Search This Blog

Friday, June 17, 2011

Ramai penduduk Iran langgar peraturan berpakaian ditahan



TEHERAN 16 Jun - Ramai wanita dan lelaki ditahan hari ini apabila polis di ibu negara Iran ini memperhebatkan operasi untuk memastikan penduduk mematuhi peraturan berpakaian mengikut Islam.
Di beberapa dataran di sini, polis dan unit pencegah maksiat menahan wanita kerana mengenakan pakaian yang dianggap tidak Islamik.
Ramai dibawa ke balai polis untuk ditahan sementara waktu, kata saksi.
"Anak perempuan saya dibenarkan menghubungi saya melalui telefon untuk memberitahu bahawa dia ditahan di sebuah balai polis sehingga keputusan mengenai kesnya diketahui," kata seorang arkitek, Taraneh, 48.
Kata wanita itu, suaminya telah berkejar ke balai polis untuk cuba mendapatkan pembebasan anak mereka.
Menurut saksi lain, polis turut menahan kereta yang membawa lelaki dan wanita muda dan meminta mereka menunjukkan sijil nikah.
Pasangan yang tidak dapat membuktikan mereka sudah berkahwin ditahan untuk disiasat, sementara ibu bapa mereka dihubungi.
Unit-unit pencegah maksiat juga memasuki premis syarikat swasta di Teheran untuk memastikan kakitangan wanita mematuhi peraturan berpakaian. - dpa
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Polis buru bomoh wanita rawat pesakit hingga maut



KUALA TERENGGANU 16 Jun - Polis memburu seorang bomoh wanita berketurunan Siam yang merawat pesakitnya sehingga mati di Kampung Pulau Rusa Mercang, Marang, malam semalam.
Bomoh dikenali sebagai Kak Yah berusia 43 tahun itu dipercayai menetap di situ sejak lebih setahun lalu bersama suaminya, berusia 33 tahun, dari Rantau Panjang, kini menghilangkan diri ekoran kejadian tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pihak polis telah merampas beberapa peralatan digunakan untuk tujuan perubatan di rumah itu.
Dalam kejadian itu, seorang pemuda, Faisal Harun, 26, dari Kampung Gong Beris Marang, yang dikatakan terkena buatan orang dibawa oleh anggota keluarganya mendapat rawatan di rumah bomoh berkenaan.
Mangsa dikatakan dipaksa minum air dalam kuantiti banyak termasuk melalui hos getah kononnya untuk mengeluarkan jin yang merasuk dalam badan lelaki berkenaan.
Menurut Manoharan, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Jelas Manoharan, mangsa difahamkan menghidap penyakit mental walaupun bomoh itu mendakwa mangsa sebenarnya terkena buatan orang.
Dalam perkembangan berkaitan, Manoharan menyeru kepada orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana bomoh yang kononnya mampu merawat sebarang penyakit.
Katanya, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan setiap tindak-tanduk bomoh-bomoh yang keterlaluan.
"Jika rawatan yang diberikan (bomoh) agak keterlaluan, saya nasihatkan mereka hentikan rawatan itu dan bawa pesakit terus berjumpa doktor," katanya.
Sementara itu, keluarga mangsa memberitahu mereka diminta menyediakan sembilan jenis bahan-bahan pelik berwarna hitam termasuk sembilan ekor ayam kampung, telur ayam, cincau dan anggur serta wang pendahuluan RM200 untuk merawati penyakit dihidapi Faizal.
Bapa mangsa, Harun Busu Senik, 56, berkata, dirinya seolah-olah dipukau apabila menuruti semua permintaan bomoh tersebut.
"Kami bagai kena pukau ketika melihat Faizal dipaksa minum air berterusan. Apabila tiba di hospital baru kami tersedar dan marah atas perbuatan bomoh itu," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

11 lelaki ditemui kaki dirantai


KUALA TERENGGANU 16 Jun - Seramai 11 lelaki yang 'dirawat' di sebuah pusat rawatan dan pemulihan akhlak swasta di Kampung Bukit Gasing, Seberang Marang dekat sini ditemui terkurung dalam sebuah rumah dengan kaki masing-masing dirantai, semalam.

Selain penghuni lelaki berusia antara 15 hingga 36 tahun itu, dua penghuni wanita berusia 23 dan 24 tahun turut ditemui dikurung dalam sebuah rumah lain yang dijadikan pusat pemulihan akhlak dan pusat rawatan tersebut.
Semua mereka ditemui sepasukan polis setelah bapa kepada salah seorang daripada penghuni itu membuat laporan ekoran kecewa kerana tidak dibenarkan berjumpa anaknya yang dirawat di pusat rawatan itu.
Polis yang menyerbu dua buah rumah yang dijadikan pusat rawatan dan pemulihan akhlak itu menemui 11 penghuni lelaki dan dua wanita yang dikurung berasingan.
Bagaimanapun, kedua-dua penghuni wanita itu tidak dirantai atau diapa-apakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, berikutan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 38 hingga 50 tahun termasuk pengurus pusat pemulihan akhlak tersebut untuk disoal-siasat.
Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, kesemua lelaki yang dikurung mendakwa mereka turut didera termasuk ditampar dan dirotan.
"Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang, polis merampas semua alat yang digunakan untuk mendera penghuni itu termasuk wayar dan kabel," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Manoharan, kesemua mangsa kini dihantar ke Jabatan Kebajikan Daerah Marang untuk penempatan sementara setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berdekatan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana mengurung orang dengan salah serta Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan.
"Polis juga sedang menyiasat pusat rawatan itu dan berdasarkan maklumat awal, ia dimiliki oleh sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kereta bertembung, dua beranak maut



