Search This Blog

Saturday, May 14, 2011

Enam pangsapuri jadi makmal dadah diserbu


GEORGE TOWN — Polis Pulau Pinang dipercayai telah menumpaskan sindiket memproses dadah yang menjadikan pangsapuri mewah sebagai makmal memproses bahan tersebut untuk pasaran tempatan.
Menurut sumber polis, dalam operasi yang dilakukan oleh pasukan Narkotik Bukit Aman dan Pulau Pinang Khamis lalu, polis telah menyerbu enam pangsapuri mewah tersebut dan merampas dadah yang dipercayai bernilai jutaan ringgit di sekitar bandar raya ini, Air Itam dan Gelugor.
Polis turut menahan 13 orang yang dipercayai ahli sindiket berkenaan termasuk empat wanita, selain menemui pelbagai peralatan untuk memproses dadah dalam serbuan kira-kira 6 petang itu.
Yang turut ditemui ialah pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ketamin dan heroin selain sebilangan besar alat memproses dadah dan bahan mentah lainnya.
Menurut sumber tersebut, salah sebuah pangsapuri itu bertaraf ”Penthouse” yang dipercayai disewa oleh sindiket terbabit.
"Malah, mereka turut menyewa dua lagi unit pangsapuri di lokasi yang sama sebagai tempat menyimpan stok dan juga untuk ahli sindiket terbabit berehat,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, serbuan itu yang terbesar dilakukan setakat ini tahun ini dengan membabitkan lebih 50 anggota serta pegawai dari Jabatan Narkotik Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob ketika dihubungi mengesahkan serbuan berkenaan dan berkata satu sidang media mengenainya akan diadakan tidak lama lagi. — Bernama

Mayat lelaki terapung di Sungai Mati


ALOR SETAR — Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Mati, Jalan Kilang Tebu berhampiran Kampung Batin dekat sini kira-kira pukul 10.55 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Zakaria Ahmad berkata, mayat Low Choon Aik, 26, ditemui dalam keadaan kedua-dua kaki terikat, manakala lehernya diikat bersama batu.
"Berdasarkan siasatan awal polis percaya dia dibunuh dan dibuang ke sungai itu. Polis sudah menahan tiga suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat akan dilakukan esok dan menurutnya, Choon Aik yang tinggal di Taman Teratai Jingga, Jalan Pegawai dan bekerja di Kompleks Hijau di sini dilaporkan hilang beberapa hari lalu. — Bernama
Kosmo!

Gelupur disiram sebaldi asid



SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.

ALOR SETAR: “Dia meraung minta tolong di tepi jalan hampir setengah jam sambil menggelupur kesakitan kerana seluruh badan dan mukanya disimbah hampir satu baldi asid,” kata Norhanim Hamzah, 47, ibu saudara Muhamad Hanif Sunaid@Shuib, 25, yang melecur kira-kira 50 peratus di tubuh selepas disimbah asid, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Muhamad Hanif yang bekerja sebagai pemandu lori pasir sejak tujuh bulan lalu baru pulang ke rumahnya Kampung Sentang, Utan Aji, dekat Kangar, sebelum didatangi lelaki tidak dikenali yang memberi salam sambil mengetuk pintu.

Norhanim yang tinggal berhampiran rumah mangsa berkata, Muhamad Hanif yang tidak mengesyaki apa-apa menjawab salam lalu membuka pintu sebelum lelaki terbabit menyimbah asid ke seluruh badannya termasuk muka.

“Beberapa jam sebelum kejadian, lori dipandu Hanif rosak dan dia meminta bantuan pemilik lori berkenaan datang membaiki. Selepas itu, dia pulang ke rumah dan berehat kerana ketika itu dia hanya memakai tuala, mungkin baru lepas mandi.

“Tiba-tiba ada orang memberi salam sambil mengetuk pintu. Dia yang tidak mengesyaki apa-apa menjawab salam sambil membuka pintu.myMetro

Samun sebelum rogol



PASIR GUDANG - Merogol dengan menyamun terlebih dahulu di persimpangan lampu isyarat menggunakan motosikal bukanlah langkah selamat bagi penjenayah yang melakukan kesalahan ini.

Dua suspek lelaki bagi kes rogol seorang wanita yang telah melakukan kesalahan ini di Seri Alam akhirnya berjaya ditahan pasukan polis Ibu Pejabat Daerah Seri Alam sembilan jam selepas kejadian.

Seorang pengadu yang telah membuat laporan pada 9 Mei lalu jam 2.25 pagi, mengadu mangsa wanita terbabit adalah teman wanitanya, telah disamun di persimpangan lampu isyarat sebelum dirogol di sebuah rumah kosong di Telok Jawa, Seri Alam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, kejadian berlaku apabila suspek dikatakan menghulurkan pisau kepada mangsa untuk menyamun sebelum membawa mangsa ke rumah terbabit untuk merogol.

“Salah seorang daripada suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau iaitu empat rekod di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dua rekod di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, satu rekod di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan satu rekod di bawah 324 Kanun Keseksaan.

“Manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan siasatan kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 33 tahun ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Roslan berkata, sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebat di bawah seksyen itu manakala jika dikenakan hukuman di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.
SH

Wanita Mengaku Tidak Bersalah Dera Anak Teman Lelaki


KLANG: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas anak perempuan teman lelakinya berusia 13 tahun dengan menyimbah air panas dan memukul mangsa menggunakan getah paip serta kayu besar.
Lebih kejam lagi, tertuduh, Shalina Sundiri Abdullah, 41, turut didakwa memasukkan batang kayu mop dan cili padi ke dalam kemaluan kanak-kanak malang itu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kelima-lima tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Nor Aida Sulaiman.
Shalina didakwa melakukan kesemua perbuatan itu ke atas S.Anusia di rumah No:8-15, Blok E, Perdana Villa Apartment, Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa di sini, antara 25 Dis tahun lepas sehingga akhir bulan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada' Alwi, membantah sebarang ikat jamin diberikan ke atas Shalina kerana semua tuduhan yang dihadapi menggambarkan kekejaman yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa.
"Kesan tindakan tertuduh menyebabkan mangsa kini terlantar di hospital sejak 6 Mei lepas. Tertuduh merupakan penjaga (mangsa) bersama dengan bapa mangsa," katanya.
Shalina yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin atas alasan dia perlu menjaga seorang anak perempuan yang berusia lima tahun.
Hakim Siti Nor Aida kemudian memutuskan untuk menolak permohonan tertuduh dan menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, bapa mangsa yang merupakan pemandu lori berusia 39 tahun hari ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.
Akhbar sebelum ini melaporkan penderaan ke atas kanak-kanak itu terbongkar apabila teman wanita bapanya menghantar mangsa ke satu pusat jagaan kanak-kanak di Taman Radzi di sini pada 6 Mei lalu.
Kakitangan pusat itu ternampak kesan kecederaan pada kanak-kanak itu dan kemudian membuat laporan polis.
Menurut laporan akhbar juga, kanak-kanak malang itu patah tangan kirinya dan terdapat kesan melecur pada tapak tangan dan keseluruhan tubuhnya dipercayai disimbah dengan air panas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil yang melawat kanak-kanak itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, petang semalam, berkata kanak-kanak itu kini dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Shahrizat berkata, mangsa perlu diberikan kaunseling secara berterusan berikutan trauma penderaan dahsyat ke atasnya. -BERNAMA
mStar Online

