Search This Blog

Thursday, May 19, 2011

Dimaki, diugut akibat tegur jiran




AMPANGAN – Hanya kerana menegur jiran sebelah yang dilihat kurang prihatin meletakkan bahan binaan untuk mengubahsuai rumahnya sesuka hati, seorang ibu tunggal dimaki hamun selain turut diugut akan dipukul.

Tidak tahan dengan karenah jiran yang suka membuat kacau, ibu tunggal terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Zahara akhirnya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan diri dan anaknya.

Malah, kerja pengubahsuaian yang dilakukan jirannya itu menyebabkan bumbung dan syiling rumahnya mula mengalami kerosakan.

“Saya dan anak sampai di rumah kira-kira jam 5 petang dan secara tiba-tiba ditegur dengan kasar oleh jiran terbabit. Saya memberitahunya air telah masuk ke garaj rumah saya akibat kerja pengubahsuaian yang sedang dilakukan.

“Jiran saya itu mengatakan kontraktor masih belum menyiapkan kerja tersebut dan saya turut dituduh menggunakan bomoh Siam disebabkan semua orang sudah tahu. Saya juga mempunyai perasaan dan melawan cakap jiran itu,” katanya.

Disebabkan tidak mahu perkara itu berlarutan, anak Zahara menghubungi pihak polis dan dia diminta untuk membuat laporan di balai polis sebelum beberapa pegawainya datang membuat tinjauan.

Malah katanya, sebelum ini juga, beberapa laporan polis dan aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah dibuat, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.

“Anak saya turut menghubungi MPS bagi menyatakan rasa tidak puas hati disebabkan jiran telah membina dinding di sempadan rumah tanpa kebenaran bertulis.

“Selepas itu, MPS menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Bangunan dan notis meroboh serta kompaun telah dikeluarkan.

“Namun, kerja pengubahsuaian terus dilakukan dan saya harap MPS dapat mengambil tindakan seperti apa yang dimaklumkan,” katanya.

Zahara berkata, sekiranya perkara ini berlarutan, dia dan anaknya berkemungkinan akan membawanya ke mahkamah berikutan keselesaannya untuk terus tinggal di situ terjejas.

Selain itu katanya, dia percaya nilai rumahnya juga turut jatuh jika jirannya tidak mahu bertanggungjawab terhadap kerosakan yang terpaksa ditanggungnya itu.

“Saya mahu jiran saya bertanggungjawab dan membaik pulih rumah saya secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Cedera ditetak jiran lama

 

SUNGAI LUI – Seorang wanita cedera di kepala dan tangan kiri akibat ditetak wanita dipercayai tidak siuman, dekat Pasar Sungai Lui. pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, mangsa, Teng Mei Yoke, 51, ditetak wanita berusia 52 tahun ketika sedang berurusan dengan pelanggan di pasar berkenaan.

“Mangsa yang cedera kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital dan dibenarkan pulang.

“Sejurus menerima laporan yang dibuat suami mangsa, suspek yang dipercayai tidak siuman itu berjaya ditahan kira-kira jam 3 petang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui.

Wan Mohd Samsudin berkata, turut ditemui sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Katanya, orang ramai perlu memantau keadaan ahli keluarga terutama melibatkan pesakit mental yang perlu mendapatkan rawatan berkala termasuk penggunaan ubat seperti preskripsi doktor.

“Penghidap masalah mental yang tidak diberi perhatian sepenuhnya cenderung melakukan tindakan

yang mendatangkan risiko tidak hanya kepada orang lain tetapi turut melibatkan diri sendiri.

“Usaha mencegah perlu dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih berbahaya kepada umum dan masyarakat daerah ini yang mempunyai sebarang maklumat mengancam keselamatan komuniti di saran menghubungi talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999,” katanya.

Sementara itu, Mei Yoke ketika ditemui berkata, suspek adalah rakan lama dikenali sejak 30 tahun lalu yang juga jiran ketika mereka sama-sama menetap di Cheroh.

Katanya, suspek datang kepadanya dan terus mengambil pisau pemotong daging lalu menetak kepala dan terkena tangan kirinya.

“Saya tidak sempat mengelak kerana kejadian terlalu pantas dan dia mengambil pisau milik saya yang digunakan untuk memotong daging.

“Libasan kali pertama mengenai kepala dan kemudiannya tangan kiri saya turut cedera kerana cuba menepis perbuatannya,” katanya.

Misteri pencuri ayam terjawab




TANJUNG JAMBU - Teka-teki kehilangan beberapa ayam peliharaan milik seorang penduduk di sini sejak hampir sebulan lalu akhirnya terjawab apabila tertangkapnya seekor ular sawa seberat tujuh kilogram kelmarin.

Penduduk itu, Jaafar Dollah berkata, pada hari kejadian, dia terdengar ayamnya berkokok dan membuat bising di dalam reban, lantas bergegas ke belakang rumah untuk meninjau serta mengetahui keadaan sebenar.

“Ketika sampai di reban, saya sungguh terkejut apabila mendapati seekor ular sawa membaham dua ayam dan memuntahkannya kembali.

“Kemudian, saya pantas menghubungi pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah untuk menangkap reptilia itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Penyelaras JPAM Daerah Lipis, Zuri Haron berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada pengadu kira-kira jam 9.30 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama seramai lima anggota.

“Ketika sampai di tempat kejadian, kami dapati ular sawa itu dalam keadaan kekenyangan dan lemah. Ia memudahkan kerja kami untuk menangkap dan meletakkan reptilia itu di dalam sangkar.

“Reptilia seberat tujuh kilogram dan berukuran 3.5 meter itu diserahkan kepada Zoo Lipis untuk diletakkan di dalam kandang,” katanya.

Zuri berkata, penangkapan ular sawa itu adalah kes pertama yang berjaya dikendalikan JPAM Daerah sejak penubuhannya tahun lalu.

“Kami amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menghubungi JPAM sekiranya berlaku kejadian seperti ini. Ia secara tidak langsung membolehkan kami memberikan khidmat sukarela terus kepada masyarakat setempat,” katanya.
SH

Anak polis terlibat sama




AYER KEROH - Dua anak anggota polis antara enam lelaki yang ditangkap kerana terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal yang aktif di sekitar Melaka, Kuala Lumpur dan Muar, Johor.

Enam penjenayah berusia 16 hingga 19 tahun itu diketuai seorang lelaki bernama Bimbar dikatakan aktif dengan kegiatan berkenaan sejak enam tahun lalu.

Mereka dikatakan bertindak mencuri motosikal sebelum mengasingkan segala komponennya sebelum rangka motosikal berkenaan dicampakkan ke dalam sungai.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, dua lelaki berjaya ditahan selepas polis menjumpai sebuah rangka motosikal di dalam sungai dekat Sungai Rambai, Jasin, 14 Mei lalu.

“Hasil siasat terhadap dua suspek itu, polis kemudian menangkap empat baki suspek dan merampas dua rangka motosikal dan komponen yang dileraikan di kawasan sawah dan sungai di sekitar Sungai Rambai, Jasin.

“Setakat ini, ketua kumpulan bernama Bimbar yang berasal dari Telok Mas, dekat sini mengaku melakukan kegiatan curi motosikal sejak enam tahun lalu. Mereka sudah mencuri lebih 27 motosikal,” katanya.

Ghee Lye berkata, pihaknya masih menjalankan sisatan lanjut bagi mengesan rakan-rakan mereka serta mendapatkan semula motosikal yang sudah dicuri itu.
SH

Penganggur didakwa cedera tukang urut



KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana mencederakan seorang tukang urut dengan parang, dua bulan lalu.

S Sangger, 40, mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Kathleen Rekha Pubalan, 27, di bilik Tingkat 15, Seasons Tower, Dang Wangi di sini, antara 5.30 pagi dan 6 pagi pada 6 Mac lalu.

Lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Sangger tidak diberikan ikat jamin kerana turut menghadapi tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di sini, pada 18 Mac lalu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan sebutan semula kes pada 16 Jun depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chew Zi Xian, manakala lelaki dari Batu Caves itu tidak diwakili peguam.
SH

Berpantang maut




KUANTAN – Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan berat sarat muatan kayu yang dipandunya terbalik di persimpangan Jalan Kuantan-Pelabuhan, dekat Sungai Ular, di sini, semalam.

Menurut mangsa, Nuzuamry Abdullah, 42, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dia dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, gagal mengawal kenderaan berat yang dipandunya ketika mengelak sebuah kereta yang cuba memintasnya.

