Search This Blog

Wednesday, June 1, 2011

15 cedera, tangki minyak meletup di Gibraltar


GIBRALTAR: Sekurang-kurangnya 15 tercedera di mana sebilangan besar penumpang kapal persiaran gergasi, Independence of the Seas apabila sebuah tangki minyak berdekatan terbakar dan meletup di dalam kawasan perairan British.


Ketua Menteri daerah itu, Peter Caruana, menerusi Radio Gibraltar, berkata letupan terbabit kemungkinan akibat percikan daripada kerja pengimpalan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk ia adalah satu serangan. - AFP
Berita Harian Online | 15 cedera, tangki minyak meletup di Gibraltar

Bekas pengawal keselamatan dilepaskan daripada hukuman gantung


KOTA BAHARU: Seorang bekas pengawal keselamatan hari ini terselamat daripada dijatuhi hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini melepaskannya daripada tuduhan membunuh anak kandungnya berusia tiga tahun pada Ogos lalu.


Hakim Azman Abdullah bagaimanapun mengarahkan Muhaimi Sautar, 34, ditempatkan di Hospital Permai, Tampoi di Johor bagi menerima rawatan mental serta diletakkan dalam pengawasan pihak berkuasa.
Azman semasa membacakan penghakimannya berkata, semasa kejadian bunuh itu tertuduh didapati berada dalam keadaan tidak waras.
"Bagaimanapun kamu tidak dibebaskan dan dihantar ke Hospital Permai untuk menerima rawatan dan diletakkan dalam pengawasan," katanya.

Muhaimi yang memakai baju kemeja lengan pendek berpetak biru, kelihatan menarik nafas lega apabila hukuman dijatuhkan dan ketika dibawa keluar, dia sempat melemparkan senyuman kepada isterinya, Nik Suzila Nik Hashim, 33 dan beberapa anggota keluarganya yang hadir di mahkamah.

Pasangan itu mempunyai dua lagi anak Siti Aishah, 3, dan Shafiqah, 9.
Muhaimi didakwa membunuh anaknya Muhammad Adam Muzhaffar antara jam 11.45 pagi hingga 12 tengah hari di rumahnya di No 133, Jalan Atas Paloh, Kampung Sungai Budor di sini pada 24 Ogos, 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob, manakala Muhaimi diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahmood.

Sementara itu, Nik Suzila ketika ditemui pemberita berkata, dia menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka dan berharap suaminya itu cepat pulih dan kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

"Saya reda dengan keputusan ini dan suami juga berpesan agar dua anak kami selalu melawatnya di hospital nanti," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | Bekas pengawal keselamatan dilepaskan daripada hukuman gantung

Sebabkan kematian kanak-kanak: Lelaki akan dibebaskan Jumaat ini


PUTRAJAYA: Seorang bekas pelajar kolej akan dibebaskan Jumaat ini selepas selesai menjalani hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berumur dua tahun yang juga anak teman wanitanya.


Ini berikutan pihak pendakwaan gagal dalam rayuan terakhirnya hari ini bagi menyakinkan Mahkamah Persekutuan untuk meminda pertuduhan ke atas Megat Shahrizat Megat Shahrur kepada membunuh kanak-kanak itu.
Megat Shahrizat dan ibunya dilihat menangis dan saling berpelukan selepas keputusan itu disampaikan.
Megat Shahrizat akan dibebaskan pada Jumaat ini selepas tempoh hukuman penjaranya dikurangkan sebanyak satu pertiga kerana berkelakuan baik.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang mempengerusikan panel tiga hakim memutuskan hakim perbicaraan membuat keputusan yang betul apabila meminda pertuduhan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan bagi membunuh tanpa niat pada akhir kes pendakwaan.

Megat Shahrizat, 33, dihukum penjara 15 tahun bermula dari tarikh dia ditahan pada 4 Jun, 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan pindaan itu.

Dia mengaku menyebabkan kematian Nur Izzatul Shahira Rozilan di Kondominium Sri Suajaya, Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul, antara jam 10.45 malam, 3 Jun, 2001, dan jam 1.30 pagi keesokkannya.
Pada 16 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakiman setebal 16 muka surat, Malanjum berkata, walaupun bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan hati dan pankreas pecah akibat dipukul dengan objek tumpul, wujud isu punca dan mens rea, mengenai sama ada ia adalah disebabkan perbuatan Megat Shahrizat yang meletakkan kusyen di atas kanak-kanak itu sebelum duduk di atasnya.

Katanya, ini kerana berdasarkan keterangan seorang daripada saksi pihak pendakwaan yang menyewa sebuah bilik di kondominium itu, Megat Shahrizat memukul dan duduk di atas mangsa dengan beralaskan kusyen, pada masa yang sama keterangan itu tidak menunjukkan secara langsung bahawa kematian mangsa adalah disebabkan oleh perbuatan Megat Shahrizat itu.

"Di sini wujud isu punca. Bagaimanapun, responden (Megat Shahrizat) memang duduk di atas si mati, dia jelas bodoh kerana melakukan perbuatan seumpama itu ke atas seorang kanak-kanak berumur dua tahun lebih," katanya.

Panel itu yang turut dianggotai dua Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Seri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan terakhir pihak pendakwaan.

Malanjum berkata, mahkamah sedar bahawa nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa telah melayang dan keadilan perlu ditegakkan untuknya.

Beliau berkata, mahkamah bagaimanapun sedar bahawa satu daripada peraturan asas keadilan ialah betapa kejamnya pertuduhan jenayah yang dihadapi seseorang itu, apa pun pangkat orang yang memberikan keterangan terhadapnya, tertuduh hanya boleh disabitkan berdasarkan keterangan yang dikemukakan mengikut undang-undang.

"Tidak bermakna bahawa seseorang yang dituduh melakukan jenayah berat mengikut undang-undang tidak berhak bagi perlindungan undang-undang dan satu daripada asas perlindungan itu ialah dia berhak bagi kesalahannya itu dibuktikan mengikut undang-undang. Tidak mencukupi jika kekurangan bukti," kata Malanjum, yang memetik bekas Hakim Mahkamah Agung Wan Suleiman Pawanteh dalam autoriti kes mahkamah.

Nur Izzatul ialah anak perempuan teman wanita Megat Shahrizat, yang bekerja sebagai pelayan pelanggan.

Pada masa kejadian, bapa kanak-kanak itu sedang ditahan di pusat pemulihan dadah.

Pada hari kejadian, saksi pihak pendakwaan Nordin Ahmad dalam keterangannya berkata, selepas ibu kanak-kanak itu pergi kerja, dia nampak Megat Shahrizat memukul dan menampar kanak-kanak itu yang sedang menangis.

Megat Shahrizat kemudiannya meletakkan kusyen di atas kanak-kanak itu dan duduk di atasnya walaupun Nordin memintanya supaya tidak berbuat demikian dan dijawab oleh tertuduh supaya tidak bimbang kerana si mati seorang kanak-kanak yang tahan lasak. - BERNAMA
Berita Harian Online | Sebabkan kematian kanak-kanak: Lelaki akan dibebaskan Jumaat ini

Mayat lelaki mangsa perahu karam di Sungai Kelantan ditemui


PASIR MAS: Mayat Hassan Abdul Ghani, 25, yang dilaporkan hilang selepas perahu yang dinaiki karam di Sungai Kelantan berdekatan Kampung Galok dekat sini tengah malam semalam ditemui hari ini.


Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok berkata, mayat mangsa ditemui terapung berhampiran pam penyedut pasir, kira-kira tiga kilometer daripada tempat dia dilaporkan hilang, pada jam 9.40 pagi.
Mangsa keluar memancing bersama siak masjid di kampung berkenaan iaitu Aziz Husin, 60, dan dilaporkan hilang selepas perahu mereka karam.
Berita Harian Online | Mayat lelaki mangsa perahu karam di Sungai Kelantan ditemui

Dua warga Nigeria rekrut keldai dadah ditahan di Filipina


MANILA: Dua rakyat Nigeria ditahan di Filipina susulan menjadi suspek dalam merekrut warga tempatan menyeludup dadah ke luar negara, kata agensi anti-narkotik kerajaan negara itu, hari ini.


Agensi Penguatkuasa Dadah Filipina dalam satu kenyataan, berkata dua warga Nigeria yang ditahan itu, Obinna Oliver Okeke dan Obi Ezema King, diberkas dalam satu operasi semalam di mana turut dirampas empat bungkusan kecil yang mengandungi dadah jenis kokain.
Selain didakwa memiliki dadah terlarang, kedua-dua mereka turut disiasat berhubung kemungkinan usaha merekrut rakyat tempatan bagi tujuan menjadikan mereka keldai dadah untuk diseludup ke luar negara. - AFP
Berita Harian Online | Dua warga Nigeria rekrut keldai dadah ditahan di Filipina

Bot bawa PATI karam, 18 masih hilang


KOTA TINGGI - Sebuah bot dipercayai membawa pendatang asing, karam di perairan Tanjung Pengelih dekat sini kira-kira 4.30 pagi tadi.

Setakat ini, sebelas mangsa berjaya diselamatkan manakala 18 lagi masih hilang, menurut jurucakap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan. - Bernama

2 maut kemalangan


IPOH — Dua orang termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun terbunuh dalam dua kemalangan berasingan di Perak semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki warga emas terbunuh dilanggar sebuah lori semasa melintas jalan di Kanthan dekat sini.
Jurucakap polis berkata Teo Lai Wah, 79, berasal dari Kuala Kangsar mati di tempat kejadian dalam kemalangan pada kira-kira 10.45 pagi semalam.
Dalam kes kedua, Saiful Sarizal Abdullah terbunuh selepas motosikal yang ditunggangi merempuh belakang sebuah lori di kilometer 105 Jalan Ipoh-Butterworh dekat Kerian.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira 6.45 petang.
Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi, beliau berkata mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Gempar terserempak harimau


DUNGUN - Penduduk Kampung Jambu Bongkok di sini, yang gempar dan bimbang dengan penemuan seekor harimau bersama anaknya di belakang sebuah klinik desa di situ semalam, memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Efendi Husin, 39, yang terserempak harimau betina itu pada 6 petang ketika mencari daun kayu untuk kambingnya, berkata beliau tidak berani lagi untuk ke situ. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Mayat bayi baru lahir ditemui


KUALA LUMPUR — Mayat bayi lelaki, yang dipercayai baru dilahirkan, ditemui di perkarangan tempat letak kereta berhampiran tong sampah di pangsapuri Sentul Utama, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bayi cukup sifat itu ditemui oleh orang awam pukul 12.30 tengah malam.
"Di sebelah bayi itu turut ditemui beg plastik yang mengandungi tali pusat dan uri, jadi kita tidak tolak kemungkinan bayi tersebut baru dilahirkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Isteri terima padah main kayu tiga




DUNGUN – Gara-gara berang tindakan suami dipercayai berkahwin lain, seorang isteri sanggup membelakangkan hukum agama dengan menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Bagaimanapun, tindakan ibu muda beranak satu yang membawa balik teman lelaki ketika suaminya tiada di rumah itu membawa padah apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berduaan di rumah sewanya, di Taman Rakyat Jaya, dekat sini.

Berikutan itu, pasa-ngan terbabit dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi semalam atas tuduhan berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan Pendakwaraya Syarie, Nor Hakimah Awang, ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 2.25 pagi di rumah di Taman Rakyat Jaya, Gong Pasir itu, sebaik pintu rumah diketuk, tertuduh perempuan yang memakai seluar jeans dan baju T membuka pintu, pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki memakai seluar pendek paras lutut tanpa baju bersembunyi di ruang dapur.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh wanita, Nor Shahida Mohamed Nor, 21 dari Merchang Marang dan pasangan lelaki, Mohamad Shahrulnizam Che Hassan, 19, dari Kemaman, kedua-duanya bekerja sebagai jurujual tidak mempunyai hubungan muhrim sah.

Shahrulnizam yang masih bujang bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan manakala Nor Shahida yang masih berstatus isteri orang tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah setelah menimbang rayuan Shahrulnizam serta mengambil kira hujah Pendakwaraya akhirnya menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau dua bulan penjara terhadap tertuduh lelaki manakala NorShahida diperintahkan membayar wang jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin sebelum menunggu tarikh sebutan semula kesnya.
SH

Angkara orang kurang siuman




PENDANG – Majlis Daerah Pendang (MDP) kerugian sebanyak RM50,000 apabila sebuah stor di medan selera di bandar milik MDP terbakar menyebabkan struktur bangunan bahagian itu rosak termasuk kelengkapan yang berada dalam stor itu turut musnah.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira 5.30 petang kelmarin apabila semua premis perniagaan di medan itu tidak beroperasi pada hari itu kecuali dua premis perniagaan bersebelahan stor itu.

Justeru, dua premis perniagaan minuman bersebelahan stor itu dapat diselamatkan apabila kebakaran itu disedari oleh seorang penguat kuasa MDP yang sedang membuat rondaan di kawasan serta terkejut melihat kepulan asap tebal dari kawasan itu.

Penguat kuasa MDP, Hamdan Zakaria berkata, dia segera pergi ke arah premis itu dan mendapati kepulan asap tebal keluar dari tingkap stor itu serta cuba memasuki stor itu namun pintu stor itu berkunci menyebabkannya menendang pintu stor itu.

Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut itu dia terdengar bunyi suara orang di dalam stor itu.

Dia berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki kurang siuman lingkungan 50-an yang disyaki membakar stor itu untuk cuba membunuh dirinya sendiri.

“Ketika saya menendang pintu stor itu saya dapati lelaki itu berada dalam keadaan terlentang dan separuh sedar menyebabkan saya bertindak menarik lelaki berkenaan keluar dari kawasan itu,” katanya.

Hamdan berkata, ketika dia menarik lelaki itu keluar tiba-tiba lelaki berkenaan mula sedar dan cuba untuk berlari masuk semula ke dalam stor itu.

“Saya kemudiannya menghubungi bomba dan polis serta polis berjaya menangkap lelaki itu sebaik tiba di tempat kejadian.

“Lelaki kurang siuman itu sering berkeliaran di kawasan ini namun tidak menyangka akan melakukan kejadian itu sehingga menyebabkan MDP menanggung kerugian tinggi,” katanya.
SH

Guru tuduh gugur kandungan




BALING - Seorang bapa di daerah ini kecewa berikutan tindakan seorang guru menuduh anak perempuannya menggugurkan kandungan.

