Search This Blog

Sunday, May 29, 2011

Lelaki ditahan miliki heroin




KLUANG - Seorang lelaki ditahan polis pada 21 Mei lalu atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin yang dianggarkan nilai kasarnya RM800.

:Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditangkap di hadapan sebuah kedai di Jalan Taman Desa kira-kira jam 5.15 petang.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas sembilan paket plastik lut sinar berisi dipercayai dadah jenis heroin dan berat kasarnya dianggarkan seberat 20.3 gram,” katanya dalam sidang media di IPD Kluang, baru-baru ini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.
SH

Kedai makan hangus




LENGGONG – “Apakan daya sudah suratan takdir, saya reda ketentuan Ilahi.”

Itu sahaja ungkapan yang mampu diluahkan seorang peniaga, Shahadan Mohamad, 40, apabila kedai tempatnya mencari rezeki hangus, awal pagi semalam.

Pengusaha kedai makan itu berkongsi kesedihan ketika lawatan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah ke tempat kejadian.

Shahadan berkata, kejadian berlaku semasa beliau baru hendak memulakan perniagaan sekitar jam 6.15 pagi.

“Kejadian mungkin berpunca dari kebocoran tong gas. Apa terlalu cepat merebak. Saya cuba memadamnya hingga tangan melecur.

“Pihak bomba sudah berusaha tetapi tidak dapat selamatkan apa-apa kerana api marak terlalu cepat.

“Wang RM2,200 yang disimpan hangus. Anggaran kerugian sebenar masih belum dikenal pasti jumlahnya tetapi saya menganggarkan mungkin mencapai RM50,000,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada Shamsul Anuar kerana kerana sudi menjenguk dan menghulurkan sumbangan.
SH

Terkejut terima saman trafik




BATU GAJAH – Seorang suri rumah, di sini, terkejut apabila mendapati kenderaannya disaman atas kesalahan memandu melebihi had laju sedangkan dia mendakwa tidak melakukan kesalahan tersebut.

Ng Nyin Ling, 36, berkata, dia terkejut menerima saman daripada trafik Balai Polis Gerik atas kesalahan yang dilakukan pada 31 Mac 2008 memandu dengan laju di Lebuhraya Gerik.

Menurutnya, sebelum itu, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke daerah Gerik, dia kemudiannya ke Balai Polis Gerik untuk memohon penjelasan berhubung kes saman itu

“Setelah menerima saman trafik ini pada 11 April 2008, saya bersama suami ke Gerik dan semasa melihat rakaman kamera yang ditunjukkan pihak polis, ternyata kereta dalam gambar berkenaan adalah jenis Toyota Camry yang menggunakan nombor pendaftaran sama sedangkan kereta saya jenis Kia Spectra.

“Pihak polis menasihatkan saya membuat laporan polis dan diberi jaminan saman itu akan dibatalkan kerana ada pihak menyalahgunakan nombor pendaftaran saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Nyin Ling berkata, apa yang lebih mengejutkannya, pada 20 November 2010 lalu pihaknya hairan saman yang dikeluarkan masih lagi wujud dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika dia ingin memperbaharui cukai jalan.

“Pihak JPJ hanya memberikan tempoh enam bulan sahaja dan ia akan tamat pada 25 Mei lalu, atas nasihat Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sarasvathy, saya menyerahkan sepucuk surat kepada Ketua Trafik Negeri, Ibu Pejabat Kontinjen Perak (IPK), Wan Abdullah Ishak pada 18 Mei lalu.

“Namun setelah wakil PSM menghubungi pegawai perhubungan Wan Abdullah, pihak kami dimaklumkan trafik telah mengambil tindakan dan mengarahkan pegawai trafik yang menguruskan saman menarik balik saman ini,” katanya.

Kata Nyin Ling, pihaknya berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membantu membatalkan saman yang dikeluarkan.

Sementara itu, Sarasvathy menyarankan agar mana-mana pihak yang curiga sekiranya menerima sebarang kesalahan lalu lintas menelitinya kembali dan melakukan pemeriksaan di balai berkaitan.

“Kita tidak mahu kes seumpama ini berulang kembali kerana kesalahan trafik diletakkan di atas bahunya sedangkan dia tidak melakukan kesalahan ini dan ia mampu menyukarkan kita bila tiba masa memperbaharui cukai jalan.

