Search This Blog

Saturday, June 11, 2011

Jaga halang dadah RM4.6j diedar

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas seorang pengawal keselamatan sebuah kondominium di Taman Ampang Utama, di sini menghubungi polis selepas melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan, berjaya menghalang pengedaran lebih 77,000 tiub dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM4.6 juta, petang kelmarin.

Polis yang bergegas ke lokasi sebaik dihubungi, berjaya mengesan dua lelaki terbabit sebelum dibawa ke sebuah kediaman di tingkat 15 bangunan berkenaan yang diubah suai menjadi makmal memproses syabu. Polis turut menyita peralatan memasak dan memproses syabu seperti ketuhar dan periuk selain sebuah Toyota Caldina digunakan suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dadah seberat 23 kilogram itu sedia untuk diedarkan dengan satu tiub syabu berharga RM60.
Kedua-dua lelaki berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Melalui kejayaan ini, Polis Selangor berjaya menyelamatkan nyawa 77,680 individu andai satu tiub diedarkan kepada seorang individu. Malah kita percaya rampasan ini juga dapat menghalang aktiviti jenayah kerana biasanya penagih akan menggunakan pelbagai cara mendapatkan wang untuk membeli dadah,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, semalam, beliau berkata, dua lelaki yang ditahan itu, masing-masing berusia 26 dan 29 tahun berasal dari Seri Kembangan dan Jalan Genting Klang yang bekerja di sebuah kedai dobi dan kedai minuman.
Berita Harian Online | Jaga halang dadah RM4.6j diedar

Rombongan ke Sabah kena tipu


SEBAHAGIAN peserta rombongan ke Sabah menunggu di ruang legar LTAPP, kelmarin.
SEBAHAGIAN peserta rombongan ke Sabah menunggu di ruang legar LTAPP, kelmarin.


GEORGETOWN: Kegembiraan lebih 103 orang termasuk 30 warga tua untuk menyertai percutian ke Kota Kinabalu, Sabah selama empat hari bertukar kecewa apabila diberitahu oleh petugas kaunter penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pakej itu tidak wujud.

Peserta berusia dari 10 hingga 75 tahun mendakwa pakej itu ditawarkan seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Razin dan hanya menyedari ditipu ketika hendak mendaftar masuk ke LTAPP lewat petang, kelmarin.
Mereka yang berasal dari sekitar negeri ini dan Alor Setar mendakwa membayar RM300 sehingga RM500 kepada orang tengah dikenali Fazirah Ghazali untuk dimasukkan ke akaun bank milik Mohd Razin sebulan lalu dan mereka diberitahu dokumen serta tiket penerbangan akan diberikan di lapangan terbang sebelum berlepas.
Seorang peserta yang bekerja sebagai penjawat awam, Musa Ahmad, 52, berkata mereka tidak mengesyaki apa-apa dan hanya membayar jumlah diminta kepada Fazirah bagi membolehkan mengikuti pakej percutian itu.

“Bagaimanapun, apabila kami datang hari ini (kelmarin) penerbangan yang sepatutnya membawa kami ke Sabah sebenarnya tidak wujud, malah Fazirah yang berada di sini turut menjelaskan dirinya menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di LTAPP di sini, malam kelmarin.

Seorang lagi peserta, Aminah Abdullah, 68, berkata dia mengesyaki sesuatu apabila tidak menerima sebarang dokumen percutian biarpun sudah membuat pembayaran tetapi tidak mengendahkan kerana beranggapan semuanya diuruskan Fazirah.

Sementara itu, Fazirah berkata, dia tidak menyangka Mohd Razin boleh menghilangkan diri sedangkan di sebelah pagi, rakannya itu memaklumkan semuanya sudah selesai dan akan berjumpa di LTAPP. Berita Harian Online | Rombongan ke Sabah kena tipu

Pelatih Puspen merusuh


JOHOR BAHRU: Tidak puas hati dengan program tertentu dan diburukkan lagi dengan hasutan dipercayai menjadi punca segelintir pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Dadah (Puspen) Muar, di Bukit Gambir di sini, merusuh, malam kelmarin.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Zuraidah Mohamed berkata, rusuhan berlaku selepas solat Isyak itu dimulakan segelintir pelatih saja.

