Search This Blog

Loading...

Tuesday, May 10, 2011

Dua Warga Myanmar Didakwa Membunuh


KUALA LUMPUR: Dua warga Myanmar berhadapan dengan hukuman mati mandatori selepas mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan membunuh rakan senegara.
Salai Zaw Ki, 27, dan Pan Hung, 22, didakwa membunuh Peng Thung, pada antara pukul 12.30 tengah malam dan 3.20 pagi, 27 April lalu di tempat memproses tayar terpakai di Lot 526, Batu 6 1/2, Jalan Cheras, di sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Abu Hassan Ramli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan sebutan semula kes pada 11 Julai depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.

Gores Dan Menang: Tiga Jurujual Didenda RM100


KUALA LUMPUR: Tiga jurujual masing-masing diarahkan untik membayar denda RM100 selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan jualan langsung gores dan menang tanpa lesen.
Mereka yang dihukum ialah Chew Ruenn Liu, 21, Ong Tian Hoo, 22, dan Seah Kah Sheng, 21 tahun.
Mereka didakwa menjalankan perniagaan tersebut pada pukul 1 petang, 4 Mei lalu di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini.
Jumlah denda RM100 itu merupakan denda maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Majistret Hafizza Sauni mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Kecil No:3/55 Pindaan Akta 336/87.
Selain denda RM100, seksyen tersebut juga menyatakan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum penjara tidak melebihi sebulan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh untuk dijadikan pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Bagaimanapun, semua tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam merayu agar hukuman diringankan.

Polis Tahan 13 Lelaki Bantu Siasat Kebakaran Pondok Polis



NIBONG TEBAL: Polis menahan 13 lelaki bagi membantu siasatan terhadap kejadian kebakaran pondok polis dan pusat operasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Taman Merak di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka yang ditahan di sekitar Taman Merak itu berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun dalam satu operasi besar-besaran mengesan suspek.
Katanya, pada kejadian kebakaran pukul 11.10 malam tadi itu, pondok polis yang terletak dalam pusat operasi JKKK itu turut terbakar.
Beliau berkata, perbuatan khianat membakar pusat operasi JKKK itu dipercayai berpunca dari kes membalas dendam terhadap seorang lelaki yang parah kerana diserang oleh anak salah seorang anggota JKKK di kawasan itu minggu lepas.
"Akibat tidak puas hati ekoran insiden serangan tempoh hari, sekumpulan lelaki dipercayai anggota keluarga dan rakan mangsa itu bertindak membakar pusat operasi termasuk pondok polis yang berada dalam pusat itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Mereka yang terbabit kini ditahan reman di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan polis sedang mengesan dua lagi suspek yang dikenali sebagai Tan Choon Wei atau dikenali Ah Wei, 26, dan M.Jeganathan, 30, bagi membantu siasatan.
Tan mempunyai alamat terakhir di No 2, Lorong 44, Taman Merak, Simpang Ampat dekat sini manakala Jeganathan di No 36, Lorong 33 di taman perumahan yang sama.
"Kita memberi amaran kepada pihak yang terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan," katanya.
Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mengakibatkan cedera parah dan mengikut Seksyen 436 Kanun keseksaan kerana khianat dengan api jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda. - BERNAMA

Dua Lelaki Ditahan, Kes Samun Selesai Satu Jam



KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang melakukan samun ke atas sebuah rumah di Taman Muda, Ampang dekat sini, berjaya ditahan polis dalam tempoh satu jam selepas suspek melakukan kegiatan itu pada Selasa.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kedua-dua suspek yang berumur 35 tahun itu ditahan dalam satu operasi pemeriksaan kenderaan di kawasan berhampiran kira-kira pukul 12 tengah hari.
"Anggota polis yang bertugas dalam operasi itu menahan motosikal jenis skuter yang dinaiki kedua lelaki terbabit, bagaimanapun seorang daripadanya yang juga pembonceng motosikal cuba melarikan diri untuk mengelak dari diperiksa," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Beliau berkata ekoran kejadian itu, berlaku pergelutan antara suspek dan polis namun kedua-dua suspek berjaya diberkas.
"Siasatan ke atas mereka mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan polis juga menemui sebilah pisau di sisi pinggang pembonceng dan parang pada pinggang penunggang," katanya. Turut ditemui ialah dua telefon bimbit dan satu dompet wanita.
Amiruddin berkata soal siasat yang dibuat ke atas kedua-dua suspek juga mendapati mereka telah melakukan samun ke atas sebuah rumah di Taman Muda.
"Suspek-suspek itu mengaku mereka telah melakukan samun di kawasan perumahan berkenaan dan kita juga telah menerima laporan kes samun yang dibuat mangsa (samun) kira-kira pukul 11 pagi tadi," kata Amiruddin.
Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau yang membabitkan kes samun dan dadah.
Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata. -BERNAMA

Gara-Gara Minta Lesen, Penguatkuasa JPJ Cedera Dibelasah



DUNGUN: Gara-gara meminta lesen untuk diperiksa, seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera di muka dan badan selepas dibelasah sekumpulan lelaki di Jalan Jerangau-Jabor, dekat sini semalam.
Menceritakan kejadian itu kepada media, di sini, Selasa, Ismail Daud, 45, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika beliau dan rakan setugas, Azman Ahmad melakukan sekatan jalan raya di depan Stesen Jambatan Timbang JPJ, Bukit Besi.
"Kami menahan sebuah kereta yang dinaiki tiga pemuda berusia lingkungan 20-an dan meminta pemandunya mengeluarkan lesen untuk diperiksa. Namun dia memberi alasan lesen itu dipegang bapanya yang menaiki sebuah kereta lain di belakang," katanya.
Ismail berkata beliau kemudian meminta pemandu itu menghentikan keretanya di tepi jalan, tetapi pemuda tersebut bertindak memecut kenderaannya.
"Saya bersama rakan kemudiannya mengekori kereta pemuda terbabit kira-kira 10 kilometer dan sampai berhampiran Ladang Gajah Mati, saya berjaya menahan keretanya dan sekali lagi meminta lesen memandu.
"Bagaimanapun remaja itu sekali lagi memberitahu lesen memandunya ada bersama ayahnya, dan selang beberapa minit kemudian sebuah kereta dipercayai dinaiki ayah pemuda itu tiba dan menghampiri kami," katanya.
Ismail berkata lelaki berusia 40-an itu menghampirinya sambil tersenyum sebelum menumbuk mukanya menyebabkan berlaku pergelutan yang kemudian disertai remaja tersebut dan dua rakannya.
Pada masa yang sama kata Ismail, sebuah lagi kenderaan yang dinaiki sekumpulan lelaki tiba di tempat kejadian dan menghalang rakan setugasnya daripada membantu beliau.
Akibat kejadian itu Ismail yang bertugas di Stesen Jambatan Timbang JPJ Bukit Besi, cedera di kepala, dahi, mulut dan bahagian rusuk.
Beliau kemudian dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik oleh seorang pengguna jalan raya sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan polis sedang mengesan kumpulan lelaki terbabit. -BERNAMA

Nelayan hilang ditemui dengan kesan kelar, hentakan


SHAH ALAM 10 Mei — Mayat nelayan, Ismail Rejab, yang dilaporkan hilang bersama empat lagi sejak 4 Mei, ditemui terapung di perairan Sungai Besar, Sabak Bernam dekat sini kira-kira pukul 7 pagi ini, dengan kesan kelar di leher dan hentakan di kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt. Noor Mushar Mohamad berkata, mayat Ismail ditemui kira-kira 30 kilometer dari jeti Kampung Bagan Sungai Besar, tempat bot yang dinaiki kesemua mangsa ditemui pada Ahad lepas.
"Mayat ditemui oleh anggota kita yang sedang menjalankan kerja mencari di sekitar kawasan perairan berhampiran lokasi kejadian.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk dibedah siasat kira-kira 11 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, identiti Ismail, 41, disahkan isterinya, Rosnani Mat Noor, 36.
Jelas beliau, polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat sebelum membuat keputusan terhadap kertas siasatan kes itu yang sebelum ini dibuat di bawah kes orang hilang. — Bernama

Dua beradik warga Iran ditahan seludup dadah


SHAH ALAM 10 Mei – Dua beradik wanita warga Iran diberkas kerana membawa empat kilogram syabu bernilai RM1 juta dalam pemeriksaan di Balai Ketibaan, Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, pada Khamis lalu.

