Search This Blog

Sunday, May 8, 2011

27 terbunuh pesawat Merpati terhempas





2011/05/08

JAKARTA: Seramai 27 orang terbunuh termasuk juruterbang apabila pesawat penumpang milik kerajaan Indonesia, Merpati MA 60 terhempas ke laut berdekatan lapangan terbang Utarung Kaimana, barat Papua kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, semalam. 

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan berkata pesawat terhempas ketika dalam perjalanan dari pekan Sorong ke Kaimana di wilayah sama.
“Kami sedang menjalankan usaha mencari mangsa,” kata ketua polis Kaimana, Komander Kanan, Antonius Wantri Julianto kepada akhbar Jakarta Post.
Pesawat itu dilaporkan berlegar-legar di udara kira-kira 15 minit sebelum terhempas ke laut. 

“Kita masih tidak mengetahui sama ada ia kerana cuaca buruk atau perkara lain kerana penyiasatan masih berjalan,” katanya. 

Tambahnya, pencarian mangsa diteruskan. Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai mayat 15 mangsa. – AP/Agensi 

Suri rumah dipenjara lapan tahun dera amah

 

GEORGETOWN - Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Georgetown setelah didapati bersalah mendera pembantu rumahnya tahun lalu.

S Poongavanam, 37, didapati bersalah mendera Win Faidaa, 26, menggunakan seterika 4 September 2010 iaitu pada jam 1 petang di rumahnya di Jalan Penawar 1, Sri Wang 1, Jelutong.

Mengikut kertas pertuduhan, Poongavanam yang diwakili peguam, S Yagoo didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Win Faidaa menggunakan satu alat yang jika digunakan sebagai satu senjata, boleh mendatangkan kecederaan parah atau kematian.

Dalam rayuannya, S Yagoo meminta mahkamah mengenakan hukuman minimum dengan mengambil kira beberapa faktor iaitu tertuduh perlu menguruskan keluarga dengan empat anak yang berusia 6, 7, 12 dan 16 tahun selain menghidap penyakit darah tinggi.

“Saya mewakili tertuduh meminta hukuman dikurangkan kerana anak guam saya tidak mempunyai niat untuk mendatangkan kecederaan terhadap mangsa. Ini kerana, ketika kejadian, dia berada di dalam tekanan perasaan dan marah kerana mangsa cuba menggoda suaminya.

“Dari keterangan mangsa, majikannya memberi layanan yang baik pada awal dia bekerja. Ini jelas menunjukkan tertuduh tidak berniat untuk melakukan perkara itu kepada mangsa. Jika mangsa dipenjara dalam tempoh yang lama, ia akan menyebabkan seluruh keluarganya terjejas kerana dia bertanggungjawab menguruskan segalanya,” katanya.

Hakim Sitarun Nisa Abdullah menjatuhkan hukuman itu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan alasan kecederaan itu membuatkan mangsa trauma selain memusnahkan harapannya ke negara ini untuk mencari rezeki demi menampung perbelanjaan di kampung.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira alasan yang dikemukakan iaitu perbuatan tertuduh terhadap mangsa seperti binatang dan menyebabkannya trauma. Memandangkan tertuduh mempunyai empat anak, tidakkah tertuduh memikirkan apa yang dirasai ibu mangsa apabila mengetahui anaknya diperlakukan begitu sedangkan saya pasti tertuduh juga mempunyai perasaan yang sama terhadap anaknya,” katanya.

Sitarun berkata, setelah mendapati semua bukti yang dikemukakan melampaui keraguan yang munasabah, S Poongavanam dipenjara lapan tahun dan denda RM20,000 dan jika tertuduh gagal membayarnya, penjara enam bulan akan dikenakan.

Penyamun terima padah




Selepas hilang buah pinggang kerana ditembak, mahkamah arah penjara 5 tahun

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN



AYER KEROH - Gara-gara menyamun sebuah stesen minyak, seorang bekas penghantar surat (dispatch) dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhi oleh Hakim, Zaharah Hussain terhadap tertuduh, Mohd Hafiz Abd Rahim, 27, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan sakit akibat ditembak di bahagian perut oleh anggota polis ketika dia melakukan samun.

Dia yang hanya duduk di atas bangku di kandang pesalah sepanjang prosiding dijalankan selepas dibenarkan mahkamah. Sebelum itu dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah cuba melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang mangsa Dzunaidah Dawam, 29, di Pam Minyak Esso, Jalan Tengkera, Tengkera, kira-kira jam 9.10 malam pada 22 April 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Tertuduh yang menangis ketika memohon rayuan agar hukuman diringankan memberitahu mahkamah dia telah insaf dan serik selepas terpaksa menanggung derita ditembak.

“Saya mohon hukuman ringan sebab ayah saya sakit, kalau saya dipenjarakan lama-lama saya takut tak sempat jumpa ayah. Lagipun saya dah tiada buah pinggang sebab ditembak.

“Saya janji tidak akan buat lagi sebab saya sudah serik kerana ditembak semasa malakukan samun mengakibatkan buah pinggang saya terpaksa dibuang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar yang mengendalikan kes tersebut turut mengemukan rayuan hukuman berat diberikan terhadap tertuduh atas faktor kepntingan awam yang perlu diutamakan melebihi kepentingan peribadi tertuduh selain tertuduh telah melakukan rompakan membabitkan senjata tajam.

Zaharah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap iaitu pada 22 April 2011 dan sebatan sebanyak dua kali terhadap tertuduh.

“Memang patut awak ditangkap, kalau tidak mesti banyak lagi samun akan awak lakukan. Tuhan mahu tolong awak sebenarnya dan sebab itu awak masih hidup lagi. Jadi saya harap awak benar-benar telah insaf jangan hanya cakap di mulut sahaja,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada tarikh dan waktu yang sama, tertuduh memboceng motosikal telah masuk ke bahagian Mart Pam Minyak Esso dengan memakai topi keledar dan meberikan wang sebanyak RM6 untuk mengisi minyak di pam bernombor 4 dengan nilai RM4.

Mangsa, Dzunaidah yang sedang bekerja menjaga kaunter semasa mengambil wang tersebut telah melihat sebilah pisau di tangan kiri tertuduh sebelum ternampak seorang anggota polis di luar hadapan pintu Mart.

Mangsa yang juga pengadu telah membuka laci mesin duit dan tiba-tiba tangan tertuduh mencapai mesin tersebut namun secara spontan menutup mesin tersebut dan menjerit dengan menyebut perkataan “Tuhan” sambil menunjukkan tangan ke arah tertuduh.

