Search This Blog

Monday, May 16, 2011

Hukum mati, bunuh pekerja Indonesia


ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemasang perabot kerana membunuh seorang pekerja inap desa wanita rakyat Indonesia enam tahun lepas.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim mendapati Yap Boon Thai, 38, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, bersalah membunuh Ismiyanti, berumur 30-an, pada 7 Jun 2005 antara 7.45 malam hingga 8.40 malam di SP Rilek Homestay, Taman Sejati Indah, Sungai Petani.
Dalam penghakimannya, Zamani berkata, keterangan pembelaan tertuduh hanyalah satu bentuk penafian semata-mata.
"Tujuan sebenar awak membunuh adalah untuk merompak,” kata Zamani.
Dalam keterangannya kepada mahkamah, Boon Thai mendakwa beliau cuba menolong Ismiyanti semasa ditikam seorang lelaki yang memasuki biliknya menyebabkan dia tercedera.
Zamani berkata, mahkamah meragui keterangan tertuduh kerana Boon Thai membiarkan wanita itu mati dan sepatutnya dia mendapatkan bantuan. - Bernama

Mandur maut disengat tebuan


DUNGUN - Seorang mandur ladang kelapa sawit milik Risda maut selepas disengat sekumpulan tebuan semasa sedang menunggang motosikal di Kampung Serdang, di sini pagi ini.

Mohd Taufiq Jusoh, 26, dari Kampung Batu 48, meninggal dunia semasa dalam perjalanan untuk dibawa ke Hospital Dungun di sini selepas sebahagian badan dan kepalanya disengat dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu. - Bernama

Cederakan warga emas untuk samun RM2



SHAH ALAM – Seorang pemandu kereta tunda hari ini didakwa memukul seorang warga emas dengan sebatang besi dan topi keledar sehingga jari telunjuk kiri mangsa patah dalam satu kejadian samun membabitkan RM2 di Seksyen 27 di sini, dua tahun lepas.
S. Kumarvellan, 26, dari Seksyen 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu terhadap S. Arumugam, 62, bersama dua lagi yang masih bebas, di tepi Jalan Selayang 27/27A, Seksyen 27, kira-kira 6.40 pagi, 26 Julai 2009.
Hakim Mahkamah Sesyen, Slamat Yahya membenarkan Kumarvellan, yang ditahan 6 Mei lepas, diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Beliau juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan.
Kumarvellan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan boleh didenda atau disebat jika sabit kesalahan. – Bernama

Bekas jururawat diarah jalani rawatan


ALOR SETAR – Seorang bekas jururawat yang dihukum penjara tiga tahun atas kesalahan menculik seorang bayi enam tahun lepas hari ini diperintah menjalani rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak, selama diperkenan Sultan Kedah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan hukuman itu terhadap Noraini Mat Zainol, 31, selepas Noraini dan bekas suaminya, Mohd Sabri Sabdin, 36, yang juga dipenjara tiga tahun, mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Bagaimanapun, hukuman penjara terhadap Mohd Sabri, yang bersubahat menculik bayi tersebut kekal.
Mohd Zaki dalam keputusannya berkata, selepas menimbang rekod rayuan Noraini dan penghakiman oleh Majistret Mahkamah Sungai Petani pada 7 September tahun lepas, beliau mendapati, tertuduh melakukan kesalahan itu dalam keadaan tidak waras.
"Noraini menculik bayi tersebut kerana fikirannya tidak waras pada masa kejadian dan dia tidak berupaya untuk mengerti perbuatannya adalah salah.
“Oleh itu dia hendaklah ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan,” kata Mohd Zaki. – Bernama

Maut dalam kemalangan motosikal


BESUT - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah lagi motosikal di kilometer 25 Jalan Jerteh Keruak, Hulu Besut, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supritendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kemalangan berlaku pada pukul 7.15 pagi semasa Awang Sidek, 53, bersama isterinya Kamariah Mustafa, 48, sedang dalam perjalanan hendak ke kebun getah mereka.
Beliau berkata, Awang Sidek dari Kampung Pasir Badak, Hulu Besut, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala serta muka, manakala Kamariah yang membonceng, mengalami kecederaan parah termasuk patah lengannya dan kini menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Seorang lagi penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu, Mohamad Anuar Mat Husin, 21, dari Kampung Panchor, yang merupakan saudara sepupu kepada Awang, kini dirawat di HUSM kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan muka. - Bernama

Ganggu isteri orang: 2 cedera dibelasah


KUALA LUMPUR – Akibat sering menganggu isteri orang, dua dari enam lelaki warga asing teruk dibelasah sekumpulan penduduk tempatan di Taman Wangsa Permai, Kepong dalam satu kejadian malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata, dua warga asing itu kini sedang dirawat di hospital dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kejadian itu bermula kira-kira pukul 7 malam semalam apabila suami kepada mangsa yang sering diganggu itu bertemu dengan kumpulan warga asing tersebut untuk berbincang di sebuah taman permainan di taman perumahan itu.
"Warga asing itu datang bersama lima lagi kawannya menyebabkan suami pengadu memanggil rakan-rakannya yang merupakan penduduk taman tersebut,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Rosly berkata, semasa pertemuan itu, berlaku sedikit kekecohan menyebabkan warga asing itu ditangkap oleh penduduk taman perumahan itu, manakala lima rakannya yang lain melarikan diri termasuk seorang daripada mereka bersembunyi di kedai makan berhampiran.
Penduduk tempatan yang mengejar kumpulan itu telah menahan seorang daripada mereka yang bersembunyi di kedai makan itu dan menyerahkan kepada pihak polis, katanya. – Bernama

Pemandu van tadika bawa dadah


KLANG: Polis menahan seorang pemandu van kanak-kanak tadika dan merampas 110 paket dadah disyaki heroin, di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop, berkata lelaki berumur 28 tahun itu ditahan semasa sedang menunggu kanak-kanak pulang dari tadika pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata, dadah seberat kira-kira 172.2 gram itu ditemui di bahagian tempat letak kaki pemandu dan polis percaya lelaki berkenaan berselindung di sebalik pekerjaan sebagai pemandu van untuk mengedar dadah di pasaran tempatan.

"Harga satu paket kecil dadah itu di pasaran ialah kira-kira RM80 dan nilai kesemua dadah yang dirampas kira-kira RM12,000.

Suspek yang bergerak secara bersendirian dipercayai mendapat bekalan dadah daripada negara luar," katanya dalam satu persidangan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing menunjukkan bahawa suspek yang juga anggota Rela itu positif dadah.


Dia ditahan reman sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan. - Bernama

Dua lelaki ditahan 24 jam selepas samun


KAJANG: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun di sebuah rumah di Desa Kiambang, Sungai Chua di sini, tidak sampai 24 jam selepas kejadian, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata suspek yang masing masing berumur 36 dan 46 tahun itu ditahan di kawasan Food Court Taman Jasmin, Nilai kira-kira pukul 7 petang.

Menurutnya polis menahan kedua-dua suspek berdasarkan maklumat penghuni rumah yang disamun, yang merupakan seorang warga emas berumur 72 tahun, dan kedua-dua suspek ditahan ketika menaiki sebuah kereta Honda CRV dipercayai kereta curi yang ditukar nombor pendaftarannya.

"Polis turut merampas sebilah parang dan pisau yang ditemui dalam kereta itu," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, hari ini.

