Search This Blog

Sunday, June 5, 2011

Diceroboh lagi




TAMAN MAWAR – Sekolah Agama Taman Mawar dicerobohi lagi dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 pagi, semalam selepas disedari oleh kakitangan sekolah yang ditugaskan untuk mengawal sekolah sepanjang musim cuti persekolahan.

Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Mawar, Mohd Hashim Marsidi berkata, lima penceroboh berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pengawal bertugas.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Gudang kira-kira jam 10.20 pagi semalam dengan harapan penceroboh berkenaan berjaya ditangkap.

“Saya kesal kerana sekolah ini telah dicerobohi sebanyak empat kali dalam tempoh seminggu pada bulan lepas, sehingga merosakkan pagar sekolah dan turut membaling batu ke arah sekolah.

“Penceroboh juga memanjat naik ke ke aras satu sekolah dalam percubaan untuk mencuri dan merosakkan harta benda sekolah,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Hashim berkata, bagi membantu pihak sekolah setelah berlakunya pencerobohan pertama, pihaknya mengambil inisiatif memeriksa keseluruhan pagar dan sedang mendapatkan kontraktor untuk membaiki pagar yang rosak.

Tambah malang apabila duit tabung hasil sumbangan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya dibelanjakan untuk meningkatkan pendidikan anak-anak terpaksa dibelanjakan untuk membaiki pagar.

“Pencerobohan berlaku beberapa kali tahun lepas sehingga Badan Kebajikan terpaksa membelanjakan beribu ringgit untuk membaiki pintu pagar sebelah belakang sekolah serta membina tembok batu konkrit.

“Badan Kebajikan akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah itu, termasuk memohon sekali lagi kepada pihak Pejabat Pendidikan Agama Johor (PPAJ) untuk menempatkan pengawal secara tetap menjaga kawasan Sekolah Agama ini," katanya.

Pihaknya turut menggesa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) sekitar Taman Mawar supaya memanjangkan kawasan rondaan ke kawasan sekolah itu untuk mengawasi dan membantu mencegah berulangnya kejadian pencerobohan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.

“Saya bagi pihak Sekolah dan Badan Kebajikan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pihak Polis Pasir Gudang dan IPD Seri Alam yang sentiasa memberikan kerjasama selama ini,” katanya.
SH

Badan terbakar dan terkena cecair tar




MUAR – Seorang pemandu lori tangki menderita apabila 23 peratus badannya terbakar selepas lori tangki yang sarat dengan cecair tar dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan dua bas dalam kejadian di Kilometer 144.8, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, N Sivananda, 44, terpaksa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) berikutan kecederaan yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, nahas tersebut berlaku apabila salah sebuah bas sekolah yang digunakan untuk membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) merempuh belakang lori terbabit.

Menurutnya, kedua-dua bas terbabit dalam perjalanan dari Lenggeng, Negeri Sembilan ke Pasir Gudang, Johor.

“Akibat pelanggaran ini, lori terbabas manakala tangki yang sarat dengan cecair tar terbalik dan tumpah memenuhi lebuh raya.

“Bas yang merempuh belakang lori tangki ini hilang kawalan dan terbabas ke laluan kanan lebuh raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, disebabkan bas sekolah telah melanggar lori tangki itu, sebuah lagi bas persiaran yang turut membawa Pati hilang kawalan dan terbabas kerana cuba mengelak daripada melanggar bas sekolah berkenaan.

“Pasukan polis dari Muar dan Tangkak bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa terlibat.

“Namun, kami bersyukur kerana kesemua yang terlibat dalam insiden ini terselamat walaupun membawa seramai 102 Pati,” katanya.

Selain itu, beliau juga hairan bagaimana salah sebuah bas boleh terbabas memasuki lorong kanan lebuh raya menghala arah utara selepas melanggar belakang lori tangki.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca nahas ini berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Lepas hukuman tali gantung




IPOH – Seorang petani mampu tersenyum dan menarik nafas lega setelah terlepas dari hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin memutuskan Mohamed Mahyuddin Mat Nor, 41, dibebaskan setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh.

Pesuruhjaya Kehakiman, Teo Say Eng mendapati wujud percanggahan berat sebenar dadah dan dua kesan cap jari pada barang kes tanpa penjelasan dalam hujah pendakwaan di dalam mahkamah itu.

“Setelah meneliti keterangan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan kepada tertuduh.

“Dengan ini, Mohamed Mahyuddin dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Barang kes diserah kepada polis untuk dihapuskan,” katanya sambil disambut gembira oleh ahli keluarga yang hadir.

Mohamed Mahyuddin didakwa mengedar 324.85 gram kanabis di sebuah rumah di Seberang Perak, Kampung Gajah pada jam 6.30 pagi, 29 April 2010.

Tertuduh diwakili peguamnya, Charan Singh dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang kes di peringkat pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Laila Mohamed Nazil.
SH

Hendak bertunang jadi alasan



GEORGETOWN - Seorang lelaki memohon dikenakan denda yang rendah dengan alasan hendak bertunang bulan depan.

Anwarulhoque Kader Mohaideen, 26, yang bekerja sebagai pencuci kereta dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan denda terhadapnya kerana perlu menggunakan wang yang banyak untuk majlis berkenaan.

“Saya minta yang arif kurangkan jumlah denda terhadap saya sebab saya nak guna wang untuk bertunang bulan depan,” katanya.

Sebaik selesai rayuan itu, Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menjatuhkan hukuman denda RM1,300 ke atas tertuduh dan pengawasan dua tahun. Jika gagal membayar denda, boleh dipenjara enam bulan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini.

