Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Pukul teman wanita sendiri



JOHOR BAHRU - Gara-gara memukul teman wanitanya, seorang lelaki dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Mazanah Sinin mengenakan denda itu terhadap Mohd Azahari Aziz selepas dia mengaku bersalah apabila dibacakan pertuduhan berkenaan.

Mengikut fakta kes, Azahari didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pasar raya terhadap teman wanitanya berusia 20 tahun pada 6 Jun lalu.

Tertuduh turut didakwa memukul anak saudara teman wanitanya itu sehingga pengsan juga di tempat yang sama.

Ketika dibacakan pertuduhan, tertuduh mengaku bersalah dan meminta hukuman diringankan kerana menyesal apa yang berlaku.

Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwaraya, Tan Poh Vun , manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SH

APMM tahan lima bot tunda




SENAI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan lima buah bot tunda disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, dalam operasi kira-kira jam 3.30 petang itu, pihaknya yang memeriksa kapal yang bersauh di perairan berkenaan mendapati lima bot tunda tersebut melakukan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, siasatan mendapati kelima-lima bot tunda berkenaan gagal memaklumkan ketibaan kapal dalam perairan Malaysia, bersauh di luar batas pelabuhan dan gagal membayar dius api.

“Kelima-lima ketua jurutera bot tunda tersebut dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan di Johor Bahru untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu :kenyataan, di sini, kelmarin.

Zulkifli berkata, bot-bot yang ditahan ialah dua yang didaftarkan di Funafuti di Kepulauan Tuva lu; dua didaftar di Panama, manakala satu didaftarkan di Dumai Indonesia.

Menurutnya, ketika ditahan, ada 47 kru warganegara Indonesia berumur antara 20 hingga 51 tahun di atas kelima-lima bot berkenaan.

“Bot terbabit boleh disabitkan :kesalahan mengikut Seksyen 491B (1) (l), Seksyen 449 Akta Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1958 iaitu berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan berlabuh tunggu gagal memaklumkan ketibaan kapal di :perairan Malaysia dan gagal membayar dius api,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dan melakukan pemeriksaan ke atas setiap kapal yang bersauh di perairan Johor bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang.
SH

Anak hilang: Ibu rayu pulang




LENGGONG - “Pulanglah Adli, ibu merindui kamu,” demikian rayuan seorang ibu, Haridah Binti Mat Jali, dari Lenggong kepada anaknya, Muhamamd Adli Bin Mohd Saidi, 20, yang menghilangkan diri sejak 6 Jun lalu.

Kehilangan remaja lelaki yang mesra dengan panggilan Adli berkenaan disedari keluarganya kira-kira jam 10 pagi Isnin lalu selepas didapati tidak pulang ke rumah setelah keluar menghadiri kelas di GiatMARA Lenggong.

Haridah berkata, anaknya keluar dari rumah dengan hanya berpakaian uniform GiatMARA.

Menurutnya, anaknya itu agak lembam dan juga kurang bergaul dengan rakan seusianya menjadikan dia tidak mempunyai rakan karib.

“Setahu saya, kami tidak mempunyai sebarang masalah keluarga melainkan anak saya ini kurang bergaul mesra dengan orang ramai.

“Saya amat risau dengan kehilangannya kerana anak saya ini kurang pengetahuan berkenaan dengan selok-belok kawasan khususnya di bandar,” katanya.

Katanya, bimbang sesuatu kejadian tidak dingini berlaku kepada anaknya, dia bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Lenggong.

“Saya merayu kepada orang ramai yang terlihat kelibat anak saya ini, supaya dapat menghubungi saya dengan segera atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi, pihak Balai Polis Lenggong mengesahkan menerima laporan kehilangan Adli.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja ini diminta untuk menghubungi Haridah di talian 019 - 552 7065 atau mana-mana balai polis berhampiran.
SH

Dicekup bersama pasangan sejenis




SUNGAI PETANI – Seorang kakitangan awam ditahan bersama pasangan sejenis yang berpakaian dan perwatakan seperti wanita dalam serbuan yang dijalankan dalam sebuah rumah kosong di Jalan Pegawai, Sungai Petani.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, sepasukan penguat kuasa membuat serbuan itu atas maklumat persatuan penduduk sebelum melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan didapati seorang lelaki berusia 28 tahun dalam keadaan separuh bogel yang juga merupakan seorang kakitangan awam berasal dari Sarawak berada dalam keadaan mencurigakan bersama pasangan sejenis.

“Ketika diserbu, lelaki berkenaan hanya mengenakan baju tanpa berseluar bersama pasangannya dalam rumah kosong berkenaan.

“Pasangannya pula yang hanya memakai pakaian tanpa lengan dan berseluar ketat berasal dari Bedong, Kedah dikenali sebagai nama Zulaika,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika pemantauan dilakukan pasangan berkenaan didapati menggunakan sebuah kenderaan dan meletakkan kenderaan itu di hadapan rumah kosong sebelum masuk ke dalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 (EKJS88) iaitu lelaki berpakaian dan mempunyai perwatakan seperti wanita yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 jika sabit kesalahan.

“Manakala pasangannya pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 23 EKJS1988 di mana menggalakkan atau membenarkan maksiat yang boleh dikenakan denda sebanyak RM500 atau penjara empat bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada persatuan penduduk yang bekerjasama dengan memberi maklumat dan membantu pihak jabatan membanteras gejala maksiat.

“Pihak Jabatan Agama akan terus memantau mana-mana ‘kawasan panas’ di Sungai Petani dan harap masyarakat turut beri kerjasama bagi membanteras gejala maksiat,” katanya kepada Sinar Harian.
SH

Tanah ibu digadai pihak tidak dikenali




ALOR SETAR - Buntu memikirkan siapa punya angkara yang menyebabkan tanah milik ibu mereka kini jatuh ke tangan orang lain.

Pengawal keselamatan, Saad Ahmad, 56, berkata, dia terkejut apabila menerima surat mengenai gadaian tanah milik ibunya, Rafeah Baharom di Chenang, Langkawi tiga tahun lalu sedangkan dia dan lapan adik beradiknya yang lain tidak pernah berbuat demikian.

Menurutnya, tanah seluas 10 relung milik ibunya itu digunakan oleh pihak tertentu untuk mendirikan chalet.

Menurutnya, setelah menerima surat berkenaan, dia segera membuat laporan polis pada pada tahun yang sama kerana tidak mahu ada pihak yang mencerobohi tanah berkenaan.

“Saya rasa tidak puas hati dengan tindakan yang dibuat oleh pihak tidak dikenali itu yang membuat perkara berkenaan tanpa pengetahuan saya dan keluarga.

“Kami juga telah membuat laporan polis berhubung kes ini yang turut membabitkan beberapa kesalahan fakta yang dibuat oleh pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Saad mendakwa, sewaktu ibunya sakit sebelum meninggal dunia pada 3 Januari 2004, tiga individu telah datang ke rumah Rafeah bagi mendapatkan cop jari ke atas surat yang mereka sediakan.

Dia mendakwa, pihak yang tidak bertanggungjawab itu juga telah membuat surat menyatakan ibunya pergi ke Tapah dan memaklumkan di dalam surat bahawa Rafeah meninggal dunia pada 30 Disember 2004 iaitu 11 bulan selepas tarikh sebenar.

Menurutnya, terdapat banyak fakta yang bercanggah termasuklah alamat yang diletakkan di dalam surat itu.

“Saya tidak mahu tanah pusaka ibu jatuh ke tangan orang lain selain daripada keluarga, tambahan orang yang tidak dikenali.

“Saya dan adik beradik lain mahukan hak ke atas tanah pusaka yang ditinggalkan oleh ibu ,” katanya.

Bagi adik kepada Saad, Rameli, 51, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila dia tidak dibenarkan untuk membayar hasil tanah pada tahun 2003 disebabkan tanah itu telah menjadi milik orang lain.

Rameli berkata, dia kemudiannya terus membuat laporan polis setelah menyedari kejadian itu berlaku.
SH

Suami maut dalam parit




KULIM - Seorang buruh, M Letchumanan, 45, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di parit berdekatan rumahnya oleh pekerja industri wanita warga Vietnam di Taman Senangin, kira-kira jam 7.15 pagi kelmarin.