Ia memberi kesan kepada anaknya untuk meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan.

Bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan tekad membuat laporan polis, kerana menjatuhkan maruah anaknya yang baru berusia 14 itu.

Mangsa berkata, dia dipanggil seorang guru disiplin dan mengatakannya menggugurkan kandungan sebulan yang lalu.

“Saya tidak mengaku kerana tidak melakukan perkara berkenaan,” katanya.

Bapanya berkata, selepas laporan dibuat, guru sekolah berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Saya bertanya kepada guru berkenaan di manakah bukti yang mengatakan anak saya menggugurkan kandungan.

“Tetapi guru berkesan mengatakan dia mendapat tahu daripada guru lain. Anak saya malu kerana namanya sudah tercemar disebabkan orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, dia turut bersetuju untuk membawa anaknya berjumpa dengan doktor untuk memastikan perkara sebenar.

“Saya sudah membuat keputusan untuk menukarkan anak saya ke sekolah lain agar dia dapat meneruskan pelajarannya,” katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu mendapat perhatian pihak yang berwajib kerana ia melibatkan maruah anaknya.
SH

Isteri maut, suami parah




BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita maut, manakala suaminya parah apabila motosikal yang ditunggangi dilanggar sebuah kereta jenis Proton Persona sebelum dirempuh pacuan empat roda yang berada di lorong laju.

Kejadian berlaku sekitar jam 3 petang di Kilometer 147 Lebuh raya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Plaza Tol Juru, semalam.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Taman Kendi, Simpang Ampat itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Butterworth sebelum motosikal yang ditunggangi di lorong kiri itu dilanggar kereta dari arah belakang lalu tercampak ke lorong laju di sebelah kanan.

Pemandu kereta Persona itu dikatakan lari sejurus melanggar mangsa.

Malang tidak berbau apabila sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita gagal mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkan si isteri, Ong Saw Ping, 36, maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Manakala, suaminya, Tan Ee Siang, 37, yang cedera di kaki dan pinggul dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil.

Mayat Saw Ping dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Mangsa mempunyai tiga anak daripada perkahwinan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah gagal dihubungi untuk mengesahkan kejadian.
SH

Setengah juta dirampas




IPOH – Tindakan sebuah firma perundingan kejuruteraan menjalankan perniagaan menggunakan perisian cetak rompak membawa padah apabila premis itu diserbu oleh pihak berkuasa di sini, kelmarin.

Serbuan pada jam 1 petang itu dilakukan anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri dengan kerjasama Persekutuan Perisian Perniagaan (BSA) Malaysia.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan, Rosli Ahmad berkata, pasukan itu menemui 64 perisian tiruan yang disyaki salinan langgaran serta 15 unit komputer yang keseluruhannya bernilai RM570,300.

“Aduan yang dilakukan oleh BSA, serbuan dilakukan lima anggota bersama tiga wakil BSA berakhir lima jam kemudian.

“Operasi yang dijalankan di Jalan Labrooy itu menemui beberapa perisian cetak rompak antaranya Autodesk AutoCAD, Corel Winzip, Microsoft Windows dan Microdoft Office,” katanya pada sidang media Operasi Gerak Gempur Cetak Rompak di sini, semalam.

Menurutnya, semua perisian dan komputer dirampas dibawa ke pejabat PPDNKK manakala, pemilik firma itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 iaitu memiliki salinan langgaran palsu.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara maksimum lima tahun.

“Ini merupakan rampasan terbesar dalam lima bulan ini melibatkan perisian komputer. Pihak kami akan jalankan siasatan terperinci bagi mengesan individu dan syarikat lain yang melakukan perkara yang sama,” katanya.

Katanya, sebanyak 557 kes tindakan telah diambil kepada peniaga di negeri ini atas pelbagai kesalahan bernilai RM1.8 juta sejak Januari lalu.
SH

Didenda RM2,500 miliki dadah

:JOHOR BAHRU –: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphemine atau syabu dan kanabis empat tahun lalu.

:Tertuduh, Muhamad Hairul Anuar Husin, 49, mempunyai dua pertuduhan terhadap dirinya.

:Untuk pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki satu straw kecil yang mengandungi serbuk kristal atau disyaki dadah jenis methamphemine atau syabu seberat 0.36 gram (g) di Rumah Pangsa Desa Rakyat, Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang sekitar jam 1.30 petang pada 26 November 2007.

:Manakala untuk pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki 0.168g tumbuhan kering jenis kanabis di tempat dan tarikh yang sama.

:Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama bagi tuduhan pertama dan dituduh di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tuduhan kedua.

:Majistret Maznah Sinin menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan denda RM1,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

:Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, M Vinodharan.
SH

Mati ketika bersenam



KOTA BHARU - Seorang lelaki ditemui mati selepas dipercayai terjatuh ketika bersenam di pekarangan rumahnya di Taman Tanjung chat, dekat sini semalam.

Kejadian disedari anak lelakinya, Fang Jiq Xing, 16, selepas terdengar dentuman dari luar rumahnya, kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam.

Jiq Xiang berkata, kejadian berlaku selepas bapanya, Fang Seng Yong, 54, seorang pendawai elektrik bersenam kira-kira lima minit sebelum dia terjatuh.

“Saya kemudian bergegas keluar dan mendapati bapa saya dalam keadaan terlentang dan mulutnya mengeluarkan buih.

“Saya kemudian meminta bantuan jiran sebelum menghubungi ambulans dan polis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jiq Xiang berkata, ketika kejadian, ibunya Chen Swee Fong, 47, yang juga seorang guru tiada di rumah kerana mempunyai urusan di luar.

Katanya, dia kemudian menghubungi ibunya memaklumkan mengenai kejadian menimpa bapanya.

Menurutnya, sebaik ambulans tiba, bapanya diberikan pertolongan cemas tetapi gagal diselamatkan dan disahkan sudah mati.

Jiq Xiang berkata, sejak tiga hari lalu, bapanya mengadu cepat letih dan perlu melakukan senaman.

“Tengah hari tadi sebelum dia terjatuh, ayah yang berada dalam keadaan letih memberitahu saya tetap mahu melakukan senaman untuk mengeluarkan peluh," katanya.

Menurutnya, berhubung kejadian itu, ibunya sudah membuat laporan polis dan dia mengesyaki bapanya menghidap serangan jantung.
SH

Temui mayat bayi terapung




KUALA LUMPUR – Mayat bayi perempuan baru dilahirkan ditemui terapung di dalam Sungai Gombak berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) dekat Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, orang awam yang melihat kejadian itu memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mayat bayi itu sudah dipotong tali pusatnya dan dilihat terapung dihanyutkan aliran sungai sebelum tersangkut di celah-celah batu di situ.

“Kita percaya bayi itu dibuang di tempat lain tidak lebih dari tempoh 24 jam sebelum ditemui.

