Search This Blog

Friday, June 3, 2011

Penculikan Nazarudin dirancang rapi - Polis



KUALA LUMPUR 2 Jun - Penculikan seorang ahli perniagaan Malaysia, Nazarudin Saidin di Pulau Jolo, selatan Filipina awal bulan lalu dipercayai telah dirancang rapi oleh satu sindiket penipuan rakyat tempatan yang mempunyai kaitan dengan sindiket penculikan di negara tersebut.
Malah, sebelum ini, terdapat lima kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak tahun lalu, sebelum kejadian yang menimpa Nazarudin dilaporkan.
Kelima-lima mangsa dalam kejadian itu bagaimanapun tidak diculik kerana mampu membuat pembayaran seperti yang dituntut sindiket berkenaan.
Menurut sumber, rakyat tempatan yang terlibat dalam sindiket penipuan itu dikatakan mempunyai latar belakang pelarian yang bermastautin di negara ini sebelum mendapat status penduduk tetap.
Kata sumber itu, terdapat tiga lelaki yang dipercayai membuat pakatan dengan sindiket berkenaan termasuk seorang lelaki dikenali sebagai Ustaz Waris yang dikatakan berjaya mempengaruhi Nazarudin.
"Ustaz Waris mempengaruhi Nazarudin yang mendakwa mengetahui lokasi sebenar cicak tokek itu berada.
"Salah seorang daripada sindiket itu pula berperanan meminta sejumlah wang sebagai upah mencari cicak tokek yang dikatakan berada di atas gunung di selatan Filipina.
"Ustaz Waris yang berasal dari Bugis bagaimanapun gagal dihubungi atau dikesan selepas kes penculikan itu diberi liputan meluas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Nazarudin diculik kumpulan Abu Sayyaf pada 7 Mei lalu yang dilaporkan meminta wang tebusan berjumlah sebanyak lapan juta peso (RM558,000) daripada seorang pegawai konsul Malaysia.
Ahli perniagaan cicak tokek berusia 38 tahun itu diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata berhampiran bandar Indanan di Pulau Jolo, selatan Filipina.
Mengulas lanjut, kata sumber itu, Nazarudin telah membayar 15,000 peso (RM1,045) kepada salah seorang ahli sindiket itu sebaik sahaja tiba di Filipina.
"Selang beberapa hari kemudian, lelaki berkenaan meminta lagi sejumlah wang untuk menguruskan lesen perniagaan cicak tokek. Nazarudin yang hanya membawa RM4,500 ketika itu mendakwa tidak mampu menunaikan permintaan itu sebelum dia kemudiannya diculik ketika sedang tidur," katanya.
Jelas sumber itu, kegiatan penculikan di selatan Filipina merupakan satu senario biasa akibat masalah ekonomi yang kritikal sehingga menyebabkan wujudnya pelbagai kegiatan jenayah.
"Abu Sayyaf merupakan satu jenama dan pelbagai sindiket menggunakan jenama itu untuk menaikkan nilai tebusan.
"Dalam 'perniagaan' penculikan ini, muncul banyak orang tengah dan pihak-pihak yang mahu mengaut keuntungan lebih kerana semakin lama tebusan ditahan, semakin tinggi nilainya kerana kos penginapan, pengangkutan, makan minum diambil kira," katanya lagi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

500 militan Taliban gempur pos sempadan Pakistan




Tentera Pakistan melepaskan tembakan meriam ke arah tempat persembunyian militan di kawasan pergunungan yang dikuasai kabilah Mohamad Gat di daerah pergunungan Mohmand di Waziristan Utara, kelmarin. – AFP


PESHAWAR 2 Jun – Sekurang-kurangnya 500 militan Taliban menggempur sebuah pos sempadan Pakistan dekat Afghanistan masuk hari kedua hari ini, membunuh 23 anggota polis dan lima penduduk awam dalam pertempuran paling sengit sejak beberapa bulan lalu.
Lebih 20 anggota polis cedera, manakala 35 militan maut dalam pertempuran yang masih berlarutan itu.
Seorang pegawai kanan polis berkata, 500 militan terdiri daripada anggota Taliban Pakistan dan gerila Taliban Afghan yang menyeberangi sempadan menyertai serangan yang bermula sebelum subuh, semalam dan berlarutan lebih 24 jam kemudian.
Militan menyerang pos sempadan Shaltalu yang dikelilingi gunung-ganang dan hutan di daerah Upper Dir, barat laut Pakistan, kira-kira enam kilometer dari sempadan dengan wilayah Kunar di Afghanistan.
Tentera Pakistan menghantar askarnya ke pos sempadan polis itu, mengerahkan helikopter penggempur dalam usaha untuk mematahkan serangan di kawasan sempadan yang mudah dibolosi itu, di mana militan Taliban dan al-Qaeda berkubu.
“Kami menawan semula sebahagian besar kawasan tetapi pertempuran masih berlarutan di beberapa lokasi dekat pos sempadan yang diserang,” kata pegawai kanan polis, Qazi Jamil ur-Rehman.
Katanya, 28 orang terbunuh dalam serangan itu, terdiri daripada 23 anggota polis dan lima penduduk awam termasuk dua wanita yang maut apabila bom mortar yang dilancarkan oleh militan ke arah pos tersebut mengenai rumah-rumah penduduk berdekatan.
“Askar Kor Perbatasan (separa tentera), helikopter dan pasukan artileri tentera serta anggota polis menyertai operasi itu,” kata Rehman. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Ah long tipu mangsa melalui e-mel




Koh Ah Tiam (tiga kiri) melihat poster dan kain rentang iklan ah long yang diturunkan di Kuantan, semalam.