“Mungkin sesetengah daripada kita mengambil sikap endah tak endah perkara ini dan apa yang penting lakukan pemeriksaan di balai berkaitan serta PDRM sentiasa akan memberikan kerjasama terbaik,” katanya.
SH

Terlepas maut




TERAP - Berpantang maut sebelum ajal paling sesuai menggambarkan lelaki berusia 30an apabila kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Menurut saksi, mangsa dipercayai dari arah Kulim menuju ke Serdang dan kemalangan berlaku kerana keadaan jalan yang licin.

Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.
SH

Wanita jatuh dari tingkat 13




PETALING JAYA - Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 13 A Kondominium Tropicana Mall sebelum terhempas ke atas sebuah kereta yang menuju ke dalam parkir kompleks membeli belah di sini semalam.

Difahamkan, wanita itu ditemui dalam keadaan separuh bogel dan hanya berseluar berwarna merah.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun itu terjatuh ke atas sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki sepasang suami isteri warga emas sebelum terjatuh ke atas jalan.

Kejadian itu menyebabkan mereka kebingungan kerana terkejut mendengar bunyi kuat.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu, pada mulanya dia menyangka keretanya dilanggar dari belakang.

Bagaimanapun, mereka kehairanan apabila mendapati tiada kereta di belakang.

”Kami keluar dari kereta untuk melihat apa yang berlaku dan alangkah terkejutnya apabila mendapati seorang wanita terbaring di atas jalan.

”Dia terjatuh ke atas bonet belakang kereta sebelum terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Mior Hamdan Mior Mohd berkata, ketika kejadian itu terdapat seorang lelaki yang merupakan pengurus syarikat swasta di dalam rumah tersebut.

Katanya, polis sedang menyiasat hubungan lelaki berusia lingkungan 40-an itu dengan mangsa.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Menurutnya, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

”Kita menyiasat secara terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan akan merakam percakapan keluarga, pengawal keselamatan serta jiran bagi membantu siasatan.

”Siasatan dijalankan meliputi semua aspek untuk mengetahui sama ada wujud unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya.Mior Hamdan berkata, wanita itu dipercayai terjatuh dari tingkap bilik dan mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Menurutnya, pihaknya sedang menanti laporan bedah siasat serta forensik.Sementara itu, difahamkan rumah itu disewa kira-kira tiga bulan lalu.
SH

Abang hilang selera makan




KUANTAN - Seorang lelaki lumpuh berusia 40 tahun rentung dalam satu kebakaran yang berlaku membabitkan sebuah rumah kayu di Batu 4, Jalan Sungai Lembing kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa, Nazri Ismail yang hanya mampu menggerakkan tangan kirinya terlantar sejak tiga bulan lalu tinggal sendirian di rumah pusaka keluarganya.

Adiknya, Azhar Ismail, 37, tidak menyangka pertemuan petang kelmarin ketika menghantar makanan adalah pertemuan terakhir mereka sebelum tragedi itu menimpa abangnya semalam.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi oleh seorang rakan dan terus bergegas ke rumah abangnya.

“Sebaik tiba, saya lihat api sedang marak. Tidak ada apa yang boleh kami lakukan untuk menyelamatkannya. Tong gas juga meletup. Dia ditemui rentung separuh badan di biliknya,” katanya yang bekerja di kilang kira-kira satu kilometer dari rumah abangnya.

Nazri berkata, setiap hari dia akan menghantar makanan dan minuman untuk abangnya pada setiap waktu makan dan kali terakhir mereka bertemu, abangnya tidak banyak bercakap dan tidak lalu makan.

“Saya perasan dia tidak lalu makan sejak beberapa hari lalu tetapi tidak menyangka kejadian ini menimpanya,” katanya.

Azhar berkata, sebelum ini, abangnya yang masih bujang menjaga rumah pusaka itu dan bekerja di syarikat pembalakan.

Bagaimanapun, selepas Nazri dibenarkan pulang, dia dihantar semula di rumah itu namun mereka sekeluarga sentiasa menjenguk dan mengambil perhatian mengenai keadaan abangnya.

Jenazah Allahyarham Nazri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kawah sebaik sahaja selesai bedah siasat dijalankan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Suhaimi Ahmad berkata, bomba menerima panggilan jam 10.37 pagi dan tiba 20 minit kemudian.

Katanya, satu jentera bomba dan sepuluh anggota bergegas ke tempat kejadian termasuk dua anggota sukarela dari Sungai Lembing.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api sudah kecil dan bomba menemui mayat Nazri yang rentung dua minit kemudian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Punca dan kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Sohaimi Mohamed Shah yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima berita berkenaan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi kehilangan itu.

