Search This Blog

Monday, June 13, 2011

Lima Ditahan Bersabit Kes Miliki Senjata Tajam, Gaduh Dan Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki bersabit kes memiliki senjata tajam, dadah dan gaduh di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam Sabtu, yang merupakan venue perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner (ACP) Mohan Singh Tara Singh berkata kelima-limasuspek yang berumur lingkungan 21 dan 35 tahun itu ditahan di pintu masuk stadium dan di luar perkarangan stadium.
"Tiga daripada mereka ditahan dalam pemeriksaan rambang oleh anggota kita di pintu masuk stadium. Pemeriksaan ke atas beg yang di bawa mereka, polis telah merampas senjata tajam seperti pisau, gunting dan spanar manakala seorang daripada tiga suspek itu turut memiliki satu botol air yang diisi dengan air daun ketum," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Ahad.
Beliau berkata dua lelaki lagi ditahan di luar perkarangan stadium kerana menimbulkan kekecohan ekoran bergaduh.
"Kedua-dua suspek...masing-masing adalah penyokong pasukan bola yang bertanding. Berlaku sedikit perselisihan faham antara mereka dan menyebabkan mereka bergaduh sesama sendiri. Dalam pergaduhan itu polis turut merampas senjata iaitu buku lima yang digunakan seorang daripada mereka," katanya.
Katanya, kelima-lima lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Mengulas mengenai sikap penyokong di stadium malam tadi, Mohan berkata keadaan terkawal walaupun puluhan ribu penyokong membanjiri perkarangan Stadium Nasional bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Terangganu dan Kelantan.
"Penyokong-penyokong kedua-dua pasukan kali ini menunjukkan sikap kematangan masing-masing. Walaupun masih ada insiden membaling botol di kawasan padang dan trek, namun keadaan masih lagi terkawal dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.
Dalam keputusan perlawanan akhir malam tadi, Terengganu menjulang Piala FA selepas menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional di sini. - BERNAMA
mStar Online
: Lima Ditahan Bersabit Kes Miliki Senjata Tajam, Gaduh Dan Dadah

Lelaki Indonesia Ditahan Bantu Siasatan Kematian Rakan Senegara


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam seorang pekerja lelaki yang juga merupakan warga Indonesia, yang ditemui mati di rumah kongsi di tapak pembinaan di Taman Melati Utama, di sini, pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika berada di rumah kongsi di tapak pembinaan berkenaan.
"Dia ditahan pada petang hari kejadian dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam itu dan kita akan ambil keterangannya dan siasat dari semua aspek bagi mencari suspek serta individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes ini.
"Kita percaya dengan penahanan lelaki berkenaan, maklumat berhubung kejadian sebenar akan diperoleh sekali gus membantu mengenalpasti kesemua suspek yang terlibat," katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berumur 30 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang pekerja di tapak pembinaan berkenaan kira-kira 7.30 pagi.
Hasil pemeriksaan, polis menemui lapan kesan luka tikaman selain beberapa kesan kelar pada badan mangsa. Polis tidak menolak kes itu melibatkan seorang wanita dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA
mStar Online
: Lelaki Indonesia Ditahan Bantu Siasatan Kematian Rakan Senegara

Pemandu Lori Maut Dihempap Pokok Di Beruas

IPOH: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaannya dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam satu kejadian di Kampung Ulu Licin, Beruas, kira-kira 70 kilometer dari sini, Ahad.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jamil Osman berkata kejadian berlaku pada 10.53 pagi ketika Shah Faizal Ahmed, 33, berada dalam lori sementara menunggu sebuah traktor memasukkan tanah ke dalam kenderaannya yang diletakkan di lereng bukit.
Beliau berkata sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap bahagian depan lori menyebabkan mangsa cedera parah di kepala.
Mangsa berjaya dikeluarkan daripada lori berkenaan dua jam kemudian oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta orang awam, katanya ketika dihubungi Ahad.
Mohd Jamil berkata mangsa dibawa ke sebuah kelinik di Beruas, namun meninggal dunia dalam perjalanan, dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat. - BERNAMA
mStar Online
: Pemandu Lori Maut Dihempap Pokok Di Beruas

PERHILITAN rampas 35 tenggiling seludup


KHAIRUL NIZAM menunjukkan tenggiling yang disembunyikan di dalam bonet kereta di Butterworth, semalam.
KHAIRUL NIZAM menunjukkan tenggiling yang disembunyikan di dalam bonet kereta di Butterworth, semalam.


GEORGETOWN: Harga tenggiling yang semakin meningkat di pasaran sehingga mencecah RM220 sekilogram pada masa ini, menyebabkan haiwan berkenaan menjadi mangsa penyeludupan segelintir pihak bagi mengaut keuntungan.

Harga haiwan eksotik itu semakin melambung kebelakangan ini berikutan permintaan tinggi kerana dipercayai mempunyai khasiat dalam perubatan serta dijadikan menu istimewa oleh pengusaha restoran.
Atas sebab itulah, sebuah sindiket dianggotai sekumpulan lelaki cuba mengaut keuntungan dengan menyeludup 35 tenggiling bernilai RM50,000, tetapi berjaya dipatahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pulau Pinang dalam satu serbuan di Butterworth, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Serbuan dilakukan kira-kira jam 4 pagi membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa PERHILITAN selepas mereka melakukan pemantauan dan intipan selama dua minggu untuk mengenalpasti aktiviti haram itu.

Ketua Unit Penguatkuasaan Perhilitan, Khairul Nizam Yahaya, berkata dalam serbuan itu, beberapa lelaki ditemui sedang melakukan proses pemindahan tenggiling yang disimpan dalam bonet kereta ke kereta lain.

Seorang lelaki berusia 40-an berjaya diberkas, manakala yang lain berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa PERHILITAN.

“Hasil siasatan mendapati sindiket itu menjadikan sebuah tokong di Butterworth yang terletak di tempat sunyi sebagai transit dan mereka juga menjalankan operasi pada awal pagi bagi menyembunyi aktiviti haram itu," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Khairul Nizam berkata, semua 35 tenggiling yang ditemui masih hidup dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berikutan permintaan tinggi dan harga lumayan mencecah sehingga RM220 sekilogram.

“Ia dijadikan menu makanan eksotik dan dipercayai mempunyai khasiat dalam perubatan,” katanya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan tenggiling dan dua kenderaan pada operasi berkenaan sebanyak RM100,000 dan siasatan dibuat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Berita Harian Online | PERHILITAN rampas 35 tenggiling seludup

Mangsa umrah tipu dibantu

Dana Rakyat 1Malaysia tanggung kos guaman tuntut ganti rugi

KUALA LUMPUR: Mangsa penipuan pakej umrah yang masih belum menerima pampasan daripada agensi pengelola umrah, boleh memfailkan kes berkenaan ke mahkamah secara percuma bagi menuntut agensi terbabit membayar ganti rugi seperti ditetapkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Daud Tahir, berkata mangsa penipuan kini boleh menggunakan Dana Rakyat 1Malaysia untuk menanggung kos guaman bagi menuntut hak mereka daripada agensi pengelola di mahkamah.
Katanya, pengguna yang kurang kemampuan akan mendapat pembelaan sehingga ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan jika perlu, Mahkamah Persekutuan dengan hanya membayar RM5.