KUANTAN 16 Jun - Dua beranak maut manakala sepasang suami isteri parah selepas dua buah kereta yang mereka naiki bertembung di Jalan Besar Jengka 23, dekat Maran, semalam.
Mangsa, Md. Jelani Hassan, 46, dan ibunya, Putih Ngatimin, 71, yang menaiki Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian manakala pasangan suami isteri yang menaiki Proton Saga pula parah dan kini dirawat di Hospital Maran.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, kedua-dua beranak berkenaan serta tiga lagi penumpang dalam perjalanan dari Pekan Awah menuju Jengka 13.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Md. Jelani terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga tersebut.
"Akibat pertembungan itu, mangsa dan ibunya maut di tempat kejadian manakala tiga penumpang belakangnya cedera ringan.
"Pasangan suami isteri yang menaiki Proton Saga itu pula parah manakala dua anak perempuan mereka cedera ringan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian jalan licin selepas hujan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Ibu tunggal dakwa tiga anak dipukul di pusat tahfiz




FOUZIAH Mohd. Tabi (kiri) melihat kesan kecederaan yang dialami oleh Khayrin Qistina Faqihah (tengah) dan Zeekey Ismeth Faqih Azuki di Wad Kanak-Kanak HSA, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 16 Jun - Seorang ibu tunggal mendakwa tiga anaknya yang belajar di sebuah pusat tahfiz di Taman Tampoi Utama di sini, dipukul, dirotan, ditampar dan dipijak di kepala oleh tenaga pengajar di asrama pusat berkenaan.
Menurut Fouziah Mohd. Tabi, 36, ketiga-tiga anaknya iaitu Zeekey Ismeth Faqih Azuki, 9, Khayrin Qistina Faqihah, 13, dan Nurin Athirah Faqihah, 15, mula mengikuti pembelajaran di pusat tahfiz berkenaan pada Mac dan April lalu.
Dia memasukkan tiga daripada enam anaknya itu ke pusat berkenaan untuk mendapatkan ilmu agama kerana dia sibuk berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga selepas kematian suaminya setahun lalu.
Dakwanya, ketiga-tiga anaknya itu mula dihukum oleh seorang ustazah dan dua ustaz yang menjaga asrama di pusat tahfiz berkenaan sejak dua minggu lalu.
"Khayrin didakwa mencuri wang RM20 milik salah seorang ustazah sebelum dia dipukul, ditendang, ditampar, dirotan selain dipijak di kepala.
"Nurin pernah dirotan sebelum diusir keluar dari asrama kerana didakwa mengumpat ustazah yang menghukum adiknya," katanya semasa ditemui di Wad Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Fouziah berkata, Zeekey turut mengalami nasib sama apabila dirotan atas kesalahan keluar dari asrama tanpa kebenaran.
"Saya tak kisah seandainya mereka dihukum jika benar mereka bersalah, tetapi saya tidak setuju dihukum dengan cara kekerasan yang melampau.
"Sepatutnya, pusat tahfiz itu menjaga kebajikan terutama sekali anak-anak yatim dan bukannya menganiaya mereka," katanya.
Berikutan kejadian tersebut, Fouziah telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Johor Bahru Selatan semalam sebelum membawa ketiga-tiga anaknya menjalani pemeriksaan di HSA.
Katanya, laporan berkenaan dibuat bukan kerana hendak mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya tidak mahu perkara sama berlaku kepada pelajar lain yang tinggal di asrama pusat tahfiz berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Johor Bahru, Faridah Mustafa yang turut melawat mangsa berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Lelaki didakwa tunggang kuda hingga cederakan kanak-kanak


GEORGE TOWN: Seorang penunggang kuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menunggang kuda secara cuai sehingga mencederakan seorang kanak-kanak berusia 5 tahun pada 7 Jun lepas.
Mohd Khairi Mohd Nor, 28, dituduh menunggang kuda hingga mencederakan Arina Kirana Azrin pada kira-kira 10.40 pagi di pantai belakang Hotel Park Royal Batu Feringghi di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menunggang kuda secara gopoh dan cuai hingga membahayakan nyawa manusia dan keselamatan orang lain.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 kerana tertuduh telah mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, Mohd Khairi yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan itu dikurangkan.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes.
myMetro | Lelaki didakwa tunggang kuda hingga cederakan kanak-kanak

Khabar duka jam 2 pagi


KUANTAN: “Saya baru saja hendak melelapkan mata selepas selesai bertugas syif malam sebelum dikejutkan dengan berita menyedihkan,” kata Koperal Mansor Yahaya, 52, bapa kepada Muhammad Fuad Mansor, 26, dari Jalan Padang Buloh, Pekan yang terbunuh selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Semambu, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, rakan Muhammad Fuad yang turut berada dalam kereta itu, Mohd Redzuan Ghazali, 23, dari Kampung Mengkasar, Pekan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, dua sahabat karib itu yang bekerja sebagai mekanik motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Indera Mahkota, di sini, selepas memancing dan minum di sebuah warung.

Menceritakan semula kejadian, Mansor berkata, dia yang baru pulang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pekan pada jam 12 tengah malam menerima panggilan telefon daripada jirannya memaklumkan anak sulung daripada lima beradik itu terbabit dalam kemalangan.

Katanya, dia bersama isterinya kemudian bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk melihat anaknya sebelum diberitahu mangsa meninggal dunia.


“Saya reda serta menerima kejadian terbabit walaupun berat hati. Kali terakhir saya bertemu dengannya pada 12 Jun lalu ketika dia pulang ke rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan di Tanah Putih, Pekan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mansor yang bertugas di Cawangan Trafik, IPD Pekan berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik ketika menghadiri majlis perkahwinan berkenaan.

