petang.

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan bilik mayat HSJ apabila ramai dalam kalangan ahli keluarga dan rakan mangsa hadir selepas mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa.

Seorang rakan baik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Bidin berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika berbual bersamanya pada malam sebelum kejadian, sebaliknya banyak bercakap mengenai persiapan anak kedua yang bakal melangsungkan pertunangan pada 9 Julai nanti.

Menurutnya, mangsa yang juga pemain bola sepak Pulau Pinang era 80-an disifatkan sebagai seorang yang peramah, selain tidak pernah menolak jika ada yang meminta pertolongan.

Justeru, kehilangan sahabat yang sudah lama dikenali itu merupakan sesuatu yang amat sukar untuk diterima.

“Semalam (kelmarin), arwah beberapa kali mengajak saya memancing bersamanya pada hari ini (semalam), tetapi saya menolak. Sebelum ini juga dia ada mengajak saya menaiki bot yang baru dibeli kira-kira setahun lalu itu, namun sekali pun saya tidak pernah lagi menerima pelawaannya itu,” katanya yang merupakan orang terakhir dalam kalangan rakan-rakan yang bertemu mangsa sebelum lemas.

Bidin berkata, mangsa memang seorang kaki pancing dan mereka sering memancing bersama pada masa lapang.
SH

Pelajar diragut dalam sekolah



KULIM - Empat anggota polis diketuai seorang koperal dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim yang membuat rondaan cegah jenayah menahan seorang lelaki 27 tahun kerana meragut seorang pelajar perempuan 16 tahun yang sedang menunggu bapanya dalam kawasan sekolah kira-kira jam tujuh petang kelmarin.

Jurucakap polis berkata, kemudian dia didatangi seorang lelaki tidak dikenali dengan menaiki motosikal jenis Suzuki RG. Suspek kemudiannya meletakkan motosikalnya di bahu jalan sebelum pergi ke arah mangsa.

“Kemudiannya suspek meragut telefon bimbit yang ada di tangan mangsa sebelum menolaknya sehingga terjatuh. Anggota CPJ yang ketika itu sedang membuat rondaan mengejarnya.

“Dari pemeriksaan dijalankan, suspek mempunyai rekod samun dilakukan di sekitar Mahang,” katanya.

Timbalan UMNO Bahagian Padang Serai, Halim Hassan yang turut membantu menahan suspek meminta pihak pentadbiran sekolah supaya lebih prihatin terhadap keselamatan setiap pelajar ketika menunggu waris.

Menurutnya, kejadian berlaku kelmarin jelas menunjukkan kawalan keselamatan di sekolah longgar sehingga mengakibatkan suspek boleh masuk dalam kawasan sekolah.

“Saya berterima kasih kepada polis dan semua yang terlibat kerana berjaya menahan suspek.

“Semua pintu sekolah seharusnya ditutup sehingga waris atau kenderaan seperti van atau bas sekolah pelajar datang menjemput mereka.

“Selain itu, pengawal keselamatan bertugas perlu memantau pergerakan pelajar dan orang ramai setiap kali tamat waktu sekolah,” katanya.
SH

Dua maut dalam dua nahas



MELAKA - Dua remaja maut dalam dua kemalangan berasingan di Limbongan dan Kota Laksamana, dekat sini, semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah,

Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira 3 pagi di persimpangan lampu isyarat Eye On Malaysia, di sini.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang tiang lampu tengah jalan.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Zahiruddin Anuar, 22, seorang anggota Rela yang duduk di bahagian penumpang hadapan, maut ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Melaka (HM).

Menurutnya, kereta tersebut datang dari arah Limbongan ke Melaka Raya manakala dua buah motosikal datang dari arah pantai Klebang ke Tengkera di persimpangan berkenaan.

“Akibat pelanggaran dengan motosikal itu, kereta Gen 2 tersebut hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di tengah jalan menyebabkan tempat penumpang hadapan remuk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Gunasegaran berkata, dalam satu lagi nahas berlaku kira-kira satu kilometer dari kemalangan pertama, seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta ketika memasuki simpang ke sebuah restoran di lampu isyarat Limbongan Indah, kira-kira 3.45 pagi.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta tersebut yang datang dari arah Melaka Raya ke Klebang merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah Klebang dan ingin memasuki simpang ke sebuah restoran,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit, Muhammad Shahiq Ehsam, 17, berasal dari Paya Ikan di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
SH

Dua maut dalam dua nahas



MELAKA - Dua remaja maut dalam dua kemalangan berasingan di Limbongan dan Kota Laksamana, dekat sini, semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah,

Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira 3 pagi di persimpangan lampu isyarat Eye On Malaysia, di sini.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang tiang lampu tengah jalan.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Zahiruddin Anuar, 22, seorang anggota Rela yang duduk di bahagian penumpang hadapan, maut ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Melaka (HM).

Menurutnya, kereta tersebut datang dari arah Limbongan ke Melaka Raya manakala dua buah motosikal datang dari arah pantai Klebang ke Tengkera di persimpangan berkenaan.

“Akibat pelanggaran dengan motosikal itu, kereta Gen 2 tersebut hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di tengah jalan menyebabkan tempat penumpang hadapan remuk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Gunasegaran berkata, dalam satu lagi nahas berlaku kira-kira satu kilometer dari kemalangan pertama, seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta ketika memasuki simpang ke sebuah restoran di lampu isyarat Limbongan Indah, kira-kira 3.45 pagi.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta tersebut yang datang dari arah Melaka Raya ke Klebang merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah Klebang dan ingin memasuki simpang ke sebuah restoran,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit, Muhammad Shahiq Ehsam, 17, berasal dari Paya Ikan di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
SH

Percepatkan akta hidu gam



AYER KEROH - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa kerajaan supaya mempercepatkan proses memperkenalkan satu akta khusus bagi menangani gejala menghidu gam.

Yang di-Pertua Pemadam, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, akta khusus ini perlu bagi menangani gejala menghidu gam yang dikatakan semakin serius membabitkan golongan belia dan pelajar.

Menurutnya, akta berkenaan sudah disiapkan dan hanya menanti untuk dibahaskan di Parlimen.

“Perkara ini sudah dibangkitkan lama dahulu dan draf akta sudahpun disediakan Pejabat Peguam Negara, cuma menunggu untuk dibahaskan di dalam Parlimen sahaja.

“Pemadam menggesa supaya proses perbahasan akta ini dipercepatkan supaya ianya dapat digunakan dengan secepat mungkin,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Agung Tahun Pemadan Ke-36 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini semalam.

Perhimpunan ini turut menerima dan membahaskan beberapa usul yang kemudiannya diterima perwakilan.

Menurut Johari, antara usul ditimbulkan termasuk menubuhkan pasukan pemikir atau think tank bagi menjalankan kajian mengenai keberkesanan sesuatu cara menangani gejala penagihan dadah.

Menyentuh mengenai usul ini, beliau berkata, Pemadam ada bekerjasama dengan beberapa universiti di negara ini bagi menjalankan kajian.

“Dalam aspek ini, kita ada memberi peruntukan kepada penyelidik di universiti terbabit untuk menjalankan penyelidikan,” katanya.
SH

Atap rumah terbiar ‘lopong’



FELDA PASIR BESAR – Kejadian angin kuat beberapa bulan lalu benar-benar memberi pengalaman menakutkan buat Mariam Manya, 62, apabila kira-kira 10 keping atap rumahnya diterbangkan angin.

Mariam berkata, mujurlah atap yang terbang adalah di bahagian hadapan rumah dan ruangan berkenaan tidak menempatkan bilik tidur mahupun tempat berehat bersama dua anaknya.

Bagaimanapun menurutnya, susulan masalah kewangan dan hidup anaknya yang masih belum stabil kerana menyambung pelajaran di universiti, dia nekad untuk membiarkan atap berkenaan ‘lopong’ begitu sahaja.

“Memang menakutkan bila tahu ada atap rumah yang tercabut dan dibiarkan terdedah pada waktu malam. Bagaimanapun, saya biarkan sahaja perasaan berkenaan berbulan-bulan lamanya kerana tidak suka meminta-minta.

“Namun, keadaan ini nyata tidak berpanjangan apabila terdapat individu yang datang meninjau keadaan saya dan memaklumkan akan membaik pulih kediaman melalui dana Ahli Parlimen Tampin, Datuk Shaziman Abu Mansor,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-royong kediamannya, dekat sini, kelmarin.

Kerja membaik pulih kediaman Mariam yang bernilai RM5,000 itu dilaksanakan penduduk setempat dan 12 anggota tentera dari Markas Garison Gemas Kem Syed Sirajudin yang diketuai Kapten Aminuddin Abdul Aziz.