Tertuduh dari Jalan Padang Tembak, Ayer Itam didakwa memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di Balai Polis Bandar Baru Ayer Itam pada 29 April lalu.

:Anwarulhoque Kader didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sementara itu, rakan sekerjanya, Masri Idris, 39, turut menghadapi tuduhan sama namun pertuduhan dibaca secara berasingan.

Masri dalam rayuannya meminta dikurangkan denda berikutan memerlukan wang untuk membiayai kenduri kahwin saudaranya yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Tertuduh turut menunjukkan kad jemputan kenduri kepada Adibah sebagai bukti bahawa dia sememangnya memerlukan wang untuk digunakan untuk kenduri berkenaan.

“Ini bukti rumah saudara saya akan mengadakan kenduri, yang arif, oleh itu saya minta hukuman dikurangkan,” katanya.

Adibah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,300 dan dua tahun pengawasan. Jika gagal membayarnya akan dipenjara enam bulan.
SH

Saksi nampak kereta berpusing




TAMPIN – Saksi kemalangan yang berlaku berhampiran Rumah Rakyat Kota, Rembau di Jalan Seremban-Tampin terkejut mendengar dentuman apabila sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Seremban menghala ke Tampin berpusing menghala ke Seremban semula.

Khushari Osman @ Abdullah, 38, ketika ditemui di perkarangan Hospital Tampin (HT), malam kelmarin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu membabitkan sebuahPerodua Myvi yang dipandu Siti Aida Ismail, 24, dan motosikal yang ditunggang M Logamathan, 34.

Menurutnya, walaupun jarak di antara lokasi kemalangan dengan kereta yang dipandunya hanya sekitar 30 meter, dia dan keluarga gagal melihat apa sebenarnya yang berlaku susulan lokasi berkenaan yang gelap.

“Bagaimanapun, sebaik terdengar bunyi dentuman dan terlihat kereta berpusing, saya terus memberhentikan kereta serta mendapati Logamathan terlentang di jalan raya.

“Manakala, Siti Aida yang berada di dalam kereta kelihatan terperanjat dan pucat,” katanya.

Kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan di HT dan difahamkan Logamathan mengalami kecederaan parah.

Khusairi berkata, dia sememangnya tidak nampak dengan jelas kejadian berkenaan, bagaimanapun mereka sekeluarga turut sama membantu mangsa kemalangan dan sanggup menunggu di HT bagi mengetahui keadaan mangsa.

”Muujur terdapat orang ramai yang sanggup menghulurkan bantuan sebaik sahaja kejadian berkenaan berlaku,” katanya.
SH

Pemuda didakwa tipu RM972,475.75



AYER KEROH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah memperdaya Syarikat OCBC Securities (Melaka) Sdn Bhd membabitkan wang RM972,475.75.

Tertuduh, Yap Nee Seng, 45, berdepan dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Sazali Omar.

Tuduhan pertama, dia melakukan kesalahan pada 30 Jun 1994 dengan memperdaya OCBC mempercayai tiga keping cek Hong Kong & Shanghai Bank berjumlah RM575,930.43 sah laku dan mendorong OCBC menyerahkan sijil-sijil saham kepadanya. Tuduhan kedua, menggunakan cek berjumlah RM396,545.32. Hakim membenarkan jaminan RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula pada 4 Julai depan.
SH

Maut ketika buat pusingan U




ALOR GAJAH - Seorang lelaki maut dan dua lagi rakannya cedera parah apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki tiga sekawan ini, dirempuh sebuah Proton Perdana di Jalan Bukit Hantu, Rembia-Lendu, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Jeffery Lee Yik, 21, yang berada di tempat duduk sebelah penumpang meninggal ditempat kejadian dan dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Manakala, pemandunya, Yap Jin Yong, 21, dan seorang lagi rakannya, Dickson Khoo Wee Hong, 20, yang berada di tempat duduk penumpang belakang cedera parah dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, kereta Myvi yang dipandu Jin Yong, dikatakan membuat pusingan U dari arah satu lorong sebelum memasuki laluan jalan raya untuk masuk semula ke lorong terbabit bagi menghadiri sebuah program motivasi.

Menurut seorang saksi, yang ingin dikenali Ah Ti, 40, berkata, semua mangsa yang menaiki Myvi itu berada di tepi jalan sebelah kiri dari arah lorong terbabit dan ingin membuat pusingan U untuk masuk semula ke lorong itu.

Katanya, Myvi itu sudah berada di tepi jalan seolah-olah menanti sebuah lagi kereta untuk menerima isyarat jalan yang perlu diikut, kemudian terdapat sebuah kereta memasuki lorong terbabit sebelum diikuti kereta Myvi terbabit.

“Ketika kereta Myvi ini membuat pusingan U, ia sudah memasuki laluan jalan raya dari arah Rembia ke Lendu.

“Tiba-tiba muncul sebuah kereta Perdana yang dipandu seorang wanita berusia lingkungan 20-an merempuh Myvi terbabit,” katanya.

Ah Ti berkata, kereta terbabit tidak sempat memasuki lorong terus dihentam di sebelah kiri kereta hingga menyebabkan kereta itu terperosok ke tebing di sebelah kiri jalan, manakala Proton Perdana itu terbabas ke kiri jalan.

Seorang lagi saksi, Lai Boon Sing, 56, berkata, ketika itu dia yang berada di rumah tidak berapa jauh dari lokasi kejadian tersentak sebaik terdengar bunyi dentuman kuat sebelum bertindak keluar ke lokasi kejadian.

“Saya dapati seorang wanita memanggil untuk mendapatkan bantuan kecemasan, manakala dua orang dari kereta Myvi terbaring di luar kereta dan seorang lagi masih di dalam.

