Search This Blog

Friday, May 27, 2011

Dakwa skuad bola rasuah



SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis semalam kerana mengesyaki beberapa pemain dan pihak pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden negeri ini terbabit dengan kegiatan mengatur keputusan perlawanan.
Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laporan itu dibuat pengurus pasukan, Mohd Bahari Abdul Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

Katanya, laporan itu dibuat selepas PBNS mengadakan satu mesyuarat kelmarin berikutan terdapat beberapa bukti adanya unsur mengatur keputusan perlawanan.

“Hasil mesyuarat itu kami memutuskan untuk membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat secara terperinci perkara ini.

“Walaupun berat untuk melakukannya (laporan polis), saya mahu perkara ini disiasat segera bagi memastikan ‘virus’ ini dapat dibanteras segera demi kebaikan perkembangan sukan bola sepak tanah air,” katanya dalam sidang media di Wisma Negeri, semalam.

Dua suspek militan tembak polis ditahan


JAKARTA 26 Mei - Polis wilayah Sulawesi Tengah menangkap dua orang berhubung dengan insiden dua anggota polis ditembak mati dalam insiden yang disifatkan sebagai serangan terbaru siri keganasan, semalam.

Empat lelaki bersenjata automatik menembak mati dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi di sebuah pondok polis di luar sebuah bank di ibu kota wilayah, Palu semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di depan Bank Central Asia (BCA) di Palu, Sulawesi Tengah itu, mangsa ditembak oleh penjenayah yang identiti mereka belum dikenal pasti.
Kedua-dua pegawai polis yang terbunuh ialah Gustiar Yudistra dan Andi Ibrar ditembak dengan senjata laras panjang oleh pembunuh yang menunggang motosikal.
Bagaimanapun, Dedi Edwar yang terselamat dalam insiden itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Gustiar, Andi dan Dedi semasa kejadian ditugaskan untuk mengawal keselamatan di bank BCA.
"Kami menangkap dua orang dan merampas dua laras senjata api," kata ketua polis Indonesia, Jeneral Timur Pradopo hari ini.
Pada kejadian yang berlaku pada pagi Rabu lalu, empat lelaki tiba di luar bank BCA dengan menunggang dua buah motosikal.
Sebaik tiba, seorang daripada lelaki berkenaan turun dari motosikal yang dinaikinya dan terus menembak ke arah polis-polis tersebut.
Wajah penjenayah-penjenayah berkenaan sukar dikenal pasti kerana kesemuanya memakai topi keledar keselamatan yang menutup muka.
Serentak dengan kejadian tersebut, pasukan elit anti keganasan polis Indonesia, Densus 88 ditugaskan untuk melakukan siasatan rapi berhubung kes tersebut.
"Kami amat yakin kejadian pembunuhan yang berlaku merupakan ancaman pengganas," kata sumber polis seperti yang dipetik akhbar Jakarta Globe hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sulawesi Tengah, Ari Diono Sukmanto berkata, biarpun kejadian serangan berkenaan berlaku di depan BCA, namun polis tidak menolak kemungkinan penjenayah tersebut tidak berniat untuk merompak bank berkenaan.
"Kami menjangka kejadian pembunuhan itu dilakukan semata-mata kerana mahu menyerang polis, bukannya rompakan bank.
"Bagaimanapun, kami akan terus melakukan siasatan dan akan mendapatkan keterangan daripada saksi," katanya.
Bulan lepas, 30 orang cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri di dalam sebuah masjid di pekarangan balai polis di bandar Cirebon, Jawa Barat.
Penganalisis berkata, militan tempatan dipercayai mengubah taktik, dengan membunuh sasaran tertentu dan tidak lagi melancarkan serangan bom yang mengenai mangsa secara rambang. - dpa/ Utusan
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tiga bebas tuduhan edar dadah



KUALA LUMPUR 26 Mei - Dua lelaki Pakistan antara tiga warga asing yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah seberat 1,287 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian terhadap Jahangir Aslam Chonan dan Makhdoom Qasim serta Musaazi Ivan Okorocha dari Uganda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Beliau turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh dua minggu dan melarang mereka masuk lagi ke negara ini kecuali dengan perintah undang-undang.
Ketiga-tiga tertuduh yang berusia antara 22 tahun hingga 41 tahun didakwa bersama-sama mengedar 1,160 gram heroin dan 126.9 gram monoacetylmorphine di sekitar Restoran KFC, Jalan Raja Laut di sini pada pukul 5.30 petang, 10 Mac 2008.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Warga emas seludup mercun RM641,604



BUKIT KAYU HITAM 26 Mei - Seorang warga emas berusia 64 tahun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri kerana disyaki menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM641,604 termasuk cukai menerusi pintu sempadan negara di sini semalam.
Lelaki yang berasal dari Sungai Petani itu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang setelah treler yang dipandunya melepasi kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini menuju ke Changlun.
Timbalan Pengarah JKDM Kedah, Saidi Ismail memberitahu, lori itu kemudian dibawa ke stor penguatkuasaan Kastam di sini dan hasil pemeriksaan mendapati ia sarat dengan 19 jenis mercun dan bunga api yang dipercayai dibawa dari Thailand.
Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 700 kotak berisi bahan itu yang dianggarkan seberat 15,000 kilogram dengan nilai cukai RM252,752.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Rokok seludup RM2j dirampas



JOHOR BAHRU 26 Mei - Polis menahan tujuh lelaki dan merampas 361 kotak rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2 juta termasuk cukai selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sutera Kuning di sini awal pagi ini.
Kesemua lelaki yang diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu terdiri daripada lima rakyat Myanmar dan dua warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, serbuan di rumah dua tingkat yang dijadikan gudang simpanan rokok seludup sejak sembilan tahun lalu itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Taman Perling dan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua.
"Ketika serbuan, kesemua suspek sedang berehat di dalam rumah itu. Difahamkan, pelbagai rokok jenama 'Minna', 'Luffmann' dan 'Ela & Marble' yang keseluruhan berjumlah 3.5 juta batang itu dipercayai sedang menunggu masa sesuai untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dalam serbuan tersebut juga, pihaknya turut merampas 12 botol minuman keras.
Ujarnya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pihak kastam untuk siasatan lanjut manakala lima lelaki Myanmar berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Dua lelaki tempatan berkenaan pula disiasat mengikut Seksyen 56 akta sama kerana melindungi warga asing. Malah pihak kami juga sedang mengesan dalang di sebalik sindiket tersebut," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Tiga bebas tuduhan edar dadah



KUALA LUMPUR 26 Mei - Dua lelaki Pakistan antara tiga warga asing yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah seberat 1,287 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian terhadap Jahangir Aslam Chonan dan Makhdoom Qasim serta Musaazi Ivan Okorocha dari Uganda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Beliau turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh dua minggu dan melarang mereka masuk lagi ke negara ini kecuali dengan perintah undang-undang.
Ketiga-tiga tertuduh yang berusia antara 22 tahun hingga 41 tahun didakwa bersama-sama mengedar 1,160 gram heroin dan 126.9 gram monoacetylmorphine di sekitar Restoran KFC, Jalan Raja Laut di sini pada pukul 5.30 petang, 10 Mac 2008.