Tertuduh yang cuba melarikan diri sempat mengacukan pisau kepada anggota polis dan cuba menikam lalu ditembak oleh seorang anggota polis yang baru tiba.

TTPM arah syarikat bayar RM9,786



KUANTAN – Mahkamah Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM) semalam memerintahkan sebuah syarikat yang mengusahakan perniagaan lembu membayar sebanyak RM9,786 kepada seorang kakitangan awam kerana didapati menipu dalam perniagaan itu.

Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh berkata, pembayaran balik itu perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari bagi mengelakkan tindakan seterusnya.

Selain itu, beliau turut memerintahkan perjanjian bertarikh 14 Julai tahun lalu yang dibuat di antara syarikat itu dan kakitangan dibatalkan selain menasihatkan mangsa berkenaan membuat laporan polis.

Bagaimanapun, wakil syarikat yang melaksanakan sistem pawah itu tidak hadir ke TTPM.

Sementara itu, mangsa terlibat berkata, dia membayar sejumlah wang itu iaitu 30 peratus daripada nilai sebenar harga lembu iaitu RM30,000 kerana ditawarkan pinjaman melalui bank yang dilantik.

Katanya, pekerja syarikat berusia 21 tahun itu menunjukkan bukti kejayaan dan memaklumkan mendapat sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam penerangannya menyebabkan dia tertarik untuk menjadi pelanggan.

“Saya rasa tertipu kerana selepas itu mereka dimaklumkan pinjamannya tidak diluluskan malah pernah pergi ke pejabat namun individu yang membuat urusan dengannya sebelum ini tidak ada di situ,” katanya.

2 maut kereta dirempuh 4x4



SABAK BERNAM – Seorang pemandu dan penumpang yang tersepit maut di tempat kejadian, manakala seorang cedera parah dan seorang lagi cedera ringan apabila kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di kilometer 43, Jalan Teluk Intan Klang, dekat Tebuk Pulai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu juga, dua penumpang pacuan empat roda cedera parah di kepala manakala pemandunya cedera di bahagian bahu.

Saksi kejadian, Mohd Yusof Dollah, 57, berkata, kereta Toyota Vios dari arah Sungai Besar menuju Sabak Bernam dipercayai membuat pusingan U, ketika pacuan empat roda dan kereta yang dipandunya melalui jalan di lorong pertama dan kedua arah Sabak ke Sungai Besar.

“Sebelum itu, pacuan empat roda berada di belakang kereta saya dan mengubah laluan ke lorong ke dua dan tiba-tiba Toyota Vios itu masuk ke laluan pacuan empat roda dan menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung. Kejadian itu betul-betul berlaku di depan mata.

“Saya hampir terlibat dan percikan kaca kedua-dua kenderaan itu mengenai kereta saya. Saya cuba mengelak sedikit dan Alhamdulillah tidak apa-apa kerana tidak memandu laju. Jika saya memandu laju dan mengelak kemalangan itu, mungkin akan terbabas ke parit berhampiran,” katanya.

Difahamkan, saksi dalam perjalanan pulang dari Pekan Sabak Bernam ke rumahnya di Sungai Limau bersama isterinya, Rosmi Tahir, 52, masih trauma dengan kejadian yang berlaku di depan mata mereka.

Sementara itu, anak kepada pemandu pacuan empat roda, Lim Keh Lun, 25, berkata, ibunya dalam perjalanan menghantar nasi ke tempatnya bekerja sebelum menghantar adik dan seorang lagi rakannya ke pusat tuisyen di Sungai Besar.

“Saya menerima panggilan telefon dari ibu yang separa sedar memaklumkan tentang kemalangan ini. Saya kemudiannya bergegas mencari lokasi kemalangan ini dan setibanya di tempat kejadian, ibu mengadu sakit di bahagian bahu, manakala adik dan rakannya cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Pihak bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit kira-kira jam 8.11 minit malam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua mangsa yang maut tidak dapat dikenal pasti identitinya berikutan tiada pengenalan diri ditemui.

Diesel dirampas



BUKIT BESI – Tindakan licik tauke bijih menyimpan minyak diesel bersubsidi dalam tong dram tanpa kebenaran sah di tapak lombong yang jauh daripada penempatan penduduk untuk mengelak dihidu pihak berkuasa terbongkar berikutan kecekapan risikan hasil maklumat orang ramai.

Berikutan itu, satu serbuan oleh beberapa pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Dungun di lokasi terbabit kira-kira jam 5 petang kelmarin berjaya menemui sejumlah minyak diesel dalam tong dram di kawasan lombong bijih dekat sini.

Pemeriksaan mendapati diesel sebanyak kira-kira 13,000 liter itu dibawa dengan kenderaan berat sebelum disimpan dalam tong dram di lokasi perlombongan bijih besi dipercayai milik tauke itu.

Difahamkan diesel terbabit digunakan sebagai bahan api untuk aktiviti perlombongan selain dipercayai turut digunakan untuk kenderaan yang mengangkut hasil bijih yang turut menyumbang kepada pendapatan negeri ini.

Ketua Cawangan Pejabat Penguat kuasa KPDNKK Dungun, Ahmad Mahmood ketika dihubungi mengesahkan rampasan terbabit dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Hajat temui ibu tidak kesampaian



JELI- “Mak, saya dalam perjalanan pulang ke kampung, mak tunggu saya di rumah.”

Itu merupakan kata-kata terakhir Mohd Norkhairi Jantan, 23, kepada ibunya Sukiah Ismail, 42, sebelum mangsa terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 94 Jalan Kota Bharu-Machang-Grik, dekat Kampung Bukit Lakota, di sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian jam 5 petang kelmarin, motosikal yang ditunggang mangsa jenis Yamaha LC dirempuh sebuah kereta yang cuba memotong dari arah bertentangan menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala serta patah paha kiri dan kanan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Norkhairi adalah anggota polis yang bertugas di Balai Polis Pulau Tikus, Pulau Pinang sedang dalam perjalanan menuju ke kampungya, Kampung Saujana, Bandar Permaisuri, Terengganu dan dipercayai sedang bercuti.

Ibunya, Sukiah berkata, kali terakhir bertemu dengan anaknya itu minggu lepas dan tidak menyangka ia pertemuan terakhir dengan arwah.

“Memang rasa sedih kerana minggu lepas arwah pulang ke kampung dengan membawa teman wanitanya untuk dikenalkan kepada keluarga di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setengah jam sebelum kejadian, dia menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya yang mengatakan dia dalam perjalanan pulang ke kampung dan meminta menunggunya di rumah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk dibedah siasat sebelum dihantar ke kampung halamannya di Terengganu untuk pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Remaja parah dilanggar dua kali



TANAH MERAH – Seorang remaja parah apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta, malam semalam.