KUANTAN 2 Jun - Polis mengesan terdapat satu sindiket peminjam wang tidak lesen atau ah long yang aktif menipu orang ramai melalui e-mel kononnya dihantar oleh pihak bank.
Mereka juga dipercayai menggunakan logo bank palsu untuk mendapatkan maklumat peribadi pemegang akaun sebelum melesapkan wang di dalam akaun mangsa sehingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Supritendan Koh Ah Tiam berkata, mangsa yang menerima kiriman e-mel diarahkan supaya memberi kata laluan dan nombor pengenalan diri kononnya untuk mengemas kini akaun.
Bagaimanapun, tambahnya, maklumat berkenaan digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa ke akaun lain.
Kata beliau, kes penipuan itu dilaporkan meningkat secara mendadak pada tahun ini di negeri ini.
"Dalam tempoh lima bulan sahaja, sebanyak 22 kes melibatkan sindiket itu telah dilaporkan berbanding hanya tujuh kes sahaja tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas operasi menurunkan iklan ah long oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) negeri dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini semalam.
Menurutnya, sindiket itu sangat licik dalam memperdayakan mangsa apabila golongan profesional seperti guru, pensyarah dan doktor turut menjadi mangsa mereka.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket itu dan jangan mendedahkan maklumat akaun bank kepada sesiapa kerana pihak bank tidak akan meminta maklumat berkenaan sama ada melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.
Sementara itu, hampir 100 poster dan kain rentang iklan ah long diturunkan pada operasi itu membabitkan 20 anggota polis daripada JSJK negeri dan penguat kuasa MPK.
Katanya, operasi tersebut diadakan secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak membuat pinjaman dengan ah long sebaliknya dengan syarikat kewangan yang mempunyai lesen sah.
Utusan Malaysia Online - Pahang

Tiga lelaki ditahan edar dadah 640 gram



KUANTAN 2 Jun - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan bersama 640 gram ganja di Kilometer 198, Jalan Kuala Lumpur- Kuantan dekat Kampung Sempadan Lanchang, kelmarin.
Suspek yang berusia 41 tahun ditahan pada pukul 11.30 pagi ketika menunggang motosikal jenis EX5 berseorangan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supritendan Yap Toon Khuan, hasil pemeriksaan polis menemui satu peket plastik dipercayai ganja milik suspek.
"Ganja itu ditemui dalam poket kanan baju suspek dan hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui 11 gram ganja dalam poket seluar kirinya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, pada hari yang sama, dua remaja lelaki berusia 19 dan 21 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Rangin, Permatang Badak dekat sini.
Menurutnya, dalam serbuan pukul 9.30 pagi itu, pihaknya menemui enam kilogram ganja yang diletakkan di dalam plastik di rumah tersebut.
Tambahnya, polis bertindak di atas maklumat orang awam dan kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Utusan Malaysia Online - Pahang

Dadah RM1.1 juta dirampas, 3 sindiket tumpas



KUALA LUMPUR 2 Jun - Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah setelah merampas sejumlah 11.49 kilogram syabu, Eramin 5 dan heroin bernilai RM 1.1 juta dalam serbuan berasingan yang diadakan di ibu negara awal minggu ini.
Kesemua serbuan dilakukan dalam tempoh tiga hari susulan intipan polis dan hasil maklumat daripada orang awam.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, serbuan pertama dilakukan di Taman Bukit Anggerik, Cheras pada Isnin lalu melibatkan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki dan wanita tempatan yang menjadikan sebuah bilik di rumah itu sebagai tempat pemprosesan dadah.
"Hasil serbuan itu, kita merampas 4.75 kilogram dadah jenis heroin dan bahan-bahan yang disyaki untuk membuat dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan kedua tengah malam semalam, polis menahan sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki warga Uzbekistan berusia 29 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ismail kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
"Dalam serbuan itu, polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi ketulan jernih yang disyaki syabu seberat 711 gram.
"Selepas menyoal siasat lelaki itu, polis menahan dua wanita rakan senegaranya dan seorang lelaki Filipina berusia antara 29 hingga 37 tahun di sebuah apartmen servis di Jalan Ampang.
"Kita juga merampas dadah jenis syabu seberat 5.8 kilogram. Hasil saringan mendapati kesemua suspek positif mengambil dadah," katanya lagi.
Amar Singh memberitahu, pada hari yang sama kira-kira pukul 2 petang, polis menumpaskan satu lagi sindiket dadah yang didalangi empat lelaki dan seorang wanita tempatan.
"Dalam serbuan itu, kita merampas sejumlah 158.2 gram dadah jenis Eramin 5 di sebuah rumah di Kampung Pandan, Cheras," katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kesemua suspek dalam ketiga-tiga serbuan itu positif mengambil dadah kecuali salah seorang suspek wanita tempatan.
"Mereka direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Kota

Maut dirempuh sepupu sendiri


REMUK...kereta Jamil yang terbabit kemalangan, kelmarin. Gambar kecil,  Kamis Kasan.
REMUK...kereta Jamil yang terbabit kemalangan, kelmarin. Gambar kecil, Kamis Kasan.


ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas yang digelar Penghulu Rimba di kalangan penduduk Simpang Ampat, dekat sini, maut dalam kemalangan dan lebih menyedihkan dia dirempuh kereta dipandu sepupunya sendiri ketika mangsa mahu melintas jalan di Kampung Kemus Dalam, kira-kira jam 9 malam, kelmarin.
Kamis Kasan, 72, yang baru pulang dari pasar malam di sebuah taman berdekatan, dilanggar kereta Kancil dipandu sepupunya, Jamil Sidi, 47, yang dalam perjalanan dari Tampin ke Simpang Ampat.

Jamil tidak menyedari mangsa berada di tengah jalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taboh Naning.

Menurut Jamil, ketika menghampiri tempat kejadian tiba-tiba sepupunya yang bertongkat dan memakai kopiah putih melintas jalan tanpa menoleh kiri dan kanan jalan.

“Dari jauh saya tak sedar arwah berdiri di tengah jalan kerana agak gelap untuk melintas jalan tambahan pula kenderaan berderet di kiri dan kanan jalan membuatkan mata saya lebih tertumpu pada cahaya kenderaan yang lalu lalang.


“Apabila kenderaan saya semakin hampir dengan arwah yang berdiri itu tiba-tiba dia melintas menyebabkan saya tidak sempat menekan brek lalu merempuhnya menyebabkan dia melambung ke atas cermin depan kereta.

“Sedih dan amat terperanjat kerana saya langgar sepupu sendiri. Saya kesal, tapi kejadian sudah berlaku,” katanya ketika ditemui.

Menurut Jamil, dia trauma mengenangkan sepupunya yang bertongkat melambung ke atas keretanya hingga cermin hadapan keretanya pecah sebelum tercampak semula ke tengah jalan raya.

