
Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani (gambar) berkata, kira-kira jam 4.45 pagi semalam, suspek yang datang menaiki motosikal Honda Icon masuk ke pekarangan masjid tanpa menyedari tingkah lakunya diperhatikan penduduk kampung.
“Kira-kira lima minit suspek berada di dalam masjid, penduduk kampung telah membuat kepungan di luar masjid dan suspek yang mengesyaki dirinya telah dikepung, melarikan diri ke arah jalan utama.
“Ketika melarikan diri dalam keadaan gelap, suspek terjatuh ke dalam longkang di hadapan balai raya Kampung Bukit Nenas sebelum berjaya ditangkap penduduk dan diserahkan kepada polis di Balai Polis Sungai Tong pada jam 6.30 pagi,” katanya.
Menurutnya, penangkapan suspek yang berasal dari Kampung Balik Bukit, Permaisuri itu adalah hasil kerjasama penduduk yang telah membuat intipan selama lima hari.
“Penduduk kampung terpaksa membuat intipan sendiri setelah tidak tahan dengan kes kecurian wang yang sentiasa berlaku dalam tabung masjid itu.
“Semasa anggota polis datang membuat pemeriksaan terhadap suspek, ditemui sebatang besi halus yang disalut dengan pita pelekat pada hujungnya, dipercayai digunakan untuk mengambil duit melalui lubang tabung.
“Selain itu, turut dijumpai wang sebanyak RM24 iaitu satu keping not RM5, dan 19 keping not RM1 bersama-sama suspek,” katanya.
Rohaizat berkata, suspek yang mengalami kecederaan itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (curi dalam bangunan).