KLANG: “Saya tidak mendera anak perempuan saya kerana bekerja ketika itu,” kata K Segar, 43, dalam rayuannya di Mahkamah Majistret, semalam.
Pemandu lori itu berkata demikian selepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Nadia Othman terhadap tuduhan mendera anak kandung berusia 13 tahun empat bulan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memukul S Anusia menggunakan kayu menyebabkan kecederaan di rumah bernombor E-8-15, Apartmen Perdana Villa, Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa, di sini, antara 25 Disember tahun lalu sehingga akhir bulan lalu.
Segar didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Iskandariah Md Tahir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Puteri Iskandariah tidak membenarkan jaminan ditawarkan berikutan mangsa anak kandung tertuduh selain kepentingan awam.
Tertuduh juga tidak merayu agar jaminan diberikan kerana memaklumkan tiada sesiapa mahu menjaminnya.
Nadia kemudian memaklumkan tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula 3 Jun depan dan 28 Jun untuk perbicaraan.
Sebelum ini, teman wanita tertuduh, Shalina Sundiri Abdullah, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat lalu atas lima tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dengan menyimbah air panas dan memukul mangsa menggunakan getah paip serta kayu.
Shalina didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Anusia di rumah dan waktu sama dan didakwa mengikut Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan. Kes penderaan Anusia terbongkar apabila Shalina menghantar mangsa ke satu pusat jagaan kanak-kanak di Taman Radzi di sini pada 6 Mei lalu.
Kakitangan pusat itu ternampak kesan kecederaan pada remaja itu dan membuat laporan polis. Akhbar ini melaporkan, remaja malang itu patah tangan kirinya dan terdapat kesan melecur pada tapak tangan dan keseluruhan tubuhnya dipercayai disimbah dengan air panas hanya kerana enggan memanggil teman wanita bapanya itu dengan panggilan ‘ibu’.
Lebih malang, mangsa tidak mendapat pembelaan Segar yang mempercayai kata-kata teman wanita bahawa mangsa terlalu nakal dan perlu diajar.