Search This Blog

Thursday, May 12, 2011

Cubaan seludup diesel dan petrol gagal


BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menyita 4,000 liter petrol dan 1,000 liter diesel dipercayai cuba diseludup serta sebuah kenderaan pikap Thailand bernilai RM35,000 di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari berkata dalam operasi itu, tujuh anggotanya menyerbu ke sebuah tempat menyimpan minyak petrol dan diesel tidak berlesen kira-kira pukul 9.45 pagi tadi dan berjaya menahan pemilik tempat berkenaan.

"Tempat simpan minyak petrol dan diesel ini baru sahaja seminggu beroperasi dan mereka menyeludup minyak ini ke negara jiran pada waktu pagi dengan menggunakan kenderaan Thailand.

"Mereka mendapatkan bekalan minyak melalui pembekal tempatan yang menghantar minyak ini pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum diseludup ke negara jiran, Thailand," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, suspek menggunakan kenderaan yang diubahsuai (tangki) dan mendapatkan bekalan dari stesen minyak sekitar kawasan Kubang Pasu dan Alor Setar.

Lelaki Bakar Diri Hingga Mati Lepas Gaduh Dengan Isteri


KUALA LUMPUR: Seorang pengendali jentera penggorek telah membakar dirinya dengan petrol selepas bergaduh dengan isterinya.
Yap Sai Chew, 45, mati akibat lecur pada badan di hadapan rumah ibu mertuanya di Taman Bukit Maluri, Kepong, pada Khamis.
Adalah difahamkan, Yap telah mencurah dua botol berisi petrol ke seluruh badannya sebelum membakar dirinya dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu.
Menurut abang ipar mangsa yang bernama Liew ,40, Yap datang ke rumah ibu mertuanya pada lebih kurang jam 10 pagi untuk bertemu dengan isterinya.
Sebelum itu pasangan suami-isteri itu telah bergaduh yang menyebabkan isteri Yap kembali ke rumah ibunya. Mereka tinggal berdekatan.
Bagaimanapun, Liew berkata, mereka sekeluarga tidak membenarkan Yap memasuki rumah tersebut walaupun dia mengetuk pintu rumah tersebut tanpa henti.
Yap meninggalkan rumah tersebut selepas hampa tidak dibenarkan masuk.
Namun demikian, tidak lama kemudian Yap kembali pada lebih kurang jam 11.30 pagi sambil menjerit-jerit di luar rumah dan selepas itu membakar dirinya sampai mati.
Mayat Yap kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

2 rakyat Malaysia ditahan rampasan heroin di Sydney


MELBOURNE: Dua rakyat Malaysia ditahan dan polis merampas heroin seberat 24 kilogram dengan nilai pasaran A$49 juta di pelabuhan Sydney, awal pagi tadi. 


Polis dalam kenyataannya, berkata heroin yang dibungkus dalam 145 paket itu ditemui dalam penghantaran barangan perabot rumah di Pelabuhan Botany, Sydney.
Lelaki berusia 30 dan 34 tahun itu dijangka dihadapkan ke mahkamah di Sydney atas dakwaan mengimport dan cubaan memiliki dadah, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Pengarah jenayah terancang pasukan polis NSW, Mal Lanyon, berkata serbuan itu memberi kesan yang besar kepada pengedaran heroin di Sydney 

Kejayaan itu adalah kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Persekutuan Australia (AFP) dan kastam, katanya. - BERNAMA , bharian

Ahmad Sarbani tidak bunuh diri: Keluarga


IPOH: Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, 56, pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lalu, percaya mangsa tidak membunuh diri berdasarkan petunjuk baru diperolehi akhir bulan lalu.


Petunjuk itu merujuk kenyataan "bukan saya...orang saya" yang dilafazkan oleh seorang pegawai SPRM kepada balu mangsa, Masiah @ Maziah Manap, 50, ketika pegawai berkenaan serta beberapa individu lain dari SPRM menemui Masiah dan dua anaknya untuk menyerahkan kembali dokumen peribadi Allahyarham di Pejabat Kastam Subang, Selangor, pada 28 April lalu.
Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham, Awtar Singh, dari Tetuan Awtar, Ghazali, Augustine & Co berkata, jawapan mengejutkan itu terpacul dari mulut pegawai itu sebaik Masiah meluahkan perasaannya berhubung kematian suaminya sebelum bertanya kepada pegawai berkenaan apa yang akan dilakukan jika pegawai itu berada ditempatnya.
Katanya, pada ketika itulah, pegawai berkenaan dengan nada perlahan mengeluarkan kata-kata "bukan saya...orang saya" kepada Masiah tetapi apabila Masiah mahu mendapatkan penjelasan apa dimaksudkan "orang", pegawai terbabit hanya mendiamkan diri.

"Masiah sudah pun membuat laporan polis berhubung petunjuk baru itu pada 2 Mei lalu, namun sehingga kini kami difahamkan polis belum mengambil keterangan daripada mana-mana individu berhubung maklumat terbaru itu.

"Dengan maklumat yang ada berserta maklumat baru ini, anak guam kami yakin sepenuhnya bahawa arwah tidak membunuh diri sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu sebelum ini," katanya pada sidang media di frima guaman berkenaan di sini, hari ini.

Sementara itu, rakannya, Ghazali Mohd Ramli dari firma guaman sama berkata, keluarga Allahyarham mengesyaki kenyataan "terlepas cakap" pegawai SPRM itu mendedahkan siapa yang bertanggungjawab di dalam kes kematian Ahmad Sarbani. 
Katanya, kenyataan akhbar itu juga bagi menyangkal dakwaan dan spekulasi dibuat akhbar dan media elektronik yang memberi gambaran bahawa ada kemungkinan Allahyarham membunuh diri akibat tekanan yang diterima daripada siasatan yang dibuat SPRM.

