Search This Blog

Wednesday, May 25, 2011

Jadi hamba seks bapa saudara




TELUK INTAN - Akibat kerakusan nafsu, seorang kanak-kanak malang berumur tujuh tahun menjadi hamba seks bapa saudaranya sejak setahun lalu di Kampung Sungai Tiang Baru, Rungkup.

Bagaimanapun, perbuatan keji lelaki berumur 25 tahun itu terbongkar apabila ibu mangsa menyedarinya dan membuat laporan polis 19 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, bapa saudara yang juga adik kepada ibu mangsa melakukan perbuatan keji itu sejak kanak-kanak tersebut berusia 6 tahun.

Menurutnya, pihaknya percaya, suspek yang juga seorang nelayan sering melakukan perbuatan keji itu ketika ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada di rumah.

“Suspek yang tinggal berhampiran rumah kanak-kanak itu dipercayai merogol mangsa lebih kurang 10 kali termasuk melakukan seks luar tabii sepanjang setahun lalu,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Kok Liang berkata, pada 19 Mei lalu suspek dipercayai membawa mangsa ke sebuah rumah kosong di kawasan berhampiran untuk melakukan perbuatan keji itu tetapi abang mangsa ternampak suspek membawa adiknya keluar dari rumah.

Menurutnya, abang mangsa memberitahu kepada ibu mangsa mengenai hal itu menyebabkan dia mengesyaki sesuatu berlaku terhadap anaknya.

“Selepas mangsa dihantar pulang, ibu mangsa terus bertanya kepada anaknya dan setelah didesak beberapa kali, mangsa akhirnya memberitahu perkara sebenar,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak memberitahu perkara sebenar kepada ibu bapanya kerana diugut akan dicederakan jika berbuat demikian.

Katanya, laporan polis dibuat sebelum pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak itu dijalankan dan pihaknya berjaya menahan suspek pada Jumaat lalu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 (a) dan Sekyen 377 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun serta sebatan jika didapati bersalah,” katanya.
SH

Penjaga parkir dipenjara 12 bulan




GEORGETOWN - Seorang penjaga parkir dipenjara 12 bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah mencuri sebuah motosikal milik seorang pelajar kolej 21 April lalu.

Tertuduh, P Ganeson, 27, yang berasal dari Paya Terubong ditangkap polis 26 April lalu didakwa mencuri motosikal milik G Kartihga, 24, bernilai RM4,000 di pekarangan Kolej KDU di Jalan Anson kira-kira jam 2 petang sehingga 6.15 petang.

Dalam pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim, Ganeson didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.

Ganeson yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah di hadapan Majistret Noor Aini Yusof selepas mendengar pertuduhan dibacakan.

Dia yang diberi kesempatan untuk membuat rayuan sebelum Majistret menjatuhkan hukuman, memohon supaya satu hukuman ringan yang dikenakan terhadapnya kerana dia terpaksa menanggung ibu bapa yang sudah tua selain perlu menanggung dua orang adik yang masih bersekolah.

Noor Aini bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM 1,000 terhadapnya dan jika tertuduh gagal menjelaskan denda dia boleh dipenjara selama sebulan.
SH

Bapa rogol anak tiri ditahan




SUNGAI PETANI – Suspek kes rogol yang diburu polis sejak dua tahun lalu ditahan malam kelmarin, di sebuah rumah di Sungai Petani atas maklumat orang ramai dan maklumat terbaru yang diterima polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, suspek seorang bapa berumur 50-an ditahan atas dakwaan merogol anak tirinya berusia 20-an.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kita memang memburu suspek selama ini selain pernah mengedarkan lakaran wajah suspek berdasarkan laporan yang dibuat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hashim berkata, polis telah lama memburu suspek sehingga pernah dibantu media menyiarkan fotofitnya dan kisah mangsa rogol yang merupakan anak tirinya juga pernah dilaporkan media.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian bertarikh 5 April lalu pernah menyiarkan rintihan seorang gadis yang mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa pemuas nafsu bapa tiri yang berkahwin dengan ibunya sejak 15 tahun lalu.

Mangsa mendakwa bapa tirinya, seorang samseng kampung mula mengambil kesempatan merogolnya sejak berumur 11 tahun sehinggakan pernah menggugurkan kandungan sebanyak tujuh kali.
SH

Rokok seludup dirampas




KUALA KEDAH - Cubaan sebuah sindiket menyeludup 1,720 karton rokok pelbagai jenama melalui jalan laut dan seterusnya diangkut oleh sebuah kereta mewah untuk edaran sekitar bandar raya ini berjaya ditumpaskan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah, lewat malam semalam.

Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman berkata, pihaknya berjaya merampas beberapa kotak yang dibaluti plastik hitam dan merah mengandungi rokok empat jenama yang nilainya termasuk cukai berjumlah RM178,000 dalam satu serbuan di sebuah pelantar ikan di Jeti Kuala Kedah, sekitar 12.10 malam.

“Ketika serbuan dibuat, terdapat kira-kira 20 anggota sindiket dipercayai penduduk tempatan sedang memuatkan 28 kotak bungkusan rokok ke dalam sebuah kereta jenis Honda Odyssey, 58 bungkusan kotak lain pula ditinggalkan di lorong kecil jeti menghala ke jalan raya,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, bagaimana pun kesemua anggota sindiket berkenaan gagal diberkas kerana berjaya meloloskan diri.

Mohd Jasri berkata, operasi diketuai Komander Kawasan Wan Mazlan Endut bersama tiga anggota lain yang membuat intipan hasil maklumat daripada orang ramai.

“Terdapat 86 bungkusan besar yang mengandungi 1,720 karton rokok dipunggah dari sebuah bot gentian kaca milik persendirian tanpa nombor pendaftaran dari Langkawi. Rokok terbabit dipercayai untuk pasaran kedai runcit sekitar Bandaraya Alor Setar,” katanya.

Menurutnya, kesemua rokok tertera ‘Malaysian Duty Not Paid’ yang diklasifikasikan sebagai barang belum lulus kastam.

Mohd Jasri berkata, pihaknya turut mengesan satu jenama baru rokok yang diimport dari Sarawak, yang sebelum ini tidak pernah dipasarkan di negeri ini.

“Kesemua bungkusan serta kereta terbabit telah dibawa balik ke pejabat UPP untuk pemeriksaan rapi, sebelum kes ini diserahkan kepada Jabatan Kastam Malaysia untuk siasatan lanjut bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohd Jasri turut mengingatkan nelayan supaya menyalurkan maklumat mengenai penyeludupan sekiranya mengesan berlakunya aktiviti menyeludup rokok dan arak di perairan.

“Sekiranya nelayan mendapat maklumat awal, sila maklumkan kepada pihak UPP. Saya harap nelayan turut bekerjasama dengan kita untuk membanteras penyeludupan yang berleluasa di di negeri ini,” katanya.
SH

Pelajar guna wang palsu beli nasi




PENDANG – Seorang pelajar di sebuah sekolah di sini, ditangkap pengusaha kantin sekolah setelah pihak kantin menyedari pelajar berkenaan menggunakan wang palsu untuk membeli makanan di kantin sekolah itu kelmarin.

Pelajar Tingkatan Empat sekolah itu ditangkap setelah menggunakan wang palsu RM50 untuk membeli nasi ayam berharga RM1.50.