“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga itu dan saya berusaha untuk menyalurkan bantuan wang ihsan kepada ibunya yang kini tinggal di rumah adiknya yang lain di kampung Kawah,” katanya yang turut memberi sumbangan peribadi.

Hadir sama melawat dan memberikan kata-kata semangat dan menghulurkan sumbangan peribadi kepada Azhar ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.
SH

Pusat karaoke diserbu




TENDONG – Tindakan tidak bertanggung jawab pemilik rumah, menjadikan sebahagian rumahnya sebagai pusat karaoke terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa jam 2 pagi, semalam.

Lebih mengejutkan apabila pemilik rumah tanpa segan silu membuka pusat karaoke tersebut bersebelahan dengan Masjid Tendong yang digunakan ribuan anak mukim di sini.

Semasa operasi, dipercayai pemilik rumah, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an menyembunyikan diri di dalam but kereta, sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar ke arah masjid.

Pegawai Agama Islam Pasir Mas, Anuar al-Sadat Noor berkata, seramai 20 anggotanya bersama Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) membuat serbuan mengejut ke pusat karaoke tersebut.

“Bagaimanapun tiada pengunjung ditahan namun kita dapati terdapat kesan minuman keras dibuang sebelum bilik ini ditinggalkan. Namun, kita menjumpai beg berisi dadah dan alatan menghisap dadah di dalam kereta tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa tiga bulan, pihaknya melakukan beberapa serbuan mengejut dan mengenakan kompaun namun pemilik rumah masih berdegil malah masih lagi membuka pusat ini kepada orang ramai.

Menurutnya, tindakan pemilik pusat ini boleh menggugat keamanan kerana jika tidak dibendung lebih awal dikhuatiri belia di sini boleh terjebak dalam kancah dadah dan aktiviti tidak bermoral.

Katanya, maklumat awal mendapati selain dari memberikan perkhidmatan karaoke, dipercayai pemilik rumah juga menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggannya.

Katanya, pelanggan dibenarkan untuk membawa masuk wanita dalam bilik karaoke dan melakukan perbuatan seks dalam ruang rehat yang disediakan.

Anuar berkata, pusat ini pernah diserbu pihak berkuasa beberapa kali dan kali terakhir adalah pada 25 Mei lalu.

“Pada operasi yang pertama, kita berjaya menahan lapan pengunjung berusia 20 hingga 30 tahun yang dipercayai membawa masuk minuman keras dan ada di antara mereka yang ditahan positif dadah.

“Barangan karaoke dirampas dan kita memberi amaran keras dan denda sebanyak RM800 kepada pemilik agar menghentikan perkhidmatan ini di sini,” katanya.

Menurutnya, dengan serbuan kedua ini, pemilik yang sama masih berdegil dan tetap menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terjebak dengan aktiviti maksiat ini dan melaporkan sekiranya melihat berlakunya aktiviti di kawasan masing-masing.
SH

Mati perut terburai




SEREMBAN – Seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga, mati dalam keadaan mengerikan apabila isi perutnya terburai selepas ditikam seorang daripada dua lelaki bermotosikal di sebuah lorong belakang rumah kedai, Taman Paroi Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, seorang pembantu kedai runcit dikenali sebagai Arip, dalam lingkungan usia 30-an, sedang berjalan ke tempat kerja di sebuah bangunan bersebelahan rumah kedai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Md Yusoff Awang berkata, mangsa seorang warga indonesia dikatakan baru turun dari tingkat dua sebuah rumah kedai disewanya sebagai tempat penginapan.

“Semasa berjalan, tiba-tiba dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri mangsa lalu seorang daripada mereka menikam perut mangsa de-ngan senjata tajam.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini dan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban melalui talian 06-6033222 atau hotline 06-6014999 untuk membantu siasatan.
SH

Rakyat Indonesia Dijumpai Mati Dibunuh


SEREMBAN: Seorang lelaki rakyat Indonesia ditemui mati dibunuh di belakang rumah kedai setingkat di Taman Paroi Jaya di sini Sabtu.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Arip, 30-an, ditemui dalam keadaan cedera parah dengan perutnya terburai oleh rakannya pada pukul 5 pagi.
"Mangsa yang cedera parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar di sini. Motif kejadian sedang disiasat," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supritendan Mohd Yusoff Awang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit itu diserang seorang lelaki dengan senjata tajam ketika dia keluar dari rumahnya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban melalui talian 06-6033222 atau hotline 06-6014999 bagi membantu siasatan. - BERNAMA
mStar Online : Rakyat Indonesia Dijumpai Mati Dibunuh