Pemandu Maut, Bayi Cedera Parah Dalam Kemalangan


IPOH: Seorang maut manakala tiga lagi termasuk seorang bayi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km 290 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Simpang Pulai di sini malam Jumaat.
Pemandu kereta itu Abdul Fatah Abdul Latif, 27, yang bertugas di Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
Mereka yang cedera parah ialah kakak Abdul Fatah iaitu Suriani, 31, dan dua anaknya iaitu Nik Fawas Mohd Fazli, 5, dan Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli, tiga bulan.
Kesemua mereka dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala seorang lagi anak perempuan Suriani berusia dua tahun yang turut berada dalam kereta itu tidak cedera, kata Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab.
Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi itu, Suriani dan anak-anaknya menumpang kereta adiknya untuk pulang ke rumah mereka di Manong, Kuala Kangsar.
Kereta jenis Honda Civic yang dipandu Abdul Fatah dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Kangsar itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan menyebabkan kenderaan itu remuk, katanya.
Sementara itu dalam kejadian lain, sebuah bas yang dalam perjalanan dari Pengkalan Hulu ke Ipoh musnah terbakar di Km 52.7 jalan Gerik-Ipoh dekat Pengkalan Hulu, pada pukul 10 pagi Sabtu.
Enam belas penumpang termasuk pemandu bas itu selamat. -BERNAMA
mStar Online

Seekor Harimau Kumbang Ditangkap Di Ulu Bendul


KUALA PILAH: Seekor harimau kumbang berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kampung Tanjung Limau Purut, Ulu Bendul dekat sini malam Jumaat.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata harimau kumbang betina yang berusia tiga tahun dan seberat 20 kilogram itu ditangkap selepas ia memasuki perangkap besi yang dipasang di belakang rumah seorang penduduk sejak 5 Mei lepas dengan menggunakan umpan itik angsa.
"Pada pukul 7.55 malam, penduduk kampung itu mendengar bunyi pintu perangkap jatuh dan mengesyaki harimau tersebut telah terperangkap.
"Dia kemudian menghubungi pegawai kami. Kita telah menghantar harimau itu ke Zoo Melaka pagi tadi untuk dipelihara," katanya kepada Bernama.
Penduduk tersebut Muhamad Yunus sebelum ini membuat aduan kepada Perhilitan ekoran banyak itik angsa dan ayam belanda peliharaannya dimakan oleh binatang buas. "Kita telah mejalankan siasatan dan mengenal pasti jenis binatang yang mengganggu dan memakan binatang peliharaan pengadu sebelum memasang perangkap tersebut," kata Mohd Zaide.
Beliau berkata kejadian tersebut merupakan kali kedua harimau kumbang masuk perangkap di kampung tersebut yang kejadian pertama berlaku bulan Februari lepas. -BERNAMA
mStar Online

Banjir Kilat Sebabkan Kesesakan Lalu Lintas Di P. Pinang



Kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Sri Saujana, Sungai Dua, Pulau Pinang dinaiki air hingga menyebabkan beberapa buah kereta tenggelam akibat banjir kilat yang berlaku pada Sabtu. 
Kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Sri Saujana, Sungai Dua, Pulau Pinang dinaiki air hingga menyebabkan beberapa buah kereta tenggelam akibat banjir kilat yang berlaku pada Sabtu.
GEORGE TOWN: Hujan lebat yang turun sekitar pukul 11 pagi tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah di sekitar Pulau Pinang hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan utama.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan air naik hingga ke paras lutut di kawasan perumahan, Minden Heights.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Taman Brown, K. Santha berkata beberapa buah rumah di Changkat Minden 7 ditenggelami air.
“Saya menerima maklumat daripada ahli kami bahawa banjir kilat yang melanda ini disebabkan oleh kebocoran paip yang bawah tanah akibat tekanan air yang kuat di Universiti Sains Malaysia (USM).
Bukan itu sahaja, berdasarkan tinjauan beberapa kawasan turut ditenggelami air antaranya sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Masjid Negeri.
Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas hingga 1kilometer berlaku di lebuh raya bertingkat dari Bayan Baru ke Gelugor.
Ia disebabkan oleh lampu isyarat yang rosak di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah-Sungai Dua.
Kesesakan bertambah buruk apabila terdapat kenderaan rosak diletakkan sepangjang jalan tersebut.
mStar Online

Rumah urut milik Datuk diserbu




KULAIJAYA – Seramai tujuh warga asing wanita ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Johor di dua pusat rumah urut Thailand milik peniaga bergelar Datuk sekitar daerah ini, jam empat petang, kelmarin.

Tujuh warga asing yang ditahan merupakan warga Thailand serta seorang warga Indonesia berusia di antara 34 hingga 42 tahun dipercayai bekerja sebagai tukung urut di rumah urut itu.

Timbalan Penolong Pengarahnya, Hamzari Abdul Jalil berkata, serbuan dijalankan secara serentak di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Desamas dan Bandar Putra, di sini hasil maklumat dari orang awam.

“Kita telah jalankan risikan selama seminggu setelah mendapat maklumat dari orang ramai, dan seramai tujuh warga asing berjaya ditahan.

“Serbuan berakhir kira-kira satu jam kemudian manakala seorang pengurus warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Hamzari berkata, ketujuh-tujuh warga asing berkenaan ditahan kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini, mengikut peraturan 39 (B) Akta Imigresen 1963.

Bagaimanapun katanya, siasatan mendapati rumah urut berkenaan yang menawarkan perkhidmatan urutan kaki dan badan tidak menyediakan perkhidmatan tidak bermoral kepada pelanggan.

Katanya, serbuan itu dijalankan oleh 20 anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dengan kerjasama anggota Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar (2nd Link).
SH

Lelaki ditahan bantu siasat kes edar dadah



PASIR GUDANG - Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan pada 9 Mei lalu jam 8.30 pagi kerana terlibat dengan pengedaran dadah di Masai sejak tahun 2009.

Kesalahan suspek sejak tiga tahun lalu itu membawa kepada penahanannya selama 60 hari bagi siasatan lanjut dijalankan.

Suspek berjaya ditangkap di sebuah rumah di Kampung Sepakat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana terlibat kegiatan pengedaran dadah di Masai sejak beberapa tahun lalu.

“Suspek pernah ditangkap pada tahun 2006 atas kesalahan yang sama pada tahun 2006 dan telah menjalani hukuman sekatan selama dua tahun di mukim Petaling, Petaling Jaya, Selangor.

“Manakala dua lagi berjaya ditahan dalam kes berlainan membabitkan kes dadah juga,” katanya.

Roslan berkata, kes kedua penangkapan lelaki India dan Melayu berkenaan telah membawa kepada rampasan 16 paket dadah jenis ganja seberat 17.86 gram.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1953, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lapan tahun dan denda RM20,000.

Menurutnya, sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam berjaya memberkas 21 pengedar dadah, 197 orang yang memiliki dadah dan 693 penagih dadah.
SH

Rumah burung ancam kesihatan




PONTIAN - Kedudukan rumah burung yang terletak di atas premis perniagaan terus mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga di Taman Saujana.

Edmun Chew, 40, berkata, pelbagai masalah ditanggung peniaga seperti masalah bau, anai-anai dan bunyi bising yang mengancam kesihatan mereka.

“Kami peniaga paling hampir dengan rumah burung ini, dan macam-macam masalah terpaksa ditanggung,” katanya.

