Search This Blog

Saturday, June 18, 2011

Serangan berterusan tapi makin kurang


KUALA LUMPUR: Cyber Security Malaysia mengumumkan pihaknya belum dapat menyatakan bilangan terkini laman web digodam memandangkan ada sebilangan laman web masih lagi menjadi sasaran penggodam sekali gus menjadikan jumlahnya berubah-ubah.
Pengerusinya, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri, ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, jumlah terbabit tidak dapat didedahkan atas sebabkeselamatan selain tumpuan diberikan kepada usaha membaik pulih laman web yang digodam di samping membantu mereka mengembalikan operasi laman web seperti biasa.

“Serangan laman web digodam masih lagi berterusan tetapi pada kadar berkurangan berbanding semalam (16 Jun) menyebabkan kita tidak dapat memberitahu jumlah sebenar.

“Kebanyakan laman web digodam kembali beroperasi. Hanya segelintir saja yang masih belum pulih dan dalam proses pembaikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Bagaimanapun, Husin berkata, laman web kerajaan iaitu www.malaysia.gov.my yang turut menjadi mangsa penggodam, kembali pulih dan beroperasi seperti biasa tanpa ada sebarang kebocoran maklumat atau data yang hilang.


Menurutnya, maklumat mengenai penggodam sudah dikenal pasti polis dan butiran lanjut mengenai serangan berkenaan hanya dapat diperoleh apabila ia berhenti.

Katanya, pihaknya turut menjalankan penyiasatan serta ‘post-mortem’ bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai pihak yang terbabit dalam masalah itu.
myMetro | Serangan berterusan tapi makin kurang

Amukan tujuh pemuda khayal

PETALING JAYA: Sekumpulan lelaki dipercayai ‘khayal’ menimbulkan kekecohan di sebuah kawasan perumahan apabila tiba-tiba memecahkan cermin beberapa kereta milik penduduk di PJS 1, di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, tujuh lelaki yang pada mulanya minum di sebuah kedai berhampiran tiba-tiba mengamuk dan berkelakuan ganas dengan memecahkan beberapa kereta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata, kumpulan terbabit dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah menggunakan pelbagai objek keras termasuk topi keledar ketika kejadian.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan suspek datang menaiki enam motosikal adalah penagih dan bukan penduduk di kawasan itu.

“Setakat ini, kami menerima 14 laporan polis berhubung kejadian itu.


“Bagaimanapun, kes ini bukan pergaduhan yang membabitkan isu perkauman seperti dakwaan beberapa pihak,” katanya.

Menurutnya, jumlah kerugian belum dipastikan dan tiada sebarang laporan kecederaan diterima dalam kekecohan kira-kira lima minit itu.

Selain itu, beliau berkata, polis masih mengesan suspek terbabit dan hingga semalam belum ada sebarang tangkapan dibuat.


myMetro | Amukan tujuh pemuda khayal

Budak pantai nafi cuai

GEORGETOWN: Seorang penunggang kuda mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kecederaan parah seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh, Mohd Khairi Mohd Noor, 28, dari Alor Setar, Kedah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin selepas mendengar pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa, Nur Farhana Hashim.

Dalam pertuduhan dibacakan, Mohd Khairi didakwa pada 7 Jun lalu kira-kira jam 10.40 pagi di tepi pantai belakang Hotel Park Royal, Batu Ferringhi menyebabkan kecederaan parah kepada Arina Kirana Azrin.

Dia didapati melakukan perbuatan iaitu melanggar mangsa dengan menunggang kuda secara gopoh atau dengan cuai yang membahayakan nyawa manusia atau keselamatan diri orang lain.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Mohd Khairi yang memakai baju lokap polis ungu kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan dan mengangguk tanda faham dan merayu dikurangkan jumlah jaminan RM8,000 yang diminta pendakwa.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Julai ini untuk tarikh perbicaraan selain memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam. myMetro | Budak pantai nafi cuai

Sudah suratan ajal


BESUT: Seorang gadis yang pernah menggemparkan orang ramai apabila lehernya disembelih seorang wanita baru dikenalinya di Kuala Lumpur tahun lalu, menemui ajal apabila lemas ketika berkelah bersama rakan, semalam.
Mangsa, Erma Sarmiela Mohamed, 20, berasal dari Kampung Keluat, Tanjung Pauh, Bachok, Kelantan dikatakan tergelincir ke dalam lubuk ketika bermain air di kawasan perkelahan tingkat tiga, Lata Tembakah, Hulu Besut, di sini, kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Zakaria yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat Erma dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya.

Beliau berkata, Erma Sarmiela difahamkan tiba di Lata Tembakah kira-kira jam 11.30 pagi dan terus memasak makanan dibawa bersama rakannya.

Menurutnya, kira-kira jam 2 petang, mangsa yang dikatakan tidak tahu berenang bermain air di satu lokasi berhampiran bersama seorang rakan perempuan sebelum kedua-duanya tergelincir lalu terjatuh ke dalam air.