3 letupan di China, 2 terkorban



BEIJING 26 Mei - Tiga letupan dilaporkan berlaku di bangunan kerajaan di wilayah Jiangxi, timur China hari ini mengorbankan dua orang dan mencederakan sekurang-kurangnya enam orang.
Agensi berita Xinhua melaporkan letupan itu dilakukan oleh penduduk tempatan yang tidak berpuas hati dengan satu kes mahkamah yang sedang diberlangsung, tetapi tiada maklumat lanjut yang diberikan.
Letupan-letupan itu berlaku di bandar Fuzhou selang 10 minit bermula pada pukul 9 pagi ini, lapor pegawai di jabatan propaganda, Zhang kepada AFP.
Letupan pertama melibatkan sebuah kereta yang terletak di sebuah tempat letak kereta di pejabat pendakwa raya diletupkan, letupan kedua pula berlaku di tingkat pertama sebuah bangunan pejabat kerajaan dan yang ketiga juga merupakan letupan kereta yang terletak di sebelah agensi makanan dan dadah bandar itu.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca letupan tersebut.
Insiden itu menambahkan kerisauan pihak berkuasa terhadap kemungkinan berlakunya pergolakan akibat ketidakpuasan hati penduduk berikutan inflasi yang naik melambung.
Sekurang-kurangnya 10 buah kenderaan turut rosak akibat letupan-letupan tersebut yang turut memecah tingkap-tingkap bangunan berdekatan.
Bulan lalu, lebih 40 orang cedera apabila seorang bekas pekerja sebuah bank di barat laut China yang tidak puas hati dengan bank tersebut bertindak meletupkan bank tersebut menggunakan bom petrol. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Wanita pekerja hotel mahu saman Strauss-Kahn



NEW YORK 26 Mei - Seorang pekerja hotel yang mendakwa bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn melakukan serangan seksual ke atasnya melantik dua peguam tambahan sebagai pertimbangan mengambil tindakan sivil ke atas bekas ketua IMF itu.
Menurut peguam wanita itu, Jeffrey Shapiro, dua peguam itu dilantik atas desakan saudara lelaki wanita tersebut dan satu daripada faktornya ialah memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan sivil.
Bekas Penolong Peguam Negara AS di New York, Kenneth Thompson dan bekas pengarah Pengarah Kesatuan Kebebasan Sivil New York, Norman Siegel menyertai mesyuarat dengan wanita dan keluarganya tengah hari semalam.
Strauss-Kahn didakwa atas tuduhan serangan seksual dan cubaan merogol pekerja wanita di hotel mewah Sofitel di New York pada 14 Mei lalu.
Dia meletak jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF ekoran kes itu, telah disebut-sebut sebagai pencabar dalam pilihan raya presiden Perancis.
Shapiro berkata, sebarang tindakan sivil terhadap Strauss-Kahn atau pihak lain perlu difailkan dalam masa setahun selepas insiden itu berlaku.
''Jika difailkan semasa kes jenayah terhadap Strauss-Kahn masih dibicarakan, tindakan sivil akan ditangguhkan sehingga kes jenayah diselesaikan,'' ujarnya.
Thompson, rakan kongsi di tetuan Thompson Wigdor & Gilly di New York, berjaya mendakwa pegawai polis New York atas tuduhan melakukan kekejaman terhadap Abner Louima pada 1997. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pesawat bawa pesakit terhempas, 10 maut




Penduduk membantu mengeluarkan mayat dari dalam pesawat yang disewa khas untuk membawa pesakit yang terhempas di kawasan kediaman di Faridabad, barat New Delhi, semalam. - REUTERS


NEW DELHI 26 Mei - Sepuluh orang terbunuh apabila sebuah pesawat kecil membawa pesakit terhempas di kawasan kediaman dekat ibu negara India ini lewat semalam.
Pesawat satu kipas itu terhempas ke atas sebuah rumah di Faridabad, pinggir New Delhi, hanya beberapa minit sebelum dijadual mendarat di bandar tersebut.
Sebahagian rumah itu hangus apabila pesawat itu terhempas lalu terbakar.
Menurut Press Trust of India (PTI), kapal terbang itu hilang kawalan semasa ribut pasir dan menjunam dari paras kira-kira 2,440 meter.
"Setakat ini kami sudah mengeluarkan 10 mayat, tujuh dipercayai daripada pesawat tersebut, manakala tiga lagi mayat adalah penghuni rumah berkenaan," kata timbalan ketua polis di Faridabad, Praveen Mehta.
Kesemua mayat itu rentung, manakala dua orang lain cedera.
Pesawat itu dalam penerbangan dari bandar Patna, timur India untuk membawa seorang pesakit yang dalam keadaan kritikal ke sebuah hospital swasta di ibu negara, lapor stesen televisyen tempatan NDTV.
Menurutnya, terdapat tujuh orang di dalam pesawat itu termasuk dua juruterbang, dua doktor dan seorang pembantu perubatan.
Siaran televisyen merakamkan penduduk tempatan berkerumun di kawasan kejadian untuk melihat bangkai pesawat. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Dua wanita miliki syabu ditahan



SEMPORNA 26 Mei - Polis menahan dua wanita kerana dipercayai memiliki dadah dalam satu operasi di Kampung Simunul di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Azim Khan berkata, operasi pukul 2.30 petang itu dibuat hasil maklumat awam dan intipan pihak polis.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui satu peket dadah dipercayai syabu seberat enam gram yang disembunyikan dalam beg sandang suspek," katanya di sini, semalam.
Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

Kanak-kanak maut dilanggar lori ketika melintas jalan



KUANTAN 26 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh sebuah lori ketika melintas jalan di Kilometer 133.8, Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin, semalam.
Murid tahun satu itu, Muhammad Nur Ikwan Amirul Hakim Md. Nor meninggal dunia di Klinik Kesihatan Rompin akibat cedera parah di kepala dan kaki kanan.
Pegawai Turus Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Supritendan Mohd. Najid Jusoh berkata, kejadian pukul 5.10 petang itu berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru.
"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai melintas dari kiri ke kanan jalan.
"Pemandu lori berusia 41 tahun yang berasal dari Mersing, Johor itu cuba membrek dan mengelak tetapi tidak sempat menyebabkan ia merempuh kanak-kanak itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini hari ini.
Berikutan itu, kata Mohd. Najid, pemandu lori jenis Hicom itu menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Rompin untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang ketika menerima rawatan," katanya.
Kata Mohd. Najib, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Utusan Malaysia Online - Pahang

Rumah terbakar di Bukit Kepayang




Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan barangan berharga yang dapat diselamatkan dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Bukit Kepayang, Rasah, kelmarin.


