Search This Blog

Saturday, May 7, 2011

Ditimpa musibah berganda

 

GUNUNG – Keluarga Awang Seman, 73, yang ditimpa musibah kebakaran di Kampung Tok Ngoh dekat sini, petang semalam, diharap dapat bersabar dengan ujian yang ditakdirkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir berkata, semua kejadian dan musibah yang berlaku adalah ujian dan semuanya memerlukan ketabahan untuk setiap umat menghadapinya.

“Saya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa, dan berharap keluarga ini bersabar menghadapinya, walaupun ia berlaku ketika semua orang fokus untuk mengadakan tahlil tujuh hari bagi arwah Gayah Daud.

“Saya akan cuba membantu setakat yang mampu, dan hari ini dihulurkan sedikit bantuan segera untuk meringankan beban dan menampung keperluan harian keluarga ini yang kehilangan semuanya dalam kebakaran tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Awang yang tinggal sendirian di rumah tersebut selepas kehilangan isterinya tujuh hari lalu, menerima bantuan segera sebanyak RM500 daripada Abdul Azziz.

Masih letak harapan tinggi jumpa ‘adik’



SEREMBAN – ‘Kalau pergi biarlah bertanda’. Itulah hasrat keluarga terhadap Nur Syaza Shakinah, 2, atau panggilan manjanya ‘adik’, yang masih belum ditemui setelah dibawa arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul Selasa lalu.

Menurut bapa saudaranya, Wan Adnan Wan Abdullah, 37, keluarga mereka memegang harapan yang tinggi untuk bertemu dengan Shakinah, walau apa jua keadaan sekalipun.

“Kami reda dengan apa jua kemungkinan yang berlaku ke atasnya. Jika benarlah dia (Shakinah) sudah tiada, sekurang-kurangnya biarlah pemergiannya itu bertanda. Kami sangat berharap untuk berjumpa dengannya.

“Kami tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus berusaha dengan pelbagai cara untuk mencari Shakinah tanpa mengira masa. Pencarian akan tetap diteruskan. Malah pada malam ini (tadi), kami berhasrat akan mencari tanpa henti sehingga jam 6 pagi esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota yang digelar Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) bertindak mencari seorang lagi kanak-kanak mangsa lemas akibat arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, gerakan mencari itu melibatkan 140 anggota dari pelbagai agensi termasuk K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Gerakan mencari ini dibahagikan kepada dua kumpulan dan pencarian hari ini (semalam) bermula dari tempat mangsa dihanyutkan di hutan lipur itu sehingga sejauh kira-kira 6 kilometer (KM) menyusuri sungai,” katanya.

Jelas beliau, gerakan mencari mangsa turut dilakukan dengan mengorek kawasan berpasir di tebing sungai untuk mengesan jika mangsa tertimbus oleh pasir.

Selasa lepas, Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, bersama dua kakaknya, Nur Syaza Alisa, 5 dan Nur Syaza Azera, 4, lemas dihanyutkan arus deras sewaktu bermandi-manda di hutan lipur tersebut.

Sehingga kini, dia masih belum dijumpai walaupun mayat kedua-dua kakaknya telah dijumpa tidak jauh dari lokasi mereka sebelum kejadian.

Rempuh treler muatan simen, penuntut maut



JELI - Seorang penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kedah maut setelah motosikal yang ditungganginya jenis Yamaha LC melanggar bahagian tengah treler muatan simen di Kilometer 115.3 Jalan Timur Barat, dekat Batu Melintang, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintedan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, ketika kejadian, mangsa, Razali Zainal Abidin, 23, berasal dari Rantau Panjang bersama seorang lagi rakannya yang menunggang sebuah lagi motosikal dari Rantau Panjang dalam perjalanan menuju ke Sintok, Kedah.

“Apabila sampai satu selekoh tajam, motosikal mangsa gagal dikawal dan terbabas ke sebelah kanan jalan dan terlanggar bahagian tengah lori treler muatan simen.

“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jeli kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, paha dan lutut.

“Manakala rakannya hanya cedera ringan apabila motosikalnya terlanggar motosikal mangsa dan pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, motosikal mangsa remuk kerana terlanggar besi di bahagian tengah treler tersebut. Mayat mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian kelmarin.

Pelajar sanggup tipu ibu untuk beli pil kuda



KUALA NERUS - Umur baru setahun jagung, sudah pandai menipu dan paling menyedihkan, sudah pandai berjinak-jinak dengan dadah.

Itu pengakuan seorang pelajar yang terjebak dengan penyalahgunaan pil kuda.

“Walaupun baru tiga bulan mengambil pil kuda, tetapi saya tidak boleh berenggang dengannya dan kini, sudah menjadi rutin dalam hidup saya akan ‘pekena’ sebiji pil dalam masa dua hari,” pengakuan mengejutkan ini datangnya daripada seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Menurut pelajar dari Kampung Banggol Binjai, Bukit Guntong, Tepoh itu, setiap kali giannya datang, dia sanggup menipu ibunya untuk mendapatkan wang dengan alasan ingin membeli buku rujukan atau membayar yuran kelas.

“Saya terpaksa menipu ibu kerana duit belanja sekolah yang diberikan setiap hari sememangnya tidak cukup untuk saya mendapatkan stok pil itu.

“Tetapi, kadang-kadang jika kerap sangat menipu dengan alasan sama, saya sanggup mengikat perut dengan tidak membelanjakan wang saku harian yang diberikan mak iaitu sebanyak RM10 sehari untuk membeli pil itu,” katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia mula berjinak-jinak mengambil pil kuda setelah diperkenalkan rakan-rakan sebaya.

“Pada mulanya saya hanya menjadi pemerhati, tetapi setelah mencuba kali pertama, saya tidak boleh melupakannya dan seterusnya menyebabkan saya sentiasa akan mencarinya terutama apabila gian itu datang,” katanya.

2 maut kereta dirempuh 4x4



SABAK BERNAM – Seorang pemandu dan penumpang yang tersepit maut di tempat kejadian, manakala seorang cedera parah dan seorang lagi cedera ringan apabila kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di kilometer 43, Jalan Teluk Intan Klang, dekat Tebuk Pulai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu juga, dua penumpang pacuan empat roda cedera parah di kepala manakala pemandunya cedera di bahagian bahu.

Saksi kejadian, Mohd Yusof Dollah, 57, berkata, kereta Toyota Vios dari arah Sungai Besar menuju Sabak Bernam dipercayai membuat pusingan U, ketika pacuan empat roda dan kereta yang dipandunya melalui jalan di lorong pertama dan kedua arah Sabak ke Sungai Besar.

“Sebelum itu, pacuan empat roda berada di belakang kereta saya dan mengubah laluan ke lorong ke dua dan tiba-tiba Toyota Vios itu masuk ke laluan pacuan empat roda dan menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung. Kejadian itu betul-betul berlaku di depan mata.

“Saya hampir terlibat dan percikan kaca kedua-dua kenderaan itu mengenai kereta saya. Saya cuba mengelak sedikit dan Alhamdulillah tidak apa-apa kerana tidak memandu laju. Jika saya memandu laju dan mengelak kemalangan itu, mungkin akan terbabas ke parit berhampiran,” katanya.

Difahamkan, saksi dalam perjalanan pulang dari Pekan Sabak Bernam ke rumahnya di Sungai Limau bersama isterinya, Rosmi Tahir, 52, masih trauma dengan kejadian yang berlaku di depan mata mereka.

Sementara itu, anak kepada pemandu pacuan empat roda, Lim Keh Lun, 25, berkata, ibunya dalam perjalanan menghantar nasi ke tempatnya bekerja sebelum menghantar adik dan seorang lagi rakannya ke pusat tuisyen di Sungai Besar.

“Saya menerima panggilan telefon dari ibu yang separa sedar memaklumkan tentang kemalangan ini. Saya kemudiannya bergegas mencari lokasi kemalangan ini dan setibanya di tempat kejadian, ibu mengadu sakit di bahagian bahu, manakala adik dan rakannya cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Pihak bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit kira-kira jam 8.11 minit malam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua mangsa yang maut tidak dapat dikenal pasti identitinya berikutan tiada pengenalan diri ditemui.