Nuzuamry yang menetap di Gong Badak, Terengganu, berkata kereta yang tiba-tiba memotongnya cuba untuk masuk semula laluan di sebelah kiri kerana hendak keluar ke simpang yang berada tidak jauh di depan.

“Keretanya seakan-akan menghimpit lori saya ketika hendak memasuki semula laluan menyebabkan saya terpaksa memulas stereng ke sebelah kiri bagi mengelak daripada melanggarnya.

“Akibat tindakan itu, treler saya terbalik dengan muatan kayu yang dibawa bertaburan di atas jalan dan treler juga mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan parah sebaliknya hanya sakit pada dada dan pemeriksaan yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, mengesahkan kesakitan itu tidak serius.

“Syukur nyawa saya masih panjang. Melihatkan keadaan lori yang terbalik, mungkin ramai yang menyangka saya sudah mati.

“Sepatutnya saya ke Kuala Lumpur bersama seorang lagi rakan, namun rakan saya itu tiba-tiba demam dan menyebabkan saya terpaksa memandu bersendirian.

Mungkin ada hikmahnya dia tidak mengikut saya,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut masih dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
SH

Dipenjara curi motosikal di masjid




KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu pemandu lori yang sanggup mencuri motosikal milik salah seorang jemaah di Masjid Kuala Bekah di sini pada 7 Mei lalu, menerima pembalasan setelah dia dijatuhi hukuman penjara setahun di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Shahruddin Hussain, 18, dari Kampung Telaga Daing, Seberang Takir selepas pengakuan bersalah tertuduh direkodkan.

Mengikut pertuduhan yang dijalankan pegawai polis, Inspektor Ravi Varatharajoo, tertuduh telah didapati dengan niat curang, mencuri sebuah motosikal jenis Honda bernilai RM2,500 kepunyaan Nur Suhana Mohamad @ Omar, 26, ketika di bawah kawalan Mohamad @ Omar Abu Bakar, 62, tanpa kerelaannya pada 7 Mei baru-baru ini antara jam lebih kurang 5.40 pagi hingga 6.20 pagi di pekarangan Masjid Kuala Bekah, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, dia telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta dikenakan denda.

Tertuduh yang masih bujang dan hanya memiliki pendidikan sehingga Tingkatan Dua, ditangkap pada 15 Mei lalu di hadapan rumah di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir kira-kira jam 6.45 petang rentetan daripada serbuan yang dilakukan di kediaman berkenaan pada 10 Mei, kira-kira jam 3.30 petang.

Dalam serbuan tersebut, polis menangkap dua lelaki Melayu serta merampas chasis motosikal berwarna hitam serta beberapa komponen motosikal.
SH

Tidak sempat ziarah cucu




DUNGUN - Hasrat seorang nenek untuk menziarahi cucunya yang sudah sekian lama tidak bertemu, tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam satu kemalangan maut membabitkan dua buah kereta dekat sini, petang semalam.

Warga emas terbabit, Che Mah Salleh, 68, maut akibat kecederaan parah pada kepala.

Menceritakan detik sebelum tragedi, salah seorang mangsa, Zainab Daud, 53, berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya, Che Mah dan anaknya, Tuan Noor Tuan Idris, 37, (pemandu) dalam perjalanan dari rumah anaknya di Marang ke Kuantan, Pahang.

Zainab yang turut cedera berkata, dia tidak mengingati detik akhir sebelum tragedi kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
SH

Warga Iran dicekup sorok syabu




GEORGETOWN - Dua lelaki warga Iran dicekup menyorok dadah jenis syabu dalam 13 kotak bijirin di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Bayan Lepas di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.40 petang itu, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan membawa 27.8 kilogram syabu RM5.6 juta. Sementara kotak bijirin itu pula dibawa dalam dua bagasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kedua-duanya ditahan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika dalam perjalanan ke Balai Ketibaan LTAB Bayan Lepas oleh sepasukan polis dari JSJN negeri.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek cuba menyeludup syabu ke negara ini dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

“Kita masih menyiasat lebih lanjut jika suspek terlibat dengan aktiviti penyeludupan atau menjadi keldai dadah ke negara ini,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 24 Mei ini untuk siasatan.

Noor Rashid berkata, sindiket melibatkan warganegara asing seperti Iran kini mengalihkan laluan masuk dengan menggunakan LTAB lain seperti Bayan Lepas berikutan kawalan ketat di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
SH

Berdepan hukuman gantung





GEORGETOWN - Seorang ‘beach boy’ berdepan dengan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan edar dadah jenis heroin, minggu lalu.

Krisna Kannavathey, 25, didakwa edar heroin seberat 16.5 gram, di Kampung Chetthi, Batu Feringghi, di sini, kira-kira jam 10 malam, 7 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan itu, Krisna boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan dibuat tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.

Noor Aini menetapkan 20 Jun untuk tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.

Dalam pada itu, tertuduh mempunyai dua lagi pertuduhan iaitu mengambil dadah jenis morfin, di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang di sini, kira-kira jam 10.45 malam, 7 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1)(b) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38b akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan.

Selain itu, Krisna turut didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 3.6 gram, di rumahnya Kampung Chetti Batu Feringghi, kira-kira jam 10 malam, 7 Mei lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Bagaimanapun, Krisna mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SH

Dua rakan sebabkan kematian dibebas



GEORGETOWN - Dua rakan dibebas tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, Kumaran Tanimalai, 24.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membuat keputusan itu kerana pihak pendakwaan gagal merekodkan keterangan seorang saksi penting dalam kes ini.

Sebelum ini, Jonathan Goplkrishnan, 18, dan Kirivismu Rajendran, 19, dari Tanjung Bungah Pulau Pinang didakwa bersama 15 yang masih bebas menyebabkan kematian dengan niat mencederakan mangsa yang mungkin mengakibatkan kematian di hadapan Chennai Bistro, One Stop, Jalan Burma Pulau Tikus, kira-kira jam 4.45 pagi, 3 Oktober 2010.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan ‘homisid salah’ yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh yang boleh dihukum bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 149 kanun sama.

Jika disabit kesalahan, kedua-duanya boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda.

Terdahulu, Hakim Roslan Hamid membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan itu dan menetapkan 14 Disember lalu untuk serah dokumen.

Dalam mahkamah sama, seorang lagi remaja dibebaskan tanpa dilepaskan atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki bersenjatakan pisau pada 27 Disember tahun lalu.

Terdahulu, Hazrul Azhar Ramli, 27, didakwa bersama-sama seorang lagi rakan melakukan rompakan bersenjatakan terhadap harta milik Khor Eng Leong, 34, iaitu wang tunai RM850, dua telefon bimbit dan seutas rantai bernilai RM1,250, kira-kira jam 1.30 pagi, di belakang Penang Swimming Club, Jalan Tanjung Bungah, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Dalam penghakiman ringkas, Sitarun membuat keputusan itu selepas tiada saksi hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Peguam Sukhinder Singh yang mewakili tertuduh sebelum itu memohon kes ditangguhkan sehingga representasi pengadu menghantar surat kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya supaya pertuduhan itu ditarik balik.

Bagaimanapun, difahamkan tertuduh ditahan semula di luar mahkamah oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi kes lain.
SH

Jangan jadi keldai dadah




KUALA KANGSAR – Pelajar diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dalam setiap tindakan yang bakal dilakukan agar tidak menjadi keldai dadah dan dipergunakan orang luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad berkata, ibu bapa harus memainkan peranan untuk mengambil tahu aktiviti anak-anak mereka walaupun berada jauh.

Menurutnya, dengan kemudahan teknologi pada masa kini, golongan anak muda mudah terpengaruh dengan anasir luar dan akhirnya membawa padah.

“Kes-kes seperti ditahan di lapangan terbang akibat membawa dadah banyak berlaku dan ibu bapa perlu menasihati anak supaya tidak terjebak dengan gejala ini.

“Pelajar juga tidak seharusnya melakukan perkara yang tidak bermoral, fikir dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan,” katanya pada majlis penyampaian dermasiswa kepada lebih 40 pelajar dari kawasan Dewan Undangan negeri Bukit Chandan, di Pejabat UMNO, di sini.

Sumbangan dermasiswa daripada Yayasan Perak itu bertujuan menyokong perkembangan pendidikan dan membantu golongan kurang berkemampuan agar dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata, dermasiswa yang diberikan harus digunakan dengan sebaik mungkin dan ia sebahagian daripada sokongan kerajaan kepada rakyat.

“Sumbangan yang diberikan sebagai usaha membantu dalam memastikan tiada rakyat dipinggirkan dalam pendidikan dan pembangunan undang-undang.

