Search This Blog

Wednesday, May 18, 2011

Pegawai TLDM Didakwa Buat Tuntutan Palsu Lebih RM200,000


IPOH: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Rabu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan nilai keseluruhan USD63,677.74 (RM235,607.63), lima tahun lepas.
Leftenan Komander Ahmad Syukry Othman, 39, didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai pegawai bekalan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa, dituduh mengemukakan invois palsu Landmark Trading Pte Ltd bernilai USD46,813 (RM173,208.10) bertarikh 3 Jun 2006 bagi tuntutan pembelian ransum segar.
Tertuduh juga didakwa mengemukakan invois palsu syarikat sama bernilai USD16,864.17 (RM62,399.53) yang bertarikh 26 Ogos 2006 bagi tuntutan sama.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun peguam Norhasham Hasan yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Norhasham berkata tertuduh yang telah 15 tahun berkhidmat dengan TLDM, memberikan kerjasama baik dalam penyiasatan kes terbabit sejak lima tahun lepas dan kini masih bertugas dalam pasukan itu.
Hakim kemudiannya menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA
mStar

Hukuman Mati Ke Atas Lelaki Bakar Isteri Kekal


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang membakar isteri, ibu mentua, abang dan adik iparnya pada malam Deepavali lapan tahun lalu.
Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara menolak rayuan akhir M. Balamurali selepas memutuskan bahawa tiada sebab untuk campur tangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau berkata isu yang dibangkitkan peguam Balamurali, T.Vijayandran, telah dinilai oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Balamurali, 35, seorang penganggur didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Nov 2007 kerana membunuh isterinya M.Komathi, 25, dan adik iparnya K.Sareswathy, 24, yang hamil 14 minggu, di rumahnya di Lot 10352 Jalan Bunga Melor, Kampung Baru Hicom di sini, pukul 10 malam pada 6 November 2002.
Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 November 2010.Komathi dan Sareswathy meninggal akibat kebakaran teruk manakala Balamurali, ibu mentuanya S. Mariamah dan abang iparnya, M.Sivarajah dirawat di hospital.
Sareswathy meninggal dunia pada 10 November 2002, empat hari selepas insiden itu manakala Komathi meninggal dunia pada 12 November 2002.
Balamurali didakwa menyimbah petrol ke atas isteri dan tiga yang lain sebelum membakar mereka selepas menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit.
Pada hari kejadian itu, Mariamah memberi keterangan bahawa beliau nampak Komathi disimbah dengan petrol dan Balamurali cuba menyalakan api.
Dalam keterangannya, beliau, Komathi dan Sareswathy cuba menghalangnya (Balamurali) dari menyalakan api dengan memeluk Balamurali tetapi gagal.
Semasa membela diri, Balamurali mendakwa bahawa beliau mahu menamatkan nyawanya sendiri di hadapan isterinya.
Katanya beliau telah menyimbah dirinya dengan petrol dan memegang pemetik api di tangannya.
Balamurali mendakwa bahawa ketika hendak membakar dirinya, isteri, ibu mentua, abang dan adik iparnya cuba menghalangnya tetapi mereka disambar api.
Dia menafikan menyimbah petrol ke atas Komathi dan Sareswathy.
Dalam prosiding rayuan hari ini, Vijayandran memohon mahkamah agar mengurangkan dakwaan kepada membunuh tanpa niat.
Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berhujah bahawa Balamurali tahu dengan menghidupkan pemetik api, ia boleh membahayakan si mati yang telah disimbah dengan petrol. -BERNAMA
mStar

Mayat pelajar wanita warga China ditemui berulat



SEREMBAN 17 Mei - Seorang wanita warga China yang belajar di sebuah kolej swasta dekat sini ditemui mati dalam keadaan berulat di sebuah bilik apartmen di Mantin, hari ini.
Mayat mangsa berusia 21 tahun itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan yang memecah masuk bilik berkenaan selepas beberapa pelajar mengadu tidak tahan dengan bau busuk.
Menurut jurucakap polis, mayat mangsa dijumpai terbaring di bilik tidurnya dalam keadaan lengkap berpakaian.
"Ketika ditemui, keadaan mayat sudah berulat dan mangsa disyaki sudah meninggal dunia sejak seminggu yang lalu.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat bagi mengesan punca kematian," katanya.
Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri di bilik berkenaan dan beberapa rakannya memberitahu bahawa dia tidak keluar dari bilik sejak seminggu lalu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.
Katanya, buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan pihaknya sedang menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Suami isteri miliki ganja ditahan

Utusan Malaysia

SEREMBAN 17 Mei - Seorang pemandu lori bersama isterinya ditahan di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Nilai dekat sini pagi ini kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja.

Pasangan berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dalam serbuan di kediaman mereka kira-kira pukul 6 pagi.

Ketua JSJN Negeri Sembilan, Supritendan R. Ravi Chandran berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, pihaknya menemui kira-kira 490 gram dadah dipercayai ganja.

'Pasangan suami isteri yang berusia 45 dan 42 tahun itu dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar kawasan ini sejak beberapa bulan lalu.

'Serbuan dibuat hasil risikan serta maklumat yang diterima sejak dua minggu lalu,' katanya di sini hari ini.

Tambahnya, lelaki tersebut merupakan warga tempatan manakala isterinya yang tidak bekerja itu merupakan seorang warga asing.

'Ketika serbuan, tiga anak pasangan itu yang berusia antara 3 hingga 9 tahun turut berada di rumah.

'Anak pasangan berkenaan kini diserahkan kepada ahli keluarga suspek untuk dijaga,' ujarnya.

Jelas Ravi Chandran, pihaknya akan mendapatkan perintah reman untuk menyoal siasat suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952."

Angkara lori terbakar


KANGAR: Tumpahan minyak yang mengalir ke dalam longkang berpunca daripada kebakaran sebuah lori, turut menyebabkan sederet empat rumah kedai papan setingkat berhampiran hangus dijilat api membabitkan kerugian lebih RM400,000 di Jalan Raja Syed Alwi, di sini, awal pagi semalam.
Lori yang diletakkan berhampiran bangunan milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengandungi muatan bahan mudah bakar dan tumpahannya mengalir ke dalam longkang hingga menyebabkan rumah kedai yang terletak kira-kira 50 meter menerima musibah sama.

Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan seorang mangsa yang datang ke Balai Bomba Kangar, di sini, dengan menunggang motosikal dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Penolong Penguasa, Johari Othman berkata, api merebak menerusi aliran minyak di dalam longkang hingga menyebabkan empat rumah kedai berusia lebih 50 tahun turut hangus.

