Search This Blog

Wednesday, June 22, 2011

Nyaris maut gerai dirempuh kereta

Orang ramai melihat gerai jualan tembikai Mohd. Hasli Rashdi yang dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Jelor, Pasir Puteh, kelmarin.
Orang ramai melihat gerai jualan tembikai Mohd. Hasli Rashdi yang dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Jelor, Pasir Puteh, kelmarin.
PASIR PUTEH 21 Jun - Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah yang terjadi terhadap seorang pelajar perempuan, Nor Ain Nadira Mohd. Hasli, 13, yang nyaris maut selepas gerai jualan tembikai bapanya dirempuh sebuah kereta mengakibatkan mangsa terseret sehingga terjatuh ke dalam parit di Jalan Jelor di sini semalam.Dalam kejadian pukul 3.10 petang itu, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Telaga itu pengsan selepas dirempuh kenderaan terbabit.Menceritakan detik-detik cemas itu, Nor Ain memberitahu, ketika kejadian, dia sedang duduk di bawah gerai sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari jalan raya.Katanya, dia kemudian melihat dua buah kereta yang dipandu laju datang dari Tasek Pauh ke Pekan Pasir Puteh."Tiba-tiba salah sebuah kereta terbabas dan merempuh gerai dan sejurus itu saya tidak ingat apa-apa kerana tidak sedarkan diri. Kejadian itu berlaku terlalu pantas," katanya kepada ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.Tambahnya, dia ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap bersama gerai yang roboh di dalam parit berdekatan setelah diseret bersama-sama dua buah motosikal dan kereta terbabit.Nor Ain Nadira memberitahu, dia bersyukur kerana selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan, serta merasa sakit di seluruh badan."Saya tidak sangka umur masih panjang sebab kalau dilihat kepada keadaan kejadian tersebut mungkin ramai yang menyangka saya sudah tiada," katanya.Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Hasli Rashdi, 42, ketika ditemui hari ini berkata, dia terkejut sebaik sahaja dimaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu."Masa kejadian saya dalam perjalanan membeli makan tengah hari dan berpatah balik ke gerai tembikai sebaik sahaja menerima panggilan tentang kejadian yang menimpa Nor Ain."Pada waktu itu saya tinggalkan dia sekejap untuk membeli makan tengah hari, dan belum sampai setengah jam saya dikejutkan dengan kejadian tersebut,'' katanya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

2 bekas pelayan ke tali gantung

RASAH 21 Jun - Kekejaman dua bekas pelayan bar yang menculik seorang pelajar kolej swasta bagi mendapatkan wang tebusan RM100,000 sebelum membunuh mangsa dengan sebilah parang dua tahun lalu dibalas dengan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, hari ini.Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian terhadap Sukhvinder Singh, 28, dan Rashid Abdullah, 61, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.Kedua-dua lelaki terbabit, masing-masing memakai kemeja-T warna putih kelihatan tenang sebaik sahaja keputusan tersebut dijatuhkan oleh mahkamah.Mengikut pertuduhan, Sukhvinder didakwa membunuh Gurumardev Singh Pannu, 23, dengan sebilah parang di Jalan Batu 14, Jalan Sua Betong, Port Dickson dekat sini antara pukul 3.30 pagi dan 7 pagi, 1 Februari 2009.Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori.Sukhvinder bersama Rashid turut didakwa menculik Gurumardev untuk mendapatkan wang tebusan RM100,000 di No. 5, Jalan Anggerik Doritis 31/39, Kota Kemuning Seksyen 31, Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 5.30 petang, 25 Januari 2009.Bagi kesalahan tersebut kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.Kedua-dua tertuduh dihukum gantung sampai mati bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh mereka.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam bela N. Puspanathan dan K. Ashok.Utusan Malaysia pada 5 Mac 2009 melaporkan, mayat mangsa dengan beberapa kesan tetakan di badan ditemui di jalan masuk ke sebuah ladang ternakan burung layang-layang di Sua Betong, Port Dickson.Walaupun sejumlah wang tebusan telah dibayar oleh ahli keluarga mangsa, penculik tetap membunuh lelaki berkenaan.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Dua Peneroka Maut Terbabit Dalam Kemalangan

BERA: Dua peneroka Felda Bera di sini maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pikap di KM45, Jalan Kerayong, Felda Kerayong Mayang, Kumai di sini tengah hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Bera Zahid Mohd Noor berkata Siti Zaitun Yaakob, 37, dari Felda Tementi maut di tempat kejadian manakala pemboncengnya, Izhar Tan, 61, dari Felda Rentam, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Purun akibat cedera parah.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pikap tersebut.

Katanya pemandu pikap, Siow Yan Chai, 59, dari pekan Kerayong di sini tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA

mStar Online : Dua Peneroka Maut Terbabit Dalam Kemalangan

Empat Premis Makanan Di Kuantan Parade Terbakar

KUANTAN: Empat premis makanan di medan selera pusat beli-belah Kuantan Parade di sini mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM450,000 setelah musnah dalam kebakaran pada pukul 10 pagi Rabu.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan Wan Daud Wan Awang berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.10 pagi sebelum dua jentera bersama 20 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata kebakaran itu dipercayai berpunca dari dapur yang tidak ditutup di sebuah kedai makanan barat di medan selera berkenaan.

Katanya kebakaran berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan pasar raya berkenaan masih belum dibuka kepada pengunjung.

Wan Daud berkata sekiranya siasatan mendapati punca kebakaran disebabkan kecuaian pemilik kedai terbabit, tindakan akan diambil berdasarkan perjanjian sewa yang telah dipersetujui mengikut kontrak. - BERNAMA

mStar Online : Empat Premis Makanan Di Kuantan Parade Terbakar

Bekas Pelajar PTPL Ditahan Kerana Hina Gambar Yang di-Pertuan Agong

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang bekas pelajar PTPL Kota Baharu ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kes menghina gambar Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dikeluarkan dalam laman sosial baru-baru ini.

Lelaki berusia 24 tahun yang merupakan seorang penganggur, telah menyerah diri di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 8 malam dua hari lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, polis turut merampas sebuah komputer riba yang dibawa oleh lelaki itu yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

"Siasatan awal polis mendapati dua individu yang disyaki terlibat dan kita masih mencari seorang lagi untuk membantu siasatan kes ini," katanya.

Pada 13 Jun lepas Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu FC membuat laporan polis berhubung kes penghinaan terhadap gambar Yang di-Pertuan Agong dalam sebuah laman sosial dengan mengubahsuai muka Seri Paduka Baginda. - BERNAMA

mStar Online : Bekas Pelajar PTPL Ditahan Kerana Hina Gambar Yang di-Pertuan Agong

Singapura diingatkan jangan ceroboh


KUALA LUMPUR 21 Jun - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Singapura agar tidak sesekali menceroboh kedaulatan negara ini biar apa jua alasan termasuk ruang udara yang terhad.

Menurutnya, Malaysia telah banyak bertoleransi dengan republik itu, namun semangat kejiranan harus menjadi penanda aras terhadap apa jua tindakan yang diambil bagi memastikan tidak wujud rasa sangsi antara kedua-dua negara.

"Kita faham ruang udara Singapura terhad menyebabkan tentera udara mereka sering 'terbabas' ke negara ini.

"Memang kita faham. Tambahan, kita berada dalam ASEAN selain sama-sama menandatangani Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA). Namun ia tidak langsung boleh dijadikan alasan.

"Justeru, bantahan diplomatik dilakukan bagi menunjukkan kita sentiasa memantau pergerakan udara mereka. Ia juga bagi menunjukkan rasa tidak senang dengan perbuatan itu," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Perak Ke-16 di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat mendedahkan sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura dikesan menceroboh ruang udara negara sejak 2008.

Dalam jawapan itu, beliau memberitahu, Malaysia telah mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan tersebut dan setiap pergerakan pesawat tentera udara Singapura yang mencurigakan dipantau menggunakan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Beliau menambah, hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara juga bukan bermakna pencerobohan dilakukan Singapura mendapat keizinan mana-mana pihak.

"Saya akan membawa perkara ini ke tengah pada pertemuan dengan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen nanti. Selain itu, Kementerian Luar juga saya rasa akan memainkan peranan mengadakan perbincangan dengan Singapura," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia tidak 'berhajat' untuk menimbulkan masalah dengan Singapura dan berharap negara jiran itu tiada agenda melakukan sebarang provokasi.

"Kita merasakan negara terbaik adalah negara yang tidak menyebabkan jirannya menaruh prasangka. Kalau memaku dinding, perlu diingat, rumah sebelah turut mendengar bunyi bising.

"Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita bukannya berapa banyak peperangan dimenangi, tetapi berapa banyak peperangan atau konflik dapat dihindari. Ia lebih baik daripada melakukan provokasi atau menggunakan senjata," tegasnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Kaki pecah rumah teres dicekup



GHUZLAN Saleh (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada seorang suspek kes pecah rumah teres pada sidang akhbar di IPD Kulim, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT


KULIM 21 Jun - Penduduk di sekitar Taman Desa Aman, Sungai Karangan dekat sini kini boleh menarik nafas lega apabila kejadian pecah rumah yang menghantui mereka sejak setahun lalu berakhir dengan tertangkapnya seorang lelaki, baru-baru ini.

Suspek berusia 19 tahun ditahan di rumahnya di taman itu pada pukul 1 pagi 12 Jun lalu hasil maklumat salah seorang daripada 25 pemilik rumah yang menjadi mangsanya.

Bersama suspek, polis merampas sejumlah barang kemas, komputer riba, telefon bimbit, kamera, perakam video serta sejumlah syiling yang kesemuanya bernilai kira-kira RM47,000.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek yang bergerak bersendirian itu akan memecah masuk rumah mangsa pada tengah malam atau awal pagi dengan memanjat bumbung sebelum mengumpil kepingan atap.

Selepas itu, katanya, dia akan menggeledah ruang tamu dan bilik tidur tanpa mengejutkan mangsa yang sedang lena sebelum keluar melalui pintu utama dengan menggunakan kunci yang diambil di dalam rumah.

"Suspek mempunyai kepakaran untuk mengumpil atap genting rumah teres sering menjadikan rumah teres lama termasuk kediaman jirannya sebagai sasaran.

"Ini kerana struktur siling teres jenis lama tidak mempunyai penghadang di antara satu rumah dengan rumah lain. Maknanya, suspek hanya masuk ke satu bumbung rumah dan boleh tembus ke rumah lain," katanya.

Ghuzlan berkata, dengan tertangkapnya lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes yang dilaporkan oleh mangsa sebelum ini.

"Suspek mengaku melakukan 25 kes pecah rumah. Namun, berdasarkan barangan yang dirampas, kita percaya mangsa mungkin lebih daripada itu," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah di malam hari.

Beliau menasihatkan orang ramai yang pernah menjadi mangsa pecah rumah sekitar daerah ini agar tampil menuntut barangan mereka dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joharomi Mahmud di talian 04-4906222.

Utusan Malaysia Online - Utara

Tiga beradik tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar



See Kee (kiri) dan Loke Choi Lai sedih melihat rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jirat Cina, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Jun - Nasib tiga beradik lelaki yang tinggal di Kampung Jirat Cina, Jalan Loke Yew di sini, boleh diibaratkan 'sudah jatuh ditimpa tangga'.

Ketika masih dirundung sedih kerana kematian ibu enam bulan lalu, hari ini mereka pula kehilangan tempat berteduh apabila rumah yang didiami sejak puluhan tahun lalu musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, empat keluarga terdiri daripada tiga beradik iaitu See Kee, 47; Sew Kow, 45, dan Sew Soon, 41, serta bapa saudara mereka, Sew Kin Leong tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka yang terletak berdekatan musnah terbakar.

Isteri See Kee, Loke Choi Lai, 45, berkata, keluarganya bersama saudara-mara suaminya yang lain sudah menetap di Kampung Jirat Cina sejak 60 tahun lalu.

"Saya bekerja sebagai tukang cuci biasanya pulang ke rumah pada tengah hari tetapi hairan apabila suami tidak datang menjemput dan terkejut mendapat panggilan telefon daripadanya memaklumkan rumah kami terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kebakaran di sini hari ini.

Choi Lai berkata, kebakaran tersebut menambahkan lagi kesedihan mereka sekeluarga yang baru kematian ibu mertua pada Januari lalu.

Sew Kow pula memberitahu, dia yang baru balik dari pasar membeli sayur dan ikan, terkejut apabila melihat rumahnya terbakar.

"Badan saya menggigil apabila melihat api menjilat rumah menyebabkan semua barang dipegang terjatuh dari tangan," katanya.

Sew Soon yang sudah bercerai dan tinggal bersama tiga anak berusia sembilan hingga 11 tahun berkata, dia bernasib baik kerana ketiga-tiga anaknya bersekolah semasa kejadian.

Utusan Malaysia Online - Kota

SPRM tahan 5 penjawat awam

PULAU PINANG 21 Jun _ Lima penjawat awam daripada beberapa agensi kerajaan termasuk seorang pegawai kanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyelewengan gas memasak bersubsidi di negeri ini.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md. Yatim berkata, turut ditahan tiga orang awam termasuk seorang wanita yang disyaki mendalangi kegiatan menyeleweng barangan bersubsidi itu.

Jelasnya, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an ditahan secara berasingan di pelbagai lokasi sejak 14 Jun lalu sehingga hari ini.

''Pegawai kanan sebuah agensi kerajaan berusia dalam lingkungan 50-an itu kita tahan hari ini di pejabatnya. Kita mengesyaki dia dan empat lagi penjawat awam terlibat telah menerima rasuah daripada sindiket tersebut untuk melindungi aktiviti salah yang mereka lakukan.

''Sementara orang awam tersebut dipercayai telah menawarkan rasuah kepada mereka. Kita jangkakan lebih ramai lagi suspek akan ditahan bagi membantu siasatan kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menjadi panel Bengkel Sistem dan Prosedur Penguatkuasaan Pemerdangan Manusia anjuran SPRM Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurut Latifah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah dan Sekyen 18 akta yang sama kerana memalsukan dokumen serta bersubahat.

''Hasil siasatan kita juga mendapati sindiket berkenaan telah lama beroperasi dan memperoleh keuntungan lumayan hasil jualan gas asli cecair (LPG) subsidi untuk kegunaan domestik kepada industri," ujarnya.

Pada 14 Jun lalu, SPRM Pulau Pinang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya menumpaskan satu sindiket memindahkan secara haram gas asli cecair (LPG) subsidi untuk kegunaan domestik kepada industri dalam dua serbuan di sekitar Sungai Bakap di sini.

Dalam operasi pertama di Kampung Lima Kongsi, mereka merampas sebanyak 573 tong gas memasak bersubisidi bernilai RM36,699 dan dua buah lori bernilai RM100,000.

Dalam operasi kedua di Taman Petitir, sebanyak 10 tong gas dianggarkan bernilai RM760 dirampas.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pengurus kedai emas parah ditetak di leher


KUALA LUMPUR 21 Jun - Seorang pengurus cawangan sebuah kedai emas cedera parah dan terpaksa menerima 16 jahitan di leher setelah ditetak dalam kejadian samun di sebuah pusat beli-belah di Sungai Buloh, Petaling Jaya, dekat sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 12 tengah hari, semasa mangsa dalam perjalanan menghantar stok barang kemas ke cawangan kedai itu di Shah Alam dekat sini.

Sumber berkata, pengurus lelaki berusia 40-an itu ditahan tiga lelaki bersenjatakan parang semasa memandu keluar dari tempat letak kereta di tingkat satu bangunan pusat beli-belah berkenaan.

"Dia yang meletakkan kereta di tingkat tiga sedang memandu keluar apabila kenderaannya tiba-tiba dihalang oleh kereta suspek semasa tiba di tingkat satu.

"Tiga lelaki bersenjatakan parang kemudian meluru ke arah mangsa dan memecahkan cermin kenderaannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak agresif apabila menetak leher mangsa dengan parang sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM50,000 hingga RM60,000.

Sumber berkata, seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di tempat letak kereta berkenaan kemudian terserempak dengan mangsa berlumuran darah dan segera melaporkan kejadian itu kepada polis.

"Mangsa yang semalam belum boleh bercakap kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pegawai SPRM cedera diserang 6 lelaki



Moses Lawrence dirawat di Hospital Serdang akibat diserang di Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Jun – Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cedera selepas diserang enam lelaki yang bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, di sini hari ini.

Ketika kejadian pukul 6.30 pagi itu, pegawai bahagian siasatan forensik suruhanjaya tersebut, Moses Lawrence, 36, ingin keluar rumah untuk ke tempat kerja bersama isteri dan anaknya.

Namun semasa beliau sedang mengunci pintu pagar, enam lelaki muncul lalu menyerangnya mengakibatkan beliau cedera di lengan kiri dan calar di tangan kanan terkena libasan parang.

Mangsa yang berjaya memasuki kereta segera membuat laporan di Balai Polis Serdang sebelum ke Hospital Serdang untuk rawatan kecemasan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

“Saya dimaklumkan pihak berkuasa, motif serangan tersebut masih belum dikenal pasti, sama ada bermotifkan samun atau ugutan.

“Pihak kami berharap suspek dapat dikenal pasti dan diberkas secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas melawat Moses di hospital terbabit hari ini.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Polis tembak mati tiga penjenayah



Anggota-anggota polis mengangkat mayat salah seorang perompak yang ditembak mati di Kampung Pedas Tengah, Rembau, semalam.