Kejadian kira-kira jam sembilan malam itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa, Mohd Amirul Mohd Yusof, 15, pelajar Sekolah Menengah Dato’ Mahmod Paduka Raja berlanggar dengan kenderaan polis.

Berikutan itu, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Kancil.

Rakan mangsa, Mohd Hakim Abdul Aziz, 14, berkata, ketika kejadian dia bersama mangsa dan rakan mereka dalam perjalanan pulang selepas mengisi minyak di stesen minyak Petronas di Manal.

Menurutnya, selepas melihat mangsa berada di atas jalan, dia bersama rakannya memberhentikan motosikal untuk membantu mangsa.

“Ketika itu pemandu kereta polis berkenaan dan orang awam cuba membantunya.

“Tetapi tiba-tiba datang kereta Kancil yang dipandu laju melanggarnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tanah Merah, semalam.

Berikutan kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan serta di hantar ke Unit Kecemasan Hospital Daerah Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian difahamkan, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM) untuk menerima rawatan lanjut.

Penduduk diancam babi liar



KOTA BHARU - Kemunculan babi hutan di kawasan kampung menjadikan 1,200 penduduk di Kampung Lubuk Jambu, Mulong, di sini resah, malahan peringatan kepada penduduk dilakukan bagi mengelak kanak-kanak daripada ancamannya.

Kapten Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Aris Daud berkata, masalah babi berkeliaran di kampung berkenaan dihadapi sejak tiga tahun lalu, namun pada masa sekarang, kemunculan haiwan ini seolah-olah mengancam kehidupan penduduk.

“Kami menerima banyak aduan daripada penduduk kampung terutama daripada mereka yang mengusahakan tanaman termasuk pisang, padi dan ubi kayu yang dirosakkan babi berkenaan.

“Lebih membimbangkan, terdapat penduduk yang melihat babi berkenaan berkeliaran di kawasan Masjid Kampung Lubuk Jambu dan masalah ini perlu cepat diselesaikan memandangkan masjid itu rumah ibadah,” katanya kepada Sinar Harian semasa Operasi Bersama Menembak Babi Liar Kampung Lubuk Jambu, di sini, semalam.

Berikutan operasi yang dilakukan atas inisiatif 45 penduduk, tujuh babi liar berjaya ditangkap pada setelah hampir lapan jam hasil kerjasama perburuan yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta anjuran Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Lubuk Jambu.

Beliau berkata, waktu yang dikenal pasti babi keluar dari jam 9 malam hingga awal pagi, malahan jarang yang melihat babi itu berkeliaran pada waktu siang.

Menurutnya, ada juga kes yang menyebabkan penunggang motosikal hampir mengalami kemalangan akibat babi yang hadir secara berkumpulan dan tunggal (seekor).

“Ia menakutkan penduduk terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil kerana kanak-kanak tidak mengenali babi ini sedangkan bagi umat Islam, cara penyucian babi perlu teliti.

“Jadi, untuk mengelak sebarang kemungkinan, penduduk kampung mengambil langkah keselamatan dengan membuat pengumuman operasi selepas solat di masjid,” katanya.

Selain itu, pemberitahuan juga dilakukan dengan mengedarkan surat-surat kepada penduduk kampung khasnya kanak-kanak dan warga emas agar lebih berwaspada.

Katanya, tiga sepanduk mengenai operasi juga digantung di kawasan kampung bagi memberi peringatan terutama semasa keluar pada waktu malam.

Katanya, usaha akan diteruskan memandangkan masih banyak babi berkeliaran dan dengan bantuan haiwan buruan (lima anjing pengesan) serta kerjasama Balai Polis Nilam Puri, diharap masalah itu dapat diselesaikan.

Bekas Penuntut Dihukum Penjara Enam Tahun, 10 Sebat



SHAH ALAM: Seorang bekas penuntut kolej swasta ibarat 'mati hidup semula' selepas terselamat daripada hukuman mati apabila ditawarkan pertuduhan pilihan, meskipun perbicaraan penuh telah diadakan.
Tidak menolak tuah, tertuduh, Chong Kok Wai, 26, dengan serta-merta mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki.
Chong mengaku bersalah memiliki 857 gram ganja, pada pukul 11.30 malam, 19 Julai 2008 di sekitat kawasan McDonalds, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, dekat sini.
Pertuduhan pilihan itu ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang pernah menuntut dalam jurusan kejuruteraan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat 10 kali.
Sebelum ini, dia didakwa atas pertuduhan mengedar ganja tersebut dibawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan perbicaraan, dadah itu ditemui di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta Mitshubishi Storm milik Chong.
Bagaimanapun, pada pembelaannya, Chong mendakwa, dadah itu kepunyaan rakannya yang turut ditangkap bersamanya, tetapi kemudiannya menjadi saksi pendakwaan.
Pada perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 10 saksi. Atas pengakuan salah itu, Mohtarudin memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula daripada tarikh tangkap, 20 April 2008 dan disebat 10 kali.
"Awak bernasib baik kerana ditawarkan pertuduhan pilihan. Saya melihat keluarga awak daripada hari pertama perbicaraan telah memberikan sokongan kepada awak.
"Saya anggap kamu seperti mati hidup semula. Saya harap awak akan berubah dan memperbaiki diri agar menjadi manusia berguna," kata Mohtarudin pada penghakimannya.
Chong yang memakai baju kemeja warna biru tersenyum menerima hukuman itu dan memeluk peguamnya, Datuk Naran Singh.
Terdahulu, Naran merayu agar mahkamah meringankan hukuman tertuduh yang melakukan kesalahan itu kerana terjebak dengan pengaruh rakan sebaya.
"Tertuduh menyesal dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan lagi di masa hadapan. Keluarganya juga berhasrat untuk menghantar tertuduh ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran seperti ke Australia," katanya.