Ahmad Sarbani yang juga Penolong Pengarah Cawangan Import, Eksport dan Kawalan Sempadan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM berkenaan yang terletak di Jalan Cochrane pada 6 April lalu, selepas datang ke kepajabt itu untuk memberi keterangan berhubung siasatan dilakukan agensi itu.

Polis sebelum ini mengesahkan siasatan kes kematian itu sudah selesai dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kerana mendapati tiada unsur jenayah.

Pejabat Peguam Negara yang menerima kertas siasatan itu daripada polis bagaimanapun memulangkan semula kertas itu kepada pasukan berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk mengambil semula keterangan seorang saksi berhubung kes berkenaan secara terperinci. 

KPDNKK rampas 5,000 liter petrol dan diesel


BUKIT KAYU HITAM — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menyita 4,000 liter petrol dan 1,000 liter diesel dipercayai cuba diseludup serta sebuah kenderaan pikap Thailand bernilai RM35,000 di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari berkata, dalam operasi itu, tujuh anggotanya menyerbu ke sebuah tempat menyimpan minyak petrol dan diesel tidak berlesen kira-kira pukul 9.45 pagi tadi dan berjaya menahan pemilik tempat berkenaan.
“Tempat simpan minyak petrol dan diesel ini baru sahaja seminggu beroperasi dan mereka menyeludup minyak ini ke negara jiran pada waktu pagi dengan menggunakan kenderaan Thailand.
“Mereka mendapatkan bekalan minyak melalui pembekal tempatan yang menghantar minyak ini pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum diseludup ke negara jiran, Thailand,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, suspek menggunakan kenderaan yang diubahsuai (tangki) dan mendapatkan bekalan dari stesen minyak sekitar kawasan Kubang Pasu dan Alor Setar.
Suhaimi berkata, ketika serbuan pemilik tempat simpanan warga tempatan berumur 30-an itu ditahan manakala pemandu kenderaan yang sarat membawa 1,000 liter petrol berjaya melarikan diri.
Suspek akan didakwa mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — Bernama

Pukul anggota JPJ: Suspek dikenal pasti


KUALA TERENGGANU — Polis telah mengenal pasti kumpulan lelaki yang terlibat dalam kes memukul seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyebabkan pegawai itu cedera di bahagian muka dan badan dalam kejadian pada petang Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata, polis yang memandang serius kes itu kini sedang mengesan kumpulan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
"Polis meminta individu yang terlibat dalam kejadian itu datang ke balai polis berhampiran untuk menyerah diri.
"Kita memandang serius kes ni kerana ia melibatkan seorang kakitangan kerajaan dipukul ketika menjalankan tugas, sehubungan itu saya juga menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda. — Bernama

Pengurus insurans rugi RM7,000, rumah dipecah masuk


KOTA KINABALU 11 Mei - Seorang pengurus cawangan sebuah syarikat insurans kerugian RM7,000 apabila rumahnya di Jalan Damai dekat sini, dipecah masuk pencuri Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an dikatakan kehilangan dua komputer riba dalam rumah berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Ramli Ali Mat berkata, siasatan awal mendapati pencuri terbabit memasuki rumah pejabat itu melalui pintu belakang.
"Kita dapati pagar besi pintu belakang rumah itu dipecahkan manakala tombol pintu turut dirosakkan," katanya di sini hari ini.
Ramli berkata, mangsa hanya menyedari kejadian itu apabila dia masuk ke rumahnya kira-kira pukul 8.15 pagi hari sama dan terus membuat laporan polis selepas itu.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pemuda ditahan bersama sekilo heroin



MERSING 11 Mei - Seorang pemuda ditahan dalam satu sekatan jalan raya di persimpangan Tenggaroh hari ini kerana disyaki memiliki sekilogram dadah jenis heroin.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rashid berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 5 pagi apabila anggota polis mengarahkannya turun dari kereta Nissan Sunny berwarna kelabu untuk membuat pemeriksaan ke atasnya.
"Suspek yang berusia 27 tahun itu melawan dan cuba melarikan diri. Namun kecekapan anggota polis dari Balai Polis Sungai Ambat berjaya menahannya dan pemeriksaan lanjut menjumpai dadah jenis heroin seberat kira-kira satu kilogram di dalam kereta tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Suspek yang beralamat di Taman Sri Pulai, Johor Bahru kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing untuk siasatan lanjut.

Satu maut, dua parah



KUALA LUMPUR 11 Mei - Seorang pemuda terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam satu kemalangan di Jalan Tun Razak malam semalam.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan pukul 9.40 malam itu berlaku ketika mangsa dan seorang rakannya yang memandu kenderaan dalam perjalanan dari arah Bulatan Pahang menghala ke Bulatan Kampung Pandan.
Kereta Proton Wira yang dinaiki mereka kemudian hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan lampu isyarat, lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan penumpang, L. Krishnan, 24, maut manakala pemandu kedua-dua kenderaan terbabit parah," katanya di sini hari ini.

