Search This Blog

Saturday, May 21, 2011

Seleweng diesel, petrol gagal




BUKIT MERTAJAM – Empat individu yang sedang leka memindahkan minyak subsidi dari lori ke lori di sebuah premis dekat Bukit Minyak, di sini, terkejut apabila diserbu pegawai dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Seberang Perai Tengah (SPT), kelmarin.

Ketua Cawangan Pejabat PPDNKK SPT, Zainal Yeop Dahari berkata, serbuan jam 2 petang yang melibatkan enam pegawai diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Shaharudin Sharif itu berjaya menemui empat lori, termasuk satu tangki lori tidak berkepala yang membawa muatan masing-masing dua diesel dan petrol subsidi.

Menurutnya, ia disyaki cuba diseleweng untuk dijual ke tempat lain, namun lokasi minyak itu dibawa masih belum diketahui.

“Keempat-empat lori itu membawa sejumlah 68,100 liter minyak yang mana 30,100 liter adalah petrol dan selebihnya diesel dengan nilai keseluruhan RM129,980.

“Premis ini dipercayai baru sebulan beroperasi dan kita syaki ia dijadikan transit sebelum minyak yang dibawa dipindahkan ke lori lain dan bergerak ke lokasi lain untuk dijual.

“Namun, kita masih menyiasat sama ada minyak-minyak ini cuba diseludup ke Thailand atau pun tidak,” katanya kepada pemberita sejurus selepas operasi, di sini, lewat petang kelmarin.

Beliau dalam pada itu berkata, empat lelaki rakyat tempatan yang merupakan tiga pemandu dan seorang penjaga stor berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut, manakala pemilik premis masih diburu.

Jelasnya, kesemua lori yang bernilai RM184,980 turut disita.

“Sebelum diserbu, intipan selama sebulan dilakukan di premis ini dan mendapati terdapat pergerakan mencurigakan. Bagaimanapun, kita belum tahu sama ada premis ini mempunyai lesen atau pun tidak dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikannya,” katanya.

Zainal berkata, siasatan dilakukan mengikut Peraturan 3(3) Perintah Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, denda sehingga RM100 ribu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap individu yang terlibat bagi kesalahan pertama.

Manakala, bagi syarikat pula, denda tidak lebih RM250,000.

Bagi kesalahan kedua pula, individu terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 dan RM500,000 ribu jika melibatkan syarikat.
SH

Ditipu pemilik kilang muflis




BANDA HILIR - Hasrat sepasang suami isteri ingin membesarkan syarikat kejuruteraan mereka bukan sahaja tidak tercapai, malah mereka kini menanggung kerugian RM40,000.

Ini berikutan pemilik bangunan yang ingin mereka beli sebenarnya sudah diisytiharkan muflis.

Walaupun sudah berulang kali mereka cuba mendapatkan kembali wang berkenaan, namun pemilik bangunan kilang itu sering melarikan diri dengan menggunakan pengisytiharan muflis berkenaan sebagai alasan.

Mangsa, B. Vijaya Mala, 30, berkata, dia dan suami terpaksa kecewa dengan tindakan pemilik menjual bangunan berkenaan walaupun tahu beliau berhadapan tindakan muflis.

Menurutnya, sepanjang transaksi dengan pemilik, dia tidak sekali pun memaklumkan kepadanya atau suami mengenai tindakan mahkamah ke atasnya, malah tetap mahu meneruskan cadangan menjual bangunan kilang satu tingkat di Taman Merdeka Jaya itu.

“:Kami percaya dia memang mempunyai niat untuk menipu kami. Kami sudah cuba berbincang apabila mengetahui dia muflis, tetapi dia mengatakan dia tidak akan bertanggungjawab dan tidak mahu mengambil tahu mengenai hal berkenaan,” katanya kepada :Sinar Harian: selepas membawa kes berkenaan ke perhatian Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee, semalam.

Berikutan itu, suami Vijaya Mala, P. Jeganathan, 33, membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah, di sini.

Vijaya Mala berkata, dia dan suami bersetuju membeli bangunan kilang itu Oktober, tahun apabila mendapat tahu pemilik ingin menjualnya.

Menurutnya, bayaran pendahuluan RM40,000 daripada harga bangunan sebanyak RM240,000 sudah dibayar kepada pemilik.

“Bagaimanapun, selepas pembayaran, baru kami tahu pemilik sebenarnya muflis. Cubaan kami mendapatkan kembali wang gagal,” katanya.

Sementara itu, Kim Tee menasihatkan pasangan berkenaan membuat laporan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Menurutnya, berikutan laporan polis yang dibuat, pasangan itu turut dimaklumkan bahawa polis tidak boleh mengambil sebarang tindakan memandangkan pemilik sudah diisytiharkan muflis.

“Langkah terbaik sekarang adalah bagi kedua mereka membuat laporan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.
SH

Sorok dadah bernilai RM5,000 dalam bantal

SEREMBAN – Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki pengedar dan penagih dadah dalam dua serbuan berasingan di bandar ini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan R Ravichandran berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sebuah rumah di Pinggiran Senawang, dekat sini, kira-kira 5.45 petang, sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.

“Polis menemui sebiji bantal di bilik tidur suspek mengandungi 11 peket lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 16.9 gram dianggarkan bernilai RM5,866.

“Suspek yang berkerja di kilang tayar di bandar ini dipercayai mula berjinak-jinak sebagai pengedar dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, dekat sini, semalam.

Menurutnya, suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Sementara, katanya, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Park Avenue kira-kira jam 12.40 tengahari, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan.

“Ketika serbuan, polis mendapati kedua-dua suspek memiliki dadah jenis ganja seberat 563 gram dan dadah jenis heroin seberat 40.3 gram yang bernilai RM15,992,”katanya.

Ravichandran berkata, ketiga-tiga suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. SH

Meter air kena kebas




SEREMBAN – Kehilangan beberapa meter air yang dikesan berlaku di beberapa kawasan perumahan serta premis perniagaan sekitar Seremban Jaya, di sini perlu ambil tindakan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P.Gunasekaran berkata, pihak berkuasa perlu bertindak tegas mengenal pasti punca masalah itu memandangkan kecurian berkenaan semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

“Hampir setiap hari, berlaku tidak kurang lima kes kecurian meter air, khususnya di Taman Seremban Jaya dan beberapa kawasan di sini.

“Kehilangan meter air bukan sahaja melibatkan rumah dan bangunan kedai yang tidak berpenghuni, malah rumah dan kedai yang didiami juga turut dilaporkan kehilangan meter air,” katanya ketika meninjau lokasi berkenaan, semalam.

Gunasekaran percaya, jenayah mencuri meter air itu semakin menjadi-jadi mungkin disebabkan faktor harga tembaga tinggi di pasaran.

“Kebanyakan meter dicuri pada waktu malam dan pemilik akan sedar kehilangan meter pada awal pagi.

“Ia akan menyusahkan pemilik premis kerana terpaksa berdepan masalah ketiadaan air serta perlu membuat laporan polis bagi mendapatkan meter baru daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains),” katanya.
SH

Suami ugut simbah asid





ALOR GAJAH - Seorang wanita beranak empat kini trauma apabila terpaksa berhadapan detik getir selepas suaminya bertindak menghunus sebilah parang di lehernya selain mengugut mahu menyimbah asid ke mukanya.