“Sebahagian besar rumah kedai terbabit hangus dijilat api dan usaha dilakukan untuk menyelamatkan bangunan Mara berhampiran yang menempatkan lot perniagaan.

“Kebakaran terbabit dimaklumkan seorang lelaki dipercayai seorang pemilik kedai yang bergegas ke balai bomba dengan menunggang motosikal.
“Dia tidak menggunakan alat perhubungan untuk memaklumkan kejadian terbabit, mungkin terkejut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang menganalisis muatan dibawa lori yang turut hangus itu manakala kedai berkenaan menjalankan perniagaan peralatan besi dan jentera pertanian.
Katanya, sebahagian barangan dalam sebuah pasar raya di bangunan Mara turut rosak manakala nilai kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM400,000.

“Tiga jentera bersama 17 anggota dari Kangar, Kuala Perlis dan Arau, selain bantuan pasukan bomba sukarela berjaya mengawal kebakaran daripada merebak memusnahkan bangunan Mara yang menempatkan banyak lot perniagaan.

Pemilik kedai papan, Yeoh Soo Leong, 47, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian dari rumahnya di Taman Perlis, di sini, selepas dimaklumkan seorang rakan dan melihat api sedang marak membakar dua kedai miliknya.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barang memandangkan peralatan di dalam kedai mesin besar,” katanya.

Pemilik kedai jentera pertanian, Boon Ngee, 68 pula berkata, dia dan isteri yang sedang bersiap untuk ke Persatuan Buddha bagi menyambut perayaan Wesak, terpaksa membatalkan hasrat itu untuk bergegas ke tempat kejadian.

“Semua jentera pertanian di dalam kedai hangus terbakar,” katanya.myMetro | Angkara lori terbakar

Warga emas diacu gunting


KAJANG: Seorang warga emas tergamam apabila dua lelaki bersenjatakan gunting menyamun rumahnya di Desa Kiambang, Sungai Chua, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Deputi Superintendan Mohd Rozi Mat Jidin berkata, mangsa yang berusia 70 tahun kehilangan beberapa barang berharga selain kereta Honda CRV miliknya dilarikan suspek dalam kejadian jam 11 pagi itu.

“Semasa kejadian, mangsa tidak melawan kerana ketakutan, selain bimbang dicederakan kerana suspek mengancamnya.
“Suspek menyelongkar rumah mangsa untuk mencari barangan berharga dan selepas memperoleh seutas jam tangan, suspek melarikan diri,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kajang sebelum sepasukan anggota menjalankan operasi menjejaki suspek.

Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan suspek yang berada di kawasan medan selera berhampiran Taman Desa Jasmin 1, Nilai, jam 7 malam hari yang sama.
“Sewaktu ditahan, polis turut merampas sebuah kereta Honda CRV yang menggunakan nombor pendaftaran palsu selain menemui sebilah parang yang diletakkan di dalam kereta berkenaan. Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berusia 35 dan 46 tahun serta memiliki rekod jenayah lampau seperti jenayah samun dan dadah, selain seorang daripada suspek menjadi buruan polis kerana terbabit dengan kes dadah.

Mohd Rozi berkata, suspek kini ditahan reman untuk polis menjalankan siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.myMetro | Warga emas diacu gunting

Kaut untung tipu rakan senegara

myMetro

JOHOR BAHRU: Selepas sekian lama mengaut untung dengan menipu rakan senegara, seorang ejen pekerja asing warga Bangladesh akhirnya kecundang apabila aktiviti mengedar pasport palsu dikesan Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen Johor dalam dua operasi serentak di Taman Putra, Kempas Lama dan Taman Mulia Tampoi di sini, kelmarin.

Dalam serbuan bermula jam 10 malam di Taman Putra, Kempas Lama di sini, seramai 48 pekerja asing Bangladesh dan seorang warga India tanpa permit kerja ditahan, selain merampas 69 pasport lengkap dengan pelekat disyaki palsu dan wang tunai berjumlah RM54,600 dipercayai hasil bayaran untuk membuat dokumen berkenaan.
Ketika rumah berkenaan diserbu, lelaki berusia 40-an itu cuba menyembunyikan wang berkenaan di bawah timbunan baju dan kain atas tilam, namun pemeriksaan anggota bertugas berjaya menemuinya.

Penolong Penguat Kuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, pemeriksaan awal terhadap suspek hanya menemui wang tunai berjumlah RM4,950, namun gelagatnya yang kelihatan resah menimbulkan kecurigaan kepada pihak berkuasa.


Katanya, selepas soal-siasat dijalankan, lelaki terbabit kemudian mengaku menyimpan baki wang di bawah timbunan baju dan kain."

Patah kaki kali kedua

myMetro
TELUK INTAN: Selepas tujuh bulan patah kaki akibat kemalangan jalan raya dan ketika kecederaan itu semakin pulih, seorang pelajar bernasib malang apabila kaki kanannya patah sekali lagi akibat ditendang seorang guru sekolahnya.

Dalam kejadian Khamis lalu, A Pavithran, 15, terpaksa menempuh kesengsaraan apabila kaki kanannya patah ditendang seorang guru dalam kelasnya.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Saint Anthony di sini, mendakwa kejadian berlaku Khamis lalu apabila guru berkenaan dikatakan bengang dengan perbuatannya meletakkan kaki di atas bangku ketika peperiksaan pertengahan tahun.

Ketika ditemui di rumahnya di Batu 3 1/2, Jalan Changkat Jong, dekat sini, Pavithran yang bakal menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi berkata, dia patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya berdekatan rumahnya pada 24 Oktober tahun lalu dan sejak itu tidak dapat bersekolah tujuh bulan.


Dia kembali bersekolah pada 13 April lalu kerana tidak mahu banyak ketinggalan pembelajaran di sekolah walaupun kaki masih sakit."

Khidmat seks di sebalik urut kaki


JOHOR BAHRU: Berselindung di sebalik khidmat urutan kaki, wanita warga asing di premis di Taman Desa Tebrau dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pengunjung bagi memperoleh pendapatan lebih.
Dalam ‘Ops Sayang’ dilakukan Jabatan Imigresen Johor kelmarin, sembilan wanita, lima warga China dan empat Thailand, ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pekerjaan sah.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Hamzari A Jalil berkata, serbuan dilakukan jam 3 petang membabitkan 20 anggota dan pegawai hasil risikan dan maklumat orang ramai berhubung aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dipercayai majikan warga asing terbabit bagi membantu siasatan. “Mengikut maklumat diterima, wanita tukang urut di premis itu menyediakan pakej tambahan kepada pelanggan yang berminat melakukan hubungan seks, namun perkara itu masih dalam siasatan. “Pemeriksaan mendapati semua wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang permit pekerjaan sah dan kita menyiasat bagaimana mereka memasuki negara ini,” katanya.