Menurutnya, paling ketara adalah masalah anai-anai yang merosakkan pelbagai barang di dalam premis perniagaan mereka dan menyebabkan peniaga mengalami kerugian besar.

Edmund berkata, pembiakan anai-anai ini terjadi akibat najis burung yang tidak diuruskan dengan sempurna oleh pemilik rumah burung.

“Apabila najis bercampur dengan air hujan dan kemudiannya mengalir ke bawah premis kami, ia mengundang bahaya kepada kesihatan kami selain mendorong pembiakan anai-anai,” katanya.

Menurutnya, ada pekerja yang mengalami masalah kesihatan berpunca daripada rumah burung berkenaan hingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Edmund berkata, dia berharap tindakan segera dapat diambil kepada rumah burung berkenaan memandangkan lokasinya yang tidak bersesuaian dan mengancam kesihatan penduduk serta peniaga setempat.

Menurutnya, dia turut mempersoalkan ciri-ciri keselamatan bangunan kerana pintu ditutup dengan binaan batu bata yang menghalang udara keluar sekiranya berlaku kebakaran.

Edmund berkata, aduan telah dibuat di bahagian kesihatan Majlis Daerah Pontian dan berharap tindakan segara dapat diambil
SH

Selamat daripada maut




TENGGAROH - Seorang wanita terselamat daripada maut kerana beg udara keretanya berfungsi dengan baik setelah keretanya dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan kira-kira 50 meter dari simpang Felda Tenggaroh 1, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang kelmarin, mangsa yang berumur lingkungan 30an dan memandu kereta Honda City diselamatkan orang ramai yang membantunya akibat tersepit di tempat duduk.

Pemandu lori, Ahmad Nur Mohi , 30 an, berkata, kejadian berlaku apabila lori yang dipandunya cuba mengelak sebuah kereta Proton Wira yang keluar dari simpang Felda Tenggaroh 1.

“Pada waktu itu, hujan renyai dan saya dalam perjalanan pulang dari Tanjung Leman menuju ke Pasir Gudang. Sampai sahaja di simpang berkenaan, sebuah Proton Wira keluar dengan laju.

“Saya cuba mengelak kereta berkenaan tetapi hilang kawalan dan berlanggar dengan kereta mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.

Ahmad Nur berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan dan tidak mengalami kecederaan teruk.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Tenggaroh 2 untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
SH

Selamat dari rentung




KULAIJAYA – Seorang pemandu teksi dan penumpang warga emas terselamat dari maut apabila sempat keluar dari teksi yang mereka naiki sebelum kenderaan itu terbakar dan hangus sekelip mata dalam kejadian pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya, Masnon Idris berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi, semalam di laluan Johor Bharu-Air Hitam, Batu 24, di sini membabitkan sebuah lagi kereta jenis Toyota Corolla.

Menurutnya, kebakaran berlaku sebaik sahaja teksi yang dipandu Abdul Rahim Jamal, 62, bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Kereta jenis Toyota Corolla berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Air Hitam dan hendak masuk ke simpang kawasan perindustrian di sebelah kanan laluannya namun gagal berbuat demikian.

“Keadaan itu menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan teksi jenis Proton Wira yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Katanya, kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan serius terhadap mangsa yang terbabit bagaimanapun teksi berkenaan tiba-tiba terbakar sebaik sahaja pemandu teksi dan penumpang keluar dari kenderaan itu.

“Seramai lima anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada jam 10.37 pagi dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira lima minit kemudian.

“Siasatan awal kami mendapati kebakaran mungkin berpunca daripada geseran atau pertembungan yang berlaku di antara kedua-dua kenderaan sehingga memberi kesan terhadap enjin teksi berkenaan dan mencetuskan kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah lori muatan pasir turut terbabas dalam kejadian itu apabila pemandunya cuba mengelak kedua-dua kenderaan yang bertembung namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Mengaku simpan motosikal curi




GEORGETOWN - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan dan denda RM2,000 selepas didapati bersalah menyimpan sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri pada 16 Mac lalu.

Majistret, Noor Aini Yusof memutuskan hukuman itu sejurus Mohd Hussain Ajar, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya, semalam.

Lelaki itu didapati bersalah menyimpan sebuah motosikal curi berwarna biru, Honda EX5, milik Chew Men Men, 24, bernilai RM2,500 di Jalan Air Terjun, Pulau Tikus, kira-kira jam 7.30 petang, 29 April lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa meletakkan motosikal miliknya di tempat letak kenderaan bawah rumah pangsapuri Batu Urban, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, 15 Mac lalu.

Pada hari berikutnya, mangsa menyedari motosikal yang berkunci baik itu sudah tidak ada di tempat letaknya itu.

Mangsa yang yakin motosikal itu dicuri bertindak membuat laporan ke balai polis yang membawa kepada penahanan tertuduh, 29 April lalu.

Noor Aini mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya.

Dalam rayuan, Mohd Hussain merayu mahkamah menjatuhkan satu hukuman yang ringan dengan alasan dia sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Selva Ranjini memohon mahkamah menjatuhkan satu hukuman berbentuk pengajaran berikutan kes curi dan miliki motosikal curi kian berleluasa di negeri ini.
SH

Kendali klinik tanpa lesen




BUTTERWORTH - Seorang pengamal perubatan homeopati didenda RM5,000 oleh Mahkamah Seksyen 3 di sini, semalam selepas mengaku bersalah mengendalikan klinik swasta yang tidak didaftarkan di bawah Kementerian Kesihatan sejak beberapa tahun lalu.

Kamarulzaman Mohd Mustaffa, 53, dikenakan hukuman terbabit oleh Hakim Mohd Zairan Aman dengan alasan kesalahan itu adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.

Kamarulzaman yang dilihat menarik nafas lega dari kandang Orang Kena Tuduh selepas hukuman itu dijatuhkan, kemudiannya menjelaskan denda yang dikenakan.

Kes membabitkan Kamarulzaman merupakan kes pertama kesalahan seperti itu didakwa di mahkamah di sini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengendalikan sebuah klinik perubatan swasta iaitu Klinik Keluarga, Klinik Homeopati & Alternatif yang digunakan bagi amalan perubatan pesakit luar tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Swasta 1998.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.55 pagi, 31 Januari lalu di alamat No 37, Lorong Aman Putera 1, Taman Aman Putera Kepala Batas, di sini.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4 (1) akta terbabit dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b)(i) akta yang sama yang memperuntukkan denda RM300,000 dan penjara selama enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, satu pasukan dari Kementerian Kesihatan Pulau Pinang dan Kedah telah menyerbu klinik perubatan itu yang sedang beroperasi pada hari berkenaan selepas mendapat maklumat dari orang awam yang meragui statusnya.

Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud yang mengendalikan pendakwaan pula berkata, sesebuah klinik perubatan perlu didaftarkan bagi membolehkan pemantauan dibuat demi keselamatan orang ramai.

Dipenjara 8 tahun perdagang amah




GEORGETOWN - Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia, September tahun lalu.

S Poongavanam, 37, tertuduh kedua, menukar pengakuan bersalah di peringkat akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim, Roslan Hamid.

Sejurus pengakuan bersalah itu, Roslan memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara lapan tahun dari tarikh sabitan.

Dalam penghakiman ringkas, Roslan berkata, mahkamah memutuskan hukuman itu berdasarkan kepentingan awam termasuk mangsa dan tertuduh.