Isteri mangsa, K Kannaki, 46, berkata, mangsa selalunya sampai ke rumah sekitar jam 6 petang tetapi pada hari kejadian mangsa tidak pulang. Kira-kira jam 10 malam, dia bersama anaknya cuba mencari mangsa di kawasan perumahan dan tempat mangsa sering berada tetapi tidak bertemu.

“Kira-kira jam 7.15 pagi terdengar bunyi suara wanita warga Vietnam menjerit ketika balik dari kerja kerana terjumpa mayat. Kami yang tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian pergi melihat dan ternampak mangsa berada dalam keadaan tertiarap dengan mukanya berada di dalam air.

“Anak lelaki saya kemudiannya mengangkat mayat mangsa ke dalam rumah dan menyelimutkannya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis di Balai Polis Kulim. Mangsa sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah dan banyak membantu keluarga,” katanya.

Jurucakap polis berkata, hasil pemeriksaan pada mayat mangsa, polis menemui kesan luka di kepalanya. Mangsa kemungkinan terjatuh ke dalam parit ketika hendak turun tangga curam di tempat kejadian untuk balik ke rumah.

“Tiada sebarang tanda perlakuan jenayah terdapat mayat mangsa dan polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut.

“Mangsa seorang OKU yang mengalami kecacatan di kaki kiri dan mempunyai tiga anak. Mayatnya telah dibedah siasat di Hospital Kulim dan doktor mengesahkan mangsa mati lemas,” katanya.
SH

Penyamun berjaya ditangkap



ALOR GAJAH - Kecekapan dan ketangkasan dua anggota polis peronda dan seorang anggota polis bahagian trafik bersama tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki mencuri wayar tembaga dan besi dari bangu-nan lama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek berumur 27 tahun itu dikatakan cuba melarikan kira-kira 30 kilogram tembaga serta pendawaian elektrik dalam bangunan yang sudah tidak digunakan sejak setahun lalu itu ketika aktiviti berjaya dihidu.

Saksi kejadian, yang juga anggota JPAM, Mohd Razzif Isa, 21, berkata, operasi mengepung bangunan itu dijalankan beliau bersama dua rakan JPAM dengan bantuan tiga anggota polis setelah orang awam memaklumkan melihat kelibat suspek dalam bangunan itu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mereka dapati pintu bangunan berkunci dari dalam dan pada masa sama mereka menemui sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di dalam sebuah bangunan bersebelahan.

“Kami kemudian bertindak memecahkan pintu terbabit dan mendapati terdapat potongan wayar dipercayai untuk dibawa lari.

“Tidak lama kemudian seorang lelaki terjun dari sebuah tingkap belakang bangunan itu dan menuju ke arah kami dan bertanyakan tujuan kami berada di situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Razzif berkata, lelaki terbabit menyatakan dia berada di situ kerana motosikalnya kehabisan minyak

“Kami terus bertindak menangkapnya, walaupun dia menafikan memecah masuk bangunan itu,” katanya.

Turut ditemui satu alat pemotong besi dipercayai digunakan untuk memotong wayar serta besi-besi dari dalam bangunan itu.

Semua besi dengan anggaran seberat 30 kilogram itu ditemui dalam satu kotak besar di dalam bangunan berkenaan, manakala alat pemotong besi itu disorokkan di dalam tempat mengepam air di tandas bangunan itu.

Suspek juga turut melepaskan diri apabila mendakwa sedang menunggu seorang rakan warga Mynmmar di situ untuk mencari tempat melepak dan mabuk.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, suspek yang turut mempunyai rekod jenayah, ditahan anggota polis dan JPAM berkenaan.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek ditahan reman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya.
SH

Bayi dibungkus plastik ditemui



KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di Platinum Walk di Jalan Langkawi Danau Kota, Setapak di sini semalam.

Bayi perempuan itu yang masih bernyawa ditemui masih bertali pusat, dipakai baju T warna merah dan dibungkus dengan kertas surat khabar serta plastik.

Bayi malang terbabit ditinggalkan di sebelah pusat hiburan di situ dan ditemui oleh orang awam yang sedang mencari tempat letak kenderaan.

Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pengawal keselamatan, Nair Sagar, 19, yang sedang bertugas di kawasan berhampiran.

Nair berkata, dia kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi itu dalam keadaan tidak selesa kerana terkena sinaran matahari.

“Saya buka plastik dan surat khabar yang membalutinya dan saya terus mengambil payung bagi melindunginya daripada terkena sinaran matahari.

“Selepas itu saya memanggil majikan untuk melihat bayi berkenaan sebelum menghubungi polis dan ambulans,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
SH

Gantung bayi di pagar masjid




OLAK LEMPIT – Selepas digemparkan dengan kes buang bayi semalam, penduduk sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi kes sama, awal pagi semalam.

Kali ini bayi perempuan tidak cukup bulan ditemui digantung dalam sebuah beg di pintu pagar Masjid Al Khairat di sini.

Kejadian kira–kira jam 5.30 pagi itu disedari pengerusi masjid itu, Zainal Sahid, 63, bersama sekumpulan kariah masjid yang mahu bersiap sedia menunaikan solat Subuh.

Zainal berkata, mereka terkejut apabila melihat sebuah beg pakaian berwarna ungu tergantung pada pintu pagar beranda masjid berkenaan.

Menurutnya, pada awalnya beliau mengingatkan beg berisi telekung milik orang awam yang tertinggal, tetapi pelik apabila mendengar suara halus bayi seperti sedang merengek.

“Ketika ditemui, bayi itu masih hidup dan diselimuti kain lampin berwarna putih, tali pusatnya juga telah dipotong. Pihak kami terus menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di masjid berkenaan, semalam.

Zainal juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kes pembuangan bayi dua hari berturut–turut di kampung berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket atau sebaliknya.

Menurutnya, biarlah polis menyiasat kes terbabit sehingga si pelakunya dapat ditangkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika dihubungi berkata, beliau menerima laporan berkenaan bayi yang ditinggalkan di Masjid di Kampung Olak Lempit, awal pagi semalam.

Menurutnya, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Klang untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Langat, bayi yang dijumpai di hadapan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska), kelmarin difahamkan akan dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-kanak, Telok Datok hari ini (14 Jun 2011) untuk ditempatkan di Rumah Kanak–kanak Tengku Budriah Cheras.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit diminta menghubungi JKM bagi membantu siasatan,” katanya.
SH

Tinjau mangsa sebelum samun




KUALA LUMPUR – Mereka meninjau, memaklumkan kepada ahli sindiket, menjejaki dan menyamun mangsa yang mengeluarkan wang dari bank.

Itu modus operandi digunakan satu sindiket samun yang aktif di sekitar ibu negara dan Selangor, sejak tahun lalu.

Kumpulan ini dikesan melakukan sekurang-kurangnya 45 kes melibatkan kerugian hampir RM2 juta.

Terbaru dalam kejadian di Klang pada 10 Mei lalu, seorang mangsa kerugian RM475,000 selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank.

Taktik ini terbongkar selepas polis memberkas dua lelaki, berumur 27 dan 38 tahun, berhampiran sebuah bank di Kepong, 13 Mei lalu.

Sewaktu itu polis merampas dua telefon bimbit, peta kedudukan bank dan sebuah kamera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek mendedahkan mereka bertindak sebagai pemerhati untuk mengenal pasti pelanggan yang mengeluarkan wang dalam kuantiti besar.

“Sebaik mengenal pasti sasaran, suspek akan menghubungi rakan jenayah yang menunggu di luar bank.

“Rakan jenayah mereka itu akan mengekori kereta mangsa dan menyamun di dalam perjalanan, ketika berhenti di lampu isyarat atau melanggar belakang kereta mangsa,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan ini dianggotai lapan penjenayah yang masih bebas.

Sehubungan itu katanya, polis mengesan dua lelaki disyaki dapat membantu menyelesaikan kes rompakan yang dilaporkan melibatkan kumpulan itu.

