Search This Blog

Sunday, June 19, 2011

Pelajar jumpa mayat tersadai tepi sungai




IPOH - Dua pelajar lelaki berusia 12 tahun tidak menyangka ‘objek’ tersadai di sungai berhampiran pintu masuk kuarters Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam di sini, sebenarnya mayat manusia.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, pelajar berkenaan ingin ke dewan badminton berhampiran dan dalam perjalanan mereka terkejut apabila ternampak kaki mayat tersebut lalu bertindak melaporkan pada pengawal keselamatan berhampiran.

“Sebab rasa ingin tahu, saya terus mendekati objek tersebut. Nampak kaki sahaja manakala badan dia tenggelam. Kami terus beritahu pada pengawal berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, berdasarkan kad pengenalan, mangsa dikenali sebagai R Ahgilan, 45, dan alamat terakhir No.20, Jalan Golf Club di sini.

“Pihak polis menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut. Mayat dijumpai terbaring di sungai itu dengan kesan kecederaan di kepala dan mempunyai kesan tatu di bahagian belakang badan.

“Kaki kanannya kudung dan kad pengenalan diri ditemui pada badan mayat tersebut. Ketika ditemui mangsa berseluar jeans dan baju berbelang biru putih,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, motif kejadian masih belum dikenalpasti dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan pihak polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga segera membuat laporan polis di balai berhampiran atau telefon di talian 05-2542222,” katanya.
SH

Maut ketika mandi di kolam




BALING - Kegembiraan seorang lelaki bermandi-manda di Kolam Air Panas Ulu Legong sempena majlis hari jadi rakannya bertukar tragedi apabila mangsa, Chuah Yew Seng, 58, maut akibat serangan jantung, kelmarin.

Saksi kejadian, Phahrolradzi Noh, 29, berkata, mangsa dikatakan makan dalam kuantiti yang banyak sebelum mangsa meninggal dunia.

“Berdasarkan apa yang disampaikan kepada saya, mangsa dikatakan kerap turun naik di dalam kolam dan makan dengan penuh berselera tidak seperti hari biasa.

“Selepas menjamu selera, mangsa turun kembali di dalam kolam dan secara tiba-tiba beliau melambai-lambai tangannya seperti lemas,” katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak menyedari kematiannya sehinggalah mangsa tidak bergerak dan berada dalam keadaan kaku dalam jangka masa yang agak lama.

“Sehubungan itu, beberapa pengunjung mengangkat mangsa dan terus memberikan rawatan kecemasan,” katanya.

Phahrolradzi yang juga merupakan penjaga Kolam Air Panas Ulu Legong itu berkata, terdapat dua jururawat yang kebetulan berada di situ turut membantu mangsa.

“Jururawat berkenaan mengatakan mangsa kemungkinan meninggal dunia berikutan keadaannya yang pucat.

“Dalam pada masa yang sama, saya turut menghubungi pihak ambulan dan mangsa terus dibawa ke hospital,” katanya.

Menurutnya, gigi palsu mangsa turut tertanggal dan dijumpai selepas pihak pengurusan Ulu Legong membersihkan kawasan kolam berkenaan.

“Keesokan harinya, keluarga mangsa datang semula ke kolam air panas ini untuk upacara keagamaan mereka. Sehubungan itu, saya menunjukkan gigi palsu berkenaan dan ahli keluarga mereka mengesahkan bahawa gigi itu milik mangsa dan saya menyerahkan kembali gigi itu kepada isterinya,” katanya.

Menurutnya, kejadian seumpama ini merupakan kali pertama berlaku di kawasan itu.

“Saya berharap pengunjung di sini mengutamakan keselamatan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak dingini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa dikatakan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba dan disedari oleh orang ramai apabila mangsa berada dalam keadaan kaku di kolam yang kedua.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
SH

Peluru tembusi kepala



SUNGAI PUYU - Polis menggiatkan usaha menjejaki dua lelaki yang disyaki pembunuh upahan selepas mereka menembak mati pemilik kilang beras Joo Choon Sdn Bhd di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Ooi Ching Tian, 58, yang ditembak tiga das dari jarak dekat meninggal dunia selepas tiga jam dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini akibat kepalanya ditembusi peluru.