“Program disediakan mungkin menyebabkan segelintir pelatih tidak puas hati dan ada di kalangan mereka mula menghasut menyebabkan keadaan tidak terkawal hingga ada yang bertindak liar.
“Pelatih mula membakar bangunan serta merosakkan kenderaan Puspen dan pegawai AADK, bimbang berlaku perkara tidak diingini, pegawai kami serta pelatih yang tidak mahu terbabit dengan rusuhan berkenaan menyelamatkan diri masing-masing,” katanya semalam.

Dalam rusuhan kira-kira jam 9 malam itu, 21 pelatih melarikan diri selepas sebahagian daripada 377 penghuni membakar lima bangunan membabitkan pejabat pentadbiran, rumah tetamu, unit pemulihan, bangunan stor dan pondok pengawal.

Empat kenderaan milik Puspen dan empat milik kakitangan turut dirosakkan, setakat jam 6 petang semalam, 16 pelatih berjaya ditemui semula manakala lima lagi masih dikesan.
Menurut Zuraidah, pihaknya akan mengkaji semula beberapa program untuk dikemas kini bagi memastikan ia memenuhi keperluan semua pihak.

“Polis masih menyiasat punca rusuhan dan pada masa sama, kami juga menjalankan siasatan sendiri.
“Program tertentu akan dirombak mengikut kesesuaian dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pada masa sama, Zuraidah memaklumkan kerugian akibat rusuhan dianggarkan kurang RM600,000.

Bangunan yang terbakar terdiri daripada bangunan lama diperbuat daripada kayu.
myMetro | Pelatih Puspen merusuh

Pusat urut gay diserbu


JOHOR BAHRU: Permintaan tinggi di kalangan lelaki berselera songsang di bandar raya ini dan negara jiran menyebabkan seorang lelaki tempatan membuka tiga cawangan pusat urut refleksologi yang turut menawarkan perkhidmatan ‘istimewa’ kepada pelanggan sejak setahun lalu.
Malah, pusat bertopengkan khidmat urutan sejenis itu langsung tidak mendatangkan syak kerana membabitkan golongan lelaki.

Tidak hairanlah dengan hanya RM35, lelaki bernafsu songsang di bandar raya ini boleh melampiaskan nafsu dengan melanggan tukang urut lelaki yang menawarkan pakej istimewa.

Difahamkan, pelanggan dihiburkan urutan istimewa sambil menonton tayangan video cakera digital (DVD) serta gambar lelaki memberahikan di sebalik tabir setiap bilik serta bayaran ekstra dikenakan untuk pakej tertentu.

Bagaimanapun, kegiatan pusat itu terbongkar apabila premis berkenaan diserbu sepasukan anggota penguat kuasa imigresen Johor, malam kelmarin.
myMetro | Pusat urut gay diserbu

Nafi buat tuntutan palsu


BUTTERWORTH: Seorang lelaki merayu di Mahkamah Sesyen, di sini, supaya ikat jamin terhadapnya dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai termasuk menyara seorang anak orang kelainan upaya (OKU).
Bekas Pengurus Kanan Pusat Giat Mara, Pongsu Seribu di Kepala Batas, dekat sini, Muhammad Zaini Md Noor, 51, mengemukakan rayuan itu selepas didakwa membuat tuntutan palsu, semalam.

Dia yang didakwa membuat tuntutan RM31,500 pada 4 Disember 2006 itu membuat rayuan kepada Hakim Mohd Zairan Aman selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi menawarkan ikat jamin RM15,000.

Muhammad Zaini dari Lintang Bertam Indah, Taman Bertam Indah, Kepala Batas tidak diwakili peguam juga memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan sudah tua dan bersara daripada perkhidmatan tentera tanpa pencen.

Mohd Zairan menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Julai nanti sebagai tarikh perbicaraan.
myMetro | Nafi buat tuntutan palsu

Tak sempat jadi jutawan


BERA: Impian seorang lelaki yang mahu bergelar ‘jutawan’ sekelip mata dengan menyediakan kasino mini melalui perjudian Internet berkubur apabila premis yang baru dibuka seminggu lalu, diserbu sepasukan anggota polis, di Taman Jasmin, Triang, dekat sini, petang kelmarin.
Ketika serbuan jam 5.20 petang itu, seramai 12 tahi judi berusia 20 hingga 30 tahun yang sibuk melanggan kegiatan haram itu tidak sempat memboloskan diri selepas dikepung polis.