Mereka adalah Azmi Abdullah atau dikenali Joe, 40, beralamat terakhir di No 14 jalan Mewah 2, Bandar Tun Razak, Cheras dan Mat Amin Abdullah atau Kodek@Ali, 42, beralamat terakhir di Kampung Merbau Gual, Tanah Merah, Kelantan.

“Kedua-dua lelaki itu mempunyai sekurang-kurangnya tujuh rekod lampau berhubung kesalahan jenayah dan pernah ditahan di bawah Akta Darurat,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai mempunyai maklumat berhubung dua lelaki terbabit diminta menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah (D9) IPPK Kuala Lumpur di talian 03-21460645 atau SMS Rakan Cop Polis KL di talian 32728.
SH

Tiga pengguna motosikal maut dalam dua nahas berasingan




KUANTAN - Dua penunggang dan seorang pembonceng maut dalam dua nahas berasingan yang dilaporkan berlaku di daerah Kuantan dan Rompin, kelmarin.

Dalam kejadian di Kuantan, seorang penunggang dan pembonceng maut apabila motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta yang sedang membelok masuk ke sebuah simpang berhampiran Masjid Bukit Setongkol di sini, malam kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 8.20 malam itu, penunggang, S Shanmuganathan, 32 dari Taman Cenderawasih di sini meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, R Nokeswaran, 21 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, kereta jenis proton yang dipandu seorang lelaki dari arah Kuantan dipercayai membelok untuk masuk ke simpang sebelah kanan.

Menurutnya, mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai gagal mengelak kereta terbabit lalu terlanggar menyebabkan penunggang dan pembonceng itu tercampak jatuh ke atas jalan.

“Akibat pelanggaran, kedua-dua pekerja sebuah syarikat swasta di sini mengalami cedera parah dan salah seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Najid berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kegagalan penunggang mengelak kereta di hadapan memasuki simpang.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang pemuda Orang Asli maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar papan tanda di Kilometer 152.2, Jalan Kuantan –Johor Baharu dekat Rompin, pagi kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa Fandi a/l Sol, 20 dari Kampung Denai, Endau, Rompin mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang bersama seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Kuantan itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang papan tanda di tepi laluan terbabit.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang cedera dihantar menerima rawatan ke Hospital Muadzam Shah,” katanya.

Mohd Najid berkata, ketika kejadian keadaan di lokasi gelap dan berkabus manakala jalan lurus serta kering.

“Kedua-dua kes kemalangan yang meragut tiga nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Warga emas kena samun




KUANTAN - Seorang peneroka tidak mampu berbuat apa-apa selepas melihat isterinya ditawan tiga perompak bersenjatakan parang yang menceroboh rumah mereka di Blok 3, Felda Jengka 25, Kuala Krau, Temerloh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun itu turut menerima nasib apabila dia dan isteri diikat sebelum perompak terbabit bertindak menggeledah rumahnya dan melarikan barang berharga membabitkan kerugian kira-kira RM10,000.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan/Operasi), Superintendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian mangsa sedang tidur di tingkat atas rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di bahagian dapur di tingkat bawah.

Menurutnya, mangsa turun untuk melihat kejadian yang berlaku namun terkejut apabila mendapati isterinya yang juga berusia 50 tahun ditawan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam keadaan kaki dan tangan terikat.

“Tiga perompak dipercayai warga asing yang menutup muka menggunakan kain pelikat kemudiannya menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan diri bersama hasil samun termasuk sejumlah barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai RM3,000,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Nordin berkata, mang-sa dan isterinya yang tidak dicederakan berjaya membebaskan diri sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua penyamun terbabit dipercayai warganegara asing dan ketika kejadian hanya pasangan suami isteri berkenaan berada di rumah.

“Mangsa memaklumkan mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM10,000 selepas barang berharga dan wang tunai mereka dilarikan penyamun terbabit,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang berusaha mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
SH

Tinggal anak elak dicekup

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa warga Taiwan sanggup meninggalkan anak lelakinya yang baru berumur lima tahun di sebuah bilik di rumah kongsi yang didiami, untuk melarikan diri bagi mengelak dicekup pihak berkuasa dalam satu operasi khas di tapak pembinaan rumah kos rendah, Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, dia yang berasal dari Taipei, Taiwan itu berjaya ditahan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Terengganu ketika sedang menyorok di bawah rumah kongsi berkenaan.

Hasil siasatan mendapati, dia yang mula masuk ke negara ini 17 tahun lalu, didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah sejak 10 tahun lalu, dan ini kali pertama dia ditahan pihak berkuasa.
SH

Adik lemas depan mata


TUMPAT – Disebabkan tidak pandai berenang, seorang abang hanya mampu melihat adiknya terkapai-kapai lemas dibawa arus Sungai Kelantan selepas mandi di sungai itu bersama sekumpulan kanak-kanak di Kampung Pulau Raja di sini, petang kelmarin.

Lebih memilukan abangnya itu, Ahmad Ikhwan Wan Hassan, 9, beberapa minit sebelum kejadian, dia melarang adiknya daripada terus mandi di sungai terbabit tetapi tidak diendahkan oleh adiknya itu, Nur Iddina Hassan, 7, apabila terus mandi dengan beberapa kanak-kanak lain.

Kedegilan Nur Iddina, murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut itu membawa padah apabila dia lemas selepas berada di tengah sungai sedalam hampir lima meter.

Ahmad Ikwan berkata, dia tidak menduga adiknya itu akan lemas kerana pada mula-mulanya dia hanya bermain di kawasan air cetek dan tidak menyangka dia boleh sampai di kawasan yang dalam.

“Saya amat takut sekali apabila nampak tangan adik terkapai-kapai dengan keadaan badannya tenggelam timbul tetapi tidak dapat berbuat apa-apa sehinggalah dia terus hilang daripada pandangan saya.

“Ketika itu saya sudah naik ke darat, tetapi mungkin kerana adik saya baru turun sungai dan masih seronok bermain air, dia tidak mahu dengar cakap saya supaya naik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Raja, semalam.

Disebabkan terlalu takut, Ahmad Ikhwan tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah ada seorang rakannya berlari pulang ke rumah memaklumkan kejadian tersebut kepada penduduk kampung yang jaraknya hampir satu kilometer dari tempat kejadian.

Sementara itu, ibu mangsa, Nik Rozita Nik Salleh, 34, berkata, anaknya itu keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang untuk bermain di sekitar halaman rumah dengan basikalnya, namun tidak menyangka anak keempat dari lima anaknya itu turut ke sungai mengikut abangnya mandi.

Menurutnya, dia hanya menyedari kehilangan anaknya itu apabila dimaklumkan oleh kakak iparnya bahawa anaknya itu mati lemas di sungai.

Katanya, hanya suaminya, Hassan Isa, 37, yang ketika itu sedang memotong rambut seorang lagi anaknya di rumah, bergegas ke tempat kejadian sebelum usaha mencari bersama sepupunya dan penduduk kampung.

“Kira-kira jam 6 petang, selepas beberapa kali menyelam mencari mangsa, sepupu kami itu menemui mayat anak saya yang berada di dasar sungai terbabit, tidak jauh dari tempat dia lemas,” katanya.

Menurutnya, arwah anaknya itu tidak menunjukkan tanda pelik dia akan meninggalkannya untuk selama-lamanya, namun pasrah dengan kejadian yang menimpa.

“Saya reda dengan pemergiannya, apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Tumpat, Asistent Superintendan Mohd Azmi Mohd Ali mengesahkan menerima laporan kejadian lemas tersebut.
SH

Ditipu ‘kekasih maya’




KUALA LUMPUR – Tanpa curiga, seorang wanita warga emas dari Perancis masukkan Euro 1,000 (hampir RM4,500) ke dalam akaun bank setelah dihubungi dua doktor dikenali Jerry dan Abby untuk selamatkan nyawa kekasihnya yang terlibat dalam kemalangan di negara ini.

Dia menyedari ditipu selepas mendapati teman lelaki dikenalinya melalui Internet itu sebenarnya tidak wujud.

Sebelum itu, mangsa berumur 52 tahun, dihubungi dua doktor berkenaan yang memaklumkan kejadian terbabit dan minta Euro 200,000 (hampir RM900,00) sebagai kos pembedahan segera.

