Search This Blog

Thursday, June 2, 2011

Wanita Malaysia didakwa seludup heroin ke Jakarta



JAKARTA 1 Jun - Pihak berkuasa Kastam dan Cukai di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang di sini menahan seorang wanita Malaysia, Flory Sopikit, 26, kerana disyaki menyeludup sebanyak 71 butir heroin bernilai 1.1 juta rupiah (RM388), Sabtu lalu.
Sebanyak 51 butir seberat 545 gram daripada dadah itu ditemui disembunyikan dalam poket kiri dan kanan seluar pendek yang terdapat dalam beg sandangnya manakala 20 butir lagi heroin dikeluarkan dari duburnya.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelidikan Kastam dan Cukai lapangan terbang tersebut, Gatot Sugeng Wibowo berkata, Flory yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejururawatan diarahkan oleh seorang warga Nigeria yang dikenali sebagai A dan kini tinggal di Malaysia.
''Flory digunakan untuk menguji keselamatan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Sabtu lalu.
''Mereka menganggap pengawasan di lapangan terbang akan berkurangan kerana tumpuan kepada siaran langsung perlawanan akhir Piala Juara-Juara antara Barcelona dan Manchester United,'' kata Gatot kepada Koran Tempo.
Beliau berkata, Flory dijanjikan upah sebanyak sembilan juta rupiah (RM3,000) bersama kos penempatan sebanyak AS$300 (RM900).
''Bagaimanapun, wanita berambut panjang yang menaiki pesawat Air Asia AK-388 dari Kuala Lumpur-Jakarta itu telah dicurigai,'' katanya.
Beliau berkata, hasil penahanan Flory, polis menangkap seorang suspek yang sepatutnya menerima pakej dibawa oleh Flory di hotel penginapan wanita itu di Cikini, Jakarta Pusat.
''Di hotel itu, kami juga menemui 20 kapsul heroin disembunyikan dalam dubur Flory,'' katanya.
Gatot yakin penangkapan Flory menandakan penyeludupan heroin kini kembali aktif. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Curi kenderaan, polis buru 'Man Mangkok'




Muhammad (dua dari kiri) melihat rangka dan dua buah lori yang dirampas di Felda Sening dekat Kota Tinggi, Johor, kelmarin.


KOTA TINGGI 1 Jun - Polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket curi kenderaan untuk dijual komponennya dengan tertangkapnya seorang mekanik di Felda Sening di sini, pada 27 Mei lalu.
Berikutan itu, polis kini sedang memburu seorang pemilik bengkel di Felda Air Tawar 5 di sini, dikenali dengan panggilan 'Man Mangkok' berusia 45 tahun dan dipercayai telah melarikan diri ke Kuala Lumpur.
Dalam kejayaan hasil serbuan ke atas sebuah rumah pukul 8.30 pagi itu, polis turut menemui lapan barang kes termasuk dua lori disyaki dicuri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, suspek yang ditahan itu berusia 34 tahun dan merupakan anak seorang kontraktor pengangkut buah kelapa sawit.
Katanya, serbuan itu diketuai oleh Inspektor Wan Nasrul Wan Ismail dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi dengan dibantu oleh Ketua Polis Balai Gugusan Adela, Sarjan Puasa Idris.
"Pada mulanya dua enjin lori ditemui di halaman rumah. Rumah bengkel didiaminya itu didirikan di atas tanah milik Felda dengan kebenaran.
"Pemeriksaan susulan menemui dua lori curi jenis Daihatsu tiga tan di rumah yang sama.
"Dua rangka kenderaan yang telah dipotong ditemui di belakang rumah, manakala sebuah rangka lori lagi ditanam di tebing kawasan rumah itu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Kata Muhammad, siasatan susulan mendapati lori-lori curi itu dilaporkan hilang di Balai Polis Ulu Tiram pada 2005, manakala rangka lori yang ditanam termasuk satu blok enjin dilaporkan hilang pada 2008 di Kulaijaya.
Jelas beliau, empat daripada lori curi terlibat didapati nombor enjin dan casisnya diganggu dan sedang disiasat dengan bantuan Unit Forensik dan suspek disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, suspek kedua iaitu Man Mangkok dipercayai membekalkan kenderaan curi kepada pihak lain, kononnya adalah kenderaan lelongan bank.
Serbuan ke rumah suspek tambah beliau, mendapati dia telah melarikan diri dipercayai ke Kuala Lumpur dan polis kini sedang mendapatkan nama sebenar dan gambarnya serta meminta suspek menyerah diri untuk membantu siasatan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kegiatan jual diesel terbongkar




ROSLI Ahmad memeriksa bahagian dalaman kereta yang diubahsuai untuk mengisi tong-tong minyak diesel dari sebuah lori di Ipoh, semalam.


IPOH 1 Jun - Tindakan dua lelaki mengaut keuntungan mudah dengan menjual diesel subsidi terbongkar apabila mereka ditahan ketika sedang memindahkan 145 liter diesel di Simpang Pulai-Lahat, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Nege-ri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Rosli Ahmad berkata, lori itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pihaknya pada pukul 12.45 tengah hari.
Katanya, ketika ditahan, dua lelaki berusia 27 dan 45 tahun itu sedang leka menyedut bahan api dari tangki lori terbabit ke dalam beberapa tangki plastik.
"Lori itu ditahan hasil pemantauan selama sebulan yang dijalankan PPDNKK berikutan maklumat orang awam. Siasatan mendapati diesel bernilai RM275 itu dibawa oleh lori terbabit untuk dijual kepada industri.
"Kita menemui diesel diisi dalam tiga tangki plastik khas yang setiap satunya mengandungi 45 liter bahan api berkenaan serta sejumlah lagi dalam tangki lain," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut di sini hari ini.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara manakala bagi syarikat boleh didenda RM200,000.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Ribuan pengguna lebuh raya terkandas, dua bas berlanggar lori




SEBUAH bas ekspres membawa PATI yang terbabas di penghadang jalan dalam kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah lori di Lebuh Raya Utara Selatan di Kilometer 144 berhampiran Pagoh, Muar, Johor, semalam. - utusan/Kamil Maslih


MUAR 1 Jun - Ribuan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan terkandas dalam kesesakan teruk apabila dua buah bas ekspres membawa berpuluh-puluh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk dihantar pulang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 144 di lebuh raya itu berhampiran Pagoh, di sini hari ini.
Kesesakan berlaku apabila muatan tar yang dibawa lori itu tumpah menyebabkan laluan dari arah utara ke selatan di lokasi terbabit terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, seorang pemandu bas dan lori terbabit cedera dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan.
Berikutan kemalangan itu juga, pihak pengendali lebuh raya terpaksa membuka satu lorong di laluan bertentangan untuk pengguna yang terperangkap dalam kesesakan sejauh tiga kilometer.
Kerja-kerja mengalih kesemua kenderaan dan pembersihan tumpahan tar mengambil masa kira-kira empat jam dan kesesakan hanya dapat diatasi sepenuhnya lewat petang ini.
Difahamkan, kemalangan berpunca daripada lori tersebut yang berada di laluan kiri tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar dua buah bas terbabit di lorong memotong.
Ia mengakibatkan kepala lori itu tercabut dan terbabas di bahu lebuh raya manakala salah sebuah bas tersebut merempuh penghadang jalan.
Dua bas tersebut merupakan sebahagian daripada empat buah kenderaan yang telah disewa oleh Jabatan Imigresen untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pasir Gudang bagi penghantaran pulang PATI melalui feri.
Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah, Ismail Mahmud berkata, kesemua pegawai Imigresen serta PATI dalam kedua-dua bas berkenaan terselamat dalam kemalangan itu.
"Bagaimanapun, kami terpaksa menutup sementara laluan lebuh raya itu untuk kerja-kerja pembersihan tumpahan tar bagi keselamatan pengguna," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Lebuh raya sesak 30 kilometer




Sebuah lori yang membawa kayu balak terbalik di tengah lebuh raya di Kilometer 62.3 berhampiran Plaza Tol Juru di Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.


