Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Dua Orang Termasuk Rakyat Malaysia Maut Dalam Letupan Di Singapura





SINGAPURA: Dua pekerja termasuk seorang rakyat Malaysia maut dalam satu insiden letupan di sebuah limbungan kapal di Benoi Road Khamis.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata insiden itu membabitkan sebuah tongkang yang sedang diselenggarakan di limbungan itu.
Saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia melaporkan seorang jurucakap SCDF sebagai berkata bahawa kedua-dua mangsa itu disahkan mati oleh ahli paramedik di tempat kejadian.
Kementerian Tenaga Manusia telah mengenal pasti mereka sebagai seorang rakyat Malaysia berumur 43 tahun dan seorang warga Bangladesh, 20.
Siasatan awal menunjukkan bahawa mereka sedang bekerja di tongkang itu semasa letupan itu, kata kementerian itu.
Beberapa orang pekerja yang berada di kawasan limbungan itu turut cedera ringan akibat kejadian itu tetapi tiada seorang pun yang menerima rawatan di hospital.
SCDF dan polis berkata mereka menerima panggilan mengenai insiden itu 1.30 tengah hari. SCDF menghantar dua jentera bomba, dua motosikal bomba, sebuah ambulans dan kenderaan sokongan ke tempat kejadian.
Seorang saksi memberitahu Channel NewsAsia, letupan itu memecahkan beberapa panel kaca di pejabatnya yang terletak di seberang jalan.
Ia juga menyebabkan panel siling runtuh.
Saksi itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mandy berkata ia merasai gegaran akibat letupan itu.
Seorang lagi saksi, Adrian Lee,34, yang berada di kawasan itu kerana menghadiri mesyuarat kira-kira empat blok dari tempat kejadian berkata beliau melihat orang ramai melarikan diri selepas letupan menyebabkan sebuah bumbung runtuh. - BERNAMA

Warga Nepal intai wanita kena tembak


MUAR: Seorang pekerja kilang kitar semula warga Nepal cedera pada kaki selepas ditembak ketika cuba menetak pegawai polis yang mahu menahannya susulan kes mengintai dan menakutkan penduduk kampung dalam kejadian di Parit Jawa, dekat sini awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, sepasukan anggota polis diketuai Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hairul Faizal Mohamad Ali, bergegas ke kilang terbabit sejurus selepas menerima laporan mengenai perbuatan seorang lelaki bersenjatakan parang mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, polis terpaksa memecah masuk sebuah bilik dalam kilang itu selepas suspek enggan menyerahkan diri dan ketika memasuki bilik itu, suspek mengacukan parang ke arah polis dengan mengugut untuk mencederakan.
Katanya, ketika usaha memujuk suspek menyerahkan diri tetapi lelaki itu melibas parang sebelum menerpa ke arah anggota polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan mengenai paha kiri suspek.

“Polis berusaha suspek menyerah diri dan mengarahnya meletak senjata tetapi dia enggan, sebaliknya melibas parang dan menerpa ke arah anggota polis menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan dalam usaha mempertahankan diri.

“Meskipun dalam keadaan cedera akibat tembakan yang terkena pada kakinya, namun suspek masih cuba bertindak agresif tetapi tindakan polis berjaya menahannya. Suspek berusia lingkungan 30-an itu dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Mohamad Nasir berkata, kira-kira sejam sebelum kejadian itu, suspek dikatakan mengintai rumah seorang penduduk yang terletak kira-kira 100 meter daripada kilang itu sebelum disedari mangsa yang bertindak menghalaunya.
Katanya, suspek kembali semula ke situ dengan membawa parang dan menetak jalan di hadapan rumah berkenaan sambil menjerit dalam bahasa yang tidak difahami.

“Penduduk kampung yang bimbang dengan keselamatan mereka terus melaporkan kejadian itu kepada polis. Siasatan awal mendapati suspek yang sudah 10 tahun bekerja di kilang itu, berada dalam pengaruh alkohol dan dipercayai sudah beberapa hari menganggu penduduk berhampiran kilang itu termasuk mengintai wanita dan menjerit-jerit pada waktu malam.
Berita Harian

Lepas gian celah bot usang





TELUK BIDARA - Keghairahan sekumpulan penagih bermaharajalela di pengkalan nelayan melakukan perbuatan tidak bermoral sehingga mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan, berakhir apabila port rahsia mereka diserbu pihak berkuasa tengah hari kelmarin.



Aktiviti songsang itu dipercayai dilakukan sekumpulan kaki dadah yang menjadikan bot usang sebagai lokasi tersembunyi untuk melepaskan gian.



Serbuan sepasukan polis diketuai Inspektor Wahid Sujani kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berjaya membenarkan dakwaan penduduk yang mengatakan pengkalan bot di Teluk Bidara sering dikunjungi kaki dadah.



Selepas berhempas pulas bergelut dengan suspek, hasilnya, lima ditahan termasuk seorang remaja yang kini difahamkan menyara ibunya yang cacat penglihatan dipercayai hasil jualan beli dadah.



Pemeriksaan badan pada seorang daripada suspek berusia 20-an pula menemui 12 tiub mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan hasil ujian saringan air kencing pula mendapati empat daripadanya positif morfin, manakala seorang lagi positif methamphethamine.



Sebuah motosikal milik suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut dipercayai digunakan untuk aktiviti perniagaan dadah.



Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit.

Warga emas maut basikal dilanggar bas










ORANG ramai melihat mayat Koh Ah Seong yang dilanggar sebuah bas di Jalan Bachang Baru, Melaka, semalam.



MELAKA 11 Mei - Seorang warga emas maut apabila basikal ditungganginya dilanggar sebuah bas di Jalan Bachang Baru, Bachang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd. Rahman berkata, dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, bas berkenaan dalam perjalanan ke Melaka Sentral dari persimpangan Jalan Datuk Mohd. Zin.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bas berkenaan terlanggar basikal ditunggang mangsa, Koh Ah Seong yang berusia 74 tahun," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakyat Malaysia disoal siasat berhubung penipuan jual beli tanah di India


NEW DELHI: Seorang ahli perniagaan Malaysia disoal siasat oleh penyiasat India kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes penipuan jual beli tanah bernilai berjuta-juta ringgit, yang turut membabitkan ahli politik dari Selatan India.


Akhbar India melaporkan bahawa pada Isnin, Biro Penyiasatan Pusat (CBI) India menyoal siasat ahli perniagaan itu, yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Dravida Munnetra Khazhagam (DMK), M Karunanidhi dan anak perempuannya, K Kanimozhi.
"Rakyat Malaysia ini memainkan peranan penting dalam urusan jual beli tanah seluas 53,000 kaki persegi di Ann Malai Road, Chennai, yang dipajak sebuah syarikat industri terkenal untuk tempoh hampir 30 tahun.
"Beliau dilaporkan berjaya mendapatkan tanah itu daripada pemiliknya sebelum menjualnya kepada sebuah syarikat menjelang berlangsungnya pilihan raya umum (2009)," kata akhbar berkenaan.

CBI sedang menyiasat bagaimana tanah itu boleh dijual kepada ahli perniagaan terbabit pada harga RM17 juta, sedangkan nilai pasaran sebenar ialah hampir RM135 juta dan sama ada ahli politik DMK menggunakan pengaruh mereka untuk mendapatkan keuntungan peribadi dalam urusan jual beli itu.

Media melaporkan bahawa ahli perniagaan berkenaan dan seorang akauntan India yang disyaki memainkan peranan utama dalam kes itu, disoal siasat oleh CBI selama hampir sejam di Delhi.

April lalu, seorang rakyat Malaysia bergelar "Datuk", disoal siasat berhubung skandal berkenaan, yang menggoncang parlimen India selama beberapa bulan berikutan kerugian berbilion dolar yang dialami perbendaharaan India akibat penipuan itu.
Kanimozhi, yang juga seorang wakil rakyat, sedang menghadapi tuduhan di sebuah mahkamah India kerana pembabitannya dalam skandal penipuan pelesenan perkhidmatan telefon bimbit, yang juga dikenali sebagai skandal 2G, dan penjualan tanah berkenaan kerana dana yang diperoleh melalui penjualannya disyaki disalurkan kepada saluran televisyen milik parti yang diwakilinya.