Rakannya, Khairil Azuan Haru, 20, berkata dia bersama tiga lagi rakan menemani mangsa berkelah di situ dengan menaiki sebuah kereta dari kampungnya kira-kira jam 9.30 pagi.

“Saya cuba menyelamat dan mengheret mangsa ke tepi tetapi tidak berjaya, malah saya hampir lemas ketika cuba menyelamatkannya,” katanya.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, rakan perempuan yang terjatuh sama ke dalam air sempat diselamatkan orang ramai tetapi mangsa terlepas ke dalam lubuk air yang dalam.

Hasil bantuan orang ramai dan pasukan penyelamat daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa ke Hospital Besut.

Sementara itu, ayah mangsa Mohamed Bedollah, 56, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Besut berkata, sebelum kejadian, anaknya yang sudah tidak bersekolah dan pernah bekerja di sebuah kilang di ibu negara meminta izinnya untuk berkelah dan membawa bekalan makanan termasuk ayam untuk dibakar di sana.


“Saya terkejut apabila menerima berita mengenai kematiannya daripada seorang anak lelaki kira-kira jam 3 petang tadi (semalam) sebelum bergegas ke Hospital Besut,” katanya.


Menurutnya, tahun lalu anaknya yang pernah bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur nyaris maut apabila disembelih seorang wanita tidak dikenali menyebabkan dia trauma dan pulang ke kampung.


“Kejadian hari ini (semalam) benar-benar menyedihkan kami sekeluarga kerana rupa-rupanya ajalnya sampai di sini selepas kejadian dia disembelih tahun lalu benar-benar mencemaskan kami semua,” katanya.


Katanya, dalam kejadian itu anaknya menerima 23 jahitan di bahagian leher setelah seorang wanita yang berpura-pura menumpang tidur di rumahnya untuk mencari pekerjaan bertindak agresif ketika anaknya sedang tidur.


Mohamed berkata, biarpun sedih dengan insiden itu, dia reda dengan kejadian itu dan kehilangan anak perempuannya itu tragedi kedua akibat lemas dalam keluarganya selepas seorang anak lelakinya ditemui mati lemas dalam sebuah lubang air yang dikorek oleh jengkaut tidak jauh dari rumahnya tiga tahun lalu.

myMetro | Sudah suratan ajal

‘Awak dah 58...insaflah’


KLANG: “Awak sudah 58 (tahun)...insaflah,” kata Majistret Nadia Othman kepada seorang warga emas yang cuba menipu mahkamah dengan mengemukakan seorang wanita didakwa isteri sebagai penjamin, di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh, Idris Osman sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri enam tandan kelapa sawit berharga RM42, di Pulau Indah, awal pagi Selasa lalu. Bagaimanapun, Nadia membenarkan Idris yang memiliki 10 kesalahan lampau membabitkan curi basikal dan motosikal antara 1971 dan 1994 dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 sementara menanti tarikh jatuh hukum pada 24 Jun ini.

Nadia berkata demikian selepas seorang wanita berusia 30-an tampil untuk menjamin tertuduh gagal mengemukakan sijil nikah kepada mahkamah. “Kamu kata sudah nikah. Tetapi tiada surat nikah. Awak tahu apa hukuman menipu di mahkamah? “Bagaimana saya nak timbangkan permohonan kamu (untuk diikat jamin). Berapa banyak kesalahan kamu sudah lakukan? Kamu tidak ada rasa bersalah ke?” katanya. Terdahulu, Idris yang hadir dalam keadaan muka yang bengkak memberitahu mahkamah dia dibelasah, manakala keretanya sudah hancur kerana menjadi sasaran orang kampung. Dia juga mengaku bersekedudukan dengan wanita yang mahu menjaminnya itu. Mengikut pertuduhan, Idris bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mencuri tandan kelapa sawit itu di tepi Jalan Tan Sri Muhamad Taib, Sungai Kembong, Pulau Indah, jam 3.30 pagi, 14 Jun lalu.

myMetro | ‘Awak dah 58...insaflah’

10 ninja tak sempat jual alat ganti


TANJUNG MALIM: Sekumpulan 10 penjenayah yang gemar muncul menutup muka persis ninja diberkas polis kurang 24 jam selepas merompak alat ganti kenderaan bernilai lebih RM1 juta.
Kumpulan suspek yang berusia 20 hingga 30-an itu dikesan memukul pengawal keselamatan sebelum merompak kilang alat ganti di Jalan Jelawat, Proton City, di sini, pada jam 3 pagi, 13 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata, suspek yang gemar berpakaian gelap dan bersenjatakan parang itu dikesan menyerbu masuk kilang terbabit sebelum menyerang tiga pengawal keselamatan.

Menurutnya, suspek kemudian mengikat semua mangsa sebelum melarikan pelbagai komponen alat ganti kenderaan dari dalam kilang berkenaan menggunakan lori.

