Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Anak harimau bintang mati digilis kenderaan



KEMENDOR - Seekor bangkai haiwan dipercayai anak harimau bintang ditemui mati setelah mukanya digilis kenderaan di Jalan Temelong Kemendor, 300 meter dari Sekolah Menengah Teknik Jasin (SMTJ) di sini, semalam.

Penduduk, Darus Ismail, 56, berkata, ia kejadian pertama kali berlaku di situ dan yakin haiwan berkenaan adalah anak harimau bintang berdasarkan cirinya seperti rosep gelap serta berbintik dan warna kulit lebih cerah di bawah.

Menurutnya, anak harimau bintang itu tersesat sebelum dilanggar kenderaan.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terdengar kawasan di sini yang dikelilingi hutan terdapat harimau bintang.

“Terkejut juga apabila menjumpai anak harimau bintang ini,” katanya.

Menurutnya lagi, peneroka dan pekerja ladang di situ perlu berhati-hati dan berwaspada kerana tidak mustahil ibu haiwan berkenaan juga berada di kawasan berhampiran.

Dua pengarah didenda RM2,000



ALOR SETAR - Dua pengarah sebuah syarikat diarahkan Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam, untuk membayar denda RM2,000 setelah didapati bersalah kerana gagal menyerah simpan penyata tahunan syarikat bagi tahun takwim 2008.

Berdasarkan pertuduhan Rosnee Sheriff, 60, dan Shafirol Ayob, 37, masing-masing adalah pengarah syarikat Servis Communica Sdn Bhd, sebuah syarikat berhad menurut syer yang telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 30 Mac 1985, dan mempunyai syarikat berdaftar di Kompleks Alor Setar, Lebuh Raya Darul Aman.

Kedua-duanya dituduh gagal menyerah simpan suatu penyata tahunan bagi tahun takwim 2008 dalam tempoh sebulan dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan Syarikat yang sepatutnya diadakan pada tahun berkenaan.

Rosnee dan Shafirol dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 165(7) akta sama.

Majistret Nor Azah Idris mengarahkan kedua-dua tertuduh membayar penalti RM2,000 atau dikenakan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan penalti.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kedah, Mohd Rapiah Mohd Jamil mewakili pihak pendakwaan.

‘Penceroboh’ sekolah tumpas



SELENDANG - Sebanyak dua ekor babi hutan berjaya ditembak mati dalam operasi memburu haiwan liar itu di hutan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selendang, di sini, semalam.

Ketua Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Selendang 1, Mat Saad Abdullah berkata, operasi yang bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari itu turut disertai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, operasi itu dilancarkan sebagai usaha memerangi haiwan terbabit yang sering menceroboh masuk ke kawasan SMK Selendang.

“Usaha membunuh babi hutan ini bagi memastikan haiwan liar itu tidak memusnahkan tanaman sawit dan menyelongkar tong sampah yang terdapat di sekolah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mat Saad berkata, operasi terbabit turut melibatkan lima ekor anjing pengesan yang dibawa khas untuk membantu mengesan haiwan berkenaan.

“Kami terpaksa menggunakan bantuan anjing pengesan bagi menghidu tempat persembunyian babi hutan ini memandangkan ia hidup dalam berkelompok, selain mudah menghidu kehadiran pemburu,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran babi hutan di kawasan sekolah sering menjadi rungutan pelajar, guru dan ibu bapa memandangkan kawasan di situ sering menjadi sasaran haiwan terbabit untuk mencari makanan.

“Operasi ini dilakukan bagi memastikan haiwan ini tidak mengancam keselamatan warga sekolah lagi dan kita berharap ia juga dapat mengurangkan aktiviti pencerobohan haiwan berkenaan di kawasan sekolah,” katanya.

Menurutnya, operasi memburu babi hutan itu merupakan kali kedua dijalankan di Felda Selendang selepas operasi yang sama dilakukan di sekitar kebun sawit pada November tahun lalu.

Katanya, kesemua babi hutan yang ditembak mati akan dilupuskan sebelum ditanam di satu lokasi yang ditetapkan.

Misteri mayat dalam longkang terjawab



KUALA TERENGGANU - Misteri kematian seorang lelaki yang ditemui dalam longkang belakang bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Tapai pada 5 Mei lalu terungkai, apabila polis mengesahkan lelaki terbabit mati akibat terjatuh bangunan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan, kesimpulannya adalah selari, iaitu mangsa jatuh daripada bangunan tinggi, berdasarkan kecederaan yang dialami.

Menurutnya, mangsa didapati mendapat kecederaan pada tulang muka, rahang hancur, tengkoraknya pecah dan mengalami patah serta beberapa kecederaan lain pada badannya.

“Laporan pakar forensik mendapati mangsa jatuh dari bangunan tinggi kerana kesan kecederaan adalah sama dengan impak jatuh. Siasatan polis di tempat kejadian juga mendapati ada kesan saluran air pada bahagian bumbung yang tertanggal, berdeka�tan� dengan mayat.

“Kabel kilat yang diperbuat daripada logam yang terletak di bumbung juga didapati tertanggal. Kita percaya dia cuba mencuri kabel itu kerana dia mempunyai rekod penjara pada 2004 dan rekod dadah, termasuk yang akan dibicarakan pada 29 Mei ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut beliau, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut, akibat terjatuh daripada bangunan tiga tingkat.

Sinar Harian pada 6 Mei lalu menyiarkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki yang sudah berulat, dalam longkang belakang bangunan baru SK Wakaf Tapai, kira-kira jam 10.50 pagi.

Mayat lelaki terbabit yang berusia 40 tahun dan berasal dari Kampung Sungai Serai, Binjai Rendah itu dijumpai anak saudara lelakinya.

Dia dikatakan telah keluar dari rumah pada 1 Mei lalu dan memaklumkan untuk pergi menjerat burung, namun tidak pulang ke rumah dan keluarganya juga tidak membuat sebarang laporan polis.

Gerakan mencari diteruskan



KUALA PILAH – Operasi mencari kanak-kanak yang dihanyutkan arus deras di Hutan Rekreasi Ulu Bendul, di sini giat diteruskan pada hari keenam, semalam yang turut dibantu penduduk kampung.

Lebih 150 orang terlibat dalam operasi berkenaan yang turut disertai anggota keluarga dan saudara mara mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, setakat ini, dua kumpulan besar diwujudkan melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Ikatan Relawan Rakyat (Rela), unit anjing K9 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat melibatkan kawasan sungai serta tebing untuk mencari mangsa, Nur Syaza Sakinah Syed Ahmad, 2.

“Semalam (kelmarin) kita meneruskan operasi mencari mangsa dan masih belum dijumpai dalam dua kumpulan besar.

“Kumpulan pertama memberi tumpuan kawasan yang ada petunjuk, sehingga kita puas hati. Kemudian, kumpulan kedua ikut sungai dengan mengambil pendekatan menggunakan kayak sehingga 11 kilometer.

“Sehingga semalam (kelmarin), kita masih belum menjumpai jasad mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Rekreasi Ulu Bendul, di sini semalam.

Jaafar berkata, operasi mencari untuk hari keenam memakan jarak sehingga lima kilometer yang turut disertai anggota sedia ada, penduduk kampung dan ahli keluarga mangsa.

Katanya, operasi juga berdepan dengan tahap kesukaran tidak dijangka.

