Search This Blog

Thursday, May 5, 2011

Siasatan pembunuhan Ratna Sufizzah selesai


SUNGAI PETANI: Polis selesai menjalankan siasatan kes pembunuhan Ratna Sufizzah Riyyanti Omar, 23, di Alor Setar, Isnin lalu dan kes itu akan dibawa ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat. 


Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan suspek yang berusia dalam lingkungan 50an, menikam mangsa kerana dendam atau putus cinta.
"Kita berpuas hati dengan proses siasatan yang dijalankan dan kes pembunuhan gadis berkenaan sudah selesai. Selepas ini Timbalan Pendakwa Raya akan membuat keputusan dan suspek yang ditahan reman selama seminggu akan dituduh tidak lama lagi," katanya selepas menutup perkhemahan dan sambutan Hari Kor Kadet Polis peringkat negeri di Markas Latihan Luar Pasukan Gerakan Am Tupah, Merbok, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian sekitar 11 malam Isnin lalu, Ratna Sufizzah Riyyanti, yang bekerja di sebuah kilang di Gurun, mati akibat ditikam beberapa kali di dada, perut dan tangan di sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Stadium di Alor Setar. - BERNAMA 

5 MEI 2011: Pasukan pencari dan penyelamat bertungkus-lumus mencari seorang lagi kanak-kanak mangsa lemas




7 nelayan Malaysia dihukum penjara di Bengkalis


PONTIAN 5 Mei – Mahkamah di Bengkalis, Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap tujuh nelayan Pontian yang didakwa menceroboh perairan Indonesia pada 8 Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai hukuman tersebut oleh para pegawainya yang mengikuti perbicaraan itu.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, selain dijatuhi hukuman penjara, kedua-dua bot tunda nelayan itu turut dirampas serta diarah membayar sebanyak RM350 atau Rupiah 1 juta dan jika gagal menjelaskan denda tersebut, mereka boleh dipenjara tiga bulan.
“Rayuan boleh dibuat sebelum 11 Mei dan mereka telah membuat rayuan selepas hukuman dijatuhkan. Mereka akan dibantu oleh pihak konsul kita di sana yang akan mengemukakan dokumen sokongan.
“Kita berharap dokumen sokongan itu kelak akan menyokong rayuan yang akan dikemukakan kepada pihak mahkamah,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Kumpulan nelayan itu ialah tekong bot JHF7281D, Ibrahim Mohd. Kassim bersama awak-awaknya, Redzuan Ariss, 35, Mohamad Zamri Hamzah, 26, dan Subani Samsudin, 40, yang juga warga Indonesia.
Tiga lagi nelayan terlibat ialah tekong Zainudin Hamzah, 53, dan Rosli Abd Rashid, 34, serta Jamil Mat Top, 53, yang ditahan ketika berada di dalam bot tunda JHF6963B. - Utusan

Mayat ketua menteri wilayah timur laut India ditemui





2011/05/05

NEW DELHI: Kerajaan India berkata mayat ketua menteri di wilayah timur laut negara itu, Dorjee Khandu, sudah ditemui daripada bangkai helikopter yang terhempas di kawasan hutan berbukit Himalaya. 

Menteri Dalam Negeri, Palaniappan Chidambaram, berkata mayat Dorjee, pegawai yang dipilih rakyat Arunachal Pradesh, sudah dibawa ke ibu kota, Itanagar. - AP

Dibunuh tunang cemburu


PERAI: “Arwah pernah cerita mengenai tunangnya yang kuat cemburu dan panas baran serta cermin keretanya pernah dipecahkan suspek.
“Dia juga pernah beritahu lelaki itu ada hantar surat kepadanya sebelum ini yang menyatakan rasa puas hati terhadapnya,” kata Aishah Mohamad, 52, ibu angkat, Karimah Jusoh, 25, yang mati ditikam seorang lelaki dipercayai tunangnya sendiri di sebuah bilik persalinan di sebuah stesen minyak di Jalan Perusahaan Perai, di sini, pagi semalam.

Aishah turut mengakui tingkah laku anak angkatnya agak pelik sejak malam kelmarin, termasuk menyuap makanan kepadanya dan bersalaman serta memeluknya sebelum tidur.

“Pagi tadi (semalam) juga, arwah memeluk saya berkali-kali sebelum menaiki kereta untuk ke tempat kerjanya,” katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan sekerja anak angkatnya itu. Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pekerja stesen minyak berkenaan dikatakan tiba di tempat kerjanya itu sebelum masuk ke bilik persalinan itu kira-kira jam 6.30 pagi, diikuti seorang lelaki dipercayai tunangnya tidak lama kemudian.

Kira-kira sejam kemudian, lelaki berkenaan dilihat keluar dari bilik itu dan terus beredar dari stesen minyak itu.

Menyedari mangsa tidak melaporkan diri untuk bekerja kira-kira jam 8 pagi, rakan sekerjanya ke bilik berkenaan sebelum menemuinya dalam keadaan berlumuran darah lalu menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu. Mangsa juga seorang ibu tunggal selepas bercerai kira-kira setahun lalu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun dikatakan bertunang dengan lelaki itu beberapa bulan lalu.


Kedua-dua anak mangsa kini dijaga keluarganya di Chuping, Perlis dan dia menetap bersama ibu angkatnya di Bertam, dekat sini, sejak tiga tahun lalu. Kakak mangsa, Saleha Jusoh, 30, berkata adiknya itu ada menghubunginya Isnin lalu bagi bertanyakan keadaan anaknya yang demam.

Menurutnya, dia tidak sangka perbualan itu adalah kali terakhir antara mereka sebelum dikejutkan dengan berita pembunuhannya itu.
“Tergamak orang buat begitu kepadanya, adik saya bukannya jenis orang yang bermasalah kerana dia seorang yang pendiam, peramah dan manja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian apabila ditikam di dada dan perut beberapa kali.

Menurutnya, siasatan juga menemui sebilah pisau sepanjang kira-kira 0.3 meter di tempat kejadian dipercayai digunakan untuk menikamnya.

Katanya, suspek dikenal pasti adalah tunang mangsa sendiri berusia 35 tahun yang bekerja di sebuah kilang dan beralamat di Mengkuang Mak Sulong, Bukit Mertajam.

“Kami (polis) ada menerima panggilan dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) kira-kira 11.30 pagi ini (semalam) memaklumkan suspek sedang menerima rawatan di hospital selepas dipercayai meminum racun.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat,” katanya.

Tersuluh jasad anak saudara


SEBAK...Wan Azleela tidak dapat menahan sedih ketika melihat jenazah dua anaknya.

SEBAK...Wan Azleela tidak dapat menahan sedih ketika melihat jenazah dua anaknya.

KUALA PILAH: “Hati ini bagaikan mahu gugur apabila mendapati objek seperti manusia yang tersangkut pada terowong itu tubuh anak saudara,” kata Abdul Azam Wahab, 23, yang menemui mayat seorang daripada tiga beradik dihanyutkan arus deras kelmarin, ketika mandi di Hutan Lipur Ulu Bendol, di sini.
Semalam, mayat Nursyaza Alisa Said Ahmad, 5, ditemui pada jam 3.15 pagi manakala mayat adiknya, Nursyaza Azera, 4, ditemui pada jam 10.20 pagi. 
   