Asmah Mohamed (bukan nama sebenar), 38, menikahi suaminya itu 13 tahun lalu serik untuk meneruskan kehidupan bersama suaminya itu kerana merasakan tindakan suaminya melampaui batas tambahan pula ia turut disaksikan anaknya.

Suaminya yang sememangnya panas baran turut memotong bekalan elektrik di rumahnya semalaman sebelum bertindak keluar meninggalkan rumah sehelai sepinggan selepas mendakwa dirinya perempuan murahan.

Dalam kejadian 30 April lalu yang berlaku kira-kira 2.30 petang, Asmah yang sedang memasak tergamam apabila suaminya yang berusia 40 tahun itu menolak bahunya secara tiba-tiba menyebabkannya hampir tersungkur.

Asmah yang mempunyai empat anak berusia antara lapan hingga 13 tahun dan bekerja di agensi kerajaan mendakwa, suaminya menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan pemuda sepejabat dengannya.

“Lebih mencemaskan, suami saya yang tiada pekerjaan tetap itu mencekik leher saya sambil memegang sebilah parang pendek dan mengacu di leher sambil memberi amaran agar tidak menghadiri satu majlis perkahwinan seorang rakan.

“Saya menggigil ketakutan sebelum suami melibas parang tersebut dan mengenai pintu dapur. Saya menangis dan dia terus keluar serta pulang petang kemudiannya,” katanya.

Menurutnya, keesokan harinya kira-kira jam 8.15 pagi, ketika menyediakan sarapan, suami secara tiba-tiba naik angin semula dan bertindak melempar kipas duduk dari ruang tamu ke dapur dan mengenai kaki kanannya.

“Saya bernasib baik kipas itu hanya mengenai kaki dan suami turut mengugut akan menyimbah asid di mukanya selagi dia tidak berpuas hati dengan saya.

“Selepas itu, suami masuk ke bilik dan keluar semula sebelum menghilangkan diri sehingga ke hari ini,” katanya.

Akibat kejadian itu, Asmah terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira 10.45 pagi hari yang sama dan meminta agar kes itu dirujuk ke Jabatan Agama Islam Daerah Alor Gajah (JAIM) kerana bimbang akan keselamatan diri serta masa depan anaknya yang terancam akibat tindakan suaminya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan laporan yang dibuat pengadu dan selepas siasatan dijalankan, kes tersebut kini dirujuk kepada JAIM untuk tindakan selanjutnya.
SH

Terkejut bil elektrik melambung




KAMPUNG SAWAH SUNGGALA – Penduduk di sini terkejut dan kecewa dengan bil elektrik bulanan yang dikeluarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tidak masuk akal.

Penduduk mendakwa, sejak dua bulan lalu, jumlah bil bulanan yang diterima mereka mencecah ribuan ringgit sedangkan sebelum ini kadar penggunaan bulanan mereka tidak melebihi RM300.

Seorang penduduk, Mariam Kim Chuan berkata, bil elektrik rumahnya yang bertarikh 26 April mencecah RM2,205.05.

Menurutnya, ia tidak masuk akal untuk penggunaan sebuah isi rumah yang hanya berkelengkapan asas sahaja ditambah jumlah penghuni juga tidak lebih dari tujuh orang.

“Sebelum ini, penggunaan elektrik hanyalah sekitar RM200 dan jarang mencecah RM300.

“Ia langsung tidak masuk akal dan mendatangkan keraguan berkenaan ketelusan pihak syarikat TNB dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Mariam berkata, dalam masa sama, dia juga menerima surat amaran pemotongan bekalan elektrik sekiranya jumlah tunggakan tidak dibayar dalam tempoh 30 hari dari tarikh tarikh penyerahan bil.

“Awal tahun lalu saya sudah pun menerima surat amaran ini dan bil tunggakan sudah pun dijelaskan walaupun sebenarnya saya tidak pernah mempunyai bayaran tertunggak kerana sentiasa menjelaskan bil setiap bulan.

“Saya menjelaskan bayaran tunggakan seperti yang didakwa kerana tidak mahu memanjangkan isu,” katanya

Menurutnya lagi, setelah dua kali menerima surat amaran berkenaan, dia merasakan ada sesuatu yang tidak telus berlaku yang diguna pakai syarikat berkenaan mengakibatkan penduduk kampung sepertinya teraniaya.

Mariam berkata, adalah menjadi harapan agar pihak TNB dapat turun padang bertemu masyarakat yang merupakan pelanggan mereka secara khusus untuk membincangkan atau menerangkan berkenaan kaedah pengeluaran bil bulanan.

“TNB boleh mengadakan satu program bersama masyarakat dan ia dapat memberikan penjelasan dengan lebih jelas serta terperinci bagi menjernihkan keadaan dan rasa tidak puas hati penduduk berhubung bil yang tidak masuk akal.

“Ini bagi mengelakkan pengguna merasa teraniaya dan tertindas lebih-lebih lagi penduduk di luar bandar,” katanya.

Malah katanya, selain dia, rata-rata penduduk di Kampung Sawah Sunggala juga berhadapan masalah yang sama.
SH

Ketua kampung dikhianat




HULU YAM - Keselamatan keluarga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Kamin, Roslee A Rahman terancam ekoran tindakan jahat kumpulan tertentu yang bertindak memecahkan cermin van dan menyimbah cat merah di hadapan rumah mereka.

Walaupun tindakan itu hanya disasarkan kepada vannya, namun Roslee merasakan itu satu ugutan serius dan memaksa beliau membuat laporan polis.

“Keselamatan keluarga saya terancam dan tidak mustahil mereka akan bertindak lebih dari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Roslee berkata, kejadian itu hanya disedari kira-kira jam 4.30 pagi ketika beliau keluar membuang sampah.

Menurutnya, dua biji batu bersaiz penumbuk dewasa ditemui di dalam vannya sementara sebiji lagi di atas lantai laman rumahnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian dilakukan kumpulan upahan.

Katanya, pada jam 2.20 pagi itu, beliau terdengar bunyi bising dan pagar i rumahnya turut digoyangkan, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya tidak pernah memusuhi sesiapa dan tidak berhutang. Kejadian begini saya rasa ia hanya bermotif politik.

“Sejak awal-awal lagi saya dilantik sebagai Ketua Kampung, sudah ada yang tidak puas hati dengan saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Menurutnya, selain rumahnya, dua balai raya di kampung terbabit turut menjadi mangsa tindakan kumpulan tidak bertanggungjawab apabila diconteng dengan perkataan ‘ini balai pancut’.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu dilakukan sejak tiga minggu lalu dan beliau beranggapan tindakan itu dilakukan kumpulan sama.

“Tindakan sebegini tidak wajar dilakukan. Sebaiknya, sekiranya ada kemusykilan, ia perlu diselesaikan secara muzakarah.

“Bukan dengan ugutan dan merosakkan harta benda yang akhirnya akan merugikan mereka apabila tertangkap,” katanya.

Susulan laporan polis dibuat, pegawai penyiasat juga telah datang ke rumah mangsa dan membawa sebiji batu yang diambil dari dalam van untuk dijadikan bukti.

Penghulu Mukim Hulu Yam, Tauran Abdul Hamid turut datang melawat rumah mangsa semalam.
SH

Cemas disamun tiga lelaki

KLANG - Seorang pekerja syarikat kiriman segera berdepan detik cemas apabila dia dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau ketika dalam perjalanan mengambil lori di Bukit Kuda, Rabu lalu.