NIBONG TEBAL 1 Jun - Laluan ke utara melalui Lebuh Raya Utara-Selatan terputus hampir tujuh jam semalam gara-gara sebuah lori balak terbalik di Kilometer 162, dekat Plaza Tol Juru, menyebabkan ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan hampir 30 kilometer.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika hujan lebat apabila lori berkenaan yang datang dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas sehingga menyebabkan kesemua 15 batang balak yang dibawanya terjatuh dan bertaburan di atas lebuh raya.
Difahamkan, kesesakan teruk berlaku sehingga ke kawasan Taiping Utara manakala talian bebas tol lebuh raya tersebut juga dihujani panggilan daripada orang ramai.
Jurucakap PLUS Expressways Berhad (PLUS) yang dihubungi memberitahu, pihaknya terpaksa menutup laluan berkenaan dan mengalihkan trafik menggunakan jalan persekutuan dari Jawi menuju Bukit Tambun.
Menurut jurucakap itu, sebuah kren digunakan untuk mengangkut lori serta balak berkenaan dan keadaan trafik di laluan itu pulih sepenuhnya kira-kira pukul 3.20 pagi.
Pemandu lori tersebut, Rosli Kassim, 49, ketika ditemui memberitahu, ketika kejadian, dia sedang memandu di sebelah kiri lebuh raya sebelum sebuah kereta secara tiba-tiba menukar laluan dari kanan ke kiri.
"Saya terkejut dan cuba membrek tetapi gagal mengawal lori sehingga terbabas ke laluan bersebelahan sebelum melanggar pembahagi lebuh raya," katanya yang hanya mengalami cedera ringan di tangan kanan.
Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan membawa muatan balak dari Gopeng, Perak menghala ke Pokok Sena, Kedah.
Menurutnya, dia sempat mendengar muatan yang dibawanya jatuh satu persatu dan ketika itu hanya mampu berdoa agar tiada kenderaan yang merempuh kayu balak yang rata-rata berukuran enam hingga tujuh meter panjang.
Sebuah kereta yang berada di belakang lori tersebut juga gagal mengawal kenderaan lalu melanggar pembahagi lebuh raya tetapi pemandunya tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kita sudah menjalankan pemeriksaan air kencing dan pemandu lori berkenaan disahkan tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan," jelasnya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Bot PATI balik raya awal karam




Petugas hospital memberi rawatan kepada pendatang asing tanpa izin Indonesia yang terselamat dalam tragedi bot karam di Pengerang, Kota Tinggi, Johor semalam. - utusan/Nasirruddin Yazid


KOTA TINGGI 1 Jun - Cubaan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia menyelinap keluar dari negara ini ke Batam untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri, berakhir dengan tragedi apabila bot pancung mereka karam di perairan Tanjung Ayam, Pengerang di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, 17 daripada mereka berusia 26 hingga 46 tahun berjaya diselamatkan manakala usaha mencari dan menyelamat (SAR) bakinya termasuk seorang tekong sedang giat dijalankan oleh pihak terlibat.
Tujuh daripada mangsa diselamatkan kapal dagang dari China, MT Huo Tuo, bot Petir 11 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia - Maritim Malaysia (enam), bot CP90 milik Tentera Laut Diraja Malaysia - TLDM (tiga) dan Pasukan Pengawal Pantai Singapura (seorang).
Semua mangsa termasuk seorang yang melecur di perut dibawa ke Kompleks Jeti Penumpang dan Marina di Tanjung Pengelih, Pengerang untuk rawatan Jabatan Kesihatan Sungai Rengit selain tindakan selanjutnya.
Difahamkan, kesemua PATI menaiki bot pancung terbabit dari Sungai Rengit ke Batam, Indonesia, pukul 2 pagi namun karam dipukul ombak selepas berselisih dengan sebuah feri pada kedudukan 3.5 batu nautika (6.3 kilometer) di selatan Tanjung Ayam.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili Maritim Malaysia, Komander Abdul Razak Johan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pasukan Khas Maritim Singapura pada pukul 7.45 pagi dan usaha SAR masih diteruskan sehingga kini.
"Beberapa mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut kepada tong air, tong minyak dan serpihan kayu sebelum diselamatkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak lima bot dan dua helikopter Maritim Malaysia, sebuah bot TLDM dan sebuah bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) dengan kekuatan 80 anggota telah digerakkan untuk SAR.
Mengulas lanjut, Abdul Razak memberitahu, siasatan awal mendapati, terdapat sebuah lagi bot pancung yang dipercayai membawa PATI rakyat Indonesia wanita turut berlepas dari tempat dan waktu yang sama.
"Kita percaya PATI di negara ini sudah mula pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kita juga sudah mengenal pasti beberapa laluan tikus disyaki digunakan mereka untuk keluar dari negara ini.
"Sehubungan itu, pihak kami akan giat menjalankan pemantauan di kawasan panas bagi memastikan tiada lagi nahas seumpama ini berlaku di kawasan perairan negara," tegasnya.
Sementara itu, gerakan SAR kesemua tujuh mangsa yang masih hilang dihentikan pukul 7 petang ini dan akan disambung semula esok.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

‘Makan kawan’


PETALING JAYA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri kad kredit kenalannya sebelum membelanjakannya dengan membeli komputer riba dan barangan keperluan dapur, dua minggu lalu.
Muhamad Zuwairi Mansor, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membeli komputer riba jenama Lenovo dan beg komputer riba berkenaan yang semuanya bernilai RM3,498 menggunakan kad kredit bukan miliknya di Digital Mall pada jam 11.40 pagi, 14 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, Muhamad Zuwairi membeli barangan keperluan harian di Jaya Grocer berjumlah RM545.78 jam 12.15 tengah hari pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan didenda.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi menawarkan jaminan RM2,000 terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Zuwairi, Suraj Singh memohon mahkamah mengurangkan jaminan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula.
myMetro | ‘Makan kawan’

Kereta berbau hangit


SEREMBAN: Tindakan pantas dua beranak keluar daripada kereta dinaiki selepas terhidu bau hangit menyelamatkan mereka dari rentung selepas kenderaan dinaiki mereka itu tiba-tiba terbakar di Jalan Sungai Ujong, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, pemandu kereta Volvo, Zalina Zainal Abidin, 49, dan anak perempuannya, Nurul Muhaimin Mohd Azman, 17, dalam perjalanan dari arah Labu, di sini, menuju ke pusat beli-belah di Seremban 2.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian kereta yang dinaiki mereka secara tiba-tiba diselubungi bau hangit sebelum kebakaran kecil berlaku dalam kenderaan itu.