Menurutnya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Makam Chondong, Pekan, kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian sebuah lori dari Jalan Bypass cuba memotong dua kenderaan di depan.

Pada masa sama, mangsa bersama rakannya yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum bertembung.

“Hasil ujian saringan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan terhadap pemandu lori terbabit yang berusia 53 tahun dari Jalan Haji Ahmad, di sini, didapati negatif.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, semalam.
myMetro | Khabar duka jam 2 pagi

Ayah, adik mati serentak


BANDAR BAHARU: “Sebelum ayah keluar menghantar adik ke Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru, saya sempat menatap wajah mereka, tetapi tidak kelihatan sebarang perubahan.
“Bagaimanapun, tidak sampai 10 minit, jantung saya bagai disentap apabila mendapat khabar duka mereka terbabit dalam kemalangan,” kata Mohd Naziri Mat Daud, 35, dari Kampung Sungai Itam Luar, Serdang, dekat sini, yang kehilangan dua orang tersayang serentak apabila bapanya, Mat Daud Taib, 62, dan adik perempuannya, Siti Hajar, 14, terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, motosikal Honda EX5 yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah lori pasir kosong di Batu 22 Jalan Terap, dekat sini, menyebabkan mereka mati serta-merta akibat kecederaan parah.

Mohd Naziri yang juga seorang kelasi berkata, menjadi rutin harian bapanya menghantar Siti Hajar ke sekolah setiap pagi sebelum melakukan pekerjaannya memetik buah kelapa sawit di ladang berhampiran rumah.

“Terkejut dengan perkhabaran itu, saya bergegas ke tempat kejadian yang tidak jauh dari rumah kami dan terasa hiba apabila melihat keadaan ayah dan adik yang sudah tidak bernyawa lagi serta keadaan motosikal mereka remuk.


“Saya tidak menyangka pertemuan dengan mereka pada pagi tadi (semalam) sebelum ayah dan adik pergi sekolah menjadi detik terakhir buat kami kerana mereka kini sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya yang ditemui di bilik mayat Hospital Kulim, di sini.

Mohd Naziri berkata, biarpun berasa kecewa dan kesal dengan kejadian berkenaan, namun tetap reda dengan pemergian bapa dan adik perempuannya buat selama-lamanya kerana ia sudah menjadi ketentuan Ilahi.

Menurutnya, lori memang banyak menggunakan laluan berkenaan dan sudah beberapa kali berlaku kemalangan termasuk membabitkan kematian sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung.
“Justeru, saya amat berharap pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memantau laluan ini yang sering berlaku kemalangan bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke pekan Serdang sebelum bertembung dengan lori pasir terbabit di Batu 22 Jalan Terap, di sini.

Menurutnya, lori terbabit dari Selama, Kedah dan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan sebelum hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa bersama anaknya yang cedera parah di kepala dan badan mati serta-merta di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Pemandu lori berusia 37 tahun terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas pemilik kenderaan berat itu membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.
myMetro | Ayah, adik mati serentak

Dera pelatih


KUALA TERENGGANU: Keengganan pengurusan sebuah pusat pemulihan akhlak di Marang membenarkan seorang bapa membawa anaknya keluar dari pusat itu membongkar rahsia penderaan dialami penghuni di situ apabila ada antara mereka dirantai kaki dan dipukul dengan wayar elektrik.
Penderitaan penghuni berkenaan berakhir apabila mereka diselamatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meninjau pusat berkenaan pada jam 5 petang kelmarin.

Polis meninjau pusat itu selepas menerima laporan daripada lelaki terbabit yang tidak berpuas hati apabila permintaannya membawa keluar anak tidak dilayan pihak pengurusan pusat itu.

Sebaik menerima laporan, pihak polis mengesan pengurus, bapa pengurus berkenaan dan seorang rakan pengurus terbabit untuk membantu siasatan.


Hasil siasatan terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 28 dan 50 tahun itu, anggota polis dan pegawai JKM meninjau dua pusat pemulihan berkenaan yang terletak di Kampung Bukit Gasing yang menempatkan pelatih lelaki dan manakala wanita di Jalan Bukit Gasing, Marang pada jam 5 petang.

myMetro | Dera pelatih

Anjing salak mayat bayi


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki terkejut apabila mendapati ‘objek’ terapung yang disangka anak patung di dalam Sungai Segambut di sini, semalam sebenarnya mayat bayi lelaki yang cukup sifat dipercayai dibuang.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, penternak kambing dikenali sebagai Azmi, 40, berkata dia memeriksa ‘objek’ itu selepas diminta berbuat demikian oleh seorang pekerja pembersih sampah yang menemuinya.

“Saya terkejut apabila mendapati mayat bayi lelaki dalam keadaan telentang itu sudah kembung manakala kepalanya kemik selain masih bertali pusat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Azmi, dia tidak menyangka salakan sekumpulan anjing yang berkumpul di tepi sungai terbabit sejak malam kelmarin, rupanya petanda kejadian terbabit.

“Malam tadi (kelmarin) ketika mahu menutup kandang kambing, saya ternampak beberapa ekor anjing menyalak ke arah sungai seolah-olah ternampak sesuatu yang pelik.


“Namun, saya tidak memeriksa lanjut kerana beranggapan mungkin kumpulan anjing itu terserempak dengan biawak atau ular yang sering ditemui di perangkap sampah itu,” katanya.

