Search This Blog

Tuesday, June 7, 2011

Banjir kilat ragut 14 nyawa di China

BEIJING: Banjir kilat yang melanda barat daya China meragut 14 nyawa dan 35 yang lain masih hilang, kata pihak berkuasa negara itu.
Katanya, Kejadian itu turut memusnahkan jalan raya, jambatan dan kediaman di kawasan sekitarnya.
Pegawai pusat gerakan banjir daerah itu, Tang Quanshu, berkata seramai 45,000 penduduk yang menetap di Guizhoa, wilayah Wangmio County dipindahkan sejak kejadian banjir kilat semalam.
Sementara itu, katanya, bencana terbabit memusnahkan 300 rumah dan 2,400 kediaman dinaiki air serta ladang kebun berkeluasan 5,500 hektar tenggelam. - AP Berita Harian Online | Banjir kilat ragut 14 nyawa di China

Wanita Filipina ditahan, rampas ganja 15kg

KUALA LUMPUR: Kastam Diraja Malaysia menahan seorang amah warga Filipina yang bekerja di Bangkok, Thailand, dipercayai menjadi keldai dadah dan merampas ganja seberat 16 kiogram di Hentian Duta, Kuala Lumpur, semalam.Berita Harian Online | Wanita Filipina ditahan, rampas ganja 15kg

Ustaz Harun lucah


BERTAFAKUR...pengikut Ustaz Harun dalam sesi ceramah.
BERTAFAKUR...pengikut Ustaz Harun dalam sesi ceramah.



MEWAH...bangunan  markas pengikut Ustaz Harun.
MEWAH...bangunan markas pengikut Ustaz Harun.

KUALA LUMPUR: Bukan hanya mengaku dirinya jelmaan Imam Mahdi dan berkuasa mengalih posisi bulan, bintang dan matahari, malah Ustaz Harun tanpa segan silu beraksi ‘panas’ ketika menyampaikan ucapan atau syarahan kepada pengikutnya.
Perbuatan itu mencurigakan beberapa pengikut, tetapi peliknya kebanyakan mereka seolah-olah boleh menerima dakwaan dan perbuatan lelaki terbabit.

Ustaz Harun atau Harun Mat Saat, 45, paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) bersama lima individu lain kerana dipercayai terbabit kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan bernilai ratusan juta ringgit. Setakat ini, asetnya bernilai RM200 juta dibekukan BNM.

Bekas pengikut, Kalam Abdullah, 30, berkata semua ucapan yang didakwa lelaki itu sebagai syarahan agama mempunyai isi kandungan cerita lucah dan seks.
“Dia tanpa segan silu menyebut perkataan tidak senonoh dan beraksi ‘panas’ di depan kami walhal kelas itu dihadiri wanita dan topik yang dibincangkan tidak relevan dengan hal agama.

“Lebih menghairankan, sepanjang menjadi pengikutnya saya tak pernah melihat dia menunaikan solat dan sering menolak ajakan kami dengan pelbagai alasan,” katanya.
myMetro | Ustaz Harun lucah

Arwah ayah rindu tatap wajah cucu’


TERBUNUH...(dari kiri), Nur Dahyah, Zaimudin dan Rokiah
TERBUNUH...(dari kiri), Nur Dahyah, Zaimudin dan Rokiah

PONTIAN: “Minggu lalu ayah telefon dan suruh kami sekeluarga balik kampung kerana dia rindu dan mahu menatap wajah cucunya.
“Itulah kali terakhir saya mendengar suaranya sebelum mendapat khabar dia meninggal dunia dalam kemalangan di Kota Tinggi, petang semalam (kelmarin),” kata Muhamad Tab Zainuri, 29, anak angkat Allahyarham Zaimudin Yasir, 67, dan isterinya, Rokiah Kamiran, 58.

Dalam kejadian ketika hujan lebat kira-kira jam 3 petang kelmarin, pasangan warga emas itu maut bersama seorang cucu mereka, Nur Dahyah Fauzi, 11 bulan, selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat Kota Tinggi.
MPV berkenaan dipandu menantu mereka, Fauzi Ibrahim, 45, membawa lima lagi penumpang iaitu isterinya, Zubaidah Zaimudin, 36, dan empat anak mereka iaitu Muhammad Afik,10; Muhammad Zahin, 9; Hanizah, 6, dan Muhammad Sakimi, 3.

Mereka dalam perjalanan pulang ke Parit Sikom, Pontian, selepas bersiar-siar di Mersing sempena cuti sekolah.

Menurut Muhamad Tab, dia terkilan kerana tidak sempat pulang ke kampung sebelum pemergian arwah kerana terpaksa bertugas di Jementah, Pahang. “Selama 26 tahun arwah ayah dan mak menjaga saya dengan sempurna. Saya tak pernah dibezakan dengan anak kandung mereka. “Kedua-duanya memang tegas dalam mendidik anak, namun arwah ayah lebih bersikap pendiam dan mak banyak menceriakan suasana,” katanya ketika ditemui di Parit Sikom di sini, semalam.
Muhamad Tab berkata, dia sekeluarga masih terkejut dan sedih dengan kehilangan arwah serta anak saudara mereka.

Anak sulung Zaimudin, Zaitun, 43, berkata ibu dan ayahnya ada membeli buah tangan termasuk keropok ketika dalam perjalanan pulang untuk diberikan kepada mereka sekeluarga.
“Namun sayangnya, hasrat mereka tidak kesampaian dan kejadian ini sungguh mengejutkan kami sekeluarga,” katanya kali terakhir bertemu ibu bapanya ketika menziarah mereka di Parit Sikom, dua minggu lalu.

Jenazah Zaimudin, Rokiah dan cucu mereka, Nur Dahyah dibawa ke Parit Sikom, Pontian selepas selesai urusan bedah siasat pada jam 1.30 pagi semalam untuk dikebumikan, Sementara itu, Zubaidah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, manakala Muhammad Afik dan Hanizah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI); Fauzi, Muhammad Zahin dan Muhammad Sakimi pula menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.myMetro | ‘Arwah ayah rindu tatap wajah cucu’

PGM selesai kes rampasan RM2.9j

GEORGETOWN - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1 berjaya membanteras 102 kes melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan lebih RM2.9 juta sejak Januari tahun ini.
Bekas Komander PGM Wilayah 1 ACP Zainul Abidin Hasan berkata, ia melibatkan rampasan diesel subsidi, rokok tidak sah dan minuman keras.
"Operasi yang dijalankan selama lima bulan itu melibatkan nilai kompaun sebanyak RM17,900,” katanya kepada pemberita pada majlis serah terima tugas jawatan Komander PGM Wilayah 1 kepada ACP Mohd Yusof Abdullah di sini, hari ini. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Cedera dipukul suami dengan lesung

KUANTAN - Seorang suri rumah cedera dipukul suami dengan anak lesung batu hanya kerana enggan makan tengah hari bersamanya di rumah mereka di perkampungan Cenderawasih di sini, Ahad lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Pahang, Supt Mohd. Haris Daud berkata, mangsa yang berusia 25 tahun terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setelah cedera di bahagian peha, dagu dan kepala.
Beliau berkata, dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu, mangsa dipercayai bertengkar dengan suaminya, seorang pekerja swasta berusia 28 tahun kerana enggan makan bersama.
Katanya, mangsa mendakwa suaminya tiba-tiba bertindak ganas memukulnya dengan anak lesung batu.
Suami mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, katanya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Pengarah urusan pecah amanah RM3j


KUALA LUMPUR - Seorang pengarah urusan Syarikat IGD Practice Sdn. Bhd., Datuk Dr. Shamsudeen Mohd. Yunos, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM3 juta.