Kesemua dadah yang dirampas diisi dalam lapan peket plastik dan disembunyikan dalam bengkung yang dipakai kedua-dua suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, kedua-dua suspek yang dipercayai keldai dadah itu kini direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Utusan

Ketua Pemuda MIC Cawangan didakwa rasuah


BUTTERWORTH: Ketua Pemuda MIC Cawangan Kampung Tunku Putra, Padang Serai, Kulim, I.Sathananthan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM4,500 pada Disember 2009.
Sathananthan didakwa menerima suapan itu daripada pemilik premis hiburan Win Night Pub & Cafe, Yeoh Aik Cheong sebagai dorongan supaya premis tersebut tidak diganggu oleh polis Bukit Aman kerana dikatakan beroperasi tanpa lesen.

Tertuduh yang menetap di Kampung Tunku Putra, Jalan Kilang Lama Kulim, Kedah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zairan Aman.

Sathananthan, 39, didakwa menerima suapan tersebut daripada Yeoh pada 10 Dis, 2009 di Restoran Nasi Kandar Mutiara Tanjung, Jalan Kulim, Machang Bubok, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang jika bersabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana lebih tinggi.

Lelaki lemas di terusan


JITRA: Seorang lelaki berusia 43 tahun lemas setelah terjatuh ke dalam Terusan Alor Canggalih, Jalan Sungai Korok dekat sini kira-kira 7.30 malam tadi.
Mayat lelaki yang dikenali penduduk tempatan sebagai Raja itu dijumpai pada pukul 11.45 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di dasar sungai tersebut kira-kira 50 meter dari tempat dia jatuh.

"Kita menjumpai mayatnya dalam keadaan bogel dan tiada pengenalan diri ditemui di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya seramai 16 anggota, lapan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dan lapan dari Pasukan Penyelamat Di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani terlibat dalam operasi tersebut.

Kebakaran: Melaka rugi lebih RM3j

MELAKA — Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 622 kes kebakaran dilaporkan di negeri ini dengan kerugian melebihi RM3 juta.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Zainuddin Md. Alip berkata, kebakaran belukar mencatatkan jumlah tertinggi dengan 315 kes, diikuti kebakaran bangunan sebanyak 67 kes, kenderaan (43) dan kebakaran kebun (12 kes).
"Bagaimanapun, wujud fenomena yang membimbangkan jabatan iaitu didapati sebanyak 260 kes berpunca daripada perbuatan sengaja membakar dengan niat baik namun api gagal dikawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba peringkat negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi tempoh yang sama, pasukannya berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM27.52 juta daripada musnah dalam kebakaran. — Bernama

Sindiket pindah LPG subsidi Johor tumpas

JOHOR BAHRU — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor berjaya menumpaskan kegiatan memindahkan gas subsidi bagi kegunaan domestik kepada industri secara haram dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Tiram, di sini, hari ini.
Kilang tersebut dipercayai memindahkan gas asli cecair (LPG) subsidi bagi kegunaan domestik ke dalam tong untuk diedarkan kepada pengusaha industri di sekitar bandar raya itu.
Ketua Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi tadi selepas pihaknya menjalankan risikan selama tiga hari ke atas premis tersebut.
Katanya, pihaknya merampas 55 tong gas industri dan 77 tong domestik yang berisi gas manakala 85 tong industri dan 122 tong domestik kosong.
Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kilang itu dijadikan markas memindahkan kandungan gas subsidi dari tong 14 kilogram kepada tong 50 kilogram secara haram.
Katanya, seorang pekerja lelaki warga asing berusia 40 tahun ditahan di premis itu bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. — Bernama

3 maut kemalangan babit 9 kenderaan


BAHAU — Tiga lelaki terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga lori, tiga kereta dan tiga motosikal di simpang tiga berhampiran lampu isyarat Jalan Bahau-Mahsan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt. Mohd. Sabri Muhamad berkata, mereka yang mati di tempat kejadian ialah pemandu treler Abdul Halim Omar, 33, dan kelindannya, Nordin Amat, 45, kedua-duanya dari Labis, Johor, serta penunggang motosikal, seorang pelajar Kolej Komuniti Jempol, Muhammad Izwan Noorazman, 20, dari Taman Keramat, Kuala Lumpur.
"Mayat mereka dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini.
Mohd. Sabri berkata, dalam kejadian pada 11.20 pagi tadi, sebuah treler yang sarat dengan muatan kayu getah tiba-tiba merempuh dua buah lori kosong, tiga kereta, tiga motosikal dan sebuah kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat itu kerana lampu merah.
Katanya akibat rempuhan itu, Abdul Halim dan Nordin yang tersepit dalam treler yang dinaiki mereka mati di tempat kejadian manakala Muhammad Izwan terperosok di bawah treler itu.
"Kemalangan itu dipercayai berpunca apabila pemandu treler berkenaan yang menurun jalan bukit di situ tidak dapat mengawal kenderaannya lalu merempuh semua kenderaan itu yang sedang berhenti di lampu isyarat tersebut,” kata Mohd. Sabri.
Katanya, lima orang yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah. Mereka terdiri Mohd Afiq Ghazali, 21, Muhd Faiz Mohd Nasaruddin, 26, dan Mohd Haidir Nordin, 20, kesemuanya dari Kolej Komuniti Jempol, serta Ariffin Ahmad, 50, dan Loh Kim Hoon, 34. — Bernama

Keldai dadah: Polis selamatkan dua wanita


SHAH ALAM — Polis menyelamatkan dua pelajar wanita sebuah kolej daripada dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket antarabangsa yang didalangi dua lelaki warganegara Nigeria dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Puchong dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 2 pagi itu, polis menemui dua wanita berusia 21 tahun berkenaan yang dikurung dalam sebuah bilik di pangsapuri berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan enam ketulan kapsul dan dua paket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin gred tinggi seberat 372 gram bernilai RM28,000.
Polis turut menemui satu ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 70 gram bernilai RM700,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, dua lelaki warganegara Nigeria berusia 27 dan 28 tahun yang merupakan pelajar sebuah kolej berhampiran itu memperdayakan mangsa dengan menawarkan percutian secara percuma ke Macau, China. — Bernama

Guna kertas tisu pukau mangsa sebelum rompak

KUALA LUMPUR: Dengan hanya menggunakan kertas tisu, satu kumpulan pakar pukau dianggotai tiga lelaki berjubah dipercayai warga Indonesia dan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an dikesan aktif memukau mangsa sebelum melarikan barangan berharga.
Kumpulan yang dilaporkan sudah bergiat aktif sejak empat bulan lalu dikesan mensasarkan mangsa wanita yang berseorangan di tempat tumpuan ramai seperti pusat beli-belah.Malah, lagak alim dengan berpakaian berjubah dikatakan menjadi satu kelebihan kepada kumpulan terbabit untuk memudahkan mereka menghampiri mangsa sebelum menunjukkan 'tisu hikmat' berkenaan sekali gus memukau mangsa.Dalam kejadian terbaru di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju, Sabtu lalu, seorang wanita berusia 56 tahun kerugian lebih RM5,000 ($2,035) selepas barang kemas dan wang tunai lebih RM700 dilarikan kumpulan itu.Sebaik tersedar 15 minit kemudian, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya Zakaria Pagan, ketika dihubungi, mengesahkan telah menerima laporan menegnai kejadian berkenaan. -- Harian Metro.