RASAH 26 Mei - Sebuah rumah teres di Taman Bukit Kepayang dekat sini musnah dalam satu kebakaran tengah hari semalam.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 tengah hari dan semua penghuni rumah tersebut tidak di rumah kerana keluar bekerja.
Rumah itu didiami oleh pasangan suami isteri, Mohd. Fadhil Kamaruddin dan Rosetimah Mohd. Nasir, kedua-duanya kakitangan kerajaan bersama anak mereka, Mohd. Syarif, 18.
Kejadian disedari oleh jiran mereka yang bertindak menghubungi bomba sebaik melihat asap tebal dari rumah berkenaan.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Seremban 2, Muhamad Badri Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 1.05 tengahari.
Beliau berkata, sebanyak tiga jentera termasuk sebuah dari Balai Bomba Seremban serta dua buah motosikal bersama 19 anggota bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa lima minit.
"Pihak kami masih menyiasat punca kebakaran ini," katanya kepada Utusan Malaysia di tempat kejadian.
Sementara itu, Mohd. Fadhil berkata, kerugian dianggarkan bernilai lebih RM200,000.
Jelasnya, beliau tidak pasti punca sebenar kebakaran itu dan menunggu siasatan daripada pihak bomba.
"Ketika kejadian tidak ada siapa di rumah kerana kami semua bekerja dan saya segera balik ke rumah sebaik saja dimaklumkan oleh jiran-jiran," katanya.
Turut berada di tempat kejadian ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Rasah, Hapsah Hamid yang memberitahu, pihaknya akan membantu mangsa dan keluarganya mendapatkan bantuan yang diperlukan.
Utusan Malaysia Online - Selatan

Dadah RM2j: 7 lelaki, 2 wanita didakwa



GEORGETOWN 26 Mei - Tujuh lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan berasingan mengedar dan memiliki dadah bernilai lebih RM10 juta, kira-kira dua minggu lalu.
Bagi kes pertama, Tan Beng Tatt, Ooi Kean Wah, Koay Heng Chong, Fiteli Mohamat Saadin, Lisa Md. Kassim dan Mastura Mohd. Fudzi dituduh mengedar 2,015 gram methamphetamine di Blok 77-23A-5 Penang Times Square, Jalan Datuk Keramat di sini pada pukul 7.30 malam, 12 Mei lalu.
Beng Tatt, 48, Kean Wah, 42, Heng Chong, 27, Fiteli, 40, Lisa, 28, dan Mastura, 20, juga dituduh mengedar 15,261 gram heroin pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Beng Tatt dan Kean Wah juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu mengedar 18,071 gram methamphetamine, 54,539 gram cecair methamphetamine dan 9,817 gram ketamine pada pukul 9.20 malam di tempat dan hari yang sama.
Kean Wah juga menghadapi satu lagi pertuduhan bersama-sama Tan Choo Seng, 35, mengedar 4,855 gram heroin di Taman Lembah Sungai, Jalan S.P. Chelliah di sini pada pukul 10.30 malam pada hari yang sama.
Dalam kes kedua, Keong Gim Chye, 51, dan Ng Chun Haw, 31, dituduh mengedar 32,387 gram heroin di Lengkok Lumba Kuda Air Itam di sini, pada pukul 7.45 malam, 12 Mei lepas.
Kedua-dua mereka turut menghadapi dua lagi pertuduhan mengedar 965 gram amphetamine dan 18 gram methamphetamine pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Kesemua mereka hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof dan tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh. - BERNAMA
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Kempunan kereta baru, rugi jual kereta lama



NIAT seorang pemandu lori yang ingin memberikan keselesaan kepada keluarganya dengan menempah kenderaan lebih besar tidak kesampaian apabila dia bukan sahaja kempunan mendapatkan kereta Toyota Avanza malah 'terjual' Proton Wira miliknya.
Bapa kepada enam anak itu ditimpa nasib malang akibat terpedaya dengan sebuah syarikat menjual kereta terpakai di Jalan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, Terengganu, pada Mac lalu.
Md. Zubi Ramli, 40, yang tertarik dengan harga RM65,000 yang ditawarkan, terus bersetuju untuk membeli kereta Toyota itu melalui proses 'tukar beli' kereta lamanya dengan harga RM10,000.
Bagaimanapun, dia yang sepatutnya hanya perlu membayar baki harga kereta RM55,000 terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia perlu membayar tambahan RM8,500 dengan alasan kereta tersebut berharga RM73,000 ketika itu.
Menyedari dirinya telah tertipu, Md. Zubi membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk menuntut kembali kereta Proton Wira miliknya sebagai tanda pembatalan pembelian kereta Toyota Avanza berkenaan.
"Saya bersetuju membeli kereta Toyota Avanza itu dengan kaedah tukar beli kereta lama kerana pada awalnya harga yang dimaklumkan jauh lebih murah namun tidak sangka harga kereta Toyota Avanza tersebut tiba-tiba jadi mahal.
"Sepatutnya jurujual itu menjelaskan pada saya dengan lebih teliti agar saya lebih faham dan tidak keliru jika ada peningkatan harga sebelum saya buat keputusan untuk membeli kereta Toyota Avanza tersebut," katanya di TTPM Kuala Terengganu baru-baru ini.
Bagaimanapun Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak berkata, Md. Zubi tidak boleh menuntut kereta lamanya kembali kerana ia telah pun dijual kepada pengguna lain selepas dia bersetuju untuk menukar beli kereta tersebut.
Namun begitu, beliau mengarahkan syarikat berkenaan membayar RM3,384 kepada pemandu lori itu selepas ditolak kos baik pulih serta bayaran tertunggak terhadap kereta tersebut dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu, Md. Zubi perlu menyerahkan geran kereta lamanya kepada syarikat terbabit selepas menerima bayaran berkenaan.
Menurut Md. Zubi, biarpun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM7,000 kerana enggan membeli Toyota Avanza berkenaan walaupun pinjaman telah diluluskan namun dia tetap berpuas hati apabila tidak berurusan dengan syarikat terbabit.
"Kalau saya mahu beli kereta lain sekalipun saya akan ke syarikat lain dan bawa rakan yang biasa berurusan tentang jual beli kereta agar tidak tertipu lagi," jelasnya.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

SMS berangkai pesong akidah

KANGAR: “Tiada istilah di dalam al-Quran bahawa apabila bulan berada tepat di atas Kaabah, (maka) segala doa kita dimakbulkan, malah khidmat pesanan ringkas (SMS) berangkai seperti Dajal sudah muncul dan sebagainya boleh memesongkan akidah,” kata Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya ketika diminta mengulas berhubung SMS berangkai yang mengundang pelbagai tanggapan mengelirukan di kalangan umat Islam.
Beliau berkata, orang ramai yang menerima SMS seperti pintu Kaabah sudah dibuka, doa akan dimakbulkan, makam Rasulullah sedang diceroboh dan Dajal sudah muncul sepatutnya tidak mempercayainya kerana boleh membawa kekeliruan.

“Di dalam al-Quran dan hadis, perkara sebegini langsung tidak disebut dan waktu paling mustajab berdoa sudah diberitahu contohnya selepas solat, ketika sujud, sewaktu wukuf di Arafah dan sepanjang Ramadan.
“Keadaan seperti bulan di atas Kaabah dan pintu Kaabah dibuka tidak pernah disebut di dalam al-Quran dan ia boleh memesongkan akidah umat Islam sekiranya terlalu mempercayainya, sedangkan waktu mustajab doa seseorang itu adalah sepanjang masa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung SMS diterima orang ramai yang menyatakan, ‘Pagi ini pada jam 9.15 malam bulan akan berada tepat di atas Kaabah dan sebarang doa yang dibuat akan dimakbulkan’.