“Saya tergamam sebaik kejadian berlaku dan ketika itu arwah masih bernafas sebelum meninggal tidak lama selepas itu,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu mangsa, Che Tom Kasan, 55, berkata abangnya yang mendapat gelaran Penghulu Rimba kerana sikapnya yang gemar berjalan sambil bertongkat untuk ke mana-mana termasuk ke kampung bersebelahan datang menjenguknya kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin untuk makan tengah hari sebelum keluar jam 4.30 petang.ya.

myMetro | Maut dirempuh sepupu sendiri

Amuk teguk air jampi


AMPANG: Gara-gara minum air jampi bomoh, seorang lelaki mengamuk sebelum nekad untuk terjun dari tingkat lima sebuah pangsapuri, di sini, kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.
Sebelum kejadian, lelaki itu dan isterinya, kedua-duanya berusia 27 tahun berjumpa seorang pengamal perubatan berusia 40-an itu untuk mengubati penyakit dihidapinya yang kononnya terkena buatan orang.

Sumber polis berkata, lelaki itu diberi sebotol minuman yang didakwa sudah ‘dijampi’ dan mampu memulihkan penyakitnya.

“Selepas pulang ke rumah saudaranya di sini, lelaki itu minum air berkenaan sebelum tertidur.


“Kira-kira dua jam kemudian dia tersedar dan meronta-ronta seolah-olah dirasuk. Dia memarahi isterinya dan menuduh isterinya curang, malah mahu mahu membunuh isterinya.

myMetro | Amuk teguk air jampi

Duda durjana


KANGAR: Bukan sahaja dicerai suami, malah seorang wanita berusia 25 tahun turut menjadi mangsa samun bekas suaminya itu apabila beg tangan miliknya dilarikan lelaki durjana itu selepas cermin kereta dipandu mangsa dipecahkan di Guar Musang, Chuping, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.50 malam, mangsa seorang penjawat awam, memandu kenderaannya bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumah dari Bukit Kayu Hitam, Kedah apabila dihalang bekas suaminya yang berusia 30-an.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, mangsa diekori suspek menggunakan kereta sebelum bekas suami memintas dan menghalang kenderaannya.

Katanya, kereta dinaiki mangsa dihalang kenderaan bekas suami sebelum suspek mengarahkannya keluar.

“Mangsa yang ketakutan bertindak mengunci kenderaan dari dalam, tetapi suspek memecah cermin kereta menyebabkan mangsa berlari keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.


Menurut Che Man, mangsa cuba mengambil semula beg tangan yang disamun bekas suaminya, tetapi gagal berikutan tindakan agresif suspek.

Che Man berkata, wanita itu dikejar bekas suaminya sebelum terjatuh di tepi jalan dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Bagaimanapun orang ramai yang melihat kejadian itu membantu wanita itu, namun bekas suaminya sempat merampas beg tangan mangsa dan melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, wanita yang cedera ringan itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Difahamkan wanita berketurunan Thailand dan bekas pasangannya baru sahaja bercerai.


Sementara itu, Che Man berkata, polis belum dapat mengesan lelaki terbabit namun sudah mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

myMetro | Duda durjana

Hantar pulang


JOHOR BAHRU: Semua 17 pendatang asing tanpa izin Indonesia yang terselamat dalam tragedi bot karam di kedudukan 3.5 batu nautika, selatan Tanjung Ayam, Perairan Pengerang di sini, awal pagi kelmarin, sudah dihantar pulang ke Pulau Batam, Indonesia.
Penolong Pengarah Imigresen Negeri Johor, Masri Adol berkata, misi menghantar pulang mangsa dijalankan selepas perbincangan dengan pihak Kedutaan Indonesia, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

“Kiami sudah meneliti laporan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan menjalankan siasatan lanjut terhadap mangsa yang selamat.

“Apa yang pasti, kami mendapat maklumat semuanya memang diseludup keluar dari perairan negara menuju ke Pulau Batam dengan bayaran kira-kira RM750 seorang.

“Namun, atas dasar perikemanusiaan dan mengambil kira kejadian ini membabitkan kemalangan nyawa, kami membuat keputusan menghantar mereka pulang,” katanya.


Menurut Masri, pihaknya bersetuju dengan laporan APMM berkaitan ‘laluan tikus’ yang wujud di beberapa lokasi sekitar perairan Pengerang.

“Saya setuju dengan APMM kerana memang ada laluan tikus, pemantauan di lokasi terbabit sentiasa berjalan, namun yang menjadi masalah adalah sikap pendatang asing itu sendiri.

“Mereka berani melakukan apa saja termasuk memilih jalan bahaya untuk keluar masuk ke negara ini berbanding menggunakan laluan selamat dan sah,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan tindakan Jabatan Imigresen menghantar pulang mangsa terbabit, Masri berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan kedua-dua pihak.

“Sukar untuk mengulas lanjut tetapi kita memilih untuk menghantar mereka pulang selepas mendapat persetujuan bersama dengan pihak Kedutaan Indonesia. “Kita perlu bertindak wajar kerana kes ini membabitkan nyawa penumpang,” katanya.


Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, 17 Pati Indonesia selamat, manakala tujuh lagi masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak besar.


Ia berlaku ketika bot kayu membawa 24 penumpang lelaki termasuk tekong dalam perjalanan keluar dari laluan tikus di Sungai Rengit ke Pulau Batam.

myMetro | Hantar pulang

Bunuh di ladang


NILAI: Hasrat sepasang suami isteri warga emas yang mahu meninjau kawasan ladang kelapa sawit mereka di sekitar Pajam dekat sini, mengundang tragedi berdarah apabila mereka ditemui mati dibunuh akibat diserang dua lelaki menggunakan senjata tajam, semalam.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, R Muthu, 65, dan isterinya, S Rukumani, 61, maut di tempat kejadian dengan kesan kecederaan di leher, kepala dan perut.

Ketika kejadian, seorang lelaki warga Indonesia berusia 60-an yang juga pekerja mangsa turut diacu senjata tajam dipercayai pisau oleh penjenayah.

Namun, lelaki berkenaan terselamat apabila dikatakan hanya diikat dan ditinggalkan suspek di sebuah pondok berhampiran kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kejadian dipercayai berlaku sewaktu kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah lori datang meninjau tanaman kelapa sawit di ladang terbabit.