Merujuk kepada kejadian samun itu, Ab Rashid berkata kejadian berlaku semasa warga emas berkenaan sedang membuka pintu pagar rumahnya apabila tiba-tiba dia didatang dua suspek menaiki motosikal, dan seorang daripada suspek terus mengacu gunting kearahnya.

Rasuah Polis: Warga Emas Dihukum Penjara Sehari



MELAKA: Seorang lelaki warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memberi rasuah kepada seorang anggota polis bagi mengelakkan dia ditangkap kerana terlibat dengan kegiatan loteri haram.
Lim Hoak Chee, 60, mengaku salah memberi suapan RM5,000 kepada Sarjan Wong Soon Meng di sebuah kedai makan di Masjid Tanah dekat sini, pada 7.15 malam, 19 Mei tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan atau mana yang lebih tinggi.
Hakim Ahmad Sazali Omar berkata hukuman itu mengambil kira usia tertuduh dan diharap menjadi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Lim diwakili peguam Tiu Leong Kim manakala pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Melaka Mohd Saad Shukor.-BERNAMA

Cari ibu hilang dari rumah




AYER KEROH - Seorang anak sukar melelapkan mata sejak menyedari ibu yang tinggal bersamanya menghilangkan diri secara tiba-tiba dari rumah di Kampung Jus, Selandar, Jasin, tanpa sebarang khabar berita.

Lebih membimbangkan anak terbabit, Mohd Ariff Hanafiah, 47, apabila ibunya Asmah Shawal, 83, dikatakan sudah terlalu berusia dan kini sering mengalami masalah lupa ingatan.

Mohd Ariff yang juga anak kelima daripada tujuh adik beradik berkata, dia mula menyedari tentang kehilangan ibunya ketika keluar bekerja pada 21 April lalu kira-kira jam 10.30 pagi.

Menurutnya, dia menyedari ibunya sudah tiada di rumah ketika pulang sebentar untuk menghantar makanan untuk ibunya.

“Selepas itu, saya melihat beg pakaian ibu juga sudah tiada.

“Ketika itu, saya sekeluarga tiada di rumah kerana isteri juga bekerja sementara lima anak saya ke sekolah, jadi ibu tinggal seorang diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Ariff berkata, sebelum ini, ibunya pernah beberapa kali meninggalkan rumah tetapi tidak berapa lama kemudian dia berjaya ditemui semula.

Dia berkata, sebelum ini pun, ibunya selalu bertindak begitu tetapi ketika kejadian itu dia berada di rumah adik-beradik yang lain.

“Saya ingatkan setelah membawanya ke rumah saya yang terletak agak jauh dari bandar dia sukar keluar tetapi sangkaan saya meleset.

“Mungkin, disebabkan di rumah saya terletak begitu hampir dengan stesen bas yang menghala ke Batang Melaka, memudahkan ibu menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, ketika ibunya menghilangkan diri, dia akan ke Kedah di rumah lama mereka tetapi kali ini tidak begitu kerana dia dan adik beradiknya sudah pun mencari ibunya di serata tempat sehingga ke Kedah, namun tidak berjumpa,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada awal bulan ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu saya diminta menghubungi saya di talian 019-6687420 atau 019-2248079,” katanya.
SH

34 Mat Rempit lari masuk kem askar ditahan

IPOH: Tindakan nekad 34 remaja menceroboh tiga kem tentera berasingan di Jalan Tambun dekat sini dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan awal pagi semalam, membawa padah apabila ditahan tentera bertugas di kem berkenaan.
Dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 6 pagi itu, kesemua 34 penunggang dan pembonceng berusia 15 hingga 20-an tahun bersama 26 motosikal mereka kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, kejadian berlaku apabila kumpulan remaja terbabit cuba melarikan diri dalam Ops Samseng Jalanan yang dilakukan di beberapa laluan termasuk di Jalan Tambun, bermula kira-kira jam 2.30 pagi.

“Sebaik melihat sekatan polis dan menyedari mereka terkepung, kumpulan remaja itu tiada pilihan selain bertempiaran memasuki tiga kem tentera itu secara berasingan.

“Namun tentera bertugas membuat pemantauan dan menahan mereka sebelum diserahkan kepada polis. Sebaik ditahan, kesemuanya diarahkan menolak motosikal masing-masing sejauh tujuh kilometer ke Balai Polis Jalan Chamberlain, di sini, untuk direkodkan keterangan berhubung kes itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.myMetro

SEBAHAGIAN daripada 86 mat rempit yang ditahan dalam operasi membenteras samseng jalanan di Jalan Tambun menolak motor masing-masing ke Pejabat Penguatkuasa Trafik IPD Ipoh dekat Ipoh awal pagi, semalam. Foto: Ikhwan Munir (15/05/2011)

DNA babi dalam ramuan


PUTRAJAYA: Sebuah syarikat pembekal bahan membuat kek, roti dan pastri gagal mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam bahan ramuan yang digunakan syarikat berkenaan.
Syarikat antarabangsa yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu adalah syarikat pembekal produk makanan, yang antara lain membekalkan ramuan membuat kek, roti dan pastri kepada pelanggannya di negara ini. Menurut Portal Rasmi Halal Malaysia, DNA babi itu ditemui di dalam dua bahan ramuan iaitu Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder. “Permohonan syarikat berkenaan tidak berjaya selepas diputuskan oleh Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang diadakan pada 12 Mei lalu. “Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang menggunakan produk keluaran syarikat berkenaan perlu menukar produk lain yang memiliki sijil halal diiktiraf,” kata portal rasmi itu.

Menurut portal itu lagi, semua pemegang dan pemohon baru SPHM juga perlu mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.
Selain itu, mereka juga perlu melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak yang disahkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Ketua Pengarah Jakim untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan gagal.myMetro

Langgar, pukul, larikan kereta



CEDERA...Chin Yap menunjukkan laporan polis dibuatnya.
CEDERA...Chin Yap menunjukkan laporan polis dibuatnya.


KUALA LUMPUR: Seorang peniaga menerima lapan jahitan di dagu serta patah gigi selepas mendakwa dipukul seorang lelaki di Kawasan Perindustrian Kinrara, Bukit Jalil, dekat sini, sebelum melarikan kereta Toyota Camry miliknya menyebabkan kerugian kira-kira RM145,000, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Lee Chin Yap, 40, keluar dari rumah menuju ke tempat kerja sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah Perodua Myvi menyebabkan mangsa terkejut lalu memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

Menurutnya, dia keluar dari kereta untuk melihat keadaan belakang kenderaannya yang kemek.

“Ketika itu, saya lihat Perodua Myvi itu turut berhenti di tepi jalan sebelum seorang lelaki keluar dan menuju ke arah saya.

“Pada mulanya, saya menyangkakan kejadian ini tidak disengajakan dan menuntut lelaki terbabit membayar ganti rugi.


“Bagaimanapun, lelaki itu memberitahu ia hanya perkara kecil dan tidak perlu diperbesarkan,” katanya.

Katanya, penjelasan lelaki terbabit sukar diterimanya menyebabkan dia sekali lagi meminta bayaran ganti rugi.

“Namun, dia tetap tidak mahu membayar, sebaliknya seorang lagi rakannya keluar dari kereta dan menuju ke arah saya sebelum terus menolak menyebabkan saya terjatuh.

“Belum sempat saya bangun, lelaki terbabit menendang muka saya menyebabkan dagu cedera dan gigi patah,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit terus memaki hamun mengatakan perkara sekecil itu pun mahu diperbesarkan sedangkan kereta itu hanya mengalami kerosakan kecil.