54 mesin judi berkomputer dirampas


IPOH 11 Mei - Polis merampas 54 mesin judi berkomputer bernilai RM135,000 dan menahan lima pengusaha serta 14 pelanggan dalam serbuan di empat premis judi haram di sekitar Bidor, dekat Tapah, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, lima pengusaha premis tersebut berusia sekitar 40-an dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4b (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Seramai 14 lelaki yang ditahan pula berusia antara 21 dan 57 tahun dan mereka disyaki terlibat dalam aktiviti judi di premis berkenaan," katanya di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, Roslan memberitahu, seorang kerani hospital maut apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer 1 Jalan Tapah - Changkat Petai, Tapah, pagi ini.
Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Noor Fadilah Mohamed Isa, 27, dan berasal dari Tapah Road di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Kejadian berlaku ketika wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Slim River pada pukul 6.40 pagi.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Viva dipandu mangsa merempuh belakang sebuah lori di hadapan yang membuat pusingan U secara tiba-tiba," katanya.

Anggota tentera maut kereta rempuh pokok




ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat Rosli Ngathimeen yang tersepit selepas keretanya melanggar sebatang pokok di Sungai Gadut, Rembau, semalam.


REMBAU 11 Mei - Kurang 24 jam selepas berlakunya kemalangan ngeri meragut tiga nyawa di Jempol semalam, seorang anggota tentera pula maut malam tadi selepas kereta dipandunya merempuh sebatang pokok di Sungai Gadut, di sini.
Dalam kemalangan pukul 11.15 malam, mangsa, Rosli Ngathimeen, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan badannya akibat tersepit dalam kenderaannya.
Jurucakap polis memberitahu, kejadian itu berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Rembau ke Seremban dengan memandu kereta Honda Accord.
"Setibanya di lokasi, kenderaannya itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, mangsa merupakan seorang anggota tentera dari Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya masih lagi menyiasat mengenai punca kemalangan.
Jelas beliau, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk tujuan bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya.

Lagi GRO sembunyi dalam bilik rahsia ditahan polis



GEORGETOWN - Tindakan 18 gadis pelayan pelanggan (GRO) yang menyembunyikan diri dalam sebuah bilik rahsia selepas menyedari kehadiran polis di sebuah kelab malam di Lebuh Farquhar di sini gagal apabila perbuatan mereka itu berjaya dihidu malam kelmarin.

Serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira jam 9 malam itu berjaya memberkas 15 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga China yang dipercayai berkhidmat untuk melayan pelanggan berhibur selain menawarkan khidmat seks.

Menurut sumber, ketika serbuan kesemua GRO itu bertempiaran lari menyembunyikan diri tetapi tindakan mereka mengaburi mata polis dengan bersembunyi di dalam bilik rahsia gagal selepas polis berjaya mengesan taktik mereka.

Kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Pesara tentera dituduh cabul anak kandung




AYER KEROH - Harapkan pagar, pagar makan padi! Itu perumpamaan yang boleh diberikan kepada seorang bapa yang juga seorang pesara tentera yang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana mencabul dan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya berusia 14 tahun.

Tertuduh, Azleen Ahmad, 44, dari Sungai Udang bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan mencabul dan satu pertuduhan mendatangkan kecederaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dua kes memababitkan cabul dan mendatangkan kecederaan telah disebut di hadapan Hakim Abu Bakar Katar dan tiga lagi kes cabul disebut di hadapan Hakim, Zaharah Hussain.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap perempuan berusia 14 tahun dengan cara menyeluk dan meraba kemaluan dengan niat mencabul kehormatan di bilik belajar di sebuah rumah di Taman Terendak Permai kira-kira jam 8 malam pada 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama dan dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan yang lain, tertuduh didapati telah meramas buah dada dan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa yang sama pada Mac 2010 kira-kira jam 11.30 pagi di atas sofa di ruang tamu, Julai 2010 kira-kira jam 3.30 petang di atas katil bilik tidur dan 4 Mei 2011 kira-kira jam 7 malam di ruang makan di rumah yang sama.

Semua pertuduhan cabul didakwa mengikut 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dikhuatiri tertuduh akan mengganggu mangsa yang merupakan anak kandungnya.

Ifa bagaimanapun menawarkan RM15,000 bagi kes yang disebut dihadapan Abu Bakar dan RM20,000 bagi tiga pertuduhan yang disebut di hadapan Zaharah sekiranya mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguamnya, Markhan Singh ketika rayuan memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan anak guamnya baru bersara dua bulan lalu dan perlu menanggung lima orang anaknya.

“Mangsa juga tidak lagi tinggal di rumah tertuduh dan telah dijaga bapa saudara mangsa yang juga adik ipar kepada tertuduh di Solok Duku, Masjid Tanah, Alor Gajah dengan jarak antara rumah tersebut dengan rumah tertuduh di Sungai Udang,” katanya.

Abu Bakar yang mendengar hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak membenarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh manakala Zaharah membenar jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Zaharah menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes dan akan mendengar kelima-lima pertuduhan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Ibu hamil lima bulan maut



KUALA SUNGAI BARU - Seorang ibu hamil lima bulan maut apabila motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Tanjung Dahan, di sini, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Kemalangan itu turut mengorbankan seorang warga emas yang menaiki motosikal terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Linggi ke Kuala Sungai Baru.

Dalam kejadian itu, Nurfadhilah Isa Goh, 22, yang menunggang motosikal bersama ibunya, Esah Sharip, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat rempuhan kuat sebuah kereta yang datang dari arah belakang menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifudin Shaharudin berkata, kereta terbabit yang dinaiki dua lelaki berusia lingkungan 24 tahun dipercayai hilang kawalan setibanya di satu selekoh tajam di kampung berkenaan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik.

“Akibat rempuhan itu, kereta terbabit melanggar sebuah motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang berada kira-kira dua meter dari tiang elektrik berkenaan sebelum tercampak di halaman salah rumah penduduk kampung di situ,” katanya.

