Search This Blog

Sunday, May 22, 2011

Penoreh getah dibunuh

Kosmo! Online - Terkini: "
IPOH — Seorang penoreh getah, yang juga adik ipar kepada Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, ditemui mati dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan di rumahnya di Taman Muhibbah, Sungai Siput, kira-kira 40 kilometer dari sini, hari ini.

Mangsa G. Gajahmugam, 34, ditemui berlumuran darah dalam keadaan terbaring dalam bilik tidur utama oleh isterinya yang pulang dari rumah mertuanya pada pukul 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, siasatan awal mendapati mangsa mati akibat tetakan di beberapa bahagian tangan, kaki dan leher dan tiada barangan berharga hilang dari rumah berkenaan.

Katanya mangsa tinggal bersendirian di rumahnya sejak malam tadi kerana isterinya, R. Kasturi, 32, bersama empat orang anaknya pergi ke rumah mertuanya di kawasan berdekatan. - Bernama"

Pelatih dipukul senior

Kosmo! Online - Terkini: "
JITRA — Seorang pelatih Asrama Akhlak (Perempuan) di sini dimasukkan ke Hospital Jitra setelah mendakwa dipukul sehingga retak tulang rahang oleh dua pelatih senior di asrama berkenaan, Rabu lalu.

Pelatih berusia 15 tahun itu mendakwa pada malam kejadian dua pelatih yang sebelum itu berselisih faham dengannya telah mengekorinya ke surau asrama selepas makan malam kira-kira pukul 9 malam.

'Saya merungut sebab asyik disuruh basuh pinggan mangkuk mereka. Selepas itu saya ke surau, mereka ikut saya dan tolak serta tampar pipi saya,” katanya ketika ditemui pemberita di wad hospital itu hari ini. - Bernama"

Pelajar kena cekup




KLUANG - Seorang pelajar antara ditahan dalam Operasi Sayang yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Johor Bahru di sebuah pusat karaoke terletak di Taman Kluang Baru di sini, lebih kurang jam 12.10 pagi kelmarin.

Dalam operasi tersebut, pelajar berusia 19 tahun itu dipercayai bekerja sebagai pelacur di pusat karaoke berkenaan dan dia antara 11 pelacur yang berjaya ditahan Penguatkuasa Imigresen Johor Bahru.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Negeri Johor, Gajendra Bahadur H S Sam Bahadur berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga asing yang berasal dari China.

“Ops Sayang yang dijalankan pada pagi ini (kelmarin) merupakan maklumat yang diperolehi daripada orang awam dan kami bertindak untuk melakukan serbuan terhadap pusat tersebut kerana disyaki pekerjanya terdiri daripada warga asing.

“Semasa operasi dijalankan, saya telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan Imigresen dengan menunjukkan kad kuasa jabatan kepada seorang lelaki warga Malaysia berusia 54 tahun untuk melakukan pemeriksaan terhadap pusat karaoke tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Gajendra berkata, hasil pemeriksaan, pihak Imigresen berjaya menahan 11 wanita warga asing dalam lingkungan umur 19 hingga 49 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang berhubung kait dengan warganegara asing.

Beliau berkata, mereka juga ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama yang mana mereka tinggal di Malaysia sudah melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Selain daripada itu, tiga antara yang ditahan disyaki melakukan kesalahan melanggar Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka semua yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan sosial yang dimilikinya.

“Manakala, penjaga kaunter pusat berkenaan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/1963 yang boleh di denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 serta boleh dipenjarakan selama 12 bulan jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam lokasi berlainan, Gajendra berkata, seramai lapan pelacur warga asing yang dipercayai dari China berjaya ditahan di sebuah kedai dan minuman yang terletak di Jalan Haji Ithnin Maarof 1, Taman Kluang pada masa yang sama.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan salah guna pas lawatan dan mereka ditahan di bawah peraturan 39 (b) peraturan-peraturan Imigresen 1963 manakala pemilik kedai berkenaan di tahan di bawah di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kesemua tahanan tersebut dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut oleh pihak Imigresen,” katanya.
SH

Lelaki bersenjata parang dicari


TAPAH – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kejadian samun di sebuah kedai runcit di Batu 8, Jalan Pahang, di sini, pada 13 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, sebuah kedai runcit telah disamun oleh enam lelaki.

Menurutnya, kejadian pada jam 10.45 malam itu dilakukan enam lelaki dengan bersenjatakan parang dan dipercayai terlibat dengan beberapa kejadian samun lain di sekitar Tapah.

“Sebuah kedai runcit di Batu 8, Jalan Pahang di sini telah disamun oleh enam suspek yang bersenjatakan parang.