“Ketika itu saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana terbaring menahan kesakitan sambil melihat rakan lelaki itu masuk dalam kereta saya dan terus memecut laju melarikan kereta berkenaan.


“Lelaki yang memukul saya kemudian beradar dengan Perodua Myvi itu sebelum terus beredar meninggalkan saya di tepi jalan,” katanya.


Katanya, mujur ketika kejadian, sebuah lori melalui kawasan berkenaan dan membantu membawanya ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.


“Selepas menerima rawatan, saya kemudian membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Sungai Besi.


“Saya kerugian kira-kira RM145,000 selepas kereta bersama barangan berharga dilarikan suspek,” katanya.
myMetro

3,000 janin bayi perempuan digugur secara haram

TAIPEI: Kira-kira 3,000 bayi perempuan dianggap ‘hilang’ dari populasi Taiwan tahun lalu akibat pengguguran yang dilakukan kerana ibu bapa mengutamakan anak lelaki.
Ketua Pengarah Biro Penggalakkan Kesihatan, Chiou Shu-ti berkata, amalan seumpama itu menyebabkan berlaku jurang yang luas antara jumlah penduduk lelaki dan wanita.

Bulan lalu, biro itu melancarkan siasatan selepas mendapati 10 daripada 11 bayi yang dilahirkan di sebuah klinik di Taipei terdiri daripada anak lelaki.

Pada masa sama, sembilan daripada setiap 10 bayi di lahirkan di Hospital Taipei City pada tempoh yang sama juga lelaki. Pegawai mengesyaki doktor di kedua-dua institusi perubatan itu menggalakkan pengguguran secara haram selepas menjalankan ujian yang membolehkan bakal ibu bapa mengesahkan jantina kandungan mereka. - APmyMetro

Serang polis ketika dipujuk

JOHOR BAHRU: Bukan setakat menetak anak saudaranya di kepala, seorang bapa yang juga pemandu teksi tergamak membawa tiga anak menyamun menggunakan parang di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Permas Jaya, tengah hari kelmarin.
Tindakan itu bukan saja dipercayai bagi mengajar anaknya mendapatkan wang dengan cara mudah, malah disyaki bagi membolehkannya menjadikan tiga anak lelakinya, masing-masing berusia 15, 14 dan lapan tahun sebagai perisai apabila berdepan tindakan polis.

Terdahulu pada jam 9 malam Jumaat lalu, lelaki itu menetak kepala anak saudaranya hingga mendapatkan empat jahitan berikutan pertengkaran di rumah suspek di Bandar Baru Permas Jaya.

Ekoran kejadian berkenaan, mangsa membuat laporan di balai polis pada kira-kira jam 12.05 tengah hari kelmarin, sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob (gambar) berkata, apabila pasukan berkenaan tiba di rumah suspek, didapati suspek dan lima anak serta isterinya menaiki teksi.


Melihat keadaan itu, katanya, pasukan berkenaan mengekori suspek sebelum lelaki berkenaan singgah di stesen minyak di taman perumahan itu sambil melibas cermin tingkap kenderaan lain yang terbuka menggunakan parang. “Ketika itu, kami dapati suspek bersama tiga anaknya masing-masing bersenjatakan parang memasuki kaunter stesen berkenaan dengan salah seorang daripada anaknya itu mengawal di luar premis.

“Suspek berusia 49 tahun serta dua anak lelaki masing-masing berusia 15 dan 14 tahun sempat menyamun empat bungkus rokok serta coklat, manakala anaknya berusia lapan tahun yang turut bersenjatakan parang menunggu di bahagian luar kedai, manakala dua anak perempuannya bersama isterinya menunggu di dalam teksi,” katanya.

Menurutnya, anggota polis cuba memujuk suspek untuk menyerah diri tetapi tidak diendahkan, malah mereka diserang semua suspek menggunakan senjata masing-masing.

“Melihat anggota polis tidak mendekati mereka, semua suspek memasuki kenderaan sebelum meneruskan perjalanan sambil diekori polis.

“Kami akhirnya menahan keluarga berkenaan di Jalan Pasir Pelangi kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian pada jam 2.03 petang, selepas memberhentikan teksi dinaiki sambil memujuk mereka menyerah diri kerana tidak mahu mencederakan sesiapa.


Menurutnya, siasatan mendapati dua anak suspek berusia lapan hingga 15 tahun yang terbabit dalam kejadian itu masih bersekolah di kawasan berhampiran.


Katanya, selain itu, siasatan mendapati keluarga berkenaan mempunyai seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan lapan bulan yang berada di dalam teksi bersama ibu mereka ketika kejadian.


“Pemeriksaan terhadap kereta membawa kepada penemuan enam parang, pisau pemotong sayur dan sebatang cota,” katanya.
myMetro

30 belasah Awang Hitam samseng

KUALA LUMPUR: Bukan saja biadab, empat Awang Hitam yang mengganggu isteri orang turut mengugut mahu membelasah suami mangsa yang datang bertanyakan suspek mengenai tindakan warga asing berkenaan yang bertindak luar batasan.
Kejadian bermula kira-kira jam 7 malam semalam apabila suri rumah membawa anak-anaknya bermain di taman permainan di Jalan 3/7, Taman Wangsa Permai, Kepong diganggu empat warga asing terbabit yang cuba menggoda mangsa selain mengeluarkan kata-kata lucah.

Wanita terbabit yang ketakutan pulang bersama anak-anaknya sebelum menceritakan kejadian kepada suaminya.

Harian Metro difahamkan, suami mangsa yang tidak tahan dengan tindakan empat suspek itu pergi ke taman permainan berkenaan untuk berbincang dengan suspek yang cuba mengganggu isterinya.

Difahamkan, sebaik tiba di taman permainan itu, kumpulan warga asing terbabit mengugut mangsa mahu membelasahnya menyebabkan penduduk di kawasan terbabit yang sudah muak dengan kekecohan Awang Hitam yang mendiami kawasan berkenaan keluar beramai-ramai.


Apabila melihat kehadiran penduduk setempat yang ramai, kumpulan warga asing terbabit semakin kurang ajar dengan mencabar penduduk bertumbuk dengan mereka.

Difahamkan, penduduk yang marah menghalau kumpulan berkenaan beredar dari kawasan itu, bagaimanapun semua suspek enggan menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

Akibat pergelutan itu, kira-kira 30 penduduk yang berang dengan tindakan biadap warga asing berkenaan membelasah suspek hingga lembik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, polis yang mendapat maklumat menghantar unit kereta peronda ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, polis menemui empat warga Afrika di situ dalam keadaan lemah selepas bergaduh dengan penduduk setempat.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat.


“Kami juga meletakkan anggota polis di kawasan itu bagi mengelak kejadian itu berulang,” katanya.
myMetro

Cicak tokek punca Nazarudin diculik?


KUALA LUMPUR 15 Mei – Penculikan seorang ahli perniagaan Malaysia di Pulau Jolo, selatan Filipina minggu lalu dipercayai berpunca daripada keinginan mangsa untuk mencari tiga ekor cicak tokek yang kononnya dipelihara di sebuah perkampungan di pulau itu.

