Search This Blog

Friday, June 10, 2011

153 kenderaan Malaysia tersadai

Gagal patuhi peraturan ketika memasuki wilayah Selatan Thailand

SONGKHLA (Thailand): Sejumlah 153 kenderaan Malaysia didapati tersadai di 10 depoh tahanan merangkumi lima daerah di wilayah Selatan Thailand, selepas ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu hingga Mac lalu.

Jumlah kenderaan paling banyak ditahan adalah 41 kenderaan di Depoh Tahanan Kastam Songkhla, diikuti Depoh Kastam Sungai Kolok (17) dan 14 lagi di Depoh Kastam Padang Basa.

Berdasarkan maklumat, selain gagal mematuhi arahan dokumentasi seperti tidak mengisytiharkan kenderaan ketika memasuki sempadan serta tiada perlindungan insurans, ada di antara kenderaan terbabit ditahan kerana terbabit dalam kegiatan jenayah.
Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan, berkata kenderaan yang ditahan akibat masalah dokumentasi boleh dituntut dalam tempoh yang ditetapkan dengan membawa dokumen diperlukan seperti geran.

"Bagaimanapun, jika membabitkan kes jenayah, pemilik akan berdepan kesukaran untuk menuntut semula kenderaan terbabit berikutan prosedurnya lebih rumit dan mengambil masa lama," katanya.

Mohd Aini berkata, walaupun rekod tahun lalu menunjukkan 126 kenderaan Malaysia ditahan, diikuti 27 lagi sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, jumlah kereta Malaysia yang dilapor tersadai akibat penahanan dipercayai lebih tinggi.

"Walaupun ada yang berjaya dituntut semula, banyak yang terpaksa dilupuskan selepas tamat tempoh ditetapkan,” katanya.
Malah, katanya, ada pemilik kenderaan yang sanggup melupuskan kenderaan di negara jiran itu selepas gagal menjelaskan tunggakan kepada bank, semata-mata untuk mengelak nama disenarai hitam.

“Lebih teruk, pemilik kenderaan terbabit membuat laporan polis mendakwa kenderaan miliknya dicuri untuk mendapatkan pampasan insurans, sedangkan kereta terbabit sudah dibawa ke Thailand untuk dilupuskan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik kenderaan terbabit dikatakan bersekongkol dengan kumpulan samseng sempadan untuk membantu mereka melupuskan kenderaan yang kebiasaannya gagal menjelaskan ansuran selama tiga hingga empat bulan.

Berdasarkan maklumat katanya, pemilik kenderaan menjual kereta terbabit kepada orang tengah pada harga antara RM3,000 dan RM5,000 sebuah sebelum dibawa ke negara ini.

"Kebiasaannya, kenderaan terbabit akan dilupuskan dengan memberi identiti baru iaitu menggunakan nombor pendaftaran Thailand, seolah-olah kereta berkenaan dilupuskan pihak berkuasa selepas ditahan.

"Bagaimanapun, taktik itu tidak bertahan lama kerana penggunaan identiti palsu pada kenderaan boleh dikesan dengan mudah, terutama apabila semakan dilakukan melalui pangkalan data pihak berkuasa Thailand.

"Malah, dengan kedudukan nombor casis asal pada enjin kenderaan, ia memudahkan semakan, sekali gus mengesahkan statusnya sama ada terbabit jenayah atau sebaliknya," katanya.
Berita Harian Online | 153 kenderaan Malaysia tersadai

Polis buru dalang, gadis Vietnam punca pergaduhan

SEREMBAN: Polis masih mengesan dalang dan gadis warga Vietnam yang dikatakan menjadi punca pergaduhan lebih 200 pekerja lelaki warga Vietnam dan Bangladesh di asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak di sini, malam Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata pihaknya juga masih belum mengambil sebarang keterangan daripada mereka yang terbabit.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini, namun siasatan masih dijalankan terutama dalam mengesan dalang punca kejadian ini.
“Walaupun keadaan di kedua-dua asrama sudah terkawal, sebagai langkah berjaga-jaga, kita masih menempatkan anggota polis sekitar di kawasan asrama berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hamdan berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata ketika merusuh.

Semalam, akhbar ini melaporkan lebih 200 pekerja lelaki warga Vietnam dan Bangladesh bertempur mengakibatkan 23 cedera dalam pergaduhan di asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak di sini, malam kelmarin.

Kejadian itu dipercayai berpunca apabila seorang pekerja Bangladesh cuba memikat seorang wanita Vietnam ketika bekerja syif malam pada Isnin lalu.
Wanita itu kemudiannya mengadu kepada teman lelakinya yang juga warga Vietnam bekerja di kilang sama, sebelum teman lelakinya membawa beberapa rakan senegara menyerang dan membelasah lelaki Bangladesh terbabit, sekali gus mencetuskan ketegangan antara dua kumpulan itu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua kumpulan terbabit yang saling melakukan provokasi dengan bertempur menggunakan kayu, besi dan membaling batu di dalam kawasan asrama yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan rumah penduduk.

Tindakan pantas 150 pegawai dan anggota polis termasuk dua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya meleraikan pergaduhan beberapa jam selepas itu. Mangsa yang cedera di masukkan Hospital Tuanku Ja'afar
Berita Harian Online | Polis buru dalang, gadis Vietnam punca pergaduhan

‘Kenapa dah lama mama tak balik’


ROSLINA hilang sejak 22 April lalu.
ROSLINA hilang sejak 22 April lalu.



Askar sayu pujuk anak selepas isteri hilang 2 bulan

KUALA LUMPUR: “Pelbagai ikhtiar sudah saya lakukan termasuk berjumpa bomoh untuk mencari isteri saya,” luah Sabri Man, 38, suami kepada pegawai bank, Roslina Awang Kechik, 37, yang hilang dipercayai diculik hampir dua bulan lalu.

Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau dengan bantuan polis dan penduduk di Jerantut turut membuat operasi mengesan Roslina baru-baru ini tetapi menemui jalan buntu.
“Sebaik mendapat maklumat daripada syarikat telekomunikasi Maxis bahawa isteri saya berada di Jerantut berdasarkan rekod panggilan terakhir yang dibuat, saya bergegas mendapatkan bantuan polis untuk mencarinya.
“Saya sudah buntu apa lagi usaha yang perlu dibuat untuk mendapatkan semula isteri saya.

“Ketika berjumpa bomoh baru-baru ini, saya dimaklumkan Roslina berada di kawasan Seremban,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Roslina dilaporkan hilang sejak 22 April lalu selepas keluar rumah menuju ke pejabatnya di Dataran Maybank, Bangsar.

Mangsa dikatakan keluar ke tempat kerja menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) jam 7.30 pagi selepas menghantar anak ke sekolah.
Beberapa minggu kehilangan Roslina, suaminya menerima SMS daripada telefon bimbit isterinya yang meminta supaya tidak mengganggu hidupnya dan tidak mencarinya.

Sabri yang bertugas sebagai anggota tentera berkata, beliau tidak berputus asa untuk mendapatkan semula isterinya demi kebahagiaan anak-anaknya.

“Saya kini berusaha mengesan lokasi kedudukannya dan akan membuat operasi kali kedua kerana percaya Roslina masih berada dalam negara.

“Sayu hati saya apabila melihat keadaan anak-anak yang sentiasa memanggil ibunya dan sering bertanya mengapa mama belum balik? Menyebabkan pelbagai alasan dan helah saya gunakan untuk menenangkan mereka.

“Bagaimanapun, saya perlu kuat di depan anak-anak walaupun dalam hati menangis kerana anak-anak hanya bergantung sepenuhnya kepada saya sekarang,” katanya. Berita Harian Online | ‘Kenapa dah lama mama tak balik’

Lelaki rogol budak dipenjara 25 tahun


M Suresh
M Suresh
Penjual barangan lusuh turut dihukum 15 sebatan

KLANG: Seorang penjual barangan lusuh, semalam, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak berusia lapan tahun dalam tandas ketika mangsa menghadiri majlis perkahwinan di sebuah dewan sekolah di Sekinchan, di sini, Sabtu lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap M Suresh, 27, dan memerintahkan hukuman berjalan serentak mulai tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada hari kejadian itu berlaku.
Mengikut pertuduhan, Suresh didakwa merogol mangsa dalam tandas perempuan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan, Sekinchan pada 4 Jun lalu antara jam 9 hingga 9.15 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nizi Shazril Ithnin, manakala Suresh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya dengan alasan dia mabuk ketika melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun, Nizi Shazril memohon hukuman setimpal dikenakan kerana mangsa baru berumur lapan tahun 11 bulan, selain perbuatan tertuduh turut menjejaskan masa depan mangsa.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dan abang iparnya menghadiri majlis perkahwinan di dewan SJKC itu sebelum pergi ke tandas berhampiran lokasi majlis.