Bukti seperti gambar di Internet ditunjukkan kepada mangsa untuk memperdayakannya.

Biarpun tidak pernah bertemu kekasihnya sejak enam tahun perkenalan di Internet, mangsa nekad bertemu lelaki Amerika Syarikat di negara ini awal April lalu.

Segalanya terbongkar selepas mangsa dapati kekasihnya itu tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa lapor perkara itu pada polis.

“Susulan itu, 11 lelaki warga Nigeria, berumur lingkungan 30-an, diberkas 6 dan 7 Mei lalu.

“Suspek adalah penuntut di sekitar kolej di ibu negara,” katanya pada sidang media di Pusat media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, mangsa sudah dinasihati keluarganya supaya tidak percayainya.

“Mungkin kerana sayang, mangsa sanggup abaikan nasihat keluarganya,” katanya.

Chin Wah berkata, sindiket itu akan jalin persahabatan tidak kira tempoh masa dan akan laksanakan perancangan selepas mangsa mereka benar-benar terperangkap.

Menurutnya, polis akan bertemu pihak Kedutaan Amerika Syarikat di sini untuk mengenal pasti kewujudan identiti kekasih wanita itu.
SH

Gempa sederhana landa Sumatera Utara, Indonesia

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.5 pada skala Richter berlaku di Sumatera Utara, Indonesia pada pukul 8.08 pagi ini.

Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa ialah 330km ke barat daya Klang, Selangor.

Gegaran turut dirasai di beberapa tempat di pantai barat Semenanjung terutama di sekitar Selangor, selatan Perak dan Melaka.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Shah Alam ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya menerima satu aduan gegaran berlaku di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada pukul 8.29 pagi dan keadaan masih terkawal.- Bernama
SH

Juruwang songlap RM1.9 juta




AYER KEROH - Seorang juruwang Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam selepas mengaku bersalah terhadap 56 pertuduhan mendepositkan cek RM1,925,500.

Roslizam Zabar, 40, berhadapan tiga pertuduhan pilihan merangkumi 56 pertuduhan mengikut tahun, 2008, 2009 dan 2010, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim, Abu Bakar Katar.

Pada pertuduhan pilihan pertama, Roslizam didapati curang dan tanpa pengetahuan serta kebenaran bank membuat deposit cek yang tidak wujud berjumlah RM95,000 dan dimasukkan ke dalam akaun BIMB atas nama Roslen Enterprise di nombor akaun 04024010016444 di BIMB cawangan Masjid Tanah, Kompleks Perniagaan Masjid Tanah, Alor Gajah antara 5 dan 26 Disember 2008.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, dia lakukan perkara sama dengan jumlah RM1,578 di dalam akaun dan bank sama pada 2009, iaitu dari 9 Januari hingga 25 Ogos.

Menerusi pertuduhan pilihan ketiga pada 2010, dia melakukan perkara sama dengan jumlah wang RM252,500 ketika bertugas dari 2 hingga 17 Ogos.

Roslizam, diwakili peguam, Shah Rizal Alias dan Shahrul Amali Shafie ketika rayuan, meminta mahkamah berikan hukuman ringan kerana dia berniat pulangkan semula keseluruhan wang diambil.

“Tertuduh insaf. Dia turut beri kerjasama ketika majikannya menyiasat perkara berkenaan dengan menyerahkan borang deposit cek yang berada dalam simpanan.

“Mahkamah dimohon pertimbangkan tanggungjawab tertuduh untuk menyara seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil berusia dari setahun hingga enam tahun, di samping ia kesalahan kali pertama,” kata Shah Rizal.

Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar, mohon dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukannya serius dan tidak sepatutnya tertuduh guna wang pihak ketiga dalam menyelesaikan masalah kewangan.

“Niat jahat berlaku ketika transaksi pertama, kemudian dipengaruhi nafsu tamak kerana tertuduh didapati mengulangi perbuatan sehingga membabitkan 56 transaksi dilakukan.

“Sekiranya tertuduh berniat mahu memulangkan semula wang terbabit, dia sepatutnya sudah memulakannya sejak awal, tetapi sehingga sekarang tiada usaha dilakukannya,” katanya.

Setelah meneliti fakta kes dan mendengar hujah serta rayuan kedua-dua belah pihak, Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan halus bagi setiap pertuduhan pilihan dari 2008 hingga 2010.

Beliau, bagaimanapun, mengarahkan hukuman dijalankan secara serentak menjadikan hukuman dijalankan ke atas tertuduh adalah 10 tahun penjara dan 12 sebatan.
SH

Sindiket seludup minyak masak guna tenaga pekerja asing

Peroleh bahan di kedai runcit tanpa dikesan pihak berkuasa
KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan minyak masak ke negara jiran dikesan bertindak lebih licik. Ia mengerah tenaga pekerja asing membeli bahan mentah berkenaan sebanyak mungkin di kedai runcit dan pasar raya bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa.

Difahamkan, pekerja asing berkenaan, yang kebanyakannya warga Bangladesh, keluar rumah seawal 6 pagi untuk mendapatkan bekalan minyak masak, di samping melakukan kerja mencuci kereta di ibu negara milik majikan mereka.
Setiap pekerja dipercayai membeli kira-kira 50 kilogram minyak masak - berharga RM2.50 ($1.01) sekilogram - sehari sebelum bahan berkenaan diambil oleh majikan mereka pada sebelah petang.Minyak masak yang dibeli itu kemudian dikumpul sebelum diseludup ke Thailand serta Indonesia dan dijual pada harga lebih tinggi.Difahamkan, harga minyak masak di Indonesia ialah RM3.60 sekilogram dan di Thailand RM4.76.Malah, sindiket berkenaan dipercayai sudah beberapa kali diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tetapi ia masih giat melakukan kegiatan itu dengan menjadikan tempat lain sebagai transit mereka.Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Encik Othman Nawang, turut mengakui taktik itu antara yang digunakan kebanyakan sindiket penyeludupan.'Kami akui, kebanyakan mereka menggunakan pekerja asing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Ada pekerja asing dikerah bekerja di kilang yang menjadi tempat transit mereka. Bagaimanapun, KPDNKK sentiasa menjalankan risikan bagi menumpaskan sindiket itu.'Hasil pemantauan KPDNKK menanggarkan 20 syarikat dikesan menjalankan kegiatan itu dengan dua daripadanya ditumpaskan menerusi operasi khas dua bulan lalu,' katanya.Sementara itu, seorang pekerja berusia 30-an tahun berasal dari Bangladesh, berkata beliau dan rakannya tiada pilihan melainkan menurut perintah majikannya dengan membeli minyak masak kerana pasportnya disimpan oleh majikan.'Setiap hari, saya dan rakan keluar rumah seawal 6 pagi untuk mencari minyak masak sebelum memulakan kerja mencuci kereta. Jika minyak diperoleh tidak menepati sasaran majikan, kami dikerah mendapatkannya juga.'Paling banyak saya hanya mampu membeli 50 kilogram dan rakan lain juga sama seperti saya kerana kami perlu melakukan tugas kedua iaitu mencuci kereta.'Saya tahu kerja ini salah tetapi terpaksa melakukannya kerana untuk mendapatkan wang.'Kami pada mulanya mahu melarikan diri dan bekerja di tempat lain, namun majikan enggan memulangkan pasport kami,' katanya. -- BHM.Cyberita Online Luar Negara

Lipas mungkin punca kian ramai kanak-kanak di NY semput

NEW YORK: Lipas mungkin punca kadar penyakit semput di kalangan kanak-kanak di New York bertambah.