  • FotoLEMAS...anggota bomba membawa jenazah Nursyaza Azera yang lemas di Sungai Ulu Bendol, semalam.
  • FotoUSUNG...bapa saudara mangsa, Wan Aziz Wan Abdullah mengusung jenazah Nursyaza Azera.
  • FotoTINGGAL KENANGAN...gambar Nursyaza Alisa (kanan), Norshaza Azera (kiri) dan Nur Sakinah (tengah) tidur bersama sebelum kejadian.
Mayat Nursyaza Alisa dijumpai Abdul Azam kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian manakala Azira ditemui pasukan mencari dan menyelamat berdekatan Sekolah Kebangsaan Ulu Bendol, di sini.

Bagaimanapun, mayat Shakinah belum ditemui sehingga petang semalam dan operasi mencari masih diteruskan.

Menurut Abdul Azam yang baru melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu, walaupun operasi secara rasmi dihentikan kira-kira jam 10.20 malam kelmarin, namun saudara-mara mangsa mengambil keputusan untuk terus mencari.

Ketua seludup dadah ditahan

MANILA: Seorang warga Nigeria yang dituduh mengetuai sindiket menyeludup dadah dengan menggunakan khidmat keldai dadah rakyat Asia, ditahan di Manila bersama-sama setengah kilogram kokain.
Samuel Egbo, 34, dan rakan wanitanya warga Korea Selatan ditangkap semalam apabila mereka bertemu dengan pegawai Agensi Penguatkuasa Dadah Filipina yang menyamar sebagai pembeli di sebuah restoran McDonald di Manila.

“Dia adalah antara penyelaras utama sindiket itu di rantau Asia Pasifik. Dia yang menemui keldai dadah dan mengatur penginapan mereka,” kata ejen agensi itu, Jonathan Morales.

Egbo berhasrat menjual dadah itu kepada ‘pembeli’ terbabit dengan harga 2.5 juta peso (RM174,000).

Menurut Morales, lelaki Nigeria itu ialah sebahagian daripada anggota kumpulan yang dikenali sebagai Sindiket Dadah Afrika Barat yang dianggotai rakyat negara itu dan berpangkalan di Filipina, China, Singapura, Malaysia dan Australia.

Mereka mengupah rakyat Asia untuk bertindak sebagai keldai dadah dengan bayaran hingga RM9,000 setiap kali mereka membawa dadah dari sebuah negara ke negara lain, kata Morales.


Beliau berkata, Egbo dan sindiketnya mengupah sekurang-kurangnya seorang daripada tiga warga Filipina yang menjalani hukuman mati di China Mac lalu selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba menyeludup heroin ke negara itu pada 2008.

Kes itu meningkatkan pengawasan terhadap penggunaan rakyat Filipina sebagai keldai dadah secara meluas menyebabkan sindiket itu berusaha mencari mangsa dari negara lain.
Menurut Morales, beliau mengesyaki wanita Korea Selatan yang berusia 22 tahun yang dirujuk lelaki itu sebagai ‘teman wanitanya’ juga menjadi keldai dadah sindiket berkenaan.

Jika sabit kesalahan atas pelbagai tuduhan, Egbo dan wanita itu berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup. - AFP

‘Orang surau’ dibunuh kejam


SERIUS...Narenasegaran bercakap dengan sanak saudara mangsa di pekarangan rumah mangsa, semalam.

SERIUS...Narenasegaran bercakap dengan sanak saudara mangsa di pekarangan rumah mangsa, semalam.

BENTONG: Sepasang warga emas mati dibunuh secara kejam apabila suami ditemui berlumuran darah berhampiran tandas rumahnya dengan kesan tikaman di perut dan dada manakala isterinya terlentang di tepi katil dalam keadaan leher dikelar.
Mayat Mohammad Yusof@Abdul Rashid Samah, 71, dan Timah@Fatimah Pachu, 68, ditemui di rumah mereka di Kampung Gementi, di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam oleh jiran yang kemudian membuat laporan polis. Terdahulu jiran terbabit terdengar jeritan dan pergelutan di rumah mangsa.
Ketika kejadian, hanya pasangan warga emas itu berada dalam rumah kerana empat anak mereka tinggal berasingan, termasuk di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisisoner T Narenasegaran, berkata sejurus polis tiba di tempat kejadian, mayat kedua-dua mangsa ditemui berasingan di bilik tidur tingkat atas rumah dua tingkat milik mereka.

Menurutnya, polis percaya pembunuhan pasangan itu bukan bermotifkan samun kerana barangan berharga mangsa tidak dicuri.

‘Tragedi paling perit buat kami’


KUALA PILAH: “Menyedari hujan renyai di kawasan itu, saya segera mengajak anak-anak naik untuk pulang namun mereka enggan kerana masih tidak puas mandi.
“Sebagai ayah, saya tidak sampai hati menghampakan permintaan mereka, tetapi ia menjadi tragedi paling memeritkan dalam hidup,” kata Said Ahmad Ibrahim, 28, bapa kepada tiga beradik perempuan yang lemas di Hutan Lipur Ulu Bendol di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, perkelahan empat sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak perempuan berusia antara dua hingga lima tahun bersama seorang wanita, bertukar tragedi apabila semua kanak-kanak berkenaan lemas dihanyutkan arus deras di hutan lipur terbabit.

Said berkata, dia yang membawa ketiga-tiga anak kesayangannya iaitu Nursyaza Alisa, 5, Nursyaza Azera, 4, dan Nursyaza Sakinah, 2, tiba di kawasan berkenaan untuk berkelah kira-kira jam 4 petang.

“Ketika asyik mandi, saya melihat cuaca berubah dan hujan turun dan mengarahkan semua anak segera naik.

“Mereka bagaimanapun enggan dan memberitahu mahu mandi sekejap saja lagi. Saya terpaksa mengikut kehendak mereka dan masuk semula ke dalam air bagi mengawal Alisa serta Azera.


“Namun tidak sampai lima minit, saya tersentak apabila mendapati arus terlalu besar dan deras datang tiba-tiba menyebabkan kami dihanyutkan,” katanya yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Pilah di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba yang meluangkan masa menziarah mangsa.
Menurut Said, dia cuba menyelamatkan anak-anaknya namun gagal kerana arus terlalu deras.

“Saya hanya menyedari sudah tersangkut pada kayu di kawasan itu sebelum dibawa naik ke tebing oleh orang ramai manakala ketiga-tiga anak hilang dihanyutkan arus,” katanya yang cedera di kaki.

Sementara itu, ibu mangsa, Wan Azleela Wan Abdullah, 33, ketika ditemui di rumah kakaknya di Taman Desa Ixora, Senawang di sini, berkata, kali terakhir dia menemui ketiga-tiga anaknya selepas menghantar mereka ke rumah ibu mentuanya di sebuah taman perumahan berdekatan, malam Ahad lalu.

“Saya yang mahu pergi bekerja di sebuah pusat beli-belah berhampiran, memberitahu mereka saya akan kembali semula pagi semalam (kelmarin) dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian lemas berkenaan.

“Hanya Tuhan mengetahui perasaan saya ketika itu yang berasakan dunia ini seolah-olah gelap kerana kehilangan tiga anak sekali gus termasuk tidak sempat menunaikan permintaan anak sulung (Alisa) yang inginkan sebuah basikal,” katanya sebak.