Tertuduh mengekori mangsa dan merogol kanak-kanak terbabit sebelum melarikan diri dalam keadaan berbogel.
Berita Harian Online | Lelaki rogol budak dipenjara 25 tahun

Bomoh saka kalah saman

Zakaria gagal ubat penyakit diarah bayar semula RM19,000

JOHOR BAHRU: Seorang bomoh diperintah oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam, supaya membayar balik RM19,500 kepada seorang wanita ekoran kegagalannya mengubati penyakit bapa pemohon yang didakwanya terkena saka.

Bomoh yang juga seorang jurunikah dari FELDA Waha, Kota Tinggi, Zakaria Lagiman, 49, diperintahkan oleh Presiden TTPM, Mohd Nasrim Mohd Salleh, membayar balik wang terbabit dalam tempoh 14 hari bermula semalam, selepas meluluskan tuntutan yang difailkan oleh suri rumah, Zaharah Yusuf, 51.

Dalam tuntutannya, Zaharah berkata, pada Disember 2008, bapanya, Yusuf Abdul, yang ketika itu berusia 108 tahun dibawa mendapatkan rawatan tradisional daripada Zakaria di rumahnya.
“Ketika itu, saya dan dua lagi adik, diberitahu oleh Zakaria yang 12 saka menghuni dalam tubuh bapa kami, menyebabkan beliau mengalami masalah kesihatan
ketika itu.

“Ekoran itu, kami tiga beradik membelanjakan wang RM19,500 itu seperti diminta Zakaria untuk mengubati bapa. Kami membelanjakan wang yang banyak untuk melihat bapa pulih sepenuhnya, apatah lagi bomoh itu berkata kos dikenakan termasuk membeli lima helai daun epal jin yang berharga RM1,500 sehelai serta minyak wangi Firdaus.

“Namun, kami kecewa kerana Zakaria langsung tidak mengubati bapa kami dengan alasan dia sendiri tidak sihat, sedangkan wang dibayar secara ansuran sebanyak tiga kali antara Disember 2008 hingga akhir 2009,” katanya.
Zaharah berkata, bapanya meninggal dunia pada 17 Februari tahun lalu, tanpa menjalani sebarang proses perubatan yang dijanjikan Zakaria. Berikutan itu, beliau dan keluarganya memfailkan tuntutan terhadap pengamal perubatan terbabit.

Ketika prosiding TTPM berlangsung semalam, Zaharah hadir bersama ahli keluarganya, manakala Zakaria yang tidak hadir sekadar mengutuskan sepucuk surat memaklumkan beliau tidak sihat.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Zaharah berkata, tindakannya memfailkan tuntutan terhadap pengamal perubatan terbabit adalah sebarang pengajaran.

“Mungkin ada yang tidak berani bersuara. Namun saya dan keluarga hanya mahukan keadilan untuk Allahyarham bapa kami, kerana selepas banyak wang dilaburkan untuk tujuan perubatan, namun dia (pengamal perubatan terbabit) tidak mengambil sebarang langkah mengubati penyakit bapa kami seperti yang didakwanya,” katanya.
Berita Harian Online | Bomoh saka kalah saman

Tukang urut ditemui mati


KULAIJAYA – Seorang tukang urut tradisional ditemui mati dalam keadaan terbaring di rumah urutnya di Jalan Sultan Ismail, Kampung Melayu di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari, semalam.

Mangsa, Osman Ahmad, 62 atau lebih dikenali sebagai Pak Man ditemui di tingkat dua berhampiran pintu rumah urutnya itu manakala seorang lelaki yang dipercayai ada bersama mangsa melarikan diri dengan menaiki bas dari stesen berhampiran.

Salah seorang saksi, Osman samad, 82, berkata, dia serta jiran berhampiran terdengar suara orang menjerit meminta pertolongan sebelum terdengar bunyi :kekecohan dari arah rumah mangsa.

Katanya, dia juga sempat berbual bersama lelaki itu dan bertanya mengenai perihal Pak Man, namun tidak menyangka kejadian buruk yang menimpa Pak Man kerana lagak lelaki itu yang dikatakan begitu bersahaja sebelum melarikan diri.

“Selepas terdengar suara orang meminta tolong kami segera menghubungi pihak polis dan ternampak seorang lelaki berbadan gempal memakai baju berwarna coklat dan menyandang sebuah beg berwarna hijau pada badannya turun dari rumah Pak Man.

“Pakcik segera memanggil lelaki berkenaan manakala beberapa jiran lain naik ke atas rumah untuk meninjau keadaan Pak Man.

“Pakcik tanya kepada lelaki itu mengapa Pak Man menjerit meminta tolong, tetapi katanya dia hanya membantu Pak Man yang terjatuh ketika sedang mengurutnya,” katanya.

Osman berkata, lelaki itu kemudiannya berlalu dalam keadaan bersahaja dari perkarangan rumah urut tradisional itu sebelum berlari ke arah terminal bas meninggalkan lokasi kejadian.

“Pakcik minta dia tunggu sekejap tetapi dia terus pergi sebelum salah seorang jiran yang meninjau keadaan di rumah Pak Man dan menjerit bahawa Pak Man sudah meninggal.

“Pakcik sungguh tidak menyangka kejadian ini akan menimpa Pak Man kerana dia baru sahaja singgah ke gerai saya beberapa jam sebelum kejadian untuk membeli makanan tengah hari,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala mangsa yang berpunca dari kesan hentakan dengan lantai.

Bagaimanapun katanya, hanya telefon bimbit milik mangsa masih belum ditemui manakala beg duitnya terdapat di dalam rumah urut berkenaan dan pihak polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

“Mangsa yang tinggal berseorangan ditemui dalam keadaan terlentang dan keadaan rumah pada ketika itu didapati berselerak namun bukan disebabkan oleh pergelutan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa di bawa ke hospital berhampiran untuk bedah siasat.

Sementara itu, waris terdekat mangsa, Mazrol Mazlan, 30 berkata, dia baru sahaja menemui Pak Man beberapa hari lalu ketika menyambut hari ulang tahun kelahirannya bersama sanak-saudaranya.

“Pak Man tidak mempunyai anak dan isteri kerana tidak pernah berkahwin tetapi dia amat rapat dengan kami dan saudara lain yang tinggal berhampiran dengannya di kawasan ini.

“Saya tidak sangka menerima berita kematiannya dalam keadaan menyayat hati, tambahan pula dia baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-62 tahun beberapa hari lalu.

“Pak Man kelihatan ceria ketika itu dan dia juga ada beli sebiji kek dan sediakan sedikit jamuan untuk sambut hari lahirnya bersama-sama kami,” katanya.

Katanya, Pak Man yang berasal dari Melaka telah lama menjalankan perkhidmatan mengurut di situ sejak enam tahun lalu dan hanya tinggal bersendirian di rumah urut itu yang disewa dari seorang penduduk tempatan.
SH

Dicekup memiliki heroin di dapur rumah

IPOH – Padah menanti seorang lelaki yang dicekup memiliki heroin ketika berada di bahagian dapur sebuah rumah teres di Taman Desa Aman, Lahat, di sini, kelmarin.

Tertuduh, Ahmad Azwan Abdul Aziz, 25, dari Kampung Changkat Larang, Lahat mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Ahmad Azwan didakwa memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 1.27 gram pada 8 Jun 2011 jam 3 petang.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Fauzi Md Yusof memohon mahkamah untuk menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar wang jaminan dan mahkamah menetapkan 7 Julai depansebagai sebutan semula kes bagi bagi mendengar keputusan laporan kimia.

Dalam kes yang sama, empat lelaki turut dihadapkan ke Mahkamah selepas didapat memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 2.55 gram pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Keempat-empat tertuduh Muhammad Nazrin Nazri, 24, Mohd Asri Mazlan, 22, serta pasangan adik beradik Balvindeer Singh A/L Sarjeet Singh, 34, dan Dalvinder Singh A/L Sarjeet Singh, 35.

Mereka berempat didakwa memiliki dadah jenis heroin dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi lima tahun dan sebatan kurang daripada sembilan kali.

Tiga daripada tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan kecuali Balvindeer Singh yang mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam dan 7 Julai ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
SH

Peniaga hampir terjatuh


SITIAWAN – Kejadian kecurian besi penutup longkang dan kelengkapan peralatan dapur di kedai, menyebabkan peniaga Lee Mee Chuan, 47, akhirnya menyuarakan masalah kecurian yang sering berlaku kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan.