Dalam kejadian pada jam 12.50 pagi di hadapan rumahnya di Taman Sungai Puyu di sini itu, mangsa ditembak ketika keluar dari kereta untuk membuka pintu pagar sebaik pulang dari makan malam di Butterworth sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi berkata, sebaik tiba di hadapan rumahnya, mangsa yang keseorangan ketika itu, turun dari kereta Toyota Harrier untuk membuka pintu pagar apabila tiba-tiba seorang lelaki menghampirinya dan melepaskan tiga das tembakan tepat mengenai kepalanya.

“Bunyi tembakan didengari isteri dan anaknya yang meluru keluar namun terkejut apabila mendapati Ching Tian rebah berlumuran darah di tepi kenderaan manakala suspek dilihat melarikan dengan memecut kereta Proton Wira berwarna gelap dipercayai dipandu rakan subahat menghala ke Mak Mandin,” katanya.

Menurutnya, isteri dan anaknya kemudian menghantar Ching Tian ke HSJ namun mangsa meninggal dunia selepas tiga jam diberikan rawatan.

Difahamkan, mangsa seorang peniaga beras yang berjaya di daerah ini dan dikenali dalam kalangan pekerjanya sebagai seorang yang bersifat pemurah.

Mayat mangsa selesai dibedah siasat pagi semalam dan dituntut ahli keluarganya sejurus itu.

Zulkifli berkata, polis menubuhkan unit khas untuk menyiasat kes pembunuhan Ching Tian, pagi ini.

Menurutnya, pihaknya kini giat menjejaki suspek dan motif pembunuhan ke atas mangsa.

“Buat masa ini, kami sedang siasat secara terperinci untuk mengetahui motif sebenar pembunuhan kerana terdapat banyak kemungkinan yang boleh dikaitkan dengan kes ini, antaranya dendam, masalah perniagaan dan selisih faham,” katanya.

Sehubungan itu, saksi diminta tampil membantu siasatan, manakala kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
SH

Empat kampung dilanda ribut




MELAKA – Empat buah kampung yang terletak di pesisiran pantai dekat Jasin, di sini dilanda ribut, awal pagi semalam.

Ribut berlaku kira-kira 2.30 pagi itu menyebabkan kerosakan teruk empat kedai makan serta lima rumah penduduk di Telok Mas, Serkam, Pulai dan Berangan Enam.

Penduduk mendakwa, ribut berkenaan berpunca daripada angin barat yang secara tiba-tiba melanda sebelum hujan.

Kejadian itu turut menyebabkan sebuah kedai dan rumah musnah teruk dihempap pokok, selain beberapa bumbung rumah terbang ditiup angin kuat.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan penduduk segera mengambil tindakan keluar rumah sewaktu kejadian.

Seorang peniaga, Sharifuddin Salleh berkata, sewaktu kejadian dia baru sahaja habis berniaga dan secara tiba-tiba angin kuat menyebabkan pokok berhampiran tumbang dan menghempap kedainya.

“Kejadian sungguh pantas dan saya tidak boleh berbuat apa-apa. Jumlah kerugian dianggarkan sehingga RM70,000 kerana semua barang perniagaan musnah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Suhaimi Mohd Nor, berkata, khemah yang dipasang di rumahnya turut terangkat berikutan keadaan angin terlalu kuat.

“Memang tidak boleh berbuat apa-apa kerana kejadian sungguh pantas. Saya bersyukur kerana tidak melibatkan nyawa sesiapa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Latif Tamby Chik turut meninjau rumah mangsa yang terlibat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah akan memberikan bantuan kepada mangsa untuk membaiki segala kerosakan.
SH

Dua beradik maut van dirempuh lori




KUALA KUBU BHARU - Dua beradik maut sementara empat lagi ahli keluarga mangsa parah setelah terlibat kemalangan di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 pagi itu melibatkan sebuah van dinaiki keenam-enam mangsa dengan lori dan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affendi berkata, siasatan awal mendapati van mangsa yang datang dari arah Rawang memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh lori terbabit.

Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar sementara sebuah lagi kereta yang mengekori dari belakang cuba mengelak van mangsa sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa maut dikenali sebagai Nurfarahanim Ismail @ Sanadi, 18, dan adik mangsa Muhamad Danial, 5 tahun.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat sementara ahli keluarganya yang lain dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB),” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera ialah Ismail @ Sanadi Othman, 45, (bapa), Noraida Abd Rahman, 39, (ibu), Norzarie Sopiah, 7, dan Mohd Haikal Ismail, 1 tahun lapan bulan.