“Mayat bayi yang masih elok itu ditemui dalam keadaan tidak dibaluti sebarang kain,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihaknya sedang mengesan suspek yang membuang bayi itu dan meminta bantuan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian 03-20702222 bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran itu.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
SH

Pemandu treler maut dalam kemalangan di lebuh raya



IPOH - Seorang pemandu treler terbunuh selepas kenderaan itu merempuh belakang sebuah lori kontena di Kilometer 297.7 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gopeng awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian pada 5 pagi itu, mangsa Musarang Dusok, 42, dari Batu Karang, Selangor, mati di tempat kejadian.

Manakala pemandu lori kontena tidak mengalami sebarang kecederaan.

Nahas berlaku ketika treler yang dipandu Musarang dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.

Tiga lelaki larikan kereta, campak wanita yang disamun dan dibelasah




KUALA LUMPUR: Seorang wanita menempuh saat mencemaskan hampir lima jam selepas dibelasah dan disamun oleh sekumpulan penjenayah, yang melarikan kenderaannya sebelum mangsa dicampak di tepi jalan, tengah malam Ahad lalu.
Ketika kejadian di depan sebuah 7-Eleven di USJ di sini, suri rumah berusia 30-an itu dalam Mitsubishi Triton menunggu suaminya membeli barangan di kedai tersebut.Secara tiba-tiba, tiga lelaki menyerbu masuk ke dalam kereta itu menyebabkan mangsa meronta-ronta dan menjerit meminta tolong.Namun, penjenayah tersebut bergegas melarikan kereta tersebut.Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan lebam oleh seorang pengawal keselamatan di tepi jalan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Jalil, sekitar 5 pagi.Telefon bimbit dan wang tunai mangsa turut disamun.Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Zainal Rashid Abu Bakar, mengesahkan kejadian itu berkata mangsa meminta pertolongan pengawal keselamatan tersebut menghubungi suaminya sebelum membuat laporan polis.Beliau berkata, mangsa yang trauma dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.Pihaknya juga sedang menunggu keputusan penuh laporan perubatan.Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian dan sudah menjalankan gerakan memburu ketiga-tiga penjenayah tersebut. -- BHM.
Cyberita Online Luar Negara

Warga asing makin merimaskan




Beberapa penduduk menunjukkan sampah-sarap yang tidak dibuang pada tempat yang sepatutnya oleh warga asing dan tidak dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan di Flat Taman Wilayah Selayang, baru-baru ini. - utusan/Azrul Edham Mohd Aminuddin


SELAYANG 31 Mei - Isu kebanjiran warga asing di negara ini telah lama menimbulkan keresahan masyarakat tetapi setakat ini ia masih gagal ditangani dengan berkesan sehingga mencetuskan pelbagai masalah.
Kebimbangan sama turut disuarakan penduduk Taman Wilayah Selayang yang mendakwa isu itu telah menjadi masalah utama mereka sejak dua tahun kebelakangan ini.
Sehubungan itu, Badan Bertindak Bandar Utara Selayang (BBBUS) yang menggabungkan sembilan buah persatuan penduduk dan sebuah kampung tradisi mengambil ketetapan bagi mendesak pihak berkuasa segera menangani masalah itu demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk tempatan.
Penduduk mendakwa semakin tertekan disebabkan penglibatan warga asing dalam beberapa aktiviti termasuk perniagaan sekali gus membuatkan penduduk tempatan semakin tidak mempunyai ruang di kawasan sendiri.
Mereka berpendapat, sekiranya masalah warga asing itu dapat diatasi, masalah lain yang dihadapi mereka selama ini juga akan dapat diselesaikan kerana sebahagian besar masalah berpunca daripada warga asing seperti soal kebersihan, masalah sosial dan jenayah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati dakwaan penduduk itu ada benarnya, malah mereka dilihat turut memonopoli kemudahan awam di kawasan perumahan yang mereka didiami.
Di taman permainan kanak-kanak dan padang awam berhampiran Taman Wilayah Selayang Fasa 4, warga asing yang kebanyakannya warga Myanmar dan Indonesia dilihat membawa anak-anak mereka bermain di situ.
Utusan Malaysia turut difahamkan tindakan pemilik kediaman menyewa rumah mereka kepada warga asing telah menyebabkan hampir 80 peratus kawasan perumahan di situ dipenuhi warga asing.
Selain kawasan taman permainan, kehadiran warga asing yang kebanyakannya bekerja di pasar borong berhampiran boleh dilihat di pasar malam berhampiran apabila mereka juga turut menjalankan perniagaan dipercayai menggunakan lesen orang tempatan.
Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Desa Bakti, Kamarudin Md. Taha, 55, berkata, akibat ketiadaan pemantauan pihak berkuasa, warga asing dilihat terus membanjiri kawasan perumahan di sekitar Selayang.
Menurutnya, di kawasan Taman Wilayah Selayang sahaja, jumlah warga asing dianggarkan hampir menyamai penduduk tempatan iaitu kira-kira 10,000 orang.
Selain isu warga asing, BBBSU turut melahirkan rasa kecewa kerana beberapa isu lain yang dikemukakan kepada pihak berkuasa masih belum diambil tindakan.
Antaranya, cadangan memindahkan pasar malam di Jalan 20/2A, Taman Wilayah Selayang Fasa 4 kerana gagal diuruskan dengan baik, memantau kedai video 24 jam yang semakin banyak serta restoran, bengkel dan kedai barangan lusuh yang diusahakan oleh warga asing.
Utusan Malaysia Online - Kota

Isteri hilang lebih 50 jam ditemui




Azizan Che Napiah (kanan) membuka plaster luka sambil diperhatikan isterinya, Munaliza Tajuddin di Hospital Kuala Nerang, semalam.


KUALA NERANG 31 Mei - Seorang suri rumah yang dilaporkan hilang di kawasan hutan sebuah bukit di Kampung Bukit Tembaga di sini sejak pagi Ahad lalu, ditemui dalam keadaan lemah di sebuah kebun getah kira-kira 10 kilometer dari rumahnya hari ini.
Munaliza Tajuddin, 30, ditemui duduk di kebun getah di Kuala Pai di sini oleh seorang penoreh getah kira-kira pukul 9.30 pagi tanpa sebarang kecederaan selepas hilang lebih 50 jam.
Ibu kepada empat orang anak itu dikatakan mengalami tekanan perasaan selepas melahirkan anak keempat yang kini berusia sembilan bulan lalu dibawa tinggal bersama ibu mertuanya di Kampung Bukit Tembaga di sini sejak empat hari lalu.
Suaminya, Azizan Che Napiah, 33, memberitahu, dia menyedari kehilangan isterinya pada pukul 6.30 pagi Ahad lalu setelah dimaklumkan oleh seorang anak perempuannya.
"Saya keluar mencarinya di sekitar kampung tetapi gagal dan gerakan mencari diteruskan ke kawasan bukit kira-kira 20 meter dari rumah dengan kerjasama polis, anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Kami tahu dia sesat di dalam hutan di kawasan bukit berdekatan kerana isteri pernah beritahu adik ipar bahawa dia nak ke atas bukit kerana nampak sebuah rumah besar di sana," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Nerang, di sini hari ini.
Katanya, usaha mencari dipergiatkan di kawasan bukit itu selepas menemui senaskhah al-Quran yang dibawa isterinya lalu ditinggalkan di bawah sebatang pokok berangan pada petang Ahad.
"Saya bersyukur kerana isteri ditemui dalam keadaan selamat dan selepas ini saya akan bawa dia berubat secara tradisional bagi mengubati penyakitnya ini," ujarnya.
Jelasnya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan isterinya dan kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan yang dihadapi isterinya sejak melahirkan anak keempat.
"Saya berpindah ke sini dari Kuala Kedah sejak empat hari lalu semata-mata untuk mengubati penyakit isteri saya ini di kampung ini," tambahnya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Bas terbabas pengantin, rombongan maut