“Berdasarkan modus operandi, dipercayai lelaki yang sama juga telah menyamun dua rumah di Taman Orkid, Jalan Pahang pada 8 April lalu,” katanya kepada Sinar Harian di Bilik Gerakan IPD Tapah, di sini, semalam.

Abdullah berkata, keenam-enam lelaki itu dipercayai menaiki sebuah kereta dan menjalankan kerja menyamun di sekitar pekan Tapah.

Katanya, hasil siasatan mendapati kumpulan itu diketuai oleh seorang lelaki yang turut terlibat dengan tiga lagi kes samun. di sini.

“R Thinagaraj, 23, atau lebih dikenali Madhu dalam kalangan rakannya dipercayai masih berada di sekitar Pekan Tapah.

“Lelaki ini juga dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau dalam kegiatan samun termasuk lima kes samun di Tapah,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, polis masih belum dapat mengenal pasti ahli kumpulan yang lain yang dipercayai menjalankan kegiatan sama.

“Kita sedang memburu dan mengenal pasti ahli lain yang turut terlibat dengan kegiatan samun bersenjata ini.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek boleh berhubung terus di Hotline IPD Tapah di talian 05-401 5222 atau hubungi balai polis berhampiran,” katanya.
SH

Gara-gara kerbau




CHEMOR – Seorang pekerja kilang hampir maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sekawan kerbau yang melintas secara tiba-tiba di jalan utama Kampung Ulu Chemor di sini, minggu lalu.

Mohd Farid Jamaluddin, 23 berkata, lehernya nyaris ditusuk tanduk kerbau dalam kejadian jam enam pagi itu.

Menurutnya, selain menerima lebih 10 jahitan di leher, dia mengalami patah tulang bahu di bahagian kanan.

“Ketika menunggang untuk ke tempat kerja, saya nampak lima atau enam kerbau tiba-tiba melintas di hadapan menyebabkan saya tidak sempat brek.

“Saya hanya terlantar di tengah jalan kerana tidak boleh bangun selepas jatuh. Ketika itu, saya hanya berdoa kerana takut dilanggar kenderaan lain,” katanya ketika menerima lawatan dari Ketua Pemuda UMNO Tambun, Mazlan Abd Rahman di sini, semalam.

Mohd Farid berkata, dia kesal dengan pemilik kerbau berkenaan yang tidak bertanggungjawab melepaskan haiwan itu pada waktu malam.

“Sebelum ini, semua penduduk berhati-hati ketika melalui jalan ini terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

“Ramai penduduk mengalami kemalangan dan ada melaporkan kejadian itu kepada pihak berkenaan tetapi masih tiada tindakan. Kerbau berkeliaran itu membahayakan penduduk di sini,” katanya.

2 November tahun lalu, seorang remaja, Mohd Shahrul Nizam Mohd Shahrudin, 16, hilang ingatan selepas terlibat dalam kemalangan di jalan yang sama.

Pada masa sama, Mazlan menyarankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melihat semula permohonan Jawatan Kusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Chemor untuk memasang lampu jalan di kawasan itu.

“Kawasan gelap dan semak samun menjadi faktor utama kerbau ini tidak mudah dilihat kepada pengguna di jalan raya. Banyak kes seperti ini berlaku di kawasan ini dan kita minta pihak berkenaan segerakan pembinaan lampu jalan agar tiada kemalangan seperti ini berlaku.

“Selain itu, papan tanda amaran perlu diletak oleh pihak berkenaan supaya memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk berhati-hati menggunakan jalan ini untuk kawasan pekan berhampiran,” katanya.
SH

Remaja dakwa pernah dicabul




KULIM - Dua remaja berumur 15 dan 17 tahun ditahan anggota Balai Polis Kulim di hentian bas Kulim kira-kira jam 3 pagi, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, remaja berkenaan ditahan ketika rondaan pencegahan jenayah dilakukan kerana berpelesiran dan mencurigakan.

Menurutnya, remaja berumur 15 tahun itu masih bersekolah dan keluar rumah kira-kira jam 11 malam bersama beberapa teman lelaki dengan menaiki motosikal. Namun, mereka ditinggalkan di stesen bas sebelum dihantar balik ke rumah oleh teman lelaki lain.

Ketika disiasat, remaja itu berkata, dia datang daripada keluarga yang bermasalah.

Bapanya meninggalkan ibu dan adiknya sejak lapan tahun lalu tanpa sebarang berita. Selain itu, ibunya terpaksa bekerja menampung kos kehidupan mereka tiga beranak.