Katanya, pemandu lori dikenali Jamali Mokhtar, 45, dan pemandu kereta, Chang Sin Fei, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, abang mangsa, Muhd Yusuf, 21, yang ditemui di Unit Forensik HKKB berkata, keluarganya dalam perjalanan pulang ke Sungai Behrang, Perak selepas mengunjunginya di Bandar Sungai Buaya.

“Saya terkejut sebaik diberitahu abang angkat, Shahrul Mat Daut, 28, mengenai kejadian yang menimpa mereka dan sedih apabila mengetahui dua adik saya meninggal dunia,” katanya.

Muhd Yusuf berkata, mereka ke Rawang untuk membeli kelengkapan persekolahan arwah adiknya, Nurfarahanim yang bakal melanjutkan pelajaran ke Tingkatan enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjung Malim, Perak.

Menurutnya, ibunya yang sarat mengandung lapan bulan juga telah membeli sedikit pakaian untuk menyambut kelahiran adiknya (anak ke-11).

“Ketika di rumah sewa, Nurfarahanim sempat meminjam telefon bimbit saya untuk menghubungi rakannya dan katanya nak guna sekejap saja

“Bila dia kata pinjam sekejap, biasanya dia akan pulangkan cepat tetapi tak sangka dia guna sampai nilai kredit kad prabayar habis,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka itulah kali terakhir dia dapat bertemu dengan adiknya.

Kedua-dua jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Behrang selepas solat Zohor.
SH

Ribut berlaku luar biasa




MARANG - Penduduk dan peniaga tepi jalan sepanjang lima kilometer bermula di Kilometer 30 hingga 36, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Kuala Tengah, Pulau Kerengga di sini, gempar apabila hujan ribut luar biasa melanda kawasan itu.

Dalam kejadian selama 15 minit bermula jam 6.45 hingga 7 malam kelmarin, ia dianggap penduduk setempat sebagai luar biasa dan terburuk sejak 60 tahun lalu, apabila sebuah rumah, sebuah surau, dan deretan gerai buah-buahan rosak teruk dihempap pokok manakala atap diterbangkan angin.

Malah ratusan pokok tumbang di sepanjang lima kilometer jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu turut merosakkan pagar Penjara Marang, selain menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik dan gangguan lalu lintas.

Seorang mangsa, Mamat Ibrahim, 60, berkata, keluarganya berdepan pengalaman dan saat paling menakutkan sejak empat tahun tinggal di kampung itu ketika melihat satu persatu atap rumahnya diterbangkan angin semasa berada di luar rumahnya.

“Saya bergegas berlari memasuki kedai tidak jauh dari rumah, sementara isteri yang berada dalam rumah mencari tempat selamat untuk anak dan cucu kami berlindung dari ancaman angin kencang itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
SH

Gadis curi motosikal kakak



PAKA - Kemelut rumah tangga melibatkan pasangan suami isteri akhirnya menyebabkan seorang gadis hilang arah sehingga terjebak dengan kes jenayah.

Lebih mendukacitakan, gadis berumur 14 tahun yang menghadapi masalah keluarga itu dipercayai sanggup mencuri motosikal milik kakaknya sendiri.

Segalanya terbongkar apabila kakak suspek yang tinggal di Paka menyedari kehilangan motosikal Yamaha LC, dipercayai dicuri adik perempuannya sebelum membuat laporan polis.

Berikutan itu, suspek yang sudah tidak bersekolah dan dipercayai menjadi rakan mat rempit ditahan pihak berkuasa ketika melepak di pantai peranginan Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Suspek ditahan reman mengikut Seksyen 379 A dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun dan Majistret, Aznika Mohd Abbas memerintahkan gadis itu diikat jamin RM3,000 sebelum mendengar kesnya disebut semula 10 Julai nanti.
SH

Taktik licik dua saudara kantoi




KUALA TERENGGANU - Taktik licik dua saudara yang mencampakkan satu spanar berbentuk T dan dua keluli ‘master key’ sejurus terserempak sekatan polis di Jalan Sultan Mohamad, di sini, awal pagi kelmarin tidak menjadi apabila ia disedari polis.

Tindakan itu berjaya dihidu setelah kedua-dua suspek yang menunggang motosikal Ex-5 bertindak berani meloloskan diri dari sekatan polis yang dijalankan sempena operasi Cegah Samseng Jalanan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, kedua-duanya yang masing-masing berasal dari Kampung Merchang, Marang dan Kampung Kubang Buyong, Chabang Tiga, Kuala Terengganu berjaya ditangkap kira-kira jam 3.15 pagi selepas dikejar sejauh 120 meter dari lokasi sekatan iaitu di Jalan Bukit Besar.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sejumlah kunci rumah, satu spanar berbentuk T dan dua keluli ‘master key’ yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri motosikal.