Wanita ditahan berusia antara 23 hingga 45 tahun dan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nanas bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1963.


Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi mengesan majikan yang menggaji wanita warga asing tanpa permit kerja sah.

myMetro | Khidmat seks di sebalik urut kaki

Penunggang parah langgar anjing liar

myMetro
PENUNGGANG motosikal yang cedera cedera tercampak selepas terlanggar anjing liar di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 31, Shah Alam. Foto: Hamid Karim (17/05/2011)
PENUNGGANG motosikal yang cedera cedera tercampak selepas terlanggar anjing liar di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 31, Shah Alam. Foto: Hamid Karim (17/05/2011)
"SHAH ALAM: Gara-gara anjing, seorang penunggang motosikal parah di kepala apabila motosikal ditunggangnya terlanggar haiwan itu di persimpangan lampu isyarat di Lorong Ehsan, berdekatan sebuah pasar raya di Seksyen 31, di sini, semalam.

Kemalangan membabitkan anjing liar itu yang ketiga dilaporkan tahun ini di lokasi sama menyebabkan pengguna jalan raya dan penduduk berdekatan merayu pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangkap haiwan liar itu.


Dalam kejadian terbaru petang semalam, mangsa yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja tercampak daripada motosikalnya apabila gagal mengelak seekor anjing liar yang melintas di lampu isyarat berkenaan.

Penduduk, Samsuri Dalhar, 62, meminta pihak berkuasa bertindak segera menangkap anjing liar yang dianggarkan kira-kira 10 ekor itu yang sering berkeliaran di kawasan kemalangan itu.


Menurutnya, kumpulan anjing liar itu dipercayai menghuni kawasan hutan berdekatan dan akan merayau pada waktu tertentu untuk mencari makanan dengan melintas persimpangan lampu isyarat sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya."

Maut dirempuh kereta

myMetro
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal terbunuh manakala pemandu kereta cedera parah dan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 25, Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Damansara, jam 3 petang semalam.

Kam Yoke Wai, 36, dari Taman Lembah Maju mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas motosikalnya dirempuh kereta sebelum diseret sejauh beberapa meter.


Menurut sumber polis, kereta dipandu seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri lebuh raya dan merempuh motosikal mangsa.

Katanya, kereta yang dipercayai dipandu laju itu dilaporkan terhumban ke tepi jalan sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran tempat kejadian.


“Bumbung kereta itu remuk menyebabkan pemandunya tersepit di tempat duduk, namun berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.


Mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat."

Geng Parang Panjang muncul lagi



GOMBAK: Satu kumpulan penyamun dikenali sebagai Geng Parang Panjang kerana menggunakan senjata berkenaan ketika menyamun mangsa muncul semula dan kali ini menjadikan seorang lelaki yang sedang mengambil barang di dalam van di hadapan rumahnya di Taman Sri Gombak, di sini sebagai mangsa, pagi kelmarin.
Berikutan itu, mangsa berusia 38 tahun kerugian RM3,500 apabila rantai emas dipakainya dan dompet duit mengandungi wang tunai RM500 dilarikan.

Sebelum ini, geng sama dikesan menyamun seorang lelaki berhampiran kawasan sama pada pagi 11 Mei lalu.
Taktik geng itu ialah membuat 'tinjauan' beberapa pusingan di kawasan yang disasarkan dengan menunggang dua motosikal.

Geng terbabit memilih waktu pagi hari bekerja untuk menjalankan kegiatan kerana kebanyakan penduduk ketika itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.

TERKEJUT...Thamil (baju putih) menceritakan  kejadian dia disamun kepada anggota polis.
TERKEJUT...Thamil (baju putih) menceritakan kejadian dia disamun kepada anggota polis.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, M Thamil Selvan, tergamam sebaik melihat satu parang panjang dihayun ke arahnya ketika memunggah peralatan pendawaian ke dalam van di depan rumahnya kira-kira jam 9 pagi.
“Saya cuba melarikan diri ke rumah keluarga selang dua rumah dari tempat kejadian namun tidak sempat apabila rakan lelaki terbabit mengejar dan menarik rantai emas dipakai.

“Selepas menarik rantai emas saya, suspek mengacukan parang panjang ke leher dan mengarahkan saya menyerahkan dompet,” katanya.
Thamil berkata, dia yang bimbang dicederakan menyerahkan dompet berisi wang tunai RM500.

“Saya gagal mengecam wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar berpenutup penuh.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan tidak sampai lima minit. Mereka juga mengarahkan saya masuk ke dalam longkang sebelum melarikan diri,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak mengenai kejadian itu.

Pada 11 Mei lalu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki , Mashuri Marwan, 52, menjadi mangsa samun empat lelaki bersenjatakan parang di kediamannya, Fasa 4 Taman Sri Gombak.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mashuri yang berbaring di ruang tamu bersama cucu lelaki berusia setahun tergamam apabila tiga lelaki tiba-tiba masuk ke rumahnya sebelum mengacukan parang panjang di lehernya. Selepas menyamun, suspek mengarahkan mangsa masuk ke dalam tandas dan menguncinya dari luar sebelum mereka melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memburu suspek.myMetro | Geng Parang Panjang muncul lagi

Guatemala isytihar darurat perangi kartel

myMetro


SAN BENITO (Guatemala): Guatemala mengisytiharkan darurat 30 hari di daerah utara Peten ekoran insiden pembunuhan 27 orang di ladang lembu, beberapa hari lalu.

Presiden Alvaro Colom menyelar pembunuhan itu sebagai sadis dan kejam sambil mendakwa ia perbuatan kumpulan dadah.


Colom berkata, beliau akan pergi ke daerah yang diliputi hutan itu bagi mengarahkan operasi untuk disasarkan kepada kumpulan yang dipercayai kartel dadah Mexico yang menghuni Peten.

“Guatemala perlu berdepan dengan serangan yang disasarkan bukan saja kepada negara ini tetapi seluruh rantau ini,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kepada rakyat, semalam. - AFP"

Makin ramai pegawai polis AS mati dibunuh

myMetro


WASHINGTON: Seramai 56 pegawai penguatkuasa undang-undang Amerika Syarikat dibunuh tahun lalu, kebanyakannya ditembak mati oleh penyerang bersenjata, menurut kenyataan statistik dikeluarkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), semalam.

Bilangan pegawai polis yang terbunuh ketika bertugas bertambah lapan lagi daripada 48 yang dibunuh pada 2009, peningkatan 16 peratus, kata FBI. Sebagai tambahan kepada pegawai polis yang terbunuh tahun lalu, 72 mati akibat kemalangan - peningkatan 24 pegawai berbanding 2009."