Rogol remaja bawah umur



AYER KEROH - Meskipun mempunyai seorang anak perempuan, seorang lelaki yang sepatutnya faham kanak-kanak perlu dilindungi seolah-olah tiada rasa bersalah apabila bertindak merogol remaja berusia 13 tahun dalam sebuah rumah kosong, Ahad lalu.

Tindakan itu akhirnya membawa padah apabila dia yang juga bapa kepada tiga cahaya mata dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sin, semalam.

Tertuduh, Fauzi Osman, 28, sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang remaja berusia 13 tahun empat bulan di Batu 7, Jalan Tanjong Minyak, Tanjong Minyak kira-kira jam 10.05 malam pada 1 Mei 2011.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Fauzi ketika rayuan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan dia benar-benar menyesal dan insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar ketika pendakwaan memohon mahkamah memberikan hukuman berat disebabkan tertuduh telah melakukan kesalahan serius membabitkan remaja bawah umur selain hukuman sehingga 20 tahun.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira peranan tertuduh yang merupakan seorang bapa kepada tiga orang anak sepatutnya bersikap melindungi remaja di bawah umur 16 tahun.

“Tertuduh sebagai orang dewasa telah mengambil kesempatan ke atas gadis berumur 13 tahun yang masih naif,” katanya.

Setelah mendegar hujah pihak pendakwaan, Ahamd Sazali, kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap iaitu pada 2 Mei lalu dan dua kali sebatan.

Maut dalam lubang sampah



AIR ITAM – Cubaan menyorok di dalam lubang sampah di tingkat 10 Blok E, Flat Padang Tembak akhirnya hanya membawa maut kepada seorang tukang paip.

Seorang peniaga kedai makan yang enggan namanya dikenali berkata, kejadian berlaku pada jam 9 malam kelmarin.

Lelaki itu tidak asing dalam kalangan penduduk kerana bekerja sebagai tukang paip dan sering kali membaiki paip rosak di Flat Padang Tembak.

Menurut peniaga itu, dipercayai lelaki berkenaan cuba memecah masuk rumah di tingkat 11 melalui sebuah rumah kosong di tingkat 10.

“Rumah di tingkat 10 itu tiada orang, jadi dia cuba masuk ikut balkoni, tetapi bila ada penduduk nampak dan masing-masing menjerit dan menyergahnya, dia terus terjatuh ke atas atap balkoni rumah di tingkat 9.

“Nasib dia baik kerana tidak jatuh ke bawah tetapi kemudiannya dia naik semula masuk ke rumah tingkat 10 dan lari, kemudian penduduk tidak tahu dia pergi lari ke mana kerana tidak jumpa,” katanya ketika ditemui pemberita.

Peniaga berkenaan berkata, keesokan harinya pemungut sampah menjumpai mayat lelaki berkenaan di lubang sampah di tingkat paling bawah Blok E Flat Padang Tembak.

“Mungkin dia tergelincir dan jatuh daripada tingkat 10 kerana menyorok di dalam lubang sampah.

“Biasanya kami buang sampah dari atas ikut lubang itu, dia takut orang cari dia dan tangkap jadi dia menyorok dalam lubang sampah yang licin, nasib dia tak baik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian berkenaan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, mayat kini dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan sedang dibedah siasat.

“Mangsa ialah warganegara Nepal yang bernama Vijay Kumar Yadar Amir lingkungan 40-an dan bekerja sebagai buruh pemasangan saluran paip di Blok E, Flat Padang Tembak,” katanya.

1,030 diesel dirampas PPDNKK



SIMPANG – Bertindak atas aduan orang ramai, sepasukan Pegawai dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Taiping berjaya merampas kira-kira 1,030 liter minyak diesel di sebuah rumah kedai di Jalan Kampung Dew, Simpang, semalam.

Serbuan diketuai oleh Ketua Cawangan PPDNKK Taiping, Basaruddin Mohiyuddin bersama tujuh pegawai.

Basaruddin berkata, hasil serbuan itu, sebuah kereta, peralatan mengisi minyak termasuk hos, tong kosong, tong dram dan juga tong berisi minyak diesel disita.

“Hampir 37 tong berisi minyak terdapat di bahagian depan dan belakang kereta tersebut.

"Kami cuba mengejar suspek yang membawa tong berisi minyak hingga ke dalam rumah kedai berkenaan.

“Awalnya kami terhalang kerana terdapat anjing dalam rumah itu bagaimanapun serbuan berjaya dilaksanakan dan minyak diesel anggaran nilai RM5,000 dirampas,” katanya.

Beliau berkata, dengan harga pasaran minyak diesel RM1.75 manakala bagi harga industri RM2.30, dipercayai pengilang akan membeli minyak diesel yang lebih rendah sekitar RM1.50 daripada pihak berkenaan.

Katanya, semua eksibit dibawa balik dan disimpan di pejabat PPDNKK untuk siasatan lanjut.

“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Derita mangsa langgar lari



SUNGAI SIPUT (U) – Mangsa kes langgar lari, G Leeladevi, 19, terpaksa menanggung derita berpanjangan semenjak setahun lalu.

Leeladevi, yang baru sahaja menjalani pembedahan dan belum pulih sepenuhnya, kini tidak dapat berjalan kerana kecederaan serius di bahagian kaki.

Bapa, R Ganesan berkata, anaknya dirempuh semasa menunggu bas di tepi jalan oleh sebuah kereta yang kemudiannya terus melarikan diri.

“Pada hari kejadian, Leeladevi keluar rumah bersendirian dan menunggu bas di perhentian yang terletak tidak jauh dari rumah kami di Salak Baru.

“Dia sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu dan akibat kejadian itu, dia kini tidak mampu berbuat apa-apa lagi,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang.

Menurut Ganesan, kejadian berkenaan telah menyebabkan tiga urat di kaki anaknya putus dan tidak ada perubahan ketara, walaupun telah menjalani pembedahan.

Ganesan berharap pihak berkenaan dapat membantu menampung kos rawatan anaknya yang perlu dijalani berterusan.

“Leeladevi perlu berulang-alik ke Hospital Ipoh sekurang-kurangnya, untuk menjalani rawatan susulan dan saya mengharap bantuan pihak berkenaan bagi meringankan bebanan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam berkata, masalah Leeladevi akan diberi perhatian sewajarnya.

“Kita akan berusaha mencari jalan membantu Leeladevi mendapatkan rawatan sepatutnya dengan harapan dia dapat sembuh secepat mungkin,” katanya.

Tukang urut kantoi



JOHOR BAHRU – Seramai 10 wanita warga asing ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri ini dalam serbuan berasingan di dua buah premis yang menawarkan perkhidmatan mengurut di sekitar Taman Nusa Bestari, di sini, kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Amzari Abdul Jalil berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki :tempatan berusia lingkungan 40-an yang juga pemilik premis perniagaan berkenaan dalam serbuan selama tiga jam itu.

Menurutnya, kesemua wanita warga asing terbabit yang ditahan berusia antara 33 hingga 44 tahun berasal dari China, Thailand dan Vietnam.

“Sebuah daripada dua premis enggan memberikan kerjasama kepada kami ketika serbuan dijalankan sekali gus menyebabkan anggota dan pegawai terpaksa memecahkan pintu hadapan bangunan berkenaan.

“Malah, salah seorang daripada wanita yang ditahan turut mengalami kecederaan ringan di kakinya selepas bertindak nekad terjun menerusi tingkap di tingkat satu premis perniagaan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Amzari berkata, kesemua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan Imigresen 1963 seterusnya di bawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Johor, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Setia Tropika, di sini, bagi tindakan selanjutnya.

Lori tangki minyak terbabas




TENGLU - “Nasib baik saya mengelak”. Demikian luahan hati seorang pemandu lori minyak, Razwan Mohd Noor, 25, dari Rompin-Pasir Gudang yang terbabas kerana mengelak sebuah motosikal dan kenderaan yang dipandunya terbabas kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, dia sempat mengelak motosikal yang berada di hadapannya sehingga menyebabkan lori yang dipandu terbabas ke tepi jalan dan memasuki parit kecil berhampiran.