Di beberapa kejiranan di bandaraya itu, 19 peratus kanak-kanak, iaitu hampir seorang dalam setiap lima, mengalami semput, berbanding serendah 3 peratus di tempat lain.
Sebelum ini, kesibukan trafik, pembakaran sisa perindustrian dan sumber pencemaran udara luar dikatakan antara punca penyakit itu.Namun, penyelidik di Universiti Columbia mendapati kanak-ka nak yang tinggal di kejiranan yang mempunyai kadar penyakit semput tinggi dua kali ganda berkemungkinan membawa antibodi terhadap protein lipas dalam darah mereka.Ini petanda mereka terdedah dan alah kepada serangga perosak itu.Malah, rumah di kejiranan sedemikian mengandungi lebih alergen yang dihasilkan lipas dalam habuk rumah.Ketua kajian itu, Encik Matthew Perzanowski, berkata pasukannya meninjau rumah 239 kanak-kanak tujuh hingga lapan tahun, separuh daripada mereka tinggal di kawasan yang mempunyai kadar penyakit semput tinggi.Para penyelidik mengambil sampel habuk dari katil kanak-kanak dan darah mereka bagi mengesan antibodi terhadap pelbagai alergen yang dikaitkan dengan serangan semput, termasuk protein anjing, kucing, tikus, lipas dan hama.Hasil kajian itu mendapati hampir seorang dalam setiap empat kanak-kanak di kejiranan yang mempunyai kadar penyakit semput tinggi alah kepada lipas.Ini berbanding satu dalam setiap 10 kanak-kanak di kejiranan yang mempunyai kadar penyakit semput rendah.Menurut Encik Perzanowski, lipas meninggalkan protein yang boleh dihidu manusia dan mereka boleh mengalami alahan ekorannya. -- Reuters.Cyberita Online Luar Negara

Kereta bawa Raja Jordan diserang kumpulan remaja

AMMAN 14 Jun – Sekumpulan remaja Jordan menyerang perarakan kereta Raja Abdullah II dengan melempar batu ke arahnya ketika baginda melawat bandar di Tafileh di selatan negara itu, kata seorang pegawai keselamatan tetapi kenyataan itu dinafikan oleh kerajaan.
Menurut pegawai tersebut, sebahagian daripada perarakan kereta tersebut diserang dengan dilemparkan batu serta botol kosong oleh sekumpulan lelaki yang berusia 20 hingga 30 tahun apabila kereta raja itu memasuki Tafileh.
“Tiada siapa yang tercedera dan kereta-kereta yang mengiringi raja itu menukarkan arah laluannya,” ujarnya. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

11 pelajar Nigeria ditahan tipu wanita Perancis

KUALA LUMPUR 13 Jun - Kelicikan 11 pelajar warga Nigeria menggunakan ayat-ayat cinta bukan sahaja memperdaya seorang wanita warga Perancis untuk bercinta di alam siber selama enam tahun, malah turut mendorong mangsa datang ke negara ini.
Awal bulan lalu, mangsa berusia 52 tahun datang menjejaki 'kekasih sibernya', seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang menetap di negara ini sejak enam tahun lalu kerana kononnya dia mengalami kemalangan dan memerlukan pembedahan segera.
Mangsa dihubungi oleh dua suspek dikenali sebagai Dr. Jerry dan Dr. Abby yang memaklumkan teman lelakinya itu perlu menjalani pembedahan dengan kos sebanyak 200,000 Euro (RM872,147).
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mangsa yang percaya dengan 'cerita' itu telah memasukkan wang pendahuluan 1,000 Euro (RM4,357) sebelum ke negara ini untuk melawat 'teman lelakinya'.
"Hasrat mangsa untuk melihat keadaan teman lelakinya itu bagaimanapun ditolak malah diugut supaya menjelaskan baki 'wang pembedahan' sebelum teman lelakinya itu dibebaskan dari hospital.
"Mangsa yang dinasihatkan pihak kedutaannya telah membuat laporan polis sehingga membolehkan kesemua suspek diberkas pada 6 Jun dan 7 Jun lalu hasil siasatan dan perangkap yang dipasang.
"Hasil siasatan mendapati teman lelaki mangsa tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata sejak enam tahun lalu," katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Chin Wah berkata, kesemua suspek menggunakan pas pelajar untuk masuk ke negara ini dan dipercayai wanita tersebut bukan mangsa pertama yang ditipu.
Katanya, perancangan rapi dibuat dengan modus operandi menggunakan laman sosial Internet untuk menjalin persahabatan sebelum memupuk kepercayaan dan keyakinan mangsa.
"Sindiket warga Nigeria tersebut menyasarkan mangsa yang mempunyai kewangan kukuh dan terdesak untuk mendapat pasangan hidup.
"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 21 Jun ini mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan kesalahan Akta Imigresen," katanya lagi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

3 pelajar Nigeria ditahan edar syabu di sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR 13 Jun - Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah syabu di sekitar Lembah Klang yang didalangi warga Nigeria dengan tertangkapnya tiga lelaki rakyat negara itu di Taman Sri Segambut, di sini Jumaat lalu.
Kesemua suspek berusia 22 hingga 24 tahun dikesan menggunakan pas pelajar dan mengikuti jurusan perniagaan di dua kolej swasta di ibu negara sejak dua tahun lalu.
Serbuan dan tangkapan dibuat hasil maklumat orang awam berhubung kegiatan sindiket tersebut yang aktif beroperasi di sekitar Lembah Klang beberapa bulan lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, polis turut merampas 1,500 gram ketulan jernih dadah syabu dalam tangkapan tersebut.
"Ujian awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah methamphetamine.
"Kesemua suspek direman tujuh hari sejak 11 Jun lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Chez Chiang memberitahu, seramai 14 warga Afrika ditahan sejak awal tahun ini dengan rampasan membabitkan 14 kilogram syabu dan tiga kilogram heroin di sekitar ibu negara.
Katanya, siasatan mendapati bekalan dadah dibawa masuk dari luar negara sebelum diedar ke pasaran tempatan.
"Kebanyakan ahli sindiket masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar dan mengikuti program-program yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
"Tahun lalu, banyak tangkapan dan rampasan ganja membabitkan warga Afrika dari Kenya, Utopia, Afrika Selatan dan Afrika Barat.
"Pelajar Afrika itu dikesan terlibat dengan pengedaran dadah, kegiatan penggubahan wang haram, penipuan dan aktiviti penyeludupan manusia yang dilihat cara mudah untuk memperoleh wang segera," katanya lagi.
Katanya, pihak polis memandang serius kegiatan jenayah warga Afrika dan sedang menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Guru KAFA didakwa subahat suami rogol anak

KUALA LUMPUR 13 Jun - Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini, hari ini atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya yang didakwa merogol dan mencabul anak perempuannya, tiga bulan lalu.
Suaminya, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan dekat sini atas tiga tuduhan merogol serta mencabul mangsa berusia 15 tahun yang merupakan anak tirinya.
Guru agama itu didakwa di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad atas tuduhan bersubahat dengan suaminya yang berusia 36 tahun, menyuruh mangsa membuka pakaian dan menutup mulut.
Kejadian itu didakwa berlaku dalam bilik tidur sebuah rumah di Bukit Ampang Permai dekat sini antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, April lalu.
Ibu lima anak itu yang berusia 33 tahun turut didakwa bersubahat dengan lelaki itu terhadap kesalahan sama dengan menyuruh anaknya masuk ke bilik tidur berkenaan antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, 12 Mei lalu.
Selain itu, wanita berkenaan menghadapi tuduhan membenarkan pemandu lori itu mencabul mangsa di bilik yang sama antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(3) dan Seksyen 354 kanun sama.
Sementara itu di hadapan Hakim Manira Mohd. Nor, suami guru agama terbabit minta dibicarakan atas tuduhan merogol dan mencabul mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan 10 kali bagi setiap pertuduhan merogol.
Bagi perbuatan mencabul pula tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Pasangan suami isteri tersebut yang tidak diwakili peguam bela tidak dibenarkan ikat jamin oleh kedua-dua hakim yang mengendalikan prosiding.
Timbalan Pendakwa Raya, Zuraini Ab. Hamid memohon di hadapan Hakim Roszianayati agar kes wanita itu dibicarakan bersama tuduhan yang dihadapi suaminya.
Roszianayati membenarkan permohonan itu dan kes tersebut akan disebut di hadapan Manira pada 13 Julai ini.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

11 pelajar Nigeria ditahan tipu wanita Perancis

KUALA LUMPUR 13 Jun - Kelicikan 11 pelajar warga Nigeria menggunakan ayat-ayat cinta bukan sahaja memperdaya seorang wanita warga Perancis untuk bercinta di alam siber selama enam tahun, malah turut mendorong mangsa datang ke negara ini.