“Sejurus tiba, mereka tiba-tiba dihampiri dan diserang dua lelaki berusia lingkungan 20-an dengan senjata tajam.

“Mangsa yang cedera di leher, kepala dan perut mati di tempat kejadian sebelum dihantar ke ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat,” katanya, semalam.

Menurut Hamdan, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian tidak bermotifkan samun dan kedua-dua suspek mengenali mangsa.

“Bagaimanapun, kita sedang memburu suspek bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, pekerja warga Indonesia yang berada di tempat kejadian berkata, dia diikat kedua-dua suspek tidak jauh dari lokasi kejadian.

myMetro | Bunuh di ladang

Roboh rumah jiran


SEGAMAT: Seorang warga emas menggunakan jentolak untuk merobohkan kediaman jirannya yang didakwa didirikan atas tanah miliknya dalam kejadian di Kampung Kenangan, Batu Anam di sini, 27 Mei lalu.
Dalam kejadian berkenaan, rumah milik K Purusothman, 60, dirobohkan apabila pemilik tanah itu, Yee Soo Chin, 75, mendakwa jirannya sejak 37 tahun lalu itu gagal keluar dari tanah berkenaan seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Muar.

“Saya dan Purusothman saling mengenali sejak puluhan tahun lalu dan kediaman kami pula berjarak kira-kira 50 meter saja.

“Saya bukannya manusia yang kejam dan hendak mencederakan mereka, bayangkanlah, saya berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi Muar pada 18 Ogos 2009 supaya mereka mengosongkan tempat itu.


“Malahan, semasa saya hendak meruntuhkan rumahnya, saya sudah memberikan amaran dengan mengetuk dinding kediaman itu.

myMetro | Roboh rumah jiran

Anak didakwa tumbuk bapa


KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menumbuk kepala bapanya, bulan lalu.
Chong Kar Keat, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.

Mengikut pertuduhan, Chong didakwa dengan sengaja mencederakan Chong Chee Fei, 58, dengan menumbuk kepala bapanya itu di Jalan Brunei Selat, Off Jalan Pudu, Dang Wangi di sini pada jam 6.30 petang, 20 Mei 2011.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurasyikin Ahmad mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.


“Saya cadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan memandangkan tiada penjamin yang hadir pada prosiding itu.

Mahkamah menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.

myMetro | Anak didakwa tumbuk bapa

Dituduh tipu RM90,000


KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang kontraktor paip membabitkan wang tunai RM90,000 dengan menggunakan kad Toto palsu yang kononnya boleh memenangi wang RM1 juta, bulan lalu.
Syafruddin Darwis, 31, penganggur dan Taufik Yassing, 41, penjual sayur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Mengikut pertuduhan, dua sahabat itu didakwa memperdayakan Phang Kin Leong, 49, untuk mempercayai bahawa dengan menggunakan sekeping kad Toto 6D, dia boleh memenangi wang tunai RM1 juta.

Perbuatan itu mendorong Phang menyerahkan wang tunai RM90,000 untuk memenangi wang tunai berkenaan sedangkan tiket itu adalah palsu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dengan alasan kedua-dua tertuduh adalah warga asing.

“Walaupun sekiranya pasport mereka ditahan, kemungkinan besar untuk mereka tidak hadir di mahkamah pada hari perbicaraan adalah tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Kharip Shah Yusof memohon jaminan terhadap kedua-dua anak guamnya dikurangkan kepada RM25,000 memandangkan mereka sudah berkahwin dengan warga Malaysia.

Rozana membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah Mereka turut diperintahkan melaporkan diri di Balai Polis, Sentul pada 1 Julai depan.

Mahkamah menetapkan 4 Julai depan untuk perbicaraan.

myMetro | Dituduh tipu RM90,000

Meraung lihat kaki hancur teruk, terkulai


DUNGUN: “Saya terpaksa memanggil ambulans kerana bimbang selepas melihat kakinya parah,” kata Mohd Ridzuan Ismail, 23, menceritakan keadaan seorang pemuda yang kakinya hancur dan terkulai apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, malam kelmarin.
Mohd Ridzuan Ismail berkata, dia dan rakannya Azmi Ibrahim, 45, turut membantu seorang lagi rakan mangsa yang ketika itu meraung kesakitan selepas bahagian kiri paha dan betisnya patah.

Mangsa, Mohd Ridzuan Rosli, 20, berasal dari Felda Jerangau Sungai bersama rakannya seorang warga Indonesia, Tedi Pathman, 24, terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di lokasi kejadian, kira-kira jam 8.15 malam.

Kemalangan dipercayai apabila motosikal ditunggang Mohd Ridzuan dan rakannya itu dari arah Bukit Besi Ke Dungun dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta yang dipercayai keluar dari kaki lima jalan.

Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mangsa dikatakan tercampak di atas jalan dan cebisan daging kaki mangsa ditemui melekat di bahagian kiri tepi kereta berkenaan yang kemek.


Mohd Ridzuan Rosli yang bekerja dengan sebuah syarikat penternakan ayam dikatakan dalam perjalanan menghantar rakannya yang turut bekerja di tempat sama itu pulang ke rumah rakannya di Kampung Kemudi.

Mohd Ridzuan Ismail berkata, dia dan rakannya dalam perjalanan menemui seorang lagi rakan di Bukit Besi dan terserempak dengan kemalangan itu sebelum berusaha membantu mangsa terbabit.

“Saya lihat kaki kiri pemuda itu hancur dan terkulai, oleh itu saya terpaksa memanggil pegawai perubatan kerana bimbang kakinya itu boleh putus dan tercabut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun dengan dua ambulans dari hospital berkenaan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Mangsa yang mengalami pendarahan yang teruk dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut dan bapa mangsa, Rosli Muda, 42, ketika dihubungi berkata, kaki anaknya itu sudah dipotong sehingga ke peras paha semalam.


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan berkata pemandu kereta terbabit Ahmad Razali, 26, tidak cedera.

myMetro | Meraung lihat kaki hancur teruk, terkulai

Tragedi lepas meminang


SETIU: Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghadiri majlis peminangan anak saudaranya terbunuh apabila van dinaiki bersama enam yang lain merempuh sebatang pokok di Jalan Lembah Bidong, di sini, semalam.
Mangsa, Reskah Baru, 55, berasal dari Kampung Pondok Lalang, Kuala Terengganu, maut selepas cedera teruk akibat hentakan kuat.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi semalam, van Nissan Vannette dipandu Rosmawi Osman, 27, bersama enam penumpang lain terdiri daripada ibunya, Ramlah Baru, 50, serta empat adik-beradiknya dan Reskah dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menghadiri majlis peminangan pemandu berkenaan di Pokok Sena, Kedah, serta bercuti di Pulau Langkawi.