Maut dilanggar kereta api

 

KULAI BESAR – Seorang warga Myammar maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dilanggar kereta api yang dalam perjalanan dari arah selatan ke Pantai Timur di Kilometer 727.50, di sini, semalam.

Sinar Harian difahamkan, kejadian itu disedari oleh penduduk setempat manakala mangsa yang masih hidup ketika itu segera dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini, sebaik sahaja ambulan tiba.

Mangsa, Ramzali Ali, 38, yang dilanggar kereta api dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, dipercayai tinggal di kawasan perkampungan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, terdapat luka sepanjang 20 sentimeter (sm) pada bahagian kepala mangsa sehingga menyebabkan bahagian otaknya terkeluar.

“Mangsa juga mengalami pendarahan di bahagian telinga dan hidung serta kecederaan di bahagian lengan tangan kiri yang mengakibatkan jarinya patah.

“Manakala pergelangan tangan kanan dan :bahagian dada kirinya turut patah akibat kemalangan negeri itu,” katanya.

Mangsa bagaimanapun tidak dapat diselamatkan akibat kecederaan serius dan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Dalam pada itu Zulkefly berkata, hasil siasatan mendapati tidak unsur jenayah dikesan berhubung kes itu manakala waris keluarganya telah dihubungi dan mayat mangsa akan dituntut oleh adiknya.

ADUN dakwa duit MBI lesap



IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam bertindak membuat laporan polis kerana mendakwa wang peruntukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menurap jalan bagi tahun 2008 hingga 2011 di kawasan pentadbiran MBI itu hilang.

Subramaniam berkata, Kerajaan Negeri ada menyatakan peruntukan berjumlah RM68.5 juta telah disediakan pihak MBI untuk kerja-kerja penurapan jalan.

Menurutnya, namun sehingga kini kebanyakan kawasan Buntong masih tiada sebarang penurapan jalan dilaksanakan sebaliknya hanya penampalan kecil sahaja.

“Kebanyakan jalan di kawasan Buntong di tahap yang tidak memuaskan, berlubang dan tidak diselenggara sepenuhnya bagi tempoh masa yang lama,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini, semalam.

Beliau berkata, penampalan kecil tidak dapat bertahan lama dan ia kerap menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya.

“Jadi, saya berasa tidak puas hati dan tertanya-tanya di mana peruntukan yang telah disediakan dan ia masih tidak digunakan secara keseluruhannya.

“Dalam Local Agenda 21 telah dinyatakan sejelas-jelasnya peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mesti mengkaji dan menerima pandangan rakyat untuk mengatasi masalah setempat,” katanya.

Katanya, bagaimanapun saranan itu tidak diambil kira pihak MBI terutama dalam kes ini.

“Keadaan tersebut menunjukkan tidak ada kerjasama pihak pengurusan tertinggi MBI dan Ahli-ahli Majlis menjalankan tugas untuk memastikan aduan, pandangan dan masalah rakyat di kawasan pentadbirannya di atasi demi kepentingan bersama.

“Peruntukan sebanyak itu, adalah wang rakyat dan wang berkenaan perlulah digunakan sama rata bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Peniaga maut digilis lori baja




IPOH – Seorang peniaga pasar malam maut, apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel sebelum digilis sebuah lori baja tiga tan, di Persimpangan Taman Bertuah dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa, Sulaiman Tam, 56, dipercayai dalam perjalanan untuk mengambil anak perempuannya di sekolah di kawasan berhampiran.

Mangsa dipercayai maut serta-merta di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Supritendan (DSP) Mohd Rodzi Rejab berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit sedang menunggu giliran masuk ke simpang berkenaan.

“Lori tiga tan itu bergesel dengan motosikal dinaiki mangsa menyebabkannya jatuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang menetap di Klebang Restu, kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Isteri Sulaiman, Fauziah Mohd Nor, 50-an, yang bergegas ke lokasi kejadian terpaksa ditenteramkan orang ramai kerana gagal mengawal perasaan sejurus melihat jenazah suaminya terbaring di atas jalan raya.

Dalam masa yang sama, katanya, seorang anggota polis yang tiba di lokasi kejadian bagi mengawal aliran trafik turut dikejarkan ke HRPB akibat dirempuh sebuah motosikal.

“Penunggang motosikal yang leka melihat mayat terbaring tidak sedar kelibat Sarjan Jamaludin Hussin di situ.

“Akibat rempuhan itu, Jamaludin yang bertugas di IPD Ipoh patah pergelangan tumit kaki kiri dan dikejarkan orang awam ke HRPB,” katanya.

Kembalikan suami saya



AYER TAWAR – Kehidupan Rasilah Ibrahim, 43, dan keluarga kian tersepit, sehingga tidak mampu membeli barangan keperluan harian, semenjak suaminya, Ismail Nik Alias, 52, ditahan pihak berkuasa Thailand, empat bulan lalu.

Rasilah berkata, suaminya ditahan atas kesalahan tidak memiliki pas lawatan dan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan Ismail yang menjalankan perniagaan berasaskan ayam.

Menurut Rasilah, suaminya ditahan ketika hendak menjual kaki ayam kepada peniaga di negara itu.

“Suami saya kini ditahan di Pusat Tahanan Natawi dan saya difahamkan makanan yang disediakan pihak berkuasa di sana ada kalanya berasaskan daging babi.

“Saya tidak sanggup mendengar suami saya makan seperti, juga melihat keadaannya dalam tahanan, dan kerana itu saya membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar, agak tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya kepada Sinar Harian.

Rasilah difahamkan pihak berkuasa Thailand, suaminya boleh dibebaskan setelah membayar denda sebanyak RM35,000 dalam tempoh terdekat.

“Sebagai suri rumah, saya tentu sekali tidak mampu untuk membayar denda itu dan saya memohon agar ada pihak yang sudi membantu membebaskan suami saya dari pusat tahanan itu.

“Kami memang sangat memerlukan suami saya saat ini bagi menyelesaikan kesulitan sekeluarga yang kini hanya berharap ihsan jiran tetangga,” katanya.

Katanya, punca pendapatan keluarga terputus semenjak Ismail ditahan, sedangkan dia terpaksa menyara dua anak mereka termasuk menanggung persekolahan salah seorang anaknya.

“Anak sulung kami baru sahaja mendapat kerja dengan gaji RM600 sebulan, manakala saya sendiri sedang berusaha mencari kerja untuk menampung keperluan sekeluarga.

“Bil elektrik telah tertunggak hingga empat bulan, dan pernah dipotong sebelum ini,” katanya.

Rasilah berkata, dia kini risau rumah kediamannya akan diambil balik pihak bank dan dalam masa sama, buntu memikirkan sumber kewangan untuk membebaskan suaminya. 

Maut rempuh treler rosak



GOMBAK - Seorang kelindan van maut apabila kenderaan dinaikinya merempuh belakang sebuah treler di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) petang semalam.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang di kilometer 5.8 MRR2 arah Sungai Buloh berhampiran susur Kepong.

Menurut sumber polis, treler yang dirempuh mangsa dipercayai mengalami kerosakan dan diletakkan di lorong kecemasan.

“Sebuah van dari arah bulatan Batu Caves dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sisi belakang treler terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan bahagian hadapan van remuk teruk dan sebahagian badan van merintangi jalan,” katanya.

Akibatnya, kelindan van terbabit, G Ganaperakash, 38, berasal dari Kampung Baru Subang, tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu van pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan teruk sepanjang kira-kira tiga kilometer.

Pemandu, kelindan sempat melarikan diri



SEREMBAN – Kementerian Perdaga-ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan menyita sebuah lori selepas menemui empat tong plastik berisi minyak diesel dipercayai diseleweng secara haram.

Dianggarkan seberat kira-kira 1,500 liter, minyak diesel itu ditemui di dalam lori seberat lima tan dalam operasi khas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini Khamis lalu.