“Saya cuba mengelak daripada melanggar motosikal dengan menekan brek, tetapi tidak berhasil kerana ia gagal berfungsi dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Razwan berkata, ketika kejadian, lori yang dipandu tidak mempunyai muatan dan dia baru berhasrat untuk mengambilnya di Pasir Gudang sebelum menghantar ke kilang.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

”Syukur kepada tuhan kerana tiada nyawa yang melayang dalam kejadian ini,” katanya yang hanya mengalami kecederaan ringan akibat daripada kemalangan tersebut.

Bangunan sekolah dipecah masuk



SKUDAI – Bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Thorburn, Taman Mutiara Rini, di sini, dipecah masuk awal pagi semalam.

Guru sekolah berkenaan, Tan Tzer Lee berkata, dia menyedari kejadian itu sebaik sahaja tiba di sekolah sekitar jam 6.30 pagi apabila mendapati pagar (grill) besi dan pintu pejabat pentadbiran dalam keadaan terbuka.

“Pelik dengan keadaan yang berlaku, saya masuk ke dalam pejabat seterusnya mendapati keadaan pejabat berselerak, sekali gus mengesyaki bangunan sekolah dipecah masuk.

“Saya kemudiannya bertanya kepada kerani yang sudah lama bertugas di sekolah ini sama ada terdapat barang hilang dengan membuat pemeriksaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Taman Mutiara Rini sekitar jam 9 pagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Dalam kejadian itu, sebanyak dua buah komputer riba dan projektor sekolah pemberian kerajaan bagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) hilang malah ia merupakan pecah masuk kali kedua selepas bulan Februari lalu.

“Tiada sebarang kehilangan harta benda untuk kejadian pecah masuk kali pertama tiga bulan lalu dan pihak sekolah tidak membuat laporan polis pada ketika itu.

“Pengawal keselamatan bertugas mengakui menyedari pintu pejabat pentadbiran terbuka sekitar jam 2 pagi ketika membuat rondaan, namun tidak dapat membuat panggilan kepada pihak pengurusan kerana ketiadaan kredit telefon bimbit,” katanya.

Siasatan dijalankan pihak sekolah turut mendapati bilik rehat guru turut dipecah masuk diikuti penemuan cap jari suspek selain menemui lubang pada pagar di kawasan belakang yang dipotong dipercayai menggunakan pemotong.

Turut hadir meninjau keadaan sekolah itu adalah Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh sekitar jam 9.30 pagi.

Sindiket edar dadah tumpas



JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya tujuh individu dalam serbuan di empat lokasi berasingan, kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan di Nusajaya, Bukit Chagar, Taman Ungku Tun Aminah dan daerah Kluang itu, polis merampas 4.804 kilogram (kg) dadah jenis heroin, wang tunai sebanyak RM1,087 serta menyita enam buat kereta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, operasi itu sudah mula digerakkan pada tahun lalu selepas Biro Narkotik Sentral Singapura memaklumkan kepada pihaknya berhubung aktiviti penyeludupan dadah ke negara berkenaan.

“Polis dimaklumkan Biro Narkotik Sentral Singapura bahawa mereka sudah mengesan dan membuat tangkapan ke atas ramai rakyat tempatan yang cuba menyeludup dadah jenis heroin ke Singapura menerusi Tambak Johor dengan menaiki motosikal.

“Sindiket dadah ini dikesan sudah merekrut pembawa dadah upahan untuk menyeludup dadah ke Singapura dengan mengikuti barisan ribuan pekerja yang ingin memasuki negara berkenaan pada sebelah pagi,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan susulan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman dan negeri ini dengan kerjasama Biro Narkotik Sentral Singapura berjaya mengenal pasti ahli-ahli sindiket seterusnya membuat tangkapan pertama, kelmarin.

“Sekitar jam 3 petang, sebuah rumah yang dijadikan tempat simpanan dadah sindiket terbabit di Taman Teratai diserbu diikuti beberapa lagi tangkapan di sekitar Johor Bahru dan Kluang.

“Kesemua individu yang ditangkap terdiri daripada enam lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun,” katanya.

Selain itu, katanya, tujuh individu terbabit kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan.

“Kejayaan terbaru ini mempamerkan satu lagi usaha JSJ Narkotik Bukit Aman dan Johor dengan kerjasama agensi penguatkuasa dadah antarabangsa dalam menangani kegiatan penyeludupan dalam di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Suami isteri bebas hukuman denda



SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, semalam membenarkan rayuan sepasang suami isteri bagi mengetepikan sabitan dan hukuman denda RM30,000 yang dikenakan terhadap mereka kerana menggaji seorang wanita Indonesia tanpa permit sah.

Hakim, Datuk Mohd Sofian Abdul Razak membuat keputusan itu terhadap Wan Mohd Fairuz Wan Ab Kadir, 30 dan Kasmiranil Abah, 28, selepas mendapati Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu terkhilaf.

Mohd Sofian berkata, pendakwaan gagal membuktikan wanita bernama Manisah itu bekerja dengan Mohd Fairuz dan Kasmiranil.

“Faktor menggajikan Manisah tidak dapat dibuktikan. Tiada juga keterangan menyatakan Manisah membuat kerja rumah,” katanya.

Mohd Sofian berkata, Manisah memberi keterangan bahawa dia tinggal di rumah pasangan itu atas dasar belas kasihan.

“Oleh itu, mahkamah mengetepikan keputusan Majistret Kuala Kubu Bharu dan membenarkan rayuan mereka,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, pasangan eksekutif bank itu dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh mahkamah itu kerana menggaji seorang wanita Indonesia tanpa permit sah.

Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah Jalan Desa Melor 7D, Taman Desa Melor Serendah, Hulu Selangor, kira-kira jam 9 pagi, 30 September 2009.

Empat maut dengan tiga digilis lori dalam nahas paling ngeri


PASIR MAS (Kelantan): Satu lagi nahas ngeri berlaku yang mengakibatkan empat maut, dengan tiga daripadanya digilis lori, dalam insiden membabitkan enam kenderaan dekat sini pada Rabu lalu.
Kejadian pada 7.20 malam itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang dua beranak, Encik Ariff Che Mohd Zain, 35 tahun, bersama anaknya, Alif Azhar Ariff, 12 tahun, menentang arus. Ini menyebabkan mereka bertembung dengan motosikal yang ditunggang dua sepupu, Chik Samsudin Mat Ghapar, 16 tahun, dan Mohd Faizal Fakaruddin, 16 tahun.Berikutan kemalangan itu, dua lori dari arah sama tidak sempat mengelak sehingga menggilis tiga mangsa - Encik Ariff, Chik Samsudin dan Mohd Faizal.Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian.Pemandu kedua-dua lori itu pula memecut kenderaan mereka meninggalkan tempat kejadian dan masih belum membuat laporan polis mengenai kemalangan itu.Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Penolong Pesuruhjaya Haliludin Rahim, berkata dalam masa sama, sebuah kereta Volvo yang dipandu Encik Huzaiudi Zainal Abidin, 36 tahun, cuba mengelak daripada melanggar mangsa di tempat kejadian.Bagaimanapun, kereta itu bertembung dengan kereta Proton Saga dari arah bertentangan menyebabkan pemandu kenderaan terbabit, Encik Wee Thai Kit, 40 tahun, maut di tempat kejadian.Dua mangsa yang parah ialah Alif Azhar dan Encik Huzaiudi.Seorang saksi, Encik Mohd Hafizzul Akmal Mohd Yusof, 24 tahun, yang merupakan antara penduduk tempatan terawal tiba di tempat kejadian, menyifatkan kemalangan yang dilihatnya itu paling ngeri.'Kebetulan saya dalam perjalanan ke Kota Bharu menggunakan laluan itu. Berderau darah melihat tiga mayat bergelimpangan di atas jalan dengan seorang daripadanya melekat pada motosikal. Selepas itu saya melihat satu lagi mayat tersepit dalam kereta Proton Iswara.'Sebelum ini, kerap juga saya melihat kemalangan tetapi kemalangan ini paling ngeri. Saya tidak mampu menunggu lama dan segera beredar kerana tidak tahan melihat keadaan mayat dan darah di serata tempat,' katanya. -- Utusan Malaysia, Harian Metro, BHM.cyberita

Pemandu teksi tidak mengaku larikan penganggur



M. Murugan dibawa anggota polis masuk ke Mahkamah Majistret 2 Selayang, dekat Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD NOOR AMIN