Makan stew hati rakan

myMetro
MOSCOW: Polis di bandar raya ini menahan seorang lelaki yang mengerat rakannya dan menyimpan mayat mangsa di dalam peti sejuk sebelum memakan hatinya, kata pegawai penyiasat, semalam.

Nikolai Shadrin ditahan selepas polis mengesan apartmen tempat dia membunuh warga Moscow berusia 40 tahun, Ilya Yegorov pada awal Mei lalu. “Ketika menggeledah apartmen itu, alat digunakan untuk mengerat mangsa dan hati manusia ditemui. Shadrin mengaku melakukan jenayah berkenaan dan memakan sebahagian hati temannya itu,” kata kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Siasatan. Yegorov dibunuh pada 2 Mei lalu dan polis menemui organ tubuh manusia termasuk kaki, tangan dan sebahagian lengan di Sungai Moscow dan beberapa ruang bawah tanah di barat Moscow, kata polis, Aleksei Saveliev. Menurutnya, ketika ditahan, Shadrin sedang memakan stew hati manusia. Dia meremukkan tubuh mangsa dengan penyodok di mana terdapat kesan cap jarinya. Shadrin adalah pesakit hospital jiwa. - AFP"

Pelaut Filipina mati lepas kapal diserang lanun

myMetro
"
MANILA: Kerajaan Filipina berkata seorang pelaut warganya ditemui mati di atas kapal yang diserang lanun di Benin di Afrika Barat.

Jabatan Luar Negara Filipina berkata, tidak dapat dipastikan bagaimana Christopher Cortez Ceprado menemui ajal dan sama ada kumpulan lanun itu bertanggungjawab atas kematiannya.


Ceprado ditemui mati Jumaat lalu, empat hari selepas kumpulan lanun bersenjata merompak kapal tangki MT Sea King dan 17 kru warga Filipina di pelabuhan Cotonou di Benin. - AP"

Anak parah dilanggar, ayah ibu kena ragut


AHMAD Fakhrie ditemani  Norzie  di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
AHMAD Fakhrie ditemani Norzie di Hospital Sultanah Nur Zahirah.


KUALA TERENGGANU: Belum pun hilang trauma dan sedih dengan kejadian menimpa anak sulung mereka yang parah akibat dilanggar mat rempit Ahad lalu, keluarga kanak-kanak malang itu terus diuji apabila ibu bapanya pula menjadi mangsa ragut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Seberang Baruh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Norzie Ngah, 35, dan suaminya, Azni Ariff, 44, menjadi mangsa ragut dua lelaki yang menghampiri mereka dan merentap beg tangan ibu kanak-kanak berkenaan yang mengandungi dokumen penting dan wang tunai RM120 di depan Flet Polis Hiliran, di sini.
“Kami dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjaga Ahmad Fakhrie di hospital. Ketika itu, saya membonceng motosikal bersama suami sebelum dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC dan meragut beg tangan yang diletakkan di dalam bakul.
“Kejadian itu bukan saja menyebabkan kami kehilangan telefon bimbit dan beberapa dokumen penting, tetapi juga wang sebanyak kira-kira RM120 yang disedekahkan orang ramai yang prihatin terhadap kemalangan menimpa Ahmad Fakhrie, " katanya yang ditemui selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menziarah mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, semalam.

Norzie berkata, suaminya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 3 petang semalam.

Akhbar melaporkan anak pasangan itu, Ahmad Fakhrie cedera di kepala dan badan selepas dirempuh seorang remaja yang cuba meloloskan diri daripada sekatan polis di Simpang Empat Tok Ku, Kuala Terengganu. Berita Harian

1,135 cerai tak sampai setahun


Kuala Terengganu, Besut catat rekod tertinggi kes selepas akad nikah


KUALA TERENGGANU: Lebih 10 peratus pasangan suami isteri di negeri ini bercerai selepas berkahwin tidak sampai setahun. Ini berdasarkan rekod daripada 10,524 pasangan yang berkahwin di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu, 1,135 daripadanya bercerai.
Daerah Kuala Terengganu menjadi mencatatkan rekod tertinggi apabila 432 daripada keseluruhan 3,496 pasangan berkahwin tahun lalu bercerai selepas setahun berumahtangga.
Ini diikuti daerah Besut yang mencatatkan seramai 183 pasangan bercerai; Kemaman (154); Dungun (162); Hulu Terengganu (85); Marang (94) dan Setiu 25, manakala 180 pasangan terpaksa dirujuk kepada Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk diberi kaunseling.

Bagaimanapun, daripada keseluruhan 1,135 pasangan suami isteri yang bercerai, 353 pasangan rujuk semula selepas mengikuti program motivasi dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Antara faktor dikenal pasti punca utama perceraian, termasuk pasangan kurang asas agama, kegagalan pasangan terutama suami memikul tanggungjawab, campur tangan keterlaluan dari ahli keluarga serta pasangan bermain kayu tiga, sekali gus gagal mempertahankan rumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata walaupun fenomena perceraian di negeri ini masih rendah berbanding negeri lain, ia memusnahkan institusi keluarga dan turut memberi kesan kepada kerajaan negeri.
Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri melalui YPKT mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan kes perceraian termasuk memperkenalkan pakej bulan madu kali kedua kepada pasangan yang usia perkahwinannya di bawah lima tahun.

“Kerajaan negeri terpaksa mengambil inisiatif menganjurkan program bulan madu kali kedua ini bagi mengurangkan kes perceraian terutama membabitkan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada alam usia muda.

“Seboleh-bolehnya kita tidak mahu institusi keluarga yang dibina porak peranda sehingga memberi kesan kepada pembentukan masyarakat pada jangka panjang,” katanya.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata, kerajaan negeri melalui dua agensi iaitu YPKT dan JHEAT berusaha menganjurkan pelbagai kursus termasuk kebahagiaan rumah tangga bagi mengurangkan masalah ini.

Katanya, perceraian dan keruntuhan rumah tangga akan menyebabkan kerajaan negeri turut terkena tempiasnya kerana terpaksa menyediakan peruntukan bagi membantu anak pasangan bercerai dan menyalurkan bantuan bulanan kepada ibu tunggal.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Salleh, berkata berkahwin kerana nafsu, tidak bersedia dari segi mental dan kewangan selain kurang asas agama dan panduan daripada ibu bapa menyebabkan berlaku perceraian awal.

“Siasatan kami mendapati kebanyakan mereka kala tidak bersedia untuk kahwin.
Ada antara mereka yang terpaksa berkahwin kerana sudah terlanjur atau semata-mata kerana nafsu sedangkan masih tidak bersedia dari segi mental dan kewangan.