“Ibu bapa juga harus menyokong anak-anak dan jangan menghalang minat mereka dalam bidang tertentu,” katanya.
SH

Taktik simpan arak terbongkar




MANJUNG – Taktik seorang lelaki menyimpan pelbagai jenis minuman beralkohol tanpa cukai di rumahnya terbongkar apabila diserbu sepasukan anggota Unit Risikan Marin dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh, Sitiawan, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, Deputi Superintendan Shaari Ariffin berkata, dalam serbuan 12 Mei lalu di sebuah rumah di Jalan Kampung Dew, Simpang, di sini, seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dibuat menemukan pelbagai jenis minuman beralkohol tanpa cukai tersimpan di dalam rumah, bilik stor dan bonet kenderaan jenis van.

“Lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967, kesemua minuman beralkohol dianggarkan berjumlah lebih RM22,000 dirampas,” katanya.

Shaari berkata, serbuan yang dilakukan atas maklumat dan risikan anggotanya itu merupakan kejayaan kali ke-22 pihaknya.

Katanya, PGM mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai apa juga kegiatan yang menyalahi undang-undang terutama di pesisir pantai dan perairan Malaysia.
SH

Pulanglah SITI




MERSING - Seorang ibu tunggal merayu anak perempuannya agar kembali ke pangkuan keluarga kerana terlalu bimbang akan keselamatan dirinya.

Ramlah Rashid, 44, berkata, anak perempuan tunggalnya itu, Siti Mariam Bakar menghilangkan diri sejak 14 hari lalu setelah berlaku salah faham dengan abang sulungnya.

“Memang ada berlaku perselisihan faham yang kecil apabila abangnya menegur kerana dia tidak mahu bersekolah, sebaliknya mahu bekerja. Tidak sangka selepas itu, dia telah menghilangkan diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, pelbagai ikhtiar telah dilakukan mereka sekeluarga termasuk bertanyakan kepada rakan-rakanya sekolah, namun masih belum berhasil.

“Selepas kehilangannya pada malam itu, saya terus bertanyakan kepada kawan-kawan sekolahnya, namun mereka juga tidak mengetahuinya ke mana anak saya pergi,” katanya.

Sejak itu, Ramlah langsung tidak menerima sebarang perkhabaran berita mengenai anaknya itu sehingga kini.

“Sudah dua minggu dia menghilangkan diri tanpa diketahui lokasi dan sebarang berita. Telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.

“Saya amat khuatir dengan keselamatannya memandangkan dia jarang keluar dan tidak suka bersosial. Saya buntu untuk mencarinya di mana lagi.

“Pulanglah nak, mak terlalu rindukan Mariam,” katanya.

Katanya, anak lelakinya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu di balai polis berhampiran.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 017- 799 7348.
SH

Gadis terkejut dicekup baca Al-Fatihah




PETALING JAYA – Akibat terkejut dicekup penduduk kerana berkhalwat, seorang gadis terus membaca surah Al-Fatihah sebaik sahaja pintu biliknya dibuka.

Perkara itu berlaku ketika gadis berumur 20 tahun itu dan pasangannya yang berusia 17 tahun ditahan berdua-duaan dalam sebuah rumah di Apartmen Idaman, di sini kira-kira jam 1 pagi semalam.

Pasangan itu berasal dari Kelantan dan mendakwa hendak bertunang tidak lama lagi.
Ketua Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Azmi Ardi berkata, tangkapan itu dilakukan bersama Imam Masjid Al-Muhtadin, ketika pasangan itu baru memasuki rumah tersebut.

“Aduan diterima dari jiran-jiran mereka. Kita periksa dan temui pasangan ini dalam sebuah bilik berkunci,” katanya

Menurutnya petugas menunggu hampir lima minit sebelum pintu bilik itu dibuka.
“Pasangan ini merayu dilepaskan, tetapi untuk memberi kesedaran, kita tahan mereka sebelum memanggil keluarga mereka,” katanya.

Difahamkan remaja lelaki itu bekerja di kedai menjual daging ayam, manakala gadis itu sedang mencari pekerjaan.
SH

Dua lelaki termasuk remaja didakwa bunuh wanita



KEMAMAN - Dua lelaki termasuk seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam satu kejadian di Bukit Kuang pada April lepas.
Che Khairul Muuiz Che Din, 19, dari Kelantan dan Mohd Suhaimi Mohd Arip, 26, berasal dari Johor dituduh membunuh Ka' Yah Said, 52, antara 3.30 hingga 5.35 pagi di rumah mangsa di Lorong Mengkuang I, Taman Desa Darul Iman II, Bukit Kuang, Chukai di sini pada 30 April lalu.
Kedua-dua mereka yang memakai baju lokap mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, namun tiada pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkipli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian itu, seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri dengan tangannya diikat manakala mulutnya ditampal pita pelekat di kediamannya, dalam satu kejadian samun, dan mangsa meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian setelah dibawa ke Hospital Kemaman.- bernama
SH

Lawatan bersejarah Ratu Elizabeth ke Ireland dicemari bantahan




PENUNJUK perasaan yang membantah lawatan Ratu Elizabeth bertempur dengan polis di Dublin, kelmarin. – REUTERS


DUBLIN 18 Mei – Beratus-ratus penunjuk perasaan republikan Republik Ireland mengadakan demonstrasi membantah lawatan Ratu Elizabeth II ke negara ini hari ini.
Penunjuk perasaan bertindak membakar bendera Britain dan Ireland Utara sambil mengibarkan sepanduk yang memaparkan perkataan ‘lancarkan peluru berpandu ke arah polis dan musnahkan sekatan supaya mereka berundur’.
“Membiarkan Ratu Britain berdiri di negara ini, sementara enam lagi wilayah kita masih dijajah oleh tentera mereka adalah satu penghinaan,” kata seorang penunjuk perasaan, Joe, 43.
Polis dilaporkan menahan 21 penunjuk perasaan yang bertindak liar.
Ratu Elizabeth hari ini meletakkan kalungan bunga bagi memperingati mangsa-mangsa yang berjuang menuntut kemerdekaan Ireland daripada Britain, lawatan monarki Britain pertama ke negara ini dalam tempoh sekurun.
Ratu Elizabeth, 80, memulakan lawatan bersejarah empat hari dengan dikelilingi oleh operasi keselamatan tentera terbesar negara ini ekoran penemuan bom berhampiran Dublin.
Dengan memakai pakaian berwarna putih, beliau kelihatan berdiri sambil bertafakur bersama Presiden Ireland, Mary McAleese ketika majlis meletakkan kalungan bunga di Garden of Remembrance, Dublin.
Beliau adalah pemerintah Britain pertama yang melawat Ireland sejak negara ini memperolehi kemerdekaan daripada Britain pada 1992.
“Lawatan ini disifatkan menjadi tanda kepada titik perubahan kepada hubungan kerjasama rapat antara kedua-dua negara berdaulat,” kata Menteri Luar Ireland, Eamon Gilmore kepada wartawan.
Kawalan keselamatan ketat di Dublin diadakan ekoran peningkatan keganasan baru-baru ini di Ireland Utara yang disyaki dilakukan oleh penentang republikan yang mahukan wilayah itu bersatu dengan negara ini.
Menurut pegawai, pasukan tentera Ireland dari unit penghapus bom memusnahkan satu ‘peralatan letupan’ di sebuah bas di Maynooth, luar Dublin tengah malam tadi selepas mendapat maklumat daripada pemanggil yang enggan dikenal pasti.
Kira-kira 30 penumpang dilaporkan dipindahkan dari bas yang menuju ke ibu negara ini dari selatan Ireland selepas bom ditemui di tempat penyimpanan barang.
Sekurang-kurangnya 10,000 tentera keselamatan ditempatkan dengan kos dianggarkan melibatkan 30 juta euro (RM127 juta). – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Dua polis bebas tuduhan rasuah



