Search This Blog

Wednesday, May 11, 2011

Nyaris rentung



PARIT BUNTAR- Seorang pemandu nyaris rentung apabila lori yang dipandunya terbakar di Jalan Parit Buntar menghala Ipoh berhampiran Kampung Sungai Rawa, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 malam itu, Idris Jahaya, 31, dalam perjalanan dari Bukit Minyak, Pulau Pinang membawa muatan barangan plastik untuk di hantar ke kedai dan pasar raya sekitar Kuala Lumpur.

Idris berkata, sebelum kebakaran berlaku, dia menyedari ada percikan api sebaik menyalakan lampu tinggi.

“Selepas menukar ke lampu tinggi, saya nampak percikan api menyambar tempat duduk sebelah kiri, walaupun panik, saya sempat memberhentikan lori di bahu jalan dan melompat keluar,” katanya.

Idris berkata, sebaik api mula membakar kenderaannya, dia segera menghubungi balai bomba dan mengawal keadaan lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, ia adalah insiden pertama berlaku sejak memandu lori lebih sembilan tahun.

“Walaupun tidak sempat menyelamatkan barang, saya bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera, kebetulan saya memandu seorang diri,” katanya.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 10.27 malam.

Pegawai Bomba Kanan 2, Abdul Halim Mansor berkata, hampir 90 peratus bahagian lori berkenaan musnah.

“Pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut, punca dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan,” katanya.

Seleweng tong gas



JOHOR BAHRU - Premis kilang yang disangka lokasi cetakan video cakera padat (VCD/ DVD) tiruan berakhir dengan penemuan 339 tong gas yang diselewengkan dalam satu serbuan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor di kawasan Perindustrian Tiram, di sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa, Abdul Hamid Abu Bakar berkata atas maklumat orang awam, pegawainya telah melakukan risikan selama tiga hari sebelum bertindak menyerbu premis tersebut.

“Pada mulanya kita sangka tempat proses VCD haram, hasilnya kita menemui tong gas memasak domestik (LPG) yang dipindahkan ke dalam tong gas perindustrian yang dianggarkan bernilai RM50,000.

“Ketika serbuan, premis ini sedang menjalankan aktiviti pindahan gas yang dikendalikan oleh seorang warga asing yang kita mengesyaki pekerja di sini, kini kita dalam usaha mengesan pemilik premis ini berdasarkan rekod di majlis daerah,” katanya yang ditemui selepas serbuan ke kilang tersebut, di sini, semalam.

Operasi yang disertai 10 anggota itu dilakukan pada jam 11 pagi berjaya menemui 55 biji tong gas 50 kilogram (kg) berisi, 77 tong gas berkapasiti 14 kg berisi, 85 tong gas 50 kg yang kosong dan 122 tong gas 14 kg yang kosong.

"Kita percaya tempat ini dijadikan lokasi pindahan gas di mana melihat dengan struktur dan kelengkapan yang dibina di sini yang kita yakin untuk edaran pihak industri bagi mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.

"Ini kerana bagi tong 14 kg, ia dijual pada harga RM24 manakala tong gas perindustrian ia tidak mempunyai harga tetap dan dijual di pasaran terbuka dengan harga mencecah RM170 setong,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menahan seorang warga asing warga Bangladesh yang berusia 40 tahun dan sebuah lori yang berisi penuh tong gas 14 kg yang dilengkapi ais bagi penyejukan yang hendak dimuat turun turut disita.

Kes tersebut boleh didakwa mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana membawa hukuman denda RM250,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu.

“Ia merupakan :rampasan pertama yang direkodkan bagi tahun ini membabitkan penyelewengan gas,” katanya.

Penjaga kedai runcit didenda RM10,000



JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap seorang pembantu kedai runcit kerana merasuah pegawai polis sebanyak RM1,400, Febuari lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Chen Eng Sian, 46, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan :perbuatan itu di Jalan Pasar di Pekan Nenas, Pontian antara pukul 3.45 petang pada 18 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, Eng Sian didakwa memberikan rasuah tersebut kepada seorang anggota polis, Inspektor Jasrul Jamaluddin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dirinya atas kesalahan memiliki pelbagai jenis rokok seludup di kedainya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Guru dibelasah samseng




KULAIJAYA – Seorang guru tuisyen nyaris maut apabila diserang enam lelaki sewaktu ingin menemui rakannya di sebuah padang permainan di Taman Gemilang, di sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Mangsa, Ng Qi Kiat, 21, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kini sedang dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini.

Bapa mangsa, Ng Yok Hau, 50, berkata, Qi Kiat keluar dari rumah mereka di Bandar Putra setelah menerima panggilan dari rakannya yang meminta pertolongan kira-kira jam 3 pagi, semalam.

“Qi Kiat mempunyai sedikit kebolehan untuk menghalau ‘hantu’, jadi malam itu rakan dia minta tolong kerana ada orang terkena histeria atau dirasuk.

“Rakannya meminta dia tunggu di padang :permainan berkenaan dan dia terus bergegas ke sana seorang diri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, anaknya itu diserang kira-kira enam lelaki dan dipukul bertubi-tubi menggunakan kayu sebaik sahaja sampai di padang permainan itu sehingga menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala.

“Anak saya tidak mengenali suspek yang menyerangnya dan tidak tahu-menahu motif serangan berkenaan,” katanya.

Yok Hau berkata, kejadian itu diceritakan oleh anaknya sebaik sahaja mereka sekeluarga tiba ke hospital setelah menerima berita serangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kes berhubung kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan pihak polis masih menyiasat punca pergaduhan berkenaan.

“Pengadu telah dipukul sekumpulan lelaki iaitu kira-kira lima hingga enam orang dan terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Dia mengalami kecederaan di kepala dan kini berada dalam keadaan stabil manakala pihak polis sedang :mengumpul maklumat untuk mengenal pasti suspek yang terlibat dan motif pergaduhan,” katanya.

Pil khayal kini mudah diperoleh



KULIM - Dua remaja berusia 17 dan 19 tahun berasal dari Selama ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Taman Kenari, semalam.

Hasil pemeriksaan yang dibuat, seorang daripada mereka mempunyai rekod mencuri motosikal.

Kedua-dua mereka kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Inisiatif Bandar Selamat (IBS) Taman Kenari untuk disoal siasat.

Suspek berusia 19 tahun mengaku baru sahaja mengambil 20 pil khayal yang dibelinya dari farmasi di sekitar kawasan Serdang dan Selama.

Kebanyakan remaja membelinya kerana ia murah dan mampu mengkhayalkan mereka.

“Saya mula berjinak dengan pil khayal ketika berusia 15 tahun. Ketika itu saya bersama beberapa rakan lain sedang ponteng sekolah.

“Pil ini mudah diperoleh dan ia hanya berharga 70 sen sebiji. Ia mampu membuatkan saya berkhayal bagi tempoh masa yang lebih panjang,” katanya.

Dia berkata, ramai pelajar perempuan terlibat dalam penagihan pil khayal tetapi mereka pandai selindung perbuatan itu dari keluarga.

Dari ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua remaja terlibat, polis mendapati mereka positif dadah dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.

Nelayan didakwa edar dadah



ALOR SETAR - Seorang nelayan berdepan dengan hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tertuduh membela diri atas dakwaan mengedar 56827.2 garam dadah jenis kanabis di kawasan perairan pada tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan tertuduh menjalani perbicaraan bela diri terhadap pertuduhan berkenaan.

Tertuduh, Mohamad Faisol Hashim berumur 30-an bersama rakannya Amsan (telah meninggal dunia) pada 23 Mei 2010 jam lebih kurang 11.15 malam atas sebuah bot fiber tiada nombor pendaftaran didapati mengedar dadah berbahaya iaitu sejumlah 56827.2 garam dadah jenis kanabis.

Kesalahan dilakukan 6.9 batu nautika dari Pantai Kuala Perlis dalam perairan Malaysia.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Fakta kes menyebut, tertuduh ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis.

Mohd Zaki dalam penghakimannya menyebut, keputusan pada akhir pendakwaan mendapati pendakwaan telah mengemukakan keterangan tambahan yang merujuk kepada tertuduh mempunyai kawalan terhadap dua beg plastik hitam di dalamnya dadah.

Dari keterangan itu, Seksyen 39B adalah terpakai dan membuktikan tertuduh boleh disabitkan dengan kesalahan dan pendakwa juga membuktikan tertuduh sedang mengangkut dadah semasa ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Perlis, Aisyaf Falina Abdullah.

Terima padah rogol anak tiri



AYER KEROH - Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta empat sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah merogol anak tirinya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Hermanto Dahlan, 52, yang tidak diwakili peguam membuat mengaku bersalah selepas fakta pertuduhan dibacakan penterjemah mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Katar.