Operasi terbabit diketuai Cif Inspektor Yusri Ahmad dan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pahang selepas menerima maklumat awam berhubung premis berkenaan.
Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Deputi Superintendan Zailanni Amit, berkata ketika serbuan, polis mendapati 12 tahi judi terbabit sedang leka bertaruh ‘jackpot’ di Internet.

Menurutnya, polis kemudian mengarahkan semua lelaki terbabit berkumpul sebelum menjalankan pemeriksaan terhadap komputer itu yang didakwa mengandungi unsur perjudian.

Katanya, hasil pemeriksaan berkenaan, polis kemudian merampas kira-kira 13 komputer yang dikatakan sudah diubah suai serta mengandungi unsur kegiatan perjudian ‘jackpot’ dan sebagainya.
“Pada masa sama, polis turut menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 20 tahun yang menjaga premis itu sebelum semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Bera untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, premis terbabit dikatakan baru seminggu beroperasi dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pemilik sebenar premis berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, polis percaya kewujudan premis terbabit di kawasan berkenaan bertujuan hendak menarik perhatian peneroka supaya terjebak dengan gejala tidak sihat itu.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit.
myMetro | Tak sempat jadi jutawan

Treler terbabas hampir terjunam



SEORANG pemandu sebuah treler membawa kontena nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hampir terjunam selepas terbabas di jejambat di bulatan Seberang Jaya,  di Kilometer 135.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala Selatan. Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar dari kenderaannya yang ‘tergantung’ di tepi jejantas terbabit.Foto: Mohamad Danial Mohamad Saad (10/06/2011)
SEORANG pemandu sebuah treler membawa kontena nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hampir terjunam selepas terbabas di jejambat di bulatan Seberang Jaya, di Kilometer 135.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala Selatan. Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar dari kenderaannya yang ‘tergantung’ di tepi jejantas terbabit.Foto: Mohamad Danial Mohamad Saad (10/06/2011)

SEBERANG JAYA: Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan dipandu hampir terjunam selepas terbabas di jejambat dekat bulatan Seberang Jaya, di Kilometer 135.5, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), di sini, semalam.
Sebelum kejadian, treler membawa kontena itu dalam perjalanan dari Mak Mandin, Permatang Pauh, di sini, ke sebuah kilang di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, kira-kira 12.15 tengah hari.

Pemandu yang mahu dikenali Anuar, 30-an, mendakwa sebelum kejadian dia memandu di lorong laju sebelah kanan sebelum sebuah lori di depan memberhentikan kenderaan secara mengejut.
Dia yang tidak cedera berkata, tindakan pemandu itu menyebabkan dia terpaksa membrek, tetapi kenderaan dipandu tetap begerak menyebabkannya bertindak mengelak ke lorong sebelah kiri selepas melihat tiada kenderaan.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan kontena dibawa menolak kepala lori sebelum melanggar penghalang jejambat dan tersangkut.

“Saya terkejut dan segera melompat keluar dari lori selepas kepala lori tersangkut dan tergantung di tepi jejambat,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Plus Expressway Berhad berkata, kejadian itu menyebabkan kesesakan sepanjang lima kilometer, tetapi keadaan trafik terkawal.

“Kepala treler terbabit berjaya dinaikkan dengan bantuan dua kren kira-kira jam 2.30 petang sebelum treler yang membawa kontena itu ditarik sebuah lori lain,” katanya.
myMetro | Treler terbabas hampir terjunam

4 nyaris maut selepas kenduri


DUNGUN: Empat penumpang sebuah van dalam perjalanan pulang dari kenduri kahwin saudara mereka di Felda Kerteh 3, dekat sini, nyaris maut apabila kenderaan dinaiki berlanggar dengan sebuah kereta sebelum terbalik di Kilometer 3, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Che Lijah, kelmarin.
Bagaimanapun, semua penumpang dikenali sebagai Ismail Mahmud, 64, Fatimah Embong, 64, Zainab Mahmud, 50, dan anaknya, Mohd Arif Mohamad,11, hanya cedera ringan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Kancil dikatakan cuba memasuki laluan kanan jalan sebelum berlanggar dengan van dipandu Mohamad Nor Salleh, 56.
Kemalangan kira-kira jam 6.10 petang itu menyebabkan van itu melanggar sebuah kereta lain yang berhenti di bahu jalan sebelum terbalik.