‘Penjara’ OKU


BERSELERAK...kelengkapan makan, minum  dan pakaian penghuni dibiarkan berselerak di atas lantai.
BERSELERAK...kelengkapan makan, minum dan pakaian penghuni dibiarkan berselerak di atas lantai.

IPOH: Sebuah premis dua tingkat di Jalan Lapangan Siber 2, Bandar Siber, Taman Botani ibarat penjara bagi 20 orang kurang upaya (OKU) apabila dibiarkan dalam keadaan tidak terurus dan terbiar.
Premis itu tidak berdaftar sebagai pusat jagaan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun 20 OKU berusia antara 18 hingga 60 tahun ditempatkan di situ.

Nasib malang OKU yang menghuni pusat jagaan haram itu dikesan selepas sepasukan kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta melakukan serbuan pada jam 9 pagi 26 April lalu hasil maklumat orang awam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Chong Phaik Kee berkata, dalam serbuan itu pihaknya menemui penghuni OKU bergelimpangan dalam bangunan yang tidak mempunyai kelengkapan dan peralatan kediaman selesa.

Lebih mengejutkan, OKU berkenaan juga tidak menerima sebarang rawatan dan terapi sepanjang berada dalam premis berkenaan memandangkan tiada sebarang peralatan terapi ditemui di dalam premis itu.

“Malah, kebanyakan mereka mengalami masalah kesihatan termasuk kecacatan akal dan spastik yang memerlukan rawatan rapi, selain kesukaran bergerak.


“Ketika serbuan dilakukan, premis itu dilengkapi 21 tilam, empat tikar, enam kerusi bersandar, dua mesin basuh dan sebuah meja makan serta diuruskan dua penjaga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati premis berkenaan tiada papan tanda dan pada mulanya, cubaan memasukinya gagal kerana penjaga tidak memberi kerjasama menyebabkan pegawainya memanjat menerusi premis sebelah.
“Kami mendapati, 20 OKU itu ditempatkan di tingkat atas dengan beberapa kelengkapan asas seperti tilam dan kerusi bersandar.

“Ketika serbuan, kami menemui dua lelaki dipercayai penjaga pusat jagaan haram itu, masing-masing berusia 35 tahun dan 60 tahun,” katanya.

Chong berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku kerana pusat jagaan tidak sepatutnya beroperasi di kedai dua tingkat itu atas sebab keselamatan dan kecemasan.

Menurutnya, rumah kedai tidak sesuai dijadikan pusat jagaan kerana ia tidak memenuhi spesifikasi keselamatan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Perancangan Bandar, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, tiada sebarang aktiviti pemulihan dan terapi di pusat jagaan haram itu sebaliknya OKU berkenaan terbiar tanpa jagaan sempurna.

“Semua OKU di pusat jagaan haram itu ditempatkan sementara di beberapa pusat jagaan berdaftar di daerah ini, termasuk di Bangunan Persatuan Hock Kean yang lebih lengkap dengan pelbagai kemudahan,” katanya.

Kata Chong, pihaknya menutup pusat jagaan tidak berdaftar itu dan membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat.

“Kami sedang dalam proses menempatkan OKU berkenaan di pusat jagaan berdaftar termasuk di Rumah Kanak-Kanak Cacat Setia dan Yayasan Latihan Insan Istimewa,” katanya.

Dituduh bunuh anak teman wanita


KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tujuh bulan dengan meninggalkannya dalam sebuah kereta.
Hooi War Char, 35, mengangguk tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Dia didakwa membunuh Low Hong Jun, yang merupakan anak kepada teman wanitanya, dalam sebuah kereta di hadapan rumah bernombor 4, Jalan 11 Taman Sri Watan, Ampang, antara 2 pagi dan 12.30 tengah hari 21 April lepas.

Hooi, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Tunang cemburu tikam janda


PERAI: “Arwah pernah cerita mengenai tunangnya yang kuat cemburu dan panas baran serta cermin keretanya pernah dipecahkan suspek.
“Dia juga pernah beritahu lelaki itu ada hantar surat kepadanya sebelum ini yang menyatakan rasa puas hati terhadapnya,” kata Aishah Mohamad, 52, ibu angkat, Karimah Jusoh, 25, yang mati ditikam seorang lelaki dipercayai tunangnya sendiri di sebuah bilik persalinan di sebuah stesen minyak di Jalan Perusahaan Perai, di sini, pagi semalam.
Aishah turut mengakui tingkah laku anak angkatnya agak pelik sejak malam kelmarin, termasuk menyuap makanan kepadanya dan bersalaman serta memeluknya sebelum tidur.

“Pagi tadi (semalam) juga, arwah memeluk saya berkali-kali sebelum menaiki kereta untuk ke tempat kerjanya,” katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan sekerja anak angkatnya itu.


Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pekerja stesen minyak berkenaan dikatakan tiba di tempat kerjanya itu sebelum masuk ke bilik persalinan itu kira-kira jam 6.30 pagi, diikuti seorang lelaki dipercayai tunangnya tidak lama kemudian.

Ibu tiri dera dua anak perempuan


SEGAMAT: “Saya punya sukalah,” itu jawapan diberikan seorang ibu yang didakwa melakukan penderaan fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya di rumahnya di Pekan Labis, di sini, sejak beberapa bulan lalu.
Wanita terbabit didakwa menyucuk dawai panas di pipi, memukul, mencubit dan menendang bahagian sulit dua anak perempuan tirinya itu tanpa belas kasihan.

Akibatnya, seorang daripada mangsa yang berusia sembilan tahun cedera di bahagian alat sulit akibat ditendang.

Tragedi menimpa dua beradik berumur sembilan dan 11 tahun itu disedari bapa saudara mereka, K Muthu, 55, selepas kedua-duanya datang menemuinya dan mengadu didera, 30 April lalu.

Menurut Muthu yang juga seorang kontraktor, anak saudaranya turut mengadu dipukul tiga beradik tiri mereka.

“Saya terkejut apabila kedua-duanya datang menemui saya dan mengadu dipukul serta didera bukan saja oleh ibu tiri, malah tiga beradik tiri yang berumur 13 hingga 19 tahun sejak beberapa bulan lalu.


“Saya yang geram dengan perkara itu berjumpa ibu tiri mereka dan selepas ditanyakan mengapa dia mendera anak saudara saya, wanita terbabit menjawab ‘Saya punya sukalah’,” katanya, semalam.

Bengang dengan kejadian terbabit, Muthu membuat laporan di Balai Polis Labis pada Selasa lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali mengesahkan menerima laporan kes terbabit.

“Belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan kes masih disiasat. Kami juga menunggu laporan perubatan dua kanak-kanak berkenaan,” katanya.

12 keluarga hilang rumah


SHAH ALAM: “Habis semua hangus...mesin jahit yang baru dibeli dengan berhutang untuk memudahkan isteri ambil tempahan jahitan pun lebur,” kata Ahmad Zakri Abdul Halim, 30.
Dia seorang daripada 45 mangsa yang tinggal sehelai sepinggang membabitkan 12 rumah berkembar separuh papan dan batu di Lorong Haji Husin, Batu 7, Jalan Kebun, Seksyen 30, dekat sini, yang hangus dalam kebakaran, malam kelmarin.