Menurut Juanda, umat Islam yang kurang arif dan mempercayai SMS berkenaan tanpa merujuk sekali gus memungkinkan rosaknya akidah.
“Apa yang dinyatakan SMS berkenaan berkaitan dengan alam ghaib dan ia perlu mempunyai nas tertentu bagi membuktikan kesahihannya.

“Umat Islam kini berdepan pelbagai cabaran dan ini antara cabaran baru yang perlu dihadapi. Kita jangan mudah terpedaya dan terus mempercayai apa yang disampaikan sebaliknya menyemaknya serta bertanya terlebih dulu jika kurang arif,” katanya.
Juanda berkata, mereka yang menerima SMS sedemikian perlu mengabaikannya dan bukan menghantarnya kepada rakan lain su paya tidak mengundang pelbagai tanggapan yang akan menjejaskan akidah.
myMetro | SMS berangkai pesong akidah

Lepas geram pada jiran


INI DIA...Amin menunjukkan kesan darah Azlina yang ditoreh budak lelaki berusia 12 tahun.
INI DIA...Amin menunjukkan kesan darah Azlina yang ditoreh budak lelaki berusia 12 tahun.


SHAH ALAM: Akibat tertekan kerana sering dibuli rakan sebaya di sekolah, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun melepaskan perasaannya dengan cara ganas apabila mengelar tangan dan menoreh muka seorang gadis yang juga jirannya.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, Azlina Ahmad, 24, cedera di tangan kiri dan muka serta menerima 14 jahitan selepas ditoreh kanak-kanak berkenaan di tempat letak kenderaan di rumahnya di Seri Era Apartment, Desa Latania, Seksyen 36 di sini.

Ketika ditemui semalam, Azlina yang masih trauma dengan kejadian tanpa disangka itu berkata, sewaktu kejadian dia hendak ke tempat kerjanya di Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan (JKKP) di Subang.

“Saya nampak budak itu di belakang kereta saya. Dia memakai seragam sekolah menunggu bas ke sekolah. Kemudian dia menghampiri saya yang ketika itu mahu menghidupkan enjin kereta.


“Budak itu bertanya sama ada saya mengenali tukang urut kerana ibunya sakit. Saya kata, nanti saya cuba tanyakan. Tiba-tiba saya nampak dia mengeluarkan sesuatu dari poket belakang sebelum melibas-libaskan benda itu terhadap saya,” katanya.
myMetro | Lepas geram pada jiran

Sorok mayat dalam almari

KUALA LUMPUR: Takut rahsia terbongkar, seorang penuntut kolej swasta berusia awal 20-an nekad menyimpan mayat bayi lelaki cukup sifat dilahirkannya dalam almari di bilik sebuah rumah di Cheras di sini, selama dua hari.
Difahamkan, penuntut terbabit melahirkan bayinya sendirian Selasa lalu dan bayi itu dipercayai mati sejurus dilahirkan.

Bagaimanapun, mungkin tidak tahan diselubungi rasa bersalah, penuntut itu akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, sambil membawa mayat bayinya yang dibalut tuala.

Sumber berkata, selepas polis merakamkan percakapan gadis itu, kes berkenaan diserahkan ke IPD Cheras di sini untuk meneruskan siasatan kerana kelahiran bayi itu berlaku di daerah itu.

“Ketika gadis itu datang ke balai polis, dia membalut mayat bayinya menggunakan tuala. Pada mulanya anggota polis bertugas menyangka dia menjadi mangsa kes jenayah dan mahu membuat laporan.
myMetro | Sorok mayat dalam almari

‘Saya bukan bodoh minta sogokan’

IPOH: “Saya bukan bodoh untuk meminta wang sogokan atau melakukan jenayah kerana ramai mengenali saya sebagai personaliti televisyen,” kata pengacara TV3, Mazidul Akmal Sidik, 43, berhubung laporan polis dibuat seorang peniaga cakera padat digital (DVD) yang mendakwa dia diugut supaya membayar wang sogokan kepada penerbit eksekutif program 999 itu.
Lelaki berusia 31 tahun berkenaan dalam laporannya mendakwa dia diminta Mazidul membayar wang sogokan selain DVD cetak rompak turut dirampas pengacara itu.

Difahamkan laporan polis dibuat pengadu terbabit tidak berasas berikutan peniaga itu didapati terlebih dulu menyerang Mazidul sebelum pengacara itu membuat laporan polis dan melakukan pemeriksaan perubatan di Hospital Tanjung Malim.

Dalam kejadian pada 9 April lalu itu, Mazidul membuat laporan di Balai Polis Tanjung Malim kerana mendakwa ditumbuk dan ditendang seorang lelaki dipercayai dalang sindiket penjualan cakera padat digital (DVD) cetak rompak di bandar berkenaan.

Kejadian berlaku apabila Mazidul yang sebelum ini pernah membongkar kegiatan penjualan DVD di premis terbabit mengambil gambar selepas mendapati premis sama masih beroperasi selepas seminggu diserbu pihak berkuasa.
myMetro | ‘Saya bukan bodoh minta sogokan’

RM70,000 melayang

SERDANG: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM70,000 selepas ditipu lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang baru dikenali lima bulan lalu melalui laman sosial facebook.
Wanita berusia 57 tahun itu diperdaya warga asing terbabit yang kononnya datang ke negara ini dan ditahan imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 5 Mei lalu kerana membawa wang yang banyak.

Sumber polis berkata, warga asing terbabit kemudian menelefon mangsa merayu serta meminta mangsa memasukkan RM5,700 sebagai jaminan untuk membebaskannya.
“Mangsa tanpa berfikir panjang terus memasukkan sejumlah wang diminta dalam satu akaun diberikan lelaki itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Pada 13 Mei pula, seorang wanita yang mendakwa sebagai pegawai imigresen menelefon mangsa dan meminta memasukkan lagi wang RM200 untuk membeli makanan buat lelaki terbabit dengan alasan lelaki itu tidak diberi makan ketika dalam tahanan.

“Mangsa sekali lagi memasukkan wang yang diminta. Keesokannya, wanita yang mendakwa pegawai imigresen itu sekali lagi menelefon mangsa dan meminta memasukkan RM35,000 sebagai jaminan untuk membebaskan lelaki itu,” katanya di sini, semalam.
myMetro | RM70,000 melayang

Budak patahkan pokok cili lebam dibelasah jiran

SERDANG: Angkara mematahkan pokok cili jiran, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipukul hingga lebam oleh jirannya dalam kejadian di Taman Pinggiran Putra, Sri Kembangan, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku apabila kanak-kanak berkenaan bermain dengan anak jirannya dan secara tiba-tiba pulang ke rumah sambil menangis.