“Mangsa boleh memohon Dana Rakyat 1Malaysia untuk memfailkan tuntutan mereka ke mahkamah. Dana itu itu akan menanggung kos guaman manakala Majlis Peguam akan menyediakan peguam untuk menjadi wakil mangsa memfailkan kes sehingga selesai didengar di mahkamah,” kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Minggu semalam mengenai peningkatan kes penipuan pakej umrah membabitkan umat Islam, khususnya warga emas dan golongan miskin.

Lebih parah lagi, mangsa yang membuat tuntutan menerusi TTPM tetapi tidak mendapat ganti rugi daripada agensi pengelola yang seolah-olah sengaja mengabaikan perintah tribunal itu.
Dana Rakyat 1Malaysia ditubuhkan Mac lalu menerusi kerjasama kementerian dengan Majlis Peguam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mempunyai peruntukan permulaan RM10,000.

Sementara itu, Daud berkata, dengan wujudnya dana berkenaan, syarikat yang melakukan penipuan dan enggan membayar pampasan kepada mangsa tidak akan terlepas lagi daripada sebarang tindakan undang-undang.

“Jika syarikat pengelola masih berdegil membayar pampasan, mangsa teraniaya atau tertipu, boleh memfailkan tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan ke mahkamah untuk menuntut ganti rugi ditetapkan TTPM,” katanya.
Berita Harian Online | Mangsa umrah tipu dibantu

Pemandu maut ditimbus tanah

Lereng bukit runtuh hempap lori

BERUAS: Seorang pemandu maut selepas lori dipandunya ditimpa runtuhan tanah bersama pokok besar yang terdapat di lereng bukit ketika melakukan kerja pembersihan di tanah persendirian di kawasan Ulu Licin, dekat sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.53 pagi, Shah Faizal Ashraf Ahmad, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja pemunggahan tanah apabila kawasan lereng bukit yang dikorek jengkaut berhampirannya, tiba-tiba runtuh lalu menimpa lori seberat satu tan itu.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama pekerja lain sedang melakukan kerja pembersihan tanah di kawasan persendirian.

Berikutan itu, mereka terpaksa memberhentikan kerja pengorekan tanah berkenaan dan mengambil masa sehingga 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Beruas tetapi disahkan meninggal dunia sebaik diperiksa.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Pantai Remis diketuai Ketua Operasi, Ali Saad bersama enam anggota dan satu jentera pemadam api terpaksa mengambil masa 45 minit tiba di tempat kejadian berikutan kedudukannya agak jauh dan terpaksa melalui jalan menuju Hutan Lipur Ulu Licin.
Berita Harian Online | Pemandu maut ditimbus tanah

Kebas minyak

Sindiket guna taktik baru kerah pekerja asing beli minyak masak sebelum diseludup ke negara jiran

KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan minyak masak ke negara jiran dikesan bertindak lebih licik dengan mengerah tenaga pekerja asing untuk membeli bahan mentah berkenaan sebanyak mungkin di kedai runcit dan pasar raya bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa.

Difahamkan, pekerja asing berkenaan yang kebanyakannya warga Bangladesh keluar rumah seawal jam 6 pagi untuk dapatkan bekalan minyak masak, di samping melakukan kerja mencuci kereta di ibu negara milik majikan mereka.
Setiap pekerja dipercayai membeli kira-kira 50 kilogram minyak masak sehari yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram, sebelum bahan berkenaan diambil oleh majikan mereka pada sebelah petang.

Bekalan minyak yang dibeli itu kemudiannya dikumpul sebelum diseludup ke Thailand serta Indonesia dan dijual pada harga lebih tinggi. Difahamkan, harga minyak masak di Indonesia dijual RM3.60, sekilogram, manakala di Thailand RM4.76.

Malah, sindiket berkenaan dipercayai sudah beberapa kali diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), namun masih giat melakukan kegiatan itu dengan menjadikan lokasi lain sebagai transit mereka.

Lebih menyedihkan, pekerja yang menjadi mangsa keadaan itu mendakwa mereka terdesak melakukan kerja itu kerana pasport dipegang majikan dan niat melarikan diri juga terpaksa dipendamkan.
Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang ketika dihubungi turut mengakui taktik itu antara yang diguna pakai kebanyakan sindiket penyeludup, selain mendapatkan bekalan minyak lebih banyak melalui pemborong.

Katanya, kebanyakan sindiket bergerak dalam kumpulan besar sudah berpakat dengan pemborong minyak masak untuk mendapatkan bekalan berkenaan kerana taktik terbaru itu perlu mengambil masa agak lama, selain jumlah diperoleh agak terhad.

“Kami akui, kebanyakan mereka menggunakan pekerja asing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Ada pekerja asing dikerah bekerja di kilang yang menjadi lokasi transit mereka. Bagaimanapun, KPDNKK sentiasa menjalankan risikan bagi menumpaskan kumpulan sindiket itu.

“Hasil pemantauan KPDNKK, dianggarkan sebanyak 20 syarikat dikesan menjalankan kegiatan itu dengan dua daripadanya ditumpaskan menerusi operasi khas dua bulan lalu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Sementara itu, Komandan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan, Mazlan Che Hamid, berkata dua laluan digunakan penyeludup untuk menyeludup bekalan ke Thailand adalah melalui jalan darat iaitu Rantau Panjang dan Bukit Bunga, manakala jalan sungai melalui pangkalan haram.

“Bagaimanapun, kegiatan melalui jalan darat agak terhad kerana UPP sentiasa memeriksa kenderaan berat yang membawa barangan. Berbeza jalan sungai kerana di Kelantan terdapat banyak pangkalan haram.

“Kebanyakan mereka yang menyeludup masuk minyak masak ke negara jiran itu akan memunggah barangan berkenaan menggunakan sampan secara kerap menggunakan laluan haram,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun katanya, kegiatan penyeludupan itu masih terkawal dan pihaknya sentiasa memperketatkan kawalan sempadan bagi mengelak kegiatan itu semakin berleluasa.

Sementara itu, seorang pekerja berusia 30-an yang berasal dari Bangladesh, berkata beliau dan rakannya tiada pilihan melainkan menurut perintah majikannya dengan membeli minyak masak kerana pasportnya disimpan majikan.

“Setiap hari, saya dan rakan keluar rumah seawal jam 6 pagi untuk mencari minyak masak sebelum memulakan kerja sebagai pencuci kereta dan jika bekalan minyak diperoleh tidak menepati sasaran majikan, kami dikerah mendapatkannya juga.

“Paling banyak saya hanya mampu membeli 50 kilogram dan rakan lain juga sama seperti saya kerana kami perlu melakukan tugas kedua iaitu mencuci kereta pula.