“Kes ini menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian walaupun usia perkahwinan. Jika pasangan berkahwin atas dasar kasih sayang, setidak-tidaknya mereka sudah bersedia dari segi mental dan dalam masa sama mereka akan berusaha untuk memperkukuhkan kewangan demi kerukunan rumah tangga yang dibina," katanya.
Berita Harian

Maut cuba lari dicekup JAWI


Lelaki jatuh dari tingkat 16 hotel


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai polis ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel di Jalan Raja Muda Aziz di sini, dipercayai ketika cuba melarikan diri dari serbuan penguat kuasa agama, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun dikatakan keluar melalui tingkap bilik hotel berkenaan bagi mengelak dicekup selepas menyedari kehadiran sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menjalankan operasi cegah maksiat.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh dan ditemui mati di lantai balkoni tingkat lima hotel itu kesan kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang menamatkan perkhidmatan dalam pasukan polis pada 1992 dengan pangkat Asisten Superintendan, dikatakan menginap di hotel itu bersama seorang janda berusia 40-an.

Ketika operasi, pegawai penguat kuasa JAWI yang masuk ke dalam bilik hotel itu selepas dibuka janda berkenaan mendapati tingkapnya terbuka dan apabila menjenguk ke bawah, mereka melihat mayat mangsa di lantai tingkat lima.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mangsa, tetapi mengesahkan polis sudah mengambil keterangan wanita itu serta pegawai JAWI yang terbabit dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.

Pegawai JAWI yang terbabit dalam operasi cegah maksiat itu juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Berita Harian

Mangsa nahas belum tahu bapa meninggal


ABDUL JALIL (kiri) meneliti balutan pada kaki Muhamd Irfan, sambil diperhati Yusniza (kanan) di Kampung Besar Permatang Pauh, Bukit Mertajam.
ABDUL JALIL (kiri) meneliti balutan pada kaki Muhamd Irfan, sambil diperhati Yusniza (kanan) di Kampung Besar Permatang Pauh, Bukit Mertajam.


BUKIT MERTAJAM: Sudah seminggu bapa Muhamad Irfan, 5, meninggal dunia selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan berhampiran Pejabat Perhilitan Bandar Baru Perda di sini, namun sehingga sekarang dia belum dimaklumkan mengenainya.

Irfan yang turut cedera dimasukkan ke sebuah hospital swasta selepas kemalangan itu sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dibenarkan keluar, kelmarin.
Bapanya, Zulkiflee Hashim, 43, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya, kira-kira lima jam selepas kemalangan itu.
Ibu Irfan, Yusniza Abdul Talib, 41, berkata beliau belum memaklumkan berita sedih itu kerana khuatir anak bongsunya akan berterusan mengalami trauma jika mengetahui bapanya sudah meninggal dunia.

Ini berikutan murid Tabika Kemas Kampung Belah Dua, di sini masih trauma dengan kemalangan yang menimpanya dan kurang bercakap dengan ahli keluarga, rakan serta jiran.

"Saya bimbang trauma yang dialami akan lebih teruk apabila mengetahui bapanya sudah tiada... sekarang pun dia kurang bercakap," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Besar di sini, semalam.

Sebelum itu, Pengerusi Majlis Pembangunan dan Masyarakat Penyayang (MAYANG) Parlimen Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada Yusniza untuk meringankan beban ditanggungnya berikutan kematian suami. Hadir sama, Pegawai Kebajikan Masyarakat Seberang Prai Tengah (SPT), Noorlela Saad.
Akibat kemalangan itu, Irfan menjalani pembedahan pada lutut kiri untuk mengeluarkan darah beku, selain patah kaki kiri. Dia juga mengalami kecederaan di telinga kanan dan badan. Berita Harian

Pelajar perempuan lebam muka kena tumbuk senior


AMPANG: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Pandan Mewah di sini, lebam muka selepas ditampar lebih 20 kali, ditumbuk dan ditendang tiga pelajar perempuan sekolah sama, minggu lalu.


Kung Way Lin, 13, berkata dia diserang di stesen minyak berhampiran sekolahnya kira-kira jam 1 tengah hari dan kejadian itu turut disaksikan puluhan pelajar sekolahnya dan orang awam.
Katanya, dia diserang akibat salah faham selepas mendakwa dia melaporkan kepada guru disiplin berhubung kes ponteng membabitkan tiga pelajar senior itu.
Mangsa mendakwa, sebelum kejadian itu dia dipanggil seorang rakan dari kelas peralihan dan memaklumkan sekumpulan pelajar senior mahu berjumpanya di kedai serbaneka 7-Eleven bersebelahan sekolah.

Sebaik tiba di sebuah stesen minyak berhampiran 7-Eleven, mangsa terus diserbu dan ditampar beberapa kali oleh seorang pelajar senior walaupun beliau cuba menjelaskan perkara sebenar.

“Saya menjelaskan berlaku salah faham, tetapi mereka tidak mengendahkannya, sebaliknya saya dikepung dan dibelasah sehingga tidak dapat melarikan diri.

“Mereka kemudian mengugut akan mencederakan saya sekiranya melaporkan kejadian itu kepada guru disiplin,” katanya.
Berikutan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandah Indah di sini.
Berita Harian

Tiga cikgu mati lemas, nahas


Kejadian berlaku ketika berkelah di pantai, pulang sambut Hari Guru


KEMAMAN: Kegembiraan warga pendidik susulan pengumuman insentif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Hari Guru kelmarin, tidak dapat dikongsi bersama oleh tiga guru apabila mereka maut dalam dua kejadian berasingan di sini dan Port Dickson.
Di kawasan perkelahan Pantai Penunjuk, Kijal, di sini, dua sahabat karib yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kijal di sini, ditemui lemas ketika mandi manda di pantai itu, jam 10.45 pagi semalam.
Mohd Anuar Harun, 28, dari Marang, Terengganu dan Md Iskandar Aris, 26, dari Muar, Johor, cuba diselamatkan dua penyelam yang kebetulan sedang menjalani latihan skuba berdekatan tempat kedua-dua mangsa lemas.

Usaha menyelamat dilakukan dua penyelam terbabit bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa kerana kedua-duanya sudah tidak bernyawa akibat lemas di dasar pantai.

Seorang saksi kejadian, Mohd Azlizan Othman, 23, yang sedang berkelah bersama keluarganya kira-kira 300 meter dari tempat mangsa lemas, berkata beliau hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang lelaki yang bertugas sebagai pengutip sampah di kawasan berkenaan yang kemudian terus bergegas ke tempat kejadian.