“Di dalam kawasan taman rekreasi ini bersih dan mudah untuk kita mencari, tetapi tiba kawasan luar, agak sukar kerana kita terpaksa berhadapan dengan semak-samun, rumput dan akar menjalar di dalam sungai. Kerana itu, kita perlukan tenaga kerja banyak.

“Walaupun kita menghentikan seketika operasi mencari pada 7 malam, masih ada anggota terlibat, iaitu mereka lebih profesional,” katanya.

Jaafar berkata, khidmat kaunseling dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Pilah juga diberikan kepada keluarga mangsa untuk menghadapi sebarang kemungkinan sewaktu proses pencarian mangsa yang masih belum ditemui.

Waspada pihak tipu kutip derma pondok



KOTA BHARU - Pihak Pondok Daril Naim memberi peringatan kepada masyarakat negeri ini supaya berwaspada dengan pengutip derma yang mungkin akan menggunakan nama pondok itu yang pernah terbakar, 17 April lalu.

Pengerusi Pondok Daril Naim, Mohd Aziz Che Man berkata, beberapa hari selepas kejadian kebakaran, ada satu pihak yang datang ke pondok dengan meminta salinan laporan polis mengenai kebakaran.

“Apabila ditanya, orang berkenaan merahsiakannya dan memberitahu salinan berkenaan diperlukan bagi memberi bantuan apabila mendengar khabar pondok terbakar.

“Kerani di sini ada memberikan salinan laporan berkenaan, namun sehingga kini kami mengesyaki usaha itu mungkin akan digunakan untuk mengutip derma bagi meraih simpati orang ramai,” dakwanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, sebelum ini, sudah dua kali pihaknya pernah mendengar aduan ada pihak menggunakan nama pondok untuk mengutip derma bagi pembinaan pondok dan asrama.

Menurutnya, pihak pondok tidak pernah melantik mana-mana wakil, individu atau agensi bagi mengutip derma untuk membantu mangsa kebakaran.

Bagaimanapun, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan yang boleh dihantar saluran ke pejabat Pondok Daril Naim melalui akaun bank pada nombor akaun 03018010053278 atas nama Tetuan Madrasah Daril Naim (Pondok).

Katanya, setakat ini, pihaknya menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh melalui Tabung Serambi Mekah dan tabung kebajikan lain.

Dua beradik ditahan



KOTA BHARU – Sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menahan dua beradik bersama komponen daripada 14 motosikal dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Batu 6, Pengkalan Chepa, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abdul Rafar berkata, serbuan hasil maklumat orang ramai dan hasil siasatan polis kira-kira jam 2.20 petang Jumaat lalu, turut menemui komponen motosikal yang dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

“Semua motosikal yang ditemui sudah dileraikan, kita tidak menemui motosikal yang lengkap dan kita percaya ianya dijadikan sebagai alat ganti untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada orang lain.

“Kita percaya kegiatan ini dilakukan antara tiga hingga empat bulan lalu, kami juga akan menyiasat kemungkinan terdapat rakan-rakan suspek lain yang terlibat dalam kegiatan geng motor ini,” katanya pada sidang media di IPD Kota Bharu di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pelajar yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif dadah.

Menurutnya, mereka kini ditahan reman sehingga 9 Mei nanti untuk siasatan di bawah Seksyen 379A/411 Kanun Keseksaan.

Polis juga katanya, akan memanggil keluarga suspek untuk mendapatkan keterangan kerana semua komponen motosikal ditemui di kawasan rumah mereka.

Idris berkata, sebanyak 513 kes motosikal hilang dilaporkan di Kota Bharu dari Januari sehingga kelmarin.

“Kita sudah membuat 20 tangkapan setakat ini dan menyelesaikan 19 kes kecurian motosikal yang merupakan kes jenayah paling tinggi di Kota Bharu,” katanya.

Justeru katanya, polis meminta orang ramai terus memberikan maklumat berhubung kegiatan jenayah tersebut.

Kontraktor hadapi tuduhan kemuka tuntutan palsu RM5,135



JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM5,135 ke Pejabat Kesihatan Kluang berkaitan kerja-kerja mengubah suai lapan kuarters Klinik Kesihatan Renggam, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Taha, 68, yang juga kontraktor kelas F di Syarikat Seri Lukut Enterprise mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Ahmad dituduh mengemukakan pesanan kerajaan bernombor P648 yang mengandungi butiran palsu berkenaan kerja-kerja mengubah suai kuarters dengan membekal dan memasang lantai berjubin dan kerja pengubahsuaian itu tidak pernah diadakan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwa raya yang diwakili oleh Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, tertuduh meminta ikat jaminnya dikurangkan kepada RM2,000 memandangkan dia mengalami pelbagai penyakit dan usianya yang telah lanjut.

Hakim Madihah Hairullah memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 6 Jun depan.

Anak Ahmad Taha membayar wang jaminan itu dan melantik seorang peguam.

Langgar lari, warga emas maut



BALING - Seorang warga emas berusia 65 tahun terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas digesel dari arah belakang oleh sebuah kereta di Jalan Parit Panjang - Baling, kira-kira jam 8.30, malam semalam.

Mangsa, Che Nai Tahir, 65, dari Kampung Parit Panjang mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, mangsa dikatakan sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat kejadian sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta.

“Kereta berkenaan tidak berhenti untuk memberi bantuan sebaliknya melarikan diri selepas tergesel dengan motosikal mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Mat Daud berkata, kemalangan maut itu disifatkan kejadian langgar lari dan polis sedang mengesan pemandu kenderaan terbabit dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu memberi maklumat.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya, semalam.

Pemandu, kelindan sempat melarikan diri



SEREMBAN – Kementerian Perdaga-ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan menyita sebuah lori selepas menemui empat tong plastik berisi minyak diesel dipercayai diseleweng secara haram.

Dianggarkan seberat kira-kira 1,500 liter, minyak diesel itu ditemui di dalam lori seberat lima tan dalam operasi khas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini Khamis lalu.

Pemandu lori berusia lingkungan 30-an bersama seorang pekerja asing, bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas terkejut dengan kehadiran sepasukan pegawai dan anggota KPDNKK yang menyerbu kawasan berkenaan, kira-kira 5 petang.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Nor Musa berkata, ketika serbuan dijalankan kedua-dua individu terbabit baru selesai menyedut minyak diesel daripada sebuah lori kargo.

“Namun, mereka sempat melarikan diri selepas kita menyerbu kawasan berkenaan hasil daripada risikan dan maklumat diperolehi berkaitan kegiatan penyelewengan minyak diesel berlaku di kawasan R&R berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati kegiatan berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan lalu dengan menjadikan R&R sebagai ‘port’ memindahkan diesel.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda hingga RM100,000 dan kita sedang mengenal pasti pemilik sebenar lori berkenaan untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Nor berkata, pihaknya akan menempatkan penguat kuasa di kawasan R&R berkenaan untuk memantau bagi memastikan aktiviti haram berkenaan dapat dibanteras.

Juruaudit saman Keda kerana tidak sahkan jawatan


ALOR SETAR 9 Mei - Seorang juruaudit hari ini memfailkan saman terhadap Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) bagi mendapatkan pengesahan jawatan tetap yang didakwanya telah disekat walaupun telah memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu lulus peperiksaan kerajaan dan kursus induksi.