Shamsudeen, 49, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim S. M Komathy Suppiah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Shamsudeen didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang tunai berjumlah RM3,060,000 milik syarikat itu dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun persendiriannya iaitu Akaun Maybank, Cawangan Bukit Bintang.
Tertuduh yang diwakili peguam Chentan Jethwani didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan KLCC, Lot C21-C, Concourse Expansion, Suria KLCC, di sini pada 16 Mac 2004. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Kanak-kanak dirempuh kuda

GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah bahu kiri setelah dirempuh seekor kuda yang ditunggang seorang lelaki di pantai Batu Feringghi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, Arina Kirana Azrin turut cedera di paha kanan akibat dirempuh ketika dia sedang bermain dengan kakaknya yang berusia 12 tahun di belakang sebuah hotel.
Kakaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa mangsa, Azrin Abdul Razak, 37, berkata, anaknya terpelanting setelah dirempuh kuda yang ditunggang dengan laju.
"Ketika saya menghampiri dan memegang Arina, dia berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya kepada pemberita. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Penyokong bola Terengganu didakwa


KUALA TERENGGGANU - Tiga penyokong pasukan bola sepak Terengganu termasuk seorang remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga tuduhan berasingan memiliki mercun, membaling sos cili serta memaki polis semasa perlawanan Liga Super Terengganu menentang Kelantan malam semalam.

Tertuduh Tuan Hasbullah Tuan Abd Razif, 24 dari Tanah Lot Kampung Chepoh didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis yang sedang bertugas kira-kira 11.30 malam di luar kawasan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Syah selepas perlawanan itu.
Dia yang mengeluarkan perkataan ”baliklah polis, berambus serta polis bodoh” didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100.
Tuan Hasbullah yang mengaku bersalah atas tuduhan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Adila Abd. Latif kemudian dikenakan hukuman denda sebanyak RM80 atau tiga hari penjara jika gagal membayar denda tersebut. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Amah ditahan dengan ganja RM40,000

NILAI - Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam menahan seorang wanita warga Filipina di perhentian bas Jalan Duta, Kuala Lumpur dan merampas 16 ketul ganja seberat 16 kilogram bernilai RM40,000.
Timbalan Pengarahnya Liah Omar berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan di perhentian bas tersebut pada kira-kira 4.50 petang semalam.
"Wanita itu yang bekerja sebagai amah di Bangkok, Thailand membawa satu beg pakaian dari Changloon, Kedah ke Kuala Lumpur dengan menggunakan bas ekspres.
Pemeriksaan mendapati ganja itu dalam beg tersebut yang disembunyikan di bawah pakaian,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Kampung Jijan dekat sini, hari ini. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Dipenjara panggil polis bodoh


KUALA TERENGGANU - Gara-gara memanggil seorang anggota polis bodoh, seorang pekerja sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dikenakan denda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah.

Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir didakwa mengeluarkan perkataan ”polis bodo” terhadap Konstabel Mohd Hafifi Ali dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Gong Badak yang ketika itu menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 1 petang, 28 Mei lepas di kawasan LTSM dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1957 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100.
Tertuduh yang memakai baju kurung berwarna biru, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Adila Abd Latif. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Lelaki Nigeria ditahan seludup syabu RM2.4j

SHAH ALAM - Tiga lelaki warga Nigeria yang cuba menyeludup 9.6 kg dadah jenis syabu bernilai RM2.4 juta ke negara ini diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang awal bulan ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Ketiga-tiga mereka yang berumur antara 25 hingga 37 tahun itu diberkas pada 3, 5 dan 6 Jun sebaik tiba di KLIA dari Doha, Qatar, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek pertama ditahan pada 3 Jun setelah 3.7 kg syabu ditemui dalam 18 bungkusan makanan ringan yang disimpan di dalam begnya, manakala tangkapan kedua dibuat pada 5 Jun apabila 19 bungkusan makanan ringan berisi dadah yang sama seberat 3.9 kg ditemui di dalam beg suspek.
Dalam tangkapan pada pukul 3.45 petang semalam pula, suspek ketiga ditahan selepas polis menemui 14 daripada 27 kotak sabun yang dibawanya diisi dengan syabu seberat dua kilogram.
Tun Hisan berkata, modus operandi sedemikian pernah digunakan oleh keldai dadah warga negara Iran pada tahun 2009 dan 2010. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Kiosk dipecah masuk dua kali




KANGAR - Pemilik kiosk yang menjual makanan ringan terkejut apabila premisnya cuba dipecah masuk dua hari berturut-turut. Lebih menghairankan, kiosknya terletak bertentangan balai polis.

Salmiah Saarani, 50, berkata, pada 4 Jun lalu lebih kurang jam 10 pagi semasa sedang membuka premis, dia mendapati kunci mangga pintu kiosk miliknya tertanggal dan sebahagian daripadanya mengalami kesan pecah seakan-akan dipukul dengan benda keras.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kali kedua berturut-turut berlaku di premisnya kerana pada hari sebelumnya, dia turut mendapati kesan lebih kurang sama terjadi pada tombol pintu.

“Susulan itu, saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Kangar pada hari kejadian kira-kira jam 11 pagi disebabkan bimbang sekiranya usaha memecah masuk premis saya itu berjaya dilakukan pencuri terbabit jika tiada pemantauan polis.

“Saya yakin kejadian itu dilakukan pada waktu tengah malam kerana saya menerima aduan beberapa penjaja gerai berdekatan mendakwa premis mereka turut dipecah masuk dan kehilangan barang berharga termasuk duit syiling,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di premisnya semalam.

Salmiah berkata, cubaan pecah masuk premisnya walaupun terletak bertentangan dengan balai polis turut menunjukkan tindakan pemantauan premis perniagaan di sekitar bandar Kangar kurang dilakukan.

Sehubungan itu, dia meminta polis meningkatkan pengawasan di sekitar kawasan Kangar terutama selepas jam 12 tengah malam bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku.

“Sungguhpun tiada apa-apa kehilangan barangan dikenal pasti, saya memohon tindakan pengawasan lebih ketat daripada polis selain memastikan peniaga dapat menjalankan perniagaan dengan aman.

“Saya juga memohon Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk membantu membaiki kerosakan berlaku di premis kami akibat kejadian itu memandangkan kami penyewa premis MPK,” katanya.
SH

Padah miliki 80 bungkus air ketum

YAN - Seorang lelaki didenda RM1,000 kerana memiliki 80 bungkus plastik seberat 2.4 liter cecair berwarna perang yang mengandungi mitragynine.

Mohd Yusri Mansor, 35, didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 30 (5) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar keterangan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Farrah Farriza Wan Ghazali dan rayuan tertuduh selepas mengaku bersalah.

Jika gagal, tertuduh boleh dipenjara dua bulan, bagaimanapun, Mohd Yusri membayar denda itu.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan kerana hanya memperoleh pendapatan bulanan RM200 dan terpaksa menanggung empat anak masih bersekolah serta ibu yang sudah tua.

