
Penjenayah terbabit dipercayai menceroboh kawasan bangunan selepas merosakkan pagar sebelum bertindak nekad memanjat bahagian belakang bangunan dan masuk melalui atap serta siling tingkat dua bangunan itu.
Kejadian berkenaan dipercayai berlaku antara jam 12 hingga 6 pagi.
Penolong Jurutera daerah, Makroof Abdullah, 53, berkata, kakitangan pejabatnya hanya menyedari kejadian itu berlaku apabila mereka tiba di pejabat berkenaan kira-kira 7.30 pagi semalam.
“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pembantu pejabat yang membuka pintu pejabat hari ini (semalam).
“Selepas masuk ke dalam dan mendapati keadaan dalam pejabat ini berselerak,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Makroof berkata, penceroboh terbabit dipercayai masuk ke dalam bangunan melalui atap di bahagian belakang bangunan.
Katanya, sebelum itu penceroboh berkenaan merosakkan pagar dan masuk melalui siling di tingkat dua berdasarkan kesan yang ditinggalkan penceroboh terbabit.
“Dalam kejadian berkenaan, pelbagai barang berharga seperti dua buah komputer riba, empat unit kamera digital, unai kira-kira RM750 milik kakitangan pejabat didapati hilang.
“Anggaran sebenar kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Makroof berkata, berikutan kejadian itu satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pagi semalam.
Sementara itu, kakitangannya, Mohd Khalid Puteh, 50, berkata, dia turut berputih mata apabila tunai sebanyak RM700 yang diletakkan dalam laci bersama buku simpanan Tabung Haji lesap dalam kejadian tersebut.
“Wang itu untuk kegunaan ibu saya, Esah Abu Bakar dan ia disimpan dalam laci di pejabat ini sejak awal tahun lagi,” kata bapa lima anak yang tinggal di Taman Kalungan Melur, Rhu Rendang, di sini.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.