Terdahulu, peguam yang mewakili Poogavanam, S Yagoo memohon mahkamah mengambil kira kepentingan tertuduh sebagai ibu yang mempunyai tanggungjawab menjaga keluarga.

“Oleh itu, saya memohon satu hukuman yang sewajarnya bagi anak guaman saya.

“Dalam pada itu, tertuduh kedua mengaku bersalah dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan yang disabitkan, Poogavanam mengaku dia melakukan urusan pengambilan pembantu rumah tanpa pengetahuan suaminya (tertuduh pertama),” katanya.

Sebelum ini, pasangan suami isteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan bersama memperdagangkan seorang pembantu rumah rakyat Indonesia dengan tujuan mengeksploitasi wanita itu.

A Vealu, 42, seorang kontraktor potong rumput dan isterinya Poongavanam, bersama beberapa yang lain dituduh memperdagangkan Win Faidaa, 26, di sebuah flat di Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong di sini di antara 10 pagi 25 Januari dan 10.30 pagi 13 September tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda.

Hakim membenarkan Vealu diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin manakala isterinya pula diikat jamin sebanyak RM30,000 juga dengan dua penjamin.

Dalam perkembangan sama, Yagoo memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan ke atas Vealu berikutan pengakuan bersalah Poogavanam yang menyatakan suaminya tidak bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pembantu rumah.
SH

Maut jatuh bumbung dewan




SUNGAI PASIR – Hasrat seorang lelaki yang ingin membaiki bumbung dewan orang ramai tidak kesampaian apabila tersilap langkah menyebabkannya maut apabila terjatuh dalam kejadian jam 9.40 pagi dekat sini, semalam.

Mangsa, Abdul Rahim Saad, 58, dari Taman Semarak, Sungai Pasir dikatakan sedang mengenal pasti lubang di bahagian atas bumbung Dewan Seri Semarak dalam program gotong-royong yang turut disertai kira-kira 15 penduduk lain.

Saksi, Abu Bakar Saidin, 49, berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang mesin rumput di halaman dewan sebelum menyerahkan tugasan itu kepada penduduk yang baru hadir membantu dan mangsa kemudian beralih untuk memeriksa bahagian bumbung.

“Ketika itu, saya berada di halaman dewan dan menyedari mangsa terjatuh berdasarkan bunyi yang kuat. Apabila dipangku mangsa masih lagi bernafas berdasarkan gerakan dari bahagian perut tetapi tidak mampu lagi bercakap,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Abdul Rahim adalah Pengerusi Badan Kebajikan Islam Taman Semarak 1 (Bakitas) dan tujuan mereka mengadakan gotong-royong adalah sebagai persediaan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khairat Kematian Selasa depan.

Abu Bakar yang juga jiran mangsa menjelaskan sebaik terjatuh, darah turut mengalir di bahagian telinga dan hidung mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sejurus selepas itu.

Anak bongsu mangsa, Mohd Nur Izwan, 23, berkata, tiada sebarang kelakuan ganjil yang disedari ketika berjumpa bapanya sebelum bertolak ke tempat kerja kira-kira jam 8 pagi sebelum kejadian.

Menurut Izwan, kakak sulungnya baru sahaja meninggal dunia Oktober tahun lalu akibat barah manakala seorang lagi kakaknya yang menetap di Kuala Lumpur sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati, penduduk dan sanak saudara mangsa yang memenuhi pekarangan dewan untuk menziarahi arwah turut mengadakan majlis tahlil.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital menggunakan kenderaan awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
SH

Dua penganggur dicekup




JASIN – Dua penganggur dicekup polis semasa dalam perjalanan mengedar dadah di Jalan Besar Selandar Batang Melaka, Empangan Jus, di sini, malam kelmarian.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 tahun ditahan pasukan narkotik Jasin diketuai Inspektor Mohd Shahrul Mohd Azmi semasa menaiki sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, semasa ditahan, polis menemui 30 paket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis heroin seberat 48.5 gram.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai aktif melakukan aktiviti itu sejak dua bulan lalu, sebelum polis bertindak melakukan intipan selama sebulan.

“Suspek pertama berusia 37 berasal dari Bahau itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua kes jenayah lampau, manakala diperlukan dalam satu kes dadah.

“Sementara suspek kedua dari Butterhworth juga positif dalam ujian air kencing. Dia mempunyai satu rekod jenayah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Che Suza berkata, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM2,100 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menurutnya, kedua-dua mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan.

Beliau berkata, motosikal suspek juga dikenal pasti sebagai kenderaan curi berdasarkan laporan polis di Batu Pahat, Johor.
SH

GRO tempatan dituduh miliki dadah



AYER KEROH - Seorang pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana memiliki pelbagai jenis dadah dengan berat kasar sebanyak 3.3 gram.

Tertuduh, Norasikin Abdullah, 32, dari Bandar Kinrara, Klang Lama, Kuala Lumpur, mengaku bersalah selepas faham terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, dia didapati bersalah memiliki dua peket plastik lutsinar berisi bahan disyakki ketamin seberat 1.0 gram, dua peket plastik lutsinar methamphetamin 1.0 gram dan empat biji pil erimin seberat 1.3 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10 malam di kawasan tempat letak kereta aras 1, Hotel Mahkota, Jalan Syed Abd Aziz, 6 Mei lalu.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus ketika pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang juga seorang ibu tunggal bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan dia kehilangan ahli keluarga akibat kemalangan dan mempunyai seorang anak yang perlu dijaga.

Muhammad Hazri kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan, selain turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Jun depan, sementara menunggu laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar dadah.
SH

Terserempak nahas sepupu




ALOR GAJAH - Seorang wanita dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya tidak menyangka kemalangan maut yang ditemui di Jalan Kampung Paku, Kelemak menuju ke Lendu, semalam membabitkan sepupunya.

Dalam kejadian kira-kira 5.05 petang itu, Nurul Asyikin Saharudin, 23, dalam perjalanan pulang dari Kolej Yayasan Alor Gajah menuju ke Bukit Beringin, Masjid dengan menaiki kereta.

Pada mulanya, dia hanya menyedari terdapat sebuah ambulans berselisih dengan kenderaannya.

“Semasa dalam kereta, saya berselisih dengan sebuah ambulans, diikuti sebuah kereta Perodua Kelisa milik abang mangsa. Masa itu, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Tidak lama selepas itu, baru saya terserempak dengan kemalangan. Saya dapati sebuah kereta jenis Proton Gen2 dengan serpihan kaca cermin kereta berkenaan bertaburan atas jalan raya akibat melanggar sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal itu sudah dibawa ke hospital,” katanya.

Nur Asyikin berkata, dia tidak berhenti di kawasan kemalangan itu, sebaliknya terus pulang ke rumah.

Bagaimanapun, dia sekeluarga terkejut menerima panggilan telefon kira-kira 7.30 malam yang memaklumkan penunggang motosikal itu adalah sepupunya sendiri, Mohamad Haziq Mohd Yusof.

“Seorang ahli keluarga mangsa menghubungi keluarga saya memaklumkan Mohamad Haziq berada dalam keadaan kritikal di Hospital Alor Gajah, namun meninggal dunia ketika dirawat,” katanya.

Mohamad Haziq, 17, dikatakan dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah sebelum bertembung dengan Proton Gen 2 yang datang dari arah bertentangan dipercayai akibat hilang kawalan.