Anak kepada pengusaha kantin, Noor Azlinda Abdullah, 29, berkata, kejadian berlaku pada waktu rehat kira-kira jam 10.30 pagi apabila seorang pekerjanya, Farizal Hanapi sedang menjual nasi dan menyedari wang yang diterima daripada pelajar terbabit adalah wang palsu.

“Wang palsu RM50 digunakan pelajar terbabit dan pekerja saya menyedarinya.

“Saya curiga kerana jarang pelajar membeli makanan menggunakan wang RM50 menyebabkan pekerja saya meneliti wang itu ketika diberi pelajar berkenaan,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jenun.

Katanya, menyedari wang itu palsu dia segera memanggil pelajar berkenaan dan memaklumkan kepada pihak sekolah.

“Pelajar itu memaklumkan dia baru pertama kali menggunakan wang palsu itu untuk membeli makanan selepas mengambil wang itu daripada rakannya iaitu pelajar Tingkatan Tiga,” katanya.

Noor Azlinda berkata, dia berharap perkara ini diambil tindakan segera oleh pihak sekolah dan polis supaya kejadian sama tidak lagi berulang.

“Saya harap gejala pelajar menggunakan wang palsu ini tidak berleluasa kerana kejadian ini boleh merugikan peniaga yang tidak dapat mengenal pasti wang palsu,” katanya.
SH

Bebas tuduhan bunuh majikan




ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam, melepas dan membebaskan seorang pekerja ladang ayam daripada tuduhan membunuh majikannya tahun lalu.

Mohd Nazri Harun, 25, didakwa membunuh Tan Ah Yee @ Tah Cheng Chuan, 64, di Kampung SC, mukim Hosba, Kubang Pasu, antara jam 8.30 malam hingga jam 9 malam, 20 April 2010.

Mohd Nazri didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan dengan kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab sewaktu membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Menurutnya, berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa, Ah Yee, didapati mati akibat tembakan senapang pada bahagian dada, sebelum dibakar.

“Dalam kes ini, pihak pendakwaan yang memberi keterangan berdasarkan keadaan, mesti membawa kepada satu konklusi iaitu kesalahan dilakukan tertuduh.

“Pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa tertuduh menyebabkan kematian si mati (Ah Yee), namun pihak pendakwaan tidak dapat mengesahkan siapa serta di mana si mati ditembak, dan jika ditembak di luar rumah, siapa yang membawa si mati ke dalam rumah, itu” katanya.

Mohd Zaki berkata, tiada kemungkinan mayat Ah Yee dialihkan ke dalam rumah kerana tiada keterangan yang menyokong, malah jika tertuduh yang mengalihkan mayat itu sudah tentu terdapat kesan darah pada pakaian mangsa.

“Tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Mohd Nazri meraup wajahnya dengan tangan sambil tersenyum lega sewaktu keputusan dibacakan dan kemudian kelihatan menjamu selera bersama ahli keluarga sejurus keluar daripada kompleks mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, mayat Ah Yee ditemui dalam keadaan rentung di dalam rumahnya di kampung terbabit, selepas kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11 malam di rumah berkenaan berjaya dipadamkan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Mohd Nazri yang turut berada di tempat kejadian pada ketika itu memaklumkan bahawa mereka diserang perompak dan dia bagaimanapun pengsan selepas dipukul dan apabila tersedar, dia melihat rumah majikannya sudah terbakar.

Mohd Nazri diwakili peguam Ali Munawar Razak, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd Yatim.
SH

Pemuda dakwa dibelasah





SEREMBAN – Seorang pemuda mendakwa dikasari sekumpulan anggota polis selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di pekan Rembau, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa, S. Ganesan, 20, diperlakukan demikian selepas dikatakan berlanggar dengan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang anggota polis di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Ganesan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Rembau, di sini menaiki motosikal.

“Sampai sahaja di lampu isyarat berhampiran pekan Rembau, motosikal saya terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggangi anggota polis terbabit,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, motosikalnya jatuh dan anggota polis itu kemudian menghampirinya sebelum didatangi lima anggota polis lain.

“Kemudiannya mereka terus mencederakan saya di tempat kejadian mengakibatkan saya mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan beberapa anggota badan lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Ganesan berkata, dia mengalami cedera parah di bahagian kiri kepala dan kaki, lebam di bahu serta calar di bahagian belakang badan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Rembau, sebelum dirujuk di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

Dia turut menerima lapan jahitan di bahagian kiri kepala serta lima jahitan di kaki kiri.

Berikutan kejadian itu, anak kedua daripada empat adik beradik itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Chembong, dekat sini kira-kira 2 petang, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya membabitkan seorang anggota polis dengan pengadu terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat kesahihan mangsa dikasari sekumpulan anggota polis itu dari segenap aspek sebelum mengambil sebarang tindakan.
SH

Rokok seludup dirampas




MASJID TANAH - Sebanyak 60 guni berisi kira-kira 40 kotak rokok setiap satu berjaya dirampas anggota Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpengkalan di Kuala Linggi, malam kelmarin.

Dalam operasi kira-kira 9 malam itu, seramai lima anggota APMM terlibat dalam operasi di perairan Tanjung Sepat, Selangor.

Operasi dijalankan selepas menerima maklumat sebuah bot pancung mencurigakan berlegar-legar di tengah perairan.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, semasa operasi, APMM mengesan bot pancung berkenaan sebelum mendekatinya.

“Kita cuba mengejar bot tersebut menggunakan bot peronda, bagaimanapun tekong dan awak-awak berjaya meloloskan diri menuju ke persisiran pantai kira-kira 0.7 batu nautika, meskipun sudah diarah berhenti.

“Selepas hampir kira-kira 20 minit berlaku satu adegan mengejar, anggota kami berjaya menemukan satu bot pancung yang ditinggalkan di tepi pantai, dekat situ. Tekong serta awak-awak sudah melarikan diri dipercayai ke dalam hutan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, selepas diperiksa, bot pancung tersebut membawa sejumlah 60 guni berisi rokok kretek pelbagai jenis dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam negara.

“Ketika bot itu ditemui, kesemua rokok diletakkan dalam guni tidak dihalang dengan sebarang objek lain di atasnya. Kita juga syaki terdapat tiga bot semasa operasi termasuk yang berjaya ditumpaskan ini,” katanya pada sidang media di pejabat APMM, Kuala Linggi, di sini semalam.

Ibrahim berkata, nilai harga rokok serta cukai dianggarkan berjumlah RM372,909.60.

Menurutnya, modus operandi sindiket sama seperti kes sebelum ini iaitu dengan berada di tengah laut sempadan negara jiran, sebelum beberapa bot kecil datang bagi mendapatkan rokok seludup berkenaan.

“Ini merupakan kali kedua kita berjaya menumpaskan sindiket seludup rokok dalam tahun ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.
SH

Pemandu lori dipenjara, sebat




AYER KEROH - Seorang pemandu lori terpaksa meringkuk dalam penjara selama lapan tahun dengan 10 sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana kesalahan� mengedar dadah.

Hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh, Abu Kasim Matrus, 47, oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi selepas meneliti rayuan dan hujah pihak kedua-dua belah pihak pembelaan dan pendakwaan.

Berdasarkan pertudu-han, tertuduh didakwa mengedar kanabis seberat 326.80 gram berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira 7 malam, 21 Januari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, selepas Jabatan Peguam Negara membenarkan pindaan terhadap pertuduhan tertuduh melalui peguambelanya, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, dia dituduh di bawah Seksyen 39(a)(2) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan.