Pelajar Tahun Lima Mati Lemas Selepas Mandi Di Sungai Belat



KUANTAN: Seorang pelajar tahun lima ditemui mati lemas selepas mandi di Sungai Belat di sini, petang tadi.
Mangsa, Mohd Nor Aiman Hassan, 11, pelajar Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di sini pergi ke sungai berkenaan bersama seorang rakannya.
Kedua-dua mangsa kemudian dipercayai mandi berhampiran tebing sungai itu sebelum lemas.
Seorang saksi, Khairul Nizam Kamal, 16, berkata dia yang kebetulan pergi ke sungai itu untuk melihat orang memancing kira-kira 2.30 petang tadi ternampak tangan kedua-dua mangsa sedang terkapai-kapai.
"Saya kemudian terjun ke dalam sungai dan sempat membawa seorang (mangsa) ke tebing," katanya ketika ditemui di sini, Sabtu. Katanya dia ingin terjun semula ke sungai untuk menyelamatkan seorang lagi mangsa, namun Mohd Nor Aiman telah hilang dari pandangannya.
Seorang lagi saksi, Mimah Isnin, 45, berkata ketika kejadian, dia sedang membawa makanan untuk suaminya yang memancing ikan tidak jauh dari tempat kedua-dua mangsa mandi.
"Saya terdengar suara seolah-olah orang memanggil nama saya dan apabila saya menghampiri dua budak yang berada di tebing sungai, baru saya mengetahui sebenarnya seorang daripada mereka menjerit nama rakannya yang lemas di dalam sungai," katanya.
Katanya dia kemudian menghubungi talian kecemasan memaklumkan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Penolong Penguasa Mohd Lazim Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.44 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.
"Pihak kami kemudian melakukan selaman dan menemui mangsa di tempat dia dilaporkan hilang pada jam 3.35 petang," katanya.
Mayat Mohd Nor Aiman, dari taman perumahan Gudang Rasau di sini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

Rampasan 41.8 Tan Metrik Minyak Masak Subsidi Bernilai RM71,060



PELABUHAN KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Sabtu berjaya mematahkan cubaan mengeksport 41.8 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM71,060 oleh sebuah syarikat pengeksport barangan di Bandar Armada Putra, Pelabuhan Barat di sini. Penolong Pengawal Bekalan KPDNKK Putrajaya Nazarrudin Zainudin berkata rampasan itu merupakan yang terbesar yang dicapai oleh kementerian itu bagi tahun ini.
Pihaknya juga turut menahan pemandu lori terbabit beserta seorang penjaga premis syarikat itu bagi membantu siasatan, katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Nazarrudin berkata bertindak atas maklumat yang diterima daripada tiga kilang pemprosesan minyak masak Isnin lepas, pihaknya telah menahan sebuah lori tangki bermuatan minyak masak bersubsidi yang dihantar kepada premis syarikat itu kira-kira 11 pagi ini.
"Ketika serbuan sebanyak 70 peratus minyak telah dipindahkan. Minyak masak ini diambil daripada kilang pemprosesan minyak dan selepas itu mereka bungkus mengikut jenama mereka sendiri," katanya dan menambah minyak itu telah diproses untuk dibungkus dalam bekas berwarna kuning bagi tujuan pengeksportan.
"Syarikat ini tidak sepatutnya mendapat minyak bersubsidi untuk dieksport kerana nilai minyak masak subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan ialah RM1,700 per tan metrik manakala nilai semasa minyak masak yang sepatutnya dibeli oleh pengeksport ialah RM3,500 per tan metrik, kata Nazarrudin.
Beliau berkata serbuan tersebut adalah hasil operasi bersepadu membabitkan penyelewengan minyak masak yang dijalankan oleh pasukan khas membabitkan KPDNKK, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Nazarrudin berkata siasatan terhadap syarikat yang dipercayai telah beroperasi lebih dari lima tahun itu dilakukan sejak penghujung tahun lepastetapi gagal menemui sebarang bukti sehinggalah pihaknya menjalankan serbuan hari ini.
Beliau berkata siasatan turut mendapati syarikat terbabit mempunyai lesen pengeksport minyak masak daripada KPDNKK dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
"Most probably kita akan tarik balik lesen syarikat ini dan bagi pihak MPOB mungkin juga lesen pengeksport akan dipertimbangkan semula. Minyak yang telah dipindahkan akan dirampas oleh MPOB manakala KPDNKK pula akan tahan minyak dalam tangki untuk siasatan lanjut," katanya.
Nazarrudin berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM250,000 bagi syarikat dan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi persendirian. - BERNAMA

Amuk geng curi kereta


SIASAT... pasukan forensik memeriksa mayat mangsa pergaduhan dua geng.
SIASAT... pasukan forensik memeriksa mayat mangsa pergaduhan dua geng.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera parah dalam pergaduhan antara dua kumpulan curi kereta yang bersenjata pedang samurai, besi dan pisau di Taman Intan Baiduri, Kepong, di sini, awal pagi semalam, dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan.
Sebelum pergaduhan tercetus kira-kira jam 3 pagi, satu daripada kumpulan curi kereta itu dilapor menyerang sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (IPD) Sentul kerana menyangkakan mereka ahli kumpulan musuh.

Bagaimanapun, menyedari tersalah sasaran selain seorang daripada rakan terkena tembakan dilepaskan anggota polis, anggota kumpulan terbabit berusia antara 20 hingga 35 tahun melarikan diri.
Kumpulan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira itu kemudian berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki kumpulan sasaran mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kereta Perodua Kancil itu dinaiki empat lelaki dipercayai ahli sindiket curi kereta.

“Perlanggaran itu menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum polis tiba di lokasi kejadian dan menahan enam suspek,” katanya yang turut memberitahu, seorang lelaki berusia 34 tahun maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.
Menceritakan kejadian itu, Ku berkata, sepasukan anggota polis menerima maklumat daripada orang awam mengatakan akan berlaku pergaduhan antara dua kumpulan curi kereta sebelum bersiap sedia di kawasan berkenaan dengan melakukan rondaan.

“Kumpulan menaiki kereta Proton Wira itu mulanya mengekori sebuah kereta polis tanpa logo polis yang disangkakan musuh.
“Sebaik tiba di satu jalan mati, kumpulan suspek itu merempuh belakang kereta anggota polis berkenaan. Tiga lelaki segera keluar dengan bersenjatakan pedang samurai, besi dan sepucuk pistol.

“Menyedari keselamatan terancam, seorang daripada tiga anggota polis terbabit melepaskan tembakan dan mengenai paha kiri seorang daripada tiga suspek,” katanya.

Tersentak dengan itu, tiga suspek bergegas masuk semula ke dalam kereta dan melarikan diri, manakala pasukan polis yang diserang memaklumkan kejadian kepada IPD Sentul untuk meminta bantuan.

Beliau berkata, kereta dinaiki ketiga-tiga suspek bagaimanapun berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat ahli kumpulan musuh kurang 200 meter dari lokasi anggota polis diserang.