Azmi berkata, sepanjang tinggal di kawasan itu sejak setahun lalu, ia kejadian pertama membabitkan penemuan mayat bayi di sungai yang terletak di belakang Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan hasil siasatan awal, polis percaya mayat bayi berkenaan dihanyutkan dari hulu sungai lebih 24 jam sebelum itu.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
myMetro | Anjing salak mayat bayi

Pijak, belasah dua beradik


GOMBAK: Seorang lelaki bertindak kejam apabila sanggup memukul, memijak dan mengacukan pisau ke leher dua beradik berusia tujuh dan lapan tahun di kediaman mereka di Bandar Country Homes, Rawang, sebelum menyamun mereka, kelmarin menyebabkan mereka kini trauma.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, dua kanak-kanak lelaki itu yang sedang menonton televisyen terkejut apabila tiba-tiba dua lelaki tidak dikenali meluru masuk ke dalam rumah sambil mengacukan pisau dan mengarahkan mereka diam jika tidak mahu diapa-apakan.

Menurut sumber, ketika kejadian ibu mangsa yang keluar sebentar ke kedai untuk membeli makanan terkejut apabila mendapati dua anaknya menangis manakala tangan mereka diikat.

“Ibu mangsa terus membuka ikatan anaknya sebelum memujuk mereka supaya berhenti menangis.


“Selepas membuka ikatan, dia kemudian bertanya apa yang berlaku dan terkejut apabila diberitahu rumah dimasuki dua lelaki yang tidak dikenali menyamun dan membelasah mereka,” katanya.

myMetro | Pijak, belasah dua beradik

Nafi jual bayi


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu jururawat yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta, November tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdagangkan bayi berusia lapan bulan.
Tertuduh, Gulab Jan Abdul Jabir, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain. Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud eksploitasi di Hospital Taj, Batu 3, Jalan Ipoh dekat sini, jam 2.10 petang, pada 1 November 2010. Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

Terdahulu Nor Amalina menawarkan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. “Kes ini satu kes yang serius dan ia wajar dikenakan jaminan tinggi,” kata Nor Amalina. Bagaimanapun, Gerard memohon jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak lagi bekerja serta penjamin tertuduh tidak menyediakan wang jaminan mencukupi. “Tertuduh tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama keluarga, dia kini ditanggung adik-beradiknya. Tertuduh tidak mempunyai kereta, malah pergi kerja dengan menaiki bas,” katanya. Selain itu, Gerard berkata, tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan dan tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri, justeru memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jaminan yang rendah. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan.

Sebelum ini akhbar melaporkan seorang doktor bergelar Datuk ditahan bersama isteri serta anak perempuannya dan tiga kakitangan sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh pada 1 November lalu kerana terbabit dalam sindiket penjualan bayi selepas urusan jual beli seorang bayi perempuan bernilai RM21,000.

myMetro | Nafi jual bayi

Peniaga kedai runcit didakwa rasuah polis


SHAH ALAM: Seorang peniaga kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan memberi rasuah wang tunai RM3,000 kepada anggota polis bagi mengelak tindakan undang-undang terhadap ayahnya, di Klang, tahun lalu.
Tertuduh, S Thanabalan, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan itu kepada seorang Cif Inspektor di Pejabat Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, jam 12.45 tengah malam pada 30 Ogos tahun lalu.

Sogokan itu bagi mengelak ayah Thanabalan, R Subbarayan, 68, berdepan tindakan undang-undang kerana membeli mercun dan rokok tanpa dikenakan cukai import, satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.


Ia memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ng Siew Wee menawarkan jaminan RM8,000.
myMetro | Peniaga kedai runcit didakwa rasuah polis

Jurujual didenda cederakan kekasih


KUALA LUMPUR: Seorang jurujual diperintah membayar denda RM3,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mencedera dan mengugut kekasihnya, minggu lalu.
Majistret Hafizza Sauni menjatuhkan hukuman itu selepas Thong Wai Hung, 21, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau memerintahkan Thong dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, Thong didakwa mencederakan teman wanitanya Lim Lee Lyn, 18, di Blok 19, Apartmen Teratai Mewah, Jalan Langkawi, Setapak di sini pada jam 8 pagi dan 8.30 pagi, 9 Jun 2011.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Dia turut didakwa mengugut mangsa di lokasi dan masa sama yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Thong diwakili peguam bela, Rohani Ibrahim memohon hukuman ringan memandangkan anak guamnya sudah benar-benar insaf.
myMetro | Jurujual didenda cederakan kekasih

Tiga penganggur berdepan hukuman mati

KUALA LUMPUR: Tiga penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mengedar dadah jenis heroin, awal bulan ini.
R Vijaya Kumar, 19, K Guanseelan, 21, dan S Thanesh Varma, 20, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut pertuduhan Vijaya didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 105 gram di tepi Sungai Klang, berhampiran PPR Anggerik, Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini pada jam 4.30 pagi, 3 Jun 2011.

Gunaseelan dan Thanesh masing-masing turut didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 87.5 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama membawa hukuman gantung sampai mati.
myMetro | Tiga penganggur berdepan hukuman mati

Laman kerajaan Turki, India turut diceroboh


KUALA LUMPUR: Laman kerajaan Turki dan India adalah antara web yang diganggu penggodam Anonymous sebelum ia menggodam hampir 100 laman .gov.my negara ini, Rabu lalu.
Di Turki, gangguan itu berlaku beberapa hari sebelum pilihan raya parlimen negara terbabit yang dijadualkan berlangsung pada Ahad lalu.

Menurut satu kenyataan, kerajaan Turki berjaya menahan 32 penggodam yang dipercayai terbabit dalam aktiviti itu.