“Susulan itu, satu pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD)Tanjung Malim diketuai Pegawai Risikan dan Operasi, Inspektor Shahrul Shamsudin melakukan ‘Ops Ninja’ bagi memburu penjenayah.


“Hasil risikan, empat suspek kumpulan itu diberkas berhampiran Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada jam 2.20 pagi, 14 Jun lalu,” katanya.

Menurutnya, hasil tangkapan polis menemui semula pelbagai alat ganti kenderaan bernilai kira-kira RM200,000 disembunyikan di sebuah rumah di Rasa, Hulu Selangor.

“Polis juga merampas kereta Proton Aeroback, parang, pisau, topeng, pakaian gelap serta pelan lokasi yang digunakan suspek dalam kes jenayah berkenaan.

“Susulan itu, enam lagi suspek dari kumpulan sama yang dipercayai bersembunyi di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa masih diburu polis,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Beliau berkata, kempat-empat suspek ditahan reman sehingga 20 Jun ini untuk membantu siasatan pihak polis mengikut Seksyen 395 Samun Berkawan Tanpa Senjata Api yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun.


“Polis percaya baki alat ganti kenderaan yang tidak ditemui itu cuba dijual semula pada harga murah. Orang ramai yang didatangi individu mahu menjual alat ganti kenderaan dengan harga murah diminta tampil memberi maklumat.


“Individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Wilson A/K Nohek di talian 017-5168879 atau 05-4528222,” katanya.

myMetro | 10 ninja tak sempat jual alat ganti

Amah bawa lelaki masuk bilik


SEGAMAT: Seorang pembantu rumah warga Indonesia sanggup menyeludup masuk teman lelakinya yang juga warga Bangladesh untuk mengadakan hubungan seks di kediaman majikannya di Taman Bandar Putera IOI di sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 9.20 malam itu, kegiatan sumbang pasangan terbabit tergendala selepas majikan wanita berkenaan menyedari sesuatu yang tidak kena di bilik pembantu rumahnya.

Menurut pengawal keselamatan taman berkenaan dikenali sebagai P Subramonie, 53, pembantu rumah terbabit berusia 30 tahun manakala pasangannya pula lima tahun lebih muda.
“Saya dimaklumkan jiran majikan pembantu rumah terbabit mendengar salakan anjing dan terlihat basikal di luar kediaman berkenaan.

“Saya bergegas ke sana dan sejurus tiba, majikan pembantu rumah berkenaan pula memaklumkan mungkin ada seseorang di bilik wanita yang sudah bertugas di sana sejak dua tahun lalu itu,” katanya.

Subramonie kemudiannya mengetuk pintu bilik berkenaan dan terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum ia dibuka.
Katanya, wanita terbabit membuka pintu bilik itu tetapi lampunya dipadamkan.

“Saya menjenguk ke dalam bilik dan mendapati lelaki Bangladesh terbabit bersembunyi di belakang pintu dalam keadaan berseluar dalam saja.

“Pembantu rumah itu mengaku sudah tiga kali bertemu teman lelakinya sejak berkenalan setahun lalu tetapi baru pertama kali melakukan hubungan seks,” katanya.

Subramonie yang sudah dua tahun bertugas di sana kemudiannya menyerahkan pasangan terbabit kepada polis untuk tindakan lanjut.

Majikan pembantu rumah terbabit yang berusia 40 tahun dan enggan dikenali memaklumkan dia tidak sedar bila wanita itu membawa masuk teman lelakinya.

“Pembantu rumah ini sudah dua tahun bekerja di sini dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

“Dia hanya memasak serta membasuh baju, saya belum pasti apa tindakan akan dilakukan terhadapnya selepas ini,” katanya yang masih bujang dan tinggal di rumah itu bersama ibu juga abang yang sering keluar daerah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 kerana menceroboh tempat kediaman.
myMetro | Amah bawa lelaki masuk bilik

Berdoa setiap hari


DUNGUN: “Orang mungkin sudah lupa tapi ingatan kami kepada Sharlinie masih kuat,” kata Mohd Nashar Mat Husin, 33, bapa kepada kanak-kanak hilang, Sharlinie, 8.
Dia yang ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut di sini, kelmarin mengakui buntu memikirkan misteri kehilangan Sharlinie yang masih belum terjawab meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mencari kanak-kanak berkenaan sejak dilaporkan hilang pada jam 11.30 pagi, 9 Januari 2008.

Sharlinie disedari hilang oleh kakaknya, Sharliena, 11, ketika mereka pulang bersama-sama dari taman permainan kira-kira 200 meter dari rumah sewa mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.

Menurut Mohd Nashar, ketika kejadian Sharliena terdengar bunyi orang berjalan menyebabnya menoleh ke belakang, tetapi tidak nampak sesiapa pun.