Selain itu, kedua-dua suspek ketika ditahan turut didapati tidak membawa kad pengenalan dan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Kuala Terengganu, Asisten Superitendan Che Khazahari Amat ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan dua suspek terbabit.

Pada masa sama, Che Khazahari berkata, sempena Ops Cegah Samseng Jalanan yang bermula jam 1 pagi hingga jam 4 pagi, sebanyak 32 saman dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan dan sebuah motosikal disita kerana diubahsuai serta pemandunya tidak memiliki lesen memandu.
SH

Penyeludup beras parah




BESUT – Dua lelaki yang dipercayai penyeludup beras, cedera parah selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta Proton Saga dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga buah kereta di Kampung Tok Has dekat Jertih, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, pemandu Proton Wira terbabit, seorang warganegara Thailand dikenali sebagai Alfan, patah rusuk kiri dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut manakala penumpangnya berusia 18 tahun dari Kampung Lalang Puyu, Tanah Merah Kelantan, dirawat di Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, polis menemui sebanyak 25 kampit beras Siam pelbagai jenama bertaburan di tempat kejadian, dan ia dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran� tempatan.
SH

Asyik menari kena serbu




KOTA BHARU - Keseronokan sekumpulan pengunjung sedang menari di sebuah kelab golf dekat sini, terbantut apabila Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menyerbu lokasi mereka, malam semalam.

Serbuan secara mengejut dalam majlis tarian dan pertandingan dat itu turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas menerima maklumat berhubung kegiatan terbabit.

Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata, ketika serbuan yang dilakukan jam 10.30 malam itu, kebanyakan golongan wanita asyik menari dan ada antaranya minum sambil menyaksikan persembahan.

Menurutnya, pada mulanya mereka masih berdegil dan tetap meneruskan majlis tarian itu tetapi selepas pihak berkuasa masuk semula ke tempat tersebut akhirnya semua pengunjung bersurai kira-kira jam 10.45 malam.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan pasukannya juga melakukan rampasan terhadap satu peti minuman keras dalam premis berkenaan dan kompaun dikeluarkan.

“Kita sudah beberapa kali melakukan serbuan terhadap premis berkenaan dan kompaun juga perah diberikan kerana mereka menjual minuman itu tanpa lesen tetapi kini masih mengulanginya lagi.

“Sebelum serbuan, kita telah menerima maklumat daripada orang ramai berhubung majlis tari menari yang diadakan di premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Anis berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti yang menyalahi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan sekiranya mereka hendak mengadakan majlis sepatutnya memaklumkan kepada MPKB-BRI terlebih dahulu untuk dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya majlis itu diadakan di rumah masing-masing dengan jumlah kehadiran yang sedikit, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan.
SH

Senjata api dalam beg




MELAKA - Maklumat awal diterima hanya mengenai kegiatan dadah secara kecil- kecilan, tetapi setelah serbuan dilakukan polis turut menjumpai senjata api dalam sebuah rumah berhampiran kawasan Kandang, Banda Hilir, di sini, kelmarin.

Sepucuk pistol jenis Revolver itu dijumpai bersama tujuh butir peluru ketika polis melakukan serbuan pada kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, dua lelaki berusia 27 tahun dalam rumah berkenaan ditahan untuk membantu siasatan berhubung penemuan itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Melaka Tengah membuat serbuan selepas mendapat maklumat kemungkinan terdapat kegiatan dadah secara kecil-kecilan di rumah itu.

Hasilnya, polis menemui satu paket dan tiga tiub dipercayai dadah jenis heroin bersama Revolver jenis Black-Guardian Eastern Patent itu yang disimpan dalam sebuah beg dan ditemui di sebuah bilik dalam rumah itu.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kemungki-nan kedua-dua suspek berkenaan turut terlibat kegiatan jenayah lain yang lebih besar.

“Sebelum ini, kedua-duanya dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah kecil-kecilan di kawasan sekitar Kandang sejak beberapa bulan lalu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Melaka Tengah, di sini semalam.

Turut serta, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Tengah, Asisten Superintendan Mohd Azam Ab Razak.