Di India pula, penggodam Anonymous membuat godaman itu dipercayai sebagai tanda sokongan terhadap anti rasuah yang diamalkan perundangan negara berkenaan.

Penggodam menghantar mesej kepada Perdana Menteri India, Manmohan Singh menyatakan “Tiada guna melindungi. Tiada guna membelanjakan untuk forensik. Faham mesej ini dengan jelas Perdana Menteri dan semua.” Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) kelmarin turut digodam penjenayah siber yang dikenali sebagai Lulz Security yang juga pada hari sama laman kerajaan negara ini diserang.

myMetro | Laman kerajaan Turki, India turut diceroboh

Halau ibu dihasut isteri


SERDANG: Tidak mengenang jasa, apabila seorang anak sanggup menghalau ibu bapanya yang sudah tua keluar dari rumahnya di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, di sini, gara-gara termakan hasutan isteri yang baru dikahwini tiga bulan lalu.
Lelaki berumur 40 tahun itu dikatakan terlalu mengikut kata-kata isterinya berusia 20-an apabila selalu bertengkar dengan kedua-dua orang tuanya hampir saban hari sebelum menghalau kedua-duanya keluar sehelai sepinggang kira-kira jam 1 pagi, Ahad lalu.

Mangsa dikenali sebagai Chor, 69, berkata anak lelakinya itu sepakat dengan isterinya dengan menukar kunci menyebabkan dia dan isteri, May, 65, tidak dapat masuk ke rumah yang didiami sejak 10 tahun lalu.

Katanya, ketika kejadian dia yang bekerja sebagai pemandu bas sambilan pulang ke rumah bersama isteri, namun terkejut selepas mendapati kunci utama sudah ditukar hingga menyukarkan mereka memasuki kediaman itu.


“Dalam kegelapan malam, saya dan isteri dengan perasaan sedih cuba memasuki rumah itu dengan memanjat pagar tetapi tidak berjaya dan mengambil keputusan menumpang tidur di rumah anak bongsu yang tinggal kira-kira lima kilometer.

myMetro | Halau ibu dihasut isteri

Isteri derita


CUAI...Kamaruddin menunjukkan laporan polis dan kain pencuci yang dikeluarkan dari kemaluan isterinya.
CUAI...Kamaruddin menunjukkan laporan polis dan kain pencuci yang dikeluarkan dari kemaluan isterinya.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita terpaksa menderita berikutan kemaluannya dijangkiti kuman, didakwa akibat kecuaian pihak hospital tertinggal kain pencuci di dalam anggota sulitnya selepas bersalin anak sulung pada 19 Mei lalu.
Wanita itu yang melahirkan anak sulung lelaki di sebuah hospital di Selangor pada mulanya tidak berasa apa-apa perubahan malah turut dibenarkan keluar selepas dua hari berada di wad.

Bagaimanapun, selepas pulang dia berasa sakit di kemaluan malah air kencingnya turut berbau busuk menyebabkan mangsa mengesyaki sesuatu.

Suaminya, Kamaruddin Mohamad Ali, 29, berkata, isterinya mengadu sakit di bahagian itu, namun pada mulanya dia menyangka perkara itu normal kerana baru bersalin.


Menurutnya, dia menghantar isterinya pulang ke kampung di Pulau Pinang pada 24 Mei lalu supaya dijaga keluarganya.

myMetro | Isteri derita

Lelaki hadapi dakwaan curi rumah


OTTAWA: Polis Kanada semalam mendakwa seorang lelaki Ontario di mahkamah kerana mencuri sebuah rumah.
Menurut jurucakap polis, pemilik rumah bergerak berkenaan terkejut apabila mendapati kediamannya hilang dari tempat ia ditinggalkan di Dundalk.

Dia memaklumkan kepada polis yang kemudian mengesan rumah sepanjang hampir 14 meter itu tidak jauh dari tempat ia dilarikan.

Seorang lelaki berusia 43 tahun kemudian ditahan dan didakwa mencuri serta menggunakan dokumen palsu untuk meyakinkan polis kononnya dia memiliki rumah berkenaan.

Rumah bergerak itu dianggarkan bernilai hampir RM92,500.


Polis juga gagal menjelaskan bagaimana ia dicuri. - AFP

myMetro | Lelaki hadapi dakwaan curi rumah

Laman sesawang CIA jadi sasaran penggodam


SAN FRANCISCO: Laman sesawang Agensi Perisikan Pusat (CIA) diceroboh penggodam semalam.
Laman sesawang cia.gov itu berhenti bertindak balas dan kumpulan penggodam menggelarkan diri mereka sebagai Lulz Security mengaku bertanggungjawab melalui Twitter.

Bagaimanapun, laman sesawang berkenaan didapati kembali berfungsi kira-kira dua jam selepas serangan dilakukan.

Baru-baru ini, Lulz Security mendakwa mereka bertanggungjawab melakukan serangan ke atas operasi dalam talian syarikat Sony dan Nintendo, selain laman sesawang Senat AS, Sistem Penyiaran Awam, serta Infragard yang memberikan khidmat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI). - AFP
myMetro | Laman sesawang CIA jadi sasaran penggodam

Cabul gadis ‘suci dosa’


DIHARAMKAN...Mohd Yusop menunjukkan senarai kumpulan yang difatwakan sebagai ajaran sesat di Perak.
DIHARAMKAN...Mohd Yusop menunjukkan senarai kumpulan yang difatwakan sebagai ajaran sesat di Perak.
IPOH: Seorang guru agama berusia 50-an yang mengajar tarekat memilih gadis muda bagi proses menyucikan dosa selain menentukan darjat di sisi Tuhan sebelum mencabul mangsa dengan kejadian terbaru membabitkan gadis 20-an yang mengikuti ajaran sesat lelaki terbabit bersama bapanya.
Namun, melucukan apabila lelaki dan wanita tua tidak perlu melalui proses itu kerana guru terbabit mendakwa pengikut terbabit sudah suci secara semula jadi, tetapi setakat ini gadis 20-an itu dipercayai menjadi mangsa.