Bagaimanapun apabila berpaling semula ke hadapan, Sharliena terkejut apabila mendapati adiknya yang sebelum itu berjalan di depannya hilang. Kehilangan Sharlinie menggemparkan negara yang sebelum itu berduka dengan tragedi menimpa seorang lagi kanak-kanak yang diculik serta dibunuh, Nurin Jazlin Jazimin dan sehingga kini kes berkenaan masih belum selesai.


“Saya berharap pihak berkuasa dan orang ramai tidak melupakan kes anak saya. Kalau ada yang terjumpa dengannya atau mempunyai maklumat, saya berharap cepat-cepatlah hubungi polis.

“Saya juga sudah lama tidak mendengar perkembangan kes ini. Kali terakhir saya menghubungi Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya lebih setahun lalu dan dimaklumkan kes ini masih disiasat,” katanya yang turut memberitahu berdoa setiap hari supaya anaknya itu ditemui semula.

Tanpa berselindung, Mohd Nashar mengaku kadangkala air matanya tumpah apabila mengenangkan Sharlinie.

“Bila terasa sedih, saya cepat-cepat bermain dengan anak-anak yang lain untuk lari daripada kesedihan itu. Siapa yang tidak sedih kehilangan anak dengan cara itu.

“Sampai sekarang kami tidak tahu di mana dia berada dan pelbagai usaha sudah dibuat untuk mencarinya.


“Tetapi jauh di sudut hati saya yakin dia masih hidup,” katanya.


Menurutnya, keluarganya kini sudah mula dapat menerima kehilangan Sharlinie. Tinjauan Harian Metro di rumah Mohd Nashar mendapati terdapat tiga gambar Sharlinie ditampal dan digantung di dinding rumah termasuk satu pemberian cenderamata sebuah program televisyen yang dibingkaikan.


Namun, Mohd Nashar berkata, tidak banyak lagi barang anaknya yang tinggal untuk dijadikan kenangan.


“Barang milik Sharlinie yang tinggal hanyalah sehelai seluar jeans dan baju berwarna selain sepasang pakaian yang digunakannya ketika berusia tiga tahun.


“Barangan milik Sharlinie kurang dalam simpanan kami kerana kebanyakannya diberikan kepada bomoh yang mahu menjadikan pakaian sebagai ‘alat bantuan’ untuk mencarinya.


“Ada pengamal perubatan dan bomoh menghubungi kami meminta diposkan pakaian Sharlinie untuk tujuan mengesannya dan semua permintaan itu kami tunaikan,” katanya.
myMetro | Berdoa setiap hari

Libas rakan dengan parang


AMPANG: Amukan seorang lelaki yang cuba melibas parang hampir mencederakan rakannya dalam kejadian di Pandan Jaya, dekat sini, Selasa lalu.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 38 tahun bersama dua rakan lain bertemu lelaki itu untuk mengambil kembali keretanya, namun menerima libasan parang yang tidak dijangka.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal di Desa Seri Jenaris, Kajang berjumpa dengan rakannya itu yang mahu menyerahkan semula kereta, namun didapati diceroboh dan mengalami kerosakan.

Katanya, mangsa yang tidak berpuas hati cuba bertanyakan keadaan keretanya, namun dimarahi lelaki itu yang menafikan berbuat demikian.


“Suspek yang berang dengan pertanyaan itu kemudian terus melibas parang ke badan mangsa, namun sempat dihalang abangnya yang menasihatkan mangsa pulang bagi mengelak berlaku kejadian buruk.
myMetro | Libas rakan dengan parang

Pelakon kemuka dokumen mohon gugur kes cabul


SELAYANG: Pelakon veteran popular di era 70-an, Mokhtaruddin Mohd Said, 56, yang menghadapi tuduhan mencabul remaja perempuan berumur 13 tahun, Mei lalu bercadang mengemukakan dokumen kepada Jabatan Peguam Negara.
Perkara itu dimaklumkan peguam bela S S Dev yang mewakili tertuduh pada prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Menurutnya, selepas proses penyerahan dokumen pada tarikh sebutan akan datang selesai, pihaknya akan meneliti dokumen berkenaan sebelum bantahan dibuat untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Majistret Muhamad Najib Ismail kemudian menetapkan 29 Julai ini sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Pada 6 Mei lalu, pengasas Pondok Penyayang Raudah (PPR) itu mengaku tidak bersalah mencabul remaja perempuan berumur 13 tahun dengan mencium pipi dan memeluk pinggang mangsa tanpa kerelaan di asrama itu di No 336, Batu 11, Gombak dekat sini, pada jam 2.30 petang, 1 Mei 2011.