Pemandu lori berusia lingkungan 30-an bersama seorang pekerja asing, bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas terkejut dengan kehadiran sepasukan pegawai dan anggota KPDNKK yang menyerbu kawasan berkenaan, kira-kira 5 petang.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Nor Musa berkata, ketika serbuan dijalankan kedua-dua individu terbabit baru selesai menyedut minyak diesel daripada sebuah lori kargo.

“Namun, mereka sempat melarikan diri selepas kita menyerbu kawasan berkenaan hasil daripada risikan dan maklumat diperolehi berkaitan kegiatan penyelewengan minyak diesel berlaku di kawasan R&R berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati kegiatan berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan lalu dengan menjadikan R&R sebagai ‘port’ memindahkan diesel.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda hingga RM100,000 dan kita sedang mengenal pasti pemilik sebenar lori berkenaan untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Nor berkata, pihaknya akan menempatkan penguat kuasa di kawasan R&R berkenaan untuk memantau bagi memastikan aktiviti haram berkenaan dapat dibanteras.

Akibat lolos tahanan sah



KUANTAN- Seorang bekas penagih dadah yang hidup bebas selepas berjaya meloloskan diri dari tahanan sah di Pusat Serenti Gambang dekat sini kira-kira 10 tahun lalu terjerat apabila dia berjaya ditahan polis di sini, kelmarin.

Penahanan G Sugu-maran, 41 dari Batu Jalan Tras, Bentong pada 6 Mei lalu menamatkan kehidupan bebasnya apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan sebelum dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan itu, semalam.

Majistret Norina Malu-din dalam keputusannya memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh itu bermula dari tarikh dia ditangkap.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tenang mendengar keputusan itu seolah-olah akur dengan hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

Dalam pertuduhan yang dikemukakan Tim-balan Pendakwa Raya, Ain Fadillah Mohd Ali itu, tertuduh yang ditahan di Pusat Serenti Gambang didapati lari dari tahanan sah di pusat itu kira-kira jam 8 pagi, 23 Mac 2001.

Berikutan tindakkannya itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 (3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998) yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tidak lebih tiga sebatan atau kedua-duanya sekali.

Dalam mahkamah sama, seorang lelaki dihu-kum penjara 30 hari dan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah mencuri kabin berharga kira-kira RM28,000 milik seorang lelaki antara jam 9 pagi, 13 April lalu hingga jam 11 malam tiga hari kemudian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Nyor Balok, dekat sini.

Kerana perbuatannya itu, tertuduh yang berjaya ditahan polis 18 April 2011 dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Penunggang maut



KUANTAN - Seorang pekerja sebuah syarikat swasta maut selepas terjatuh dari motosikalnya yang terbabas ketika melalui satu laluan berselekoh di Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Kampung Sungai Ular, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 1.15 pagi itu, mangsa, Arif Izzha Zakaria, 18, cedera parah di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas itu ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang tinggal di kampung itu dipercayai menunggang sendirian dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika melalui selekoh itu, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas menyebabkan dia tercampak jatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa dihantar bapanya ke HTAA selepas lelaki itu bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan berhubung nahas itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat terbabas sendiri dan tidak melibatkan sebarang kenderaan lain.

“Mangsa mempunyai lesen memandu bagaimanapun dia dipercayai menunggang tanpa memakai topi keledar.

“Ketika kejadian cuaca baik, permukaan jalan kering namun kawasan kejadian agak berselekoh,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Enggan menyusu petanda ajal



KAMPUNG WA - Kegembiraan sepasang suami isteri yang baru menyambut kelahiran cahaya mata kembar dua, tiga hari lalu bertukar sedih apabila salah seorang daripadanya menemui ajal awal pagi kelmarin.

Kejadian dikatakan disedari ibu bayi terbabit, Norazima Khalib, 31, ketika dia ingin memberi susu kepada bayinya di rumah ibunya jam 5 pagi kelmarin.

Bapa bayi, Mohd Aidi Mazalan, 29, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun berkata, dia menerima khabar buruk itu daripada isterinya ketika berada di rumah ibunya di Durian Mas, selepas bayinya dikatakan enggan menyusu badan.

Aidi berkata, isterinya memberitahu, sebelum kejadian, anak ketiganya itu dikatakan lesu, biarpun kedua-duanya dalam keadaan normal sebaik keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kira-kira jam 11 pagi 5 Mei lalu.

Katanya, isterinya itu mulai cemas selepas melihat anak kembarnya yang pada mulanya disangkakan tidur nyenyak itu tidak bergerak, biarpun dia cuba me-ngejutkannya beberapa kali.

“Malam sebelum kejadian, isteri saya memberi susu padanya, namun dia seperti menolak.

“Isteri saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi apabila dia bangun tidur pagi kelmarin dan ingin memberikan susu, bayi itu sudah tidak bergerak biarpun dia menepuknya beberapa kali,” katanya.

Aidi berkata, berikutan itu dia menghubungi Klinik Kesihatan Jerangau.

Bagaimanapun, sebaik kakitangan perubatan klinik desa itu tiba di rumahnya, bayi berkenaan disahkan sudah meninggal dunia lalu dia diarahkan untuk membawa salah seorang daripada bayi kembar itu ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan jenazah bayi malang itu dihantar ke Unit Forensik untuk dibedah siasat.

“Kes terbabit masih dalam siasatan pihak hospital untuk me-ngesahkan punca kematian bayi berumur tiga hari itu,” katanya.

Ladang kelapa sawit Che Mod terbakar



BACHOK – Seorang pekebun kecil hanya mampu melihat dari jauh apabila ladang kelapa sawitnya musnah dimamah api dalam satu kebakaran yang berlaku di Beris Lalang, petang kelmarin.

Che Mod Muhammad Nor, 48, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja tiba di ladangnya dan mendapati api telah marak membakar di setiap pelosok ladang anak kelapa sawitnya.

Menurutnya, ia melibatkan keluasan tiga hektar anak kelapa sawit berusia setahun iaitu mempunyai kira-kira 100 anak pokok kelapa sawit.

”Saya hanya terlihat kepulan asap dan api apabila tiba di ladang untuk membuat kerja. Menyedari ia adalah kebakaran besar, saya terus membuat membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba untuk dapatkan bantuan.

“Namun kerugian sebenar sukar ditafsirkan kerana ia anak pokok yang baru berusia setahun tetapi nampaknya saya tidak mempunyai rezeki untuk menikmati sebahagian hasil tuaiannya kelak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria mengesahkan menerima panggilan tentang kejadian pada jam 1.18 petang dan tiba di tempat kejadian bersama tujuh anggota kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi memadam api mengambil masa agak lama memandangkan kawasan tersebut dipenuhi dengan sisa-sisa buangan yang mudah terbakar.

“Situasi agak rumit memandangkan tanah gambut di sini yang menyimpan bara dari bawah tanah menyebabkan sisa api sukar dipadamkan.

”Sehingga hari ini (semalam) kerja memadam api masih dilakukan dengan bantuan anggota Bomba dari Balai Ketereh, Machang dan Pasir Puteh yang hadir untuk berkampung membantu memadam api. Namun, punca kejadian dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan bahan api dalam cuaca panas sebegini dan mengawal pembakaran terbuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang tragedi tidak diingini.

Lelaki kes tipu ditahan



KOTA BHARU – Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit kes penipuan dengan kerugian RM24,000 di sebuah hotel di sini, petang kelmarin.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada jam 2 petang, bersama sebuah telefon bimbit, iPod, kad mesin pengeluaran wang automatik, kad kredit dan pelbagai kad nama dipercayai digunakan untuk tujuan menipu individu di sekitar daerah ini.

Turut ditemui, sebuah televisyen milik hotel, set golf dan sebuah Pajero bernombor pendaftaran WCN 8235 yang disewa suspek dengan kadar RM250 sehari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abdul Rafar berkata, suspek sebelum itu menyamar sebagai pemilik hotel sebelum ke kaunter meminta kunci bilik dan wang tunai RM100 dari kakitangan hotel.