“Saya tahu kerja ini salah, tetapi terpaksa melakukannya kerana untuk mendapatkan wang. Kami pada mulanya mahu melarikan diri dan bekerja di tempat lain, namun majikan enggan menyerahkan pasport kami,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Berita Harian Online | Kebas minyak

Empat lagi ditahan

LEDANG - Seramai empat daripada lima penghuni Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) Muar di Sengkang, Bukit Gambir yang melarikan diri dalam insiden rusuhan beramai-ramai di pusat berkenaan berjaya ditahan semula.

Kini, polis memburu seorang lagi penghuni pusat berkenaan yang masih bebas.

Siasatan awal mendapati, faktor kelaparan dan hilang arah tuju memaksa salah seorang daripada penghuni yang melarikan diri untuk kembali semula ke pusat berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Abdul Razak berkata, penghuni tersebut dilihat berkeliaran berhampiran pusat tersebut kira-kira jam 1 pagi sebelum menahan mereka semula.

Menurutnya, terdahulu pihak polis berjaya menahan seorang penghuni yang ditemui di Pekan Panchor pada jam 9 malam, Jumaat lalu.

“Hasil gerakan mencari yang giat dijalankan, akhirnya polis berjaya menahan dua lagi penghuni pusat ini di salah sebuah kebun sayur di Sengkang Batu 18.

“Dengan penangkapan ini menjadikan 20 penghuni yang berjaya ditahan semula daripada 21 penghuni yang melarikan diri pada malam kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, polis masih meneruskan gerakan mencari seorang lagi penghuni yang masih bebas dengan memperketat kawalan di sekitar daerah Ledang dan Muar.

Dalam kejadian Khamis lalu, 377 penghuni Puspen merusuh beramai-ramai dengan membakar beberapa bangunan dan merosakkan kenderaan serta 21 daripada mereka berjaya melarikan diri. SH

Amukan Geng 15




ULU TIRAM - Berang akibat ditegur kerana mabuk dan membuat bising di hadapan sebuah rumah, sekumpulan samseng ‘naik minyak’ seterusnya menyerang kediaman seorang penduduk di Taman Desa Cemerlang, di sini, kelmarin.

Samseng terbabit yang menggelar kumpulan mereka sebagai Geng 15 itu dipercayai tidak berpuas hati sebaik sahaja kelakuan liar mereka ditegur salah seorang penduduk di kawasan taman perumahan berkenaan.

Malah gelagat tidak bermoral kumpulan samseng terbabit menimbulkan rasa kurang selesa penduduk berkenaan berikutan hadapan rumahnya sering kali menjadi tempat remaja itu berpelesiran sambil membuat kecoh.

Bagaimanapun, tindakan penduduk berkenaan akhirnya membawa padah apabila kediamannya disimbah cat diikuti cermin hadapan kenderaan pecah dicampak pasu bunga oleh kumpulan samseng terbabit.

Lebih malang, mangsa juga diserang menggunakan pedang samurai dan senjata tajam buatan sendiri seakan-akan sebilah tombak.
SH

Peragut muda tumpas




SERI MANJUNG – Seorang lelaki berumur 24 tahun ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, pada 3 Jun lalu dipercayai melakukan kegiatan jenayah jalanan, iaitu ragut.

:Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, suspek adalah penduduk tempatan dan ditangkap di rumahnya di kawasan Lekir.

Menurutnya, tangkapan itu adalah hasil maklumat daripada penangkapan dua wanita berumur 17 dan 18 tahun yang juga rakan kepada suspek.

“Dua wanita terbabit ditangkap ketika cuba menunaikan cek yang mencurigakan di sebuah bank sekitar daerah Manjung.

“Suspek telah menggunakan dua wanita itu untuk menunaikan cek yang didapati hasil daripada kes ragut yang dilakukannya,” katanya pada sidang media di IPD Manjung, semalam.

Mohd Jamil berkata, hasil daripada penangkapan ke atas suspek, polis turut merampas 13 unit telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai sebanyak RM1,200, resit-resit jualan telefon bimbit dan sebagainya.

“Semua hasil rampasan itu adalah daripada kegiatan ragut yang dijalankan suspek dalam daerah ini,” katanya.

Menurutnya, suspek telah ditahan reman untuk tujuh hari bagi kali pertama dan akan disambung tahanan reman kedua sehingga 14 hari.

Katanya, suspek kini masih lagi disoal siasat bagi memastikan penglibatannya dalam kes-kes ragut di sekitar daerah Manjung.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, setakat ini suspek mengaku terlibat dalam 24 kes ragut dalam daerah Manjung.

“Sehubungan itu, polis akan terus berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin dalam usaha membanteras jenayah ragut sekitar daerah ini,” katanya.
SH

Pelajar tidur di rumah kekasih




SUNGAI KOB - Dua pelajar perempuan berumur 15 dan 17 tahun di tahan di sebuah rumah bujang lelaki di Taman Mutiara kira-kira jam 12.30 pagi kelmarin.

Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Mohd Ameer Dahari berkata, PADK menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira jam 12.15 pagi dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, ketika tiba, pintu rumah berkenaan bertutup dan PADK terpaksa menunggu beberapa minit sebelum ia dibuka.

“Setelah memperkenalkan diri, PADK kemudiannya membuat pemeriksaan dan menemui sepasangan kekasih dalam bilik manakala satu lagi di ruang tamu.

Mohd Ameer berkata, dari siasatan dijalankan, ke semua terlibat mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.

“Pelajar perempuan berusia 17 tahun itu pernah ditahan sebelum ini kerana berkelakuan sumbang bersama dua teman lelakinya di tepi tandas awam Taman Tasek Kulim kira-kira jam 1 pagi. Namun, dia dibebaskan setelah diberi kaunseling dan amaran.

“Tidak sampai tiga minggu, PADK menangkapnya semula kerana bersekedudukan. Siasatan awal mendapati remaja lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kantin manakala seorang lagi penganggur, " katanya.

Menurutnys, pasangan berkenaan kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pasangan lelaki ditahan lokap di Balai Polis Kulim manakala pasangan perempuan ditahan di lokap Balai Polis Lunas.

Pelajar berusia 17 tahun itu masih mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana keluarganya kurang berkemampuan. Selain itu, dia pernah membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya dirogol dan liwat.
SH

Pekerja maut tersepit mesin




BAKAR ARANG – Seorang pekerja kilang warga asing yang bertugas mengendalikan mesin di sini, menemui ajal kerana dikatakan tersepit di celah mesin sehingga cedera parah dan maut di tempat kejadian, kelmarin.

Rakan sekerja yang enggan dikenali berkata, mangsa yang dikenali sebagai Liton berasal dari Bangladesh, sudah tiga tahun bekerja di kilang terbabit di kawasan perindustrian Bakar Arang Sungai Petani.

Menurutnya, kejadian berlaku berkemungkinan disebabkan baju mangsa yang tersepit di celah mesin.

Disebabkan kejadian itu, semua pekerja syif malam dibenarkan pulang ke rumah bagi memberi laluan polis membuat siasatan berhubung kes berkenaan.

“Ini adalah kejadian pertama berlakunya kemalangan maut di kilang ini,” katanya.