Katanya, mangsa dan ibunya mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dengan kedua-duanya maut serta merta di tempat kejadian.

Sementara itu Umar meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan minta tampil di Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Alor Gajah atau menghubungi 06-5566222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, saksi kejadian yang dikenali sebagai Mashita, 45, berkata beliau melihat sebuah kereta dipercayai terbabas ketika melalui satu selekoh di kampung itu sebelum merempuh tiang elektrik dan motosikal mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Kereta melekat pada pokok



SEREMBAN – Hajat seorang tentera untuk membawa anak-anak dan isteri bermandi-manda di air terjun tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa, Koperal Rosli Ngathimeen, 37, hanya sempat berbual dengan anak bongsunya yang berusia empat tahun sebelum berlaku kemalangan.

“Semalam dalam jam 9.30 malam, dia menelefon saya untuk beritahu yang hari ini (semalam) dia cuti, kemudian nak bawa anak-anak pergi mandi di air terjun.

“Lepas itu dia sempat juga bercakap dengan anak bongsu ini. Tapi tidak tahu apa pula yang mereka cakap bersama,” jelas balu mangsa, Ramadieh Berahim, 35 di perkarangan luar rumah mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dekat sini, semalam.

Katanya, seminggu sebelum kemalangan, mangsa yang baru membeli sebuah kereta jenis Honda Accord dikatakan sering pulang ke rumah di Mantin dari tempat kerja.

“Selalunya dia akan pulang seminggu sekali sahaja, tapi sejak hari Isnin lepas, hari-hari dia balik ke rumah,” katanya.

Ramadieh yang tidak bekerja dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa suaminya itu kira-kira jam empat pagi semalam oleh anggota polis.

“Pukul empat pagi tadi (semalam) polis datang ke rumah beritahu suami kemalangan dan dia telah meninggal,” katanya.

Difahamkan kira-kira jam 11.15 malam kelmarin, mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang dengan memandu kereta jenis Honda Accord ke rumahnya dari bertugas di Kem Syed Sirajudin Gemas terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Sungai Gadut, Jalan Seremban-Tampin.

Jurucakap polis memberitahu, mangsa yang memandu secara bersendirian dari arah Rembau ke Seremban, maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Malah kereta yang dipandunya itu turut remuk dan melekat pada batang pokok tersebut dan mangsa telah tersepit dalam kereta itu.

“Sewaktu tiba di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan,” katanya.

Mangsa yang telah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATM) hampir 19 tahun meninggalkan seorang isteri dan lima anak berumur antara 12 tahun hingga empat tahun.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya masih lagi menyiasat punca kejadian itu.

Jenazah mangsa yang dibawa ke HTJS untuk bedah siasat telah dituntut kelurga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Mantin Dalam, petang semalam.

Tiga pelanggan TNB lapor polis



MENTAKAB – Tiga pemilik kediaman yang bakal dikenakan pemotongan bekalan elektrik akibat gagal melunaskan bayaran bil kerana pengusikan meter menegaskan bahawa mereka enggan membayar tunggakan tersebut.

Tiga pemilik kediaman terbabit, Yap Bi Hie, Sim Bok yang diwakili anaknya Sim Hock Loong dan S.Rajeswari semalam, membuat laporan polis kerana membantah tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan di kediaman mereka.

Mereka turut berasa kesal kerana TNB mendakwa mereka melakukan pengusikan meter sekali gus menyebabkan mereka perlu membayar tunggakan bil yang tinggi.

Bi Hie mendakwa dia tidak membuat sebarang pengusikan pada meter, bagaimanapun, dia dikenakan bayaran tunggakan sebanyak RM12,184.17 manakala Rajeswari perlu membayar lebih RM9,000.

Seorang lagi pemilik diwakili anaknya, Hock Leong seorang penoreh getah perlu membayar RM4,402.98. Kesemua mereka tinggal di sekitar Mentakab.

Mereka membuat laporan di Balai Polis Mentakab kira-kira jam 11.30 pagi semalam diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab Datuk Chuah Boon Seong.

Boon Seong berkata, laporan dibuat bagi melahirkan rasa tidak puas hati pengguna kerana perlu membayar kos tunggakan sedangkan mereka mendakwa tidak melakukan pengusikan meter iaitu kesalahan yang boleh mengakibatkan TNB mengambil tindakan terhadap mereka.

Menurutnya, sebagai contoh, Rajeswari perlu membayar lebih RM9,000 walhal dia baru sahaja membeli rumah daripada pemilik asal.

“Saya dimaklumkan TNB, ada berlaku pengusikan meter dan TNB perlu ambil tindakan jika pemilik kediaman gagal membuat bayaran tunggakan.

“Jika TNB nak ambil tindakan itu hak mereka, tetapi sebagai pengguna yang tidak melakukan kesalahan tetapi perlu membayar kos ini adalah satu bentuk penindasan dan kita perlu lawan,” katanya, semalam.

Sinar Harian pada 11 Mac lalu melaporkan berlaku kekecohan apabila TNB bertindak memotong bekalan elektrik di 52 kediaman sekitar Temerloh kerana didakwa ubah meter.

Pengurus TNB Kawasan Temerloh, Affendi Abdul Rahman berkata, tindakan dibuat selepas siasatan dilakukan dan notis diberikan TNB kepada 157 kediaman yang disyaki melakukan pengusikan meter membabitkan kerugian kepada TNB sebanyak RM151,654.05.