“Saya keluar dari rumah untuk bersiar-siar bersama sepupu dan beberapa teman lelaki lain, ” katanya.

Remaja perempuan itu juga mendakwa pernah dicabul teman lelakinya ketika berkelah di Arus Deras Sedim beberapa kali. Namun, perbuatan itu tidak dilaporkan kepada polis kerana khuatir akan dimarahi ibunya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kebanyakan remaja perempuan terlibat dalam kes rogol hari ini selalunya melakukan perbuatan itu secara sukarela. Namun, ia hanya akan diklasifikasikan sebagi rogol kerana mereka masih di bawah umur.

Menurutnya, apabila laporan polis dibuat, pasangan lelaki selalunya akan ditangkap dan dibicarakan di mahkamah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan mereka boleh dikenakan hukuman rotan dan penjara manakala pasangan perempuan pula akan ditempatkan di sekolah pemulihan akhlak.

“Ibu bapa seharusnya memantau pergerakan anak mereka. Masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja hari ini semakin serius.

“Ada remaja perempuan yang membenarkan kekasih mereka masuk ke rumah ketika ibu bapa mereka sedang tidur. Ini menunjukkan pendidikan moral dan agama yang diterapkan kepada anak terlalu nipis sehingga mereka boleh melakukan sesuatu di luar dugaan, “ katanya.

Ghuzlan berkata, remaja hari ini terdedah dengan pelbagai jenis hiburan dan peranan masyarakat dalam menangani masalah ini seharusnya dipertingkatkan.

“Bagi kes rogol di bawah umur sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis dan kita akan menyiasat. Saya menasihatkan ibu bapa supaya mempertingkatkan pendidikan agama kepada anak mereka dan mengawasi pergaulan harian terutama dengan teman lelaki. Jangan terlalu percaya dengan tipu helah anak-anak, ” katanya.
SH

Penunggang maut dirempuh kereta




KUALA LUMPUR- Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kenderaan yang masuk laluan salah di lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) semalam.

Pemandu kereta jenis Proton Putra itu dipercayai cuba melarikan diri dari dikejar polis dari arah Cheras menuju ke Bukit Jalil.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 petang di selekoh tajam berhampiran Terminal Bersepadu Selatan Bandar Tasik Selatan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Abdullah Roning berkata, penunggang motosikal yang dikenali sebagai Yip Yoon Kong, 51, cedera parah dan mati di tempat kejadian.

Siasatan awal polis mendapati pemandu kereta terbabit memasuki laluan salah sebelum merempuh motosikal dinaiki Yip.

Mayat Yonn Kong, yang berasal dari Kampung Baru Batu 9, Cheras, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Pemandu kereta terbabit yang tidak cedera, dibawa ke balai polis untuk siasatan.
SH

Lima ditahan miliki dadah




TUMPAT – Polis Kelantan menahan lima lelaki memiliki dadah dan 24 penagih dadah dalam satu operasi Ops Tapis ketika serbuan di beberapa daerah di negeri ini, kelmarin.

Dalam operasi tersebut, lelaki Melayu berumur antara 16 hingga 40 tahun berjaya ditahan ketika serbuan di daerah Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Bachok, dan Pasir Puteh.

Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan berasingan, didapati lima lelaki terbabit memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamin seberat 3.6 gram.

“Mereka (lima lelaki terbabit) ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan disiasat mengikut seksyen ini kerana memiliki dadah.

“Manakala 24 penagih dadah terbabit disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya selepas Program Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat “Community Policing & Crime Awarenes Team” di Padang Keretapi Tanah Melayu Berhad Tumpat, semalam.

Sempena program tersebut, turut diadakan senamrobik, sukan rakyat, persembahan dikir barat, pameran agensi kerajaan dan swasta, perlawanan bola jaring dan persembahan seni silat.

Mazlan berkata, Community Policing satu langkah proaktif bertepatan slogan bersama mencegah jenayah.

Menurutnya, kerjasama antara masyarakat dan polis merupakan aset penting dalam membanteras dan mencegah jenayah.

“Salurkan maklumat, polis perlu ada maklumat daripada masyarakat dan daftarlah menjadi Rakan Cop kerana ia amat bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
SH

Curi pasir tumpas





KUALA LUMPUR – Sekalipun pernah diserbu dan ditutup sejak Februari lalu, sindiket curi pasir tidak mengendahkan amaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lokasinya adalah sebuah kawasan untuk dibangunkan padang permainan, berkeluasan 0.4 hektar, di Jinjang Selatan.

Sebelum ini, penduduk sekitar memaklumkan aktiviti haram itu dan tindakan sewajarnya sudah diambil DBKL.