Namun, Sinar Harian bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke lokasi kejadian oleh pihak pengurusan kilang walaupun menunggu hampir dua jam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an mengalami kemalangan semasa bekerja kira-kira jam 8 malam.

“Dia maut di tempat kejadian,” katanya.
SH

Serbu rumah mencurigakan

REMBAU – Tindakan seorang remaja lelaki serta rakannya bermalam di sebuah rumah seorang gadis, akhirnya mengundang padah apabila mereka dicekup penduduk sekitar, pagi semalam.

Kejadian berlaku di Taman Pedas Perdana, dekat sini apabila seramai 12 penduduk kampung termasuk jawatankuasa surau dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menyerbu rumah berkenaan.

Hasil serbuan, seorang remaja lelaki berusia 20 tahun bersama rakannya berusia 36 tahun didapati bermalam di rumah yang didiami seorang gadis berusia 20 tahun.

Difahamkan, kediaman berkenaan merupakan kediaman kedua keluarga perempuan berkenaan.

Pengerusi KRT Taman Pedas Perdana, Jafar Yahya berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kes percubaan khalwat daripada seorang jawatankuasa penduduk yang mengesyaki sesuatu tidak kena dengan rumah berkenaan.

“Oleh itu, seramai lapan hingga 12 penduduk sepakat membuat serbuan dan menghubungi individu di Bahagian Penguat kuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta polis bagi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Mengikut rekod, ini merupakan tangkapan kedua membabitkan gadis dan rumah sama.

“Sebelum ini, kita sudah memberikan nasihat kepada gadis terbabit supaya tidak mengulanginya,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi serbuan, semalam.

Sementara itu, ketiga-tiga pesalah itu dibawa Bahagian Penguat kuasa JHEAINS ke Balai Polis Pedas, di sini sebelum tindakan lanjut diambil.

Hasil siasatan, dua daripadanya berasal dari Melaka dan bakal disiasat di bawah Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. SH

14 rumah rosak dalam ribut di dua kampung




KUANTAN– Penghuni 14 buah rumah di Kampung Melayu dan Kampung Baru dekat Gambang di sini terkejut apabila sebahagian atap rumah mereka tercabut akibat dipukul ribut dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

Ketika kejadian hujan lebat dan angin agak kencang sehingga merosakkan sebahagian bumbung rumah penduduk berkenaan yang mengambil masa kurang 15 minit merosakkan kediaman mereka ini.

Penduduk, Liew Soon Chiew, 40, berkata, ketika kejadian dia dan keluarganya tiada di rumah.

‘’Apabila pulang, saya terkejut apabila mendapati sepuluh buah keping atap zink rumah hilang diterbangkan angin kencang.

‘’Nasib baik tiada orang di rumah, kalau tidak pasti kejadian buruk menimpa kami sekeluarga,’’ katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Selain itu kata Soon Chiew, beberapa barangan elektriknya turut rosak termasuk televisyen akibat disambar ribut petir.

Sementara itu, Ketua Kampung Gambang, Yong Fook Siong, 55, berkata, mujur hanya 14 buah rumah daripada 1,000 penduduk sahaja yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Kata Fook Siong, anggaran kerugian yang dialami penduduk terlibat kira-kira RM500 bagi setiap rumah.

‘’Kita sangat berharap kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan kepada mereka bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung.

“Ini kejadian kedua selepas awal Mei lalu yang turut merosakkan hampir 100 buah rumah penduduk di sini. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kejadian hari ini tidak seteruk bulan lalu’’ katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail ketika lawatan berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Bencana Alam Negeri untuk tindakan susulan.

‘’Kita juga berharap penduduk bersabar dan dapat membaiki dahulu secepat mungkin kerana bimbang hari hujan kerana ia pasti memburukkan keadaan.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, tidak sememangnya tidak dapat menjangka sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Oleh itu, saya harap penduduk sentiasa berwaspada terutamanya ketika hujan dan pastikan peralatan elektrik ditutup agar tiada masalah berkaitan litar pintas,” katanya.
SH

Warga emas hilang lebih 24 jam



FELDA PURUN – Sepasang suami isteri, Abu Bakar Ismail, 74, dan Aminah Ismail, 63, bersyukur apabila mereka selamat keluar dari disorok makhluk halus di kawasan hutan, dekat sini.

Mereka yang ditemui petang Rabu lalu oleh penduduk kampung, kelihatan lemah dan tidak sedarkan diri seperti tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.

Menurut Aminah, ketika melakukan kerja menebas berdekatan tanah penempatan baru Orang Asli, seekor babi hutan melintas di hadapan mereka tetapi tidak dipedulikan sehinggalah mereka terdengar suara beruang menangis.

“Pada ketika itulah, kami cuba melarikan diri ke arah motosikal tetapi gagal menjumpai jalan keluar sehingga berjumpa sebatang anak sungai.

“Kami menyeberangi sungai tetapi tiada daratan sebaliknya sebuah tasik yang sangat cantik,” katanya.

Aminah berkata, pada waktu malam, mereka berpaut pada banir sebatang pokok besar dalam tasik itu dan ketika itu juga, suaminya seolah-olah tidak bernyawa.

Katanya, sepanjang menyusuri tasik itu, suaminya kerap minum air tasik menyebabkannya kerap muntah.

“Ketika berehat pada banir pokok, saya sering merasa nadi pada pergelangan tangan dan meletakkan jari pada hidung suami memandangkan dia begitu lemah.

“Pada ketika itu, saya yakin, suami saya sudah ‘tiada’ dan hanya memikirkan bagaimana cara untuk membawa suami keluar dari tasik itu,” katanya.

Bagaimanapun, Aminah berkata, pada keesokan harinya, suaminya ‘hidup’ semula dan kelihatan lebih segar malah memberitahu bahawa dia sedang tidur di atas sebuah tilam empuk sebagaimana yang dirasai olehnya juga.

Abu Bakar berkata, ketika berada di dalam hutan, mereka tidak mendengar bunyi haiwan atau sebarang bunyi walaupun pada ketika itu pasukan gerakan mencari sedang dilancarkan.

Katanya, hanya selepas tengah hari, ada seekor langau dan seekor burung murai kelihatan.

“Saya dan isteri mengikut pergerakan burung murai kerana percaya, ia adalah petunjuk untuk kami keluar dari kawasan tasik dan hutan.

“Kami melalui lorong laluan gajah yang ditunjuk burung murai itu,” katanya.

Aminah berkata, kira-kira jam 4 petang, barulah kedengaran bunyi tembakan dan dia menyahut teriakan penduduk yang mencari mereka.
SH

Padah pekerja tidak jujur




KUALA TERENGGANU- Balasan terhadap pekerja tidak jujur! Seorang pekerja hotel di jatuhi hukuman penjara selama 10 bulan di Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri wang pelanggan pada 1 Jun lalu.

Tertuduh, Abdul Azrul Abdul Aziz, 30, dari Kampung Kubur Sharif Padang Nenas, Kuala Terengganu mengaku bersalah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu.