Berdasarkan fakta, tertuduh didakwa merogol anak tirinya berusia 13 tahun 11 bulan di sebuah rumah bernombor 1257-1 di Batu 6 1/2, Tanjung Keling kira-kira 11 malam pada 23 Julai 2009.

Sehari selepas kejadian, mangsa dilaporkan telah mengadu kepada seorang rakannya sebelum dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Melaka.

Pemeriksaan dijalankan pihak hospital mendapati terdapat kecederaan di bahagian kemaluan mangsa.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Iffa Sirhu Samsudin di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana beliau sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan.

Bagaimanapun, Iffa memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh melanggar amanah dan tanggungjawab mendidik anak, sekalipun sebagai anak tiri.

Menurutnya, hukuman berat juga akan dapat memberi pengajaran kepada umum.

Pencuci kolam maut



CHENG - Seorang lelaki tidak sempat untuk memulakan tugasnya apabila dia terkorban selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lori di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, Adam Molo, 50, dari Rumbia, bekerja sebagai pencuci kolam di sebuah kondominium di Klebang, menunggang motosikal dari lampu isyarat Bertam Ulu menghala ke lampu isyarat Cheng, Tanjung Minyak.

Dia dipercayai terjatuh dari motosikalnya selepas bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama, sebelum dirempuh lori berkenaan.

Anak tiri mangsa, Johelmi Jamaludin ,40, berkata, kali terakhir dia terlihat bapa tirinya sedang berbual dengan ibunya di rumah, petang kelmarin, namun tidak menunjukkan tanda-tanda pelik.

“Tidak sangka ayah akan pergi buat selama-lamanya dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini (semalam). Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya,” katanya.

Sorok syabu dalam kereta



PORT DICKSON – Dua paket dadah jenis syabu ditemui di dalam sebuah kereta milik seorang daripada tiga lelaki yang berjaya diberkas polis, awal pagi Ahad lalu di Lukut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, kejadian berlaku pada jam 2 pagi.

Menurutnya, polis menahan tiga lelaki berusia 20-an ketika mereka mahu pergi memancing di Lukut selepas berkelakuan mencurigakan.

“Gerak geri yang mencurigakan membawa kepada satu siasatan lanjut ke atas mereka yang dilakukan oleh Polis Port Dickson dan berjaya menemui dua paket syabu yang disorokkan di dalam kereta.

Tulang manusia disangka sampah



KAJANG – Tiga pekerja juru ukur tanah syarikat swasta tergamam seketika apabila terlihat beberapa anggota badan mayat yang terdiri daripada tulang dan tengkorak berselerak di kawasan semak berhampiran padang bola sepak Seksyen 1, Bandar Teknologi Kajang, semalam.

Seorang pekerja, Mohd Romzi berkata, mereka menjalankan aktiviti mengukur kawasan semak berkenaan bermula pada awal pagi dan berhenti rehat kira-kira jam 12 tengahari sebelum memulakan kerja pada jam 1 petang.

“Beberapa minit kemudian seorang rakan ternampak timbunan sampah di dalam kawasan semak sebelum kami mengambil keputusan untuk melihat dengan lebih dekat.

“Alangkah terkejutnya kami apabila mendekati timbunan sampah berkenaan dan didapati ia anggota manusia yang terdiri daripada tulang dan tengkorak,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelakkan sebarang masalah, mereka terus memaklumkan kepada polis.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Azman Ayob ketika dihubungi berkata, polis menerima laporan daripada seorang pekerja berkenaan kira-kira jam 1.05 petang dan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.

“Setakat ini polis masih belum mengenal pasti identiti mayat yang ditemui dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Bedah siasat akan dilaksanakan esok dan semakan mengenai kehilangan orang akan dibuat bagi mengenal pasti mangsa dan mereka yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan polis,” katanya.

Penyamun berputih mata



AMPANG – Tindakan pantas polis berjaya menahan dua penyamun kurang dari sejam selepas mereka menyamun sebuah rumah di Taman Muda di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kedua-dua suspek yang berusia 35 tahun itu, menggunakan modus operandi berpura-pura bertanyakan jalan sebelum menyerang mangsa dengan menggunakan motosikal jenis skuter.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian terbaru itu, suspek menyapa mangsa bersama anak dan rakannya di dalam rumah sebelum menyerang mereka.

“Taktik mereka berpura-pura bertanyakan alamat rumah yang dicari sebelum mengeluarkan parang dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam rumah.

“Mangsa yang panik akur perintah suspek sebelum menyerahkan beg tangan dan telefon bimbit,” katanya.

Sejurus selepas itu, kedua-dua suspek yang tidak bertopeng itu terus melarikan diri dengan memecut laju skuter.

Malang tidak berbau, apabila kedua-dua suspek itu bertembung dengan sekatan jalan raya yang dilakukan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Bagaimanapun, cubaan suspek untuk melarikan diri gagal apabila diberkas polis.

“Seorang anggota polis yang menghalang suspek daripada meloloskan diri menyebabkan tangannya cedera.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen diri selain menemui satu pisau dan parang serta beberapa alat dipercayai untuk pecah rumah,” katanya.

Amiruddin berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan polis menemui beg tangan dan dua telefon bimbit milik wanita serta suspek mengaku baru sahaja terlibat menyamun sebuah rumah.

Katanya, mangsa juga sudah membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati suspek dipercayai aktif menyamun sejak setahun lalu dan mempunyai rekod jenayah lampau masing-masing 12 serta tujuh rekod membabitkan dadah serta samun.

“Kita (polis) tidak menolak kemungkinan motosikal milik suspek adalah motosikal curi kerana suspek mengatakan membelinya dengan harga RM500,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Pengarah curi elektrik dijel



SHAH ALAM– Seorang pengarah syarikat dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana mencuri bekalan elektrik, tujuh tahun lalu.

Majistret, Hafezal Abdul Rajab menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Lip Meng selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Lip Meng didapati bersalah menghalang meter elektrik kepunyaan syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipasang di premisnya dengan cara memotong wayar meter itu supaya meter terbabit gagal mencatat bacaan sebenar.

Dia melakukan kesalahan itu di Kampung Baru Subang, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 9 Disember 2004.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Tenaga, Wan Ahmad Kamal Wan Abdul Malik, manakala Lip Meng diwakili peguam, S S Tieh.

Mayat terlentang tepi longkang



RAWANG – Mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan terlentang di tepi longkang berhadapan sebuah pusat penghantar barang laju, di Rawang Mutiara di sini, semalam.

Penduduk, Mohd Shahriman Aziz, 32, berkata, dia yang bekerja di kawasan komersil berhampiran terkejut melihat mangsa yang mulanya disangka terjatuh dan pengsan di kawasan terbabit pada jam 2.30 petang.

“Saya cuba menghampiri, tetapi khuatir berlaku sesuatu kepadanya berikutan keadaannya langsung tidak bergerak. Tidak berapa lama kemudian, kereta peronda polis sampai,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai berusia sekitar 60-an didapati tiada sebarang kesan kecederaan pada anggota badan dan juga tiada dokumen atau kad pengenalan diri terdapat bersama mayat.

“Kita menerima panggilan awam sekitar jam 3 petang. Melihat kepada keadaan mayat, didapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mereka yang kehilangan ahli keluarga boleh ke balai polis berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kes dipercayai mati mengejut (SDR), manakala mayat dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

Buruh maut lori gelongsor rempuh tebing




KUANTAN- Seorang buruh warga Indonesia maut selepas lori sarat dengan muatan biji besi yang dipandunya menggelongsor menuruni bukit sebelum terlanggar tebing berhampiran kawasan lombong bijih besi Malakor, Ulu Lepar, Sri Jaya dekat Maran, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, Iksal Serah, 24 tahun, dari Lombok meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Bambang Harjono, 23, cedera ringan.

Ketua Jabatan Keten-teraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mo-hamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian dua sahabat berkenaan sedang mengangkut bijih besi di lombong berkenaan.

Menurutnya, lori dipandu mangsa dipercayai mengalami kerosakan gear sebelum hilang kawalan ketika melalui kawasan berbukit lalu menggelongsor melanggar tebing jalan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu manakala rakannya sempat menyelamatkan diri.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa baru lima bulan memasuki negara ini dan menetap di Estet Ladang Sri Jaya, Maran.

Dalam kemalangan berasingan, seorang warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 25.8 Jalan Maran - Bandar Jengka, dekat Maran, kelmarin.

Mohamed Fauzi berkata, Asri Adol, 69, dari Felda Jengka 6 yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu berlaku ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari Felda Lepar Utara menuju ke Jengka 5 sebelum dia ternampak seorang penunggang dari arah bertentangan membuat pusingan U di hadapannya secara tiba-tiba.