Mangsa, Nazarudin Saidin, 38, yang baru beberapa bulan berjinak-jinak dalam perniagaan cicak tokek dikatakan sanggup mengeluarkan wang perbelanjaan sebanyak RM4,500 untuk pergi ke Filipina menemui pemilik cicak itu yang dikenali sebagai Ghafar.
Perkara itu didedahkan oleh rakan mangsa, dikenali sebagai Ali yang mendakwa, Nazarudin dipercayai terpedaya dengan pelawaan Ghafar untuk pergi ke Filipina dan melihat koleksi cicak tokek milik lelaki terbabit untuk dijual.
Ali mendakwa, mereka dan beberapa lagi rakan pada mulanya melabur dalam perniagaan itu bersama seorang lagi kenalan dari Filipina yang dikenali sebagai Dr. Rodi, namun kerana kesempitan duit, Ghafar dilihat begitu berminat untuk membantu.
“Menurut Ghafar, dia mempunyai tiga ekor cicak tokek yang disimpan di rumah ibu mertuanya di Zamboanga dan atas galakan Dr. Rodi, kami mahu melihat sendiri haiwan itu.
“Bagaimanapun, Ghafar kemudian datang sendiri ke Kuala Lumpur memberitahu, cicak itu tiada di Zamboanga sebaliknya disimpan di sebuah perkampungan di Pulau Jolo dan saya bersama Dr. Rodi merasakan ada sesuatu yang tidak kena lantas mahu membatalkan hasrat itu,” kata Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun, dakwa Ali, Nazarudin tetap mahu ke sana dan berlepas pada 27 April lalu setelah menyediakan perbelanjaan sebanyak RM4,500 kerana mahu melihat sendiri koleksi cicak tokek milik Ghafar.
“Dia kemudian menghubungi saya beberapa hari kemudian dan memberitahu tidak melihat cicak itu lagi kerana ia berada di atas gunung di Pulau Jolo.
“Malangnya, pada 8 Mei lalu, Dr. Rodi menghubungi saya dan memberitahu, Nazarudin diculik dan ketika itu barulah kami tahu bahawa semua ini berkemungkinan perangkap Ghafar,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Ali mendakwa, dia diminta menyediakan 80 juta Peso (RM5.6 juta) untuk membebaskan Nazarudin ketika menghubungi penculik itu.
“Mereka meminta 5 juta Peso (RM348,317) sebagai duit pendahuluan dan disediakan beberapa hari ini jika tidak mahu melihat nyawa kawan saya itu terancam.
“Jumlah itu terlalu besar untuk disediakan keluarga Nazarudin mahupun kami kawan-kawannya. Apa yang kami pinta, penculik itu menangguhkan waktu serta bantuan dari kerajaan Malaysia untuk membebaskan dia,” katanya.

Saya buntu - Isteri mangsa



KUALA LUMPUR 15 Mei - Isteri kepada ahli perniagaan yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan Filipina minggu lalu, Mazlina Mohamad, 38, mengaku dia kini buntu serta hilang arah bagi mencari jalan untuk membebaskan suaminya.
Meskipun pihak berkuasa Malaysia dan Filipina kini berusaha membebaskan suaminya, Nazarudin Saidin, dia berkata, adalah mustahil untuknya mengumpul wang tebusan berjumlah 80 juta Peso (RM5.6 juta) seperti yang dituntut kumpulan penculik berkenaan.
"Saya buntu dan tidak tahu untuk lakukan apa lagi. Sekarang saya cuma bergantung harap pada pihak berkuasa dan menunggu apa tindakan mereka.
"Saya amat berharap pihak berkuasa melakukan apa sahaja cara untuk membebaskan suami kerana kami sekeluarga amat memerlukan dia dan kami tidak berupaya untuk melakukan itu semua," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Nazarudin, 38, bapa kepada enam orang anak diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika berada di selatan Filipina pada 8 Mei lalu bagi menguruskan perniagaan berkaitan cicak tokek di negara tersebut.
Kumpulan penculik itu dikatakan meminta wang tebusan pendahuluan berjumlah 5 juta Peso (RM348,317) yang perlu dijelaskan selewat-lewatnya esok.
Polis Diraja Malaysia semalam mengesahkan pihaknya kini sedang berunding dengan pihak berkuasa Filipina untuk membebaskan ahli perniagaan tersebut.
Menurut Mazlina, hatinya dilanda kebimbangan apabila diberitahu bahawa Wisma Putra tidak menyediakan sebarang dana bagi membebaskan orang tebusan yang diculik sebegitu.
"Tetapi ada seorang wanita yang menawarkan bantuan untuk berjumpa 'orang kuat' Kementerian Dalam Negeri dikenali sebagai 'Encik Din' yang boleh membincangkan mengenai harga pembebasan suami. Bagaimanapun, saya belum membuat keputusan lagi," ujarnya.
Mazlina hari ini turut membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai berhubung penculikan suaminya itu.

Rumah pusaka musnah kebakaran



RUMAH milik Zulkifli Mamat musnah akibat kebakaran di Kampung Gong Halt, Kuala Krau, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 15 Mei - Sebuah keluarga di Kampung Gong Halt, Kuala Krau dekat sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka yang didiami mereka musnah dalam kebakaran, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuninya keluar berkerja.
Mangsa, Zulkifli Mamat, 52, berkata, kebakaran itu berlaku ketika dia berada di kebun.
"Saya hanya tahu mengenai kejadian sebaik sahaja pulang ke rumah bersama adik.
"Namun, saya bersyukur kerana semua anak-anak saudara yang masih kecil selamat kerana mereka tiada di rumah ketika kejadian," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, dia mengalami kerugian besar kerana empat motosikal, barangan elektrik dan wang tunai turut hangus, kecuali kereta miliknya sempat diselamatkan oleh jiran.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said melawat keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Bumbung rumah terbang tiga beranak nyaris cedera




Che Harun Hussin (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Sabri Along di Kampung Senangit, RPS Kemar di Gerik, kelmarin.


GERIK 15 Mei - Sekeluarga tiga beranak nyaris cedera apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin di Kampung Senangit, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di sini semalam.
Mangsa, Sabri Along, 26, berkata, semasa kejadian pukul 3 petang itu, dia bersama isteri serta seorang anaknya sedang berehat di ruang tamu.
"Kejadian itu berlaku sekelip mata dan sedar-sedar sahaja, angin bertiup kencang dan menerbangkan keseluruhan bumbung rumah beratap zink.
"Mujurlah kami sempat menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini.
Selain kediaman Sabri, sebuah rumah di Kampung Leudaw yang terletak bersebelahan perkampungan tersebut, turut rosak akibat ditimpa sebatang pokok durian.
Kejadian malang yang menimpa Sabri sekeluarga itu mendapat perhatian segera daripada kerajaan negeri dan pemimpin masyarakat setempat yang melawat ke lokasi kejadian.
Ketua Zon UMNO RPS Kemar dan Banun, Che Harun Hussin telah menyerahkan sumbangan awal sejumlah wang tunai bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit untuk menggantikan atap rumah tersebut.
Beliau menambah, bantuan itu sebagai tanda prihatin kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir terhadap masyarakat Orang Asli di sini.
Katanya, Menteri Besar dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Datuk Shaarani Mohamed serta wakil rakyat kawasan ini, Datuk Hasbullah Osman tidak pernah mengabaikan masalah penduduk walaupun perkampungan itu terletak jauh di pedalaman.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan UMNO RPS Kemar, Aziz Asuh berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghulurkan bantuan kepada penduduk terlibat.
"Rata-rata penduduk berpendapatan rendah bersyukur kerana setiap kejadian mendapat perhatian Ketua Zon RPS dan Kemar.
"Apa yang pasti, kewujudan sebuah pencawang telekomunikasi di penempatan Orang Asli sejak beberapa bulan lalu, membantu mereka berhubung dengan pihak luar apabila berlaku sesuatu kejadian buruk," katanya.