Mengikut kertas pertuduhan yang dijalankan oleh Pegawai Polis, Inspektor Miky Anak Dustan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin, dia didapati telah melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia dan tempat menyimpan harta telah melakukan curi wang 600 matawang New Zealand kepunyaan pelanggan bernama William Maben pada 1 Jun baru-baru ini kira-kira jam 9.32 malam di bilik nombor 311 hotel berkenaan yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar setelah majikannya menerima e-mel daripada Booking.com mengatakan pelanggan hotel bernama William Maben telah hilang wang semasa menginap di hotel itu pada 1 Jun lalu.

Sejurus menerima berita buruk itu, majikan tertuduh telah membuat siasatan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh yang bekerja di bahagian restoran hotel selalu turun naik dan berada di kawasan bilik luar hotel sedangkan dia bekerja di bahagian restoran.

Melihat tindakan mencurigakan itu, majikannya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu.

Rentetan daripada laporan itu, pada 8 Jun lalu kira-kira jam 6.40 petang, polis menahan tertuduh yang ketika itu masih dalam waktu bekerja di hotel berkenaan.
SH

Lapan pekerja ditahan berperang sesama sendiri




KUALA TERENGGANU- Seramai lapan pekerja warga Indonesia di tapak pembinaan di Chendering ditahan setelah disyaki tidak memiliki dokumen sah ketika ditangkap selepas cuba berperang sesama sendiri dalam kejadian petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kesemua yang ditahan itu antara yang terlibat dalam kes pergadu-han di tapak projek tersebut yang dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati dua kumpulan pekerja itu berkaitan masalah di tempat kerja.

“Namun, ketangka-san pihak polis yang berjaya tiba di lokasi kejadian dalam tempoh singkat sejurus maklumat diterima berhubung pergadu-han tersebut berjaya mengawal keadaan daripada bertambah buruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, kejadian itu disifatkan tidak serius kerana keadaannya terkawal dan tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Walau pun begitu, Manoharan berkata, polis akan tetap melakukan kekerapan rondaan di lokasi berkenaan bagi memastikan tragedi sama tidak berulang.
SH

14 rumah tercabut atap dipukul ribut di Kg. Melayu, Kg. Baru




Salah seorang penduduk kampung membaiki atap rumah yang dipukul ribut di Kampung Melayu, Gambang, baru-baru ini.


KUANTAN 12 Jun - Sebanyak 14 keluarga terkejut apabila sebahagian atap rumah mereka tercabut akibat dipukul ribut di Kampung Melayu dan Kampung Baru, Gambang, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, sebahagian besar peralatan rumah termasuk perabot dan barangan elektrik milik penduduk rosak.
Seorang penduduk, Liew Soon Chiew, 40, memberitahu, ketika kejadian, hujan lebat dan angin kencang merosakkan sebahagian bumbung rumahnya.
Bagaimanapun, katanya, ketika kejadian, dia dan keluarganya tiada di rumah.
"Saya terkejut apabila mendapati 10 keping atap zink rumah hilang diterbangkan angin kencang.
"Nasib baik tiada orang di rumah, kalau tidak pasti kejadian buruk menimpa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Soon Chiew, beberapa barangan elektriknya termasuk televisyen rosak dipercayai disambar ribut petir.
Sementara itu, Ketua Kampung Gambang, Yong Fook Siong, 55, berkata, dalam kejadian itu, sebanyak 14 daripada 200 rumah penduduk kampung rosak.
Kata Fook Siong, anggaran kerugian yang dialami penduduk terlibat kira-kira RM500 bagi setiap rumah.
"Kita sangat berharap kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa bagi mengurangkan beban mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail ketika melawat kampung terbabit berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Bencana Alam negeri untuk tindakan susulan.
"Kita meminta penduduk bersabar dan membaiki dahulu kerosakan sebelum bantuan susulan dihulurkan.
''Kita bimbang hujan akan berlaku lagi dan ia pasti memburukkan keadaan jika sebarang tindakan tidak diambil segera," katanya.
Utusan Malaysia Online - Pahang

3 ditahan menyamar polis

KOTA KINABALU 12 Jun - Kegiatan lima individu termasuk seorang wanita menyamar sebagai anggota pasukan itu untuk menyamun berakhir dengan penahanan tiga ahlinya di Menggatal dan Kinarut dekat sini, pada Selasa dan Khamis lalu.
Dua lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas kini diburu polis.
Kumpulan itu bukan sahaja menyamar dengan menggunakan pakaian dan topi yang mempunyai lambang polis, malah turut menggunakan sebuah kereta Perodua Kancil tertera perkataan polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, bertindak atas laporan mangsa Selasa lalu, polis telah melancarkan operasi dan menahan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Rampayan, Menggatal.
"Polis hanya dapat menahan seorang wanita berusia 26 tahun, manakala tiga suspek lelaki di dalam kereta berjaya melarikan diri ketika pemeriksaan.
"Kita kemudian menemui anak baju dan topi mempunyai lambang polis, serangkai kunci kereta Nissan, dua rangkai kunci kereta Perodua, dua rangkai kunci rumah, alat pemotong pelbagai saiz, sebilah parang dan pisau," katanya di sini hari ini.
Ahmad Sofi berkata, susulan penahanan tersebut, polis menahan dua lagi suspek lelaki di Beringgis Resort, Kinarut, dua hari selepas itu.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan merupakan warga tempatan berusia 34 dan 38 tahun dan polis turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit, kad bank, sebilah pisau lipat, lima kad sim, empat keping wang kertas asing dan sebuah kereta Perodua Kancil yang tertera perkataan polis.
"Ketiga-tiga suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah lampau dan akan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.Utusan Malaysia Online - Jenayah

35 ekor tenggiling RM50,000 dirampas

PULAU PINANG 12 Jun - Sebanyak 35 ekor tenggiling bernilai lebih RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dirampas dalam satu operasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Jalan Mak Mandin, Butterworth, dekat sini awal pagi ini.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan kerana dipercayai menjadi dalang menyeludup keluar haiwan berkenaan.
Ketua Unit Penguatkuasaan Perhilitan negeri, Khairul Nizam Yahaya berkata, operasi berkenaan adalah yang kedua dilancarkan pihaknya bagi membanteras kegiatan penyeludupan haiwan itu.
Menurutnya, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu setelah memperoleh maklumat terdapat kegiatan penyeludupan tenggiling di sebuah premis di situ.
"Hasil serbuan itu, sepasukan anggota Perhilitan berjaya menahan dua buah kereta Toyota Camry ketika leka memindahkan tenggiling.
"Setelah diperiksa, terdapat berpuluh-puluh ekor tenggiling ditemui dalam kedua-dua but kereta tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khairul Nizam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, haiwan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran untuk sajian kedai makan atau perubatan tradisional.
Menurutnya, harga tenggiling yang tinggi iaitu mencecah RM220 sekilogram dipercayai menjadi pendorong utama penyeludupan haiwan tersebut.
"Tenggiling merupakan hidupan liar berstatus dilindungi sepenuhnya, mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
"Jika disabit kesalahan boleh didenda minimum RM50,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan menyimpan tenggiling melebihi 20 ekor.
"Bagi kesalahan menyimpan hidupan liar tidak matang pula, denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan," tambahnya.Utusan Malaysia Online - Jenayah