SEREMBAN 21 Jun – Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang cuba merompak sebuah rumah di ladang kelapa sawit Yazid Baba 1 di Kampung Pedas Tengah, Rembau, dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.54 pagi, ketiga-tiga penjenayah itu yang berusia lingkungan 20-an ditembak mati menggunakan senapang patah oleh anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di kampung tersebut.

Difahamkan, tiga lagi anggota kumpulan itu sempat melarikan diri dengan salah seorang daripadanya cedera akibat terkena tembakan pihak polis.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, sepasukan anggota polis yang meronda di kawasan ladang kelapa sawit terserempak dengan kumpulan penjenayah itu.

Ketika itu, katanya, kumpulan penjenayah tersebut cuba melarikan diri selepas kehadiran mereka untuk merompak rumah mangsa disedari salah seorang ahli keluarganya.

“Sebaik sahaja terserempak dengan sepasukan anggota polis, penjenayah terbabit bertindak agresif dan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang.

“Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan menggunakan senapang patah untuk mempertahankan diri. Tiga daripada mereka mati setelah terkena tembakan manakala seorang lagi tercedera dan meloloskan diri bersama dua lagi rakannya,” kata beliau pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Osman memberitahu, pihaknya sedang giat memburu ketiga-tiga suspek yang melarikan diri itu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

11 individu didakwa niaga 'Gores dan Menang'


KUALA LUMPUR 21 Jun - Sebanyak 11 individu berusia antara 18 dan 28 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menjalankan perniagaan 'Gores dan Menang' tanpa lesen yang sah daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, dua minggu lalu.

Mereka yang didakwa iaitu Wong Pei Yiew, Wong Sin Hui, Tan Hui Hoon, Goh Glun Ping, Khow Guey Yee, Ting Pang Yiew, Chew Rueen Liu, Low Kian Shen, Leow Willon dan Chew Chun How dihadapkan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.

Mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita mengaku tidak bersalah menjalankan jualan langsung tersebut di bawah jejantas Monorail Imbi, Jalan Imbi di sini pada pukul 3.30 petang, 3 Jun lalu.

Kesemua 10 jurujual tersebut didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara minimum sebulan atau kedua-duanya.

Zaki Asyraf membenarkan tertuduh-tertuduh terbabit yang diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid, masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah berasingan, seorang tukang masak, Tee Siong Kuat mengaku bersalah atas kesalahan sama yang dilakukan di sebelah stesen transit aliran ringan (LRT) Pasar Seni, Jalan Kasturi, Dang Wangi di sini pada pukul 3 petang, 8 Jun lalu.

Majistret Aizatul Akmal Maharani bagaimanapun tidak menetapkan sebarang hukuman terhadap Siong Kuat memandangkan tertuduh masih berusia 18 tahun.

Beliau membenarkan lelaki terbabit yang diwakili peguam Nur Ain Jaafar diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan sosial tertuduh dikemukakan kepada mahkamah pada 28 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias dan Siti Hajar Ahmad.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

2 beranak mengaku tak bersalah ubah wang haram


KOTA TINGGI 21 Jun - Seorang pengarah syarikat jualan langsung dan anak perempuannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 27 tuduhan pengubahan wang haram dan mengambil deposit daripada orang awam secara haram berjumlah lebih RM4 juta.

Shamsudin Mahadi, 47, dan anaknya, Shafila, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Salawati Djambari.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai Pengarah Urusan Dencomm Sales and Services didakwa menerima deposit haram daripada orang awam tanpa lesen yang sah antara Februari 2002 dan April 2010 di A16 dan A17, Kedai Pusat Bandar Penawar, dekat sini.

Shamsudin turut didakwa melakukan aktiviti pengubahan wang haram apabila membayar sebanyak RM660,000 secara berperingkat-peringkat bagi membeli dua buah rumah banglo setingkat di Jalan Impian 2, Simpang Renggam, Kluang antara 2008 dan 2010.

Pertuduhan pertama terhadap dua beranak itu dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka yang berasal dari Tanjung Setajam, Pengerang dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM), Fahmi Abdul Moin dan Alvin Ong serta Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Zaini, manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam bela, George Bernard.

Fahmi mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 tetapi jumlah itu dibantah oleh George memandangkan kedua-dua tertuduh kini tidak bekerja setelah perniagaan dan harta milik mereka dibekukan sejak tahun lalu.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Salawati membenarkan Shamsudin diikat jamin RM30,000 manakala Shafila RM15,000, masing-masing dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.

Salawati juga mengarahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan sehingga kes berkenaan selesai dan jika ingkar perintah ikat jamin itu akan dibatalkan.

Beliau menetapkan sebutan kes pada 21 September ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Hamimah diperintah bela diri, peguam meninggal dunia


KUALA LUMPUR 21 Jun - Selepas lapan tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, individu pertama yang didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 membabitkan transaksi berjumlah RM41.33 juta, Dr. Hamimah Idruss diperintahkan membela diri atas lapan pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Asmadi Hussin turut memerintahkan wanita tersebut untuk membela diri atas 10 pertuduhan bersubahat dengan bekas pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 42, melakukan pemalsuan dokumen membabitkan wang berjumlah AS$12 juta (RM45.6 juta).

Sebelum membuat keputusan tersebut, hakim tersebut menyatakan, kes tersebut telah tertangguh begitu lama malah pihak pembelaan juga gagal memfailkan hujahan di akhir kes pendakwaan walaupun penangguhan telah diberikan sebanyak tiga kali sejak Mac lalu.

"Pihak pendakwaan telah menutup kes pada 7 Februari lalu. Pihak-pihak perlu memfailkan hujah sebelum atau pada 31 Mac tetapi tempoh tersebut dilanjutkan sehingga ke hari ini, dan hanya pendakwaan memfailkan hujahan.

"Sebahagian besar masalah adalah membabitkan kesihatan peguam. Takdir Allah Taala, peguam meninggal dunia,'' katanya.

Hamimah, 62, juga ketika disoal oleh Asmadi sama ada dia boleh berhujah tanpa bantuan peguam, hanya menggelengkan kepalanya.

Peguam, S. Pushpam yang mewakili Hamimah, dimasukkan ke Pusat Perubatan Kinta, Perak sejak 18 April lalu selepas mengalami kekurangan air dalam badan yang melampau dan kepenatan serta beberapa komplikasi lain sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Difahamkan, peguam itu meninggal dunia pada 25 Mei lalu selepas mengalami kegagalan pelbagai organ dalam badan (multiple organ failure).

Oleh yang demikian, mahkamah menetapkan Khamis ini untuk sebutan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam dan penetapan tarikh perbicaraan di peringkat pembelaan.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwa dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno.

Di bawah Seksyen 4(1) AMLA 2001, Hamimah yang merupakan bekas pengarah syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd., (Safire) didakwa atas lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 dan 10 Jun 2003.

Wanita itu turut didakwa atas 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya dengan memalsukan surat perjanjian Safire yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta).

Bagi pertuduhan itu, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama.

Kes itu mula dibicarakan pada 12 Julai 2005 dan seramai 54 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk dua saksi dari Jerman dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Drs. Suleiman Mohamed.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Halang amah ke luar negara

JAKARTA: Parlimen Indonesia menyarankan kerajaan menggantung sementara penghantaran pembantu rumah ke mana-mana negara yang gagal menjaga kebajikan rakyat mereka sehingga keadaan mengizinkan.

Timbalan Speaker Parlimen, Priyo Budi Santoso, berkata larangan itu dikhususkan kepada Arab Saudi dan Malaysia.


“Kita sering mendengar pekerja dari Indonesia tidak mendapat layanan sepatutnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Komen Priyo itu dibuat beberapa hari selepas Arab Saudi melaksanakan hukuman pancung ke atas seorang wanita pembantu rumah warga Indonesia, Ruyati Satubi, 54, yang disabitkan kesalahan membunuh majikannya, seorang wanita, dengan pisau dapur.


Kenyataan itu juga dibuat sebagai reaksi terhadap keputusan kajian dibuat sebuah badan khas dibentuk Parlimen Indonesia yang menyiasat kebajikan tenaga kerja di luar negara.


Membincangkan pelaksanaan hukuman mati ke atas Ruyati, Priyo berkata, kerajaan Indonesia memohon maaf secara terbuka kerana “gagal menyelamatkan” wanita terbabit.

“Penilaian serius oleh beberapa kementerian berkaitan tenaga kerja Indonesia di luar negara perlu dijalankan,” katanya.

Ditanya media apa yang Parlimen dapat lakukan jika kerajaan sekali lagi “gagal” menjaga kebajikan warganya di luar negara, Priyo berkata, belum ada jawapan khusus mengenainya.