Datuk diarah tidak dekati cucu



KOTA BHARU – Seorang datuk berusia 89 tahun disyaratkan supaya tidak mendekati cucunya dalam jarak kira-kira 500 meter selepas tertuduh dibenarkan diikat jamin sejumlah RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin.

Hakim Rofiah Mohamad turut mengarahkan Che Wel Ibrahim untuk melaporkan diri di Balai Polis Pasir Puteh setiap Ahad pertama pada setiap bulan.

“Kamu dilarang mengganggu saksi atau pergi ke rumah cucu (mangsa) yang terletak kira-kira jarak 500 meter dari rumah kamu.

“Kamu juga dikehendaki tinggal di rumah anak yang lain di Pasir Puteh sehingga kes ini selesai,” katanya.

Che Wel berdepan tuduhan merogol cucunya yang berusia 9 tahun di sebuah kandang lembu berhampiran rumahnya di Kampung Kolam Tembesu, Pasir Puteh, jam 9 malam, Ogos tahun lalu.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sehingga 10 kali sebatan.

Sebelum itu, Che Wel membuat pengakuan tidak bersalah ketika kali pertama dituduh di Mahkamah Kota Bharu, 10 Februari lalu dan masih mengekalkan pengakuan sama sehingga, semalam.

Hakim Rofiah Mohamad menetapkan 5 Jun depan sebagai tarikh mula bicara kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri Asmah Azahari dan peguam bela, Mohd Marwalis Mahmud.

Penganggur dituduh pecah rumah



KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan memecah masuk rumah dalam kejadian di Kampung Pulau Kapas, Jalan Tapang, di sini, 2 Mei lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya, semalam.

Wira Ismail dari Taman Peradan, Jalan Hospital, di sini didakwa memecah masuk ke dalam rumah, Nurulhuda Md Saad pada waktu siang hari pada tarikh berkenaan.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, tertuduh didakwa dengan niat melakukan kesalahan itu untuk mencuri sebuah televisyen berjenama Samsung bersaiz 40 inci berwarna hitam milik mangsa.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun, boleh didenda atau sebatan jika kesalahan diulangi mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dengan niat pecah masuk untuk mencuri jika disabitkan dan didapati bersalah.

Majistret Nur Zakiyah Shamsudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,800 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes tertuduh 22 Mei depan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Pastikan api sentiasa dikawal



BERIS LALANG – Walaupun diuji dengan musibah kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar tanaman anak kelapa sawit, pekebun terlibat diharap dapat bersabar dengan segala ujian yang diterima.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir berkata, setiap yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri dan manusia sebagai hambaNya perlu sentiasa tawakal.

“Saya bersimpati dengan apa yang berlaku dan berharap pekebun ini, Che Mod Muhammad Nor, 48, apabila ladang kelapa sawitnya terbakar dalam kejadian Ahad lalu.

“Justeru, suka saya ingatkan agar semua peladang atau pekebun sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika menggunakan bahan api untuk membakar semak samun di ladang mereka

“Pastikan api sentiasa dikawal agar tidak berlaku pembakaran terbuka dan menyebabkan kebakaran tidak terkawal,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam, Abdul Azziz meninjau lokasi kebakaran yang menyebabkan kira-kira tiga hektar ladang kelapa sawit milik Che Mod yang musnah.

Sinar Harian difahamkan, kawasan ladang tanah gambut tersebut sukar dikawal apinya memandangkan ia menyimpan bara di bahagian bawah tanah.

Pihak Bomba Dan Penyelamat Bachok juga dikatakan berkampung di kawasan tersebut untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan lain.

Misteri histeria empat pelajar



MARAN -Seramai empat pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini diserang histeria ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung, semalam.

Pelajar terbabit dikatakan meracau-racau dengan suara pelik tetapi kasar dan perilakunya seperti seekor harimau sedang mencakar.

Akibat kekecohan yang berlaku dan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, pelajar lain dibenarkan pulang seawal jam 12 tengah hari.

Kejadian dikatakan bermula dengan seorang pelajar perempuan yang sedang belajar di dalam kelas meracau hingga berlarutan membabitkan pelajar lain dari kelas berasingan.

Pelajar terbabit dikatakan diganggu makhluk halus sehingga meracau-racau dan menyebabkan rakan sekelas panik sebelum keadaan dikawal beberapa guru.

Difahamkan, Jumaat lalu, seorang guru perempuan di sekolah itu menjadi mangsa pertama dan dua pelajar perempuan tingkatan satu pula diserang histeria, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menerima laporan daripada pihak sekolah.

Menurutnya, kejadian semalam yang membabitkan empat pelajar perempuan itu berlaku di kelas berasingan dan tiada sebarang kemalangan berlaku.

“Bagi mengelak insiden tidak diingini dan demi keselamatan pelajar, pihak sekolah mengambil langkah segera dengan membenarkan semua pelajar pulang awal.

“Sekolah akan dibuka esok (hari ini) dan sesi pembelajaran akan berjalan seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Dihukum jel, denda kerana seks dengan budak

SINGAPURA
SEORANG lelaki berusia 25 tahun dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda $8,000 semlam kerana mengadakan hubungan seks dengan seorang budak perempuan bawah umur.
Budak itu berusia 15 tahun ketika kesalahan itu dilakukan pada Ogos 2009. Dia melahirkan seorang anak lelaki pada Mac tahun lalu.Satu ujian mengesahkan tertuduh bapa anak itu, yang kini dipelihara budak perempuan itu.Lelaki itu mengaku bersalah melakukan seks dengan budak itu di tangga di Blok 628, Bukit Batok Central.Tertuduh, yang berusia 23 tahun ketika itu, berkenalan dengan budak tersebut seminggu sebelum dia melakukan kesalahan itu menerusi seorang kawan lelaki budak tersebut.Di bawah undang-undang dia boleh dihukum penjara hingga lima tahun dan denda hingga $10,000.Dia dikenakan hukuman penjara tambahan empat minggu kerana tidak mampu membayar denda.