“Kedua-dua kumpulan Ini kemudian bergaduh sebelum pasukan polis yang mengepung kawasan berkenaan menahan enam suspek berusia 20 hingga 35 tahun selain merampas satu batang besi dipercayai senjata digunakan dalam pergaduhan itu. Seorang daripada mereka bagaimanapun sempat melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati, suspek yang terkena tembakan polis ketika serangan pertama dilakukan berusia 34 tahun maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. Polis percaya, kepalanya dipukul dengan objek keras.

“Mayat si mati dibawa ke Hospital Selayang (HS) untuk bedah siasat manakala dua rakannya yang turut cedera parah dalam pergaduhan itu dirawat di hospital sama. Pemeriksaan awal mendapati si mati mempunyai 10 rekod jenayah lampau,” katanya.

Difahamkan, keadaan kedua-dua suspek yang dirawat di hospital berkenaan masih kritikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Ajal gadis sunti


MERSING: Akibat tidak mempedulikan nasihat ibu angkat yang melarangnya menunggang motosikal keluarga, seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut selepas terbabit dalam nahas berhampiran persimpangan masuk ke Felda Tenggaroh 2, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.45 petang, motosikal ditunggang Nor Hafawati Radzuan, 13, terbabas sebelum melanggar sebuah kenderaan empat roda dari arah bertentangan iaitu menghala ke Felda Tenggaroh.

Kejadian mengakibatkan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tenggaroh A yang dalam perjalanan ke rumah sepupunya di Felda Tenggaroh 2 itu tercampak dari motosikal menyebabkannya parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu angkat mangsa, Khasida Junid, 46, berkata sebelum itu dia dan suaminya ke Kota Tinggi pada hari kejadian, mereka melarang Nor Hafawati menggunakan motosikal itu kerana bimbangkan keselamatannya.

Menurutnya, motosikal itu turut dirantai dan dimangga oleh suaminya, Md Had Mahmud, 47, sebelum meninggalkan rumah di Felda Tenggaroh 7.

“Sebaik pulang ke rumah, kami terkejut mendapati motosikal hilang selain rantai motosikal ada kesan ketukan dan dibuang di tepi rumah.


“Apabila mendapati Nor Hafawati tiada di rumah, kami menyedari kemungkinan itu perbuatannya.

“Kami yang menanti Nor Hafawati kerana mahu menegur perbuatan itu terkejut menerima berita nahas itu petang semalam (kelmarin),” katanya yang masih sebak.
Khasida berkata, dia terkilan dengan kejadian itu memandangkan keluarganya bercadang membawa Nor Hafawati mengunjungi rumah ibu bapa kandungnya (kakak Khasida), sekali gus meraikan Hari Ibu pada hari ini.

Pelajar politeknik maut


SEREMBAN: Seorang pelajar politeknik maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 263.4 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara berhampiran Plaza Tol Labu, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Muhammad Safwan Abdul Kadir, 19, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Logistik Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.
Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang dalam perjalanan ke arah Utara melanggar belakang sebuah lori membawa muatan besi kitar semula di lorong paling kiri.

3 tentera maut, gadis parah


SEREMBAN: Tiga anggota tentera maut dan seorang gadis parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan lori tangki minyak di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian jam 3.45 pagi itu menyebabkan Zulhelmi Ismail, 24, dari Gurun, Kedah, Izzat Badry Badaruddin, 22, dari Klang, Selangor dan Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, dari Pulau Pinang maut akibat cedera parah di kepala dan badan.

Zulhelmi yang juga pemandu kenderaan dan Muhammad Afdhaluddin maut di tempat kejadian manakala Izzat Badry meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Seorang lagi penumpang yang juga pelajar Politeknik Port Dickson dikenali sebagai Nik Norhashimah Abu Kassim, 19, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.

Difahamkan, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Institut Kejuruteraan Elektrik Tentera Darat (IJED) di Port Dickson dari sini menaiki Proton Wira.

Jurucakap polis berkata, Zulhelmi dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain apabila dia hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tangki minyak 18,000 liter.


Katanya, dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mati ketika mendapatkan rawatan di hospital. Semua mangsa dihantar ke HTJS untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan membuat laporan polis mengenai kemalangan itu dan sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan orang ramai yang melihat kejadian boleh menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan bomba dan penyelamat berkata, lima anggota dari Balai Bomba Seremban 2 sampai ke lokasi kejadian jam 4 pagi.

'Abang baliklah, jangan lari'


PUTRAJAYA: “Saya merayu abang baliklah, jangan lari daripada undang-undang... usia kita dah tua, kalau lari pun tidak boleh ke mana, hidup pun tidak akan tenang jika jadi buruan,” rayu Nawa Yusoff, 47, kepada suaminya yang menghilangkan diri sejak dua bulan lalu.
Nawa yang bekerja sebagai tukang masak berkata, suaminya Azmi Dahalan, 57, menghilangkan diri sejak 3 Mac lalu, sekali gus gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen Putrajaya yang sepatutnya berlangsung pada 4, 5 dan 6 April serta 5 Mei lalu.

Dia berkata, perbuatan suaminya menghilangkan diri menyebabkan kes terbabit tidak dapat berlangsung, dan mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk tarikh perbicaraan terbaru.

“Abang tak payah lari daripada polis, lagi pun mahkamah belum memutuskan abang bersalah, kita hadapi undang-undang dan perbicaraan sehingga selesai, kalau lari perkara ini tidak akan selesai.

“Saya merayu kepada abang, pulanglah segera... kalau ada terasa hati dengan saya, jangan sampai tidak hadir perbicaraan... saya harap sangat abang balik,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke pejabat Metro Ahad, di sini, semalam.

Azmi dibicarakan atas tuduhan merogol anak tirinya tahun lalu dan Nawa sebagai penjamin perlu memastikan suaminya hadir pada setiap perbicaraan.


Nawa berkata, dia mengesyaki suaminya masih berada di Kuala Lumpur dan pelbagai usaha menjejakinya dilakukan tetapi tidak bertemu, menyebabkannya hampir berputus asa.

Katanya, berikutan ketidakhadiran suaminya ke mahkamah, hakim menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh perbicaraan baru.
Orang ramai yang ada maklumat atau pernah terserempak dengan Azmi boleh menghubunginya di talian 017-2932760 atau Amni Mohd Nasir di talian 017-8862162.

344 pelajar ditahan


ALOR SETAR: Bilangan pelajar sekolah yang terbabit dengan kejadian jenayah di negeri ini disifatkan pada tahap serius berikutan 344 pelajar, termasuk perempuan, ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kebanyakan pelajar itu berusia 15 hingga 17 tahun yang juga pelajar tingkatan tiga, empat dan lima, manakala jenayah ‘popular’ di kalangan mereka ialah jenayah kekerasan seperti pergaduhan, kecurian, lumba haram dan penyalahgunaan dadah.