Guru tarekat yang beroperasi di satu daerah di utara Perak itu dipercayai menggunakan alasan penentuan darjat seseorang yang paling hampir dengan Allah SWT atau ‘maqam’ untuk mencabul gadis yang menjadi muridnya.

Menurut sumber, kejadian terbaru membabitkan gadis berusia 20-an itu ketika dia bersama bapanya mengikuti aktiviti tarekat terbabit, baru-baru ini.


“Berdasarkan maklumat, sebelum kejadian gadis itu melakukan proses bersuluk (bersendirian dalam tempoh masa tertentu) dan selepas bersuluk, mangsa diarah berjumpa guru terbabit untuk menentukan maqam dan ketika itu mangsa dicabul,” katanya di sini, semalam.

myMetro | Cabul gadis ‘suci dosa’

Ugut bunuh janda


AMPANG: Seorang lelaki berusia 20-an bukan saja mengugut untuk membunuh bekas isterinya sebaliknya turut melarikan anak lelaki mereka dalam kejadian di sebuah pejabat agama, di sini, kelmarin.
Difahamkan, lelaki terbabit sudah menceraikan isterinya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan talak tiga kira-kira sebulan lalu namun tidak berpuas hati apabila wanita itu merujuk kepada jabatan agama.

Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, wanita berusia 32 tahun itu dikatakan pergi ke pejabat agama bersama anak lelakinya berusia empat tahun.

“Ketika dalam perjalanan, bekas suami mangsa dikatakan mengekori mangsa namun tidak berbuat apa-apa sehinggalah mangsa keluar dari pejabat agama sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Lelaki itu dikatakan menengking bekas isterinya di khalayak ramai selain memaki-hamun. Dia kemudian menarik tangan anak lelakinya dan membawa menaiki motosikal,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan bekas suaminya selain bimbang keselamatan anaknya, kemudian ke balai polis berhampiran membuat laporan.

Pada masa sama, mangsa turut memaklumkan bekas suaminya melalui SMS dia akan ke balai polis membuat laporan sekiranya lelaki itu enggan memulangkan semula anak mereka.

Berikutan itu, beberapa jam kemudian lelaki terbabit pergi ke balai polis itu dengan membawa semula anak lelakinya itu ke pangkuan bekas isteri.

myMetro | Ugut bunuh janda

Budak maut akibat pendarahan otak


MUAR: Khoo Jin Ghi, kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dipercayai akibat didera Isnin lalu, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman pada otaknya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ia hasil siasatan awal polis tetapi pihaknya memaklumkan mereka tidak menolak kemungkinan punca lain menyebabkan kematian Khoo.

“Kes ini masih samar, ada kemungkinan mangsa cedera bukan akibat didera sebaliknya kerana terjatuh, kesan lebam pada beberapa bahagian badannya juga mungkin disebabkan dia sering terjatuh kerana Khoo seorang yang aktif.

“Soal siasat terhadap keluarga mangsa juga mengesahkan Khoo pernah terjatuh di dapur rumah keluarganya di Parit Bulat, Parit Jawa pada 4 Jun lalu, menyebabkannya pengsan selama lima minit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Dalam kejadian Isnin lalu, Khoo yang turut dikenali sebagai Patrick Tey, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Batu Pahat.


Pengurusan hospital itu membuat laporan polis selepas mengesyaki mangsa meninggal dunia akibat didera berdasarkan kesan kecederaan pada pipi dan kepalanya.

Mohamad Nasir berkata, selepas pengsan akibat terjatuh, mangsa tidak dirujuk kepada klinik atau hospital kerana ibu bapanya beranggapan kejadian itu tidak serius.

“Apabila mangsa sekali lagi pengsan Ahad lalu, dia dihantar mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Batu Pahat,” katanya.

“Siasatan lanjut mendapati dua lagi adik beradik kembar mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Bagi melengkapkan siasatan kes, IPD Muar semalam memohon melanjutkan perintah reman terhadap bapa mangsa yang berusia 39 tahun.

myMetro | Budak maut akibat pendarahan otak

Pasangan dituduh bunuh amah


CHING YEN, (kanan) bersama suami, Kong Meng, dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.
CHING YEN, (kanan) bersama suami, Kong Meng, dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.
Suami isteri didakwa sebabkan kematian amah warga Indonesia

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia di kediaman mereka di Taman Sea Park di sini, dua minggu lalu.
Tertuduh, Fong Kong Meng, 55, dan isterinya, Teoh Ching Yen, 33, mengangguk faham apabila tuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan kes.

Kong Meng dan Ching Yen dituduh dengan niat bersama membunuh Isti Komariyah, 26, dari Jawa Timur di sebuah rumah beralamat Nombor 90, Jalan SS 2/6, Taman Sea Park di sini, antara 1 Julai 2010 hingga 5 Jun 2011.