“Pemandu berusia dalam lingkungan lewat 30-an itu cuba mengelak ke kiri jalan dan membrek namun gagal kerana jarak keretanya dengan motosikal ditunggangi mangsa terlalu hampir.

“Akibatnya, mangsa terjatuh ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pemuda nyaris digilis lori



SUNGAI LUI – Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah apabila motosikal

ditungganginya bertembung dengan lori dalam kejadian kemalangan dekat persimpangan Kampung Baru Sungai Lui di Jalan Cheroh.

Kejadian pada jam 2.45 petang kelmarin itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas, namun ia dapat diatasi polis trafik dan peronda yang bertugas di tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk yang tidak mahu dikenali, pemuda itu menunggang motosikal dari arah Raub ke Cheroh.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa cuba memotong sebuah kenderaan lain tetapi malangnya motosikalnya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki,” katanya.

Pemandu lori itu, Chong Kim Fah, 46, berkata, dia terpaksa menekan brek kecemasan setelah motosikal ditunggangi pemuda itu secara tiba-tiba memasuki lorongnya.

Katanya, tayar hampir sahaja menggelek pemuda itu bersama motosikalnya yang terjatuh betul-betul di hadapan lori itu.

“Nasib baik saya sempat tekan brek dan berhenti sebelum menggilis mangsa. Jika saya tidak nampak, pasti lori terlajak dan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Suami isteri trauma diacu pisau



BANDAR BENTONG - Walaupun sudah lebih sebulan kejadian samun bersenjata dilalui tiga sekeluarga di Kampung Lebu dekat sini, namun mereka masih trauma dengan apa yang berlaku.

Bagi Ahmad Yusof Ismail, 54, dan isterinya, Rashidah Ghazali, 48, kejadian yang berlaku pada 26 Mac lalu masih segar dalam ingatan dan sejak kejadian itu, mereka mengambil keputusan tidak tidur di ruang tamu lagi.

Menceritakan kembali detik kejadian jam 4.30 pagi itu, Ahmad Yusof berkata, ketika itu, dia dan isteri bersama anak bongsu perempuan berusia 7 tahun lena tidur di ruang tamu.

“Saya terjaga apabila tiga orang lelaki bersenjatakan pisau sedang mengepung dan mengacukan pisau ke leher saya.

“Pada masa itu, saya hanya mampu mendiamkan diri kerana mereka sudah memberi amaran supaya tidak berbuat bising jika tidak mahu kejadian buruk berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Yusof berkata, isterinya yang terjaga selepas itu turut diacu pisau oleh salah seorang penyamun.

Katanya, penyamun terbabit mengarahkan isterinya menunjukkan tempat barang berharga manakala dirinya dikawal dua penyamun lain.

“10 minit kemudian ketiga-tiga penyamun terbabit keluar dari rumah dan membawa lari kereta Avanza yang diletakkan di luar rumah.

“Manakala saya dan isteri ditinggalkan dalam keadaan tangan terikat menggunakan tali langsir sebelum kami berusaha menanggalkannya untuk meminta tolong daripada jiran,” katanya.

Ahmad Yusof berkata, dalam tempoh empat hari selepas kejadian itu, pihaknya menerima panggilan daripada polis menyatakan Avanza miliknya ditemui semula.

Menurutnya, kenderaan itu ditemui di Ladang Sawit Mempaga Tiga dekat sini dalam keadaan baik.

“Kami bersyukur kerana kereta ditemui semula dan ia diserahkan kepada kami pada 7 April lalu selepas siasatan selesai dijalankan.

“Ketiadaan kereta dalam tempoh itu, diibaratkan seperti ‘patah kaki’ kerana tidak dapat bergerak ke destinasi jauh,” katanya.

Sementara itu, Rashidah berkata, sepanjang kes itu disiasat polis, mereka berpuas hati dengan kerjasama ditunjukkan anggota dan pegawai yang terlibat.

Menurutnya, mereka sering diberikan maklumat terkini berhubung hasil siasatan kes dan hubungan yang terjalin ibarat ahli keluarga.

“Walaupun sibuk dengan pelbagai tugas, namun anggota dan pegawai yang terlibat menyiasat kes ini sentiasa melayan kami dengan baik.

“Hanya ucapan terima kasih yang mampu kami sekeluarga ucapkan atas kerjasama dan komitmen diberikan semua atas penemuan semula kereta milik kami itu,” katanya.

Rashidah berkata, bagi menghargai jasa dan kerjasama yang diberikan polis, pihaknya menghantar surat penghargaan kepada Balai Polis Lurah Bilut, Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan, selain turut mengadakan kenduri kesyukuran.

Akibat langgar arahan



JERANTUT - Penggunaan bahan meragukan dalam pembuatan kek, menyebabkan sijil halal sebuah kedai kek di sini, ditarik balik, semalam.

Pegawai Bahagian Penyelidikan dan Penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jerantut, Dahalan Mohamed berkata, penarikan semula sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dilakukan setelah pemeriksaan mendapati premis itu melanggar arahan penyediaan makanan Islam.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian dapur premis dilakukan pada 25 April lalu setelah pemilik premis berhasrat untuk memperbaharui sijil halal.

Katanya, bagaimanapun ketika pemeriksaan dilakukan terdapat sebotol ‘wine vineger’ diletakkan bersekali dengan pelbagai bahan pembinaan kek lain.

“Penggunaan bahan tersebut antara yang meragukan, justeru Mesyuarat Panel Pengesahan Tanda Halal Negeri Pahang Kali Ke 4/2011 lalu memutuskan untuk menarik semula sijil halal dikeluarkan.

"Premis menyalahi garis panduan bagi Premis Makanan dan Restoran Hotel, di bawah Perkara 2.6 Keperluan Premis Makanan. Ia menyatakan arak dan ramuan berunsur arak tidak dibenarkan sama sekali berada di kawasan dapur dan premis restoran halal," katanya dalam Operasi Penarikan Sijil Pengesahan Tanda Halal Negeri Pahang, di premis terlibat semalam.

Dahalan berkata, ‘wine vineger’ yang dijumpai diletakkan pengusaha premis bersekali dengan pelbagai bahan pembuatan kek lainnya difahamkan bertujuan untuk menjadikan produk lebih sedap dan tahan lama, namun pengusaha gagal mematuhi arahan dan sensitiviti pengguna Islam di daerah ini.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam PAID, Zakaria Khalid berkata, penarikan sijil pengesahan tanda halal itu juga turut menetapkan pemilik premis juga dilarang mengguna dan mempamerkan logo halal, dan jika tetap digunakan tindakan undang-undang akan dikenakan.

Menurutnya, penarikan dilakukan PAID itu antara kes pertama di Jerantut bertujuan untuk menyedarkan pemilik premis perniagaan makanan, agar lebih peka kepada penyediaan makanan bagi menjaga sensitiviti pengguna Islam.

“Ia juga untuk menyedarkan orang ramai terhadap isu halal haram yang wajib diketahui dalam penyediaan makanan seharian, yang turut berkaitan dengan Hub Halal Nasional. "Bagaimana pun, pemilik premis boleh membuat permohonan baru untuk mendapatkan sijil pengesahan tanda halal Negeri Pahang yang baru jika terus berminat," katanya.

Zakaria berkata, dengan operasi dilakukan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai dan pengusaha premis makanan terhadap pentingnya penyediaan makanan mengikut garis panduan ditetapkan.

Beliau berkata, orang ramai perlu lebih peka dan menyedari pentingnya untuk menjauhi makanan meragukan dan haram, kerana boleh beri masalah kesihatan selain timbulkan perkara negatif lain.

Korban nyawa demi anak



BESUT - Demi menyelamatkan dua anak daripada dihempap lori dipandunya, seorang bapa sanggup menggadaikan nyawa mengeluarkan anaknya terlebih dahulu.

Kesudahannya, dia meninggal dunia akibat dihempap lori berkenaan dalam kejadian di Kampung Batu 13, Hulu Besut malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Zuraimi Jusoh, 40, mati di tempat kejadian apabila dihempap kepala lori kecil berisi muatan kayu yang terundur selepas gagal mendaki jalan berbukit berhampiran pagar bekas perkampungan Ayah Pin, di sini.

Mangsa dikatakan terlebih dahulu mengeluarkan dua anaknya dari dalam lori berkenaan ketika hendak terbalik, bagaimanapun dia sendiri gagal menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori membawa dua anak lelakinya Muhammad Ikmal Hakim, 7, dan Muhammad Amirul Hamdi, 5, dalam perjalanan menghantar kayu ke kilang kayu di kawasan tersebut.

Menurutnya, apabila tiba di laluan agak curam, lori itu terundur ke belakang kerana gagal mendaki jalan akibat beban berat.