Seorang lagi ahli politik kanan DMK, yang juga bekas Menteri Telekom, A Raja, kini merengkok di Penjara Tihar kerana kesalahan memberi lesen berkenaan kepada syarikat tertentu pada harga yang amat rendah pada 2008. - BERNAMA
Berita Harian

Pengantin lari hari kahwin



JOHOR BAHRU: Gara-gara gagal menyediakan wang hantaran seperti dijanjikan, seorang lelaki dipercayai melarikan bakal isterinya pada hari perkahwinan mereka, Ahad lalu.

Difahamkan, lelaki itu yang berjanji memberikan wang hantaran RM10,000 dikatakan pernah menangguhkan tarikh perkahwinan daripada 1 Mei kepada 8 Mei lalu dengan alasan tidak dapat datang dari Sabah.

Malangnya, beberapa jam sebelum majlis pernikahan mereka, keluarga mendapati pengantin perempuan berusia 18 tahun tiada di rumah, dipercayai menghilangkan diri bersama bakal suaminya itu.



Tindakan mereka menyebabkan puluhan jemputan termasuk saudara-mara dari Indonesia bukan saja menanggung malu, malah kerugian lebih RM3,000 berikutan pelbagai persiapan sudah dilakukan di rumah keluarga pengantin perempuan di Kampung Bendahara di sini.





Menceritakan kejadian itu, sepupu pengantin perempuan, Nor Lindawati Abdul Talib, 38, berkata, sepupunya Julianasari Jaafar atau Sari yang tinggal di rumahnya sepatutnya bernikah pada 1 Mei lalu bersama jejaka pilihan hatinya yang juga seorang kontraktor.

mymetro

Taktik seludup minyak tumpas





PASIR MAS - Taktik seorang remaja lelaki menggunakan kereta Proton Wira yang diubahsuai membawa padah apabila ditahan ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak Rantau Panjang, kelmarin.



Lelaki tempatan berusia 20 an terbabit dihidu pihak berkuasa Kementerian, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas kereta yang dipandunya dilihat berulang alik dari stesen minyak berdekatan.



Ketua Cawangan KPDNKK Pasir Mas, Hashim Hassan berkata, pihaknya melakukan serbuan mengejut pada jam 9 malam selepas melakukan intipan sejak jam 6 petang.



“Ketika ditahan, suspek pertama ini berjaya mengisi sebanyak 260 liter petrol ke dalam tangki Proton Wira miliknya yang sudah diubahsuai dianggarkan bernilai RM450.



“Serbuan kedua pula melibatkan seorang tentera semut yang disyaki memiliki 20 tong berisi petrol berdekatan rumahnya di Lorong Pak Su Omar, yang disembunyikan di dalam stor penyimpan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.



Ekoran dari itu katanya, pihak KPDNKK berjaya menahan dua suspek 1,860 liter petrol dan dua buah kenderaan yang bernilai RM38,490.



Beliau berkata, hasil soal siasat, selepas membeli petrol di stesen minyak di sini, ia akan disedut keluar daripada tangki menggunakan alat penyedut elektrik dan ditimbang ke dalam tong 40 liter sebelum diangkut ke sempadan melalui pangkalan haram menggunakan motosikal yang berplat Thailand.



Menurutnya, setiap tong berisi 40 liter petrol itu akan dijual dengan harga RM70 di Thailand dan pemiliknya beroleh keuntungan sebanyak RM5 bagi setiap tong.



”Jika dihitung secara rambang, lelaki yang ditahan ini mampu memperolehi sebanyak RM100 dalam tempoh yang singkat sekiranya dia berjaya menyeludup sebanyak 20 tong petrol ke negara jiran,” katanya.



Menurutnya, dua lelaki yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan mereka akan dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.



Hashim berkata, dalam serbuan ketiga pula, melibatkan 20 tong berisi 800 liter petrol yang disembunyikan di dalam semak iaitu beberapa meter dari rumah suspek pertama, namun pemiliknya tong-tong ini tidak dapat dikenal pasti.

Redah hutan ke air terjun










GAMBAR atas dan bawah menunjukkan penduduk meninjau jambatan  runtuh mengakibatkan jalan  ke kawasan rekreasi Hutan Lipur Taka Melor  terputus.


GAMBAR atas dan bawah menunjukkan penduduk meninjau jambatan runtuh mengakibatkan jalan ke kawasan rekreasi Hutan Lipur Taka Melor terputus.



Jambatan runtuh sejak Februari di laluan utama belum dibaiki



LABIS: Pengunjung Hutan Lipur Taka Melor yang terletak di Kampung Tenang di sini, hampa apabila jambatan yang menghubungkan ke kawasan rekreasi itu runtuh sejak awal Februari lalu, menyebabkan ia tidak dapat dilalui semua kenderaan.

Jambatan terletak kira-kira 500 meter daripada hutan lipur itu laluan tunggal masuk ke kawasan rekreasi yang sentiasa dikunjungi orang ramai termasuk dari luar Labis terutama ketika hujung minggu dan cuti persekolahan.

Difahamkan jambatan konkrit merentasi Sungai Tenang yang menjadi penghubung itu runtuh akibat arus deras ketika banjir teruk melanda kawasan itu kira-kira tiga bulan lalu dan sehingga tiada usaha membaik pulih dijalankan.



Tinjauan Berita Harian mendapati terdapat kesan hakisan di kedua-dua tebing sungai yang menyebabkan keseluruhan jambatan terbabit runtuh dan rosak.



Jambatan yang runtuh itu menyebabkan laluan orang ramai yang hendak ke Hutan Lipur Taka Melor yang terletak kira-kira 5 Kilometer (KM) dari Kampung Tenang itu tersekat dan terpaksa melalui kawasan hutan.



Kira-kira 10 meter daripada jambatan terbabit juga terdapat kesan mendapan yang menyebabkan lebih separuh laluan jalan bertar mendap dan lubang seluas lebih tiga meter dengan kedalaman lebih semeter.

Penduduk Kampung Tenang, Ali Daud, 61, mendakwa ramai yang kecewa apabila mendapati laluan masuk ke kawasan rekreasi itu ditutup kepada semua kenderaan berikutan jambatan runtuh.



Katanya, mereka juga bimbang untuk meninggalkan kenderaan mereka di situ sebelum meneruskan perjalanan secara berjalan kaki, berikutan kawasan itu terletak di tengah hutan dan boleh menjadi sasaran pencuri.



“Selama ini, walaupun terletak agak jauh di dalam hutan dengan laluan tuju yang sempit, namun air terjun itu tetap menarik kunjungan orang ramai termasuk dari luar Labis sehingga ke Singapura berikutan keindahan alam semula jadi dan bersih, menyebabkan ia menjadi tumpuan pada hujung minggu dan cuti sekolah.



“Bagaimanapun, sejak jambatan itu runtuh ia mengecewakan orang ramai yang tidak menyedarinya kerana selepas menempuh perjalanan hampir 5 kilometer dari Kampung Tenang ke kawasan rekreasi itu, mereka terpaksa berpatah balik apabila mendapati jambatan menuju ke hutan lipur itu runtuh dan tidak dapat dilalui," katanya.



Katanya, penduduk berharap jambatan masuk ke hutan lipur itu dibaik pulih dengan segera.

bharian

Wanita kelar badan bapa saudara dek cinta 'tomboy'





MERBAU PULAS - Kerana cintanya terhalang, seorang wanita beranak enam, berusia 40 tahun dan bergelar ibu tunggal sanggup mengelar bapa saudaranya sendiri di Pasar Malam Labu Besar, petang kelmarin, apabila ditegur supaya tidak menjalinkan hubungan dengan seorang ‘tomboy’.