Bekas juruteknik dan suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mandatori gantung sampai mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azari Harun memohon mahkamah supaya menangguhkan kes itu untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Katanya, pihaknya bagaimanapun masih menunggu laporan DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Dalam prosiding semalam, Kong Meng diwakili peguam, MS Guok manakala peguam S K Thong mewakili Ching Yen.
Berita Harian Online | Pasangan dituduh bunuh amah

Jururawat hadapi dakwaan jual bayi


GULAB Jan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selepas mengaku tidak bersalah di  atas tuduhan memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan tahun lalu. - Foto Effendy Rashid
GULAB Jan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selepas mengaku tidak bersalah di atas tuduhan memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan tahun lalu. - Foto Effendy Rashid
KUALA LUMPUR: "Kenapa tangkap saya, kenapa tak tangkap Datuk," kata bekas jururawat Gulab Jan Abdul Jabir sambil menangis teresak-esak selepas dia didakwa memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini, tahun lalu.

Gulab Jan, 49, yang memakai blaus ungu meluru keluar daripada kandang tertuduh selepas prosiding selesai, berulang kali menyatakan dia tidak bersalah dan tiada wang untuk membayar jaminan RM10,000 yang ditetapkan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain, kepada anggota polis mahkamah.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkenaan dan mohon dibicarakan didakwa memperdagangkan bayi itu bagi tujuan eksploitasi di Hospital Taj, Nombor 492, Batu 3, Jalan Ipoh di sini, jam 2.10 petang, pada 1 November 2010.
Dia yang diwakili peguam Gerard Lazarus menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor ‘Amalina Ismail memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin terhadap Gulab Jan dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana membabitkan kes penjualan bayi dengan harga yang sangat tinggi.

Bagaimanapun Lazarus memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh yang masih bujang tidak lagi bekerja dan ditanggung ahli keluarganya selain memberi kerjasama penuh ketika proses siasatan polis sehingga didakwa semalam.

“Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah, walaupun tuduhan ke atas anak guam saya serius tetapi itu semua tidak boleh digambarkan kerana ini hanya peringkat pendakwaan bukan hukuman,” katanya.
Ahmad Zamzani turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan kes.

Wang jaminan RM10,000 dibayar dua ahli keluarganya di Kaunter Bayaran Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, kira-kira jam 2.45 petang, semalam.
Berita Harian Online | Jururawat hadapi dakwaan jual bayi

2 rakan karib mati berpelukan


Amierul Hakim (kiri) dan Mohd Adhamerudin.
Amierul Hakim (kiri) dan Mohd Adhamerudin.
Mangsa lemas ketika mandi di pusat perkelahan bersama dua rakan lain

KUANTAN: Menyayat hati apabila mayat dua sahabat karib yang lemas ketika mandi di pusat perkelahan Pasir Kubur, dekat Sungai Lembing di sini, semalam, ditemui dalam keadaan berpelukan.
Mayat mangsa, bekas pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Amierul Hakim Mustafa, 19, dari Indera Mahkota 8, di sini dan pelajar jurusan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Mohd Adhamerudin Omar, 21, dari Taman GPT, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah ditemui kira-kira jam 9.15 pagi oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan misi mencari mangsa.
Bapa Amierul, Mustafa Awang, 51, ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata beliau dimaklumkan anaknya bersama tiga rakan pergi ke lokasi kejadian kira-kira jam 8 pagi selepas selesai mendaki Bukit Panorama, di situ.

Beliau yang sedang berniaga di Stadium Darul Makmur, di sini, dimaklumkan mengenai kejadian terbabit melalui seorang rakannya sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anaknya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat sepasukan anggota penyelamat sedang mengangkat mayat Amierul selepas ditemui dalam sungai berkenaan.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah petang kelmarin dan tidak sempat untuk bertemu dengannya pagi ini (semalam) kerana arwah tiada dalam bilik dan menyangka dia ke masjid untuk menunaikan solat Subuh,” katanya.
Mustafa berkata, beliau langsung tidak mengetahui arwah pergi berkelah kerana rutin hariannya setiap pagi ke masjid untuk menunaikan solat Subuh atau mengadakan aktiviti lain namun tetap reda dengan kejadian terbabit.

“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuin 2, di sini, selepas Asar,” katanya.

Difahamkan, Amierul sedang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) manakala Mohd Adhamerudin adalah pelajar semester empat di UIAM dan bekerja sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Ubi, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi di sini mengesahkan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa bersama dua rakan menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Sungai Lembing sebelum mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing.

"Selepas pendakian, kedua mangsa mandi manakala dua lagi rakan Mohd Adhamerudin, Mohd Ezuan Mohd Adnan, 22, dari Taman Rapat Setia, Ipoh dan Arif Kamal Nasir, 21, dari Indera Mahkota, di sini, sedang memasak untuk menyediakan sarapan pagi.

"Bagaimanapun, tiba-tiba seorang daripada rakan mangsa berkenaan mendakwa terdengar bunyi jeritan meminta pertolongan sebelum melihat tangan mangsa terkapai-kapai dan cuba membantu namun gagal berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota bersama Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Indera Mahkota dan penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan gerakan mencari mangsa.

"Bagaimanapun, kedua-dua mayat mangsa ditemui polis dalam keadaan berpeluk di sungai itu tidak jauh daripada tempat kejadian sebelum dibawa ke tebing dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat," katanya.
Berita Harian Online | 2 rakan karib mati berpelukan

Adik bongsu kembar 3 mati dipercayai didera


GAMBAR lama kembar tiga yang dilahirkan pada 8 Mac 2008, Khoo Jin Ghi (kanan) meninggal dunia di rumahnya di Parit Jawa, Isnin lalu.
GAMBAR lama kembar tiga yang dilahirkan pada 8 Mac 2008, Khoo Jin Ghi (kanan) meninggal dunia di rumahnya di Parit Jawa, Isnin lalu.
MUAR: Keceriaan hidup pasangan kembar tiga yang dilahirkan ketika hari mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dekat Parit Jawa di sini, berakhir tragedi apabila adik bongsu mereka mati dipercayai akibat didera.