“Mangsa dikatakan menghentikan lori di jalan curam itu, kemudian turun dari kenderaan untuk menyendal tayar lori. Pada masa sama, lori itu terus berundur lalu terbalik,” katanya.

Kamaruddin berkata, dua anak mangsa hanya mengalami calar kecil sahaja.

Menurutnya, orang ramai membantu mengangkat lori dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dan kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian belakang kepala dan pinggang.



Meraung minta tolong



“Ketika lori hendak terbalik, ayah terlebih dahulu mengeluarkan adik (Muhammad Amirul Hamdi Zuraimi, 5,) sebelum menarik saya keluar namun ayah tidak sempat lari menyebabkan lori itu terus terbalik menghempap badan ayah,” kata Muhammad Ikmal Hakim, 7, mengenai saat cemas yang mengorbankan bapanya.

Lebih menyayat hati kanak-kanak Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Payong, Hulu Besut itu, kejadian ngeri yang meragut nyawa ayahnya berlaku di depan mata.

Dia berkata, sambil menangis melihat keadaan bapanya yang sudah tidak bernyawa dengan kepala berlumuran darah, Muhammad Ikmal Hakim tidak berganjak dari tempat kejadian dan meraung sekuat hati meminta tolong.

Menurutnya, selepas beberapa kali menjerit, datang seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian diikuti orang ramai tidak lama kemudian.

“Ketika hendak naik bukit untuk hantar kayu, lori terundur dan ayah buka pintu lalu keluar dari lori untuk sendal tayar lori. Bagaimanapun lori terus berundur menyebabkan ayah segera mengeluarkan saya dan adik yang berada dalam lori ketika itu.

“Sebaik kami keluar dari lori itu, ia melanggar tiang elektrik sebelum terbalik dan bahagian kanan kepala serta pintu lori itu terus menghempap ayah. Saya lihat ayah sudah tidak bersuara lagi. Beberapa kali saya memanggil ayah, tetapi ayah sudah tidak menyahut,” cerita Muhammad Ikmal Hakim ketika ditemui di rumah datuknya di Kampung Lapan Kotak, Jertih, semalam.

Katanya, dia dan adiknya keluar dari rumah bersama bapa selepas Asar untuk mengambil kayu di kebun dekat jalan Lata Tembakah, Bukit Payong sebelum dihantar ke kilang kayu yang terletak di kawasan itu.



Berubah sikap jadi pendiam



LAPAN KOTAK - Allahyarham Zuraimi Jusoh berubah sikap sejak beberapa hari sebelum kejadian tragis yang mengorbankan nyawanya malam kelmarin.

Isteri mangsa, Rohana Mohammad, 30, berkata, perubahan ketara pada diri suaminya ialah dia berubah menjadi pendiam sejak tiga hari sebelum kejadian.

Kata Rohana, selalunya Zuraimi bersikap peramah terutama dengan rakannya tetapi entah mengapa beberapa hari sebelum itu dia menjadi pendiam termasuk dengan saudara mara.

“Saya tidak menyangka perubahan sikap arwah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rohana berkata, lori yang dipandu suaminya itu sudah beberapa kali terbalik sebelum ini tetapi dia tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, dalam kejadian sebelum ini, dia tidak membawa anak bersamanya tetapi malam kelmarin mungkin kejadian itu meragut nyawanya kerana dia terlebih dahulu menyelamatkan nyawa dua anaknya.

“Saya reda dengan pemergian suami dan saya amat terharu kerana demi anak, dia sanggup korbankan keselamatan diri sendiri,” katanya.

Zuraimi juga sangat rapat dengan Muhammad Ikmal Hakim dan sering membawanya bersama sekiranya dia bekerja di kawasan berdekatan rumah.

Sementara itu, jenazah Zuraimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Tumbuh kira-kira jam 11 pagi semalam.

Arwah Zuraimi meninggalkan seorang balu dan lima anak berusia dua hingga 11 tahun.

15 nelayan berpaut empat jam pada tong ikan



DUNGUN – Nyawa-nyawa ikan. Itulah situasi dihadapi 15 nelayan termasuk seorang juragan apabila bot pukat jerut dinaiki karam ketika melakukan kerja menangkap ikan kira-kira 15 batu nautika dari jeti Kuala Dungun, kira-kira jam 3 awal pagi kelmarin.

Dalam tragedi hitam itu, hanya tong ikan menjadi penyelamat buat mereka apabila bot mereka karam dipukul ombak besar selepas beberapa kali melebarkan pukat sebaik keluar dari muara Sungai Dungun sejak jam 4 petang Sabtu lalu.

Bagi kesemua mangsa, tiada apa yang dapat dilakukan selain memanjatkan doa selepas beberapa jam terapung di tengah lautan yang bergelora itu.

Berkongsi detik mencemaskan itu, juragan bot terbabit, Mazlan Abdullah, 47, berkata, dalam keadaan gelap, pancaran kilat sabung menyabung menjadi panduan setelah beberapa awaknya terpisah jauh dilambung ombak apabila botnya karam dipukul badai.

“Dalam suasana gelap itu, saya melaung sekuat hati mengarahkan semua awak berkumpul dalam satu kumpulan sambil berpegangan tangan.

“Saya bimbang sekiranya ada antara mereka terlepas pegangan tangan, mereka pasti hanyut dan lemas di lautan yang bergelora itu,” katanya.

Mazlan berkata, dia bersama seorang awak-awaknya kemudian berenang mendapatkan tong yang sarat dengan hasil tangkapan sebelum memuntahkannya semula untuk dijadikan pelampung berpaut.

Selepas hampir empat jam terapung, dia mula terfikir telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam beg plastik yang dipercayai berada di dalam bot karam terbabit.

“Ketika itu saya berdoa agar telefon masih boleh berfungsi. Tanpa membuang masa saya terus menyelam untuk mendapatkan telefon tersebut.

“Sebaik membuka balutan plastik, saya menghidupkannya lalu terus menghubungi abang saya, Abdul Halim Abdullah, 49, untuk memaklumkan kejadian yang menimpa kami,” kata Mazlan.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat, abangnya bersama dua bot bergegas keluar di perairan Dungun sebelum berjaya menemui kesemua mangsa yang dalam kesejukan itu, lalu dipindahkan ke bot tersebut sebelum dihantar pulang ke jeti perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun.

Penduduk gembira gajah ditangkap



MACHANG - Keresahan Penduduk Kampung Cherang, di sini dan kawasan sekitarnya hilang apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk, di sini sejak seminggu lalu.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Cherang Hangus, Mustapha Abdullah berkata, gajah tersebut berjaya ditangkap petang semalam selepas aduan dibuat kepada Jabatan Perhilitan.

Katanya, kemunculan haiwan tersebut membimbangkan penduduk terutamanya apabila ia semakin berani mendekati kawasan penempatan penduduk.

“Dulu gajah itu hanya makan pisang di dalam hutan namun sejak seminggu lalu, ia mula makan dan merosakkan tanaman penduduk yang terletak berdekatan rumah.

“Sejak itu, penduduk mula tidak lena tidur dan kami berterima kasih kepada Jabatan Perhilitan yang turun padang menyelesaikan masalah kami di sini,” katanya, semalam.

Sinar Harian difahamkan gajah tersebut akan dikeluarkan beberapa hari lagi oleh Jabatan Perhilitan dan buat sementara waktu ditempatkan di kawasan hutan berhampiran kampung tersebut.

Kelmarin, penduduk kampung gempar apabila gajah tersebut muncul di belakang rumah salah seorang penduduk kira-kira jam 6.30 petang.

Bagi mengelakkan sebarang kecelakaan, penduduk keluar beramai-ramai menghalau gajah tersebut sebelum ia bertindak memusnahkan kebun pisang yang terletak berdekatan pada awal pagi semalam.

Pokok hempap rumah, 6 sekeluarga terselamat



KOTA BHARU - Enam ahli keluarga sempat melarikan diri daripada pokok yang menghempap rumah mereka semasa kejadian ribut yang melanda kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Rumah yang didiami ibu tunggal, Hasanah Yaacob, 49, bersama lima anaknya mengalami kerosakan pada bahagian beranda dan ruang tamu setelah angin kuat menyebabkan pokok jenis cengal berdekatan rumah tumbang.

“Sebelum hujan, ketika itu saya menonton televisyen bersama anak-anak, tiba-tiba saya rasa takut setelah terdengar bunyi angin kuat lalu saya lari ke bahagian dapur rumah.

“Setelah hujan berhenti, saya terkejut melihat bahagian beranda rumah dan bahagian ruang tamu roboh akibat dihempap pokok,” katanya di Kampung Teluk Belanga, Sering, di sini, semalam.

Hasanah berkata, pokok cengal berkenaan dianggarkan berusia lebih 50 tahun, tetapi apa yang menghairankan, pokok itu tidak condong ke arah rumah, tetapi apabila berlaku ribut, ia tumbang ke arah rumahnya.