Ahmad Zakri bagaimanapun berkata dia bersyukur sebab isterinya, Hasliza Berahim, 29, yang masih dalam pantang bersalin anak kedua, Mia Kaisara dan anak sulung Mohd Haziq berusia dua tahun terselamat tiada di rumah kerana berpantang di kampung di Jengka, Pahang. Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, A Romzi Abu, berkata pasukannya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 9.42 malam dan jentera pertama tiba di tempat kejadian pada jam 10.01 malam. Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.13 malam dan padam sepenuhnya pada jam 11.05 malam. “Kebakaran membabitkan 12 rumah berkembar separuh papan, separuh batu dan sebuah kereta di hadapan satu daripada rumah berkenaan turut terbakar,” katanya. Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan yang ditemui ketika melawat lokasi kejadian semalam berkata, pihaknya mencari rumah sementara mungkin di Pojek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Seksyen 26 atau di Dewan MBSA.

Ketika ini, semua mangsa ditempatkan di Masjid Al-Falah berdekatan kawasan kejadian.

66 kes tipu selesai


RAMPAS...Syed Ismail (tengah) bersama Tun Hisan (dua kiri) melihat barangan yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Syed Ismail (tengah) bersama Tun Hisan (dua kiri) melihat barangan yang dirampas daripada suspek.

SHAH ALAM: Polis Selangor menyelesaikan 66 kes penipuan yang didalangi sindiket ‘fly-by-night’ dengan tertangkapnya tiga anggota sindiket membabitkan rampasan bernilai RM55,000 di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata hasil maklumat orang ramai, polis menahan tiga lelaki tempatan di sebuah tempat di Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, di sini, pada 29 April lalu.

Menurutnya, selepas disoal siasat semua suspek yang berusia antara 30 dan 58 tahun itu membawa polis ke sebuah tempat di Winner Heights, Desa Petaling, Kuala Lumpur, sebelum polis merampas beberapa barangan kes.
“Antara barang yang dirampas termasuk 200 gulung paip, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis, dua komputer riba dan tiga cop syarikat yang keseluruhannya bernilai RM55,000. “Polis juga menemui beberapa dokumen seperti buku cek, sebut harga, invois serta slip bank,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah Syed Ismail berkata, kerugian yang dialami mangsa sindiket terbabit sejak Jun 2009 hingga April lalu ialah RM1.66 juta di seluruh negara.

Taktik sindiket itu, katanya, membuka premis perniagaan menggunakan pendaftaran palsu dan membuat pesanan pembelian barangan elektrik, arak, barangan perabot dan telefon bimbit daripada mangsa.
“Apabila barangan yang dipesan sampai, mereka akan membayar menggunakan cek tarikh tertunda dan menghilangkan diri meninggalkan pembekal yang tertipu dengan cek tendang,” katanya.

Syed Ismail berkata pada tahun lalu 124 kes seumpama itu dilapor di seluruh negara membabitkan kerugian RM7.824 juta dan syarikat yang menggunakan modus operandi ‘fly-by-night’ ini dikesan menjalankan aktiviti mereka di ibu negara, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka. Menurutnya, polis masih menyiasat kes itu bagi mengenal pasti dalang sindiket terbabit.

Ibu dakwa ditipu ‘polis’ untuk bebaskan anak


5 MEI 2011: Mohar Mohamed Ali (kiri) menunjukkan salinan slip kemasukan wang dan laporan polis sementara ibunya, Ranirahmah Ismail menunjukkan gambar dua anaknya yang masih ditahan pihak polis pada sidang media mengenai penipuan wang jaminan oleh pihak yang mengaku sebagai polis di Petaling Jaya. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN

PETALING JAYA - Seorang ibu mendakwa ditipu sebanyak RM13,000 oleh ‘anggota polis’ yang menahan dua anaknya yang dipercayai terbabit dengan kes curi motosikal dengan alasan wang tersebut adalah bagi menjamin anak-anaknya.

Rani Rahmah Ismail, 59, berkata, kedua-dua anaknya iaitu Mohamad Ramadan Mohamed Ali, 22, dan Mohd Rafe, 20, ditahan pada 8 Mac lepas di kediaman mereka di Batu Caves, Gombak.
"Seramai enam anggota polis mendakwa anak saya perlu ditahan untuk membantu siasatan tapi tidak memberitahu untuk kes apa mereka ditahan,” katanya kepada pemberita di pejabat peguam di sini hari ini.
Beliau berkata, dua minggu selepas anak-anaknya ditahan, beliau menerima panggilan telefon daripada seseorang yang dipercayai anggota polis yang menahan kedua-dua anaknya dan meminta wang RM30,000 sebagai wang jaminan untuk membebaskan anak-anaknya.
"Masa mereka meminta RM30,000, saya mengatakan tidak mampu untuk membayar. Tiga hari selepas itu mereka telefon lagi dan meminta hanya RM13,000 dan seminggu selepas itu saya memberikan wang tersebut melalui akaun bank,” katanya. - Bernama

4 maut, 2 parah; kemalangan 6 kenderaan


KENDERAAN yang dipandu Wee Tai Kit, 40, remuk selepas bertembung dengan kereta dari arah bertentangan yang mengelak mangsa pelanggaran dua motosikal yang terbaring di atas jalan raya. Wee dan tiga yang lain terbunuh dalam nahas di Kilometer 11, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di Kampung Tok Uban, dekat Pasir Mas, malam tadi. - Foto Syamsi Suhaimi

PASIR MAS - Empat maut manakala dua parah dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 11, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di Kampung Tok Uban, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim berkata, mangsa Mohd. Faisal Fakruddin, 16, dari Kampung Chetok, Pasir Mas; Che Samsudin Mat Ghafar, 16, dari Kampung Pasir Jering, Kuala Krai; Ariff Mohd. Zain, 35, dari Kampung Chetok, Pasir Mas; dan Wee Tai Kit, 40, dari Kampung Cherang Kota Bharu; mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dua mangsa yang cedera parah ialah seorang anak Ariff, Aliff Azhar, 12; dan Hazayudi Mohd. Zainal Abidin, 36, dirawat di Hospital Lati dekat sini.
Haliluddin berkata, kemalangan berlaku kira-kira 7.20 malam apabila motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Ariff dan anaknya Aliff melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang Mohd. Faizal dan sepupunya Che Samsudin. - Bernama

Polis Kelantan tangani kes curi kabel Telekom


BACHOK - Ketua Balai Polis di Kelantan diarahkan supaya memberi tumpuan terhadap kes kecurian kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) di kawasan masing-masing yang dilaporkan semakin meningkat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, walaupun kes itu masih terkawal, ia banyak menyusahkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan pelosok kampung apabila talian kabel ke rumah mereka kecurian.
Beliau berkata, tumpuan mestilah diberi keutamaan terhadap kampung terpencil yang seringkali menjadi sasaran pencuri kabel.
"Kita mahu mereka bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam usaha membendung kecurian ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada seorang penduduk Mohd Nor Deraman, 50, di Kampung Baru, Repek di sini hari ini. - Bernama

Mayat lelaki berulat ditemui dalam longkang


MARANG - Mayat seorang lelaki sudah berulat ditemui dalam longkang belakang bangunan baru Sekolah Kebangsaan Wakaf Tapai, di sini, 11.50 pagi ini.