Shiekh Ikhzan turut memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sebagai penanggung tunggal keluarga mempunyai tiga anak termasuk anak kecil berusia empat bulan.

“Sejak tertuduh ditangkap, isterinya terpaksa bekerja di pusat asuhan kanak-kanak untuk menyara keluarga. Saya mohon mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz yang mengendalikan kes tersebut pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat.

Selepas penelitian dibuat, Ahmadi kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap pada 21 Januari 2011 serta 10 sebatan terhadap tertuduh.
SH

Mayat mangsa lemas ditemui




PULAU INDAH - “Malam sebelum kejadian, arwah Sarman banyak mendiamkan diri. Perubahan pelik itu hanya kami sedari selepas mangsa hilang dihanyutkan arus deras,” demikian cerita Shahrul Lokman Mohd, 20, yang juga saksi dan saudara kepada mangsa lemas, Sarman Salim, 36, mengenai detik sebelum kejadian ngeri meragut nyawa rakannya itu kelmarin.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi memancing, dia dan dua rakan telah mematikan hasrat untuk memancing memandangkan hujan turun.

“Namun arwah tetap berkeras untuk memancing, malah dia beberapa kali memarahi saya dan rakan-rakan agar bergegas ke tempat memancing.

“Kami tidak sangka perubahan pelik itu menandakan arwah akan pergi meninggalkan kami dalam keadaan yang sukar diterima,” katanya.

Mangsa, Sarman yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan dan bekerja sebagai tukang masak di Restoran Assila, Seksyen 13, Subang Jaya, disifatkan rakan-rakan sebagai seorang yang ceria, peramah dan suka bergurau.

Salah seorang kakak mangsa dikenali Zila, 40-an berkata, adiknya yang masih bujang memang rapat dengan adik-beradik lain dan sahabat handai hingga kehilangannya dirasai oleh semua.

“Pemilik restoran berdekatan tempatnya bekerja juga sanggup datang dari Subang dan berkumpul di bawah Jambatan Muhibbah tatkala gerakan mencari adik saya dijalankan.

“Lebih 24 jam gerakan mencari adik dijalankan dan berakhir tatkala mayatnya ditemui terapung oleh anggota bomba. Saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana memberikan kerjasama serta komitmen yang bagus dalam usaha mencari adik saya,” katanya.

Mangsa yang dilaporkan hilang kelmarin selepas tergelincir dari tangga berdekatan tempat memancing tercampak ke laut di bawah Jambatan Muhibbah, di sini, kira-kira jam 4 pagi.

Bagaimanapun, mayatnya berjaya ditemui Pasukan Penyelamat Air Skuad Skuba dan anggota Operasi Bomba Pelabuhan Klang kira-kira jam 10 pagi, semalam hanya beberapa meter dari lokasi asal kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di USJ 21, Subang Jaya kira-kira jam 5 petang.
SH

Terkedu wang jaminan RM20,000




KUANTAN - Seorang bekas pengarah syarikat yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan terkedu apabila mendengar jumlah wang jaminan RM20,000 ditawarkan ke atasnya selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)kira-kira tiga tahun lalu.

Jumlah jaminan yang ditawarkan Pegawai Pendakwa SSM, Kamaruddin Mohd Daud itu terlalu jauh dari jangkaan, Tuan Azuan Mat Zin, 32 apabila dia hanya membawa RM1,000 sebagai persediaan untuk tujuan tersebut.

Tertuduh yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan dia kini hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa menyara keluarga manakala isterinya yang hadir sebagai penjamin tidak bekerja.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Hakim Mahkamah Sesyen 2 Kuantan, Fathiyah Idris mengurangkan jumlah jaminan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan pertuduhan yang dikemukakan, tertuduh didakwa membuat satu penyataan palsu berkenaan butir yang material dalam Borang 49 bertarikh 14 Mac 2008 bagi sebuah syarikat mengenai peletakan dua pengarah syarikat itu.

Sedangkan ketika itu kedua-dua wanita terbabit tidak pernah berbuat demikian dan masih memegang jawatan tersebut secara sah.

Berikutan tindakannya itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 364 (2) Akta Syarikat 1965.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara 10 tahun atau denda RM250,000.

Tertuduh yang mengakui memahami pertuduhan dibacakan itu memberitahu mahkamah dia akan melantik peguam bagi mewakilinya dalam perbicaraan kes itu kelak.

Fathiyah menasihatkan tertuduh supaya berbuat demikian sebelum tarikh sebutan untuk serah dokumen dan lantikan peguam yang ditetapkan 4 Julai depan.
SH

Remaja maut, motosikal rempuh belakang teksi




KUANTAN - Seorang remaja yang bekerja membantu bapa tirinya mencuci kereta maut selepas motosikal yang ditungganginya bersama rakan merempuh sebuah teksi yang berhenti secara tiba-tiba di Kilometer 5 Jalan Kuantan-Gambang dekat sini pagi kelmarin.

Nahas kira-kira jam 9.30 pagi yang meragut nyawa mangsa , Abdul Rahim Mohd Ayob, 18 itu berlaku kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Kampung Kurnia dekat.

Bapa tiri mangsa, Mohd Ali Abdullah, 38 ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan berkata, mangsa bersama rakannya dikenali sebagai Nini keluar rumah kira-kira jam 9 pagi untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, mangsa yang tercicir persekolahan membantunya mencuci kereta di sebuah stesen minyak di Batu 3 .

“Dia selalu ke tempat kerja lebih awal dengan menaiki motosikal Honda EX-5 bersama rakannya itu

“Pagi tadi dia turun awal dan saya keluar tidak lama selepas itu,” katanya.

Mohd Ali berkata, ketika sampai di lokasi nahas, dia ternampak satu kemalangan lalu berhenti untuk melihat kejadian sebelum ternampak anaknya terbaring berlumuran darah bersama rakannya,” katanya.

Menurutnya, ketika itu mangsa masih bernyawa dan dia memangku kepala anak tirinya sehingga ambulans tiba.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital mangsa menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.

Dia berkata, ibu mangsa, Maryam Abdul Rashid, 35, yang berada di Kulai Johor bergegas pulang selepas dihubungi berhubung kejadian menimpa anak ke empat daripada enam beradik itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komi-sioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa berketurunan Myanmar itu menunggang motosikal bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari arah Kuantan- Gambang.

“Ketika tiba di lokasi nahas, motosikal yang ditunggangi mangsa merempuh belakang sebuah teksi yang berhenti secara tiba-tiba di kaki lima jalan untuk mengambil penumpang,” katanya.

Mohd Jasmani berkata, akibat kejadian, dua rakan itu mengalami cedera parah manakala mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
SH

Lemas ketika cari ulam




BENTONG – Seorang lelaki warganegara Nepal dipercayai lemas ketika menyeberangi Sungai Benus dekat sini dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa, Hoeurn Phorn, 25, menyeberang sungai itu untuk mencari ulam dan sayuran.

Menurutnya, mangsa yang memakai baju lengan panjang berwarna hitam dan berseluar jean biru dipercayai dibawa arus deras sungai sebelum hilang tanpa dapat dikesan.

“Rakan mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu dan gerakan mencari dimulakan sejurus selepas menerima laporan.

“Petang kelmarin, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan membabitkan seramai 57 orang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan bomba sukarela,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, bot digunakan untuk menelusuri Sungai Benus sejauh lima kilometer dan pencarian juga membabitkan kawasan tebing sungai.

