
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila kenderaan dinaiki sembilan penumpang itu, yang dipandu bapanya dari arah Bukit Marak menghala ke Padang Tembak, tiba-tiba terbabas akibat sebuah tayar kenderaan terbabit dipercayai meletup ketika melalui jalan berkenaan.
Saksi kejadian, Nik Catinal Johari, 36, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyaksikan siaran langsung perlawanan bola sepak Pra Kelayakan Olimpik, di antara Malaysia menentang Lubnan di televisyen sehingga dikejutkan dengan berita kemalangan berkenaan oleh seorang ahli keluarganya.
“Tanpa berlengah saya terus ke tempat kejadian dan melihat sebuah Pajero terbabas di kawasan semak dan terus menelefon bomba dan ambulans.
“Mujurlah tiada kemalangan jiwa namun saya lihat seorang wanita yang duduk di sisi pemandu cedera di bahu dan kanak-kanak dalam lingkungan tiga tahun turut mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pemandu tidak cedera, manakala penumpang lain hanya mengalami luka-luka kecil di beberapa bahagian badan mereka.
“Saya terkejut melihat seorang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan tiga tahun itu merangkak dari bahagian bawah Pajero tersebut untuk menyelamatkan diri.
“Pihak bomba berusaha mengeluarkan kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan terbabit yang kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk menerima rawatan.
Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bhari Mohd. Noor, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.33 malam.
“Sebuah jentera dengan enam anggota dan tiga anggota sukarela bergegas ke tempat kejadian. Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.