Orang ramai memerhatikan kren mengangkat bas yang terlibat dalam satu nahas jalan raya di kampung Charabari, daerah Kamrup, kira-kira 60 kilometer dari Guwahati, semalam. - AFP


GUWAHATI, India 31 Mei - Sekurang-kurangnya 31 ahli rombongan penggantin maut termasuk pengantin lelaki apabila bas yang membawa lebih 40 penumpang terbabas dan melanggar jambatan kayu sebelum terjunam ke dalam paya di bandar Assam.
Kemalangan tersebut berlaku ketika rombongan tersebut dalam perjalanan pulang dari rumah pengantin perempuan di daerah Kamrup, timur laut bandar Assam, malam semalam.
Menurut pegawai polis kanan Assam, A.Das, polis setakat ini telah mengenal pasti kira-kira 25 mayat, manakala mangsa yang cedera diselamatkan oleh penduduk tempatan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seramai empat penduduk rentung dan 12 cedera parah apabila sebuah lori tangki minyak terbabas dan meletup menyebabkan kebakaran berhampiran kawasan perumahan bandar Assam.
Seorang pegawai polis, B. Bora berkata, lori tangki tersebut terbabas lalu meletup dan menyebabkan kebakaran.
Dalam pada itu, Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, India mencatatkan jumlah kematian di jalan raya tahunan tertinggi di dunia akibat gagal mematuhi had laju, cuai serta keadaan jalan yang teruk. - AFP/Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bakteria timun ragut 14 nyawa



BERLIN 31 Mei - Wabak bakteria E.coli berpunca daripada timun tercemar yang sudah meragut 14 nyawa dan menyebabkan lebih 320 lagi sakit teruk di Jerman, kini merebak ke negara lain di Eropah utara dan dijangka menjadi bertambah buruk pada minggu akan datang.
Sumber bakteria berbahaya itu belum diketahui, kata pihak berkuasa Jerman semalam, menjelang mesyuarat krisis pegawai-pegawai kerajaan persekutuan dan negeri di sini.
Kebanyakan kematian berlaku di utara Jerman.
"Kami berharap bilangan kes akan menurun tetapi kami khuatir keadaan akan menjadi bertambah buruk," kata jurucakap Pusat Perubatan Universiti Schleswig-Holstein di utara Jerman, Oliver Grieve.
Patogen E.coli itu dikenal pasti terdapat pada bekalan timun yang diimport dari Sepanyol tetapi belum jelas sama ada sayur tersebut mula dicemari di negara itu, semasa dalam pengangkutan atau di Jerman.
Sebanyak 36 kes disyaki E.coli dikesan di Sweden, semuanya dikaitkan dengan perjalanan di utara Jerman, kata pihak berkuasa.
Sebilangan kecil kes dilaporkan di Britain, Denmark, Perancis dan Belanda, semuanya juga dikaitkan dengan perjalanan ke Jerman.
Kerajaan Jerman mengenal pasti wabak itu sebagai sindrom hemolitik-uremik (HUS) iaitu komplikasi serius berpunca daripada sejenis E.coli yang dikenali sebagai E.coli pengeluar toksin Shiga (STEC).
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam penilaian risikonya menyifatkan wabak HUS/STEC itu sebagai antara yang terbesar di dunia.
HUS menjejaskan darah, buah pinggang dan dalam kes paling teruk, sistem saraf dan boleh menjadi sangat serius bagi kanak-kanak dan orang tua. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bapa rayu orang ramai bantu cari anak hilang




Mohammad Yusoff Saidin bersama isterinya, Chik Embun Mustaffa menunjukkan gambar anak mereka, Mohd. Fikril Munir Mohd. Yusoff yang hilang sejak lima hari lalu di Kampung Pida 3, Padang Perahu, Jitra, Kedah, semalam.


JITRA 31 Mei - Seorang bapa dari Kampung Pida 3, Tunjang di sini memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan anak lelakinya, Mohd. Fikril Munir Mohd. Yusoff(gambar kecil), 25, yang hilang sejak lima hari lalu.
Mohd. Yusoff Saidin, 55, berkata, anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana lembam keluar dari rumahnya pada Rabu lalu secara bersendirian dengan menaiki basikal.
Katanya, ada penduduk memaklumkan ternampak Mohd. Fikri mengayuh basikal di Kampung Batu 17 di sini menghala ke Kampung Pida 3 kira-kira pukul 4 petang hari tersebut dipercayai mahu pulang ke rumah.
"Tetapi dia tidak pulang sehingga maghrib menyebabkan saya buat laporan polis pada keesokannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Kata Mohd. Yusoff, anak ketiga daripada sembilan beradik itu keluar menaiki basikal di sekeliling kampung pada setiap petang dan kebiasaannya akan pulang sebelum maghrib.
"Kali ini dia tidak pulang dan kami sekeluarga amat bimbangkan keselamatan dan kesihatannya kerana dia perlu mengambil ubat setiap hari untuk elak terkena sawan," ujarnya.
Menurutnya, dia tidak mengetahui baju yang dipakai Mohd. Fikril ketika kejadian kerana dia dan isteri keluar ke rumah saudara di Kuala Nerang, dekat sini.
"Dia hanya bawa wang RM1 dan saya sudah mencarinya di merata tempat namun gagal menemuinya," katanya.
Beliau merayu sesiapa yang terlihat Mohd. Fikril diminta menghantarnya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Balai Polis Jitra di talian 04-9172222.
Utusan Malaysia Online - Utara

'Abang pulanglah, anak-anak rindu'


KULIM 31 Mei - Seorang isteri, Hasnah Che Din merayu suaminya yang menghilangkan diri sejak lebih dua tahun lalu supaya pulang ke pangkuan keluarga kerana keempat-empat anaknya sangat merinduinya.