Setibanya di hadapan Sekolah Kebangsaan Lembah Bidong, van terbabit gagal dikawal lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh pokok mengakibatkan mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu kira-kira 15 minit kemudian.

Bagaimanapun, Reskah maut di tempat kejadian selepas cedera di kepala serta dalaman yang teruk.


Manakala, Rosmawi serta ibu dan empat beradiknya kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pemandu van terbabit dipercayai mengantuk mengakibatkan kenderaan dipandunya gagal dikawal.

Bagaimanapun, katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan van terbabit dibawa ke Balai Polis Setiu untuk siasatan lanjut.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati dan berhenti sekiranya mengantuk serta menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
myMetro | Tragedi lepas meminang

Bayi dalam sampah


DI SINI...Punitha menunjukkan tempat bayi yang dijumpai dalam tempat buang sampah rumah.
DI SINI...Punitha menunjukkan tempat bayi yang dijumpai dalam tempat buang sampah rumah.


GOMBAK: Hanya sehari selepas seorang bayi lelaki baru dilahirkan maut akibat dicampak dari tingkat lima pangsapuri, seorang lagi bayi menjadi mangsa kekejaman apabila dibuang dalam ruang membuang sampah sebuah rumah teres di Taman Pelangi, Rawang di sini, semalam.
Bagaimanapun, bayi lelaki yang juga baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu terselamat daripada maut apabila dia ditemui pemilik rumah berkenaan ketika mahu membuang sampah pada kira-kira jam 9.30 pagi.

R Punitha, 25, berkata ketika baru keluar rumah untuk membuang sampah, dia sempat melihat dua wanita menunggang motosikal meletakkan sesuatu di ruang membuang sampah di depan rumahnya.

“Saya nampak sendiri dua wanita yang menunggang motosikal meletak sesuatu di depan rumah saya. Saya sangka mereka membuang sampah dan saya kurang senang dengan tindakan mereka kerana tempat itu kawasan persendirian.


“Saya membuka pintu pagar dan menjerit ke arah mereka, namun kedua-dua wanita itu segera memecut laju,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, semalam.

myMetro | Bayi dalam sampah

Bidikan luar tingkap


SINI...anak Noreha menunjukkan kesan tembakan. Gambar kecil, Noreha dirawat di Hospital Pasir Mas.
SINI...anak Noreha menunjukkan kesan tembakan. Gambar kecil, Noreha dirawat di Hospital Pasir Mas.


KOTA BHARU: “Sebaik membuka tingkap, saya terus rebah akibat terkena dua das tembakan. Tidak tahu dari mana puncanya tetapi sebelum itu, saya terlihat kelibat sebuah kereta lalu di depan rumah,” kata seorang penoreh getah, Noreha Yusuf, 37.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi semalam, sebuah keluarga yang sedang tidur terjaga apabila terdengar bunyi dentuman kuat dipercayai akibat tembakan yang dilepaskan seseorang ke bahagian pintu rumah berkenaan di Kampung Padang Licin dekat Rantau Panjang.

Bagaimanapun, tindakan Noreha yang juga ibu tunggal kepada enam anak itu membuka tingkap rumahnya, bertukar mimpi ngeri apabila dia terkena tembakan yang disasarkan individu tidak dikenali sebelum suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah kenderaan.

Menurut Noreha, sebelum kejadian dia terdengar deruan enjin kereta di kawasan rumahnya menyebabkannya berasa curiga.


Katanya, dia kemudiannya bergegas membuka tingkap untuk melihat apa yang sedang berlaku di luar rumahnya.

myMetro | Bidikan luar tingkap

Suami isteri dibogel


BUKTI...Mazri menunjukan surat nikahnya yang disahkan Pejabat Agama Kuala Muda.
BUKTI...Mazri menunjukan surat nikahnya yang disahkan Pejabat Agama Kuala Muda.


GURUN: Sepasang suami isteri mengalami detik cemas dan mengaibkan apabila dibogelkan tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang serta rotan yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Sungai Badak, di sini, sebelum si isteri dilarikan kumpulan penjenayah itu, kelmarin.
Mazri Sharif, 30, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, isterinya, Nornasuha Azmi, 21, dilarikan tiga lelaki terbabit dengan sebuah Toyota Estima yang menunggu di luar rumah.

Mazri yang juga peniaga kedai makanan berkata, dia cedera di tangan akibat ditetak dengan parang manakala bapanya yang berusia 71 tahun cedera akibat dicekik.

“Saya percaya kejadian ini ada kaitan dengan perkahwinan kami,” katanya yang berkahwin dengan Nornasuha, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok di sini, di Selatan Thailand, pada 23 Julai tahun lalu.


Mazri berkata, dia amat geram dan sedih apabila tiga penjenayah itu memecah masuk bilik tidurnya lalu membogelkan dia dan isterinya.
myMetro | Suami isteri dibogel

Perkosa lepas singgah ‘mandi’


AMPANG: Dua remaja perempuan berusia 14 dan 17 tahun mendakwa dirogol teman lelaki masing-masing selepas tertidur di ruang tamu sebuah rumah pangsa, Taman Keramat, di sini, kelmarin.
Menurut sumber, sebelum kejadian dua remaja itu mengikut teman lelaki mereka berusia 23 dan 19 tahun bersiar-siar sebelum singgah di rumah bapa saudara seorang daripada lelaki terbabit kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, seorang daripada teman lelaki mangsa memberi alasan singgah di situ kerana mahu mandi dan perlu ke tempat kerja selepas itu.

“Sementara menunggu kedua-dua lelaki itu mandi, mangsa tertidur di ruang tamu rumah sebelum mereka dirogol teman lelaki masing-masing di ruang tamu dan dalam bilik. Kedua-dua suspek mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga,” katanya.

Menurutnya, mangsa dihantar ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran dan ditinggalkan di situ.