Nur Dini Mohd Noh, 33, melalui peguamnya Aswandi Mohamed Hashim memfailkan writ saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam saman itu, juruaudit itu memohon Keda yang dinamakan sebagai defendan pengiktirafan jawatan tetap juruaudit gred W41 berkuatkuasa ke belakang iaitu pada 9 September 2008.
Beliau juga menuntut pembatalan arahan bertulis daripada ketua jabatan berkaitan pergerakan gaji tahunannya yang disekat dan pelarasan gaji bermula dari tahun terhentinya pergerakan gajinya.
Plaintif juga menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teladan berjumlah RM50,000, kos peguam-anak guam, kos mahkamah dibayar oleh defendan dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Nur Dini dalam pernyataan tuntutannya berkata, beliau dilantik pada 16 November 2006 dan berada di bawah skim perkhidmatan tetap dan berpencen dan Keda mengeluarkan surat kepadanya bertarikh 12 November 2009 berhubung pelanjutan tempoh percubaan selama setahun dari 16 November 2009 kerana tidak mendapat perakuan ketua jabatan Surat itu juga telah menyatakan pelanjutan tempoh percubaan itu adalah dengan berdenda di mana plaintif tidak mendapat pergerakan gaji tahunan dan amaran bahawa perkhidmatan plaintif akan ditamatkan sekiranya tetap tidak mendapat perakuan ketua jabatan selepas tempoh percubaan itu.
Nur Dini semasa dalam tempoh pelanjutan tempoh percubaan itu telah menerima surat daripada defendan bertarikh 10 November 2010 berhubung penangguhan perkhidmatan sebagai juruaudit gred W41 dengan alasan tidak mendapat sokongan ketua jabatan dan perkhidmatan plaintif telah ditangguhkan berkuat kuasa 16 November 2010.
Berikutan surat itu, plaintif diarahkan supaya tidak perlu hadir bertugas mulai 16 November 2010 sehingga keputusan selanjutnya diperolehi. Keda kemudiannya melalui surat bertarikh 28 November 2010 memanggil semula plaintif bertugas berkuat kuasa serta merta dan membatalkan surat bertarikh 10 November 2010 berkaitan penangguhan perkhidmatan sebagai juruaudit gred W41 di Keda.
Surat bertarikh 28 November 2010 gagal memaklumkan kedudukan jawatan plaintif sama ada bertaraf tetap atau sebaliknya dan plaintif melalui peguamnya telah menyampaikan notis inkuiri kepada defendan yang bertarikh 8 Disember 2010 berhubung pengiktirafan dan perakuan ketua jabatan.
Defendan selepas menerima notis inkuiri telah mengeluarkan surat bertarikh 26 Disember 2010 dan menyatakan plaintif tidak dapat disahkan dalam jawatan kerana tidak mendapat perakuan dan sokongan ketua jabatan.
Plaintif untuk kali kedua kemudiannya mengemukakan notis inkuiri bagi mendapatkan penjelasan berhubung kegagalan plaintif mendapat perakuan dan sokongan ketua jabatan.
Defendan kemudiannya mengeluarkan surat bertarikh 6 Januari 2011 bagi menyatakan pelanjutan tempoh percubaan bermula dari 3 Disember 2010 sehingga 2 Disember 2011 kerana tidak mendapat sokongan ketua jabatan dan plaintif juga diberi amaran serta perkhidmatannya mungkin akan ditamatkan. - Bernama

Kes saman Malayan Banking RM1.28b didengar 21 Sept


KUALA LUMPUR 9 Mei - Sebuah syarikat pemaju yang memfailkan saman RM1.28 bilion terhadap Malayan Banking Berhad berhubung pelantikan dua individu sebagai Penerima dan Pengurus (P&P) bagi mengambil alih pengurusan syarikat itu akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 21 dan 22 September depan.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak apabila kes itu disebut di hadapan beliau untuk pengurusan kes.
Pada 21 Mac lepas, Bistari Land Sdn Bhd memfailkan saman terhadap bank berkenaan dan menamakan Datuk Gan Ah Tee dan Mok Chew Yin yang merupakan ejen kepada bank itu, sebagai defendan dan mendakwa pelantikan kedua-dua defendan itu sebagai P&P oleh bank itu telah menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian.
Peguam Sng Eu Kim mewakili syarikat itu manakala peguam Lim Siew Ming mewakili Malayan Banking dan peguam Lee Shih mewakili Ah Tee dan Chew Yin.
Eu Kim memberitahu pemberita, mahkamah juga menetapkan 27 Mei ini untuk pengurusan kes.
Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu yang terlibat dalam projek pembangunan bercampur Bandar Bistari Perdana di Johor Bahru, mendakwa walaupun syarikat itu telah memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Johor Baharu bagi menghalang bank itu daripada melantik P&P dalam syarikat itu, bank itu masih melantik P&P. - Bernama

Kes rasuah Ketua Cabang PKR dibicara pada 4 Julai


9 MEI 2011: Ketua Cabang PKR Rantau Panjang, Mohamad Agos Mohd Noor dengan gaya tersendiri sejurus keluar daripada perbicaraan kes bersubahat dengan Nor Azimah Jamaludin bagi mendapatkan gelaran Datuk di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. - Utusan/MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 9 Mei - Mahkamah Sesyen, di sini, menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan kes Ketua Cabang Pakatan Rakyat (PKR) Rantau Panjang, Kelantan, Mohammad Agos Mohd Noor, yang didakwa bersubahat dengan seorang ibu tunggal untuk menerima rasuah RM50,000 berhubung penganugerahan ”Dato Diraja” daripada sebuah persatuan kerabat, tahun lepas.

Dalam prosiding sebutan semula kes itu hari ini, Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa untuk kes tersebut dibicara bersama.
Abdul Razak sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa seorang lagi Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh, telah membenarkan kes Mohammad Agos dipindahkan untuk dibicara bersama dengan Nor Azimah Jamaludin, 31, di hadapan Hakim Rosbiahanin.
Katanya, kes Nor Azimah di Mahkamah Sesyen Shah Alam iaitu dua lagi tuduhan menerima suapan RM150,000 daripada seorang ahli perniagaan, selain dua pertuduhan pilihan menipu bagi mendapatkan anugerah yang sama, turut dibicarakan bersama.
Beliau memaklumkan seramai 10 saksi pendakwaan akan dikemukakan untuk memberi keterangan sepanjang prosiding itu. - Bernama

Polis tahan lelaki dan rampas heroin hampir 1 kilogram


KULIM 9 Mei - Polis menahan lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan merampas heroin seberat hampir satu kilogram berhampiran Taman Merak, Sungai Ular, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supritendan Baharom Othman berkata, suspek berusia 21 tahun dan berasal dari Kuala Ketil, Baling itu diberkas pada pukul 3 pagi dalam operasi cegah jenayah.
Katanya, suspek yang sedang menunggang motosikal dilihat dalam keadaan mencurigakan dan apabila diekori polis, dia memecut tetapi berjaya dipintas selepas 50 meter apabila motosikalnya terbabas.
"Polis menemui 600 paket kecil plastik berisi heroin seberat 985 gram diisi dalam satu uncang plastik, dalam bakul motosikal yang ditunggangi suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Polis percaya suspek merupakan seorang pengedar dan mendapat bekalan dadah dari Pulau Pinang, katanya.
Baharom berkata, suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Ahli perniagaan Malaysia dilapor diculik di Pulau Jolo


ZAMBOANGA, Filipina 9 Mei - Seorang ahli perniagaan Malaysia diculik oleh 10 orang yang lengkap bersenjata api ketika berada di Pulau Jolo, Selatan Filipina yang merupakan kubu pergerakan militan Islam.