“Saya turut membantu mengangkat mangsa bersama beberapa orang awam yang turut berada di tempat kejadian. Bagaimanapun, ketika kedua-dua mangsa dinaikkan ke pantai, mereka didapati sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Mohd Anuar adalah guru Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan manakala Md Iskandar, guru mata pelajaran Agama Islam dan J-Qaf.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, mengesahkan kejadian berkenaan ketika dihubungi, semalam.

Di PORT DICKSON, seorang guru lelaki berusia 56 tahun maut selepas keretanya terbabas dan merempuh sebuah bas sekolah ketika dalam perjalanan pulang menghadiri sambutan Hari Guru di Kilometer 23 Jalan Sua Betong-Air Kuning di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Md Nordin Md Daud memandu Proton Iswara seorang diri pulang ke rumahnya di Taman Seri Rembau, Rembau di sini, selepas diraikan di Sekolah Kebangsaan Si Rusa.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh dalam keadaan hujan lebat.

“Keretanya kemudian merempuh bahagian depan sebuah bas sekolah yang datang dari arah bertentangan. Mangsa tersepit di dalam kereta itu berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.
Berita Harian

Bom ditemui dalam bas menjelang lawatan Ratu Elizabeth


POLIS Ireland berkawal di sekitar Jalan O'Connell ketika Ratu Elizabeth memulakan lawatan rasmi selama empat hari. Gambar kiri atas menunjukkan Ratu Elizabeth disambut Presiden Ireland, Mary McAleese.
POLIS Ireland berkawal di sekitar Jalan O'Connell ketika Ratu Elizabeth memulakan lawatan rasmi selama empat hari. Gambar kiri atas menunjukkan Ratu Elizabeth disambut Presiden Ireland, Mary McAleese.
DUBLIN: Tentera Ireland meletupkan sebutir bom buatan sendiri yang ditemui dalam sebuah bas di luar kota Dublin, ketika Ireland melancarkan operasi keselamatan paling ketat untuk menerima kunjungan bersejarah Ratu Elizabeth ll selama empat hari mulai semalam.

Lawatan Ratu Britain itu, kali pertama dalam sejarah kerabat diraja British sejak Ireland mencapai kemerdekaan dari London pada 1921, bertujuan menunjukkan hubungan mesra di antara kedua-dua negara, menggantikan perasaan benci yang berlarutan sejak berabad lalu.
Bagaimanapun, penemuan bom dalam bas di sebuah bandar di luar Dublin dan beberapa amaran mengenai kemungkinan berlaku pengeboman di London, memberi isyarat bahawa masih ada segelintir pihak yang menentang keras pemerintahan Britain yang berterusan di Ireland Utara.
Pejabat Menteri Luar Britain menyatakan, lawatan Ratu Elizabeth tetap akan diteruskan di sebalik penemuan bom itu.

Jurucakap tentera berkata, bom terbabit ditemui di bandar Maynooth, 25 kilometer dari Dublin dan diletupkan unit pemusnah bom tentera di sebuah kawasan yang dikawal rapi. Sisa bahan peranti bom itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan.

Polis berkata, skuad bom tentera juga sedang menyiasat peranti kedua yang ditemui di sebuah stesen kereta api di Dublin.

Suasana aman di Ireland Utara selepas konflik selama beberapa dekad, membolehkan Ratu Elizabeth mengadakan lawatan rasminya selama empat hari, namun ingatan terhadap keganasan pada masa lalu tidak dapat dilupakan.
Ketibaan Ratu Elizabeth, bertepatan dengan ulang tahun ke-37 pengeboman di Dublin dan Monaghan berpunca daripada pertempuran antara penyokong parti berbeza di Ireland Utara. – Reuters Berita Harian

Pengarah Urusan IMF boleh kena 25 tahun


Strauss-Kahn didakwa cuba perkosa ditahan di penjara


NEW YORK: Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn bermalam di penjara Pulau Rikers yang digeruni di sini malam kelmarin selepas didakwa cuba merogol seorang pekerja hotel serta berdepan hukuman penjara 25 tahun jika disabitkan.
Hakim Melissa Jackson diyakinkan pendakwa raya bahawa Strauss-Kahn, mungkin cuba lari ke Perancis menyebabkan beliau mengarahkan tertuduh ditahan di penjara dan menetapkan perbicaraan baru Jumaat ini.
Polis membawa keluar Strauss-Kahn dari pesawat Air France, Sabtu lalu, beberapa minit sebelum ia berlepas ke Paris.

Beliau ditahan bersendirian dalam bilik 3.5 meter panjang dan 4 meter lebar dan diberi katil asas, cawan minum, sabun, syampu dan ubat gigi.

Hanya tiga malam sebelumnya, Strauss-Kahn tidur di suite hotel mewah berharga AS$3,000 (RM9,133) sehari lengkap dengan bilik persidangan, ruang tamu, bilik mandi marmar dan sebuah bilik tidur dengan tilam saiz ‘king’ serta selimut bulu.

Strauss-Kahn didakwa menyerang seorang pekerja di suite Hotel Sofitel di Times Square, tengah hari Sabtu lalu. Sejak itu, kerjayanya semakin suram.
Peguamnya berkata dia tidak bersalah namun bakal kehilangan pekerjaan sebagai ketua IMF yang menerajui ekonomi dunia dan harapannya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden Perancis April tahun depan hancur berkecai.

Strauss-Kahn, 62, dipindahkan ke Pulau Rikers selepas Jackson menolak permohonan diberi ikat jamin. Apapun, bilik tahanannya adalah antara 10 sel terkecil di kompleks Rikers.

Jurucakap Jabatan Pemulihan New York berkata, Strauss-Kahn juga disekat berinteraksi dengan tahanan lain walaupun dibenarkan keluar untuk bersiar-siar, bersenam atau menonton televisyen.

Ketua IMF itu kelihatan lesu dan tertekan dalam kemunculan mahkamah pertamanya awal pagi kelmarin ketika pendakwa raya memperincikan dakwaan serangannya ke atas pekerja hotel terbabit.

“Dia menyerang mangsa secara seksual dan cuba merogol. Apabila tidak berjaya, dia memaksa mangsa melakukan seks oral terhadapnya,” kata Penolong Peguam Daerah, John McConnell memberitahu mahkamah.

Peguam Strauss-Kahn dijangka membuat rayuan terhadap keputusan jaminan hakim dan ia mungkin menjadi isu penting dalam kes itu.

Jaminan akan memberi Strauss-Kahn, capaian lebih baik kepada peguam belanya dan membenarkannya tinggal di sini bersama isterinya, personaliti televisyen terkenal Perancis Anne Sinclair, sementara menunggu perbicaraan.