IPOH 18 Mei - Dua anggota polis peronda lebuh raya dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM29,000, dua tahun lalu.
Hakim Julie Lack Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie terhadap Koperal Ahmad Ronzi Ismail, 40, dan Sarjan Norzaid Hamzah, 46, dari Cawangan Trafik, Pejabat Peronda Lebuhraya Sektor 6 Zon Utara, Kuala Kangsar di akhir kes pendakwaan.
Mengikut tuduhan pertama, mereka berdua didakwa bersetuju menerima rasuah RM3,000 daripada New Hock Heng untuk tidak mengambil tindakan ke atas sebuah lori bernombor AGF 751 yang disyaki membawa benih kerang tanpa lesen.
Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kilometer 197 arah utara di antara persimpangan bertingkat Bukit Merah, Lebuhraya Utara Selatan di Kerian pada pukul 12.30 tengah hari, 20 Mac 2009.
Ahmad Ronzi dan Norzaid juga didakwa meminta suapan daripada Hock Heng sebanyak RM10,000 bagi tujuan serupa di dalam kereta peronda Nissan X-trail bernombor WQW 539 pada pukul 1.30 petang pada tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama didakwa bersetuju menerima suapan sebanyak RM8,000 daripada Hock Heng.
Sementara pertuduhan keempat, mereka didakwa menerima rasuah RM8,000 daripada lelaki itu di dalam kereta peronda Nissan X-Trail pada pukul 1.45 petang pada tarikh dan tempat sama.
Pertuduhan pertama hingga ketiga dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala tuduhan keempat mengikut Seksyen 17(a) akta yang sama.
Ahmad Ronzi turut dilepas dan dibebaskan bagi satu lagi pertuduhan meminta rasuah RM5,000 daripada Hock Heng melalui panggilan telefon bagi tujuan sama di tempat dan tarikh yang sama.
Kedua-dua tertuduh ditangkap pada 21 Mac 2009 dan didakwa pada 16 Ogos tahun lalu.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Lelaki didakwa memiliki senjata api dan pedang



KOTA BHARU 18 Mei - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki pistol, peluru dan sebilah pedang panjang tanpa lesen sah pada bulan lalu.
Aminudin A. Rahman, 36, didakwa memiliki barang-barang tersebut di kawasan bukit Gong Genor, Laloh, Kuala Krai, dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam, 16 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki pistol revolver .38 SPL 4" tanpa nombor siri mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali.
Aminudin turut didakwa memiliki enam butir peluru jenis rds .38 SPL CCI dan sebutir peluru jenis rds .38 SPL. Rai tanpa lesen atau permit.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh yang masih bujang itu juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu memiliki sebilah pedang panjang tanpa lesen atau permit.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Anggota Maritim Malaysia mengaku pecah amanah

ALOR SETAR 18 Mei - Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 42 pertuduhan pecah amanah melibatkan penyelewengan minyak petrol sebanyak RM87,006 di Kuala Kedah dekat sini, dua tahun lalu.
Hukuman ke atas Laskar Kanan Maritim, Azman Md. Noh, 48, yang tidak diwakili peguam akan dijatuhkan oleh Hakim Mohd. Rosli Osman pada 12 Jun ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai pengangkutan kenderaan rasmi Maritim Malaysia, Pangkalan Kuala Kedah melakukan pecah amanah jenayah dengan menggunakan kad minyak Petronas smartpay bagi membeli minyak petrol untuk kepentingan diri.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Stesen Minyak Petronas Imbang Moden Sdn. Bhd., Jalan Batas Paip, Kuala Kedah antara 3 Januari 2009 dan 23 September 2009.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Jurubahasa mahkamah mengambil masa lebih kurang 50 minit untuk membaca kesemua pertuduhan ke atas Azman yang ditemani isterinya.
Tertuduh yang berseluar jeans biru dan kemeja-T kelabu mengaku bersalah di atas pertuduhan pertama hingga ke-10, namun tidak pasti jumlah bagi setiap pengeluaran minyak petrol yang dibuat.
Sehubungan itu hakim berkata, pengakuan bersalah tertuduh bukan mutlak kerana wujud unsur tidak pasti yang boleh terjumlah kepada tidak mengaku bersalah.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Dua didakwa menipu projek kerajaan


KOTA KINABALU 18 Mei - Seorang lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk' dan seorang warga asing berusia 58 tahun masing-masing dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pegawai Jabatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Supritendan Mohd. Razif Alang Mat Jaya berkata, lelaki tempatan yang dikenali sebagai Abdul Aziz Jainal, 44, dan Wilson Ablikan Hiponia dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana menipu dalam mengendalikan projek kerajaan.
Katanya, kedua-duanya dituduh bertindak menipu dua warga asing untuk melabur dalam dua projek yang diperoleh mereka bagi membina jalan dua hala di Lahad Datu dan menyiapkan projek rumah kos rendah di Papar, dekat sini.
Menurutnya, mangsa pertama mendakwa membuat pelaburan sebanyak RM450,000 untuk projek di Lahad Datu, manakala seorang lagi mangsa membuat pembayaran sebanyak RM1 juta untuk projek di Papar.
"Mangsa membuat laporan polis pada 10 Mei lalu dan pada keesokan harinya menerusi maklumat orang ramai, pihak polis berjaya menahan suspek. Hari ini suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, tetapi mengaku tidak bersalah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Razif berkata, Abdul Aziz yang menghadapi tiga kes diikat jamin RM12,000, manakala Wilson RM18,000 oleh dua orang penjamin warga tempatan dan pasport miliknya ditahan.
Katanya, bagi projek di Lahad Datu, Abdul Aziz dan Wilson didakwa menggunakan surat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sementara di Papar, mereka menggunakan surat daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB).
Tambahnya, salah seorang lagi rakan suspek yang dijadikan boneka dipercayai telah mengaku sebagai Pengerusi SPNB dalam usaha meyakinkan mangsa.
"Kedua-dua projek kerajaan ini sebenarnya memang wujud, tetapi bukan diperoleh oleh mereka. Syarikat lain yang sebenarnya diberi tugas untuk melaksanakan dua projek tersebut," katanya.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Dadah: Pekebun dipenjara, sebat, rakan bebas

SHAH ALAM 18 Mei - ''Orang Melayu telah dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
''Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan yang utama adalah ilmu dan apabila ilmu tiada, kita mempermainkan hukum agama,'' kata Hakim Datuk Abd. Rahim Uda di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali ke atas seorang pekebun, Fazizol Mohd. Razali, 25, yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 216 gram kanabis, dua tahun lalu.
''Doa kami agar kamu mengambil hukuman ini sebagai lembaran baru dan menjalani kehidupan mengikut undang-undang Allah dan bukan nafsu, semoga awak bertaubat nasuha,'' sambung beliau.
Fazizol yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini pada pukul 10.45 malam, 21 Februari 2009.
Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39A(2) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Sebelum ini dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Manakala rakan Fazizol, Mohd. Zuhaili Husen, 29, seorang pembuat jeriji besi yang menghadapi tuduhan sama dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah atas permohonan pihak pendakwaan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi, kedua-dua tertuduh ditangkap dalam satu operasi polis sewaktu sedang duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan polis menjumpai sebuah beg kain berwarna hitam mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja di dalam raga motosikal yang ditunggangi Mohd. Zuhaili.
Fazizol diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusof, manakala Mohd. Zuhaili diwakili oleh peguam Suzanawati Ismail.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pekerja Bangladesh dituduh bunuh amah Indonesia

SINGAPURA

MAYAT DALAM TANGKI AIR
SEORANG pekerja penyenggaraan warga Bangladesh semalam dikenakan tuduhan membunuh seorang pembantu rumah warga Indonesia di tingkat atas sebuah blok flat di Woodlands.

Md Bepon Mostafa, 27 tahun, dituduh menyebabkan kematian Cik Ruliyawati, 30 tahun, di Blok 686B, Woodlands Drive 73, antara 7.10 pagi dengan 9.54 pagi Isnin lalu.Mayat Cik Ruliyawati ditemui dalam salah satu daripada lapan tangki air di bumbung blok setinggi 15 tingkat itu.Cik Ruliyawati, yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, bekerja dengan sebuah keluarga di tingkat enam di blok itu.Mahkamah menetapkan Mostafa ditahan bagi tujuan siasatan selama seminggu di Divisyen Polis Central.Kesnya akan didengar lagi minggu depan.Jika didapati bersalah dia boleh dijatuhi hukuman mati.Setelah mayat Cik Ruliyawati ditemui, bekalan air di blok itu terpaksa dihentikan kerana terdapat kesan darah.Penduduk terpaksa mendapatkan air dari lori agensi air negara, PUB, yang membawa bekalan air dalam begbeg plastik untuk diagih kepada penduduk di blok itu.Bekalan air pulih sepenuhnya kelmarin.Cyberita

Pemuda Mati Lemas Tersangkut Pukat


PASIR PUTEH: Seorang pemuda dijumpai mati lemas di dalam parit di Kampung Lembah, Semerak, pada Rabu.
Mayat Wan Mohd Azri Wan Sulaiman, 23, dijumpai terapung pada pukul 7.10 petang, kata Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya.
"Sebelum itu Wan Mohd Azri dilapor menahan pukat berhampiran pintu kawalan air pasang surut dalam parit sedalam 15 meter itu. "Dia dipercayai lemas selepas salah satu anggota badannya secara tiba-tiba tersangkut pada pukat yang dipasangnya," katanya ketika ditemui di sini, Khamis.
Mayat Wan Mohd Azri dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.-BERNAMA
mStar

Maut bergesel bas ekspres





Mayat Mohd. Rozi yang digilis sebuah kereta setelah motosikalnya bergesel dengan bas ekspres di Hulu Selangor, semalam.