Zalina berkata, ketika kejadian dia bersama anak perempuannya itu terhidu bau busuk seakan-akan benda hangit hingga menusuk hidung. “Namun ketika itu saya tidak menyedari ia berpunca daripada kereta saya disebabkan kami melalui satu kawasan yang melakukan pembakaran terbuka. “Anak perempuan saya yang tidak sedap hati dengan bau hangit itu kemudian membuka tingkap kerana sakit dada dan menyuruh saya memberhentikan kereta di tepi jalan untuk memeriksa sesuatu,” katanya ketika ditemui.

Menurut suri rumah itu, dia dan anaknya terus keluar untuk memeriksa enjin namun tiada masalah yang berlaku. “Ketika kami mahu masuk ke dalam kereta, saya terkejut apabila mendapati papan pemuka terbakar dengan teruk dan terus mendapatkan bantuan orang ramai,” katanya. Katanya, mujurlah ketika itu, dia dan anaknya keluar dari kenderaan itu sebelum perkara tidak diingini berlaku.


“Jika kami terlambat hanya seminit, besar kemungkinan kami dua beranak boleh rentung dalam kereta ini,” katanya. Zalina berkata, sehingga kini, dia masih trauma untuk memandu.

“Namun, syukur Alhamdulillah, kami dua beranak selamat dalam kejadian ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang awam yang membantu memadamkan kebakaran itu yang mungkin berpunca daripada litar pintas,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Balai Bomba Seremban 2 berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam lima minit selepas kejadian dan satu jentera bomba dihantar ke tempat kejadian. Menurutnya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sudah dipadamkan orang awam dan berkemungkinan kejadian berpunca daripada litar pintas.

myMetro | Kereta berbau hangit

Bahana RM20


TEMERLOH: Hanya disebabkan hutang RM20 untuk membeli susu anaknya, seorang lelaki terpaksa menerima 32 jahitan di bibir dan hidung apabila ditoreh dengan pisau oleh rakan serumahnya yang dipercayai mabuk, di Taman Seri Layang, dekat sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun bermandi darah sebelum dibantu abang iparnya untuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), dekat sini, bagi menerima rawatan.

Sebelum kejadian, mangsa bersama isterinya yang tinggal bersama suspek berusia 17 tahun itu dikatakan menonton televisyen sebelum suspek pulang bersama empat rakannya dalam keadaan mabuk.

Suspek kemudian menegur apabila mendapati mangsa tidak datang bekerja, namun mangsa yang mempunyai dua cahaya mata itu memberitahu terpaksa mengambil cuti beberapa hari kerana tidak sihat.


Bagaimanapun, suspek yang bersifat panas baran tiba-tiba naik minyak sebelum mengambil sebilah pisau dan menyerang mangsa sambil empat rakannya turut sama membelasah mangsa bergilir-gilir.

myMetro | Bahana RM20

Tuduhan 9 tuntutan palsu


BUTTERWORTH: Seorang kontraktor yang berdepan sembilan pertuduhan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM83,802 kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membekalkan peralatan asas kepada tiga peserta Program Pembentukan Usahawan Mikro mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Tertuduh, Zainal Hazri Abdul Halim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Ahmad Tajuddin.

Zainal Hazri didakwa memberikan invois mempunyai butiran palsu kepada dua pegawai Mara Pulau Pinang, Razima Abdul Rahman dan Syed Ali Syed Mohd Ali di pejabat Mara masing-masing pada 19 September 2008 dan 21 Oktober 2008 bagi membuat tuntutan pembekalan peralatan serta pengubahsuaian kedai, namun tiada sebarang kerja dan pembekalan barangan dilakukan.

Tertuduh antara lain didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama, iaitu maksimum penjara 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana jumlah lebih tinggi.


Mengikut pertuduhan pertama, Zainal Hazri dituduh mengemukakan invois mengandungi butiran palsu iaitu membekalkan 34 peralatan asas iaitu kad tambah nilai, telefon bimbit dan lain-lain berjumlah RM10,177 kepada Mohamad Faizal Puteh, tetapi ia tidak dibekalkan.


Metro | Tuduhan 9 tuntutan palsu

Wanita berkemban sorok dalam tandas


GEORGETOWN: Tindakan dua wanita menyorokkan diri dalam bilik air dan belakang pintu mengelak daripada dicekup pegawai penguat kuasa agama, gagal apabila ditahan selepas disyaki berkhalwat di dua hotel berasingan di sini petang kelmarin.
Kedua-dua wanita berusia 20-an dan 30-an itu antara tiga yang ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Khairul Azman berkata, pemeriksaan di sebuah bilik hotel di Jalan Tanjung Tokong kira-kira jam 3 petang menemui seorang lelaki bukan Islam.

Katanya, lelaki itu memberitahu dia bersama seorang rakan dan pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita Islam berkemban dengan tuala di dalam bilik air dan cuba menyorok.

Menurutnya, wanita itu memberi alasan menumpang mandi di bilik berkenaan selepas mandi di pantai di belakang hotel terbabit.


“Pemeriksaan lanjut mendapati pasangan itu bukan mahram yang sah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk dibuat laporan tangkapan,” katanya.

Khairul Azman berkata, dalam pemeriksaan kedua kira-kira jam 4 petang, seorang lagi wanita beragama Islam dicekup bersama lelaki bukan Islam di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan wanita berusia 20-an itu bersembunyi di belakang pintu bilik dan memberi alasan dia ada bersama dua rakannya di situ namun ketika itu rakan perempuannya sudah keluar.

Begitupun, kami menemui dia bersama seorang lelaki bukan Islam di dalam bilik dan mereka berpakaian lengkap.

“Kedua-duanya ditahan, diambil keterangan sebelum dibebaskan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

myMetro | Wanita berkemban sorok dalam tandas

Ustazah diam diri


AMPANG: Ibu kandung dan bapa tiri seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa dijadikan hamba seks bapa tirinya itu sejak Mac lalu di rumah ditahan untuk siasatan lanjut, kelmarin.
Lebih malang, siasatan awal polis mendapati ketika perbuatan terkutuk itu dilakukan, ibu kandung mangsa yang berusia 30-an ada di rumah, tetapi tidak melakukan sesuatu bagi menghalang perbuatan terkutuk suaminya itu.

Difahamkan, ibu mangsa yang juga seorang ustazah hanya mampu mendiamkan diri kerana takut dia ditinggalkan suaminya itu.

Pasangan suami isteri itu ditahan di sebuah rumah di Kajang, kira-kira jam 8 malam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit dan memberitahu mereka akan direman sehingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan.

myMetro | Ustazah diam diri

Saudagar ketum kantoi


JITRA: Seorang lelaki mengaut keuntungan sekitar RM1,200 sehari hanya dengan menjual air ketum di sebuah stor di hadapan rumahnya di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, dekat sini.
Lelaki berusia 30-an yang juga penagih dadah itu mengubah suai bahagian depan rumahnya dijadikan stor tempat memproses daun ketum secara besar-besaran di kawasan kampung itu sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, dia mampu memproses air ketum tiga kali sehari di mana setiap kali memproses mampu menghasilkan sekitar RM200 hingga 300 bungkus yang dijual pada harga RM2 sebungkus.