Kerani Hospital Maut Rempuh Belakang Lori


TAPAH: Seorang Kerani wanita terbunuh apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Km 1 Jalan Tapah-Changkat Petai di sini, Rabu.
Noor Fadilah Mohamed Isa, 27, berasal dari Tapah Road, di sini cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Ahmad berkata ketika kejadian pada pukul 6.40 pagi, Noor Fadilah yang memandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Slim River.
"Kereta yang dipandu mangsa merempuh belakang lori di hadapannya yang tiba-tiba membuat pusingan U," katanya di sini, Rabu.
Sementara itu, Roslan berkata polis menahan lima pengusaha premis berusia dalam lingkungan 40-an dalam serbuan ke empat premis judi komputer haram di pekan Bidor, semalam.
Turut ditahan dalam serbuan yang berakhir malam tadi itu ialah 14 lelaki berusia antara 21 dan 57 tahun kerana terbabit dalam kegiatan judi haram di premis berkenaan.
Polis turut merampas 54 komputer dalam premis berkenaan, katanya. -BERNAMA

Dua Anggota Kastam Hadapi Tuduhan Edar Kanabis


KANGAR: Dua anggota Kastam Diraja Malaysia Rabu dihadapkan ke mahkamah majistret di sini kerana dituduh mengedar 7,101.92 gram dadah jenis kanabis dekat sini bulan lepas.
Ismail Mansor, 42, dan Nazni Seman, 46, kedua-duanya daripada Cawangan Marin di sini, dituduh melakukan perbuatan itu di tempat letak lori kilang simen, Bukit Keteri, Chuping, 9.30 malam 27 April lepas.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta menetapkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sabri manakala Ismail diwakili peguam Anbalanathan Yathiraju tetapi Nazni tidak diwakili peguam.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim menetapkan 11 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes kerana perlu menunggu laporan kimia.
Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikatj amin. - BERNAMA

Perbicaraan Kes Dadah Benjy Disambung


KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes dadah membabitkan pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy diteruskan di Mahkamah Majistret di sini selepas ditangguhkan ekoran keadaan kesihatan pelakon terbabit.
Benjy, 33, yang baru keluar dari Pusat Pakar Damansara, di sini pada Selasa, hadir di mahkamah dengan ditemani oleh ibunya, seniwati Azean Irdawaty.
Sebelum ini, Benjy telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan untuk menerima rawatan sakit asma yang dihidapinya selepas berkahwin.
Penyakitnya dikatakan semakin teruk apabila dia ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor sebelum dibebaskan pada 17 Mac lalu.
Sebaik sahaja prosiding pada Rabu bermula, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy mengemukakan sijil sakit anak guamnmya sebagai bukti kepada Majistret Haffiza Sauni.
Perbicaraan hari ini diteruskan dengan keterangan saksi pendakwaan kelima, Lans Koperal Shafiq Sabirin, 27, yang bertugas sebagai detektif di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
Menurut saksi, dia terlibat dalam operasi penahanan Benjy pada 11 Mac lalu dan merupakan individu yang menggari tangan pelakon Kerana Cintamu Saerah itu.
"Saya juga diarahkan untuk membuat pemeriksaan badan terhadap suspek lelaki (Benjy) dan menjumpai sejambak kunci pada poket seluar kanan.
"Kemudian saya diarahkan untuk bawa suspek ke rumah jenis kondominium di Vista Mutiara dan untuk masuk ke kawasan rumah memerlukan kad yang dijumpai dalam kereta jenis Kia sportage nombor pendaftaran WJU 3800," katanya.
Shafiq juga memberitahu, berdasaran pemerhatiannya sebelum itu, kereta berkenaan dinaiki oleh Benjy dan seorang wanita yang merupakan bekas pembantu peribadinya, Afifi Hamid.
Benjy sedang dibicarakan atas tuduhan memiliki 0.24 syabu pada pukul 4 petang, 11 Mac lalu di rumah bernombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Off Jalan Segambut, di sini.
Anak tunggal lelaki dalam keluarga itu juga didakwa memiliki 0.14 gram syabu di rumah bernombor C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong, di sini, pada pukul 3 petang, hari yang sama.
Dia kini berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat dan Noormawarni Abdul Halim.
Perbicaraan akan bersambung pada Khamis.

Gempa bumi 5.3 skala Richter di Sepanyol


ANGGOTA penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa di celah sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat gempa bumi berukuran 5.3 mangnitud melanda Lorca, di selatan Sepanyol, lewat malam tadi. Laporan awal menyebut lapan orang maut manakala banyak bangunan warisan, gereja dan bangunan awam runtuh. - Foto REUTERS


MADRID 12 Mei - Satu gempa bumi berukuran 5.3 pada skala Richter telah menyebabkan beberapa bangunan roboh, merosakkan gereja bersejarah dan membunuh sekurang-kurangnya enam orang.Beberapa laporan menyatakan gempa bumi yang luar biasa itu menggegarkan kawasan Murcia dan menjejaskan kawasan perumahan serta menara gereja bersejarah di sebuah bandar pertanian.
Gempa bumi itu berlaku pada pukul 6.47 malam waktu tempatan (12.47 pagi waktu Malaysia) selepas satu gegaran kecil 4.4 pada skala Richter berlaku pada pukul 11.05 malam (waktu Malaysia) dan berlaku 1 kilometer di bawah tanah. - Reuters