Awal bulan lalu, mangsa berusia 52 tahun datang menjejaki 'kekasih sibernya', seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang menetap di negara ini sejak enam tahun lalu kerana kononnya dia mengalami kemalangan dan memerlukan pembedahan segera.

Mangsa dihubungi oleh dua suspek dikenali sebagai Dr. Jerry dan Dr. Abby yang memaklumkan teman lelakinya itu perlu menjalani pembedahan dengan kos sebanyak 200,000 Euro (RM872,147).

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mangsa yang percaya dengan 'cerita' itu telah memasukkan wang pendahuluan 1,000 Euro (RM4,357) sebelum ke negara ini untuk melawat 'teman lelakinya'.

"Hasrat mangsa untuk melihat keadaan teman lelakinya itu bagaimanapun ditolak malah diugut supaya menjelaskan baki 'wang pembedahan' sebelum teman lelakinya itu dibebaskan dari hospital.

"Mangsa yang dinasihatkan pihak kedutaannya telah membuat laporan polis sehingga membolehkan kesemua suspek diberkas pada 6 Jun dan 7 Jun lalu hasil siasatan dan perangkap yang dipasang.

"Hasil siasatan mendapati teman lelaki mangsa tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata sejak enam tahun lalu," katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Chin Wah berkata, kesemua suspek menggunakan pas pelajar untuk masuk ke negara ini dan dipercayai wanita tersebut bukan mangsa pertama yang ditipu.

Katanya, perancangan rapi dibuat dengan modus operandi menggunakan laman sosial Internet untuk menjalin persahabatan sebelum memupuk kepercayaan dan keyakinan mangsa.

"Sindiket warga Nigeria tersebut menyasarkan mangsa yang mempunyai kewangan kukuh dan terdesak untuk mendapat pasangan hidup.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 21 Jun ini mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan kesalahan Akta Imigresen," katanya lagi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Dibebas, bapa tak mampu bayar wang tebusan

HULU SELANGOR 13 Jun - Sekumpulan empat lelaki bertindak membebaskan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun (gambar) yang diculik setelah bapa mangsa memaklumkan tidak mampu membayar wang tebusan.
Mangsa merupakan anak seorang pengusaha kedai kopi dan kolam ikan telah diculik di hadapan rumahnya di Kampung Baru Air Panas, Kerling, di sini, pada Jumaat lalu.
Kanak-kanak terbabit bagaimanapun dibebaskan tanpa dicederakan berhampiran Hospital Sungai Buloh dekat sini pada keesokan harinya iaitu selepas 29 jam diculik.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Liew Hong, 52, ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini memberitahu, anak sulungnya itu dipercayai diculik oleh empat lelaki dengan menaiki kereta Perodua Myvi semasa keluar rumah untuk menemui rakannya pada pukul 7 pagi.
"Anak saya keluar rumah pada awal pagi kerana mahu mengambil basikal bermotor yang dipinjamkan kepada kawan," katanya.
Menurut Liew Hong, penculik mungkin mengambil kesempatan menculik anaknya kerana rumah mereka terletak di tepi sekali bersebelahan dengan sebuah lorong.
Katanya, insiden penculikan terbabit kebetulan dilihat oleh seorang jiran wanita yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada adik iparnya yang berada di pasar berhampiran ketika itu.
Tambahnya, sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, mereka sekeluarga segera melancarkan operasi mencari mangsa melalui laman sosial Facebook dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kenalan sebelum membuat laporan polis.
"Pada pukul 4 petang, saya dihubungi oleh penculik yang meminta wang tebusan RM50,000 tetapi saya berterus-terang memaklumkan tidak mempunyai wang sebanyak itu.
"Penculik kemudian tidak menghubungi saya sehinggalah anak saya dibebaskan pada pukul 12 tengah hari berhampiran Hospital Sungai Buloh pada keesokan harinya," kata Liew Hong.
Menurut Liew Hong, anaknya menghubungi keluarga setelah meminjam telefon bimbit daripada seorang pengawal keselamatan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Peguam dijel 4 tahun

KUALA LUMPUR 13 Jun – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM235,000 ke atas seorang peguam yang didapati bersalah meminta dan menerima suapan daripada seorang doktor kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugut melibatkan anak guamnya itu, enam tahun lepas.
Sekiranya tertuduh, Ranjit Singh, 57, gagal membayar denda berkenaan, hukuman penjara tersebut boleh ditambah selama 14 bulan lagi.
Bagaimanapun, Hakim Rozilah Salleh selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut digantung sementara menunggu rayuan dengan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Bangsar setiap bulan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam bela, Afifuddin Hafifi.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut menyatakan pembelaan tertuduh yang juga merupakan bekas pegawai kanan polis bahawa wang yang diminta dan diterima adalah yuran guaman bagi dirinya dan seorang lagi peguam pembantu iaitu adiknya sendiri adalah satu rekaan.
“Tertuduh cuba memberikan justifikasi (kewajaran) ke atas perbuatannya namun apa yang dikatakan tidak selari dengan bukti yang dikemukakan. Sekiranya benar, wang yang diminta adalah untuk yuran guaman adalah tidak mustahil tertuduh untuk menjelaskannya kepada anak guamnya,’’ ujar hakim terbabit.
Mengikut pertuduhan, Ranjit didakwa telah meminta suapan wang tunai RM40,000 daripada Dr. Chong Kuck Meng, 46, bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap seorang pelajar, Lee Khai Yin, 26, di Lobi Hotel Le Meridien, Jalan Stesen Sentral pada pukul 11.45 malam, 22 April 2005.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM7,000 daripada Kuck Meng kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap Khai Yin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Twin Happiness, Pekan Slim River, Batang Padang, Perak pada pukul 8.30 malam, 28 Jun 2005.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pertama, Rozilah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM200,000, gagal bayar penjara 12 bulan.
Bagi pertuduhan kedua, Ranjit dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM35,000. Gagal membayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara dua bulan.
Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Khir arah beli hartanah RM6.5j’


SHAH ALAM 13 Jun – Ahli perniagaan, Datuk Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau terpaksa menjual dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM5.5 juta kepada Dr. Mohamad Khir Toyo hanya dengan harga RM3.5 juta pada tahun 2007.
Pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd. yang juga saksi pendakwaan kedua itu berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selepas bekas Menteri Besar Selangor itu ingin membelinya di bawah harga pasaran kerana khuatir projek serta perniagaannya di negeri tersebut akan terjejas.
‘‘Perbincangan telah berlaku antara saya dan Mohamad Khir berhubung penjualan dan pindah milik. Saya tidak setuju dengan harga RM3.5 juta sebab ia terlalu rendah. Selepas ubah suai rumah dengan kos RM1.5 juta, ia boleh dijual dengan harga antara RM5 dan RM5.5 juta.
‘‘Setelah berbincang dengan orang rumah (isterinya), memandangkan saya ada projek dan aktif dalam perniagaan di Selangor, apabila Menteri Besar mahu rumah saya dengan harga RM3.5 juta, saya khuatir dengan kedudukan perniagaan saya di Selangor jika tidak bersetuju,’’ katanya.
Beliau yang menyambung keterangan selepas ia terhenti Rabu lalu, disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed semasa sesi pemeriksaan utama hari ini.
Menurut Shamsuddin, 52, sebelum itu beliau datang beberapa kali untuk melihat rumah dan lot tanah milik Saiful Aznir Shahabudin serta menyedari Mohamad Khir juga berminat untuk membeli hartanah tersebut.
Katanya, Mohamad Khir menyuruhnya membeli hartanah yang kemudiannya diperoleh pada harga RM6.5 juta selepas ahli perniagaan, Datuk Sumadi Ismail tidak dapat berbuat demikian atas alasan mempunyai banyak komitmen lain.
‘‘Mohamad Khir menyuruh saya pula yang membeli rumah tersebut. Waktu itu, pemahaman saya adalah beliau berminat dengan rumah itu dan mungkin satu hari, beliau mahu membelinya daripada saya.
‘‘Saya setuju untuk membelinya kerana saya seorang ahli perniagaan dan mempunyai projek di Selangor manakala beliau pula seorang menteri besar. Apabila seorang menteri besar meminta saya membeli rumah, pada saya, saya tiada pilihan. Patut diteruskan,’’ jelas beliau.
Tambah Shamsuddin, perjanjian jual beli antara beliau dan Mohamad Khir serta isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik ditandatangani pada 29 Mei 2007 dengan deposit RM500,000 manakala bakinya dibayar kepada Ditamas pada 6 Ogos 2007.
Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.
Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Shamsuddin yang sebelum ini didakwa bersubahat dengan Mohamad Khir bagaimanapun dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan menggugurkan tuduhan terhadapnya pada 6 Jun lalu.
Pada prosiding hari ini, peguam M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir memohon agar mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan salinan rakaman percakapan Shamsudin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pihak pembelaan.
Katanya, dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya membuat permohonan untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki kemudian menangguhkan prosiding bagi membolehkan permohonan tersebut didengar esok.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