Ketika kemalangan, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dol Said, di sini masih berpakaian kokurikulum sekolah.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Yusof Ninggal, 51, yang juga jurulatih Olahraga Sukan-sukan Malaysia menyifatkan anak ketiga dari empat badik itu sebagai seorang pendiam.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini. Kami tak sangka dia akan meninggalkan kami dalam keadaan penuh tragedi, namun saya redha meskipun seperti tidak percaya,” katanya.
SH

Kereta diklon, pemilik disaman




JASIN - Seorang penduduk di sini, terkejut apabila menerima beberapa surat saman kesalahan trafik termasuk tidak meletakan kupon kenderaan di kawasan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) walaupun dia tidak pernah memandu ke pantai timur sejak membeli sebuah kereta Toyota Camry setahun lalu.

Lebih menghairankan saman trafik dihantar ke alamat rumahnya di Taman Maju Jasin turut disertakan dengan gambar kereta yang serupa dengan keretanya dan lebih sukar untuk membezakan kerana nombor pendaftaran kereta juga sama.

Alpawi Afandi, 48, berkata, selama ini, dia tidak pernah terfikir berlakunya kejadian ini dan bernasib baik mengetahuinya sebelum terlambat itu pun selepas menerima beberapa surat saman.

Menurutnya, kereta yang diklon memang sama seperti kereta miliknya dan sukar untuk dibezakan termasuk warna kenderaan, nombor pendaftaran dan nombor sisi kereta.

“Kalau tengok sekali imbas memang sukar hendak bezakan, namun ada beberapa bahagian dapat dikenal pasti seperti lampu sportlight kereta.

“Berikutan masalah ini, saya terpaksa ke balai polis dan pejabat MPK bagi mengesahkan itu bukan kenderaan saya,” katanya.

Alpawi berkata, namun dia berasa lega apabila suspek yang terlibat dalam kegiatan itu sudah ditangkap.

“Suspek itu tinggal di Terengganu dan percaya bukan saya seorang sahaja yang pernah mengalami nasib seperti ini,” katanya.

Katanya, oleh itu, tatacara mengeluarkan saman perlu ditambahbaikkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Alpawi yang membeli kereta dengan harga RM100,000 mendakwa kereta klon terbabit boleh dibeli dengan nilai RM10,000 sahaja di pasaran gelap.


‘Dia keluar secara tiba-tiba’




ALOR GAJAH - Tindakan seorang remaja yang keluar dari kuil secara tiba-tiba ketika bersama keluarganya mengundang padah apabila dia maut dilanggar sebuah lori muatan tiga tan di Jalan Dalong menghala ke Gadek, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 petang itu, A Yoganageswary, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan berada di kuil berdekatan bertindak keluar secara tiba-tiba menunggang motosikal EX5 milik rakan bapanya untuk pulang ke rumah.

Bapanya, Alaho, 30-an, berkata, ketika kejadian, beliau berada di rumahnya di Taman Sebang Gemilang, dimaklumkan oleh seorang rakan yang menyatakan anaknya terbabit dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori.

Menurutnya, beliau tidak mengikut isteri dan anak-anaknya ke di kuil untuk menghadiri majlis keramaian.

“Saya diberitahu anak perempuan saya itu dilanggar sebuah lori tiga tan berwarna putih berdekatan� kuil tempat mereka berkumpul dan salah seorang rakan saya cuba mengejar lori berkenaan tetapi gagal,” katanya.

Alaho berkata, tindakan anaknya yang tiba-tiba keluar dengan menunggang sebuah motosikal rakannya adalah di luar dugaan kerana kebiasaan anaknya itu hanya berada di rumah setiap malam.

“Semasa keluar dari kuil, anak saya tidak memaklumkan kepada sesiapa yang berada bersamanya tetapi motosikal yang ditunggang itu menuju ke arah rumah,” katanya.

Katanya, sebelum ini, anaknya tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap dan menerima pemergian anaknya itu dengan hati yang terbuka meskipun kehilangan anak tunggal perempuan.

Yoganageswary yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah dan mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Operasi menjejaki pemandu lori terbabit sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil memberi keterangan atau menghubungi balai polis trafik Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan,” katanya.
SH

Melacur di restoran




SITIAWAN – Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan penguat kuasa imigresen membuat serbuan ke atas sebuah restoran, di sini, kelmarin dan menahan 10 wanita warganegara China disyaki bekerja sebagai GRO.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya menemui beberapa kondom di dalam beg tangan dan tidak menolak ada kegiatan pelacuran di restoran terbabit.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat kira-kira jam 10 malam, kesemua wanita itu sedang leka melayan pelanggan.

“Menyedari kehadiran pegawai imigresen, kesemua wanita ini bertindak melarikan diri.

“Namun berjaya di pintas pegawai kami dengan kekuatan anggota seramai 11 orang,” katanya ketika ditemui di Pejabat Imigresen Manjung, kelmarin.

Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, lapan tahanan memegang pas lawatan sosial, seorang memegang pas pelajar manakala seorang lagi memegang pas jangka panjang isteri warganegara.

“Kesemua mereka disyaki melanggar Peraturan 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Mereka ditahan selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan jika terbukti melakukan kesalahan tindakan mahkamah dan atau pembatalan pas akan dibuat,” katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau kegiatan salah laku itu selain mengambil tindakan terhadap pelawat asing yang didapati menyalahgunakan pas lawatan yang diberikan.

“Kegiatan tidak bermoral ini boleh menjejaskan nama baik daerah Manjung sendiri.

“Operasi seumpama ini akan giat dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini,” katanya.
SH

Musnah sekelip mata




IPOH – Berputih mata, itulah yang dialami pemilik rumah papan berusia 40 tahun yang musnah sekelip mata dalam kebakaran kira-kira jam 10.35 pagi semalam.

Mangsa G Puyanesvari mengalami kerugian RM130, 000.

Difahamkan, ketika kejadian beliau tiada di rumah manakala suaminya keluar bekerja dan dua anak bersekolah.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zainuddin Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berpunca dari kotak suis elektrik di hadapan rumah, namun punca sebenar masih disiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui unit forensik.

Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 10.47 pagi daripada orang awam.

Sebanyak dua jentera bomba dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke lokasi berkenaan.

“Anggota sampai kira-kira sembilan minit kemudian dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 30 minit,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai memastikan pendawaian elektrik yang usang diganti baru bagi mengelak berlakunya punca kebakaran.

Zainuddin berkata, setiap kediaman juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api supaya dapat mencegah kebakaran di peringkat awal.

“Diharap kejadian seperti ini menjadi iktibar kepada masyarakat setempat tentang kesedaran keselamatan kebakaran yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.
SH

Saksi kes mahkamah didakwa ambil dadah




KUANTAN - Seorang saksi satu kes di Mahkamah Tinggi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mengambil dadah jenis Methylenedoixy Amphetamine (MDA).

Tertuduh, Foo Yong, 50 dari Petaling Jaya, Selangor bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadillah Md Ali di hadapan Majistret Norlina Maludin.

Dia yang diwakili peguam ketika sebutan kes itu semalam dibenarkan diikat jamin RM1,500 manakala 30 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh untuk sebutan kes itu seterusnya.

Foo didakwa mengambil dadah itu ketika berada di hadapan pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 5.15 petang, 10 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengambil dadah yang tersenarai di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (pindaan 2002) (Akta 234) sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun dan pengawasan polis tidak lebih 3 tahun.

Tertuduh difahamkan ditahan pihak polis di hadapan perkarangan kompleks mahkamah Kuantan selepas hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi.