Sumber itu berkata, sejurus pulang mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarga masing-masing sebelum kedua-dua keluarga berang dan mencari suspek.

Berikutan itu, seorang daripada ahli keluarga mangsa mengamuk sehingga berlaku pergaduhan di rumah suspek sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit ditahan bagi membantu siasatan manakala mangsa dihantar ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kedua-dua suspek direman sehingga 6 Jun ini.
myMetro | Perkosa lepas singgah ‘mandi’

Pekerja lebai tidur atas duit


KUALA LUMPUR: “Saya bukan saja pernah membawa wang RM300,000 dalam beg plastik yang dibimbit menaiki kapal terbang untuk diagihkan kepada pelabur di Sarawak, malah tidur saya juga beralaskan duit RM50 dan RM100,” kata bekas pekerja Dina Group Sdn Bhd (Dina Group) yang hanya mahu dikenali sebagai Johan.
Menurut Johan, 28, yang berasal dari Kedah, sepanjang berkhidmat bersama pengasas Dina Group, Ustaz Harun atau Harun Mat Saat, 45, yang kini diburu Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mengambil pelaburan haram lebih RM200 juta, dia tidak pernah melihat mereka memasukkan wang tunai yang diterima daripada pelabur ke dalam bank.

Sebaliknya, Johan berkata, Ustaz Harun akan menyimpan wang yang mencecah jutaan ringgit itu dalam sebuah bilik khas di rumahnya di Shah Alam atau di rumah orang kanannya yang terletak berhampiran.

“Mereka akan kira secara manual dan kebiasaannya kami yang berada di situ diarahkan untuk berbuat demikian sebelum menyusun kepingan wang terbabit di dalam beg kembara (luggage) berwarna hitam,” katanya.


Johan berkata, kebiasaannya pengiraan wang hibah (keuntungan) yang akan diberikan kepada pelabur akan dibuat di hotel mewah di negeri di mana wang itu akan diedarkan kepada pelabur.

myMetro | Pekerja lebai tidur atas duit

Warga emas maut van langgar pokok


ANGGOTA polis mengangkat jenazah Reskah Baru, 55, (gambar kecil) yang maut di tempat kejadian selepas van yang dinaikinya merempuh sebatang pokok ketika dalam perjalanan pulang dari majlis pertunangan anak saudaranya di Jalan Lembah Bidong awal pagi tadi. - Foto Taufiq Md Daud

Berita Harian Online

SETIU: Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghadiri majlis peminangan anak saudaranya terbunuh apabila van dinaiki bersama enam yang lain merempuh sebatang pokok di Jalan Lembah Bidong, di sini, semalam.
Mangsa, Reskah Baru, 55, berasal dari Kampung Pondok Lalang, Kuala Terengganu, maut selepas cedera teruk akibat hentakan kuat.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi semalam, van Nissan Vannette dipandu Rosmawi Osman, 27, bersama enam penumpang lain terdiri daripada ibunya, Ramlah Baru, 50, serta empat adik-beradiknya dan Reskah dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menghadiri majlis peminangan pemandu berkenaan di Pokok Sena, Kedah, serta bercuti di Pulau Langkawi.

Setibanya di hadapan Sekolah Kebangsaan Lembah Bidong, van terbabit gagal dikawal lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh pokok mengakibatkan mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu kira-kira 15 minit kemudian.

Bagaimanapun, Reskah maut di tempat kejadian selepas cedera di kepala serta dalaman yang teruk.

Manakala, Rosmawi serta ibu dan empat beradiknya kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pemandu van terbabit dipercayai mengantuk mengakibatkan kenderaan dipandunya gagal dikawal.

Bagaimanapun, katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan van terbabit dibawa ke Balai Polis Setiu untuk siasatan lanjut.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati dan berhenti sekiranya mengantuk serta menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.-kosmo

Mengaku rasuah


Bekas pemain Piala Presiden T-Team dedah terima suapan dari bookie


KUALA TERENGGANU: “Saya manusia biasa yang punya keinginan untuk memakai pakaian berjenama, menjamah makanan di restoran mewah dan bergaya seperti anak muda lain. Kini saya sedar semua itu tidak memberikan kepuasan sebenar jika menggunakan wang haram dan lebih rela hidup sederhana dengan punca pendapatan halal.”
Demikian pengakuan seorang bekas pemain pasukan bawah 21 tahun Piala Presiden T-Team, Terengganu yang mengambil rasuah daripada bookie dalam kejohanan tahun lalu yang jumlahnya lebih enam kali ganda daripada pendapatannya yang tidak sampai RM1,000 sebulan.
Duit yang saya terima...daripada orang yang saya kenali dalam pasukan. Saya tidak tahu...berapa jumlah diberikan bookie

Bekas pemain
Anak kelahiran Kuala Terengganu yang kini bermain untuk pasukan negeri lain, mengakui dia hanya beberapa kali menerima wang sogokan, tetapi tidak pernah bersemuka dengan bookie yang bertindak sebagai pengatur perlawanan.

“Nipisnya iman saya ketika itu dan menyesal kerana termakan hasutan kawan yang menyebabkan saya sanggup menerima suapan wang untuk memastikan pasukan tewas di tangan lawan. Gelap mata saya seketika apabila disogokkan wang lebih enam kali ganda pendapatan bulanan saya.

“Saya sememangnya takut dengan rasuah bola sepak dan enggan terbabit, namun apakan daya, saya terlalu lemah untuk menolak hasutan syaitan dan akhirnya sanggup menggadai maruah demi wang.

"Duit yang saya terima beberapa kali itu datangnya daripada orang yang saya kenali dalam pasukan. Saya tidak tahu dan tidak mahu tahu berapa jumlah sebenar yang diberikan bookie," katanya sambil mengakui jiwanya tidak tenang selepas terbabit rasuah walaupun mengaku puas seketika kerana dapat berbelanja seperti orang berada.
Namun, dia kini saya sedar semua itu tidak memberikan kepuasan sebenar dan kini lebih rela hidup sederhana dengan sumber pendapatan yang halal.

Rakannya dalam skuad musim lalu tetapi kini mewakili pasukan di selatan tanah air pula berkata ramai pemain terjebak dalam rasuah mengatur keputusan perlawanan akibat pujuk rayu rakan sepasukan yang mewakili bookie.