Menurutnya, hari ini (semalam) gerakan mencari diteruskan dan sehingga jam 4 petang, mangsa masih belum ditemui pasukan penyelamat.

“Susulan kejadian ini, penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan supaya menitikberatkan soal keselamatan terutama ketika menjalankan sebarang aktiviti. Tambahan pula, cuaca tidak menentu pada masa kini menyebabkan paras air sungai meningkat,” katanya.
SH

Dicekup bogel dalam hotel




SURA GATE – Tindakan seorang jurujual kereta yang membawa pelanggannya ke sebuah bilik hotel atas alasan kononnya untuk membincang urusan jual beli kenderaan, membawa padah apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada berdua-duaan di tempat penginapan tersebut.

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam di Hotel Sri Gate juga berjaya membongkar taktik jurujual lelaki terbabit yang difahamkan sering memperdaya wanita untuk urusan tersebut sebelum mendapat habuan seks.

Ketika serbuan dilakukan, jurujual lelaki berasal dari Kuala Terengganu itu hanya memakai tuala mandi, manakala teman wanitanya bersembunyi di dalam bilik air dalam keadaan bogel.

Sehelai baju kurung dan coli wanita milik pasangan perempuan yang berasal dari Besut serta baju kemeja lelaki berusia 28 itu turut dirampas sebagai bahan bukti untuk disabitkan di mahkamah ketika proses pendakwaan nanti.

Pasangan itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun atas tuduhan khalwat mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
SH

Malang si mat rempit




KUALA TERENGGANU - Padah merempit dan melarikan diri daripada polis sehingga merempuh kereta orang awam, seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Helmi Mohd Yahzi, 17, berasal dari Kampung Tokeng, Tepoh juga menerima balasan yang setimpal, iaitu denda sebanyak RM3,000 dan bon jaminan sebanyak RM5,000 selama dua tahun tanpa cagaran.

Tertuduh yang hadir bersama ibu bapanya dibicarakan di mahkamah juvana secara tertutup di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin, manakala pertuduhan dijalankan pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Zainuddin Ab Ghani.

Mengikut fakta kes, pada 7 Mei tahun lalu, kira-kira jam 1.30 pagi, tertuduh didapati menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di Jalan Kemajuan, berhadapan pasar raya besar Mydin dan tidak berhenti di lampu isyarat.
SH

Pelajar maut, tujuh cedera




MACHANG - Seorang remaja maut, manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan di Kampung Batu 23, Labok di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu membabitkan dua lori, dua motosikal dan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, penunggang motosikal iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Machang, Mohd Aizat Adnan, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua mangsa, pemandu kereta dan kelindan lori cedera parah selebihnya cedera ringan.

“Sebelum kejadian, kereta kancil dari Kota Bharu ke Kuala Krai dipercayai cuba membelok ke kanan sebelum dilanggar lori.

“Akibat perlanggaran berkenaan, kereta Perodua Kancil itu memasuki laluan bertentangan yang kemudiannya dirempuh sebuah lori lain dan dua motosikal dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu,” katanya.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Machang atau pegawai penyiasat, Ketua Inspektor, Zolkifli Said menerusi 09-9758141.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Lelaki OKU rentung dalam kebakaran



KUANTAN - Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) rentung apabila rumahnya hangus dalam kebakaran di Batu 4 Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Nazili Mahmood berkata, ketika kejadian pada jam 10.30 pagi itu, Nazri Ismail, 40, yang lumpuh hampir seluruh badan tinggal bersendirian di rumah.

"Mangsa yang hampir rentung keseluruhan badan dijumpai dalam keadaan cuba menyelamatkan diri akibat rumah kayu yang didiaminya dijilat api dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. Sementara itu, adik mangsa, Azha Ismail, 37, berkata kali terakhir dia bertemu dengan abangnya itu ketika menghantar makanan kepadanya di rumah pusaka milik ibunya malam tadi.

"Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya terus bergegas ke rumah itu untuk menyelamatkan abang saya, tetapi dihalang oleh penduduk berikutan api yang telah marak," katanya. - Bernama
SH

Polis siasat kes simbah cat dan gantung khinzir di hadapan gerai cendol



NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang sedang menyiasat kejadian sebuah gerai cendol berdekatan Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang disimbah cat merah dengan kepala khinzir digantung di hadapan gerai
berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, kejadian itu dipercayai berlaku awal hari ini dan disedari oleh sekumplan jemaah yang baru pulang selepas solat Subuh di masjid pada jam 7 pagi.

Polis percaya ia dilakukan sebelum waktu subuh," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati peniaga gerai berkenaan pernah menerima satu panggilan amaran dari seseorang pada Mac lepas.

Pemanggil itu tidak menyatakan sebarang ugutan sebaliknya mahu peniaga cendol berkenaan supaya berhati-hati dan polis tidak menolak kemungkinan kes tersebut ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap, katanya.

Ayub meminta semua pihak supaya tidak mengaitkan kes itu dengan isu perkauman dan agama.

"Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak mengaitkan kes ini dengan isu sensitif kerana ianya membabitkan seorang individu sahaja," katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak atau kumpulan yang terbabit dengan perbuatan seumpama itu dan meminta mana-mana peniaga yang menjadi mangsa agar segera membuat laporan polis.

Katanya, kes itu disisasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menakutkan secara Jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan. - Bernama
SH

Kucing masuk lokap




SKUDAI – Misteri penemuan seekor kucing hitam didakwa jelmaan individu yang mengamalkan ilmu hitam menggemparkan penduduk Jalan Laksamana, Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Kisah berkenaan terus menjadi tajuk perbualan hangat di kalangan orang ramai kerana haiwan terbabit dikatakan sering ditemui apabila serbuan dilakukan sebaik sahaja suara jeritan penduduk kedengaran setiap kali azan berkumandang.

Berkat doa dan solat hajat secara berjemaah selepas selesai isyak malam kelmarin, sekumpulan anak muda berjaya menangkap kucing hitam itu di tandas rumah seorang penduduk.

Kucing jadian itu dimasukkan dalam sangkar dan dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah untuk pengawasan selama 24 jam.

Ia bertujuan untuk memastikan sama ada haiwan terbabit boleh menjelma sebagai manusia, namun tiada sebarang perubahan dilihat selepas sehari kucing hitam itu berada di perkarangan balai polis itu.

Imam Masjid Laksamana, Ahmad Tahir Mohamed, berkata, kucing itu dilepaskan di Sungai Skudai, petang semalam dengan harapan ilmu hitam itu hanyut dibawa arus.

“Kejadian yang berlaku sejak dua bulan lalu menggusarkan penduduk kerana beberapa rumah di sini di pecah masuk yang melibatkan kerugian ribuan ringgit.

“Penyamun berkenaan dipercayai mengamalkan ilmu hitam dan terpaksa memenuhi kehendak untuk melengkapkan ilmunya yang didakwa akan berakhir pada malam Jumaat ini.

“Modus operandi penyamun ini ialah masuk rumah melalui atap belakang. Dakwaan orang ramai berasas, apabila dikejar penyamun ini. Ia akan berakhir dengan penemuan kucing itu,” katanya.

Menceritakan kejadian ketika menangkap jelmaan terbabit, Ahmad Tahir berkata, haiwan berkenaan bertindak agresif dengan menggigit salah seorang anak muda yang cuba menangkapnya.

“Keadaan fizikalnya amat pelik dengan mata yang berwarna kemerah-merahan, telinga yang sedikit panjang umpama kucing hutan dan tidak ada bunyi dengusan ketika ditangkap.

“Saya tidak pernah melihat kucing seperti treler (panjang). Tidak sama seperti kucing biasa. Saya percaya ini ada kaitan dengan ilmu hitam,” katanya.

Kegusaran penduduk di situ tercetus sejak dua bulan lalu, apabila lebih tujuh kejadian pecah rumah di kawasan itu dilaporkan.

Atas rasa keprihatinan tersebut, 40 penduduk taman itu lakukan pemantauan secara sukarela di waktu malam

“Kami bersembunyi di atas pokok selama beberapa jam untuk menjejaki penyamun ini. Salah seorang penduduk turut tercedera kerana cubaan menangkap jelmaan itu.

“Kami terpaksa berjaga setiap malam sejak dua bulan lalu, dan turut dapat kerjasama polis. Kami bersyukur dan berharap kejadian ini tidak berulang lagi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Ruslan Hassan enggan mengulas.

“Tiada sebarang laporan yang dibuat oleh orang ramai,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Dalam pada itu, kejadian mistik ini turut dipanjangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata, kesahihan kejadian jelmaan seperti itu tidak dapat dikenal pasti sama ada benar-benar berlaku atau tidak.

Menurutnya, kejadian seumpama itu juga ada kalanya bergantung kepada kepercayaan masing-masing.

“Saya tidak pasti sama ada ia benar atau tidak dan adanya kewujudannya seperti itu, jelmaan itu benar-benar berlaku atau tidak, boleh jadi betul atau boleh jadi tak betul, saya tidak pasti, ia terpulang kepada kepercayaan individu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
SH

NATO bedil Tripoli bertalu-talu, tiga dilapor maut




TENTERA pemberontak Libya menembak menggunakan mesingan berat ke arah tentera Gaddafi di Misrata, kira-kira 25 km dari Tripoli, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 24 Mei - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 150 lagi cedera apabila pesawat-pesawat perang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membedil ibu negara Libya, awal hari ini.
Serangan itu adalah yang paling hebat sejak NATO mula melancarkan serangan ke atas rejim Muammar Gaddafi pada 19 Mac lalu.
Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim berkata, NATO melancarkan 'antara 12 hingga 18 serangan ke atas berek pasukan pengawal rakyat', unit sukarelawan yang membantu tentera.
"Berek itu kosong dan kebanyakan mangsa ialah penduduk awam yang tinggal berhampiran," katanya kepada wartawan di dalam sebuah bas yang membawa mangsa ke hospital sejurus selepas serangan.
Seorang wartawan AFP berkata, serangan yang berlarutan selama lebih setengah jam itu bermula pada kira-kira pukul 1 pagi (7 pagi ini waktu Malaysia) apabila letupan kuat kedengaran di kawasan sekitar kediaman Gaddafi di Bab al-Aziziya.
Sejurus sebelum itu kedengaran bunyi dan pembentukan bola merah di langit, kata seorang saksi.
Lebih 15 letupan kuat kedengaran di kawasan sekitar kediaman pemimpin Libya itu, sementara deruan jet pejuang bergema di udara.
Di hospital di Jalan Zawiyah tidak jauh dari berek yang dibedil, mayat tiga pemuda kelihatan diletakkan di atas pengusung.
Ketiga-tiga mangsa yang terbunuh itu mengalami kecederaan teruk di kepala, kemungkinan akibat terkena serpihan peluru meriam.
Kata saksi, dua beradik dan seorang sepupu mereka itu tinggal di Jalan Essug dekat berek di daerah Bab al-Aziziya. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

252 penerbangan dibatal akibat gunung berapi Iceland


LONDON 24 Mei - Sebanyak 252 penerbangan dibatalkan hari ini selepas tiupan angin membawa kepulan debu yang dihamburkan dari gunung berapi di Iceland ke arah Britain.

Tidak sampai setahun letusan gunung berapi di Iceland yang memaksa penutupan besar-besaran ruang udara Eropah, syarikat penerbangan Britain, British Airways merupakan pihak yang pertama menunda penerbangan dari London ke Scotland, hari ini.
Syarikat penerbangan Belanda, KLM; syarikat Ireland, Aer Lingus dan penerbangan tambang murah, Easyjet turut mengambil langkah sama, manakala beberapa penerbangan ke Newcastle turut dibatalkan.
Jabatan Kaji Cuaca memberi amaran kepulan debu itu dijangka tiba di tanah besar Eropah lewat minggu ini, mengancam beberapa acara besar yang dirancangkan termasuk sidang kemuncak Kumpulan Lapan (G8) sehingga perlawanan akhir bola sepak Liga Juara-Juara antara Barcelona dan Manchester United.
Syarikat penerbangan bajet rendah, Ryanair bagaimanapun menyatakan akan terus beroperasi penerbangan ke Scotland sehingga tengah hari walaupun Pihak Berkuasa Penerbangan Ireland (IAA) memberi nasihat agar ia tidak berbuat demikian.
British Airways dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil keputusan sebagai langkah berjaga-jaga untuk tidak meneruskan sebarang operasi penerbangan antara London dan Scotland hari ini ekoran ramalan debu gunung berapi di ruang angkasa Scotland.
''Ketika ini, penerbangan lain tidak terlibat dalam tindakan ini,'' kata kenyataan itu.
Antara mangsa berprofil tinggi kejadian itu adalah Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang terpaksa meninggalkan Ireland semalam, sehari sebelum dijadualkan bagi mengelak terkandas di negara itu.
Obama merupakan antara pemimpin dunia yang dijangka tiba di satu persidangan di Perancis Khamis ini yang dijangka berlakunya gangguan jika kepulan debu itu terus bergerak ke arah selatan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Peniaga pasar malam bebas tuduhan ugut



KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang peniaga pasar malam dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada tuduhan memeras ugut dengan meminta RM5,000 daripada seorang peniaga lain, dua tahun lalu.
Majistret Parvin Hameedah Natchiar membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Daood Gulam Mohideen, 57.
Tertuduh itu didakwa memeras ugut Yup Foo Kwee, 39, dengan meminta bayaran tersebut bagi membolehkan mangsa mengambil semula petak berniaga di tapak No. 21 dan sebahagian daripada petak No. 20.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pasar malam Taman Sri Bintang, Kepong dekat sini pada pukul 7.30 malam, 20 Jun 2009.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Dua anggota polis bebas tuduhan rasuah



KUALA LUMPUR 24 Mei - Dua anggota polis dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh suapan RM400 daripada seorang pemandu lori, empat tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lans Koperal Safiee Yahya, 47, dan Konstabel Mohamad Hafizzulizam Suhai, 28.
Kedua-dua tertuduh didakwa memperoleh suapan itu daripada V. Ganesan sebagai dorongan untuk melepaskan seorang warga Indonesia bernama Marlan yang tidak mempunyai pasport serta permit kerja ketika berada di negara ini.
Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan Stesen Minyak Esso, Batu 3 1/2, Jalan Klang Lama di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 2 Disember 2007.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Penjual buah menangis terlepas hukum gantung


PUTRAJAYA 24 Mei - Setelah meringkuk di penjara selama tujuh tahun, seorang wanita penjual buah-buahan warganegara Thailand menangis kegembiraan apabila dibebaskan daripada sabitan dan hukuman mati atas kesalahan mengedar 1.01 kilogram kanabis.

Roseedah Che Ubong, 41, bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuannya dan mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan pada 19 Ogos 2009.
Dia dipenjara sejak ditahan pada hari kejadian, 3 Februari 2004.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datin Paduka Zaleha Zahari yang bersidang bersama Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi.
Dia dibebaskan daripada sabitan mengedar dadah tersebut pada pukul 7.45 malam di hadapan Stesen Minyak Mobil, Kampung Padang Pak Amar, Pasir Puteh, Kelantan.
Ketika ditahan, dia berada di dalam kereta sapu milik rakannya, Isa Shafei yang dikenali sejak 11 tahun lalu, selepas menerima pelawaan lelaki itu untuk ‘makan gulai’ (makan kenduri) di rumah seseorang dikenali sebagai ‘Abang Mat’.
Hakim Zaleha ketika membacakan keputusannya menyatakan, mahkamah berpuas hati bahawa hakim bicara tersalah arah daripada segi undang-undang ketika meletakkan beban pembuktian yang tinggi sewaktu menilai kes pembelaan.
Panel itu menerima penghujahan peguam Karpal Singh yang mewakili Roseedah bahawa hakim bicara gagal menimbang keterangan bela diri perayu yang menyatakan dia disuruh oleh Isa agar membuang sebuah bungkusan ke luar kereta ketika diserbu polis.
Dalam keterangan bela dirinya, wanita itu menyatakan, ketika memasuki kereta Isa, dia melihat satu beg plastik di tempat duduk hadapan sebelah pemandu.
Menurutnya, Isa ketika ditanya menjawab bahawa bungkusan itu untuk diserahkan kepada seseorang dan meminta agar ia diletakkan di kakinya (perayu) lalu meneruskan perjalanan ke rumah ‘Abang Mat’.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Tuan Azuan mengaku tidak bersalah



KUANTAN 24 Mei - Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat satu pernyataan palsu mengenai peletakan jawatan dua pengarah syarikat, kira-kira tiga tahun lalu.
Tuan Azuan Mat Zin, 32, didakwa membuat pernyataan palsu itu pada 14 Mac 2008 yang menyatakan dua pengarah syarikat EAE-One Resources (M) Sdn. Bhd., Fairuz Hussan Sahib, 35, dan Eshah Marin, 54, telah meletak jawatan sebagai pengarah sedangkan mereka tidak berbuat demikian.
Borang 49 yang harus diserah simpan di bawah Seksyen 141(6) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) berhubung perletakan jawatan Fairuz dan Eshah kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kuantan Centre Point, Jalan Haji Abdul Rahman di sini pada 24 Mac 2008.
Bagi pertuduhan tersebut, Tuan Azuan yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat (Akta 125) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan ke atas Tuan Azuan yang tidak diwakili peguam itu dikendalikan oleh pegawai pendakwa daripada SSM, Kamaruddin Mohd. Daud.
Hakim Fathiyah Idris membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai ini bagi sebutan semula kes.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Seleweng petrol bernilai RM87,006, anggota APMM mengaku tidak bersalah



ALOR SETAR 24 Mei - Selepas seminggu mengaku bersalah atas 42 pertuduhan pecah amanah dua tahun lalu, seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengubah pengakuan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini.
Laskar Kanan Maritim Azman Md. Noh, 48, yang sepatutnya dijatuhi hukuman hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan memberitahu akan melantik peguam bela mewakilinya.
Pada 18 Mei lalu, Azman dihadapkan pertama kali ke mahkamah atas 42 pertuduhan pecah amanah melibatkan penyelewengan minyak petrol membabitkan sejumlah RM87,006 di Kuala Kedah di sini, dua tahun lalu.
Tertuduh yang berkhidmat sebagai pegawai pengangkutan kenderaan rasmi Maritim Malaysia, Pangkalan Kuala Kedah dibekalkan dengan kad minyak Petronas smartpay didakwa melakukan pecah amanah iaitu menggunakan kad minyak itu bagi membeli minyak petrol untuk kepentingan diri.
Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Stesen Minyak Petronas Imbang Moden Sdn. Bhd., di Jalan Batas Paip, Kuala Kedah di sini antara 3 Januari 2009 dan 23 September 2009.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.
Hakim Mohd. Rosli Osman menetapkan 14 Jun ini sebutan semula kes tersebut.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim dan A. Hafiz Abu Bakar.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pembantu jualan didakwa rogol pelajar dalam kereta mewah




Khairul Ivan Iqmal dibawa keluar setelah pertuduhan merogol di Mahkamah Sesyen Ampang, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang pembantu jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dalam sebuah kereta mewah, dua minggu lalu.
Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 22, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa terbabit dalam sebuah kereta jenis Toyota Alphard berwarna putih di tepi Jalan Kosas 3/9, Ampang Jaya di sini pada pukul 11 pagi, 11 Mei lalu.
Pemuda tersebut didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan mengelakkan gangguan terhadap mangsa.
Peguam Roslan Hassan yang mewakili Khairul Ivan Iqmal bagaimanapun memohon anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh telah bekerjasama dengan pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.
Hakim Manira Mohd. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis yang berhampiran kediamannya pada Sabtu pertama setiap bulan.
Beliau menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan kes tersebut.
Memetik laporan akhbar 12 Mei lalu, tertuduh didakwa mengekori remaja terbabit yang dikatakan sedang berjalan kaki.
Lelaki tersebut yang bersendirian didakwa telah memberhentikan kenderaan di hadapan remaja itu sebelum bertindak menariknya masuk ke dalam kereta tersebut serta merogolnya.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Nenek uzur gagal selamatkan cucu maut dalam kebakaran




Kebakaran yang memusnahkan rumah ini meragut nyawa kanak-kanak di Kampung Aman, Pokok Assam, Taiping, semalam.


TAIPING 24 Mei - Seorang nenek berusia 83 tahun yang uzur tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya melihat cucunya terperangkap dalam kebakaran memusnahkan rumahnya di Kampung Aman, Pokok Assam, dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 9.30 pagi, ketika mangsa, Mohizuddin Mohd. Yunus, 5, datang ke rumahnya manakala ibu dan bapa kanak-kanak itu keluar bekerja.
Menurut Som Muluk, cucunya itu dipercayai bermain mancis di dalam rumahnya sehingga menyebabkan berlaku kebakaran.
Katanya, dia tidak mampu menyelamatkan Mohizuddin kerana uzur malah dia sendiri diselamatkan jiran-jiran yang menyedari kebakaran itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah ketika dihubungi hari ini berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat yang memadamkan kebakaran menemui mayat mangsa dalam rumah itu.
Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkenaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Mayat pemancing ditemui selepas 40 jam hilang




Jenazah Ibrahim Sulaiman (gambar kecil) ketika dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI 24 Mei - Kehilangan seorang lelaki dalam tempoh 40 jam selepas keluar memancing bersama seorang rakan terjawab apabila mayatnya ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat di sini awal pagi ini.
Mayat Ibrahim Sulaiman, 43, ditemui pukul 1.30 pagi oleh pasukan tersebut yang menjalankan operasi bersama penduduk tempatan di Sungai Sedili Besar di sini, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat pagi kelmarin setelah mangsa tidak pulang selepas keluar memancing bersama seorang rakan dikenali sebagai Sudirman dengan menyewa sebuah bot gentian kaca.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa mengemudikan bot itu dalam keadaan cuaca buruk untuk mudik ke hulu sungai selepas botnya tersangkut pada kayu.
"Ketika dia dan rakannya hendak mengangkat enjin di tengah-tengah sungai, bot itu terbalik dan menggelongsor tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini.
Muhammad berkata, dua warga Indonesia yang secara kebetulan memancing tidak jauh dari situ terjun ke dalam sungai dan sempat menyelamatkan Sudirman namun mangsa dihanyutkan arus deras.
Berikutan kejadian itu, pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat melancarkan operasi mencari sebelum menemui mayat mangsa kira-kira pukul 1.30 pagi.
Isteri mangsa, Rosnah Davi berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah ketika mangsa keluar memancing seawal pukul 6.30 pagi pada hari kejadian.
"Saya pelik kerana dia sempat cakap 'pergi dulu' sebelum keluar rumah dan tidak sangka pula perkataan itu membawa maksud dia akan pergi buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kota Tinggi di sini.
Ibrahim meninggalkan empat orang anak berusia antara 8 hingga 14 tahun.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pemuda maut, kereta dirempuh lori




Orang ramai melihat keadaan lori dan sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Persekutuan, Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 24 Mei - Seorang pemuda maut setelah kereta dipandunya tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah lori yang kerosakan brek sebelum diseret sejauh kira-kira 150 meter di Jalan Kewajipan, di Lebuh Raya Persekutuan, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika kereta mangsa, Sabaruddin Junus, 34, jenis Proton Saga sedang bergerak perlahan menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).
Lori yang dipandu laju, kemudian merempuh belakang kereta mangsa sebelum diseret hingga ke tepi jalan.
Berikutan rempuhan kuat itu, Sabaruddin yang berasal dari Sabah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, kemalangan itu turut melibatkan tiga kenderaan lain di hadapan kereta mangsa.
Katanya, pemandu kesemua kenderaan itu dan lori terbabit berusia 20-an hanya mengalami kecederaan ringan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Hanya satu kes simbah asid


PETALING JAYA 24 Mei - Polis Selangor menerima banyak laporan berhubung kejadian simbah asid bagaimanapun hanya satu insiden yang dilaporkan benar-benar berlaku di negeri itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kejadian dilaporkan itu hanya melibatkan mangsa yang disimbah menggunakan cecair pencuci.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Ampang pada Mac lalu.
"Cecair itu tidak memberi kesan kecederaan kepada mangsa. Buat masa ini tiada kejadian terbaru dilaporkan," katanya ketika ditemui pada majlis dialog bersama penduduk Bandar Puteri, Puchong, di sini hari ini.
Sementara itu, pada majlis tersebut beliau menekankan kepentingan komuniti kepolisan di dalam menangani aktiviti jenayah dan semangat kejiranan dalam mewujudkan masyarakat yang selamat.
"Kejayaan polis di dalam membanteras kegiatan jenayah banyak dibantu oleh masyarakat yang cepat bertindak melaporkan sebarang kejadian jenayah.
"Mereka turut menunjukkan sikap sebuah komuniti yang matang dimana mereka saling mengenali antara satu sama lain," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Mayat tanpa kepala dekat rumah McCartney

myMetro | Mayat tanpa kepala dekat rumah McCartney: "


NEW YORK: Keluarga bekas anggota kumpulan Beatles, Paul McCartney yang tinggal di pantai Big Albert di bandar raya ini menghadapi trauma.

Keluarga penyanyi itu dikhabarkan menemui sesusuk tubuh tanpa kepala berhampiran kediaman mereka, baru-baru ini .


Seorang pejalan kaki dikatakan menjumpai mayat yang membusuk itu di pantai Big Albert di kawasan peranginan mewah di Hamptons yang dimiliki McCartney.

Polis berkata, mereka belum dapat memastikan jantina mayat itu kerana keadaannya yang sudah reput. Beberapa bahagian tubuhnya juga hilang.


“Tiada orang hilang dilaporkan di kawasan ini. Melihat mayat yang sudah reput itu menunjukkan ia mungkin dari tempat lain,” kata Ketua Polis Hampton, Ed Ecker. Pasukan penyelam juga diarahkan mencari kepala mayat berkenaan yang dipercayai masih berada di kawasan itu Kediaman McCartney berada 100 meter dari kawasan di mana beberapa anggota badan manusia turut ditemui pada Disember tahun lalu. - Agensi"

Maut diseret lori pasir

SUBANG JAYA: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya dirempuh dan diseret lori membawa muatan pasir lebih 150 meter di Persiaran Tujuan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Sabarudin Junus (gambar), 30-an, memandu kereta Proton Saga berseorangan menghala ke Persiaran Tujuan sebelum dilanggar dari belakang oleh lori pasir yang cuba memasuki lorong paling kiri jalan berkenaan secara tiba-tiba.

“Pemandu lori terbabit memberi alasan brek gagal berfungsi semasa menuruni bukit sebelum merempuh kereta mangsa.
“Selain itu, sebuah teksi yang cuba mengelak kemalangan berkenaan turut dilanggar lori berkenaan,” katanya.

Menurut sumber, dua lagi kenderaan yang datang dari arah Bulatan Kewajipan turut terbabit dalam kemalangan itu selepas lori berkenaan terbabas ke kiri sebelum melanggar penghadang jalan.

Bagaimanapun, semua pemandu dan penumpang kenderaan lain terselamat dalam kemalangan itu dan hanya luka kecil.
Mangsa berasal dari Sabah itu cedera parah di seluruh badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berkata, pemandu lori berusia 41 tahun itu ditahan siasatan lanjut.
myMetro | Maut diseret lori pasir

3 beranak nyaris dihempap pokok

BOTA: Tiga beranak yang sedang leka menonton televisyen nyaris maut apabila sebatang pokok kekabu sebesar tiga pemeluk tiba-tiba tumbang sebelum meranapkan rumah mereka, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, semua mangsa yang tinggal di Titi Gantung, Bota, di sini, bagaimanapun terselamat walaupun sebahagian besar struktur rumah didiami roboh menyembah bumi.

Mangsa, Abu Hasan Wahab, 55, berkata ketika kejadian, dia dan keluarga sedang berehat di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen.
Beliau berkata, hujan lebat dan angin kencang yang berlaku ketika itu menyebabkan pokok kekabu tua yang berada di tepi rumahnya tumbang menghempap sebahagian besar rumah didiami sejak lebih 40 tahun lalu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan gegaran kuat mengakibatkan rumahnya seolah-olah ingin menyembah bumi.

“Saya yakin kejadian itu berpunca daripada serangan anai-anai yang memakan perdu pokok kekabu berkenaan hingga ia rapuh dan tumbang,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Norliah Mohd Saleh, 57, berkata dia amat bernasib baik kerana pokok kekabu itu tumbang sebaik saja dia melangkah keluar dari bahagian dapur untuk mengambil telefon bimbit milik suami.

“Saya tergamam apabila bunyi dentuman kuat itu tiba-tiba berlaku di belakang saya. Sebaik berpaling, saya dapati bumbung dan sebahagian rumah saya roboh ditimpa pokok kekabu.
“Namun begitu kami tetap bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa pada ahli keluarga,” katanya. yang menghidap penyakit jantung.