Bagaimanapun, empat hari lalu, sindiket kembali aktif sambil beranggapan aktiviti berkenaan tidak disedari penguat kuasa.

Berdasarkan maklumat baru, Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan (PTWP) mela-kukan intipan sebelum disertai Suruhanjaya Pencegahan Ra-suah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Dalam serbuan itu, lima pekerja melarikan diri melalui ‘laluan tikus’ walaupun kawasan sekeliling itu ditutup dengan zink.

Ketua Unit Penguat Kuasa PTWP, Mohd Salleh Sadri berkata, sebelum ini, pihak-nya sudah menghantar surat untuk memastikan DBKL mengawal selia lokasi terbabit dari diceroboh, namun aktiviti berkenaan aktif semula.

“Sekurang-kurangnya 50 kali sehari lori akan membawa keluar pasir ini untuk dijual kepada pembeli melibatkan orang perseorangan atau syarikat pembinaan.

“Kita dapati, harga pasaran selori pasir RM800 dan kemungkinan sindiket mengaut keuntungan lebih RM200,000 sejak empat hari lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.

Mohd Salleh berkata, dalam serbuan itu, sebuah lori dan jentolak disita, manakala seorang pemandu lori berumur lingkungan 50-an ditahan.

“Lelaki itu akan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 426 (1)(a) Kanun Tanah Negara kerana mengeluarkan bahan batuan tanpa kebenaran yang boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Seorang lelaki berumur 32 tahun dipercayai tonto juga ditahan.

Anak yatim maut tertimbus syahid






SHAH ALAM - Kematian mereka bukan sia-sia. Allah sudah janjikan ganjaran syahid bagi sekumpulan anak yatim terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, petang semalam.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengikut hukum, Islam yang menemui ajal secara tragis se-perti akibat kebakaran, kemalangan jalan raya atau bencana alam dan mati ketika tidur, dikategorikan sebagai syahid.

“Mereka dapat syafaat Allah, itu janjiNya,” katanya.

Beliau mengulas kematian anak-anak yatim penghuni Rumah Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, petang semalam.

Bagaimanapun menurut Mohd Tamyes, jenazah mereka masih perlu diurus seperti jenazah mati biasa, iaitu mandi, kafan dan disolatkan.

Beliau mengingatkan pengasas rumah kebajikan, termasuk rumah anak yatim di seluruh negara, pastikan bangunan mereka tiada risiko musibah.

“Jangan bina di lereng bukit atau berhampiran dekawasan bahaya kepada penghuni,” katanya.

Sangat menyedihkan, tak terkata: Warden





HULU LANGAT - Tiga jam sebelum kejadian tanah runtuh yang meragut enam nyawa sekurang-kurangnya hingga jam 10 malam tadi, mangsa yang terdiri daripada penghuni sebuah rumah anak yatim di sini menjalani latihan nasyid untuk persembahan menyambut kunjungan rombongan Perbadanan Filem Nasional (Finas).

Warden asrama, Mohd Hambali Ismail, 34, berkata, delegasi itu dijangka hadir pada satu majlis di sini kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, kejadian terbabit berlaku selepas makan tengah hari kira-kira jam 2.15 petang.

“Hanya sebahagian penghuni tinggal di dewan makan untuk kerja-kerja mengemas, selebihnya berada di khemah untuk berlatih.

“Ketika itu, saya berada di asrama dan terdengar bunyi dentuman serta pokok patah,” katanya.

Mohd Hambali berkata, sepatutnya dia berada bersama mangsa, tetapi ditangguhkan kerana ada urusan lain.

“Apa yang saya lihat tak dapat digambarkan de-ngan kata-kata kerana keadaannya sangat tragis dan menyedihkan,” katanya.

Menurutnya, kejadian tanah runtuh itu adalah kali dua berlaku sejak awal bulan ini.

“Runtuhan pertama hanya 50 meter dari bangunan dan sekadar runtuhan kecil.

“Runtuhan kali ini lebih besar dan berkemungkinan terjadi akibat runtuhan pertama,” katanya.

Menurutnya, kejadian pertama itu bagaimana tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Penyangak pasir degil diserbu lagi





BEBERAPA orang penguat kuasa memotong rantai besi pada pintu zink ketika memasuki sebuah kawasan mencuri pasir di Jinjang Selatan semalam.