Mangsa, Mohamad Noor Aw Din, 41, berkata, sebelum ini dia pernah menegur wanita itu kerana terlalu rapat dengan wanita berperwatakan lelaki sehingga mengakibatkan keretakan rumah tangganya.



Katanya, bagaimanapun teguran itu tidak diendahkan dan kini anak saudaranya itu tinggal bersama kekasihnya selepas bercerai.



“Dia tidak berani menegur saya sebaliknya menyimpan dendam. Saya pernah menasihatkannya jangan terlalu rapat dengan ‘tomboy’ itu kerana dia sudah berkeluarga dan anak-anak sudah berusia belasan tahun. Saya kesal kerana nasihat saya itu langsung tidak dipedulikan.



“Petang kelmarin kira-kira jam 6.30 petang ketika isteri dan anak bongsu saya pergi ke Pasar Malam di Labu Besar, tiba-tiba dia menyerang dan memukul kepala isteri saya dengan topi keledar beberapa kali. Kerana tidak tahan dengan perlakuannya, isteri saya dan beberapa rakan menghubungi saya,” katanya.



Menurut Mohamad Noor, apabila sampai di tempat kejadian, dia bertanya kepada anak saudaranya itu mengapa mencederakan isterinya.



Katanya, anak saudaranya itu kemudiannya mengeluarkan pisau dan mengelar bahagian kiri badannya.



Mohamad Noor mengalami luka sepanjang kira-kira 30.5 sentimeter, bagaimanapun tidak mengendahkan kecederaan dialaminya.



Dia kemudiannya mempertahankan diri dan berlaku pergelutan.



Setelah dileraikan oleh orang ramai, Mohamad Noor kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam lapan malam bersama beberapa saksi sebelum menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kulim.



Menurut jurucakap polis, suspek ditahan di Balai Polis Kulim dan direman untuk siasatan lanjut.

Syria bedil bandar Homs





AMMAN 11 Mei - Kereta kebal tentera hari ini membedil sebuah kawasan kediaman di Homs, bandar ketiga terbesar di Syria yang telah muncul sebagai pusat pemberontakan utama menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Seorang aktivis hak asasi manusia, Najati Tayara berkata, Homs kini bergegar dengan bunyi letupan daripada tembakan meriam kereta kebal dan mesingan berat di kawasan kediaman Bab Amro.

Assad pada mulanya bertindak balas terhadap tunjuk perasaan yang mencabar pemerintahannya dengan menjanjikan pembaharuan.

Beliau memberi kerakyatan kepada penduduk Kurdis dan bulan lepas memansuhkan perintah darurat yang telah berkuat kuasa selama 48 tahun.

Bagaimanapun beliau juga mengerahkan tentera untuk menghancurkan protes antikerajaan, pada mulanya ke Deraa di mana demonstrasi mula meletus pada 18 Mac lalu dan kemudian ke bandar-bandar lain.

Assad mahu menunjukkan beliau tidak bersedia untuk melepaskan cengkaman keluarganya ke atas Syria sejak 41 tahun lalu.

Seorang sepupu Presiden itu berkata, keluarga Assad tidak akan tunduk kepada tekanan.

"Kami akan tinggal di sini dan menganggap perjuangan ini sebagai perjuangan sampai ke titisan darah terakhir.

"Mereka (penentang) akan tahu bila kami menderita, kerana kalau kami menderita, mereka juga akan menderita, kami tidak akan menderita sendirian," kata Rami Makhlouf, 40-an kepada akhbar New York Times.

Makhlouf, seorang jutawan awal 40-an yang memiliki beberapa monopoli, dan saudara lelakinya yang mengetuai pasukan polis rahsia menjadi sasaran sekatan Amerika Syarikat (AS) sejak 2007 kerana rasuah. - Reuters

Anggota Tentera Maut Langgar Pokok





SEREMBAN: Seorang anggota tentera yang bertugas di Cawangan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan di ibu negara maut apabila kereta yang dipandunya merempuh sebatang pokok di Jalan Sungai Gadut, malam tadi.
Rusli Ngathimeen, 36, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 11.40 malam itu, Rusli yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari Rembau ke Seremban.
"Dia mungkin terbabas ketika melalui selekoh tajam dalam keadaan jalan yang agak gelap. Dia tersepit dalam keretanya yang remuk," katanya ketika dihubungi Rabu.
Beliau berkata mayat lelaki itu yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang.- BERNAMA

Culik: Bantuan Interpol, Filipina





SHAH ALAM 11 Mei - Polis akan mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Filipina bagi mengesan seorang ahli perniagaan negara ini yang dilaporkan diculik oleh 10 orang lengkap bersenjata api ketika berada di Pulau Jolo, Selatan Filipina, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, bantuan tersebut juga bagi mendapatkan maklumat latar belakang mangsa dan keadaan sebenar yang berlaku selain kemungkinan lelaki tersebut mempunyai masalah perniagaan atau sebaliknya.

"Setakat ini kita telah dapatkan laporan daripada Kedutaan Filipina di Malaysia untuk membantu kita. Kita juga akan berurusan dengan Interpol dan pihak berkuasa republik itu untuk membantu kita dari segi sudut penyiasatan," katanya.

Laporan akhbar pada 9 Mei lalu memetik Ketua Pengarah Polis Wilayah (Selatan Filipina), Felicisimo Khu sebagai berkata, Mohammad Nasaruddin Bensaidin, 38, diculik di sebuah bandar kecil di Pulau Jolo, Sabtu lalu.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang pula berkata, Mohammad Nasaruddin merupakan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur dan sudah berada di pulau itu selama sebulan.

Penyiasatan awal mendapati Mohammad Nasaruddin terlibat dengan perniagaan dagangan cicak.

-utusan

3 sindiket curi kereta berkubur





SEBAHAGIAN kenderaan curi yang dirampas polis di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Kelicikan tiga sindiket curi kenderaan mewah yang beroperasi di Lembah Klang tidak bertahan lama apabila seramai 23 anggota sindiket tersebut ditahan dalam beberapa serbuan sepanjang bulan lalu.
Dua daripada tiga sindiket itu mencuri kenderaan mewah semata-mata untuk diseludup ke luar negara manakala sebuah lagi sindiket memberi tumpuan meleraikan kenderaan curi untuk menjual alat ganti kenderaan kepada bengkel-bengkel.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, dalam serbuan-serbuan itu, polis telah merampas 15 kenderaan curi dan sejumlah 1,603 komponen alat ganti yang kesemuanya bernilai lebih RM30 juta dalam serbuan khas.
Berikutan penahanan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 261 kes samun kereta.
Semua suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
"Siasatan mendapati ketiga-tiga sindiket itu tidak mempunyai sebarang hubungan," kata Mohd. Bakri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.
Merujuk sindiket pertama, beliau berkata, polis melalui Ops Wangi Logistik menahan 12 suspek yang berumur di antara 30 dan 60 tahun dan merampas enam kenderaan mewah curi antaranya Toyota Alphard, Fortuner, Toyota Hilux, Toyota Camry, BMW dan Mercedes yang berharga RM4.5 juta.
Semua kenderaan curi oleh sindiket itu diseludup ke luar negara melalui Pelabuhan Klang.
kosmo

Taktik remaja tidak berjaya





KLUANG - Taktik seorang remaja menyimpan dadah dipercayai jenis heroin dan syabu dalam kotak rokok tidak berjaya apabila polis daerah ini berjaya mengesannya.



Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad berkata, remaja berumur 20 tahun berkenaan diberkas pada 8 Mei lalu, lebih kurang jam 2.45 petang di Jalan Haji Manan, di sini, sewaktu polis sedang menjalankan operasi jenayah di kawasan berkenaan.



“Sewaktu ditahan, remaja berkenaan menaiki motosikal jenis Modenas dalam keadaan mencurigakan dan polis telah menahan suspek untuk pemeriksaan.