Ketua Pengarah Polis Wilayah, Felicisimo Khu berkata, Mohammad Nasaruddin Saidin, 38, diculik dari sebuah bandar kecil di Pulau Jolo Sabtu lalu.
“Kumpulan itu bagaimanapun belum dapat dikenal pasti identiti mereka,” kata Felicisimo.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang berkata, mangsa seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur dan sudah berada di pulau itu selama sebulan. - AFP

Doktor dan jururawat lemas berkelah di air terjun Kg Giam


9 MEI 2011: Sharifah Mordiah Wan Abu, 53, menjawab telefon dari sanak saudara sambil menatap gambar anaknya Dr. Mohammad Azri Dollah yang ditemui mati lemas ketika berkelah di air terjuan Kampung Giam, Jalan Puncak Borneo, Kuching. - Utusan/MIR HAFIZ ABD RAHMAN

KUCHING 9 Mei – Kegembiraan empat rakan sekerja dari Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan untuk mandi di air terjun Kampung Giam, dekat sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka termasuk seorang doktor lemas.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Mohamad Azri Dollah, 27, dari Semariang, di sini merupakan seorang doktor yang baru selesai menjalani latihan dan jururawat, Norfazillah Abdul Kadir, 23, berasal dari Kampung Baru, Samarahan.
Kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan sekerja yang juga jururawat perempuan dari pusat tersebut telah berkelah dan mandi-manda di air terjun kampung itu yang terletak kira-kira 35km dari sini pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ini, apabila Norfazillah yang sedang mandi di tepi air terjun itu dilihat terkapai-kapai meminta bantuan dan apabila menyedari keadaan mangsa yang tidak pandai berenang, Mohamad Azri terus terjun dan cuba menyelamatkannya.
Namun, Mohamad Azri dipercayai menghadapi kesukaran berikutan arus yang kuat serta badannya yang ditarik Norfazillah yang berada dalam keadaan ketakutan sehingga kedua-dua mangsa lemas dan hilang di tempat kejadian. – Bernama

680 tong gas haram dirampas


SEREMBAN - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan berjaya mematahkan kegiatan haram memindahkan gas daripada silinder domestik seberat 14 kilogram ke dalam sebuah tangki besar sebelum dijual kepada industri di satu kawasan tersorok di Kilometer 5, Jalan Seremban-Labu dekat sini, hari ini.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Nor Musa berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas 680 tong gas di mana 624 tong berisi gas, manakala 56 tong gas kosong bernilai RM17,840 serta sebuah lori tiga tan.
"Kita mulakan operasi pukul 2 pagi dan menunggu hingga pukul 6 pagi setelah mendapati sebuah lori yang membawa silinder domestik seberat 14 kilogram masuk ke dalam kawasan itu. Anggota kita terpaksa memanjat pagar untuk sampai di lokasi, tetapi empat pekerja didapati melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Lelaki maut, anggota polis cedera


IPOH - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dekat sini, hari ini.

Kejadian pada pukul 1 petang itu turut menyebabkan seorang anggota polis yang membuat kawalan lalu lintas di jalan itu cedera apabila dirempuh sebuah motosikal.
Sulaiman Tam, 56, dari Chemur, di sini, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala Sarjan Jamaluddin Hussin, 48, yang patah kaki kiri pula kini dirawat di hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah, Ipoh Deputi Supritendan Mohd Rodzi Rejab berkata, ketika kejadian motosikal yang ditunggang Sulaiman dalam perjalanan dari Ipoh ke Chemor.
"Lori yang membawa muatan baja dan datang dari arah yang sama itu bergesel dengan motosikal yang ditunggang Sulaiman menyebabkan lelaki itu terjatuh di atas jalan dan kepalanya digilis tayar belakang lori,” katanya ketika dihubungi di sini. - Bernama, 

50,000 pakaian tiruan dirampas


ALOR SETAR - Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menahan seorang lelaki dan merampas 50,000 helai pakaian tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai RM500,000 dalam operasi di sebuah rumah kedai di Taman Tengku Husna, Jalan Tanjung Bendahara di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari berkata, serbuan pukul 11 pagi itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama sebulan dan diketuai oleh Ketua Unit Operasi KPDNKK Kedah, Mohamad Amir Abdullah bersama sembilan anggota.
"Pelbagai jenis pakaian berjenama tiruan itu ditempatkan dalam sebuah rumah kedai di tingkat satu premis itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Suhaimi berkata lelaki berusia 30-an yang ditahan itu ialah pemilik premis berkenaan manakala rumah kedai itu dijadikan tempat penyimpanan pakaian tiruan yang diimport dari Thailand untuk diedar kepada peniaga kecil di sekitar bandar raya ini.
"Pemilik premis ini dipercayai menjalankan perniagaan itu hampir setahun dan menjadikan rumah kedai ini sebagai stor simpanan pakaian tiruan untuk peniaga kedai runcit mahupun pasar malam mendapatkan bekalan pakaian di sini,” katanya.
Beliau berkata lelaki itu turut memiliki sebuah kedai kecil bagi mengaburi pihak berkuasa. - Bernama

Guna nama VIP: Penipu licik tidak serik

KOTA BAHARU - Kelicikan seorang bekas banduan melakukan kegiatan penipuan dengan menggunakan nama orang kenamaan tidak bertahan lama apabila dia akhirnya ditangkap polis petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd Rafar berkata, suspek yang berumur 29 tahun dan baru lima bulan dibebaskan dari penjara ditahan di sebuah hotel di sini pada 2 petang semalam.
"Suspek dikatakan telah pergi ke hotel berkenaan dan meminta kunci sebuah bilik hotel dan wang tunai RM100 yang didakwanya atas arahan pemilik hotel.
"Bagaimanapun pekerja hotel berkenaan yang curiga, kemudian menghubungi pemilik hotel untuk memaklumkan tentang kehadiran suspek dan pemilik hotel kemudian menafikan beliau ada mengeluarkan arahan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, hasil laporan daripada pemilik hotel itu pihak polis segera melakukan gerakan mengesan mangsa dan berjaya menahan mangsa di bilik hotel berkenaan.
"Hasil pemeriksaan di dalam hotel juga mendapati sebuah TV LCD telah hilang dan siasatan awal kemudian menemui LCD itu disimpan di dalam kenderaan jenis Pajero yang disewa suspek.
"Dengan penahanan suspek ini kita percaya enam kes penipuan melibatkan kerugian RM24,000 yang dilaporkan di sekitar bandar ini dapat diselesaikan bagaimanapun kita percaya masih ramai individu yang telah tertipu dengan suspek tetapi tidak membuat laporan polis dan kita minta mereka tampil membantu siasatan,” katanya. - Bernama, kosmo

Rompak: Buruh dipenjara 6 tahun, disebat


KLANG – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak seorang lelaki Pakistan dengan bersenjatakan parang dan kapak pada Ogos tahun lepas.