HULU SELANGOR 18 Mei - Seorang pemuda maut setelah motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 423, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran susur Bukit Tagar di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 1.27 pagi itu, mangsa, Mohd. Rozi Mohd. Yunus, 32, dikatakan tercampak ke tengah lebuh raya sebelum digilis sebuah kereta yang gagal mengelak.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah, Asisten Supritendan Mohd. Taib Songoh berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gedangsa.
Menurut beliau, motosikal ditungganginya dikatakan berada di tengah-tengah lebuh raya sebelum ia bergesel dengan bas ekspres yang membawa 23 penumpang dari Singapura ke Thailand.
"Sebaik sahaja mangsa tercampak, datang sebuah kereta dipandu oleh seorang wanita gagal mengelak lalu menyeret tubuh mangsa sejauh beberapa meter," katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Taib, pemandu bas, Teoh Poh Soon, 47, dan kesemua 23 penumpang terdiri daripada 15 warga Thailand, enam Singapura dan dua Malaysia bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, pemandu kereta yang melanggar mangsa, Audrey Victoria Samuel, 28, juga terselamat dalam kejadian tersebut.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah, Inspektor Amir Che Ya di talian 03-60641222 atau 03-60651021 bagi membantu siasatan.

Banjir kilat landa 300 buah rumah



JOHOR BAHRU 18 Mei - Lebih 1,000 penduduk di Taman Damai Jaya, Skudai dekat sini panik apabila rumah mereka tiba-tiba dinaiki air sehingga paras lutut ekoran banjir kilat yang berlaku petang ini.
Banjir itu melibatkan lebih 300 buah rumah bermula dari Jalan Makmor 18 hingga 24 di taman tersebut berlaku ekoran hujan lebat yang turun bermula sejak pukul 3.30 hingga 5.30 petang.
Keadaan air naik yang berlaku dengan pantas dan surut dalam masa setengah jam itu menyebabkan rata-rata penduduk kawasan rumah teres dua tingkat tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian apabila beliau sendiri dengan segera turun untuk melawat kawasan tersebut selain mengambil langkah yang perlu.
Beliau yang diiringi Ahli Majlis Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Tambi Omar Latip juga telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.
Seorang suri rumah, Latifah Ramli, 44, berkata, semasa kejadian berlaku dia bersama lima orang anaknya sedang berehat di rumah dan mereka hanya menyedari mengenai insiden itu selepas terdengar jiran menjerit.
"Kami semua panik apabila melihat air sudah mula memasuki kawasan dalam rumah. Kami kemudian cepat-cepat cuba selamatkan beberapa barangan sebelum rumah terus dinaiki air," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pengalaman sama turut dirasai jirannya Shamsiah Mior Shahudin, 50, yang ketika itu berada di rumah bersama seorang cucunya yang masih kecil sekali gus tidak banyak barang yang mampu diselamatkan.
"Biarpun ini bukan kali pertama banjir seumpama ini berlaku, namun seingat saya kejadian ini yang paling teruk pernah kami semua alami sejak menetap di sini sejak sekian lama," ujarnya

Polis lumpuhkan dua geng curi motosikal



MELAKA 18 Mei - Polis menumpaskan dua kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Geng Mimbar dan Geng Jackie yang bergerak aktif di negeri ini dan Johor setelah menahan 11 ahli kumpulan itu termasuk dua daripadanya anak anggota polis, baru-baru ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Chua Ghee Lye berkata, dalam tangkapan ahli Geng Mimbar pada 14 Mei lalu, pihaknya menahan dua lelaki dan menemui sebuah rangka motosikal yang telah dileraikan di Sungai Rambai, Jasin.
"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, empat lagi ahli kumpulan ini berjaya ditahan dan menemui dua rangka motosikal termasuk komponen yang telah dileraikan di kawasan sawah dan sungai sekitar Sungai Rambai," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.
Tambahnya, semua mereka yang direman selama tujuh hari termasuk dua anak anggota polis itu berusia antara 16 hingga 19 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, sindiket yang bergerak aktif sejak enam tahun lalu mencuri lebih 27 motosikal di sekitar Melaka, Kuala Lumpur dan Muar, Johor berdasarkan pengakuan ketuanya bernama Mimbar dari Telok Mas.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan pada 27 April lalu, polis berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal Geng Jackie yang bergerak aktif sejak 2009 dengan dengan tertangkapnya lima lelaki berusia antara 16 hingga 20 tahun termasuk ketuanya berusia 18 tahun.
Hasil soal siasat, menurut beliau, polis menjumpai 11 rangka motosikal yang sudah dileraikan sekitar Tangga Batu, Tanjung Kling dan Bukit Rambai.
"Berikutan penahanan kelima-lima lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan 11 kes curi motosikal di sekitar daerah Melaka Tengah," katanya.

Diperdaya penganggur menyamar polis



KUALA LUMPUR 18 Mei - Seorang penganggur berjaya memperdayakan seorang kelindan lori agar menyerahkan wang RM150 kepadanya dengan menyamar sebagai polis.
Mangsa berusia 30 tahun berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ditahan suspek kononnya untuk pemeriksaan semasa sedang menaiki motosikal berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Tun Sambanthan pada pukul 12 tengah hari, 7 Mei lalu.
Suspek bermotosikal yang memakai jaket berwarna biru seperti sering dipakai oleh anggota polis berpura-pura memasukkan tangan ke dalam baju seolah-olah mahu mengambil pistol sebelum mengugut mangsa supaya tidak melarikan diri dan menyerahkan wang kepadanya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, mangsa yang ketakutan dipaksa pulang ke rumah untuk mengambil wang setelah penjenayah terbabit mengambil kad pengenalan dan telefon bimbit miliknya.
Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa menemuinya berhampiran Balai Polis Bergerak bagi menyakinkan kelindan lori terbabit bahawa dia adalah anggota polis.
"Apabila mangsa sampai dan menyerahkan wang, suspek meninggalkan motosikalnya dan membonceng bersama lelaki terbabit pergi ke Balai Polis Travers.
"Tiba di situ, suspek menyerahkan semula kad pengenalan dan telefon bimbit mangsa sebelum bersendirian pergi ke pondok pengawal di pintu masuk balai dan berbual dengan anggota polis di situ yang dari jauh jika dilihat seolah-olah dia mengenali mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini, hari ini.
Menurut Wan Abdul Bari, suspek kemudian terus menghilangkan diri dan mangsa yang menyedari tertipu terus membuat laporan polis.
Beliau berkata, polis yang menerima laporan segera menjalankan siasatan dan berjaya memberkas suspek berusia 40 tahun berasal dari Klang, Selangor di sebuah rumah pada pukul 12.05 tengah malam tadi.

Geng Sham Botak tumpas




CHUAH Ghee Lye (tengah) bersama dua pegawainya, Deputi Supritendan Sandra Monica (kanan) dan Asisten Supritendan Aniesah Ahmad (kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka, semalam.- UTUSAN/AZLI AHAD


MELAKA 18 Mei - Kecekapan pihak polis berjaya menahan lima lelaki menyamar anggota pasukan itu, dikenali 'Geng Sham Botak', 33 jam selepas mereka menyamun dan mencabul seorang wanita warga Indonesia di Taman Melaka Raya, di sini baru-baru ini.
Tangkapan pertama pada 12 Mei lalu membabitkan ketua kumpulan geng itu yang dikenali sebagai Sham berusia 41 tahun, hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Hilir, Banda Hilir.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, susulan penahanan suspek, polis melakukan empat serbuan dan berjaya menahan empat lagi suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun.
"Dalam semua serbuan itu, kami merampas dua vest mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia, satu set 'walkie-talkie' dan sekeping risalah perniagaan menjual peralatan pasukan beruniform.
"Turut dirampas, dua beg sandang, wang tunai kertas dan syiling bernilai RM170, tiga bilah parang, dua bilah pedang samurai, 11 unit telefon bimbit, dua ketul emas yang disamun dan telah dileburkan dan sebuah kereta Proton Waja curi berwarna perak yang digunakan suspek," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi 11 Mei lalu, pihaknya menerima laporan kes samun melibatkan tiga lelaki tempatan menaiki sebuah Proton Waja ke atas pasangan warga Indonesia.
Suspek yang bersenjatakan parang dan memakai vest polis semasa menyamun mengikat mangsa sebelum mencabul mangsa perempuan.
Tambahnya, berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM10,000.
Menurut Ghee Lye, siasatan polis setakat ini mendapati, empat daripada ahli kumpulan penjenayah tersebut memiliki rekod jenayah lampau, malah seorang daripadanya memiliki 19 rekod jenayah.
"Dengan tertangkapnya kesemua suspek, kita percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun dan curi kenderaan di negeri ini," katanya.
Beliau menambah, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