Mee Chuan berkata, kesedaran itu berbangkit berikutan kehilangan besi penutup longkang yang disedari sekitar jam 3 pagi apabila isterinya, Ngo Hoon Hon, 46, hampir terjatuh ke dalam longkang di hadapan kedai makannya.

“Bukan isteri saya sahaja, malah ramai pelanggan yang hampir terjatuh ke dalam longkang kerana penutupnya dicuri dan sebagai langkah keselamatan sementara, saya terpaksa meletakkan kerusi di dalam longkang ini.

“Bukan hanya penutup longkang, bahkan bayak peralatan kedai lain hilang dan keadaan ini bukan hanya berlaku di kedai saya bahkan kebanyakan premis perniagaan dan pejabat di sekitar kawasan Sitiawan,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, semalam.

Katanya, kecurian mungkin berlaku sekitar jam 1 pagi dan dia berharap agar perkara itu akan mendapat perhatian pihak berkuasa kerana ia mampu membawa keadaan bahaya kepada orang ramai.

Sementara itu, Setiausaha Politik ADUN Sitiawan, merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP Perak, Yong Choo Kiong@Paul Yong berkata, masalah ekonomi dipercayai turut menjadi punca masalah kecurian semakin berleluasa di Sitiawan.

“Kenaikan harga barangan terutama barangan pembinaan menyebabkan kadar kecurian meningkat bukan hanya di Sitiawan, bahkan di Seri Manjung.

“Kerana itu kami berharap agar pihak berkuasa terutama polis dapat mengambil tindakan tegas dengan mempergiatkan rondaan di kawasan panas,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut menyedari kejadian sama berlaku di merata tempat sekitar daerah ini dan perlu dibanteras segera kerana melibatkan keselamatan orang ramai.

“Di sesetengah tempat, kesan kecurian ini adalah begitu serius sehingga mampu menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya termasuk ancaman kehilangan nyawa,” katanya.
SH

Sita barang pemilik degil


TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengambil langkah serius dengan menyita barang-barang boleh alih terhadap pemilik rumah yang mempunyai tunggakan cukai taksiran.

Seramai 15 anggota penguat kuasa MPT dan 10 anggota daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menjayakan operasi kali ini.

Penolong Penguatkuasa MPT, Roslee Ahmad Rafei berkata, operasi penyitaan itu telah bermula April lalu dan akan berterusan sehingga akhir tahun 2011.

Menurutnya, pemilik yang terlibat terdiri daripada mereka yang mempunyai tunggakan sekurang-kurangnya tiga tahun dan ke atas.

“Operasi dijalankan di Taman Aulong Maju dan Taman Panglima, sebuah rumah telah disita barang boleh alih, dua lagi pemilik membayar serta merta manakala satu lagi pemilik tiada di rumah.

“Jumlah keseluruhan bagi tunggakan keempat-empat rumah ini adalah lebih RM4000,” katanya.

Hadir sama, Penolong Pegawai Penilaian, Nora Mohamed Noor serta kakitangan MPTI.

Beliau berkata, sebelum ini, pihak MPT telah mengeluarkan surat tahan, selain surat peringatan dengan memberi tempoh seminggu untuk diselesaikan.

“Jika pemilik ingkar maka sitaan akan dilakukan, barangan yang disita itu mengikut nilai tunggakan mereka.

“Barangan ini boleh diambil semula setelah mereka menjelaskan tunggakan itu, jika tidak, ia akan dilelong selepas tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, semua pemilik harta diharap tidak melengah-lengahkan pembayaran cukai taksiran bagi mengelakkan daripada disita.

“Pihak MPT akan meneruskan operasi ke semua lebih 200 kawasan seliaan majlis di sekitar Taiping,” katanya.
SH

35 warga asing ditahan


GEORGETOWN -Jabatan Imigresen Pulau Pinang melancarkan tiga serbuan dalam Ops Penguatkuasaan kelmarin bagi membanteras kebanjiran warga asing selain mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang ketika berada di Malaysia.

Operasi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah, Abdul Rahman Hasan menyerbu sebuah medan selera di Jalan Tanjung Tokong kira-kira jam 9.30 malam yang menjadi tumpuan warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan sah bekerja sebagai pembantu gerai.

Abdul Rahman berkata, sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa, beberapa warga asing melarikan diri bagi mengelak dicekup namun usaha mereka ternyata sia-sia apabila kesemua ditahan selepas kawasan itu dikepung oleh penguat kuasa terlebih dahulu.

“Dalam Ops Selera yang kita lakukan, sembilan warga asing ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, terdiri daripada dua lelaki warga Vietnam, lima lelaki Myanmar dan dua wanita Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, dalam serbuan kedua di pusat hiburan di Lebuh Farquhar, mereka menahan 18 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Ketika serbuan, tiga GRO warga China cuba menyembunyikan diri dalam lubang rahsia di pusat hiburan itu namun gagal kerana berjaya dikesan ketika pemeriksaan menyeluruh dilakukan,” katanya.

Menurutnya, Ops Sayang yang dilakukan kira-kira jam 11 malam itu berjaya menahan 14 wanita warga China dan empat wanita Vietnam. Kesemuanya didapati melanggar pas lawatan sosial dan ada antaranya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Dalam serbuan ketiga membabitkan empat rumah di perumahan Medan Angsana, Bandar Baru Farlim, dua lelaki dan enam perempuan warga Indonesia ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
SH

Suami guna pisau serang bekas isteri


GEORGETOWN - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bagi dua pertuduhan secara berasingan kerana mencederakan bekas isterinya dan seorang lelaki, dua bulan lalu.

Muhammad Ridwan Abdullah, 37, dari Taman Jublee, Sungai Dua, di sini, menukar pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa tarikh sebutan kali kedua, di hadapan Majistret, Noor Aini Yusof.

Setelah pengakuan bersalah itu, Noor Aini memerintah Muhammad menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan bagi pertuduhan pertama dan hukuman penjara lima bulan bagi pertuduhan kedua, kemudian memerintah hukuman itu berjalan secara berasingan.

Beliau berkata, hukuman pertama berjalan dari tarikh Muhammad ditangkap, manakala hukuman kedua setelah selesai hukuman pertama.

Terdahulu, Muhammad dituduh dengan niat mendatangkan kecederaan atau kematian kepada Salhani Hamidon, 28, yang juga bekas isterinya dengan pisau, kira-kira jam 1.30 pagi, di Blok Mutiara Indah, Changkat Bukit Gambir Gelugor, 18 April lalu.

Pertuduhan kedua, dia sekali lagi dituduh bagi kesalahan mendatangkan kecederaan atau kematian kepada Shaik Daud Mohamed Ibrahim, 19, yang juga pekerja kepada Salhani dengan pisau, pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-kedua pertuduhan itu, Muhammad dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada itu.

Mengikut keterangan kes, Shaik Daud datang ke rumah Salhani yang juga majikannya bagi tujuan menghantar motosikal.

Ketika Shaik Daud hendak pulang, dia nampak Muhammad di kawasan blok berkenaan, kira-kira jam 9.30 malam, 17 April 2011.

Manakala, Salhani arahkan Shaik Daud ke dalam rumahnya kerana takut ternampak oleh bekas suaminya.

Kira-kira jam 1.30 pagi, dengan tiba-tiba tertuduh terus ke dalam rumah bekas isterinya bertindak memukul Shaik Daud.

Muhammad juga mengambil sebilah pisau di dapur rumah itu dan menyerang Shaik Daud dan bekas isterinya.

Tertuduh didapati memukul, menendang dan menikam Salhani dengan pisau sebelum keluar dari rumah itu.

Akibat serangan yang dilakukan oleh tertuduh, Shaik Daud dan Salhani mendapatkan kecederaan di bahagian kening dan tangan.

Pada 20 April lalu, kira-kira jam 6.10 petang, polis bertindak atas maklumat yang diterima daripada Salhani dengan menahan Muhammad di hadapan sebuah hotel di Jalan Burma.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.
SH

Nahas tiga kenderaan


SEREMBAN - Tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Senawang - Paroi berhampiran Pusat Dakwah Islamiah, Paroi dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dari arah Senawang dikatakan hilang kawalan di persimpangan berkenaan lalu terbabas.

MPV dipandu seorang lelaki berumur sekitar 40-an itu seterusnya merempuh sebuah kereta jenis Nissan Sunny yang berada di simpang lampu isyarat untuk membelok ke Jalan Senawang-Paroi.