Khoo Jin Ghi, tiga tahun, turut dikenali sebagai Patrick Tey, meninggal dunia selepas dirujuk untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta dekat Batu Pahat pada Isnin lalu.
Jin Ghi bersama ibu bapanya serta dua lagi saudara kembarnya dikenali sebagai Jin Siang dan Jin Teng, menetap di Parit Bulat dekat Parit Jawa di sini, sejak dilahirkan pada 8 Mac 2008.
Kesan kecederaan pada pipi dan kepala mangsa menimbulkan kecurigaan kepada doktor yang merawatnya, mendorong pengurusan hospital terbabit membuat laporan polis terhadap kemungkinan kanak-kanak itu menjadi mangsa deraan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan berkata, susulan kejadian itu, polis menahan bapa mangsa yang berusia 39 tahun untuk membantu siasatan lanjut terhadap punca kematian anaknya.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian kanak-kanak terbabit. Sehingga ini, saya tidak boleh mengesahkan, sama ada ia kes dera atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, difahamkan kes terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu tinjauan Berita Harian ke rumah mangsa, mendapati rumah dua tingkat yang didiami keluarga mangsa terletak agak jauh daripada jiran terdekat dan ketika tinjauan dibuat, rumah itu tidak berpenghuni.

Sementara itu, pengurusan sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang terletak berhampiran, mengakui tiga beradik kembar itu dihantar ke situ oleh ibu mereka sejak April lalu untuk mendapatkan asuhan itu.

“Biasanya, sebelah pagi ibu kanak-kanak terbabit akan menghantar tiga beradik itu ke sini, dan mereka akan dihantar pulang ke rumah oleh pengurusan pusat ini pada sebelah petang,” katanya yang enggan dikenali, ketika ditemui.

Petugas itu berkata, beberapa hari sebelum cuti persekolahan pada 28 Mei 2011 lalu, mangsa tidak dihantar ke pusat terbabit bersama dua saudaranya dengan alasan berada di rumah kerana sakit.

Difahamkan ibu pasangan kembar tiga itu bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat ukur, manakala bapa mereka menjalankan perniagaan jual beli sawit.
Berita Harian Online | Adik bongsu kembar 3 mati dipercayai didera

Dua beranak maut digilis lori pasir di Bandar Baharu

BANDAR BAHARU: Seorang lelaki dan anak perempuannya maut setelah motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Serdang-Selama, di Kampung Terap Batu 22 di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, ASP Helmi Ariff, berkata kemalangan ngeri itu berlaku kira-kira 7.10 pagi tadi ketika mangsa Md Daud Taib, 62, dalam perjalanan dari Kampung Sungai Air Hitam, Selama ke Pekan Serdang untuk menghantar anaknya Siti Hajar, 14, pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Serdang, dekat sini.

"Sebuah lori pasir kosong dalam perjalanan dari arah Serdang ke Selama memotong sebuah lagi lori dari arah sama lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa yang membawa anaknya menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting di atas jalan raya dan digilis lalu diseret lori berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserah kepada waris berkenaan untuk dikebumikan di kampung mereka.

Sementara itu, Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan, yang menghubungi BERNAMA berkata pihaknya menghulurkan sedikit sumbangan untuk pengkebumian mayat kedua-dua beranak berkenaan.

Helmi juga menyarankan pihak berkenaan supaya menjadualkan laluan puluhan lori pengangkut pasir dan tanah merah di sekitar daerah itu.
Katanya, pemandu lori berkenaan bukan sahaja memandu laju tetapi juga secara tidak berhemah dan besar kemungkinan lebih ramai lagi pengguna jalan raya di daerah itu akan menjadi mangsa.

"Sebilangan mangsa kebanyakannya pelajar sekolah di daerah ini menjadi mangsa pemandu lori pasir dan tanah merah yang tidak bertanggungjawab itu," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | Dua beranak maut digilis lori pasir di Bandar Baharu

Lelaki mati minum berbalang air dalam rawatan bomoh wanita di Marang

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental meninggal dunia selepas menerima rawatan daripada seorang bomoh wanita warga Thailand di Pulau Rusa, Marang, di sini malam tadi.

Lelaki berumur 26 tahun itu dihantar ke rumah bomoh berkenaan oleh bapanya untuk berubat pada 7.45 malam, dan bomoh wanita berusia 43 tahun itu, kemudian memaklumkan bahawa pesakit itu terkena buatan orang.
"Semasa rawatan, bomoh itu menyuruh mangsa meminum beberapa balang air sebelum menyumbat mulutnya dengan hos sehingga mangsa tidak sedarkan diri. Setelah itu, bomoh tersebut memberitahu bahawa dia telah berjaya mengeluarkan penyakit mangsa dan menyuruh bapa mangsa membawa anaknya itu ke hospital," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan kepada pemberita hari ini.
Bagaimanapun, sebaik dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada 12.30 tengah malam, lelaki itu disahkan telah meninggal dunia.

Ekoran laporan yang dibuat oleh bapa mangsa pada 2.15 pagi, polis menyerbu rumah bomoh itu tetapi dia bersama suaminya, yang berusia 33 tahun dan berasal dari Rantau Panjang, Kelantan, telah melarikan diri.

Manoharan berkata dalam serbuan itu polis merampas beberapa barang yang digunakan untuk merawat mangsa.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu supaya menghubungi mana-mana balai polis. -BERNAMA Berita Harian Online | Lelaki mati minum berbalang air dalam rawatan bomoh wanita di Marang