Mayat mangsa berusia 39 tahun dan berasal dari Kampung Sungai Serai, di sini dijumpai oleh anak saudara lelakinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ACP K. Manoharan berkata, mangsa difahamkan telah keluar dari rumah pada 1 Mei lalu dan memaklumkan untuk pergi menjerat burung.
"Mangsa dikatakan keluar rumah untuk menjerat burung dan ayam hutan, bagaimanapun sehingga hari ini mangsa tidak pulang ke rumah dan keluarga mangsa juga tidak membuat sebarang laporan polis.
"Bimbang dengan keadaan itu anak saudara mangsa pergi ke tempat yang dimaklumkan mangsa sebelumnya dan terkejut melihat keadaan mayatnya di dalam longkang,” kata Manoharan kepada pemberita di sini, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. - Bernama

Penganggur didakwa bunuh anak kekasih


KUALA LUMPUR – Seorang penganggur hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tujuh bulan dengan meninggalkannya dalam sebuah kereta.

Hooi War Char, 35, mengangguk tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Dia didakwa membunuh Low Hong Jun, yang merupakan anak kepada teman wanitanya, dalam sebuah kereta di hadapan rumah bernombor 4, Jalan 11 Taman Sri Watan, Ampang, antara 2 pagi dan 12.30 tengah hari 21 April lepas.
War Char, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. – Bernama

77 ditahan dalam 281 operasi mesin judi


JOHOR BAHRU – Polis menahan 77 individu yang terlibat dengan kegiatan judi dan merampas 1,071 unit komputer dalam 281 operasi mesin judi di sekitar bandar raya sejak Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata, polis membuka 115 kertas siasatan berhubung kes-kes tersebut, dengan 17 kes sudah dijatuhi hukuman dan selebihnya masih di peringkat perbicaraan mahkamah.
Beliau berkata, sepanjang tahun lepas polis menahan 56 individu yang terlibat dalam kegiatan yang sama dan merampas 2,790 unit komputer dalam 752 serbuan yang dijalankan.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata, dalam tempoh itu juga, polis membuka 103 kertas siasatan dengan 39 kes daripadanya sudah dijatuhi hukuman, manakala bakinya masih di peringkat perbicaraan mahkamah. – Bernama

Buruh bakal ke tali gantung



KUALA TERENGGANU - Seorang buruh bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis heroin pada April lalu. 

Tertuduh, Jilperi Ali, 30, dari kampung Pasir Putih, Bukit Cempaka, Batu Rakit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, disini, semalam atas pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama. 

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Masriwani Mahmud di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah mengedar dadah berbahaya itu seberat 22.25 gram di kawasan bebas, iaitu di tepi jalan besar kampung Gong Pak Jin pada 22 April lalu kira-kira jam 4.30 petang. 

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. 

Selain itu, tertuduh turut berhada-pan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 (pindaan 2002) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 Akta yang sama iaitu menggunakan dadah berbahaya jenis morfin pada waktu serta tempat yang sama. 

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan diikuti dengan perintah pengawasan 1 seperti di Seksyen 38B ADB 1952 (pindaan 2002). 

Majistret menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. 

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan polis menahan seorang lelaki Melayu yang dipercayai sedang mengedar dadah ditepi jalan besar, kampung Gong Pak Jin, Batu Rakit pada 22 April lalu. 

Suspek ditahan ketika berada di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, polis menjumpai lima botol serbuk putih dipercayai heroin yang disorokkan didalam poket seluar jeansnya.

Dua beranak ditipu RM10,000



KUALA TERENG-GANU- Dua beranak terpaksa berputih mata setelah kerugian hampir RM10,000 kerana ditipu gara-gara terpedaya dengan janji manis seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal.

Kejadian berlaku pada 27 April lalu, ketika mangsa, 29, seorang suri rumah yang tinggal bersama ibu mentuanya di kampung Masjid Haji Said, Marang telah didatangi suspek kira-kira jam 12.30 tengah hari di kediaman mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam berkata, suspek yang datang bersendirian telah memasang perangkap dengan meminta mangsa menyerahkan botol minyak masak kosong untuk digantikan kepada sebotol minyak masak berjenama secara percuma.

“Setelah mendengar tawaran suspek, mangsa yang tidak mensyaki apa-apa terus menyerahkan botol-botol minyak masak yang sudah digunakan dan suspek telah ‘menghadiahkan’ sebotol minyak masak berjenama seperti dijanjikan.

“Selepas pertukaran sistem barter itu, suspek mula menukar taktik penipuan dengan menawarkan cabutan bertuah kepada mangsa dengan alasan sebagai tanda penghargaan kerana mangsa menggunakan produk minyak masak berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Azmi berkata, tanpa banyak soal, mangsa terus membuat cabutan bertuah yang ditawarkan itu dan didapati telah memenangi sebuah peti sejuk angga-ran berharga RM2,000.

“Namun, mangsa menolak hadiah berkenaan dengan alasan sudah memiliki peti sejuk di rumah itu.

“Suspek yang tidak berputus asa, sekali lagi menawarkan satu cabu-tan bertuah yang lain kepada mangsa dan untuk cabutan kali kedua itu, mangsa didapati telah memenangi sebuah motosikal,” katanya.

Katanya, teruja dengan hadiah yang dimenangi itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus menyerahkan barang kemas yang dipakai olehnya dan ibu mentuanya itu setelah diminta oleh suspek kononnya untuk mencatat nombor siri yang tertera pada barang kemas berkenaan sebagai syarat untuk menebus hadiah tersebut.

“Setelah menyerahkan gelang dan rantai yang bernilai kira-kira RM10,000, suspek meminta izin untuk ke stesen minyak Petronas Marang dengan alasan urusan mencatatkan nombor siri hendak dibuat di dalam kontena yang sememangnya dibuka di stesen minyak itu dan berjanji akan kembali hanya dalam beberapa minit sahaja.

“Selepas beberapa minit berlalu, mangsa merasakan ada yang tidak kena kerana bayang suspek tidak muncul-muncul menyebabkan mangsa bersama ibu mentuanya mengambil keputu-san untuk mencari suspek di stesen minyak berkenaan,” katanya.

Namun, kata Azmi, mangsa hampa setelah mendapati suspek tiada di lokasi yang dimaklumkan itu malah kontena yang kononnya dibuka di stesen minyak itu langsung tidak wujud.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Marang pada hari sama iaitu kira-kira jam 1 tengah hari dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Azmi menasihatkan kepada orang ramai agar jangan sesekali mudah percaya dengan tawaran hadiah cabutan bertuah seperti itu.

Pada masa sama, Azmi turut mengingatkan kepada orang ramai yang didatangi individu mencurigakan dengan menawarkan hadiah menggunakan taktik sedemikian menghubungi balai polis berhampiran.

Sindiket syarikat palsu tumpas



SHAH ALAM – Tiga lelaki tempatan yang berselindung di sebalik enam syarikat 'lari malam', diberkas polis di Jalan TS 6/7, Taman Perindustrian Subang USJ, Subang Jaya, 29 April lalu.

Ketiga-tiga ahli sindiket yang aktif di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka itu ditahan pada 4.45 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Syed Azizan Syed Ismail berkata, serbuan dibuat hasil aduan mangsa membabitkan kerugian lebih RM1.66 juta bagi tempoh Jun 2009 hingga April lalu.

Beliau berkata, soal siasat ke atas semua suspek itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Desa Petaling pada hari sama.

“Kita rampas pelbagai barangan seperti 200 gulung paip, smoke tinted film (tipisan warna asap) (5), cop syarikat (3), telefon bimbit (7), telefon (5), pencetak cek (1) dan komputer riba (2).