Sebuah van milik Akademi Latihan Felda dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban cuba mengelak MPV terbabit, namun melanggar satu tiang lampu isyarat di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, semua pemandu tiga kenderaan berkenaan dan seorang penumpang van tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penumpang van, Mohd Fairus Abd Aziz, 29, berkata, dia dan pemandu dalam perjalanan dari Stadium Tuanku Abdul Rahman menuju ke Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini sebelum kemalangan berlaku.

“Kami baru tiba hari hari di Seremban untuk menyertai Sukan Felda Malaysia bersama warga Felda yang lain. Mujurlah, kami selamat walaupun agak terkejut dengan kemalangan ini,” katanya.
SH

Penyamun menyamar jadi pekerja kedai serbaneka


SEREMBAN - Seorang lelaki sempat menyamar sebagai pekerja sebuah kedai serbaneka semasa menyamun premis berkenaan di Era Walk dekat sini, kira-kira 6.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek berumur 38 tahun itu berbuat demikian selepas mengurung seorang pekerja lelaki dan seorang pekerja wanita, berumur antara 20 hingga 30 tahun di dalam stor.

“Lelaki terbabit terus memakai pakaian seragam kedai serbaneka berkenaan sebaik sahaja menyedari seorang pelanggan masuk ke dalam kedai untuk membeli rokok.

“Bagaimanapun, pelanggan berkenaan beredar dari kedai selepas suspek memberitahu urusan jual-beli tidak dapat dilakukan kerana masalah teknikal,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, lelaki rakyat tempatan itu seterusnya mengambil kunci motosikal milik salah seorang mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan itu.

Saiful Azly berkata, dia turut membawa sebuah komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan wang tunai milik dua pekerja terbabit dianggarkan berjumlah RM2,000.

“Polis bertindak pantas sebaik sahaja menerima laporan daripada seorang pekerja kedai serbaneka itu dan berjaya menahan suspek di sekitar kawasan Lobak, kira-kira jam 7 pagi.

“Siasatan kes dibuat di bawah Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan kerana disyaki menyamun,” katanya.
SH

Mangsa risau kereta meletup


REMBAU – Seorang mangsa kemalangan tidak dapat membendung perasaan cemas dan risau kenderaannya bakal meletup sebaik sahaja terlibat dalam kemalangan lima kenderaan di kilometer 234.2 (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) kira-kira 3.50 petang, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Siti Nadiatul Akma Saharudin, 22, bersama ibunya, Siti Norihan Kasim, 43, dan seorang lagi adiknya, Siti Nur Najwa Hishamudin, 7, dalam perjalanan dari Simpang Ampat, Alor Gajah ke Hulu Langat, Selangor.

Siti Nadiatul berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas sehinggakan dia yang ketika itu memandu di lorong tengah melihat dengan jelas sebuah lori di lorong paling perlahan gagal mengawal kenderaan, lalu melanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza.

Menurutnya, dia nampak kejadian berlaku tetapi tidak sempat mengelak kereta Toyota Avanza yang masuk ke laluan dan sebuah lagi kenderaan dari arah belakang turut merempuh keretanya.

“Malah, kami berasa amat takut dan cemas kemungkinan kereta ini akan meletup apabila pintu kereta kami tidak boleh dibuka.

“Mujurlah, terdapat orang awam yang membantu saya dan keluarga keluar dari kereta,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori yang dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Senawang dipercayai mengekori kereta jenis Toyota Avanza terlalu rapat.

Bagaimanapun, menurutnya, pemandu lori terbabit akhirnya gagal mengawal kenderaan dan merempuh belakang kenderaan Toyota Avanza berkenaan.

“Toyota Avanza kemudiannya masuk ke laluan tengah dan melanggar sisi sebelah kiri kereta jenis Perodua Viva yang mana dalam masa sama Perodua Viva dirempuh pula kereta jenis Honda di sebelah kiri belakang.

“Sebuah kereta lagi jenis Honda yang sedang bergerak terus merempuh bahagian kanan Toyota Avanza,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima pemandu kenderaan terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

“Penumpang Toyota Avanza yang cedera parah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu dan penumpang kenderaan lain hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. Punca sebenar kejadian masih dijalankan. Kes ini disiasat mengikut seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Empat kes dalam dua minggu


LIMBONGAN - Penduduk di Kampung Limbongan kini resah berikutan kejadian mencuri kabel telefon milik Telekom Malaysia (TM) semakin menjadi-jadi sehingga mereka sering berdepan masalah untuk membuat panggilan menerusi talian tetap daripada kediaman masing-masing.

Seorang penduduk, Azmir Othman, 37, berkata, dalam tempoh dua minggu sahaja terdapat empat kes kecurian kabel telefon berlaku di empat lokasi di kampung berkenaan dikatakan dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, sebagai penduduk, beliau berasa amat kesal terhadap kejadian itu kerana ia menjejaskan kemudahan orang ramai.

“Bayangkan jika penduduk terlibat berdepan masalah kecemasan dan terpaksa bergantung pada penggunaan talian tetap kediaman tetapi gagal berbuat demikian berikutan tiada talian.

“Saya difahamkan ada rumah penduduk yang terjejas dan tidak mempunyai talian telefon untuk beberapa hari akibat kejadian berkenaan,” katanya.

Azmir berkata, kecurian kabel pada tiang telefon dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan jenayah pada lewat malam.

Sementara itu, Penyelia Teknik TM Jalan Banda Kaba, Mohd Sehat Abd Salam berkata, akibat kecurian itu pihaknya menganggarkan kerugian yang dialami antara RM4,000 hingga RM5,000.

Menurutnya, antara kabel TM yang dicuri termasuk lokasi di Padang Teh membabitkan kabel sepanjang kira-kira 40 meter yang membekalkan kemudahan sebanyak 50 talian, Jalan Embi Pacik 30 meter (100 talian) dan Jalan Sekolah Limbongan 80 meter (200 talian).

Katanya, turut terlibat adalah di Jalan Teck Chye membabitkan dua kabel sepanjang 142 meter keseluruhannya (150 talian).

“Selepas kejadian pertama pada 26 Mei lalu pihak kami ada membuat rondaan pada waktu malam dan akan melakukan pemantauan di lokasi yang kerap berlaku kecurian.

“Di semua lokasi terjejas, kami dapati kawat pembawa kabel ditinggalkan begitu sahaja manakala kabel berkenaan dipercayai dipotong sebahagiannya selepas mereka menyiat penyalutnya daripada bahagian tiang,” katanya.

Mohd Sehat berkata, sehubungan itu, pihak Telekom terpaksa menggunakan khidmat syarikat kontraktor untuk menggantikan kabel yang terputus dengan kabel baru.

Dalam pada itu, katanya, kes berkenaan kali pertama berlaku di kampung terbabit dan ia secara tidak langsung menunjukkan kegiatan itu adalah satu cara baru dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri tembaga yang ada dalam kabel telefon.

“Bagi memastikan kejadian ini tidak berulang, kami memohon kerjasama semua penduduk khususnya di Kampung Limbongan supaya dapat memaklumkan kepada pihak TM sekiranya mereka ternampak kejadian seperti itu pada masa akan datang,” katanya.
SH

Disamun selepas sidai pakaian


ALOR GAJAH – Seorang suri rumah di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, dekat sini melalui detik mencemaskan apabila rumahnya dimasuki dua perompak, minggu lalu.

Tidak cukup dengan itu, perompak terbabit juga mengugut untuk membunuh seorang daripada anaknya.

Dalam kejadian kira-kira 1.50 petang 1 Jun lalu, T.Malar, 28, sedang menyidai pakaian di belakang rumah dan masuk ke rumah beberapa minit selepas itu.

“Sebaik saya dan anak perempuan berusia 10 tahun masuk ke rumah, saya sedari kedua-dua perompak itu sudah berada dalam rumah saya. Manakala, anak bongsu saya berusia setahun sedang tidur dalam bilik.

“Kemudian mereka menutup pintu belakang dan mengarahkan saya membuka rantai kahwin saya, gelang tangan dan sepasang subang yang dipakai. Perompak itu turut bertindak ganas dengan mengacu parang di leher anak saya,” katanya.

Menurutnya, penjenayah terbabit juga mengarahkannya menunjukkan kedudukan bilik utama serta merampas telefon bimbit.

Dia yang berada dalam ketakutan turut menangis merayu perompak berkenaan tidak mengapa-apakan anaknya dan membenarkan perompak itu mengambil apa saja yang dimahukan, asalkan tidak mencederakan anak perempuannya itu.

Dalam kejadian itu, katanya, perompak terbabit mengambil wang syiling yang disimpan dalam tabung, wang kertas berjumlah RM1,000 yang diletakkan dalam satu bekas.