Difahamkan, mangsa yang turut menginap di asrama berkenaan membuat laporan polis pada 2 Mei lalu.

myMetro | Pelakon kemuka dokumen mohon gugur kes cabul

Pekerja didakwa


KLANG: Seorang pekerja ladang warganegara India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh peguam, Datuk R Anbalagan yang juga majikannya di sebuah kuil di sebuah kampung di Kapar, di sini, Isnin lalu.
Tertuduh, Narayanan Rajangam, 24, hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hadir memakai baju-T dengan beberapa kesan tompokan darah dan muka yang bengkak. Mengikut pertuduhan, Narayanan didakwa membunuh Anbalagan dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221, Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, di sini, pada jam 9.30 malam, 13 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim memohon satu tarikh sebutan sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi bagi menunggu laporan bedah siasat dan analisis kimia.


Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan kes itu.

Rabu lalu, akhbar melaporkan seorang pembantu rumah warga Indonesia menyaksikan sendiri majikannya, Anbalagan dikejar seorang pekerjanya yang bersenjatakan parang beberapa minit sebelum mangsa ditemui mati dalam sebuah kuil di Kampung Perepat. Dalam kejadian itu, Anbalagan, meninggal dunia akibat ditetak di bahagian badan, muka, bahu kanan dan tangan kiri.

Suspek melarikan diri dengan kenderaan pacuan empat roda serta mencuri barang kemas seberat 800 gram milik mangsa, tetapi ditahan polis sehari selepas kejadian.

myMetro | Pekerja didakwa

Hati bapa kini tenang


SHAH ALAM: “Hati saya sudah tenang,” kata pemandu lori, M Subramaniam, 52, selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam, membenarkan permohonannya supaya bedah siasat kedua dijalankan terhadap mayat anak perempuannya, S Pakiam, 23, yang dipercayai mati akibat didera keluarga mentua, 12 Februari lalu.
Subramaniam yang tidak dapat mengawal emosi melalui peguamnya, Vijay Chander berkata, pihaknya akan membuat tindakan susulan Isnin ini bagi mempercepatkan urusan bedah siasat ke atas Pakiam yang belum dikebumikan meskipun sudah lebih 100 hari meninggal dunia. Terdahulu, Vijay ketika ditemui pemberita berkata, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan menerima permohonan Subramanian tetapi memerintahkan bedah siasat itu dijalankan di Hospital Serdang (HS) serta kos berkaitan ditanggung keluarga Pakiam. Pada 31 Mei lalu, Subramaniam memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Ketua Balai Polis Padang Serai, Kedah; Ketua Polis Daerah Kulim, Kedah; Ketua Polis Negara; Pegawai Perubatan Hospital Kulim; Majistret Kulim; Pendakwa Raya dan Hospital Serdang sebagai responden.

Antara lain, dia memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya HS menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Pakiam yang masih disimpan di hospital itu.

Selain itu, laporan dan dokumen berkaitan bedah siasat itu perlu diserahkan terhadap peguamnya serta-merta.

Dia juga memohon supaya HS terus menyimpan mayat Pakiam di bilik mayat sehingga laporan bedah siasat kedua dilakukan terhadap si mati diserahkan kepada peguamnya.


Ia permohonan kali kedua Subramaniam selepas permohonan pertamanya ditolak mahkamah pada 10 Mac lalu atas alasan laporan bedah siasat pertama terhadap Pakiam belum dikeluarkan. Difahamkan, Pakiam anak kedua daripada empat beradik berkahwin dengan seorang lelaki, B James lima bulan dan berpindah ke Kulim, Kedah, untuk tinggal bersama keluarga mentuanya.

Perkahwinan pasangan itu diatur saudara- -mara kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Subramaniam mendakwa dimaklumkan James Pakiam meninggal dunia selepas mengambil ubat sakit perut pada 12 Februari lalu.

Dakwanya, sebelum berkahwin, Pakiam wanita muda yang sihat dan tidak mempunyai apa-apa kelemahan sama ada mental atau fizikal.

Namun, keadaan itu berbeza apabila melihat keadaan mayat anaknya.


“Ketika melihat mayat anak saya, badannya diselaputi banyak kecederaan seperti di tangan, perut dibakar dengan (puntung) rokok, kuku ibu jarinya sudah dicabut, kepalanya bengkak, giginya dicabut dan luka di seluruh badan,” katanya.


Menurutnya, Hospital Kulim sudah menjalankan bedah siasat pertama, namun belum memaklumkan keputusannya.


Susulan itu, dia membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan keadaan anaknya.

myMetro | Hati bapa kini tenang

Melecur pindah petrol


KUALA TERENGGANU: “Sebelum keluar rumah hati saya gelisah dan anak kecil pula menangis tidak berhenti seperti ada perkara buruk akan berlaku,” kata Mohd Azuhar Deraman, 32, yang melecur 50 peratus dalam kebakaran di Loji Penapisan Minyak, Kerteh, Kemaman, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa memindahkan petrol mentah sebuah lori tangki ke sebuah tong atas lori miliknya tanpa menyedari alat saluran digunakan bocor dan terbakar selepas terkena enjin lori yang panas.

Bapa tiga anak itu ketika ditemui di Wad Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, berkata ketika kejadian dia bersama dua rakan memindahkan petrol mentah, tetapi disebabkan kedudukannya paling hampir dengan lori terbabit dia tidak sempat menyelamatkan diri ketika kebakaran.