Wan Farrah meminta hukuman setimpal dikenakan kerana ia melibatkan pemilikan jumlah cecair yang banyak dan ada kesalahan lampau.

Mengikut fakta kes, ketika memeriksa rumah tertuduh, polis menjumpai satu baldi yang berada di tepi pintu bilik mandi yang mengandungi 30 bungkus plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum.

Manakala di dalam bilik mandi, polis menjumpai 50 bungkus plastik lut sinar disyaki air ketum yang berada dalam kolah. SH

Enjin keluar percikan api




MUAR – Seorang mekanik nyaris maut apabila bot yang sedang dibaikinya terbakar secara tiba-tiba akibat percikan api daripada enjin bot yang diselenggara itu dalam kejadian kebakaran bot di Jeti Kelab Sosial Persisiran Maharani Muar di sini, semalam.

Bagaimanapun, mekanik yang berusia 42 tahun itu hanya mengalami kecederaan kecil iaitu melecur di bahagian tangan dan rambutnya terbakar kerana cuba memadamkan api tersebut tetapi gagal.

Pemilik bot berkenaan, Sallehuddin Othman, 59, berkata, dia telah mengupah mekanik tersebut untuk membaiki botnya yang rosak sejak dua hari lalu.

Menurutnya, bot tersebut digunakan sendiri ataupun disewakan kepada pelanggan untuk aktiviti riadah seperti memancing.

“Ketika kejadian jam 3.45 petang, mekanik ini dipercayai sedang menyelenggara bot untuk memasukkan minyak penapis.

“Ketika sedang leka memasukkan minyak ini, secara tiba-tiba keluar percikan api daripada enjin bot,” katanya kepada Sinar Harian.

Rentetan itu menyebabkan percikan api bertukar menjadi besar dan kemudiannya marak membakar keseluruhan bot.

“Pada mulanya, mekanik saya cuba untuk memadamkan api tetapi gagal sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.

“Saya bersyukur kerana ketika kejadian tiada penumpang lain yang turut berada dalam bot ini dan mekanik terselamat meskipun mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Difahamkan, Sallehuddin mengalami kerugian sebanyak RM75,000 akibat daripada insiden yang berlaku itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.52 petang.

Menurutnya, seramai 12 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan itu.

“Pihak bomba mengambil masa kurang daripada tujuh minit untuk memadamkan kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
SH

Pengalaman tidur atas air




TAMAN PANTAI – Keadaan hujan terutamanya awal pagi akan membuatkan seseorang itu bertambah lena tidurnya, tetapi berlainan pula dengan hampir 300 penduduk Taman Pantai, Batu Pahat.

Kebanyakan daripada mereka tersentak daripada tidur, apabila hujan lebat selama tiga jam bermula kira-kira jam 4 pagi semalam mengakibatkan rumah mereka dinaiki air sehingga ke paras katil.

Seorang penduduk, Mohd Asnizam Mohd Salleh, 37, berkata, banjir kilat memang sering kali berlaku di kawasan taman perumahan berkenaan, tetapi sekadar di luar sahaja.

Menurutnya, keadaan air yang masuk ke dalam rumah merupakan kali pertama berlaku dan beliau tersedar apabila badannya basah ketika sedang tidur.

“Saya menyedari hujan lebat kira-kira jam 4 pagi dan bangun melihat sekeliling rumah, tetapi tiada apa yang berlaku, kemudian saya masuk semula tidur.

“Apabila hendak terlelap semula, saya menyedari badan merasa sejuk seperti basah sebelum melihat air sudah naik sehingga ke katil. Saya mengejut isteri dan bergegas mahu menyelamatkan apa sahaja yang termampu, tetapi agak terlambat kerana air naik terlalu cepat sehingga ke paras lutut,” katanya kepada :Sinar Ha�rian.
SH

Tukang kebun hadapi tuduhan cabul rakan anak

JOHOR BAHRU – Seorang tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini semalam atas tuduhan mencabul pelajar tingkatan dua dalam kejadian tahun lalu.

Bagaimanapun, Zamri Abdul Rahman, 40, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara selepas pertuduhan dibacakan mahkamah di hadapan Majistret Mazanah Sinin.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu Mei tahun lalu di rumah tertuduh di Flat SEDC, Pasir Gudang apabila remaja berkenaan datang ke rumahnya bertemu anak tertuduh yang merupakan rakan mangsa jam 3.30 petang.

Mangsa kemudian didatangi tertuduh yang menawarkan khidmat untuk membuat badan mangsa lebih menarik seperti anaknya.

Mangsa kemudian bersetuju dan dipelawa untuk ke bilik tertuduh sebelum tertuduh memegang ibu jari mangsa sambil membacakan beberapa potong ayat suci al-Quran.

Tertuduh kemudian bertindak agresif dengan memegang beberapa anggota badan mangsa dan meraba buah dada selain mencium dalam keadaan memberahikan.

Majistret, Mazanah Sinin menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,500 dan sebutan semula kes pada 13 Jun ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SH

Lelaki didenda RM2,000 jual loteri haram di Kampung Kalai



:SIK - Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Sik kerana menjual loteri haram di Kampung Kalai, Jeniang dekat sini 22 Mei lalu.

Somphat a/l Chit, 26, dituduh melakukan kesalahan itu sekitar jam 1.30 petang di tepi jalan Kampung Kalai, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ia memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh didakwa memiliki tiket loteri haram dengan bilangan 1,000 hingga 10,000 dalam tiga digit dan empat digit.

:Sewaktu pertuduhan dibacakan, Somphat mengaku bersalah dan memohon dikenakan hukuman ringan selain meminta wang tunai dan motosikal miliknya dipulangkan.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli kemudian mengarahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal menjelaskan serta membenarkan motosikal dikembalikan kepada Somphat.

:Mengikut fakta kes, sewaktu penahanan Somphat, polis merampas satu mesin pencetak kecil bersarung hitam bersama segulung kertas putih kosong berjenama Data Perinta Porti-S, enam helai kertas putih bercatat angka-angka yang disyaki nombor loteri haram, dua telefon bimbit jenis Nokia, beg galas berjenama Hsxy, wang tunai RM329 serta sebuah motosikal jenis Yamaha 125.
SH

Dua sahabat didakwa edar 10,743 gram heroin




GEORGETOWN - Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar heroin dua minggu lalu.

Seorang buruh, Sravana Kumar P Kalmutoo, 33, dan Ung Sing Seng, 47, penjual sayur berdepan dengan hukuman gantung sampai mati kerana didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Kumar dari Pokok Upeh Balik Pulau dan Sing Seng dari Jalan Burma, didakwa bersama-sama mengedar heroin seberat 10,743 gram di sebuah rumah mewah, Mutiara Court, Greenlane, di sini, kira-kira jam 10.20 malam, 23 Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang hanya menangguk faham pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil dan Hokkien oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim kemudian memohon tarikh sebutan baru sementara menunggu laporan kimia.

Beliau juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Mohd Firdaus menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan kes dan serahan laporan kimia.
SH

Berjudi: 11 lelaki didenda




SIK - Meskipun menyedari judi itu haram dalam Islam, namun tindakan lapan lelaki berusia antara 34 hingga 57 tahun bermain judi akhirnya membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sik semalam.