KUALA LUMPUR 6 Mei - Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini atas tuduhan melarikan seorang penganggur yang 10 batang jarinya ditemui di tepi landasan kereta api berhampiran Stesen Kereta Api Kuang di Rawang, hujung bulan lalu.
Tertuduh, M. Murugan, 27, didakwa melarikan K. Munispara, 29, dengan niat hendak mengurung lelaki itu secara salah kira-kira pukul 12 tengah malam, 24 April lalu di jalan besar Batu 16, Rawang, dekat sini.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ching Kian Chung mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Majistret Nurul Hafizah Kamaludin membenarkan tertuduh yang diwakili peguam bela K. Theivaendran, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 3 Jun ini.
Pemandu teksi tersebut hanya didakwa atas tuduhan melarikan mangsa kerana dipercayai orang lain yang memotong jari lelaki berkenaan.
Pada 25 April lalu, beberapa petugas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Kereta Api Kuang menemui bungkusan plastik mengandungi 10 batang jari manusia di tepi landasan kira-kira satu kilometer dari stesen kereta api berkenaan.
Semua jari itu dimasukkan ke dalam plastik berwarna putih bersama tali dan pita pelekat berwarna hitam ditemui di tepi landasan di Kilometer 363 arah Butterworth, Pulau Pinang menghala ke Kuala Lumpur.
Siasatan pihak polis berjaya mengenal pasti identiti mangsa iaitu seorang lelaki tempatan manakala media difahamkan motif kejadian ekoran cemburu.

17 maut, dua hilang akibat tanah runtuh di Jawa Barat


JAKARTA 7 Mei – Seramai 17 orang terbunuh dalam bencana tanah runtuh dan banjir kilat yang dicetuskan oleh hujan lebat di pulau jawa, Indonesia, semalam.

Menurut pegawai pengurusan bencana, Sutopo, seramai 17 orang terbunuh, dua masih hilang dan empat lagi cedera parah dalam insiden yang berlaku di daerah Garut, wilayah Jawa Barat itu.
Sementara itu media melaporkan, berpuluh-puluh kediaman turut rosak akibat bencana alam ini. – AFP

Dua lelaki ditahan bersama 20 ketul ganja mampat


ALOR SETAR 7 Mei – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya dua lelaki bersama 20 ketul ganja mampat bernilai RM50,000 dalam satu serbuan di hadapan sebuah kedai di Taman Tuanku Haminah, Sungai Petani dekat sini malam tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontijen Kedah memberkas kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 34 dan 44 tahun selepas melakukan pemeriksaan ke atas dua buah kereta yang dinaiki mereka.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Toyota L.E yang dinaiki oleh salah seorang suspek menemui satu kotak di bahagian bonet kenderaan berkenaan yang mengandungi 20 ketul mampat tumbuhan kering disyaki ganja.
Katanya, kesemua ganja yang dianggarkan seberat 19 kilogram dengan nilai pasaran sebanyak RM50,000 itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk diedarkan di selatan Semenanjung.
''Siasatan awal mempercayai mereka daripada satu sindiket pengedaran dadah. Hasil ujian urin yang dijalankan ke atas kedua-dua lelaki ini turut didapati positif ganja,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Ahmad, suspek berusia 34 tahun bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta manakala suspek kedua merupakan seorang peniaga.
Katanya, semakan rekod jenayah mendapat suspek pertama pernah terlibat dalam kes jenayah sementara suspek kedua mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Akta Dadah serta baru empat bulan keluar penjara atas kesalahan mengedar dadah.
Beliau berkata, polis turut merampas dua buah lagi kenderaan iaitu jenis Hilux dan Toyota Altis kepunyaan kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.
''Polis mendapat perintah tahanan reman ke atas mereka selama lima hari bermula hari ini. Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan,'' katanya. - Utusan

Tiga tentera terbunuh, wanita parah dalam nahas


Oleh NAZARUDIN SHAHARI


SEREMBAN 7 Mei – Tiga anggota tentera terbunuh manakala seorang wanita parah selepas terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Seremban-Port Dickson dekat Kampung Bemban di sini awal pagi ini.
Kemalangan pada kira-kira pukul 3.45 pagi itu membabitkan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki keempat-empat mangsa dengan sebuah lori tangki.
Ketiga-tiga mangsa yang berusia 20-an mati di tempat kejadian manakala wanita berusia 19 tahun itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar dekat sini.
Kemalangan dikatakan berlaku apabila kereta itu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang sedang menghala ke bandar ini. - Utusan

Murid Tahun Lima ditemui lemas di Sungai Belat


KUANTAN 7 Mei – Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di sini ditemui lemas di Sungai Belat di sini kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Mangsa, Mohd. Nor Aiman Hasan, 11, ditemui lemas selepas mandi di sungai berkenaan bersama seorang rakannya yang berumur lapan tahun. - Utusan

Pesawat penumpang Indonesia terhempas dekat Papua


JAKARTA 7 Mei – Sebuah pesawat penumpang milik Indonesia yang membawa 28 orang terhempas di laut berhampiran pulau Papua hari ini.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan berkata, pesawat jenis MA-60 itu terhempas 500 meter dari sebuah lapangan terbang kecil sejurus sebelum ia mendarat. – AFP

2 lelaki perdaya 3 suri rumah





SUNGAI PETANI 6 Mei - Dua lelaki dikatakan memperdaya tiga suri rumah dengan menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memeriksa meter elektrik sebelum menyamun mangsa di rumah mereka di Taman Ria Jaya dan Jalan Bakar Sampah di sini semalam.
Kejadian antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 30 hingga 40 tahun kerugian beribu-ribu ringgit apabila barang kemas milik mereka dan sejumlah wang tunai dilarikan kedua-dua suspek.
Ketika insiden, mangsa dikatakan berada dalam rumah sebelum didatangi dua suspek menaiki motosikal yang memakai uniform syarikat berkenaan untuk memeriksa meter di rumah teres mereka itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, suspek kemudian meminta izin untuk masuk ke dalam rumah dan memeriksa sistem pendawaian elektrik.
"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa, membenarkan suspek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja masuk, suspek terus mengacu pisau ke arahnya.
"Suspek kemudian menggeledah rumah dan melarikan sejumlah wang tunai dan barang kemas," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Aik Chang, kes berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dilaporkan di daerah ini.
Beliau berkata, suspek menjadikan golongan suri rumah yang kebanyakan suami mereka keluar bekerja sebagai sasaran.
Kes ini diklasifikasikan sebagai rompakan bersenjata mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki suspek, ujarnya.
Tambahnya, hasil maklumat mendapati TNB tidak menghantar kakitangannya untuk menjalankan pemeriksaan meter atau pendawaian elektrik di rumah pelanggan di kawasan sekitar.
"Saya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang tidak dikenali memasuki rumah mereka," katanya.

Helah gores dan menang





ORANG ramai harus berwaspada dengan tipu daya pihak tertentu yang menjalankan kegiatan gores dan menang yang akhirnya akan menyebabkan pengguna mengalami kerugian. - GAMBAR HIASAN


