
|
MOHAMAD Khir Toyo ditemani isteri, Zahrah Kechik sewaktu perbicaraan kes beliau di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
|
SHAH ALAM 22 Jun - Selepas sembilan hari perbicaraan dengan 25 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadapi tuduhan rasuah membabitkan pembelian hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta, empat tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed memaklumkan demikian selepas pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pemangku Penguasa Kanan Chang Ching selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.
Abdul Wahab yang juga Timbalan Ketua Unit Pendakwaan (Pentadbiran), Jabatan Peguam Negara turut memberitahu bahawa sebanyak 80 individu daripada senarai saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan.
Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki kemudiannya menetapkan 13 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah di akhir kes pendakwaan.
Terdahulu, Chang Ching memberitahu bahawa hasil siasatan beliau mendapati syarikat Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas) ditubuhkan pada 2004 bagi tujuan membeli dua lot tanah dan sebuah banglo yang kemudiannya dijual kepada Mohamad Khir.
Beliau yang dilantik sebagai pegawai penyiasat pada 24 Julai 2009 berkata, lebih 100 rakaman percakapan diambil daripada saksi-saksi sepanjang kes itu disiasat dengan 13 daripadanya adalah rakaman percakapan Pengarah Ditamas, Datuk Shamsuddin Hayroni.
Katanya, rakaman percakapan Shamsuddin itu turut diambil selepas pertuduhan terhadapnya ditarik balik oleh pihak pendakwaan.
''Pada permulaan, berdasarkan aduan hanya ada seorang suspek. Selepas siasatan dilengkapkan, saya hantar kertas siasatan kepada pihak pendakwaan.
''Selepas itu, pihak pendakwaan putuskan untuk mendakwa Mohamad Khir manakala Shamsuddin dituduh atas kesalahan bersubahat,'' jelas beliau.
Menurut saksi, sebanyak enam laporan penilaian yang dibuat antara tahun 2005 dan 2009 terhadap dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini turut disiasat oleh pasukannya.
Katanya, kesemua laporan yang dibuat atas tujuan kelulusan pinjaman bank, duti setem, urusan jual beli dan siasatan SPRM itu menunjukkan taksiran harga antara RM3.5 juta dan RM5.5 juta.
Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.
Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 pada 29 Mei 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Shamsuddin yang didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir bagaimanapun dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah pada 6 Jun lalu selepas pihak pendakwaan menarik balik tuduhan itu.
Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud, Mohd. Dusuki Mokhtar dan Choo Hueay Ting.
Sementara Mohamad Khir diwakili barisan peguam bela terdiri daripada M. Athimulan, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Kamarul Hisham Kamarudin dan Adzly Manas.