6 ditahan kes samun bersenjata, edar dadah



KUALA LUMPUR 18 Mei - Enam individu termasuk seorang warga Iran yang terlibat dalam jenayah samun jalanan bersenjata dan pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya, dekat sini, awal pagi ini.
Mereka terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan pukul 2.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika serbuan, seorang lelaki dipercayai dalang kegiatan tersebut bersama dua wanita sedang berehat dalam unit kondominium itu.
"Pihak polis terpaksa menunggu selama 10 minit sebelum pintu dibuka. Pada masa yang sama, anggota polis yang berkawal di bawah mendapati suspek telah mencampakkan sepucuk pistol dan satu bungkusan hitam mengandungi 14 biji peluru.
"Kira-kira setengah jam kemudian, tiga lagi suspek mengunjungi rumah tersebut sebelum ditahan selepas hasil pemeriksaan dua daripadanya memiliki rekod jenayah lampau," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dekat sini, hari ini.
Menurut Zakaria, polis tidak menolak kemungkinan kesemua suspek turut menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan jenayah hasil penemuan sepasang gari, buku catatan polis dan sepucuk pistol.
Katanya, kumpulan itu dipercayai menyasarkan pemandu yang baru meletakkan kenderaan sebelum diserang menggunakan senjata dan melarikan barangan berharga.
"Dalam kejadian terbaharu Isnin lalu, seorang mangsa cedera disamun di Jalan Duta, dipercayai dilakukan kumpulan tersebut," katanya.
Jelas beliau, pemeriksaan polis di dalam rumah tersebut menemui pelbagai jenis senjata berbahaya digunakan untuk kegiatan samun.
"Empat bilah parang, tiga bilah pedang samurai, tiga bilah pisau dan alat pemedih mata.
"Selain itu turut dirampas 79 gram dadah jenis syabu, sebuah kereta Mercedes C200, wang tunai Rm37,000 dan lebih 10 buah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.
Tambah Zakaria, dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes jenayah samun di daerah Sentul.

Dadah: Pekebun dipenjara, sebat, rakan bebas



SHAH ALAM 18 Mei - ''Orang Melayu telah dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
''Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan yang utama adalah ilmu dan apabila ilmu tiada, kita mempermainkan hukum agama,'' kata Hakim Datuk Abd. Rahim Uda di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali ke atas seorang pekebun, Fazizol Mohd. Razali, 25, yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 216 gram kanabis, dua tahun lalu.
''Doa kami agar kamu mengambil hukuman ini sebagai lembaran baru dan menjalani kehidupan mengikut undang-undang Allah dan bukan nafsu, semoga awak bertaubat nasuha,'' sambung beliau.
Fazizol yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini pada pukul 10.45 malam, 21 Februari 2009.
Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39A(2) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Sebelum ini dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Manakala rakan Fazizol, Mohd. Zuhaili Husen, 29, seorang pembuat jeriji besi yang menghadapi tuduhan sama dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah atas permohonan pihak pendakwaan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi, kedua-dua tertuduh ditangkap dalam satu operasi polis sewaktu sedang duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan polis menjumpai sebuah beg kain berwarna hitam mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja di dalam raga motosikal yang ditunggangi Mohd. Zuhaili.
Fazizol diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusof, manakala Mohd. Zuhaili diwakili oleh peguam Suzanawati Ismail.

Taktik baru seludup dadah guna kotak bijirin



ANTARA kotak makanan bijirin yang mengandungi syabu yang dirampas di LTAB Bayan Lepas, kelmarin.


PULAU PINANG 18 Mei - Penguatkuasaan ketat pihak berkuasa di lapangan terbang menyebabkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan pelbagai taktik lain untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke negara ini.
Terbaru, sindiket yang didalangi warga Iran cuba menyeludup masuk dadah menggunakan kotak makanan bijirin bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Namun, taktik itu berjaya dikesan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini semalam.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dua lelaki warga Iran berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 7.40 petang di lapangan terbang berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui dua bagasi berisi 13 kotak makanan bijirin yang mengandungi 27.8 kilogram syabu yang bernilai RM 5.6 juta.
"Kita percaya ini taktik terbaru yang dikesan digunakan oleh sindiket dadah. Ini kerana sebelum ini, cubaan mereka menyeludup masuk dadah melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sering gagal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, kedua-dua suspek kini direman sehingga 24 Mei ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis rampas dadah RM10.5 juta




NOOR Rashid Ibrahim menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa serbuan pada sidang media di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 18 Mei - Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini bernilai RM10.5 juta selepas membongkar enam buah makmal dadah dalam tempoh empat hari.
Hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, seramai 10 lelaki dan empat wanita termasuk dua wanita warga China dipercayai dalang sindiket tersebut ditahan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, selain pelbagai jenis dadah, pihaknya turut merampas peralatan memproses bahan terlarang itu, sepucuk pistol dan 77 butir peluru hidup.
"Kita percaya dadah ini untuk pasaran tempatan. Kejayaan ini menunjukkan aktiviti memproses dadah kini dipelopori warga tempatan dan mungkin berpunca daripada kesukaran menyeludup masuk dadah ke Malaysia sejak kebelakangan ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita aset milik suspek terdiri daripada 11 buah kenderaan pelbagai jenis, barang kemas, jam tangan, wang dalam akaun dan wang tunai bernilai lebih RM23,355.
Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan ke atas pangsapuri mewah memandangkan lokasi itu sering dijadikan pusat operasi untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kita percaya trend sindiket makmal dadah kini sudah berubah dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket itu," ujarnya.
Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun kini direman sehingga esok.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

2 cedera siling terminal lapangan terbang runtuh


MANILA: Dua orang cedera selepas siling di Lapangan Terbang Ninoy Aquino di negara ini runtuh, kata pengurusnya, semalam, insiden terbaru yang menjejaskan reputasi bangunan terminal udara di Filipina yang semakin uzur.
Menurut Dante Basanta, serpihan siling yang jatuh mencederakan petugas bagasi dan pegawai keselamatan di kawasan tuntutan bagasi di terminal 1, lapangan terbang itu, bangunan berusia 29 tahun yang termasuk dalam senarai lapangan terbang paling buruk di dunia. Dua serpihan siling runtuh di terminal dalam tempoh beberapa jam walaupun runtuhan kedua tidak mencederakan sesiapa. Insiden itu, bagaimanapun, tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang itu dan tidak membahayakan penumpang. “Cuba fikirkan, terminal 1 sudah berusia 29 tahun dan menunjukkan tanda keuzuran,” katanya sambil menambah kejadian itu masih disiasat. - AFP

Rakyat Malaysia seludup dadah


SURABAYA (Indonesia): Seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan di negara ini kerana cuba menyeludup masuk 1.4 kilogram heroin, kata pegawai kastam, semalam.
Ganesan Sanmugam, 24, ditahan Jumaat lalu sebaik sampai di Surabaya dengan menaiki pesawat dari Malaysia membawa heroin dianggar bernilai AS$245,000 (RM735,000) di dalam bagasinya. “Paket heroin dibungkus dengan kertas aluminium dan disembunyikan di dalam saku beg pakaiannya,” kata pegawai kastam, Buhari Sirait. - AFP

Pemburu diserang beruang kritikal


ANCHORAGE (Alaska): Seorang pemburu beruang yang kritikal akibat diserang haiwan itu hujung minggu lalu diterbangkan ke bandar raya Seattle, kata pihak berkuasa, semalam.
Penduduk Nome, Wes Perkins, 54, dilaporkan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Harborview di Seattle.

Menurut pegawai Jabatan Haiwan, kejadian itu adalah serangan beruang pertama di Alaska pada tahun ini. “Setakat yang saya tahu, ini kejadian pertama tahun ini,” kata pembantu khas jabatan itu, Gordy Williams.