Dia dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika memberi keterangan.
SH

Dua rakan bisnes maut




KUANTAN - Perjalanan tiga rakan ke Terengganu dipercayai atas urusan perniagaan berakhir tragedi apabila kereta Mercedes Benz yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 232.5 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Kuantan, awal pagi semalam.

Dalam nahas maut kira-kira jam 5 pagi itu, seorang ahli perniagaan yang juga pemandu kereta, Muhammad Hilmy Hamzah, 34 berasal dari Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, Kelantan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya, Aziz Hussin, 49 dari Taman Peserai, Batu Pahat Johor yang berada di tempat duduk penumpang belakang turut terkorban dalam kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, seorang lagi penumpang, Norhasni Ismail, 33 cedera parah.

Menurutnya, mangsa yang dipercayai menetap di Lembah Klang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi nahas, kereta yang dipandu Muhammad Hilmy dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori treler yang bergerak perlahan kerana membawa muatan berat.

“Akibat rempuhan kuat, bahagian hadapan kereta terbabit remuk teruk manakala pemandu dan seorang penumpangnya maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini petang semalam.

Mohd Jasmani berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

“Mayat mangsa dituntut keluarga petang semalam untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

“Punca sebenar nahas meragut dua nyawa ini dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Dikurung ahli gores dan menang



KUALA LUMPUR – Seorang pekerja khidmat pelanggan dikurung lebih sejam dalam sebuah premis oleh ahli sindiket gores dan menang.

Nam Fei Yong, 23, diperlakukan demikian setelah mengikut tiga ahli sindiket terbabit ke premis itu kononnya untuk mengambil hadiah peraduan gores dan menang.

Teman lelaki mangsa, Kor Lung Seng, 27, berkata, teman wanitanya didatangi tiga ahli sindiket terbabit di sebuah stesen transit aliran ringan (LRT) di Lembah Klang ketika pulang dari tempat kerja.

Menurutnya, ahli sindiket yang kesemuanya wanita itu memujuk mangsa membuka sampul surat dan kononnya memenangi hadiah lumayan, tetapi perlu mengikut mereka ke pejabat di Taman Desa, Sri Petaling.

Menurutnya, mangsa termakan pujukan ahli sindiket itu mengekori mereka ke pejabat berkenaan di mana terdapat dua lelaki menunggu.

Di premis itu mangsa dipaksa dan tidak dibenarkan pulang selagi tidak membuat bayaran RM7,000.

“Mereka paksa dia bayar RM7,000 konon sebagai cukai kerajaan sebelum membawa pulang hadiah, seterika elektrik dan tilam.

“Dia hubungi saya untuk bantuan dan saya mula syak sesuatu terjadi lalu pergi ke tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun, teman wanitanya membayar RM1,800, tetapi sindiket itu mengatakan dia berbaki hutang RM1,200 untuk hadiah terbabit yang bernilai RM3,000.

Dalam perkembangan sama, lima lagi wanita turut menjadi mangsa sindiket sama sejak 11 Mac hingga Selasa lalu membabitkan kerugian RM33,000.

Mangsa, Liew Siew Heng, 26, rugi RM11,000 setelah dipaksa membayar wang sebanyak itu kononnya untuk cukai kerajaan.

“Mereka beri pelbagai hadiah lumayan yang tidak berbaloi dengan wang saya bayar itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima 15 aduan sepanjang tahun ini melibatkan kerugian RM73,688.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai menjadikan wanita sebagai sasaran mereka untuk mengaut keuntungan terutamanya golongan pelajar.

Berikutan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan helah sindiket itu.
SH

Pengusaha kedai runcit didenda RM20,000




KLANG – Dua pengusaha kedai runcit didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam kerana menyimpan barang tanpa kelulusan kastam, tahun lalu.

Majistret, Liew Horng Bin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tarmizi Asnawi, 33 dan Muan, 39.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah menyimpan 20 katon rokok pelbagai jenama di kedai runcit mereka di Batu 7, Jalan Kebun, di sini, kira-kira jam 11 pagi, 6 Oktober 2010.

Kesemua rokok tersebut tiada bukti dibayar duti kastam RM600 di bawah Undang-undang Kastam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari jabatan kastam mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM12,000 atau 12 kali ganda nilai duti.

Mengikut fakta, pada hari kejadian jabatan kastam membuat serbuan terhadap kedai runcit mereka selepas menerima aduan awam. Hasil serbuan menjumpai rokok-rokok tersebut di bawah kaunter dan atas longgokan kayu di bahagian luar belakang kedai.

Tarmizi dan Muan yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Horng Bin kemudiannya memerintahkan kedua-dua mereka didenda RM10,000 seorang dan jika gagal membayar denda, kedua-duanya boleh dihukum penjara 12 bulan.
SH

Setahun lori kena sita




HULU LANGAT – Kira-kira 20 pengusaha lori pasir sekitar Hulu Langat mengadakan bantahan aman mendesak supaya Kerajaan Negeri segera tampil menyelesaikan permasalahan lori mereka yang didakwa dikenakan tindakan sita hingga menjejaskan sumber pendapatan mereka seharian.

Pengusaha lori berkenaan juga bersedia dikenakan sebarang denda dan hukuman atas kesalahan mereka, namun hingga kini hampir setahun lori mereka masih lagi disita tanpa sebarang tindakan jelas yang diambil oleh Kerajaan Negeri.

Naib Ketua MCA Selangor, Datuk Liew Yuen Keong berkata, Kerajaan Negeri yang hingga kini masih gagal mengambil sebarang tindakan berhubung permasalahan berkenaan amatlah dikesali kerana ia memberi kesan terhadap kehidupan mereka.

“Berdasarkan perbincangan awal dengan pemilik lori pasir itu, mereka sedia dikenakan tindakan asalkan lori mereka berjaya dimiliki semula untuk menjalankan aktiviti lain yang dapat memberikan sumber pendapatan.

“Namun keadaan ini sebaliknya berlaku kerana hingga kini belum ada sebarang keputusan atau maklum balas daripada Kerajaan Negeri berhubung permasalahan itu,” katanya kepada media selepas mengadakan bantahan aman di Kajang, semalam.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Negeri yang seolah-olah berdiam diri amat mengecewakan pengusaha lori tersebut.

“Ada di antara pemilik lori yang membuat pinjaman dengan bank terpaksa membayar pulangan yang tinggi serta tidak mampu melangsaikan pinjaman kerana tiada pekerjaan dapat dilaksanakan memandangkan lori mereka disita.

“Bayangkanlah ada di antara pemandu lori yang terpaksa berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain.

“Sehubungan itu, kita mendesak Kerajaan Negeri segera tampil menyelesaikan permasalahan ini dan pengusaha serta pemilik lori pasir berkenaan sanggup menerima hukuman di atas kesalahan yang dilakukan asalkan lori mereka dipulangkan kembali,” katanya.
SH

Tinggal parang selepas samun




PETALING JAYA – Sekumpulan penyamun yang bergiat aktif di sekitar Seksyen 5A, Kelana Jaya di sini didapati sengaja meninggalkan parang panjang pada setiap rumah mangsa yang disamunnya.