Malah, lelaki yang juga penoreh getah berkenaan dipercayai mampu hidup mewah dengan menjual air ketum kepada penduduk kampung di kawasan berhampiran terutama remaja serta pelajar sekolah.

Bagaimanapun, kegiatan liciknya terbongkar selepas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu diketuai Inspektor Mohd Ridzuan Salleh menyerbu rumah lelaki itu kira-kira jam 10 malam kelmarin.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, ketika serbuan dilakukan suspek bersama tiga rakannya berusia antara 20-an hingga 30-an sedang menunggu air ketum sebati selepas selesai merebusnya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam stor terbabit menemui sebuah periuk mengandungi daun dan air rebusan ketum, satu tong plastik mengandungi daun ketum belum diproses dan sebuah tong plastik yang mengandungi air rebusan ketum siap untuk dibungkus.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui empat peket dadah dipercayai ganja daripada seorang suspek.

“Semua air ketum yang dirampas dianggarkan sebanyak 100 liter dan mampu menghasilkan 200 bungkus yang berharga kira-kira RM400.

“Polis turut menahan enam penunggang motosikal yang juga penduduk kampung itu yang datang membeli air ketum termasuk seorang remaja berusia 15 tahun yang sudah berhenti sekolah.


“Mereka tidak sedar kehadiran anggota polis di situ kerana kami menggunakan pelbagai taktik dan cara untuk mengaburi mereka bagi mengelak dikenali,” katanya.


Ibrahim berkata, semua ditahan kecuali remaja lelaki itu bekerja sebagai penoreh getah dan menagih air ketum itu dengan membeli melalui penjual air ketum itu.


Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati empat suspek ditahan itu positif ganja, manakala enam lain positif ketamin.


“Semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan.


Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

myMetro | Saudagar ketum kantoi

Belum sampai ajal


KUALA LUMPUR: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah keajaiban seorang lelaki apabila terselamat dari maut walaupun tubuhnya ‘dihujani peluru’ ketika ditembak dari jarak dekat oleh dua pembunuh upahan di sebuah kelab malam di Jalan KIP 2, Kepong, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, seorang daripada suspek dikatakan melepaskan lebih enam tembakan ke arah mangsa dan perbuatan mereka itu dipercayai bermotifkan dendam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, tubuh mangsa terkena empat das tembakan iaitu di paha kiri dan kanan, lengan kiri serta belakang punggung selain kehilangan banyak darah.

Mangsa, Teo Kok Seng, 41, berkata ketika kejadian, dia baru tiba ke tempat letak kereta di hadapan kelab malam miliknya itu.


“Sebaik turun daripada kereta, saya terdengar jeritan kuat dari arah belakang sebelum menoleh. Sebaik menoleh, saya melihat dua lelaki berada di atas sebuah motosikal jenis Honda EX5 melepaskan tembakan sebelum ia mengenai tubuh saya.

myMetro | Belum sampai ajal

Makanan percuma untuk kaki judi


KUALA LUMPUR: Sebuah pusat perjudian yang turut menyediakan pakej makanan percuma kepada pelanggan dikesan berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker di Petama Regency Taman Kobena, Cheras, sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, tembelang pusat perjudian itu terbongkar apabila diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, premis berkenaan yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dikesan berselindung di sebalik pusat snuker yang mempunyai lesen perniagaan sah.

Malah, premis berkenaan turut menyediakan makanan kepada kaki judi yang ingin menjamu selera sambil berjudi.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa berkata, seramai 23 pemain berusia 20 hingga 65 tahun bersama seorang penjaga premis berusia 39 tahun ditahan ketika sedang leka bermain judi Internet.


Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas 48 set komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi Internet.

“Premis berkenaan sukar dikesan kerana berselindung di sebalik pusat snuker yang beroperasi secara sah.

“Dalam serbuan itu, empat wanita turut ditahan,” katanya.

Azman berkata, wang tunai sebanyak RM1,200 hasil pertaruhan turut dirampas dan kebanyakan kaki judi bermain judi dadu.

“Premis ini berlainan dengan pusat perjudian lain kerana ia lebih eksklusif dengan menyediakan pakej makan di samping barangan mewah yang ada di dalamnya,” katanya.

myMetro | Makanan percuma untuk kaki judi

Acu pemutar skru

KAJANG: Sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kajang berdepan detik cemas apabila seorang penjual cakera video digital (DVD) haram bertindak mengacukan pemutar skru bagi mengelak daripada dicekup dalam Ops DVD haram di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, empat penguat kuasa KPDNKK menjalankan operasi membanteras penjualan DVD cetak rompak di sebuah gerai di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kajang Prima.

Sebaik penguat kuasa memperkenalkan diri, suspek berusia 49 tahun itu cuba melarikan diri, tetapi dihalang sebelum dia mengacukan pemutar skru.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kajang, Firdus Zakaria (gambar) berkata, berikutan itu berlaku pergelutan antara suspek dan anggota penguat kuasa.

“Akibat pergelutan itu, suspek cedera di dahi manakala anggota penguat kuasa kami turut cedera ringan,” katanya. Firdus berkata, suspek dipercayai ahli sindiket penjualan DVD cetak rompak filem terbaru tempatan dan antarabangsa serta giat menjalankan aktiviti sekitar bandar ini walaupun operasi sering dijalankan pihaknya.

“Operasi sama dilakukan minggu lalu dan kami merampas pelbagai DVD cetak rompak, tetapi sindiket masih menjalankan perniagaan.
“Sindiket terus bermaharajalela tanpa ada rasa gerun seolah-olah tidak gentar dengan operasi penguatkuasaan yang kerap dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya merampas 525 keping DVD filem tempatan dan luar negara selain peralatan perniagaan dianggarkan bernilai RM5,500.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan kejadian itu berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut.
myMetro | Acu pemutar skru

Tujuh lagi masih hilang


PENGERANG: Seramai 17 pendatang asing tanpa izin Indonesia selamat, manakala tujuh lagi masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak besar dalam kejadian di kedudukan 3.5 batu nautika, selatan Tanjung Ayam di Perairan Pengerang di sini, awal pagi semalam.
Semua penumpang lelaki berumur 26 hingga 46 tahun itu kini ditempatkan di Kompleks Jeti Penumpang dan Marina Awam untuk direkodkan keterangan.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Abdul Razak Johan berkata, seorang daripada mereka yang berumur 28 tahun melecur di perut dirawat di Klinik Kesihatan Sungai Rengit.

“Kejadian kira-kira pada jam 4.30 pagi itu ketika bot kayu membawa 24 penumpang lelaki termasuk tekong dalam perjalanan keluar dari satu ‘laluan tikus’ di Sungai Rengit ke Pulau Batam.