Perkins, bekas ketua bomba bandar Nome diserang beruang ketika dia dan dua lagi rakannya menjejaki haiwan itu di kawasan berbukit di luar Nome. - AFP

Polis Kanada rampas pil Viagra palsu RM 3 juta


OTTAWA: Pihak berkuasa Kanada merampas beratus ribu pil Viagra dan Cialis palsu, selain pakaian berjenama dan aksesori dari China yang dihantar untuk jualan di Toronto.
Polis Kanada berkata, mereka merampas satu bungkusan yang membawa petunjuk ke gudang yang dipenuhi bungkusan mengandungi pil seks.

Menurut kenyataan polis, anggaran nilai rampasan ubat palsu itu melebihi AS$1 juta (RM3 juta). Turut dirampas adalah pakaian dan aksesori berjenama seperti Armani, Burberry, Louis Vuitton, Adidas, Gucci, Hugo Boss, Lacoste, kosmetik MAC yang bernilai lebih AS$5 juta (RM15 juta).

Pihak berkuasa mengesahkan semua barangan itu datang dari China. - AFP

Nenek terbunuh


DUNGUN: Seorang warga emas terbunuh apabila kenderaan pacuan empat roda dinaikinya bertembung sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Ladang Gajah Mati, Bukit Besi, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4.25 petang itu, mangsa, Che Mah Salleh, 86, terbunuh apabila kenderaan yang dipandu cucunya berlanggar dengan kereta Honda City di lokasi kejadian.

Mangsa yang berasal dari Setiu dan mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun pada jam 6.10 petang.

Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya, Zainab Daud, 58, dan cucunya, Tuan Noor Tuan Idris, 37, dalam perjalanan dari rumah seorang anaknya di Marang untuk ke kediaman seorang lagi anaknya di Kuantan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda terbabit dikatakan secara tiba-tiba memasuki laluan kanan jalan selepas melalui satu selekoh di situ sebelum bertembung dengan Honda City dipandu guru, Rahimah Jamil, 28, yang datang dari arah bertentangan.

Pertembungan itu menyebabkan kereta dipandu guru terbabit remuk di bahagian hadapan, manakala kenderaan pacuan empat roda itu berpusing sebelum terbabas di tepi tebing di kawasan itu.


Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.

Rahimah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Durian Mas 2, Bandar Al Muktaffi Billah Shah, dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk melawat anaknya yang sakit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan pesakit luar.

Berselisih maut


KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi dan seorang tukang masak nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap besi perancah lampu limpah yang dipasang di Dataran Merdeka, di sini, semalam untuk program Citrawarna 2011, yang bakal berlangsung pada 21 Mei depan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu teksi, Mohd Yazid Yaman, dan tukang masak, Noraini Salleh, kedua-duanya 47 tahun sedang melalui Jalan Raja apabila besi perancah yang dipasang di kawasan itu tiba-tiba tumbang berikutan angin kencang melanda kawasan tapak untuk sambutan itu.

Menurut Noraini, dia memberhentikan keretanya untuk menurunkan suaminya yang ingin masuk pejabat selepas makan tengah hari bersama, sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan hentakan kuat disertai bunyi dentuman dan kaca berderai.

“Saya sangka kereta saya dilanggar dari belakang memandangkan saya memberhentikannya untuk menurunkan suami.

“Malah, suami saya baru saja membuka pintu dan belum sempat turun dari kereta ketika kejadian.

“Mujur saya tergerak untuk berhenti di hadapan sedikit dari biasa kerana jika tidak, saya tidak dapat bayangkan nasib kami berdua,” katanya yang nyata masih terkejut dengan kejadian itu.


Seorang lagi mangsa, Mohd Yazid berkata, dia sangat bersyukur kerana umurnya masih panjang dan kesal terhadap pihak pengurusan acara itu kerana gagal menyediakan persekitaran selamat ke atas pengguna jalan itu.

Menurut Yazid, dia yang sedang melalui jalan itu sempat mengelak daripada dihempap dengan lebih teruk selepas menyedari 'sesuatu yang luar biasa' menerusi cermin pandang sisi teksinya.

“Sepatutnya pihak penganjur mengambil inisiatif menutup jalan ini berikutan kerja pemasangan sedang dilakukan.

“Kejadian seperti ini dapat dielakkan sekiranya pihak penganjur lebih bertanggungjawab dalam memikirkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Syukur hanya dua kenderaan yang terbabit dan tiada sebarang kecederaan, tetapi cuba bayangkan sekiranya kejadian ini berlaku ketika acara sedang berlangsung atau ketika raptai sedang dijalankan?,” katanya.

Sementara itu, pengarah urusan syarikat yang bertanggungjawab membuat pemasangan perancah tersebut Khairul Isma Abdullah, 35; berkata kejadian tersebut tidak dapat dielakkan berikutan kejadian angin kencang.

“Kami membuat pemasangan mengikut segala aspek keselamatan yang sepatutnya, malangnya, angin yang terlalu kuat mengakibatkan perancah tersebut tumbang.

“Syarikat kami akan menanggung segala kerugian yang dialami pemilik kenderaan itu,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurut Khairul lagi, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM 1 Juta membabitkan puluhan lampu limpah yang pecah serta ganti rugi kepada mangsa yang mengalami kerosakan pada kenderaan mereka.

Perdaya pelanggan


IPOH: Bimbang perniagaan merudum akibat isu ketiadaan logo halal yang hangat diperkatakan semula menyebabkan segelintir pemilik restoran kopitiam panik membeli logo halal ‘swasta’ bagi memperdaya pelanggan Islam.
Logo halal tidak diiktiraf itu ditampal pada pintu di kaunter bayaran premis bagi meyakinkan pelanggan yang semakin berhati-hati selepas menyedari masih terdapat kopitiam tidak memohon sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata, berdasarkan pemantauan terdapat kira-kira enam logo halal palsu yang menyerupai logo halal Jakim berada di pasaran.

Menurutnya, kebanyakan pengguna mungkin tidak menyedari penipuan terbabit berikutan pihak yang menjual atau mengeluarkan logo halal palsu itu cuba meniru atau menghasilkan logo mirip logo halal Jakim.

“Kebanyakan logo tidak diiktiraf ini berbentuk bulat menyerupai logo Jakim dengan tulisan jawi ‘halal’ di tengahnya.

“Sekali pandang ramai yang tidak dapat membezakannya dengan logo halal Jakim, namun perkataan yang tertera pada tepi bulatan logo mempamerkan nama pelbagai syarikat yang tidak diiktiraf Jakim,” katanya.


Menurutnya, orang ramai yang sangsi berhubung restoran kopitiam yang dikunjungi boleh menyemak nama syarikat terbabit di direktori Halal Malaysia yang dikendalikan Jakim.

“Setakat ini, hanya beberapa syarikat restoran Kopitiam disahkan memiliki sijil halal Jakim antaranya Pak Hailam Kopitiam Sdn Bhd, Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd, Jonker Walk Kopitiam dan Old Town Kopitiam Sdn Bhd di Plaza Shah Alam, Selangor,’ katanya.

Isu berhubung kopitiam ini mula diperkatakan semula selepas pihak Jakim mendapati wujud sebuah rangkaian restoran kopitiam terkenal mendapat bekalan bahan mentah tidak halal dari sebuah syarikat pengedar dari Pulau Pinang hujung April lalu.

Susulan itu, mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mengambil keputusan menarik semula sijil pengesahan halal Malaysia bagi syarikat pengedar makanan itu selepas laporan kimia mendapati terdapat Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam produk keluaran syarikat itu yang turut diedarkan ke kopitiam.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak, Mohd Hilmi Mohd Noor yang ditemui semalam berkata, pihaknya memandang serius perkara itu melalui kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Katanya, KPDNKK mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati menggunakan logo halal palsu atau tamat tempoh.

Menurutnya, penguatkuasaan berhubung perbahasan ‘halal’ dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972/Perintah Perihal Dagangan Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975/Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975. “Akta ini memberi perlindungan kepada peniaga dan pengguna daripada amalan perdagangan yang tidak sihat seperti penggunaan perihal dagangan palsu atau mengelirukan berhubung dengan harga dan barang-barang serta pernyataan palsu yang mengelirukan berhubung dengan perkhidmatan, tempat tinggal dan kemudahan. “Penggunaan perbahasaan ‘halal’, ‘Ditanggung Halal’, ‘Makanan Islam’ atau sebagainya termasuk dalam bentuk logo oleh premis perniagaan tidak diwajibkan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam

Kaut RM12,000 sehari


KUALA LUMPUR: Sekalipun pelbagai tangkapan dan serbuan dilakukan pihak berkuasa, sindiket gores dan menang masih aktif kerana perniagaan itu dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM12,000 sehari.
Malah mereka sanggup memberi hadiah permulaan seperti barangan elektrik kepada mangsa yang menyertai peraduan dianjurkan mereka selain menawarkan hadiah kereta mewah.
Dalam penipuan terbaru sindiket berkenaan, mereka akan memberi mangsa sekeping kertas bulatan ‘lutsinar’ sebelum diberikan satu kad berbentuk seperti kanta untuk melihat nombor yang berada dalam bulatan itu.