Sementara itu, Mariam berkata, sepanjang beberapa bulan hidup dengan atap yang ‘lopong’ itu, dia hanya mampu menadah menggunakan besen sekiranya hujan lebat.

“Oleh itu, hari ini saya gembira dan bersyukur kerana terpilih menerima bantuan baik pulih oleh Ahli Parlimen Tampin serta tidak perlu risau lagi dengan keadaan keselamatan saya sekeluarga,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tampin, Mohd Isam Isa; Ketua UMNO Cawangan Felda Pasir Besar, Mohd Shafie Mohd Ariffa dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Pasir Besar, Mohd Yusof Kudin.
SH

Tiga kenderaan terlibat kemalangan



KENDUNG – Seorang pengusaha perkhidmatan pelancongan, Mohamad Suandi Sapuan tidak menyangka hasrat untuk menikmati cendol Leman Dawi dan melalui jalan lama pulang ke Bachang, Melaka menyebabkan dia terbabit dalam kemalangan kecil di jalan utama Seremban-Tampin dekat kendong, kira-kira jam 2 petang, semalam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kemalangan berkenaan membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Wira, Perodua Myvi dan Honda di mana ia dipercayai bermula apabila kereta Honda tidak menyedari kenderaan di hadapan berhenti disebabkan terdapat kenderaan lain yang ingin memasuki simpang.

Mohamad yang memandu Perodua Myvi berkata, dia sememangnya sudah dua tahun tidak melalui jalan lama berkenaan kerana selesa menggunakan perkhidmatan Lebuhraya Utara-Selatan, selain lebih cepat tiba di lokasi yang diingini.

“Mujurlah kami sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan hanya kenderaan sahaja yang remuk teruk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Manakala, M Rozi Md Noh, 25, berkata, dia sudah memperlahankan kenderaan sebaik menyedari terdapat beberapa kenderaan sudah pun memberhentikan kenderaan mereka.

“Perodua Myvi di belakang saya sempat memberhentikan keretanya, walau bagaimanapun kereta Honda gagal lalu melanggar belakang Perodua Myvi dan kereta saya,” katanya.

Sementara itu, bagi pemandu kereta Honda, Wong Ah Pang, 50, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Seremban ke Melaka, namun tidak menyedari terdapat kenderaan yang berhenti.
SH

Maut dihempap dinding batu



BAHAU – Seorang pekerja kontrak maut dihempap dinding batu simen ketika melakukan kerja memecah-kan stor lama di Jalan Padang Golf, Taman Jaya, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Khairi Sukajat, 37, dipercayai terjatuh dari bangunan dua tingkat akibat kayu pemijaknya patah dan dinding simen berkenaan turut rebah menghempap mangsa.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Mohamad berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya sedang sibuk memecah dinding berkenaan sebelum kayu pemijaknya patah.

“Mangsa jatuh ke bawah dengan ketinggian 3.6 meter dan yang cedera parah di kepala maut serta-merta di tempat kejadian.

“Kita juga tidak menemui sebarang kecederaan lain pada mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika mengesahkan kejadian berkenaan, semalam.

Mangsa bertaraf pemastautin tetap itu meninggalkan seorang balu serta lima anak.

Sementara itu, suasana pilu seketika di perkarangan bilik mayat Hospital Jempol sewaktu urusan bedah siasat.

Keluarga mangsa bagaimanapun enggan ditemu bual akibat terlalu sedih dengan kejadian berlaku.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Kampung Sungai Dua, Kuala Pilah untuk dikebumikan.
SH

Gara-gara menegur bersiul



ALOR GAJAH - Seorang dari tiga lelaki berusia 30 dan 40-an yang menyerang salah seorang ahli keluarga yang terbabit ditikam dalam satu pergaduhan di Kampung Permatang, dekat sini, pagi semalam.

Suspek yang berusia 29 tahun pergi ke sebuah kedai runcit di sebuah kampung, dekat sini kira-kira jam 9.30 pagi untuk membeli barang keperluan sambil bersiul mengelilingi kedai sebelum ditegur seorang lelaki dikenali berusia 30-an.

Ketika itu, lelaki berkenaan menegur perbuatannya seolah-olah seperti menyindir sebelum suspek terpinga-pinga ketika itu terus membayar jumlah barangan yang dibeli.

Selepas itu, suspek dicabar lelaki terbabit untuk beradu tenaga sebelum pulang ke rumah dengan tergesa-gesa.

Menurut saksi yang juga abang ipar suspek yang dikenali sebagai Aziz, 41, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya berkumpul di rumah ibu mertuanya itu bersama ahli keluarganya yang lain kerana meraikan majlis menghantar rombongan meminang di Klang, Selangor.

“Setelah setengah jam adik ipar saya pulang ke rumah, kami sekeluarga didatangi tiga lelaki dipercayai adik beradik.

“Tanpa memberi salam, mereka memanggil adik ipar saya dan meminta dia keluar sebelum berlakunya pergelutan di antara mereka. Selepas itu, bapa saudara saya datang membantu meleraikan pergaduhan itu,” katanya.

Menurutnya, salah seorang daripada lelaki yang menyerang adik iparnya mengalami kecederaan parah di tangan kanan akibat terkena libasan senjata tajam, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Susulan kejadian itu, kami ke Balai Polis Kuala Sungai Baru bagi membuat laporan berhubung kejadian yang berlaku,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, tiga lelaki adik beradik berusia antara 30-an dan 40-an itu datang menyerang suspek yang baru pulang dari sebuah kedai runcit.

Menurutnya, berlakunya pergelutan menyebabkan ibu suspek masuk campur sebelum anaknya meluru masuk mengambil sebilah pisau.

“Salah seorang daripada tiga lelaki terbabit tidak bernasib baik apabila terkena dua tikaman yang mengenai rusuk kanannya dan dihantar ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya manakala seorang lagi cedera di tangan kanan.

“Dua lelaki adik beradik dan suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata tajam,” katanya.
SH

Sindiket seleweng gas tumpas



KAJANG – Satu sindiket menyeleweng gas asli cecair (LPG) subsidi untuk kegunaan domestik kepada industri dikesan bergiat aktif sejak tiga bulan lalu, akhirnya terbongkar.

Ia berikutan serbuan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya semalam di sebuah stor kuari di Kajang Perdana, di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Serbuan dilakukan selepas 18 hari risikan dijalankan di sekitar premis terbabit.

Sindiket itu didapati hanya bermodalkan air panas dan ais sahaja, tetapi mereka mampu mengaut keuntungan mencecah ribuan ringgit sehari.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) KPDNKK Putrajaya, Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya merampas 1,100 tong gas pelbagai saiz, dianggarkan bernilai RM230,000.

Katanya, tiga lelaki warga Myanmar yang bekerja di premis berkenaan ditahan ketika sedang melakukan kerja pemindahan gas terbabit.

Menurutnya, sindiket berkenaan menyeleweng beberapa kilogram gas memasak daripada tong gas domestik LPG 12 kilogram (kg) dan disalurkan ke tong gas industri.

“Mereka kemudiannya akan menjual gas domestik itu kepada orang ramai dengan harga sama seperti harga pasaran untuk 12 kg gas.

“Gas industri seberat 50 kg itu pula dijual dengan harga pasaran semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Iskandar berkata, sindiket berkenaan akan mencurahkan air panas ke atas tong gas domestik untuk meningkatkan tekanan di dalamnya, manakala ais diletakkan pada tong gas industri dan kedua-duanya dihubungkan melalui saluran getah menyebabkan pemindahan berlaku dengan pantas.

Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket itu mampu memenuhkan 300 tong gas industri setiap hari dengan anggaran keuntungan RM70 bagi setiap tong.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti pemilik tanah berkenaan.

“Mereka yang ditahan itu adalah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1991,” katanya.

Kerajaan memberikan subsidi terhadap gas LPG domestik yang dijual pada harga RM1.80 sekilogram, manakala tiada subsidi diberikan pada gas industri yang dijual mengikut harga pasaran, sekitar RM3.50 sehingga RM3.80 sekilogram.
SH

Maut ketika lintas jalan



SUNGAI BESAR - Seorang warga emas akhirnya meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir lima jam apabila terlibat dalam kemalangan di sini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam kira-kira jam 4.01 petang semalam.

“Mangsa Peyah Darmawan, 76, dari Parit Satu 1/2 Timur ketika itu berjalan kaki pulang dari majlis kenduri kahwin berhampiran dilanggar motosikal ketika melintas jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan dipercayai meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalaman di kepala,” katanya.

Sementara itu, menurutnya dalam kejadian berkenaan, penunggang motosikal, 16, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penunggang terbabit dalam perjalanan dari Parit Dua ke Parit Dua 1/2 dipercayai untuk pergi ke majlis yang sama.