“Saya terus hubungi talian 999 kerana seorang penumpang dalam Myvi tadi, gagal dikeluarkan kerana tersepit selepas dilanggar dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba tak berapa lama kemudian.

Sumber polis berkata, semua mangsa yang menaiki Myvi itu antara 40 peserta dari Klang untuk menyertai sebuah program selama empat hari bermula kelmarin.

“Berkemungkinan mereka tidak tahu lokasi program terbabit memandangkan ia hari pertama mereka mengadakannya dan menunggu isyarat tunjuk arah dari rakan lain sebelum terdapat sebuah kereta memasuki lorong berkenaan,” katanya.
SH

Penunggang maut rempuh belakang lori




KUANTAN - Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggangi merempuh belakang sebuah lori treler membawa muatan batu arang di Jalan Kuantan- Gambang dekat sini, petang kelmarin.

Kemalangan yang mengejutkan pelanggan sebuah restoran berhampiran kira-kira jam 6 petang itu meragut nyawa penunggang malang terbabit, Leong Yit Chee, 27 dari Kampung Melayu Gambang dekat sini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, pemandu lori treler jenis Volvo itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang.

Menurutnya, ketika menghampiri lokasi kejadian, pemandunya cuba memperlahankan kenderaan untuk berhenti di bahu jalan.

“Mangsa yang menunggang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori sebelum tercampak jatuh ke atas jalan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa yang parah di bahagian kepada meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada kegagalan penunggang terbabit mengelak lori di hadapan bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Kena cekup ketika khayal




KUANTAN – Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan berjaya merampas enam kilogram ganja yang bernilai kira-kira RM18,000 hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Rangin, Permatang Badak, di sini, 30 Mei lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi tu, polis yang dibantu orang awam berjaya menahan dua pemuda berusia 19 dan 22 tahun yang ketika itu sedang khayal menghisap syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Tahar berkata, polis terpaksa memecahkan pintu rumah selepas pemuda berkenaan berkeras tidak mahu membuka pintu walaupun berkali-kali diketuk.

“Sebaik sahaja pintu dibuka, berlaku pergelutan kerana pemuda terbabit cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, polis gagal menjumpai sebarang bukti hasil pemeriksaan fizikal yang dijalankan ke atas dua remaja berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan, polis menemui satu beg plastik berwarna hitam di atas lantai dalam bilik.

“Polis mendapati dalam beg plastik berkenaan mengandungi lima paket plastik lut sinar, dengan setiap paket mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja bersama satu botol kaca yang diguna untuk menghisap syabu.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua pemuda tersebut positif Methamphetamine dan disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Zulkifli berkata, soal siasat telah dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan dan polis sekali lagi membuat serbuan di rumah yang sama kira-kira jam 9.30 pagi hari yang sama.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan rumah menjumpai satu beg plastik berwarna biru di celah pintu kayu yang mengandungi enam ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja setiap satu.

“Barang kes tersebut telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kata Zulkifli, hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua kesalahan rekod lampau yang melibatkan kes kecurian motosikal dan penyalahgunaan dadah, manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai kesalahan rekod lampau.
SH

Anak gadis dirayu pulang




BANDAR JERANTUT – Sepasang suami isteri yang menetap di Kampung Melayu, dekat sini, Zainudin Dollah, 45, dan isterinya, Zarena Ednan, 41, merayu anak gadis mereka, Nur Zaidatul Nadirah, 18, agar pulang ke pangkuan keluarga.

Zainudin berkata, anak gadisnya yang lebih mesra dipanggil `Angah’ dalam kalangan ahli keluarga, keluar dari Kuarters Kerajaan Kampung Melayu tempat mereka sekeluarga menetap, pada 18 Mei lalu.

Menurutnya, anaknya itu keluar sekitar jam 10.30 pagi ketika ibunya pergi membeli barang di pasar, dan ketika itu dia cuma membawa beberapa helai pakaian serta barang peribadi.

“Isteri saya menyedari Angah sudah tiada di rumah setelah pulang dari pasar Jerantut sejam kemudian.

“Sehari sebelum Angah keluar rumah, saya ada memarahi dia kerana enggan pergi bekerja di sebuah stesen pam minyak di bandar ini,” katanya di sini.

Zainudin berkata, dia sebenarnya bukan berniat untuk marah, tetapi lebih kepada teguran kerana anaknya enggan pergi bekerja, sedangkan sebelum itu keizinan telah diberi untuk membenarkan dia bekerja di stesen minyak tersebut buat sementara waktu.

Menurutnya, kerja sementara itu adalah kemahuan anaknya sendiri sambil menunggu keputusan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di sebuah sekolah menengah di sini.

“Kami sekeluarga amatlah mengharapkan agar Angah segera pulang, kerana pakaian seragam dan keperluan lain sudah disediakan.

“Ayah sedia memaafkan segala perbuatan Angah, tetapi Angah tolonglah pulang ke pangkuan keluarga. Kami semua risau akan keselamatan Angah,” katanya.



Pelbagai usaha dilakukan



Sementara itu, Zarena berkata, Angah anak kedua daripada empat beradik, tidak pulang sehingga hari ini.

Menurutnya, usaha mengesan anaknya dengan menghubungi saudara mara di Kuala Lumpur, Melaka, Kuantan dan Temerloh telah dibuat, tetapi masing-masing tidak tahu maklumat lokasi remaja tersebut.

“Kami sekeluarga juga turut menggunakan khidmat beberapa bomoh di sini, tetapi hampa kerana tidak tahu ke mana haluan Angah menghilangkan diri.