“Selepas mereka mengambil kesemua wang yang ada perompak itu mengambil sebuah beg yang menyimpan pelbagai katalog jualan langsung dan memasukkan kesemua wang itu ke dalam beg, sebelum menggeledah bilik dalam rumah itu.

“Perompak itu berjaya menemui sejumlah RM1,500 lagi wang simpanan yang diletakkan di celah pakaian dalam sebuah rak,” katanya.

“Selepas perompak itu dapat kesemua dimahukan, mereka mengikat saya di sebuah kerusi meja makan dengan tangan kanan saya diikat ke belakang menggunakan tali pita dan mulut saya juga ditutup dan dibalut menggunakan tali pita yang sama.

“Sementara tangan kiri saya mendukung anak lelaki. Anak perempuan saya sudah dilepaskan dan berada di pangku saya sebelum perompak itu melarikan diri mengikut pintu belakang rumah,” katanya.

Malar bagaimanapun berjaya melepaskan ikatan tangan kanan dan berlari ke rumah jiran meminta bantuan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Supritendan Abd Rahman Jid mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 395 Kanun keseksaan menyamun menggunakan senjata.
SH

Derita angkara tahi judi

KUALA LUMPUR – Seorang wanita terpaksa menanggung beban diganggu pengutip hutang, ah long akibat tabiat tahi judi bapa saudaranya yang gagal membayar hutang kira-kira RM700,000.

Kerani yang dikenali sebagai Tan berusia 25 tahun itu mendakwa, dia dan keluarganya diganggu sejak Disember 2009 bukan sahaja di rumah malah hingga ke kedai peralatan logam milik ayahnya.

Tan berkata, dia percaya bapa saudaranya yang melarikan diri itu menggunakan alamat kedai dan rumahnya termasuk memberi nombor telefon bimbitnya kepada ah long.

Menurutnya, bapa saudaranya sebelum ini pernah meminjam sebanyak RM1.1 juta tetapi sudah dibayar.

“Bapa saudara guna helah konon bapa saya penjamin dan mendakwa sebagai rakan kongsi perniaagan kedai kami,” katanya pada sidang media di Wisma MCA semalam.

Menceritakan mengenai perbuatan ah long itu Tan berkata, pada 17 April lalu mereka bertindak mengunci kediaman keluarganya dan lebih menakutkan setelah mereka melakukan ugutan.

Katanya, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras, Kajang 13 April lalu kerana bimbang keselamatan masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima aduan sejumlah 166 kes sepanjang tahun ini sehingga kelmarin melibatkan nilai sebanyak RM10.4 juta.
SH

Dua beradik nyaris dirogol

KUALA LUMPUR – Dua beradik berusia 12 dan 15 tahun yang diamanahkan menjaga rumah selepas ditinggal keluarganya yang pulang ke kampung sempena cuti persekolahan nyaris menjadi mangsa rogol seorang remaja.

Dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang Utara malam Selasa lalu, suspek berusia 18 tahun mengambil kesempatan masuk ke dalam rumah selepas mengetahui mangsa berusia 12 tahun tinggal keseorangan.

Menurut sumber, suspek yang tinggal di blok bersebelahan mengambil peluang itu selepas ternampak kakaknya keluar dari rumah.

Katanya, suspek masuk ke dalam bilik dan terus menekup mulut mangsa dan mengarahkannya menanggalkan pakaian serta baring di atas katil.

“Dia yang ketakutan hanya mengikut, namun selepas kira-kira lima minit menanggung seksa, kakaknya tiba-tiba pulang.

“Tersentak dengan kehadiran kakak mangsa, suspek yang sudah tidak berseluar bertindak menariknya ke dalam bilik dan mengugut agar tidak membuat bising serta memintanya menanggalkan pakaian. Keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan suspek bertindak agresif dan terjadi pergelutan.

Kata sumber itu lagi, mangsa bernasib baik apabila jeritannya meminta tolong didengari seorang wanita berusia 40 tahun.

Menyedari perbuatan jahatnya disedari penduduk, suspek lari menyelamatkan diri.

Penduduk kemudiannya membawa dua beradik itu untuk membuat laporan di Balai Polis Jinjang sebelum mereka diarah menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.

Sementara itu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
SH

Penghuni panik bumbung terbang


CHERAS – “Saya meraung ketika mendengar bunyi kuat di atas siling rumah kerana terlalu panik,” kata seorang penghuni blok 15 Perumahan Awam Seri Johor, Zaharah Shahul Hamid, 44, yang rumahnya dimasuki air setelah bumbung flat tercabut akibat ribut kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia seorang diri di rumah dan terkejut dengan bunyi kuat, namun tidak terfikir bumbung rumahnya di tingkat paling atas dibawa ribut.

“Tidak lama selepas itu, air mula masuk ke dalam rumah. Saya lihat di bahagian dapur, sebahagian siling juga sudah terlopong.

“Untuk selamatkan diri, saya bertindak keluar dan meredah hujan menuju ke pejabat Dewan Ban�daraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Difahamkan, kerugian dialami Zaharah adalah kira-kira RM6,000.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang turut terjejas, Hee Gian Boon, 21, berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga berada di rumah.

“Bila air sudah masuk dalam rumah, kami sekeluarga kelam kabut membersihkan air yang bertakung. Sebelum ini pernah juga berlaku kebocoran, tetapi tidaklah seteruk ini sehingga bumbung tercabut,” katanya.

Katanya, barangan elektrik seperti televisyen dan peti sejuk antara yang rosak akibat kejadian. Kerugian dialami dianggarkan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000.

Dalam pada itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan yang turun padang petang kelmarin berharap DBKL membuat pemeriksaan ke atas blok lain bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Kebanyakan blok di kawasan ini sudah lama dibina, dan memerlukan penyelenggaraan, namun saya berterima kasih kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Sukiman Surahman yang turut sama turun padang bersama MCA dan mengambil tindakan segera membantu kedua-dua keluarga ini,” katanya.

Dua keluarga yang terjejas kini ditempatkan di Dewan UMNO Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Sukiman ketika ditemui berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan pembaikan segera dalam tempoh seminggu supaya keadaan kembali pulih seperti sediakala.
SH

Parah dibelasah geng samseng

SELAYANG – Seorang lelaki nyaris maut dibelasah sekumpulan dipercayai geng amseng ejen hartanah tidak berlesen dalam kejadian sekitar kawasan komersil di The Strand, Kota Damansara di sini.

Pengerusi Biro Aduan MCA Bahagian Selayang, Johnson Ooi Chin Hong berkata, kejadian berlaku malam kelmarin dipercayai berpunca apabila samseng berkenaan berang selepas pelekat dan kain rentang ‘ejen haram’nya ditanggalkan.

“Mangsa, hanya mahu dikenali sebagai Foo, 30, tinggal di Selayang Jaya dan bekerja sebagai ejen hartanah berlesen bersama isterinya sejak lima tahun lalu sekitar Kota Damansara.

“Sebelum kejadian, individu daripada kumpulan terbabit menghubungi Foo dan memaklumkan hendak berjumpanya bagi membincangkan mengenai kain rentang ditanggalkan di sebuah premis yang sudah dijual oleh Foo,” katanya.

Chin Hong berkata demikian semasa melawat Foo di Hospital Selayang semalam dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Kota Damansara.

Menceritakan detik kejadian melalui makluman isteri mangsa, Chin Hong berkata, semasa bertemu kumpulan terbabit sekitar jam 11 malam, sekumpulan 10 ke-15 lelaki berbangsa Cina datang kepada Foo.

“Tanpa perbincangan lanjut, Foo terus dibelasah di bahagian kepala, tangan, kaki dan badan sehingga pengsan. Dia mengalami cedera parah di kepala dan patah tangan.

“Manakala seorang lagi rakannya menemaninya ketika itu turut dibelasah di belakang badan, namun sempat melarikan diri. Mujur ketika itu isterinya yang tidak senang hati telah ke tempat kejadian dan mendapati suaminya terbaring di jalan raya,” katanya.

Menurut Chin Hong, susulan kejadian itu, pihaknya berharap polis memantau lokasi kejadian dan mengambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab memandangkan mangsa yang sempat mencatat nombor plat kereta kumpulan terbabit.

Sementara itu, isteri Foo yang enggan dikenali berkata, hanya terdapat dua ke tiga ejen hartanah bertauliah di kawasan komersil terbabit, manakala sebahagian besarnya tidak berlesen.

“Kita harap ejen tidak berlesen dapat dipantau, supaya samseng itu tidak mudah melakukan jenayah sebegini kepada orang lain,” katanya.
SH

Keliru jumlah saman ekor

KUANTAN - Akibat keliru dengan jumlah kompaun saman ekor yang perlu dibayar, seorang juruukur nekad bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 3 petang di sini, semalam.