“Sehubungan itu, polis menjumpai satu kotak rokok mengandungi dua paket dadah jenis heroin yang dianggarkan berat kasarnya 9.6 gram dan tiga paket dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.7 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, kelmarin.



Menurutnya, suspek adalah seorang penganggur dan mempunyai rekod jenayah lampau dalam penyalahgunaan dadah.



Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan ini adalah kesalahan keduanya berkaitan penyalahgunaan dadah.



“Pada masa ini suspek masih direman sehingga 13 Mei ini untuk soal siasat.



“Suspek disabitkan hukuman di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan. Manakala, bagi kesalahan memiliki syabu suspek dikenakan hukuman di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Terlepas hukuman penjara kerana muda





GEORGETOWN – Dua remaja lelaki yang didakwa menggunakan dadah jenis kanabis akhirnya terlepas hukuman penjara kerana faktor usia yang masih muda.



Tertuduh pertama, S Saranraj, 23, yang bertongkat dilepaskan kerana peguam belanya, K Kumarathiraviam mendakwa Saranraj tidak langsung terlibat kerana dia hanya datang ke rumah tertuduh kedua, K Dhusyantran, 20.



Kedua-dua tertuduh didakwa kerana menyimpan sejenis dadah berbahaya iaitu dadah jenis kanabis seberat 3.1 gram pada 1 Oktober 2010 di sebuah rumah di Paya Terubong.



Mereka ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (semakan 1980) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 akta yang sama.



Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.



Namun tertuduh pertama kemudiannya terlebih dahulu dilepaskan tanpa sebarang perbicaraan dan juga hukuman denda.



Kumarathiraviam dalam hujahannya memaklumkan tertuduh kedua hanya perlu dikenakan hukuman yang rendah kerana faktor usia yang muda dan ketika ditahan tertuduh baru sahaja berusia 19 tahun.



Menurutnya, mahkamah hanya mengenakan denda dan hukuman berat kepada pesalah untuk teladan dan bukannya untuk menyusahkan tertuduh.



“Dalam kes ini juga mereka tidak mengedar atau menjual dadah, tetapi ia hanyalah untuk diri sendiri sahaja, kesalahan ini tidak membawa kesan yang buruk kepada masyarakat.



“Tertuduh juga sudah kesal dengan perbuatannya dan tidak lagi akan menggunakan dadah lagi.



“Jadi saya memohon supaya denda daripada RM20,000 direndahkan kepada RM1,000 sahaja,” katanya.



Majistret Adibah Husna Zainal Abidin kemudiannya menjatuhkan hukuman kepada tertuduh kedua dengan denda sebanyak RM1,800 dan sekiranya dalam tempoh dua minggu tidak dibayar, hukuman penjara akan dikenakan.

Warga emas maut dilanggar kereta





KUANTAN 11 Mei - Seorang warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 25.8, Jalan Maran-Bandar Jengka, dekat Maran, semalam.

Mangsa, Asri Adol, 69, dari Felda Jengka 6, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, pemandu kereta Proton berusia 30-an, dalam perjalanan dari Felda Lepar Utara menuju ke Jengka 5.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dari arah bertentangan tiba-tiba membuat pusingan 'U' dan pemandu kereta terbabit cuba mengelak dan brek namun gagal kerana terlalu hampir," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Bahang panas penyelamat





HUTAN MELINTANG - Bahang panas secara tiba-tiba menyelamatkan seorang warga emas Chan So So, 79, daripada rentung apabila kediamannya hangus dalam satu kebakaran di Jalan Tepi Sungai, awal pagi, semalam.



Ketika kejadian, So So sedang tidur dan dia terkejut melihat rumah sewa berusia 50 tahun itu terbakar sebelum berlari keluar dari rumah.



“Ketika saya berlari ke arah pintu rumah, saya terdengar ketukan meminta saya keluar kerana deretan kedai sudah terbakar.



“Saya juga tidak sempat menyelamatkan barang kerana api terlalu marak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.



Seorang mekanik, Heng Cheng Wai, 21, berkata, dia mengalami kerugian lebih kurang RM50,000 apabila kesemua peralatan bagi membaiki bot nelayan, hangus terbakar dalam kejadian itu.



Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang tidur di rumahnya di kawasan Hutan Melintang dan menerima panggilan daripada seorang kawan kira-kira jam 5.30 pagi semalam, sebelum bergegas ke kedai itu.



“Kedai yang saya sewa sejak setahun lalu itu tiada penghuni dan saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang perniagaan,” katanya.



Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tapah, Omar Koyakutty, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.04 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 5.12 pagi.



Menurutnya, pihaknya berjaya mengawal api dalam masa 10 minit dan kebakaran itu memusnahkan tiga rumah kedai yang dijadikan bengkel memperbaiki peralatan bot serta sebuah kedai dijadikan rumah kediaman .



“Sebanyak dua jentera dan sebuah van bersama 20 anggota dari Hutan Melintang serta Teluk Intan dikejarkan ke tempat kejadian.



“Setakat ini tiada, tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun, jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM280,000.



“Punca kebakaran itu masih dalam siasatan pihak kami,” katanya.

Ditahan bawa senjata tajam





KAMPUNG RAJA - Dua lelaki yang pada mulanya disyaki hendak mencuri motosikal ditahan kerana didakwa membawa pelbagai jenis senjata tajam termasuk lawi ayam di bandar Jertih, malam kelmarin.



Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, dua beradik berumur 20 dan 16 tahun itu diperiksa selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan berdekatan sebuah motosikal berhampiran pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini.



Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sepasukan empat anggota polis dari Balai Polis Jertih ketika membuat rondaan cegah jenayah, ternampak suspek melakukan sesuatu pada sebuah motosikal.



Menurutnya, setelah diperiksa suspek sebenarnya sedang membaiki mo-tosikalnya yang mengalami kerosakan namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebilah kapak dan satu tukul, pemutar skru serta lampu.



“Pemeriksaan badan pada salah seorang suspek pula menemui dua bilah lawi ayam dan sebilah pi-sau lipat,” katanya.



Kamaruddin berkata, suspek dari Kampung Chalok, Setiu dikatakan datang ke Jertih untuk membeli belah, tetapi motosikal mereka rosak manakala suspek berumur 20 tahun itu memberitahu lawi ayam dibawa untuk mempertahankan diri.



Sementara itu, mereka mendakwa peralatan lain seperti tukul dan kapak adalah peralatan kerja sebagai tukang rumah.



Suspek ditahan lanjut untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti tujuan mereka membawa semua barang kes.



Kes ini disiasat di Bawah Seksyen 7/1 Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.

10 ahli Geng Aho tumpas


Dipercayai terbabit 57 kes samun, larikan kenderaan

IPOH: Polis Perak menahan 10 anggota Geng Aho yang dipercayai terbabit melakukan sekurang-kurangnya 57 kes samun menggunakan senjata tajam, pecah rumah dan melarikan kenderaan termasuk yang diseludup ke Thailand.
Semua mereka yang berusia 25 hingga 48 tahun dan mempunyai rekod jenayah, termasuk lima daripadanya pernah dikenakan perintah sekatan di Simpang Renggam, Johor, ditahan di sekitar bandar raya ini sejak 18 April lalu dalam Operasi Pintu/Lejang.
Susulan kejayaan itu, polis turut merampas 11 kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu termasuk masing-masing dua Toyota Camry dan Perdana V6, sebuah Toyota Altis selain dua enjin kereta, 10 jam tangan termasuk satu berjenama Rolex, beberapa batu jed, peralatan elektronik serta pelbagai barangan lain.