Noor Mushar berkata, pengguna jalan raya terutamanya penjalan kaki perlu mengutamakan keselamatan sebelum melintas jalan.

“Jangan melintas sesuka hati dan perlu berjalan secara melawan arus sebagai langkah keselamatan.

“Jika waktu malam pastikan memakai pakaian berwarna cerah atau membawa lampu suluh untuk membolehkan kenderaan lain melihat kita,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal juga turut berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya dan perlu memastikan lampu motosikal sentiasa berfungsi.

“Kegagalan lampu berfungsi terutama pada waktu malam menyebabkan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
SH

Misteri rumah Mona Fandey



ULU DONG – Masyarakat daerah ini berpendapat bahawa kediaman sementara Mona Fandey di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang tinggi nilainya seperti beberapa lokasi sejarah melibatkan Pol Pot di Kemboja.

Seorang penduduk, Mokhlis Zainal, 47, berkata, lokasi sekitar tapak rumah Mona yang masih kukuh binaannya wajar dibersihkan dan dibaik pulih serta dibina laluan selesa dari jalan utama.

Menurutnya, sejarah tercipta di daerah itu dengan peristiwa berdarah boleh dijadikan pengetahuan kepada pengunjung terutama generasi muda.

“Kita tidak seharusnya memikirkan perkara ini dari sudut negatif tetapi wajar mendedahkannya kepada umum seperti dilakukan kerajaan Kemboja yang menjadikan lokasi pertumpahan darah rakyat negara itu sebagai sumber pelancongan.

“Perkara seumpama ini secara tidak langsung dapat memberi variasi kepada pelancongan daerah dan memberi didikan kepada masyarakat bahawa peristiwa yang berlaku tidak seharusnya menjadi momokan yang menakutkan,” katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong tempatan, Nur Syahriman Shaharuddin berkata, cadangan seumpama itu berasas memandangkan ia bukan perkara baru yang diketengahkan pelancongan antarabangsa.

Katanya, beberapa lokasi bersejarah di negara lain juga dibangunkan dengan mengekalkan konsep asal supaya pengunjung dapat menghayati keadaan sama seperti kejadian sebenar.

“Tidak perlu pergi jauh, Balai Polis Bukit Kepong juga menjadi sejarah besar negara yang kini dijadikan muzium peringatan dan dapat menarik minat pengunjung untuk mendalami sejarah pertempuran yang berlaku di situ.

“Rumah tinggalan Mona ini juga boleh dibangunkan dan dibersihkan sekitarnya serta dijaga rapi untuk dikunjungi masyarakat yang berminat,” katanya.

Beliau berharap ada pihak yang boleh tampil memajukan cadangan ini dalam usaha membangunkan industri pelancongan tempatan tanpa melibatkan pengaruh negatif yang merosakkan persepsi umum terhadap peristiwa tersebut.
SH

Pelajar maut rakan parah



KUANTAN- Seorang pelajar maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh besi pembahagi jalan akibat terbabas ketika mengambil selekoh berhampiran Simpang Tanah Rezab, Kampung Semangat, Jalan Kuantan-Pekan dekat sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 2.22 petang itu, penunggang, Syed Muhamad Raffani Syed Zainalabidin, 17 dari Jalan Bunga, Sepekan Jaya, Pekan mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, pembonceng, Wan Mohd Aqil Wan Ibrahim, 17 dari Perumahan Kilat, Kampung Gelang, Pekan parah di kepala.

Menurutnya, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika dua sahabat yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah, Pekan dalam perjalanan dari arah Pekan menuju Kuantan.
SH

Penduduk bantah burung walit



BENTONG – Penduduk yang tinggal di Taman Desa Damai dekat sini melahirkan rasa terkilan terhadap pengusaha burung walit yang menjadikan premis perniagaan sebagai tempat penternakan burung itu.

:Lantaran tidak tahan dengan masalah yang membelenggu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka sepakat mengadakan perhimpunan secara aman di perkarangan premis perniagaan dekat sini, pagi semalam.

Walaupun tidak mempunyai permit, namun polis memberi peluang lebih kurang 10 minit untuk penduduk terbabit berkumpul bersama sepanduk yang dibawa.

Wakil penduduk, Tam Tai San berkata, di kawasan ini terdapat hampir 116 premis perniagaan dan lebih kurang 50 darinya dijadikan tempat penternakan burung walit.

Menurutnya, bilangan premis yang dijadikan tempat pembiakan burung walit semakin hari semakin bertambah dan ia merisaukan penduduk.

“Sebanyak lebih kurang 500 tandatangan penduduk berjaya dikumpulkan dan disertakan memorandum menuntut supaya ia diambil perhatian serta sudah dihantar kepada pihak berwajib,” katanya kepada Sinar Harian.
SH

Padah akibat betulkan tali bot



PULAU TENGGOL – Tindakan seorang nelayan warga Thailand terjun ke laut untuk membetulkan tali bot yang dipercayai tersangkut pada kipas bertukar tragedi apabila dia dikhuatiri hilang dihanyutkan arus deras.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin itu dipercayai berlaku ketika mangsa bersama beberapa lagi awak-awak bot nelayan pukat tunda milik seorang tauke yang difahamkan dari Kuantan itu sedang melakukan kerja menangkap ikan di lokasi kira-kira 16 batu nautika dari Timur Merchang atau 16 batu nautika dari tenggara Pulau Kapas.

Sebaik menyedari tali bahagian belakang bot pukat tunda terbabit tersangkut pada kipasnya, tauke bot itu dikatakan bertindak menghubungi rakannya untuk meminta bantuan, namun masalah sistem komunikasi menyebabkan ia gagal dilakukan.

Pada masa sama, mangsa dipercayai terjun ke bahagian belakang bot terbabit untuk membaiki kipas itu yang dikatakan tersangkut pada tali sebelum didapati hilang dibawa arus deras.

Seorang daripada rakan mangsa yang juga awak-awak bot itu cuba menyelamatkan mangsa, namun turut dihanyutkan arus deras sebelum sempat berpaut pada pelampung yang dilemparkan oleh rakannya dari bot terbabit.

Rakannya itu bagaimanapun berjaya diselamatkan setelah dihanyutkan arus hampir tiga kilometer dari lokasi botnya berlabuh.

Beberapa jam kemudian, sebuah bot pukat tunda lain tiba untuk memberi bantuan lalu pemilik bot itu menghala ke daratan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Mangsa, warga Thailand dikenal sebagai Ak Sok sehingga pagi semalam dipercayai masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian terbabit dan kes ini disiasat polis Marang berikutan lokasinya difahamkan berdekatan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
SH

Mohd Faizal dihukum gantung

KUALA TERENGGANU- Gara-gara tidak berpuas hati dengan gaji yang diterima, seorang pemuda sanggup bertindak mengikut hasutan syaitan dengan membunuh bekas majikannya yang juga seorang pengusaha sangkar ikan di Marang.

Kejadian yang berlaku pada 30 November 2007, kira-kira jam 1.30 pagi hingga 1.53 pagi itu, tertuduh, Mohd Faizal Juhari, 24, dari Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang seolah-olah hilang pegangan agama sehingga sanggup membunuh mangsa, Tan Hai Peng dengan tidak berperikemanusiaan.

Leher mangsa dikelar dengan pisau pemotong sayur beberapa kali sehingga putus, manakala kepala mangsa dihentam dengan menggunakan serampang menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat keja-dian iaitu di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Gong Beris, Marang.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan tertuduh terbalas apabila dia dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Hakim, Datuk Abd Rahim Uda membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Dalam penghakimannya, Abd Rahim berkata, keterangan yang diberikan tertuduh tidak konsisten apabila hanya me-ngingati perkara sebelum dan selepas kejadian sahaja, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada tertuduh sememangnya tidak mengingati kejadian itu ataupun sengaja bertindak sedemi-kian memandangkan kecederaan berlaku di peringkat berkenaan.

Beliau berkata, tertuduh juga dilihat sengaja mencari masalah kerana datang ke rumah mangsa pada waktu malam sedangkan mangsa membayar gaji tertuduh pada petang sebelum kejadian.

“Walaupun pihak pembelaan dalam pembelaannya mendakwa tertuduh di provokasi mangsa, tidak sewajarnya tertuduh melakukan sesuatu sehingga mendatangkan kecederaan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Ooi Chooi Gaik berkata, tertuduh sememangnya berniat untuk membunuh mangsa berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa terutama di bahagian kepala dan leher dan tiada sebab untuk mahkamah meringankan hukuman tertuduh.

“Malah, berdasarkan keterangan tertuduh, tertuduh mempunyai peluang untuk melarikan diri ketika mangsa sedang bercakap telefon,” katanya.