Berikutan kejadian itu, sejumlah wang milik syarikat untuk membeli beberapa keperluan pejabat termasuk beberapa dokumen pengenalan diri lain yang tersimpan dalam dompetnya lesap dikebas penyamun.

Mangsa yang ingin dikenali Bad, 33, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 pagi ketika dia dalam perjalanan ke rumah majikannya di Bukit Kuda.

“Ketika sedang memandu berseorangan di laluan yang agak gelap di Bukit Kuda, tiba-tiba dua kereta jenis Proton Wira dan Iswara memberhentikan kenderaan secara mengejut dengan menghadang laluan kereta saya.

“Pada masa yang sama, tiga lelaki keluar dari kenderaan lalu meluru ke arah saya yang masih terpinga-pinga dengan situasi itu. Mereka memaksa saya membuka pintu kenderaan sebelum salah seorang daripadanya menarik saya keluar sambil memegang kolar baju,” katanya.

Menurutnya, ketika sedang berdiri salah seorang daripadanya mengacukan pisau di belakang badan saya sambil salah seorang lagi memaksa saya menyerahkan dompet.

“Tanpa sempat saya menyeluk poket, mereka terlebih dahulu merentap poket dengan kuat.

“Kunci kereta saya turut dicabut daripada kenderaan lalu dibalingnya ke seberang jalan bagi mengelakkan saya mengejar mereka.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam beberapa saat sahaja mereka sudah beredar dengan memecut kenderaan menghala ke Kampung Kuantan,” katanya.

Menurutnya, seluruh badan menggeletar kerana terlalu terkejut dengan kejadian yang pertama kali berlaku dalam hidupnya.

“Bagaimanapun, saya terpaksa menggagahkan diri ke rumah majikan untuk mengambil lori bagi memulakan tugas mengambil kiriman cepat di Petaling Jaya seawal jam 4 pagi.

“Kira-kira jam 12 tengah hari, saya membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Klang,” katanya.

Bad berkata, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah ketiga-tiga lelaki terbabit, bagaimanapun percaya mereka berketurunan India berdasarkan susuk tubuh dan bahasa percakapan mereka.

“Orang ramai diingatkan berhati-hati ketika memandu berseorangan pada awal pagi bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya. SH

Pencuri nekad angkut peti ais




KOTA DAMANSARA – Sekumpulan pencuri terdesak sanggup mengangkut sebuah peti ais turun dari tingkat 16 gara-gara tidak berpuas hati dengan hasil yang diperoleh selepas memecah masuk sebuah rumah milik ibu tunggal di Blok D Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, dekat sini.

Sikap terdesak kumpulan pencuri cukup juga jelas apabila barang mentah seperti ikan, daging dan sekampit beras yang belum digunakan turut dilarikan.

Mangsa, Rosmanani Omar, 49, yang tiada dikediamannya sejak seminggu lalu terkejut selepas mendapati rumahnya berselerak selepas pulang pada jam 1.30 petang kelmarin.

Menurutnya, ketika itu hampir ke semua barangan elektrik sudah dilonggokkan di hadapan pintu seolah-olah menanti masa untuk dilarikan.

“Pada mulanya saya ingat anak yang baru pulang dari asrama yang buat, tapi bila periksa dengan teliti banyak barang kemas seperti gelang, cincin serta wang tunai turut hilang,” katanya.

Rosmanani percaya pencuri terbabit masuk ke rumahnya melalui balkoni sebuah rumah kosong di tingkat atas dan keluar melalui pintu utama yang dibuka menggunakan kunci pendua yang disimpan di dalam rumah.

“Kawasan ini sunyi terutama pada waktu malam, saya seorang sahaja yang tinggal di tingkat ini, jadi pencuri boleh ambil kesempatan,” katanya yang sudah tinggal di situ sejak 2003.

Rosmanani berkata, sebelum ini dia mahu berpindah ke tingkat bawah, namun menghadapi masalah kerana rumah yang kosong di situ kebanyakan sudah rosak dan perlu dibaikpulih terlebih dahulu dan memerlukan belanja besar.

“Saya bukan orang senang, jadi terpaksalah berada di unit yang ada sekarang, bila malam kalau hendak ke lif kena guna lampu suluh sebab koridor terlalu gelap kerana semua lampunya rosak kerana tidak dibaikpulih,” katanya.

Akibat kejadian itu mangsa kerugian kira-kira RM6,000 dan laporan kejadian dibuat di Balai Polis Kota Damansara.
SH

Terima padah




TEMERLOH – Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur yang baru dikenali kira-kira lima bulan lalu.

Tertuduh Muhammad Ridhauddin Mahat 22, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Dasuki Ali sebaik pertuduhan ke atasnya dibaca di Mahkamah Sesyen Temerloh di sini semalam.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berumur 14 tahun sembilan bulan kira-kira jam 12.50 tengah hari 13 Mei lalu di sebuah rumah di Jalan Aman di sini.

Tertuduh kelihatan mengakui kesalahannya sebaik dibawa ke mahkamah dan membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Walau bagaimanapun tertuduh merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan.

“Saya pohon jasa baik supaya hukuman dikurangkan kerana ibu saya sakit, saya ingin bantu ibu. Saya mohon hukuman seringan-ringannya,” rayu tertuduh.

Hakim Dasuki Ali kemudian memerintahkan hukuman penjara enam tahun ke atas Muhammad Ridhauddin berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap dan sekali sebatan.

Mengikut laporan, mangsa tidak menyedari kejadian yang berlaku sehinggalah dia melalui jalan Pasar Temerloh apabila ditegur seorang makcik yang melihat banyak darah pada seluar yang dipakainya.

Tertuduh ditangkap pada 14 Mei lalu selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian.

Kes tersebut dibicarakan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rashidi Abdul Rahi
SH

Lumpuh selepas dipanah petir




KUANTAN – Seorang warga emas di Taman Mahkota Aman di sini lumpuh setelah jatuh dipanah petir sejak enam tahun lalu.

Menurut anaknya, A Selvani, 40, ayahnya Angamuthoo Murugan, 73, jatuh sebaik sahaja dipanah petir ketika sedang menoreh getah di Maran.

“Keadaan ayah pada mulanya tidaklah seteruk mana, namun lama kelamaan badan ayah semakin tidak stabil menyebabkan dia kini tidak boleh berjalan.

“Menurut doktor, sukar untuk ayah kembali sembuh kerana saraf di bahagian kakinya semakin mengecut menyebabkan dia tidak mampu berjalan,” katanya.

Menurut Selvani, semangat dan sokongan anak-anak menyebabkan ayah mereka kini mampu tersenyum sekali gus memberinya kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

“Kami adik-beradik memang ambil berat soal kebajikan dan kesihatan ayah dan jauh dalam hati kami mengharapkan dia boleh sembuh semula,” katanya.

Sementara itu, nasib Angamuthoo mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Shohaimi Jusoh dengan pemberian sumbangan kerusi roda.

Menurut Shohaimi, sumbangan tersebut adalah salah satu daripada usaha pihaknya untuk mendekati penduduk yang memerlukan bantuan.

Beliau menjelaskan, sejak dua bulan lalu, pihaknya menjalankan program ziarah di sekitar DUN Lepar ini bagi menjejaki penduduk yang kurang bernasib baik.

“Program ini bergantung kepada laporan dan maklumat daripada pemimpin setempat untuk dimaklumkan kepada pihak saya bagi tindakan susulan.