Tanpanya, dia mungkin berdepan tempoh menunggu panjang dalam sel penjara sengsara, keadaan yang dikatakan pakar mungkin menolaknya ke arah satu perjanjian pengakuan.

Ketika di Rikers, Strauss-Kahn kemungkinan dibenarkan tiga pelawat seminggu selain peguamnya dan akan diberi sejam sehari untuk bersenam. – Reuters
Berita Harian

Suami Orkid Abdullah meninggal dunia





KUALA LUMPUR - Lima hari selepas penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu, Datin Orkid Abdullah meninggal dunia, suaminya Datuk Mokhtar Omar (gambar) pula kembali ke rahmatullah pagi semalam.
Mokhtar, 70, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.15 pagi di Hospital Ampang dekat sini.
Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak 4 Mei lalu kerana mengalami jangkitan kuman di paru-paru.
Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat dekat sini semalam.
Pada 13 Mei lalu, Orkid yang popular pada era 60-an meninggal dunia di hospital sama akibat penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil.

Ejen pekerja haram kaut untung



MASRI (dua dari kiri) menunjukkan pasport palsu dan wang yang dirampas daripada seorang ejen pekerja asing warga Bangladesh pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Kerja haram yang dilakukan seorang ejen pekerja asing Bangladesh untuk mencari wang lebih dengan menjual pasport palsu negara berkenaan berharga RM1,000 sekeping terbongkar apabila dia ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Johor di dua lokasi di sini kelmarin.
Serbuan pukul 10 malam itu turut berjaya menahan seramai 47 lelaki warga Bangladesh dan India kerana memiliki 69 keping pasport menggunakan pelekat palsu. Wang sebanyak RM54,600 turut dirampas.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, serbuan pertama di Taman Putra, Kempas Lama di sini, pihaknya menahan ejen berusia lingkungan 40-an tersebut bersama 25 pekerja asing dan merampas empat pasport palsu Indonesia termasuk wang.
Katanya, pada mulanya, mereka hanya menemui wang RM4,950 sebelum curiga dengan gelagat ejen berusia lingkungan 40-an tersebut yang resah.
“Pemeriksaan lanjut menemui baki wang tersebut disembunyikan di bawah timbunan pakaian. Soal siasat kemudian membawa kami ke satu lagi lokasi di Taman Mulia Tampoi di sini dan menahan seramai 22 lagi lelaki Bangladesh serta merampas 61 keping pasport dan empat pasport Indonesia palsu.
“Kita percaya ejen itu turut membekalkan pasport dan pelekat palsu kepada pekerja asing yang tinggal melebihi masa serta tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di kilang,” katanya.
Kosmo! Online - Negara

Mati jatuh hotel elak dicekup


KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan (ASP) ditemui mati selepas dia terjatuh dari tingkat 16 di sebuah hotel di ibu negara di sini semalam.

Lelaki berusia 62 tahun tersebut ditemui terbaring di balkoni tingkat lima premis berkenaan pada pukul 2.30 pagi selepas pintu biliknya diketuk oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang membuat operasi mencegah maksiat.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di dalam bilik itu bersama seorang janda berusia dalam lingkungan 50-an.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kejadian itu disedari oleh pegawai Jawi yang masuk ke dalam bilik mangsa dan melihat tingkap di bilik hotel tersebut terbuka.
"Sebaik diintai dari tingkap bilik tersebut, mereka ternampak seorang lelaki dalam keadaan terbaring di balkoni tingkat lima.
"Pemeriksaan mendapati bekas pegawai polis itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Difahamkan, pegawai tersebut bersara pada tahun 1992.
Menurut Mohd. Zulkarnain, pihak Jawi telah membuat laporan berhubung kejadian itu dan setakat ini kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Sementara itu, jurucakap Jawi ketika dihubungi berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan pasangan itu di hotel berkenaan.
Katanya, seorang wanita telah membuka pintu sebelum menutupnya semula selepas menyedari ketukan itu dilakukan oleh Jawi.
"Selepas pintu ditutup, pegawai Jawi ada mendengar seperti berlaku pergaduhan di dalam bilik tersebut," katanya yang memberitahu wanita itu membuka semula pintu bilik tersebut beberapa minit kemudian.
Tambahnya, pemeriksaan kemudian menemui hanya wanita itu berada di dalam bilik dan selepas ditinjau melalui tingkap yang terbuka, pihaknya ternampak seorang lelaki terbaring di atas balkoni tingkat lima.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.
Kosmo! Online - Negara

Rumah dirempuh kereta



BEGINILAH keadaan kereta Proton Persona yang remuk setelah merempuh sebuah rumah di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Melaka semalam.


ALOR GAJAH - Tindakan tiga beradik yang tidak bermain di beranda rumah ekoran hujan lebat petang kelmarin dapat menyelamatkan mereka daripada maut apabila sebuah kereta Proton Persona tiba-tiba merempuh beranda tersebut tersebut dalam kejadian di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal di sini kelmarin.
Kejadian pukul 3.20 petang itu berlaku ketika tiga beradik berusia di antara 4 dan 17 tahun tersebut sedang berehat di belakang rumah bersama pemilik rumah yang juga ibu saudara mereka, Sabrina Taib, 36.
Menurut Sabrina, mereka berempat duduk di situ ekoran hujan lebat hingga menyebabkan tiga beradik tersebut tidak bermain seperti biasa di beranda berkenaan.
"Sedang kami berbual, kami dikejutkan dengan bunyi rempuhan dan kaca pecah sebelum mendapati sebuah kereta terbalik.
"Saya kemudian berlari ke rumah saudara yang terletak di bahagian belakang untuk mendapatkan bantuan," ceritanya di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

Ajal selepas sambut Hari Guru


MOHD. AZLIZAN menunjukkan lokasi Mohd. Anuar dan Md. Iskandar menghembuskan nafas yang terakhir selepas cuba diselamatkan daripada lemas di Pantai Penunjuk, Kijal semalam.