“Bot pancung itu dipercayai bergerak dari Sungai Rengit kira-kira pada jam 2 pagi, dan siasatan awal mendapati ia karam selepas dimasuki air akibat terkena ombak kuat hasil pergerakan laju sebuah feri berhampiran.


“Seramai 80 anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula jam 8 pagi semalam,” katanya.

Menurut beliau, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 7.45 pagi daripada Pasukan Bertindak Maritim Singapura (MSTF).

Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat membabitkan dua bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah bot Pasukan Gerakan Marin, manakala APMM menggerakkan empat bot, sebuah kapal serta dua helikopter.

“Hingga kini, seramai 17 mangsa selamat, tujuh daripada mereka diselamatkan kapal dagang MT Hua Tuo dari China, APMM (enam), TLDM (tiga), manakala seorang lagi oleh Pengawal Pantai Singapura dan sudah diserahkan pada kami.

“APMM akan mempertingkatkan rondaan di sekitar perairan Pengerang bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang,” katanya.


Menurut Razak, mangsa terselamat selepas berpaut pada tong minyak, serpihan kayu bot dan tong air.


Beliau berkata, semua mangsa akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.


Difahamkan, selain bot yang dinaiki mangsa, terdapat sebuah lagi bot berlepas pada masa dan lokasi sama tetapi hanya membawa pendatang wanita.

myMetro | Tujuh lagi masih hilang

11 mengaku terima RM2,000 atur keputusan Piala Presiden

SEREMBAN: RM2,000 seorang. Itulah habuan diterima setiap pemain Piala Presiden negeri ini selepas semua 11 pemain diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengatur keputusan perlawanan membabitkan skuad itu pada musim ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya percaya lebih 15 orang termasuk bahagian pengurusan terbabit dalam kes itu selepas masing-masing mengaku menerima RM2,000 setiap seorang. “Namun, kita masih lagi menyiasat perkara ini dan tidak menolak kemungkinan ia turut berlaku dalam Liga Super berdasarkan aduan diterima,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Katanya, pihaknya juga mengesan dalang yang mengatur keputusan perlawanan bagi membantu siasatan kes bookie bola itu.

“Kita akan siasat perkara ini, jika betul pemain Liga Super terbabit, mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan.
“Ia adalah prosedur biasa dalam setiap siasatan yang dijalankan oleh SPRM selepas kami membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pemain skuad itu mengatur perlawanan pada musim ini,” katanya. Sumber berkata, siasatan berhubung kes ini sudah 80 peratus siap selepas pihaknya mengambil keterangan pemain termasuk di peringkat pengurusan pasukan.

“Siasatan hampir siap dan dijangka dapat dilengkapkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, 20 pemain termasuk pemain simpanan Piala Presiden Negeri Sembilan dipanggil SPRM Jumaat lalu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengatur keputusan perlawanan membabitkan skuad itu pada musim ini.
Sumber SPRM ketika dihubungi berkata, semua mereka dipanggil mulai awal pagi kelmarin dan keterangan diambil berperingkat sehingga lewat petang di pejabat SPRM di sini.

Sementara itu, Pengurus Piala Presiden negeri, Bahari Abd Rahman mengakui kebanyakan pemain itu dipanggil ke pejabat SPRM di sini, kelmarin, tetapi tidak pasti sama ada semua 20 pemain skuad berkenaan atau hanya sebahagian.
“Beberapa pemain menghubungi saya menyatakan mereka akan dipanggil ke pejabat SPRM semalam (kelmarin) untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan,” katanya.
myMetro | 11 mengaku terima RM2,000 atur keputusan Piala Presiden

Pengasuh terkejut budak jadi biru

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan maut dipercayai akibat tersedak susu di sebuah rumah pengasuhnya di Ukay Perdana, Ampang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa tidur dalam sebuah bilik sebelum dikejutkan untuk diberi minum susu oleh pengasuhnya.

Sumber berkata, sebaik mengejutkan mangsa, pengasuhnya pergi ke dapur kira-kira 10 minit untuk membuat susu sebelum menyedari muka mangsa pucat.
Difahamkan, ibu bapa bayi itu yang bekerja menghantar anak sulungnya itu setiap pagi ke rumah pengasuhnya berhampiran rumah mereka dan akan mengambil semula selepas tamat waktu kerja.

“Terkejut melihat muka bayi yang pucat dan kebiruan, wanita berusia 40-an itu cuba mengejutkan semula bayi terbabit, namun tiada tindak balas.

“Berikutan itu, wanita terbabit yang bimbang keadaan bayi perempuan itu segera menghantarnya ke hospital berhampiran,” katanya.
Menurutnya, bayi itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat tersedak susu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

Usaha Harian Metro untuk menemubual ahli keluarga mangsa bagaimanapun tidak berhasil apabila mereka enggan ditemu bual.

Mayat mangsa dituntut ibu bapanya kira-kira jam 7 malam sebelum jenazahnya dibawa ke surau berhampiran untuk disembahyangkan dan dikebumikan.
myMetro | Pengasuh terkejut budak jadi biru

Petaka lambungan ombak ketiga

PENGERANG: “Dalam kesejukan, saya mengerah sepenuh kudrat untuk berpaut pada tong plastik sambil melaungkan azan, dan serta-merta terbayang wajah isteri yang mengandung dua bulan cahaya mata pertama kami,” kata Selamat Mustar, 37, ketika ditemui di Kompleks Jeti Penumpang dan Marina Awam di sini, semalam.
Pekerja ladang itu antara 17 daripada 24 mangsa yang terselamat selepas terapung lebih tiga jam apabila bot pancung sarat dengan pendatang asing tanpa izin dinaiki karam di perairan selatan Tanjung Ayam, Pengerang, jam 4.30 pagi, semalam.

Setakat jam 7 malam tadi, nasib tujuh lagi penumpang belum diketahui dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Selamat berasal dari Medan, Indonesia berkata, hatinya berdebar kuat dan cemas ketika menaiki bot itu di satu lokasi rahsia dipercayai berhampiran kawasan kilang di Sungai Rengit, jam 2 pagi, semalam.

Kumpulan itu dibawa ke lokasi rahsia oleh sindiket yang menguruskan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Tekong mengendalikan bot dengan laju dan tanpa menggunakan lampu kerana bimbang ditahan pihak berkuasa. Kira-kira jam 4.20 pagi, air mula memasuki bot daripada bahagian belakang.
“Bot sesak dengan penumpang dan saya rasa ia semakin memberat, ketika bot melambung kali pertama dan kedua selepas melanggar ombak, saya dapat merasakan ada sesuatu yang buruk akan terjadi.

“Telahan saya benar kerana pada lambungan ketiga, bot seolah-olah terbang sebelum terhempas lalu terbalik, saya terjatuh dan hanya mampu meminta tolong selain melaungkan nama Allah,” katanya.
Menurut Selamat, mereka berpaut pada tong minyak dan serpihan kayu sehingga jam 8 pagi.

“Kami kesejukan dan lemah kembali bertenaga selepas menyedari kehadiran sebuah kapal dagang, kami melambai mereka sebelum diselamatkan.

“Syukur kerana saya selamat, ia mungkin rezeki anak sulung,” katanya yang sudah dua tahun menetap di negara ini dan bekerja di ladang di Batu Gajah, Perak.