“Belum sempat saya mengelak api menyambar baju dan seluar. Walaupun terasa amat perit, namun saya cuba menanggalkan pakaian bagi mengelakkan diri dibakar api marak berkenaan.

“Sebaik memastikan keadaan saya selamat, rakan menghubungi bomba untuk memadam kebakaran dan api marak itu berjaya dipadamkan selepas anggota penyelamat tiba,” katanya yang tinggal di Taman Sri Bayu, Paka, Dungun.


Sementara itu, isteri mangsa, Norlida Nordin, 26, berkata dia sebak sebaik mendengar suara suami memberitahu badannya melecur akibat kebakaran dan hanya memakai seluar dalam ketika pulang ke rumah.

“Walaupun keadaan suami agak kritikal ketika itu, namun dia pulang ke rumah untuk tukar pakaian dan memberitahu saya dia malu ke klinik kerana baju dan seluarnya hangus.

“Namun, saya lega apabila doktor memberitahu keadaan suami dilaporkan stabil dan akan menghantarnya ke HSNZ untuk rawatan selanjutnya,” katanya ketika ditemui, semalam.

myMetro | Melecur pindah petrol

Pelatih diserah kepada ahli keluarga


KUALA TERENGGANU: Seramai 13 penghuni termasuk dua wanita yang ditempatkan di dua pusat pemulihan akhlak di Marang yang didera dan diseksa sudah diserahkan kepada ahli keluarga mereka, kelmarin.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Zuhami Omar berkata, semua penghuni berumur 15 hingga 36 tahun yang berasal dari beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang dan negeri ini diserahkan kepada ahli keluarga sebaik saja JKM memperoleh maklumat ahli keluarga mereka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua pusat pemulihan terletak di Kampung Bukit Gasing yang menempatkan pelatih lelaki dan wanita di Jalan Bukit Gasing, Marang itu tidak berdaftar dengan JKM. “Difahamkan, pusat berkenaan cawangan satu pertubuhan. Semua penghuni berkenaan dipercayai terdiri daripada bekas penagih dan mereka yang terbabit dalam gejala sosial.

“JKM akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut secara terperinci. Buat masa ini, biar polis menjalankan siasatan memandangkan ia menjadi kes polis,” katanya.

Akhbar, semalam melaporkan keengganan pengurusan sebuah pusat pemulihan akhlak di Marang membenarkan seorang bapa membawa anaknya keluar dari pusat itu membongkar rahsia penderaan terhadap penghuni di situ apabila ada antara mereka dirantai kaki dan dipukul dengan wayar elektrik.


Penderitaan semua penghuni berkenaan berakhir apabila mereka diselamatkan sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan pegawai JKM meninjau pusat itu pada jam 5 petang, Rabu lalu.

myMetro | Pelatih diserah kepada ahli keluarga

Mayat dalam teksi


PETALING JAYA: Orang ramai yang lalu berhampiran sebuah teksi yang diletakkan di bahu jalan terkejut apabila menjumpai mayat lelaki dalam kenderaan itu di Taman Medan Baru, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Wong Chee Leong, 32, berasal dari Seri Kembangan dan bekerja sebagai pemandu teksi ditemui kira-kira jam 7.30 malam. “Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sehari sebelum mayatnya ditemui dalam teksi berkenaan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan percaya mangsa dibunuh lebih daripada seorang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Menurutnya, cop jari pada teksi berkenaan sudah diambil bagi membantu polis mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Barang milik mangsa tidak dilarikan tetapi polis menjumpai beg plastik mengandungi pakaian diletakkan dalam teksi berkenaan.


“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
myMetro | Mayat dalam teksi

Jeritan amah penyelamat

JASIN: Jeritan seorang pembantu rumah berjaya menyelamatkan keluarga seorang pengarah urusan sebuah syarikat di sini, daripada menjadi mangsa empat penyamun termasuk tiga bersenjatakan pisau yang memecah masuk rumah mangsa di Kampung Umbai di sini, awal pagi semalam.
Begitupun, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang menguruskan syarikat produk berasaskan herba itu mendakwa kerugian RM55,000 apabila sejumlah jam tangan, wang tunai dan telefon bimbit dilarikan penyamun.

Mangsa yang enggan dikenali berkata dia hanya menyedari rumahnya dimasuki penyamun dipercayai warga asing, selepas seorang daripada mereka mengejutkan dan mengacukan pisau ke lehernya.
Katanya, dia yang tergamam hanya mendiamkan diri sebelum isterinya berusia 32 tahun yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak keempat sebulan lalu, terjaga daripada tidur dan seorang daripada penyamun itu mengikat tangannya serta bertanya di mana barangan berharga disimpan.

“Bimbang keselamatan tiga anak yang tidur bersama isteri di bilik berkenaan dia terus menunjukkan tempat simpanan itu.