Pelbagai senjata tajam seperti parang yang digunakan bagi melakukan jenayah kekerasan terhadap mangsa dan peralatan yang digunakan untuk memotong besi dan mengumpil pagar rumah seperti tabung gas Oxy-Acetylene (OA), alat pemotong dan pemutar skru, turut dirampas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, yang menyifatkan kejayaan itu yang terbesar bagi kontinjennya tahun ini berkata, modus operandi anggota Geng Aho yang semuanya berasal dari sini adalah memecah masuk premis kediaman sebelum mencari kunci kereta dan melarikan kenderaan itu bersama pelbagai barangan lain.

“Sekiranya, pemilik premis terjaga daripada tidur, mereka akan menggunakan senjata seperti parang untuk melakukan jenayah kekerasan dan menyamun mangsa sebelum melarikan kereta dan pelbagai barangan.
"Kereta dicuri dijual kepada rakan jenayah mereka untuk diambil komponennya bagi kegunaan kereta yang terbabit dalam kemalangan, manakala kereta mewah terutama jenis BMW dijual kepada rakan mereka untuk diseludup ke Betong, Thailand.

“Hasil siasatan, kumpulan ini melakukan kegiatan pecah rumah, samun dan curi kenderaan di Perak sejak hujung 2009," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK berkenaan di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, walaupun polis yakin masih ada lagi anggota geng itu yang perlu diburu, tangkapan 10 suspek berkenaan termasuk terakhir seminggu lalu, berjaya menyelesaikan 34 kes pecah rumah dan curi, 17 kes curi kereta dan enam kes samun berkawan tanpa senjata api.

Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata pihaknya menahan 94 wanita warga China dan Vietnam yang disyaki bekerja pelayan pelanggan.

(GRO) dan melanggar pas lawatan visa dalam Ops Noda di Daerah Manjung dan Kerian pada 23 dan 24 April lalu. 

Dua Anggota Kastam Hadapi Tuduhan Edar Kanabis



KANGAR: Dua anggota Kastam Diraja Malaysia Rabu dihadapkan ke mahkamah majistret di sini kerana dituduh mengedar 7,101.92 gram dadah jenis kanabis dekat sini bulan lepas.
Ismail Mansor, 42, dan Nazni Seman, 46, kedua-duanya daripada Cawangan Marin di sini, dituduh melakukan perbuatan itu di tempat letak lori kilang simen, Bukit Keteri, Chuping, 9.30 malam 27 April lepas.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta menetapkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sabri manakala Ismail diwakili peguam Anbalanathan Yathiraju tetapi Nazni tidak diwakili peguam.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim menetapkan 11 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes kerana perlu menunggu laporan kimia.
Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikatj amin. - BERNAMA

Penganggur Didakwa Menyamar Timbalan Pengarah SPRM



SHAH ALAM: Seorang penganggur didakwa atas 11 pertuduhan menipu membabitkan wang tunai berjumlah RM10,200 dengan menyamar sebagai Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengakuan tertuduh, Zuhaimi Mohamad, 41, direkodkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Dia didakwa telah menipu mangsa, Mohd Rosdi Mat Hassan, 42, Hairizaha Talib, 45, dan Mohd Yussof Ros, 53, kononnya dia adalah Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sembilan dan ketua bagi urusan lelongan barangan rampasan kastam dan kereta SPRM.
Perbuatan tertuduh didakwa telah mendorong semua mangsa untuk menyerahkan wang tunai kepadanya yang dikatakan sebagai bayaran untuk membeli pelbagai barangan seperti motosikal EX5, telefon bimbit Nokia dan juga komputer riba.
Selain itu, ada di antara wang tersebut yang dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB milik Mohd Hatta Solihin dikatakan sebagai bayaran pendahuluan untuk pembelian kereta jenis Kancil dan Iswara.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kajang, dekat sini, antara 20 Januari 2009 dan pertengahan Mac tahun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd Asri Abd Rahman Sidik mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Mohd Asri menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan atas alasan tertuduh telah didakwa di mahkamah bagi kesalahan yang serupa.
"Tertuduh telah didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Pilah dan Bahau (Negeri Sembilan), Jeli (Kelantan) dan Kuala Behrang (Terengganu) dan tertuduh tidak mempunyai penjamin," katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa tertuduh kini ditahan di Penjara Pangkalan Chepa, Kelantan.
Bagaimanapun, Zuhaimi yang berkulit sawo matang merayu agar dibenarkan jaminan atas alasan dia menghidap penyakit jantung dan kencing manis.
Hakim Mat Ghani Abdullah kemudiannya menetapkan jaminan pada jumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

78 kereta mewah dirampas dalam serbuan





KUALA LUMPUR 11 Mei - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi sebuah pasukan tugas khas telah merampas 78 kereta import milik beberapa syarikat di seluruh negara.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, rampasan itu dilakukan hasil serbuan ke atas 32 firma audit dan 59 kediaman pengarah syarikat-syarikat terlibat.

Menurut kenyataan itu, kesemua kereta yang dirampas dipercayai terlibat dengan beberapa kesalahan yang mengakibatkan negara kehilangan jumlah pendapatan yang sangat besar.

"Antara kesalahan tersebut ialah gagal di bawah perisytiharan tugas-tugas kastam, elak cukai, salah guna pemberian Permit Import (AP), pemalsuan dokumen dan aktiviti penggubahan wang haram serta rasuah,'' jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu memberitahu, objektif utama penyerbuan adalah untuk mengenal pasti dan bagi mendapatkan jumlah pendapatan negara yang masih belum diisytiharkan kepada pihak kastam dan LHDN.

Jelas kenyataan tersebut, pasukan tugas khas berkenaan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu dan syarikat yang terbabit berikutan kes-kes tersebut boleh mengancam ekonomi negara serta seterusnya menjejaskan reputasi negara.

Tambah Jabatan Peguam, operasi membanteras penyeludupan itu dikendalikan melalui Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Kastam 1969, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Anti Pengganas Kewangan 2001 (AMLATFA).

Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini pasukan tugas khas berkenaan telah membekukan lebih 300 akaun bank yang berkaitan dengan semua entiti di bawah AMLATFA.

Dua guru mati lemas di Pantai Kijal



KEMAMAN - Dua guru lelaki dari Sekolah Kebangsaan Kijal lemas ketika mandi di Pantai Kijal di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Anuar Harun, 28, yang berasal dari Marang, Terengganu manakala rakannya Md Iskandar Mat Arif, 26, dari Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Abdullah Sani Salat berkata, dua guru itu dipercayai ke pantai berkenaan untuk mandi bagaimanapun salah seorang daripada mereka lemas 15 minit kemudian.

"Orang awam yang berada di pantai cuba menyelamatkan mangsa dan berjaya menarik kedua-duanya ke tepi pantai dan memberi bantuan kecemasan namun kedua-duanya telah meninggal dunia.

"Rakannya cuba membantu untuk menyelamatkan mangsa tetapi arus deras telah menghanyutkan kedua-dua guru muda ini.

Mayat kedua-dua guru itu dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Saksi kejadian, Mohd Azlizan Othman, 23, berkata, ketika beliau sedang berkelah di pantai itu bersama keluarganya diberitahu tentang kejadian lemas oleh seorang lelaki yang sedang mengutip sampah di pantai itu.

"Saya bergegas ke tempat kejadian dan cuba membantu orang awam menyelamatkan kedua-dua mangsa ke tepi pantai dan cuba memberikan pernafasan mulut ke mulut kepada salah seorang mangsa itu," katanya.

Bagaimanapun, kedua-duanya telah meninggal dunia.- Bernama
SH

Mesir mohon bantuan RM30 bilion dari IMF



WASHINGTON - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerima permohonan pinjaman kewangan dari Mesir, minggu lalu dan dijangka bertemu pemimpin negara itu bagi membincangkan permohonan itu secepat mungkin.

“Pihak berkuasa Mesir memerlukan bantuan kewangan sebanyak ASD10 bilion (RM30 bilion) hingga ASD12 bilion (RM36 bilion) bagi tempoh sekarang sehingga Jun tahun depan,” menurut jurucakap IMF.

Kerajaan Mesir turut memohon bantuan kewangan daripada rakan perdagangan negara itu bagi membiayai program pembangunan di dalam negara.