“Walaupun kes membabitkan mereka bukan kes besar, tetapi memandangkan mereka pelajar sekolah yang sepatutnya hanya belajar, saya sifatkan ini serius dan saya menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa dan masyarakat, mengambil berat kegiatan anak mereka,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Jenayah di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung, di sini, semalam.

Beliau berkata, 63 kes membabitkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda (158) dilakukan pelajar yang rata-ratanya berusia 16 dan 17 tahun direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Statistik tangkapan pelajar sekolah yang terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah tahun lalu adalah 183 orang, manakala dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini seramai 23 pelajar ditahan.

“Satu lagi masalah membimbangkan ialah lumba haram di kalangan pelajar, yang mana tahun lalu statistik menunjukkan 30 pelajar ditahan.


“Sehingga Mac lalu enam pelajar ditahan ketika Ops Lumba Haram dan mereka didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, polis mengenal pasti beberapa faktor yang menjadi pengaruh kepada kes jenayah di kalangan pelajar, antaranya tekanan kumpulan rakan dalam mengejar hidup mewah.
“Interaksi antara kumpulan rakan mereka sendiri dan melalui proses pembelajaran, pelajar berkenaan akan belajar teknik, termasuk motif yang mencorakkan tingkah laku dan peribadi mereka.

“Faktor peribadi seperti kegagalan dalam percintaan dan peperiksaan, pergaduhan ibu bapa dan keruntuhan institusi keluarga akibat perceraian, gangguan seksual dan sumbang mahram juga mendorong kepada tingkah laku jenayah di kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, langkah pencegahan meliputi pembentukan moral dan etika pelajar harus dititik beratkan dan diberi perhatian serius.

“Proses pemulihan moral dan etika yang terjejas perlu dibaiki dan diberi tumpuan ibu bapa, pihak sekolah, Kementerian Pelajaran serta polis,” katanya.

Simpan duit urus jenazah adik


NGERI... kereta  yang dinaiki mangsa   terperosok bawah  treler membawa minyak di Jalan Mambau-Port Dickson, awal pagi semalam.
NGERI... kereta yang dinaiki mangsa terperosok bawah treler membawa minyak di Jalan Mambau-Port Dickson, awal pagi semalam.

SEREMBAN: “Dua tiga hari ini saya rasa tidak sedap hati, malah terasa ingin simpan duit lebih, seolah-olah sesuatu yang buruk bakal terjadi,” kata Mohd Zulkhairi Ismail, 26, abang kepada seorang daripada tiga anggota tentera yang maut dalam nahas di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban, di sini, awal pagi semalam.
Menurut Mohd Zulkhairi, kali terakhir dia bertemu adiknya Zulhelmi, 24, pada Mac lalu iaitu ketika kenduri kahwinnya di Gurun, Kedah.
“Tidak sangka keinginan saya untuk menyimpan duit lebih bulan ini adalah petanda ia akan digunakan untuk pengurusan jenazah adik.

“Ketika itu Angah (Zulhelmi) kelihatan sangat gembira. Malah selepas kenduri kahwin saya itu, dia balik semula ke kampung di Jeniang, Gurun, Kedah untuk bertemu ibu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, selain Zulhelmi, dua lagi anggota tentera, Izzat Badry Badaruddin, 22, dan Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, maut akibat cedera parah di kepala serta badan manakala rakan wanita mereka dikenali sebagai Nik Norhashimah Abu Kassim, 19, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HTJS.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki.

Mohd Zulkhairi berkata, adiknya pernah meluahkan hasrat ingin bertunang dengan seorang jururawat di Baling, Kedah dalam masa terdekat ini, namun tidak sangka hasrat itu tidak tercapai.

“Tidak sangka Angah pergi dulu dan masih terngiang-ngiang dia bersembang dengan saya, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya yang juga anggota tentera dari Kem Batu Cantonment, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Zulhemli kini menjalani kursus setahun di Institut Kejuruteraan Elektrik Tentera Darat (IJED) di Port Dickson dan bakal menamatkan pengajiannya Ogos depan.

“Angah mengikuti Kursus Mekanik Kereta di IJED dan setahu saya, sudah lima tahun dia menjadi anggota tentera. Kursus ini bagi kenaikan pangkat pegawai,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mengetahui kejadian itu, Mohd Zulkhairi berkata, dia dihubungi ibunya yang memaklumkan mengenai nahas itu kira-kira jam 6.30 pagi.

“Saya seolah-olah tidak percaya, namun sebaik datang ke hospital dan doktor mengesahkan mayat adik saya, hancur luluh hati ini, namun tiada siapa mampu menolak takdir.

“Ayah juga berkali-kali menghubungi saya bertanya sama ada kejadian itu betul atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara kepada Izzat Badry, Azlita Abd Aziz, 45, berkata kali terakhir mereka bertemu pada Aidlifitri lalu ketika anak saudaranya bercuti.

“Saya mewakili ibunya yang berada di Klang kerana dia tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan dan hanya menunggu jasad anaknya di rumah.

“Mungkin terkejut hingga kakak saya (ibu Izzat) jatuh pengsan banyak kali, namun kami sekeluarga reda menerima berita ini, Allah lebih menyayanginya,” katanya.-mymetro

Hampir pitam lihat kedai terbakar


BATU PAHAT: “Saya hampir pitam apabila melihat kedai runcit yang diusahakan keluarga sejak setahun lalu terbakar bersama-sama kedai lain di bangunan rumah kedai itu,” kata peniaga, Haslinda Mohd Dan, 29, semalam.
Menceritakan kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang di Pekan Senggarang, di sini, kelmarin, Haslinda berkata, kebakaran yang membabitkan 10 unit premis perniagaan itu hanya disedari keluarganya selepas pulang membeli-belah.
Haslinda berkata, kebakaran turut memusnahkan tempat tinggal keluarganya yang terletak di bangunan rumah kedai dua tingkat itu.

Turut hadir melawat tempat kejadian dan menemui mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Jaaffar Hashim serta ADUN Penggaram, Koh Chee Chye.