Peniaga mati ditikam akibat dendam



SEMPORNA 28 Mei - Seorang peniaga mati selepas ditikam bertubi-tubi di bahagian badannya dipercayai akibat dendam berhampiran bangunan MP Salleh di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Azim Khan berkata, dalam kejadian pada pukul 9.15 malam itu, mangsa ditikam oleh seorang lelaki ketika sedang mengundurkan keretanya.
"Lelaki terbabit kemudian melarikan diri sebelum rakan mangsa di tempat duduk bersebelahan bergegas membawa mangsa ke Hospital Semporna.
"Bagaimanapun, mangsa yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital pada pukul 9.30 malam," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau memberitahu, pada masa ini pihaknya telah menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan.
"Jadi kita percaya kes ini bermotifkan dendam, bagaimanapun siasatan masih giat dijalankan," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Mangsa buli lapor polis



TELUK INTAN 28 Mei – Mangsa buli, Mohd. Saiful Nizam, 10, yang kini buta sebelah penglihatan setelah didakwa dicucuk dengan pensel oleh tiga rakannya hari ini membuat laporan di Balai Polis Langkap di sini, hari ini.
Menurut bapa tiri murid lelaki tahun empat Sekolah Kebangsaan Sungai Lampam, Rosli Nordin, 24, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berwajib termasuk Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak dan polis membuat siasatan berhubung kecederaan anaknya itu.
Katanya, laporan itu juga bagi memberi pengajaran kepada semua individu terutama pelaku yang terlibat dalam insiden mencucuk mata kanan Mohd. Saiful dengan pensel mekanikal.
“Saya harap siasatan dapat dilakukan namun kami sekeluarga mahu kejadian ini dijadikan iktibar kepada semua.
“Kejadian ini jelas menunjukkan gejala buli masih berleluasa dan ibu bapa serta pengurusan sekolah perlu sedar mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Rosli, keadaan anak tirinya itu semakin stabil namun masih ditempatkan di wad Hospital Teluk Intan di sini.
“Doktor memaklumkan anak saya belum mampu melihat dan akan dibedah sekiranya kanta matanya diganti,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang memberitahu, kes tersebut melibatkan Mohd. Saiful dan dua kanak-kanak lain.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

442 perasuah sogok RM2j juta ditahan


KUALA LUMPUR 28 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menahan seramai 442 pemberi rasuah sejak April tahun lalu hingga Mac lepas melibatkan sogokan berjumlah lebih RM2 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan (gambar) berkata, daripada jumlah itu, seramai 282 yang ditahan adalah warga tempatan manakala 160 lagi warga asing.
"Mereka yang terdiri daripada 422 lelaki dan 20 perempuan itu kebanyakan ditahan ketika memberi rasuah kepada kakitangan jabatan kerajaan seperti penguat kuasa. Nilai sogokan tertinggi diberikan sebanyak RM1 juta.
"Dalam tempoh tersebut juga, jumlah tangkapan tertinggi dibuat oleh SPRM Negeri Sembilan iaitu seramai 97 orang diikuti Johor (77)," katanya kepada pemberita pada Majlis Penerangan Pencegahan Rasuah kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Akademi SPRM di sini, hari ini.
Antara NGO yang hadir ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Majlis Permuafakatan Ayahanda (Permas) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Sutinah memberitahu, dalam tangkapan yang dilakukan itu, sebahagian maklumat diperoleh melalui NGO.
Berikutan itu jelasnya, SPRM mengadakan kerjasama dengan NGO bagi mendapat bantuan dalam mencegah rasuah.
"SPRM tidak mampu melakukan tugas pencegahan rasuah secara tunggal sebaliknya memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak seperti NGO.
"Ini kerana pertubuhan tersebut sebelum ini telah melakukan sumbangan dalam menyalurkan maklumat sehingga berjaya membawa kepada penangkapan terhadap mereka yang terlibat," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Ibu bapa buat laporan polis

SHAH ALAM: Insiden pergaduhan membabitkan 23 pelajar tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Sri Muda, Seksyen 25, dekat sini, pada 20 April lalu, mencetuskan kemelut baru apabila hampir 20 ibu bapa membuat laporan polis ke atas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, semalam.
Laporan polis ke atas YDP PIBG, Anita Atan dibuat segelintir ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan laporan polis dan kenyataan media Anita sebelum ini, kononnya ada ibu bapa menyebarkan fitnah berhubung kejadian itu.

Mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Muda pada jam 10 pagi mendesak Anita tidak terus menyalahkan ibu bapa dan meminta pengetua lebih bersikap terbuka serta tidak berpihak.

Menurut wakil ibu bapa, Stevan Perumal, kenyataan media dan laporan polis dibuat Anita dianggap keterlaluan dan boleh mendorong orang awam memandang mereka sebagai kumpulan yang bersikap perkauman.
myMetroIbu bapa buat laporan polis

Rugi RM60,000

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah mendapat keuntungan sekelip mata, seorang peniaga dan bekas nelayan sanggup menjual bot miliknya sebelum wang itu dilaburkan terhadap sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kes penipuan skim cepat kaya dan penyelewengan wang mencecah RM200 juta sejak tiga tahun lalu.
Amir Sahat, 47, berkata dia kerugian RM60,000 dan wang itu kononnya dilaburkan bersama syarikat milik seorang ‘lebai’, turut dikenali sebagai ‘Ustaz Harun’ yang didakwa menjalankan perniagaan besar dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkapalan.

“Konco ‘ustaz’ berkenaan bergerak di seluruh negeri pantai timur dan utara dengan bernaung di bawah nama sebuah persatuan. Saya pernah menghadiri satu program yang mereka adakan di Stadium (Sultan Mohammed Ke-IV) sekitar 2008.

“Lagak mereka memang seperti ahli perniagaan hebat, mereka turut menjanjikan pulangan berlipat kali ganda jika melaburkan wang bersama syarikat ‘ustaz’ berkenaan,” katanya kepada Metro Ahad.


Amir yang berasal dari Kedah berkata, mulanya dia melabur RM20,000 dan setiap minggu menerima pulangan RM130 sebagaimana dijanjikan syarikat berkenaan sebagai jumlah keuntungan bulanan.


Untuk menggandakan pendapatan bulanannya, Amir berkata, dia melaburkan lagi wang RM40,000.

“Saya ingatkan pendapatan akan bertambah, sebaliknya setiap sen daripada pelaburan selepas itu lesap begitu saja. Mereka menghilang dan sukar dihubungi selepas itu.

“Saya pernah cuba membuat laporan polis, namun keluarga menghalang, lagi pun tiada dokumen dan surat ‘hitam putih’ sebagai bukti yang boleh mengesahkan penipuan mereka,” katanya.

Muka depan akhbar ini semalam melaporkan, seorang ‘ustaz’ yang mengaku bergelar Datuk, antara enam individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan mencecah RM200 juta sejak Disember 2008.

Suspek utama, Harun Mat Saat, 45, yang kali terakhir dikesan di Kuala Terengganu, dipercayai menjadi dalang bagi ‘projek pelaburan’ dijalankan syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd.

Selain Harun, dua lagi pengarah syarikat itu, M Bakri Kamaruddin, 50, dan Zainal Md Yusof, 47, turut diburu dan masih gagal dikesan hingga kini.

Turut menjadi buruan BNM, Abdul Halim Rafii, 51, dari Nilai, Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan penipuan ternakan lembu membabitkan pelaburan orang ramai bernilai RM48 juta.

Selain itu, pasangan suami isteri, Dahlan David Abdullah, 46, dan Ramunatul Aida Rahmat, 43, masih dicari berkaitan penipuan membabitkan pelaburan saham bagi menjana modal Syarikat Jazmeen (M) Sdn Bhd.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Madi, 42, dan pernah bertemu Ustaz Harun menyifatkannya sebagai individu yang bijak bermain kata-kata, malah mampu meyakinkan sesiapa saja menerusi penggunaan ayat al-Quran dan hadis.

“Segala dituturnya penuh dengan keyakinan sehingga berjaya mengumpul pengikut setianya. Beberapa kali dia menangis di atas pentas mahu membantu orang miskin dan memulihkan ekonomi orang Islam.

“Dia (Harun) mendakwa insan terpilih untuk memimpin masyarakat. Ramai yang teruja apabila Harun bijak berhujah dan menjawab pelbagai persoalan berkaitan ketuhanan,” katanya yang lebur ratusan ribu ringgit.

Menurut Madi, apabila mengadakan pertemuan, Harun gemar tampil dengan imej selekeh, tetapi sebaliknya dia bergaya ala selebriti di luar dengan pakaian berjenama dan deretan kereta mewah seperti BMW.