Penoreh edar dadah dihukum gantung



ALOR SETAR 15 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah kerana mengedar 381 gram dadah jenis kanabis empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Nasarudin Mohd. Nopiah, 44, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dan disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Tertuduh yang berkemeja T putih dan berseluar biru dilihat tenang menerima keputusan itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati mandatori.
Menurut pertuduhan, Nasarudin didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 381 gram di hadapan sebuah kedai bunga di Taman Wira Mergong di sini pada pukul 5.45 petang 14 Januari 2007.
Hakim dalam prosidingnya memberitahu, keterangan pembelaan tertuduh merupakan satu penafian semata-mata.
Katanya, tertuduh ketika ditangkap membawa plastik hijau berisi dadah itu dan tertuduh memang terlibat dengan jual beli dan pengedaran dadah.
"Tertuduh ada berbincang dengan salah seorang saksi pendakwaan iaitu polis yang menyamar sebagai pembeli untuk memproses jual beli dadah pada 13 Januari 2007 dan serahan akan dibuat pada 14 Januari," katanya.
Peguam tertuduh, Sharif Mat dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan tujuh anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu bapa yang sakit.
Katanya, ia juga adalah kesalahan pertama dan tertuduh sudah insaf serta berjanji tidak mahu mengulangi kesalahan sama.
Norhayati memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana dadah adalah antara musuh utama negara.
Katanya, pengedaran dadah bukan berlaku secara biasa tetapi wujud transaksi melalui penyamaran yang dibuat oleh polis.
"Keperibadian tertuduh hanya boleh diambil sedikit berbanding implikasi akibat dan kemudaratan yang besar kepada masyarakat berikutan pengambilan dadah itu," katanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta bakal pembeli itu berjumpa di sebuah medan selera di Mergong dan kemudian meminta mengikutnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke kawasan perniagaan di Taman Wira.
Sejurus tiba di situ, sepasukan polis membuat serbuan dan tertuduh melarikan diri sehingga terjatuh ke dalam longkang.
Ketika ditarik dari longkang, sebungkus plastik hijau berisi dadah jenis kanabis masih terlilit pada tangan kanan tertuduh.

9 imam maut serangan NATO



Penduduk Libya mengadakan sembahyang jenazah ke atas beberapa penduduk negara itu yang terbunuh dalam serangan udara NATO di Tripoli, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 15 Mei - Beratus-ratus penduduk semalam menghadiri pengebumian jenazah sembilan orang imam yang didakwa oleh kerajaan Libya terbunuh dalam serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO.
NATO, bagaimanapun berkata, bangunan yang dibedilnya kelmarin ialah sebuah pusat pemerintahan dan kawalan tentera rejim Muammar Gaddafi.
Sembilan imam itu adalah antara 11 orang yang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah tetamu di bandar Brega, timur negara ini kelmarin, kata kerajaan.
"Semoga Tuhan mengalahkan tentera NATO di darat, laut dan udara," teriak kira-kira 500 orang yang menghadiri pengebumian itu di sebuah tanah perkuburan dekat pelabuhan Tripoli, semalam.
Mereka menyifatkan kempen serangan NATO sebagai 'penghinaan demi penghinaan' terhadap yang hidup dan yang sudah mati.
NATO dalam kenyataannya mempertahankan tindakannya itu.
Stesen televisyen kerajaan Libya kelmarin menyiarkan rakaman suara Gaddafi dipercayai bertujuan menyangkal spekulasi mengenai keadaan kesihatannya ekoran dakwaan Menteri Luar Itali bahawa beliau mungkin cedera dalam satu serangan NATO dan telah meninggalkan Tripoli.
"Saya ingin memberitahu tentera salib (NATO) yang pengecut, saya berada di tempat yang tidak mungkin mereka temui dan kamu tidak akan dapat membunuh saya," kata lelaki yang kedengaran seperti Gaddafi dalam rakaman audio itu. - Reuters

Lelaki ditahan kes letupan di Seoul



SEOUL 15 Mei - Polis Korea Selatan menahan seorang lelaki yang dikatakan suspek di sebalik beberapa kejadian kebakaran dan letupan di ibu negara ini pada minggu lalu.
Suspek turut dikatakan mahu mendapatkan keuntungan dengan menganggu pasaran saham.
Dua kebakaran kecil berlaku pada Khamis lalu di pusat pengangkutan Seoul dan polis percaya insiden itu disebabkan bahan letupan yang diperbuat daripada serbuk mercun serta tin gas butana yang diletakkan di dalam sebuah lokar.
Menurut polis, mereka telah menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai cuba membuat letupan itu agar harga pasaran saham jatuh menjunam dan mendapatkan keuntungan daripada pelaburannya. - Agensi

Polis Thai edar poster 112 pembunuh upahan



Pracha (tengah) menggunakan kerusi roda selepas mengadakan sidang media di sebuah hospital di Bangkok pada 12 Mei lalu, dua hari selepas beliau cedera ditembak di pinggir Bangkok dalam serangan yang didakwa kerajaan bermotifkan politik. - AFP


BANGKOK 15 Mei - Polis Thailand mengedarkan poster wajah 112 pembunuh upahan di seluruh negara sebagai sebahagian persiapan menghadapi pilihan raya umum pada 3 Julai ini.
Polis menawarkan hadiah wang tunai berjumlah 100,000 baht (RM9,999) kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan pembunuh dikehendaki itu, lapor akhbar Bangkok Post, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Panupong Singhara Na Ayuthaya berkata, senarai itu dikeluarkan sebagai langkah proaktif untuk mencegah percubaan membunuh oleh ahli-ahli politik yang bermusuhan semasa kempen pilihan raya.
Selasa lalu, ahli parti pembangkang Puea Thai, Pracha Prasopdee cedera ditembak oleh kumpulan bersenjata yang tidak dikenali ketika sedang memandu kereta.
Pracha mendakwa serangan itu bermotif politik.
Pilihan raya umum dijangka menyaksikan pertarungan sengit antara Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dengan Puea Thai yang dianggotai sekutu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Thaksin yang melarikan ke luar negara untuk mengelakkan hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dijangka memilih saudara perempuannya, Yingluck sebagai calon parti Puea Thai untuk menjadi Perdana Menteri akan datang. - dpa