5 penyokong bola ditahan




Mohan Singh Tara Singh menunjukkan rampasan dadah diperoleh ketika perlawanan akhir Piala FA di Ibu Pejabat Polis Cheras, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Jun - Lima penyokong ditahan kerana cuba membawa masuk senjata berbahaya, dadah selain terlibat dalam pergaduhan ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Terengganu, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam semalam.
Tiga daripadanya didapati membawa senjata berbahaya dan dadah yang disembunyikan dalam beg masing-masing ketika pemeriksaan di pintu masuk stadium.
Dua lagi yang merupakan penyokong kedua-dua pasukan ditahan selepas perlawanan kerana menggunakan senjata berbahaya ketika bergaduh dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, kesemua yang ditahan itu berusia 21 hingga 35 tahun dan direman tujuh hari bermula semalam hingga 17 Jun ini.
"Antara barangan dirampas adalah beberapa peket ganja, air ketum, pisau yang diubah suai seperti pen serta pemutar skru yang disimpan dalam botol air mineral dalam dua beg berasingan.
"Selain itu senjata buku lima ditemui daripada salah seorang penyokong bola sepak yang terlibat dalam pergaduhan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempur dan Seksyen 7 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata berbahaya.
Katanya, tiada kecederaan atau kerosakan harta awam dilaporkan tetapi banyak botol air mineral yang dibaling penonton-penonton bersepah di atas padang.
Tambahnya, walaupun pihak berkuasa melarang untuk dibawa masuk mercun namun masih ada segelintir penyokong berdegil dengan larangan tersebut.
"Jika berlaku kebakaran boleh menyebabkan penonton lain cedera jika keadaan menjadi huru-hara dan tidak terkawal.
"Sekiranya orang ramai mematuhi setiap arahan, semua pihak boleh menikmati perlawanan dengan tenang," katanya lagi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Warga Singapura ditahan semula selepas dibebas




Anggota SPRM Putrajaya menahan warga Singapura bagi membantu siasatan berhubung kes penggubahan wang haram di Mahkamah Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 12 Jun - Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan seorang lelaki, warga Singapura daripada tuduhan mengatur perlawanan membabitkan pasukan Piala Presiden T-Team.
Majistret Noradila Ab. Latif membuat keputusan itu setelah tempoh tahanan reman suspek berakhir hari ini dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, sejurus keluar dari pekarangan mahkamah, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan ditahan semula. Ia bagi membantu siasatan suatu kes lain berhubung pemilikan akaun dengan jumlah yang mencurigakan oleh SPRM Putrajaya.
Dia ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. Hadir menemani lelaki itu ke mahkamah ialah peguam belanya, Alias Abdullah.
Jumaat lalu, media melaporkan, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an telah ditahan di Seremban kira-kira pukul 3 petang, 8 Jun lalu kerana disyaki menjadi bookie.
Ia berikutan pendedahan seorang bekas jurulatih pasukan T-Team berhubung kes mengatur perlawanan melibatkan seorang pemain dalam pasukan itu sebelum ini.
Bekas pemain itu mengaku menerima rasuah sehingga mencecah ribuan ringgit bagi mengatur beberapa perlawanan melibatkan pasukan yang sama tahun lalu.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Manusia paling pendek




Junrey Balawing (kanan) menerima sijil dari ketua editor Guinness World of Records, Craig Glenday selepas remaja lelaki berusia 18 tahun itu diiktiraf sebagai lelaki terpendek di dunia dalam satu majlis di bandar Sindangan, wilayah Zamboanga del Norte, selatan Manila, semalam. – AFP


MANILA 12 Jun – Guinness World of Records hari ini mengiktiraf seorang remaja lelaki rakyat Filipina sebagai manusia terpendek di dunia.
Junrey Balawing, 18, menepuk tangannya selepas ketua editor Guinness, Craig Glenday secara rasminya mengiktiraf dia sebagai manusia terpendek di dunia di pusat kesihatan di bandar Sindangan, wilayah Zamboanga del Norte, selatan Manila.
Dengan ketinggian 59.7 sentimeter, Balawing mempunyai kesukaran untuk berjalan dan tidak boleh berdiri terlalu lama.
Anak sulung daripada empat beradik itu berjaya mengalahkan Khagendra Megar dari Nepal yang mempunyai ketinggian 67 sentimeter.
Menurut bapanya, Reynaldo, Balawing mula jatuh sakit ketika kanak-kanak dan berhenti membesar pada usia dua tahun.
Mereka kemudiannya merujuk perkara tersebut kepada doktor namun penyakitnya tidak dapat dikenal pasti.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong anak saya untuk diiktiraf sebagai manusia terpendek di dunia,” katanya.
Balawing sebelum ini pernah bersekolah namun terpaksa berhenti kerana kedua ibu bapanya risau akan keadaan fizikal dan keselamatannya. – dpa/AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

94 maut, 78 hilang di China




Sebuah rumah musnah selepas dihanyutkan arus deras banjir yang melanda Linxiang, wilayah tengah China. Bencana itu sehingga kini mengakibatkan 94 maut dan memaksa lebih 100,000 yang lain berpindah. – AFP


BEIJING 12 Jun – Hujan lebat yang melanda wilayah tengah dan selatan China yang mengorbankan sekurang-kurangnya 94 nyawa dalam kejadian banjir dan tanah runtuh, telah menukarkan kawasan tersebut yang sebelum ini kering kontang kepada musnah diseliputi lumpur.
Perkhidmatan Berita China melaporkan, pusat kaji cuaca di Yueyang di wilayah Hunan mencatatkan jumlah hujan melebihi 200 milimeter dalam masa enam jam.
Di perkampungan Maojiazu di Yueyang, tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat meranapkan 24 buah rumah dan mengorbankan kira-kira 20 penduduknya, sementara tujuh lagi masih hilang dipercayai terperangkap di bawah lumpur dan runtuhan tanah.
Menurut Menteri Sumber Air, Chen Lei yang turut memantau Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Kemarau Negara, jumlah hujan yang luar biasa menyebabkan ramai terkorban dan kerosakan harta benda awam di sesetengah kawasan.
Dalam kejadian malam tadi, banjir di 13 wilayah menyebabkan 94 maut, sementara 78 yang lain masih hilang. Ia turut mengakibatkan kemusnahan tanaman selain menyebabkan 27,100 rumah musnah.
Angka kematian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan mangsa yang terbunuh di wilayah Hunan dan tempat lain.
Sebanyak 23 kematian turut dicatatkan di Xianning, wilayah Hubei, tengah China.
Musim kemarau yang menyebabkan struktur tanah kering dikatakan menjadi satu daripada punca tanah runtuh selain aktiviti perlombongan. – Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Data IMF digodam