WALAUPUN telah berulang kali diberi amaran dan peringatan melalui pelbagai cara termasuk melalui media, kes-kes melibatkan penipuan sindiket Gores dan Menang masih kerap didengar.
Adakah mereka tidak pernah membaca akhbar atau mata mereka telah dikaburi setelah 'digula-gulakan' dengan hadiah lumayan? Hanya mangsa yang dapat menjawabnya.
Nasib yang sama turut menimpa seorang kakitangan syarikat swasta pada awal tahun ini. Kisahnya bermula ketika pemuda itu sedang asyik berjalan menuju ke KL Sentral pada satu petang, 19 Januari lalu, dia didatangi oleh seorang ejen syarikat Gores dan Menang.
Modus operandinya sama sahaja, mangsa disuruh menggores sebuah kad. Ejen tersebut kemudian memberitahu bahawa mangsa baharu sahaja memenangi hadiah.
Namun untuk membawa pulang hadiah tersebut, ada syaratnya. Mangsa perlu membayar cukai sebanyak RM7,600. Selain itu, mangsa berpeluang memenangi hadiah utama pada cabutan kad lain.
Teruja dengan hadiah yang bakal dimenangi, lelaki itu pun pergi ke pejabat syarikat tersebut. Di situ, seorang pekerja syarikat itu menyuruh mangsa membayar keseluruhan jumlah cukai tersebut.
Oleh kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi, dia dibenarkan membayar sebahagian sahaja iaitu sebanyak RM3,400.
Pemuda itu kemudian diberikan sebuah mesin jahit dan sebuah tilam. Menurut pekerja tersebut, barang-barang itu merupakan hadiah utama seperti yang dikatakan dalam kad gores terbabit.
Dengan susah payah, dia kemudian pulang ke rumah dengan membawa barang-barang tersebut yang sebenarnya boleh dibeli pada harga tidak sampai beribu-ribu ringgit.
Lelaki itu mula menyedari hal yang sebenarnya apabila rakan serumahnya mengatakan dia telah diperdaya. Ketika itu barulah diketahuinya dia telah ditipu oleh syarikat terbabit.
Lantas keesokan harinya, dia pergi semula ke pejabat syarikat tersebut yang terletak di Plaza Danau, Setapak di ibu negara.
Hasrat hati untuk menuntut semula wangnya tetapi pekerja syarikat terbabit enggan memberikannya. Dengan alasan, pemuda itu telah menandatangani borang perjanjian.
Merasakan dirinya telah diperdaya, mangsa telah membawa kes itu ke Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM) yang terletak di The Mall di ibu negara.
TTPM yang bersidang pada pertengahan bulan ini kemudian mengarahkan syarikat terbabit membayar RM3,400 kepada mangsa, Ting Kee Bienn, 25.
Presiden TTPM, Faridah Abrahim, memutuskan demikian selepas tiada wakil daripada syarikat terbabit hadir ke prosiding tuntutan berkenaan.
Dengan ketetapan sedemikian, Kee Bienn merasa puas walaupun episod dukanya masih belum berakhir kerana wang tuntutan masih belum diperoleh.
Namun jauh di sudut hatinya, dia berjanji tidak akan sekali-kali diperdayakan lagi oleh goresan yang hanya menyebabkan wangnya dengan mudah melayang.

Maut dibunuh anak angkat





MIRI 6 Mei - Kurang dua hari sambutan Hari Ibu, takdir menentukan seorang wanita warga emas, Ranai Langgat, 81, yang lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar sejak setahun lalu, maut dibunuh anak angkatnya.
Suspek, Ujang Achawa, 53, yang mengalami masalah mental bukan sahaja bertindak menikam mangsa malah mencekik dan memukul Ranai sehingga wanita itu menemui ajalnya.
Ranai tinggal bersama Ujang yang dibelanya sejak kecil selepas kematian suami dan seorang lagi anak angkatnya, tahun lalu.
Mayat Ranai ditemui berlumuran darah dengan kesan lebam di mata, dada dan kaki manakala kuku kakinya juga disiat-siat di sebuah rumah di Jalan Lintang 5, Taman Tunku, di sini.
Wanita itu yang hanya mampu mengengsot dipercayai dicekik, dipukul dan ditikam bertubi-tubi oleh Ujang yang juga tidak mampu berjalan dan berdiri akibat penyakit gout.
Pemilik rumah berkenaan, Hilda Genda Achaw, 44, yang merupakan adik tiri suspek berkata, dia menyedari kejadian berkenaan pukul 10.30 pagi selepas mendengar bunyi pukulan bertalu-talu dari dalam bilik yang menempatkan mangsa dan suspek.
"Saya ada terdengar bunyi pukulan 'pek..pek..pek' namun tidak mengendahkannya kerana menyangka Ujang sedang bergendang kerana itulah minatnya," katanya sewaktu ditemui hari ini.
Kata Hilda, kira-kira 10 minit selepas itu, dia membuka pintu bilik dan terkejut melihat mayat mangsa manakala suspek pula dilihat berbaring di sebelahnya bagaikan tiada apa-apa yang berlaku.
Menurutnya, suspek baru keluar dari Unit Psikiatri Hospital Miri petang Rabu lalu selepas dirawat selama tiga minggu.
"Belum pun sampai 24 jam dia diarah pulang, kejadian itu berlaku," katanya yang menjelaskan mangsa dan suspek telah menumpang di rumahnya sejak setahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi hari ini memberitahu pihaknya masih menunggu laporan perubatan suspek.
Katanya, setakat ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kenduri tahlil tak kesampaian



MOHD. Zamri Awang Ngah bersama anaknya melihat sisa rumahnya yang terbakar di Kampung Tok Ngoh, Bachok, kelmarin.


BACHOK 6 Mei - Hasrat seorang anak, Rohani Mahamad, 39, untuk mengadakan kenduri tahlil arwah ibunya, Gayah Daud, yang meninggal dunia tujuh hari lalu, tidak kesampaian apabila rumahnya di Kampung Tok Ngoh, dekat sini hangus dalam kebakaran semalam.
Rohani berkata, kejadian berlaku pukul 4.16 petang ketika semua sanak saudara sedang menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu yang akan hadir pada majlis tahlil tersebut.
"Ketika itu semua orang sedang sibuk di dapur dan di luar rumah untuk memasak, tiba-tiba semua tergamam sebaik sahaja ternampak api dari sebuah bilik.
"Mujurlah adik saya sempat membawa keluar anak kembarnya, jika tidak mungkin kejadian ini akan meragut nyawa, apa pun saya bersyukur kerana mereka bertiga selamat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambahnya, kejadian itu juga menyebabkan semua lauk pauk yang dimasak musnah dan tahlil arwah ibunya terpaksa diadakan di surau.
Rohani memberitahu, dia reda dengan apa yang berlaku yang berlaku dan menganggapnya sebagai satu ujian dari Ilahi buat dia dan keluarganya.
Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.16 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian.
"Dua buah jentera dan enam anggota telah tiba di lokasi pada pukul 4.34 petang tetapi rumah yang diperbuat daripada kayu itu telah 90 peratus musnah,'' jelasnya.
"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.40 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan dengan kerugian kira-kira RM100,000," katanya.

Si alim kena jel


SYDNEY: Seorang lelaki ‘alim’ yang menipu wanita supaya mengadakan hubungan seks dengannya untuk mengelak sihir, dipenjara sekurang-kurangnya 15 tahun, semalam.
Tony Golossian, 63, dianggap sebagai tokoh yang suci di kalangan penduduk Greek di Sydney kerana kononnya mampu berkomunikasi dengan malaikat.

Disember lalu Golossian didapati bersalah atas 24 kesalahan berkaitan rogol ke atas dua wanita dan hakim menetapkan hukuman ke atasnya semalam.

Tertuduh bersama, Arthur Psichogios, 41, diarahkan dipenjara sekurang-kurangnya 12 tahun, manakala isterinya, Frances, 38, dihukum lima tahun kerana menyerang seorang daripada mangsa.

Ketika perbicaraan, tertuduh didakwa memperdaya dua wanita kononnya mereka terkena sihir dan dipaksa mengadakan hubungan seks bagi membebaskannya.

Mangsa diyakinkan bahawa perbuatan itu adalah sebahagian daripada ‘doa’ untuk mengatasi sihir berkenaan.


Hakim berkata, kesan emosi yang dialami kedua-dua mangsa sangat serius.

Katanya, mangsa pertama mengalami kesan dahsyat selama empat setengah tahun, dimanipulasi secara kejam kesan daripada ajaran lelaki terbabit.
Semalam, mahkamah dikawal polis antirusuhan selepas seorang daripada pegawai mengendalikan kes berkenaan diserang saudara seorang daripada defendan. - AFP

Isteri Menteri Perisikan Afrika Selatan edar dadah dipenjara 12 tahun


JOHANNESBURG: Isteri seorang menteri Afrika Selatan, Sheryl Cwele, dipenjara 12 tahun semalam kerana mengedar dadah dengan mengupah seorang remaja perempuan sebagai keldai dadah.
Pernah menjadi pegawai perbandaran kanan bagi KwaZulu-Natal, Sheryl ditahan pihak berkuasa pada Januari tahun lalu hasil siasatan polis selama berbulan-bulan.

Suami Sheryl adalah menteri yang bertanggungjawab dalam isu perisikan Afrika Selatan.