Salehhudin berkata, ujian air kencing ke atas mendapati mereka positif dadah.
SH

Korea Selatan silap tembak pesawat penumpang



SEOUL 18 Jun - Tentera Korea Selatan melepaskan tembakan ke arah sebuah pesawat dari China yang membawa 119 penumpang selepas menyangka ia adalah jet pejuang Korea Utara.
Kejadian awal pagi semalam itu berlaku ketika hubungan yang semakin tegang antara dua negara berjiran tersebut.
Tentera Korea Selatan yang bertugas di pos kawalan di pulau Gyodong, kira-kira 1.7 kilometer dari pesisir pantai Korea Utara, melepaskan tembakan menggunakan senapang K-2 ke arah pesawat dari China itu yang terbang rendah ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul.
Pesawat penumpang milik syarikat penerbangan Korea Selatan, Asiana Airlines itu melakukan penerbangan menuju ke Incheon melintasi tenggara pulau Jumun, kira-kira 12 kilometer di selatan Gyodong.
"Tembakan dilepaskan selama 10 minit, tetapi pesawat itu tidak mengalami sebarang kerosakan kerana tembakan tidak mengenai pesawat yang berada pada kedudukan agak jauh.
"Tentera menyangka ia adalah jet pejuang Korea Utara sebaik pesawat itu terbang melintasi ruang udara pulau Jumun," lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan pegawai tentera laut.
Jurucakap tentera laut mengesahkan laporan tersebut, namun enggan memberi maklumat lanjut berhubung kejadian itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

2 beradik maut, ibu mengandung parah




Keadaan van yang dinaiki oleh enam sekeluarga setelah dirempuh sebuah lori di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, Hulu Selangor, semalam.


KUALA KUBU BHARU 18 Jun – Dua beradik maut, manakala empat lagi ahli keluarga termasuk ibu mereka yang sarat mengandung lapan bulan cedera parah setelah van dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, di sini, tengah malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 12.40 tengah malam semasa mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Behrang, Perak, setelah membeli-belah di sebuah pasar raya di Rawang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kemalangan berlaku apabila van dinaiki enam sekeluarga itu tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
Beliau berkata, van itu kemudian terbabas melintang jalan dan pada masa sama sebuah lori dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri kenderaan tersebut.
“Rempuhan kuat menyebabkan dua beradik itu yang duduk di bahagian belakang iaitu Nurfarahanim Ismail @ Sanadi, 18, dan Muhamad Danial, 5, tercampak keluar.
“Nurfarahanim maut di tempat kejadian akibat cedera parah tersepit di bawah tayar kenderaan, manakala Muhamad Danial meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 2 pagi ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, bapa mangsa, Ismail @ Sanadi Othman, 45, dan ibu mereka, Noraida Abd Rahman, 39, pula mengalami kecederaan parah.
Katanya, turut cedera parah ialah dua lagi adik-beradik mangsa iaitu Norzarie Sopiah, 7, dan Mohd. Haikal Ismail berusia lebih setahun.
Tambahnya, empat beranak terbabit kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
“Semasa kejadian, sebuah kereta yang mengekori belakang van mangsa, dipandu oleh seorang lelaki, Chang Sun Fei, 30, turut terbabas dan merempuh saluran paip di tepi jalan semasa cuba mengelak daripada merempuh belakang kenderaan berkenaan.
“Sun Fei dan pemandu lori, Jamali Mokhtar, 45, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang anak Ismail, Muhd. Yusuf, 21, memberitahu, sebelum kejadian, ibu bapa bersama empat adiknya termasuk Nurfarahanim dan Muhamad Danial sempat singgah di rumahnya di Bandar Sungai Buaya di sini, setelah membeli-belah di pasar raya di Rawang.
“Mereka pergi ke pasar raya tersebut untuk membeli barang-barang sekolah Nurfarahanim yang akan memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjung Malim, Perak dan persiapan menyambut adik ke-11 yang bakal dilahirkan ibunya, Ogos depan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Menurut Muhd. Yusuf, semasa di rumahnya, Nurfarahanim sempat meminjam telefon bimbitnya untuk menghubungi rakan dan tidak menyangka pertemuan tersebut adalah kali terakhir antara mereka.
Katanya, jenazah kedua-dua adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Behrang selepas solat Zohor hari ini.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