“Nombor talian telefon bimbitnya turut dimatikan, keadaan ini benar-benar merunsingkan kami untuk mencarinya,” katanya.

Menurut Zarena, kehilangan anaknya itu turut dilaporkan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut pada 22 Mei lalu, namun sehingga ke hari ini belum mengada perkembangan positif.

Menurutnya, sejak Angah meninggalkan rumah, dia berendam air mata sepanjang masa, malah kesihatannya turut terganggu tatkala mengenangkan nasib anaknya itu.

“Saya bimbang keselamatan Angah termasuk makanan dan tempat tinggalnya sehingga kesihatan saya mula terganggu dan badan kerap kali sakit.

“Emak juga memaafkan Angah di atas segala perbuatan yang lalu. Angah pulanglah, kami berdoa dan menunggu Angah di rumah,” katanya.

Zarena berkata, orang ramai yang pernah ternampak Nur Zaidatul Nadhirah atau mengetahui lokasi anaknya itu diminta menghubungi mereka di talian 0179041786 (Zainudin) dan 0196069554 (Zarena) atau balai polis berhampiran.
SH

SPRM siasat kes terima wang


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus menyiasat dakwaan beberapa pihak terhadap penulis blog, Syed Azidi Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella yang dakwa menerima wang RM350,000 dari Exco Kelantan, Datuk Husam Musa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, pihaknya sudah lama menyiasat kes itu dan akan meneruskannya hingga selesai.

“Kita akan lengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Latihan Asas Suruhajaya Anti Rasuah Bhutan, di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Zakaria Jaafar; Pengarah MACA, Datuk Samarajoo Manikam dan Ketua Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Anti Rasuah Bhutan, Dorji Thinlay.

Semalam, akhbar melaporkan, Kickdefella mengaku menerima wang terbabit secara berperingkat pada 2009 melalui ‘orang tengah’.

Beliau juga mengaku wang itu bukan dibayar untuk berkempen bagi pihak Husam merebut jawatan Naib Presiden untuk pemilihan pada Muktamar Pas kali ke-57 ini.

Katanya, RM50,000 daripada jumlah wang itu adalah berkaitan pembayaran kos tertunggak selepas kontraknya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ditamatkan pada 10 November 2009, manakala selebihnya dipercayai sebagai wang pampasan.

Antara blog yang mendedahkan bayaran diterima Kickdefella daripada Husam itu adalah Selangor Bangkit di http://medan-info-kita.blogspot.com; dan Lydia USM di http://lydiausm72.blogspot.com dan Papa Gomo di http://www.papagomo.com.

Mengenai program latihan asas dijalankan pihak MACA itu, Abu Kassim berkata, program itu adalah kursus asas pertama dianjurkan pihaknya di sini, sejak tiga minggu lalu.

“Mereka didedahkan tentang perkara asas dalam siasatan, risikan dan aktiviti berkaitan.

“Sebelum ini, kita sudah banyak jalankan kursus khas yang tajuknya ditentukan negara masing-masing antaranya Vietnam dan Fiji,” katanya.
SH

OKU bertarung nyawa 14 jam




ALOR LIMBAT – “Derita anak saya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, daging bahagian belakang badannya terpaksa diambil melalui rusuk kiri manakala kulit paha pula digunakan untuk menutup tumit yang hancur dan terpaksa menjalani pembedahan selama 14 jam akibat kemalangan menimpanya,” kata Han Pin Wai, 57, bapa kepada mangsa, Han Siow Chong, 26.

Kini, anaknya itu tidak lagi mampu berjalan normal dan perlu berehat di rumah dalam tempoh yang panjang selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu pada 18 Januari lalu.

Pin Wai berkata, ketika kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Siow Chong, anak kedua daripada tiga beradik dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Padang Midin dari tempat kerja dengan menaiki motosikal sebelum dilanggar sebuah kereta di persimpangan itu.

“Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan terpaksa menjalani pembedahan selama 14 jam sebelum terlantar di HSNZ 22 hari kemudian dipindahkan pula ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Selepas tiga bulan di HUSM kami membawanya pulang tetapi dia masih perlu menjalani rawatan secara berjadual di hospital itu sebelum perjumpaan terakhir dengan pakar pembedahan plastik dan pakar tulang pada 16 dan 27 Jun ini,” katanya.

Pin Wai berkata demikian ketika ditemui selepas mereka sekeluarga menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah dan Pengerusi Kebajikan Masyarakat Cina Alor Limbat, Ng Kok Tee, 46, di rumah mereka di Taman Padang Midin, di sini.

Pin Wai yang juga pesara swasta berkata, Siow Chong sebelum itu bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan dan menjadi harapan keluarga mencari rezeki tambahan walaupun anaknya itu dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Kini, Pin Wai dan isteri, Tong Li Hua, 59, pula terpaksa menjual kuih secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan dan keperluan anaknya yang memerlukan RM2,000 sebulan bagi menampung kos perubatan dan pemeriksaan di HUSM.

“Mujurlah Siow Chong ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 selain kami menerima bantuan kewangan daripada abang dan adiknya bagi menampung keperluan perubatan,” katanya.

Sementara itu, Alias turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.
SH

Maut ditetak lepas calar kereta



TAWAU - Gara-gara mencalarkan kenderaan, seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak beberapa kali dbahagian badan dalam satu kejadian di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Tawau ACP Ibrahim Chin berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 malam, selepas lelaki berusia lingkungan 30-an itu mencalarkan kenderaan yang diletak di Lorong 9, Taman Semarak, di sini.

Lelaki itu yang dipercayai melakukan vandalisme ke atas dua kenderaan terbabit dikejar oleh seorang lelaki lain menghala ke Lorong 2, yang kemudian bertindak menetaknya, kata Ibrahim kepada Bernama, di sini hari ini.