10 remaja 'merempit' dengan basikal ditahan



SHAH ALAM 15 Mei - Operasi Lumba Haram yang dijalankan oleh polis trafik biasanya akan memberkas penunggang motosikal yang berlumba di jalan raya.
Tetapi lain pula ceritanya dalam operasi sama yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor awal pagi ini apabila 10 remaja berbasikal turut ditahan kerana berpeleseran di jalan raya.
Kesemua remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun itu ditahan oleh pasukan trafik ketika sedang 'merempit' dengan basikal masing-masing di Jalan Persiaran Masjid, Seksyen 10 di sini kira-kira pukul 2 pagi.
Kumpulan itu sanggup berbasikal selama tiga jam dari Sijangkang, Banting ke Shah Alam semata-mata untuk berpeleseran dan ada di antara mereka yang keluar tanpa pengetahuan ibu bapa serta memiliki rokok.
Penguat Kuasa Trafik IPK Selangor, Asisten Supritendan Hambazi Abd. Rahman berkata, kesemua remaja itu ditahan kerana berpeleseran dan menunggang basikal dari Sijangkang ke Shah Alam tanpa lampu yang boleh membahayakan nyawa mereka.
Beliau berkata, kesemua mereka kemudian dibawa ke balai polis dan diberi nasihat agar tidak mengulangi kesalahan sama.
"Polis kemudian menghubungi ibu bapa mereka untuk memaklumkan penahanan tersebut. Kita juga minta ibu bapa remaja terbabit datang ke balai dan membawa mereka semua pulang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Hambazi, operasi yang turut memburu samseng jalanan itu merupakan rutin biasa bagi membanteras aktiviti jenayah dan kesalahan lalu lintas yang disertai kira-kira 20 anggota trafik dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tambahnya, sepanjang operasi hampir tiga jam yang bermula pukul 1.30 pagi itu, sebanyak 131 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebanyak 21 motosikal dan tiga buah kereta disita atas kesalahan antaranya tiada perlindungan insurans dan cukai jalan serta pemandunya tiada lesen memandu.
Katanya, pihaknya akan terus menjalankan operasi yang sama dengan lebih kerap bagi mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.

Anak ahli perniagaan dipenjara kerana rasuah



WALAUPUN segala bentuk kempen dan program telah diadakan bagi membanteras gejala sosial di kalangan remaja seperti lumba haram dan samseng jalanan, namun permasalahan itu dilihat begitu sukar untuk ditangani seratus peratus.
Amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap golongan remaja supaya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram atau mat rempit ibarat 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.'
Kesudahannya, pihak berkuasa terpaksa menguatkuasakan undang-undang terhadap ibu bapa pula.
Apa yang membimbangkan, kegiatan seperti penyalahgunaan dadah, parti seks bebas, arak dan pelacuran wujud bersama dalam kumpulan samseng jalanan yang menyebabkan isu itu semakin serius.
Fail Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini memaparkan kisah seorang pemuda yang bukan sahaja terjebak dalam kegiatan samseng jalanan, malah dia ditangkap kerana cuba memberi suapan kepada penguat kuasa.
Pada sambutan Hari Kekasih tahun lalu, Zaki (bukan nama sebenar), 20, bersama teman wanitanya mengajak rakan-rakan bermotosikal yang lain untuk berhibur di sebuah kelab malam di ibu negara.
Dalam keseronokan menyambut Hari Kekasih itu, Zaki dan rakan-rakan lelakinya menghisap dadah jenis syabu sambil minum arak.
Dia yang merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mampu berbelanja mewah dan kemudiannya mahu mengadakan parti liar di sebuah hotel.
Selepas penat berhibur, Zaki dan rakan-rakannya bergerak menuju ke sebuah hotel untuk parti liar itu, bagaimanapun perjalanan mereka terhalang ketika menempuh operasi sekatan jalan raya yang diadakan pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan bersama SPRM.
Zaki dan rakan-rakannya diarahkan menjalani ujian air kencing untuk pemeriksaan. Cemas dengan situasi itu, Zaki cuba memberi alasan mahu menghubungi bapanya terlebih dahulu.
Bagaimanapun alasan itu tidak diterima seorang anggota polis yang menahannya. Zaki kemudiannya mengeluarkan wang sebanyak RM1,000 dan cuba menghulurkannya kepada anggota berkenaan. Kejadian itu diperhatikan oleh seorang pegawai SPRM.
Pegawai SPRM berkenaan bertindak pantas melaporkan kepada pihak berkuasa sebelum menahan Zaki kerana cuba memberi rasuah kepada penjawat awam.
Zaki disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara dua tahun dan denda sebanyak RM10,000 selepas mengaku bersalah. Zaki yang sepatutnya melanjutkan pengajiannya, bagaimanapun terpaksa meringkuk di penjara. Ibu bapa Zaki berasa amat malu tambahan pula bapanya seorang tokoh korporat yang terkenal.
Itulah kesannya apabila wang dan kedudukan dianggap mampu menguasai segala-galanya. Sebaliknya, bukan pemberi rasuah sahaja yang menerima padah, malah keluarganya turut menerima tempias akibat perbuatan terkutuk itu.

Cubaan seludup 592kg gula pasir gagal



TAWAU 15 Mei — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau merampas 592 kilogram (kg) gula pasir cuba diseludup keluar menggunakan bot jongkong dan feri penumpang dari Tawau dalam dua operasi.
Ketua Penguat kuasa Maritim Malaysia Tawau, Komander Maritim Amran Daud berkata daripada jumlah itu, 442 kg dirampas dari sebuah feri yang dalam perjalanan dari sini ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik, pada Jumaat.
Katanya, sebanyak 150 kg lagi dirampas dari sebuah bot jongkong yang juga dalam perjalanan dari sini ke Sungai Melayu kira-kira pukul 3 petang semalam.
"Dalam operasi kedua itu, Maritim Malaysia turut merampas 140 liter petrol dan 93 kg minyak masak.
"Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat," katanya. — BERNAMA

34 mat rempit ditangkap




IBRAHIM Abu Bakar (kanan) memberikan kata-kata nasihat kepada sebahagian yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Ipoh, semalam.


IPOH 15 Mei - Sekumpulan mat rempit yang ingin melarikan diri daripada ditangkap pihak berkuasa memilih 'tempat' yang salah untuk berlindung iaitu tiga buah kem tentera di Jalan Tambun, di sini awal pagi ini.
Akibatnya, mereka yang terdiri daripada 34 remaja yang menaiki 26 buah motosikal ditangkap oleh anggota tentera yang bertugas di kem-kem itu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Operasi 'Ops Samseng Jalanan' yang dijalankan pihak berkuasa itu bermula pukul 2.30 pagi hingga 6 pagi dengan mengadakan beberapa sekatan jalan raya di Jalan Sultan Abdul Aziz dan Jalan Sultan Idris Shah bagi membanteras kegiatan mat rempit.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, remaja terbabit dipercayai tidak mempunyai pilihan selain memasuki tiga kem tentera tersebut kerana laluan berdekatan susur masuk ke lebuh raya telah dikepung pihak berkuasa.
Katanya, kesemua remaja yang ditahan kemudian diarah menolak motosikal masing-masing sejauh tujuh kilometer ke Balai Polis Jalan Chamberlain untuk diambil keterangan.
"Selain mereka, seramai 52 penunggang dan pembonceng motosikal berusia antara 15 hingga 25 tahun bersama 48 motosikal turut ditahan dalam operasi awal pagi ini," katanya pada sidang akhbar di sini.
Ibrahim berkata, pihak polis mengeluarkan 80 saman ke atas penunggang motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Operasi dijalankan dengan kerjasama polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Pasukan Polis Simpanan itu turut menahan empat buah kereta yang dipercayai membantu gerombolan remaja bermotosikal terbabit.

4 ditahan adakan perhimpunan bantahan




DUA daripada empat individu yang ditahan menaiki trak polis di hadapan pejabat DAP, Jalan Beserah, Kuantan, semalam.