Kejadian yang berlaku sejak beberapa bulan lalu itu dilihat semakin menjadi-jadi di kawasan ini apabila kumpulan itu juga dikatakan merancang dengan baik setiap kegiatan jenayah mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mangsa samun yang hanya mahu dikenali sebagai Jay, 45, berkata, dia hampir disembelih oleh salah seorang anggota kumpulan terbabit apabila dikatakan tidak mengikut arahan

Dalam kejadian 18 April lalu, kira-kira jam 11.00 malam, rumahnya dimasuki lima lelaki memakai topeng ski, bersarung tangan getah dengan semuanya bersenjatakan parang panjang.

“Anak lelaki saya yang berusia 18 tahun diacukan parang panjang pada lehernya menyebabkan saya sekeluarga takut dan tidak mampu berbuat apa-apa, mereka mengikat tangan kami dengan wayar kecuali emak mentua saya yang berusia 71 tahun,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Saya dapat dengar dengan jelas perbualan dalam bahasa Tamil salah seorang penyamun dengan rakannya yang mengawasi di bahagian luar,” katanya.

Jay berkata, mereka mengambil masa selama lebih kurang 15 minit untuk melarikan barangan seperti komputer riba, wang tunai, barang kemas termasuk kunci kereta dan kunci pintu rumah yang dianggarkan bernilai RM15,000.

Menurut jirannya, suspek menggunakan kenderaan pacuan empat roda warna hitam dan motosikal untuk melarikan diri.

Ahad lalu, rumahnya sekali lagi cuba dimasuki penyamun itu, namun gagal apabila penggera keselamatan rumahnya berbunyi.

Difahamkan sejak kejadian itu, menurut Jay sebanyak sembilan kes yang sama dilaporkan berlaku di kawasan perumahan berkenaan.

Seorang pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Rose, 43, berkata, dua pekerjanya pernah disamun oleh anggota kumpulan itu.

Menurutnya, kejadian yang berlaku akhir tahun lalu itu dipercayai didalangi oleh kumpulan yang sama apabila mereka bertindak mengacukan parang panjang ke leher pekerjanya dan meminta untuk menyerahkan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku dan kes tersebut kini di dalam perhatian dan tindakan polis.
SH

Penunggang motosikal maut bertembung Perodua Kancil




KEMAMAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas mengalami kecederaan parah pada leher apabila skuter Yamaha Nouvo yang dinaikinya bertembung dengan sebuah Perodua Kancil dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Chukai – Air Putih, dekat Kampung Batu 4 Binjai, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, mangsa, Ezly Noor Izuan Nordin, 30, mati di tempat kejadian selepas lehernya cedera dipercayai terkena serpihan kaca pecah cermin hadapan kereta berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, sebaik kedua-dua kenderaan itu bertembung, mangsa yang masih bujang dan bekerja di Pelabuhan Kuantan, Pahang melambung ke bahagian cermin hadapan kereta mengakibatkan cermin kereta pecah sebelum mangsa jatuh ke atas jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Padang Lalang, Binjai menunggang skuter dari Binjai ke Chukai.

“Kereta kancil yang dinaiki pemandu lelaki berumur 36 tahun dari Chukai-Binjai ketika itu pula mahu membelok masuk ke simpang rumahnya di sebelah kanan.

“Bagaimanapun, ketika mahu membelok berlaku pertembungan kedua-dua kenderaan ini menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Akibat pertembungan, skuter dinaiki mangsa terputus dua kereta pula remuk di bahagian hadapan dan cerminnya pecah.

Selain cedera parah di leher, mangsa juga turut mengalami patah lengan kiri dan paha kiri.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah pada leher.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga selepas Solat Maghrib marin sebelum dikebumikan.
SH

Pelajar bawah umur ditangkap khalwat



KAMPUNG RAJA – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di daerah ini memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, dia berada di rumah pasangannya ketika ditangkap dekat Apal kerana berselisih faham dengan keluarganya.

Pelajar itu memberitahu ketika dia ditangkap dengan pasangannya pada 21 Mac tahun lalu disebabkan keluar rumah keluarganya selepas bergaduh dengan ibu dan bapanya.

Dia yang ketika ditangkap belajar dalam Tingkatan Tiga memberitahu demikian ketika Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof bertanya mengapa tertuduh berada di tempat kejadian sedangkan ketika itu sudah jam 12.05 malam.

Pelajar perempuan dari Kampung Gong Lilit dekat Apal yang masih di bawah umur itu, sebelum itu membuat pengakuan bersalah dan mahkamah yang berpuas hati dengan pengakuan salah tertuduh menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau sebulan penjara terhadapnya.

Pasangannya beralamat di Kampung Apal berusia 24 tahun bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pelajar itu ditangkap di sebuah rumah di Kampung Teluk Suda, Apal pada jam 12.05 malam pada 21 Mac tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu kerana berkhalwat yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, penguat kuasa syariah terpaksa masuk ke dalam rumah itu dengan memanjat melalui salah satu tingkap apabila usaha mengetuk pintu gagal dibuka tertuduh.

Menurutnya, apabila berjaya masuk ke dalam rumah itu, penguat kuasa mendapati tertuduh berada di dalam salah satu bilik dengan tertuduh perempuan memakai baju T dan seluar trek, manakala pasangannya tidak berbaju tetapi berseluar.
SH

Bapa sedia maafkan anak



KOTA BHARU – Seorang bapa sanggup melupakan kebuasan anak sendiri serta bersedia memaafkan kesalahan yang bertindak menikamnya akibat marah dihalang menghidu gam.

Mangsa, Che Hassan Jusoh, 58, berkata, dia bersedia menarik balik laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu Isnin lalu.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana dia tidak sanggup melihat masa depan anaknya yang berusia 28 tahun itu musnah.

“Saya tahu dia tidak sepatutnya bertindak demikian apatah lagi saya ni bapa dia, dia bertindak dalam khayal dan di luar kawalan selepas saya merampas gam yang sedang dihidunya.

“Ini kali pertama dia bertindak demikian dan saya percaya perbuatan sehingga mendatangkan kecederaan kepada saya itu tidak disengajakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh dekat sini semalam.

Sebelum ini katanya, dia pernah melarang, menasihati serta merampas dan membuang gam itu, namun anaknya tidak pernah bertindak ganas seperti itu.

Kejadian itu berlaku selepas waktu Maghrib ketika keluarga Che Hasan bersiap sedia untuk menikmati hidangan makan malam.

”Saya merampas gam itu dan membuangnya sebelum saya masuk ke dapur, dia mengekori saya dan mengambil pisau pemotong sayur lalu melibasnya.

”Saya terkejut dengan tindakannya dan menghampirinya untuk merampas pisau itu dan tiba-tiba pisau itu tertikam perut saya, dalam keadaan berlumuran darah, saya memeluk tubuhnya untuk mengelak dia bertindak lebih agresif,” katanya menceritakan kejadian itu turut mencederakan anak sulungnya, Che Anuar, 39, yang nekad menyelamatkannya.
SH

Tindakan pantas jiran penyelamat



KUBOR DATU - Tindakan pantas jiran berjaya menyelamatkan rumah sepasang warga emas, Hasan Muhammad,75, dan isteri, Khalijah Awang Mat,73, daripada hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba Jeli, Che Engku Chik berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu keluar menoreh getah di kawasan sekitar.

“Kejadian disedari jiran mangsa apabila terdengar bunyi letupan dan melihat asap keluar daripada bahagian dapur, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana pintu hadapan dikunci.

“Pemilik rumah balik tepat pada masanya dengan membuka pintu kunci rumah dan turut sama cuba memadam kebakaran menggunakan air paip sebelum bomba tiba,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui.