Rakan sekongkol Sheryl, Frank Nabolisa, dari Nigeria turut dipenjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Pietermaritzburg. - AFP

Rela mencuri


PUCHONG: Perbuatan licik seorang lelaki dipercayai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mendalangi sekurang-kurangnya 10 kes jenayah pecah rumah di sekitar Bandar Baru Puchong, di sini, terbongkar apabila ditahan polis awal pagi semalam.
Tangkapan dilakukan kira-kira jam 4 pagi di rumahnya di Bukit Puchong selepas mendapat maklumat orang awam dan risikan dilakukan polis sejak beberapa minggu lalu. Suspek yang berusia 20-an itu dikesan mendalangi kegiatan pecah rumah terutama rumah sejak enam bulan lalu.

Turut dirampas di rumah suspek adalah pelbagai mata wang asing dan beberapa resit kedai pajak gadai yang menggunakan nama wanita dipercayai isterinya berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata modus operandi suspek adalah dengan mengumpil bumbung sebelum memasuki rumah mangsa melalui bilik air.

“Dalam kejadian terbaru, Rabu lalu, suspek dikesan memecah masuk sebuah rumah di Taman Wawasan dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai berjumlah RM6,000,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes jenayah pecah rumah di kawasan berkenaan sepanjang enam bulan lalu.


Menurutnya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Selain itu, polis juga akan menahan isteri suspek bagi membantu siasatan selain menyiasat kad perakuan anggota Rela yang ditemui di rumah suspek,” katanya.

Sindiket upah penunggang


JOHOR BAHRU: Taktik sebuah sindiket merekrut penunggang motosikal yang bekerja di Singapura sebagai pembawa dadah upahan bagi menyeludup masuk bekalan itu pada waktu puncak terbongkar apabila polis menahan tujuh orang serta merampas lebih 4.8 kilogram heroin bernilai RM1.1 juta, kelmarin.
Taktik berkenaan dipercayai bagi memudahkan mereka menyeludup masuk ke seberang tambak, berikutan ribuan motosikal yang melalui laluan sama untuk ke tempat kerja di republik berkenaan. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata gerakan mengesan sindiket penyeludupan dadah itu dijalankan sejak setahun lalu selepas pihaknya menerima maklumat daripada Central Narcotics Bureau Singapore yang mengesan beberapa penunggang menyeludup dadah masuk ke negara itu.

Menurutnya, hasil maklumat berkenaan, siasatan terperinci dilakukan bagi melumpuhkan rangkaian sindiket sebelum serbuan dilakukan.

Katanya, hasil siasatan pihaknya mendapati penunggang motosikal yang diupah sindiket berkenaan menyeberang Tambak Johor menerusi Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar di sini, pada awal pagi ketika ribuan penunggang lain bergegas ke tempat kerja.

“Selepas berpuas hati dengan hasil intipan, polis Johor dengan bantuan Bukit Aman melancarkan empat serbuan terhadap sasaran dikenal pasti di Bukit Chagar, Nusajaya, Taman Tun Aminah dan Kluang kira-kira jam 3 petang semalam dan menahan seorang wanita serta enam lelaki tempatan berusia 22 hingga 58 tahun.

“Selain itu, kami menyita enam kenderaan iaitu Toyota Altis, Volvo, Toyota Vios, Perodua Kancil, Viva serta Hyundai.


“Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM1,078 serta 4.804 kilogram dadah disyaki heroin dipercayai hendak diseludup ke negara jiran melalui Tambak Johor,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini, semalam.

Beliau berkata, semua suspek direman seminggu sehingga 12 Mei.

Minta bicara


PETALING JAYA: Seramai 28 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri, termasuk besi rel dan kayu landasan bernilai lebih RM700,000, Mac lalu.
Semua tertuduh berusia antara 23 hingga 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah, dihadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan, semua lelaki berkenaan melakukan perbuatan curi antara Mac hingga 1 Mei di sebuah stesen kereta api lama, Lapangan Terbang Subang, di sini.

Mereka didakwa mencuri 2,000 meter rel, 350 kayu landasan, 7,812 skru jenis Nabla, empat nos switch sesimpang, tiga nos buffer stop, 394 alat sambungan rel fish plate dan 1,576 nos fish bolt yang kesemuanya bernilai RM734, 802.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Zahrah Ramli mencadangkan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin terhadap setiap tertuduh dengan alasan kes serius.


Bagaimanapun, semua peguam bela yang masing-masing mewakili semua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan dengan pelbagai alasan, termasuk tidak berkemampuan.

Majistret Nor Afidah Idris membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 14 Jun depan.
Akhbar Rabu lalu melaporkan sekumpulan 26 lelaki yang sibuk memotong besi rel dan kayu landasan kereta api di stesen kereta api lama berkenaan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang terkedu apabila diserbu sepasukan polis, petang Ahad lalu.

Mereka terdiri daripada tujuh warga tempatan, empat warga Bangladesh dan 15 warga India berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Jeriji kena kerat


IPOH: Bilangan pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir, yang menjadi mangsa rakus penjenayah tempatan terus meningkat apabila dalam kejadian terbaru semalam, sekumpulan pelajar Selangor turut dirompak dua lelaki Arab yang memecah masuk rumah sewa mereka.
Kejadian ketika mangsa yang tinggal di kawasan Suq Sayyarat, Kaherah, sedang lena tidur bersama rakan lain tanpa menyedari rumah mereka menjadi sasaran dua penjenayah.

Sumber Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, suspek didapati memotong besi jeriji pada tingkap rumah sewa mangsa.

“Suspek kemudian menyusup masuk ke dalam rumah sewa pelajar Selangor itu sebelum menggeledah rumah berkenaan tanpa disedari penghuninya.

“Salah seorang mangsa hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 4 pagi ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh. Mangsa yang melalui ruangan dapur mendapati pencuri sedang tergesa-gesa keluar melalui tingkap dapur yang dipotong,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berada dalam keadaan panik terus memberitahu rakannya dalam usaha untuk menangkap pencuri berkenaan. “Malangnya pencuri itu sempat melarikan diri bersama dua komputer riba, satu telefon bimbit dan wang tunai kira-kira LE1500 (RM750) milik mangsa,” katanya.

Penjenayah mati jatuh flat


GEORGETOWN: Cubaan seorang lelaki warga asing memecah masuk sebuah kediaman penduduk melalui anjung rumah bertukar tragedi apabila dia ditemui mati dipercayai terjatuh ketika melarikan diri dalam kejadian di Blok E, Flat Padang Tembak di Air Itam, di sini, semalam.
Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Vijay Kumar Yadar Amir, 40-an berasal dari Nepal dan juga seorang pekerja kontrak membuat paip ditemui tukang cuci ketika mahu membuka pintu tempat pembuangan sampah yang berada di tingkat bawah flat berkenaan.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Chan berkata, kejadian pada jam 9 malam kelmarin apabila suspek cuba memasuki sebuah rumah milik seorang warga emas di tingkat 11 flat itu.

Menurutnya, lelaki berkenaan dikatakan memasuki rumah berkenaan melalui anjung sebuah rumah tanpa penghuni, tetapi perbuatannya itu disedari penduduk.

Katanya, penduduk flet menjerit menyebabkannya terkejut sekali gus panik apabila kegiatannya dikesan sebelum melarikan diri.

“Lelaki berkenaan gagal dikesan sebelum penduduk dikejutkan dengan penemuan mayatnya yang ditemui mengalami pendarahan teruk di dalam lubang pembuangan sampah itu.


“Semua penduduk terkejut dengan penemuan mayat suspek dan tidak menyangka kejadian itu akan berakhir dengan kejadian yang amat mengerikan ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kematian suspek sebagai mati mengejut (SDR).
Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan polis dan sedang menunggu laporan bedah siasat berhubung kecederaan yang dialami mangsa.

Tergamak halau emak guna duit arwah bapa


KUALA LUMPUR: Ketika ramai anak memikirkan hadiah sesuai untuk diberikan kepada ibu masing-masing sempena Hari Ibu, Ahad ini, seorang wanita pula ‘berendam’ dengan air mata selepas dihalau anak tunggal yang berang kerana ibu terbabit dikatakan menggunakan wang di dalam akaun arwah bapa tanpa pengetahuannya.
Dalam kejadian yang berlaku pertengahan bulan lalu, wanita malang berusia 61 tahun itu terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk perbelanjaan seharian dan perubatannya akibat anak lelaki tunggalnya yang berusia lingkungan 30 tahun tidak lagi mempedulikannya sejak bapa meninggal dunia pada Oktober lalu akibat serangan jantung.