KUANTAN 15 Mei - Empat individu yang mengadakan perhimpunan bantahan berhubung isu pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng, ditahan polis di hadapan pejabat DAP, Jalan Beserah, di sini.
Mereka ialah Setiausaha Eksekutif DAP Pahang, Chow Yu Hui; Setiausaha Organisasi DAP Kuantan, Lee Chin Chen; Pegawai Alam Sekitar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Thing Siew Shuen dan wartawan akhbar Roket milik DAP, Khor Hui Ying.
Kesemua mereka ditahan setelah berbaring di atas jalan raya dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.
Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 4.30 petang ini selepas diambil keterangan.
Turut kelihatan pada perhimpunan itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Choong Siew Onn dan ADUN Triang, Leong Ngah Ngah.
Perhimpunan itu yang bermula pukul 11 pagi menimbulkan sedikit kekecohan namun dapat dikawal oleh anggota polis yang berada di kawasan tersebut sejak pukul 9 pagi.
Bagaimanapun, demonstrasi yang diadakan selama 10 minit dan disertai seramai 150 orang itu bersurai apabila mereka didapati tidak memohon permit untuk berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, polis meminta mereka berundur namun kumpulan itu enggan berbuat demikian.
"Perhimpunan itu telah menyebabkan kesesakan dan mengundang kemarahan pengguna jalan raya," katanya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani sebelum ini memberi amaran akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekecohan berhubung bantahan terhadap pembinaan pusat itu.

Dadah: Lelaki Uganda ditahan


ALOR SETAR 15 Mei - Seorang lelaki warga Uganda ditahan bersama dadah jenis heroin dan ganja bernilai RM353,000 yang disorok dalam dua buah beg berhampiran stesen minyak di Tanah Merah, Jitra, dekat sini malam tadi.

Suspek yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah ditahan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan operasi di situ selepas mendapat maklumat awam pada pukul 11.55 malam.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, melihat gelagat warga asing itu dalam keadaan mencurigakan, polis menghampirinya dan memperkenalkan diri untuk melakukan pemeriksaan tetapi suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.
Kata beliau, polis menemui 15 ketulan mampat daun kering dibalut dengan plastik lutsinar disyaki ganja seberat 15 kilogram dalam salah sebuah beg suspek berusia 34 tahun itu.
"Pemeriksaan ke atas beg yang digalas pula menemui 43 pelet plastik lutsinar disyaki dadah heroin gred tinggi.
"Kita menganggarkan nilai ganja yang dibawa suspek adalah RM53,000 manakala heroin pula bernilai RM300,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Pemuda mirip suspek simbah asid buat laporan polis


KUALA LUMPUR 15 Mei - Polis telah menemui seorang lelaki yang wajahnya mirip lakaran gambar suspek siri serangan asid terhadap wanita di sekitar Lembah Klang apabila seorang pemuda secara rela menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Bagaimanapun, kes itu belum berakhir kerana lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa dia bukanlah penjenayah itu meskipun wajahnya mirip lakaran suspek yang disiarkan dalam kebanyakan media massa serta laman sosial Facebook kebelakangan ini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, pemuda terbabit melakukan demikian kerana bimbang dirinya dituduh sebagai penjenayah yang dikehendaki polis.
Katanya, lelaki itu membuat laporan di IPD Petaling Jaya semalam, selepas melihat lakaran gambar suspek kes simbah asid yang disiarkan media massa seiras wajahnya.
"Difahamkan, pemuda itu membuat laporan setelah dinasihati abangnya yang terlihat lakaran seolah wajah adiknya di dalam akhbar.
"Dia juga bimbang dituduh sebagai penjenayah yang terlibat dalam siri menyimbah asid terhadap wanita di sekitar Lembah Klang itu," katanya di sini hari ini.
Tambah Chin Wah, hasil semakan polis, pemuda itu dilepaskan setelah dia didapati tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah.
"Meskipun wajah lelaki itu mirip dengan lakaran suspek yang dicari, polis mendapati dia tidak terlibat dalam jenayah tersebut.
"Bagaimanapun, keterangan yang diambil dari pemuda itu mungkin dapat membantu siasatan pihak polis," katanya.
Sejak kelmarin, polis mengedarkan lakaran gambar suspek setelah mengambil maklumat daripada mangsa-mangsa yang terlibat serta saksi di tempat kejadian.
Suspek dikesan menunggang motosikal jenis Honda EX5 setiap kali melakukan serangan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

4 lanun Somalia dibunuh tentera laut Denmark


COPENHAGEN 16 Mei - Empat lanun berjaya dibunuh selepas kapal tentera Denmark menyerang kapal lanun di laut Somalia, sekali gus membebaskan 16 tebusan warga Iran, kata tentera laut negara ini semalam.

Tambahnya, 10 lanun turut cedera semasa pertempuran antara kapal perang Denmark, Esbern Snare dengan kapal utama lanun Somalia.
"16 tebusan tidak sabar menemui semula keluarga masing-masing.
"Tiada seorang tebusan dan krew tentera dilaporkan cedera," katanya. - AFP

13 rakyat Palestin ditembak


Tentera Israel serang penunjuk perasaan cuba masuk kawasan Yahudi


MAJDAL SHAMS, Bukit Golan: Tentera Israel menembak mati 13 penunjuk perasaan Palestin yang cuba memasuki kawasan diduduki Yahudi itu dari tiga sempadan berasingan iaitu Syria, Lubnan dan Gaza semalam. 

Insiden berkenaan berlaku pada hari ‘Nakba’ (bencana) iaitu hari penubuhan Israel pada 1948 yang menyebabkan beratus ribu warga Palestin diusir keluar dari negara mereka.i sempadan Lubnan dengan wilayah diduduki Yahudi, 10 warga Palestin ditembak mati apabila ditembak tentera Israel yang menghalang mereka memasuki wilayah berkenaan.
Pasukan keselamatan Lubnan berkata lebih 100 orang cedera dalam insiden berkenaan yang berlaku di Maroun al-Ras. 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau berharap insiden berkenaan tidak akan mencetuskan keganasan yang lebih dahsyat. 

Media Syria melaporkan tentera Israel menembak mati dua orang daripada berpuluh-puluh pelarian Palestin yang cuba memasuki Bukit Golan dari Syria. 

Di Semenanjung Gaza pula, tentera Israel menembak ke arah 82 penunjuk perasaan yang menghampiri pagar yang memisah wilayah dikuasai Hamas itu dengan Israel. 
Dalam satu insiden berasingan, tentera Israel berkata pihaknya menembak mati seorang lelaki yang didakwanya cuba memasang bom berhampiran sempadan. 

Di Tel Aviv, seorang pemandu lori warga Israel berbangsa Arab merempuh kereta dan pejalan kaki, membunuh seorang lelaki dan mencederakan 17 orang. 

Polis masih menyiasat sama ada insiden itu adalah satu kemalangan atau satu serangan. 

Saksi berkata pemandu berkenaan ditahan. 

Di Tebing Barat yang diduduki Israel, remaja Palestin dan tentera Israel bertempur beberapa jam di pusat pemeriksaan yang memisahkan Ramallah, pusat pentadbiran Palestin dan Baitulmaqdis. – Reuters 

Penyeludup petrol dihempap lori




ANGGOTA polis trafik menunjukkan tangki minyak tambahan diubah suai di but kereta Nissan Sunny yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Wang Perah, Jitra, petang kelmarin.
ANGGOTA polis trafik menunjukkan tangki minyak tambahan diubah suai di but kereta Nissan Sunny yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Wang Perah, Jitra, petang kelmarin.