Akibat tetakan tersebut, mangsa putus satu jari tangan namun dia masih berupaya melarikan diri sambil dikejar oleh sekumpulan pemuda yang menyedari perbuatannya sebelum itu.

Mangsa kemudian terjatuh dan dipercayai sekali lagi ditetak bertalu-talu sebelum kejadian disedari orang ramai yang menghantarnya ke Hospital Tawau dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 pagi.

Sehubungan itu, Ibrahim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan. - Bernama
SH

Bayi Enam Bulan Maut Akibat Tersedak Makanan


KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia semalam akibat tersedak, sehari selepas mengalami muntah selepas diberi makan oleh ibunya di rumah mereka di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supritendan Aida Abdul Hamid berkata laporan bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu bercampur makanan.
Bayi malang itu, Rania Batrisyia Zulazmi, meninggal dunia kira-kira 3.30 petang Jumaat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini, katanya kepada Bernama ketika dihubungi Sabtu.
Sementara itu, nenek bayi itu, Ramlah Baba, 63, berkata dia dimaklumkan bahawa cucunya muntah dan tidak bermaya selepas diberi makan oleh ibunya pada Khamis sebelum dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan.
"Namun, doktor di klinik itu mengesahkan cucu saya tidak mengalami tanda tersedak makanan," katanya kepada pemberita di PPUM di sini Sabtu.
Beliau berkata cucunya itu dihantar bapanya ke rumah pengasuh berhampiran dengan rumah mereka, semalam.
"Kira-kira 12 tengah hari semalam, pengasuh cucu saya menghubungi menantu saya dan memaklumkan bahawa Rania dihantar ke PPUM setelah mendapati badannya sudah tidak bermaya sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.
Rania Batrisyia adalah anak tunggal pasangan itu. - BERNAMA
mStar Online : Bayi Enam Bulan Maut Akibat Tersedak Makanan

Peniaga Diarah Bela Diri Tuduhan Rogol


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, memanggil seoran peniaga untuk membela diri atas pertuduhan merogol, yang didakwa berlaku lima tahun lalu.
Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan tersebut terhadap Noorsariffudin Rosli, 27, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan prima facie untuk dijawab tertuduh.
Tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun pada antara pukul 6 dan 7 petang, 3 Februari 2006 di sebuah bilik tidur di Taman Desa Setapak, di sini.
Perbicaraan sebelum ini melibatkan 10 saksi pendakwaan.
Fathiyah seterusnya menetapkan 4 Ogos dengan untuk tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan bersumpah membela diri.
Sementara itu, di mahkamah sama, lima sahabat dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan merogol dan melakukan seks oral terhadap dua remaja di sebuah hotel, dua tahun lalu.
Semua remaja terbabit yang berusia antara 16 dan 18 tahun semasa kejadian, dibebaskan selepas Fathiyah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk menimbulkan prima facie terhadap mereka.
Semua mereka didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun antara pukul 6.30 petang, 1 Disember 2009 dan 2 pagi keesokan harinya di hotel di Jalan Klang Lama, di sini.
Mereka juga menghadapi pertuduhan kedua kerana didakwa melakukan seks oral terhadap seorang lagi mangsa yang juga berusia 14 tahun pada masa dan di tempat yang sama.
mStar Online : Peniaga Diarah Bela Diri Tuduhan Rogol

Tiga Bersaudara Terbunuh Dalam Nahas Jalan Raya Di Kinabatangan


KINABATANGAN: Tiga bersaudara terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas ketika mengelak jalan yang rosak di kilometer 100 Jalan Sandakan-Lahad Datu, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Supritendan Jaini Abdul Kadir berkata kemalangan berlaku kira-kira 12.30 tengah hari apabila pemandu kereta itu, Datu Rozi Datu Eranza cuba mengelak jalan yang rosak, menyebabkan kereta itu hilang kawalan danterbalik beberapa kali sebelum melanggar sebatang pokok sawit di tepi jalan.
Mangsa yang terbunuh ialah Maslinah Datu Indal Bangsu, 39, iaitu isteri pemandu, Datu Ahmad Nazri Datu Eranza, 20, (adik pemandu) dan Nurjuhhuriah Abdul Kal, 23, (anak saudara pemandu).
Seorang lagi anak saudara pemandu, Shazrin Abdul Hissen, 12, patah kedua-dua kakinya manakala Datu Rozi, 37, hanya mengalami cedera ringan, katanya ketika dihubungi Sabtu.
Sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan balik dari Kota Kinabalu ke kampung mereka di Semporna.
Jaini berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh anggota keluarga mereka hari ini untuk dikebumikan. -BERNAMA
mStar Online : Tiga Bersaudara Terbunuh Dalam Nahas Jalan Raya Di Kinabatangan

Lelaki tetak bekas pemilik rumah sewa


KLANG 4 Jun - Seorang lelaki berusia 27 tahun bertindak nekad dengan menetak bekas tuan rumah yang disewanya menggunakan parang di Taman Sentosa di sini semalam.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan turut melarikan rantai emas milik ibu mangsa.
Mangsa yang berusia 21 tahun ditetak ketika menghalang suspek yang bertindak menarik ibunya di belakang rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, keadaan menjadi kelam-kabut apabila mangsa bergelut dengan suspek yang cuba menghampiri ibu mangsa untuk mencederakan wanita itu.
Tambah Mohamad, jiran yang terdengar bunyi bising kemudian bergegas menyelamatkan mangsa namun suspek berjaya melarikan diri.
"Suspek melarikan diri bersama parang yang digunakannya selepas menyedari tindakannya itu dikesan oleh jiran mangsa.
"Setakat ini suspek masih belum dapat dikesan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun," katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia Online - Kota

Mayat mangsa karam ditemui


KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bot pancung yang karam di selatan Tanjung Ayam, Perairan Pengerang di sini, Rabu lalu, ditemui di celah timbunan sampah, petang kelmarin.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Zulkifili Abu Bakar berkata, mayat ditemui pada jam 7.30 petang di kedudukan 2.2 batu nautika, selatan Tanjung Stapa, Pengerang.

“Bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Petir 10 dengan empat anggota melakukan rondaan rutin apabila menemui mayat itu terapung di celah timbunan sampah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ia mayat seorang lelaki yang hampir reput dan lengkap berpakaian, kami percaya dia seorang daripada mangsa bot pancung karam,” katanya semalam.

Menurut beliau, penemuan setengah jam selepas pengumuman rasmi menghentikan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot pancung karam terbabit dibuat.

Zulkifli berkata, mayat dihantar ke Jeti Marina Tanjung Pengelih sebelum diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan.
“Walaupun operasi mencari dan menyelamat dihentikan, bot APMM yang menjalankan rondaan rutin turut memantau mangsa yang masih hilang.

“Orang ramai atau nelayan yang menemui mangsa terdampar di pantai atau hanyut di laut juga diminta memaklumkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.
myMetroMayat mangsa karam ditemui

Cucu hati iblis


SEDIH... Mariam  meneruskan sisa hidup penuh kepayahan sambil menjaga suaminya, Ahmad yang lumpuh.
SEDIH... Mariam meneruskan sisa hidup penuh kepayahan sambil menjaga suaminya, Ahmad yang lumpuh.
IPOH: ‘Cucu iblis’ gelaran layak diberi kepada seorang lelaki yang bukan saja gemar memanggil neneknya ‘babi’, malah kerap membelasah nenek dan datuknya yang lumpuh dengan niat mangsa mati cepat walaupun dia dibela sejak kecil hingga berumahtangga.
Lebih zalim, lelaki berusia 30-an dan bertugas di sebuah hospital di sini turut menggunakan kerusi plastik untuk membelasah datuknya berusia 85 tahun hingga tulang pergelangan tangannya retak.

“Hancur luluh hati makcik kerana bukan saja dilayan seperti hamba di rumah sendiri, malah dimaki hamun, termasuk dipanggil ‘babi’ jika lambat memasak atau melakukan perkara tidak disenanginya.

“Namun paling menyedihkan apabila cucu yang dibesarkan dan dibelai penuh kasih sayang seperti anak sendiri sejak kecil hingga dia berumahtangga, sanggup mendoakan supaya makcik ‘mampus cepat daripada terus menyusahkan hidupnya’,” kata Mariam Puteh Nekmat, 71.

Dalam keadaan sebak dan berlinangan air mata, Mariam berkata, dia tidak tahu apa dosa atau kenapa cucunya bersikap sedemikian dan masih tidak berubah walau sudah berumahtangga.

Katanya, beliau dan suami, Ahmad Idris, 85, tidak pernah berkasar, malah membela cucu mereka ibarat menatang minyak yang penuh sejak kecil hingga sanggup berhabis duit dan bergadai harta benda.

Menurutnya, segala kos sara hidup, termasuk perbelanjaan serta yuran persekolahan cahaya mata anak perempuan sulung mereka, ditanggung sepenuhnya oleh beliau dan suami.

“Saya pernah melakukan pelbagai kerja demi menampung pendapatan suami yang tak seberapa sebagai pekerja am rendah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memastikan dia hidup seperti kanak-kanak lain dan mendapat pendidikan secukupnya.

“Kehidupan kami semakin sukar sejak suami bersara kira-kira 22 tahun lalu apabila wang pencen yang diterimanya selepas ditolak semua hutang, hanya berbaki RM1.05,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Meru 2C, Jelapang, dekat sini, semalam.

Ketika ibu bapa lain mengharungi kehidupan selepas pencen dengan beristirehat dan mengharapkan anak menghulur wang perbelanjaan setiap bulan, Mariam dan suami masih terpaksa mengerah sisa kudrat bagi mengisi perut.

“Hidup saya semakin menderita apabila Ahmad ditimpa dua kemalangan berselang setahun kira-kira tiga tahun lalu, menyebabkan dia hilang upaya bergerak sejak dua setengah tahun lalu.

“Kemalangan itu menyebabkan tulang kaki kiri suami retak hingga terpaksa menjalani pembedahan memasukkan dua besi, dan kesihatan diri yang semakin uzur memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Namun baginya, penderitaan menanggung kesakitan itu masih boleh ditanggung berbanding layanan zalim cucunya.

Ahmad berkata, selepas mengadakan majlis perkahwinan di rumahnya, cucu dan isteri masih tinggal bersama mereka sebelum membuat keputusan mengejut keluar rumah kira-kira setahun lalu.

“Sejak saya tidak dapat bergerak dan terpaksa memakai lampin pakai buang, perangainya semakin zalim apabila menyepak terajang saya setiap kali anginnya tidak baik atau tidak puas hati dengan perkara remeh berlaku di rumah.,” katanya.

“Kali terakhir saya dibelasah teruk ialah sebelum dia keluar rumah apabila dihempuk dengan kerusi, menyebabkan pergelangan tangan kiri retak.

“Kecederaan mungkin bertambah teruk jika neneknya tidak memeluk saya dan menahan pukulan itu dengan belakang badannya,” katanya.

Mariam yang menghidap pelbagai jenis penyakit seperti jantung, darah tinggi, lelah dan kencing manis berkata, sejak keluar dari rumah, cucunya tidak pernah menjenguknya.