“Kita tunggu dan lihat,” katanya. - JP

myMetro | Halang amah ke luar negara

Laman web polis Britain digodam

LONDON: Penggodam semalam memadamkan laman web yang dikendalikan Agensi Jenayah Terancang Serius Britain (SOCA).

Agensi berkenaan terbabit dalam menyiasat jenayah terancang di Britain dan juga seberang laut.


Lulz Security, satu kumpulan gabungan penggodam mengaku melumpuhkan laman web berkenaan.

Seperti kebanyakan penggodaman yang lain, serangan terhadap SOCA membabitkan penggodam Lulz menghantar begitu banyak mesej ke laman web itu hingga ia terpadam.


“Kami sedar mengenai dakwaan laman web SOCA diserang. Gambarannya tidak jelas buat masa ini tetapi kami sudah melakukan siasatan,” kata jurucakap agensi itu, Richard Sellors.


Laman web itu padam seketika semalam tetapi pulih semula.

Pada sebelah petang, SOCA mengambil keputusan untuk memadamkannya.

Sellors berkata, laman web yang terjejas itu hanya untuk maklumat bagi orang awam dan penggodam berkenaan gagal mengakses data rahsia atau maklumat mengenai operasi yang sedang dijalankan.

Lulz sebelum ini menggodam pelayan Internet Senat Amerika Syarikat dan mendakwa bertanggungjawab memadamkan sementara laman web awam CIA.


Dalam mesejnya Ahad lalu, Lulz Security mengisytiharkan perang serta-merta terhadap kerajaan dan syarikat sekuriti. - AP

myMetro | Laman web polis Britain digodam

Premis perniagaan warga China di Itali diserbu

ROME: Polis semalam melancarkan serbuan terhadap 70 premis perniagaan milik warga China di hab industri tekstil di Prato dalam satu operasi antipenipuan.

Aset berjumlah 25 juta euro (RM108 juta) dirampas dalam operasi berkenaan.


Dalam kenyataannya, polis menyifatkan pusat di tengah Itali itu sebagai ‘empangan pengaliran wang dari Itali ke China.’ Ia mendakwa jenayah itu membabitkan pemindahan wang palsu dan pembentukan syarikat palsu.

Polis juga berkata, mereka merampas 396 akaun bank, 183 kenderaan dan 76 hartanah.


Seramai 500 pegawai terbabit dalam operasi berkenaan.


Ketegangan meningkat di Prato antara pihak berkuasa tempatan dan 3,400 peniaga warga China yang terbabit mengeluarkan pakaian untuk jenama antarabangsa, termasuk Zara dan H&M.

Polis berkata, bandar itu menjadi kawasan baru samseng China. Bagaimanapun, pendatang berkata, mereka membantu menghidupkan semula hab industri tekstil Itali yang menghadapi kemerosotan. - AFP

myMetro | Premis perniagaan warga China di Itali diserbu

44 korban nahas udara

MOSCOW: Sebuah pesawat Russia berkecai dan terbakar apabila ia terhempas di lebuh raya tidak jauh dari lapangan terbang, menyebabkan 44 orang terbunuh.

Lapan mangsa yang terselamat dilapor parah dan kini dalam keadaan tenat.


Pesawat RusAir Tu-134 cuba untuk mendarat di destinasinya di Petrozavodsk di wilayah Karelia, utara Russia ketika cuaca buruk tetapi gagal tiba di landasan, sebaliknya terhempas di lebuh raya kira-kira dua kilometer dari lapangan terbang itu.

Kejadian sejurus sebelum tengah malam itu menyebabkan beberapa bahagian pesawat meletup dan mayat penumpang tercampak sehingga beberapa ratus meter.


Beberapa pegawai tempatan berkata, pesawat itu mungkin melanggar talian elektrik ketika menghampiri lapangan terbang, menyebabkan bekalan tenaga ke lapangan terbang terputus dan memadamkan lampu landasan.


“Pesawat itu terhempas dua kilometer dari Petrozavodsk. Empat puluh empat orang terbunuh dan lapan cedera,” kata kenyataan Kementerian Kecemasan.

Mereka yang terselamat termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, Anton Terekhin, kakaknya, Anastasia Terekhina, 14, dari Pulau Sakhalin, Timur Jauh Russia, sementara ibu mereka mati.

Seorang warga Sweden, seorang Belanda dan dua Ukraine adalah antara yang terbunuh di samping satu keluarga empat orang yang memegang dua kerakyatan, Russia dan Amerika Syarikat.

Pesawat itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow, membawa 43 penumpang dan sembilan kakitangan.


Seorang penyelamat memberitahu televisyen Rossiya 1, dia berjaya menyelamatkan empat mangsa sebelum pesawat itu terbakar. - AFP

myMetro | 44 korban nahas udara

Lambaian atas jalan

SAKIT...orang ramai cuba mententeramkan  Mohd Hakimi yang mengalami kecederaan parah sementara gambar bawah keadaan motosikal dinaiki dua beranak itu yang rosak teruk.
SAKIT...orang ramai cuba mententeramkan Mohd Hakimi yang mengalami kecederaan parah sementara gambar bawah keadaan motosikal dinaiki dua beranak itu yang rosak teruk.

ALOR GAJAH: Lambaian serta tangisan pilu seorang pelajar sekolah rendah yang terbaring di atas jalan raya menyentuh perasaan orang ramai selepas motosikal ditunggang ibunya dirempuh sebuah kereta di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, Mohd Hakimi Musazali, 10, bersama ibunya, Roziah Basah, 35, dari Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi cedera parah selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah Produa Kancil dari belakang.


Pada masa sama, sebuah Produa Viva dipandu seorang wanita bersama anaknya dari arah Kuala Sungai Baru terbabas dan terbalik ketika cuba mengelak dua beranak itu yang terbaring di atas jalan.

Difahamkan, motosikal Yamaha Lagenda ditunggang Roziah berada di tengah jalan untuk membelok masuk ke rumahnya sebelum dirempuh dari belakang Perodua Kancil terbabit.


Berikutan rempuhan kuat itu, Roziah terpelanting kira-kira lima meter menyebabkannya cedera parah di kepala, perut dan kaki kiri manakala Mohd Hakimi yang juga pelajar tahun empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) Yok Sin, Kuala Sungai Baru, di sini, pengsan serta cedera di kaki kanan.


Pemandu Perodua Viva itu, Munirah Mohd Nazir, 27, berkata, dia dalam perjalanan dari Taman Seri Aman, Masjid Tanah ke Kuala Linggi untuk berniaga apabila melihat sebuah Perodua Kancil mengekori belakang motosikal dua beranak itu. “Saya lihat kereta itu dipandu agak kelam-kabut dan laju manakala motosikal dinaiki mangsa ditunggang perlahan dan ketika tiba di satu simpang, pemandu kereta Kancil tiba-tiba merempuhnya dari belakang.

“Dua beranak itu terpelanting di atas jalan raya manakala Pemandu Kancil itu memecut laju ke arah Kuala Sungai Baru selepas merempuh motosikal itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Munirah berkata, dia gagal mengelak lalu terlanggar motosikal yang tercampak di tepi jalan menyebabkan keretanya berpusing beberapa kali dan terbabas lalu terbalik.

“Ketika cuba elak daripada merempuh dua beranak itu, saya terpusing stereng kereta ke kiri lalu melanggar tembok rumah dan tiang elektrik.


“Kalau tidak mengelak pasti mereka akan dilanggar dan saya berharap dua beranak itu selamat,” katanya yang memberitahu dia bersama anaknya, Muhamad Qayyum Rozaidi Azizi yang berusia tiga tahun tidak cedera dalam kejadian itu. Roziah yang cedera parah di kepala, perut serta kaki kiri manakala anak sulungnya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.


Sementara itu, Jurucakap Hospital Melaka mengesahkan wanita itu ditempatkan di Zon Merah Unit Kecemasan hospital berkenaan berikutan kecederaan parah dialami memerlukan pembedahan segera.


“Mangsa kini kritikal kerana pendarahan di kepala dan berkemungkinan besar akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut manakala pembedahan kaki kirinya yang patah akan dilakukan segera,” katanya.

myMetro | Lambaian atas jalan

5 jam diseksa penculik

AMPANG: Seorang jurujual kereta dipukul dan dicucuh puntung rokok hampir lima jam ketika dikurung tiga lelaki yang menculiknya di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini Jumaat lalu.

Kejadian itu disedari ibu mangsa selepas menerima panggilan daripada anaknya yang berusia 23 tahun kira-kira jam 9 malam, Khamis lalu sambil menangis memberitahu dia ditahan tiga lelaki di sebuah rumah dan diseksa dengan kejam.

Menurut sumber, mangsa meminta simpati ibunya membayar wang tebusan RM10,000 untuk membebaskannya kerana tidak tahan dipukul.
“Ibunya yang terkejut mendengar suara mangsa yang dalam ketakutan meminta anaknya bersabar dan menyuruh dia menyerahkan telefon bimbit kepada suspek untuk berbincang.