“Antara yang turut dirampas adalah buku cek, slip bank, invois, surat pembelian dan jualan, sebut harga dan kad nama,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, semalam.

Syed Azizan berkata, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek menggunakan cara menubuhkan syarikat bagi satu jangka masa pendek untuk membuat tempahan barangan daripada syarikat pembekal.

Menurutnya, setelah barangan ditempah diperoleh, suspek akan membuat pembayaran melalui cek yang kononnya laku dalam tempoh seminggu atau sebulan.

“Syarikat itu hanya beroperasi dalam tempoh terbabit sebelum menutup syarikat dan melesapkan barangan yang dihantar oleh pembekal.

“Syarikat pembekal hanya mengetahui ditipu apabila cek tidak boleh ditunaikan di bank kerana tiada wang dalam akaun. Suspek kemudiannya akan menubuhkan syarikat lain dan beroperasi di tempat baru,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 66 kes penipuan didalangi sindiket terbabit.

Suspek berusia 30, 42 dan 58 tahun disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Syed Azizan berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Thomas bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi JSJK Selangor di talian 03-55146659.

Terdahulu, pihak polis mengesahkan menerima sebanyak 124 laporan berhubung penipuan menggunakan taktik tersebut bagi tempoh yang sama dianggarkan melibatkan RM78.24 juta.

Tiga kereta dihempap pokok



SELAYANG – Tiga kereta dan bumbung sebuah pangsapuri empat tingkat di sini rosak akibat dihempap dua batang pokok yang tumbang di lereng bukit, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta jenis Honda Civic, Proton Persona dan Proton Wira itu diletakkan di tempat letak kenderaan pangsapuri berkenaan, yang terletak satu meter dari lereng bukit tersebut.

Kejadian dipercayai berlaku akibat struktur tanah tidak stabil selepas hujan dan akibat kerja-kerja pembinaan lot banglo di atas bukit itu, sejak dua bulan lalu.

Seorang penduduk, Bashir Ahmad, 63, berkata, ketika kejadian, hujan lebat dan dia mendengar bunyi kuat dari arah bukit.

“Bunyi itu rupa-rupanya adalah bunyi pokok tumbang. Saya lihat kereta saya dihempap pokok itu.

“Saya beli kereta Honda Civic itu tidak sampai sebulan. Bumbung dan bonet kereta saya rosak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Lian Ye Chin, 23, berkata, sejak kerja-kerja pembinaan di atas bukit dijalankan, dia selalu bimbang mengenai kemungkinan tanah runtuh.

“Sebelum ini, rumah saya yang terletak di tingkat bawah pangsapuri sudah beberapa kali hampir terkena batu besar yang jatuh.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan kebimbangan penduduk berhubung projek yang dijalankan di bukit berhampiran pangsapuri berkenaan.

Rumah peniaga cendol hangus



MUAR - Seorang peniaga cendol tinggal sehelai pinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Hj Yakob, Air Hitam Batu 17 di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.40 pagi berkenaan mula disedari Abd Malik Suparman. 48, selepas terdengar letupan kuat seperti tayar pecah dari dapur rumahnya.

Ketika kejadian, tiga ahli keluarganya termasuk ibu, isteri dan anak berada dalam bilik dan bergegas ke dapur sejurus terdengar letupan berkenaan.

Menurutnya setibanya di dapur terlihat api membakar dapur masaknya dan dia bersama isteri berusaha cuba untuk memadamkan api itu tetapi gagal.

“Memandangkan keadaan api yang cepat marak, saya terpaksa meninggalkan rumah untuk menyelamatkan ibu, isteri dan anak dengan membawa mereka ke surau berhampiran.

“Meskipun sedih kerana rumah pusaka yang berusia lebih 30 tahun ini musnah terbakar tetapi saya bersyukur kerana semula ahli keluarga terselamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, Abd Malik tetap reda dengan tragedi yang menimpanya sekeluarga.

Difahamkan, Skuad Sayang dan beberapa ahli UMNO Bahagian Bakri turut hadir ke lokasi kejadian serta menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran terbabit.

Ketua Balai Bomba Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima menerima panggilan, seramai 11 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, rumah terbabit telah musnah kerana kebakaran cepat merebak disebabkan struktur rumah terbabit secara keseluruhannya diperbuat daripada kayu.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Pak Sarip kena cekup



SKUDAI - Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor berjaya menumpaskan kegiatan pemalsuan permit kerja jabatan itu, selepas menahan seorang lelaki warga tempatan di sebuah rumah pangsapuri di Taman Universiti, Skudai, di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah II Jabatan Imigresen Johor, Amzari Abdul Jalil berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, pihaknya turut menahan 18 warga Indonesia yang mendakwa dirinya ditipu oleh lelaki berkenaan.

“Lelaki berkenaan dikenali sebagai Pak Sarip meminta bayaran sebanyak RM900 hingga RM3,000 untuk membuat dokumen palsu terbabit.

“Namun setelah membayar, 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit gagal mendapatkan dokumen daripada lelaki tersebut,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang berumur 60-an itu didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

“Kesemua 18 pendatang asing yang berumur lingkungan 23 hingga 47 tahun itu diserbu di empat bilik berasingan pangsapuri berkenaan. Serbuan disertai 20 anggota itu tidak menghadapi sebarang masalah kerana pihak kami telah mengawal ketat laluan keluar,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, pihaknya menahan empat warga asing di sebuah pusat urut kaki di Taman Sentosa, di sini.

“Dalam Ops Sayang yang bermula kira-kira jam 4 petang itu, dua lelaki warganegara China dan dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana menyalahgunakan pas sosial.

“Keempat-empat lelaki berkenaan berumur 23 hingga 29 tahun ditahan mengikut Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial. Turut ditahan majikan kerana menggaji pendatang asing berkenaan,” katanya.

Amzari berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen, Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan selanjutnya.

Mayat disangka batang kayu



TELUK INTAN - Seorang pemancing tidak menyangka ‘benda’ hanyut yang disangka batang kayu rupanya mayat reput.

Pemancing berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Din berkata, ketika kejadian dia melabuhkan pancing ke arah kuala.

Menurutnya, ketika itu, air sungai mula pasang dan dia lihat seolah-olah terdapat sebatang kayu hanyut berdekatan sampan.

“Apabila diteliti barulah saya sedar ia sebenarnya mayat seorang lelaki dan saya terus menghubungi polis untuk tindakan susulan malahan selepas ini, saya tidak mahu memancing di kawasan itu lagi,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian,: semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi berkata, mayat itu merupakan seorang lelaki bangsa Cina.

Menurutnya, mayat itu ditemui terapung di Sungai Perak, berdekatan Jambatan Sultan Yusuf kira-kira jam 2 petang oleh seorang pemancing.

“Mangsa dikenali sebagai Tan Jock Seng, 53, seorang peniaga berasal dari Lorong Bentara 11, Taman Sri Manggis, di sini.

“Keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kehilangannya pada 26 April lalu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk di bedah siasat dan hasil siasatan mendapati mangsa mati akibat lemas.

Geng Sayuti Mengkuang tumpas



BUKIT MERTAJAM - Melalui risikan dan pemantauan berterusan lebih sebulan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) akhirnya berjaya menumpaskan Geng Sayuti Mengkuang yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sekitar negeri ini melalui Ops Lejang pada 25 hingga 30 April lalu.