Peguam bela tertuduh, Abdul Aziz Muda dalam pembelaannya memohon mahkamah supaya tertuduh dijatuhkan huku-man penjara maksimum selama 30 tahun mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertudu-han, tertuduh dituduh melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas mangsa, Tan Hai Peng, di sebuah rumah tidak bernombor di kampung Gong Beris, Marang pada 30 November 2007 antara jam 1.30 pagi hingga 1.53 pagi.

Dengan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.SH

Guru kena pukul



PASIR MAS – Seorang guru sekolah rendah, kesal apabila tindakannya, menegur seorang murid agar berdisiplin di hadapan perhimpunan Khamis minggu lalu, disalah erti sehingga menyebabkan dia dipukul seorang lelaki dalam lingkungan umur 50-an, jam 7.20 pagi, semalam.

Bukan itu sahaja, mangsa yang juga guru, Azidi Abdullah, 44, cedera di muka setelah dipukul dua kali sejurus sebelum sesi persekolahan bermula.

Azidi berkata, dia juga ternampak seorang wanita yang dipercayai isteri lelaki berkenaan sedang memegang senjata yang dibalut dengan tuala, berkemungkinan parang.

“Keadaan mereka seolah-olah menunggu saya untuk bertindak, namun saya sempat menenangkan mereka dan bertanya mengenai sebab mereka bertindak sedemikian, namun apa yang saya dengar, hanyalah maki-hamun dan ugutan daripada kedua-dua pihak.

“Hal ini berlaku apabila anak mereka, murid tahun empat di sekolah ini, cedera di bahagian kepala sehingga berdarah, akibat terjatuh di dalam kelasnya pada hari Rabu.

“Sedangkan saya menegur anaknya agar berdisiplin adalah hari Khamis, maka kecederaan pada kepala anaknya jelas bukan akibat daripada tindakan saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, atas nasihat guru besar dan pentadbir sekolah, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas pada jam 10.15 pagi bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

“Saya berharap agar mereka sedar akan tindakan mereka yang bukan hanya mengakibatkan kecederaan kepada saya malah menjadi satu contoh yang buruk kepada generasi muda,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
SH

Dihumban ke dalam gaung

S

KUALA TERENGGANU - Gara-gara meminta kerjasama sekumpulan ‘mat motor’ mengalihkan motosikal untuk memberi laluan kepada lori dipandu, seorang pemandu lori menerima padah selepas dibelasah dan dicampakkan ke dalam gaung dalam satu kejadian di Kampung Seberang Marang, Marang, awal pagi kelmarin.

Akibat kejadian tragis itu, mangsa, Zulkifli Sulung, 45, dari Shah Alam cedera parah di muka, pendarahan di mata kiri serta lebam di badan kesan dipukul dengan topi keledar dan cota oleh kumpulan ‘mat motor’ lebih 10 orang itu.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 4.45 pagi ketika dia bersama seorang rakannya membawa muatan barangan untuk dihantar ke kedai serbaneka 24 jam di situ.

“Sebaik tiba di lokasi terbabit, kumpulan ‘mat motor’ itu sedang melepak dan disebabkan lori saya sukar melalui laluan sempit itu, saya meminta kerjasama mereka mengalihkan motosikal diparkir. Namun, permintaan saya tidak diendahkan,” katanya.

Zulkifli berkata, disebabkan kumpulan ‘mat motor’ terbabit enggan memberi kerjasama, dia mengalihkan sendiri motosikal itu.

“Namun, sejurus saya mengalihkan motor itu, pemiliknya memberontak dan memaki hamun saya. Dalam masa sama, dia menghubungi rakannya dan beberapa minit kemudian, sebuah kereta tiba lalu menyerang saya.

“Mereka menutup muka saya dengan kain dan saya dibelasah teruk walaupun merayu meminta maaf,” katanya.

Menurutnya, selepas dibelasah, kumpulan itu membawanya masuk ke dalam kereta dan diletakkan di tempat letak kaki dan dipijak.

“Ketika itu, saya hanya ingat mati. Saya tidak berdaya melawan kerana mereka terlalu ramai sedangkan saya seorang. Manakala rakan saya tidak boleh berbuat apa-apa � kerana takut,” katanya.

Zulkifli berkata, dia dibawa ke kawasan perindustrian Bukit Koh, Marang dan dia dicampakkan ke dalam gaung.

“Sebelum dicampak, mereka sempat membelasah dan merampas telefon bimbit serta beg duit saya,” katanya.

Zulkifli berkata, dia terpaksa merangkak dalam kesakitan sejauh kira-kira satu kilometer untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
H

Koperal dipenjara 14 hari, denda RM10,000 kerana minta rasuah

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat Koperal dipenjara 14 hari serta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan meminta suapan daripada seorang penunggang motosikal tiga tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li yang menjatuhkan hukuman di dalam kamar turut memerintahkan penjara tambahan sebulan terhadap Nordin Muhamad Nor, 47, jika dia gagal membayar denda.

Nordin yang bertugas di Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dituduh meminta RM180 daripada Khoo Shu Shan di bulatan Teluk Wanjah pada 1 Nov 2008.

Wang itu adalah sebagai dorongan supaya Khoo tidak disaman kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan yang tamat tempoh.

Nordin yang diwakili peguam Saw Hoe Teik dituduh mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Iznina Hanim Hashim.- BernamaSH

Taleban akui kerah wanita lakukan bom nekad

Wanita dan suami antara lima militan mati dalam serangan ke atas balai polis di Pakistan
DERA ISMAIL KHAN (Pakistan): Kumpulan Taleban di Pakistan mengesahkan buat julung-julung kalinya semalam bahawa seorang pengebom nekad wanita telah dikerah menyerang sebuah balai polis di barat laut negara itu kelmarin.

Sekurang-kurangnya 10 pegawai polis terkorban dalam serangan tersebut.

Pengebom wanita itu menyertai sekumpulan 12 militan, ada daripada mereka memakai burka, menyerang balai polis Kolachi dekat sempadan daerah Waziristan Selatan.

Menteri Perhubungan bagi wilayah Khyber Pakhtunkhwa Pakistan, Encik Mian Iftikhar Hussain, berkata bahawa para penyerang tersebut bertujuan menyelamatkan beberapa anggota militan yang ditahan di balai polis itu.

Sekitar 17 pegawai polis dilaporkan sedang bertugas apabila serangan itu berlaku dan mereka ditawan apabila anggota militan itu kehabisan peluru.

'Para penyerang bersedia mengambil tawanan dan dikepung beberapa hari,' kata Encik Hussain.

Namun, sebaik sahaja pasukan keselamatan cuba menyerbu masuk ke dalam balai polis itu, dua daripada pengebom nekad tersebut meletupkan diri mereka.

Menurut Ketua Polis Imtiaz Shah, pertempuran itu mengorbankan tiga lagi anggota militan.

Jurucakap Taleban di Pakistan, Ahsanullah Ahsan, berkata dua pengebom nekad itu adalah pasangan suami isteri.

Menurutnya, pengerahan pengebom nekad wanita itu menunjukkan betapa kumpulan tersebut membenci pasukan keselamatan Pakistan.

'Kami telah menghantar seorang pengebom nekad lelaki dan seorang pengebom nekad wanita untuk menyertai serangan itu kerana ingin membebaskan rakyat kami daripada diperhambakan oleh Amerika Syarikat,' kata Ahsan.

Ini kali pertama kumpulan Taleban di Pakistan mengesahkan bahawa ia telah mengerahkan pengebom nekad wanita.

Menurut Ahsan, serangan itu adalah yang terbaru bagi membalas dendam ke atas tindakan Amerika membunuh pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, ketika dia bersembunyi di Pakistan bulan lalu.

Pada 2 Mei lalu, pasukan elit Amerika melancarkan serbuan ke atas kediaman Osama di bandar Abbottabad, dekat ibu kota Islamabad, dan membunuhnya tanpa pengetahuan pemerintah Pakistan.

Serangan itu telah mengeruhkan hubungan antara Pakistan dengan Amerika.

Sejak 2007, hampir 4,500 orang telah terkorban di serata Pakistan akibat serangan yang dilancarkan Taleban dan anggota militan lain. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Ratusan rakyat Syria lari ke Turkey lepas diserbu pasukan keselamatan

BEIRUT: Beratus-ratus rakyat Syria telah menyeberangi sempadan Lebanon untuk melarikan diri daripada serbuan pasukan keselamatan pemerintah.

Sebahagian besar daripada mereka tiba di sempadan itu selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di serata Syria Jumaat lalu.

Para aktivis berkata 20 orang, termasuk dua kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun, telah terkorban. Majoriti kematian dilaporkan di kejiranan Barzeh, di ibu kota Damsyik, dan di bandar Al-Kaswa.

Korban jiwa lain berlaku di bandar Homs.