“Wanita terbabit merayu supaya anaknya tidak diapa-apakan dan memberitahu dia tidak mempunyai wang sebanyak itu dan mahu anaknya dilepaskan,” katanya.

Sumber berkata, bagaimanapun rayuan itu tidak dipedulikan, malah suspek tetap mahu wang terbusan jika tidak mahu anaknya dicederakan.

myMetro | 5 jam diseksa penculik

Bela diri lapan pertuduhan

KUALA LUMPUR: Dr Hamimah Idruss, individu pertama yang didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001 (APWH), diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap lapan pertuduhan membabitkan RM41.33 juta, lapan tahun lalu.

Hamimah turut diarah membela diri terhadap 10 pertuduhan bersubahat dengan pekerjanya untuk memalsukan 10 surat perjanjian yang setiap satu bernilai RM4.56 juta.


Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Hamimah, 62, pada akhir kes pendakwaan. Hamimah yang hadir ke mahkamah dengan berbaju kurung hanya menundukkan wajah ketika mendengar keputusan itu.

Mengikut pertuduhan, Hamimah didakwa menerima hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM41.33 juta pada April 2003 yang didakwa mengikut APWH 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.


Bekas pengarah syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat pembekal ubat-ubatan itu turut menghadapi 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 35, memalsukan 10 surat perjanjian Safire Pharmaceuticals yang setiap satu bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta). Kesalahan itu dilakukan di pejabat Safire Pharmaceuticals, Persiaran Industri, Seri Damansara, antara 1 Mac 2003 dan 10 Mac 2003. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun jika sabit kesalahan.


Terdahulu, mahkamah hampir menangguhkan prosiding semalam untuk kali keempat selepas dimaklumkan pihak pendakwaan, peguam tertuduh, S Pushpam meninggal dunia pada 24 Mei lalu kerana mengalami masalah kesihatan.

Hakim Asmadi bagaimanapun mahu prosiding diteruskan berikutan kes terbabit sudah terlalu lama dijalankan dan ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

Hamimah turut bersependapat dengan Hakim Asmadi yang mahu keputusan kes itu diteruskan.

“Tuan, kes ini sudah ditangguhkan banyak kali... sudah tujuh tahun berjalan,” katanya ketika ditanya oleh Hakim Asmadi.


Mahkamah membenarkan kes itu disebut semula Khamis ini untuk memberi peluang Hamimah melantik peguam baru

myMetro | Bela diri lapan pertuduhan

2 beranak belasah jiran

AMPANG: Dua beranak boleh dianggap samseng apabila sanggup membelasah seorang wanita gara-gara perselisihan faham antara mereka di sebuah kedai jahit di Apartmen Mesra Ria, menyebabkan mangsa cedera di mata, pipi, siku dan belakang badan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4.20 petang, mangsa yang berusia 36 tahun bersama anak lelakinya berusia belasan tahun pergi ke kedai itu untuk menempah baju, namun tiba-tiba datang seorang remaja berusia 13 tahun membawa kayu besbol dan terus menendang mangsa dari belakang.


Menurut sumber, mangsa bagaimanapun tidak melawan dan menasihati remaja itu agar tidak mengulangi perbuatan itu sebelum terus masuk ke dalam kedai.

“Mangsa dan anaknya kemudian keluar 15 minit selepas itu dan ketika sedang berjalan di kaki lima untuk pulang ke rumah, dia terserempak dengan ibu remaja terbabit.


“Mangsa terus menyapa ibu remaja itu dan memberitahu perbuatan dilakukan anaknya itu, namun tiba-tiba wanita terbabit naik angin dan terus menendang kaki mangsa dan menghalaunya,” katanya.


Sumber berkata, ibu remaja itu bukan saja menendang mangsa, malah turut menampar muka dan mengheretnya di atas jalan raya sebelum tiba-tiba remaja tadi turut campur tangan dengan menendang mangsa.

“Mangsa yang tidak tahan dipukul melawan dan berjaya melepaskan diri.

“Pertengkaran antara mereka hampir 10 minit itu disaksikan orang ramai situ tanpa ada yang datang meleraikannya,” katanya.

Pertengkaran terbabit akhirnya dileraikan apabila polis peronda tiba di kawasan itu.

myMetro | 2 beranak belasah jiran

Anak kebas RM80,000

KUALA LUMPUR: Remuk hati seorang bapa berusia 57 tahun apabila mendapati wang simpanan miliknya lebih RM80,000 lesap dicuri anak dan menantunya sendiri.

Mangsa yang kini berkerja sendiri selepas bersara, hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 10 pagi kelmarin apabila meminta pihak bank melakukan pemeriksaan selepas menyedari kehilangan wang simpanannya itu.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan dan tindakan lanjut. Sumber polis berkata, kejadian itu disedari mangsa selepas pergi ke sebuah bank di Bukit Bintang untuk melaporkan kehilangan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan pada masa sama membuat semula kad baharu.

“Selepas kad ATM itu siap, mangsa memeriksa akaun simpanannya sebelum mendapati wang miliknya berjumlah lebih RM80,000 lesap. Tersentak dengan itu, mangsa masuk semula ke dalam bank berkenaan sebelum membuat aduan mengenai kehilangan wang itu.


“Pegawai yang melakukan pemeriksaan memberitahu wang berkenaan tidak hilang sebaliknya sudah dikeluarkan beberapa kali sejak sebulan lalu sebelum mengarahkannya membuat laporan polis,” katanya.


Sumber berkata, sebaik menerima laporan, pegawai polis bersama petugas bank memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) bank berkenaan sebelum melihat kelibat pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an melakukan pengeluaran di beberapa mesin ATM di sekitar Lembah Klang.

“Mangsa yang diminta meneliti rakaman berkenaan hanya mampu menangis apabila mendapati anak perempuan dan menantunya yang mencuri wang miliknya,” katanya.

Beliau berkata, selepas berjaya menghubungi anak perempuannya itu, mangsa mengarahkan pasangan berkenaan supaya memulangkan semula wang yang diambil mereka.

“Pada mulanya anak perempuannya cuba berdalih dengan mendakwa tidak tahu menahu mengenai kejadian itu. Namun, selepas bapanya memberitahu dia sudah melihat rakaman CCTV, wanita terbabit terdiam seketika sebelum memohon maaf dan mematikan talian telefon,” katanya.


Difahamkan, sejak kelmarin pasangan terbabit gagal dihubungi dan dikesan.


Sumber berkata, mangsa mengesyaki anak dan menantunya itu mencuri kad ATM miliknya ketika melawatnya di rumah, pertengahan Mei lalu.


Difahamkan, pasangan terbabit yang sudah berkahwin lebih setahun lalu pada mulanya tinggal bersama mangsa, namun berpindah kira-kira empat bulan lalu kononnya mahu hidup berdikari.


Pasangan terbabit yang mengetahui mangsa membuat laporan polis menghilangkan diri, namun usaha mengesan mereka sedang dilakukan.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

myMetro | Anak kebas RM80,000

Rugi RM2,000 selepas berbual

PUTRAJAYA: Menampilkan perwatakan warak dengan berjubah labuh dan bergerak dalam kumpulan, geng pukau di kalangan wanita Arab dipercayai kembali aktif dengan lebih licik menyasarkan wanita tempatan.

Terbaru, seorang suri rumah kerugian lebih RM2,000 apabila wang di dalam beg sandangnya hilang sekelip mata ketika memilih cermin mata di sebuah kedai di hadapan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Zaleha Othman, 47, bersama suaminya, Suhaimi Ahmad, ke kedai berkenaan untuk melihat cermin mata.

Sewaktu kejadian, hanya ada mangsa, suaminya, seorang jurujual dan pemilik di kedai berkenaan, sebelum empat wanita Arab berjubah hitam dan berselipar masuk ke kedai berkenaan.


Kehadiran keempat-empat wanita itu menjadikan keadaan menjadi tidak selesa kerana ruang kedai yang agak sempit, sekali gus menyebabkan mangsa ingin keluar selain tidak berkenan dengan cermin mata yang dipamerkan.


Namun, katanya, ketika dia hendak keluar seorang daripada wanita Arab itu menghampiri dan menghimpitnya serta bertanya mengenai cermin mata, sementara tiga lagi kelihatan memerhati koleksi cermin mata di kedai itu.

“Saya kemudian meminta dia merujuk kepada juru jual yang berada di situ, tetapi dia enggan dan terus bertanya kepada saya sambil menghimpit saya dengan badannya menyebabkan badan kami bersentuhan.

“Beberapa detik kemudian, barulah wanita berkenaan membuka ruang bagi membolehkan saya keluar daripada kedai berkenaan, sebelum keempat-empat mereka turut bergegas keluar secara tergesa-gesa.