Semua mangsa berasal dari Kampung Manir, Kuala Terengganu itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri.

Pemandu kereta dan van tidak cedera manakala empat mangsa yang menaiki van dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan.
myMetro | 4 nyaris maut selepas kenduri

‘Mujur saya keluar...’


KUANTAN: “Saya hanya mengucap panjang dan tidak mampu berkata apa-apa apabila melihat rumah saya musnah dihempap pokok durian yang tumbang akibat ribut.
“Mujurlah saya tiada di rumah ketika kejadian. Kalau saya ada ketika itu, tidak tahulah apa akan jadi pada saya,” kata seorang wanita warga emas, Salebiah Johari, 64, dari Felda Bukit Kuantan, di sini, ketika ditemui kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, Salebiah tiada di rumah kerana berkunjung ke rumah anaknya, Nor Azura Said, 28, di Geliga, Kemaman, Terengganu.
Dia mendapat tahu mengenai kejadian itu melalui jiran mengatakan rumahnya ranap dihempap pokok durian bersebelahan rumahnya.

Menurutnya, dia bersama anaknya bergegas pulang dari Kemaman kerana bimbang perkara lebih buruk berlaku memandangkan ketika itu hujan lebat.

Katanya, sebaik tiba di rumah, dia terkejut selepas melihat atap di bahagian ruang tamu tercabut diterbangkan angin kencang dan dia masuk untuk menyelamatkan beberapa dokumen penting.
“Tiada apa dapat saya dan anak katakan lagi kecuali berdoa kepada Allah agar tidak ditimpa bencana lebih teruk berikutan ketika itu hujan lebat disusuli angin kencang.

“Jika saya berada di rumah, tidak tahulah apa akan terjadi memandangkan saya tinggal berseorangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, petang semalam.
Salebiah berterima kasih kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kerana membantu membaiki semula rumah selepas mendapat bantuan segera Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.

Sementara itu, lain di Gambang, kira-kira 14 buah rumah di Kampung Melayu dan pekan Gambang turut mengalami nasib sama selepas dilanda ribut namun tiada sebarang kemalangan dilaporkan.
myMetro | ‘Mujur saya keluar...’

Kerikil tutup diesel


SHAH ALAM: Berselindung di sebalik dua lori membawa muatan batu kerikil, sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi tumpas ketika pemandunya sedang leka mengisi bahan bakar berkenaan di sebuah stesen minyak, di Bukit Kemuning, di sini, semalam.
Lori berkenaan ditahan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor kira-kira jam 8.30 pagi dikesan sudah diubahsuai dengan meletakkan dua tong besar di bawah badan lori berkenaan.

Ketua Penguatkuasa KP- DNKK Selangor, Othman Nawang, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang memandu lori itu membawa dua tong besar yang boleh memuatkan 5,000 liter diesel tetapi mereka hanya sempat mengisi 600 liter sebelum ditahan.
Katanya, mereka disyaki menggunakan lori yang sudah diubah suai itu dan bergerak dari satu stesen minyak ke satu stesen minyak lain untuk mengisi minyak ke dalam tong berkenaan bagi mengelak helah mereka dikesan.

“Ketika ditahan dan disoal siasat, kedua-dua pemandu lori berusia 35 dan 43 tahun itu mengaku membawa batu kerikil tetapi selepas memeriksa lori terbabit, kami menemui tong besar yang boleh memuatkan sehingga 5,000 liter diesel.