“Mereka menyelongkar almari sambil melihat satu persatu barangan berharga iaitu jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai.
“Saya bimbang mereka mengambil jam Rolex milik arwah ayah, satu-satunya barangan kesayangan, saya meminta mereka mengambil benda lain yang lebih berharga,” katanya di sini, semalam.

Pada masa sama, ibunya yang berusia 60 tahun turut diikat tangan dan seorang daripada penyamun mengambil gelang emasnya. Seorang perompak cuba mengikat tangan isterinya tetapi tidak jadi apabila diberitahu isterinya masih dalam pantang.
Dalam tempoh 15 minit tiga lelaki yang bertopeng itu berada di dalam bilik, tiba-tiba orang gaji menjerit apabila melihat seorang perompak berada di luar bilik.

“Mereka melarikan diri selepas mendengar jeritan itu dan saya bernasib baik kerana empat anak tidak diapa-apakan, termasuk anak sulung saya berusia lapan tahun yang bersama ibu saya ketika itu.

“Semua anak saya tidak menyedari kejadian berkenaan kerana mereka sedang tidur.

“Saya dapati jeriji tingkap di ruang makan dipotong kumpulan perompak itu dan selepas mendapati semuanya selamat, saya membuat laporan di Balai Polis Merlimau jam 6.15 pagi (semalam),” katanya.
myMetro | Jeritan amah penyelamat

Ketua kartel El Brad Pitt ditahan

MEXICO CITY: Polis persekutuan Mexico, semalam mengumumkan menahan ketua kanan penjenayah yang dikaitkan dengan kartel dadah Juarez yang dikenali sebagai ‘El Brad Pitt’.
Dalam satu kenyataan, polis berkata mereka menahan Marco Guzman atau ‘El Brad Pitt’ atau ‘El Dos’ (Nombor 2), pemimpin pasukan bersenjata kartel itu, La Linea.

“Ia adalah nama yang diberikan oleh rakan sekutunya. Saya rasa mereka fikir dia kelihatan seperti pelakon itu,” kata jurucakap polis persekutuan merujuk kepada bintang Hollywood Brad Pitt, 47. Foto polis yang diambil selepas penahan itu menunjukkan Guzman mempunyai rambut hitam, pelipis yang sedikit cengkung, bermata hitam dan berjanggut sejemput. Hidungnya seakan-akan sama dengan Pitt. - Reuters
myMetro | Ketua kartel El Brad Pitt ditahan

4 larikan alat ganti RM1 juta diberkas

Suspek gelarkan diri Geng Ninja samun kilang vendor selepas ikat tiga pengawal keselamatan

TANJUNG MALIM: Polis berjaya memberkas empat daripada 10 lelaki anggota kumpulan penyamun menggelar diri mereka Geng Ninja, kira-kira 24 jam selepas mereka melarikan alat ganti kenderaan bernilai kira-kira RM1 juta dari sebuah kilang di Proton City, di sini.

Suspek berusia 20 hingga 30-an ditahan di sekitar Bukit Sentosa, Hulu Selangor dalam Ops Ninja yang dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim, diketuai Pegawai Risikan dan Operasi, Inspektor Shahrul Shamsudin kira-kira jam 2.20 pagi, Selasa lalu.
Mereka bersama enam lagi suspek yang masih diburu disyaki menggunakan topeng, berpakaian gelap serta bersenjatakan parang menyamun sebuah kilang vendor mengeluarkan alat ganti kenderaan di Jalan Jelawat, Proton City selepas mengikat tiga pengawal keselamatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata polis berjaya menemui semula alat ganti kenderaan bernilai kira-kira RM200,000, antaranya pengilap cermin dan penyerap hentakan yang disimpan di salah sebuah rumah di Rasa, Hulu Selangor.

“Polis turut merampas kereta Proton Wira Aeroback, parang, pisau, topeng dan pakaian gelap serta pelan lokasi kilang yang disamun. Polis memburu enam lagi suspek yang dipercayai masih berada di kawasan Bukit Beruntung serta Bukit Sentosa dan yakin dapat menangkap mereka dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media, semalam.
Beliau berkata, empat suspek itu direman sehingga Isnin ini dan polis percaya baki alat ganti kenderaan yang belum ditemui masih berada ekitar Tanjung Malim.

“Kita minta orang ramai segera lapor kepada polis sekiranya didatangi orang mahu menjual alat ganti kenderaan pada harga lebih murah daripada pasaran,” katanya.
Berita Harian Online | 4 larikan alat ganti RM1 juta diberkas

Tapir cedera jatuh parit


ANGGOTA JPAM menarik tapir keluar dari longkang di kawasan perumahan Kempadang Perdana, dekat Kuantan, semalam.
ANGGOTA JPAM menarik tapir keluar dari longkang di kawasan perumahan Kempadang Perdana, dekat Kuantan, semalam.


KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang menyelamatkan seekor tapir jantan berumur kira-kira 15 tahun yang terjatuh ke dalam longkang konkrit di kawasan perumahan Kempadang Perdana, Jalan Pantai Sepat di sini, semalam.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff, berkata pihaknya menerima aduan orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, sebelum lima anggota bergegas ke lokasi tapir itu terjatuh untuk menyelamatkan haiwan dilindungi itu.
Khairiah berkata, usaha menyelamatkan haiwan yang dianggarkan seberat 350 kilogram itu dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah dan penduduk setempat.
“Pada mulanya, usaha mengeluarkan tapir itu menemui jalan buntu disebabkan keadaan gelap selain saiz longkang yang agak sempit dengan kedalaman kira-kira satu meter. Malah, sifat haiwan berkenaan yang lebih agresif pada waktu malam menggagalkan usaha mengeluarkannya.

“Namun, kita hanya berjaya mengeluarkan haiwan berkenaan selepas mengumpan daun senduduk kira-kira 8.30 pagi semalam. Tapi itu kemudian dihalau ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khairiah berkata, tapir itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat bergesel dengan dinding konkrit longkang namun ia tidak serius sehingga boleh mengancam nyawanya.

Sementara itu, di KANGAR, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas sembilan burung merbah dan murai, spesies dilindungi dianggarkan mencecah harga RM1,000 seekor yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.
Semua burung membabitkan lima jenis merbah jambul, dua merbah telinga merah dan masing-masing seekor merbah bidi dan murai batu dianggarkan bernilai RM10,000 itu dirampas di sebuah rumah kosong dipercayai milik seorang penduduk tempatan di Kampung Telaga Haji Latif, dekat Arau, di sini kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata pihaknya percaya rumah kosong itu dijadikan lokasi transit untuk menyimpan burung terbabit sementara menunggu masa untuk diseludup ke luar negara, tetapi seorang lelaki dipercayai pemilik haiwan dilindungi itu sempat melarikan diri ketika serbuan. Berita Harian Online | Tapir cedera jatuh parit

Dua beradik maut digilis lori tangki

TAIPING: Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia lima tahun mengikut datuk mengambil kakaknya pulang dari sekolah berakhir dengan tragedi apabila dua beradik itu maut digilis sebuah lori tangki manakala datuknya cedera dalam kemalangan di Jalan Temerlok-Kuala Trong, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa, Mohd Azizi Abdul Rahim, 5, dan kakaknya, Norshafikah, 15, maut di tempat kejadian manakala datuknya, Mahmud Din, 75, dikejarkan ke Hospital Taiping, di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mat Diah, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga mangsa yang menaiki motosikal bergesel dengan sebuah lori tangki di sebuah persimpangan.
Yusof berkata, insiden itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa terjatuh di atas jalan dengan dua beradik terbabit terjatuh di bawah lori tangki sebelum digilis.
“Datuk dua beradik itu bernasib baik kerana terjatuh di sisi lori. Mangsa dalam perjalanan ke rumah mereka di Kampung Nibung di Temerlok, lori dari arah Changkat Jering ke Pantai Remis,” katanya di sini, semalam.

Yusof berkata, mayat kedua-dua beradik terbabit dihantar ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat dan dituntut keluarganya malam tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nibung, dekat sini.

“Mahmud dirawat di hospital dan dilaporkan stabil. Manakala pemandu lori berusia 40-an yang ditahan sejurus selepas kejadian sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. Berita Harian Online | Dua beradik maut digilis lori tangki

Samseng mabuk buat perangai

PETALING JAYA - Penduduk di Flat Muniandy, Taman Petaling Utama di Jalan Klang Lama di sini kelmarin diselubungi ketakutan apabila kawasan itu tiba-tiba diserang sekumpulan sembilan lelaki bersenjatakan parang yang merosakkan 20 buah kereta penghuni.
Kejadian pukul 9 malam itu berlaku apabila penyerang didakwa bertindak memecahkan cermin kereta penduduk flat tersebut mengggunakan parang.
Difahamkan, kesemua penjenayah itu sedang mabuk berdasarkan sikap mereka ketika datang dalam keadaan terhoyong-hayang, merepek dan berbau arak.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, ketika kejadian, dia berada di dalam sebuah kedai makan sebelum bertempiaran lari masuk ke dalam rumah sebaik kawasan perumahan itu diserang.
Katanya, ketika melarikan diri, dia nampak sembilan lelaki bermotosikal dalam keadaan terhoyong-hayang melibas-libaskan parang ke arah cermin kereta penduduk sehingga pecah.
"Selepas beberapa minit saya keluar semula, saya mendapati mereka telah melarikan diri dan apabila diperiksa tidak kurang 20 buah kereta telah dirosakkan.
"Ketika menetak cermin, saya dengar mereka merepek seperti orang mabuk tetapi tidak tahu pula mengapa mereka bertindak sedemikian," ceritanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara