Search This Blog

Tuesday, May 24, 2011

Juvana diperintah berkelakuan baik

MARANG - Lapan juvana yang sebelum ini mengaku bersalah menceroboh sekolah dan memukul seorang pelajar sekolah Agama 7 April lalu, diperintah berkelakuan baik selama dua tahun dengan bon jaminan bercagar sebanyak RM1,500 seorang.
Semua pelajar berumur antara 15 dan 17 tahun itu juga dikenakan syarat tambahan iaitu hadir ke bengkel-bengkel anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh dua tahun bersama penjaga masing-masing.
Kesemua tertuduh terdiri daripada empat pelajar tingkatan lima, seorang pelajar tingkatan empat dan tiga pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di sini.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Mahathir Mohd Yusof secara tertutup di hadapan Majistret Nur Azizah Yusoff. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Polis bebas tuduhan rasuah



KUALA LUMPUR - Dua anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM400 daripada seorang pemandu lori, empat tahun lepas.
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lans Koperal Safiee Yahya, 48, dan Konstabel Mohamad Hafizullizam Suhai, 26, di akhir kes pendakwaan.
"Setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa perlu membela diri,” katanya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Terkejut mangsa anak tirinya


KUANTAN - Seorang remaja yang dalam perjalanan ke pusat mencuci kenderaan, maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah teksi di Kilometer 5, Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang di sini.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam itu, mangsa Abdul Rahim Mohd Ayob, 18, cedera parah di leher dan disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Lebih memilukan kejadian itu turut disaksikan bapa tiri mangsa yang juga dalam perjalanan ke pusat mencuci kenderaan berkenaan.
"Abdul Rahim dan saya bekerja di pusat mencuci kenderaan di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang, saya melihat kemalangan itu dan apabila menghampiri saya dapati ia membabitkan anak tiri saya,” kata Muhamad Ali Abdullah kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Lelaki ditetak dalam kejadian samun


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 30-an cedera di leher akibat ditetak empat lelaki dalam satu kejadian samun di Kuchai Lama di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian 9.15 pagi itu, mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke bank ketika diserang empat lelaki tempatan yang bersenjata.
"Mangsa dan rakannya, yang menaiki Perodua Myvi, sedang dalam perjalanan ke Maybank di Kuchai Lama untuk memasukkan wang kira-kira RM3,000.
"Ketika mereka sampai di lorong belakang bank, kereta mereka dipintas oleh dua kereta iaitu Proton Wira dan Gen2 kepunyaan suspek,” katanya.
Beliau berkata suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol, sebilah parang dan tukul besi, kemudian memecahkan kereta dan menetak leher mangsa sebelum melarikan wangnya.
"Ini bukan anggota Geng Mamak... kita sedang buru mereka,” kata Chin Wah sambil menambah mangsa yang dihantar rakannya ke klinik di Taman Desa, menerima tujuh jahitan. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Rokok seludup bernilai RM372,000 dirampas


ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di Kuala Linggi dekat sini merampas 4,800 karton rokok kretek yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Ketua Penguatkuasa APMM daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, lima anggota agensi tersebut pada mulanya mengesan sebuah bot pancung di perairan Tanjung Sepat, Selangor pada pukul 9 malam tadi.
"Apabila menyedari kehadiran APMM, bot itu terus memecut ke arah pantai Tanjung Sepat dan kemudiaannya dua orang yang menaiki bot itu meloloskan diri dalam kawasan hutan nipah berdekatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ibrahim berkata hasil pemeriksaan ke atas bot yang tiada nombor pendaftaran itu, pihaknya menemui 60 guni berisi 4,800 karton rokok keretek pelbagai jenama.
Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan rokok itu berserta enjin dan bot, dianggarkan sebanyak RM422,909.
Katanya kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang tanpa kelulusan Kastam.
Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan tersebut atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, kata nya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Anggota polis cedera tertembak buku lali


BUKIT MERTAJAM – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim cedera di buku lali kaki kanan selepas tertembak kakinya sendiri dalam kejadian pukul 8 pagi ini.

Lans Koperal Azwan Anas, 33, berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau bersama seorang rakan dalam perjalanan membuat rondaan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.
Katanya, apabila di hadapan Pejabat Pos Bukit Mertajam, kereta peronda yang mereka naiki tiba-tiba rosak dan beliau keluar dari kenderaan untuk memeriksa.
"Sebaik kereta boleh dihidupkan semula, saya masuk ke dalam dan ketika membetulkan kedudukan, pistol yang berada di pinggang tertembak kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini.
Kata Azwan, beliau tidak menyedari tembakan itu mengenai kakinya dan menyangka terkena lantai kereta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – Bernama
Kosmo! Online - Terkini

57 awak-awak Vietnam ditahan




Wan Rosli Wan Yahya (berdiri dua kanan) bersama anggotanya menyoal siasat 57 awak-awak warga Vietnam dalam Operasi Perikanan Bersepadu di Tanjung Api, Kuantan, Pahang, semalam.



KUANTAN 11 Mei - Jabatan Perikanan Pahang menahan enam bot pukat tunda tempatan bersama 57 awak-awak warga Vietnam dalam Operasi Perikanan Bersepadu di perairan negeri ini yang berakhir hari ini.

Penolong Pegawai Perikanan Operasi, Wan Rosli Wan Yahya berkata, dalam operasi yang bermula semalam itu, semua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 55 tahun.

Menurutnya, semua awak-awak terbabit ditahan kerana disyaki melakukan beberapa kesalahan seperti tidak mempunyai permit kerja, tidak memasang alat Unit Pengesanan Mobil (MTU) dan isu berkaitan perlesenan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Siasatan awal mendapati ada antara mereka tidak mempunyai permit kerja, alat MTU tidak aktif dan penggunaan awak-awak asing tidak mengikut syarat yang ditetapkan oleh kementerian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, operasi bersepadu selama dua hari itu melibatkan seramai lapan anggota Jabatan Perikanan negeri termasuk dari Bahagian Perlindungan Sumber Perikanan Putrajaya dan Perak.

''Operasi melibatkan kawasan perairan Endau semalam dan diteruskan pada awal pagi ini bermula dari kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini sehingga ke muara Sungai Kuantan," tambahnya.

Menurut beliau, awak-awak dan bot terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

Wan Rosli memberitahu, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan daripada nelayan tempatan yang mengalami kerugian kerana peralatan mereka rosak dilanggar bot pukat tunda sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

KPDNKK bongkar rahsia banglo




ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa pelbagai produk minuman dalam serbuan di Kampung Sungai Salak, Gombak malam kelmarin.



GOMBAK – Selama ini tiada siapa yang mengambil peduli kewujudan sebuah banglo terpencil di Batu 10, Jalan Gombak dekat sini.
Bagaimanapun, rahsia banglo yang terletak di Kampung Sungai Slak itu terbongkar semalam apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Gombak yang membuat serbuan mendapati ia dijadikan markas membungkus semula pelbagai produk minuman dan kegunaan harian yang tamat tarikh luput atau rosak.
Dalam serbuan pada pukul 10.15 malam itu, pasukan penguat kuasa yang diketuai Ketua Cawangan KPDNKK Gombak, Ramli Nayan menemui pelbagai produk minuman dan kegunaan harian yang dalam proses dibungkus semula untuk dijual.
Antara produk minuman yang ditemui dalam serbuan itu termasuk susu pekat, pelbagai minuman perisa coklat, serbuk teh dan produk tenusu.
Selain itu, terdapat juga produk kelengkapan diri seperti syampu, tuala wanita dan losen.
Semua barangan itu yang kebanyakannya tamat tarikh luput atau rosak dipercayai dikutip dari tempat-tempat pembuangan sampah sebelum dibungkus semula dan dijual dengan harga murah.
kosmo

Kerani maut langgar lori





TAPAH ROAD – Hasrat seorang ibu tunggal untuk membesarkan dua anaknya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 1 Jalan Tapah-Changkat Petai di sini, awal pagi semalam.



Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, mangsa, Noor Fadilah Mohamed Isa, 27, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.



Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di Hospital Slim River (HSR).



Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa tidak sempat mengelak sebuah lori yang membuat pusingan U di laluan yang sama.



“Dalam keadaan kawasan yang sedikit gelap menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar lori berkenaan.



“Mangsa yang bekerja sebagai kerani di HSR melanggar bahagian sisi kiri lori berkenaan sehingga menyebabkan kenderaannya terperosok di bawah lori berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.



Roslan Bek berkata, mangsa di bawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat jenazah sudah dituntut keluarga untuk dikebumikan.



Katanya, mangsa merupakan anak kepada salah seorang anggota polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.



“Sejak berpisah dengan suaminya, mangsa menjaga dua anak mereka yang berusia tujuh dan empat tahun dan tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya.



“Pihak kami masih menyiasat punca sebenar berlakunya kemalangan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Tiga Sindiket Curi Kereta Tumpas, Polis Tahan 23 Suspek



SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket curi kereta mewah yang beroperasi di sekitar Lembah Klang ekoran penahanan 23 suspek dalam beberapa serbuan bulan lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata polis turut merampas 15 kenderaan dipercayai kenderaan curi, dan 1,603 komponen alat ganti yang semuanya bernilai lebih RM30 juta dalam serbuan menerusi Operasi Lejang Khas itu.
Beliau berkata polis percaya dapat menyelesaikan 261 kes jenayah ekoran penangkapan itu, dan menurutnya semua suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.
"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga sindiket itu tidak mempunyai sebarang hubungan," katanya pada satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Merujuk kepada sindiket pertama Mohd Bakri berkata polis menahan 12 suspek yang berumur antara 30 dan 60 tahun, dan merampas enam kenderaan mewah yang dipercayai kereta curi, antaranya kereta-kereta keluaran Toyota, BMW serta Mercedes Benz, yang berharga kira-kira RM4.5 juta.
Katanya polis sedang berusaha mengesan dalang sindiket curi kereta mewah itu yang dipercayai mula beroperasi sejak bulan Mei tahun lepas.
Beliau berkata sindiket itu juga dipercayai terbabit menghantar kereta curi ke luar negara menerusi Pelabuhan Klang, dan siasatan mendapati kira-kira 213 kereta dihantar ke luar negara dengan kontena melalui pelabuhan itu.
Sementara itu merujuk kepada sindiket kedua Mohd Bakri berkata polis merampas dua kereta mewah yang dipercayai kereta curi dan menahan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan menyeludup kereta melalui sempadan utara negara.
Katanya hasil siasatan mendapati sindiket itu terlibat dalam 47 kes kecurian kereta mewah, dan 45 daripada kereta itu diseludup ke negara jiran.
Merujuk kepada sindiket ketiga pula Mohd Bakri berkata polis berjaya menyelesaikan 250 kes kehilangan kenderaan di sekitar Lembah Klang ekoran penahanan enam lelaki dan rampasan 1,603 komponen alat ganti bernilai kira-kira RM5 juta.
Beliau berkata polis turut merampas enam kenderaan daripada sindiket itu yang dipercayai kenderaan curi.
"Modus operandi sindiket ini ialah mencuri kenderaan dan meleraikannya untuk membekalkan komponen kenderaan secara pasaran gelap kepada bengkel-bengkel tempatan," katanya.- BERNAMA

Pemandu treler hampir maut





PELABUHAN KLANG - Melihatkan keadaan treler yang remuk, sudah pasti ramai menyangka pemandunya terbunuh dalam kemalangan itu.



Ibarat berpantang maut sebelum ajal, pemandu treler yang berusia sekitar 40-an itu hanya mengalami kecederaan ringan.



Kejadian itu berlaku pada jam 6 petang itu di kawasan Perindustrian Pelabuhan Barat, di sini apabila treler yang dipandu terbabas lalu terbalik.



Dia dikatakan berjaya keluar daripada treler yang remuk sejurus kejadian berlaku.



Berdasarkan makluman awam, mangsa yang memandu treler berseorangan dikatakan dalam perjalanan menghala ke Pelabuhan Barat untuk menghantar muatan barangan daripada Seremban, Negeri Sembilan.



Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal treler menyebabkan kenderaan itu gagal mengawal kenderannya lalu terbabas.



Akibatnya, bahagian hadapan treler remuk teruk hingga membuatkan orang ramai terpana kerana menyangka pemandunya maut.



Bagaimanapun tidak lama kemudiannya pemandunya berjaya keluar daripada pintu yang remuk.



Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu mangsa sebelum dia dikejarkan ke sebuah hospital bagi rawatan lanjut.



Sehingga kini mangsa belum membuat sebarang laporan polis dan identiti mangsa masih belum diketahui.

Taktik seludup minyak tumpas





PASIR MAS - Taktik seorang remaja lelaki menggunakan kereta Proton Wira yang diubahsuai membawa padah apabila ditahan ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak Rantau Panjang, kelmarin.



Lelaki tempatan berusia 20 an terbabit dihidu pihak berkuasa Kementerian, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas kereta yang dipandunya dilihat berulang alik dari stesen minyak berdekatan.



Ketua Cawangan KPDNKK Pasir Mas, Hashim Hassan berkata, pihaknya melakukan serbuan mengejut pada jam 9 malam selepas melakukan intipan sejak jam 6 petang.



“Ketika ditahan, suspek pertama ini berjaya mengisi sebanyak 260 liter petrol ke dalam tangki Proton Wira miliknya yang sudah diubahsuai dianggarkan bernilai RM450.



“Serbuan kedua pula melibatkan seorang tentera semut yang disyaki memiliki 20 tong berisi petrol berdekatan rumahnya di Lorong Pak Su Omar, yang disembunyikan di dalam stor penyimpan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.



Ekoran dari itu katanya, pihak KPDNKK berjaya menahan dua suspek 1,860 liter petrol dan dua buah kenderaan yang bernilai RM38,490.



Beliau berkata, hasil soal siasat, selepas membeli petrol di stesen minyak di sini, ia akan disedut keluar daripada tangki menggunakan alat penyedut elektrik dan ditimbang ke dalam tong 40 liter sebelum diangkut ke sempadan melalui pangkalan haram menggunakan motosikal yang berplat Thailand.



Menurutnya, setiap tong berisi 40 liter petrol itu akan dijual dengan harga RM70 di Thailand dan pemiliknya beroleh keuntungan sebanyak RM5 bagi setiap tong.



”Jika dihitung secara rambang, lelaki yang ditahan ini mampu memperolehi sebanyak RM100 dalam tempoh yang singkat sekiranya dia berjaya menyeludup sebanyak 20 tong petrol ke negara jiran,” katanya.



Menurutnya, dua lelaki yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan mereka akan dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.



Hashim berkata, dalam serbuan ketiga pula, melibatkan 20 tong berisi 800 liter petrol yang disembunyikan di dalam semak iaitu beberapa meter dari rumah suspek pertama, namun pemiliknya tong-tong ini tidak dapat dikenal pasti.

Jurugambar NSTP kerugian RM20,000 kamera direntap suspek



GEORGETOWN: Seorang jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) kerugian hampir RM20,000 apabila kamera jenama Canon Mark IV, rosak selepas terjatuh akibat direntap seorang suspek wanita yang berang gambarnya dirakam di Mahkamah Majistret di sini, semalam. 



Kejadian berlaku jam 3.15 petang ketika Mohamed Ramdzan Masiam, 40, bersama beberapa jurugambar dan wartawan sedang membuat liputan kes reman seorang lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Ketika sedang mengambil gambar semua suspek yang bergari dan diiringi ke kenderaan polis, seorang suspek wanita berusia 20-an yang digari bersama ibunya, secara tiba-tiba merentap tali kamera menyebabkan kamera berkenaan terjatuh.

Ini menyebabkan lensa kamera bernilai hampir RM1,700 pecah, manakala badan kamera yang bernilai RM18,000 turut rosak.



Mohamed Ramdzam berkata, kejadian berlaku begitu pantas tanpa sempat beliau berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan kamera dan anggota polis serta orang ramai yang berada di pekarangan mahkamah turut terkejut.



"Akibat kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Lebuh Pantai untuk tindakan selanjutnya," katanya.



Sementara itu, Majistret Nurul Asyifa Ridzuan mengeluarkan perintah reman empat hari ke atas suspek lelaki berusia 26 tahun, manakala adik perempuannya yang berusia 18 tahun direman tiga hari.

Wanita yang merentap kamera bersama ibu dan adiknya pula direman tiga hari bagi membantu siasatan.



Mereka ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.



Lima suspek itu ditahan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan selepas polis mengejar sejauh lebih 30 kilometer, kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, polis mengejar kereta dinaiki lima suspek berkenaan di Batu Feringgi sebelum terbabas di penghujung Jambatan Pulau Pinang menghala Butterworth, setelah terbabas akibat tayar pecah terkena tembakan polis.



Pemeriksaan polis ke atas kereta itu membawa kepada penemuan satu peket dadah dipercayai syabu serta peralatan menghisap dadah itu dan 10 keping MyKad.



Siasatan juga mendapati cukai jalan dan dan nombor kenderaan itu adalah palsu. 

Dua beranak warga Indonesia mati disamun dan dibunuh



KUALA KLAWANG: Dua beranak warga Indonesia mati disamun dan dibunuh di sebuah rumah kedai di Simpang Durian di sini tadi.

Mayat dua juruterbang Merpati Nusantara ditemui




KAUM keluarga Irwan, seorang daripada mangsa yang maut dalam nahas pesawat menangis ketika jenazahnya tiba di Makassar, Indonesia, kelmarin. - REUTERS



JAKARTA 11 Mei - Dua mayat terakhir dalam nahas udara pesawat Merpati Nusantara yang terhempas di Teluk Kaimana, Papua Barat Sabtu lalu ditemui hari ini.

Mayat juruterbang, Purwadi Wahyu dan juruterbang bersama, Paul Nap yang masih memakai tali pinggang ditemui di tempat duduk pesawat sebelum ditarik keluar anggota penyelamat.

Bagaimanapun, bahagian kokpit pesawat MA-60 milik Merpati Nusantara itu masih belum dapat dikesan.

"Operasi mencari ini dapat dilaksanakan segera kerana penyelam kami sudah bersiap sedia," kata pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat Negara (Basarnas), Ibrahim Saddong seperti yang dipetik Kompas.com.

Katanya, mayat-mayat itu kini ditempatkan di pusat kesihatan Kaimana dan akan diterbangkan ke kampung halaman masing-masing hari ini juga.

Jelas Ibrahim, tugas Basarnas untuk mencari semua 25 mayat telah selesai, tetapi beliau akan berbincang dengan Merpati dan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) berhubung tugas pencarian bahagian kokpit pesawat.

Pesawat enjin berkembar turbo MA60 itu terhempas ke laut Sabtu lalu, kira-kira 500 meter sebelum tiba di landasan kapal terbang di Kaimana. - Agensi

Lelaki mengaku simpan motosikal curi dijel





KOTA BHARU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan selepas didapati bersalah menyimpan sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri pada 17 April lalu.



Majistret Nur Zakiyah Shamsudin memutuskan hukuman itu sejurus Ahmad Faizul Hamzah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pilihan selesai dibacakan terhadapnya, semalam.



Lelaki 37 tahun itu didapati bersalah menyimpan sebuah motosikal curi, Honda EX5, milik Wan Pa Wan Hamzah, 34 di tepi Jalan Kampung Padang Melor pada jam 8.30 malam, 21 April lalu.



Dalam kejadian tersebut, mangsa meletakkan motosikal milik anaknya itu di hadapan sebuah kedai di Kok Lanas untuk membuat nombor pendaftaran pada jam 9.50 pagi, hari kejadian.



Walau bagaimanapun, selepas 10 minit kemudian, mangsa yang keluar dari kedai tersebut menyedari motosikal yang berkunci baik itu sudah tidak ada di tempat letaknya itu.



Mangsa yang yakin motosikal itu dicuri bertindak membuat laporan ke balai polis yang membawa kepada penahanan tertuduh, 21 April lalu.



Majistret Nur Zakiyah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya.



Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Jiran temui budak didera



TAMPIN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, ditemui jiran dengan kesan cedera di cuping telinga seperti digunting serta melecur di perut dan belakang badan, dipercayai didera ibu bapanya. 


Perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan mangsa melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran taman perumahannya.

Bagaimanapun, kehadirannya di situ disedari jirannya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang, berkata polis menerima laporan kes itu kira-kira jam 11.45 pagi kelmarin dan segera menghantar polis peronda ke taman perumahan terbabit.

Katanya, kanak-kanak berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya. 

19 maut nahas jalan raya tiap hari



KUALA LUMPUR 11 Mei – Seramai 19 rakyat Malaysia mati dalam kemalangan jalan raya setiap hari dengan 11 daripadanya adalah remaja yang menunggang motosikal.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, golongan yang berumur antara 18 hingga 25 tahun dan menunggang motosikal merupakan kumpulan pengguna jalan raya paling berisiko mendapat kemalangan.

Jelasnya, bagi tempoh 2009 hingga 2010, purata kadar kematian di jalan raya menurun daripada 3.55 orang kepada 3.40 orang bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan pada tahun lalu jumlah kematian akibat nahas jalan raya di Malaysia adalah 6,872 kes.

“Golongan belia yang menunggang motosikal menyumbang 40 peratus atau lebih 2,000 kes daripada keseluruhan jumlah kematian bagi 2010,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Satu Dekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2011-2020 di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kerjasama Keselamatan Jalan Raya Global Malaysia, Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Abdul Rahim memberitahu, terdapat pelbagai punca menyebabkan ramai remaja maut dalam nahas jalan raya antaranya berlumba haram, enggan mematuhi undang-undang, memandu selepas mengambil minuman beralkohol atau dadah dan kurang kesedaran mengenai akibat kemalangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa, guru, majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa bekerjasama dengan kementerian untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya di kalangan rakyat Malaysia bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut di negara ini.

Beliau memberitahu, walaupun ada di antara pelaksanaan program-program intervensi keselamatan jalan raya berhadapan dengan cabaran, namun jumlah kes kecederaan telah menurun daripada 31,417 kes pada 2009 kepada 28,269 kes pada 2010 iaitu penurunan 6.2 peratus.

Wanita 80 tahun kena rompak, rogol



NIBONG TEBAL: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun trauma selepas dibelasah, dirompak dan dirogol lelaki yang memecah masuk rumahnya berhampiran ladang kelapa sawit dekat sini, malam Isnin lalu. 


Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan terkejut apabila disergah seorang lelaki menutup muka menggunakan kain.

Sumber berkata, lelaki itu yang memecah masuk rumah mangsa kemudian mengugutnya menggunakan pisau sebelum menyelongkar barang peribadi mangsa.

“Mangsa cuba melarikan diri untuk mendapatkan bantuan, namun tidak berjaya apabila lelaki itu berjaya menangkapnya dan membelasahnya di muka sehingga cedera sebelum merogolnya.

“Selepas merogol mangsa yang tidak berdaya untuk melawan, suspek melarikan diri dengan mengambil seutas jam tangan dan telefon bimbit wanita itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan dan lebam di beberapa bahagian muka kini dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Risau akan keselamatan mangsa, seorang anaknya membawa mangsa pulang ke rumahnya di Ipoh,” katanya.
Sementara itu, anaknya yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian beliau keluar rumah untuk berjumpa rakan kira-kira sejam dan apabila pulang mendapati ibunya cedera kerana dipukul, dirompak dan dirogol.

Katanya, ini kali ketiga rumah ibunya dipecah masuk dengan yang pertama kira-kira 10 tahun lalu dan terbaru sebulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan. 

Lori gilis kepala pelajar IPT





KULIM - Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang baru menamatkan pengajiannya dan dalam perjalanan ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, Mohd Fitri Zahari, 20, maut apabila kepalanya digilis sebuah lori pasir, kelmarin.



Ketua Polis Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8 pagi apabila lori berkenaan secara tiba-tiba membelok di hadapan mangsa.



Katanya, mangsa yang tidak dapat mengelak kemudiannya merempuh bahagian kiri lori sebelum digilis.



“Mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari jalan Sungai Limau menghala ke jalan susur keluar ke lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE). Sebelum sampai ke jalan susur keluar ke lebuh raya itu, terdapat satu jalan tanah di mana lori sering keluar masuk. Mangsa yang berada di sebelah kiri jalan kemudiannya dipotong oleh lori secara tiba-tiba dan terus membelok masuk ke jalan tanah.



“Ini mengakibatkan mangsa tidak dapat mengawal motosikalnya lalu merempuh di sebelah kiri lori sebelum kepalanya digilis tayar belakang lori itu. Mangsa mati serta merta di tempat kejadian dengan kecederaan parah di bahagian kepala. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.



Menurutnya, pemandu termasuk lori berkenaan sudah ditahan serta kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan mengakibatkan kematian.



Katanya, dari siasatan yang dijalankan, polis mendapati lori berkenaan adalah punca kemalangan maut itu berlaku.



Beliau menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati apabila melalui jalan susur keluar ke lebuh raya BKE kerana lori yang keluar masuk di kawasan itu akan memberikan isyarat sebelah kiri tetapi ia mungkin akan masuk ke lorong tanah dan bukan jalan susur keluar ke lebuh raya BKE.



Sementara itu waris mangsa, Shamsuddin Ahmad yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Taman Saderi berkata, dia membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha dan pemilik lori terbabit.



“Saya kecewa kerana tidak ada sebarang papan tanda diletakkan di selekoh di mana mangsa terbunuh. Selain itu pemaju yang menjalankan aktiviti mengeluarkan tanah di kawasan ini sepatutnya menyediakan seorang kakitangan untuk mengawal kesesakan lalu lintas.



“Selekoh yang digunakan untuk lori masuk dan keluar terlalu dekat dengan jalan susur keluar ke lebuh raya dan ini mengakibatkan pengguna jalan raya keliru. Saya membuat laporan polis dan akan memastikan pihak terlibat bertanggungjawab terhadap nyawa yang terkorban. Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Terap kira-kira jam 3 petang,” katanya.

Lubuk ikan diceroboh



6 bot laut dalam, 57 awak-awak warga asing ditahan 


KUANTAN: Jabatan Perikanan menahan enam bot laut dalam bersama 57 awak-awak warga asing selepas dikesan melakukan tiga kesalahan, termasuk menangkap ikan di kawasan larangan dalam operasi bersepadu di perairan Endau-Rompin dan muara Sungai Kuantan.

Penolong Pengarah Perikanan Operasi Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Rosli Wan Yahya, berkata semua awak-awak terbabit berusia antara 18 dan 55 tahun kini ditahan di jeti Jabatan Perikanan, Padang Lalang dekat sini.

"Dalam operasi yang bermula Selasa lalu, pasukan penguat kuasa kita melakukan pemeriksaan ke atas 12 bot laut dalam tetapi hanya enam yang ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati semua awak-awak terbabit mempunyai pasport dan dipercayai bekerja untuk pemilik bot tempatan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya siasatan sedang dijalankan bagi memastikan majikan tempatan mempunyai permit untuk menggunakan khidmat warga asing, pemeriksaan sama ada lesen masih hidup dan kegagalan menggunakan alat sistem pemantauan bot (VMS).

Katanya, pemasangan alat VMS diwajibkan kerana ia dapat memantau pergerakan bot laut dalam di perairan negara.
"Bot laut dalam hanya dibenarkan melakukan aktiviti penangkapan di luar kawasan 40 batu nautika dari pantai atau mana-mana pulau yang diwartakan," katanya.

Wan Rosli berkata, siasatan awal juga mendapati semua enam bot terbabit adalah milik penduduk tempatan.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 46A dan Seksyen 8B Akta Perikanan 1985 jika ia berkaitan dengan pelanggaran syarat lesen.

Operasi bersepadu itu membabitkan lapan anggota daripada Bahagian Perlindungan Sumber JPM Putrajaya, Pangkalan Sumber Kuantan dan Pangkalan Sumber Kampung Acheh, Pekan. 

Harga teh tarik naik mendadak



KUANTAN: Tidak sampai 24 jam harga gula dinaikkan 20 sen kepada RM2.30 sekilogram kelmarin, ada peniaga restoran di bandar ini mula mengambil kesempatan turut menaikkan harga minuman. 


Tinjauan di sebuah restoran di sini mendapati segelas teh tarik dijual RM1.50, naik 20 sen berbanding RM1.30 sebelumnya.

Pengguna, Azman Hassan, 32 berkata, beliau terkejut apabila melihat bil yang menyatakan segelas teh tarik berharga RM1.50.

"Tidak sampai 24 jam, peniaga menaikkan harga yang dianggap tidak munasabah dan membebankan pengguna kerana ia hanya membabitkan kenaikan gula," katanya.

Rakannya, Mohd Ashraf Zulkifli, 25, pula mahu tindakan tegas dikenakan terhadap peniaga yang sengaja cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Setiap kali pengumuman kenaikan harga gula atau barang keperluan harian seperti tepung atau susu, harga makanan atau minuman naik. Sepatutnya, peniaga tidak menjadikan pelanggan sebagai mangsa keadaan," katanya.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah rasionalisasi yang akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM116.6 juta.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah ketika diminta mengulas menganggap tindakan peniaga sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, PPPM membantah tindakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan disebabkan kenaikan harga gula.

"Kita kesal dengan tindakan peniaga yang tidak prihatin dan menjadikan pelanggan sebagai mangsa untuk mengaut keuntungan," katanya. 

Lelaki mengaku simpan motosikal curi dijel





KOTA BHARU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan selepas didapati bersalah menyimpan sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri pada 17 April lalu.



Majistret Nur Zakiyah Shamsudin memutuskan hukuman itu sejurus Ahmad Faizul Hamzah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pilihan selesai dibacakan terhadapnya, semalam.



Lelaki 37 tahun itu didapati bersalah menyimpan sebuah motosikal curi, Honda EX5, milik Wan Pa Wan Hamzah, 34 di tepi Jalan Kampung Padang Melor pada jam 8.30 malam, 21 April lalu.



Dalam kejadian tersebut, mangsa meletakkan motosikal milik anaknya itu di hadapan sebuah kedai di Kok Lanas untuk membuat nombor pendaftaran pada jam 9.50 pagi, hari kejadian.



Walau bagaimanapun, selepas 10 minit kemudian, mangsa yang keluar dari kedai tersebut menyedari motosikal yang berkunci baik itu sudah tidak ada di tempat letaknya itu.



Mangsa yang yakin motosikal itu dicuri bertindak membuat laporan ke balai polis yang membawa kepada penahanan tertuduh, 21 April lalu.



Majistret Nur Zakiyah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya.



Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Misteri histeria empat pelajar





MARAN -Seramai empat pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini diserang histeria ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung, semalam.



Pelajar terbabit dikatakan meracau-racau dengan suara pelik tetapi kasar dan perilakunya seperti seekor harimau sedang mencakar.



Akibat kekecohan yang berlaku dan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, pelajar lain dibenarkan pulang seawal jam 12 tengah hari.



Kejadian dikatakan bermula dengan seorang pelajar perempuan yang sedang belajar di dalam kelas meracau hingga berlarutan membabitkan pelajar lain dari kelas berasingan.



Pelajar terbabit dikatakan diganggu makhluk halus sehingga meracau-racau dan menyebabkan rakan sekelas panik sebelum keadaan dikawal beberapa guru.



Difahamkan, Jumaat lalu, seorang guru perempuan di sekolah itu menjadi mangsa pertama dan dua pelajar perempuan tingkatan satu pula diserang histeria, kelmarin.



Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menerima laporan daripada pihak sekolah.



Menurutnya, kejadian semalam yang membabitkan empat pelajar perempuan itu berlaku di kelas berasingan dan tiada sebarang kemalangan berlaku.



“Bagi mengelak insiden tidak diingini dan demi keselamatan pelajar, pihak sekolah mengambil langkah segera dengan membenarkan semua pelajar pulang awal.



“Sekolah akan dibuka esok (hari ini) dan sesi pembelajaran akan berjalan seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Dua dituduh edar 7.1kg kanabis



KANGAR: Dua anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perlis didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar 7.1 kilogram dadah jenis kanabis di Bukit Keteri di sini, bulan lalu. 



Ismail Mansor, 42, dari Taman Kastam, Kuala Perlis dan Nazni Seman, 46, dari Tebing Tinggi di sini, dituduh melakukan kesalahan itu kawasan tempat letak lori di sebuah kilang simen di Bukit Keteri jam 9.30 malam, 27 April lalu.

Kedua-dua mereka bertugas di KDRM cawangan Kuala Perlis ditahan ketika sedang menunggu pelanggan mengambil dadah itu.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.



Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori.



Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Anbanathan Yathiraj, mengangguk faham sebaik pertuduhan itu dibacakan. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.



Noor Syazwani kemudian meminta mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan baru sementara menunggu keputusan laporan kimia berhubung dadah yang dirampas.

Nurshahida menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh tidak dibenar ikat jamin.

bharian

Polis gesa hentikan demonstrasi haram





KUANTAN – Polis Pahang memberi amaran kepada mereka yang terlibat dengan demonstrasi haram berkaitan isu nadir bumi syarikat Lynas Corporation Ltd.



Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani mahu golongan itu menghentikan perbuatan kontroversi sebelum mereka dikenakan tindakan undang-undang.



Katanya, orang ramai perlu akur dengan undang-undang yang ditetapkan serta dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan tersebut serta-merta.



“Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang mengingkari arahan. Sekiranya masih ada yang berdegil, jangan salahkan pihak polis sekiranya mereka dikenakan tindakan undang-undang.



“Justeru, saya berharap supaya orang ramai akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan yang telah ditetapkan,” katanya ketika membuat lawatan kebajikan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena Hari Polis ke-204, semalam.



Tambah Sharifuddin, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauanbagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mengadakan de-monstrasi haram secara berleluasa.



“Kita akan teruskan pemantauan sehingga isu ini selesai,” katanya.



Sementara itu, ketika lawatannya ke HTAA, Sharifuddin berkata, program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan anggota polis dengan orang awam.



“Selain menjalankan tanggungjawab sosial, ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada anggota yang terlibat tentang pentingnya menjaga kesihatan demi melaksanakan tugas harian dengan sempurna.



“Sebab itulah saya ga-lakkan anggota lain untuk terlibat sama dalam lawatan ini. Saya mahu mereka melihat sendiri penderitaan yang ditanggung oleh pesakit supaya timbul kesedaran dalam diri mereka,” katanya.



:Sharifuddin bersama lebih 30 anggotanya membuat lawatan ke wad Kenanga 6C (Pediatrik) serta wad Tanjung 4A (Dewasa) dan menyampaikan cenderahati kepada pesakit.



Turut hadir, Pengarah HTAA, Datuk Dr. Marlia Mohammed Salleh.

Mayat berikat batu ditemui





KUALA GULA - Satu mayat tanpa identiti ditemui mati lemas dengan kaki dan tangan terikat bersama batu seberat 5 kilogram oleh seorang nelayan, di Tanjung Kuala Gula iaitu 5.1 batu nautika dari Jeti Nelayan Kuala Gula, Kuala Kurau.



Ong Chuan Thang, 46, berkata, mayat itu ditemuinya sekitar jam 11 pagi ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.



Chuan Thang yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai nelayan bersama tiga lagi rakannya terkejut apabila terlihat mayat yang terapung di permukaan air.



“Saya dapati ada ikatan di tangan dan kaki mayat dalam keadaan meniarap dan terapung di permukaan air.



“Kami mengambil keputusan menghubungi pihak Polis Parit Buntar untuk disiasat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.



Menurutnya, dia sering ke laut dengan dua buah bot pukat Kengka bagi mendapatkan hasil laut seperti biasa.



“Namun hari ini (semalam) kami dikejutkan dengan penemuan seorang mayat mungkin dicampakkan ke laut oleh pembunuh yang sangat kejam. Mungkin ada motif tertentu,” katanya yang tidak dapat melupakan detik cemas itu.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan penemuan mayat terbabit dan kes itu disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan.



Pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Parit Buntar bergegas ke tempat kejadian bersama satu pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh sebaik menerima laporan.



Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk Bedah Siasat.



Mat Fauzi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Murid lembam ditampar





IPOH – Gara-gara tidak menyiapkan kerja sekolah, seorang murid lembam trauma untuk ke sekolah selepas ditampar pengurus sebuah pusat tuisyen dan jagaan kanak-kanak yang beroperasi di Station 18, 4 Mei lalu.



Lau Chi Kean, 7, murid Tahun Satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perak, dihantar ke pusat itu oleh ibunya, untuk meningkatkan kemahiran belajar.



Voon Oi Fun, 39, berkata, dia perasan pipi anaknya ada kesan merah dan calar ketika mengambilnya dari pusat itu.



“Pengurus pusat dan anaknya, mengaku menampar anak saya kerana tidak siapkan kerja sekolah



“Mereka juga memarahi saya dan tidak benarkan kembali ke pusat itu kalau tidak boleh terima cara mereka.



“Sebelum mendaftar ke pusat itu, saya ada beritahu keadaan anak saya yang lembam, mereka menerimanya.



“Malah, saya turut memesan untuk tidak memukul kecuali di punggung,” katanya ketika di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di sini, semalam.



Menurutnya, anaknya kemudian dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun sebelum membuat laporan polis.



“Perbuatan mereka ini melampau. Kesannya, anak saya kini tidak mahu pergi ke pusat tuisyen itu termasuk tak mahu ke sekolah. Dia juga tidak berani bersama orang lain selain ahli keluarga,” katanya.



Sementara itu, Pengerusi Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, Datuk Lee Kon Yin berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkenaan perlu siasat pusat berkenaan.



“Pihak pusat itu tidak mahu memohon maaf kepada pengadu.



”Kita akan merujuk kes ini ke jabatan berkaitan termasuk di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Warga Indonesia Mengaku Simpan Keretek Lari Duti Kastam


KLANG: Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, memerintahkan dua warga Indonesia membayar denda RM10,000 setiap seorang selepas memgaku bersalah menyimpan 20 karton rokok keretek pelbagai jenis yang tidak mendapat kelulusan pihak kastam.
Majistret Liew Horng Bin juga memerintahkan supaya Tarmizi Asnawi, 33, dan Muan, 39, dihukum penjara selama 12 bulan, sekiranya mereka gagal untuk menjelaskan denda tersebut.
Mereka mengaku bersalah menyimpan karton rokok keretek jenama Wismilak, Sampoerna A, Gudang Garam Surya 16 dan Star Mild yang kesemuanya boleh dikenakan duti bernilai RM600.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 1 pagi, 6 Oktober 2010 di kedai di Lot 9746, Batu 7, Jalan Kebun, di sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Kastam Diraja Malaysia, Jamaludin Zamzam mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Kesekaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau 20 kali ganda nilai atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes yang diakui oleh tertuduh, rokok-rokok tersebut dijumpai di bawah kaunter kedai dan juga di atas longgokkan kayu yang terdapat di luar kedai.

Lubuk GRO diserbu




Sebahagian GRO warga asing ditahan di Taman AST, Seremban, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID



SEREMBAN 11 Mei - Tindakan sebuah premis hiburan menggajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing menerima padah apabila mereka dan tiga pekerja lain ditahan dalam serbuan di Taman AST, di sini malam tadi.

Dalam Ops Noda yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri pada pukul 10.15 malam itu, seramai 18 GRO warga asing terdiri daripada warganegara China dan Vietnam ditahan.

Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Shahrulizam Jaafar berkata, ketika serbuan, GRO yang berusia antara 23 dan 46 tahun cuba meloloskan diri melalui lubang tikus tetapi gagal.

"Tiga lelaki dipercayai warga Vietnam ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk bekerja di negara ini," katanya ketika ditemui, di sini malam tadi.

Shahrulizam menjelaskan, berdasarkan kepada risikan dan intipan pihaknya selama seminggu, polis percaya pengusaha berkenaan turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggannya.

Jelas beliau, kesemua GRO berkenaan didapati menyalahgunakan pas pelajar ke negara ini untuk bekerja secara haram di pusat hiburan berkenaan.

"Kesemua mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk disoal siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/1963," kata beliau.

Setengah juta disenarai hitam

PUTRAJAYA 11 Mei - Hampir setengah juta rakyat tempatan dan asing disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen daripada keluar atau masuk ke Malaysia sejak sembilan tahun lalu.Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport, Ibrahim Abdullah berkata, rekod menunjukkan kebanyakan warga asing yang disenaraihitamkan mempunyai rekod jenayah dan pernah menjalani hukuman di Malaysia.

Bagi warganegara tempatan, kata beliau, kebanyakannya tidak dibenarkan ke luar negara kerana mempunyai masalah berkaitan kewangan seperti muflis dan gagal melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Senarai itu memang agak tinggi. Sebagai contoh, boleh dikatakan hampir setiap hari kita hantar balik warga asing yang ditahan di depot tahanan dan mereka ini akan terus disenaraihitamkan.

"Kalau mereka ini cuba masuk juga pada masa akan datang kita akan halang," katanya pada taklimat ringkas dan sesi soal jawab di antara Jabatan Imigresen dan media di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, senarai rakyat tempatan dan asing yang disenaraihitamkan dikemas kini setiap hari jika menerima laporan daripada pihak berkuasa.

"Nasihat saya jika sesiapa ada masalah hutang tolong selesaikan secepat mungkin jika tidak mahu hadapi masalah ke luar negara.

"Walaupun kadang-kadang kita ada memberi kelonggaran contohnya perlu menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga terdekat, prosedurnya agak ketat dan perlu membuat rayuan melalui surat rasmi," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, pihak imigresen juga telah memasang sistem biometrik di seluruh pintu masuk utama ke Malaysia.

"Walaupun kita mahu menggalakkan kedatangan pelancong dari luar negara tetapi pada masa sama kita juga nak jaga keselamatan negara.

"Justeru kerajaan putuskan kita menggunakan sistem itu yang mengkehendaki setiap orang diperiksa dengan menggunakan kedua-dua jari telunjuk bagi memeriksa rekod lampau mereka," katanya.

Keluarga pencuri





JOHOR BAHRU – Sebuah premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan urutan kaki di sebuah pusat membeli belah sekitar kawasan Skudai mengalami kerugian berjumlah RM1,700 apabila beg berisi wang tunai itu hilang dipercayai dilarikan pencuri.



Pekerja pusat urutan kaki itu, Saiful Ismail, 33, berkata, dia menyedari beg miliknya itu hilang dari laci paling bawah almari yang terletak di kaunter pembayaran sekitar jam 10.15 malam pada 8 Mei lalu ketika sedang bersiap untuk menutup premis perniagaan berkenaan.



Menurutnya, kejadian berkenaan turut menyebabkan salinan geran rumah, dokumen insurans kereta, slip gaji dan kunci rumah milik dirinya lesap bersama beg itu dipercayai dilarikan oleh sebuah keluarga yang didakwa berpura-pura lagak sebagai pelanggan pada mulanya.



“Sekitar jam 8.40 malam, premis ini didatangi sebuah keluarga terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan berusia lingkungan 13 hingga 40 tahun bertanya kepada saya serta seorang rakan sekerja berhubung perkhidmatan yang kami tawarkan.



“Ketika sedang melayan dua orang daripadanya, empat yang lain berada berhampiran kaunter pembayaran, namun saya bersama rakan masih tidak mengesyaki apa-apa sehingga mereka meninggalkan premis lima minit kemudian.



“Bagaimanapun, saya menyedari beg berisi wang tunai dan dokumen peribadi lesap ketika sedang memeriksa kaunter pembayaran sebelum pulang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini, kelmarin.



Saiful berkata, dia yang mengesyaki beg berkenaan dicuri keluarga terbabit segera menuju ke bilik pengawal keselamatan untuk melihat kamera litar tertutup (CCTV) bangunan bagi mendapatkan kepastian, tetapi diarahkan membuat laporan polis terlebih dahulu.



“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah sekitar jam 11.07 malam pada hari yang sama dan kembali semula ke pusat membeli belah untuk melihat rakaman CCTV terletak di pintu masuk bagi mendapatkan kepastian.



“Rakaman CCTV itu juga cukup jelas kelihatan menunjukkan seorang daripada enam suspek memeluk erat sebuah beg keluar dari bangunan pusat membeli belah ke arah tempat letak kereta sebelum meninggalkan lokasi,” katanya.



Selain itu, katanya, tindakan dua daripada enam individu terbabit mengalihkan perhatiannya daripada terus memerhatikan kaunter pembayaran menyebabkan dia tidak menyedari beg berkenaan dikeluarkan dari laci dan dibawa lari.



“Saya amat berharap pihak berkuasa dapat menjejaki kesemua individu yang dipercayai satu keluarga ini seterusnya dibawa ke muka pengadilan kerana tidak mahu premis perniagaan lain turut mengalami nasib sama,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi, semalam, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada pengadu dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Akta Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.



“Polis kini sedang giat menjalankan siasatan menjejaki suspek seperti yang didakwa oleh pengadu dan sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat,” katanya.

Tragedi subuh




LEDANG – Seorang pengawal keselamatan yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kampung Simpang Lima Darat, Bukit Gambir di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa, Mohamad Hussin Ahmad Dasuki, 43, menunggang motosikal berseorangan dari rumahnya di Kampung Parit Pulai, Serom, untuk ke tempat kerja di Serom 8.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian kira-kira jam 6.10 pagi, motosikal mangsa dari arah Bukit Gambir bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.

Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh serta mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhantuk pada jalan itu dan mati serta merta di tempat kejadian.

Manakala dua lagi mangsa kemalangan iaitu Nasrul Azrin Mistam, 19, dan Amri Bunawar, 20, mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut.

Rakan Mohamad Hussin, Zakaria Kaliman, 47, berkata, dia terkejut sebaik menerima berita insiden yang menimpa rakannya itu.

Menurutnya, dia ada bertemu dengan Allahyarham kelmarin semasa bersama-sama menjadi juruhebah (DJ) sambilan di majlis perkahwinan di Serom 8.

“Sepanjang pertemuan ini, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan ceria seperti biasa.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan yang besar kerana saya dan dia sering bersama-sama menjadi DJ dalam majlis perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Jadi hamba seks bapa saudara




TELUK INTAN - Akibat kerakusan nafsu, seorang kanak-kanak malang berumur tujuh tahun menjadi hamba seks bapa saudaranya sejak setahun lalu di Kampung Sungai Tiang Baru, Rungkup.

Bagaimanapun, perbuatan keji lelaki berumur 25 tahun itu terbongkar apabila ibu mangsa menyedarinya dan membuat laporan polis 19 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, bapa saudara yang juga adik kepada ibu mangsa melakukan perbuatan keji itu sejak kanak-kanak tersebut berusia 6 tahun.

Menurutnya, pihaknya percaya, suspek yang juga seorang nelayan sering melakukan perbuatan keji itu ketika ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada di rumah.

“Suspek yang tinggal berhampiran rumah kanak-kanak itu dipercayai merogol mangsa lebih kurang 10 kali termasuk melakukan seks luar tabii sepanjang setahun lalu,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Kok Liang berkata, pada 19 Mei lalu suspek dipercayai membawa mangsa ke sebuah rumah kosong di kawasan berhampiran untuk melakukan perbuatan keji itu tetapi abang mangsa ternampak suspek membawa adiknya keluar dari rumah.

Menurutnya, abang mangsa memberitahu kepada ibu mangsa mengenai hal itu menyebabkan dia mengesyaki sesuatu berlaku terhadap anaknya.

“Selepas mangsa dihantar pulang, ibu mangsa terus bertanya kepada anaknya dan setelah didesak beberapa kali, mangsa akhirnya memberitahu perkara sebenar,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak memberitahu perkara sebenar kepada ibu bapanya kerana diugut akan dicederakan jika berbuat demikian.

Katanya, laporan polis dibuat sebelum pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak itu dijalankan dan pihaknya berjaya menahan suspek pada Jumaat lalu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 (a) dan Sekyen 377 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun serta sebatan jika didapati bersalah,” katanya.
SH

Lemas tersadai di tebing




PADANG RENGAS – Seorang datuk tidak menyangka firasat yang menyatakan cucunya selamat sampai ke rumah salah, apabila ditemui lemas di tebing Sungai Papan, Padang Asam, di sini kira-kira 10.30 pagi semalam.

Mohd Haikal Wazir, 6, ditemui dalam keadaan tersadai di tebing sungai berkenaan, dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus sungai ketika bermain berhampiran kawasan itu, sehari sebelum ditemui mati.

Datuknya, Zubir Abd Rahman, 68, berkata, dia hanya menyedari kehilangan cucunya itu kira-kira 6 petang, sebaik selesai menguruskan perniagaan kedai runcitnya.

Menurutnya, apabila tidak melihat kelibat Mohd Haikal, dia menyangka cucunya itu pulang ke rumah bersendirian.

“Isteri saya menyatakan dia (Mohd Haikal) tiada di rumah, saya langsung tidak mengesyaki yang dia kemungkinan jatuh di sungai itu.

“Dia memang selalu mengikut saya berniaga, jarak sungai dengan kedai tidak jauh, hanya satu meter sahaja dan kebiasaannya memang dia selalu pulang sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Kuala Kangsar, semalam.

Difahamkan, Mohd Haikal sering bermain bersama rakannya di sekitar kawasan berkenaan.

Usaha mencari digerakkan selepas Maghrib sebaik Zubir memaklumkan akan kehilangan cucunya itu kepada orang kampung.

Zubir tidak menolak kemungkinan, cucunya yang dijaga sejak lahir itu terjatuh ketika bermain di kawasan sungai berikutan air pasang dan cuaca hujan.

Katanya, Mohd Haikal yang mendapat pendidikan di Tadika Pasti Kampung Pondok itu dikenali sebagai kanak-kanak yang pendiam dan tidak suka bergaul dengan orang ramai.

“Ibu dan bapanya sudah bercerai, jadi sayalah yang menjaganya, kali terakhir dia menemui ibunya kira-kira tujuh bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat bermula 7 petang kelmarin.

Menurutnya, operasi turut dijalankan bersama penduduk, anggota Rela, Jabatan Pertahanan Awam (Jpam), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa lagi agensi lain.

“Usaha mencari digerakkan sehingga jam 1 pagi namun gagal sebelum disambung semula pada jam 8 pagi semalam, mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
SH

Selamat selepas sesat 12 jam




TELUK BAHANG – Seorang ahli perniagaan yang tersesat dalam hutan di Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) dekat sini terselamat walaupun terpaksa bermalam di hutan berkenaan selama 12 jam.

Chong Kian Foo, 58, dikatakan sesat di dalam hutan berkenaan ketika mengikuti aktiviti riadah bersama lima lagi rakan termasuk isterinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin berkata, polis menerima laporan daripada ahli keluarga mengenai kehilangan mangsa kira-kira jam 7.53 malam dan seramai 50 anggota keselamatan pelbagai agensi termasuk Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan hilang selepas mengambil keputusan berpecah daripada kumpulan itu untuk menggunakan jalan pintas supaya sampai lebih awal ke pintu masuk taman itu.

“Bagaimanapun, mangsa didapati tidak sampai ke lokasi berkenaan sehinggalah misi mencari dan menyelamat dilakukan anggota keselamatan dengan menggunakan jalan laut berakhir pada jam 12 tengah malam tadi (kelmarin),” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, mangsa ditemui selamat selepas keluar dari lokasi riadah itu seorang diri kira-kira jam 8.40 pagi tanpa bantuan pihak keselamatan.

Difahamkan, mangsa mengambil keputusan memanjat ke puncak bukit Taman Negara selepas mendapati hilang arah laluan menuju ke pintu keluar taman berkenaan yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pantai Kerachut.

Disebabkan gagal mencari jalan keluar, dia mengambil keputusan bermalam di dalam hutan berbekalkan makanan yang dibawa bersamanya.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama empat rakan lelaki dan dua wanita termasuk isterinya sedang beriadah menyusuri hutan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan terkenal di negeri ini bermula jam 11 pagi.
SH

Trauma kena rompak




SUNGAI DAUN – Seorang warga emas trauma apabila rumahnya dimasuki tiga lelaki yang tidak dikenali dan mengakibatkan dia mengalami kerugian RM7,050.

Mangsa, Azizah Mat Isa, 63, berkata, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Maghrib dan mendengar ketukkan pintu dari luar.

“Ketika kejadian saya bersama, cucu, anak dan seorang kawan di rumah.

“Setelah mendengar ketuk pintu dari luar, cucu yang berusia 11 tahun bangun dan membuka pintu kerana menyangka ayahnya yang datang. Namun muncul tiga lelaki yang tidak dikenali dan bertanyakan pelbagai soalan seperti polis,” katanya.

Menurutnya, selepas bertanya beberapa soalan ketiga-tiga lelaki terbabit terus menyerbu masuk ke dalam rumah.

“Lelaki berkenaan mengikat kami bertiga kecuali cucu saya dan mengambil kesemua barang kemas yang saya pakai dan wang RM50 yang terletak dalam beg al-Quran.

“Setelah mereka mengambil barang kemas mereka terus keluar dari rumah dan cucu saya melepaskan ikatan kami.

“Selepas itu saya terus ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mengadu berkenaan kejadian ini,” katanya yang masih takut.

Azizah berkata, sejurus kejadian itu dia yang juga ibu tunggal trauma apabila mengingati perkara ini kerana ia pertama kali berlaku dalam kehidupnya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi JKKKP Permatang Kecil Kuala Sungai Daun, Che Omar Saad berkata, beliau mendapat aduan daripada mangsa jam 8 malam dan terus menghubungi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Sungai Limau Dalam termasuk polis.

“Sejurus mendapat tahu perkara ini saya terus menghubungi SRS termasuk pihak polis untuk membantu mangsa.

“Alhamdulillah, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kehilangan barang kemas. Dan beberapa minit kemudian polis datang dan Azizah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan (IPD) untuk membuat laporan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyatakan siasatan lanjut masih dijalankan bagi memberkas tiga perompak berkenaan kerana sehingga kini suspek masih belum dikenal pasti.
SH

Suspek bunuh akan didakwa



SEREMBAN – Dua suspek yang ditahan 13 Mei lalu kerana disyaki terlibat dengan pembunuhan seorang wanita muda serta mencederakan ibunya di Jelebu akan didakwa dalam masa terdekat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, reman terhadap dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 dan 23 tahun berakhir esok.

“Kita masih menyiasat kes berkenaan dan dakwaan terhadap dua suspek itu akan kita buat dalam tempoh terdekat ini. Ibu mangsa yang cedera sudah dibenarkan keluar hospital Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Kejadian kira-kira 4 petang di sebuah kafe siber di Simpang Pertang, Jelebu, mangsa, Christy Erni, 20, dan ibunya Suminah, 39, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh pengurus premis.

Christy Erni meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibunya dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
SH