“Keutamaan bantuan akan diberi kepada penduduk yang menghidap penyakit kronik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan lebih banyak maklumat daripada penduduk setempat dalam usaha melaksanakan matlamat Program Ziarah ini terutama kes yang terlepas pandang.

Hadir sama, jawatankuasa MIC Bahagian Paya Besar.
SH

Lepas gian dengan kekasih




BATU TIONG - Walaupun pernah melahirkan anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan beberapa teman lelaki, namun ia belum cukup memberi pengajaran kepada ibu beranak satu yang turut terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Rahsia wanita berumur 22 tahun ini dipercayai terbongkar apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada di rumah teman lelakinya yang juga bekas banduan dekat sini, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Wanita yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan itu dikatakan bertandang ke rumah teman lelakinya di Kampung Batu Tiong untuk melepaskan gian dadah.

Namun, dia tidak bernasib baik kerana tindakannya itu dipercayai berjaya dihidu anggota Polis Narkotik yang difahamkan lebih awal membuat risi-kan ke atas gerak-geri mereka.

Hasil ujian saringan air kencing, teman lelakinya bersama suspek wanita yang mempunyai seorang anak berumur dua tahun hasil hubungan haram itu didapati positif methampethamine.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-duanya akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan berdepan hukuman denda maksimum 5,000 atau penjara dan pengawasan dua tahun jika sabit kesalahan.
SH

Kempunan jumpa anak




MARANG – Sudah menjadi rutin setiap minggu, seorang penyelia teknikal sebuah syarikat perkapa-lan dari Kemaman, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, akan pulang menjenguk isteri dan tiga anaknya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan memandu kereta seorang diri.

Bagaimanapun, suratan takdir sudah menentukan minggu ini adalah minggu terakhir mangsa yang beralamat dari Kampung Putat Pendek, Pasir Mas dapat berbuat demikian selepas bapa tiga anak itu maut dalam kemalangan malam kelmarin.

Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 9 malam di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, ketika Tengku Azman dalam perjalanan pulang ke Pengkalan Chepa selepas pulang dari kerja.

Sepupu mangsa, Mohd Faisal Mohd Fauzai, 28, berkata, kebiasaannya arwah akan ke rumah isterinya di Pengkalan Chepa untuk bertemu anaknya terlebih dahulu sebelum pergi melawat keluarganya di Kampung Rupek, Pasir Hor pada keesokan harinya.

Menurutnya, sejak bekerja sebagai penyelia teknikal di sebuah syarikat perkapalan di Kemaman lebih kurang setahun lalu arwah tidak pernah terlepas dan pasti akan pulang menjenguk keluarga setiap minggu dengan memandu seorang diri.

“Bagaimanapun semalam, kami semua terkejut dengan kejadian kemalangan yang menimpanya namun kami tetap reda dengan ketentuan Tuhan kerana Tuhan lebih menyayanginya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan, nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta Mercedes yang dipandu Tengku Azman gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu .

Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang diketuai Penolong Kanan Penguasaha Bomba, Mohd Zamri Awang Long dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Mohd Zamri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kemalangan tersebut setengah jam kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira jam 10 malam.

“Kita terpaksa menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa berikutan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta dipandunya merempuh besi pengadang jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan menerima lapo-ran mengenai kejadian kemalangan di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk di dada dan siasatan awal polis mendapati kemala-ngan berlaku tanpa melibatkan pertembungan dengan kenderaan lain.

“Mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga mangsa pagi semalam,” katanya.

Gempar, kampung diselubungi asap




KELULUT - Penduduk gempar apabila langit diselubungi asap hitam akibat kebakaran yang berlaku membabitkan pusat pengumpulan barangan kitar semula, petang kelmarin.

Sinar Harian setelah dimaklumkan penduduk mendapati asap hitam yang tebal itu dapat dilihat sejauh lima kilometer dari tempat kejadian.

Kepulan asap akibat kebakaran pada mulanya kelihatan kecil itu menarik perhatian orang ramai apabila ia memenuhi ruang udara kampung.

Penolong Kanan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Mohd Zamri Awang Long ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebaka-ran itu pada jam 6.04 petang.

Menurutnya, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran dan tiba di lokasi kebakaran jam 6.11 petang.

“Ketika sampai, api sudah marak dan pasukan kami mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Kebakaran hanya dapat dikawal sepenuhnya lebih kurang jam 7 malam,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, kebakaran tersebut tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan pekerja.

Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami pemilik kilang berkenaan.

Sementara itu, penduduk yang enggan dikenali memberitahu, terdapat timbu-nan plastik mampat dan pelbagai barangan lain dalam kawasan pusat pengumpulan barangan kitar semula itu ketika kejadian yang menyebabkan api cepat merebak.

Namun, katanya, tiada pekerja yang berada di kilang berkenaan kerana ia ditutup pada waktu itu. Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati, sebahagian besar barang kitar semula musnah termasuk alat yang digunakan untuk memampatkan barang lusuh di kilang berkenaan.
SH

Ibu muda curi dalam surau




KOTA BHARU – Seorang ibu muda yang didapati bersalah mencuri dalam surau di sebuah pasar raya di daerah ini dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.

Majistret Noorhaslinda Che Seman turut mengenakan denda sejumlah RM1,400 sejurus wanita berusia 30 tahun itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencuri yang dibacakan terhadapnya.

Zuraina Uddin didapati mencuri dua telefon bimbit I-Phone, Nokia X2-00 dan jam tangan Guess milik Tuan Siti Nuurjannah Tuan Soh bernilai RM900 di Surau Pasar Raya Parkson, di sini, 14 Mei lalu.

Pada tarikh sama 30 minit sebelum kecurian itu, Zuraina terlebih dahulu mencuri telefon bimbit Nokia 2330 C-2 bernilai RM100 milik seorang lagi mangsa lain, Syahmi Nadia Che Lah yang dilaporkan hilang di surau sama jam 3.15 petang.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa singgah bersembahyang di surau berkenaan sebelum menyedari beg tangan yang mengandungi telefon bimbit bersama wang tunai itu dicuri.

Kedua-dua mangsa kemudiannya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh pada hari sama kejadian berlaku.

Majistret Noorhaslinda menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan untuk kesalahan pertama manakala tiga bulan penjara serentak untuk kesalahan kedua mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Zuraina turut berdepan sebulan penjara masing-masing sekiranya gagal menjelaskan denda terhadap dua kesalahannya itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.
SH

Dua sahabat dituduh miliki dua jenis dadah

KOTA BHARU – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin kerana dituduh dalam tiga pertuduhan berasingan memiliki dua jenis dadah ketika ditahan dalam serbuan, 15 Mei lalu.

Mohd Haniff Hussin bagaimanapun mengaku tidak bersalah sementara tertuduh kedua, Rahmat Yusof mengaku memiliki kesemua dadah berkenaan.

Kedua-dua lelaki berusia 28 tahun itu didakwa secara bersama memiliki 1.2 gram Heroin, 0.5 gram Heroin dan 0.9 gram Metamphetamine di sebuah rumah tanpa nombor Kampung Batu 2 Jalan Kuala Krai, di sini pada jam 6.30 pagi, tarikh berkenaan.

Mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada prosiding jam 12.35 tengah hari itu, Majistret Noorhaslinda Che Seman membenarkan mereka diikat jamin sejumlah RM7,000 setiap seorang masing-masing dengan seorang penjamin.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia kes berkenaan.