Penasihat agensi perunding harta pusaka Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd, Ariffin Sabirin (gambar) berkata, berikutan pengeluaran yang dibuat warga emas itu anaknya tergamak menghalau wanita itu dari rumahnya di Shah Alam kerana berpendapat duit akaun itu wang pusaka dan dia sebagai anak lelaki tunggal mempunyai bahagian paling banyak.

Katanya, anak terbabit menuduh ibunya memakan duit haram, malah akibat marah mereka sering bertengkar dan keadaan menjadi lebih buruk apabila isteri si anak masuk campur serta menyebelahi suaminya.

Berikutan itu katanya, akibat terlalu marah, anak menghalau ibu keluar dari rumahnya April lalu dan walaupun ibu enggan tapi terpaksa mengalah kerana rumah terbabit dipindah milik nama anak pada 2008. Ariffin berkata, sehingga kini, kes pusaka itu belum boleh dimulakan kerana banyak dokumen peribadi milik arwah suami wanita itu berada di rumah berkenaan manakala anak enggan bekerjasama dengan ibunya malah melarang wanita itu memasuki kediamannya.

“Hari ini ibu malang itu terpaksa menumpang di rumah adiknya. Kes ini bermula semasa hidup, bapanya membeli sebuah rumah banglo di Shah Alam dan memindah milik rumah itu dari namanya kepada nama anak lelaki pada 2008 atas dasar kasih sayang. “Ketika pindah milik dibuat, perjanjian lisan antara mereka ialah anak akan menjaga kebajikan dan memelihara ibunya sekiranya dia meninggal dunia. “Bagaimanapun selepas bapa meninggal dunia Oktober lalu, anak mula mengabaikan ibu dan meninggalkannya dengan pembantu rumah ketika dia bersama isteri bercuti, malah tidak mempedulikan ibunya walaupun sakit menyebabkan wanita itu terpaksa guna wang dari akaun bersama dengan arwah suaminya untuk perbelanjaan seharian dan perubatannya sebelum dihalau,” katanya.

Anak ugut bunuh ibu guna SMS


GOMBAK: Seorang ibu kini berada dalam ketakutan apabila anak lelakinya mengugut untuk membunuhnya dan ahli keluarga lain jika tidak memberi wang kepadanya.
Dalam kejadian di Bandar Baru Selayang, di sini kelmarin, ibu malang berusia 55 tahun itu diugut anaknya yang berusia 24 tahun supaya memberi wang RM5,000 kepadanya.

Permintaan itu ditunaikan ibu berkenaan, namun anak nya itu bagaikan tidak mengenang budi apabila meminta wang tambahan sebanyak RM500 lagi.

Menurut sumber polis, walaupun diberikan wang, anak lelaki mangsa masih lagi mengganggu hidup ibunya itu dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan menyebabkan mangsa kini berada dalam ketakutan.

“Anak lelaki mangsa meminta wang RM100,000 dengan mengugut mahu membunuh mangsa, bekas suami mangsa yang juga ayah kepada suspek serta tiga ahli keluarga lain jika permintaan tidak ditunaikan,” katanya di sini, semalam.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang, untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan itu.

Drebar didakwa


SELAYANG: Seorang pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melarikan dengan niat mengurung seorang penganggur yang 10 jari tangannya ditemui dalam bungkusan plastik berhampiran stesen komuter, bulan lalu.
M Murugan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Hafizah Kamaludin.

Mengikut pertuduhan Murugan didakwa melarikan K Munispara, 29, dengan niat mengurung mangsa di Jalan Besar, Batu 16, Rawang di sini pada jam 12 tengah malam, 24 April 2011.

Bagi kesalahan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh didenda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ching Kian Chun mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan mengambil kira kesalahan serius.

Bagaimanapun, peguam K Theivaendran memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh hanya berkerja sebagai seorang pemandu teksi dan mempunyai tiga orang anak.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Nurul Hafizah menetapkan 3 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Ibu, dua anak dibelasah amah berang


JOHOR BAHRU: Bukan sekadar memukul dua anak majikan berusia dua tahun dan dua bulan, seorang pembantu rumah warga Indonesia juga membelasah majikan perempuannya apabila wanita tempatan itu menegur perbuatannya, baru-baru ini.
Majikannya, Noorul Huda, 27, dikatakan menegur pembantu rumahnya itu, Evi Evrida, 42, apabila melihat wanita berkenaan memberikan dua anaknya makan bubur nasi basi dan berikutan itu, mangsa memarahi Evi sebelum warga Indonesia itu memukul majikannya.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang tinggal di sini, tetapi bekerja sebagai penasihat akaun di Singapura serta suaminya, Hanafie Mamat, 32, mengambil keputusan ingin menukarkan pembantunya itu dengan pekerja baru.

“Selepas kejadian, saya menghubungi ejen memberitahu apa yang berlaku dan mereka berjanji memulangkan RM5,000 serta potongan lima bulan gaji pembantu kami sebanyak RM550 sebulan.

“Kami memulangkan pembantu rumah berkenaan dan menunggu lima bulan sebelum menuntut janji itu, namun ejen terbabit enggan memulangkan deposit RM5,000 serta berdolak dalih mengatakan Evi melarikan diri,” katanya ketika perbicaraan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam.

Menurutnya, dia mendapatkan khidmat agensi berkenaan menerusi Internet yang tertera syarat bayaran deposit RM8,500 dan gaji RM550 sebulan, tetapi diberikan diskaun dan hanya perlu membayar RM5,000.

‘Kamu mati hidup semula’



TERTUDUH...Chong diiringi penguamnya, Datuk Dr Naran Singh selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
TERTUDUH...Chong diiringi penguamnya, Datuk Dr Naran Singh selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: “Saya anggap (kamu) seperti mati hidup semula,” kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohtarudin Baki selepas menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan 10 sebatan terhadap penternak ikan yang mengaku salah atas pertuduhan pilihan memiliki 857 gram (g) ganja di Petaling Jaya, dekat sini, tiga tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman terhadap tertuduh, Chong Kok Wai, 26, yang pernah mengikuti diploma dalam bidang kejuruteraan di sebuah kolej di ibu kota itu berjalan mulai tarikh tangkap iaitu pada 20 Julai 2008. Mohtarudin dalam penghakimannya berkata, tertuduh bernasib baik ditawarkan pertuduhan pilihan itu.

Selain itu, katanya, mahkamah turut mengambil kira beberapa faktor dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh termasuk sokongan keluarganya yang tidak pernah gagal hadir sepanjang perbicaraan kes itu.
“Saya harap kamu dapat memperbaiki diri kamu supaya menjadi orang berguna,” katanya.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, Chong didakwa memiliki dadah berbahaya itu di kawasan berhampiran Restoran McDonald’s, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 11.30 malam, 19 Julai 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu bernasib baik kerana sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia menukar pengakuannya selepas ditawarkan pertuduhan pilihan di akhir kes pembelaan.
Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan
myMetro

Gadis acu pisau

myMetro

TANAH MERAH: Seorang gadis berusia 22 tahun berlagak samseng apabila mengacukan pisau kepada sepasukan anggota Skuad Amru, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Tanah Merah ketika cuba ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan kekasihnya di Jalan Jedok, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, gadis terbabit mengamuk apabila menjatuhkan beberapa barangan di dalam rumahnya termasuk peti sejuk sebaik dimaklumkan akan ditahan.
Lebih mengejutkan, gadis yang baru menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi itu turut menendang kekasihnya berusia 24 tahun sehingga tersembam ketika dipujuk supaya meletakkan pisau yang dipegangnya.

Difahamkan, gadis itu bertindak demikian bagi mengelak ditahan selain tidak mahu kegiatan maksiatnya diketahui keluarga serta jiran kerana ketika serbuan, dia dipercayai tinggal seorang diri di rumah selepas ibu bapanya ke Kuala Lumpur dan ketiadaan keluarga memberi peluang kepadanya membawa kekasih dari Kota Bharu masuk ke rumah.