Sementara itu, Abdul Wahab berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi membaiki semula rumahnya yang rosak teruk akibat kejadian itu.

“Saya sendiri tidak mampu untuk membaikinya kerana pendapatan hanya sebagai pekebun kecil. Malah, saya tidak mampu melakukan kerja berat kerana kaki lemah akibat sakit saraf,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria dimaklumkan mengenai kejadian itu berjanji untuk menghulurkan bantuan.
myMetro | 3 beranak nyaris dihempap pokok

Tunang lari ikut lelaki lain

ALOR GAJAH: Entah di mana silapnya, seorang bakal pengantin yang akan ke jenjang pelamin bulan depan ghaib dari rumahnya di Taman Sebang Gemilang, dekat sini.
Wanita berkenaan, Sarjani Sani, 31, dipercayai menghilangkan diri bersama seorang lelaki pada penghujung bulan lalu walaupun segala persiapan hari bahagia bersama tunangnya sudah dibuat.

Tunangnya, Azhar Mohd Isa, 38, berkata, Sarjani menghilangkan diri dari rumah kira-kira jam 11 pagi 29 April lalu dipercayai mengikut lelaki dikenalinya.

“Sehari sebelum kejadian, Sarjani ada meminta kebenaran untuk menemani seorang rakan perempuannya di Kuala Lumpur kerana ada urusan namun saya menasihatinya supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Pada pagi kejadian, saya nampak dia mundar-mandir tidak tentu arah sebelum keluar dari rumah kira-kira jam 11 pagi dipercayai bersama seorang lel
myMetro | Tunang lari ikut lelaki lain

Permohonan bedah siasat anak didengar hari ini

SHAH ALAM: Permohonan seorang ibu supaya bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat anak lelakinya yang ditembak polis di Cyber Valley, Dengkil, dekat sini pada 13 Mei lalu, didengar di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Peguam N Surendran yang mewakili Salmah Mohamed Shariff, 41, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Khairul Nizam Abu Bakar, semalam.

Katanya, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki. Salmah selaku pemohon memfailkan notis usul pada 19 Mei lalu dengan menamakan tiga responden iaitu, Ketua Balai Polis Dengkil, Ketua Polis Daerah Sepang dan Ketua Polis Negara.

Mengikut notis usul itu, Salmah memohon bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat Mohamad Johari Abu Bakar, 17, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan serta-merta untuk mengetahui punca kematiannya.

Dia juga memohon semua laporan serta dokumen berkaitan bedah siasat oleh PPUM dan Hospital Serdang diberi serta diserahkan kepada peguam caranya pada masa yang munasabah.


Mohamad Johari yang dipercayai terbabit dengan geng samun kenderaan mewah, mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis berhampiran sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil.

Ketika kejadian, lelaki itu dilaporkan baru saja keluar dari hotel sebelum memasuki sebuah MPV yang diletakkan di belakang hotel.myMetro | Permohonan bedah siasat anak didengar hari ini

Drebar lori dijel lapan tahun

MELAKA: Seorang pemandu lori dipenjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 326.80 gram, Januari lalu.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abu Kasim Matrus, 47, selepas meneliti rayuan dan hujah pihak pembelaan dan pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Abu Kasim didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 326.80 gram berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah kira-kira jam 7 malam pada 21 Januari 2011.

Dia sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, selepas Jabatan Peguam Negara membenarkan pindaan terhadap pertuduhan melalui peguam belanya, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 39(a)(2) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan.


Shiekh Ikhzan turut memohon mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap tertuduh dengan alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai tiga orang anak termasuk berusia empat bulan.

“Sejak tertuduh ditangkap, isterinya terpaksa bekerja di pusat asuhan kanak-kanak untuk menyara keluarga dan saya mohon mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz yang mengendalikan kes berkenaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap Abu Kasim sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat.

“Kini dilihat banyak kes jenayah dadah di Malaysia dan jika hukuman berat diberikan ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga orang awam.myMetro | Drebar lori dijel lapan tahun

Murid dakwa dinoda abang angkat

AMPANG: Seorang murid perempuan berusia 12 tahun mendakwa dirogol abang angkatnya berusia 17 tahun dua kali selepas berkenalan melalui sebuah laman sosial beberapa bulan lalu, di rumah lelaki itu, 18 Mei lalu.
Menurut kakak mangsa yang enggan dikenali, dia mendapati adiknya tidak pulang ke rumah seperti biasa pada hari kejadian.

“Adik saya selalu tiba ke rumah paling lewat pun jam 4 petang, namun hari itu saya menunggunya hingga malam namun tetap tidak pulang.

“Selepas gagal menghubunginya, saya bersama bapa pergi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang mengenai kehilangannya.

“Bagaimanapun, keesokan harinya kami menghubunginya dan menjemputnya di rumah saudara kami di Keramat.


“Akibat tidak berpuas hati dengan penjelasannya, kami membawa dia ke IPD Ampang sekali lagi dan ketika membuat laporan itulah dia menceritakan apa yang berlaku ke atasnya,” katanya.
myMetro | Murid dakwa dinoda abang angkat

Tumbuk ibu suruh solat

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menasihatkan anak lelakinya supaya mengerjakan solat dan membaca al-Quran, sepasang suami isteri berusia awal 50-an cedera ditumbuk dan ditendang pemuda itu di rumahnya di Batu 4, Gombak, di sini, kelmarin.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu cedera di muka, kepala dan badan selepas dipukul lebih 15 minit oleh anak kesayangan mereka itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, anak lelaki berusia 20 tahun itu dikatakan hilang pertimbangan selepas bapanya menasihatkannya supaya tidak meninggalkan solat dan selalu membaca al-Quran dengan memberi contoh anak jiran mereka.

Menurut sumber, suspek yang bagaikan dirasuk hantu, tiba-tiba menyerang bapanya namun dihalang ibunya.


“Tersentak dengan itu, suspek dikatakan memarahi ibunya menyebabkan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu lebih 10 minit.
myMetro | Tumbuk ibu suruh solat

Eksekutif pemasaran nyaris jadi mangsa simbahan asid

KUALA LUMPUR: Keengganan seorang eksekutif pemasaran wanita membuka tingkap kereta apabila diketuk seorang lelaki bermotosikal di lampu isyarat di Pasar Seni, di sini, menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa terbaru kes simbah asid, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun dikatakan dalam perjalanan ke pejabatnya sebelum tingkap keretanya diketuk suspek ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan. Lelaki terbabit yang berang dengan tindakan mangsa enggan membuka tingkap kemudian bertindak mengambil botol yang disimpan dalam raga motosikalnya sebelum menyimbah ke arah kereta mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek dipercayai berang dengan keengganan mangsa untuk membuka tingkap sebelum menyimbah cecair berwarna merah jambu itu ke kereta mangsa.

“Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera memberhentikan keretanya sebaik tiba di stesen minyak berhampiran untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang dilaporkan berada dalam ketakutan itu kemudian dihampiri seorang lelaki mendakwa berada di belakang kenderaan mangsa ketika kejadian itu berlaku.


“Lelaki terbabit mendakwa sempat mengambil gambar suspek dan berjanji menghantar e-mel kepada wanita berkenaan. Namun, sehingga kini mangsa masih belum menerimanya,” katanya.

Katanya, polis kini masih mengumpul maklumat untuk mengesan lelaki berkenaan.myMetro | Eksekutif pemasaran nyaris jadi mangsa simbahan asid