“Ketika itu saya tidak sedar langsung dan saya percaya terkena pukau. Saya yakin ketika dihimpit, wanita Arab terbabit mengambil kesempatan membuka zip beg sandang saya dan mencuri duit di dalamnya,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila suaminya meminta duit untuk membayar tiket tempat letak kenderaan.


Katanya, dia terkejut apabila mendapati hanya tinggal beberapa keping wang RM100 dan RM50 di dalam begnya, sedangkan sebelum itu dia membawa lebih RM2,000.


“Menyedari perkara itu, saya dan suami terus berkejar ke Kompleks Pertama untuk mencari wanita berkenaan, malangnya mereka sudah hilang.


“Saya terkejut kerana mereka berani melakukan kegiatan itu di tempat terbuka dan tidak ramai orang, malah saya percaya mereka bergerak secara berkumpulan bagi memudahkan operasi jahat mereka,” katanya.


Dia berkata, pemerhatian melalui rakaman kamera litar tertutup dengan bantuan jurujual terbabit juga gagal mengesan perbuatan jahat tangan wanita Arab terbabit. “Mereka amat licik ketika menjalankan aktiviti itu, kerana kamera litar tidak dapat merakam perbuatan mereka,” katanya.


Sehubungan itu, dia menasihati orang ramai supaya berhati-hati kerana percaya geng pukau membabitkan warga Arab kembali aktif.


“Saya masih ingat wajah wanita berkenaan dan saya percaya dia berusia sekitar 30-an hingga 40-an dan bertubuh sederhana.


“Saya harap orang ramai lebih berhati-hati ketika berada di kawasan awam, selain sentiasa mengawasi beg yang dibawa selain jangan terlalu mempercayai orang asing,” katanya.

myMetro | Rugi RM2,000 selepas berbual

Hampir gantung diri kerana along

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu tertekan dengan gangguan demi gangguan daripada along, seorang lelaki hampir menggantung dirinya sebagai jalan terakhir kerana tidak sanggup lagi menanggung hutang yang dipinjam anak lelakinya.

Fong Wang, 60, yang hadir di sidang media di Biro Aduan Awam MCA semalam berkata, anak lelakinya, Fong Kok Wai, 23, seorang kaki judi dan tidak pernah serik meminjam wang daripada along walaupun sebelum itu mereka sekeluarga pernah membantunya melangsaikan hutang RM30,000.


Difahamkan, mereka menanggung malu kerana meminjam wang daripada rakan serta saudara-mara semata-mata membayar hutang anak.

“Pada 15 Jun lalu, anak saya itu menghilangkan diri dan pada keesokannya, kakaknya menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu anak saya itu ditangkap along dan mereka menuntut wang RM5,000 sekiranya mahu dibebaskan.


“Kami tidak menghiraukan SMS itu kerana mengesyaki perkara itu sekadar helah anak saya meminta wang,” katanya.


Namun, pada 17 Jun, empat orang suruhan along datang ke rumah dan mengarahkannya membayar sejumlah wang dipinjam anaknya itu dengan kadar segera.

Fong melaporkan kejadian itu di balai polis berhampiran dan kelmarin, seorang anggota polis menemui kenderaan digunakan anaknya tersadai di Genting Highlands.

Sehingga kini, anaknya itu masih belum lagi ditemui.

Dalam kes berasingan, seorang warga emas, Soh Miew Heang, 80, mengalami trauma selepas bahagian depan rumahnya disimbah cat merah selain diganggu beberapa panggilan along.


“Along itu mengugut membakar saya hidup-hidup sekiranya tidak membayar hutang cucu saya itu.


“Saya menyuruh mereka mencari cucu saya bagi menyelesaikan perkara itu dan bukannya mencari saya,” katanya.


Cucunya yang dikenali sebagai Ah Mun, 31, dikatakan sudah lama meninggalkan rumahnya.


Bagaimanapun, tiba-tiba rumahnya dijadikan sasaran along untuk menuntut hutang, malah rumah rakan Ah Mun dan saudara lain turut diserang dipercayai selepas alamat mereka digunakan ketika proses meminjam.


Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya merujuk kes terbabit kepada pihak polis dan berharap tindakan yang sewajarnya dijalankan.

myMetro | Hampir gantung diri kerana along

Suami pengasuh dah hilang akal

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami detik hitam dalam hidupnya apabila dicabul suami pengasuhnya lebih lima kali ketika berada di rumah pengasuhnya itu di Bandar Seri Petaling, di sini, sejak sebulan lalu.

Difahamkan, suspek berusia lewat 30-an itu dilaporkan meraba bahagian sulit kanak-kanak malang itu ketika ketiadaan isterinya apabila keluar membeli barangan dapur.


Malah, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 11 pagi, kelmarin, suspek dikatakan bertindak lebih agresif dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Mangsa yang kesakitan memaklumkan kepada bapanya berusia 32 tahun mengenai perbuatan suspek kira-kira jam 10 malam selepas dibawa pulang ke rumahnya yang terletak 200 meter dari rumah pengasuhnya.


Rentetan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.


Menurut sumber, kanak-kanak malang itu dikatakan dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak setahun lalu.

“Ibu atau bapa mangsa menghantar anak mereka itu ke rumah berkenaan jam 7 pagi setiap hari bekerja,” katanya.

Namun disebabkan terlalu sibuk, pasangan itu dikatakan terlewat mengambil anak mereka, kelmarin.

“Sebaik dibawa pulang ke rumah, kanak-kanak itu memberitahu perbuatan keji suami pengasuhnya. Tersentak dengan dakwaan itu, pasangan suami isteri itu melakukan pemeriksaan sebelum mendapati terdapat kesan kecederaan pada kemaluan mangsa.


“Kanak-kanak malang itu dibawa ke balai polis dan selepas laporan dibuat, mangsa dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.


Difahamkan, doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan terdapat luka pada kemaluan mangsa.


Sumber berkata, sepasukan polis yang menerima laporan berkenaan bergegas ke rumah pengasuh berkenaan sebelum menahan suspek kira-kira jam 2 pagi, semalam.


Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek selain memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

myMetro | Suami pengasuh dah hilang akal

Akhirnya dapat keadilan

ALOR SETAR: “Saya bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan ini. Akhirnya hari ini kami mendapat keadilan,” kata Zuraiza Omar, 39, ibu kepada Muhammad Shaeidil Amir, 15, yang memperoleh ganti rugi sebanyak RM27, 500 selepas Mahkamah Sesyen, di sini, semalam mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi itu berikutan kecuaian kakitangannya menyebabkan jari telunjuk tangan kiri remaja itu yang terputus gagal disambung, empat tahun lalu.

Muhammad Shaeidil yang masih di bawah umur ketika kejadian diwakili Zuraiza, memfailkan tuntutan saman pada Mac tahun lalu dengan menamakan Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.


Hakim Mahkamah Sesyen, Maznah Abdul Aziz, memerintahkan defendan membayar RM25,000 sebagai ganti rugi am dan khas di atas kecuaian berkenaan dan RM2,500 kos prosiding kepada pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang itu.

Mengikut fakta tuntutan kes, pada 2 November 2007 plaintif mengalami kecederaan apabila sebahagian jari telunjuk kirinya terpotong ketika dia memotong kelapa menggunakan parang di rumahnya di Kampung Batu Menunggul, Air Putih, dekat Pendang.

myMetro | Akhirnya dapat keadilan

‘Atas izin keluarga’

MARANG: “Saya mahu dibicarakan kerana apa yang saya lakukan terhadap semua penghuni adalah di atas persetujuan keluarga mereka,” kata tertuduh, Mohd Najib Mohtar, 25, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas lima pertuduhan mengurung, mencederakan dan menganiaya penghuni di dua pusat pemulihan akhlak.

Mohd Najib dari Kampung Pulau Panjang, Jertih, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan.


Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh minta dibicarakan selepas pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Dia yang juga pengurus dua pusat pemulihan di Kampung Bukit Gasing dan Jalan Bukit Gasing, di sini, mendakwa tindakannya merantai penghuni berkenaan adalah dengan persetujuan keluarga penghuni memandangkan mereka terbabit dalam gejala dadah dan bersikap agresif.


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengurung 13 penghuni iaitu Ahmad Syazwan Putra Aziz, 26; Saidi Wahab@Salleh, 26; Redzuan Mohd, 27; Muhamad Zaidi Che Li, 36; Muhammad Bustami Zakaria, 20; Abdul Malik Ubaidillah, 25; Ahmad Nur Zaihan Abdullah, 29; Shahril Izzat Sazali, 23; Muhamad Dailamin Farhan Zahari, 19, dan empat remaja lelaki bawah umur masing-masing berusia 14, 15, 16 dan 18 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Gasing, di sini, antara jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam pada 2 Mei hingga 15 Jun 2011.