“Mereka disyaki menjual dan membekalkan minyak berkenaan kepada pemborong dan berurus niaga dengan perindustrian,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, operasi sepasukan anggotanya diketuai Penolong Pengawal Bekalan, Mohd Siddek Md Jamalkan dilaksanakan selepas mendapat maklumat awam. Othman berkata, harga semasa diesel bersubsidi RM1.80 seliter, manakala harga semasa minyak diesel industri RM2.70 dan mereka mengaut keuntungan mudah dengan menjual diesel bersubsidi itu kepada pihak industri.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1991 yang mana tertuduh boleh didenda maksimum RM100,000, tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu manakala denda RM200,000 untuk kesalahan pertama dan kesalahan kedua, RM500,000 bagi syarikat jika sabit kesalahan.
myMetro | Kerikil tutup diesel

Rompak bank guna mercun


KAJANG: Bermodalkan sepucuk pistol palsu dan dua biji mercun, seorang perompak melarikan wang tunai kira-kira RM80,000 dalam kejadian rompakan di sebuah bank di Taman Taming Jaya, Balakong, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu berlaku begitu pantas, apabila perompak berkenaan yang memakai rambut palsu separas pinggang mengacukan pistol ke arah kakitangan dan pelanggan bank.

Difahamkan, suspek turut melemparkan mercun sebelum melarikan diri bersama hasil rompakan.
Seorang saksi enggan dikenali yang berada di dalam bank ketika kejadian berkata, perompak itu mengugut mahu mencederakan sesiapa yang melawan sebelum melompat masuk ke kaunter dan mengacukan pistol ke arah kepala salah seorang kakitangan bank.

Katanya, perompak itu mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam beg yang dibawanya.

“Selepas mengambil wang itu, dia memanggil kakitangan bank lain supaya keluar untuk dijadikan tebusan sebelum meloloskan diri dari bank itu.
“Sambil mengacukan pistol ke arah pinggang kakitangan bank itu, dia berjalan keluar sejauh sepuluh meter sebelum terus bertindak melarikan diri dan mencampakkan pistol mainan itu ke dalam parit berdekatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Saksi itu berkata, suspek kemudian melarikan diri sejauh 50 meter sebelum menaiki sebuah motosikal yang menghala ke jalan utama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, rompakan itu dilakukan oleh seorang lelaki yang memakai rambut palsu separas pinggang dan dipercayai menggunakan pistol palsu bagi menakutkan orang awam.

Katanya, suspek melompat ke kaunter dan mengacukan pistol di kepala seorang kakitangan bank serta menyuruhnya memasukkan wang ke dalam beg yang diberi.

“Selepas selesai, suspek melompat keluar dan mengacukan pistol ke arah kakitangan lelaki yang dijadikan tebusan sebelum dapat keluar dari bank itu.

“Suspek melarikan diri dengan menggunakan motosikal jenis Honda EX5,” katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
myMetro | Rompak bank guna mercun

56 masuk lokap


NILAI: Seramai 56 warga asing Bangladesh dan Vietnam ditahan polis semalam, selepas mencetuskan rusuhan hingga menyebabkan 23 daripada mereka cedera dalam satu pergaduhan di asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak, di sini, Rabu lalu.
Difahamkan, sebahagian besar pekerja Vietnam dan Bangladesh yang mendiami asrama sebuah kilang tekstil, di sini, dikesan menyembunyikan pelbagai senjata berbahaya.

Malah, polis yang melakukan pemeriksaan menyeluruh selama lima jam di asrama terbabit bermula jam 3 petang semalam, menemui kira-kira 1,000 senjata yang kebanyakannya kayu dan batang besi, tujuh parang dan puluhan pisau.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis bertindak menahan 56 pekerja dipercayai terbabit dalam rusuhan Rabu lalu dan 47 daripadanya warga Vietnam termasuk empat wanita dan sembilan lelaki Bangladesh.

“Kami turut menahan 10 pekerja Vietnam dan empat warga Bangladesh termasuk dua kanak-kanak atas kesalahan imigresen,” katanya.

Saiful Azly berkata, pemeriksaan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya menyiasat kes rusuhan malam Rabu lalu, selain menghalang pergaduhan lebih serius.
“Buat masa ini, kami percaya dalang pergaduhan itu berada di kalangan kumpulan pekerja terbabit. Namun kami masih menyiasat,” katanya, di sini, semalam.