25 maut pesawat jatuh dalam laut


JAKARTA: Sebuah pesawat yang membawa 25 penumpang dan kru kabin terhempas ke laut di timur Indonesia, semalam menyebabkan semuanya terkorban, kata pegawai tentera laut kepada stesen radio tempatan.
“Saya dapat mengesahkan semua penumpang dan kru kabin terbunuh ketika pesawat itu meletup sebaik terhempas ke dalam laut,” jelasnya kepada stesen radio ElShinta.
“Pesawat itu hancur berderai...Kami menemui 15 mayat terapung di laut, manakala penumpang lain masih terperangkap dalam serpihan pesawat,” tambahnya lagi.

Sebelum itu, jurucakap Kementerian Pengangkutan berkata 27 orang termasuk 21 penumpang dan enam kakitangan penerbangan Merpati Nusantara dari Sorong di barat Papua menuju ke Kaimana di selatan, terbunuh dalam kejadian itu. - AFP

17 terbunuh akibat tanah runtuh, banjir kilat


JAKARTA: Kejadian tanah runtuh dan banjir kilat akibat hujan lebat menyebabkan 17 orang terbunuh di empat kampung di Pulau Jawa, kata jurucakap agensi pengurusan bencana, semalam.
“Seramai 17 orang terkorban, dua lagi hilang dan empat dilaporkan cedera,” kata jurucakap itu yang dikenali sebagai Sutopo.

Menurutnya, hujan lebat menyebabkan kejadian tanah runtuh dan seterusnya yang menyekat aliran Sungai Cikaso hingga mencetuskan banjir kilat.

Petugas keselamatan masih mencari dua mangsa yang dilaporkan hilang.

Kejadian banjir dan tanah runtuh biasa melanda Indonesia. Sekurang-kurangnya 148 orang terbunuh selepas banjir kilat melanda daerah Teluk Wondama di Papua, tahun lalu. - AFP, mymetro

Penuntut lelaki mati tergantung



JASIN 7 Mei - Seorang penuntut lelaki Politeknik Merlimau di sini ditemui mati tergantung pada kipas siling rumah sewanya di Taman Muhibbah, Merlimau semalam.
S. Pannir Selvan, 22, yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak ditemui pada pukul 5 petang oleh bapa saudaranya yang ke rumah tersebut setelah dua hari tidak bertemu dengan pemuda itu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa ditemui tergantung dengan sehelai kain yang diikat pada kipas siling di salah sebuah bilik di rumah berkenaan.
"Mangsa menyewa rumah tersebut bersama lima lagi rakannya, namun ketika kejadian kesemua mereka tiada di rumah kerana pulang bercuti," katanya di sini, hari ini.
Che Suza berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami masalah percintaan setelah teman wanitanya bertindak memutuskan hubungan mereka.

Penuntut politeknik maut, kereta rempuh lori



SEREMBAN 7 Mei - Seorang penuntut Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, maut selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah lori membawa muatan besi lusuh dari arah belakang di Kilometer 263.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.
Dalam kemalangan pukul 5 petang itu, mangsa, Muhammad Safwan Abdul Kadir, 20, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.
"Mangsa yang memandu Proton Gen 2 itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh lori berkenaan dari arah belakang dari lorong kiri lebuh raya berkenaan.
"Lori itu juga hilang kawalan sebelum terbalik di lorong tengah mengakibatkan pemandu dan kelindannya turut cedera," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini, untuk rawatan lanjut.

Penunggang maut dirempuh kereta



Keadaan motosikal dan kenderaan pelbagai guna yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11.2, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, kelmarin.


TELOK KEMANG 7 Mei - Seorang pemuda maut selepas dirempuh sebuah kereta dari arah belakang di Kilometer 11.2 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di sini, pagi semalam.
Dalam kemalangan pukul 2.50 pagi itu, mangsa, K. Tangasamy, 29, yang menunggang motosikal Yamaha Y110 maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di anggota badannya.
Jurucakap polis memberitahu, kejadian itu berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa terbabas di sebelah kiri jalan selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.
"Pemandu kenderaan MPV dilaporkan terselamat," katanya di sini, semalam.
Jurucakap itu memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk tujuan bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes tersebut.

Eksport minyak masak tumpas







Nazarrudin Zainudin (kiri) bersama pegawainya menunjukan lori tangki yang membawa minyak bersubsidi yang ditahan sewaktu operasi di sebuah kilang di Bandar Armada Putra, Pelabuhan Klang, semalam.


PELABUHAN KLANG 7 Mei - Cubaan sebuah kilang pemprosesan dan menapis minyak untuk mengeksport 41.8 metrik tan minyak masak bersubsidi ke luar negara bernilai RM71,060 gagal apabila ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, di sini hari ini.
Serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi di kilang berkenaan yang terletak di Bandar Armada Putra, di sini.
Menurut Penolong Pengawal KPDNKK Bekalan Putrajaya, Nazarrudin Zainudin, pihaknya turut menahan masing-masing seorang pemandu lori, penyelia kilang dan pekerja ketika sedang sibuk memindahkan barangan kawalan tersebut.
Katanya, mereka ditahan untuk membantu siasatan kegiatan yang dipercayai dilakukan sejak Disember tahun lalu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan juga mendapati 70 peratus minyak dalam tangki telah dipindahkan ke tangki besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nazarrudin menambah, tangkapan itu merupakan yang terbesar bagi tahun ini kerana mengikut harga pasaran nilainya berjumlah RM146,300.
"Minyak masak yang telah disubsidi berharga RM1,700 per metrik tan, manakala harga pasarannya adalah RM3,500 per metrik tan.
"Walaupun syarikat itu memperoleh lesen sah daripada MPOB untuk menjual minyak masak ke luar negara, namun mereka tidak layak untuk membeli minyak masak bersubsidi bagi tujuan mengeksport kerana belian perlu dibuat mengikut harga semasa," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 bagi syarikat, manakala persendirian, denda tidak lebih RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
"Lori tangki minyak akan diserahkan kepada MPOB, manakala minyak yang dirampas diberi kepada KPDNKK Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiga askar maut





Proton Wira remuk selepas bertembung dengan sebuah lori tangki yang mengorbankan tiga anggota tentera di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, semalam.