WASHINGTON 12 Jun - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menjadi sasaran serangan siber yang cukup canggih pada awal tahun ini, lapor New York Times semalam.
Serangan itu merupakan 'satu pencerobohan besar', kata seorang pegawai IMF kepada NYT.
Bloomberg News pula memetik seorang pegawai keselamatan sebagai berkata, penggodam yang menceroboh sistem komputer IMF dan mengambil data termasuk emel dipercayai ada kaitan dengan kerajaan sebuah negara.
"IMF berfungsi sepenuhnya dan kami sedang menyiasat insiden itu.
"Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai skop insiden keselamatan siber tersebut," kata jurucakap IMF, David Hawley semalam.
Kakitangan dan lembaga pengarah IMF sudah dimaklumkan pada Rabu lalu mengenai insiden tersebut yang masih belum diketahui implikasinya, tetapi tiada kenyataan awam dibuat.
Pencerobohan itu dipercayai berlaku sebelum penangkapan Dominique Strauss-Kahn dan peletakan jawatan beliau sebagai Pengarah Urusan IMF berikutan dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel pada 14 Mei lalu.
Agensi kewangan global itu kini dalam proses untuk mencari seorang Pengarah Urusan baru.
IMF yang membantu kerajaan negara anggotanya menangani krisis ekonomi dan bajet, menyimpan maklumat kewangan sulit banyak negara.
Agensi sekutu IMF, Bank Dunia memutuskan pertalian komputernya dengan IMF berikutan serangan siber tersebut, lapor NYT. - dpaUtusan Malaysia Online - Luar Negara

39 maut, 100 cedera letupan di Pakistan




Sukarelawan Pakistan mengangkat mayat mangsa yang terbunuh dalam letupan berkembar di kawasan Pasar Besar Khyber, Peshawar, kelmarin. - AFP


PESHAWAR 12 Jun - Sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dan hampir 100 lagi cedera dalam dua letupan bom yang menggegarkan sebuah pasar yang penuh sesak di bandar di barat laut Pakistan ini.
Taliban Pakistan bagaimanapun menafikan mereka bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut yang memusnahkan kawasan Pasar Besar Khyber yang turut menempatkan sebuah hotel, kedai-kedai dan penginapan pelajar.
Serangan itu adalah antara yang paling dahsyat di negara ini sejak komando Amerika Syarikat (AS) membunuh ketua al-Qaeda, Osama bin Laden pada Mei lalu.
Satu letupan kecil pada sekitar 11.30 malam tadi (3.30 pagi ini waktu Malaysia) menarik perhatian orang ramai dan pasukan perkhidmatan kecemasan sebelum letupan kedua yang lebih kuat, dipercayai berpunca daripada pengebom berani mati, kedengaran beberapa kilometer di kawasan sekitar.
"Angka kematian meningkat kepada 39 orang apabila empat mangsa yang cedera meninggal dunia di hospital," kata pegawai kanan polis, Ijaz Khan yang menambah, dua letupan itu berlaku selang empat minit.
Mereka yang terbunuh termasuk dua wartawan daripada akhbar berbahasa Inggeris, Pakistan Today dan The News.
Taliban Pakistan yang telah berikrar untuk melancarkan serangan bagi membalas dendam terhadap pembunuhan Osama menafikan mereka terlibat dalam letupan bom itu dan sebaliknya mendakwa mereka hanya menyerang kerajaan dan tentera.
"Kami tidak melancarkan serangan di Peshawar, serangan itu dilakukan oleh agensi perisikan asing untuk memburuk-burukkan kami.
"Kami tidak menyerang orang tidak bersalah, tetapi sasaran kami ialah pasukan keselamatan, kerajaan dan mereka yang menyebelahinya," kata jurucakap Tehreek-e-Taliban, Ehsanullah Ehsan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Dua sepupu maut bersama

SABAK BERNAM: Dua saudara sepupu serta seorang rakan mereka maut apabila dua kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Kampung Pancang Bedena, di sini, semalam.

Nor Aini Abdul Razak, 19, yang memandu Perodua MyVi meninggal dunia di tempat kejadian manakala sepupunya, Siti Aminah Ibrahim, 19, dan rakan mereka, Muhammad Zulhelmee Muhammad Saidin, 22, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam.


Dalam kemalangan itu, kereta MyVi dinaiki mangsa rosak teruk dan terbalik apabila bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Hilux mengakibatkan ketiga-tiga mangsa maut manakala lelaki pemandu Toyota Hilux hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mohd Mushar berkata, kemalangan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku apabila kereta MyVi dari arah Klang tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux dari arah Teluk Intan.


“Pemandu Perodua MyVi itu gagal mengawal kenderaannya dan tidak dapat mengelak kenderaan Toyota Hilux dari arah bertentangan sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.


“Mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya.

Harian Metro difahamkan Nor Aini dari Taman Pertama, di sini, masih menuntut di Kolej Pendidikan Perdana Shah Alam, manakala sepupu dan rakannya yang tinggal di Teluk Gong, Pelabuhan Klang ingin pulang ke kampung untuk mengambil peralatan yang tertinggal di rumah.

Rakan karib Nor Aini, Fasha Erma Mohd Khomari, 19, dari Taman Muhibah ketika ditemui berkata, sahabatnya itu menelefonnya pada jam 1.05 tengah hari untuk bertemu jika mereka tiba di bandar Sabak Bernam.

“Arwah meminta saya bersiap untuk jumpa sementara dia dalam perjalanan dan memberitahu hajatnya mahu ke klinik terlebih dulu sebelum pergi makan kerana dia kurang sihat.


“Selepas itu saya tidak lagi menerima panggilan daripada arwah sehinggalah menerima berita mereka bertiga terbabit dalam kemalangan,” katanya.


Sementara itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan rumah mayat HTAJ dengan kehadiran ahli keluarga ketiga-tiga mangsa.


Ibu Nor Aini, Siti Bastiah Samad, 42, berkata, kali terakhir dia menemui anaknya ketika arwah bermalam di rumah kakaknya, Siti Fatimah, 44, untuk melawat seorang saudaranya yang kritikal di sebuah hospital di Petaling Jaya, baru-baru ini.


“Nor Aini masih sempat bergurau seperti kebiasaannya sebelum keluar rumah dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. “Walaupun saya tidak dimaklumkan Nor Aini meninggal dunia, saya dapat menjangka dia sudah tiada dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

myMetro | Dua sepupu maut bersama

Wanita curi dalam surau


MELAKA: Keji apabila seorang wanita bertudung tergamak menjadikan surau di pusat beli-belah di Jalan Tun Razak sebagai tempat mencari ‘rezeki terlarang’.
Wanita berusia 39 tahun itu dipercayai berpura-pura berada di situ untuk mengerjakan solat sebelum mengambil kesempatan melarikan beg tangan dan barang berharga mangsa.

Namun, perbuatan wanita terbabit berakhir jam 7 malam Rabu lalu apabila diberkas seorang wanita selepas melarikan beg tangan mangsanya beberapa jam sebelum itu.
Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini Noryuhani Ramli, 29, berkata, ketika kejadian dia dan rakannya, Nor Azzren Bazid, 26, pergi menunaikan solat di surau pusat beli-belah berkenaan.