Pengadu, Teoh Boon Siong, 44, dari Taman Pandan Damai di sini berkata, dia tidak berpuas hati dengan jumlah yang perlu dibayar berbanding tawaran diskaun sebanyak 50 peratus yang diterima sebelum tarikh akhir bayaran pada 8 Jun (Rabu).

Menurutnya, dia mendapat notis daripada Ibu Pejabat Polis Trafik Cawangan Bukit Aman dua minggu lalu berikutan kesalahan yang dilakukan pada 8 April lalu.

“Saya datang ke kaunter trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini Selasa lalu kira-kira jam 2.30 petang untuk menjelaskan bayaran.

“Namun sebaliknya apabila tertera di komputer, saya perlu membayar RM200 dan bukan RM150,” dakwanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Dia berkata, ketika mahu mendapatkan penjelasan berkenaan notis kompaun itu, jawapan yang diterimanya kurang memuaskan selain sikap kurang mesra kakitangan terbabit.

Menurutnya, dia kemudiannya ke Balai Polis Trafik IPD Kuantan tetapi jawapannya tetap sama dan kakitangan polis yang bertugas memberikan nombor telefon seorang pegawai di Bukit Aman untuk mendapatkan jawapan.

“Untuk mengelakkan jumlah bayaran lebih tinggi, saya terpaksa menjelaskan kompaun yang perlu dibayar iaitu RM200 dan bukan RM150.

“Saya berharap tindakan saya membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan dan jawapan sebenar dan sebagai rakyat, nyatakan jumlah sebenar dan bukan timbulkan kekeliruan sebegini,” katanya.

Sementara itu Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang dan Norbaini Abu Bakar yang menemani Boon Siong ke IPD turut berharap agar pihak berkaitan menyiasat kejadian itu dan bertindak segera untuk keadilan rakyat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata ketika dihubungi Sinar Harian menyatakan tidak dapat memberikan sebarang ulasan selagi tidak melihat laporan terbabit dan mendengar daripada mereka yang terlibat dalam kejadian itu.
SH

Penganggur dikhuatiri lemas


TEMERLOH – Seorang penganggur dikhuatiri lemas selepas dipercayai tenggelam di Sungai Pahang dekat Taman Esplanade Temerloh di sini kira-kira jam 5.45 pagi, semalam.

Mangsa, Muhammad Firdaus Hamzah, 28, yang baru pulang dari melawat ibunya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), dipercayai turun ke dalam sungai selepas mendengar panggilan ghaib.

Mangsa yang mengalami tekanan perasaan sebelum kejadian, dipercayai memandu kereta Perodua Myvi seorang diri dari HoSHAS hingga ke tebing Sungai Pahang.

Abang ipar mangsa, Armadi Muda, 33, berkata, sebelum kejadian itu, mangsa melawat ibunya yang mengalami patah tulang belakang akibat kemalangan pada 31 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa sebelum ini mengalami gangguan mental hingga menyebabkan dia kerap diganggu suara-suara halus.

“Saya percaya dia mungkin mendengar suara halus yang memanggilnya hingga menyebabkan dia terjun ke dalam sungai,” katanya.

Armadi berkata, dua saksi yang kebetulan berada berhampiran kawasan kejadian menceritakan sendiri kepadanya bahawa mangsa turun seorang diri ke dalam sungai sebelum tenggelam beberapa minit selepas itu.

“Dia (Muhammad Firdaus) meminta tolong namun dua saksi itu tidak sempat berbuat apa-apa berikutan air sungai dalam dan deras,” katanya.

Armadi berkata, dia dan keluarga sudah tiga kali membawa mangsa berubat secara tradisional dan berhasrat mencuba perubatan moden beberapa hari lalu, namun tertangguh selepas ibu mereka kemalangan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor mengesahkan kejadian itu dan menyatakan operasi mencari serta menyelamat membabitkan pelbagai pihak iaitu polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung sudah dimulakan seawal jam 8 pagi, namun sehingga jam 7 malam, mangsa masih belum ditemui.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan semula jam 8 pagi hari ini.

Menurutnya, siasatan juga masih dijalankan berikutan polis belum mengenal pasti punca mangsa turun ke dalam sungai itu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed.
SH

Berdepan hukuman mati


KUALA TERENGGANU - Tiga sahabat bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis heroin pada 29 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Mikey Hidayatullah Junus, 28, dari Jalan Kubur, Kampung Sungai Buaya, Dungun, Ahmad Zawawi Badaruddin, 37, dari Jalan Bunga Raya, Lorong Batu 48, Dungun dan Syed Mohd Hafizie Syed Zahari, 25, dari kampung Sura Gate, Dungun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Masriwani Mahmud di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama pada 29 Mei lalu, jam lebih kurang 6.30 petang di tepi jalan kawasan rumah murah kos rendah Nibong Stesen, Dungun telah mengedar Heroin dengan berat kasar 43 gram, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

Selain itu, ketiga-tiga sahabat itu turut berhadapan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan itu, pada waktu dan lokasi yang sama, mereka didapati telah ada dalam kawalan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.8 gram.

Ketiga-tiga tertuduh itu sebelum ini telah ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta dalam keadaan yang mencurigakan di tepi jalan kawasan rumah murah kos rendah Nibong Stesen, Dungun.

Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menjumpai satu kotak plastik warna hijau muda yang dililit dengan ‘bainding tape’ warna hijau tua yang terletak di dalam ‘dash board’ bahagian hadapan sebelah penumpang hadapan kereta tersebut.

Pemeriksaan selanjutnya di dalam kotak plastik itu telah menjumpai lapan tiub straw pendek warna kuning yang setiap satu di dalamnya mengandungi sebiji pil warna kemerahan bercetak WY disyaki dadah.

Selain itu, polis turut menjumpai satu beg plastik berwarna kuning yang terletak di tempat alas kaki bahagian belakang sebelah kiri kereta tersebut dan di dalam plastik itu terdapat dua biji kelapa yang dikupas kulit dan salah sebiji kelapa itu, didapati terdapat satu lubang yang telah ditebuk dan disumbat dengan cebisan kertas surat khabar bertarikh 21 Februari 2011.

Setelah dilihat melalui lubang tersebut, terdapat plastik cerah dan disebabkan keadaan buah kelapa itu mencurigakan, polis membelah buah kelapa yang ditebuk lubang itu dan mendapati ia mengandungi 15 botol plastik cerah bertudung kuning yang setiap satunya mengandungi serbuk putih disyaki dadah.

Hasil ujian air kencing juga turut mendapati ketiga-tiga tertuduh positif Methamphetamine.

Majistret menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
SH

Buruh maut dirempuh treler

PONDOK LIMAU – Hasrat seorang buruh warga Indonesia untuk pulang ke rumah selepas mengerah keringat di ladang sawit berakhir tragedi apabila dia terbunuh dalam satu nahas membabitkan motosikal dengan sebuah treler, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang di Kilometer 108 Jalan Jerangau-Jabor berdekatan kuari Pondok Limau itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah treler yang memotong sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Abdullah, 40, difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pergam, Hulu Jabur selepas selesai melakukan kerja di Ladang Felda Kerteh.

Akibat kemalangan terbabit, bahagian hadapan treler yang dipandu Sukarno Abdul Rahman, 38, dari Bukit Diman serta motosikal bersama mangsa yang terperosok bawah treler berkenaan terbakar.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Treler yang turut merintangi jalan itu kemudiannya dirempuh pula sebuah treler lain menyebabkan pemandunya, V Gunalan dari Puchong, Selangor cedera pada bahagian muka.

Sebuah jentera bersama sepasukan anggota dari Balai Bomba Al-Muktafi Billah Shah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk disahkan punca kematian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes masih dalam siasatan pihaknya.
SH

Ular sawa lima meter tewas


TUMPAT - Seekor ular sawa sepanjang lima meter dan seberat 25 kilogram, berjaya ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tumpat, apabila menceroboh reban ayam penduduk di kampung Kok Keli, kelmarin.

Pegawai Unit Daerah Tumpat, Mohd Fuad Ismail berkata, anggota JPAM ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan daripada seorang penduduk, Mat Jaafar Saud, 56, kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, situasi agak tegang apabila ular sawa itu hampir menelan ayam tersebut, tetapi akhirnya ia tewas hasil tindakan pantas anggota JPAM ini menangkapnya walaupun ia berusaha memboloskan diri dari reban tersebut.

“Operasi ini diketuai oleh Nik Aziz Nik Abdullah bersama tiga anggota, hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular tersebut yang agak agresif,” katanya.