Hakim Norsyaridah Awang memerintahkan S. Kalidas, 22, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu pada 24 Ogos lepas.
Kalidas didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas Abdullah Khan, 26, di Lot 3877, Batu 2 1/2, Jalan Air Hitam, Dengkil, Sepang dekat sini, kira-kira pukul 9 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda. – Bernama

UPP Perlis tahan tekong, PATI Myanmar


KOMANDER Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman (kanan) menunjukkan cara sembilan pendatang tanpa izin warga Myanmar berasak dalam PROTON Wira ketika cuba memasuki negara ini secara haram dengan bantuan seorang tekong warga Malaysia . - Foto Eizairi Shamsudin
bharian
KANGAR – Seorang tekong darat bersama sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) selepas kereta yang mereka naiki terperangkap dalam kawasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini awal pagi tadi.
Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata, lelaki tempatan berusia 30 tahun memandu kereta memasuki pekarangan HTF kira-kira 4 pagi selepas menyedari diekori kenderaan UPP, namun akhirnya terperangkap kerana pintu pagar jalan belakang hospital itu ditutup.
Tekong berkenaan cuba melarikan diri, namun ditahan anggota UPP selepas dia terjatuh ke dalam longkang dan cedera di bahagian kepala.
Dia kemudian dibawa ke bilik rawatan hospital berkenaan dan menerima 16 jahitan akibat luka berkenaan.
Tiga PATI pula bertindak memanjat pagar belakang hospital berkenaan dalam usaha meloloskan diri, namun gagal, dan mereka ditahan bersama enam lagi yang masih berada dalam kereta. – Bernama, kosmo

Guru disyaki rogol murid ditahan


KUANTAN: Polis menahan seorang guru sekolah menengah di sebuah tanah rancangan FELDA di Jengka, Jerantut, semalam kerana dipercayai merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, Khamis lalu. 


Dalam kejadian 3.30 petang itu, guru lelaki berusia 33 tahun itu didakwa merogol pelajar berusia 15 tahun itu di sebuah kuarters guru di tanah rancangan itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud, berkata guru berkenaan menghubungi keluarga mangsa untuk mengajar mangsa di kuarters berkenaan.
"Mangsa dan seorang rakan sekolahnya pergi ke rumah guru berkenaan bagi menyiapkan kerja sekolah. Bagaimanapun, tidak berapa lama kemudian rakan mangsa beredar dari rumah itu.

"Selepas rakan mangsa keluar, guru berkenaan bertindak memeluk mangsa secara paksa dan merogolnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Haris berkata, guru berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak tetapi keluarganya tinggal di Kedah.

Katanya, mangsa yang mengalami kemurungan menceritakan perkara itu kepada seorang guru di sekolahnya sehari selepas kejadian sebelum dimaklumkan kepada keluarga.
Beliau berkata keluarga mangsa membuat laporan polis semalam. - BERNAMA 

Lelaki maut, polis cedera dalam nahas


IPOH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat sini hari ini. 


Kejadian 1 petang itu turut menyebabkan seorang anggota polis yang membuat kawalan lalu lintas di jalan itu cedera apabila dirempuh sebuah motosikal.
Sulaiman Tam, 56, dari Chemur di sini, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala Sjn Jamaluddin Hussin, 48, yang patah kaki kiri pula kini dirawat di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab, berkata ketika kejadian motosikal yang ditunggang Sulaiman dalam perjalanan dari Ipoh ke Chemor. 

"Lori yang membawa muatan baja dan datang dari arah sama itu bergesel dengan motosikal yang ditunggang Sulaiman menyebabkan lelaki itu terjatuh di atas jalan dan kepalanya digilis tayar belakang lori," katanya ketika dihubungi di sini. - BERNAMA 

Pemuda maut ditikam pada majlis kahwin


TAWAU: Seorang pemuda yang menceroboh satu majlis perkahwinan maut selepas ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian di Tanjung Batu, di sini semalam. 


Ketua Polis Daerah Tawau ACP, Ibrahim Chin, berkata lelaki berusia 27 tahun itu datang ke majlis terbabit tanpa diundang dan bertindak menendang kerusi serta meja dalam kejadian 12.15 tengah malam itu.
"Lelaki itu datang ketika orang masih berkaraoke dan tiba-tiba menendang meja dan kerusi. Dalam keadaan kucar-kacir itu seorang lelaki lain yang menjadi tetamu di situ bertindak menikam belakang lelaki berkenaan dengan benda tajam," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Akibat tikaman itu, lelaki yang identitinya belum didedahkan maut di tempat kejadian. 

Ibrahim juga meluahkan rasa kesal kerana pihaknya gagal mendapat kerjasama sewajarnya bagi mengesan penyerang terbabit untuk membantu siasatan. 

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi polis. - BERNAMA 

Polis tahan lelaki miliki hampir 1kg heroin


KULIM: Polis menahan lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan merampas heroin seberat hampir satu kilogram berhampiran Taman Merak, Sungai Ular, di sini semalam. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supt Baharom Othman, berkata suspek berusia 21 tahun dan berasal dari Kuala Ketil, Baling itu diberkas pada 3 pagi dalam operasi cegah jenayah.
Katanya, suspek yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dan apabila diekori polis, dia memecut tetapi berjaya dipintas apabila motosikalnya terbabas 50 meter dari situ.
"Polis menemui 600 paket kecil plastik berisi heroin seberat 985 gram diisi dalam satu uncang plastik dalam bakul motosikal yang ditunggang suspek. 

"Polis percaya suspek adalah seorang pengedar dan mendapat bekalan dadah dari Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Baharom berkata, suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA 

Warga Indonesia ditahan seludup gula


ANGGOTA Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memeriksa sebahagian dari-pada 2.28 tan gula yang disorok dalam bot kayu di Jeti Muara Tebas, Kucing, semalam. Rondaan APMM menggunakan Bot Kilat dalam Operasi Permai 1/06 memintas dan menahan bot dinaiki empat warga Indonesia kira-kira 25 batu nautika dari Tanjung Po, jam 3 petang, semalam. Bot dipercayai dari Kabung, Sarawak menuju ke Pulau Sarasan, Indonesia itu juga membawa barang kawalan seperti tong gas dan beras. - Foto BERNAMA


Cubaan seludup 41.8 tan minyak masak gagal


NAZARRUDIN (kiri) menunjukkan minyak masak yang akan dieksport.

NAZARRUDIN (kiri) menunjukkan minyak masak yang akan dieksport.

PELABUHAN KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mematahkan percubaan menyeludup 41.8 tan metrik minyak masak ke luar negara selepas menahan sebuah lori di pekarangan sebuah kilang di Bandar Armada, di sini, kelmarin.

Lori itu ditahan pada jam 11 pagi dalam satu operasi diketuai Timbalan Ketua Pengarah KPDNKK Putrajaya, Iskandar Halim Sulaiman ketika dua lelaki memindahkan tong minyak masak ke dalam lori di kilang berkenaan.
Operasi membabitkan nilai rampasan RM170,000 turut disertai pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Penolong Pengawal Bekalan KPDNKK Putrajaya, Nazarrudin Zainudin, berkata operasi itu diadakan selepas meneliti laporan daripada sebuah syarikat minyak yang diterima pada 2 Mei lalu dan mendapati ada sesuatu yang tidak kena.