Bakal pengantin yang juga mangsa bot pancung karam itu, Ilham Abd Muin, 32, berkata, dia sudah bekerja tiga tahun di negara ini sebagai buruh kontrak bercadang pulang ke Medan untuk menguruskan perkahwinannya.

“Ini kali pertama saya mendapatkan khidmat tekong dan tidak sangka ditimpa nasib malang selepas bot dinaiki karam.

“Ketika dalam perjalanan, beberapa rakan bertanyakan berkaitan perancangan perkahwinan dan ketika kami seronok berbual, tiba-tiba bot terhempas menyebabkan penumpang panik.

“Dalam sekelip mata, bot karam dan hanya mendengar jeritan rakan meminta tolong namun saya tidak dapat berbuat apa-apa dan cuba berenang mencari sesuatu untuk berpaut,” katanya yang tidak sabar untuk pulang ke Medan bertemu keluarga dan tunangnya.

Seorang lagi mangsa, Agus Umuan, 46, berkata, dia menyesal kerana menggunakan perkhidmatan tekong untuk pulang ke Medan.

“Ketika kejadian, saya hanya mampu mencapai beg sebelum bot mula karam, saya sempat mengumpul botol plastik dan diikat di pinggang untuk mengapungkan diri.

“Pada masa sama, saya turut bertakbir dengan harapan ada pihak yang mendengar dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Agus dan penumpang lain membayar RM750 setiap seorang untuk perjalanan sehala dari Pengerang ke Batam sebelum ke Medan.
myMetro | Petaka lambungan ombak ketiga

Kelindan maut, lori rempuh treler


IPOH: Seorang kelindan lori terbunuh selepas kenderaan itu merempuh belakang sebuah treler di Km 294.3 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gopeng di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 6.55 pagi tadi, Izwan Shah Mohamad Johari, 22, dari Batu Kurau, mati di tempat kejadian, kata Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh. Nahas berlaku ketika lori yang dipandu rakannya, Mohamad Nazir Saad, 35 membawa muatan air mineral dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, katanya ketika dihubungi hari ini.

Izwan Shah yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

myMetro | Kelindan maut, lori rempuh treler

Kelab 'ala istana' diserbu


GEORGE TOWN: Polis menyerbu sebuah kelab "ala istana" di Pulau Tikus di sini malam tadi dan menahan 30 wanita asing yang menjadi pelayan pelanggan (GRO) menyediakan khidmat seks.
Ketua Unit Maksiat D7 Bukit Aman, ASP Shahrulizam Jaafar, berkata pusat hiburan itu, yang sering diserbu polis tahun lepas, mengguna taktik baru menjadi sebuah kelab esklusif dengan memberi layanan seperti "maharaja" kepada pelanggannya. Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa wanita yang diberkas dalam serbuan pada 8 malam tadi itu terdiri 29 warga China dan seorang rakyat Vietnam berusia antara 20 dan 30 tahun.

Shahrulizam berkata siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit menyalahguna pas lawatan serta tidak mempunyai permit.

"Ketika serbuan, tiga daripada mereka cuba memasuki sebuah kedai pakaian untuk menutup pakaian seksi mereka," katanya.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen kerana menyalahguna pas lawatan, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

myMetro | Kelab 'ala istana' diserbu

Kastam tahan warga Indonesia cuba seludup dadah


BUKIT KAYU HITAM: Kastam Kedah menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama 2.113 kilogram dadah jenis syabu yang disorok dalam beg pakaiannya di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Jumaat lepas.
Pengarah Kastam Kedah Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata lelaki berusia 31 tahun itu yang menaiki bas ekspress dari Hatyai ke Johor Baharu ditahan kira-kira 9 malam selepas pihaknya mengesan imej mencurigakan pada mesin pengimbas bagasi.

"Pemeriksaan seterusnya mendapati ada pita pelekat hitam yang dilekatkan pada dinding di sebelah dalam beg tersebut dan selepas ditanggalkan pihak kami menemui 10 bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi hablur kristal berwarna putih dipercayai syabu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata dadah bernilai RM528,280 itu dipercayai diambil dari Thailand untuk dibawa ke Indonesia.

Lelaki itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

myMetro | Kastam tahan warga Indonesia cuba seludup dadah

Dua sahabat pengedar dadah diberkas


ALOR SETAR: Polis Kedah mencapai kejayaan besar tahun ini apabila merampas 119.26 kilogram ganja bernilai RM411,000 dan menahan dua lelaki di Merbok, Sungai Petani, Isnin lepas.
Ketua Polis Negeri Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kes pertama, seorang buruh berusia 47 tahun ditahan pada kira-kira 5.30 petang dan menemui tiga ketulan ganja mampat seberat 3.15 kg bernilai RM11,000 pada motosikal suspek.

"Lelaki itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh angota Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik Negeri," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati suspek pernah ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 pada tahun 2008 dan ujian air kencing juga mendapati suspek positif ganja.

Ekoran tangkapan lelaki tersebut, katanya polis menyerbu sebuah rumah di Ladang Sunga Batu, Merbok, pada kira-kira pukul 6.15 petang pada hari yang sama dan merampas 114 ketulan mampat ganja seberat 116.11kg bernilai hampir RM400,000.

myMetro | Dua sahabat pengedar dadah diberkas

Dipenjara empat bulan kerana gunting

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara empat bulan terhadap seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya di tempat awam.
Majistret Melisa Chia menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Roslan Abdul, 31, selepas berpuas hati dengan keterangan yang diketengahkan oleh pihak pendakwaan.

Tertuduh didakwa memiliki senjata berkenaan berupa sebuah gunting yang telah diubah suai di kawasan Pasar Tanjung, dekat sini, pada pukul 4.30 petang semalam.
Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Kamaruddin Ambo Sakka, dalam pendakwaannya, berkata tertuduh ditahan selepas polis menjumpai senjata berkenaan dalam bed sandang hitam yang dibawa oleh tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
myMetro | Dipenjara empat bulan kerana gunting

Dua warga Indonesia dituduh tipu kontraktor


KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menipu seorang kontraktor paip membabitkan wang tunai RM90,000 bulan lepas.
Syafruddin Darwis, 31, penganggur dan Taufik Yassing, 41, peniaga sayur, didakwa menipu Phang Kin Leong, 49, dengan memperdayakannya bahawa mereka boleh menawarkan sekeping tiket ramalan nombor ekor Toto 6D yang kononnya memenangi hadiah RM1 juta.

Perbuatan itu mendorong Phang menyerahkan RM90,000 sedangkan kedua-dua tertuduh mengetahui bahawa tiket berkenaan adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Gombak, Sentul antara 12 Mei hingga 13 Mei. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, dan jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda.
myMetro | Dua warga Indonesia dituduh tipu kontraktor

Tiga kumpulan ajaran sesat di Tawau dipantau


TAWAU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kini memantau pergerakan tiga kumpulan yang disyaki mengamalkan ajaran sesat di sini sejak beberapa tahun lepas.
Pegawai Tadbir Agama Jheains Tawau Abdul Imam Basirun berkata kumpulan terbabit masing-masing dipercayai mengamalkan ajaran Islam Jamaah, Qadiani dan Al-Mansur (Rufaqa) serta aktif di Kampung Jawa Kongsi 8, Kampung Titingan dan sekitar Bandar Sabindo.