Menteri Kewangan Mesir, Samir Redwan mengesahkan kerajaan berbincang dengan IMF dan Bank Dunia bagi mendapatkan pinjaman kewangan, April lalu.

Ekonomi Mesir yang bergantung kepada industri pelancongan terjejas teruk selepas kebangkitan prodemokrasi bermula Januari lalu bagi menuntut penggulingan Presiden Hosni Mubarak.
SH

Dua van hangus angkara khianat




KUANTAN – “Tergamam saya lihat dua van yang digunakan untuk menghantar batu nisan hangus terbakar,” kata Md Khalidi A Rahman, 53.

Menurutnya, dalam kejadian 15 Mei lalu, dia diberitahu anaknya bahawa van miliknya itu sudah hangus, manakala sebuah lagi hanya terbakar sebahagian sahaja dan berjaya.

Md Khalidi berkata, dia tidak percaya kejadian seumpama ini menimpa dirinya kerana dia sememangnya tidak mempunyai musuh.

“Saya mempunyai empat van dan tiga daripadanya diletakkan berhadapan kedai batu nisan ini serta sebuah lagi dihantar ke bengkel. Dua daripadanya rentung dan mujur satu lagi masih boleh diselamatkan,” katanya.

Selain itu, isteri mangsa, Jalilah Ibrahim, 46, kesal dan sedih dengan kejadian yang menimpa mereka.

Menurutnya, berniaga batu nisan ini bukan semua orang boleh buat dan saya bersama suami tekad membuka perniagaan ini yang sedikit sebanyak memberi keinsafan kepada diri sendiri mengenang hari kematian masing-masing.

“Van yang terbakar itu adalah sumber penyambung rezeki kami untuk menghantar batu nisan ke serata tempat dalam negeri ini.

“Bagaimanapun, saya reda kerana mungkin ini ujian daripada Allah SWT kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Jalilah menjelaskan mengikut kata seorang saksi, dia melihat dua orang menaiki motosikal berlegar di hadapan kedai milik Md Khalidi seterusnya membaling satu objek seperti botol ke arah van sebelum mendengar bunyi letupan besar.

“Tidak tahu apa salah kami ini, namun saya harap mereka menerima balasan setimpal.

“Mujur tiada kemalangan jiwa berlaku, Alhamdulillah kami selamat,” katanya.

Sementara itu, nasib pasangan ini mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Syafik Fauzan Sharif.

Menurut Syafik, beliau kesal dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan periuk nasi orang lain terjejas dan berharap si pelaku menerima hukuman setimpal.

“Oleh itu, saya akan mencari satu kawasan baru supaya mereka dapat memulakan perniagaan baru.

“Mungkin, kedai yang sedia ada ini akan dijadikan pameran untuk pelanggan melihat batu nisan yang dihasilkan dan tempat pembuatan batu nisan akan diikhtiarkan di tempat lain.

“Hanya itu yang boleh saya bantu memandangkan pekerjaan mangsa ini adalah satu kerja murni dan jarang diusahakan orang lain,” katanya.
SH

Warga Indonesia dipenjara




JOHOR BAHRU - Seorang buruh warganegara Indonesia dihukum penjara tujuh tahun dan 10 sebatan atas tuduhan memiliki dadah di Mahkamah Tinggi, setahun yang lalu.

Hakim, Samsudin Hassan menetapkan hukuman tersebut selepas Nor Muhammad Gazaliee, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan kepadanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Mei 2010 jam 12.45 malam di Taman Perumahan Kanak-Kanak Taman Desa Jaya kerana memiliki dadah jenis Kanabis seberat 238.36 gram.

Atas kesalahan itu, Nor Muhammad telah melakukan kesalahan di bawah Syeksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu diringankan hukuman kerana mempunyai seorang isteri warganegara Malaysia dan tiga orang anak yang masih kecil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili Rosli Kamaruddin.
SH

Tidak lena tidur malam



TAMAN PONTIAN UTAMA- Lebih 200 penduduk melahirkan kebimbangan terhadap tahap kualiti air yang dibekalkan, berikutan penemuan mayat di dalam tangki air utama flat, petang kelmarin.

Lebih membimbangkan, mayat yang sudah terendam tiga hari itu mengeluarkan bau busuk dan sepanjang tempoh itu, penduduk sudah menggunakan air dari tangki untuk kegunaan harian seperti biasa.

Seorang penduduk, Mis Anak Paty, 35, berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu sehinggalah mayat dikeluarkan daripada tangki itu petang kelmarin.

“Tidak tidur malam saya dibuatnya bila mengenang kembali air yang digunakan tiga hari lalu. Rasa takut dan seram pun ada,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Ong berkata, tiada apa yang boleh dilakukan kerana penduduk sudahpun menggunakan air berkenaan, apa yang perlu dilakukan adalah menjaga kesihatan diri.

“Kami tidak sangka langsung kejadian ini akan berlaku, penduduk pun sudah menggunakan air dari tangki berkenaan, jadi kami lebih berhati-hati dalam soal kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Daerah, Kasiman Paiman, ketika ditemui berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan terhadap kualiti air dan sampel sudah dihantar ke Jabatan Kimia Johor Bahru.

Kasiman juga meminta penduduk tidak terlalu panik memandangkan kerja-kerja pembersihan tangki sudah dijalankan.

“Semalam, pekerja yang membersihkan tangki berkenaan, terkejut selepas mendapati air merah, namun itu semua perkara biasa yang terhasil dari paip yang karat,” katanya.

Penduduk juga dinasihatkan tidak menggunakan air dari tangki berkenaan sementara waktu, bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan dan bekalan air dari lori akan dibekalkan kepada pendudukSH

Lelaki Nepal mati tergantung




MUAR - Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati dalam keadaan tergantung di ruang tempat meletak kenderaan di sebuah kilang membuat skru di Jalan Abdul Rahman, Parit Bakar, semalam.

Lelaki tersebut yang berusia 20-an telah bekerja selama dua tahun setengah di kilang terbabit dan dipercayai bakal pulang ke negara asal pada Oktober depan.

Majikan mangsa yang hanya dikenali sebagai Er berkata, dia menyedari kejadian tersebut pada jam 7.30 pagi semasa datang ke kilang berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di perkarangan kilang, dia ternampak satu objek tergantung pada tempat meletak kenderaan di kilangnya.

“Setelah menghampiri, saya berasa terkejut apabila mendapati objek berkenaan adalah salah seorang pekerja di sini.

“Terkejut dengan apa yang dilihat, saya segera menghubungi pihak polis,” katanya.

Katanya, pekerja tersebut tinggal di asrama yang terletak belakang kilang itu sejak bekerja di sini.

“Seminggu sebelum kejadian, mangsa kelihatan sedikit murung dan saya menyangka dia mempunyai masalah peribadi.

“Namun, saya tindak menyangka mangsa akan bertindak hingga ke tahap ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden tersebut.

“Kematian mangsa tidak mempunyai unsur-unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Mayat dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya.
SH

Tergamam diserbu




JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri dan rakannya mengemukakan aduan terhadap Jabatan Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, kerana membuat serbuan tidak berasas serta membawa kesemua 'suspek' termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun ke balai polis, 10 Mei lalu.

Pasangan, Keong Yew Kwong, 47, dan isteri, Tiang King Yen, 41, serta rakannya, Ching Wen Sin, 39, dikatakan sedang bersembang di garaj rumahnya di Permas Jaya sebelum 10 anggota yang dikatakan polis menyerbu rumah mereka.

"Salah seorang daripadanya bertindak memanjat pagar, sebelum kesemuanya masuk selepas pintu pagar dibuka dan kesemua mereka tidak memakai pakaian seragam.

"Seorang daripada mereka menunjukkan kad pengenalan dan mengatakan kepada saya 'mana barang salah', tetapi saya mengatakan kepadanya bahawa kami tidak mempunyai sesuatu yang menyalahi undang-undang.