Kejayaan menahan 21 lelaki berusia antara 13 hingga 25 tahun bersama 18 motosikal itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar pada satu sidang media di sini semalam.

Menurutnya antara ditahan itu termasuk beberapa orang pelajar sekolah berusia semuda 13 tahun yang didapati sering ponteng sekolah untuk menjalankan kegiatan jahat itu selama ini.

“Melalui kejayaan menumpaskan kumpulan ini kita percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 17 kes kecurian motosikal yang dilaporkan di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

“Operasi ini dilancarkan melalui penubuhan satu pasukan khas berikutan kecurian motosikal menjadi penyumbang utama kepada indeks jenayah di daerah ini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pasukan khas itu menjalankan beberapa siri serbuan ke kampung dan taman perumahan termasuk di Kubang Semang dan Mengkuang Titi sebelum berjaya menahan lelaki dan menemui semula motosikal curi itu.

“Susupek menggunakan ‘allen key’ yang diubah suai untuk mencuri motosikal sebelum menjual komponennya kepada pihak tertentu.

“Motosikal yang menjadi sasaran kumpulan ini ialah jenis Honda EX-5 kerana selain ianya mudah dicuri komponennya mendapat permintaan tinggi di pasaran,’’ katanya.

Menurutnya hasil siasatan juga mendapati empat daripada suspek positif dadah manakala lima lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan dadah.

Katanya kesemua mereka kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Dipenjara 10 bulan miliki dadah



GEORGETOWN - Seorang peniaga diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis amphetamine seberat 3 gram dan methamphetamine seberat 1.1 gram pada 18 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Nizam Mohd Nassir, 29, dari Jalan Thorpe di sini turut dikenakan hukuman penjara lima bulan dan perintah pengawasan selama dua tahun selepas dia mengaku bersalah mengambil dadah jenis yang sama pada hari dia ditahan.

Dalam pertuduhan pertama, Mohd Nizam bersama dua lagi rakannya didakwa memiliki dadah jenis amphetamine dan methamphetamine yang ditemui dalam kotak rokok dan poket tempat duduk belakang keretanya semasa diperiksa polis dalam sekatan jalan raya Ops Bayan di Jalan Sultan Azlan Shah, Jelutong di sini kira-kira jam 1.30 pagi.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa memasukkan ke dalam tubuhnya dadah jenis amphetamine dan methamphetamine iaitu dadah berbahaya yang ditetapkan di bahagian 111 Dari Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 Pindaan 1998.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.

Bagaimanapun, Majistret Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara lima bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman dijalankan serentak dari tarikh ditangkap selepas mendengar rayuan yang dibuat tertuduh.

Mohd Nizam dalam rayuannya meminta hukuman diringankan disebabkan dia memiliki isteri dan empat anak yang masih bersekolah perlu ditanggung.

Selain itu, Mohd Nizam berkata, dia menyesali dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Rumah dirompak, rugi RM5,000



AIR PUTEH – Sebuah keluarga nelayan di Kampung Kilang Kechik di sini kerugian lebih RM5,000 apabila wang tunai RM650 dan beberapa barangan lain dicuri dalam satu kejadian rompakan Sabtu lalu.

Sinar Harian difahamkan kejadian berlaku kira-kira 4.40 petang apabila pemilik rumah menghadiri sebuah kenduri manakala anak lelaki bongsunya yang pulang bercuti di kampung turut keluar ke Pekan Pendang.

Mangsa, Roshidah Saad, 54, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira 5 petang apabila dihubungi anak lelakinya yang memaklumkan barang di ruang tamu dan bilik rumahnya berselerak.

“Saya dan suami pada mulanya menghadiri kenduri di Yan dan kemudiannya pulang ke rumah untuk mandi dan keluar pula untuk menghadiri sebuah lagi kenduri di Kampung Charok Kudong. Namun, hanya 15 minit sahaja keluar saya dihubungi anak memaklumkan kejadian itu.

“Saya terkejut apabila anak lelaki saya memaklumkan bahawa keadaan rumah berselerak dan semua bilik digeledah menyebabkan saya terus pulang dengan segera,” katanya.

Menurutnya, setelah membuat pemeriksaan mereka mendapati banyak barang dicuri.

“Selain wang tunai, kad bank saya turut dicuri namun, saya tidak menyangka penapis air berjenama bernilai lebih RM2,000 yang dipasang dan digunakan seharian di singki dapur turut dicuri serta satu beg berisi minyak wangi juga hilang.

“Saya tidak sangka beberapa kain batik dan kain pelekat yang baru dibeli dan sekotak batu cincin pemberian anak juga hilang serta beberapa kasut berjenama bernilai lebih RM300 dicuri,” katanya.

Roshidah berkata, menyedari kad banknya hilang, dia membuat pemeriksaan di bank dan mendapati perompak sudah mengeluarkan semua wangnya.

“Saya menulis nombor pin di kad itu kerana suami saya sering membuat pengeluaran wang namun, tidak sangka kad itu turut dirompak.

“Saya difahamkan pihak bank bahawa perompak itu membuat pengeluaran wang di sebuah stesen Petronas Pekan Pendang selepas kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, perompak itu memasuki rumahnya melalui pintu belakang menggunakan sebatang cangkul untuk mengopek pintu berikutan kesan cangkul masih terdapat pada pintu itu.

Roshidah berkata, dia segera melaporkan kejadian itu kepada polis selang beberapa minit. Namun, kecewa apabila pihak polis dikatakan gagal sampai ke tempat kejadian dengan segera.

“Saya kecewa kerana hampir dua jam kejadian berlaku baru pihak polis tiba di rumah saya sedangkan saya mengesyaki dan percaya kumpulan perompak itu masih berada di sekitar kawasan selepas kejadian,” katanya.

Menurutnya, dia juga segera merujuk kepada polis selepas mengetahui lokasi pengeluaran wang tunai itu.

Ia bagi memudahkan polis melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di tempat pengeluaran wang.

“Apabila saya memaklumkan perkara ini, pihak polis enggan menyiasat melalui rakaman CCTV kerana kata mereka sesiapa yang melihat rakaman itu adalah sama sahaja tidak perlu polis sendiri yang menontonnya.

“Saya kecewa dengan kata-kata itu kerana bagi saya sepatutnya mereka menyiasat segera selepas menerima maklumat,” katanya.

Pacuan empat roda terjunam di sisi rumah

 

BUKIT KATIL - Seorang ibu tergamam melihat sudut rumahnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, Noraishah Samad, 25, terkejut apabila terdengar dentuman kuat sebelum gegaran menakutkan semasa sedang menyuapkan anaknya di ruang tamu.

“Ketika terdengar bunyi dentuman itu, saya hanya terfikirkan anak lelaki saya yang berada di sudut rumah ketika kenderaan berkenaan merempuh dinding penjuru rumah,” katanya.

Menurutnya, dentuman itu juga menyebabkan dua anak perempuannya berusia setahun dan tiga tahun menangis ketakutan.

“Pada mulanya saya sangka ia kemalangan biasa saja. Selepas rasa rumah bergegar dan menjenguk keluar, saya tak sangka ada kenderaan rempuh dinding rumah saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Arif, 17, sebaik saja melihat kenderaan itu terjunam, dia terlihat pemandu kenderaan lingkungan usia 30-an tersepit di tempat duduk, selain seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di tempat duduk sebelah pemandu.