Solahuddin Manaf, 34, Awang Kechik Awang Selimin, 36, Shaari Hashim, 56, Muhammad Risman Wahab, 36, Mohd Rosli Awang Hussain, 38, Mohd Sobri Md Arshad, 41, Abdullah A Rahman, 57, dan Che Ismail Ahmad, 49, adalah lapan daripada 12 lelaki yang ditahan dalam satu serbuan dua bulan lalu.

Turut menghadapi tuduhan sama ialah Sook Andin Put, 59, Adun a/l See Bock, 46, Champi Suang, 36, dan Wong Hup Thiam, 48.

Kesemuanya didakwa bermain judi jenis belangkas menggunakan wang sebagai pertaruhan pada 21 April lalu, kira-kira jam 12.10 pagi, di bawah khemah di sebuah rumah di Kampung Chong, Sik.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Solahuddin, Awang Kechik, Shaari, Muhammad Risman, Mohd Rosli, Mohd Sobri, Che Ismail, Sook, Adun, Champi dan Hup Thiam, mengaku bersalah dan faham sewaktu pertuduhan dibacakan.

Mereka turut meminta wang yang dirampas sewaktu tangkapan dikembalikan.

Manakala seorang lagi tertuduh, Abdullah, gagal hadir ke mahkamah.

Majistret, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli mengarahkan kesemua tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal menjelaskannya.

“Wang tunai yang ada pada tertuduh sewaktu tangkapan dibenarkan untuk dikembalikan kepada pemiliknya selepas kes seorang lagi tertuduh, Abdullah (yang tidak hadir ke mahkamah) selesai.

“Mahkamah mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Abdullah,” katanya.

Mengikut fakta kes, dalam Ops Dadu yang dilancarkan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, sekumpulan lelaki didapati bermain judi dan lari bertempiaran apabila menyedari kehadiran polis.

Seramai 12 individu berjaya ditahan malah polis merampas beberapa peralatan termasuk sekeping kain kanvas empat segi mempunyai petak dilukis gambar udang, ikan, belangkas dan bunga, pinggan kaca berwarna putih, mangkuk aluminium putih, sebiji buah dadu belangkas berwarna merah dan wang tunai RM98 serta wang tunai RM3,260 daripada kesemua tertuduh.
SH

Kanak-kanak antara 23 Pati ditahan




PADANG BESAR - Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun antara 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar yang ditahan Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) di sempadan sektor Chuping 6 kira-kira jam 7 pagi semalam setelah dikesan menceroboh masuk negara ini melalui satu lubang ‘tikus’.

Ketua Kompani C Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Mejar Ramli Shafie berkata, helah mereka cuba mencerobohi sempadan negara pada awal pagi tidak menjadi apabila perbuatan mereka dikesan subunit dalam tugas serang hendap sejak malam kelmarin.

Menurutnya, kumpulan Pati itu pada asalnya dianggarkan seramai 30 hingga 40 orang, bagaimanapun segelintir daripada mereka berjaya melarikan diri dengan memasuki semula sempadan Thailand sewaktu dikepung subunit berkenaan.

“Antara Pati yang dikenal pasti berjaya melarikan diri adalah bapa kepada kanak-kanak perempuan terbabit apabila anggota kami mengesan dia menangis teresak-esak selepas ditinggalkan keseorangan di kawasan berdekatan pagar sempadan.

“Pati yang ditangkap terdiri daripada lima perempuan dan 18 lelaki yang berusia dalam lingkungan 10 tahun hingga 35 tahun dan kesemuanya dikenal pasti sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Ramli berkata, kesemua Pati itu akan diserahkan ke Jabatan Imigresen Perlis setelah didapati memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah selain mencerobohi pagar sempadan dengan melalui lubang ‘tikus’ yang dipotong dengan alat pemotong dawai.

Menurutnya, tangkapan Pati itu merupakan tangkapan terbesar pihaknya bagi bulan Mei hingga Jun dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat sekiranya aktiviti ini tidak dibendung.

“Pihak kami akan memberi penekanan lebih terhadap pemantauan di lubang-lubang tikus yang dikenal pasti terutama pada waktu bulan terang kerana keadaan ketika itu terang pada waktu malam dan memudahkan pencerobohan Pati.

“Selain itu, kami juga sedang mempertingkatkan usaha menjejaki tekong-tekong darat yang disyaki menjadi alang dalam aktiviti pencerobohan sempadan bagi mengelakkan aktiviti ini berleluasa,” katanya.
SH

Perompak menyamar jadi cucu




ALOR GAJAH - Sekumpulan perompak sanggup bertindak menyamar sebagai seorang cucu untuk menyamun seorang warga emas yang ketika itu terjaga dari tidur untuk membuang air kecil di rumahnya di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Halimah Baba, 63, terjaga dari tidur untuk membuang air kecil dan terdengar bunyi bising sebaik keluar dari tandas dan mencari arah bunyi bising itu yang datang dari bawah rumah.

Halimah berkata, dia dapati pintu dapur rumahnya sudah lapang dan terkopek semasa dia memberanikan diri ke dapur.

Menurutnya, dia terdengar ada suara mengaku cucunya sebelum dua perompak yang berada di luar rumah menolak pintu dapurnya dengan kuat hingga menyebabkannya terjatuh ke lantai.

“Sebelum itu, salah seorang perompak terbabit sempat masuk ke dalam rumah dan mendekati saya. Dia menujah kepala saya serta merentap rantai leher yang dipakai tetapi gagal.

“Saya menjerit cuba minta tolong tapi tiada siapa sedar. Kemudian cucu saya yang sedang tidur terjaga terus menghubungi ibu dan ayahnya sebelum perompak itu turun semula ke bawah rumah,” katanya.

Halimah berkata, dia tidak menyedari gelang tangannya turut direntap ketika cuba menghidupkan suis lampu.

“Kemudian saya kata bahawa saya kenal mereka tapi mereka cuba nafikan dengan mengatakan ‘kami bukan orang sini, kami orang jauh’ sedangkan saya kenal perompak tu sebab mereka selalu berlegar di sekitar kawasan ini.

“Ketiga-tiga perompak itu terus melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal sebelum anak dan menantu saya sampai tidak berapa lama kemudian,” katanya.

Anaknya, Rosminah Osman, 47, berkata, suaminya, Azman Shah Abd Majid, 57, berhasrat untuk mengejar perompak terbabit, namun dia menghalang kerana bimbang sekiranya diapa-apakan perompak itu dan terus membuat laporan polis.

Menurutnya, perompak terbabit memang aktif di kawasan berkenaan dan ada terserempak perompak terbabit pada malam sebelum kejadian.

“Mujur emak saya tak diapa-apakan kerana sebaik saya sampai, anak saya sudah berlari pada saya ketakutan dan emak pula menggigil kerana menahan sakit akibat rantai leher yang direntap perompak hingga luka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Rahman Jid, ketika dihubungi berkata, polis menerima laporan yang dibuat menantu mangsa pada pagi kejadian dan satu operasi dilancarkan bagi mengesan dan memberkas penjenayah terbabit.

Katanya, beberapa jam selepas dilaporkan, polis berjaya memberkas seorang remaja berusia awal 20-an pada hari kejadian di sekitar kampung berkenaan dan menemui sejumlah wang tunai di dalam poket seluar suspek dipercayai hasil jualan barang kemas yang dicuri sebelum ini.