KUALA LUMPUR - Walaupun baru diserbu tiga bulan lalu, satu sindiket mencuri pasir didapati terus menjalankan kegiatan tersebut di Jinjang Selatan di sini.
Perkara itu terbongkar selepas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan operasi di kawasan sama buat kali kedua semalam.
Serbuan itu dilakukan selepas orang ramai memberi maklumat bahawa kegiatan haram tersebut aktif semula sejak beberapa hari lalu.
Dalam operasi pada pukul 12.30 tengah hari itu, pihak PTG menahan seorang pemandu lori berusia 30-an yang baru keluar kira-kira 30 meter dari lokasi pasir haram tersebut.
Ketika ditahan, lelaki tersebut membawa lori seberat 10 tan yang sarat dengan muatan pasir.
Difahamkan, ketika serbuan terdapat empat individu dipercayai pekerja di kawasan tersebut tetapi mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Ketua Unit Penguat Kuasa PTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Salleh Sadri berkata, pihaknya percaya kumpulan itu kembali mencuri pasir di kawasan terbabit sejak tiga atau empat hari lalu selepas berhenti hampir tiga bulan.
"Dipercayai kira-kira 30 hingga 50 buah lori terlibat dalam operasi pengeluaran pasir haram dari kawasan ini setiap hari," katanya di sini semalam.
Dianggarkan harga pasaran pasir bagi sebuah lori seberat 10 tan adalah sekitar RM800.
Dalam serbuan itu, pihak PTG turut menahan seorang lelaki berusia 20-an dipercayai tonto yang berada tidak jauh dari lokasi tersebut.
Kosmo! Online - Negara

Lari dikejar runtuhan tanah bukit




ANGGOTA penyelamat membantu seorang mangsa yang cedera dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di Hulu Langat semalam.


HULU LANGAT - Penghuni Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini, Mohd. Jihad Jalal, 14, hanya sempat mengingat keadaan cemas dia dikejar runtuhan tanah sehingga separuh daripada tubuhnya tertimbus.
Kejadian pukul 2.15 petang semalam digambarkan berlaku begitu pantas sehinggakan Mohd. Jihad yang berada di bawah khemah yang terletak di sebelah dewan makan rumah anak yatim itu tergamam.
"Saya terus lari sampai terjatuh sebelum kena timbus dengan tanah dan batu hampir separuh badan.
"Nasib saya baik sebab ada orang kampung datang menarik saya keluar,'' cerita Mohd. Jihad yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Remaja yang berasal dari Puchong, Selangor itu baharu tiga bulan menghuni rumah tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penghuni, Mohd. Shahrizal Amrizal, 14, memberitahu, ketika kejadian dia sedang berjalan menuju ke dewan makan tersebut.
"Saya nampak ada beberapa orang rakan sedang mengelap kerusi dalam dewan itu. Bila saya nampak tanah runtuh, saya hanya sempat menjerit minta mereka lari,'' katanya.
Kosmo! Online - Negara

Kilang iPad 2 di Chengdu terbakar




ORANG ramai dan pihak polis berkumpul di luar kilang Foxconn yang terbakar di Chengdu, China.


SAN FRANCISCO - Syarikat pengeluar alat elektronik, Apple Inc. kini menyiasat punca letupan yang mengakibatkan dua orang pekerja terbunuh dan mencederakan 16 yang lain.
Insiden sama turut menyebabkan kilang Foxconn International Holdings Ltd. yang mengeluarkan iPad 2 di Chengdu, China memberhentikan produksinya.
Foxconn merupakan sebahagian daripada syarikat dari Taiwan, Hon Hai Precision Industries dan rakan pengilang utama Apple menyatakan letupan berlaku pada pukul 7 malam waktu tempatan.
"Pengeluaran telah dihentikan sehinggalah siasatan disempurnakan. Keselamatan pekerja adalah keutamaan kami. Kami akan melakukan apa sahaja untuk mengetahui apakah punca kejadian tragik ini," kata Foxconn dalam satu kenyataan. Syarikat itu juga masih menilai jumlah kerugian yang dialaminya.
Kejadian itu menjadi tamparan terbaru kepada Foxconn. Sebelum ini, Foxconn menjadi perhatian selepas laporan mengenai kondisi tempat kerja yang teruk di kilang-kilangnya di China disiarkan. Pengkritik juga menyatakan keadaan itu juga menyumbang kepada beberapa kes pekerjanya membunuh diri.
"Kami bekerjasama rapat dengan Foxconn untuk mengetahui punca letupan ini," kata jurucakap Apple, Steve Dowling. Letupan itu pasti akan menjejaskan bekalan iPad dan para pelabur memantau perkembangan dengan teliti.
iPad dan iPad 2 keluaran Apple menguasai 80 peratus pasaran komputer tablet yang turut disaingi oleh produk keluaran Motorola Inc. dan Samsung Electronics Co. Ltd. - Reuters
Kosmo! Online - Dunia