3 parah gas meletup

PETALING JAYA 18 Jun - Tiga pekerja sebuah restoran mamak di Jalan PJ/12 berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, berada dalam kritikal akibat melecur teruk setelah tong gas memasak meletup dalam premis berkenaan hari ini.
Berikutan kejadian pukul 8.30 pagi itu, ia turut menyebabkan empat rakan mangsa dan 15 pelanggan yang sedang bersarapan mengalami kecederaan ringan.
Isteri kepada pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Ragani memberitahu, letupan berlaku semasa seorang pekerja mahu menukar tong gas yang sudah kosong dengan tong baharu.
Menurut Ragani, tong gas yang mahu ditukar itu tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan tiga pekerjanya cedera parah akibat melecur.
"Letupan kuat itu turut menyebabkan barang-barang dalam restoran tercampak dan siling premis runtuh.
"Pada masa sama, ada empat pekerja dan 15 pelanggan yang berada dalam restoran turut mengalami cedera ringan akibat ditimpa siling runtuh, terkena percikan api dan tercampak keluar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Ragani berkata, tiga pekerjanya yang cedera parah dikenali sebagai Selvam, 43, yang bekerja sebagai pembancuh air, Latha Krisna, 25, (pelayan pelanggan) dan Samy, 43, (pembuat roti canai).
Katanya, ketiga-tiganya yang dikejarkan ke PPUM untuk rawatan lanjut dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur kerana melecur teruk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
"Beberapa tahun lalu, restoran tersebut pernah dilempar dengan bom petrol oleh pihak tertentu, tetapi letupan hari ini tiada kaitan dengan unsur jenayah dan hanya satu kemalangan," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

6 polis ditahan edar dadah

KUALA LUMPUR 18 Jun - Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah pepatah sesuai bagi seorang pegawai dan lima anggota polis yang diamanahkan tugas untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah.
Keenam-enam mereka yang bertugas dalam cawangan narkotik di sini, sepatutnya memburu pengedar dadah tetapi sebaliknya mengambil kesempatan untuk terlibat sama dalam kegiatan mengedar dadah kepada para penagih di sekitar ibu negara.
Namun, penglibatan mereka dalam aktiviti menyalahi undang-undang itu akhirnya terbongkar dan mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, mereka yang ditahan ialah seorang pegawai berpangkat Inspektor dan lima anggota pangkat rendah terdiri daripada Koperal serta Konstabel.
"Keenam-enam mereka berusia 30-an ditahan secara berasingan kerana disyaki mengedar dadah secara kecil-kecilan. Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan)," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar merasmikan Majlis Ihtifal Peringkat Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) Kali Ke-12 di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Noor Rashid, semasa tangkapan dilakukan, tiada dadah dirampas daripada keenam-enam suspek tetapi pihaknya mempunyai alasan kukuh untuk memberkas mereka.
Beliau berkata, keputusan sama ada mereka akan digantung kerja dijangka diketahui selepas selesai siasatan nanti.
Tegasnya, tangkapan pegawai dan anggota terbabit membuktikan bahawa polis tidak melindungi sesiapa daripada undang-undang.
Beliau turut menasihatkan semua ketua polis peringkat negeri negeri dan daerah agar memantau pegawai dan anggota di bawah jagaan mereka bagi memastikan kejadian tidak berulang.
"Tangkapan pegawai dan anggota ini adalah mesej jelas bagi menunjukkan betapa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap telus kepada masyarakat.
"Kita juga minta masyarakat tidak memandang serong PDRM kerana penglibatan pegawai dan anggota polis dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan jenayah adalah kecil berbanding lebih 100,000 keanggotaan dalam pasukan keselamatan itu," katanya sambil memberitahu tangkapan keenam-enam suspek adalah kes pertama membabitkan anggotanya pada tahun ini. Utusan Malaysia Online - Jenayah

Dua belas polis ditahan kes dadah

KUALA LUMPUR: Dua belas anggota polis, termasuk seorang pegawai kanan, kini ditahan dan disiasat berhubung kes penagihan dan pengedaran dadah, di mana dua berdepan hukuman gantung sampai mati kerana ditangkap bersama sebilangan dadah.
Semua mereka, masing-masing enam dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan enam lagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Dalam serbuan serentak dijalankan di Balai Polis Sri Petaling dan Balai Polis Petaling, Jalan Klang Lama, jam 4 petang kelmarin, dua anggota polis didapati memiliki sebilangan dadah dipercayai jenis heroin, manakala empat lagi didapati positif dadah dalam ujian air kencing dijalankan.