Kelmarin, pasukan keselamatan Syria mengerahkan lebih ramai askarnya di Barzeh, Al-Kaswa, Zabadani dan Bloudan, dan menahan sekitar 150 orang.

Sekitar 1,400 orang dilaporkan terkorban sejak bantahan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad tercetus sekitar tiga bulan lalu.

Menurut para aktivis, askar Syria yang diiringi kereta kebal turut menyerbu sebuah lagi kampung, Al-Najieh, berdekatan sempadan dengan Turkey.

Kemaraan pasukan keselamatan serupa itu menyebabkan penduduk Syria melarikan diri ke negara-negara jiran.

Jumaat lalu, sehingga 1,000 penduduk melarikan diri ke kampung Kneiseh di wilayah Akkar, utara Lebanon.

Sebahagian besar mereka datang dari kampung Al-Quseir, tempat pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan pada hari itu.

Sekurang-kurangnya enam rakyat Syria yang mengalami kecederaan ekoran tembakan merupakan antara pelarian itu.

Mereka kemudian mendapatkan rawatan di hospital Akkar.

Buat masa ini, lebih 11,700 pelarian Syria sudah berada di perkhemahan perlindungan di Turkey.

Sementara itu, pihak berkuasa Syria menggesa para pelarian itu supaya kembali ke tanah air, selepas pasukan keselamatan mengambil alih kawalan di wilayah utara Idlib.

Namun, tawaran itu ditolak kerana mereka khuatir akan ditangkap dan didakwa sebaik sahaja mereka pulang.

'Mereka hanya mahu melihat keluarga yang telah melarikan diri dan datang ke sini,' kata seorang pelarian Syria di Turkey yang curiga mengenai tawaran tersebut. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara

Nenek rentung bersama anak dan cucu dalam kebakaran

KUCHING: Seorang nenek ditemui rentung dalam keadaan mencangkung sambil memeluk cucunya dalam bilik tidur utama selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Taman Heng Guan, Jalan Matang, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku ketika Cik Chin Yok Hui, 42 tahun, sedang tidur dalam bilik bersama Wong Kok Liong, cucu lelaki berusia dua bulan,

Beliau terjaga selepas terasa bahang panas disusuli bau asap sekitar 4.45 pagi.

Selain mereka, turut rentung dalam kejadian itu adalah seorang lagi anak perempuan Cik Chin, Cik Liau Jee Khim, 18 tahun, selepas ketiga-tiga mangsa malang itu gagal membuka jeriji besi bagi menyelamatkan diri berikutan api marak dengan cepat.

Cik Liau ditemui rentung dalam tandas bilik utama banglo itu, dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada api dinyalakan di tempat sembahyang yang diletakkan di ruang tamu rumah tersebut.

Jiran mangsa, Cik Radiah Aznie, 40-an tahun, berkata beliau terdengar bunyi bising dari luar rumah dan menyangka berlaku pergaduhan, namun terkejut apabila diberitahu anak perempuannya ternampak kepulan asap dan api keluar daripada kediaman mangsa.

'Saya terus bergegas keluar kerana mengetahui ada penghuni dalam rumah tersebut dan ketika itu saya nampak api sudah marak di bahagian hadapan rumah berkenaan, diikuti letupan kuat beberapa kali.

'Pada masa yang sama, saya mendengar jeritan seorang wanita meminta tolong. Saya bersama jiran lain menyuruh mereka keluar melalui pintu belakang, namun beberapa minit kemudian, suara jeritan itu terus tenggelam,' katanya.

Api marak dan merebak dengan cepat ke bahagian lain rumah itu.

Pagar kediaman yang berkunci menyukarkan Cik Radiah serta jiran membantu mangsa.

'Kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berdoa semoga penghuni rumah itu dapat menyelamatkan diri. Pada masa yang sama, saya sebelum itu menghubungi bomba bagi meminta bantuan,' katanya.

Menurut Cik Radiah, disebabkan mangsa kurang bergaul dengan jiran lain, orang ramai berada dalam kebingungan kerana tidak mengetahui bilangan penghuni dalam rumah itu.

'Apa yang saya tahu, isteri tuan rumah terbabit baru melahirkan seorang bayi dua bulan lalu, selain sering melihat kehadiran beberapa kanak-kanak lain,' katanya. -- Metro Ahad.

Cyberita Online Luar Negara

Doktor minta suapan cuti sakit diberkas


SETIAP hari selepas keluar rumah untuk ke tempat kerja, Yunus (bukan nama sebenar) akan memandang ke arah sebuah rumah tiga tingkat yang telah diubahsuai dengan rekaan terkini milik rakan baiknya, Amri.

Persahabatan yang bermula sejak bersama-sama mengikuti pengajian dalam bidang perubatan semakin erat setelah kedua-duanya membeli kediaman di kawasan yang sama.

Bagaimanapun, Yunus yang bekerja sebagai pegawai perubatan di jabatan kerajaan hanya memperoleh gaji bulanan sekadar mencukupi untuk menyara hidup isteri dan empat anaknya.

Dengan gaji sebanyak itu, Yunus tidak mampu mengubah suai kediaman yang didiami sejak 15 tahun lalu atau menukar kereta kepada yang lebih selesa untuk keluarganya.

Perasaan cemburu mula singgah di hatinya tatkala melihat Amri menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada isterinya sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka.

Pada satu hari, Amri menghubungi Yunus menawarkan jawatan doktor sambilan di sebuah klinik yang baru dibuka di kawasan berhampiran kediaman mereka.

Dengan hati yang gembira, Yunus menerima tawaran itu dan bercita-cita untuk mendapat sebuah kediaman impian dan mewah seperti rakannya itu.

Hampir setiap hari Yunus meninggalkan hospital satu atau dua jam lebih awal untuk bekerja lebih awal di klinik Amri.

Setiap hari pula, ramai pesakit yang datang mendapatkan rawatan malah ada yang hanya datang mengambil cuti sakit sahaja.

Yunus telah mengenakan bayaran yang tinggi sehingga RM50 bagi sehari cuti sakit sehingga pada satu hari, kegiatannya berjaya dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Impian Yunus untuk membina sebuah kediaman impian musnah selepas ditahan SPRM di klinik berkenaan atas aduan dia meninggalkan tugas untuk melakukan pekerjaan lain dalam masa yang sama dan melanggar etika perubatan kerana meminta suapan bagi mengeluarkan cuti sakit tanpa pemeriksaan.

Kes Yunus dirujuk kepada Lembaga Tatatertib dan akhirnya dibuang kerja. Kejadian yang menimpa Yunus ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengambil rasuah ketika bertugas.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pemuda ke tali gantung


KUALA TERENGGANU 26 Jun - Seorang pemuda yang membunuh bekas majikannya, seorang pengusaha ikan dalam sangkar empat tahun lalu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Mohd. Faizal Juhari, 24, dari Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang kelihatan gelisah ketika keputusan dibacakan oleh Hakim Datuk Abd. Rahim Uda dan menitiskan air mata apabila ibunya mendekati dan menciumnya ketika dibawa keluar.

Tertuduh yang merupakan bekas pekerja di sebuah pusat penternakan di Marang disabitkan dengan tuduhan membunuh Tan Hai Peng, 59, di sebuah rumah di Kampung Gong Beris antara pukul 1.30 pagi hingga 1.53 pagi pada 30 November 2007.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Tegur bersiul: Dua cedera ditikam


ALOR GAJAH 26 Jun - Dua beradik cedera termasuk seorang parah akibat ditikam dalam satu pergaduhan berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas menegur seorang penduduk yang bersiul di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Dalam insiden pukul 9.30 pagi itu, mangsa yang parah akibat ditikam ialah Mohd. Rizu Suboh, 31, manakala abangnya, Nizam, 43, cedera ringan di tangan. Ketua Polis daerah, Supritendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, kejadian bermula apabila salah seorang mangsa menegur suspek bersiul ketika berjalan kaki ke kedai di kampung itu.

Tambahnya, suspek berusia 29 tahun yang tidak dapat menerima teguran itu memarahi mangsa sehingga berlaku perang mulut.

"Suspek pulang sebelum mangsa datang ke rumah bersama adik dan abangnya menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergelutan di antara mereka.

"Suspek yang tinggal di rumah itu bersama ibunya masuk ke dalam rumah dan mengambil pisau lalu menikam salah seorang mangsa di rusuk dan seorang lagi cedera di tangan akibat pergelutan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pencerobohan tanah didalangi sindiket


IPOH 26 Jun - Pejabat Tanah dan Galian Perak berjaya membongkar aktiviti pencerobohan tanah pertanian milik kerajaan seluas lebih 400 hektar di Sungai Tumboh, Seri Iskandar yang didalangi sindiket berprofil tinggi.