Kedua-duanya turut mengaku positif dadah dan menunggu tarikh sama untuk hukuman selepas penerimaan laporan patologi mereka.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam. SH

Tidak kesampaian jumpa anak isteri




KOTA BHARU – Mangsa nahas ngeri di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan adalah suami yang baik dan tidak melepaskan peluang untuk balik menjenguk anak isteri dan keluarga setiap minggu.

Penyelia Teknikal syarikat perkapalan di Kemaman, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, meninggal dunia di tempat kejadian jam 9 malam kelmarin apabila kereta yang dipandu terbabas merempuh pengadang jalan ketika mengambil selekoh.

Sepupu mangsa, Mohd Faisal Mohd Fauzai, 28, berkata, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pengkalan Chepa petang semalam.

Menurutnya, keluarga mengetahui berita kematian itu kira-kira jam 11 malam kelmarin dan beberapa anggota keluarga bergegas ke Marang untuk menuntut jenazah di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Biasanya arwah balik ke rumah isterinya di Pengkalan Chepa sebelum melawat keluarga di Kampung Repek, Pasir Hor.

“Sejak bekerja di Kemaman setahun lalu, dia balik setiap minggu dengan memandu seorang diri dan kami tidak menyangka hasrat untuk bertemu keluarga kali ini tidak kesampaian,” katanya.

Mangsa yang berasal dari Kampung Putat Pendek, Pasir Mas tersepit di tempat duduknya dan terpaksa dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Zamri Awang Long.

Mohd Zamri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kemalangan tersebut setengah jam kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira jam 10 malam.

“Kita terpaksa gunakan ‘hydraulic cutter’ untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaan mangsa tersepit di tempat duduk,” katanya.
SH

Sindiket guna Facebook tipu wanita asing



Dua warga Nigeria, seorang wanita setempat ditahan


KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan didalangi tiga individu dikesan menggunakan laman sosial Facebook memikat mangsa wanita dan menjanjikan hadiah sejumlah wang tunai sebelum memperdayakan mangsa.
Difahamkan, dua lelaki warga Nigeria berperanan mencari mangsa terutama warga asing melalui laman sosial berkenaan dan menjadikan mereka sebagai teman wanita.Sebaik menjalinkan hubungan cinta, sindiket berkenaan mendakwa menghantar bungkusan mengandungi sejumlah wang melalui ejen syarikat penghantaran di Malaysia kepada mangsa sebagai hadiah cinta.Bagaimanapun, tindakan licik sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan selepas tiga suspek iaitu dua lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di dua lokasi berasingan di Cheras dan Seri Kembangan, Isnin lalu.Tangkapan itu dilakukan hasil laporan polis yang dibuat seorang wanita, yang juga ahli perniagaan dari Taiwan, mendakwa kerugian RM380,000 ($155,775) selepas melakukan beberapa transaksi kepada sindiket berkenaan melalui Western Union.Turut dirampas ialah empat kenderaan, sejumlah barangan kemas bernilai RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer, kad ATM dan visa pelbagai bank, beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM14,000 dan wang tunai AS$15,000.Timbalan Pengarah II, JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf, berkata mangsa berusia 43 tahun mendakwa mengenali seorang suspek menggunakan nama 'John Miller' awal Februari lalu melalui Facebook dan menjalinkan hubungan cinta sebelum diperdaya.'Mangsa dijanjikan bungkusan mengandungi wang tunai RM4.6 juta sebagai hadiah tetapi diminta membuat transaksi RM380,000 berikutan bungkusan itu didakwa mengandungi masalah untuk dihantar.'Mangsa yang sempat membuat tiga kali transaksi bagaimanapun sedar beliau ditipu apabila menyedari barang dijanjikan tidak sampai sebelum tampil membuat laporan di Kedutaan Taiwan di Malaysia akhir Februari lalu,' katanya.Datuk Mohd Rodwan berkata, siasatan polis mendapati, suspek iaitu dua lelaki warga Nigeria berusia 30-an dan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun turut melakukan perniagaan kereta sewa dipercayai hasil keuntungan penipuan.'Siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk menyiasat sama ada terdapat pembabitan individu lain. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan ramai lagi menjadi mangsa sindiket itu,' katanya.Datuk Mohd Rodwan berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima laporan 245 kes dan menangkap 48 individu berhubung penipuan menggunakan modus operandi sama membabitkan nilai kerugian RM9.4 juta.Berbanding sepanjang tahun lalu, sebanyak 759 kes direkodkan dan 30 individu ditahan serta membabitkan jumlah kerugian RM20.5 juta. -- BHM.

Petani Tipu Pemilik Kedai Perabot Dipenjara Setahun, Dua Sebatan


KUALA LUMPUR: Seorang petani dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat kerana kesalahan menipu seorang pemilik kedai perabot sebanyak RM100,000, empat tahun lepas.
Hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu terhadap Ong Chee Seng selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir kes pembelaan.
Ong, 27, didakwa menipu Lim Ming Poh, 50, dengan memperdayakan pemilik kedai perabot itu bahawa dia boleh menyediakan pinjaman wang sebanyak RM1 juta sehingga mendorong Lim melalui wakilnya, Tan Keng Har, 28, iaitu kerani akaun di kedainya menyerahkan RM100,000 kepada tertuduh untuk menjayakan pinjaman wang itu.
Bapa kepada tiga orang anak itu dituduh melakukan kesalahan itu di U-Trend Industry Sdn Bhd, No 1A, Lot 210, Batu 4 1/2, Jalan Gombak, Sentul di sini pada 10.30 pagi, 30 Ogos 2007.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam Chin Choong Seong yang mewakili Ong memohon supaya anak guamnya itu tidak dikenakan hukuman penjara sebaliknya mengenakan bonjaminan berkelakuan baik memandangkan tertuduh telah menginsafi kesalahan yang dilakukan.
"Tertuduh yang masih muda ketika kejadian iaitu 23 tahun mudah terpengaruh untuk mendapatkan wang dan melibatkan diri dalam kegiatan pinjaman wang secara salah. Ini juga merupakan kesalahan pertama tertuduh," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan tertuduh telah mengambil kesempatan ke atas kesulitan yang dialami mangsa.
"Tertuduh kononnya boleh menawarkan pinjaman sehingga mendorong mangsa mengalami kerugian sebanyak RM100,000. Oleh itu, hukuman pemenjaraan dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama," katanya. - BERNAMA
]mStar Online : Petani Tipu Pemilik Kedai Perabot Dipenjara Setahun, Dua Sebatan

Penunggang Motosikal Maut Nahas Langgar Lari

mStar Online : Penunggang Motosikal Maut Nahas Langgar Lari: "Penunggang Motosikal Maut Nahas Langgar Lari
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta yang memasuki laluan salah dalam kejadian langgar lari di Jalan Cheras menghala ke Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Supritendan (DSP) Abdullah Roning berkata kejadian berlaku kira-kira 1.45 petang tadi apabila Yip Yoon Kong, 51, hendak keluar dari sebuah lorong sebelum bertembung dengan sebuah Proton Putra yang memasuki simpang itu.

'Akibat pertembungan itu, Yoon Kong yang beralamat di Batu 9 Cheras, maut di tempat kejadian,' katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini.

Abdullah berkata menurut saksi, pemandu kereta dengan nombor pendaftaran WGB 4438 adalah seorang lelaki tetapi dia kemudian melarikan diri.

Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai, katanya. - BERNAMA"

Mayat Pelajar Lemas Di Pantai Kelanang Ditemui

mStar Online : Mayat Pelajar Lemas Di Pantai Kelanang Ditemui: "Mayat Pelajar Lemas Di Pantai Kelanang Ditemui
BANTING: Mayat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, yang lemas semasa menjaring ikan bersama bapanya di Pantai Kelanang petang Jumaat, ditemui berdekatan pantai itu pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan 1 di Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Banting Ahmad Fadzilla Tahir berkata mayat Mohd Adam Hafiz Abdul Rahman ditemui pihak bomba kira-kira 50 meter dari pantai itu pada 11 pagi.

Mayat bapanya Abdul Rahman Ammerijam, 39, ditemui seorang nelayan di perairan Tongkah, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian pada 7.30 malam semalam, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata bomba mendapat panggilan daripada orang awam pada 6.24 petang semalam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 30 minit kemudian.

Ahmad Fadzilla berkata kedua-dua beranak itu, yang menetap di Taman Sungai Emas di sini, mungkin tidak sedar air sedang pasang besar semasa sedang memasang jaring.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat, katanya.

Usaha mencari itu disertai lima anggota polis, enam anggota Jabatan Pertahanan Awam, enam anggota Ikatan Relawan Rakyat, 12 anggota bomba termasuk enam penyelam sejak semalam. - BERNAMA"

Maut kejar peragut


USUNG...jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah  untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Nur Syaza Yasmin.

USUNG...jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Nur Syaza Yasmin.

PADANG BESAR: “Saya tak sangka niat arwah keluar membeli nasi ayam kegemarannya malam semalam (kelmarin) berakhir tragedi memilukan, malah lebih menyedihkan apabila saya tak sempat bercakap seharian dengannya.”
Begitu kata Ruslan Ali, 49, apabila anaknya, Nur Syaza Yasmin, 17, terbunuh akibat digilis sebuah kereta selepas terjatuh dari motosikal diboncengnya ketika cuba mengejar seorang lelaki yang cuba meragut beg duitnya di Jalan Kangar-Padang Besar dekat Balai Baru di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah termasuk pecah kepala manakala adiknya, Nur Syaza Norah, 15, yang menunggang motosikal berkenaan hanya cedera ringan.

Ruslan dari Kampung Bukit Keteri berkata, anak kedua daripada empat beradik itu membonceng motosikal yang ditunggangi adiknya dan keluar dari rumah mereka kira-kira jam 7.30 malam.

Menurutnya, dia dimaklumkan mereka sempat mengisi petrol di stesen minyak berhampiran sebelum membungkus nasi ayam kegemaran arwah yang dibeli di Pekan Balai Baru.

NATO bedil kapal perang Libya

KAPAL-kapal perang Libya musnah terbakar di pelabuhan Tripoli selepas
dibedil oleh pesawat pejuang NATO pada awal pagi semalam. – AFP
 

BRUSSELS 20 Mei – Pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membedil lapan kapal perang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi malam tadi di pelabuhan Tripoli, Al Khums dan Sirte, lapor pasukan tentera bersekutu itu dalam satu kenyataan.
“NATO dan aset udara tentera bersekutu malam tadi melancarkan serangan udara ke atas tentera Gaddafi di pelabuhan Tripoli, Al Khums dan Sirte.
“Kami berjaya membedil lapan kapal perang pemimpin Libya itu,” menurut kenyataan tersebut.
Timbalan Komander Operasi Perlindungan Bersatu, Laksamana Muda Russell Harding berkata, NATO hanya melancarkan serangan udara ke atas tentera Libya.
“Mengambil kira penggunaan aset tentera laut oleh Libya, NATO tidak mempunyai pilihan kecuali mengambil langkah tegas untuk melindungi penduduk awam dan tentera laut NATO di laut,” katanya.
Beberapa letupan turut kedengaran di ibu negara Libya, Tripoli awal hari ini beberapa jam selepas serangan udara NATO dilancarkan di pelabuhan yang menyaksikan sebuah kapal terbakar.
Bagaimanapun, wartawan AFP tidak dapat memastikan sama ada yang terbakar itu adalah kapal tentera atau kapal biasa.
NATO dalam kenyataan itu menjelaskan, pihaknya telah menyaksikan penggunaan meluas periuk api serta kekerasan oleh tentera yang setia kepada Gaddafi.
“Ia secara tidak langsung menjejaskan aliran masuk bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan dan meletakkan NATO dalam risiko. Taktik yang digunakan tentera Gaddafi ini juga menunjukkan niat sebenar mereka untuk menyerang tentera NATO,” jelas kenyataan tersebut. – AFP

Gempa kuat melanda Turki

MENTERI Alam Sekitar Turki, Veysel Eroglu (dua dari kanan) bercakap
dengan pemberita di hadapan bangunan yang rosak teruk
ekoran gempa bumi di bandar Simav, dekat Kutahya, Turki, semalam. – REUTERS
 

ANKARA 20 Mei – Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter menggegarkan barat Turki, meruntuhkan beberapa bangunan lama dan sebuah masjid serta mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang maut serta mencederakan hampir 100 yang lain, kata pihak berkuasa.
Menurut kenyataan Pusat Cerap Kandili yang berpusat di Istanbul, gempa bumi itu berlaku di wilayah Kutahya pada pukul 11.15 malam semalam (4.15 pagi hari ini waktu Malaysia) dan di tengah-tengah bandar Simav.
Menteri Alam Sekitar, Veysey Eroglu berkata, dua orang maut termasuk seorang daripadanya yang melompat keluar dari tingkap akibat panik di Simav.
Katanya, seorang wanita tua turut maut selepas mengalami serangan jantung di sebuah lagi bandar, Inegol.
Tambahnya, kira-kira 79 orang tercedera, kebanyakannya terkena pecahan kaca atau melompat daripada beranda serta mengalami serangan jantung akibat panik dengan gegaran, dibawa ke hospital di Simav.
Jelasnya, seorang mangsa mengalami kecederaan serius dan 15 yang lain dirawat di hospital wilayah berjiran yang terletak di Usak.
Pengarah Pusat Cerap Kandili, Mustafa Erdik berkata, gempa bumi tersebut disusuli dengan 50 gegaran, dan gegaran paling kuat bermagnitud 4.6 menggegarkan Kutahya.
Dia memberi amaran lebih banyak gegaran akan menyusul dalam beberapa hari akan datang.
Di Jepun, gempa bumi berukuran magnitud 5.8 menggegarkan Tokyo dan beberapa kawasan lain di timur negara ini hari ini, kata agensi meteorologi. – Agensi

Juruteknik maut rempuh penghadang

ANGGOTA polis memeriksa kereta Tengku Azman Tengku Saibon yang
 terlibat dalam kemalangan di Kilometer 25,
Kuala Terengganu-Dungun, Marang, kelmarin.
 

MARANG 20 Mei - Seorang juruteknik maut setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 25, Kuala Terengganu-Dungun, dekat Kampung Alor Toman, di sini malam semalam.
Kemalangan pukul 8.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, tersepit dalam kereta yang remuk dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke Kampung Putat Pendek, Kota Bharu, Kelantan dan bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan luar pesisir di Kemaman.
Seorang penduduk, Ramlah Yatim, 40, berkata, kemalangan itu berlaku ketika dia dan keluarga sedang menikmati makan malam sebelum terdengar bunyi kesan brek yang kuat.
"Kami lalu bergegas keluar dan ternampak sebuah kereta remuk terlanggar besi penghadang jalan depan rumah. Saya juga melihat seorang lelaki tersepit pada bahagian pemandu dan dalam keadaan parah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelas Ramlah, beberapa pengguna jalan raya berhenti dan cuba membantu tetapi gagal kerana keadaan mangsa kritikal dan hanya mampu mengajar lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah.
"Anggota bomba dan penyelamat yang datang tidak lama kemudian mengeluarkan mayat mangsa dengan mengopak bumbung kereta," katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Mohd. Zohan Seman ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Warga Afrika guna pas pelajar laku jenayah?