Menurutnya, operasi ini berjalan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan ular ini akan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai yang ingin meminta bantuan JPAM boleh menghubungi di talian 09-7254215,” katanya.
SH

Gajah mengganggu lagi

MACHANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), akan menempatkan kakitangannya di sekitar Kampung Limau Nipis dekat sini, bagi mengenal pasti lokasi gajah dan juga sebagai kemudahan orang ramai membuat aduan berkaitan haiwan liar itu.

Pengarahnya, Rahmat Topani berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai, mengenai gangguan gajah di beberapa buah kampung di Mukim Baka dan Cherang Hangus sejak dua minggu yang lalu.

Katanya, haiwan tersebut dipercayai dalam satu kumpulan empat hingga lima ekor, manakala seekor gajah jantan yang lain berkeliaran sendirian.

Rahmat berkata, operasi menangkap akan dilaksanakan secepat mungkin apabila lokasi dikenal pasti bagi membantu menyelamatkan tanaman penduduk kampung yang dimusnahkannya.

“Kemungkinan ia adalah kumpulan yang sama dengan gajah yang ditangkap pertengahan bulan lalu. “Haiwan tersebut berkeliaran di beberapa buah kampung di sekitar Bukit Baka, Cherang Hangus dan Pak Pucuk, Ulu Sat.

“Apabila kakitangan yang ditempatkan di sini mengenal pasti lokasinya, operasi menangkap akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Penduduk dinasihatkan agar bertenang. Haiwan ini tidak akan menyerang jika tidak diganggu dan diancam lagipun buat masa sekarang, ia tidak keluar ke kawasan kampung dan hanya melibatkan kebun-kebun tanaman penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas melawat lokasi tanaman yang dimusnahkan haiwan liar itu di Kampung Limau Nipis di sini, semalam.

Rahmat berkata, haiwan tersebut dipercayai keluar ke kawasan berdekatan kampung-kampung, apabila terdapat aktiviti pembalakan yang dijalankan di habitat mereka di Hutan Simpan Bukit Baka, dekat sini.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohamad Jaafar, 69, berkata, kebun pihak dan nanasnya habis dimusnahkan haiwan tersebut sejak lima hari yang lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak melibatkan kemusnahan yang teruk memandangkan kebun tersebut hanya menjadi laluan haiwan liar itu.

Mohamad berkata, pihaknya gembira dan mengalu-alukan tindakan segera daripada Jabatan Perhilitan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Apabila dengar sahaja gajah, kami semua merasa seram sejuk. Namun dengan adanya kakitangan Perhilitan di sini, kami merasa lebih selamat dan berterima kasih di atas tindakan segera mereka,” katanya.
SH

Pemandu treler maut Kelindan turut parah setelah treler terbabas dan terbalik

JELI- Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya parah apabila treler yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 118 Jalan Kota Bharu- Machang- Gerik Lebuh raya Timur Barat, jam 5 pagi semalam.

Zainon Samsu, 57, berasal dari Alor Setar, Kedah maut di tempat kejadian manakala kelindannya Shamirunnizal Md Naayan, 31, dari Kangar, Perlis dihantar ke Hospital Jeli untuk menerima rawatan lanjut.

Treler dengan muatan siling dapur yang dinaiki mereka itu dalam perjalanan dari Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, setelah treler terbalik, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba.

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Jeli bagi siasatan lanjut manakala kelindannya juga dirawat di hospital yang sama dan kes masih disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemandu kenderaan berat perlu berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan yang berbukit serta mempunyai selingkuh tajam bagi mengelakkan kemalangan.

Sementara itu dalam operasi menyelamat mangsa tersepit, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jeli, Che Engku Chik berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa tersebut.

“Pihak bomba sampai di tempat kejadian kira-kira 5.30 pagi namun keadaan treler yang terbalik dan separuh badannya masuk ke dalam longkang, menyukarkan kami melakukan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa dari treler itu.

“Pihak kami menggunakan sokongan kren untuk mengangkat badan treler bagi memudahkan kerja memotong bumbung treler tempat mangsa tersepit,” katanya.

Menurutnya, dengan tiga jentera bomba termasuk Hilux bersama sembilan anggota bomba dan enam bomba sukarela melancarkan lagi operasi menyelamat mangsa tersepit.

“Nasib baik kelindan yang tersepit kaki pada pintu treler sedar diri dan mampu bernafas. Ketika dikeluarkan, dia mengalami kecederaan parah dari paras pinggang ke bawah dan ketika kejadian, dia dipercayai sedang tidur,” katanya.
SH

Memakai tatu dilaknat Allah




Sebilangan besar remaja sekarang gemar mencacah tatu di badan mereka. Bagi mereka, tatu adalah trend terkini dan sesiapa yang memakainya berasa bangga bila kalangan rakan-rakan memuji kecantikan tatu terutama yang berlambang haiwan atau ukiran tatu mewakili kumpulan tertentu.

Dalam konteks ini, sama ada tatu yang dicacah itu cantik atau tidak, orang Islam tidak boleh memakai kerana hukumnya adalah haram. Tidak kiralah tatu itu olok-olok atau tiruan, hukumnya tetap sama. Si pentatu dan orang yang meminta dirinya ditatu pasti akan dilaknat Allah.

Abdullah bin Umar r.a berkata: aku telah mendengar Rasulullah telah bersabda, " Sesungguhnya Allah melaknat si pentatu dan orang meminta dirinya ditatukan.” (Riwayat Bukhari, kitab: al-Libas, Bab: al-Mausulah, no: 5942.)

Dalam erti kata lain, pemakaian tatu dilihat menyerupai amalan orang-orang Barat yang tidak menggambarkan kebudayaan sihat.

Rasulullah SAW pernah bersabda, "Barang siapa menyerupai sesuatu kaum maka dia akan dikira daripada kaum tersebut.”

Ustaz Ahmad Fauzan Yahaya dari Universiti Madinah Antarabangsa berkata, memakai tatu bukan budaya orang Melayu dan Islam. Ia diimport daripada budaya jahiliah dan orang tidak bertamadun.

Menurutnya, terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang melarang kita melakukannya. Malah Allah menyebut dalam al-Quran agar tidak mengubah ciptaan Allah sebagaimana termaktub dalam surah al-Nisa:

"Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barang siapa menjadikan syaitan pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (An-Nisa`: 119).

"Dalam soal pemakaian tatu ini, saya ingin berkongsi perihal seorang bekas mufti Saudi yang terkenal, Syeikh Abdul Aziz Baz yang ditanya oleh seorang individu tentang hukum bertatu sewaktu dia jahil akan hukum tatu; misalnya tatu diukir oleh ibu bapa atau ketika dia masih lagi bukan Islam.

"Lalu dijawab Syeikh kepada individu terbabit supaya berusaha menghilangkannya tetapi jika terdapat kesulitan dan membawa mudarat yang besar untuk menghilangkannya, memadai dengan bertaubat dan memohon ampun," kata Ustaz Ahmad Fauzan.

Beliau berkata, tokoh agama, Syeikh Saleh Fauzan turut ditanya tentang hukum membuat tatu di wajah dan di tangan yang kadang-kadang dilihat menjadi adat dan kebiasaan dalam sesebuah masyarakat.

Lalu, tokoh agama itu memberitahu, tatu adalah haram dan merupakan salah satu dosa besar kerana Rasulullah melaknat Al-Wasyimah (yang mentatu) dan Al-Mustausyimah (yang minta orang lain untuk mentatukan tubuhnya). Semuanya terlaknat melalui lisan Rasulullah. Dengan demikian, tatu itu haram dalam Islam dan merupakan salah satu dosa besar.

Imam Nawawi turut mengatakan: "... Kalau mungkin dihilangkan dengan pengubatan maka wajib dihilangkan. Jika tidak memungkinkan kecuali dengan melukainya di mana dengan itu khawatir berisiko kehilangan anggota badannya, atau kehilangan manfaat dari anggota badan itu, atau sesuatu yang parah terjadi pada anggota badan yang ada tatu itu, maka tidak wajib menghilangkannya. Dan jikalau bertaubat ia tidak berdosa. Tapi kalau ia tidak mempunyai masalah untuk menghilangkannya, maka ia harus menghilangkannya. Dan ia dianggap bermaksiat dengan menundanya. Sama saja dalam hal ini semua, baik lelaki mahupun wanita.” (Syarh Shahih Muslim, 14/332. Dinukil pula ucapan ini dan disetujui dalam kitab ‘Aunul Ma’bud, 11/225, dan Nailul Authar, 6/228).
SH

Tiada lagi nuklear




TOKYO - Semua 54 reaktor nuklear di Jepun mungkin ditutup menjelang April depan jika penduduk negara itu menentang rancangan operasi loji kerana bimbang keselamatan mereka, menurut kerajaan, kelmarin.