Pengarahnya, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris berkata, pencerobohan terbesar yang pernah dikesan setakat ini itu diketuai seorang lelaki dari Teluk Intan bersama empat individu lain yang bertindak sebagai pembiaya aktiviti haram tersebut.

Menurut beliau, sindiket itu telah memalsukan lesen pendudukan sementara (TOL) dan seterusnya memajakkan tanah tersebut kepada 338 pengusaha dari luar Seri Iskandar untuk tempoh tiga tahun dengan jumlah sewaan berjumlah RM135,000.

"Dengan pemalsuan itu, lelaki tersebut dan kumpulannya telah melanggar peruntukan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

"Untuk mengaburi mata kerajaan, sindiket ini telah menggunakan nama peserta yang didakwa orang tempatan sebagai menyokong permohonan tanah untuk dibangunkan. Kes ini sedang disiasat sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, sindiket itu telah mengemukakan permohonan tanah tersebut kepada Pejabat Tanah Seri Iskandar pada September 2010 tetapi ditolak oleh Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah (JPTD) pada Februari lalu.

"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tanah itu telah pun diceroboh sebelum permohonan dibuat.

"Sebelum itu, sindiket tersebut juga telah membersihkan hutan dan mengeluarkan hasil balak bernilai jutaan ringgit tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri," katanya.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Gadis dirogol lelaki baru dikenali

MELAKA 26 Jun - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang gadis berusia 17 tahun bukan sahaja hidup sebatang kara akibat dibuang keluarga, malah turut menjadi mangsa seksual seorang lelaki yang baru dikenali.

Peristiwa hitam itu bermula apabila suspek membawa mangsa ke sebuah rumah di Taman Asian Selatan, Jasin, lalu mengurungnya selama seminggu bermula 19 Jun lalu untuk dijadikan pemuas nafsu.

Jurucakap polis memberitahu, sepanjang tempoh itu, mangsa dikatakan bukan sahaja dirogol malah turut dipukul sehingga cedera.

"Mangsa akhirnya dibebaskan semalam sebelum dia membuat laporan polis hari ini. Bertindak berdasarkan maklumat laporan, polis menahan suspek hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kini dilaporkan sedang dirawat di sebuah hospital ekoran daripada kecederaan yang dialami.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

'Tidak sangka hilang 3 sahabat'


KOTA BHARU 26 Jun - Seorang pelajar tidak sangka hilang tiga sahabat sekali gus beberapa jam selepas mereka menghantarnya pulang ke rumahnya di Kampung Galok, Chetok, Pasir Mas, untuk menziarahi bapanya yang sakit.

Safuan Haqim Othman, 19, berkata, mereka sampai di rumahnya pukul 8.30 malam malah dia sempat menjamu rakan-rakannya makan mi dan rambutan.

"Berkali-kali mereka menyatakan air yang emak saya buat sedap. Kira-kira pukul 10 malam, mereka pun bertolak pulang ke Bachok.

"Namun tidak sangka beberapa jam selepas itu, saya kehilangan mereka pula sekali gus," ujarnya yang berkali-kali meminta maaf kepada arwah rakan-rakannya sejurus mayat dibawa keluar.

Safuan ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini bersama ahli keluarga dan sahabat-handai dari Kampus Ibnu Sina, Kolej Islam Sains Teknologi (KIST), Bachok.

Menurut Safuan, dia mendapat khabar bapanya yang menghidap lelah, sesak nafas lalu mengajak Mohamad Aliff menemaninya untuk pulang tetapi tidak sangka rakan-rakan lain pun hendak ikut sama.

Sementara itu Mohd. Suhaimi Abdullah, 50, berkata, dia menghadiahkan kereta Proton Iswara kepada anaknya, Mohammad Aliff, setelah mendapat lesen dua tahun lalu.

"Hubungan kami sangat rapat kerana Aliff anak kedua daripada empat beradik dan anak lelaki tunggal dalam keluarga.

"Pada petang kejadian dia sempat pulang ke rumah kami di Tanah Merah kira-kira pukul 4 petang. Ibunya sempat memasak dan kami makan bersama-sama dan dia pulang ke asrama pukul 6.30 petang," katanya.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Anggota TLDM, kanak-kanak 2 tahun terbunuh



ANGGOTA pasukan penyelamat memeriksa mayat mangsa kemalangan membabitkan MPV di Kilometer 240.3, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Tol Pedas Linggi arah Utara, semalam.


REMBAU 26 Jun - Dua termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Kilometer 240.3, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Tol Pedas-Linggi, arah utara dekat sini, hari ini.

Turut terbunuh bersama Ramlan Pilus, 29, ialah seorang anak perempuan rakannya, Nurul Emi Najwa, 2.

Kejadian pukul 2.45 petang itu berlaku ketika Ramlan dikatakan menumpang MPV Perodua Alza rakannya, Mohd. Latip Ismail, 33, yang juga anggota TLDM bersama isterinya, Rosilawati Majid, 33, dan dua anaknya, Mohd. Isdaniel, 5, dan Nurul.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke Lumut, Perak, selepas kedua-duanya selesai menyertai kejohanan hoki di Melaka.

Jurucakap polis berkata, MPV itu terbabas ke tepi lebuh raya sebelum terbalik dan terseret sejauh 70 meter sehingga terhumban ke dalam longkang berhampiran.

"Kemalangan yang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara itu gagal dikawal kerana dipercayai dipandu laju menyebabkannya terbabas.

"Dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi penumpang cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.

"Polis menyiasat punca kemalangan dan kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke HTJ untuk bedah siasat sebelum diserah kepada ahli keluarga," katanya.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Tiga pelajar KIST maut nahas



AZMAH Yusoff (dua dari kanan) yang terlalu sedih melihat jenazah anaknya, Mohammad Aliff Mohd. Suhaimi, ditenteramkan oleh anggota keluarganya di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 26 Jun - Tiga pelajar Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) kampus Bachok terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori ais di Kilometer 15, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, di sini malam semalam.

Mereka ialah Shaiful Jawahir Razali, Mohammad Aliff Mohd. Suhaimi dan Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md. Saud yang kesemuanya berusia 19 tahun.

Shaiful Jawahir dan Aliff berasal dari Tanah Merah manakala Sheikh Muhammad Farhan dari Georgetown, Pulau Pinang.

Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Aznil Afnan Ariffin, 19, dari Pengkalan Chepa, cedera parah.

Turut parah pemandu lori, Zamri Hussien, 29, dan kelindannya yang belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, siasatan mendapati dalam nahas kira-kira pukul 11 malam itu, kereta Proton Iswara yang dipandu Shaiful dipercayai memotong beberapa kenderaan lain.

"Kereta itu bertembung dengan sebuah lori dari arah depan, mengakibatkan tiga maut selepas tersepit di dalam kereta yang remuk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zamri dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Muhammad Aznil pula di ICU Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian manakala kelindan lori berkenaan di Hospital Pasir Mas.

Ketua Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Mohd. Nasir Mamat berkata, pasukannya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

"Ketika sampai di tempat kejadian, saya dapati ada lima mangsa tersepit termasuk empat di dalam kereta dan seorang pemandu lori," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat pemotong.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Polis tahan lelaki rogol anak saudara

SANDAKAN 26 Jun - Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas didakwa merogol anak saudaranya berusia 18 tahun di sebuah rumah penginapan di bandar ini, awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, dalam kejadian 6 Jun lalu, mangsa yang tinggal di Batu 7, dekat sini dibawa suspek yang berusia 28 tahun ke bandar untuk berjalan-jalan.

Katanya, selepas makan di sebuah kedai, suspek membawa mangsa ke sebuah penginapan sebelum merogol mangsa.

Menurutnya, beberapa hari selepas itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Duchess Of Kent, dekat sini untuk pemeriksaan.

"Selepas menerima pengaduan mangsa, polis menahan suspek di sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

Dua maut di lampu isyarat


MELAKA 26 Jun - Dua lelaki maut dalam dua kemalangan berasingan di persimpangan lampu isyarat masing-masing di Jalan Eye On Malaysia dan Limbongan Indah, di sini, awal pagi ini.

Kemalangan pertama berlaku kira-kira pukul 3 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Eye On Malaysia melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta Proton Gen 2.

Kejadian berlaku apabila kereta itu berlanggar dengan dua motosikal terbabit yang datang dari Klebang ke Tengkera, sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tiang lampu di tengah jalan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, mangsa, Muhammad Zahiruddin Anuar, 22, yang duduk di tempat duduk penumpang di hadapan maut ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.

Tambahnya, penunggang salah sebuah motosikal itu patah tangan kiri dan dirawat di hospital sama.