"Tanpa individu itu, saya percaya kami tidak mungkin dapat dipengaruhi oleh bookie dan kemungkinan besar kebanyakan kami masih boleh mewakili pasukan negeri kelahiran. Saya harap pemain baru tidak mengikut jejak kami walaupun ganjaran bookie melimpah ruah jumlahnya," katanya.

Seorang lagi pemain berkata dia bersyukur kerana masih berpeluang mencari rezeki dengan bermain bola sepak walaupun bukan dengan pasukan T-Team atau Terengganu.

"Sebagai anak jati negeri ini, memang saya lebih suka tinggal di sini, namun atas kesilapan sendiri yang gagal mengawal nafsu dan termakan hasutan bookie, saya terpaksa merantau mencari rezeki,” katanya yang yakin dia dan rakan lain akan berfikir banyak kali jika gaji yang dibayar oleh pasukan itu tahun lalu lebih tinggi.

Ini kerana pendapatannya sebagai pemain kini lebih RM2,500, sedangkan gaji ketika bersama T-Team tidak sampai RM1,000.

"Setakat yang saya tahu, tahun ini pun tidak ada pemain Piala Presiden T-Team menerima pendapatan melebihi RM1,000. Pengurusan perlu memikirkan semula ganjaran kepada pemain kerana mereka tidak mempunyai pendapatan lain sedangkan terpaksa berlatih pagi dan petang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengurusan T-Team musim lalu, memaklumkan mereka sudah dihubungi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRRM) dan akan memberi keterangan dalam masa terdekat berhubung pendedahan rasuah membabitkan bekas pemain pasukan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Yusoff Mohd Zin, berkata pihaknya belum menerima laporan berhubung kegiatan mengatur perlawanan membabitkan pasukan T-Team dan skuad Piala Presiden.

"Bagaimanapun, kita harap kerjasama daripada orang ramai untuk membuat laporan jika ada maklumat mengenai kegiatan mengatur perlawanan membabitkan mana-mana pasukan," katanya.

Ketua Jurulatih semasa T-Team, Yunus Alif, pula menjelaskan pihaknya tidak mengesan mana-mana pemain yang terbabit rasuah dan mengatur perlawanan walaupun prestasi mereka tahun ini tidak konsisten.

“Prestasi tidak menentu pasukan disebabkan keletihan kerana jadual perlawanan agak ketat dan tidak dapat menurunkan kesebelasan utama kerana kecederaan. Kita sentiasa memantau dan setakat ini tiada tanda mereka terbabit rasuah," katanya ketika diminta mengulas prestasi pasukan T-Team yang mencetuskan kemarahan penyokong hingga ramai yang mendesak jurulatih dan pengurusan pasukan ditukar.
Berita Harian Online | Mengaku rasuah

Pasangan disyaki campak bayi diburu


KUALA LUMPUR: Polis menjejaki seorang lelaki dan wanita berusia 20-an dipercayai individu yang terbabit mencampak seorang bayi lelaki hingga mati dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Sentul, di sini, Selasa lalu.


Difahamkan, pasangan berkenaan yang tidak diketahui status hubungan mereka dikatakan menginap di blok berkenaan beberapa bulan lalu dan wanita terbabit dalam keadaan sarat mengandung.
Bagaimanapun, sebaik kejadian berlaku malam kelmarin, pasangan itu dikatakan menghilangkan diri dipercayai sejurus bayi terbabit dibuang dari pangsapuri 15 tingkat berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang memburu pasangan berkenaan yang dipercayai dapat membantu siasatan polis.

“Bagaimanapun, sepasukan polis yang membuat pemeriksaan di setiap rumah blok berkenaan gagal menemui pasangan itu dipercayai melarikan diri.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu polis menjejaki pasangan berkenaan,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan, seorang bayi lelaki cukup sifat baru dilahirkan ditemui di atas jalan dalam keadaan kepala pecah dipercayai dicampak dari tingkat atas sebuah pangsapuri.
Bayi masih bertali pusat dibungkus dalam plastik itu ditemui tertiarap oleh penduduk pangsapuri berkenaan jam 11.45 malam di tempat letak kereta, kurang dua meter dari tong sampah.
Berita Harian Online | Pasangan disyaki campak bayi diburu

Pasangan dibunuh bekas rakan kongsi

Suami isteri warga tua kena tikam, kelar

NILAI: Sepasang suami isteri berusia 60-an ditemui mati disyaki dibunuh dua lelaki yang seorang daripadanya dipercayai bekas rakan kongsi perniagaan mereka di ladang sawit berhampiran Kampung Gebok, Pajam, Mantin di sini, semalam.

R Muthu, 65, dan isterinya, S Rukumani, 61, dipercayai ditikam dan dikelar pada leher, kepala serta perut dalam kejadian jam 10 pagi di ladang mereka yang terletak empat kilometer dari kampung itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata seorang pekerja warga asing yang kebetulan sedang bekerja berhampiran tempat kejadian mendengar jeritan kedua-dua mangsa.

“Dia keluar dari kawasan semak dan ternampak kedua-dua majikannya terbaring berlumuran darah. Suspek kemudian menangkap dan mengikatnya di dalam bangsal tidak jauh dari situ.

“Selepas suspek melarikan diri, pekerja terbabit berjaya meleraikan ikatan dan berlari ke kampung berhampiran untuk meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berita Harian Online | Pasangan dibunuh bekas rakan kongsi

Sorok diesel subsidi dalam rumah ibadat


IPOH: Sindiket penyelewengan diesel subsidi di negeri ini menggunakan sebuah rumah ibadat di Simpang Pulai, dekat sini, sebagai lokasi untuk melakukan kegiatan haram mereka sebelum memindahkan bekalan bahan itu menerusi kenderaan lain.


Taktik itu dikesan apabila 12 anggota dan pegawai dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak diketuai Pegawai Penguat kuasa, Akram Karim Mohamad Arip melakukan serbuan di sebuah treler yang menyedut diesel secara haram ke dalam tangki yang disediakan di dalam sebuah kenderaan lain yang sedia menunggu di lokasi dijanjikan.
Operasi bermula jam 12.45 tengah hari semalam merampas lebih 200 liter diesel subsidi, selain kenderaan bernilai kira-kira RM103,275.
Ketua Penguat kuasa yang juga Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Rosli Ahmad, berkata serbuan itu dilakukan hasil intipan selama sebulan dan mendapati kegiatan menyeleweng bekalan diesel subsidi itu dilakukan seorang pemandu kenderaan syarikat perindustrian.