Sumber polis berkata, ibu mangsa yang berusia 33 tahun berasa sangsi apabila anak kesayangannya pulang dalam keadaan menangis selepas bermain dengan anak jirannya.
“Ketika ditanya, mangsa memberitahu dipukul jiran sebelum ibu mangsa terus melihat badan mangsa yang terdapat kesan lebam.

“Mangsa mengadu dipukul dengan rotan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, jirannya yang masih tidak puas hati dengan tindakan kanak-kanak itu datang ke rumah mangsa dengan memegang pisau dan hulu lesung seolah-olah mahu memukul mangsa dan ibunya.
“Jirannya menuduh kanak-kanak itu mematahkan pokok cili hingga menimbulkan kemarahannya sebelum beredar beberapa minit kemudian.

“Takut kejadian tidak diingini berlaku dan untuk melindungi diri serta keluarga, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Serdang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias mengesahkan laporan itu dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK).
myMetro | Budak patahkan pokok cili lebam dibelasah jiran

4 samun RM14,000

KAJANG: Seorang tukang emas tergamam apabila empat lelaki bertopeng bersenjatakan kayu dan pisau memecah masuk rumahnya dalam satu kejadian samun di Bandar Damai Perdana, Cheras, semalam.
Menurut sumber, akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 43 tahun kehilangan beberapa barangan berharga seperti komputer riba, cincin selain wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM14,000.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika mangsa sedang nyenyak tidur di bilik utama di tingkat atas rumahnya sebelum terkejut apabila mendengar pembantu rumahnya menjerit meminta tolong.
“Mangsa yang terkejut kemudian segera ke tingkat bawah untuk meninjau keadaan pembantu rumahnya sebelum mendapati terdapat empat lelaki bertopeng di ruang tamu rumahnya,” katanya.

Difahamkan, suspek adalah lelaki warga Indonesia berdasarkan dialek percakapannya.

Sumber berkata, mangsa dan pembantu rumahnya hanya mematuhi setiap arahan yang diberikan kerana bimbang dicederakan suspek. “Khuatir mangsa melarikan diri, suspek mengikat tangan mangsa dengan wayar sementara mereka menggeledah almari dan semua bilik dalam rumah itu.
“Setelah memperoleh barangan berharga milik mangsa, suspek melarikan diri tanpa menghiraukan rayuan mangsa supaya dilepaskan,” katanya.

Anak mangsa yang menyedari kejadian berkenaan segera turun dan membuka ikatan tangan sebelum mangsa membuat laporan. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 kerana samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.
myMetro | 4 samun RM14,000

Galang ganti

ROMPIN: Lima belas hari lalu, Mohd Nor Md Sood, 36, menadah tangan tanda bersyukur apabila isterinya selamat melahirkan anak ketiga, tetapi petang kelmarin, beliau kehilangan anak lelaki tunggal daripada tiga anaknya selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 133.8, Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Kuala Rompin, jam 5.10 petang kelmarin.
Lebih memilukan, kemalangan membabitkan Muhammad Nur Ikwan Amirul Hakim yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Rompin itu berlaku di depan mata kakaknya, Nur Sufiana, 11.

Insiden di depan rumah mangsa sendiri yang ketika itu mahu melintas jalan untuk ke kedai dan jeritan Nur Sufiana didengari Mohd Nor ketika itu sedang membantu isterinya yang masih berpantang menguruskan anak perempuannya yang baru dilahirkan 15 hari lalu.
“Ketika itu, saya berharap dia (Nur Sufiana) hanya bergurau. Saya benar-benar tidak sangka jeritan berkenaan membawa khabar duka buat kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, dia melihat Nur Ikwan berlumuran darah dan terbaring di atas jalan.

“Keadaannya ketika itu sudah nazak dan saya kemudian memangkunya sebelum meminta bantuan pemandu lori yang melanggar Nur Ikwan membawa anak saya ke klinik kesihatan berhampiran.
“Namun, ajalnya sudah sampai dan dia disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di klinik itu kira-kira jam 6.15 petang,” katanya.
myMetro | Galang ganti

Wanita ganas

MUAR: Ganas ungkapan tepat menggambarkan seorang wanita warga Vietnam yang terbabit dalam 11 kes pecah kilang termasuk kilang tempatnya bekerja di sekitar daerah ini, sejak awal tahun lalu.
Malah, wanita itu mencari pembeli bagi setiap pasport warga asing lain dicurinya di kilang sebelum ia dijual pada harga borong.

Bagaimanapun, kehebatan wanita terbabit akhirnya terhenti selepas ditahan polis bersama sembilan rakan senegara di sebuah rumah kongsi di Taman Seri Jeram di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, semua suspek terbabit baru saja memecah masuk sebuah kilang sarung tangan berhampiran kediaman terbabit, kira-kira jam 2 pagi hari sama.

“Penahanan suspek yang berusia antara 21 hingga 34 tahun berjaya menyelesaikan 11 kes pecah masuk kilang yang membabitkan kerugian melebihi RM100,000.

“Kami turut menemui semula barangan curi seperti 30 telefon bimbit dan sembilan pasport milik pekerja kilang yang dipecah masuk,” katanya di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
Menurut Nasir, pihaknya turut merampas dua komputer riba, seutas gelang tangan emas, tiga utas jam tangan dan wang tunai RM500.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek bekerjasama melakukan jenayah terbabit dan mereka hanya memecah masuk kilang pada jam 12 tengah malam ke atas iaitu ketika kilang tidak beroperasi.
“Kami tidak menolak kemungkinan ada di kalangan suspek pernah bekerja di kilang yang dipecah masuk, siasatan turut mendapati wanita yang ditahan itu teman wanita kepada seorang daripada suspek terbabit.

“Semua suspek direman selama 14 hari bermula semalam dan berakhir pada 8 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
myMetro | Wanita ganas

Mati melambung

JITRA: “Arwah beria-ia mahu makan lempeng ubi kayu yang dicabut di tepi rumah, kelmarin (semalam) sehingga dia sanggup menyagat sendiri dan menikmatinya, tetapi terkejut apabila dimaklumkan dia maut dalam kemalangan,” kata Hendon Wahab, 62, isteri kepada Abu Seman Ibrahim, 71, yang maut dalam kemalangan di Pekan Changlun, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah kereta BMW dari arah bertentangan menyebabkannya tercampak sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Hendon dari Kampung Ladang Rakyat, Mukim Laka Temin, di sini, berkata, arwah memberitahu mahu menjelaskan bayaran bil air, tetapi tertinggal bil di rumah menyebabkan dia tidak sedap hati sebelum dimaklumkan berita suaminya maut dalam kemalangan itu.

Menurutnya, sebelum keluar rumah, suaminya sempat memakan lempeng ubi kayu dengan begitu berselera selepas mencabut tanaman itu, kelmarin.

“Saya tak sangka dia (suami) akan pergi dulu kerana malam tadi (kelmarin), arwah sempat bergurau mengatakan selepas ini dia akan tinggal berasingan dan makan pun berasingan dengan keluarga.


“Tak sangka pula dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga, namun saya lega kerana sempat menjamunya makan lempeng ubi kayu kerana dia teringin sangat dan tidak sangka ia petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Jitra, di sini.