96 PATI Indonesia ditahan ingin seludup keluar

JOHOR BAHRU 13 Jun - Kegiatan sindiket menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi melalui jalan laut di negeri ini terus berlaku dan seolah-olah tidak gentar dengan operasi dijalankan pihak berkuasa.
Terbaru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan 96 PATI di kawasan jirat Cina Kampung Bukit Gelugor, Sungai Rengit di Pengerang, dipercayai dijadikan tempat persembunyian mereka dalam dua operasi berasingan semalam dan kelmarin.
Utusan Malaysia difahamkan, semua PATI yang ditahan berusia 17 hingga 55 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke negara mereka melalui laluan tikus di sini menuju ke Pulau Batam, Indonesia.
Komander PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, serbuan pertama kelmarin yang dilakukan pihaknya pukul 10.40 malam di kawasan jirat itu berjaya menahan 38 lelaki dan enam wanita rakyat Indonesia.
"Mereka ditahan selepas pihak kami menahan sebuah lori dipandu lelaki tempatan dipercayai tekong darat dan mendapati seramai 44 orang yang tiada dokumen sah berada di bahagian belakang kenderaan tersebut.
"Lori berkenaan datang dari arah Sungai Tiram ke Sungai Rengit disyaki untuk menghantar PATI yang ingin pulang awal bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, pihaknya mengadakan satu lagi serbuan di lokasi yang sama semalam pada pukul 2 petang dan menahan 52 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan sedang bersembunyi di kawasan semak-samun di situ.
Menurutnya, kesemua PATI itu telah diserahkan kepada Balai Polis Sungai Rengit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
"PGM Wilayah Dua akan terus melakukan pemantauan dengan mengerahkan seluruh jentera risikan dan Unit Gempur Marin bagi membanteras kegiatan seumpama itu," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Bilik bacaan asrama hangus terbakar

PADANG TERAP 13 Jun - Sebuah bilik bacaan di Asrama Putera Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad di sini, hangus dalam satu kebakaran awal pagi ini.
Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri, Mohamad Abd. Hamid berkata, kebakaran kira-kira pukul 2 pagi itu disedari pelajar-pelajar yang tinggal berhampiran bilik bacaan itu.
"Bilik bacaan di tingkat dua asrama dan seramai 106 pelajar lelaki yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 menginap di asrama ini.
"Semua pelajar ditempatkan buat sementara waktu di surau dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran di SMK Datuk Syed Ahmad di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, dia terhidu bau asap dan terus memaklumkan perkara itu kepada rakan-rakan lain.
"Ramai yang tengah tidur ketika kejadian dan kami kelam-kabut keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri. Mujurlah pihak bomba bertindak pantas dan api dapat dikawal sebelum merebak ke bilik kami," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang Abdul Manaf Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.26 pagi dan sebuah jentera bersama lima anggota dari balai tersebut dikejarkan ke tempat kejadian.
"Api dapat dikawal kira-kira 20 minit dan punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian kira-kira RM5,600," jelasnya.
Utusan Malaysia Online - Utara

Warga emas putih mata rumah dihempap pokok

KUANTAN 13 Jun - Seorang warga emas berputih mata apabila melihat rumahnya ranap selepas dihempap tiga batang pokok durian di Felda Bukit Kuantan di sini, kelmarin.
Ketika kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Salebiah Johan, 64, tiada di rumah kerana menziarahi anaknya di Kemaman, Terengganu.
Salebiah yang ditemui memberitahu, kejadian yang terburuk dialaminya itu dimaklumkan oleh jirannya.
"Mujur saya tiada di rumah, jika tidak, mungkin nyawa saya terancam," katanya yang tinggal seorang diri setelah suaminya meninggal dunia.
Menurut Salebiah, sebelum kejadian itu, dia berasa tidak sedap hati dan mengambil keputusan untuk ke rumah salah seorang anaknya di Kemaman.
"Ada hikmah di sebalik kejadian ini dan saya reda dengan ketentuan Ilahi walaupun rumah rosak teruk," katanya yang telah tinggal di rumah itu sejak 40 tahun lalu.
Sementara itu, penduduk kampung telah mengadakan gotong-royong membaiki atap rumah Salebiah melalui peruntukan yang disalurkan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.
Abdul Manan berkata, setelah dimaklumkan ketua kampung, peruntukan sebanyak RM500 disalurkan untuk membaiki atap rumah Salebiah.
"Dengan bantuan penduduk, bahagian atap rumah mangsa ini siap dibaiki kerana bimbang jika hujan, ia akan memburukkan lagi keadaan.
"Selain itu, bagi rumah-rumah penduduk yang turut terlibat dalam ribut ini, saya akan usulkan kepada Jawatankuasa Bencana Alam negeri untuk mendapatkan peruntukan bagi meringankan beban mereka,'' ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk yang mengalami musibah itu dapat membaiki rumah mereka terlebih dahulu sebelum sumbangan disalurkan.
Utusan Malaysia Online - Pahang

Lima bot tunda negara asing ditahan berlabuh tanpa kebenaran




Salah sebuah bot tunda yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Piai, Pontian, kelmarin.


JOHOR BAHRU 13 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima bot tunda negara asing kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Piai, Pontian, di sini kelmarin.Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, kesemua kapal itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pihaknya pada pukul 3.30 petang.
Menurutnya, bot berkenaan iaitu Harita Berlian 9 dan Harita Berlian 10 telah didaftarkan di Funafuti, Kepulauan Tuvalu manakala Harita Berlian 7 dan Harita Berlian 8 didaftarkan di Panama selain Artha Sarana 28, di Dumai, Indonesia.
Kelima-lima ketua jurutera bot tunda yang merupakan rakyat Indonesia ditahan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Wilayah Selatan untuk siasatan manakala 42 anak kapal dari negara sama berusia 20 hingga 51 tahun ditahan di atas bot.
"Siasatan awal pihak kami juga mendapati kelima-lima bot itu juga tidak memaklumkan ketibaan kapal mereka di perairan Malaysia dan gagal membayar dius api," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, kelima-lima bot tunda itu dipercayai daripada syarikat yang sama dan sedang dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar pasir.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (l) dan Seksyen 449 Akta Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953.
"Pihak kami akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas kapal-kapal yang berlabuh di perairan negeri ini sekali gus memastikan mereka mematuhi undang-undang ketika di perairan negara," katanya.
Utusan Malaysia Online - Johor

Parti Erdogan menang besar




RECEP Tayyip Erdogan melambai tangan ke arah para penyokongnya di ibu pejabat AKP di Ankara, Turki, kelmarin. - REUTERS