"Siasatan awal mendapati, kereta tersebut datang dari arah Limbongan ke Melaka Raya manakala motosikal itu datang dari arah hadapan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam nahas kedua yang berlaku kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan pertama, kata Gunasegaran, seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika memasuki simpang ke sebuah restoran di lampu isyarat Limbongan Indah pada pukul 3.45 pagi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta tersebut yang datang dari arah Melaka Raya ke Klebang merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah Klebang dan ingin memasuki simpang ke sebuah restoran," katanya.

Tambahnya, penunggang motosikal terbabit, Muhammad Shahiq Ehsam, 17, berasal dari Paya Ikan di sini meninggal dunia di tempat kejadian.Utusan Malaysia Online - Selatan

5 kilang, 4 rumah terbakar


KUALA LUMPUR 26 Jun - Sebanyak lima buah premis industri ringan dan empat buah rumah berhampiran Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) Segambut, Sri Segambut, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.56 pagi dan lapan buah jentera bomba dengan 50 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Bomba berjaya mengawal api pada pukul 3.09 pagi dan tiada pekerja di premis industri ringan manakala penghuni rumah menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, jentera terlibat memadamkan kebakaran terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Sentul, Pusat, Hartamas dan Gombak Selatan.Utusan Malaysia Online - Kota

Setengah juta kanak-kanak diancam cirit-birit

COTABATO: Kira-kira setengah juta kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir di selatan Filipina berdepan dengan cirit-birit serta pneumonia.

Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di negara itu, Vanessa Tobin berkata, kira-kira 450,000 kanak-kanak adalah antara ratusan ribu orang yang terjejas akibat banjir di lebih 24 bandar di Mindanao sejak dua minggu lalu.


Banjir itu berpunca daripada limpahan air Rio Grande, sungai kedua terpanjang di Filipina selepas keladi bunting menyekat sebahagian besar sungai itu, menghalangnya mengalir ke laut.

Pihak berkuasa berkata, beberapa kawasan rendah masih ditenggelami air dan Vanessa berkata, ia meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan kanak-kanak dijangkiti penyakit serta cirit-birit dan pneumonia.


“Kami berusaha menghalang kematian dan penyakit dengan bekerjasama dengan kerajaan dan agensi lain,” katanya.


Ratusan tentera dikerah membantu memusnahkan keladi bunting yang melitupi kawasan seluas 25 hektar sungai berkenaan.

Presiden Benigno Aquino yang memeriksa operasi berkenaan minggu lalu, mengerahkan pengagihan bantuan secara besar-besaran kepada penduduk terlibat. — Agensi

myMetro | Setengah juta kanak-kanak diancam cirit-birit

Sega diserang penggodam

TOKYO: Penggodam mencuri butiran peribadi kira-kira 1.29 juta pelanggan pengeluar permainan video Jepun, Sega, kata syarikat itu semalam.

Firma Jepun itu berkata, kecurian berkenaan berlaku di laman sesawang Sega Europe yang berpangkalan di Eropah.


Bagaimanapun, kenyataan Sega menyebut, data yang dicuri itu tidak mengandungi butiran kad kredit, sebaliknya mengenai nama, tarikh lahir, alamat e-mel dan kata laluan pelanggan.

“Kami meminta maaf atas segala masalah yang dialami pelanggan ekoran insiden ini,” kata kenyataan berkenaan.


Maklumat itu, kata Sega, digunakan syarikat terbabit untuk menyalurkan pengumuman maklumat produk baru kepada pelanggannya.


Selepas kecurian itu, perkhidmatan berkenaan terus digantung.

“Siasatan kini dijalankan untuk mencari punca dan saluran digunakan dalam kecurian berkenaan, ” katanya.

Menurut Sega, tiada laman sesawang Sega lain diserang, Sementara itu, Sega berjanji untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan rangkaiannya dan menyiarkan maklumat mengenai kecurian berkenaan apabila tiba masanya.

April lalu, penggodam turut menyerang laman sesawang syarikat elektronik dan hiburan gergasi Sony sehingga memaksa mereka menggantung perkhidmatan dalam talian selama beberapa minggu.


Sejumlah data peribadi daripada 100 juta dalam akaun Sony diceroboh, menjadikan ia satu daripada kebocoran data terbesar sejak ia menggunakan Internet.


Sony juga mengalami serangan penggodam pada laman sesawangnya di Greece, Thailand dan Indonesia.


Turut menjadi mangsa, laman sesawang syarikat pengeluar telefon bimbit Kanada, Sony Ericsson. Bulan ini, sekumpulan penggodam menamakan diri mereka Lulz Security mengaku bertanggungjawab menyerang Sony Computer Entertainment Developer Network dan mencuri maklumat teknikal firma itu. Baru-baru ini juga penggodam turut menyerang laman sesawang kerajaan Malaysia selain milik syarikat Nintendo, Citigroup dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). - AFP

myMetro | Sega diserang penggodam

Jaja diri di kaki lima

KUALA LUMPUR: “Mari happy...happy”. Itulah antara dialog popular yang digunakan ‘amoi’ warga China untuk memikat lelaki yang inginkan belaian manja di Wisma Indah, Jalan Cochrane, di sini.

Bermodalkan pakaian seksi dan mengghairahkan, pelacur asing itu akan berkeliaran di kawasan kaki lima bangunan berkenaan bertujuan memikat pelanggan tanpa rasa bimbang ditahan pihak berkuasa.


Harian Metro yang melakukan tinjauan mendapati, pelacur asing berkenaan mula menjalankan kegiatan tidak bermoral itu seawal jam 11 pagi dan mula rancak sekitar jam 9 malam.

Pelacur asing berkenaan bergerak dalam kumpulan kecil antara dua hingga tiga orang bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti sumbang itu. Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Faisal, 25, berkata kawasan kaki lima kedai di bangunan berkenaan dijadikan “port” pelacur asing untuk memikat pelanggan yang berhajat untuk mendapatkan khidmat seks dengan harga yang murah.


“Pelacur asing terbabit kebiasaannya menggunakan telefon bimbit untuk menjalankan sesi tawar-menawar berikutan kebanyakan daripada mereka tidak fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris. “Kebiasaannya harga yang ditawarkan bermula RM50 hingga RM100, tetapi harga berkenaan boleh dikurangkan mengikut kebijaksanaan pelanggan membuat tawar- menawar dengan pelacur terbabit,” katanya.


Katanya, sebaik harga yang ditawarkan dipersetujui kedua-dua pihak, pelanggan akan dibawa ke rumah di tingkat atas Wisma Indah dipercayai disewa pelacur terbabit.

“Kebanyakan mereka menjalankan aktiviti tidak bermoral ini dalam kumpulan kecil dua hingga tiga orang kerana memudahkan mereka melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa sukar memberkas mereka ketika serbuan kerana kebanyakan mereka menyewa rumah di bangunan lima tingkat itu bertindak melarikan diri ke rumah masing-masing dan hanya keluar sebaik mengetahui operasi sudah berakhir,” katanya.

Seorang pelajar kolej yang mahu dikenali sebagai Fendi, 23, berkata pelacur asing sekitar Wisma Indah bukan saja menjadi pilihan lelaki warga tempatan, malah menjadi pilihan kebanyakan pekerja warga asing untuk melempias nafsu.


Katanya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada usia 20-an hingga 60-an tanpa mengira bangsa datang seorang diri akan dihampiri pelacur berkenaan untuk menjalankan sesi tawar-menawar.


“Saya selalu bertemu rakan di kedai makan di wisma berkenaan mendapati, terdapat sesetengah pelacur bertindak berani dengan memegang tangan dan bahu orang ramai yang lalu di kawasan kaki lima bangunan berkenaan untuk memikat seterusnya melanggan mereka.


“Tindakan pelacur berkenaan mengundang rasa tidak selesa terutama kepada ibu bapa yang turut membawa anak-anak untuk menjamu selera di kedai makan berhampiran,” katanya.


Menurut Fendi, kawasan rumah kedai berhadapan wisma berkenaan turut menjadi tumpuan golongan mak nyah untuk mencari pelanggan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada lelaki hidung belang.


Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan dan serbuan lebih kerap terhadap sarang pelacuran berkenaan supaya aktiviti terbabit dapat dibendung.


“Balai polis bergerak perlu diletakkan di hadapan wisma berkenaan selain anggota polis melakukan rondaan berterusan bagi menimbulkan rasa gentar pelacur dan pelanggan dari terus melakukan aktiviti tidak bermoral itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, 33 serbuan sudah dilakukan bagi membendung kegiatan pelacuran di Wisma Indah bermula Januari hingga Jun tahun ini dan berjaya menahan 57 wanita yang dipercayai pelacur.


“Operasi dan rondaan secara berterusan sentiasa dijalankan di sekitar Wisma Indah dan kawasan berhampiran bagi membendung kegiatan pelacuran dari terus berleluasa dan terus mengganggu orang ramai dan peniaga di situ.


“Polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan pelacuran di kawasan itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Cheras,” katanya.

myMetro | Jaja diri di kaki lima

4 samun RM150,000

AMPANG: Seorang lelaki kerugian RM150,000 selepas disamun empat lelaki di kawasan tempat letak kereta di Merdeka Villa, di sini, ketika dia menunggu rakan untuk urusan jual beli barang, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 42 tahun yang berada di dalam kenderaannya bersama dua lagi rakan terkejut apabila tiba-tiba empat lelaki tidak dikenali menghampiri mereka sebelum terus membuka pintu.


Menurut sumber, ketika kejadian mangsa tidak mengunci pintu keretanya menyebabkan empat lelaki terbabit yang memerhati gerak-geri mangsa terus ke situ dan menarik beg galas berisi wang tunai daripadanya.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan dua lelaki yang membuka pintu di sebelahnya cuba merampas kembali beg galas itu.


“Bagaimanapun, suspek yang bengang dengan tindakan mangsa menumbuk badannya beberapa kali menyebabkan mangsa yang kesakitan terpaksa melepaskan beg itu dan suspek terus merampas kembali beg mangsa,” katanya.


Sumber itu berkata, dua lagi suspek pula turut membantu dan mengambil kunci kereta mangsa dan terus melarikan diri menaiki kereta yang ditinggal berhampiran kawasan kejadian.

“Mangsa dan rakannya yang terkejut dengan kejadian tidak disangka itu tidak mampu berbuat apa-apa selepas beg galas dibawa lari.

“Malah, tindakan suspek yang merampas kunci kereta mangsa menyebabkan dia tidak dapat mengejar mereka,” katanya.

Mangsa dan rakannya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan mereka membuat laporan di Balai Polis Ampang.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro | 4 samun RM150,000

5 kilang, 4 rumah terbakar

KUALA LUMPUR: Lima kilang dan empat rumah musnah dalam kebakaran awal pagi di Jinjang, berhampiran stesen Komuter Segambut, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, premis industri ringan itu terbakar sebelum api marak dan merebak ke beberapa rumah berhampiran.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran kilang itu pada jam 1.56 pagi dan sebaik sampai di lokasi kejadian api sedang marak.

“Sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pusat, Jinjang, Sentul, Hartamas dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi dan operasi memadam kebakaran membabitkan 50 anggota dan pegawai.


“Bomba mengalami sedikit kesukaran untuk memadamkan api kerana tekanan air agak rendah di kawasan terbabit, namun kebakarandikawal pada kira-kira jam 3 pagi,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

myMetro | 5 kilang, 4 rumah terbakar

30 minit derita dalam semak

ALOR GAJAH: Seorang gadis menahan kesakitan hampir setengah jam selepas terperosok di dalam semak dan patah tangan serta kaki kanan selepas motosikal terbabas akibat terkejut kerana seekor burung melintas di Taman Seri Naning, Simpang Ampat di sini, sebelum ditemui seorang lelaki yang mendengar rintihannya.

Difahamkan, gadis terbabit, Hadijah Mat Din, 22, dari Rumah Awam Seri Pengkalan ditemui terbaring dalam semak oleh anggota keselamatan, Hamzar Abdullah, 30-an yang kebetulan melalui jalan itu, jam 12 tengah hari, kelmarin, Menurut Hadijah ketika kejadian dia menunggang motosikal Yamaha LC135 untuk ke tempat kerjanya di A’Famosa Resort sebelum terperanjat apabila tiba-tiba seekor burung puchong terbang di hadapannya hingga menyebabkannya hilang kawalan.


“Ketika menuruni bukit di satu selekoh seekor burung terbang betul-betul di hadapan saya sehingga saya terkejut dan terjunam ke dalam semak di sebelah kiri jalan.

“Mujur saya tidak langgar tiang elektrik dan ketika itu saya perasan ada kereta dari arah bertentangan melalui jalan ini dan meneruskan perjalanannya tanpa mempedulikan saya yang patah tangan dan kaki kanan,” katanya.


Hadijah bernasib baik kerana tidak diserang haiwan liar ketika terbaring di tepi parit kecil sebelum dia dibawa ke hospital.


Hamzar berkata, dia menuju ke rumahnya di taman berdekatan dari tempat kerja untuk makan tengah hari apabila terdengar suara aneh dari arah kawasan semak berhampiran lampu isyarat.

Menurut Hamzar, dia cuba mengamati arah suara berkenaan sebelum terpandang motosikal mangsa “Saya cari arah suara perempuan tadi di sekeliling tapi tak berani nak masuk ke dalam semak kerana bimbang berlaku perkara lain..., kita tak tahu mungkin orang nak perangkap saya dan sebagainya.

“Disebabkan berasa tidak sedap hati saya beranikan diri dan menemui seorang gadis terbaring di tepi parit kecil di dalam semak sambil menangis menahan kesakitan dan minta saya membantunya,” katanya.

Katanya, tidak lama kemudian beberapa pengguna jalan raya lain turut berhenti di tepi jalan untuk membantu sebelum seorang anggota polis menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ketika dihubungi berkata selepas menerima maklumat kira-kira jam 12.05 tengah hari sepasukan empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.

myMetro | 30 minit derita dalam semak

Lepas pukul buang ke gaung

MARANG: “Apa yang mereka lakukan terhadap saya tak boleh diterima akal. Saya bukan saja dibelasah, tapi dicampak ke dalam gaung,” kata Zulkifli Sulong, 45, dari Shah Alam, Selangor yang cedera dibelasah sekumpulan lelaki, kelmarin.

Menurutnya, apabila diperlakukan sebegitu dia hanya terbayangkan mati dan bertawakal.


Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, Zulkifli yang bekerja sebagai penghantar barang berdepan situasi cemas apabila dibelasah selepas meminta seorang daripada kumpulan lelaki terbabit mengalihkan motosikal ketika mengundurkan lori 10 tan dipandunya di kedai serbaneka di Seberang Marang.

Akibat kejadian itu, mangsa yang sudah hampir sembilan bulan bekerja di syarikat kedai serbaneka cedera di muka, mata dan lebam di badan selain menerima jahitan di kepala.


Menceritakan kejadian itu, Zulkifli berkata, dia tidak menyangka permintaannya itu menyebabkan dia diperlakukan tanpa belas kasihan apabila dipukul menggunakan topi keledar dan cota kumpulan lelaki terbabit.


“Ketika itu, saya bersama seorang rakan yang bertindak sebagai kelindan baru tiba di kedai serbaneka di Marang dan ingin menurunkan barang.

“Bagaimanapun, ketika mahu mengundurkan lori untuk menurunkan barang, saya neminta sekumpulan 20 lelaki yang berkumpul tidak jauh dari situ mengalihkan motosikal mereka yang diletakkan di hadapan kedai.

“Semua akur dan mengalihkan motosikal masing-masing kecuali seorang lelaki berusia awal 20-an yang enggan berbuat demikian menyebabkan saya turun dan mengalihkannya sendiri.

“Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit naik angin dan menghubungi beberapa rakannya menggunakan telefon bimbit sebelum kereta jenis Proton yang dinaiki tiga lelaki tiba ke lokasi kejadian.


“Malah, ketika saya mengalihkan motosikalnya, dia yang menggunakan telefon bimbit secara tiba-tiba berkata: ‘Aku anak Marang, jangan tunjuk samseng!,” katanya yang ditemui ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.


Menurut Zulkifli, sebaik kereta berkenaan tiba, lelaki terbabit bersama tiga rakannya menutup mukanya dengan kain sebelum memukulnya menggunakan topi keledar. Penderitaan Zulkifli tidak berakhir di situ apabila empat lelaki terbabit menariknya masuk ke dalam kereta sebelum memecut dari situ.


Sepanjang perjalanan 15 minit, mangsa yang diletakkan di tempat letak kaki bahagian tempat duduk belakang berterusan dipukul dan dipijak sebelum kereta itu berhenti di sebuah kawasan perindustrian di Bukit Kor, Marang.


“Saya diheret keluar dari kereta itu sebelum dicampak ke gaung sehingga jatuh tergolek ke dalam paya.


“Sebelum dicampak, mereka sempat mengambil telefon bimbit dan beg duit saya RM300 selain beberapa dokumen termasuk kad minyak.


“Selepas mereka meninggalkan tempat kejadian, saya merangkak hampir satu kilometer untuk meminta tolong sebelum dibantu pengawal keselamatan di sebuah kilang berhampiran,” katanya.


Bagaimanapun, dalam kejadian itu kelindannya tidak diapa-apakan dan membuat laporan mengenai kejadian berkenaan di Balai Polis Jertih, kelmarin.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang dihubungi berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan sedang memburu mereka.

myMetro | Lepas pukul buang ke gaung