Hendon berkata, banyak perubahan sikap berlaku terhadap arwah sejak beberapa hari lalu tetapi dia menganggap mungkin secara kebetulan, namun tidak menyangka ia membawa petanda ajalnya sudah sampai.

Bagaimanapun, katanya, dia dan anak-anak reda dengan apa yang berlaku kerana Allah SWT lebih menyayangi suaminya.

Arwah yang hanya menjalankan kerja kampung termasuk membela ayam dan menanam sayuran itu meninggalkan isteri dan tiga anak berusia antara 26 hingga 39 tahun.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kayu Hitam selepas solat Asar, petang semalam.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki berusia 40-an dari arah Bukit Kayu Hitam manakala mangsa dari arah bertentangan.


Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di Pekan Changlun, mangsa dikatakan melintas ke sebelah kiri jalan. “Akibatnya, kereta BMW itu terus merempuh motosikal itu menyebabkan mangsa melambung dan jatuh di but kereta menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.


“Pemandu kereta itu kemudian membuat laporan polis,” katanya.
myMetro | Mati melambung

Pemuda tikam anak saudara dipenjara 12 tahun

KOTA BHARU: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, apabila mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat anak saudaranya berusia dua tahun enam bulan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru Hilir, Gua Musang, dua tahun lalu.
Hukuman berkenaan dijatuhkan Hakim Azman Abdullah, selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Mohd Faisal Yusoff (gambar), 24, atas pertuduhan pilihan menikam anak saudaranya itu hingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

Meskipun kesnya masih di peringkat perbicaraan dan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh bernasib baik kerana terlepas hukuman gantung sampai mati yang diperuntukkan di bawah seksyen berkenaan.
Dia kemudian membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan dan didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan menyebabkan kematian yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

Berdasarkan peruntukan di bawah hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Azman menjatuhkan hukuman itu ke atas pemuda terbabit yang mengaku menyebabkan kematian ke atas anak saudaranya, Mohd Adam Azrai Rosman, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Baru Hilir, Gua Musang, pada jam 11 pagi, 1 September 2009.
myMetro | Pemuda tikam anak saudara dipenjara 12 tahun

Tembok 370 tahun runtuh

MELAKA: Tembok pada tebing Sungai Melaka yang dibina pada era penjajahan Belanda berusia 370 tahun di Jalan Gereja berhampiran Bangunan Stadhyus, Bandar Hilir runtuh, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, tembok setinggi empat meter dan selebar 30 meter itu runtuh sekali gus menyebabkan bahagian tanah di belakang tembok berkenaan terhakis.

Tinjauan Harian Metro mendapati batu laterit dan pagar lama yang menjadi penghadang bagi tebing berkenaan terbenam dalam sungai dan sebahagian besar tanah terhakis sehingga akar sebatang pokok lama di situ kelihatan hampir keseluruhannya.
Bertindak atas maklumat yang diterima Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil langkah segera menutup kawasan pejalan kaki di bahagian atas tembok berkenaan serta tiga gerai menjadi tumpuan jualan cendol dan goreng pisang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Datuk Bandar, Zainal Abu berkata, antara langkah drastik dilakukan bagi memastikan keselamatan orang ramai terutama pelancong di kawasan berkenaan adalah menutup laluan pejalan kaki berkenaan dengan pagar keselamatan.

Malah, katanya peniaga di gerai berkenaan juga diminta menghentikan aktiviti perniagaan sementara waktu dan mereka dipindahkan di kawasan berhampiran dalam tempoh terdekat ini.
“Petang ini (semalam) kami menghantar jurutera perunding melakukan pemeriksaan struktur tanah sebelum kerja membaiki tembok berkenaan dijalankan pada minggu ini.

“Kami pastikan struktur tanah berkenaan selamat sebelum kerja memperkukuhkannya dilakukan dan pembinaan tembok itu dibina semula.
“Tembok berkenaan akan dibina dengan ciri asal menggunakan batu laterit bagi mengekalkan ciri warisan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan di kawasan runtuhan berkenaan, semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md Yunos Husin.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, pembinaan tembok dengan ciri asal itu perlu dilakukan bagi mengikut garis panduan yang ditetapkan berikutan kawasan berkenaan terletak di lokasi Bandar Warisan Dunia.

Beliau berkata, punca tebing berkenaan runtuh dipercayai berlaku resapan air sehingga menyebabkan pergerakan tanah di situ.

“Kita akan melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja pembinaan semula kawasan tebing itu selepas pemeriksaan dilakukan,” katanya.
myMetro | Tembok 370 tahun runtuh

‘Tak sangka kami selamat’

DUNGUN: Dua penolong pengurus Felda terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 58, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Jerangau Sungai di sini, kelmarin.
Abd Rahim Hamzah, 52, yang bertugas di Felda Tenang dan rakannya, Ayub Junuh, 54, dari Felda Chalok Setiu, hanya cedera ringan biarpun kereta mereka terhumban ke dalam longkang kira-kira jam 6 petang itu.

Abd Rahim berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Setiu selepas menghadiri kursus anjuran Felda di Pusat Penyelidikan Tun Razak di Jerantut, Pahang.

Katanya, dia bertolak dari Jerantut pada jam 1 tengah hari dan sepanjang perjalanan mereka tidak berasa mengantuk kerana tidak putus-putus berbual.

“Setiba di tempat kejadian, selepas melalui satu selekoh, kereta secara tiba-tiba terbabas ke kiri jalan dan saya cuba memaut stereng sekuat hati ke arah kanan untuk mengelak terbabas,” katanya.
myMetro | ‘Tak sangka kami selamat’

Didakwa kurung dua lelaki

ALOR SETAR: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar semalam, terhadap pertuduhan mengurung dua lelaki di sebuah rumah di Kampung Seberang Pumpong, dekat sini, minggu lalu.
Jurujual telefon bimbit, Saiful Bayumi Yusof Ahmad, 26, dari Taman Seri Derga, di sini, dan jurujual kereta, Mohd Izwan Mohd Radzi, 24, dari Kuala Nerang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Azah Idris.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama rakan mereka yang masih bebas didakwa dengan niat curang melakukan kurungan ke atas Mohd Syahmi Mohd Sobri, 25, dan Khairi Hazwan Mohd Hanifah, 27.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor 90C Kampung Seberang Pumpong dalam daerah Kota Setar antara jam 3 petang 18 Mei hingga 9 malam 19 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor dan kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ana Rozana memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM7,000 setiap seorang sebelum kedua-duanya meminta jumlah berkenaan dikurangkan berikutan kini tidak mempunyai pekerjaan.
Mahkamah menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa culik dan kurung bersama seorang lagi rakannya di sebuah rumah dipercayai bermotifkan perasaan dendam dan iri hati pihak tertentu.
Mangsa juga mendakwa kehidupannya bagai neraka ketika dikurung apabila turut diugut dan dibelasah kerana tidak berpuas hati dengan perniagaan yang dijalankannya.
myMetro | Didakwa kurung dua lelaki

Misteri mayat bawah katil terungkai

AMPANG: Misteri penemuan mayat lelaki di bawah katil dalam sebuah rumah kedai di Jalan 1/5 Taman Kosas, di sini, kelmarin terjawab apabila mangsa disahkan mati dibunuh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan parah di kepala dan dada mangsa akibat dipukul dengan benda tumpul.

“Kita (polis) percaya mangsa maut akibat ditendang atau dipukul beberapa kali pada bahagian kepala dan dada. Malah, disebabkan itu mangsa mengalami kecederaan parah.
“Penemuan mangsa di bawah katil pula berkemungkinan ketika kejadian mangsa ditendang sehingga jatuh ke bawah katil. Selepas itu, suspek yang menyedari mangsa sudah mati dipercayai bertindak melarikan diri berikutan keadaan pintu yang berkunci,” katanya.

Polis sudah mengenal pasti mangsa adalah warga Myanmar berusia 23 tahun dan bekerja di kedai runcit berhampiran.

Nazri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan usaha memburunya giat dijalankan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
myMetro | Misteri mayat bawah katil terungkai

TNB Johor rugi RM6j kes curi elektrik


BATU PAHAT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor mengesan kira-kira 1,400 kes kecurian arus elektrik di seluruh negeri ini, dengan nilai RM6 juta sejak awal tahun ini.


Kejadian itu menjadikan Johor kini antara negeri yang mencatatkan kes kecurian arus elektrik tertinggi di negara ini, sebahagian besarnya dikesan dilakukan pelbagai premis termasuk kilang, kedai, pengusaha stesen minyak dan rumah kediaman.
Pengurus Besar TNB Negeri Johor, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata pihaknya mengesan perbuatan mencuri arus elektrik itu menerusi gerakan oleh anggota Unit Kawalan Kecurian (UKK) TNB yang melakukan lawatan serta pemantauan berkala serta mengejut terhadap mana-mana di kalangan 1.1 juta premis pelanggan di seluruh negeri, khususnya yang mencatatkan bacaan meter yang meragukan.
“Hasil pemantauan, UKK-TNB mendapati 1,400 premis atau pelanggan di negeri ini mencuri arus elektrik, sama ada secara pintasan pada meter, pengusikan peralatan jangka elektrik serta mengubahsuai meter bagi menghalang bacaan penggunaan elektrik sebenar dengan menebuk lubang tertentu pada peralatan berkenaan.

“Kesemua premis atau pelanggan TNB yang melakukan aktiviti haram itu kini diarahkan membayar nilai sebenar penggunaan elektrik yang dilakukan mereka membabitkan nilai RM6 juta yang dikesan mulai Januari sehingga bulan ini, termasuk 200 kes kecurian yang dicatatkan di daerah ini.

“Kegagalan melakukan pembayaran akan menyebabkan mereka diheret ke mahkamah serta berdepan hukuman maksimum termasuk denda selain penjara," katanya selepas perasmian Kejohanan Sukan Teknikal TNB Daerah Batu Pahat, yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil. Turut hadir yang merasmikan kejohanan berkenaan dan Pengurus Kanan TNB Batu Pahat, Khairizam Ibrahim.

Mohd Aminuddin berkata, perbuatan mencuri arus elektrik yang dilakukan pelanggannya itu bukan saja berbahaya terutama membabitkan imbangan pengaliran arus elektrik selamat, malah boleh mencetuskan kebakaran.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan hanya kerana mahu kurangkan caj bil elektrik sehingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan. Cara sambungan atau alat yang digunakan untuk kegiatan itu mungkin boleh mendatangkan risiko serta bahaya tidak terjangka,” katanya.

“Mereka juga perlu sedar TNB mempunyai kecekapan tersendiri bagi membanteras kegiatan mencuri arus elektrik ini dan pastinya perbuatan mereka lambat laun akan dikesan, ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah jika amaran bayaran balik caj bil sebenar tidak diendahkan," katanya.
Berita Harian Online | TNB Johor rugi RM6j kes curi elektrik

Budak 'tertekan' tikam wanita



TANGAN Azlina cedera akibat ditoreh budak lelaki
TANGAN Azlina cedera akibat ditoreh budak lelaki

Suspek dipercayai alami gangguan perasaan akibat jadi mangsa buli

SHAH ALAM: Akibat sering menjadi mangsa buli, seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan bertindak di luar jangkaan apabila menikam seorang wanita dalam kejadian di Pangsapuri Sri Era, Desa Latania, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Azlina Ahmad, 24, menerima 14 jahitan di tangan dan dagu ketika cuba menepis pisau lipat disyaki senjata yang digunakan kanak-kanak terbabit.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Difahamkan kanak-kanak terbabit turut membuat laporan polis kononnya diugut seorang lelaki yang mahu membunuh bapanya jika dia tidak membunuh mangsa.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat, kanak-kanak itu mengakui mengalami tekanan perasaan kerana sering dibuli di sekolah.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit bergegas mengambil anak mereka di sekolah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 di sini.
Difahamkan, pisau lipat yang digunakan kanak-kanak itu untuk menikam mangsa turut ditemui bapanya di semak berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Azlina berkata, ketika kejadian dia sedang memanaskan enjin kereta untuk ke tempat kerja sebelum didatangi kanak-kanak itu yang dikenali dengan nama ‘adik’ bertanyakan sama ada mengenali sesiapa yang boleh mengurut kaki ibunya yang sakit.

“Semalam (kelmarin) pun dia bertanyakan soalan sama kepada saya. Ketika itu, saya menjawab mungkin kakak saya boleh membantu mencari tukang urut. Ketika berbual, saya melihat dia mengeluarkan sesuatu dari poket belakang.

“Saya terkejut apabila dia mengeluarkan pisau dan cuba menikam saya. Mujur ketika itu saya berada di dalam kereta dengan cermin pintu kereta tertutup separuh,” katanya ketika ditemui, di sini.

Azlina berkata, dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius sebelum memecut kereta kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Saya kemudian menghubungi abang ipar saya, Amin Olah, 28, untuk memberitahu mengenai kejadian ini sebelum dia menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk rawatan,” katanya yang tinggal bersama kakaknya, Zuraina Ahmad, 29, sejak setahun lalu. Berita Harian Online | Budak 'tertekan' tikam wanita

'Baju anak penuh darah'


 FATIMAH   menunjukkan baju sekolah anaknya  yang berlumuran darah.
FATIMAH menunjukkan baju sekolah anaknya yang berlumuran darah.

Telinga pelajar cedera akibat serangan dalam kelas

KUALA TERENGGANU: "Saya hampir pengsan melihat darah berlumuran pada telinga kiri dan baju sekolah dipakai anak bongsu ketika dia pulang ke rumah," kata Fatimah Ngah, 54, dari Kampung Bukit Kandis, Bukit Tunggal, di sini berhubung kecederaan telinga anaknya dipercayai dipukul seorang pelajar, petang kelmarin.
Fatimah berkata, anaknya, Abdul Rahman Abdul Ghani, 13, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di kawasan itu, pulang ke rumah kira-kira jam 2.30 petang bersama abangnya, Mohd Khairul, 25, dalam keadaan berlumuran darah di telinga kiri untuk mengambil kad pengenalan bagi mendapat rawatan.
Beliau berkata, Abdul Rahman memaklumkan dia dipukul dan ditendang seorang daripada sekumpulan pelajar yang datang ke kelas sementaranya sebelum waktu persekolahan sesi petang bermula.