"Dan setelah memeriksa rumah kami dan tidak menemukan apa-apa, pegawai itu kemudiannya memberitahu, kami perlu dibawa ke Balai Polis Larkin untuk ujian air kencing," katanya pada sidang media, di Kelab Media Cina, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Biro Jenayah MCA Pasir Gudang, Shium Chean Teck.

King Yen berkata, dia terkilan kerana polis berkeras untuk membawa bersama anaknya Venus Keong, 4, ke balai polis walaupun telah memberitahu boleh meninggalkan anaknya kepada pengasuh.

Katanya, setelah hampir dua jam setengah berada di balai tersebut, selepas ujian dijalankan, hanya dia seorang yang didapati positif dadah, namun dia menjelaskan mengambil ubat kerana mengalami demam dan sakit badan.

Manakala Chean Teck pula berkata, walaupun pasangan terbabit sudah membuat aduan kepada polis, namun dia akan membawa permasalahan itu ke pengetahuan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, secepat mungkin.

"Kelakuan ini di luar polisi dan ia tidak dapat diterima dan mereka harus ditegur atas tindakan mereka," katanya.

Sementara itu, Asisten Komisioner, Zainuddin Yaakob yang dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut dan akan mengambil tindakan yang sesuai jika dakwaan berkenaan benar.
SH

Gantung diri, minum racun




BUNTONG – Seorang lelaki ditemui tergantung di ruang tamu rumahnya di Taman Mas di sini, kelmarin dipercayai bertindak mahu membunuh diri.

Mayat M Vickneswaran, 38, ditemui jirannya sekitar 3 petang kelmarin, setelah mendapati rumah mangsa yang berkunci dalam keadaan mencurigakan.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 hingga 3 petang ketika isteri serta dua anak mangsa tiada di rumah.

Vickneswaran kemudiannya dikejarkan ke hospital namun, akibat komplikasi pernafasannya yang mungkin tersumbat akibat jerutan kuat di leher, dia meninggal dunia di hospital sekitar 4 petang semalam.

Ketika ditemui, abang mangsa, M Sundarajan, 54, berkata ahli keluarga agak terkejut apabila menerima berita kematian Vickeneswaran kerana mereka tidak pernah berselisih faham dan hubungan mereka sekeluarga juga dalam keadaan baik.

Katanya, kali terakhir dia melihat mangsa adalah pada perayaan Thaipusam lalu namun tidak sempat bertegur sapa kerana Vickneswaran dilihat berjalan agak jauh dari anak-anaknya dan mereka hanya berbual menerusi telefon untuk bertanya khabar.

“Saya sendiri tidak tahu apakah punca sebenar kematiannya (Vickneswaran). Mungkin dia mengalami masalah rumah tangga, tapi dia tak pernah ceritakan kepada kami.

“Dia juga tidak memiliki sebarang masalah dengan orang lain, atau pun berhutang dengan Ah Long,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, satu lagi kes bunuh diri dikesan di kawasan yang sama kelmarin dan kali ini ia melibatkan seorang wanita yang mengalami muntah-muntah setelah meminum racun.

Mangsa M Suppamah, 57, dipercayai meminum racun berkenaan sekitar 6 petang kelmarin, dan mangsa mati ketika dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan dua kejadian berkenaan.

Katanya, kedua-dua kejadian berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah tetapi dipercayai melibatkan tindakan membunuh diri.

“Hasil siasatan pihak forensik turut mengesahkan bahawa kematian kedua-dua mangsa tidak memiliki sebarang unsur jenayah dan kedua-dua kematian tersebut boleh diklasifikasikan sebagai bunuh diri,” katanya.
SH

Nyaris terhumban dalam parit




BAGAN SERAI – Sebuah lori membawa roti terbabas sebelum tersangkut di pinggir parit kerana cuba mengelak lori sayur yang memotong dari arah sama di Lebuhraya Persekutuan Kilometer 109 Bahagian Selatan, Taman Serai Indah bersebelahan Ibu Pejabat Balai Polis Bagan Serai.

Pemandu lori, Ismail Hamid, 44, berkata, dia menekan brek kecemasan sehingga mengakibatkan stereng lorinya terpusing dan terbabas ke tembok parit tanpa dapat dikawal.

Menurutnya, sewaktu kejadian dia dalam perjalanan ke kilangnya di Changkat Jering, Taiping selepas singgah ke kedai-kedai di bahagian utara termasuk Parit Buntar dan Bagan Serai untuk menghantar roti.

“Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari apabila sebuah lori dari arah belakang memotong ke sebelah kanan dan serta merta menukar ke lorong kiri sehingga begitu hampir dengan kenderaan saya,” katanya.

Ismail berkata, bagi mengelakkan berlanggar, saya cuba membrek kenderaan tetapi malangnya stereng terpusing dan tidak boleh dikawal sehingga terbabas.

“Mujurlah ada sedikit pengadang pada longkang, jika tidak pasti sudah terbenam di dalam parit ini.

“Bagaimanapun saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
SH

13 motosikal disita, 55 saman dikeluarkan




BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 13 motosikal yang ditunggang remaja lingkungan 16 hingga 25 tahun disita dalam satu operasi mencegah mat rempit oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik Seberang Perai Tengah (SPT), lewat malam semalam.

Operasi yang bermula dari jam 11 malam dan berakhir jam 3 pagi itu tertumpu di dua kawasan iaitu sekitar Jalan Permatang Pauh dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Ketua Turus Trafik/Ketenteraman Awam Daerah SPT, Asisten Superintendan S Manogaran berkata, operasi dibuat dalam usaha membanteras gejala rempit dalam kalangan remaja yang dilihat semakin berleluasa.

Menurutnya, 55 saman turut dikeluarkan pihaknya di kedua-dua lokasi atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk mengubah suai motosikal secara haram.

“Daripada 170 motosikal yang diperiksa, 21 daripadanya tidak mempunyai lesen memandu, 14 cukai jalan tamat tempoh, manakala tujuh lagi didapati mengubah suai motosikal dengan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Manogaran berkata, semua motosikal berkenaan disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT sebelum dituntut pemiliknya.

“Kita tidak hanya memberi saman kepada penunggang, tetapi juga pemilik motosikal. Ia akan diberikan apabila mereka datang menuntut motosikal itu nanti,” katanya.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen bagi mengelakkan disaman.
SH

Pelajar tingkatan satu diugut tikam





KULIM - Kerana tidak berpuas hati dengan sikap rakan sekelas yang membuat aduan kepada guru atas perlakuan buli sering dilakukannya, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di sini bertindak nekad dan mengugut mangsa untuk dicederakan.

Mangsa ketika membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 petang kelmarin berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi apabila suspek mencederakannya dengan menggunakan tali leher.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perlakuan suspek kemudian memaklumkan kepada guru.

“Setelah membuat aduan, cikgu memanggil suspek dan dimarahi serta dinasihatkan jangan melakukan perbuatan itu lagi. Suspek sering membuli pelajar lain dan kadangkala bertindak ganas. Ketika saya hendak balik ke rumah selepas waktu sekolah, suspek datang kepada saya lalu memukul dan menendang saya.

“Suspek juga mengugut hendak menikam saya dengan pisau. Suspek kemudian mengeluarkan satu objek tajam untuk menikam saya. Bagaimanapun saya berjaya melarikan diri. Saya memaklumkan perkara yang berlaku kepada keluarga saya kerana takut terjadi sebarang kejadian tidak diingini pada masa akan datang. Saya datang ke Balai Polis Kulim bersama bapa untuk membuat laporan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kebanyakan pelajar yang sering menjadi mangsa buli adalah pelajar sekolah menengah antaranya pelajar tingkatan satu, dua dan tiga.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada perlakuan buli adalah berpunca dari rasa tidak puas hati terhadap mangsa.