KUALA LUMPUR 20 Mei - Polis tidak menolak kemungkinan wujud sindiket tertentu melibatkan warga Afrika khususnya Nigeria menggunakan taktik mendapatkan visa pelajar untuk masuk ke negara ini sebelum melakukan jenayah termasuk penipuan Internet.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati rata-rata suspek yang ditahan berhubung kes penipuan Internet memegang visa pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan statistik melibatkan warganegara berkenaan yang ditahan kerana melakukan jenayah itu di negara ini.
Katanya, pihaknya sentiasa memantau aktiviti penipuan Internet dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kebanyakan mereka yang berjaya ditahan dan diperiksa mempunyai visa pelajar untuk masuk ke Malaysia. Oleh itu, kita sentiasa memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kerugian yang banyak dan mencecah jutaan ringgit.
"Pemantauan yang berterusan sentiasa kita lakukan bersama dengan agensi penguat kuasa yang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam laporan akhbar hari ini, JSJK Bukit Aman berjaya menahan dua lelaki warga Nigeria selepas memperdaya seorang wanita rakyat Taiwan dengan ayat-ayat cinta sehingga mengakibatkan kerugian RM380,000.
Kegiatan suspek terbongkar selepas mangsa berusia 43 tahun datang ke negara ini setelah menyedari dirinya ditipu seterusnya membuat laporan polis di Kedutaan Taiwan di sini, Februari lalu.
Tambah Syed Ismail, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan risikan mengesan individu yang melakukan jenayah penipuan berkenaan di negara ini.
Beliau turut menasihati wanita agar lebih berhati-hati dan tidak mudah memberikan maklumat peribadi kepada individu yang baru dikenali melalui Internet.

Sindiket keluarkan kad nasional Myanmar tumpas

Pegawai Imigresen (kiri) menahan warga Myanmar yang tidak memiliki
pas lawatan di Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar, semalam.
 

ALOR SETAR 20 Mei - Jabatan Imigresen Kedah menahan 10 rakyat Myanmar dalam serbuan di Taman Mahsuri, Jitra semalam, kerana disyaki terlibat mengeluarkan Kad National League For Democracy (Liberated Area) kepada warganegara itu yang memasuki negara ini secara haram.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Hasreena Hashim berkata, dalam serbuan pukul 11 pagi, pihaknya turut merampas komputer riba, komputer, alat pencetak dan dokumen-dokumen yang dipercayai digunakan untuk membuat kad tersebut.
"Kad tersebut hanya digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan tidak diiktiraf di negara ini melainkan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
"Sindiket tersebut mengenakan bayaran RM500 seorang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ingin mendapatkan kad itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek termasuk seorang wanita yang ditahan berusia antara 24 hingga 34 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri.
Dalam kes berasingan, enam warganegara Myanmar ditahan di Plaza Tol Hutan Kampung di sini, pukul 7.30 pagi ini kerana disyaki cuba memasuki negara ini secara haram.
"Kesemua mereka dipercayai baru sahaja memasuki negara ini melalui hutan di kawasan sempadan dan akan dihantar kepada orang tengah di Bukit Selambau, Sungai Petani untuk bekerja.
"Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 30 tahun serta tidak memiliki sebarang permit yang sah dan kesemuanya dibawa balik ke Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Alor Setar untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Tiga keldai dadah ditahan

Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (kanan) dan pegawainya melihat dadah
 jenis syabu yang dirampas daripada tiga
 warga Bulgaria di Johor Bahru, semalam.
 

JOHOR BAHRU 20 Mei – Biarpun taktik menggunakan bagasi yang diubah suai untuk menyeludup dadah ke negara ini sering ditumpaskan pihak polis, masih ada keldai dadah cuba-cuba ‘menyembunyikannya’ dengan kaedah itu.
Terbaru, tiga warga asing dari Bulgaria ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 5.68 kilogram, bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 25, 26 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pukul 4.15 petang.
“Kesemua suspek yang dipercayai keldai dadah dari satu sindiket dadah antarabangsa Asia Barat ke Malaysia, ditahan sejurus tiba di LTASI.
“Mereka membawa dua bagasi pakaian yang diubah suai dengan dadah tersebut disorokkan di dalam ruang khas dan dilekatkan dengan pita pelekat.
“Berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek telah empat kali masuk ke Malaysia manakala dua lagi kali pertama ke negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Mokhtar, sekiranya dadah tersebut terlepas ke pasaran dan diedarkan, ia mampu menampung kira-kira 20,000 penagih dadah.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati, modus operandi mereka menggunakan lapangan terbang domestik bagi mengelirukan pihak berkuasa tempatan.
Mohd. Mokhtar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti destinasi suspek sebelum memasuki Malaysia.
“Kejayaan menumpaskan sindiket dadah tersebut adalah kali kedua kerana kita turut mematahkan cubaan menyeludup dadah dengan tertangkapnya dua lelaki warga Iran di LTASI pada 30 April lalu,” ujarnya.
Kesemua suspek, katanya, direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Maut rempuh besi penghadang

MARANG: Seorang pegawai teknikal sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh penghadang jalan di Kilometer 25.5, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, berhampiran Alor Toman, malam kelmarin.
Mangsa, Tengku Azman Tengku Zaibon, 38, berasal dari Kampung Putat, Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan dalaman yang teruk di dada akibat tersepit.

Pegawai Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Zahari Awang Long berkata, sebaik menerima panggilan daripada orang awam, beliau bersama satu jentera dan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian jam 8.55 malam dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tersepit di dalam kereta yang remuk teruk di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa lama dengan memotong bumbung kereta itu menggunakan pemotong hidraulik dan pemotong besi untuk mengeluarkan mangsa.

“Apabila sampai kami dapati satu mangsa dalam kereta Mercedes tersepit dan kami membuat kerja menyelamat menggunakan pemotong hidraulik serta peralatan menyelamat lain dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menyelesaikan kerja berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Marang seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Mohd Zohan Seman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan berkata, punca sebenar masih dalam siasatan.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa keseorangan terbabas ke bahu jalan lalu ketika mengambil satu selekoh lalu merempuh penghadang jalan di sebelah kiri mengakibatkan mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk .

“Mayat mangsa kemudiannya dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) untuk dibawa pulang ke Kelantan,” katanya.

Tergamak tipu bapa

LEDANG: Seorang anak perempuan tunggal daripada tujuh beradik yang ditatang bagaikan minyak yang penuh tergamak menipu ayah kandungnya sendiri dengan mencagar rumah diduduki semata-mata ingin membuat pinjaman bank RM20,000.
Lebih malang, selepas gagal menjelaskan bayaran bulanan pinjaman itu sejak setahun lalu, rumah pusaka berusia 65 tahun itu dilelong pihak bank menyebabkan ibu bapanya kini terpaksa menyewa rumah lain.
Pada masa sama, anak perempuan terbabit menghilangkan diri sejak setahun lalu dan tidak pernah menghubungi orang tuanya apabila tembelangnya terbongkar.