Menurutnya, kebakaran disebabkan suis yang disambung dengan pelbagai barangan elektrik lain menyebabkan penggunaan melebihi had punca peti ais meletup dan menyebabkan dinding papan bahagian dapur hangus.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jeli menerima panggilan daripada jiran mangsa pada jam 10.46 pagi semalam dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bomba dan bomba sukarela dengan kekuatan 11 anggota.

“Walaupun kebakaran berjaya dipadamkan jiran mangsa, namun pihak kami pastikan api dan keadaan terkawal sepenuhnya. Tindakan cepat mereka menggunakan air paip berjaya menyelamatkan sebuah rumah papan milik warga emas di sini daripada terbakar.

Che Engku berkata, tindakan pantas berjaya menghalang kebakaran merebak lebih teruk.

“Anggaran kerugian pasangan warga emas itu berjumlah RM1,500,” katanya.

Duda ditemui mati tergantung



TUMPAT - Seorang duda keturunan Siam, ditemui mati tergantung pada dahan pokok rambai selepas dipercayai membunuh diri dalam kejadian di Kampung Cherang, Chabang Empat, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Eh Chai A/L Eh Rak, 28, ditemui tergantung oleh bapanya, Eh Rak A/L Chau Kung, 50 dalam kawasan kebun kira-kira jam 10 pagi, ketika melalui kawasan berkenaan untuk bawa lembu ke padang ragut.

Tempat penemuan mayatnya hanya kira-kira 200 meter dari rumah ibu bapa mangsa.

Adik mangsa, Ronna Chai, 24, pekedai makan, berkata, ayahnya masih bersedih dengan tindakan abangnya mengantungkan diri dan tidak menduga kemurungan abangnya sejak akhir-akhir ini petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya.

“Seminggu ini perangai abang pelik sedikit, agak murung dan bersendirian. Memang rutin malamnya akan menunggang motosikal dari rumah ayah kami ke kedai makan saya yang terletak di Kampung Putih, tetapi dia hanya singgah sekejap sahaja.

“Biasanya dia akan berbual lama dengan saya di kedai tersebut dan akan pulang lewat malam ke rumah ayah di Kampung Cherang,” katanya.

Menurutnya, abangnya yang bekerja sebagai tukang rumah itu menduda sejak lima tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Sharifuddin Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap lelaki terbabit tidak ada kesan luka dan lebam pada badannya.

"Polis turut menemui sembilan biji pil kuda di dalam poket seluar mangsa terbabit," katanya.

Katanya, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklafikasikan lelaki terbabit mati mengejut.
SH

Letupan berani mati, 80 maut



MANGSA-MANGSA cedera dalam serangan pengebom berani mati di Akademi Polis Charsadda (kanan) dibantu keluar dari trak setibanya di Hospital Lady Reading di Peshawar, Pakistan, semalam. - REUTERS


PESHAWAR 13 Mei - Dua pengebom berani mati yang menaiki motosikal bertindak meletup diri mengakibatkan sekurang-kurangnya 80 orang di sebuah akademi polis separa tentera di Pakistan terbunuh, hari ini dalam serangan terbesar militan di negara ini selepas pembunuhan ketua al-Qaeda, Osama bin Laden.
Pengebom meletupkan bahan letupan yang mereka bawa ketika kumpulan kadet yang baru menamatkan latihan dan berpakaian awam itu hendak menaiki bas untuk pulang bercuti selama 10 hari, kata polis.
Serangan militan paling berdarah itu di Pakistan pada tahun ini dilancarkan ketika pucuk pimpinan tentera dan awam negara ini dilanda krisis berikutan pembunuhan Osama oleh komando Amerika Syarikat (AS) pada 2 Mei lalu.
Kejadian itu berlaku di kawasan Shabqadar, kira-kira 30 kilometer ke utara Peshawar, bandar utama di wilayah barat laut di mana militan yang ada kaitan dengan Taliban dan al-Qaeda kerap menyerang pasukan keselamatan.
"Seramai 80 orang terbunuh, 65 daripada mereka anggota polis separa tentera, manakala yang lain adalah orang awam," kata ketua polis daerah Charsadda, Nisar Khan Marwat.
Kira-kira 60 mangsa cedera dan sebanyak 12 kenderaan musnah dalam letupan itu, katanya.
Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu sebagai tindakan pertama untuk membalas dendam terhadap pembunuhan Osama dan memberi amaran mengenai serangan lebih besar di negara ini dan di Afghanistan.
Sementara itu kerajaan awam Pakistan yang menghadapi tekanan domestik untuk menghukum AS atas serangan yang membunuh Osama itu berkata, ia akan mengkaji semula kerjasama dengan Washington dalam kempen memerangi keganasan.
Washington tidak memberitahu Islamabad mengenai operasi sepasukan komando SEAL tentera laut AS yang menaiki helikopter ke bandar garison Abbottabad sehinggalah mereka keluar dari ruang udara Pakistan dengan membawa mayat Osama.
Operasi sulit awal pagi itu menjerumuskan politik Pakistan ke dalam krisis kerana Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani menghadapi desakan supaya meletakkan jawatan di tengah-tengah sentimen anti-Amerika yang semakin membara. - AFP/Reuters

Kerjasama Interpol jejak tiga lelaki Pakistan



SHAH ALAM 13 Mei - Polis Selangor akan bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan tiga lelaki warga Pakistan yang dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan syarikat 'Fly By Night' membabitkan urusniaga berjumlah RM1.5 juta.
Tiga lelaki berkenaan ialah Anuar Muhammad Khalid, 28; Sardae Zaki Hussain, 23; dan Ali Saqib Ali Sapdar, 41, yang dipercayai ketua sindiket terbabit yang menggunakan nama syarikat Zeerada Sdn. Bhd. di Jelatek Business Park, Ampang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, sindiket itu dikesan setelah polis menerima lima laporan daripada mangsa dalam tempoh 26 April hingga 15 Mei lalu.
"Mereka mendakwa telah ditipu oleh sindiket terbabit yang melakukan urusniaga palsu membabitkan tempahan barangan elektrik seperti televisyen, pendingin hawa dan peti sejuk.
"Setelah mendapat persetujuan harga daripada pembekal, anggota sindiket itu akan membuat pembayaran menggunakan cek tertunda yang mengambil masa antara tujuh dan 30 hari untuk ditunaikan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, pembekal hanya menyedari ditipu apabila mendapati cek itu tidak boleh digunakan apabila berurusan di bank dan hasil pemeriksaan mendapati syarikatnya itu telah ditutup.
"Kita percaya tiga suspek ini telah meninggalkan negara ini pada 24 April lalu. Disebabkan itu kita akan minta bantuan Interpol dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia bagi mengesan suspek," jelasnya.
Sementara itu, Mun Phing memberitahu, pihaknya berjaya merampas satu kontena mengandungi barangan elektrik yang cuba dieksport keluar oleh sindiket terbabit ke Dubai dalam satu operasi kira-kira pukul 11 pagi di Pelabuhan Utara, Klang, semalam.
Hasil pemeriksaan, katanya, pihaknya menemui enam unit mesin dobi, 50 buah peti ais yang dianggarkan bernilai RM400,000, hasil maklumat daripada syarikat penghantaran dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Beliau turut meminta mana-mana syarikat penghantaran di negara ini yang mengadakan urusniaga dengan sindiket itu melalui Zeerada supaya menghubungi pihaknya di talian 03-42952222 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.