Menurut sumber, pejabat JHEAIK Tanah Merah menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 11 malam memaklumkan ada kegiatan maksiat di rumah di Jalan Jeduk, di sini, sebelum empat anggota Skuad Amru melakukan serbuan."

Guru yoga culik mangsa rogol selepas keluar penjara

myMetro

KUALA LUMPUR: Seorang guru yoga yang kini dibicarakan di mahkamah atas tuduhan merogol dua gadis yang juga bekas pelajarnya sanggup menculik dua gadis itu sebaik dibebaskan sebelum membuat satu rakaman video dengan memaksa mereka membuat pengakuan kononnya dia tidak bersalah.

Difahamkan, guru yoga berusia 55 tahun bertindak menculik dua remaja itu berikutan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya.


Sumber polis berkata, guru yoga itu baru dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh selepas tiga bulan meringkuk dalam penjara sebelum bertindak mencari semula bekas pelajarnya itu.

“Sebaik dibebaskan, suspek memandu kereta dan menunggu mangsa di kawasan berhampiran sekolah mangsa di Batang Kali.


“Sebaik melihat mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun berjalan pulang ke rumah, suspek dengan segera bertindak memaksa mereka masuk ke dalam keretanya dan mengugut akan mencederakan keluarga mangsa jika enggan mengikut arahannya,” katanya.


Sumber berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke rumah suspek di Batu Caves. Sebelum ini, mangsa pernah dikurung di rumah sama."

Suri rumah kena penjara 8 tahun seterika amah





2011/05/07

POONGAVANAM dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam.
POONGAVANAM dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam.
GEORGETOWN: Seorang suri rumah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah mencederakan amah warga Indonesia dengan seterika panas, tahun lalu. 

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membuat keputusan itu atas SM Poongavanam, 36, selepas peguam bela tertuduh, S Yagoo, gagal menimbulkan keraguan terhadap pendakwaan itu.
Poongavanam dituduh mencederakan Win Faidaa, 26, di rumahnya di Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong, pada 1 hingga 13 September tahun lalu.
Laporan media sebelum ini menyatakan Win Faidaa melecur di dada akibat terkena seterika panas, disiram air panas di bahagian belakang, dipukul di kepala dan tidak dibayar gaji. 

Dia ditemui dalam keadaan lemah di kawasan ladang di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, selepas ditinggalkan oleh majikannya tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. 

Poongavanam yang tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan dibacakan, didapati bersalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun bersama denda atau sebatan. 

Dalam hujah pembelaan, Yagoo berkata, tertuduh yang mempunyai empat anak berusia enam tahun hingga 16 tahun, bertindak demikian kerana emosional dengan mangsa yang cuba menggoda suaminya. 
“Tertuduh langsung tidak berniat mencederakan amah dan amah itu juga pernah membuat pengakuan ketika disoal siasat polis bahawa tertuduh sentiasa memberikan layanan baik,” katanya. 

Timbalan pendakwa raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya berikutan trauma dan kecederaan mangsa. 

“Mangsa datang ke Malaysia dengan satu tujuan murni, iaitu mencari rezeki yang halal tetapi ia musnah apabila mangsa dilayan secara tidak berperikemanusiaan dan diperlakukan seperti haiwan oleh tertuduh. 

“Justeru, saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya disebabkan kes ini sudah menjadi perhatian umum dan dapat dijadikan pengajaran kepada orang ramai,” katanya. 

Sementara itu, Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata pihak pendakwa raya berjaya menyampaikan hujah dan menggambarkan kejadian itu dengan baik. 

Katanya, kes itu menjadi kes perbicaraan berprofil tinggi dan mendapat perhatian kebanyakan rakyat Indonesia, termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. 

Pelajar Tahfiz dagang orang



Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/05/07

KAMAL HELMI (kiri) bersama anggota memeriksa 24 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand di  Bukit Kayu Hitam, pagi semalam.
KAMAL HELMI (kiri) bersama anggota memeriksa 24 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, pagi semalam.
Sindiket bayar remaja RM2,000 

BUKIT KAYU HITAM: Usianya hanya 15 tahun dan bergelar pelajar sebuah Maahad Tahfiz, tetapi realiti kehidupannya pula sebaliknya apabila tergamak menjadi tekong darat upahan sindiket pemerdagangan manusia bagi menyeludup masuk pendatang asing ke negara ini.
Malah, difahamkan remaja lelaki itu menerima bayaran upah lumayan antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap aktivitinya itu.
Perbuatannya terbongkar selepas ditahan sepasukan anggota tentera Batalion 4 Rejimen Sempadan ketika cuba membawa masuk 24 pendatang tanpa izin warga Myanmar di sempadan Malaysia-Thailand di sini, jam 4 pagi semalam. 

Mereka ditahan kira-kira 500 meter dari pagar sempadan negara ini di ladang kelapa sawit ketika menyusuri parit besar selepas merangkak seorang demi seorang di bawah pagar berduri itu sebelum berjalan kaki mencari jalan keluar dalam keadaan gelap. 

Remaja itu dipercayai diupah sindiket pemerdagangan manusia dari negara ini untuk membawa masuk semua pendatang tanpa izin terbabit yang merangkumi tiga wanita, 19 lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. 

Difahamkan, remaja itu masuk ke Thailand seorang diri sehari sebelum ditahan dengan menggunakan pasport miliknya sebelum menjemput semua pendatang di negara jiran untuk dibawa masuk ke negara ini secara haram. 
Pemangku Pegawai Memerintah Batalion 4 Rejimen Sempadan, Mejar Kamal Helmi Majid, berkata tangkapan pertama dilakukan selepas enam anggotanya diketuai Koperal Suhaimi Othman membuat rondaan di sekitar kawasan itu dan mengesan sesuatu yang mencurigakan. 

Katanya, sebaik menghampiri kawasan itu, anggotanya ternampak sekumpulan 22 orang dipercayai pendatang tanpa izin, termasuk remaja lelaki rakyat tempatan itu berjalan kaki dipercayai sedang mencari jalan keluar dan menuju ke jalan besar. 

“Hasil siasatan mendapati ada lagi pendatang tanpa izin yang cuba memasuki negara ini. Kami kemudian menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 19 tahun yang terpinga-pinga tidak tahu arah untuk keluar selepas berjaya membolosi pagar sempadan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Kamal Helmi berkata, pihaknya percaya remaja lelaki itu mungkin diupah dengan bayaran lumayan bagi melakukan perbuatan itu memandangkan ini kali kedua melakukan kegiatan itu. 

Katanya, pihaknya sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam bagi memaklumkan penahanan pendatang tanpa izin itu dan menyerahkan mereka kepada pihak berkenaan bagi tindakan lanjut. 

“Kita akan terus mengadakan kawalan ketat, walaupun akan menyerahkan tugas ini kepada kumpulan lain mengawal di sempadan tidak lama lagi,” katanya. 

Mati selepas beri bantuan CPR



ISTERI Zulkifly, Norhayati Ahmad mencium jenazah suaminya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Kemang, Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak yang hampir lemas ketika mandi di pantai di sini tidak kesampaian apabila dia mati secara mengejut. Mangsa, Zulkifly Hamzah, 42, tiba-tiba pengsan semasa memberi bantuan pernafasan resutasi pulmonari-kardio (CPR) kepada kanak-kanak tersebut sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson. Ibu mangsa, Nyapon Jantan, 63, berkata, semasa kejadian, dia bersama anaknya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu sedang duduk di gerai miliknya di tepi pantai Teluk Kemang di sini.
Ujarnya, mereka kemudian ternampak tiga kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang yang mandi di pantai berkenaan meminta tolong kerana dihanyut ombak. Ujarnya, beberapa pengunjung di kawasan itu telah terjun ke laut untuk menyelamatkan tiga kanak-kanak tersebut dan membawa mereka naik ke tepi pantai. “Apabila melihat ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak sedarkan diri, Zulkifly memberi bantuan pernafasan kepada salah seorang daripada mereka. “Malangnya, sebaik sahaja kanak-kanak itu sedarkan diri, arwah pula rebah,” katanya di sini semalam.
Sepupu arwah, Badiozaman Abu, 43, berkata, walaupun sedih dengan kematian mangsa, dia bangga kerana mereka berdua dapat menyelamatkan tiga kanak-kanak tersebut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, mayat bapa kepada tiga anak itu telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan semalam.