Dalam rusuhan di asrama itu kira-kira jam 8.30 malam Rabu lalu, lebih 200 pekerja lelaki warga Vietnam dan Bangladesh bertempur mengakibatkan 23 cedera, dipercayai berpunca daripada tindakan seorang pekerja Bangladesh memikat teman wanita lelaki Vietnam.
Dua kumpulan terbabit yang saling melakukan provokasi bertempur menggunakan kayu, besi dan membaling batu di dalam kawasan asrama yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan rumah penduduk.

Sementara itu, sumber berkata, kebanyakan senjata ditemui di kawasan asrama pekerja perempuan Vietnam disebabkan ia cuba disembunyikan kumpulan lelaki warga negara itu ketika pemeriksaan di asrama lelaki sebelum ini.
myMetro | 56 masuk lokap

Abang menangis dihukum penjara


KUALA LUMPUR: Seorang pengecat kereta menangis selepas dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menumbuk dan menyepak adik perempuannya, minggu lalu.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Fitri Ahmad Tarmizi, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh dia ditangkap iaitu 6 Jun 2011 dan dikenakan tambahan sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, Fitri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap adik perempuannya, Noor Azwin Ahmad Tarmizi, 20, di Blok 12-02-05, Flat Sri Melaka, Cheras di sini pada jam 5 petang, 4 Jun 2011.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pertengkaran antara kedua-dua adik-beradik itu berlaku apabila tertuduh tidak membenarkan mangsa tinggal bersama ibunya sebelum menumbuk dan menyepak mangsa.
Susulan kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan teruk di mata kiri dan di belakang kepala membuat laporan polis. Terdahulu Fitri yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya kerana dia tidak berniat memukul dan mencederakan adiknya itu.

“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang abang terhadap adiknya,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran terhadap tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
myMetro | Abang menangis dihukum penjara

Sindiket penipu antarabangsa lumpuh



SEBAHAGIAN daripada 177 warga Taiwan dan China yang terbabit dalam penipuan siber ditahan oleh Imigresen Indonesia di Jakarta kelmarin.


PHNOM PENH - Beratus-ratus warga China dan Taiwan ditangkap di seluruh Asia termasuk Malaysia dalam satu operasi antarabangsa untuk menumpaskan komplot penipuan melalui telefon merentasi sempadan, kata pegawai-pegawai di beberapa negara semalam.
Kebanyakan tangkapan dibuat di Indonesia dan Kemboja dengan masing-masing 177 orang dan 166 orang ditahan dalam satu serbuan merentasi sempadan.
Serbuan dilakukan untuk mematahkan modus operandi penjenayah yang menggunakan perkhidmatan telefon Internet untuk menipu wang ribuan mangsa di rantau berkenaan.
Di Malaysia, polis menangkap 27 rakyat China dan 10 warga Taiwan di Sabah kerana menipu orang ramai supaya membayar saman trafik palsu.
Seramai 14 daripada yang ditahan di Sabah itu adalah wanita.
Kosmo! Online - Negara

Pelatih Puspen merusuh




MOHD. SALLEH (depan) memeriksa sebuah kereta yang rosak dalam kejadian rusuhan melibatkan pelatih Puspen di Sengkang, Bukit Gambir, Ledang semalam.


LEDANG - Seramai 21 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Muar mengambil kesempatan melarikan diri dalam kejadian rusuhan di pusat berkenaan di Sengkang, Bukit Gambir di sini malam kelmarin.
Bagaimanapun polis berjaya menahan semula seramai 16 daripada 21 pelatih yang meloloskan diri dalam kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Mohd. Salleh Abdul Razak berkata, kejadian rusuhan itu bermula apabila sekumpulan pelatih bertindak membakar beberapa bangunan termasuk bangunan pentadbiran, bangunan pemulihan dan stor serta pondok pengawal.
Menurutnya, pelatih berkenaan juga merosakkan lapan kenderaan dan dua motosikal di pusat berkenaan.
Katanya, pihak polis yang menerima panggilan pada pukul 9.15 malam telah tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bagi mengawal keadaan rusuhan tersebut.
"Selepas pemeriksaan dilakukan, didapati terdapat 21 daripada 377 pelatih menghilangkan diri, pihak polis dengan segera menggerakkan operasi bagi menjejaki pelatih yang melarikan diri," katanya yang memberitahu punca rusuhan tersebut masih dalam siasatan.
Kosmo! Online - Negara