Selain itu, tertuduh juga didakwa mengurung dengan salah Zamyumni Che Mahmud, 24, dan Norehan Zainal Abidin, 23, di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing, di sini antara jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam pada 7 Februari hingga 15 Jun 2011.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Tertuduh juga didakwa menganiaya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi terhadap empat remaja bawah umur berusia antara 14 hingga 18 tahun antara jam 4 pagi hingga 11 malam di sebuah rumah di alamat sama pada 2 Mei hingga 15 Jun 2011.

myMetro | ‘Atas izin keluarga’

SPRM tahan pegawai kanan

GEORGETOWN: Seorang pegawai kanan dan empat kakitangan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas disyaki melakukan penyelewengan gas asli di Kampung Lima Kongsi, Sungai Bakap, Seberang Prai Selatan, Selasa minggu lalu.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Latifah Md Yatim berkata, penahanan pegawai lelaki berusia 50-an itu dibuat jam 2 petang di Pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah semalam, selepas dia menyerah diri.


Beliau berkata, empat kakitangan kerajaan itu ditahan dalam beberapa operasi berasingan. Selain itu, tiga orang awam termasuk seorang wanita turut ditahan untuk siasatan lanjut dalam kes berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mereka disyaki terbabit menerima rasuah dan bersubahat termasuk memalsukan dokumen membabitkan pusat pemindahan haram gas subsidi kepada industri.


“Dengan penahanan itu, SPRM membongkar kegiatan berkenaan yang dipercayai didalangi sindiket terbabit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Sistem dan Prosedur Penguat kuasa Pemerdagangan Manusia di sebuah hotel di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob; Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Pulau Pinang, Suhaimi Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Anti Pemerdagangan Orang, Kementerian Dalam Negeri, Nasir Rahman Khiruddin.

Latifah berkata, mereka yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 18 akta sama kerana memalsukan dokumen.


Menurutnya, operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya itu dilakukan di dalam kebun kelapa sawit dan sindiket itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dengan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM200,000.

myMetro | SPRM tahan pegawai kanan

Menyorok bawah meja dapur

ALOR GAJAH: Memalukan apabila sepasang warga emas yang menanti hari untuk diijabkabul dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di pekan ini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, wanita dan lelaki berusia 57 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di rumah ibu tunggal berkenaan.


Ketika dicekup, wanita terbabit cuba memberi helah menyatakan seorang diri di rumah berkenaan, namun selepas diperiksa, didapati pasangannya menyorok di bawah meja di dapur.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, sepasukan enam pegawai dan anggotanya ke rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.


Katanya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, penghuninya masih enggan keluar walaupun anggotanya terdengar perbualan suara lelaki dan wanita di dalam kediaman berkenaan.


“Hanya selepas lima minit barulah pintu dibuka dengan wanita terbabit bersungguh-sungguh menyatakan dia bersendirian di rumah berkenaan,” katanya.

myMetro | Menyorok bawah meja dapur

Tragedi 2004 berulang

KUALA LUMPUR : “Ini adalah kejadian sedih kedua berlaku dalam keluarga kami selepas kehilangan anak sulung pada 2004,” kata bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang mati dipercayai didera pengasuh di Cheras, kelmarin.

Pekerja syarikat pembekal alat pemadam kebakaran dan mahu dikenali sebagai Azri, 31, berkata, ketika kejadian, dia tidak berada bersama anaknya, Nor Danish Haikal sebaliknya berada di luar kawasan akibat urusan kerja.


Menurutnya, anaknya itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pagi Sabtu lalu selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Flat Sri Penara, Bandar Tasik Permaisuri, di sini. Mereka sekeluarga tinggal di tingkat tujuh flat sama manakala rumah pengasuh anaknya itu di tingkat 10.

Katanya, anaknya sudah lemah ketika dibawa ke PPUM dan mengikut maklumat daripada pengasuh, anaknya terjatuh ketika tidur.


“Saya terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan arwah dan kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah beberapa bulan lalu disebabkan sering berada di luar kawasan disebabkan urusan kerja,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, semalam.


Azri berkata, kejadian itu mengingatkan semula kejadian sama yang menimpa anak sulungnya pada 2004.

Beliau berkata, anak sulungnya juga meninggal dunia di rumah pengasuh tetapi akibat penyakit sawan dan pada masa itu berusia dua tahun sama seperti arwah Nor Danish.

“Keluarganya kini hanya bergantung kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian arwah,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan awal doktor, anaknya mengalami pendarahan dalaman di bahagian perut dan terdapat kemungkinan anaknya jatuh dari tempat tinggi. “Kami sekeluarga merindui Nor Danish yang sentiasa aktif ketika di rumah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pihaknya tidak dapat menentukan punca sebenar kematian mangsa dan sudah menghantar beberapa spesimen ke makmal.


“Kami sudah merakam keterangan pengasuh mangsa kelmarin dan setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.


Jenazah Nor Danish dibawa keluar dari Bilik Mayat PPUKM untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sekamat, Kajang.

myMetro | Tragedi 2004 berulang

‘Arwah kecewa suami tak dapat kerja’

GUA MUSANG: “Arwah beria-ia mahu suaminya mendapat pekerjaan, namun pulang dengan kekecewaan selepas tauke menjanjikan pekerjaan sebagai pemandu jentolak kepada suaminya di Kuala Lumpur tidak dapat memberi pekerjaan itu kerana mendakwa semua jentera disita pihak berkuasa.

“Pilu hati saya mengenangkan nasib arwah apabila maut terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke negeri ini,” kata Ibrahim Yusoff, 60, datuk saudara kepada Nurul Adilah Mat Nawi, 20, yang maut dalam kemalangan, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kereta Proton Wira dipandu suami Nurul Adilah, Md Nasaruddin Bakar, 22, terbabit kemalangan selepas bertembung dengan sebuah Proton Waja dari arah bertentangan di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran simpang masuk Rancangan Tanah Felda Perasu, dekat sini.

Pada masa sama, sebuah van turut terbabas ke dalam parit ketika cuba mengelak kemalangan itu. Nurul Adilah yang berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.


Suaminya pula parah, manakala anak lelaki mereka, Putra Aikan, 2, terselamat tanpa sebarang kecederaan.


Turut parah, pemandu Proton Waja, Mohd Aslam Mohd Amin, 22, berasal dari Pasir Puteh dan seorang penumpang yang belum diketahui identitinya.

Pemandu serta penumpang van, Abd Rahim Said, 52, dan Hishamuddin Mohamad, 25, cedera ringan.

Menurut Ibrahim, Nurul Adilah bertolak ke Kuala Lumpur pada petang Ahad lalu dan dia turut bersama mereka dengan menaiki kenderaan lain.

“Selepas tidak mendapat pekerjaan seperti dijanjikan, kami bertolak pulang ke negeri ini pagi kelmarin. Kali terakhir saya berhubung dengan mereka kira-kira jam 7.30 malam ketika saya masih berada di Merapoh, Pahang.


“Kira-kira setengah jam selepas itu, saya menerima panggilan telefon daripada seorang saudara di RKT Paloh yang memaklumkan kereta dinaiki tiga beranak itu terbabit kemalangan. Saya bergegas ke tempat kejadian dan hanya mampu menahan perasaan sedih melihat cucu saudara maut,” katanya. Ibrahim berkata, cucu saudaranya itu menyimpan hasrat menetap di Kuala Lumpur, tetapi ia tidak kesampaian apabila suaminya gagal memperoleh pekerjaan seperti dijanjikan.


Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

myMetro | ‘Arwah kecewa suami tak dapat kerja’

Salakan penyelamat

REMBAU: Salakan anjing menyelamatkan penghuni sebuah rumah daripada dirompak sekumpuan penjenayah sebelum tiga daripada mereka mati ditembak polis di Ladang Kelapa Sawit Yazid Baba, Batu 1, Pedas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, tiga lelaki dipercayai warga asing itu mati ditembak selepas cuba memasuki rumah seorang pengusaha kebun dan binatang ternakan apabila disedari penghuni rumah terbabit.


Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, seorang penghuni rumah menyedari perompak yang mahu memasuki rumahnya lalu menjerit meminta tolong.

“Salakan anjing menyebabkan kumpulan itu melarikan diri dengan menolak motosikal bagi mengelak bunyi bising,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Osman berkata, satu pasukan polis yang kebetulan meronda kawasan itu melihat mereka menolak motosikal di ladang berkenaan.


“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran polis, mereka bertindak menyerang polis menggunakan parang menyebabkan kami terpaksa melepaskan tembakan mempertahankan diri,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia 20-an itu mati di tempat kejadian dan pemeriksaan menemui tiga motosikal dan parang pelbagai saiz serta enam topi keledar.