“Pada keesokannya (Ahad) polis berjaya menahan seorang lagi remaja berusia awal 20-an yang juga rakan suspek di kawasan kampung yang sama dan kedua-dua remaja terbabit ditahan reman untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksen 392 Kanun Keseksaan,” katanya, semalam.
SH

Ditikam hingga terburai perut




KAJANG – Hasrat seorang buruh binaan untuk bertemu dengan rakan lamanya di tapak pembinaan Desa Baiduri, Kajang tidak kesampaian apabila dia diserang empat lelaki yang dipercayai warga Indonesia.

Lebih malang lagi, mangsa yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan serius selepas ditikam di perut oleh seorang daripada penyerang berkenaan.

Akibat tindakan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan serius sehingga isi perutnya terburai sebelum dikejarkan ke hospital oleh rakan yang berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan ke tapak pembinaan berkenan menaiki kereta bersama dua rakannya.

“Namun sebelum sempat berjumpa dengan rakannya, kenderaan yang dinaiki mangsa didatangi empat lelaki yang kemudiannya bertindak memecahkan cermin kereta yang dinaiki mangsa sebelum membuka pintu untuk menyerang mangsa.

“Sebaik pintu kereta dibuka, seorang suspek mengeluarkan senjata tajam dipercayai kerambit dan bertindak menikam mangsa yang berada di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

“Takut dan bimbang dicederakan suspek, dua rakan mangsa yang berada di dalam kereta bertindak melarikan diri dan meninggalkan mangsa sendirian di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, suspek kemudiannya melarikan diri ke kawasan pembinaan berhampiran selepas kejadian terbabit disedari oleh pekerja asing yang tinggal berhampiran tempat kejadian.

“Pekerja asing yang menyedari kejadian itu segera mendapatkan mangsa yang tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut dan berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek dan kemungkinan serangan yang dilakukan suspek bermotifkan cemburu.

“Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang dan polis akan mengambil keterangan daripada mangsa sebaik dia sedarkan diri selain mengambil keterangan daripada saksi yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, gerakan mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki senjata dalam rusuhan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
SH

Enjin kereta tercabut keluar




LEMBAH BERINGIN - Seorang maut, manakala dua lagi parah akibat tercampak keluar dari kenderaan dinaiki setelah terlibat kemalangan di Kilometer 404.7 Lebuh Raya Utara Selatan selepas susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, di sini, pagi semalam.

Mangsa yang maut warga Myanmar, Keshor Kumar berusia lewat 30-an, tercampak kira- kira 25 meter ke laluan bertentangan lebuh raya.

Dua lagi rakan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Ipoh dan dilaporkan berada dalam kritikal.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 8.10 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan dinaiki ketiga-tiga di mana dua daripadanya warga Myanmar dan seorang lelaki yang belum diketahui identitinya namun disahkan berbangsa Cina.

“Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki mangsa terbabas sebelum melanggar pembahagi lebuh raya.

“Seorang daripada mangsa maut di tempat kejadian dan dua lagi dikejarkan ke hospital.

“Kemalangan turut mengakibatkan enjin kereta tercabut dan terpelanting ke arah bertentangan (Kuala Lumpur - Ipoh) beberapa meter serta terkena pada sebuah kereta lain dan lori, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut beberapa saksi di lokasi kejadian, kereta mangsa dikatakan terbabas dan terbalik beberapa kali.

Kenderaan terbabit dinaiki mangsa yang dipercayai dari sebuah syarikat pemasangan perencah tapak binaan.

Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Subang Jaya setelah bercuti di Pulau Pinang.
SH

Jumpa mayat dalam sungai




PUCHONG – Seorang lelaki dibunuh kejam dengan kepalanya ditetak berkali-kali di bahagian kepala dan badan sebelum mayatnya dicampak di Sungai Klang berdekatan Lebuhraya Kesas di Taman Kinrara Sekyen 1 di sini.

Mayat mangsa yang sudah menggelembung dipercayai sudah tiga hari berada dalam sungai ditemui orang awam yang kebetulan ke tebing sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, polis menerima panggilan kira-kira jam 6 petang sebelum sepasukan polis ke tempat kejadian dan mendapati mayat tersangkut di tepi batu sungai.

“Berdasarkan keadaan mangsa, kita percaya dia sudah dibunuh tiga hari lalu di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dan dihanyutkan di sungai Klang.

“Hasil pemeriksaan polis forensik mendapati luka di kepala dan badan akibat ditetak dengan menggunakan objek tajam,” katanya.

Abd Razak berkata, mangsa dikenali sebagai Radze Haron, 45, berasal dari MR 14 A, Kampung Paya Pulai, Temerloh, Pahang.

Beliau berkata, dompet duit mangsa ditemui bersamanya dengan sejumlah wang tunai, Mykad, lesen memandu dan kad mesin juruwang otomatik (ATM).

“Kita meminta ahli keluarga mangsa supaya dapat berhubung dengan polis untuk mengecam mayatnya. Ketika ditemui dia memakai t-shirt dan seluar jeans berwarna gelap.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
SH

Dua sahabat maut nahas




MARAN - Dua sahabat yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit nahas jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 19 Jalan Maran –Bandar Jengka dekat Maran, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 4.15 petang itu, penunggang motosikal jenis Modenass, Mohamad Aznil Junid, 14 dari Kampung Sungai Ling Luar, Chenor, Maran meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran manakala pembonceng, Mohd Khairuzzaman Abdul Rahman, 15 dari Kampung Buria, Maran meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua motosikal itu berlaku ketika mangsa dipercayai menunggang dari arah Bandar Jengka menuju ke Maran cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

Menurutnya, tindakan mangsa memotong di laluan yang berselekoh agak tajam itu menyebabkan motosikalnya termasuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandar Jengka.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan dan pada masa yang sama, sebuah motosikal jenis Yamaha yang dinaiki dua lelaki dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan salah seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Najid berkata, pembonceng sebuah lagi motosikal turut mengalami kecederaan parah apabila patah kaki dalam kejadian itu manakala penunggang dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Bandar Jengka untuk bedah siasat dan laporan mengesahkan punca kematian dua pelajar itu akibat kecederaan parah di kepala.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat masuk laluan bertentangan bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengorbankan dua remaja itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kejadian berlaku di laluan berselekoh tajam dalam keadaan cuaca hujan renyai-renyai dan permukaan jalan basah serta agak licin.

“Kemalangan meragut nyawa penunggang dan pembonceng ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Warga emas mengamuk




CHENUA – Penduduk Kampung Semalin di sini berdepan situasi cemas apabila seorang warga emas mengamuk dengan menggunakan parang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian itu berlaku pada jam 9.45 pagi membabitkan lelaki berusia 50-an yang bertindak di luar kawalan dengan memegang parang dekat rumahnya.

Menurutnya, pasukan polis diketuai Inspektor Mohamad Azri Mohamad Aziz terus bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

“Usaha memujuk dan menahan suspek turut dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat Raub, Polis Bantuan dan orang awam.

“Pada jam lebih kurang 12.45 tengah hari, lelaki itu berjaya ditahan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan tidak mengakibatkan kecederaan kepada orang lain,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, lelaki itu seterusnya dihantar ke Hospital Bentong untuk menjalani rawatan kesihatan.

Katanya, setiap anggota keluarga berperanan memantau tahap kesihatan fizikal dan mental ahli keluarga masing-masing untuk mengelak kejadian seperti itu berulang.