“Tendangan itu menyebabkan Abdul Rahman terdorong ke belakang dan ketika hendak terjatuh, bahagian kiri mukanya tersangkut pada bucu cermin tingkap, menyebabkan luka besar pada telinga kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mangsa bagaimanapun, tiada di rumah ketika itu kerana ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan selepas difahamkan menerima tujuh jahitan di telinga kirinya.

Difahamkan polis sudah menahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pagi semalam untuk membantu siasatan.
Bapa mangsa, Abdul Ghani Ismail, 64, berkata pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan wajar supaya masalah disiplin di sekolah itu dapat diperbaiki. Berita Harian Online | 'Baju anak penuh darah'

'Bukan kena baham anjing'


Mangsa meninggal kerana lemas


KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki tiga tahun yang mati 14 jam selepas ditemui dalam parit dengan muka tersembam dan berlumuran darah dengan kesan cakaran di Kampung Matan, Ranau, bukan mati akibat gigitan atau dibaham anjing.
Sebaliknya, polis percaya berdasarkan laporan perubatan Mohd Raqib Mohd Rasili terjatuh ke dalam parit itu cuba diselamatkan anjing bapa saudaranya.
Laporan bedah siasat juga mengesahkan kanak-kanak itu meninggal akibat lemas selepas terjatuh ke dalam parit sedalam setengah meter dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin.

Difahamkan, Mohd Raqib yang menghidap asma, mengalami kesukaran bernafas sebaik terperangkap di parit itu, menyebabkan kerosakan di otaknya kerana terputus bekalan oksigen.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Suhaimi Hasim, berkata laporan perubatan dari Hospital Ranau mengesahkan mangsa mati akibat lemas, bukan meninggal kerana digigit anjing.

“Keluarga mangsa belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu tetapi kita menerima pengesahan laporan perubatannya.
“Berdasarkan kesan dan corak gigitan di tubuhnya, ada kemungkinan mangsa cuba diselamatkan anjing berkenaan selepas terjatuh ke dalam parit, bukan dibaham,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Raqib yang tinggal bersama bapa saudaranya dikatakan bermain dengan anjing itu sambil menuju ke rumah bapanya yang berjarak kira-kira 20 meter.
Berita Harian Online | 'Bukan kena baham anjing'

Pengarah dicekup SPRM berlagak depan media



PEGAWAI SPRM mengiringi pengarah yang dikenakan perintah reman berhubung kes mengeluarkan  pas pekerja asing palsu, di Seremban, semalam.
PEGAWAI SPRM mengiringi pengarah yang dikenakan perintah reman berhubung kes mengeluarkan pas pekerja asing palsu, di Seremban, semalam.

SEREMBAN: "Ambil gambar saya cantik-cantik, keluar front page (muka depan)," kata lelaki yang dipercayai pengarah syarikat ketika hendak ditahan reman seminggu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Lelaki berusia 70-an itu juga tersenyum kepada jurugambar dan wartawan apabila tiba jam 10.20 pagi. Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Nor Anidah Hamdan, membenarkan permohonan reman dikemukakan seorang Pegawai Penyiasat SPRM jam 10.35 pagi.
Penahanan itu bertujuan membantu siasatan SPRM berhubung kegiatan pengeluaran pas pekerja asing palsu di pejabatnya di Taman Bukit Emas, Senawang, dekat sini.
Berita Harian kelmarin mendedahkan kegiatan haram syarikat berlatarbelakangkan perniagaan pembekalan dan penyediaan pekerja asing yang beroperasi sejak 1999, mendakwa mendapat kebenaran Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan pas pekerja yang sah selama setahun dan boleh disiapkan dalam masa 15 minit.

Syarikat itu turut menyediakan pakej lengkap membabitkan perkhidmatan penghantaran pulang pekerja asing dengan bayaran RM1,200, tidak termasuk tiket kapal terbang yang dibelikan majikan.

Sementara itu, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, SPRM turut menyita sebuah komputer, komputer riba dan beberapa dokumen berkaitan di tingkat tiga bangunan tiga tingkat syarikat berkenaan.

Sumber memberitahu, siasatan menyeluruh masih diteruskan termasuk mengesan majikan dan individu yang berurusan dengan syarikat berkenaan dan meminta mereka tampil memberi kerjasama.
“SPRM juga menyiasat ke mana wang diperoleh daripada perkhidmatan itu disalur selepas mendapati syarikat mengeluarkan lebih 500 pas bernilai RM500,000 sejak Januari lalu,” katanya di sini, semalam. Berita Harian Online | Pengarah dicekup SPRM berlagak depan media

Melambung ke longkang


Tukang masak maut dilanggar ketika ingin memancing


MUAR: Hasrat seorang tukang masak memancing buat kali terakhir sebelum pulang ke kampungnya di Pattani, Thailand, berakhir dengan tragedi apabila beliau lemas selepas tercampak ke dalam longkang dalam kemalangan langgar lari berhampiran Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), awal pagi semalam.
Mayat Manah Masae (kanan), 32, ditemui orang ramai dalam longkang di tepi Jalan Salleh, berhampiran dengan basikal miliknya, kira-kira jam 8.30 pagi tetapi kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi ketika hujan lebat dan tidak disedari oleh orang awam.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai tercampak ke dalam longkang dan pengsan akibat kepala terhentak tepi longkang.

Anak tiri mangsa, Wan Rogayah Bakar, 41, berkata mangsa keluar memancing kira-kira jam 2 pagi dan biasanya pulang ke rumah sewa mereka di Jalan Bakariah, dekat sini kira-kira jam 5 pagi atau 6 pagi.

Katanya, beliau tidak mengesyaki perkara pelik apabila mangsa tidak pulang ke rumah kerana beranggapan beliau mungkin keluar awal untuk bertemu rakan sehinggalah seorang rakannya menghubunginya memaklumkan kejadian yang menimpa bapa tirinya itu kira-kira jam 10 pagi.

“Bapa tiri saya memang suka memancing di tepi Sungai Muar dan biasanya dia akan keluar memancing hampir setiap hari selepas waktu bekerja kira-kira jam 2 pagi walaupun saya sering menasihatkannya supaya jangan memancing kerana bimbang dia akan keletihan.
“Sehari sebelum kemalangan itu, dia memperoleh tangkapan udang yang agak banyak dan memaklumkan akan memancing buat kali terakhir sebelum mahu pulang ke kampung," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HPSF.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata pihaknya dimaklumkan oleh orang ramai yang menemui mayat mangsa dalam longkang sebelum siasatan lanjut mendapati mangsa menjadi mangsa langgar lari berikutan penemuan basikal miliknya di tepi jalan.

Katanya, mangsa dalam perjalanan daripada arah bandar apabila basikal yang ditunggangnya dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan daripada arah yang sama menyebabkannya tercampak ke dalam longkang sebelum lemas.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rahman Remi di 06-9781222 bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Berita Harian Online | Melambung ke longkang