Ajaran Islam Jamaah yang berasal dari Indonesia mengkehendaki pengikutnya berbai''ah (sumpah setia) dan menganggap hanya pengikut mereka sebagai Islam sebenar, manakala yang lain adalah kafir, katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Ajaran Qadiani yang telah diharamkan mendakwa pemimpinnya mempunyai mukjizat selain percaya ibadah haji boleh dilakukan di Qadian, Pakistan, tanpa perlu ke Mekah, kata beliau.

Abdul Imam berkata Al-Mansur (Rufaqa) pula cuba menghidupkan semula ajaran kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan, termasuk mengamalkan Aurad Muhammadiah.

myMetro | Tiga kumpulan ajaran sesat di Tawau dipantau

Mayat lelaki berseluar dalam ditemui di tepi pantai

KANGAR: Mayat seorang lelaki yang hanya berseluar dalam dan mula reput serta berbau ditemui di pantai Padang Keria, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata, polis tiba di lokasi penemuan mayat itu pukul 11 pagi setelah menerima laporan penduduk. Mayat itu ditemui tanpa tangan manakala kakinya telah kudung dipercayai telah dimakan hidupan laut. Lelaki tanpa dokumen itu dipercayai telah mati lebih dari seminggu dan dihanyutkan ombak ke pantai itu. "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di pantai berkenaan.myMetro | Mayat lelaki berseluar dalam ditemui di tepi pantai

Sekurang-kurangnya 226 mayat ditemui dalam kubur di Mexico


DURANGO: Timbunan mayat yang ditemui dalam kubur di utara sebuah bandar di Mexico meningkat kepada 226, kata pegawai keselamatan awam, hari ini.


Sejak kubur pertama ditemui pada 11 April lalu, pihak tentera menemui enam lagi kubur.
Minggu lalu, mereka menjumpai sebuah rumah di kawasan dengan penduduk kelas pertengahan yang dipenuhi enam lagi mayat dan kemudiannya membawa keluar dua lagi mayat, kelnmarin.
Pegawai keselamatan awam mengesahkan kepada AFP bahawa 226 mayat sudah digali."

Pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada kematian itu mempunyai kaitan dengan geng dadah terdedah. - AFP
Berita Harian Online | Sekurang-kurangnya 226 mayat ditemui dalam kubur di Mexico

Kelindan lori maut dalam kemalangan dekat Gopeng


IPOH: Seorang kelindan lori terbunuh selepas kenderaan itu merempuh belakang sebuah treler di Km 294.3 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gopeng di sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian pada jam 6.55 pagi tadi, Izwan Shah Mohamad Johari, 22, dari Batu Kurau, mati di tempat kejadian.
"Nahas berlaku ketika lori yang dipandu rakannya, Mohamad Nazir Saad, 35 membawa muatan air mineral dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Izwan Shah yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. - BERNAMA
Berita Harian Online | Kelindan lori maut dalam kemalangan dekat Gopeng

Polis Kedah rampas 119kg ganja


ALOR SETAR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah mencatat kejayaan terbesar apabila merampas 117 ketulan mampat ganja seberat lebih 119 kilogram (kg) bernilai RM411,000 dan menahan dua lelaki dalam serbuan di Ladang Sungai Batu, dekat Sungai Petani, Isnin lalu.


Kejayaan itu hasil tangkapan ke atas lelaki pertama, seorang buruh berusia 47 tahun pada kira-kira jam 5.30 petang yang membawa kepada rampasan tiga ketul ganja mampat seberat 3.15 kg bernilai kira-kira RM11,000 yang ditemui pada motosikal suspek.
Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di ladang berkenaan dan merampas 114 ketulan ganja mampat seberat 116.11 kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM400,000 dan menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pekebun pada kira-kira jam 6.15 petang hari sama.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama 84 butir peluru hidup 9mm serta satu gari daripada lelaki kedua terbabit.

"Ganja terbabit ditemui disorokkan dalam stor di rumah terbabit dan berikutan penahanan itu, polis turut merampas dan menyita harta suspek yang dipercayai dibeli hasil penjualan dadah, termasuk dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, empat motosikal serta barangan elektrik yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM172,800.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, manakala bagi pemilikan senjata api siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, lelaki pertama ditahan ketika sedang menunggang motosikal selepas mengambil bekalan dadah daripada rakannya itu dan siasatan masih dilakukan bagi mengenalpasti sejak bila kegiatan pengedaran dadah itu dijalankan suspek.
Berdasarkan keadaan dadah itu yang dibungkus dua kali menggunakan plastik, polis percaya ia dibawa masuk dari negara jiran menggunakan jalan laut bagi mengelakkan ia basah dan untuk pasaran negeri di utara Semenanjung.

Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan ditahan reman selama seminggu bermula Selasa lalu.
Berita Harian Online | Polis Kedah rampas 119kg ganja

Polis rampas dadah RM1.1 juta sekitar Cheras, KL


KUALA LUMPUR: Polis melakukan tiga serbuan di sekitar Cheras dan Kuala Lumpur awal minggu ini dan merampas dadah bernilai RM1.1 juta.


Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh, berkata serbuan itu dilakukan susulan pemerhatian polis dan hasil maklumat orang awam.
Dadah yang dirampas berjumlah 750 gram iaitu heroin pelbagai gred dan serbuk membuat dadah.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada 31 Mei lalu, polis merampas 750 gram heroin dan empat kilogram (kg) serbuk bahan membuat dadah di sebuah rumah di Taman Anggerik, Cheras yang didiami seorang lelaki dan wanita.

"Hasil serbuan turut mendapati, kedua-dua suspek didapati positif dalam ujian saringan dadah dan direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Amar berkata, serbuan kedua semalam pula mendapati seorang lelaki warga Uzbekistan ditahan selepas polis melakukan pengintipan ke atasnya dan mendapati lelaki berusia 29 tahun itu memiliki bungkusan plastik mengandungi ketulan jernih disyaki dadah syabu seberat 711 gram.

"Hasil siasatan mendedahkan kegiatan lelaki warga Uzbekistan bersama tiga lagi rakannya yang menyewa di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang, polis merampas enam bungkusan plastik mengandungi syabu seberat lima kg.
"Tiga suspek itu terdiri daripada dua wanita warga Uzbekistan dan seorang lelaki warga Filipina," katanya.

Beliau berkata, pada hari yang sama , polis berjaya menahan seorang wanita dan empat lelaki di sebuah rumah di Kampung Pandan, Cheras sekali gus berjaya merampas 80 paket heroin, 139 gram dan tujuh paket foil aluminium Eramin 5.

"Kesemua 11 suspek yang ditangkap dalam tiga serbuan berasingan ini didapati positif dalam ujian saringan air kencing dan kini direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan serta disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.
Berita Harian Online | Polis rampas dadah RM1.1 juta sekitar Cheras, KL

23 pihak keselamatan Pakistan terbunuh serangan di sempadan


PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 23 pihak keselamatan Pakistan terbunuh dalam serangan kumpulan pemberontak yang menyeberangi Afghanistan, hari ini.