“Pokok ini berada pada tanah orang lain, saya ingat pokok yang lebih besar dan tinggi iaitu pokok stan yang tumbang dan langsung tidak menyangka pokok cengal pula yang patah pada batangnya dan menghempap rumah,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat beberapa rumah lain turut mengalami kerosakan semasa kejadian ribut malam kelmarin menyebabkan ada yang tercabut bumbung rumah.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana terselamat bersama-sama anaknya, namun beliau tetap risau kerana rumah berkenaan akan mengadakan kenduri menyambut menantu pada 4 Jun nanti.

Sementara itu, anaknya Wan Zatusy Wan Zain, 29 berkata, ketika kejadian, keretanya jenis Nissan tidak berada di situ kerana beliau masih berada di tempat kerja di Cherang, di sini. Hasanah adalah ibu tunggal setelah suaminya, Wan Zain Wan Hussin, bekas tentera meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2003.

Dijel 10 tahun, 5 sebatan



KOTA BHARU – Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merompak seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Penakah Kemuning, Machang, Januari lalu.

Hakim Rofiah Mohamad turut mengenakan hukuman lima sebatan rotan terhadap Kamaruzaman Saari akibat menggunakan senjata, sebilah lawi ayam ketika melakukan rompakan bersama dua lagi rakannya itu.

Mahkamah memutuskan hukuman berkenaan selepas lelaki berusia 42 tahun tersebut mengaku bersalah dan mengakui fakta kes serta kesemua bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah, semalam.

Tertuduh bersama Wan Mohd Abdullah Wan Yusof, 38 dan Zulkifli Ismail, 40 merompak Minah Yaacob, 75 dengan mengambil seutas rantai leher, seutas rantai tangan dan wang tunai milik mangsa yang keseluruhannya berjumlah RM9,000, 17 Januari lalu.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berada di dalam biliknya didatangi dua lelaki, seorang mengacukan lawi ayam ke lehernya manakala seorang lagi menggeledah bilik berkenaan.

Selepas menjumpai beg duit mengandungi kesemua barangan berharga itu, mereka melarikan diri ke arah kereta Nissan Grand Livina dipandu tertuduh yang sedang menunggu di luar tempat kejadian sebelum tertuduh sendiri bertindak menjual hasil rompakan tersebut.

Dalam prosiding di mahkamah semalam, tertuduh mendakwa dirinya terjebak dalam kejadian itu secara kebetulan ketika pulang untuk mengambil barangan jualan perniagaannya.

“Saya dari Termeloh datang untuk mengambil produk di Kelantan dan tidak merancang lebih awal untuk merompak tetapi tahu tentang rancangan merompak itu pada hari kejadian.

“Bagaimanapun, saya redha apa-apa pun hukuman yang akan dikenakan,” katanya.

Hakim Rofiah bagaimanapun menyabitkan dan mendapati tertuduh bersalah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompak berkumpulan dan dibaca bersama 397 Kanun Keseksaan akibat rompak guna senjata.

Dua lagi sahabatnya itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah sejak pertama kali mereka dituduh di mahkamah sama, 8 Mac lalu.

Hukuman tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, 12 Februari 2011.

Cermin kereta dipecah pencuri



TUMPAT – Ketua Pemuda MCA Bahagian Tumpat, Pui Tiong Lam kerugian hampir RM5,000 apabila cermin keretanya dipecahkan pencuri menyebabkan komputer ribanya lesap.

Dalam kejadian jam 7.45 malam, kelmarin, Pui Tiong Lam meletakkan keretanya jenis Hilux di belakang pasaraya The Store Jalan Kampung China di Kuala Terengganu untuk singgah makan di sebuah kedai.

Menurutnya, dia hanya tinggalkan kereta itu sekejap untuk singgah makan kerana perlu pulang ke Tumpat pada malam itu, namun ekrana kejadian itu terpaksa bermalam di Kuala Terengganu untuk menyelesaikan urusan laporan polis.

Bagaimanapun, Tiong Lam terkilan kerana sejurus membuat laporan di

Balai Polis Kuala Terengganu, terpaksa menunggu keesokan paginya untuk mendapatkan salinan laporan kejadian berkenaan.

“Saya agak kecewa terhadap prosedur yang ditetapkan kerajaan kerana pelapor atau mangsa yang ingin membeli salinan laporan polis yang sah harus berbuat demikian pada waktu pejabat.

“Hal ini akan memberi masalah kepada mangsa yang berada di luar negeri berkenaan, kerana mereka harus tunggu pada keesokan hari jika sesuatu kejadian itu berlaku selepas waktu pejabat,” katanya.

Menurutnya, laporan polis ini amat penting baginya sebagai bukti untuk membuat tuntutan insurans, dan akibat masalah ini perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kulim, Wakaf Bharu, tertunda sehari.

“Saya harapkan prosedur salinan laporan polis yang hanya boleh dikeluarkan pada waktu pejabat seharusnya dikaji semula oleh pihak terbabit,” katanya.

Tragedi ngeri 10 kenderaan




JEMPOL - Tiga lelaki maut dalam kemalangan ngeri membabitkan 10 kenderaan di Kilometer 1, Jalan Bahau-Kemayan, berhampiran persimpangan lampu isyarat di landasan kereta api Bahau, di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 11.20 pagi itu berpunca daripada sebuah lori membawa muatan kayu getah terbabas ketika menuruni bukit, dipercayai kerana brek gagal berfungsi.

Akibatnya, lori berkenaan merempuh sembilan kenderaan lain membabitkan dua lori, tiga kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Mereka yang meninggal dunia adalah seorang penuntut Kolej Komuniti Jempol, Muhammad Izwan Noorazman, 20, yang terperosok di bawah lori berkenaan,

Dua lagi yang meninggal dunia adalah pemandu lori, Abd Halim Omar, 33, serta kelindannya, Nordin Amat, 45, yang tersepit di bahagian tempat duduk depan lori terbabit.

Sepasukan anggota bomba tiba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau serta berusaha mengeluarkan mangsa tersepit.

Beberapa pengguna kenderaan di situ turut membantu anggota bomba menyelamatkan mereka yang terlibat.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari arah Mahsan, di sini, gagal mengawal kenderaannya ketika sampai di lampu isyarat, di landasan kereta api.

Beliau berkata, tiga penunggang motosikal dan seorang pembonceng tidak sempat mengelak menyebabkan kesemua mereka tercampak di atas jalan raya, manakala seorang penunggang terperosok di bawah lori berkenaan.

Menurutnya, kesemua yang maut mengalami cedera parah di kepala dan badan itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang, pembonceng motosikal yang cedera dikejarkan ke Hospital Jempol. Sementara, beberapa pemandu kereta hanya cedera ringan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing, semalam.

Lelaki Warga Iran Dituduh Edar Dadah



KULAIJAYA: Seorang lelaki rakyat Iran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap tuduhan mengedar 4,550 gram dadah jenis syabu, bulan lepas.
Masood Abbasitorghi Alireza, 22, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pengambilan bagasi ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, dekat sini, kira-kira pukul 4.45 petang, 27 April lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Masood hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar, namun tiada pengakuan direkodkan.
Zaiton menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia berkaitan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya A. Karthiyayini manakala tertuduh diwakili peguam Pritam Singh Doal. -BERNAMA

Anggota Tentera Maut Langgar Pokok



SEREMBAN: Seorang anggota tentera yang bertugas di Cawangan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan di ibu negara maut apabila kereta yang dipandunya merempuh sebatang pokok di Jalan Sungai Gadut, malam tadi.
Rusli Ngathimeen, 36, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 11.40 malam itu, Rusli yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari Rembau ke Seremban.
"Dia mungkin terbabas ketika melalui selekoh tajam dalam keadaan jalan yang agak gelap. Dia tersepit dalam keretanya yang remuk," katanya ketika dihubungi Rabu.
Beliau berkata mayat lelaki itu yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang.- BERNAMA

GRO China Pemegang Kad Pelajar Universiti Malaysia Ditahan



SEREMBAN: Seorang wanita China yang diberkas di sini malam tadi kerana dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) didapati memegang kad pelajar Universiti Malaya (UM).
Dia merupakan antara 15 wanita yang ditahan dalam serbuan di dua premis hiburan di Taman AST dalam Ops Noda pada 10.15 malam tadi.
Jurucakap polis berkata mereka sedang menyiasat kesahihan kad pelajar yang dipegang oleh wanita China itu.
"Kita turut menahan ibu ayam yang juga wanita China," katanya kepada pemberita di luar premis kelab malam yang diserbu itu.
Polis turut menemui sebuah lubang yang dibuat untuk menyembunyikan wanita-wanita terbabit dalam sebuah bilik setor di tingkat dua premis itu.- BERNAMA