KEMAMAN - Kegembiraan dua guru lelaki yang pergi mandi-manda di Pantai Penunjuk, Kijal di sini sempena cuti Hari Wesak dan sambutan Hari Guru berakhir tragedi apabila mereka ditemui lemas semalam.
Kejadian pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Mohd. Anuar Harun, 28, dari Marang dan Md. Iskandar Arif, 26, dari Muar meninggal dunia selepas gagal diselamatkan daripada lemas ketika mandi di situ.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila salah seorang mangsa cuba membantu rakannya yang lemas sebelum kedua-duanya tenggelam di laut. Mereka ke situ tanpa ditemani guru-guru lain.
Mohd. Anuar mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Agama Islam manakala Md. Iskandar merupakan guru J-Qaf. Kedua-dua mereka bertugas di Sekolah Kebangsaan Kijal.
Sehari sebelum kejadian, Mohd. Anuar dikatakan telah menyanyikan lagu Andainya Aku Pergi Duludendangan Alleycats ketika menyambut Hari Guru di sekolah itu yang seolah-olah menjadi petanda ajalnya bakal tiba.
Perubahan sikap Md. Iskandar daripada seorang yang ceria kepada guru yang murung dengan hanya duduk di kerusi ketika sambutan hari berkenaan turut dikatakan petanda awal dia akan menemui ajal.
Kosmo! Online - Negara

Lampu kereta 'buta' sebelah disangka motosikal



ENDAU: Perbuatan pemandu kenderaan di jalan kampung tanpa lesen memandu dan cukai jalan yang sah, selain lampu kereta yang tidak berfungsi pada waktu malam, akhirnya mengundang padah. 


Selain berputih mata kerana terpaksa menghabiskan wang untuk membaiki sendiri kerosakan, dua pemandu yang terbabit dalam kemalangan kecil di jalan Kampung Teriang Kecil di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin, nyaris menjadi punca pergaduhan apabila rakan dan ahli keluarga masing-masing masuk campur.

Namun, hasil tindakan pantas dan kecekapan anggota polis, pertikaman lidah kedua-dua belah pihak yang dilihat semakin tegang akibat campur tangan orang ramai itu dapat dikawal anggota polis yang bertugas dengan bijak.

Kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Saga yang dipandu Mastura Alias, 26, dari arah Kampung Teriang Besar menghala ke pekan Endau bertembung dengan sebuah lagi kenderaan jenis sama dipandu Azman Samakoon, 47, hingga mengakibatkan tayar keretanya pecah selain mengalami beberapa kerosakan lain. 

Kereta dipandu Azman dari arah Endau juga mengalami kerosakan apabila tidak dapat bergerak sehingga terpaksa menghabiskan wang membayar upah kren tunda. 

Azman mendakwa, pada mulanya beliau menyangka kenderaan yang datang dari hadapannya itu sebuah motosikal kerana beliau hanya melihat lampu sebelah kiri saja yang berfungsi. 

“Ketika masing-masing sampai berhampiran Sungai Pandak, kereta kami bertembung hingga tayar kanan kereta yang dipandu wanita yang datang dari arah depan saya itu pecah,” katanya. 
Sementara itu, Mastura yang ditemui di tempat kejadian menyifatkan kemalangan tersebut sebagai pengajaran kepadanya. 

“Walaupun memandu di jalan kampung, namun undang-undang jalan raya perlu dipatuhi, sekiranya berlaku kemalangan tentu menyusahkan banyak pihak dan saya terpaksa menanggung kerugian, “ katanya. 

Dalam kejadian itu kedua-dua pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan masing-masing telah membuat laporan di Balai Polis Endau malam kelmarin.

bharian

Hakim tidak benarkan bos IMF diikat jamin




DOMINIQUE STRAUSS-KAHN (dalam bulatan) duduk di dalam sebuah mahkamah di Manhattan, New York kelmarin.


NEW YORK - Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn yang berasal dari Perancis tidak dibenarkan diikat jamin oleh hakim sebuah mahkamah dan dihantar ke Penjara Rikers di sini kelmarin selepas dia dituduh menyerang dan cuba merogol seorang pengemas bilik sebuah hotel di sini.
Hakim Melissa Jackson menafikan ikat jamin AS$1 juta (RM3 juta) yang diminta pihak pembelaan dan mengarahkan Strauss-Kahn, 62, ditahan di penjara sehingga kes tersebut dibicarakan lusa.
Strauss-Khan yang merupakan ahli politik dari Perancis yang disebut bakal bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan berdepan dakwaan dua kes jenayah berat seksual, dua kes penderaan seksual, cubaan merogol, mengurung secara haram dan menyentuh secara paksaan. Dia berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun jika didapati bersalah.
Dokumen pendakwaan menyatakan bahawa dia memaksa wanita berkenaan melakukan seks oral dan meliwatnya.
Ketua IMF berkenaan didakwa menyerang pengemas bilik berusia 32 tahun itu ketika dia sedang mengemas suit berharga AS$3,000 (RM9,120) sehari di Hotel Sofitel yang dihuni Strauss-Kahn, di sini.
"Dia melakukan serangan seksual terhadap mangsa dan cuba merogolnya. Apabila dia tidak berjaya, dia memaksa mangsa melakukan seks oral," kata Timbalan Pendakwa Raya Daerah John McConnell kepada mahkamah kelmarin.
Peguam ketua IMF itu, Ben Brafman bagaimanapun berkata, anak guamnya mungkin menyerang mangsa tetapi wanita itu meminta dirinya diperlakukan sedemikian.
"Bukti-bukti kes ini, tidak menunjukkan ia berlaku secara paksaan," kata Brafman sekali gus menunjukkan bahawa beliau akan habis-habisan mempertahankan anak guamnya.
Ketua IMF tersebut yang berketurunan Yahudi dan sudah berkahwin kini diletakkan di bilik penjara berasingan bagi mengelakkan dia diserang oleh banduan-banduan lain.
"Tindakan ini dilakukan bukan untuk mengasingkan dia daripada orang lain," kata seorang jurucakap Jabatan Penjara New York.
"Ia bagi mengelakkannya daripada menjadi mangsa dan dicederakan banduan-banduan lain kerana dia merupakan pesalah berprofil tinggi," tambahnya.
Ketua IMF itu ditangkap kurang empat jam selepas serangan seksual tersebut didakwa berlaku.
Beliau ditahan semasa berada dalam pesawat yang dijadual menuju ke Paris ketika pesawat berkenaan hendak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini.
Sementara itu, mangsa memberitahu pihak berkuasa bahawa semasa dia memasuki bilik hotel Strauss-Kahn untuk mengemas pada Sabtu lepas, dia muncul dari bilik air sambil berbogel dan mengejarnya di dalam bilik hotel dan menariknya masuk semula ke dalam bilik tersebut.
Wanita itu mendakwa dia cuba melawan Strauss-Kahn sebelum lelaki itu mengheretnya ke dalam bilik air dan memaksanya melakukan seks oral keatas dirinya.
Mangsa memberitahu, dia sekali lagi dapat membebaskan dirinya ketika Strauss-Kahn cuba menanggalkan seluar dalamnya.
Dia kemudian melarikan diri ke tingkat bawah untuk memberitahu pekerja-pekerja hotel berhubung apa yang berlaku. - Agensi, kosmo