Padah asmara isteri orang


Tangan hampir putus kena libas 


KODIANG: Bahana memadu kasih dengan isteri orang, seorang lelaki hampir putus tangan akibat ditetak suami kekasihnya yang berang selepas mengetahui hubungan sulit mereka di Kampung Palas di sini, pagi kelmarin.
Kejadian itu berlaku jam 7.30 pagi ketika mangsa berusia 40-an dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Palas ke tempat kerjanya di Pekan Kodiang di sini, apabila keretanya ditahan seorang jiran lelaki.
Suspek yang berada di kawasan berhampiran, kemudian dikatakan menarik mangsa keluar dari kereta dan mengheretnya ke kereta suspek yang terletak tidak jauh dari tempat itu. 

Suspek kemudian mengambil sebilah parang yang diletak di atas but keretanya dan melibas ke arah mangsa. 

Mangsa cuba mempertahankan diri dengan menepis tetakan itu, tetapi ia terkena ke sikunya sehingga menyebabkan tangan kiri mangsa hampir terputus. 

Mangsa kemudian dikatakan cuba lari untuk mendapatkan pertolongan penduduk kampung, namun ditetak sekali lagi di bahu dan perut. 
Bagaimanapun, tindakan segera penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu berjaya menahan suspek daripada terus menyerang mangsa. Suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Kodiang. 

Anak lelaki sulung mangsa berusia 20-an yang tiba di lokasi kejadian membawa bapanya ke Hospital Jitra (HJ). 

Mangsa yang mempunyai empat anak kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berikutan kecederaan serius. 

Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada dendam lama dan mengakui suaminya pernah bercinta dengan isteri suspek. 

“Mungkin tindakan suami saya pernah beberapa kali menghantar SMS kepada isteri suspek, menyebabkannya naik berang. 

"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kodiang dan menyerahkan kepada polis untuk ambil tindakan terhadap penyerang suami saya,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

Katanya, polis sudah menahan lelaki berusia 47 tahun untuk membantu siasatan. 

10 ahli Geng Aho tumpas



KETUA Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan (kiri) menunjukkan barang rampasan dari Geng Aho ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini. Tangkapan suspek berusia antara 25 hingga 48 tahun itu, polis berjaya merampas 11 kereta, komponen kereta termasuk dua enjin, serta pelbagai barangan lain seperti jam tangan Rolex dan batu jade. - Foto L Manimaran

Dipercayai terbabit 57 kes samun, larikan kenderaan 


IPOH: Polis Perak menahan 10 anggota Geng Aho yang dipercayai terbabit melakukan sekurang-kurangnya 57 kes samun menggunakan senjata tajam, pecah rumah dan melarikan kenderaan termasuk yang diseludup ke Thailand.
Semua mereka yang berusia 25 hingga 48 tahun dan mempunyai rekod jenayah, termasuk lima daripadanya pernah dikenakan perintah sekatan di Simpang Renggam, Johor, ditahan di sekitar bandar raya ini sejak 18 April lalu dalam Operasi Pintu/Lejang.
Susulan kejayaan itu, polis turut merampas 11 kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu termasuk masing-masing dua Toyota Camry dan Perdana V6, sebuah Toyota Altis selain dua enjin kereta, 10 jam tangan termasuk satu berjenama Rolex, beberapa batu jed, peralatan elektronik serta pelbagai barangan lain.

Pelbagai senjata tajam seperti parang yang digunakan bagi melakukan jenayah kekerasan terhadap mangsa dan peralatan yang digunakan untuk memotong besi dan mengumpil pagar rumah seperti tabung gas Oxy-Acetylene (OA), alat pemotong dan pemutar skru, turut dirampas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, yang menyifatkan kejayaan itu yang terbesar bagi kontinjennya tahun ini berkata, modus operandi anggota Geng Aho yang semuanya berasal dari sini adalah memecah masuk premis kediaman sebelum mencari kunci kereta dan melarikan kenderaan itu bersama pelbagai barangan lain.

“Sekiranya, pemilik premis terjaga daripada tidur, mereka akan menggunakan senjata seperti parang untuk melakukan jenayah kekerasan dan menyamun mangsa sebelum melarikan kereta dan pelbagai barangan.
"Kereta dicuri dijual kepada rakan jenayah mereka untuk diambil komponennya bagi kegunaan kereta yang terbabit dalam kemalangan, manakala kereta mewah terutama jenis BMW dijual kepada rakan mereka untuk diseludup ke Betong, Thailand.

“Hasil siasatan, kumpulan ini melakukan kegiatan pecah rumah, samun dan curi kenderaan di Perak sejak hujung 2009," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK berkenaan di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, walaupun polis yakin masih ada lagi anggota geng itu yang perlu diburu, tangkapan 10 suspek berkenaan termasuk terakhir seminggu lalu, berjaya menyelesaikan 34 kes pecah rumah dan curi, 17 kes curi kereta dan enam kes samun berkawan tanpa senjata api.

Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata pihaknya menahan 94 wanita warga China dan Vietnam yang disyaki bekerja pelayan pelanggan.

(GRO) dan melanggar pas lawatan visa dalam Ops Noda di Daerah Manjung dan Kerian pada 23 dan 24 April lalu.
bharian

Flet jadi 'penthouse' PATI




'OPERASI Sapu’ berjaya menahan 30 orang warga asing di Flet Sentul Utara, Sentul, Kuala Lumpur.
'OPERASI Sapu’ berjaya menahan 30 orang warga asing di Flet Sentul Utara, Sentul, Kuala Lumpur.