“Dalam beberapa siri ceramahnya, Harun mendakwa mempunyai wang simpanan berbilion ringgit yang tidak akan habis digunakan sehingga beberapa generasi menerusi puluhan cabang perniagaan yang diuruskannya.

“Dia mengakui mampu membayar semula pelaburan yang dibuat jika berlaku sesuatu kepadanya. Namun, semuanya dusta apabila dia menghilangkan diri selepas pelaburan dianjurkannya menyalahi undang-undang,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Maisara, 37, berkata, Harun masih cuba meyakinkan pelabur bahawa dia akan memulangkan semula wang diambilnya penghujung Oktober lalu.

“Dia menggunakan pengikut yang taksub kepadanya. Maklumat terbaru disebarkan kononnya dia akan bayar semula wang pelabur 31 Oktober lalu, tetapi semuanya dusta. Dia terus menghilangkan diri,” katanya.
myMetroRugi RM60,000

Lima kali kena samun

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan kini kebingungan selepas kedainya yang baru dibuka setahun lalu, sering menjadi sasaran pencuri dan dipecah masuk lebih lima kali, membabitkan kerugian RM20,000.
Bagaimanapun, katanya, hanya tiga laporan polis dibuat kerana tidak semua kejadian itu membabitkan kerugian besar.

Abdul Halim Perumal Abdullah (gambar), 53, berkata dalam kejadian terbaru Isnin lalu, dia hanya menyedari kedainya di Pangsapuri Pinggiran Batu Caves dipecah masuk kira-kira jam 8.30 malam selepas tiba untuk mengangkat barang dan terkejut mendapati pintu belakang kedai dipecahkan.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang.

Menurutnya, kejadian kali ini membabit kerugian lebih besar apabila pelbagai barangan elektrik dilarikan.


“Antara barangan berkenaan ialah alat penimbang (tiga), radio, mesin basuh, kipas siling (dua), pembakar roti, lampu, pengisar air baru, peti simpanan wang dan sejumlah wang tunai.

“Dalam kejadian sebelum ini, beberapa lampu dan tembaga lesap membabitkan kerugian antara RM500 hingga RM5,000,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Menurutnya, dia keliru dan kecewa dengan perkembangan itu kerana walaupun banyak kali laporan dibuat, kejadian masih berulang.

“Saya bukan mahu menyalahkan pihak berkuasa semata-mata kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab lain tetapi sebagai pihak berkuasa, saya rasa mereka pasti mempunyai pendekatan sesuai untuk mengatasinya,” katanya.

“Sebenarnya saya tidak tahan lagi untuk terus menanggung kerugian kerana saya baru memulakan perniagaan di situ,” katanya.


Abdul Halim berkata, kedai di tingkat bawah itu sebelum ini disewakan kepada pihak lain sebelum diserahkan semula kepadanya yang bercadang mengusahakan sendiri.


Jurucakap polis mengesahkan laporan berkenaan yang diterima kira-kira jam 12 tengah malam di Balai Polis Selayang.


“Memang kita menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes kini dikendalikan bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan diklasifikasikan sebagai kes pecah rumah.


“Apapun, kes berkenaan dikendalikan pegawai penyiasat IPD berkenaan dan siasatan masih di peringkat awal,” katanya.


Dalam kes berlainan, seorang wanita warga Thailand yang kerugian kira-kira RM80,000 selepas rumahnya dipecah masuk 24 Ogos tahun lalu, kebingungan selepas siasatan kesnya seakan-akan tiada kesudahan walaupun mendakwa melihat dan mengenali individu yang memecah masuk kediamannya itu.


Tuan Anit Ku Chik, 43, berkata dia memaklumkan kepada polis berhubung gelagat sekumpulan lelaki, termasuk seorang jirannya, meluru dari rumahnya sejurus dia menaiki tangga ketika pulang kira-kira jam 12 tengah malam.


Kejadian berlaku di Taman Aminah Mulia, Batu Caves, dekat sini dan laporan dibuat di Balai Polis Selayang kira-kira jam 2 pagi pada hari kejadian.
myMetroLima kali kena samun

Gadis direman

KOTA BHARU: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menggemparkan pengurusan Kem Cancun Park, Pasir Mas, selepas melahirkan bayi perempuan di kawasan kem itu pada petang Khamis lalu, ditahan reman seminggu sehingga 2 Jun depan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, tindakan menahan suspek berusia 18 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ)bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Susulan aduan diterima, polis menahan reman suspek bermula kelmarin hingga 2 Jun. Tindakan itu susulan kejadian penemuan mayat bayi perempuan di luar pagar kem itu, petang kelmarin.