“Sekiranya pesakit mendapat bekalan ubat dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, ahli keluarga perlu memberi perhatian penuh kepada mereka.

“Kita harap perkara seperti ini dapat dibendung dan masyarakat perlu lebih peka dengan perkembangan jiran tetangga terutama mereka yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, masyarakat setempat boleh menyalurkan sebarang maklumat menerusi talian kilat 09-3554999 supaya polis dapat bertindak segera.
SH

Mati terjerut tali




KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar Tingkatan Empat dari sebuah sekolah menengah di daerah ini dijumpai mati terjerut tali, dalam keadaan terduduk di bawah rumahnya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di sini malam kelmarin.

Pelajar berumur 16 tahun itu ditemui bapanya, 47, kira-kira jam 11.45 malam sewaktu ingin keluar rumah untuk ke kedai makan berhampiran membeli makanan.

“Ketika melewati lokasi kejadian, saya ternampak dia yang masih berpakaian lengkap, tergantung dengan leher terjerut tali dalam keadaan terduduk.

“Terkejut dengan situasi itu, saya tanpa membuang masa terus membawanya ke Klinik Kesihatan Seberang Takir dengan harapan dia berjaya diselamatkan, namun semuanya sudah terlambat setelah doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia kira-kira beberapa jam sebelum ditemui,” katanya.
SH

Penjual Bunga Dihukum Gantung Sampai Mati


ALOR SETAR: Seorang penjual bunga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Selasa, kerana didapati bersalah mengedar dadah seberat 28.07 gram (24.22 gram heroin dan 3.75 gram moacetylmorphines), empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berjaya membuktikan tertuduh, G. Gobinanth Reddy melakukan kesalahan itu.
Gobinanth Reddy didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kawasan letak kereta stesen minyak Caltex Taman Sejati, Sungai Petani pada 17 September 2007 kira-kira pukul 11.30 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Tertuduh yang berseluar jeans biru dan kemeja-T putih kelihatan tenang ketika penghakiman manakala anggota keluarganya kelihatan menangis.
Gobinanth Reddy yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang diwakili peguam S.P Raman manakala Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud. - BERNAMA
mStar Online : Penjual Bunga Dihukum Gantung Sampai Mati

Penjual Bunga Dihukum Gantung Sampai Mati


ALOR SETAR: Seorang penjual bunga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Selasa, kerana didapati bersalah mengedar dadah seberat 28.07 gram (24.22 gram heroin dan 3.75 gram moacetylmorphines), empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berjaya membuktikan tertuduh, G. Gobinanth Reddy melakukan kesalahan itu.
Gobinanth Reddy didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kawasan letak kereta stesen minyak Caltex Taman Sejati, Sungai Petani pada 17 September 2007 kira-kira pukul 11.30 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Tertuduh yang berseluar jeans biru dan kemeja-T putih kelihatan tenang ketika penghakiman manakala anggota keluarganya kelihatan menangis.
Gobinanth Reddy yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang diwakili peguam S.P Raman manakala Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud. - BERNAMA
mStar Online : Penjual Bunga Dihukum Gantung Sampai Mati

Budak Dua Tahun Lemas Dalam Besen Di Pusat Jagaan


GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui mati dipercayai lemas di dalam besen berisi air di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Paya Terubong, dekat sini, petang Isnin.
Stella Chew Xing Rou ditemui seorang penjaganya dalam keadaan tidak bergerak di dalam besen di dalam tandas rumah teres dua tingkat yang menempatkan pusat jagaan itu pada kira-kira 1 petang.
Penjaga pusat berkenaan kemudiannya menghantar mangsa ke sebuah klinik swasta yang berhampiran sebelum mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 1.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supritendan Abdul Halim Bulat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata semasa kejadian, kesemua kanak-kanak di pusat berkenaan sedang berkumpul untuk menonton televisyen selepas makan tengah hari.
"Setelah semua budak-budak berkumpul di hadapan televisyen, penjaga tersebut baru sedar bahawa mangsa tidak berada dalam kumpulan tersebut dan mula mencari mangsa," katanya di sini Isnin.
Difahamkan ibu mangsa Heng Bee Thin bersama ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis terhadap pusat jagaan berkenaan pada kira-kira 3 petang.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat pada Selasa dan polis masih menunggu laporan bedah siasat.
"Polis masih belum mengklasifikasi kejadian itu sementara menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian," katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk di situ yang enggan dikenali berkata pusat berkenaan telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu. - BERNAMA
mStar Online : Budak Dua Tahun Lemas Dalam Besen Di Pusat Jagaan

Abu Bakar Bashir dakwa kesnya 'didalangi tuhan palsu'

JAKARTA 6 Jun - Guru agama Indonesia, Abu Bakar Bashir semasa rayuan terakhirnya sebagai defendan berkata, perbicaraannya atas tuduhan keganasan 'didalangi oleh tuhan-tuhan palsu'.Abu Bakar, 72, dituduh menyalurkan AS$62,000 (RM186,000) kepada sekumpulan militan di Aceh sebagai sebahagian kempen untuk menyerang kepentingan asing dan kerajaan di negara ini.
"Semua tuduhan terhadap saya didalangi oleh tuhan-tuhan palsu yang mahu menghukum saya dan menghalang saya daripada menegakkan fahaman tauhid dan memerangi penyembahan berhala," katanya di mahkamah daerah Jakarta Selatan, hari ini.
Pendakwa raya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Abu Bakar, setelah mereka menggugurkan tuduhan utama iaitu mengedar senjata api untuk tujuan keganasan, yang boleh membawa hukuman mati.
Keputusan dijadual diumumkan pada 16 Jun ini, kata Ketua Hakim, Herri Swantoro.
Abu Bakar sebelum ini menuduh Amerika Syarikat (AS) mahu dia dipenjarakan bagi menghalang perjuangannya untuk melaksanakan undang-undang Islam.
Dia ditangkap pada Ogos lalu berikutan beberapa serbuan polis terhadap anggota sebuah kumpulan militan baru, Tandzim al-Qaeda Indonesia yang didakwa mendirikan kem latihan di Aceh.
Abu Bakar ialah ketua sebuah kumpulan berhaluan Islam, Jama'ah Ansharut Tauhid.
Polis berkata, anggota kumpulan itu terlibat dalam serangan pengebom berani mati di sebuah masjid polis di pulau Jawa pada April lalu dan dalam pembunuhan dua anggota polis di wilayah Sulawesi Tengah pada bulan lepas.
Hari ini Abu Bakar menafikan pengikutnya terlibat dalam serangan di Sulawesi Tengah itu. - dpaUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Suami isteri majikan amah ditahan




SEPASANG suami isteri yang disyaki terlibat mendera amah ditahan reman di Mahkamah Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 6 Jun - Polis menahan sepasang suami isteri kerana dipercayai terlibat dalam kes mendera hingga mati pembantu rumah mereka di Sea Park di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, pasangan berusia 56 dan 53 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam sebaik sahaja diminta hadir ke balai polis.
Pembantu rumah warga Indonesia itu, Isti Komariyah, 26, dibawa oleh majikannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pukul 7.50 pagi semalam namun disahkan telah meninggal dunia sebaik sahaja tiba.
Pasangan terbabit hari ini ditahan reman selama enam hari sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa mula bekerja dengan pasangan tersebut sejak Disember 2008 lalu.
"Siasatan hasil bedah siasat petang semalam mendapati, terdapat kesan lebam baru dan lama serta calar pada bahagian belakang, dahi serta lengan mangsa.
"Hasil siasatan lanjut yang dilakukan di rumah majikan mangsa, polis menemui beberapa lagi petunjuk yang boleh membantu siasatan kes ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Meor Hamdan Meor Mohamad.
Mohd. Adnan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian yang menimpa pembantu rumah itu sambil memberitahu, siasatan polis masih dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca kematian wanita itu selain bekerjasama dengan pejabat kedutaan negara asalnya.
Mayat wanita itu kini ditempatkan di PPUM.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

21 tuduhan suapan RM24,900


SEREMBAN 6 Jun - Bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas 21 tuduhan memberi rasuah sebanyak RM24,900 kepada pemain skuad berkenaan bertujuan mengatur keputusan satu perlawanan merebut piala tersebut pada April lalu.