“Ketika serbuan dijalankan, kami mengesan dan menahan sebuah treler di tepi jalan berhampiran rumah ibadat di Simpang Pulai ketika pemandunya sedang menyedut diesel dari tangki bawah kenderaan itu untuk dimasukkan ke dalam tong yang disediakan di dalam sebuah kereta.

“Kereta itu didapati sudah sedia menunggu di lokasi yang dijanjikan dan kedudukannya agak tersorok di sebalik treler itu bagi mengelak aktiviti menyedut diesel itu disedari orang ramai, " katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu sudah diubah suai bagi memudahkan tong diesel berkenaan dimuatkan dalam kenderaan sebelum dijual kepada pembekal daripada syarikat perindustrian lain.
“Susulan itu, kami merampas diesel dan kenderaan bernilai RM103,275, manakala pemandu berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 3 (3) Perintah Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan, denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap individu yang terbabit, manakala bagi syarikat, denda tidak lebih RM250,000," katanya.
Berita Harian Online | Sorok diesel subsidi dalam rumah ibadat

Kastam Thailand rampas 451 penyu dalam beg

BANGKOK: Pihak berkuasa kastam Thailand merampas 451 ekor penyu bernilai 1 juta baht (RM100,000) disembunyikan di dalam sebuah beg kepunyaan seorang penumpang sebuah pesawat dari Bangladesh, rampasan terbaru haiwan hidup di lapangan terbang Suvarnabhumi.

Penyu pelbagai saiz bernilai 2,000 baht (RM200) setiap seekor dan tujuh buaya julung-julung palsu bernilai 10,000 baht seekor (RM1,000) ditemui Khamis lalu di dalam sebuah beg kecil, selepas pihak berkuasa menerima maklumat ada seorang penyeludup sedang menuju ke Thailand.

“Penyeludup terbabit seorang warga Bangladesh, tidak mengambil bagasinya sebaliknya melarikan diri sejurus tiba di Bangkok,” kata seorang pegawai. Beliau berkata penemuan itu adalah yang terbesar sejak tahun lalu, apabila 1,140 ekor penyu dirampas kastam dalam tempoh sehari. Sebanyak 218 lagi dirampas sebulan kemudian.
Thailand yang bersempadan dengan empat negara berdepan masalah penyeludupan haiwan liar dan pegawai kastam di lapangan terbang Suvarnabhumi kerap merampas reptilia dan haiwan kecil yang disembunyikan di dalam bagasi. – Reuters
Berita Harian Online | Kastam Thailand rampas 451 penyu dalam beg

Pencuri Harumanis tertangkap



ANGGOTA polis memeriksa mempelam Harumanis yang dirampas daripada dua lelaki di Ladang Mempelam Bukit Bintang 2, Sungai Batu Pahat di Kangar semalam.


KANGAR – Dua pencuri ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan ketika leka memetik buah mempelam Harumanis di Ladang Mempelam Bukit Bintang 2, Sungai Batu Pahat di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, difahamkan kedua-dua pencuri terbabit yang tamak enggan berhenti memetik buah mempelam terbabit meskipun telah berjaya mengisi kira-kira 1,000 kilogram ke dalam sebuah lori yang disediakan di luar ladang itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, dua suspek terdiri daripada warga tempatan dipercayai penganggur berusia 26 dan 30 tahun ditahan di ladang milik jabatan pertanian itu.
“Kegiatan pencuri berkenaan disedari oleh seorang pengawal keselamatan ladang tersebut ketika meronda dan bertindak mendapatkan bantuan anggota Rela bagi menangkap mereka.
“Sebanyak 11 guni diisi mempelam Harumanis telah dicuri nilai kira-kira RM10,000 dan polis turut merampas sebuah lori setan dipercayai milik suspek itu,” katanya kepada pemberita.
Kosmo! Online - Negara

2 remaja khayal miliki 6kg ganja


KUANTAN - Keseronokan dua remaja lelaki menghisap syabu terbantut apabila rumah mereka diserbu polis di Kampung Bukit Rangin dekat Permatang Badak di sini Isnin lalu.

Rupa-rupanya mereka bukan sahaja melepaskan gian malah turut menyimpan enam kilogram dadah jenis ganja bernilai kira-kira RM18,000 di rumah tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, dalam serbuan pukul 2.30 pagi itu, dua suspek berusia 19 dan 22 tahun berkenaan cuba melarikan diri.
"Mereka bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan polis sebelum mereka berjaya ditahan," katanya di sini semalam.
Zulkifli berkata, polis kemudian memeriksa rumah tersebut dan menemui enam kilogram ganja di dalam bungkusan plastik.
"Selain itu, kita turut menjumpai beberapa botol kaca yang dipercayai digunakan untuk menghisap syabu dan ganja," ujarnya.
Jelasnya, kedua-dua suspek yang dipercayai pengedar dadah itu ditahan reman sehingga 6 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kosmo! Online - Negara

30 GRO 'istana' dicekup polis



SEBAHAGIAN daripada 30 GRO sebuah pusat karaoke eksklusif yang ditahan dalam serbuan di Pulau Tikus, George Town kelmarin.


GEORGE TOWN – Kegiatan sebuah pusat karaoke eksklusif yang menawarkan layanan umpama maharaja kepada para pelanggan terbongkar apabila diserbu di Pulau Tikus dekat sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 8 malam oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu, seramai 30 gadis asing yang merupakan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) berusia di antara 19 dan 32 tahun diberkas.
Difahamkan, gadis-gadis itu diarahkan untuk berperanan seperti ‘dayang istana’ kepada pelanggan apabila mereka dikehendaki menyuap makanan atau buah-buahan, rela diraba, membuka pakaian dan mengadakan hubungan seks.
Setiap pelanggan pula akan diberi seramai dua hingga tiga ‘dayang’ untuk dilayan dengan membayar RM160 setiap seorang.
Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Shahrulnizam Jaafar berkata, dalam serbuan di premis yang terletak di sebuah pusat beli-belah itu, pihaknya menahan 29 GRO China, seorang Vietnam dan beberapa pekerja.
Kosmo! Online - Negara