Beban berlebihan sebabkan kereta hilang kawalan

JITRA: Seorang lelaki tidak sempat untuk menyeludup petrol ke negara jiran apabila dia maut selepas kereta yang diubah suai dengan menempatkan dua tangki tambahan bagi membawa lebih banyak bahan api itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah lori di Kampung Wang Perah, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, kereta Nissan Sunny dipandu mangsa berusia 25 tahun itu dikatakan hilang kawalan kerana beban dibawa.
Difahamkan, mangsa sudah beberapa kali melakukan kegiatan itu dipercayai mengisi petrol di beberapa stesen minyak melalui saluran getah untuk disimpan dalam tangki tambahan pada kenderaannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff berkata, setiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dikatakan hilang kawalan akibat membawa muatan minyak petrol berlebihan sebelum terbabas ke laluan bersebelahan dan merempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Katanya, lori terbabit dikatakan datang dari arah Changlun dipercayai dalam perjalanan mengambil bekalan pasir di Bukit Wang, dekat sini.

“Rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbalik serta menghempap kereta mangsa. Pemandu kereta tersepit di tempat duduk dan meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati tangki minyak kereta itu sudah diubah suai bagi membolehkan membawa lebih banyak petrol untuk tujuan penyeludupan. 

Ketua IMF ditahan kes rogol



Dominique Strauss-Kahn
Dominique Strauss-Kahn
Bakal calon pilihan raya presiden Perancis dituduh lakukan serangan seksual

NEW YORK: Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antrabangsa (IMF) dan bakal calon pilihan raya presiden Perancis, Dominique Strauss-Kahn, 62, ditahan pihak berkuasa Amerika atas dakwaan melakukan serangan seksual, termasuk cubaan merogol seorang pekerja hotel di bandar raya ini. 

Jurucakap polis New York, Paul Browne berkata semalam, Strauss-Kahn, dibawa keluar dari pesawat penerbangan Perancis, Air France, beberapa minit sebelum ia berlepas ke Paris dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy kelmarin.
Browne berkata, Strauss-Kahn, tokoh utama yang bertanggungjawab dalam menangani masalah kewangan ketika Eropah dilanda krisis hutang pada 2007 hingga 2009, ditahan secara rasmi kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan, atas dakwaan melakukan jenayah seksual, cubaan merogol dan mengurung orang lain secara salah.
Penganalisis berkata dakwaan ke atas Stauss-Kahn bakal memberi malu besar kepada imej IMF di seluruh dunia, kerana badan itu terbabit dalam pemberian program pinjaman ke atas negara bermasalah dan memainkan peranan dalam mengatasi masalah kewangan Eropah. 

Ia menyusul pengumuman orang nombor dua IMF, John Lipks yang bercadang meletak jawatan Ogos depan, apabila penggalnya berakhir. 

Browne berkata, seorang wanita pekerja hotel berusia 32 tahun, memfailkan aduan serangan seksual ke atas beliau sejurus berjaya melepaskan diri dari sebuah bilik hotel di Times Square, lokasi kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 1 petang waktu tempatan kelmarin. 

Beliau berkata, Strauss-Kahn, yang dianggap calon pilihan bagi Parti Sosialis untuk bertanding pilihan raya presiden Perancis pada April dan Mei 2012, dipercayai melarikan diri dari hotel itu selepas kejadian. 
“Pekerja wanita terbabit memberitahu penyiasat, Strauss-Kahn, keluar dari bilik air dalam keadaan bogel dan berlari ke serambi, tempat dia berada, menariknya ke katil dan cuba melakukan serangan seksual. 

“Pekerja itu berjaya melepaskan diri tetapi beliau menariknya masuk ke dalam bilik air dan menyerangnya secara seksual sekali lagi. Strauss-Kahn juga cuba mengurung wanita itu di dalam bilik hotel,” kata Browne. 

Beliau berkata berkata Strauss-Kahn tidak mempunyai kekebalan diplomatik dan beliau dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini. 

Di bawah undang-undang negeri New York, jenayah serangan seksual, termasuk memaksa seseorang melakukan seks oral, sama seperti cubaan merogol, boleh dikenakan hubungan penjara antara 15 hingga 20 tahun jika sabit kesalahan. Perbuatan mengurung orang lain secara salah pula boleh membawa hukuman tiga hingga lima tahun penjara. – Reuters 

Warga Uganda miliki dadah ditahan

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki warga Uganda kerana memiliki 806 gram heroin dan 15 kilogram ganja bernilai kira-kira RM353,000 dalam operasi di kawasan sebuah stesen minyak di Tanah Merah, Jitra, lewat malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan kira-kira 11.55 malam selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dengan mundar mandir sambil menggalas sebuah beg dan menjinjing sebuah lagi beg. "Pihak polis menghampiri lelaki tersebut dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis. Ketika polis mahu melakukan pemeriksaan terhadap suspek, dia cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan. Polis berjaya menahan suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua beg yang dibawa lelaki tersebut, polis menemui 15 ketulan mampat daun-daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan 15 kg bernilai RM53,000.

"Polis turut menjumpai 43 pellet berbalut plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin dengan berat 806 gram dalam beg galas suspek dengan nilai pasaran dianggarkan RM300,000," katanya.

Wanita disyaki terlibat kes simbah asid ditahan


KANGAR: Polis menahan seorang wanita yang disyaki mempunyai kaitan dalam kes serangan asid ke atas seorang pemandu lori di Kampung Sentang, Utan Aji dekat sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata wanita berusia 34 tahun itu ditahan awal hari ini selepas dia menyerah diri di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1 pagi.

Polis menahan reman wanita tersebut yang dipercayai merupakan bekas teman wanita kepada mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Dalam kejadian itu, Muhamd Hanif Sunai @ Shuaib, 24, cedera parah dan melecur 50 peratus pada muka dan badannya selepas dikatakan disimbah asid di rumahnya.

Mangsa dikatakan diserang dengan asid sebaik sahaja membuka pintu rumahnya kira-kira pukul 1 pagi setelah mendengar ketukan di pintu rumahnya.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Dua suspek kes kematian penganggur ditahan


KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes memukul seorang penganggur hingga mati kerana dipercayai mencuri besi di Kampung Sungai Ular, Kuala Berang Khamis lalu.
Suspek pertama merupakan seorang pemandu lori yang berumur 27 tahun ditahan di sebuah warung di Bukit Ajil, Kuala Berang kira-kira jam 4.50 petang semalam, manakala seorang lagi suspek yang bekerja sebagai buruh berusia 21 tahun ditahan 10.00 pagi tadi di rumahnya di Kampung Tajin, Kuala Berang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata dengan tertangkapnya dua suspek itu polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh tersebut.

"Melalui siasatan yang dilakukan, kita telah mengenal pasti beberapa lagi suspek yang terlibat dan akan melakukan beberapa lagi tangkapan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Manoharan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Lelaki terbunuh dalam pergaduhan

SIBU: Seorang lelaki yang cuba mendamaikan pertengkaran antara dua rakan yang lain berkesudahan dengan dia dikatakan membunuh salah seorang daripada mereka dan mencederakan seorang lagi.
Kejadian berlaku di lobi sebuah hotel di sini kira-kira 11.45 malam tadi apabila kedua-dua mangsa dikatakan menyerang lelaki berkenaan.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Ramson Hassan, 39, dari Jalan Nanas.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata suspek telah menyerah diri kepada polis pada pukul 4.30 pagi tadi dan ditahan reman selama seminggu.

Beliau berkata sebelum kejadian, si mati dan rakannya yang cedera itu yang dikenali sebagai Soon Hock Hoe, 38, sedang minum bersama 10 yang lain di ruang rehat hotel.