Yusarman Yusof, 35, dari Paroi, dekat sini yang memakai kemeja T dan berseluar jean mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.
Rasuah bola sepak pernah menggemparkan negara pada 1994 dan 1995 apabila lebih daripada 100 pemain dan pegawai ditahan polis kerana disyaki mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana dan Piala Malaysia.
Berikutan itu, 26 pemain dan jurulatih dikenakan tindakan buang daerah mengikut Akta Kediaman Terhad manakala hampir 60 lagi digantung permainan antara satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada prosiding hari ini, Yusarman bersama dua lagi yang masih bebas didakwa memberi suapan wang tunai RM300 setiap seorang kepada sembilan pemain skuad muda berkenaan di sebuah pusat karaoke di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang, dekat sini kira-kira pukul 9 malam, 19 April lalu.
Tertuduh yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) pada 25 Mei lalu setelah digantung tugas selama 20 hari, turut didakwa memberi wang tunai RM200 kepada seorang lagi pemain di dalam sebuah kereta di sekitar bandar ini kira-kira pukul 10 malam, hari yang sama.
Wang suapan itu didakwa diberi sebagai dorongan bagi membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain skuad Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang dalam satu perlawanan Piala Presiden di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lalu.
Bagi pertuduhan seterusnya, Yusarman bersama seorang lagi yang masih bebas turut didakwa memberi suapan RM2,000 setiap seorang kepada 10 pemain tersebut dan seorang lagi pemain yang lain dengan tujuan yang sama di sebuah pusat karaoke di Senawang, kira- kira pukul 5 petang, 22 April lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(B)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Jasmi Buang dan Mohd. Asri Abd. Rahman Sidikoleh menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.
Peguam Mohd. Nor Hisham Hussain yang mewakili Yusarman pula memohon wang jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan selain perlu menanggung isteri dan seorang anak serta kedua-dua ibubapanya.
Nursinah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan sementara menunggu sebutan semula kes pada 5 Julai ini.
Utusan Malaysia pada 27 Mei lalu melaporkan, PBNS membuat laporan polis kerana mengesyaki beberapa pemain termasuk pihak pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden negeri ini terlibat dengan kegiatan mengatur keputusan perlawanan.
Laporan itu dibuat selepas terdapat beberapa bukti dan saksi tampil sekali gus menjawab persoalan berhubung prestasi hambar skuad muda pasukan tersebut dalam kempen Piala Presiden sejak tahun lalu.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Penternak ditemui mati selepas cari kambing

KOTA TINGGI 6 Jun – Seorang penternak kambing yang dilaporkan hilang ketika mencari haiwan ternakannya sejak dua hari lalu ditemui mati di Ladang Tai Tak Mawai Division di sini semalam.
Mayat Mazlan Masalawany Abdullah, 44, yang dikenali penduduk sebagai ‘Lan Kambing’, ditemui lapan kilometer dari rumahnya selepas dia dikatakan keluar mencari 30 ekor haiwan ternakannya sejak Jumaat lalu.
Isterinya, Foziah Mohd. Saad, 43, berkata, Mazlan sempat menghubunginya pada pukul 2.25 petang Jumaat lalu meminta anak tunggal mereka, Mohd. Norazim datang membantu bagi membersihkan kandang kambing.
“Anak saya kemudian pergi membantunya sebelum suami saya memberitahu dia hendak keluar mencari 30 ekor kambing yang hilang. Saya agak hairan kerana sebelum ini, kambing ternakan kami tidak pernah sesat atau tidak pulang ke kandang.
“Saya pelik macam mana mayat suami saya ditemui di ladang itu kerana tidak munasabah dia mencari kambing dengan berjalan kaki sehingga ke situ. Kasut yang biasa dipakainya juga hilang tetapi stokinnya masih bersih malah telefon bimbit serta dompet dan wangnya tidak diusik,” katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi di sini semalam.
Menurutnya, dia sekeluarga dan jiran terdekat berusaha mencari suaminya di sekitar kebun sejak Jumaat malam dan sepanjang Sabtu lalu selepas suaminya tidak pulang ke rumah dan tidak menjawab panggilan telefon.
Foziah kemudian membuat laporan mengenai kehilangan suaminya pada malam Sabtu selepas usaha mencari gagal dan dihubungi polis pada pagi semalam supaya datang ke Ladang Tai Tak Mawai Division, 15 kilometer dari Felda Pasak untuk mengecam mayat seorang lelaki.
“Hati saya berdebar apabila melihat mayat itu yang berdarah di bahagian muka adalah suami saya,” katanya lagi.
Tambahnya, dua hari sebelum kejadian suaminya yang berasal dari Kebun Teh, Johor Bahru dan memeluk Islam seawal usia 10 tahun, meminta sejadah baru untuk digunakan di pondok ladang kambing mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di Ladang Tai Tak Mawai Division itu adalah Mazlan Masalawany.
“Kita masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat itu bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” kata beliau.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Lari tinggal anak perempuan


PADANG BESAR 6 Jun - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) lelaki warga Myanmar sanggup meninggalkan anak perempuannya untuk mengelak daripada ditangkap ketika cuba menyeludup masuk ke Malaysia di sempadan tanah air di sini hari ini.