Tindakan tembak mangsa wajar


KANGAR - Setelah 15 bulan berlangsung, prosiding inkues mengenai kematian seorang peniaga, Mohammad Tawfiq Noorzan (gambar kecil), 22, yang ditembak polis pada 2009 lalu berakhir semalam dengan Mahkamah Majistret memutuskan tindakan polis menembak pemuda terbabit adalah wajar.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim memberitahu, mahkamah berpendapat tiada unsur jenayah di sebalik kematian Mohammad Tawfiq dan kematian peniaga itu dikategorikan sebagai miss adventure (tidak dirancang).
Menurut Nurshahida, terdapat melebihi keraguan munasabah iaitu tidak ada sebarang kecuaian terhadap kematian Mohammad Tawfiq.
"Setelah meneliti fakta kes, mempertimbangkan bantahan pihak peguam dan hujah pendakwa raya serta peguam bela, kewajaran untuk mempertahankan diri didapati tiada unsur jenayah dalam kematian peniaga itu.
"Kematian mangsa berlaku tanpa dirancang untuk menjaga kepentingan awam dan keselamatan diri," kata beliau.
Kosmo! Online - Negara

Lagi makmal syabu dibongkar


TUN HISAN menunjukkan sebahagian daripada peralatan
yang digunakan untuk memproses dadah pada sidang
 akhbar di IPD Ampang Jaya, Selangor semalam.

AMPANG JAYA - Sebuah lagi makmal memproses dadah syabu dibongkar polis ekoran penahanan dua lelaki dan penemuan 23 kilogram dadah bernilai RM4.6 juta berserta 40 kilogram cecair syabu di sebuah kondominium Taman Ampang Utama di sini kelmarin.
Cecair syabu yang dirampas itu nilainya boleh mencecah RM10 juta.
Suspek berusia 26 dan 29 tahun ditahan oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas menerima maklumat orang awam pada pukul 1.40 petang selepas melihat gelagat dua lelaki mencurigakan berlegar-legar di tempat letak kereta di kondominium tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ekoran penangkapan dua suspek itu, polis kemudian menemui bungkusan lutsinar dadah jenis syabu yang kesemuanya seberat 23 kilogram diletakkan dalam satu bagasi yang dibawa mereka.
"Siasatan lanjut, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di tingkat 15 kondominium itu.
"Rumah itu disyaki dijadikan makmal untuk memproses dadah selepas polis menemui syabu belum siap diproses dalam bentuk cecair," kata beliau pada sidang akhbar di IPD Ampang Jaya di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

103 ditipu ejen pelancongan palsu


GEORGE TOWN - Hasrat kira-kira 103 orang termasuk 30 warga emas untuk bercuti ke Kota Kinabalu, Sabah kelmarin tidak kesampaian apabila mereka rupa-rupanya menjadi mangsa penipuan sebuah ejen pelancongan palsu.
Kesemua mangsa hanya menyedari mereka ditipu ketika mahu mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas di sini pada pukul 6 petang kelmarin tetapi diberitahu tiada penerbangan ke Kota Kinabalu pada waktu itu.
Pakej pelancongan yang menggunakan risalah penginapan dari Internet itu didakwa oleh mangsa-mangsa itu diuruskan seorang koordinator percutian yang dilantik seorang lelaki yang mendakwa bekerja di sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Kosmo! Online - Negara

Bekas pengurus Giat Mara didakwa buat tuntutan palsu



BUTTERWORTH - Bekas Pengurus Kanan Pusat Komuniti Giat Mara Pongsu Seribu, Kepala Batas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM31,500 pada 4 Disember 2006.
Tertuduh, Muhammad Zaini Md. Noor, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Dia dituduh mengemukakan butiran pesanan palsu bertarikh 6 September 2006 kepada Pembantu Tadbir Kanan pusat itu, Sariza Mohamad Rodhi bagi Syarikat Syahmis Utara Enterprise.
Ia bagi kontrak membekal, menghantar, memasang dan menguji satu unit papan litar suis utama 600A Lekapan Lantai sedangkan tiada pembekalan dibuat.
Muhammad Zaini didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi yang mengendalikan kes tersebut menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan alasan kesalahan tersebut serius.
Kosmo! Online - Negara