“Ketika ini suspek di bawah pengawasan polis dan ditempatkan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). Pada masa sama, kenyataan akan diambil daripada teman lelaki suspek serta ahli keluarganya,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa tidak sampai dua minggu sejak mengikuti PLKN, seorang pelatih perempuan menggemparkan pengurusan Kem Cancun Park apabila melahirkan bayi perempuan di kawasan kem itu, petang Khamis lalu.


Difahamkan, rahsia pelajar terbabit terbongkar apabila dia dirujuk pihak pengurusan kem itu ke Hospital Pasir Mas kerana mengadu sakit perut sebelum pemeriksaan doktor mengesahkan remaja itu baru melahirkan bayi.

Berikutan maklumat itu, usaha menjejaki bayi dilakukan sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan bogel dan bertali pusat di belakang kawasan asrama pelatih perempuan kem itu.

Laporan polis dibuat kira-kira jam 4 petang, sebelum sepasukan anggota polis melakukan siasatan ke atas mayat bayi dan menghantarnya ke bilik mayat hospital sama untuk bedah siasat.

Mazlan berkata, bayi itu cukup bulan dan lengkap sifatnya ditemui jam 4.15 petang.

“Proses menuntut mayat diserahkan kepada pihak hospital mengikut prosedur ditetapkan,” katanya yang mendedahkan suspek adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berasal dari Tanah Merah.


Terdahulu, Mazlan merasmikan Program Larian Komuniti Polis Bersama Masyarakat. sempena Peringatan Hari Polis Ke-204, membabitkan empat kategori iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, lelaki veteran dan VVIP.
myMetroGadis direman

Guna alamat palsu

KUALA TERENGGANU: Individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan membabitkan kerugian RM200 juta, Harun Mat Saat, 45, dipercayai menggunakan alamat palsu bagi mengelak diburu pihak berkuasa ketika menjalankan kegiatan.
Malah, lelaki menggelarkan dirinya ‘Datuk’ yang juga perancang utama dalam menjalankan kegiatan berkenaan bersama empat rakan, termasuk dua yang masih menjadi buruan polis itu, dikatakan tidak pernah menetap di alamat 70, Rumah Murah Kos Rendah, Telaga Daeng Satu, Seberang Takir, di sini sebagaimana dimaklumkan BNM kepada akhbar ini sebagai alamat terakhir lelaki terbabit.

Tinjauan Metro Ahad ke kawasan berkenaan mendapati alamat terbabit tidak wujud di tiga perumahan kos rendah di situ yang dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Rumah Murah Kos Rendah, Rumah Murah Nelayan dan Rumah Teres Kos Rendah Telaga Daeng yang dibina secara berperingkat bermula sejak 1969.

Malah, tinjauan dibuat di kawasan Rumah Murah Kos Rendah mendapati tiada rumah bernombor 70 di kawasan itu, sebaliknya perumahan di situ menggunakan nombor tiga angka.

Penduduk, Mohamad Abdullah, 60, berkata, dia tak pernah mengenali lelaki itu atau mendengar nama syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd.


“Sejak tinggal di sini pada 1979, saya tidak pernah melihat atau mengenali lelaki ini (Harun) dan percaya dia orang luar yang menggunakan alamat berkenaan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya yang yakin lelaki terbabit menggunakan alamat palsu.

Dia berkata, sebelum ini jirannya pernah didatangi anggota polis yang bertanyakan mengenai alamat rumah terbabit tahun lalu dan percaya ia bertujuan mengesan jejak lelaki terbabit.

Pemandu bot penambang, Zakaria Ibrahim, 65, berkata, dia juga percaya lelaki terbabit menggunakan alamat palsu kerana sepanjang tinggal di kawasan itu, dia tidak pernah mengenali lelaki itu.

“Saya tinggal di sini sejak 1975 dan tidak pernah mendengar ada orang bercerita mengenai lelaki terbabit atau kegiatan penipuan membabitkan skim cepat kaya di kawasan perumahan ini,” katanya yang menetap di kawasan Rumah Murah Nelayan, terletak kira-kira 500 meter dari Rumah Murah Kos Rendah dan Rumah Teres Kos Rendah Telaga Daeng, di sini.myMetroGuna alamat palsu

Pelajar beruniform kena tahan di pusat siber


ASYIK... pelajar leka bermain permainan dalam talian tanpa menyedari pusat Internet berkenaan diserbu.
ASYIK... pelajar leka bermain permainan dalam talian tanpa menyedari pusat Internet berkenaan diserbu.