Thaiya Chappa, 10, terpinga-pinga ketika ditinggalkan bapanya dan hanya mampu menangis ketika ditahan anggota Kompeni C Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) Pos Bukit Kuan Chu pukul 7 pagi ini.
Kanak-kanak itu ialah antara 50 PATI dari Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui pintu sempadan berdekatan ladang tebu di Chuping di sini.
Pegawai Memerintah Batalion 5RS, Leftenan Kolonel Abdul Rashid Shahdan berkata, enam anggotanya yang sedang menjalankan rondaan terserempak dengan PATI berkenaan lantas mengintip kegiatan mereka yang cuba memotong pagar sempadan Malaysia/Thailand.
"Kira-kira tiga minit kemudian, sekumpulan PATI dilihat cuba masuk ke negara ini namun sebaik sahaja anggota kami menyerbu, sebahagian daripada mereka melarikan diri dan masuk semula ke sempadan negara jiran," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Kompeni C 5RS, Mejar Ramli Shafie di Pos Bukit Kuan Chu hari ini.
Menurut beliau, kumpulan PATI itu dikesan memotong pagar lebih luas iaitu dua meter tinggi dan satu meter lebar bagi memudahkan lebih ramai menyeludup masuk.
Sebelum ini, mereka menggunakan laluan 'lubang tikus' yang hanya boleh memuatkan seorang PATI.
Kata beliau, pihaknya berjaya menahan 23 PATI terdiri daripada 18 lelaki dan lima perempuan berusia antara 10 hingga 35 tahun yang tidak sempat melarikan diri.
Selain kanak-kanak berkenaan, turut ditahan ialah sepasang suami isteri manakala tekong dari negara jiran yang membawa masuk kumpulan PATI itu dapat meloloskan diri.
Berdasarkan siasatan awal, kata Abdul Rashid, kesemua PATI itu dipercayai membayar sejumlah RM1,000 kepada tekong darat untuk diseludup masuk ke negara ini tanpa dijanjikan sebarang pekerjaan.
"Salah seorang daripada lelaki yang ditahan pernah bekerja di Klang, Selangor sebagai pembantu restoran selama dua tahun namun dia memilih untuk memasuki semula negara ini secara haram kerana tidak mampu untuk membayar harga pasport yang mahal.
"Kesemua mereka yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk proses dokumentasi," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Shamsuddin lepas dan bebas




SHAMSUDDIN Hayroni (kanan) senyum ketika dilepaskan dan bebas daripada dakwaan bersubahat dengan Mohamad Khir Toyo di Mahkmah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 6 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepas dan membebaskan pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas), Datuk Shamsuddin Hayroni yang didakwa bersubahat dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta, empat tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki selepas pihak pendakwaan memohon menarik balik tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan terhadap Shamsuddin, 52.
‘‘Pihak pendakwaan tidak bercadang meneruskan pertuduhan terhadap Shamsuddin namun pertuduhan ke atas Mohamad Khir akan diteruskan di bawah akta yang sama.
‘‘Justeru, saya memohon peruntukan pembebasan dan pelepasan dimasukkan terhadap Shamsuddin,’’ kata Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad.
Mohamad Khir, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 6 Disember tahun lalu atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.
Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Shamsuddin pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada tarikh dan tempat sama mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding hari ini, Mohamad Khir yang hadir ke mahkamah bersama isterinya turut diwakili peguam-peguam, M. Athimulan, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Kamarul Hisham Kamaruddin sementara Shamsuddin pula diwakili peguam-peguam, Datuk C.Vijaya Kumar dan Tan Hock Chuan.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan Athimulan supaya perbicaraan itu ditangguhkan sehingga 8 Jun ini kerana pihaknya perlu mendapatkan beberapa dokumen penting daripada pendakwaan.
Menurut Athimulan, dia juga perlu mendapatkan arahan lanjut daripada Mohamad Khir berhubung tuduhan yang dihadapi anak guamnya itu memandangkan perkembangan baru dalam kes tersebut setelah Shamsuddin dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Remaja lembam miliki peluru, didenda RM1,700

KOTA BHARU 6 Jun - Seorang remaja lembam didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki enam butir peluru.
Majistret Noor Haslinda Che Seman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Syawal Mat, 19, dan sekiranya gagal menjelaskan denda, dia akan dipenjara selama empat bulan.
Tertuduh didakwa memiliki atau membawa amunisi iaitu enam butir peluru yang bertulis huruf K tanpa lesen atau permit yang sah, di sebuah rumah di Kampung Surau Kota, di sini pada pukul 10.30 pagi, 3 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam Latifah Ariffin dalam rayuan berkata, tertuduh seorang yang lurus bendul dan mendapat pendidikan setakat darjah satu serta boleh dianggap sebagai buta huruf.
‘‘Kejadian ini berlaku kerana pengaruh kawan yang mengambil kesempatan terhadap sifat ketidakupayaan tertuduh. Sejak ditangkap, dia mengalami trauma yang teruk dan tidak akan keluar rumah tanpa ibunya,’’ kata Latifah.
Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hafiz Abd. Rahman, pada hari kejadian, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Surau Kota dan telah menahan tertuduh di dalam satu bilik tidur di rumah tersebut.
Hasil pemeriksaan dalam bilik tidur, polis menjumpai sebuah beg kecil warna merah yang mengandungi enam butir peluru yang bertulis huruf K, sehelai seluar pendek warna hijau jenama Bear dan sehelai baju jeans warna biru kekuningan jenama Levis Strauss.
Hasil siasatan ke atas bahan bukti suspek mengaku salah kerana memiliki peluru tanpa lesen atau permit yang sah.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Bengkel baiki generator terbakar




ANGGOTA bomba memadam kebakaran melibatkan sebuah bengkel baik pulih generator di Jalan Baru, Bukit Mertajam, semalam.


BUKIT MERTAJAM 6 Jun - Sebuah bengkel membaiki generator terletak bersebelahan Taman Pauh Jaya, Jalan Baru di sini hangus dalam kebakaran membabitkan kerugian kira-kira RM50,000 hari ini.
Turut musnah termasuk sebuah stor dan sebuah pejabat milik Chin Tat Generator Supplier yang sudah beroperasi lebih 15 tahun.
Kebakaran berlaku ketika pemiliknya, Lim Guan Heng, 71, melakukan kerja-kerja membaiki sebuah generator di luar kawasan tersebut kira-kira pukul 6.30 petang.
Bagaimanapun, api dapat dipadam dalam masa setengah jam oleh 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Bandar Perda dan Bukit Mertajam.
Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Zarain Mohd. Lazim berkata, kerja-kerja memadam api mendapat kerjasama anggota bomba sukarela dari beberapa tempat di sini.
"Sebaik sahaja menerima panggilan, anggota bomba terus bergegas ke tempat kebakaran dan apabila sampai, api mula merebak ke beberapa bahagian dalam bengkel itu," katanya.
Utusan Malaysia Online - Utara

KERBAU MALANG




Abdul Rahman Isa cuba mendapatkan bantuan untuk membantu mengalihkan kerbau miliknya yang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di jalan raya Kupang–Gerik dekat Simpang Tiga Jerai, Kupang, kelmarin. – utusan/azman md.noor


PARA pengguna jalan raya Kupang ke Gerik dekat Simpang Tiga Jerai, Kupang semalam tersentuh hati apabila melihat nasib seekor kerbau yang patah kaki dipercayai dilanggar oleh kenderaan dan cuba dialihkan pemiliknya menggunakan sebuah lori.
Pada mulanya, kerbau berkenaan cuba ditarik dengan seutas tali jerat tetapi gagal kerana beratnya lebih 200 kilogram.
Kerbau yang terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 2 pagi itu, hanya dialihkan pada pukul 8 pagi selepas kira-kira tujuh jam terdampar di tengah jalan itu kerana tidak boleh bergerak serta mengalami pendarahan teruk di bahagian belakang.
Pemiliknya yang juga seorang penduduk kampung, Abdul Rahman Isa, 70, akhirnya terpaksa menamatkan riwayat ternakannya itu setelah ia dilihat tidak bermaya lagi.
Dalam pada itu seorang saksi, Ismail Shafie, 61, dari Kampung Jerai berkata, kejadian awal pagi itu menyebabkan jalan sesak apabila sekumpulan kerbau turut menghurung haiwan tersebut sehingga tidak mahu beredar dari kawasan kemalangan.
Utusan Malaysia Online - Utara