Bapa malang yang hanya mahu dikenali sebagai Husin, 69, berkata, dia tidak menyangka anak perempuannya berusia 34 tahun tergamak berbohong mengenai soal pertukaran hak milik rumah pada Mac 2010.


“Pada masa itu Uda (nama panggilan anak perempuan) mahu saya menukarkan nama rumah teres ini kepada nama dia bagi memudahkan urusan yang mungkin berbangkit selepas ketiadaan kami kelak.

Dua terbunuh, 16 cedera dalam letupan kilang produk Apple di China

CHENGDU: Dua maut dan 16 mengalami kecederaan petang semalam selepas letupan di kilang Foxconn Chengdu di wilayah Sichuan, lapor agensi berita XinHua. 
Letupan berlaku pada kira-kira jam 7 malam di Hongfujin Precision Electronics (Chengdu) Co. Ltd., anak syarikat Foxconn Technology Group berpangkalan di Taiwan, terletak di Chengdu, kata jurucakap bandar itu.
Seramai 16 pekerja dikejarkan ke hospital termasuk tiga yang parah, kata jurucakap berkenaan.
Foxconn terkenal sebagai pembekal produk Apple seperti iPhone dan iPad. Kilang Chengdu itu dibuka pada Oktober tahun lalu dengan kos AS$2 bilion. - BERNAMA 

Strauss-Kahn bebas dengan ikat jamin dan kini dikenakan tahanan rumah

NEW YORK: Dominique Strauss-Kahn dibebaskan dari penjara Rikers Island dan terus bertukar dari baju banduan kepada pakaian orang awam dan bertukar tempat dari sel berasingan kepada pangsapuri bersama keluarga dan rakan. 
Pembebasan di bawah tahanan rumah terhadap bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) itu yang berdepan perbicaraan atas tuduhan serangan seks dan cubaan merogol seorang pekerja hotel, diluluskan hakim selepas peguam membayar ikat jamin dan bon bernilai AS$6 bilion.
Polis mengesahkan kepada AFP bahawa dia tiba lewat malam tadi di sebuah bangunan di New York dan diletakkan di bawah tahanan rumah selepas dibawa dari Rikers. - AFP

Lanun Somalia mengaku bersalah rampas kapal layar

WASHINGTON: Tiga lanun Somalia mengaku bersalah atas tuduhan merampas sebuah kapal layar di perairan Oman pada Februari lalu yang mengakibatkan empat rakyat Amerika Syarikat terbunuh. 
Mohamud Hirs Issa Ali, 32; Mohamud Salad Ali, 35, dan Ali Abdi Mohamed, 35, mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah persekutuan di wilayah Virginia, kata pendakwaraya Amerika Syarikat.
Pemilik kapal layar Quest, iaitu Jean dan Scott Adam, adalah mubaligh kristian di California yang belayar mengelilingi dunia pada ketika lanun merampas kapal berkenaan. - AFP

15 termasuk kanak-kanak dikhuatiri lemas dalam nahas bot karam

HANOI: Seramai 15 termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Vietnam selepas bot yang mereka naiki tenggelam ketika majlis hari lahir kanak-kanak itu, kata polis hari ini.
Kira-kira 100 anggota polis dan tentera termasuk penyelam, digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa di Sungai Saigon, kata Ketua Polis Marin tempatan, Trieu Van Giau.
"Kami masih belum menemui mangsa dan sedang berusaha mencari mangsa kejadian," katanya.
Kejadian berlaku di wilayah Binh Duong berdekatan selatan Ho Chi Minh, petang semalam. - AFP

Tragedi tanah runtuh: Lima maut sehingga jam 8 malam

KAJANG: Polis mengesahkan sehingga jam 8 malam ini lima orang maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Takwa FELCRA Semungkis, di Hulu Langat, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata 12 berjaya diselamatkan daripada tempat kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pasukan penyelamat dan polis akan meneruskan operasi menyelamat sehingga menemui semua mangsa kejadian.
"Kita tidak akan berhenti dalam operasi ini, kita akan teruskan sehingga jumpa semua mangsa," katanya.

'Tiba-tiba tanah kejar saya': Saksi tragedi tanah runtuh

Foto
Mangsa kejadian tanah runtuh

KAJANG: "Saya dengar bunyi dentuman kuat, tiba-tiba tanah kejar saya," kata Ketua Warden Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Mohamad Hambali Ismail, 34, ketika ditemuramah wartawan Berita Harian Online, sebentar tadi.

Katanya, ketika kejadian 2.15 petang itu, seramai 23 penghuni sedang membuat persiapan untuk menyambut ketibaan rombongan FINAS yang dijadualkan makan tengah hari dan beramah mesra dengan anak yatim.
"Ketika sedang sibuk membuat persiapan, saya terdengar dentuman kuat. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa lari menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata, sementara menunggu rombongan FINAS, anak yatim terbabit sebahagiannya berlatih kompang dan nasyid.

Ketika kejadian, 23 orang berada di bawah khemah untuk majlis makan tengah hari itu.

Rumah anak yatim berkenaan mempunyai 34 penghuni, semuanya lelaki.

Setakat ini, dua penghuni maut dan enam pula cedera parah.
Sementara itu, seorang penghuni rumah anak yatim berkenaan, Mohd Faizal Isni, 17, berkata, ketika kejadian dia ke tandas dan tiba-tiba kejadian berkenaan berlaku.

"Saya nampak kawan-kawan yang berada bawah khemah sudah tertimbus, cuma nampak tangan dan kepala mereka. Semuanya terkambus.

"Masa yang sama, ketika saya menoleh ke belakang ternampak tanah runtuh seperti mengejar saya," katanya.

24 orang tertimbus tanah runtuh di Hulu Langat


KEADAAN Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, Kajang, dalam kejadian tanah runtuh, hari ini. Laporan awal sebelum ini menyebut, kira-kira 20 hingga 30 penghuni rumah anak yatim itu dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.20 petang tadi. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, dekat sini, hari ini.


Setakat 7 petang ini, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis.
Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.
Semua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Semua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian 2.30 petang, semua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit itu menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali. Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Morni Mamat, berkata sehingga 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat. - BERNAMA 

Tragedi tanah runtuh: Tiga mayat kanak-kanak dikeluarkan


PERGERAKAN tanah kelihatan ketika hujan lebat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat. - Foto Yazit Razali

KAJANG: Sehingga jam 6.30 petang tadi, mayat tiga kanak-kanak Rumah Anak Yatim Al-Takwa FELCRA Semungkis, di Hulu Langat, dekat sini, dikeluarkan dari tanah runtuh.


Sementara itu, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan enam kanak-kanak lain dan semua mereka dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku jam 2.15 petang tadi ketika penghuni asrama rumah anak yatim terbabit sedang membuat persiapan untuk satu majlis makan tengah hari dan ramah mesra.

49 anak yatim berkumpul ketika tanah runtuh: Polis


KAJANG: Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai 49 orang berada di kawasan Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis ketika kejadian tanah runtuh itu berlaku.


Katanya, seramai 24 orang terperangkap akibat kejadian berkenaan iaitu 20
pelajar dan empat warden."Difahamkan berlaku dua tanah runtuh serentak pada masa kejadian," katanya
ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau juga berkata, dua mangsa yang maut masing-masing berumur 11 dan 14
tahun.

Sementara itu, Tun Hisan meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian
supaya menjauhkan diri mereka kerana bimbang tanah runtuh berlaku lagi.