"Syarikat itu tidak sepatutnya menerima minyak masak bersubsidi dan kami sedang menyiasat bagaimana perkara ini boleh berlaku," katanya ketika ditemui selepas mengadakan operasi di situ.

Mengikut harga semasa minyak masak di pasaran, ia dijual pada harga RM3,500 untuk satu tan metrik, manakala nilai subsidi kerajaan bagi satu tan metrik minyak masak ialah RM1,700.

Nazarrudin berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada tiga orang yang berada di kilang berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya, operasi bersepadu itu dimulakan sejak tahun lalu untuk mengekang masalah bekalan minyak masak tidak mencukupi di negara ini.

Difahamkan, syarikat minyak masak itu sudah lima tahun beroperasi dan pernah mempunyai beberapa rekod kesalahan tetapi pihak kementerian tiada bukti mencukupi untuk mendakwa syarikat berkenaan di mahkamah.

Syarikat itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan didenda tidak melebihi RM250,000 jika sabit kesalahan. 

10 maut dalam keganasan antara puak Kristian dan Islam

KAHERAH: Perangkaan kematian akibat pertempuran antara penduduk Islam dan Kristian di ibu kota Mesir meningkat kepada 10 orang, kata satu laporan stesen televisyen negara itu, semalam.
Pertempuran di kalangan kelas pekerja sebuah kejiranan di Imbaba, di barat laut Kahirah, kelmarin itu turut menyebabkan 186 lagi cedera.Kededua kumpulan tersebut bertempur selepas para penduduk Islam menyerang gereja Qibti Saint Mena di Imbaba untuk membebaskan seorang wanita Kristian yang didakwa oleh mereka telah ditahan kerana beliau bertukar memeluk agama Islam.Kaum Qibti membentuk sehingga 10 peratus daripada sejumlah 80 juta penduduk Mesir dan sering mendakwa bahawa mereka didiskriminasi serta menjadi sasaran serangan antara kaum.Dakwaan bahawa wanita-wanita Kristian yang memeluk Islam telah diculik dan ditahan di gereja-gereja dan biara-biara telah menjejas hubungan antara kededua masyarakat tersebut sejak berbulan-bulan lamanya.Para saksi berkata sekitar 500 aktivis Islam konservatif daripada gerakan Salafi berhimpun di luar gereja Saint Mena di kawasan kejiranan Imbaba, di Kahirah, kelmarin, sambil meminta agar para penganut Kristian di sana menyerahkan seorang wanita yang mereka dakwa telah memeluk Islam.Ketegangan dan kejadian tembak menembak tercetus dan kededua pihak membaling bom-bom api dan batu ke arah satu sama lain.Anggota tentera dan polis Mesir bergegas ke gereja terbabit sambil menembak ke arah udara dan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kedua pihak, kata para saksi.Seorang saksi agensi berita Reuters kemudian berkata bahawa satu lagi gereja terbakar dan telah terus dirosakkan.Pihak media negara itu telah memberikan perangkaan kematian baru dan menyemak semula perangkaan jumlah kecederaan kepada 186 orang - dua daripadanya dalam keadaan kritikal di hospital.Keseluruhannya sekurang-kurangnya lima telah dilaporkan mati dan 75 lagi cedera, kelmarin.Salah satu daripada mayat yang baru ditemui itu terletak di dalam gereja, kata satu laporan agensi berita rasmi MENA.Keganasan kaum itu adalah antara yang paling teruk di Mesir sejak Januari lalu dan menjadi cabaran baru bagi pihak tentera yang mengambil alih kuasa negara itu selepas penggulingan mantan presidennya, Encik Hosni Mubarak, berikutan satu siri pemberontakan. -- AFP, Reuters.

Anak Kartika Sari Ditemui Mati Lemas Di Sungai Perak


KARTIKA Sari Dewi membaca surah yasin ketika menunggu anaknya, Muhammad Azfar Affandi yang hilang di Kampung Jawang dijumpai semula, semalam. Kuala Kangsar 8 Mei 2011. UTUSAN/ROY AZIS
SUNGAI SIPUT: Mayat anak sulung bekas model sambilan Kartika Sari Dewi yang dilapor hilang dua hari lepas, ditemui terapung di Sungai Perak di sini awal Isnin.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Azman Salim berkata mayat Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 1 pagi tadi, kira kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan dijangka dituntut keluarganya tengahari ini untuk dikebumikan di Kampung Jawang, Karai dekat sini, katanya ketika dihubungi.
Azman berkata kanak-kanak itu disedari hilang oleh keluarganya pada pukul 12 tengah hari Jumaat lepas, ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di sini yang terletak berhampiran sungai tersebut.
Gerakan mencari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela dan penduduk kampung dilakukan sejurus menerima laporan kehilangannya, kata beliau.- BERNAMA

Seorang Maut Apabila Kereta Terjunam Ke Sungai Bunus


ORANG ramai memerhati operasi membawa keluar kereta yang terjunam ke dalam Sungai Bunus berhampiran Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur pagi tadi. Dalam kejadian itu, penumpang yang duduk di hadapan maut manakala pemandu dan seorang lagi penumpang cedera. - Foto NSTP
bharian



KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya bersama dua yang lain termasuk seorang wanita dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam Sungai Bunus berhampiran Jalan Munshi Abdullah di sini pagi Isnin.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata kejadian berlaku kira-kira 3.10 pagi apabila kereta yang dinaiki D.
Parameswaran, 31, yang datang dari Jalan Ampang menghala ke Jalan Dang Wangi, hilang kawalan apabila sampai di selekoh Jalan Munshi Abdullah.
"Sampai di selekoh lampu isyarat Jalan Munshi Abdullah, kereta mangsa terbabas dan melanggar penghadang kiri jalan lalu terjunam ke dalam Sungai Bunus dan tenggelam," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Parameswaran yang berasal dari Taman Andalas, Klang, merupakan penumpang hadapan dan mati di tempat kejadian manakala pemandu dan seorang lagi penumpang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
"Mayat dibawa ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987," tambahnya.

Kekacauan agama di Mesir



ORANG ramai memerhati pasukan bomba memadamkan kebakaran pada bangunan gereja selepas pergaduhan antara orang Islam dan Kristian di Kaherah, Mesir, kelmarin. - AFP


KAHERAH 8 Mei - Pertempuran antara penduduk Islam dan Kristian di ibu negara Mesir ini semalam menyebabkan 10 orang maut dan lebih 186 lagi cedera dan sebuah gereja terbakar.
Kedua-dua kumpulan itu bertempur selepas penduduk Islam menyerang gereja Kristian Qibti, Saint Mena di Imbaba untuk membebaskan seorang wanita yang didakwa ditahan kerana telah memeluk agama Islam.
Sekurang-kurangnya lima yang maut dalam serangan lewat petang semalam ialah orang Kristian Qibti.
Di luar gereja itu, polis tentera menempatkan beberapa kereta berperisai untuk menyekat kemaraan penunjuk perasaan Islam.
Mereka melepaskan tembakan ke udara sementara penganut Kristian di hadapan gereja dan penduduk Islam tidak jauh dari situ membaling batu ke arah satu sama lain.
Penduduk Islam cuba menggempur gereja tersebut awal semalam, dengan mendakwa penganut Kristian menahan seorang wanita Islam.
Di satu sekatan polis di luar gereja St Mena, penduduk Islam berkata, penduduk Kristian mula melepaskan tembakan ke arah mereka setelah mereka cuba mencari seorang wanita Kristian yang memeluk agama Islam dan ditahan di dalam gereja.
"Mereka mula melepaskan tembakan ke arah kami sedangkan kami memprotes secara aman," kata seorang penduduk Islam, Mamduh.
Mufti Mesir, Ali Gomaa mengutuk keganasan yang menggugat keselamatan Mesir itu.
"Keganasan itu tidak mungkin disebabkan golongan beragama yang memahami agama masing-masing, sama ada Islam atau Kristian," katanya kepada agensi berita MENA- AFP

Misteri kehilangan lima nelayan


SABAK BERNAM 8 Mei - Lima nelayan, dua daripadanya warga tempatan dilaporkan hilang dipercayai selepas turun ke laut untuk menangkap ikan di perairan Sungai Besar dekat sini sejak Rabu lalu.