Tiga Sindiket Curi Kereta Tumpas, Polis Tahan 23 Suspek



SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket curi kereta mewah yang beroperasi di sekitar Lembah Klang ekoran penahanan 23 suspek dalam beberapa serbuan bulan lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata polis turut merampas 15 kenderaan dipercayai kenderaan curi, dan 1,603 komponen alat ganti yang semuanya bernilai lebih RM30 juta dalam serbuan menerusi Operasi Lejang Khas itu.
Beliau berkata polis percaya dapat menyelesaikan 261 kes jenayah ekoran penangkapan itu, dan menurutnya semua suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.
"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga sindiket itu tidak mempunyai sebarang hubungan," katanya pada satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Merujuk kepada sindiket pertama Mohd Bakri berkata polis menahan 12 suspek yang berumur antara 30 dan 60 tahun, dan merampas enam kenderaan mewah yang dipercayai kereta curi, antaranya kereta-kereta keluaran Toyota, BMW serta Mercedes Benz, yang berharga kira-kira RM4.5 juta.
Katanya polis sedang berusaha mengesan dalang sindiket curi kereta mewah itu yang dipercayai mula beroperasi sejak bulan Mei tahun lepas.
Beliau berkata sindiket itu juga dipercayai terbabit menghantar kereta curi ke luar negara menerusi Pelabuhan Klang, dan siasatan mendapati kira-kira 213 kereta dihantar ke luar negara dengan kontena melalui pelabuhan itu.
Sementara itu merujuk kepada sindiket kedua Mohd Bakri berkata polis merampas dua kereta mewah yang dipercayai kereta curi dan menahan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan menyeludup kereta melalui sempadan utara negara.
Katanya hasil siasatan mendapati sindiket itu terlibat dalam 47 kes kecurian kereta mewah, dan 45 daripada kereta itu diseludup ke negara jiran.
Merujuk kepada sindiket ketiga pula Mohd Bakri berkata polis berjaya menyelesaikan 250 kes kehilangan kenderaan di sekitar Lembah Klang ekoran penahanan enam lelaki dan rampasan 1,603 komponen alat ganti bernilai kira-kira RM5 juta.
Beliau berkata polis turut merampas enam kenderaan daripada sindiket itu yang dipercayai kenderaan curi.
"Modus operandi sindiket ini ialah mencuri kenderaan dan meleraikannya untuk membekalkan komponen kenderaan secara pasaran gelap kepada bengkel-bengkel tempatan," katanya.- BERNAMA
mstar

Kerajaan Jejak Samseng Di Facebook



PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri akan memburu kumpulan-kumpulan samseng yang merekrut remaja menyertai kumpulan dan kegiatan mereka melalui laman web sosial Facebook sehingga ke akar umbi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kegiatan gangster itu dianggap sebagai satu isu yang serius oleh kerajaan dan akan dibanteras seperti yang dilakukan pihak berkuasa terhadap masalah lain seperti kegiatan keganasan, jenayah antarabangsa, penyeludupan dadah dan aktiviti penggubahan wang haram.
"Kesemua kegiatan tersebut merupakan masalah negara dan juga masalah diperingkat antarabangsa," katanya.
Menurut Hishammuddin lagi, kementeriannya, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan bekerjasama membanteras kegiatan ini yang semakin berleluasa di seluruh negara ini.
"Badan-badan kerajaan ini mempunyai kepakaran di dalam bidang masing-masing dan mereka akan bekerjasama mencapai sasaran dalam mengatasi kegiatan ini", jelas beliau kepada pemberita.
The Star pada Selasa melaporkan kegiatan tidak bermoral kumpulan samseng merekrut ahli baru dari golongan remaja dan pelajar sekolah melalui laman web sosial Facebook.
Kumpulan-kumpulan gengster terbabit akan menagadakan akitiviti-aktiviti haram seperti pergaduhan berkumpulan dan lumba haram.
Mereka juga menawarkan perlindungan kepada remaja yang berminat menyertai mereka malah remaja-remaja tersebut juga disogok dengan minuman keras.
Terdapat juga dakwaan remaja yang tinggal di bandar-bandar besar di negara ini dijadikan sasaran utama kumpulan-kumpulan samseng ini.
Dalam masa yang sama, berita ini telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat dan ramai pengguna Facebook menyampaikan rasa terkejut kerana pihak kerajaan tidak mengetahui kegiatan tersebut di laman web sosial.
Menurut mereka laman web ini telah berleluasa sejak kebelakangan ini dan mereka mahu kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas masalah ini.
Salah seorang daripada yang memberi reaksi, Manoharan Jayaraman mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa sebelum ini.
Seorang lagi individu, Andy Ong memberitahu bahawa dia juga pernah mengalami perkara yang hampir sama di mana dia diminta memberi wang perlindungan oleh samseng di kawasan kejirananya.
"Jika saya tidak memberi wang perlindungan, samseng itu akan membuat kacau," kata Ong yang sudah berpindah dari kejiranan tersebut.
mstar

10 rumah rosak dipukul ribut





Wan Zatusy Wan Zain mengangkat kayu yang menghempap bahagian hadapan rumahnya di Kampung Pulau Belangga, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 10 Mei - Sejumlah 10 buah rumah di Kampung Pulau Belangga, Kota Jembal di sini rosak dilanda ribut dalam kejadian malam semalam.
Ketika kejadian pukul 9 malam, kebanyakan penduduk sedang berehat bersama keluarga sebelum dikejutkan dengan bunyi angin dan dentuman yang kuat.
Seorang penduduk, Wan Zatusy Wan Zaid, 29, berkata, ribut berserta hujan lebat itu telah menyebabkan dahan pokok cengal di hadapan rumahnya patah dan menghempap bumbung dan garajnya.
"Ketika kejadian emak saya sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama dua adik saya, tetapi syukur mereka bertiga tidak mengalami kecederaan, manakala saya sedang bekerja di Cherang.
"Kejadian itu juga menjejaskan sedikit persiapan saya untuk berkahwin pada 4 Jun ini kerana kos untuk baik-pulih dianggarkan RM20,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Seorang suri rumah, Zainun Ahmad, 60, pula berkata, dia nyaris dihempap serpihan bumbung akibat ribut berkenaan yang berlangsung lima minit.
"Saya terus ke dapur untuk menyelamatkan anak yang sedang mengandung enam bulan. Sebaik sahaja menyelamatkan dia, saya melihat pusingan angin menerbangkan bumbung rumah dan sebahagiannya jatuh betul-betul di sebelah saya.
"Alhamdulillah kami lapan beranak yang berada dalam rumah selamat," katanya yang memerlukan RM10,000 untuk membaiki kerosakan bumbung rumahnya.

Enam beranak tinggal sehelai sepinggang



TANAH MERAH 10 Mei - Sebuah keluarga di Kampung Tengah Bukit Durian, Gual Ipoh di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran petang semalam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 7 petang, pemilik rumah itu, Mohd. Abdul Kahar Abdullah, 46, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas melawat kebunnya yang terletak kira-kira 20 kilometer bersama isteri, Nor Mas Kanah, 41, dan dua anak mereka, Mohd. Fadillah, 11, serta Mohd. Lokman, 5.
Dua lagi anak mereka, Nur Anis, 15, dan Mohd. Hafiz, 17, tinggal di asrama sebuah sekolah tahfiz dekat sini.
"Kebiasaannya, dua anak yang mengikut saya semalam hanya duduk di rumah. Entah mengapa saya teringin untuk membawa mereka bersama ke kebun," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Mohd. Abdul Kahar yang bekerja kampung berkata, sebaik sahaja sampai di rumah, dia sekeluarga terkejut apabila melihat api marak membakar bahagian dapur dan tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barang.
Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Saamah berkata, dua buah jentera bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi, kami dapati rumah kayu itu telah 90 peratus terbakar. Api berjaya dipadamkan pada pukul 9 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Empat lelaki ditahan terlibat kegiatan curi motosikal



Wan Badrul Hashim (duduk) menunjukkan beberapa komponen motosikal yang dirampas di Penampang, semalam.