Jika tindakan itu diambil, Jepun memerlukan AS$30 bilion (RM90 bilion) setahun untuk mendapatkan sumber tenaga lain di negara itu.

Sejak gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu mencetuskan krisis nuklear di loji Fukushima Daiichi, beberapa pihak berkuasa tempatan mengarahkan pengendali loji supaya tidak menghidupkan semula reaktor nuklear yang ditutup bagi pemeriksaan rutin.

Beberapa reaktor lain juga ditutup bagi pemantauan, menyebabkan keupayaan penghasilan tenaga nuklear di negara itu merudum kepada hanya 36 peratus daripada yang sepatutnya.

Tenaga nuklear membekalkan kira-kira 30 peratus daripada keperluan elektrik di Jepun sebelum empat loji nuklear termasuk Fukushima Daiichi ditutup selepas bencana buruk itu.
SH

RM500 melayang gara-gara rokok

KLANG – Papan tanda larangan merokok sudah terpapar, tetapi seorang lelaki tetap degil dan merokok dalam kawasan hospital.

Akibatnya, hanya kerana sebatang rokok seorang pekerja swasta terpaksa membayar denda RM500 diperintahkan Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mazlan Khairi Abd Halim, 27, mengaku salah merokok di kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini, kira-kira jam 12.45 tengah hari, 12 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Kementerian Kesihatan Malaysia, mengikut Peraturan 11 (3) Peraturan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Mengikut peraturan terbabit, seseorang boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Hukuman dijatuhkan Majistret, Ho Kwong Chin.SH

Tiga Warga China Diculik Pemberontak Colombia


BOGOTA: Tiga warga China yang bertugas dengan syarikat minyak British, Emerald Energy telah dijadikan tebusan di Selatan Colombia, kata para pegawai pada Khamis.
Mereka mendakwa gerila FARC terlibat dalam penculikan itu.
mStar Online : Tiga Warga China Diculik Pemberontak Colombia

Gerila Maoist Bunuh 5 Anggota Polis Dalam Serang Hendap


RAIPUR (India): Gerila Maoist telah menembak mati lima anggota polis dalam satu pertempuran yang berlaku awal pagi tadi di Negeri Chhattisgarh, kata jurucakap polis.
Gerila Maoist telah menyerang sebuah kem polis yang baru dibina di dalam kawasan hutan di daerah Narayanpur. Kem itu dibina untuk menentang kebangkitan puak ektremis.
"Sekumpulan gerila bersenjatakan senapang telah melancarkan serangan ke atas Kem Polis Jharaghati," kata Ketua Polis Narayanpur, Mayank Srivastava kepada agensi berita AFP.
Gerakan gerila Maoist yang bermula pada tahun 1967 di India sangat kuat dan berpengaruh di kawasan pedalaman.
Perdana Menteri, Manmohan Singh melihat ancaman puak Maoist sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara dan meminta kerajaan negeri yang mempunyai pengaruh Maoist yang kuat agar segera memperkenalkan langkah-langkah mengatasi masalah tersebut.
Seramai 171 gerila berhaluan kiri itu dibunuh sepanjang tahun lalu termasuk 285 anggota polis yang terkorban bertempur dengan mereka.
mStar Online : Gerila Maoist Bunuh 5 Anggota Polis Dalam Serang Hendap

Perogol Akhirnya Dihukum Penjara 25 Tahun & 15 Kali Sebatan


Sures dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pada Khamis.


KLANG: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya mabuk ketika merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dalam tandas sebuah sekolah dekat Sekinchan akhirnya dihukum 25 tahun penjara dengan 15 kali sebatan.
Sures Muniandy, 27 mengaku bersalah ke atas jenayah tersebut ketika dihadapkan di Mahkamah Seksyen di sini, Khamis.
Hakim Datuk Anita Harun mengarahkan hukuman penjara dijalankan bermula daripada tarikh tertuduh mula ditahan kerana mempunyai dua kesalahan jenayah sebelum ini.
Pemungut besi buruk itu didakwa melakukan jenayah di SRJK (C) Yoke Kuan, Sekinchan dekat Sabak Bernam lebih kurang pukul 9 malam pada 4 Jun.
Dia dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 376(2) (e) Akta Jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nizi Shazril Ithnin pada awalnya meminta hukuman lebih berat dikenakan kerana mangsa hanya berumur lapan tahun dan mengalami kecederaan.
Sures yang tidak diwakili peguam menangis apabila mendengar hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.
Pada hari kejadian, mangsa menghadiri satu majlis perkahwinan di sekolah itu dan dirogol apabila dia pergi ke tandas seorang diri.
Abang ipar dan kakak kanak-kanak itu menunggunya di kantin tidak jauh dari tandas.
Tertuduh mengunci pintu daripada dalam dan merogol mangsa dan kemudian melarikan diri.
Abang ipar mangsa dengan bantuan orang awam menangkap tertuduh yang dijumpai di sebuah longkang 100 meter dari tempat kejadian.
mStar Online : Perogol Akhirnya Dihukum Penjara 25 Tahun & 15 Kali Sebatan

43 Pelatih Puspen Lari Dalam Rusuhan - Polis


MUAR: Polis mengesahkan 43 daripada 377 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir dekat Ledang melarikan diri semasa rusuhan di pusat itu pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Salleh Abdul Razak berkata pihaknya bersama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Agensi Dadah Kebangsaan kini berusaha menjejaki mereka yang meloloskan diri.
"Kami juga masih menyiasat punca sebenar rusuhan tersebut," katanya ketika dihubungiBERNAMA.
Dalam kejadian yang dipercayai bermula kira-kira 8.40 malam itu, sekumpulan pelatih bertindak merusuh dan membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat tersebut.
Mereka juga bertindak memecahkan cermin tujuh buah kereta kepunyaan pegawai dan petugas pusat itu.
Ini adalah kejadian rusuhan kedua pernah berlaku di pusat tersebut selepas kejadian pertama pada 1999.
mStar Online : 43 Pelatih Puspen Lari Dalam Rusuhan - Polis

Interpol diminta bantu jejak suspek rasuah

JAKARTA: Polis kebangsaan Indonesia merancang menyerahkan satu laporan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) mengenai suspek rasuah pelarian, Nunun Nurbaeti, kepada Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

Jurucakap polis, Pesuruhjaya Besar Boy Rafli Amar, semalam dipetik oleh laporan versi dalam talian akhbar Jakarta Globe sebagai berkata bahawa laporan oleh KPK itu akan dikirimkan untuk memberitahu 188 negara anggota Interpol mengenai status Nunun sebagai seorang suspek yang dikehendaki, dan berharap dapat membantu memastikan di mana dia berada.'KPK telah menghantar notis merah kepada polis kebangsaan semalam (kelmarin), di mana akan diserahkan dalam sehari atau dua ini kepada ibu pejabat Interpol di Lyon, Perancis,' kata Encik Amar.Dengan negara anggota Interpol diberitahu, Encik Amar berkata Nunun seharusnya dapat dikesan.'Jika mana-mana negara anggota Interpol menerima maklumat mengenai Nunun, maka kami, sebagai negara yang mencetuskan usaha mencari itu, akan secara aktif dikemaskini,' kata beliau.Inspektor Jeneral Anton Bahrul Alam, seorang lagi jurucakap bagi polis kebangsaan Indonesia, berkata laporan tersebut akan dihantar atas permintaan KPK.Pegawai imigrasi kanan, Encik Muhammad Indra, berkata sejak pasport Nunun dibatalkan, ia seharusnya lebih mudah untuk mengesannya yang tidak akan dapat melarikan diri dari negara ke negara tanpa pasport.'Kementerian Ehwal Luar harus memberitahu negara-negara lain, khususnya negara-negara Asia, bahawa pasport orang ini tidak lagi sah dan bahawa dia harus dilarang daripada memasuki mana-mana negara,' katanya.Bagaimanapun, Menteri Keadilan dan Hak Asasi Manusia, Encik Patrialis Akbar, Isnin lalu berkata bahawa pihak berkuasa Thai memberitahu beliau bahawa Nunun telah meninggalkan negara itu untuk ke Phnom Penh, Kemboja, pada Mac lalu.Secara berasingan, suami Nunun, seorang penggubal dasar dan mantan timbalan ketua polis kebangsaan, Encik Adang Daradjatun, berkata Nunun masih di Singapura, dengan KPK mendesak keluarga wanita itu supaya memujuknya pulang ke Indonesia.Cyberita Online Luar Negara