Katanya, bagaimanapun selepas menyedari penyamaran itu, pekerja berkenaan menghubungi polis sebelum mereka bertindak menyerbu bilik tersebut, Ahad lalu.

“Kami menerima enam laporan terhadap suspek yang bergiat aktif menipu orang ramai dengan menggunakan nama-nama orang kenamaan seperti Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Husin, sejak Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, lelaki dari Taman Uda Murni, Kota Bharu itu menggunakan modus operandi, menyamar sebagai pembantu peribadi Datuk Awang sebelum masuk ke sekolah dan menawarkan penjualan komputer riba serta telefon bimbit dengan harga murah.

“Satu daripada laporan yang diterima membabitkan penipuan berjumlah RM13,950 wang tunai yang dikreditkan ke dalam akaun peribadi suspek oleh seorang guru penolong kanan sebuah sekolah, di sini,” katanya. Idris berkata, suspek yang mengamalkan gaya hidup mewah itu juga adalah individu sama yang pernah menjalani hukuman penjara 36 bulan di Penjara Pengkalan Chepa, di sini kerana kes sama.

Siasatan awal polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu mendapati lelaki tersebut mengaku melakukan kesemua penipuan terbabit.

Suspek yang berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan itu, kini ditahan reman empat hari bermula semalam.

Rampas petrol, diesel



TUMPAT – Kegiatan penyeludupan menjadikan stor haram transit menyeludup petrol dan diesel tumpas, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu stor terbabit dan merampas petrol dan diesel bernilai RM135,000, semalam.

Dalam serbuan di tebing Sungai Golok, Simpangan di sini, kira-kira jam 11 pagi itu, lebih 1,000 liter dan diesel yang dipercayai untuk diseludupkan ke negara jiran dirampas, selepas sepasukan 19 pegawai KPDNKK dari Putrajaya dan negeri ini, diketuai Mohd Hashim Mat Daud membuat intipan selama tiga hari di sempadan Malaysia–Thailand.

Mohd Hashim yang bertugas di Unit Kawalan Bahan Petroleum, Putrajaya berkata, ketika serbuan, pegawai KPDNKK cuba menahan empat lelaki dipercayai pemandu kenderaan yang membawa minyak seludup, tetapi mereka berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke negara jiran.

“Tiga kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat rodayang diubah suai mengangkut bahan bakar milik empat lelaki terbabit disita.

“Kenderaan yang diubah suai ini sering berulang alik mengangkut bahan bakar terbabit dari stesen minyak di Meranti, Pasir Mas serta Wakaf Bharu di sini ke stor terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Hashim berkata, semua kenderaan terbabit mampu mengangkut lebih 300 liter bahan bakar itu dengan menggunakan tangki yang diubah suai sebelum dipunggah ke stor tersebut.

Menurutnya, dalam kawasan stor yang dijadikan transit untuk menyeludup bahan bakar itu di sebuah rumah dan pihaknya menahan pemilik rumah terbabit untuk membantu siasatan.

“Stor ini dijadikan transit, penyeludup dikatakan menggunakan bot untuk membawa bahan bakar ini menyeberangi Sungai Golok ke negara jiran,” katanya.

Difahamkan satu tong yang mengandungi 30 liter petrol dijual dengan harga RM70 kepada pembeli di Thailand.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun untuk individu manakala untuk syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM250,000.

Warga emas maut



KOTA BHARU - Seorang anak longlai apabila melihat mayat ibunya sendiri terbujur di tepi jalan dekat Kampung Kijang kerana pada awalnya disangkakan longgokan sampah yang ditinggalkan penduduk.

Dalam kejadian jam 9.50 malam kelmarin, Mek Yam Hassan, 56, maut di tempat kejadian selepas proton Wira dari arah Kota Bharu menghala ke Pantai Cahaya Bulan merempuh mangsa ketika berjalan kaki melintas jalan untuk membeli di kedai runcit terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Mek Yah Mat, 42, ketika ditemui di rumahnya, semalam, berkata, ketika kejadian dia terdengar dentuman depan rumahnya dan terus menjenguk dari tingkat dua rumahnya.

“Pada mulanya saya ternampak ada kereta berada di tepi jalan dan melihat terdapat satu longgokan, saya mengabaikannya kerana pada awalnya saya menyangka ia timbunan sampah.

“Bagaimanapun, saya terkejut kerana seorang jiran menjerit memberitahu ibu sudah mati dilanggar sebuah kereta dan longgokan itu rupa-rupanya mayat ibu saya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mek Yah berkata, sejurus mengetahui insiden itu dia bergegas ke rumah ibunya untuk memaklumkan kepada ayah tirinya, Mohd Sabri Sulaiman, 50, kemalangan yang menimpa isterinya itu.

Mek Yah juga anak sulung kepada mangsa berkata, sehari sebelum kejadian ibunya beria-ia meninggalkan pesan kepada neneknya, Bidah Semail, 80, supaya membahagikan tanah secara sama rata antara tiga beradik arwah.

“Saya tidak menduga itu amanat terakhirnya kepada kami, walaupun sejak seminggu lalu ibu nampak sangat letih dan berubah menjadi pendiam, tetapi kami tidak menyangka itu petanda akan kehilangannya buat selama-lamanya dalam sekelip mata,” katanya.

Kemalangan yang meragut nyawa ibu kepada 10 anak itu sangat dirasakan suaminya, Mohd Sabri kerana sebelum ini arwah sangat rapat dan sentiasa menemaninya ketika bertugas mengawal keselamatan di sekitar Pasar Siti Khadijah.

“Saya reda dengan ujian Ilahi ini , saya perasan sejak seminggu dia letih dan saya menyuruhnya berehat di rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut membuat laporan di balai polis berhampiran.

Difahamkan pemandu kereta terbabit sudah menekan brek kenderaannya, tetapi gagal mengawalnya lalu merempuh mangsa.

Jenazah terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasok, berhampiran rumahnya kira-kira jam 11 pagi semalam.

Maut kereta terjunam



DUA lelaki membetulkan kedudukan kereta BMW yang dikeluarkan dari Sungai Bonus menggunakan kren selepas terlibat dalam kemalangan di jambatan Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, semalam.


Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh penghadang jambatan Jalan Munshi Abdullah, sebelum terjunam ke dalam Sungai Bonus, di Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika kereta BMW berwarna putih yang dinaiki dua lelaki dan seorang wanita dalam perjalanan menuju ke Jalan Dang Wangi. Ketika hampir dengan lampu isyarat, kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas melanggar besi penghadang jambatan lalu terjunam ke dalam Sungai Bonus.

60 pekerja terselamat dalam kebakaran



PEKERJA-pekerja menyaksikan kilang tempat mereka bekerja terbakar dijilat api dalam kejadian di Taman Cheras Mas, Kajang semalam.


KAJANG 9 Mei - Sekumpulan 60 pekerja sebuah kilang membuat model bangunan dan rumah sempat menyelamatkan diri selepas premis itu terbakar di Persiaran Perindustrian Taman Cheras Mas, Kajang, dekat sini hari ini.
Kebakaran pada pukul 3 petang yang dipercayai berpunca daripada bahagian tengah rumah kedai tersebut disedari kumpulan pekerja berkenaan.
Pengurus projek syarikat itu yang mahu dikenali sebagai Chew berkata, pekerja cuba memadam api tersebut yang dikatakan berpunca daripada litar pintas namun api marak terlalu pantas.
"Bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini melibatkan kakitangan, kesemua 60 pekerja diminta keluar daripada kilang.
"Selepas semua keluar, api bertambah marak kerana terdapat banyak kepingan kotak yang digunakan untuk membuat model rumah dan bangunan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ahmad Syauqi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.05 petang sebelum tiba kira-kira 10 minit kemudian.
"Dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Bangi dan Pandan Indah, api yang marak itu dapat dikawal selepas 20 minit. Namun siasatan awal mendapati, premis dua tingkat itu hangus hampir 100 peratus," jelasnya.
Menurutnya, punca kejadian tersebut akan diketahui selepas pasukan forensik melakukan siasatan terperinci.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran berkenaan.