PENAMPANG 10 Mei - Polis menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Wan Badrul Hashim berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 18 hingga 22 tahun.
Menurutnya, suspek pertama yang berasal dari Kampung Pirasan, Kota Belud ditangkap pada 26 April lalu pada pukul 7 malam dan susulan tangkapan itu, polis menahan suspek kedua di kuarters kediaman Hospital Queen Elizabeth (QEH) pukul 10.15 malam keesokan hari.
"Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, polis kemudian menahan suspek ketiga pada pukul 10.45 malam hari yang sama dan kita menemui motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna merah.
"Tangkapan keempat pula dilakukan pada 28 April pukul 11.45 malam di Wisma New Far East di Jalan Lintas membabitkan motosikal jenis EX5," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Badrul berkata, susulan tangkapan empat suspek itu, polis menemui beberapa motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar daerah ini.
"Kita percaya, suspek terlibat dalam lima kes curi motosikal di Country Height, Beverly Hills dan Putatan serta dua kes lagi di kawasan Apartment University.
"Polis turut menemui beberapa komponen motosikal jenis Honda EX5 yang sudah dileraikan dalam sebuah kotak di Kampung Labuan," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara tujuh tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Rumah panjang musnah terbakar



KANOWIT 10 Mei — Sebuah rumah panjang 40-pintu, Rh.Umpang, di kawasan pedalaman Sungai Menyan dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini menyebabkan enam keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, seorang lelaki berusia 50-an mengalami kecederaan ringan apabila cuba menyelamatkan seorang ahli keluarganya.
Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Kanowit, Douglas Graji berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.03 petang dan sebaik tiba di lokasi 45 minit kemudian, keseluruhan rumah panjang itu musnah.
Katanya, bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 5 petang dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
"Kebanyakan penghuni tidak tinggal di rumah panjang tersebut kerana bekerja di Sibu dan bandar lain," katanya di sini hari ini. — BERNAMA

Lapan kaki judi dicekup




Wan Badrul Hashim (dua dari kiri) melihat 12 ekor ayam yang dirampas di Penampang, semalam.


PENAMPANG 10 Mei - Lapan lelaki yang sedang leka berjudi sabung ayam ditahan manakala rakan mereka yang lain bertempiaran lari dalam serbuan polis di Kampung Sindanan di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 3 petang itu, polis turut merampas 12 ekor ayam yang digunakan dalam perjudian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Wan Badrul Hashim berkata, kesemua suspek yang menetap di kampung berkenaan berusia 44 hingga 60 tahun.
"Serbuan dibuat hasil maklumat awam bahawa segelintir penduduk kampung itu terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Wan Badrul berkata, pihaknya turut merampas satu alat khas yang digunakan oleh kaki judi bagi 'menaikkan marah' ayam untuk bersabung dengan ayam lain.
"Alat khas ini berbentuk seperti ayam dan digunakan ketika mereka memulakan aktiviti sabung ayam. Alat itu akan dilaga-lagakan dengan ayam yang dipertaruhkan sehingga ia memulakan aksinya," ujarnya.

Warga asing perdaya 15 penduduk ditahan



KOTA KINABALU 10 Mei - Seorang lelaki warga asing yang menyamar sebagai ejen penjual kereta dan memperdayakan 15 orang mangsa di Lahad Datu sehingga mampu mengaut keuntungan sebanyak RM100,000, ditahan polis di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Suspek berusia 42 tahun itu dipercayai melarikan diri ke ibu negara sebelum ditahan pada 29 April lalu setelah melesapkan wang kononnya untuk bayaran pendahuluan kereta daripada pelanggannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Supritendan Soh Hock Sing berkata, modus operandi suspek adalah menyamar sebagai orang tengah kepada sebuah syarikat jual kereta untuk meminta wang deposit daripada pelanggan yang berminat.
"Bagaimanapun, selepas mengutip wang deposit RM3,000 hingga RM4,000, suspek dikatakan menghilangkan diri malah kereta yang dijanjikan juga tidak muncul-muncul," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam satu kes lain, Hock Sing berkata, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dicekup kerana menyamar sebagai ejen pelancongan palsu yang kononnya menawarkan pakej-pakej pelancongan.
Katanya, lelaki terbabit menawarkan pakej pelancongan ke luar negara termasuk Taiwan dan China. Namun, selepas mangsa membayar wang pendahuluan kepadanya, suspek menghilangkan diri.
"Suspek dipercayai terlibat dalam empat kes iaitu tiga di Kota Kinabalu dan satu di daerah Papar antara Julai hingga November lalu melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM10,000," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika berurusan dengan orang tengah dalam menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.
Menurutnya, orang ramai perlu memeriksa terlebih dahulu latar belakang seseorang ejen dan juga syarikat yang menawarkan perkhidmatan perniagaan bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa penipuan.

Maut ketika melintas jalan sibuk



KUALA LUMPUR 10 Mei - Seorang pemuda maut setelah dirempuh sebuah kenderaan semasa cuba melintas Jalan Mahameru dari arah Istana Negara ke Muzium Negara di sini hari ini.
Hisam Ahmad, 41, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu kenderaan yang melanggarnya melarikan diri.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan berlaku pada pukul 10.30 pagi semasa Hisam yang berasal dari Flat Bukit Chagar, Johor Bahru, Johor cuba melintas jalan yang sibuk dengan kenderaan.
"Semasa melintas jalan, tiba-tiba sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenisnya gagal mengelak daripada melanggar mangsa. Mangsa kemudian tercampak ke laluan bersebelahan dan maut akibat mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

2 penyamun guna taktik ketuk pintu rumah diberkas



Amiruddin Jamaluddin (tengah) menunjukkan senjata dan barangan lain yang dirampas daripada dua penyamun, di Balai Polis Pandan Indah, Ampang, semalam.


AMPANG 10 Mei - Polis menumpaskan kegiatan samun yang menggunakan taktik 'mengetuk pintu rumah' dengan tertangkapnya dua suspek di Taman Muda, di sini hari ini.
Kedua-dua suspek ditahan dalam satu sekatan jalan raya, iaitu sejam selepas mereka menyamun sebuah rumah di kawasan itu pukul 11.45 pagi.
Dalam kejadian itu, suspek yang menaiki sebuah motosikal Yamaha mengetuk pintu rumah mangsa dan berpura-pura menanyakan sesuatu sebelum mengeluarkan parang dan pisau lalu menyamun.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kedua-duanya bagaimanapun ditahan anggota yang membuat sekatan jalan raya di taman berkenaan.
"Ketika ditahan, penunggang motosikal itu cuba merempuh sekatan polis manakala pembonceng cuba melompat," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pandan Indah di sini hari ini.
Difahamkan, ketika melakukan jenayah itu, kedua-dua suspek tidak memakai topeng muka.
Tambah Amiruddin, hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek tidak membawa bersama kad pengenalan dan pemeriksaan menemui dua bilah parang serta pisau pemotong daging yang masing-masing diselitkan di pinggang.
Katanya, pihaknya turut menemui beberapa barang yang dipercayai disamun seperti telefon bimbit dan dompet milik mangsa.
"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua mereka mempunyai sekurang-kurangnya 20 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dadah dan samun," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Telefon dalam jaminan rosak lebih 10 kali



BELI tidak sampai setahun, telefon bimbit sudah rosak lebih 10 kali. Itulah masalah yang dihadapi seorang warga emas sehingga memaksa dia berulang alik dari rumahnya ke kedai menjual telefon bimbit semata-mata mahu membaikinya.
Bertambah malang, apabila pihak kedai berkenaan pula cuba melepaskan tanggungjawab untuk menanggung kerosakan tersebut kepada pengeluar telefon bimbit walaupun tempoh jaminan selama setahun masih sah.
Tidak berpuas hati dengan tindakan penjual telefon bimbit terbabit, warga emas itu, Amir Embon, 63, mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di bandar Melaka.
Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali yang mendengar kes itu berkata, pihak penjual iaitu C-Mobile Sdn. Bhd. tidak seharusnya meminta pembeli berurusan dengan syarikat pengeluar telefon bimbit berkenaan.
"Jika sudah 10 kali telefon bimbit yang pihak kamu jual itu rosak sepanjang tempoh setahun pasti ada yang tidak kena dengannya," jelas Siti Naaishah pada tuntutan kes tersebut baru-baru ini.
Menurut beliau, apa yang dilakukan Amir sebagai pihak penuntut adalah tepat kerana tuntutan tersebut adalah antara pembeli dan penjual.
Tambahnya, syarikat terbabit sebagai pihak penentang tidak sepatutnya meminta penuntut mendapatkan ganti rugi daripada syarikat pengeluar kerana penuntut berurusan dengan pihak penentang.
"Sebagai penjual kamu sepatutnya tahu mengenai hal ini, dan kamu juga mempunyai hak membuat tuntutan kepada syarikat pengeluar," tegasnya.
Sehubungan itu, Siti Naaishah mengarahkan C-Mobile menggantikan telefon bimbit Nokia N97 berharga RM1,826 yang dibeli Amir dalam tempoh 14 hari selepas perintah itu dikeluarkan.
Sementara itu, Amir ketika ditemui memberitahu, dia membeli telefon bimbit berkenaan pada 20 November 2009 dan mengalami kerosakan seperti sukar membuat panggilan dalam tempoh dua bulan pertama.
"Lebih teruk dalam tempoh setahun, sudah lebih 10 kali telefon bimbit berkenaan rosak sehingga memaksa saya berulang alik dari rumah di Ayer Molek ke bandar Melaka untuk membaikinya," katanya.

