Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, suspek yang berusia 23 tahun dikatakan telah memecah masuk sebuah rumah di tingkat satu bangunan rumah kedai di Sibuga Jaya, Batu 8 di sini.
Katanya, pemilik rumah yang merupakan seorang wanita berusia 42 tahun terserempak dengan suspek ketika asyik menyelongkar almari rumahnya, lalu menjerit meminta pertolongan.
"Jeritan pemilik rumah itu membuatkan penjenayah terkejut dan berusaha menyelamatkan diri dengan nekad terjun dari tingkat satu rumah kedai itu," katanya di sini, hari ini.
Tambah Fadzil, pihaknya menemui suspek yang menyorok dalam longkang berhampiran rumah kedai itu kerana tidak dapat melarikan diri akibat kedua-dua kakinya patah.
Katanya, turut ditemui empat telefon bimbit milik mangsa yang dipercayai cuba dilarikan.
Katanya lagi, hasil siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah tersebut melalui salah satu tingkap dapur yang tidak berkunci.