Difahamkan, pasangan itu yang mempunyai tiga anak perempuan kini tinggal sebatang kara di Persiaran 22, Taman Meru C, Jelapang dengan mengharapkan bantuan ikhsan orang ramai.
myMetroCucu hati iblis

Ibu berparti, anak mati digigit tikus


SEOWETO: Seorang bayi mati digigit tikus beberapa hari lalu ketika ibunya berusia belasan tahun keluar berparti.
Beberapa jiran berkata, mereka mendengar bayi itu menangis pada tengah malam sebelum menemui mayatnya, penuh dengan kesan gigitan tikus keesokannya.

Ibu bayi itu yang tinggal bersama beberapa rakan sekolah di rumah setinggan, menghabiskan masa sepanjang malam untuk berparti.

“Si ibu itu tidak bertanggungjawab. Dia berseronok minum arak dan hisap dadah serta membiarkan bayinya bersendirian di rumah. Itu sebabnya bayinya mati,” kata seorang jiran. - Agensi
myMetroIbu berparti, anak mati digigit tikus

Sebak lihat mayat anak


pix_middle
BEGINI... Halim   menceritakan bagaimana beliau melihat melalui cermin pandang belakang keretanya.
BEGINI... Halim menceritakan bagaimana beliau melihat melalui cermin pandang belakang keretanya.
MACHANG: Pilu hati seorang bapa apabila melihat dari awal hingga akhir bagaimana anaknya terbabit kemalangan jalan raya sebelum mengangkat jenazah anaknya keluar dari kenderaan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang mengorbankan tiga sepupu termasuk dua beradik, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kilometer 46.8 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, Norhasmalinda Halim, 24, dan dua sepupunya, Nor Aqilah Najiha Mohd Saari, 14, dan Nor Azura Mohd Saari, 18, yang juga adik-beradik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, leher dan badan.

Kejadian berlaku ketika Norhasmalinda dan dua sepupunya dalam perjalanan dari Bandar baru Gua Musang, ke majlis kenduri kahwin seorang sepupu di Kampung Aur, Bachok.
Difahamkan, kereta Wira dipandu Norhasmalinda bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Rexton yang datang dari arah Kota Bharu.

Bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 43, berkata dia dan anaknya bertolak kira-kira jam 7.30 pagi dari Bandar Baru Gua Musang dan berkonvoi dua kereta ke majlis perkahwinan sepupu mereka di Kampung Aur, Bachok.

Katanya, dia menaiki sebuah kereta Mercedes bersama isteri, Mariah Ismail, 45, dan tiga lagi anaknya, manakala Noshasmalinda memandu sebuah lagi kereta bersama dua sepupunya.
“Ketika kira-kira lima kilometer lagi ke simpang Machang, saya melihat cermin belakang dan nampak anak saya terbabit kemalangan. Saya berada di depan selang tiga kereta.

“Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata dan saya berpatah balik untuk melihat keadaan anak tetapi dia sudah meninggal dunia sebelum saya mengangkatnya keluar dari kereta.
“Saya turut melihat dua anak saudara saya tidak lagi bernyawa tersepit di dalam kereta,” katanya yang turut memberitahu dua anak saudaranya tidur di rumahnya di Gua Musang sempena cuti sekolah dan mahu dihantar pulang dalam perjalanan berkenaan.

Menurut Halim, dia tidak mampu berkata apa-apa melainkan menangis melihat sekujur tubuh anaknya.

“Setiap yang hidup pasti akan mati. Justeru, saya reda dengan pemergian anak.

“Cuma, saya terkilan kerana anak sepatutnya habis pengajian dalam jurusan Diploma Elektronik Industri di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Kulim, Kedah selepas tamat amali di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Lundang, kota Bharu, 9 Jun ini,” katanya.

Halim berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya bersikap seperti biasa.

Bagi adik Norhasmalinda, Nor Ashikin Akmel Halim, 21, kakaknya dilihat lebih gemar mendiamkan diri sejak kebelakangan ini sebelum maut dalam kemalangan.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Pantai Melawi, Bachok, selepas Isyak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Che Malik Bedot ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan.
myMetroSebak lihat mayat anak

Tragedi makan guna bekas beracun


TAWAU: Kegembiraan sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki berusia lapan tahun yang bersarapan bertukar tragedi apabila ketua keluarga itu maut manakala isteri dan anaknya kritikal apabila bekas makanan digunakan adalah bekas racun.
Kejadian berlaku di Kampung Wakuba, di sini, kira-kira jam 10 pagi ahad lalu dan ia hanya disedari jiran mangsa yang terlihat keluarga berkenaan pengsan dalam pondok rumah mangsa sebelum membawa mereka ke Hospital Besar Tawau untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, tiga sekeluarga terbabit dipercayai menjamah nasi dan ikan masin sebelum mereka tiba-tiba pengsan, dipercayai akibat keracunan makanan.
“Seorang lelaki berusia 34 tahun iaitu ketua keluarga terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

“Isterinya yang berusia 25 tahun bersama anak lelakinya masih dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Besar Tawau,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ibrahim berkata, setakat ini polis menolak sebarang unsur jenayah kerana kejadian itu membabitkan keracunan bekas makanan dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Kita percaya keluarga terbabit makan nasi dan ikan masin di dalam bekas yang beracun tanpa disedari, seterusnya mengakibatkan mereka pengsan.

“Namun polis masih menunggu laporan pihak hospital yang mengambil semua sampel makanan keluarga terbabit untuk diuji bagi mendapatkan pengesahan punca sebenar kejadian,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga lelaki ditahan selepas didapati memiliki tiga enjin sangkut dipercayai barangan curi.

“Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun ditahan di Kampung Kurnia Jaya selepas serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau, kelmarin.

“Hasil tangkapan itu, PGM Tawau merampas tiga unit enjin bot sangkut masing masing berkuasa 6,15 dan 40 kuasa kuda dipercayai barang curi,” katanya.

Menurutnya, polis percaya enjin berkenaan ada kaitan dengan kejadian pada 12 Mei lalu, di mana seorang nelayan membuat laporan polis berhubung kehilangan enjin sangkutnya 40 kuasa kuda di Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, di sini.
myMetroTragedi makan guna bekas beracun

Anggota Rela dicekup jadi tonto


GEORGETOWN: Rela jadi tonto. Itu yang dilakukan seorang lelaki juga dipercayai anggota Rela apabila menyalahgunakan kuasa untuk menjadi penghubung sindiket perjudian komputer Internet di sekitar bandar ini.
Difahamkan, lelaki itu menggunakan walkie talkie untuk memberi maklumat jika ada serbuan polis di premis judi itu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila dia ditahan dalam serbuan besar-besaran di sekitar bandar ini, kelmarin, oleh sepasukan polis Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bukit Aman.
Dalam operasi tiga jam bermula 4 petang, 13 pengunjung dan 13 penjaga premis ditahan untuk siasatan lanjut.

Pegawai Turus D7 IPK Pulau Pinang, Asisten Superintendan Mohd Sauti Harun berkata, polis merampas 168 komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dan wang tunai berjumlah RM6,880.

“Seorang lelaki yang mempunyai kad kuasa anggota Rela turut ditahan dalam serbuan itu dan kita masih menyiasat sama ada dia bertindak sebagai tonto untuk sindiket judi itu.
“Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 80 tahun dan mereka dibawa ke balai untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
myMetroAnggota Rela dicekup jadi tonto

Tiga maut rempuh pokok sawit


KOTA KINABALU: Tiga sekeluarga terbunuh dalam kemalangan yang disifatkan sebagai ‘insiden sawit’ selepas pacuan empat roda dinaiki lima beranak itu merempuh pokok sawit ketika pulang ke kampung halaman di Kinabatangan sempena cuti musim sekolah, kelmarin.
Kejadian berlaku di Kilometer 100, Jalan Sandakan-Lahad Datu, di sini, kira-kira jam 1 petang kelmarin selepas Isuzu D-Max dipandu Datu Rozi Datu Eranza, 37, dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pokok sawit berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Jaini Abdul Kadir berkata, mangsa yang terbunuh ialah isteri pemandu, Maslinah Datu Indal Bangsu, 39, adik pemandu, Datu Ahmad Nazri Datu Eranza, 20, dan anak saudara, Nurjuhuriah Abdul Kal, 23.
“Maslinah dan Datu Ahmad Nazri terbunuh di tempat kejadian, manakala Nurhujuriah yang cedera parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Daerah Kinabatangan.

“Datu Rozi cedera ringan manakala anak saudaranya, Shazirim Abdul Hussin, 12, cedera parah,” katanya.

Menurutnya, kenderaan dinaiki mangsa yang dalam perjalanan balik ke kampung di Kampung Bubul, Semporna, hilang kawalan selepas pemandunya cuba mengelak jalan berlubang.
“Ia menyebabkan kereta terbabas lalu berpusing sebelum merempuh pokok sawit di kawasan berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, tiga penumpang maut dan dua lagi cedera parah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan, namun seorang meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat cedera parah di kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Jaini berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan.
myMetroTiga maut rempuh pokok sawit

Dua jam kaki tersepit dalam lubang tandas

MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terpaksa menahan sakit hampir dua jam selepas kaki kirinya tersepit dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Krubong Perdana, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Fakrul Hakim Mohd Fauzi, 8, dipercayai tergelincir ke dalam lubang tandas ketika hendak mandi menyebabkan kaki kirinya tersepit hingga paras paha.

Pegawai Operasi Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Hadzar Hassan berkata usaha mengeluarkan kaki kanak-kanak itu berjaya dilakukan kira-kira jam 8.26 malam berikutan struktur konkrit pada lantai tandas berkenaan sukar dipecahkan.
“Keluarga mangsa menghubungi pihak bomba bagi meminta bantuan menyelamatkan kanak-kanak itu pada jam 7.15 malam,” katanya.
Berita Harian Online | Dua jam kaki tersepit dalam lubang tandas

Bayi maut tersedak susu


ZULAZMI mengangkat jenazah anaknya di PPUM semalam.
ZULAZMI mengangkat jenazah anaknya di PPUM semalam.
KUALA LUMPUR: “Saya tidak sangka cucu bongsu yang saya jaga dan tatang sejak lahir, meninggal dengan cara ini.”

Kesedihan itu disuarakan Ramlah Baba, nenek Rania Batrisyia Zulazmi - bayi perempuan enam bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu sewaktu tidur ketika dalam jagaan pengasuhnya di apartmen Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, di sini, petang kelmarin.
Ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Ramlah, 63, turut kesal kerana tidak sempat bermesra buat kali terakhir dengan cucu keenam yang juga cahaya mata tunggal anak sulungnya, Radiana Rais, 37 serta pasangannya, Zulazmi Jamaludin, 41, itu kerana berada di Melaka menjaga suaminya yang sakit.
“Dari hari pertama cucu saya lahir hinggalah umurnya empat bulan, sayalah yang menjaganya kerana ibunya tidak mahu orang lain menjaganya kerana dia lebih percayakan saya,” katanya semalam.

Berita Harian Online | Bayi maut tersedak susu