Padah curi air Sains


RASAH 9 Mei – Gara-gara membuat penyambungan secara haram untuk mencuri air, seorang pemilik rumah di Taman Tuanku Jaafar dekat sini menerima padah selepas dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), di sini hari ini.

Serbuan yang dilakukan hasil dari intipan beberapa hari dilakukan sepasukan pegawai dan anggota kedua-dua jabatan berkenaan diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohadir Hid, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Jurucakap Sains menjelaskan, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati kawasan kediaman itu berkenaan sememangnya membuat penyambungan air secara haram dari paip utama di bahagian luar.
“Pemeriksaan di pusat itu mendapati berlaku penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 25 milimeter daripada paip utama milik Sains.
“Selain itu, ujian klorin dijalankan untuk memastikan sama ada bekalan air premis berkenaan adalah air terawat milik Sains atau sebaliknya,” kata jurucakap itu di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, satu notis memaklumkan kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik premis berkenaan dan paip yang digunakan turut disita sebagai bahan bukti.
Jelasnya, pemilik rumah berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 dan semua paip penyambungan itu disita untuk dijadikan sebagai bahan bukti.
“Jika sabit kesalahan, hukuman denda diperuntukkan mengikut seksyen itu ialah RM50,000 atau penjara lebih enam bulan atau kedua-dua sekali,” katanya
Katanya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan berterusan bagi mengesan kegiatan curi air di seluruh negeri ini tanpa mengira sama ada ia membabitkan pengguna komersial atau domestik.

Penganggur dipenjara 6 minggu, denda RM10,000



JOHOR BAHRU 9 Mei - Seorang penganggur dipenjara enam minggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan rasuah RM1,200 bagi menyelesaikan kesalahan menggaji warga asing tanpa permit.
Hakim Madihah Hairullah turut memerintahkan Mohd. Sulaiman Abdullah, 35, dipenjara lima bulan lagi jika gagal menjelaskan denda.
Mohd. Sulaiman mengaku menerima suapan itu daripada Zulikhtar Mohd. Dahari, 27, sebagai dorongan untuk melepaskan warga asing yang digajikan olehnya tanpa permit.
Tertuduh mendakwa mampu menjadi orang tengah antara Zulikhtar dengan pihak polis bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan sejumlah bayaran.
Dia yang berasal dari Sarawak dan menetap di Taman Universiti, Skudai, dekat sini didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Ayub, Taman Universiti, pada pukul 9 malam, 9 Mac 2008.
Mohd. Sulaiman yang tidak diwakili peguam kelihatan tenang ditemani isteri dan kakaknya membayar denda tersebut.
Terdahulunya, dia merayu hukuman ringan kerana sudah insaf selain perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap anak dan isterinya.

Kebun sawit musnah dalam kebakaran



BEGINILAH keadaan kebun sawit milik Che Mod Muhammad Nor yang musnah dalam kebakaran, kelmarin.


BACHOK 9 Mei - Hasrat seorang pengusaha kecil kebun kelapa sawit di Kampung Beris Lalang dekat sini untuk menikmati hasil tanamannya berkecai apabila anak sawit itu musnah dalam kebakaran, semalam.

Che Mod Muhammad Nor, 48, ketika ditemui berkata, kebakaran itu mengakibatkan hampir 100 batang anak sawit yang ditanam di kawasan seluas dua hektar sejak setahun lalu musnah.
"Saya mula menyedari kebakaran ini sewaktu datang untuk membuat kerja-kerja ladang. Selepas itu, saya terus membuat laporan kepada bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Dia bagaimanapun gagal menyatakan jumlah kerugian sebenar yang dialami akibat kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.18 petang dan tiba di tempat kejadian bersama tujuh anggota kira-kira 15 minit kemudian.
Beliau berkata, operasi memadam kebakaran kebun itu mengambil masa agak lama memandangkan kawasan terlibat dipenuhi dengan bahan atau sisa buangan termasuk akar-akar pokok yang telah reput dan mudah terbakar.
"Kebakaran dapat dikawal beberapa jam kemudian. Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Nordin turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas ketika ini.

3 rakyat Malaysia selamat





MOHD. Khairun Aseh (kiri) bercakap kepada pemberita sambil diperhatikan Rimban anak Mawang (dua dari kiri), Rose Rimban, Richi Ebet dan Jeri anak Ebet pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Fauzi Baharudin


KUALA LUMPUR 9 Mei - Akibat tertarik untuk mendapat kerja bergaji lumayan di luar negara, tiga bersaudara menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pekerjaan sehingga dikurung oleh majikan mereka di sebuah rumah kerana dikatakan tiada permit kerja.
Lebih malang lagi, Rimban anak Mawang, 49, dan adik iparnya, Jeri anak Ebet, 47, serta anak Jeri iaitu Richi, 23, terpaksa menahan lapar dengan memakan buah pinang dan ubi bakar sepanjang 17 hari menjadi tahanan di Kimbe, Papua New Guinea.
Bagaimanapun, nasib mereka baik apabila tindakan pantas Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan pejabat Kedutaan Malaysia yang menerima aduan daripada anak Rimban iaitu Rose, 26, berjaya menyelamat dan membawa pulang ketiga-tiga mereka ke tanah air.
Ketiga-tiga mereka tiba di tanah air petang semalam melalui penerbangan dari Papua New Guinea ke Singapura dan seterusnya pulang ke Miri, Sarawak dengan pesawat dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada pukul 7.45 petang ini.
Pada sidang akhbar di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di sini, ketiga-tiganya bersyukur kerana dapat pulang ke tanah air dan berjumpa dengan keluarga.
Menurut Rimban, mereka mula bekerja di sebuah syarikat pembalakan Papua New Guinea pada Disember tahun lalu dengan majikan menghantar RM1,500 sebulan kepada keluarga masing-masing di Sarawak.
Bagaimanapun, jelasnya, sejak Mac lalu majikan tidak membayar gaji dan akhir bulan lalu mereka mula dikurung atas alasan tiada permit kerja.
"Saya tidak mampu bercakap banyak sebab terlalu gembira dapat berjumpa semula dengan keluarga. Di sana kami tidak dibenarkan keluar kerana ada pengawal yang memegang parang mengawasi kami," katanya sambil mengesat air mata.
Pengerusi biro berkenaan, Datuk Mohd. Khairun Aseh pula mahu kes berkenaan dijadikan pengajaran oleh mereka yang ingin bekerja di luar negara.
"Apa yang saya difahamkan, kes ini setakat ini hanya berlaku di Sarawak dan mangsa dijanjikan gaji mencecah RM10,000 oleh agensi pekerjaan itu," katanya.

Polis teruskan operasi cari 5 nelayan hilang di perairan Sungai Besar



SHAH ALAM 9 Mei - Polis masih meneruskan operasi mencari lima nelayan termasuk dua warga tempatan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai turun ke laut untuk menangkap ikan di perairan Sungai Besar, Rabu lalu.
Operasi dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, usaha mencari mereka dijalankan di perairan Sungai Besar, Sabak Bernam bermula pukul 7 pagi sehingga 6.30 petang ini.
"Setakat ini, semua nelayan masih belum ditemui termasuk dua warga tempatan iaitu tekong bot, Chia Yeow Chian dan krew, Ismail Rejab, yang masing-masing berusia 41 tahun," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noor Mushar berkata, pihaknya sedang membuat lakaran wajah tiga nelayan warga Indonesia yang dilaporkan hilang bersama-sama Yeow Chian dan Ismail.
Beliau memberitahu, lakaran itu akan diedarkan kepada media dan di beberapa lokasi di daerah ini bagi mengesan kemungkinan tiga nelayan warga asing tersebut berada di kawasan berkenaan.
"Setakat ini, kita masih lagi menyiasat bagaimana bot dinaiki semua mangsa berada di Jeti Kampung Bagan Sungai Besar, siapa yang membawanya pulang sedangkan semua mangsa belum dijumpai.
"Buat masa ini, kita tidak mahu membuat andaian sama ada kehilangan nelayan-nelayan itu bermotifkan jenayah. Kes masih disiasat sebagai kes orang hilang kerana mangsa-mangsa terbabit belum ditemui," katanya.