Menurut sumber, serbuan dan pemeriksaan terbabit dijalankan JSJN IPKKL berdasarkan maklumat serta risikan sejak awal bulan lalu. myMetroDua belas polis ditahan kes dadah

Helah lelaki dua isteri


TUARAN: Seorang lelaki yang dipercayai sudah beristeri dua tetapi masih mahu memadu kasih bersama kekasih gelapnya, dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam operasi khas di hotel bajet di Jalan Berunggis, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, lelaki berusia 29 tahun itu yang bimbang dicekup sempat mengarahkan teman wanitanya berusia 25 tahun melarikan diri dan bersembunyi di dalam kereta sebelum biliknya diserbu.

Sebaik pintu biliknya dibuka, lelaki berkenaan berpura-pura menginap bersendirian selain mencabar penguat kuasa memeriksa biliknya untuk kepastian.

Namun, penguatkuasa yang mengetahui helah pasangan itu kemudian menuju ke kenderaan milik lelaki berkenaan sebelum menahan gadis yang bersembunyi di dalamnya.

Sedar helahnya tidak menjadi, lelaki itu yang meninjau melalui tingkap hotel dan melihat penguat kuasa menahan pasangannya turun ke parkir dan memberitahu mereka sudah berkahwin.


Selepas siasatan lanjut di pejabat JHEAINS, akhirnya pasangan terbabit mengaku tiada ikatan dan belum berkahwin.

Penolong Ketua Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, mereka mengaku menginap di dalam bilik kerana kepenatan.


“Walau apa pun alasan diberi, mereka melakukan kesalahan apabila berdua-duaan di dalam bilik. Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997,” katanya yang ditemui selepas operasi.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Tuaran dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Dalam operasi bermula jam 10 malam, JHEAINS melakukan pemeriksaan di tiga hotel dan satu rumah tumpangan, tetapi tiada tangkapan lain dilakukan.
myMetroHelah lelaki dua isteri

Dua beradik maut nahas


BATANG KALI: “Sukar untuk saya menerima hakikat ini,” kata Muhd Yusuf Ismail @ Sanadi, 21, selepas mengetahui dua adiknya, Nurfarahanim, 18, dan Mohd Danial, 5, maut dalam kemalangan di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur- Ipoh, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 12.40 pagi, van dipandu bapanya, Ismail @ Sanadi Othman, 45, bertembung dengan lori muatan barang tiga tan dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan dari Bandar Sungai Buaya, Rawang ke Kampung Sungai Behrang, Perak.

Selain bapa, ibunya, Noraida Abd Rahman, 39, yang sarat hamil anak ke-11 bersama dua adik lain, Norzarie Sopiah, 7, serta Mohd Haikal, 20 bulan, yang turut berada dalam van itu cedera parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Mereka sekeluarga berkumpul di rumah Muhd Yusuf di Bandar Sungai Buaya malam itu sebelum bergegas pulang ke kampung sebelum jam 12 tengah malam.

“Empat puluh lima minit sebelum itu, kami sekeluarga bertemu dalam suasana mesra di rumah saya. Ia (kemalangan) berlaku dengan pantas,” katanya.


Muhd Yusuf bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh abang angkatnya, Shahrul Mat Daut, 28, mengenai kemalangan itu.

Sebelum kemalangan, Muhd Yusuf berkata, Nurfarahanim menunjukkan perangai pelik, seolah-olah petanda akhir hayatnya bersama mereka.


“Dia meminjam telefon bimbit saya untuk berbual dengan rakannya lebih 30 minit sehingga habis tambah nilai telefon saya, namun saya tidak ambil kisah mengenainya.

“Dia baru membeli peralatan sekolah di pekan Rawang sebagai persediaan menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Kami berbual mesra sebelum mereka pulang (ke kampung),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, siasatan awal mendapati van mangsa yang datang dari arah Rawang memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh lori terbabit.

Katanya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa di tempat duduk belakang tercampak keluar.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke HKKB untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera dikejarkan ke HSB,” katanya.

Norel berkata, pemandu lori dikenali sebagai Jamali Mokhtar, 45 tidak cedera.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Behrang, jam 1.40 petang semalam.
myMetroDua beradik maut nahas

Hidangan tarian seksi


KOTA BHARU: Gempar apabila sebuah kelab persendirian di sini menyajikan tarian wanita menjolok mata dalam satu majlis di kelab berkenaan, malam kelmarin.
Bagaimanapun, penganjuran majlis itu mengundang padah apabila diserbu anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Majlis sekitar jam 9.30 hingga 10.30 malam itu dihadiri 350 orang, kebanyakannya wanita, termasuk yang bertudung.