“Ketika masuk ke dalam surau, terdapat seorang wanita berada di situ, namun kami tidak mempedulikannya.

“Bagaimanapun, selepas mengambil wuduk dan rakan saya pergi ke tandas, wanita itu hilang bersama beg Nor Azzren lalu kami mencarinya di lokasi kejadian, namun gagal,” katanya.
Beliau berkata, rakannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru sejurus selepas kejadian.

Katanya, ketika dalam perjalanan pulang, dia menghubungi rakannya bertanyakan hal berkenaan dan diberitahu kad kredit yang dilarikan bersama beg tangannya itu digunakan di pusat beli-belah di Ayer Keroh.
“Saya kebetulan berada di sekitar lokasi berkenaan ke pusat beli-belah terbabit dan terserempak dengan wanita yang dicam berada di surau beberapa jam sebelum menghampirinya.

“Saya bertanya mengenai kehilangan beg berkenaan, namun wanita itu menafikanya dan mengancam menjerit. Saya minta orang ramai menahannya dan wanita itu mengaku mengambil beg rakan saya,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan menyerahkan semua barangan yang dilarikan sambil merayu dilepaskan.
myMetro | Wanita curi dalam surau

Hospital dikawal polis bersenjata


SHAM EL-SHEIKH: Selepas hampir seharian menempuh perjalanan dipenuhi padang dan gunung-ganang, kami akhirnya tiba di Hospital Antarabangsa Sham El Sheikh yang menempatkan bekas presiden, Hosni Mubarak yang masih dirawat di hospital berkenaan.
Seperti diramal, hospital berkenaan dikelilingi anggota polis dan tentera lengkap bersenjata membabitkan pasukan keselamatan beruniform dan berpakaian preman bertaburan di sekeliling serta kawasan hospital.

Cubaan masuk ke hospital gagal kerana selepas kenderaan kami dilihat berlegar-legar di kawasan itu sekurang-kurangnya empat kali (untuk merakamkan gambar), sekumpulan anggota polis menahan dan menyoal tujuan kami berlegar di situ.
Selepas memberitahu untuk melihat hospital yang menempatkan Hosni secara lebih dekat, kami diminta meninggalkan kawasan itu dan mengunjungi kawasan pantai atau menaiki bot kaca untuk melihat khazanah alam di Laut Merah.

Bagaimanapun, apa yang menarik kali ini ialah hampir semua anggota keselamatan yang menahan kami sepanjang perjalanan dari Dahab hingga ke Sham Sheikh begitu menghormati saya dan jurugambar terutama selepas melihat pasport Malaysia.

“Ente Malizi (Malaysian)? Syukran-Syukran Mohamad Mahadhir (Tun Mahadhir Mohamad) Malizi Ahsan Nas...Ahlan Wasahlan (orang Malaysia baik-baik...selamat datang ke Mesir),” katanya.

Kami bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan walaupun selepas menunggu sekian lama kad media dari kedutaan Malaysia yang bersetuju membantu mendapatkannya dari kementerian penerangan Mesir yang berjanji disiapkan dalam tempoh 48 jam, belum diperoleh selepas enam hari menunggu.

Menurut sumber yang ditemui, Hosni, 82, masih dirawat di hospital berkenaan sejak dia dihantar di situ akibat serangan jantung 12 April lalu.
Bagaimanapun, ramai pihak mula mempertikaikan pihak berkuasa kerana tidak mengumumkan status kesihatan Hosni, malah mengawal ketat hospital yang merawatnya menyebabkan mereka kurang percaya bekas pemimpin itu tenat.

“Ia terlalu lama mungkin dia sudah sihat untuk di soal siasat dan seterusnya didakwa kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, kebencian rakyat Mesir terhadap Mubarak jelas dilihat pada bangunan dan hotel yang memadamkan nama mantan presiden itu pada plak atau replika perasmian pada bangunan masing-masing.

Harian Metro mendapati kawasan tumpuan pelancong yang sesak di Dahab dan Sham El Sheikh dipenuhi pekerja kedai dan bilangan pelancong boleh dibilang dengan jari.
myMetro | Hospital dikawal polis bersenjata

Polis tahan warga Indonesia disyaki bunuh rakan senegara


KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam seorang pekerja warga Indonesia yang ditikam bertubi-tubi dan dikelar di sebuah bilik rumah kongsi di tapak pembinaan di Taman Melati Utama, di sini, pagi kelmarin.
Menurut Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, lelaki berusia 30-an yang juga warga senegara mangsa ditahan pada petang hari kejadian ketika dia berada di rumah kongsi di tapak pembinaan berkenaan.

“Lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam itu dan kami akan ambil keterangannya dan siasat dari semua aspek bagi mencari suspek serta individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes ini.
“Kami percaya dengan perkembangan terbaru penahanan lelaki berkenaan, maklumat berhubung kejadian sebenar akan diperoleh sekali gus membantu mengenal pasti semua suspek,” katanya.

Metro Ahad semalam melaporkan, seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam cinta tiga segi maut ditikam bertubi-tubi dalam kejadian jam 7.30 pagi di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan kondominium.

Zakaria berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat di rumah kongsi berkenaan sebelum sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian. Hasil pemeriksaan polis menemui lapan kesan luka tikaman selain beberapa kesan kelar pada badan mangsa menggunakan senjata tajam.
Namun, siasatan lanjut tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian, malah polis percaya mangsa diserang lebih daripada seorang suspek.
myMetro | Polis tahan warga Indonesia disyaki bunuh rakan senegara

Bawa ganja, air ketum saksi akhir Piala FA

PETALING JAYA: Berbekalkan rupa menarik, dua lelaki warga asing memperdaya wanita berusia meminta wang menggunakan orang tengah kononnya ditahan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mendakwa membawa wang banyak.
Dua wanita warga emas yang dikesan menjadi mangsa dua lelaki itu masing-masing berusia 57 dan 52 tahun yang kerugian puluhan ribu ringgit.

Sumber polis berkata, kejadian membabitkan mangsa pertama berlaku pada Mei lalu yang kerugian RM70,000 selepas mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akuan seorang wanita. Manakala, mangsa terbaru wanita berusia 52 tahun bekerja sebagai kerani kerugian hampir RM12,000 selepas memasukkan wang ke dalam akaun seorang wanita yang mendakwa pegawai kastam.
Katanya, penipuan bermula apabila mangsa berkenalan dengan lelaki berasal dari United Kingdom pada hujung Januari lalu melalui laman sosial Facebook.

“Mangsa yang tidak tahu helah suspek berhubung setiap hari sebelum diberitahu lelaki itu mahu ke negara ini pada 7 Jun lalu melalui e-mel 3 Jun.

“Kira-kira jam 10 pagi 7 Jun lalu, mangsa menerima panggilan daripada wanita yang memperkenalkan diri pegawai kastam memberitahu rakan lelaki warga asingnya ditahan imigresen KLIA selepas membawa wang yang banyak,” katanya di sini, semalam. myMetro | Bawa ganja, air ketum saksi akhir Piala FA