Menurut Hasnah, 32, sejak suaminya, Mohd. Fisol Mustafa, 36, meninggalkan rumah pada 7 Ogos 2009, lelaki itu tidak pernah menghubunginya atau balik ke rumah mereka di Kampung Padang Patong, Labu Besar di sini, untuk melawat anak-anak.
Katanya, dia tidak mengetahui punca suaminya menghilangkan diri kerana rumah tangga mereka sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah.
"Sejak suami pergi, saya cuba menghubunginya berkali-kali. Puas saya mencari di merata tempat termasuk menemui rakan-rakan di kampung serta di tempat kerjanya tetapi usaha saya semua sia-sia.
"Saya juga ke rumah keluarga mertua di Kota Sarang Semut, Kedah tetapi mereka memaklumkan suami tidak pulang ke kampung sejak Ogos 2009 malah tidak pulang ketika adiknya melangsungkan perkahwinan Februari lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Hasnah yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di sini berkata, sejak suaminya menghilangkan diri, dia terpaksa memikul tanggungjawab menjaga keempat-empat anaknya yang berusia dua hingga 11 tahun.
Tambahnya, dia sudah mengadukan perkara itu ke Jabatan Agama Islam Kedah sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah supaya dibebaskan daripada digantung tidak bertali.
"Kalau abang membaca laporan akhbar ini, harap abang pulang atau tampil di Mahkamah Syariah Kulim pada 6 Jun ini supaya hakim dapat membuat keputusan.
"Janganlah biar saya terus digantung tidak bertali dan kalau tidak mahu meneruskan rumah tangga, biarlah saya memulakan hidup baru bersama anak-anak," katanya.
Hasnah memberitahu, kejadian Mohd. Fisol menghilangkan diri bukan kali pertama kerana ketika mereka menetap di rumah mertua sebelum ini, suaminya itu pernah tidak pulang ke rumah antara tiga hingga enam bulan.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Kapal kimpal, berlabuh tanpa kebenaran ditahan



JOHOR BAHRU 31 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan menahan sebuah kapal kerana didapati menjalankan kerja-kerja kimpalan dan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Barat, berhampiran Tanjung Piai dekat sini, semalam.
Kapal MV Golden Tulip yang berdaftar di Pulau Marshal itu ditahan pukul 7.15 petang kira-kira 2.7 batu nautika (4.86 kilometer) di Barat Daya Tanjung Piai.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kapal berkenaan ditahan oleh kapal KM Murudu yang ketika itu sedang melakukan operasi di perairan Selat Melaka.
"Ketika melakukan rondaan, pihak kami mengesan sebuah kapal sedang bersauh dan berada dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut sedang melakukan kerja-kerja kimpalan tanpa kebenaran daripada Jabatan Laut dan berlabuh tanpa kebenaran.
"Kapal itu turut membawa seramai 26 krew warga India dan Bangladesh berusia 25 hingga 56 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zulkifli berkata, kesemua dokumen kapal dibawa ke pejabat Maritim Malaysia untuk disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Dius Api kerana bersauh di tempat yang tidak dibenarkan serta menjalankan kerja-kerja kimpalan tanpa memaklumkan Jabatan Laut.
Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Utusan Malaysia Online - Johor

20,000kg minyak masak subsidi dirampas




Dua anggota KPDNKK menunjukan minyak masak yang dirampas di sebuah gudang di Bandar Pinggiran Subang, semalam.


SUBANG JAYA 31 Mei - Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah merampas 20,000 kilogram minyak masak subsidi bernilai RM50,000 selepas menyerbu sebuah gudang di Bandar Pinggiran Subang di sini, petang ini.
Turut ditahan 11 pekerja termasuk lapan warga Pakistan dan dua orang pemandu lori serta seorang penyelia yang masing-masing berusia 30-an.
Operasi melibatkan 10 orang pegawai PPDNNK bermula pukul 5.30 petang dibuat setelah hampir seminggu membuat intipan hasil maklumat orang awam.
Menurut Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Wilayah, Mohamad Mokhtar Yeop, pihaknya telah menjejaki sebuah lori dari Setapak hingga ke lokasi kejadian sebelum bertindak menyerbu mereka.
"Ketika serbuan, lapan daripada pekerja warga asing sedang sibuk mengalihkan minyak masak subsidi satu dan lima kilogram ke dalam satu tangki berwarna hitam sebelum diisi ke dalam sebuah tong kecil untuk dipasarkan.
"Kita tidak menolak kemungkinan minyak masak itu diisi ke dalam tong kecil untuk pasaran tempatan dan negara jiran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket menjual minyak masak subsidi itu telah mula beroperasi sejak sebulan lalu.
Mohamad Mokhtar berkata, kesemua pekerja ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Utusan Malaysia Online - Kota

120 pegawai Libya berpaling tadah


ROME: Lapan pegawai kanan tentera Libya muncul di Rome semalam untuk membuat pengakuan menjadi sebahagian daripada 120 pegawai dan anggota pasukan keselamatan berpaling tadah daripada Muammar Gaddafi sejak beberapa hari lalu.
Lapan pegawai kanan terbabit - lima berpangkat jeneral, dua kolonel dan seorang mejar - mengadakan sidang media tergempar dianjur kerajaan Itali.

Itali adalah antara kerajaan yang mengiktiraf gerakan pemberontak rakyat Libya bagi menyingkirkan Gaddafi sebagai pemimpin.

Seorang daripada pegawai terbabit, Jeneral Oun Ali Oun, berkata apa yang berlaku ke atas rakyat Libya menakutkan mereka.

“Berlaku pembunuhan beramai-ramai, keganasan ke atas wanita. Hanya orang bodoh dan tidak bermaruah tergamak melakukan kekejaman itu,” katanya.


Rakannya, Jeneral Salah Giuma Yahmed, berkata tentera rejim Gaddafi semakin lemah dari sehari ke sehari dengan kekuatannya merosot sehingga 20 peratus berbanding sebelum ini.

“Gaddafi kini di ambang kejatuhan,” katanya.

Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Abdurrahman Shalgam, berkata semua 120 pegawai tentera yang berpaling tadah itu kini berada di luar Libya.

Bagaimanapun, duta itu yang turut menyatakan sokongan terhadap revolusi rakyat Libya tidak menyatakan di mana pegawai kanan terbabit berada.

Menurut sumber, semua pegawai tentera yang berpaling tadah itu meninggalkan Libya melalui sempadan Tunisia yang dikawal pemberontak. - Reuters

myMetro | 120 pegawai Libya berpaling tadah

Diplomat disyaki seludup kereta mewah ke India

myMetro | Diplomat disyaki seludup kereta mewah ke India: "NEW DELHI: Diplomat dari Korea Utara dan Vietnam disiasat ekoran kegiatan import kereta secara haram ke India yang menyaksikan kira-kira 40 kenderaan mewah dirampas polis.

Pegawai daripada Direktorat Perisikan Hasil (DRI) mula melakukan siasatan sejak dua bulan lalu dan merampas kereta Bentley, Aston Martin dan beberapa kenderaan mewah lain yang dibawa masuk tanpa duti kastam.


Dua diplomat itu disyaki menggunakan keistimewaan kedutaan untuk mengimport kereta ke India tanpa membayar 100 peratus duti import yang dikenakan bagi nilai kenderaan baru. “Diplomat dari Korea Utara dan Vietnam terbabit dengan urus niaga ini, membawa masuk kenderaan mewah ke India dan kemudian menjual semula secara haram,” kata pegawai kanan DRI, R K Sharma. - AFP"

Raja Sweden nafi masuk kelab bogel

myMetro | Raja Sweden nafi masuk kelab bogel: "STOCKHOLM: Raja Sweden, Carl XVI Gustaf, semalam menafikan laporan media bahawa dia mengunjungi kelab penari bogel dan terbabit secara tidak langsung dengan jenayah terancang.