Katanya, pemeriksaan polis turut menemui beg bimbit mengandungi pelbagai peralatan pecah rumah iaitu pemutar skru, kuku kambing, pemotong, tukul besi, gergaji besi dan batu asah. Osman berkata, polis juga menemui satu topeng ski dan sepasang sarung tangan kain daripada seorang penjenayah itu dan semakan ke atas motosikal mendapati ia kepunyaan orang tempatan.

“Kami sudah memburu kumpulan penjenayah ini sejak enam bulan lalu dan mereka dipercayai terbabit dengan tujuh kes samun dan pecah rumah sekitar Kuala Pilah dan Seremban,” katanya.

myMetro | Salakan penyelamat

Cedera dikelar

SERDANG: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ibu Pejabat Putrajaya, cedera di tangan kiri dan kanan selepas dikelar enam lelaki menggunakan parang dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu berlaku ketika Moses Lawrence, 36, dari Sarawak sedang menutup pintu pagar rumahnya selepas keluar untuk menghantar anaknya ke sekolah serta ke tempat kerja sebelum didatangi enam lelaki bersenjatakan parang.


Mangsa dari Bahagian Siasatan Forensik SPRM ketika itu bersama isteri dan seorang anak baru saja keluar dari rumah dan terkejut dengan kedatangan suspek.

Difahamkan, mangsa cuba bergelut dengan suspek, namun dikelar hingga menyebabkan kecederaan di tangan kiri dan kanan.


Mangsa kemudian masuk ke dalam kereta dan memandu ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. Isteri dan anaknya tidak dicederakan kerana ketika kejadian mereka sudah berada di dalam kereta.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, ketika dihubungi berkata, setakat ini, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 393 kerana cubaan samun.

Katanya, siasatan mendapati tiada barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa diserang menggunakan senjata tajam secara tiba-tiba oleh enam lelaki ketika hendak menutup pintu pagar rumahnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdul berkata, beliau tidak tahu motif sebenar suspek menyerang pegawainya itu sama ada untuk menyamun, merompak atau kes lain.


“Kami tak tahu motif mereka dan saya menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,” katanya yang enggan mengulas kes berkenaan selepas melawat mangsa.


Sumber SPRM berkata, serangan itu bukan kejadian samun kerana tiada barang berharga milik mangsa hilang, namun percaya enam penyerang terbabit berniat mahu mencederakan mangsa.

myMetro | Cedera dikelar

‘Kajol’ dipenjara sebulan

TANAH MERAH: “Sebagai orang Islam, perbuatan kamu haram. Walaupun kamu mengaku Orang Asli dan bukan Islam, berdasarkan dokumen dikemukakan di hadapan saya, kamu orang Islam,” kata Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Aris Fadhilah Sulaiman ketika menjatuhkan hukuman terhadap penyanyi mak nyah tersohor di Kelantan, Kajol.

Kajol, 25, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Jeffri dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai di tapak ekspo, 15 April lalu.


Hukuman itu sepatutnya berkuat kuasa semalam, namun ditangguhkan selepas tertuduh merayu semua hukuman dijatuhkan ke atasnya dikemukakan semula kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan semula pada prodising akan datang.

Terdahulu, kes membabitkan Kajol disebut kali pertama jam 10 pagi selepas diberi tempoh untuk hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding perbicaraan dilakukan pihak pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.


Sejurus memasuki kandang tertuduh, Kajol yang berseluar jeans biru dan berbaju panjang berwarna hitam mengaku salah atas pertuduhan serta fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aris Fadhilah.


Ketika nasihat diberikan, tertuduh dilihat menyampuk dengan berkata: “Saya bukan orang Islam, tetapi Orang Asli”, menyebabkan hakim bertegas kerana dokumen dikemukakan di hadapannya mengesahkan tertuduh beragama Islam.

“Saya hukum apa yang dikemukakan di hadapan saya. Sekali lagi kamu menyampuk, saya akan memberikan hukuman lain. “Perbuatan kamu lakukan meninggalkan kesan besar kepada masyarakat terutama adik-adik kamu,” kata Aris Fadhilah menyebabkan tertuduh terdiam dan mendengar nasihat diberikan.

Bagi kesalahan berkenaan, Kajol didakwa mengikut Seksyen 7 Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan Bilangan 2/85 kerana berpakaian tidak senonoh dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwa Syarie negeri, Wan Salina Wan Hussin.


Harian Metro sebelum ini melaporkan, Kajol cuba menayangkan alat sulitnya kepada sepasukan anggota penguat kuasa agama, kononnya bagi membuktikan dirinya wanita tulen sebaik ditahan ketika membuat persembahan di tapak ekspo di bandar ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, 15 April lalu, penyanyi berkenaan melakukan perbuatan itu bagi mengelak ditahan kerana kesalahan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai, namun kerenahnya tidak dilayan.

myMetro | ‘Kajol’ dipenjara sebulan

Bekas suami tikam janda diburu

KOTA BHARU: Polis melancarkan gerakan memburu seorang kakitangan sebuah hospital berusia 30 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes menikam bekas isterinya menggunakan gunting dipercayai kerana gila talak dalam kejadian, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata berdasarkan siasatan, suspek yang dikenali sebagai Roofeza Abdullah bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di sebuah hospital, di sini.


“Kami (polis) mengesan suspek dan berusaha menangkapnya. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan cedera parah kepada mangsa yang juga bekas isterinya.

“Hasil siasatan, polis menemui senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan tindakan segera akan diambil, manakala senjata berkenaan dipercayai milik hospital tempat suspek bekerja,” katanya ketika ditemui di Wad 28, Hospital Raja Perempuan II (HRPZ II), di sini, semalam.


Terdahulu, Azham meluangkan masa kira-kira setengah jam bermula jam 12.15 tengah hari untuk melihat keadaan mangsa yang juga pelatih salun, Hazita Mohamad, 28, yang kini menerima rawatan di wad hospital berkenaan.


Pertemuan singkat terbabit digunakan Azham untuk memberi kata-kata semangat kepada Hazita dan anak lelakinya berusia enam tahun sebelum berjanji untuk menahan bekas suaminya.

Pemerhatian wartawan yang turut mengunjungi mangsa mendapati mangsa masih trauma dan tidak dapat menjawab soalan secara terperinci, meskipun dikelilingi keluarga terdekat.

Selain ditikam, laporan doktor mendapati, wanita itu turut menerima gigitan di lengan kiri tangannya dan lebam.

Azham berkata, suspek dipercayai mengekori bekas isterinya dari sebuah pusat beli-belah ke pasar raya berkenaan dan menerpa wanita itu ketika berada di parkir tingkat bawah pasar raya berkenaan.


“Kami percaya berlaku pertengkaran dan suspek menggunakan senjata untuk mencederakan mangsa, manakala punca pertelingkahan akibat keengganan mangsa merujuk kembali dengan bekas suaminya itu,” katanya.


Menurut Azham, mana-mana pasangan suami isteri diingatkan supaya menyelesaikan masalah rumah tangga secara aman serta tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang.


Semalam, Harian Metro melaporkan, ‘parkir asmara’ sebuah pasar raya di sini, seperti didedahkan muka depan akhbar ini, 8 Jun lalu, bertukar ‘parkir berdarah’, apabila seorang pelatih salun parah ditikam sekurang-kurangnya tujuh kali di kepala, leher dan muka menggunakan gunting oleh bekas suaminya dipercayai kerana gila talak.


Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari petugas pasar raya berkenaan sejurus terdengar jeritan wanita berusia 28 tahun itu ketika dia cuba melarikan diri daripada ‘ditawan’ bekas suami yang memandu kenderaannya.


Dalam keadaan yang tidak bermaya dan berlumuran darah, mangsa memberitahu kejadian berkenaan kepada petugas pasar raya itu bahawa dia ditikam bekas suaminya dan memberitahu lelaki berusia 30-an terbabit melarikan diri dengan berjalan keluar dari parkir berkenaan.


Melihat keadaan mangsa yang parah, kakitangan pasar raya berkenaan menghantarnya ke HRPZ II bagi mendapatkan rawatan segera di wad kecemasan.

myMetro | Bekas suami tikam janda diburu

Ambil keterangan mangsa serangan

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan seorang warga Indonesia yang parah selepas terbabit pergaduhan dengan empat individu lain hingga menyebabkan rakannya maut ditetak dengan parang di tanah perkuburan Kristian, Jalan Kuari, Cheras, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh, berkata dengan keterangan dan maklumat mangsa yang cedera, pihaknya yakin mengenal pasti serta mengesan semua suspek yang terbabit kes pembunuhan itu.


“Kami masih mengesan keempat-empat suspek.

“Beberapa maklumat mengenai suspek sudah kami peroleh serta percaya dapat mengesan dan menangkap mereka dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki warga Indonesia maut ditetak dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di tanah perkuburan Kristian hanya selepas mereka berselisih faham ketika menaiki sebuah bas untuk ke pusat bandar dari Taman Len Seng, di sini.

myMetro | Ambil keterangan mangsa serangan