Kerana RM300, bekas pemain bola Selangor dijel 14 hari



SHAH ALAM 10 Mei - Bekas pemain bola sepak Selangor, S. Saravanan dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM300 ketika bertugas sebagai pegawai jualan di Jabatan Jualan dan Pemasaran Guthrie, enam tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut selepas Saravanan, 36, menukar pengakuannya kepada bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjarakan 10 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Saravanan didakwa menerima suapan RM300 daripada Abdul Rahman Mohamed sebagai dorongan membantu mangsa menguruskan pinjaman perumahan daripada sebuah bank bagi pembelian rumah kos rendah milik Guthrie Property Development Holdings Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat jualan syarikat tersebut di Persiaran Tebar Layar Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini pada pukul 5.05 petang, 11 November 2005.
Terdahulu, peguam bela K. Perisamy yang mewakili Saravanan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak, isteri serta ibu bapanya dengan pendapatan lebih kurang RM3,000 sebulan sebagai ejen hartanah.
Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yusliza Mohd. Yusof memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh telah membuang masa mahkamah kerana hanya mengaku bersalah selepas 10 saksi pendakwaan memberikan keterangan.
Pada 2 Februari 2009, Saravanan dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama atas tuduhan bersetuju menerima suapan RM500 daripada Abdul Rahman.

Lembah Mississippi banjir



MEMPHIS, Tennessee 10 Mei - Banjir paling buruk melanda Lembah Mississippi di Amerika Syarikat dalam tempoh 70 tahun, menenggelamkan rumah-rumah, ladang-ladang dan jalan raya selepas paras air Sungai Mississippi naik lebih enam kali ganda daripada paras biasa.
Banjir itu berlaku kerana hujan lebat sejak bulan lalu yang menyebabkan air sungai dan anak sungai meningkat serta akibat salji tebal yang cair.
Jurutera tentera pada Selasa lalu menjalankan pemeriksaan di kawasan tebing yang ditenggelami air di Memphis, Tennessee, di mana lebar Sungai Mississippi kebiasaannya sekitar 800 meter, kini mencecah n 4.8 kilometer lebar.
Daryl Hissong dan anak lelakinya berusia tiga tahun merupakan antara beribu-ribu mangsa banjir yang terpaksa meninggalkan rumah mereka yang dilanda air lumpur akibat banjir teruk itu.
Mereka mengemas barangan mereka pada hari Ahad lalu dan keesokan paginya air naik hampir dua meter di dalam rumah mereka yang terletak di pinggir bandar Memphis.
"Kemungkinan besar ia (banjir) akan mengambil masa sehingga sebulan untuk keadaan kembali reda," ujar Hissong kepada AFP.
Tambak semula jadi telah melindungi kebanyakan kawasan Memphis daripada banjir teruk tetapi mereka yang tinggal di kawasan sungai mengalir masuk di Pulau Mud.
Banjir menenggelamkan rumah-rumah di sepanjang pinggir sungai dan semalam, air sungai melimpahi beg-beg pasir yang dibina di sekeliling sebuah kondominium.
Namun, mercu tanda muzik Graceland dan Sun Studios di Jalan Beale tidak terjejas.
Ia merupakan banjir terbesar di lembah Mississippi sejak 1937 dan air sungai itu di beberapa kawasan meningkat melebihi rekod sebelum ini. - AFP

Korban ribut Aere meningkat kepada 15 orang



MANILA 10 Mei - Angka korban akibat ribut tropika Aere yang melanda Filipina sejak Ahad lalu meningkat kepada 15 orang hari ini, sementara lebih 70,000 penduduk yang terjejas diarah berpindah.
Menurut Pusat Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, ribut itu, bagaimanapun dilapor semakin lemah pagi ini selepas membawa hujan lebat selama dua hari di pulau Luzon.
"Ribut itu beredar dari utara Filipina menuju ke arah timur laut," menurut biro kaji cuaca, sambil menambah kata, Aere diramal tiba di pantai barat daya Jepun pada Khamis ini.
Biro itu berkata, kelajuan angin yang dibawa ribut tropika tersebut telah menurun kepada 65 kilometer sejam hari ini, berbanding 85 kilometer sejam pada Ahad lalu.
Jelasnya, anggaran awal kerugian ialah sebanyak AS$2.7 juta (RM8.1 juta).
Pegawai bencana memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi kawasan tanah rendah dan lokasi yang terdedah kepada kejadian tanah runtuh terutama di wilayah timur, Batanes.
Nelayan dan pengendali feri di selatan Luzon juga dinasihati tidak turun ke laut. - AFP/AP

Rogol cucu: Lelaki 89 tahun dibenar ikat jamin



KOTA BHARU 10 Mei - Seorang datuk berusia 89 tahun yang menghadapi tuduhan merogol cucunya berumur 10 tahun dalam sebuah kandang lembu pada tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan RM8,000 beserta seorang penjamin.
Mahkamah Sesyen di sini membenarkan warga emas tersebut diikat jamin setelah tertuduh berjaya melantik peguam Mohd. Marwalis Mahmud mewakilinya.
Wang jaminan tertuduh dibayar oleh anak lelaki bongsunya daripada tujuh beradik.
Mahkamah sebelum ini telah menangguhkan dua kali perbicaraan kes tersebut berikutan kegagalan tertuduh melantik peguam bela. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari.
Tertuduh yang berbaju T warna merah dan berseluar kelabu, dilihat hanya mendiamkan diri apabila Hakim Rofiah Mohamed membacakan beberapa syarat jaminan yang perlu dipatuhi tertuduh sebelum menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Julai ini.
Antara syarat itu ialah tertuduh dilarang menghampiri mangsa dalam jarak 500 meter, melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggalnya iaitu di Pasir Mas setiap Ahad pertama setiap bulan dan tidak tinggal di rumah ibu bapa mangsa.
Tertuduh didakwa merogol cucunya itu dalam kandang lembu berhampiran sebuah rumah tanpa nombor di Pasir Puteh di sini kira-kira pukul 9 malam, 25 Ogos tahun lalu.
Tertuduh yang ditangkap pada 15 September 2010 sebelum dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 10 Februari lalu.
Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali.

3 maut, lima cedera nahas treler





Lori treler 21 tan membawa muatan kayu getah dari arah Mahsan gagal dikawal lalu merempuh sebuah Proton Iswara yang berbaris di persimpangan lampu isyarat menyebabkan kereta itu terbabas ke tepi jalan.


JEMPOL 10 Mei – Lagi kemalangan melibatkan kenderaan berat berlaku. Kali ini ia mengorbankan tiga orang manakala lima lagi parah dalam nahas membabitkan 10 buah kenderaan termasuk treler 21 tan di Kilometer 1 Jalan Mahsan-Bahau, di sini hari ini.
Mangsa terbunuh ialah pemandu dan kelindan treler, Abd. Halim Omar, 33, dan Nordin Ahmad, 45, serta penunggang motosikal yang juga pelajar Kolej Komuniti Jempol, Muhammad Izwan Noor Azman, 20. Kesemua mangsa mati di tempat kejadian.
Kemalangan berlaku pada pukul 11.20 pagi apabila treler membawa muatan kayu getah itu yang menuruni bukit dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar tepi sebuah kereta Proton Iswara yang berhenti di lampu isyarat simpang tiga jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kenderaan itu kemudian merempuh dua buah lori tanpa muatan di hadapannya menyebabkan salah sebuah daripadanya melintang di tengah jalan.
Katanya, lori yang melintang itu kemudian melanggar enam kenderaan lain iaitu masing-masing sebuah Perodua Kembara, Proton Waja dan Wira, Toyota Avanza serta dua buah motosikal.
Tambahnya, ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari arah Mahsan ke Bahau.
“Abd. Halim dan Nordin masing-masing berasal dari Labis, Johor, manakala pelajar terbabit berasal dari Taman Keramat, Kuala Lumpur,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang parah ialah Mohd. Afiq Ghazali, 21, (pembonceng motosikal); Mohd. Faiz Mohd. Nasarudin, 26, (penunggang motosikal); Loh Kim Hoon (tidak dikenal pasti), 34; Mohd. Ariffin Amat, 50, (pemandu Perodua Kembara) dan Mohd. Haidir Nordin, 20, (penunggang motosikal).
“Empat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan lanjut manakala Kim Hoon dirawat di Hospital Jempol.
“Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut waris masing-masing,” katanya.
Kata Mohd. Sabri, polis kini sedang menyiasat punca kejadian dan saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.