Dalam temu bual panjang-lebar bersama agensi berita TT yang diterbitkan semalam, ketua negara Sweden itu menafikan dakwaan bekas anggota mafia, Mille Markovic bahawa dia mempunyai gambar menunjukkan raja berkenaan berada dalam kelab seks bersama dua wanita bogel. “Tidak, mustahil gambar itu wujud,” jelasnya menekankan bahawa sukar baginya mengulas mengenai sesuatu yang tidak dilihatnya. - AFP"

Tokoh bank Mesir pula dituduh cabul pekerja hotel

myMetro | Tokoh bank Mesir pula dituduh cabul pekerja hotel: "NEW YORK: Ahli perniagaan dan bekas ketua bank utama di Mesir didakwa melakukan serangan seksual ke atas pekerja hotel di sebuah hotel mewah di bandar raya ini, kata polis, semalam.

Penahanan Mahmoud Abdel-Salam Omar itu berlaku dua minggu selepas bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn dituduh cuba memperkosa seorang pekerja hotel di sebuah hotel mewah lain di Manhattan. Mahmoud, 74, dituduh menyerang pekerja itu ketika dia menghantar tisu yang diminta ahli perniagaan terbabit ke bilik 1027 kira-kira jam 6 petang kelmarin di Hotel Pierre di timur Manhattan.


Mahmoud, bekas pengerusi Bank Iskandariah dan Bank Amerika Mesir adalah pengerusi lembaga pengarah syarikat El-Mex Salines, menurut laman web syarikat garam itu. - Reuters"

Pencarian Ahli Parlimen paling seksi di Britain

myMetro | Pencarian Ahli Parlimen paling seksi di Britain: "LONDON: Sebuah laman sesawang yang menyediakan ruang kepada pelayar mengundi memilih Ahli Parlimen Britain paling seksi kini popular di Internet.

Untuk mengundi, pelayar perlu melawat sexymp.co.uk dan di situ dipaparkan dua gambar Ahli Parlimen untuk dipilih.


Pelawat juga diminta menyatakan pilihan Ahli Parlimen mana yang diingini jika diberi peluang mengadakan hubungan seks.

Hasil undian itu kemudian digunakan untuk memilih ahli politik paling menarik.


Sehingga malam tadi, wakil Parti Buruh, Luciana Berger, berada di tempat teratas, mengatasi Tories Penny Mordaunt dan Charlotte Leslie.


Bagi tokoh lelaki, seorang lagi wakil Parti Buruh, Chris Evans, berada di puncak, diikuti Tory Zac Goldsmith dan Tristram Hunt.

Laman sesawang itu dibina bintang siri realiti Made In Chelsea, Francis Boulle.


Katanya, walaupun menjangkakan ada pihak yang kurang senang dengan pengundian berkenaan.


“Bagaimanapun, bukan tujuan saya untuk menyakiti sesiapa,” katanya. - TS"

Makin ramai pasangan bercerai kerana permainan video

myMetro | Makin ramai pasangan bercerai kerana permainan video: "LONDON: Semakin banyak rumah tangga berantakan gara-gara ketagihan bermain video, kata agensi pengurusan perceraian Internet, Divorce Online, semalam.

Kajian menunjukkan, bilangan wanita memfailkan perceraian dengan alasan suami mereka menghabiskan masa terlalu lama bermain video terus meningkat.


Daripada keseluruhan wanita yang menyatakan suami masing-masing berperangai tidak wajar, 15 peratus percaya pasangan mereka lebih mementingkan permainan video daripada isteri.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding lima peratus tahun lalu.


Secara khusus, wanita menyalahkan permainan World of Warcraft yang membenarkan pemain mencipta watak fantasi sendiri bagi menjalani pengembaraan di dalamnya.


Permainan kedua yang paling banyak dipersalahkan ialah Call Of Duty. Seorang daripada wanita terbabit mendakwa, suaminya bermain World of Warcraft sehingga masa lapan jam sehari.

“Apabila semakin serius, saya cuba menasihatinya tetapi gagal. “Dia hanya menyedari perbuatannya membawa mudarat apabila saya mahu bercerai daripadanya,” katanya. - DM"

Bapa tiri durjana

AMPANG: Seorang pelajar berusia 15 tahun nekad melarikan diri ke rumah ibu saudaranya selepas tidak tahan dijadikan hamba seks bapa tirinya sejak Mac lalu di rumah mereka di Ampang, di sini, kelmarin.

Lebih menyedihkan apabila perbuatan jijik bapa tirinya itu diketahui ibu kandungnya tetapi hanya mendiamkan diri berikutan takut ditinggalkan.
Menurut sumber, mangsa dijadikan hamba seks bapa tiri durjana berusia awal 30-an itu sejak Mac lalu dan dipaksa melakukan perbuatan terkutuk itu setiap kali lelaki terbabit mahukannya.

Malah, sejak Mac lalu, mangsa mendakwa 11 kali diperkosa bapa tirinya.

“Mangsa beberapa kali mengadu kepada ibu kandungnya mengenai perbuatan terkutuk lelaki itu tetapi tidak diendahkan.

“Malah, ibu mangsa hanya menasihati anaknya agar bersabar dengan perbuatan keji lelaki itu bagi mengelakkan dia ditinggalkan,” katanya.

Mengucap sebelum lemas

PASIR MAS: “Aku dah habis nafas.” Itulah kata-kata terakhir Hassan Abdul Ghani, 25, kepada rakannya yang juga penjaga Masjid Kampung Galok, Aziz Husin, 56, ketika cuba menyelamatkan diri sejurus sampan dinaiki karam dalam kejadian di Sungai Kelantan, Kampung Galok, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, hasrat dua jiran sekampung menjala ikan di sekitar sungai berkenaan bertukar tragedi memilukan apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras sungai.

Kejadian itu nyata mengejutkan keluarga mangsa kerana tidak menduga hobi menjala ikan anak ketujuh daripada 10 beradik itu akan membawa musibah kepada dirinya.

Usaha mencari mangsa turut dibantu lima anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dengan bot.

Menceritakan detik cemas itu, Aziz berkata, kejadian berlaku begitu pantas ketika dia bersama mangsa dalam perjalanan pulang mendarat, tetapi sampan berkenaan dinaiki air dan terpaksa menyelamatkan diri mereka.


“Kami menggunakan tenaga yang ada dan berusaha sedaya upaya berenang kira-kira 150 meter untuk menyelamatkan diri dan melawan arus sungai.

“Mujur saya sempat mencapai pokok buluh yang berada di tebing berkenaan dan memautnya, manakala Hassan ketika itu berusaha berenang sebelum tenggelam ketika menghampiri kawasan tebing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, Hassan dilihat keletihan sempat mengucap dua kalimah syahadah, sebelum sekali lagi tenggelam dan tidak dapat diselamatkan dibawa arus deras kira-kira jam 12 tengah malam.

“Ketika itu saya sempat berhenti rehat di sebalik rimbunan pokok buluh sebelum berusaha merentasi sungai berkenaan untuk mendapatkan bantuan polis,”katanya yang cedera di mata kanan.

Bapa mangsa, Abd Ghani Saat, 63, yang baru pulang dari menziarahi bapa saudaranya di Pahang terkejut dengan kejadian itu.


“Sampai di rumah Aziz keadaannya meracau, selain meraung menyebut nama Hassan, menyebabkan khidmat bomoh terpaksa digunakan sebelum kalimah Allah terkeluar dari mulutnya dan menceritakan kejadian menimpa anak.