Kotak hitam Merpati ditemui



JAKARTA 9 Mei - Indonesia berjaya menemui kotak hitam pesawat Merpati Nusantara, yang terhempas di laut pada minggu lalu yang menyebabkan 25 penumpang serta anak kapalnya terkorban.
Pengerusi Jawatakuasa Keselamatan Pengangkutan, Tatang Kurniadi berkata, kotak hitam itu ditemui semalam dan mereka kini berusaha mendapatkan perakam suara kokpit (CVR) dari dalam laut.
Pesawat jenis MA-60 milik Merpati Nusantara itu, satu daripada syarikat penerbangan Indonesia yang dilarang beroperasi ke Eropah, terhempas di laut ketika cuba mendarat semasa hujan lebat pada Sabtu lalu.
Insiden itu berlaku ketika pesawat penumpang itu dalam penerbangan dari Sorong ketika mahu mendarat di Lapangan Terbang Kaimana di wilayah Papua Barat. - afp
Data dari kotak hitam itu akan dihantar ke makmal di China bagi mendapat gambaran bagaimana pesawat itu boleh terhempas.
"Kami kini memberi tumpuan kepada pengurusan mayat mangsa sebelum ia dihantar kepada ahli keluarga masing-masing.
"Buat masa ini sebanyak 22 mayat termasuk dua bayi telah ditemui," kata Jurucakap Merpati, Imam Turihi.
Beliau turut menurunkan jumlah korban daripada 27 orang dalam laporan awal kepada 25 orang dan mengesahkan tidak ada warga asing yang terkorban. - AFP

Lapan suspek perdaya cinta Internet ditahan



KOTA KINABALU 9 Mei - Kelicikan lapan suspek termasuk empat wanita tempatan memperdaya seorang mangsa dari negeri ini melalui cinta Internet sehingga kerugian kira-kira RM1.1 juta awal tahun ini, terbongkar dengan penahanan kesemuanya di ibu negara, Jumaat lalu.
Empat suspek lelaki yang ditahan ialah warga Nigeria dan Bangladesh berusia antara 20 hingga 29 tahun manakala wanita terbabit berusia dari 27 hingga 44 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, siasatan berhubung kes itu dimulakan ekoran aduan mangsa wanita berusia 48 tahun.
"Sejurus menerima laporan, polis menjalankan siasatan dengan bantuan unit forensik dan agensi kerajaan lain untuk mengesan dalang penipuan terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hock Sing berkata, modus operandi digunakan adalah dengan mencari kenalan di Internet sehingga membuatkan mangsa wanita jatuh cinta dan kemudian menawarkan hadiah kepadanya.
"Bagaimanapun, apabila hadiah itu hendak dihantar, timbul banyak masalah termasuklah kononnya hadiah ditahan pihak Kastam. Oleh itu memerlukan sejumlah wang untuk membawa keluar hadiah tersebut.
"Suspek cuba memujuk mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun dengan alasan hadiah terbabit hanya boleh dilepaskan oleh Kastam selepas sejumlah wang dibayar," ujarnya.
Tambah Hock Sing, disebabkan terlalu mabuk cinta dan terpedaya dengan kata-kata manis, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun suspek.
Katanya, mangsa hanya tersedar ditipu dan membuat laporan polis selepas beberapa kali memasukkan wang ke dalam akaun tersebut sehingga mencecah jutaan ringgit.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes berkenaan adalah yang kelima berjaya diselesaikan oleh polis Sabah.
Katanya, sebelum ini terdapat tiga lagi kes serupa telah berjaya diselesaikan selepas suspek yang dikehendaki berjaya ditangkap iaitu di Penampang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Tawau.

50 pengimport kereta diserbu



KUALA LUMPUR 9 Mei - Lebih 50 syarikat jualan kereta import terpakai di seluruh negara diserbu dalam operasi bersepadu membabitkan empat agensi kerajaan sejak 5 Mei lalu, dipercayai bagi menyiasat kes-kes berkaitan pengimportan kereta-kereta terpakai.
Empat agensi terbabit adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Yang Dipertua Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan operasi tersebut dilaksanakan bagi menyiasat kes-kes melibatkan ikrar mengikut harga sebenar, selain cukai tertunggak.
Katanya, selain itu, terdapat antara ahli persatuan yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA).
"Berikutan itu, beberapa akaun perniagaan syarikat ahli telah dibeku dan telah menimbulkan masalah termasuk untuk membayar gaji pekerja.
"Tindakan tersebut adalah tidak wajar memandangkan Pekema telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 30 tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainuddin memberitahu, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan mahu mana-mana ahlinya yang melanggar peraturan dikenakan tindakan sewajarnya.
"Ada ahli mengadu pejabat mereka diserbu 20 pegawai yang bersikap kasar seolah-olah mereka sudah didapati bersalah. Sehubungan itu, saya meminta agensi terbabit supaya menggunakan kaedah penyiasatan yang berhemah," katanya lagi.
Beliau turut menyeru ahli-ahli Pekema agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang datang menyiasat fail perniagaan mereka.

22 kes simbah asid, polis tingkat kawalan



KUALA LUMPUR 9 Mei - Polis mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kebanyakan wanita yang menjadi mangsa diserang semasa bersendirian atau berjalan di laluan tidak sesak menuju ke kawasan letak kereta atau stesen transit aliran ringan (LRT).
"Lokasi yang kerap menjadi sasaran suspek adalah di tepi jalan sekitar kawasan sekolah, tempat letak kereta, stesen LRT dan pondok menunggu bas.
"Polis kini meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mendakwa suspek di mahkamah jika ditangkap," katanya di sini hari ini.
Chin Wah berkata, perbuatan tersebut dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lalu apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.
Katanya, kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lalu, didapati berulang kembali pada 6 dan 7 Mei lalu dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi.
"Kebanyakan mangsa adalah kalangan wanita yang dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja tetapi terdapat juga serangan berhampiran sekolah di sekitar Bangsar dan Brickfields.
"Suspek dipercayai seorang atau dua lelaki berketurunan India bermotosikal yang akan datang dari arah belakang mangsa sebelum bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai 'Alkaline-based' atau 'Oxidizing Agent' ke arah muka atau badan mangsa," katanya di sini hari ini.
Menurut Chin Wah, cecair terbabit memberi kesan gatal kepada mangsa jika terkena kulit tetapi tidak mengakibatkan lecur.
"Orang ramai yang menjadi mangsa atau melihat kejadian itu diminta melaporkan kepada polis di talian 'hotline' 03-21159999 agar tindakan segera dapat diambil untuk mengesan dan menangkap penjenayah terlibat," katanya.