Bagaimanapun, kehilangan mereka mencetuskan misteri apabila hanya bot yang mereka naiki ditemui pemiliknya pada pukul 7 pagi semalam di jeti Kampung Bagan, Sungai Besar.
Beberapa kesan darah turut dikesan pada bahagian dalam dan hujung bot berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, dua nelayan tempatan yang dilaporkan hilang itu ialah tekong bot, Chia Yeow Chian, 41, dan Ismail Rejab, 41, masing-masing berasal dari Kampung Bagan Sungai Besar.
Beliau berkata, tiga lagi nelayan merupakan warga Indonesia berusia antara 30 hingga 35 tahun yang masih belum dikenal pasti identiti mereka.
"Sebelum kejadian, kesemua mangsa dilaporkan turun ke laut seperti biasa untuk menangkap ikan kira-kira pukul 7 pagi Rabu lalu.
"Kesemua mereka bagaimanapun tidak pulang setelah beberapa hari ke laut sehingga pemilik bot itu yang juga adik tekong terbabit dikenali sebagai Chen menemui bot itu di jeti Kampung Bagan, Sungai Besar.
"Sebaik sahaja menemui kesan darah di bahagian dalam dan hujung bot, Chen cuba mencari abangnya dan Ismail di rumah mereka namun kedua-duanya belum pulang," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noor Mushar berkata, pada masa sama, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi-agensi berkaitan turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa yang hilang.
"Kira-kira pukul 5 petang semalam, anggota penyelamat menemui sebuah tilam yang mempunyai kesan darah di permukaan laut dan ia dibawa pulang bagi membantu siasatan kerana kemungkinan mempunyai kaitan dengan kes tersebut," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan di atas bot berkenaan ketika nelayan tersebut berada di tengah laut.
Namun, katanya, polis belum dapat mengesahkan siapa yang menjadi penyerang dan mangsa setakat ini.
"Kita juga masih menyiasat siapa sebenarnya yang membawa pulang bot itu ke jeti. Setakat ini, kes berkenaan disiasat sebagai kes orang hilang sehingga petunjuk baru ditemui," katanya.
bharian

Wanita Melayu mangsa asid?


KUALA LUMPUR 8 Mei - Kegiatan menyimbah sejenis cecair dipercayai asid jenis 'thinner' dan 'alkali' kini dikatakan semakin berleluasa berlaku di ibu negara, dipercayai didalangi dua lelaki bermotosikal.

Penjenayah yang sehingga kini belum diberkas dikatakan mencari mangsa terdiri daripada wanita yang kebanyakannya berketurunan Melayu di sekitar Dang Wangi, Sentul dan Brickfields.
Polis bagaimanapun sehingga kini belum mengenal pasti motif perbuatan jenayah suspek berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua suspek, masing-masing bertubuh gempal dan kurus berusia 20 hingga 30 tahun sering menukar jenis motosikal, akan menghampiri mangsa sebelum melemparkan cecair ke arah muka dan tubuh mereka.
Dalam kejadian terbaru semalam, seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia setahun cedera di muka setelah disimbah sejenis cecair di Persiaran Titiwangsa.
Mangsa berusia 30 tahun yang merupakan kakitangan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia disimbah asid dalam kejadian pukul 3 petang di hadapan rumah mereka.
Kelmarin, dua wanita berusia lingkungan 20-an yang sedang berjalan kaki di Jalan Pudu Lama turut disimbah sejenis cecair kira-kira pukul 9 malam.
Kira-kira sejam kemudian, seorang wanita turut cedera di muka selepas disimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah di tempat letak kereta berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Putra.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam tempoh dua hari lalu, empat laporan polis diterima membabitkan lima orang mangsa.
Katanya, daripada lima mangsa itu, seorang daripada mereka berketurunan India.
"Kita minta orang ramai, khususnya wanita supaya bertenang dan memberi kerjasama kepada polis untuk mengesan penjenayah itu yang sudah dikenal pasti identiti mereka.
"Polis setakat ini mengesan dua suspek berketurunan India ini menaiki motosikal atau menunggu mangsa di laluan yang sunyi sebelum menyimbah mereka menggunakan botol plastik yang sudah dipotong berisi cecair itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Khairi, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu juga diminta mengenali wajah suspek, kenderaan dan nombor pendaftaran mereka serta pakaian dan memaklumkan segera kepada Rakan Cop atau Bilik Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu, sebanyak 10 kes simbah cecair dipercayai asid dilaporkan berlaku di daerah ini sehingga Mac lalu.
"Dalam kejadian terakhir pada Mac lalu, tiga wanita iaitu seorang guru dan dua orang awam dilaporkan telah disimbah cecair itu di pekan Brickfields.
"Setakat ini, tiada mangsa dapat mengecam suspek yang menaiki sebuah motosikal kerana kejadian berlaku begitu pantas," jelasnya.
Bagaimanapun menurutnya, usaha untuk mengesan suspek yang terlibat masih diteruskan kerana bimbang suspek kembali melakukan jenayah sama selepas ini.
bharian

Broker ke tali gantung




Airiy Azmi Mohamad selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 8 Mei - Seorang broker kenderaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.91 kilogram, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Airiy Azmi Mohamad, 31, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
"Saya dapati pembelaan tertuduh tidak munasabah serta tidak boleh diterima jadi tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," kata Mohd. Zaki.
Mengikut pertuduhan, Airiy didakwa mengedar dadah tersebut di Lorong 2, Unit Pemeriksaan dan Kemudahan Penumpang, Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 17 April 2009.
Ketika ditahan, sebanyak 65 ketulan kanabis ditemui di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan serta bahagian simpan tayar di but belakang kereta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Suhaimi Nik Sulaiman sementara tertuduh diwakili peguam, R.S.N. Rayer.
Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berasingan, seorang nelayan dan penganggur terlepas daripada hukuman gantung selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah.
Ismail Che Mat, 36, yang bekerja sebagai nelayan dipenjara selama tujuh tahun enam bulan serta 10 sebatan selepas mengaku salah memiliki heroin dan monoacetylmorphines seberat 23.25 gram di laluan Kuala Perlis, Jetty Point, Langkawi pada 29 April tahun lalu.
Sementara itu penganggur, Mohd. Rofidi Karim, 38, pula dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas didapati bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah heroin dan monoacetylmorphines seberat 19.9 gram di rumah tidak bernombor di Kampung Charuk Kudung, Pendang pada 6 Mei 2009.
Bagi satu lagi pertuduhan iaitu memiliki 4.39 gram methamphetamine di lokasi sama, Mohd. Rofidi dihukum penjara tiga tahun. Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan diarahkan supaya berjalan serentak.
utusan