ANKARA 13 Jun - Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen Turki semalam tetapi gagal mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang diperlukannya untuk meminda Perlembagaan.
Setelah hampir 100 peratus undi dikira, AKP pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan membolot 50 peratus undi untuk kemenangan ketiga berturut-turut, menurut keputusan yang disiarkan oleh stesen televisyen.
Peratusan undi itu adalah yang tertinggi dicapai oleh AKP sejak mula mengambil alih kuasa pada 2002 tetapi dipercayai tidak cukup untuk menduduki majoriti 367 kerusi yang diperlukan di dewan 550 anggota itu bagi meminda Perlembagaan tanpa sokongan parti lain.
"Hari ini, untuk satu lagi penggal, kemenangan memihak kepada demokrasi dan rakyat.
"Kemenangan ini juga untuk Gaza, Palestin dan Baitulmaqdis," kata Erdogan kepada beribu-ribu penyokong dari beranda ibu pejabat AKP di Ankara, malam tadi.
Misi Erdogan untuk membela nasib 'golongan tertindas', berlandaskan wawasan persaudaraan Islam, telah melewati batas sempadan dan menjadikan beliau wira di kalangan penduduk Arab.
Parti pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan (CHP) menduduki tempat kedua dengan 25.9 peratus undi manakala Parti Tindakan Nasionalis (MHP) yang dicemari skandal video seks para pemimpinnya baru-baru ini memperoleh 13 peratus undi.
Populariti AKP yang berterusan banyak berpunca daripada kemakmuran ekonomi dan peningkatan perkhidmatan awam setelah bertahun-tahun Turki dihantui ketidakstabilan kewangan di bawah beberapa kerajaan campuran yang goyah pada masa lalu.
Di bawah kerajaan AKP, ekonomi berkembang 8.9 peratus pada 2010, mengatasi kadar pemulihan ekonomi dunia, manakala pendapatan per kapita meningkat sekali ganda kepada AS$10,079 (RM30,237).
Walaupun dipuji kerana membawa kejayaan ekonomi, Erdogan yang pernah menjadi tenaga penggerak bagi melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh Kesatuan Eropah (EU), juga dikecam hebat kerana cenderung bersikap autokratik dan semakin tidak bertolak ansur terhadap kritikan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tabung Masjid Felda Tenggaroh 1 kena kebas dua kali



MERSING 13 Jun - Jemaah Masjid Jamek Felda Tenggaroh 1 dekat sini dikejutkan dengan dua siri kecurian wang tabung masjid tersebut, baru-baru ini.
Pengerusi masjid, Torijan Marjani, 60, berkata, kejadian pertama dipercayai berlaku pada malam Rabu lalu manakala yang kedua pada subuh hari Sabtu lalu.
Menurutnya, mereka menyedari sebuah tabung yang berada di dalam masjid itu telah dipecahkan mangganya dan duit di dalamnya dicuri pada malam Rabu lalu.
Beliau berkata, tabung yang sejak dahulu dilekatkan ke tiang di bahagian tengah dalam masjid itu tidak mampu ditarik atau dibawa keluar kerana ia dilekat kuat.
"Kejadian kedua pula menyusul Sabtu lalu apabila sebuah lagi tabung masjid yang agak besar dan tidak diikat ke tiang berjaya dicuri dan kejadian itu hanya disedari apabila para jemaah ingin menunaikan solat subuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, bilal masjid, Mohd. Yusof Roslan, 65, pula memberitahu, tabung yang dicuri itu telah ditemui di belakang rumah seorang penduduk kampung, berhampiran anak sungai.
"Seorang penduduk memaklumkan bahawa dia terjumpa tabung tersebut di belakang rumahnya tetapi duit di dalamnya didapati hilang," katanya.
Seorang penduduk, Harun Yaakob, 50, pula berkata, dia amat sedih kerana hak milik di dalam rumah Allah turut dicuri.
"Saya harap agar mereka yang terlibat menyesali perbuatannya itu," katanya.
Seorang jemaah, Zulhelmi Mashod, 45, pula mencadangkan supaya kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di masjid berkenaan.
"Jika ada kamera litar tertutup, saya rasa pencuri ni pun kena berfikir beberapa kali untuk meneruskan niatnya itu," katanya sambil berharap supaya masyarakat setempat bekerjasama menangani masalah seperti itu agar tidak berulang.
Ekoran kejadian itu, Torijan telah membuat laporan di balai polis Sungai Ambat, di sini pada Sabtu lalu.
Utusan Malaysia Online - Johor

Tiga warga emas ditahan Ops Kutu Rayau

ALOR GAJAH 13 Jun - Tiga warga emas ditahan dalam operasi kutu rayau yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sekitar daerah Alor Gajah, malam kelmarin.
Dalam operasi selama tiga jam bermula 11 malam itu, ketiga-tiga lelaki berusia 50 hingga 60 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu dua di Pulau Sebang dan seorang di Dataran Keris, di sini.
Sewaktu ditahan semua mereka sedang tidur di atas lantai premis perniagaan.
Ketua Operasi, Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPAG, Kapten (B) Kamarol Abu Bakar berkata, serbuan itu tertumpu di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi golongan terbabit bermalam seperti kawasan pasar, stesen bas, stesen keretapi dan juga siar kaki bangunan.
Menurutnya, selain JKM, operasi yang pertama kali dilancarkan oleh MPAG itu turut mendapat bantuan daripada pihak polis dan Jabatan Agama Islam Melaka.
"Semua yang ditahan tidak mempunyai kad pengenalan, tiada keluarga terdekat serta tidak mempunyai kediaman," katanya.
Kesemua yang ditahan diserahkan kepada JKM untuk diambil tindakan mengikut Akta Orang Papa 1977 dan dibawa ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan, Cheng.
Beliau berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi operasi seumpama itu bersama agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan daerah Alor Gajah bebas dari kegiatan kutu rayau dan masalah gelandangan.
Katanya, operasi itu bertujuan menjadikan daerah Alor Gajah bersih dan bebas daripada kehadiran kutu rayau yang dilihat semakin berleluasa di sini.
Utusan Malaysia Online - Selatan

101 rakyat Taiwan ditahan akibat kes penipuan Internet


TAIPEI: Lebih 100 warga Taiwan antara ratusan yang ditahan di seluruh Asia ekoran peranan mereka dalam kes penipuan dalam talian dihantar pulang ke negara itu, semalam.
Seramai 101 suspek dengan tangan bergari dan menutup muka tiba di Lapangan Terbang Taoyuan di utara pulau itu dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Semua suspek berkenaan dihantar ke tengah Taiwan untuk siasatan lanjut, kata pegawai Biro Siasatan Jenayah. Selain rakyat Taiwan, Indonesia turut menahan 76 warga China di 15 lokasi berbeza di seluruh Jakarta. Mereka dihantar pulang ke Beijing Sabtu lalu.

“Seramai 101 rakyat Taiwan dihantar pulang pagi ini (semalam) dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta menuju ke Taipei dengan menaiki penerbangan Air China,” kata jurucakap pejabat imigresen, Herawan Sukoaji. Hampir 600 suspek termasuk 410 rakyat Taiwan dan 181 warga China ditahan dalam operasi di enam negara kerana disyaki melakukan penipuan melalui Internet dan telefon. - AFP
myMetro | 101 rakyat Taiwan ditahan akibat kes penipuan Internet

Tinggal bayi dalam plastik


KUALA LUMPUR: “Kasihan melihat keadaan bayi yang ditinggalkan dalam balutan plastik, saya berlari mengambil payung di pondok pengawal untuk melindungi bayi itu,” kata Nair Sagar, berhubung penemuan bayi seorang perempuan di Platinum Walk, semalam.
Nair, 19, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, penemuan bayi perempuan yang dipercayai dibuang itu dimaklumkan seorang lelaki yang mahu meletakkan kenderaan di bangunan terbabit di Jalan Langkawi Danau Kota, Setapak.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, bayi yang masih bernyawa dan bertali pusat itu dibaluti beg plastik, surat khabar dan sehelai kain, malah terdapat lubang kecil pada plastik berkenaan dipercayai bagi membolehkan bayi itu bernafas.

“Selepas dimaklumkan lelaki terbabit, saya memeriksa bungkusan terbabit dan mendapati ia berisi bayi. Saya buka balutan terbabit kerana bimbang dia kepanasan sebelum meminta bantuan majikan membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, polis dan anggota paramedik tiba di tempat kejadian 10 minit selepas itu dan memotong tali pusat bayi berkenaan. Bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran. Katanya, keadaan bayi itu kini dilaporkan sihat dan tiada kecederaan.

myMetro | Tinggal bayi dalam plastik