SANDAKAN: Seorang pelajar masih berpakaian sekolah yang asyik ‘berperang’ di permainan dalam talian, tergamam apabila perbuatannya disaksikan pegawai khas Kementerian Kerajaan Tempatan Negeri (KKTP) yang mengikuti operasi di beberapa kafe siber di Bandar Kim Fung Batu Empat, di sini, kelmarin.
Dalam operasi jam 10 pagi itu, pelajar berkenaan dipercayai gagal melarikan diri sebaik premis berkenaan diserbu.

Ketua Unit Tindakan dan Pemeriksaan Khas Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Kassim Selamat, berkata beberapa pengunjung termasuk pelajar sekolah bertempiaran lari sebaik melihat kelibat penguat kuasa MPS memasuki premis berkenaan.

“Ketika serbuan, keadaan kecoh seketika apabila sebahagian pekerja premis enggan bekerjasama sehingga mencetuskan pertengkaran.

“Operasi diadakan bersama pegawai khas KKTP bagi mengenal pasti premis yang menyalahgunakan lesen perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.


Kassim berkata, selain kafe siber itu, pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah lagi kafe siber yang menawarkan permainan judi haram dan refleksologi.

“Premis ini hanya memohon 10 bilik untuk tujuan membuka kafe siber, namun ketika serbuan dijalankan, lebih 10 bilik tambahan diwujudkan untuk refleksologi dan perjudian haram.

“Difahamkan, aktiviti ini dijalankan sejak sekian lama dengan berselindung di sebalik nama kafe siber,” katanya.
myMetroPelajar beruniform kena tahan di pusat siber

Loteri seks popular di Ayutthaya


BANGKOK: Satu skim loteri seks kini popular di kalangan pekerja kilang Ayutthaya berikutan hadiah hebat yang diberi dianggap unik, iaitu peluang meniduri seorang gadis, sebelum kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.


Awal bulan ini, polis Ayutthaya menahan beberapa orang yang dipercayai dapat membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan itu yang menjadi bahan sensasi media tempatan.
Skim tiket loteri yang digelar huai siao (loteri seronok) itu membabitkan pembidaan dua nombor terakhir yang dimenangi tiket loteri Kerajaan Thailand.
Mereka boleh membeli seberapa banyak tiket berharga 30 baht (RM3). Pemenang boleh menuntut hadiah mereka di satu daripada dua hotel ditetapkan.

Di hotel berkenaan, pemenang diberi buku mengandungi gambar sekurang-kurangnya 10 wanita cantik berusia antara 18 hingga 25 tahun untuk dipilih. Polis berkata, sebahagian daripada wanita terbabit adalah pekerja kilang di sana.

“Saya membeli lima atau enam tiket setiap kali. Jika menang, saya bernasib baik. Saya cuma belanja 100 baht (RM10) tetapi saya dapat tidur dengan gadis,” kata seorang lelaki yang enggan dikenali.

Pembeli juga dilaporkan boleh membeli tiket VIP yang berharga 100 baht setiap satu. Pemenang tiket VIP berpeluang meniduri wanita cantik yang dikatakan daripada kalangan pelajar universiti. – Agensi
Berita Harian Online | Loteri seks popular di Ayutthaya

Kes cerai pasangan Islam meningkat



KUALA LUMPUR - Jumlah pasangan Islam yang bercerai menunjukkan peningkatan yang membimbangkan iaitu daripada 22,289 kes sepanjang tahun 2008 kepada 27,116 kes pada tahun lalu.
Pada masa yang sama, jumlah kes perceraian pasangan bukan Islam menurun kepada hanya 3,633 kes pada 2008 berbanding 2,938 kes tahun 2009.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie berkata, data yang terkumpul itu bagaimanapun tidak mencerminkan realiti memandangkan ada kes perceraian yang tidak didaftarkan.
"Ada pasangan yang berpisah atau bercerai tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu, mereka tidak mendaftarkan perceraian itu,'' katanya di sini semalam.
Sean Kie menjelaskan, kerajaan melalui kementeriannya telah mengambil inisiatif menggubal Dasar Keluarga Negara (DKN) pada Mac lepas bagi memantapkan lagi institusi kekeluargaan di negara ini.
Kata beliau, DKN merupakan panduan utama kepada semua pihak supaya mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam perundangan, dasar, prosedur, peraturan dan program pembangunan secara keseluruhan.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.