SEREMBAN 7 Mei - Apakah sudah ditakdirkan ramai rakyat negara ini mati di jalan raya?
Hanya selang tiga hari, nahas ngeri menyaksikan empat maut dengan tiga daripadanya digilis lori dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan dekat Pasir Mas, Kelantan, tiga lagi terbunuh di Seremban, Negeri Sembilan, awal pagi ini.
Nahas terbaharu itu melibatkan tiga anggota tentera yang maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu bertembung dengan sebuah lori tangki di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, di sini.
Kejadian berlaku pukul 3.45 pagi itu mengorbankan pemandu kereta, Mohd. Zulhelmi Ismail, 24, dan penumpang, Muhammad Afdhaluddin Azhari dan Izat Badry Baddarudin yang masing-masing berusia 22 tahun.
Ketiga-tiganya maut di tempat kejadian manakala seorang rakan mereka yang merupakan penuntut Politeknik Port Dickson, Nik Norhashimah Abu Kasim, 19, pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban .
Jurucakap polis memberitahu, ketika kejadian kesemua mangsa menaiki sebuah kereta Proton Wira dari Seremban menghala ke Port Dickson sebelum terbabas di satu selekoh berhampiran.
Katanya, kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki yang membawa kira-kira 18,000 liter diesel.
"Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa terperosok di bawah lori tangki dan remuk sama sekali. Ketiga-tiga mangsa yang maut itu tersepit dalam kereta," katanya di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, pemandu lori tangki yang berusia 30-an tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis.
Difahamkan, ketiga-tiga anggota tentera itu sedang menjalani latihan di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) di Port Dickson dekat sini, dengan Mohd. Zulhaimi berasal dari Kedah, Muhammad Afdhaluddin, Pulau Pinang, manakala Izat Badry pula, Selangor.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, punca kejadian masih disiasat.
Abang Mohd. Zulhelmi , Mohd. Zulhairi, 26, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya ketika dia melangsungkan perkahwinan pada Mac lalu di Kedah.
"Ketika itu dia tidak menunjukkan sebarang tanda pelik, sebaliknya sentiasa ceria serta bersama-sama membantu majlis tersebut.
"Saya sedih kerana arwah merancang untuk bertunang dengan teman wanitanya di Kedah, namun hajatnya tidak kesampaian," katanya dalam nada sebak.

25 maut pesawat Merpati terhempas



JAKARTA 7 Mei - Sebuah pesawat penumpang terhempas di laut berhampiran pulau Papua, Indonesia hari ini, menyebabkan kesemua 25 penumpang dan anak kapalnya terkorban.
Seorang pegawai tentera laut mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kesemua mangsa terbunuh ekoran pesawat itu meletup sejurus ia terhempas di laut.
"Pesawat itu berkecai. Kami telah menemui 15 mayat yang terapung di laut dan mangsa lain masih terperangkap di dalam bangkai pesawat yang karam itu," kata pegawai yang terlibat dalam operasi mencari kepada radio ElShinta.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan sebelum ini memberitahu, terdapat 27 orang berada di dalam pesawat penerbangan Merpati Nusantara itu.
Pesawat jenis MA-60 itu berlepas dari bandar Sorong di wilayah Papua Barat menuju ke daerah Kaimana dan terhempas 500 meter dari sebuah lapangan terbang kecil sejurus sebelum ia mendarat.
Sementara itu, sebuah pegawai lapangan terbang tempatan berkata, cuaca buruk mungkin menjadi punca nahas. - AFP

Murid tahun lima lemas



ANGGOTA penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dibantu orang ramai mengusung jenazah Mohd. Nor Aiman Hasan yang ditemui lemas di Sungai Belat, Kuantan, Pahang, semalam. - BERNAMA


KUANTAN 7 Mei - Keriangan seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di sini yang mandi-manda bersama rakannya berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui lemas di Sungai Belat, hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohd. Nor Aiman Hasan, 11, mandi bersama seorang rakannya yang berusia lapan tahun.
Menurut seorang saksi, Khairul Nizam Kamal, 16, dia sedang berjalan ke sungai berkenaan untuk melihat orang memancing tetapi terkejut apabila melihat dua kanak-kanak sedang terkapai-kapai.
"Tanpa berlengah, saya segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mereka berdua.
"Bagaimanapun, selepas menarik seorang mangsa, saya cuba terjun untuk menyelamatkan seorang lagi tetapi dengan sekelip mata dia hilang daripada pandangan," katanya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau di sini.
Berikutan itu, katanya, dia segera memaklumkan kepada beberapa pemancing yang berada di situ sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd. Lazim Jaafar, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 2.44 petang.
"Dengan kekuatan enam anggota bomba dan beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), mayat mangsa ditemui pada pukul 3.35 petang.
"Mayat mangsa ditemui di dasar sungai berkenaan dengan kedalaman dua meter," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Tiga tentera maut rempuh lori





KEADAAN kereta Proton Wira selepas bertembung dengan sebuah lori tangki dan mengorbankan tiga anggota tentera di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson semalam.



SEREMBAN – Tiga anggota tentera maut dan seorang wanita cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh sebuah lori tangki di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, ketiga-tiga mangsa, Mohd. Zulhelmi Ismail, 24, Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, dan Izat Badry Baddarudin, 22, mati di tempat kejadian.
Seorang rakan mereka, Nik Norhashimah Abu Kassim, 19, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu Mohd. Zulhelmi dari arah Seremban menghala ke Port Dickson terbabas di satu selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori tangki yang membawa kira-kira 18,000 liter diesel.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan yang dinaiki mangsa terperosok ke bawah lori terbabit menyebabkan tiga mangsa yang tersempit maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi wanita cedera parah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.kosmo

Hantar pelarian ke Malaysia




SEBAHAGIAN daripada 75 warga Sri Lanka yang ditahan selepas cuba meninggalkan Malaysia di perairan Tanjung Piandang, Perak untuk ke Australia pada April tahun lalu.


KUALA LUMPUR - Dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan migrasi secara haram di rantau Asia Pasifik, Malaysia dan Australia semalam mengumumkan satu tatacara tindakan dua hala baharu, yang antara lain menampilkan perjanjian untuk bekerjasama dalam memindahkan kumpulan pemohon suaka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan, kedua-dua pihak berkata, di bawah tatacara baharu itu, pemohon suaka yang tiba menerusi laut di Australia akan dipindahkan ke Malaysia.
Sebagai balasan Australia akan meningkatkan program kemanusiaan di samping mengambil tanggungjawab lebih besar dalam berkongsi beban untuk usaha penempatan semula pelarian yang ketika ini berada di Malaysia, menurut kenyataan itu lagi.
Perdana Menteri kedua-dua negara bersetuju supaya unsur penting tatacara itu akan merangkumi pemindahan 800 pendatang yang tiba secara tidak sah, yang sampai di Australia selepas tarikh berkuat kuasa tatacara itu, ke Malaysia, untuk menentukan status pelarian.
"Sebagai balasan dalam tempoh empat tahun, Australia akan memindahkan 4,000 pelarian yang ketika ini berada di Malaysia,'' menurut kenyataan itu.
kosmo