Dalam serbuan itu, penguat kuasa MPKB turut merampas beberapa botol arak.

Difahamkan, pengurusan kelab menghentikan majlis itu selepas menyedari kehadiran penguat kuasa MPKB.


Yang Dipertua MPKB, Nazran Muhammad ketika dihubungi mengesahkan serbuan dan kewujudan tarian seksi wanita itu.

Bagaimanapun, Nazran enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
myMetroHidangan tarian seksi

China arah GSK tarik balik antibiotik kandungi bahan buat plastik


SHANGHAI: China mengarahkan syarikat ubat GlaxoSmithKline (GSK) supaya menarik balik produk antibiotik keluaran syarikat itu yang didapati diselaputi komponen untuk membuat plastik.
Badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Kerajaan (SFDA), semalam berkata antibiotik amoxisilin dan clavulanate potasium mengandungi kesan Di-isodecyl phthalate yang digunakan dalam pembuatan plastik.

SFDA mengarahkan jualan dan penggunaan ubat itu dihentikan serta-merta. - Reuters

myMetroChina arah GSK tarik balik antibiotik kandungi bahan buat plastik

Lima negeri terasa gegaran

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima negeri di Pantai Barat Semenanjung mengalami gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 310 kilometer dari barat daya Klang di Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.58 malam, gegaran itu dirasai di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Zaki Mohammad, berkata pusat gempa bumi adalah pada kedalaman 10 kilometer di 1.5 latitud utara dan 99.1 longitud timur.
“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan selepas gegaran itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Sebelum ini, beberapa lokasi di sekitar ibu negara, Putrajaya, Shah Alam dan Seremban merasai kesan gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 300 kilometer dari Pelabuhan Klang pada 14 Jun lalu.
Berita Harian Online | Lima negeri terasa gegaran

Puting beliung landa Air Papan




PUTING beliung yang dirakamkan berlaku berhampiran Pengkalan Teluk Buih, Air Papan, Mersing kelmarin.


PUTING BELIUNG. Nelayan yang berada di Pengkalan Teluk Buih, Air Papan, Mersing, Johor kelmarin dikejutkan dengan kejadian puting beliung yang bermula dari tengah laut berhampiran dengan Pulau Setindan.
Mereka mendakwa putaran angin kencang yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu sampai ke pantai Teluk Buih dalam masa yang singkat sebelum memusnahkan puluhan bot nelayan di pengkalan tersebut.
Kejadian puting beliung itu turut memusnahkan bumbung sebuah gerai makan berhampiran pengkalan berkenaan.
Kosmo! Online - Negara

Tauke beras mati ditembak depan rumah



PEGAWAI polis menyiasat lokasi Chong Tian ditembak mati di hadapan rumahnya di Taman Puyu, Butterworth malam kelmarin.


BUTTERWORTH - Seorang usahawan beras maut selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki tidak dikenali awal pagi semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu, Ooi Chong Tian, 58, maut akibat kecederaan parah di kepala dan leher selepas terkena tembakan yang dilepas dari jarak dekat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa baru pulang ke rumahnya di Taman Puyu di sini selepas menikmati minuman di sebuah kedai di sini.
"Sebaik tiba di hadapan rumah, mangsa yang bersendirian keluar dari kenderaan untuk membuka pintu pagar rumah dan tiba-tiba seorang lelaki menghampirinya dan melepaskan tiga das tembakan dari jarak dekat yang mengenai kepala dan leher mangsa.
"Ahli keluarga mangsa yang terdengar bunyi tembakan tersebut keluar dari rumah dan mendapati mangsa sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah manakala suspek telah melarikan diri bersama seorang lagi rakannya dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira," katanya.
Kosmo! Online - Negara

Polis edar dadah sindiket ditahan


IBU Pejabat Polis Kontinjen di Kuala Lumpur antara lambang penguatkuasaan undang-undang negara.


KUALA LUMPUR - Seorang kanan polis dan lima anggota berpangkat rendah yang bertugas di bahagian narkotik di sini ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 30-an itu ditahan dua minggu lepas.
"Sekarang mereka ditahan dan berada di bawah siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1952," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ihtifal Peringkat Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) di Masjid Bukit Aman semalam.
Kosmo! Online - Negara