“Pelajar yang gagal mengawal emosi mereka dengan baik ini biasanya terdapat pada yang hiperaktif atau cergas yang melampau dan sering mengambil sikap tidak mempedulikan perasaan orang lain.

“Selain itu suspek selalunya terdiri dalam kalangan pelajar yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal dan mempunyai masalah disiplin. Kajian juga menunjukkan punca yang menyumbang kepada perlakuan buli adalah latar belakang keluarga yang bermasalah,” katanya.

Selain itu beliau berkata, hukuman seperti merotan dan membuang pelajar terlibat dalam perlakuan buli adalah satu tindakan wajar.

“Guru harus membincangkan mengenai isu buli ini dari masa ke semasa,” katanya.
SH

Isteri rayu suami kembalikan anak




KAMPUNG PERMAI – Seorang suami didakwa bertindak melarikan anak sendiri berusia lapan bulan daripada penjagaan isteri sejak 12 Mei lalu dirayu supaya memulangkan bayi berkenaan.

Siti Fairuz Abdul Wahab, 24, merayu agar suaminya dari Taman Seri Pekula, Tikam Batu mengembalikan anak mereka dengan selamat.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama dua anak berada dalam jagaan keluarga di Kampung Permai, Sungai Petani dikejutkan kehadiran suami.

“Ketika itu dia bertindak kasar dengan mengambil anak, Muhammad Darwis Ikhram Abdullah yang sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Fairuz berkata, suaminya dipercayai menggunakan sebuah motosikal EX5 berwarna merah dengan khidmat seorang rakan melarikan diri.

“Saya diberitahu, mereka dihantar ke Tikam Batu berkemungkinan di rumah ibu mertua, tetapi apabila saya bersama anggota polis ke sana mendapati keduanya tiada di situ,” katanya.

Siti Fairuz menjelaskan, suaminya pernah bertindak memukulnya sehingga dimasukkan ke wad akibat mengalami kecederaan.

Menurutnya, dia sudah mendapat nasihat pelbagai pihak termasuk polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Agama Islam dalam menangani perkara berkenaan.

“Saya bimbang keselamatan dan kesihatan anak yang masih kecil di samping khuatir suami bertindak menjual kanak-kanak itu bagi tujuan mendapatkan wang.

Bagi orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi 012-5506634 atau menghubungi balai polis terdekat.
SH

‘Janin’ dalam botol minuman




KANGAR - Seorang peniaga dari Felda Mata Ayer dekat sini loya selepas mendapati dua botol air minuman ringan yang dijual di kedainya mempunyai bendasing yang menyerupai janin.

Rodali Ismail, 50, berkata, dia menyedari kewujudan bendasing dalam salah satu botol itu selepas seorang pelanggan meletakkan minuman itu di atas kaunter ketika mahu membuat pembayaran.

Menurutnya, menyedari kewujudan bendasing itu, dia kemudiannya menggantikan botol minuman terbabit dengan yang baru sebelum dijual kepada pelanggan.

“Saya kemudiannya membawa botol itu ke tempat yang lebih terang dan bercahaya bagi membolehkan objek di dalamnya dilihat dengan lebih jelas.

“Apabila diperhati, saya terkejut apabila mendapati dua botol itu mempunyai ketulan-ketulan yang menyerupai janin. Padahal tarikh luput kedua-duanya adalah pada bulan Julai dan September tahun ini,” katanya, semalam.

Rodali berkata, ini adalah kejadian pertama berlaku membabitkan air minuman sejak lebih 10 tahun berniaga.

Katanya, dia sudah berbincang dengan pihak pemborong dan pembekal yang bertanggungjawab menghantar barang ke kedainya dan mereka menawarkan sebanyak 240 botol air minuman yang sama untuk menggantikan dua botol yang rosak itu.

Bagaimanapun katanya, dia tidak bersetuju dengan cadangan pemborong itu sebaliknya memilih untuk memanjangkan perkara berkenaan kepada Jabatan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Saya akan bawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi demi memberi kesedaran kepada pembeli dan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli air minuman dan makanan.

“Ia juga bertujuan memberi amaran kepada pengeluar minuman ini supaya lebih mengambil berat soal kebersihan dan keselamatan dan jangan terlalu mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya.
SH

Dibelasah lima lelaki




SEREMBAN – Seorang suami terpaksa terlantar di hospital akibat dibelasah lima lelaki, Ahad lalu selepas dikatakan enggan menceraikan isterinya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Musa (bukan nama sebenar), 41, cedera teruk di mata, muka, siku serta disahkan terdapat darah beku pada kepalanya.

Musa berkata, kejadian berlaku apabila dia dan isteri mahu berbincang secara baik mengenai hubungan mereka sebelum dipanggil ke Mahkamah Syariah, 25 Mei ini.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka isteri saya membawa keluarganya sekali. Kira-kira lapan orang ahli keluarganya datang menyertai perbincangan tersebut.

“Pada masa itu, isteri mendakwa dia sudah tiada perasaan dengan saya lagi. Saya redha dengan keputusannya itu, namun selepas saja selesai perbincangan itu, tiba-tiba adik ipar saya datang bersama rakan-rakannya dan terus membelasah saya bertubi-tubi,” katanya.

Musa berkata, semasa kejadian, dia dibelasah tidak kurang lima lelaki menggunakan kerusi dan meja kedai makan tempat mereka berbincang.

“Saya sempat melawan tetapi kerana bilangan mereka membelasah saya terlalu ramai, saya hanya berserah dan berdoa dalam hati supaya selamat.

“Mujurlah pada waktu itu ada orang ramai yang meleraikan pergaduhan dan terus menghubungi polis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini semalam.

Musa berkata, sejurus selepas kejadian malang itu, sebuah kereta peronda polis datang membantunya membawa ke hospital.

Menyingkap kembali peristiwa, Musa berkata, dia berkahwin dengan isterinya atas aturan keluarga mentuanya yang mahukan dia mengahwini anak perempuan mereka.

Namun, katanya, isterinya mengadu kepada keluarga mentua berikutan sedikit perselisihan faham antara mereka berdua.

“Perselisihan faham biasa berlaku dalam perkahwinan tetapi tidak sangka pula saya didesak menceraikan isteri sendiri.

“Saya tak sangka, hanya kerana enggan menceraikan isteri, saya telah dipukul oleh keluarga mereka. Apa salah saya sehingga diperlakukan begini?” kata bapa kepada tiga anak itu.

Musa berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menceraikan isterinya kerana menganggap hubungan mereka masih boleh diselamatkan.

Berikutan kejadian itu, Musa bercadang untuk membuat laporan polis sebaik saja dia keluar dari hospital nanti.
SH

Penternak buat laporan polis




BAHAU - Susulan tiga ekor lembu dikelar dan dibunuh dengan kejam oleh pihak tidak bertanggungjawab, seorang penternak di Kampung Taman Jaya, di sini membuat laporan polis berikutan bimbang akan keselamatan keluarganya.

K Tamilselvan, 37, berkata, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang 12 tahun dia menternak lembu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, melihat keadaan lembunya yang berlumuran darah dengan kesan kelar dan tikaman di badan itu agak mengerikan malah lembunya turut dibunuh tanpa belas kasihan.

“Saya tidak sanggup melihat keadaannya begitu, pegawai vaterinar daerah datang dan cuba selamatkan kesemua lembu itu, namun tidak berjaya.

“Hendak jahit macam mana lagi, perut sudah terburai dan leher sudah dikelar. Sedih juga tetapi sudah bukan rezeki saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di ladangnya.

Tamilselvan berkata, diharap pihak polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu kerana turut melibatkan keselamatan keluarganya.

“Saya sudah membuat laporan polis di balai berhampiran selepas kejadian itu,” katanya.

Lebih malang lagi, Tamilselvan adalah seorang penternak lembu tenusu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut (FMD), Januari lalu.

Katanya, dia terpaksa hadapi masalah itu walaupun penyakit berkenaan meragut nyawa lembunya.
SH