Gegendang pecah: Buruh saman PDRM, kerajaan RM300,000



Muhammad Syahir Yusoff menunjukkan writ saman menuntut ganti rugi teladan dan kecederaan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 8 Mei - Seorang buruh memfailkan saman ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM300,000 kerana mendakwa ditampar oleh seorang anggota polis dua tahun lalu sehingga menyebabkan gegendang telinganya pecah.
Dalam tuntutannya itu, Muhammad Syahir Yusoff, 20, menamakan 'seorang anggota polis tidak dikenali' sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Tumpat pada 2009 dan Kerajaan Malaysia masing-masing defendan kedua dan ketiga.
Plaintif dalam writ samannya yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, dengan ditemani peguam, Shaharuddin Mohamed, turut menuntut ganti rugi kecederaan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
Muhammad yang berasal dari Kampung Baru Geting, Tumpat mendakwa, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang di Balai Polis Tumpat pada 16 Oktober 2009, dia telah ditampar beberapa kali oleh 'anggota polis tidak dikenali' itu ketika disiasat membabitkan satu kes berkaitan dadah.
Dakwanya, tindakan tersebut menyebabkan gegendang kedua-dua telinganya pecah dan kecederaan itu disahkan oleh seorang doktor di Hospital Tumpat, ketika menerima rawatan beberapa hari kemudian.
"Saya ditampar semasa disiasat kerana disyaki mengedar dadah, bagaimanapun dibebaskan pada hari yang sama kerana tidak ada bukti saya melakukannya dan ujian air kencing saya juga negatif daripada penggunaan dadah.
"Akibat ditampar, saya langsung tidak dapat mendengar selama beberapa hari sebab gegendang telinga pecah dan walaupun sudah pulih beberapa bulan kemudian, pendengaran saya kini tidak seperti dulu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia membuat satu laporan polis pada 26 Oktober 2009 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung tindakan anggota polis berkenaan.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, pihaknya masih gagal mendapatkan nama defendan pertama daripada pihak berwajib, meskipun anak guamnya telah membuat kawad cam.
Kegagalan pihak berkuasa itu dakwanya, menyebabkan anak guamnya lewat untuk memfailkan tuntutan di mahkamah.

TASKA haram, pengasuh asing jejas 3,000 bayi, kanak-kanak


IPOH: Lebih 3,000 bayi dan kanak-kanak di Perak terdedah kepada risiko keselamatan atau lebih malang kehilangan nyawa kerana dijaga pengusaha dan pengasuh taska haram. 


Berdasarkan maklumat diperoleh Berita Harian, hanya separuh daripada lebih 400 pengusaha taska dan pengasuh kanak-kanak di negeri itu berdaftar dengan Persatuan Taska Perak (PTP), manakala selebihnya secara haram.
Lebih mengejutkan, ada di kalangan pengusaha haram itu beroperasi tanpa menggunakan khidmat penjaga bertauliah, selain premis diduduki tidak mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Dari segi bilangan taska pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak mengakui terdapat 265 taska di negeri itu sehingga Disember tahun lalu, namun hanya 83 premis berdaftar, manakala 182 lagi sudah tamat tempoh perakuan. 

Timbalan Pengarah I JKM negeri, Mohamad Nasir Suratman, berkata kajian pihaknya mendapati berlaku peningkatan jumlah taska tidak berdaftar disebabkan kekangan masa untuk mendapatkan tempoh kelulusan perakuan penubuhan, kurang maklumat membuat permohonan pendaftaran dan masalah keluasan premis digunakan. 

“Tiga agensi utama iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan akan bertanggungjawab melakukan pemeriksaan sesebuah premis itu sebelum JKM boleh memberi kelulusan lesen taska. 

"Jika mana-mana di antara agensi itu tidak memperakui kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, taska itu tidak boleh beroperasi. 
"Dalam tempoh tiga tahun ini juga, JKM turut mendapati trend taska tidak berdaftar semakin meningkat dengan jumlah 109 taska pada 2008 kepada 182 pada tahun lalu," katanya kepada Berita Harian. 

Sementara itu, Presiden PTP, Ding Moi King mengakui pihaknya mendapati kebanyakan pengusaha di Perak tidak berdaftar dengan persatuan dan JKM. 

"Ada di kalangan mereka mengambil khidmat warga asing sebagai pengasuh,” katanya. 

Along tiru logo bank terkemuka



POSTER  along yang cuba memperdaya pelanggan dengan meniru warna dan mengubah ejaan sebuah bank  sekitar Bangi.
POSTER along yang cuba memperdaya pelanggan dengan meniru warna dan mengubah ejaan sebuah bank sekitar Bangi.

BANDAR BARU BANGI: Taktik along mempengaruhi orang ramai supaya membuat pinjaman kewangan dengan mereka tidak pernah ‘padam’ termasuk yang terbaru meniru logo sebuah bank terkemuka di negara ini.

Selain menggantung poster bertajuk “pinjaman wang berlesen” atau “pinjam tanpa penjamin, blacklist (senarai hitam) pun boleh”, mereka membuat promosi terbaru dengan memasang poster “Maybonuk”, di sekitar kawasan strategik di daerah ini.
Jika dilihat sekali imbas, sesiapa saja akan menganggap iklan terbabit sebagai “Maybank” kerana terkeliru dengan apa yang ditulis pihak berkenaan iaitu Maybonuk.
Iklan terbabit juga meniru warna dan mengalihkan beberapa huruf dari ejaan sebenar bank terkemuka itu, selain mempamerkan kiraan bayaran bulanan yang perlu ditanggung peminjam bagi menarik perhatian.

Pada poster terbabit, juga dicatatkan jumlah pinjaman serendah RM10,000 dan setinggi RM200,000 dengan bayaran ansuran sehingga tiga tahun selain mengenakan caj yang murah bagi meraih pelanggan.

Sentral yang menghubungi nombor tertera di iklan terbabit dimaklumkan peminjam tidak perlu bimbang kesahihan pinjaman yang diberi kerana mendakwa mereka berlesen dan hanya menguruskan pinjaman kepada yang layak dengan memprosesnya dalam tempoh sehari saja.

Seorang penduduk, Hakimah Zainol, 24, berkata isu iklan pinjaman kewangan oleh along seperti tiada kesudahan kerana sehingga kini semakin banyak dilihat ditampal di mana-mana saja tanpa tindakan diambil pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) seharusnya serius menurunkan iklan terbabit yang bergantungan di sekitar kawasan pentadbiran mereka bagi mengelak pengguna terpedaya dengan skim yang diiklankan.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu menyenarai hitamkan nombor telefon yang turut disertakan pada iklan terbabit bagi menyekat kegiatan itu berleluasa,” katanya.

Beliau percaya iklan itu boleh mempengaruhi mereka yang terdesak terutama peniaga dan penjaja kecil bagi membuat pusingan modal perniagaan mereka.
bharian