“Sebelum ini sudah nampak perubahan sikapnya (mangsa). Dia ceria dan kerap mengungka
myMetro | Mengucap sebelum lemas

Artis terpalit tarik pelabur


USTAZ HARUN...diburu BNM
USTAZ HARUN...diburu BNM


KUALA LUMPUR: Penganjuran konsert membabitkan artis popular tanah air antara taktik licik Ustaz Harun atau Harun Mat Saat untuk menarik orang ramai melabur dalam skim cepat kaya dianjurkan syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd (Dina Group).
Akibatnya, artis turut menjadi mangsa lelaki berusia 45 tahun itu yang kini menduduki senarai teratas individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan penyelewengan wang kira-kira RM200 juta.

Bekas penyampai radio popular, Isma Halil Hamzah, berkata selainnya lebih 20 artis mendaftar sebagai ahli dan menjayakan Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani di Stadium Malawati Shah Alam pada pertengahan April 2009.

Menurut Isma Halil yang bertindak sebagai pengacara pada konsert itu, antara artis yang membuat persembahan ialah Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Yantzen, Rahmat (Mega) dan Nazrey (bekas vokalis Raihan).


“Kami tidak menyangka konsert itu mempunyai agenda tersembunyi dan lebih mengecewakan artis yang membuat persembahan langsung tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.
myMetro | Artis terpalit tarik pelabur

Simpan mayat dalam stor



LOKASI KEJADIAN...rumah sewa pasangan suami isteri yang disyaki mendera bayi.
LOKASI KEJADIAN...rumah sewa pasangan suami isteri yang disyaki mendera bayi.


SUNGAI SIPUT: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan mati dipercayai akibat didera ibu bapanya yang sakit mental sebelum mayatnya ditemui di dalam stor, penuh kesan luka dan lebam pada tubuh dan dibalut dengan kain batik berwarna merah.
Mayat bayi itu ditemui bapa saudaranya di rumah sewa dihuni pasangan berkenaan di Taman Muhibbah di sini, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

Ketika mayat bayi itu ditemui, ibu bapanya tanpa reaksi sedih memberi alasan mereka tidak tahu anak mereka sudah mati dan memberitahu bayi itu ‘disimpan’ selepas didapati tidak bergerak sejak jam 11 pagi kelmarin.

Bapa mangsa yang bekerja sebagai penjual burger pernah mendapat rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, sebanyak dua kali dan isterinya juga dikatakan turut mengalami masalah serupa.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Ernest John berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa saudara mangsa yang dibuat di Balai Polis Sungai Siput pada jam 2.41 pagi semalam.
myMetro | Simpan mayat dalam stor

Mayat bayi perempuan ditemui tersangkut celah batu sungai


ANGGOTA polis membawa mayat bayi yang ditemui dalam sungai berdekatan pusat beli-belah The Mall di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui tersangkut di celah batu tepi Sungai Gombak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata bayi, yang sudah dipotong tali pusat, ditemui oleh seorang awam yang terlihat bayi itu ketika berada di stesen berkenaan pada jam 9 pagi ini.
Beliau berkata, orang awam terbabit pada mulanya terlihat satu bungkusan seolah menyerupai anak patung terapung di celah batu di sungai berkenaan.
“Mengesyaki objek itu adalah bayi, orang awam terbabit memaklumkannya kepada polis.

“Sepasukan anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Sentul yang dikejarkan ke tempat itu kemudian membawa keluar bayi malang itu dari celah batu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat bayi itu dipercayai dicampak dari tempat lain sebelum dihanyutkan di sungai berkenaan.

“Kita sehingga kini masih menyiasat segala kemungkinan yang ada termasuk mengalu-alukan sebarang maklumat dari saksi kejadian bagi membolehkan kita mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya.
Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada bayi berkenaan sudah meninggal dunia sebelum atau selepas dibuang ke dalam sungai.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.  Berita Harian Online | Mayat bayi perempuan ditemui tersangkut celah batu sungai

Petak motosikal ‘diceroboh’


KEBANYAKAN tempat letak motosikal di Georgetown dipenuhi kereta.
KEBANYAKAN tempat letak motosikal di Georgetown dipenuhi kereta.

Lebih sejuta pemilik ‘pening kepala’ cari tempat letak kenderaan

GEORGETOWN: Lebih sejuta pemilik motosikal di Pulau Pinang ‘pening kepala’ apabila memasuki pusat bandar kerana sukar mencari tempat letak kenderaan masing-masing.

Penunggang sukar mencari tempat letak motosikal kerana petak yang disediakan pihak berkuasa tempatan tidak mencukupi, selain tindakan pemandu kenderaan lain ‘menceroboh’ petak yang dikhaskan untuk motosikal.
Penunggang bukan saja ‘bersaing’ sesama sendiri tetapi juga pemandu kenderaan lain, terutama kereta yang mengalami masalah sama iaitu kekurangan tempat letak kenderaan.
Seperti pemandu kenderaan, penunggang motosikal juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang oleh polis dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), jika meletak motosikal di sesuka hati.

Selain masalah itu, penunggang motosikal turut berdepan keadaan jalan yang tidak diturap dengan sempurna khususnya selepas kerja mengorek dilakukan kontraktor tertentu.

Ini menyebabkan penunggang terdedah kepada risiko terbabit dalam kemalangan jalan raya apabila mengelak laluan yang tidak diturap dengan sempurna.

Tinjauan Berita Harian mendapati rata-rata penunggang motosikal mengalami masalah itu dan berada dalam dilema, sama ada menunggang motosikal atau memandu kereta, sama ada untuk ke tempat kerja atau untuk urusan tertentu di pusat bandar.
Umum mengetahui, menunggang motosikal lebih sesuai di bandar ini kerana dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, selain menjimatkan wang untuk membeli petrol.

Bagi penghantar surat firma guaman, Rozano Mohd Nor, 46, dari Bukit Mertajam, dia terpaksa memberi fokus ketika menunggang motosikal kerana ada laluan yang rosak seperti lopak dan tidak diturap dengan sempurna.

"Saya pelik jalan yang sudah diturap akan dikorek semula oleh pihak tertentu untuk menukar kabel atau memasang paip.

"Apabila selesai menjalankan kerja, pihak terbabit akan menurap kembali tempat yang dikorek tetapi ia tidak rata dan kadangkala berlubang semula disebabkan tar tidak berkualiti," katanya.

Peniaga, Esmond Byrne, 45, berkata beliau yang kadangkala ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) menghadapi masalah kerana terpaksa meletakkan motosikal jauh dari destinasi yang dituju.

"Tempat letak kereta yang disediakan jauh sedangkan saya hanya naik sebentar dan disebabkan itu, motosikal tetap diletakkan di depan lobi. Biarpun sekejap, kadangkala kena saman polis atau MPPP," katanya.

Pegawai kerajaan, Fauzi Ahmad, 28, berkata dia pernah dihimpit kenderaan besar seperti bas terutama di kawasan Tanjung Tokong hingga hampir terbabas ke bahu jalan.

"Saya pelik dengan kenderaan besar kerana tidak menghiraukan penunggang motosikal, malah tidak akan memberi peluang apabila keluar simpang. Ada juga kereta yang bergesel kerana sikap tidak bertimbang rasa pemandu kenderaan terbabit," katanya. Berita Harian Online | Petak motosikal ‘diceroboh’