Sebaik mangsa melihat sendiri nombor tertera pada kertas berkenaan, mangsa layak menerima hadiah berupa barangan elektrik, tetapi perlu membayar sejumlah wang sehingga mencecah RM4,000 kononnya sebagai komitmen untuk menyertai peringkat seterusnya.


Ketua Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Cif Inspektor Mohd Zaid Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada tiga mangsa yang mendakwa ditipu sindiket berkenaan sebelum siasatan dan serbuan dilakukan.

Diculik’ lembaga hitam


AMPANG: Seorang remaja perempuan yang sudah lapan kali hilang dari rumah mendakwa ‘diculik’ lembaga hitam berbulu sebelum disorok di dalam hutan belakang rumahnya berhampiran sebuah tokong Cina.
Menurut Siti Zafirah Ismail, 16, dia tidak mampu mengingati kejadian itu kerana ia berlaku sepantas kilat ketika sedang duduk bersendirian di tepi tingkap dalam bilik tidurnya.
“Saya tak ingat apa-apa... apabila buka mata saya berada dalam hutan di tepi lereng bukit yang sangat curam,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Ukay Perdana, di sini, semalam.

Menceritakan kejadian yang menimpa, Siti Zafirah berkata, pada 5 April lalu selepas pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang, dia seperti kebiasaannya berehat di dalam bilik sambil membuka tingkap.


“Seperti kebiasaannya saya akan berehat dalam bilik selepas pulang dari sekolah jam 2 petang sebelum membersihkan diri dan solat kerana saya perlu keluar semula untuk ke tempat kerja.

Ayah tidak tidur malam


KUALA LUMPUR: Seorang bapa terpaksa bersengkang mata setiap hari dengan menaiki kenderaannya di sekitar Puchong dan ibu kota semata-mata mencari anak perempuannya berumur 14 tahun yang hilang sejak kelmarin.
Mohd Rashidi Jaafar, 40, berkata, anak sulungnya itu, Hana Munirah, tidak pulang ke rumah jam 7.30 malam kelmarin, selepas keluar bersama rakannya yang tinggal di kawasan berhampiran Pangsapuri Semarak, dekat Puchong Perdana, di sini.

Menurutnya, Hana keluar kira-kira jam 4 petang selepas meminta izin dari isterinya mengatakan hendak keluar sebentar bersama rakannya bernama Sally Wong, 14, yang turut dikenali mereka.

“Kebiasaannya, Hana akan pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar atau dari sekolah cuma sama ada cepat atau lambat saja,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.

Isterinya, Anizah Mohd Isa, 39, pula berkata, risau dengan keselamatan anaknya, mereka membuat laporan di Balai Polis Puchong pada jam 10.45 pagi hari yang sama.

Katanya, dia yang ke rumah keluarga Sally selepas itu menjadi lebih terkejut kerana Sally turut hilang bersama Hana.


“Sally sudah beberapa kali hilang sebelum ini daripada ibunya. Justeru, akibat bimbang, kami tidak henti-henti ronda untuk mencari Hana termasuk kedai serbaneka kegemarannya, 7 Eleven.

“Namun, usaha kami menemui jalan buntu membuatkan kami jadi tak tentu arah dan tak lalu makan,” katanya.

Melalui perbualan dengan beberapa rakan sekelas anaknya pula, Hana dipercayai pernah menyuarakan hasrat ingin melarikan diri kerana mahu bebas, tetapi tidak menyangka ia benar-benar berlaku.

Mereka juga tidak mengetahui sama ada Hana sudah merancang perkara ini dengan Sally mahupun tidak.

“Saya rasa dia terpengaruh dengan Sally, seorang anak tunggal yang boleh buat sesuka hatinya kerana sebelum ini Hana pernah memberitahu saya bahawa dia rasa terkongkong kerana tidak boleh keluar sendirian,” katanya.

Menurutnya, Hana seorang yang rajin, boleh diharap dan sangat mengasihi adik-adiknya.

Anizah turut berasa risau kerana Hana tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika keluar dan khuatir dia ditipu individu tidak bertanggungjawab. Kali terakhir Hana keluar dari rumah dengan memakai kemeja-T berwarna putih, seluar sukan warna hitam dan berselipar.

Berikutan itu, sesiapa yang menemui Hana diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya di talian 012-3153636 dan 019-2924711.

Ibu runsing nasib gadis ghaib


KUALA TERENGGANU: Seorang ibu merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak gadisnya yang hilang ketika membantu keluarga berniaga di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, 3 Mei lalu.
Ibu berkenaan, Zakiah Abdul Majid, 48, dari Kampung Chendering, di sini, berkata, anak bongsunya, Noor Farah Hieza Mokhtar, (gambar) 16, menghilangkan diri selepas memberitahunya mahu ke kedai serbaneka berhampiran stadium berkenaan pada jam 9.15 malam pada hari kejadian.

Menurutnya, selepas mendapati anaknya tidak pulang ke lokasi mereka berniaga, suaminya Mokhtar Harun, 50, berusaha mencari anaknya itu di kedai berkenaan, namun gagal.

Katanya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 9.45 pagi keesokannya.

“Tiada perselisihan faham antara ahli keluarga dan anak saya itu. Punca mengakibatkan anak saya itu mengambil tindakan menghilangkan diri juga tidak saya ketahui,” katanya yang mempunyai lima cahaya mata.

Zakiah berkata, berikutan anaknya tidak mempunyai telefon bimbit, usaha untuk menghubunginya agak sukar.


“Kami berusaha mencarinya di sekitar bandar raya ini sejak 15 hari lalu tetapi masih gagal menemuinya,” katanya yang turut memberitahu dia menangis setiap kali teringatkan anak gadisnya itu kerana terlalu bimbangkan keselamatannya.

Zakiah merayu sesiapa yang mengetahui di mana anaknya supaya menghubunginya di talian 012-9298578 atau 017-9351088.

Rampas dadah RM 11 juta


GEORGETOWN: Berikutan kekerapan serbuan polis, sindiket dadah kini ‘bertukar angin’ menjadikan pangsapuri mewah dan kawasan perumahan sebagai makmal mini memproses dadah.
Difahamkan, mereka menggunakan kediaman yang disewa untuk dijadikan makmal mini dan tidak menumpukan kepada hanya sebuah rumah bagi mengelak dikesan polis.
Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila polis merampas pelbagai dadah bernilai kira-kira RM11 juta dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan di Pulau Pinang, beberapa hari lalu.

Menggunakan kepakaran ‘saintis’ sendiri, anggota sindiket sanggup berkurung dalam kediaman mereka bagi menghasilkan dadah bermutu untuk pasaran tempatan dan eksport.


Malah, dalam serbuan di sebuah rumah kedai dua tingkat yang dijadikan makmal mini di Padang Tembak, Isnin lalu, sindiket menggunakan corong khas yang dibuat sendiri untuk mengelak asap keluar ketika memasak campuran bahan kimia bagi menghasilkan dadah.

Buang pistol, 14 peluru


KEPONG: Akibat menggelabah apabila markas persembunyiannya diserbu polis, seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai dalang satu geng samun sekitar Sentul, mencampakkan sepucuk Revolver .38 berserta 14 butir peluru yang dibungkus dengan plastik hitam keluar dari tingkap sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya, di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, polis menahan enam individu termasuk dua wanita masing-masing berusia antara 26 hingga 42 tahun dengan seorang daripada lelaki berkenaan warga Iran, dipercayai terbabit dalam lebih 10 kes samun bersenjata sekitar Sentul.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam operasi membabitkan 12 anggota itu, polis pergi ke tingkat lapan untuk melakukan serbuan manakala sebahagian anggota lagi menunggu di bawah kondominium itu membuat pemerhatian.

Beliau berkata, lokasi suspek bersembunyi dapat dijejaki hasil maklumat dan pemerhatian dijalankan polis.


“Ketika serbuan, suspek pada mulanya membuka pintu sebelum menutup semula dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka semula pintu berkenaan.