Rumah dua bilik diubah suai jadi tujuh diduduki 12 warga asing

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah rumah di tingkat paling atas Flet Sentul Utara, Sentul, di sini dianggap licik apabila sanggup mengubahsuai kediamannya seolah-olah menjadi sebuah 'penthouse' untuk menempatkan 12 warga asing termasuk lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di situ.
Rumah flet berkenaan yang asalnya dua bilik, diubahsuai secara haram menjadi dua tingkat dengan kemudahan tujuh bilik, menjadikan bumbung lebih tinggi berbanding unit lain di tingkat itu.
Tindakan pemilik rumah terbabit ‘menyimpan’ lapan PATI termasuk empat wanita, dibongkar ketika sepasukan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyerbu flet berkenaan jam 1 pagi semalam, selepas menerima aduan berhubung kebanjiran warga asing tanpa dokumen perjalanan sah dan tinggal di situ.

Lapan PATI terbabit menyewa di rumah itu sejak lebih setahun lalu dan bekerja di kawasan berhampiran sebagai pembantu rumah dan pekerja restoran.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Mohamed Yusof Khan Mohd Hassan berkata, dalam operasi itu, seramai 30 PATI termasuk 15 wanita warga Indonesia, Filipina, Pakistan, India, Nigeria dan Nepal ditahan hasil serbuan ke 20 unit rumah di flet berkenaan.

Katanya, ia dilakukan hasil pemantauan pihaknya sejak beberapa hari lalu berdasarkan aduan penduduk flet itu yang bimbang melihat kemasukan penduduk baru warga asing ke situ setiap hari.
“Kami percaya masih ada warga asing yang bebas, malah terdapat beberapa rumah yang disyaki dihuni warga asing terbabit tetapi ketika pemeriksaan dilakukan, mereka tiada di rumah,” katanya.

Dalam operasi sama juga, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut terkejut apabila teman wanitanya yang disangka rakyat tempatan rupa-rupanya wanita warga Indonesia.

Wanita terbabit bersama dua lagi rakannya yang juga warga Indonesia tinggal bersama lelaki itu, ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Lelaki terbabit yang dikatakan tidak dapat menerima kenyataan itu, cuba merayu anggota imigresen supaya teman wanitanya dibebaskan tetapi tidak diendahkan.

Mohamed Yusof berkata, walaupun sudah diserbu, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan ke atas lokasi berkenaan bagi memastikan PATI di kawasan itu dapat dikurangkan.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur juga berharap orang ramai menghubungi pihaknya bagi memberi maklumat jika mereka mengetahui kewujudan PATI di kawasan masing-masing untuk tindakan susulan.

“Semua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 61 (c) Akta Imigresen kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah, Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa dibenarkan dan Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana menyalahguna pas lawatan sosial.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara atau sebat,” katanya.
bharian

Ahli politik sekutu Thaksin ditembak

pix_gal0

Serangan dianggap ada kaitan pilihan raya

BANGKOK: Ahli politik pembangkang Thailand yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra cedera ditembak dalam satu serangan yang disifatkan kerajaan sebagai bermotifkan politik pada negara itu bakal menghadapi pilihan raya.
Penggubal undang-undang pembangkang Parti Puea Thai, Pracha Prasopdee, dimasukkan ke hospital selepas ditembak di bahagian belakang kelmarin di Samut Prakan, pinggir Bangkok.
Serangan itu berlaku selepas Thailand mengumumkan pilihan raya umum pada 3 Julai, keganasan bermotif politik pertama tercetus di Bangkok sekal 90 orang maut di ibu kota itu kerana protes anti kerajaan tahun lalu.

“Saya rasa ini berkaitan politik tetapi saya tidak tahu sama ada ia nasional atau politik tempatan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban, yang bertanggungjawab atas keselamatan dalam negeri.

Suthep berkata, beliau mengarahkan ketua polis untuk meningkatkan pengawasan bagi melindungi ahli politik terutama yang bertanding di kawasan panas.

Polis berkata, Pracha yang ketika itu memandu kereta ditembak sebanyak sembilan kali oleh penyerang bersenjata menaiki motosikal, tetapi kebanyakan peluru tidak mengenainya dan kecederaannya tidak mengancam nyawa.
“Polis masih menyiasat motif. Kita tidak pasti sama ada ia berunsurkan politik,” kata pegawai penyiasat polis, Leftenan Kolonel Saneh Maneenoi.

Jurucakap parti Puea Thai, Jirayu Houngsub berkata Pracha berniat bertanding semula untuk pilihan raya akan datang.

Ahli politik itu adalah penyokong setia Thaksin dan pernah melawat pemilik empayar telekomunikasi yang juga bekas perdana menteri Thailand itu di luar negara, tempat beliau tinggal dalam buangan.

Pilihan raya itu dijangka menjadi pertarungan sengit antara Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva yang disokong kumpulan elit Demokrat dan sekutu Thaksin, yang kini tinggal di luar negara bagi mengelakkan daripada dipenjara kerana kesalahan rasuah tetapi masih dilihat kuat.

Parti Abhisit adalah parti tertua dengan sokongan di Bangkok dan selatan tetapi tidak memenangi pilihan raya umum hampir dua dekad.

Masyarakat Thai berpecah selepas demonstrasi besar-besaran pergerakan pembangkang kumpulan Baju Merah yang mencetuskan pertelingkahan antara pembangkang dan tentera di Bangkok tahun lalu. – AFP
bharian