Usahawan Malaysia diculik



ZAMBOANGA, Filipina 9 Mei - Sepuluh orang penjenayah bersenjata api menculik seorang ahli perniagaan Malaysia di selatan Filipina.
Ketua Pengarah Polis Wilayah, Felicisimo Khu berkata, Mohammad Nasaruddin Bensaidin, 38, diculik di sebuah bandar kecil di Pulau Jolo pada Sabtu lalu.
“Suspek tidak dapat dikenal pasti dan lengkap bersenjata,” ujar Khu, sambil menambah kata, polis di Jolo sedang menjalankan penyiasatan.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang berkata, Mohammad Nasaruddin merupakan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur dan sudah berada di pulau itu selama sebulan.
Cabangbang berkata, pegawai penyiasat sedang memastikan jenis perniagaan yang dijalankan oleh Bensaidin. Penyiasatan awal mendapati Mohammad Nasaruddin terlibat dengan perniagaan dagangan cicak.
Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas penculikan itu walaupun Jolo dikenali sebagai kawasan yang mempunyai banyak kumpulan bersenjata termasuk Abu Sayyaf. – AFP

TTPM arah syarikat elektronik bayar warga emas RM6,900



TAWARAN tiket bertuah dan hadiah percuma sering dijadikan umpan bagi pengguna membeli barang-barang daripada sesebuah syarikat.
Bagaimanapun, masalah akan timbul apabila janji untuk pemberian tiket bertuah dan hadiah percuma itu gagal ditepati, sekali gus menghampakan pembeli.
Itulah yang terjadi kepada seorang warga emas, apabila tidak menerima tiket bertuah dan hadiah percuma seperti yang dijanjikan oleh jurujual setelah membeli tiga produk dari sebuah premis perniagaan elektronik di Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut Lew Kau, 64, dia membayar sebanyak RM7,103 dengan menggunakan kad kredit untuk membeli barang-barang itu dari syarikat berkenaan setelah digula-gulakan dengan tiket bertuah dan hadiah percuma.
Namun, dia merasa tertipu dan terpedaya apabila janji tersebut gagal ditunaikan menyebabkan dia mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kota Kinabalu.
''Sebagai pengguna, saya mahu menuntut keadilan dan meminta semula bayaran dikenakan memandangkan barangan yang dibeli masih belum dibuka,'' katanya pada prosiding tuntutannya di tribunal tersebut baru-baru ini.
Wakil syarikat tersebut yang hadir pada prosiding itu bagaimanapun menyatakan, tidak wujud unsur paksaan dalam membeli barangan mereka dan warga emas itu turut didakwa secara rela menggunakan kad kredit bagi tujuan pembayaran.
Dalam keputusannya, Presiden TTPM, Datuk Dr. Lawrence S.H Thien berkata, syarikat terbabit tidak seharusnya menggunakan taktik yang mengelirukan dengan janji-janji seperti menawarkan hadiah percuma dan tiket bertuah.
''Setelah meneliti butiran dan keterangan kedua-dua pihak, TTPM mengarahkan agar pihak syarikat membayar ganti rugi RM6,900 dan penuntut diminta mengembalikan semula barang-barang yang telah dibeli,'' katanya.
Beliau membenarkan jumlah ganti rugi tersebut setelah menolak harga pembelian dengan kos kerugian sebanyak RM203 yang terpaksa ditanggung oleh syarikat terbabit.

Mangsa simbah asid trauma keluar rumah



KUALA LUMPUR 9 Mei - Meskipun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian mata akibat disimbah cecair jenis 'thinner' oleh seorang lelaki, seorang ibu yang kini sarat mengandung trauma untuk keluar rumah seorang diri.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yati, 30, masih tidak dapat melupakan kejadian bagaimana suspek yang menaiki motosikal tiba-tiba muncul dari arah belakang dan menyimbah cecair itu mengenai muka dan badannya.
Kejadian itu, menurut Yati, berlaku di hadapan sebuah vila yang disewa keluarganya untuk menjalankan aktiviti riadah di Persiaran Titiwangsa di sini, pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.
"Ketika itu, semua ahli keluarga berkumpul di dalam rumah. Saya keluar sekejap ke tempat letak kereta untuk mengambil lampin pakai buang anak saya.
"Sebaik sahaja saya membuka pintu kereta, datang seorang lelaki bermotosikal dari belakang dan menyimbah cecair itu menyebabkan muka dan badan saya basah.
"Saya kini takut untuk keluar rumah kerana masih terbayang kehadiran lelaki itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampang, hari ini.
Yati ialah salah seorang mangsa simbahan cecair dipercayai asid jenis 'thinner' dan 'alkali' yang dilaporkan berlaku di ibu negara sejak kebelakangan ini.
Polis sedang mengesan dua lelaki bermotosikal yang dipercayai menyasarkan golongan wanita di daerah Dang Wangi, Sentul dan Brickfields sebagai mangsa simbahan cecair itu.
Yati memberitahu, simbahan cecair tersebut mengenai bahagian matanya dan amat memedihkan sehingga tidak dapat membukanya.
"Saya menjerit meminta tolong dan segera masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Suaminya yang terkejut melihat keadaannya segera keluar rumah untuk menangkap suspek, bagaimanapun lelaki itu sempat menghilangkan diri.
Katanya, dia dihantar ke Pusat Rawatan Pusrawi sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Kelindan maut nahas lori


KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori terbunuh manakala pemandunya cedera parah selepas terbabit dalam satu kemalangan di Jalan raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah bulatan Batu Caves menghala Selayang, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, lori seberat tiga tan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai G Ganaperakash, 38. “Mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang mati serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala pemandu lori yang turut mengalami cedera parah di kepala berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Selayang,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan pemandu lori berkenaan mengantuk menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan merempuh treler yang diletakkan di lorong kecemasan kerana tiada kesan brek berhampiran kawasan kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian, pemilik treler tiada di kawasan berhampiran dan pihaknya akan mengenal pasti pemilik treler terbabit dan punca pemandunya meninggalkan kenderaan di kawasan berkenaan.


Rusli berkata, sehingga kini kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bengkak kena ‘penampar Jepun’


MELAKA: Gara-gara mengenakan kadar tambang murah, pemandu teksi warga emas menerima ‘penampar Jepun’ dan dimalukan di khalayak ramai dalam satu kejadian di hadapan Plaza Hang Tuah, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Osman Aman, 55, mendakwa mengalami bengkak di kiri dan kanan pipi akibat ditampar lelaki berbadan sasa yang juga seorang pemandu teksi.
Menceritakan kejadian itu, Osman berkata, dia didatangi lelaki yang dikenalinya ketika mengambil seorang penumpang warga asing di situ.

“Lelaki itu kemudian terus mengeluarkan kata-kata kesat dan menuduh saya mengenakan tambang yang lebih murah terhadap warga asing. Lelaki itu kemudian menampar kedua-dua belah pipi dan saya tidak berani melawan kerana badan besar dan sasa.


“Dia kata saya pandai-pandai turunkan harga tambang teksi daripada RM20 kepada RM15 lalu bertindak di luar batasan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jiran tumbuk lelaki tegur kereta halang rumah


AMPANG: Akibat menegur perbuatan jiran meletak kereta di depan rumahnya, lelaki berusia 34 tahun menerima bahana apabila ditumbuk di muka dalam kejadian di Lembah Keramat, awal pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami lebam dan bengkak di tepi mata kiri.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama isteri dan anak-anaknya baru saja pulang sebelum melihat kereta diletakkan di depan pagar rumahnya menyebabkannya terhalang untuk masuk.

Katanya, mangsa yang tidak mengetahui kereta itu milik jirannya, membunyikan hon supaya pemilik kereta itu keluar dan mengalihkan keretanya.


“Bunyi hon itu didengari jiran mangsa yang kemudian keluar.

‘Saya drebar, bukan bomoh’


KLANG: “Saya bukan bomoh, saya pemandu lori,” kata seorang pengamal perubatan tradisional, Azizan Mahadi, 44, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan memperdayakan remaja 17 tahun untuk melakukan persetubuhan haram ketika merawat mangsa, di sini, awal tahun ini.
Bagaimanapun, tertuduh yang berasal dari Kampung Jawa, di sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norsyaridah Awang.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lapan anak itu didakwa melakukan persetubuhan itu atas dasar kepercayaan sebagai bomoh terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Kapar, di sini, pada Februari dan Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 kerana dakwaan terhadap tertuduh membabitkan dua pertuduhan dan serius.