Pertempuran itu tercetus selepas Jeneral berpangkat tinggi Pakistan berkata, angkatan tentera merancang untuk mengadakan operasi memerangi pemberontak di wilayah yang mendiami kawasan pedalaman Afghanistan.
Bagaimanapun, beliau menafikan laporan media berhubung serangan yang bakal dilancarkan di sebuah kawasan lain di mana ketika ini Amerika Syarikat (AS) sedang merancang untuk bertindak. - AP
Berita Harian Online | 23 pihak keselamatan Pakistan terbunuh serangan di sempadan

Mayat lelaki tinggal tengorak ditemui di Perlis


KANGAR: Mayat seorang lelaki berseluar dalam biru yang sudah reput dengan hanya tinggal tengkorak, tanpa dua tangan ditemui terdampar di pesisiran pantai berhampiran Kuala Sungai Bahru, dekat Simpang Empat, di sini, pagi tadi.


Selain hanya tinggal tengkorak, mayat terbabit ditemui dalam keadaan mengerikan dengan daging pada kedua-dua betisnya hilang sehingga menampakkan tulang.
Berdasarkan maklumat, mayat terbabit dipercayai sudah lebih seminggu hanyut di laut.
Ia ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan di kawasan pesisir pantai berkenaan kira-kira jam 11 pagi, ketika masing-masing sedang mencari ketam di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika ditemui mengesahkan penemuan mayat terbabit, bagaimanapun identiti mangsa masih belum diketahui.

Polis masih menyiasat sama ada mayat terbabit adalah mangsa lemas ataupun nelayan hanyut, kerana polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan orang dalam tempoh terdekat.

"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput, kita percaya ia sudah lebih seminggu berada di laut dan dipercayai dimakan ikan sehingga hampir seluruh daging badannya tiada, terutama pada kaki dan kepala.
"Setakat ini, identiti mangsa sedang dikenal pasti dan polis berdepan kesukaran kerana tiada sebarang pengenalan diri ditemui, kecuali seluar dalam biru yang dipakai.

"Justeru, saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, termasuk mempunyai anggota keluarga yang hilang di laut, menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, untuk bedah siasat.

Berita Harian Online | Mayat lelaki tinggal tengorak ditemui di Perlis

Janda cedera ditembak di rumahnya di Gual Periok


RANTAU PANJANG: Seorang janda cedera ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di rumahnya di Kampung Gual Periok, dekat sini, awal pagi ini.


Miss Leha Che Soh, 39, yang berasal dari Thailand mengalami kecederaan di dada kirinya akibat tembakan tersebut dalam insiden pada kira-kira 3.15 pagi.
Kejadian itu berlaku ketika wanita itu membuka pintu rumahnya setelah terdengar bunyi bising di luar rumahnya dan tidak semena-mena beliau ditembak.
Berikutan kecederaan yang dialami Miss Leha, beliau dibawa ke Hospital Daerah Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Baharu.

Pegawai Perhubungan Awam HPRZII, Zaid Ahmad berkata, keadaan wanita itu dilaporkan stabil dan pihak doktor sedang berusaha mengeluarkan dua butir peluru dari tubuhnya.

Miss Leha berkata, sebelum kejadian itu dia sedang tidur bersama ibu dan enam anaknya di rumahnya dan terjaga selepas terdengar bunyi bising di luar rumah menyebabkan dia membuka pintu untuk melihat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliludin Rahim yang ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis sedang menyiasat motif kejadian terbabit.
Katanya, senjata yang digunakan suspek ketika menembak mangsa dipercayai senapang buatan sendiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. - BERNAMA
Berita Harian Online | Janda cedera ditembak di rumahnya di Gual Periok

Mayat dijumpai di atas siling rumah kosong di Sungai Petani


SUNGAI PETANI: Mayat seorang lelaki ditemui di atas siling sebuah rumah yang kosong di Taman Ria Jaya di sini hari ini.


Lelaki berkenaan dipercayai terkena kejutan elektrik ketika cuba mencuri wayar elektrik di rumah itu yang kosong sejak pemiliknya berpindah sejak dua tahun lalu.
Pemilik rumah terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah kembali melihat keadaan rumahnya itu hari ini.
"Apabila sampai kira-kira 10.30 pagi tadi, saya ternampak lelehan cecair seperti darah mengalir turun daripada siling rumah saya. Saya lalu memeriksanya dan terbau seperti benda terbakar.

"Saya mengesyaki sesuatu yang tidak kena lalu terus melaporkan kepada pondok polis berdekatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota polis dari Pondok Polis Insiatif Bandar Selamat yang tiba kemudiannya lalu memeriksa siling itu dan ternampak sesuatu seperti kaki manusia dan akhirnya menemui mayat terbabit.

Mayat itu kemudiannya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Petani kira-kira tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat. - BERNAMA
Berita Harian Online | Mayat dijumpai di atas siling rumah kosong di Sungai Petani

Punca wabak HUS terus jadi misteri



TIMUN dibuang dijadikan makanan kambing di Malaga, Sepanyol selepas dikatakan tercemar dengan E.coli.
TIMUN dibuang dijadikan makanan kambing di Malaga, Sepanyol selepas dikatakan tercemar dengan E.coli.

16 orang di utara Eropah maut ketika 365 kes baru E.coli dilaporkan di Jerman

BERLIN: Pusat Kawalan Penyakit Jerman masih belum dapat mengenal pasti punca wabak Sindrom Hemolitik-Uremik (HUS) yang sudah menyebabkan kematian 16 orang di utara Eropah, ketika negara itu melaporkan 365 kes baru E.coli semalam.
Sebanyak 25 peratus daripada kes terbaru membabitkan kes HUS yang menyebabkan komplikasi darah dan buah pinggang akibat jangkitan E.coli, kata Institut Robert Koch Jerman.
Wabak HUS itu yang terbesar pernah dialami Eropah, dipersalahkan terhadap kematian 16 orang di benua itu yang kebanyakannya baru kembali daripada kunjungan ke utara Jerman.

Setakat ini lebih 1,500 kes E.coli/HUS dilaporkan di Jerman dan pihak berkuasa masih belum mengenal pasti sumber jangkitan berkenaan.

Menteri Perlindungan Pengguna dan Pertanian Jerman Ilse Aigner menolak kritikan bahawa Jerman tersilap dalam menyalahkan timun dari Sepanyol sebagai sumber bakteria E.coli bahaya berkenaan.

“Siasatan mendapati bakteria E.coli dalam timun Sepanyol dan mengikut peraturan Eropah, kami perlu mendedahkan hasil siasatan itu segera,” kata Aigner.
Namun pihak berkuasa di Hamburg Selasa lalu berkata E. coli yang ditemui dalam timun Sepanyol itu bukanlah jenis bahaya yang menyebabkan HUS.

Sepanyol semalam berkata ia sedang menimbang untuk menyaman pihak berkuasa di Jerman berikutan petani di negara itu rugi 200 juta Euro (RM863 juta) seminggu dan krisis itu boleh menyebabkan 70,000 orang hilang pekerjaan. – AP/Agensi Berita Harian Online | Punca wabak HUS terus jadi misteri