“Beberapa orang awam serta penduduk terus menarik keluar pemandu terbabit dan menghubungi ambulan untuk membawa mereka ke hospital,” katanya.

Lari selepas enam hari nikah



ALOR GAJAH - Taksub dengan laman sosial sehingga membibitkan rasa cinta terhadap seorang wanita, mendorong seorang lelaki terjebak dengan pernikahan ‘sementara’ bersama wanita berkenaan.

Lelaki berstatus suami dikenali sebagai Farid (bukan nama sebenar), 25, merasa dirinya tertipu dengan sandiwara dilakukan isterinya itu memaksanya menanggung malu.

Dia hanya suami selama enam hari sahaja sebelum isterinya melarikan diri mengikut kekasih lama.

Farid yang menceritakan kisah dukanya itu kepada Sinar Harian, semalam berkata, dia tidak menyangka isterinya yang dikenali sebagai seorang wanita lemah lembut bertukar menjadi biadap dan sanggup berlaku curang walaupun belum seminggu bergelar isterinya.

Dia yang menetap di Temerloh, Pahang dan berniaga sendiri berkata, November tahun lalu, dia mula mengenali isterinya sebelum menyatakan hasrat untuk mendirikan rumahtangga selepas beberapa hari mengenalinya.

Menurutnya, selepas bertemu buat pertama kali di Kuala lumpur, Farid terus menghantar bakal isterinya balik kampung di Johor dan berjumpa dengan kedua orang tuanya, sebelum keluarga isterinya mencadangkan mereka berdua disatukan.

“Semasa majlis pertunangan berlangsung, kedua belah keluarga setuju menetapkan tarikh pernikahan pada 27 Mac lalu. Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, bakal isterinya minta tarikh pernikahan dipercepatkan dua bulan lebih awal.

“Tetapi :selepas enam hari kami bernikah, dia menghilangkan diri. Seminggu selepas itu, saya dapat maklumat dia tinggal bersama kekasih lamanya di sebuah kampung sebelum saya menjemput dan membawanya balik ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Farid berkata, dia sempat tinggal bersama isterinya tidak lama apabila isterinya itu kembali meninggalkan rumah semula.

“Kali ini lebih mengejutkan apabila dia melarikan diri dengan memanjat pagar rumah bersama kekasih lamanya yang bersiap sedia menanti di luar pagar rumah sebelum kedua-dua mereka melarikan diri bersama-sama.

“Sehingga kini, saya gagal hubungi telefon bimbitnya. Saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan di mana dia berada sekarang dan minta dia pulang ke rumah, tetapi dia membalas dengan minta saya ceraikan dia,” katanya.

Farid berkata, dia tidak menghiraukan permintaan isterinya itu kerana berpendapat, antara mereka tidak pernah berbalah kecuali perangai isterinya yang pelik dan agak keterlaluan mendorong isterinya berbuat demikian.

“Cuma saya rasa tertipu selepas didesak bernikah awal, akhirnya diri teraniaya dan hanya sempat bergelar suami selama enam hari sebelum dia berani mencabar saya untuk memfailkan perkara ini ke Mahkamah Syariah.

“Saya terpaksa habiskan banyak wang termasuk wang hantaran dan perbelanjaan kenduri kahwin. Kini terpaksa menanggung malu pula.

“Baru saya sedar, akibat taksub dengan laman sosial, akhirnya saya terperangkap dengan cinta buta yang menjerat kehidupan saya sendiri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Farid berkata, dia mengambil tindakan undang-undang terhadap isterinya itu di Mahkamah Syariah.

Padah guna RM100 palsu



BANDARAYA MELAKA - Gara-gara menggunakan wang palsu, seorang remaja perempuan terpaksa meringkuk dalam penjara selama sehari serta denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen dekat sini, kelmarin.

Tert:uduh, Josephin Lim Chin Hwe, 24, dijatuhkan hukuman oleh Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin di hadapan Timbalan Pendakwa Raya Shazwani Ishak selepas tertuduh mengaku bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan wang kertas RM100 bernombor CE9958714 seolah-olah tulen dalam pengetahuan atau ada sebab mempercayai wang kertas tersebut sebagai pemalsuan.

Tertud:uh dari Jalan Parameswara, Melaka Tengah didapati melakukan kesalahan tersebut di ruang legar Pasaraya Tesco, di sini kira-kira 9.50 pagi, 18 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 489 B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Peguam bela tertuduh, Skeikh Ikhzan Sheikh Salleh ketika rayuan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya dengan alasan, anak guamnya masih muda.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Harmi Thamri kemudian menjatuhkan penjara sehari dan denda RM 1,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Terlepas hukuman gantung



SHAH ALAM - Seorang jurukamera dan seorang pekerja sambilan terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam melepas tanpa membebaskan mereka daripada tuduhan edar dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda membuat keputusan itu terhadap Rahimy Paiman, 43, dan Zainal Abidin Mohd Ali, 33, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

Rahimy dan Zainal menghadapi dua tuduhan mengedar 256 kilogram ganja dan 87.7 gram syabu di sebuah rumah jalan Wangsa 7, Taman Wangsa Ukay, Bukit Antarabangsa, Ampang, kira-kira jam 10 malam, pada 18 Mei 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Diacu pisau ketika makan



PAKA - Kegembiraan pasangan suami isteri menikmati hidangan di sekedai makan bertukar cemas apabila tiba-tiba didatangi lelaki tidak dikenali lalu mengacu sebilah pisau sebelum melarikan beg tangan milik si isteri.

Kejadian samun bersenjata itu dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang kelmarin ketika mangsa bersama suaminya sedang makan di sebuah kedai makan di jalan Besar Paka.

Mangsa dikatakan secara tiba-tiba dihampiri suspek terbabit yang bertindak mengacu pisau pemotong sayur-sayuran ke arah mereka lalu cuba merampas beg tangannya.

Suspek bagaimanapun berjaya meragut beg tangan milik pengurus insurans itu sebelum melarikan diri bersama seorang rakannya yang sedia menunggu dengan sebuah motosikal tidak jauh dari situ.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Paka dan kerugian dianggarkan RM3,000 apabila sejumlah tunai, telefon bimbit, dokumen penting serta satu kunci kereta mewah dalam beg tangan mangsa turut dilarikan penjenayah terbabit.

Dalam kejadian berasingan pula, tindakan nekad seorang juruwang di sebuah kedai beroperasi 24 jam melarikan diri dengan bersembunyi dalam stor berjaya menyelamatkan dirinya daripada dicederakan penyamun bersenjatakan pisau rambo yang cuba menyamun sejumlah wang dalam mesin juruwang.

Kejadian kira-kira jam 5.30 awal pagi kelmarin dipercayai berlaku ketika mangsa berada di kaunter juruwang kedai serbaneka terbabit.

Suspek yang masuk dengan memakai topi keledar dikatakan berpura-pura membeli kad nilai tambah telefon bimbit lalu mengeluarkan pisau, mengacu sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan wang dalam mesin juruwang.

Suspek yang gagal mendapatkan wang selepas mangsa bersembunyi dalam stor dikatakan keluar dari premis sebelum masuk semula lalu mengambil 50 kotak rokok.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima :laporan berkaitan kes samun terbabit menasihatkan orang ramai agar me-ngutamakan keselama-tan ketika berada di tempat awam.

Pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kes samun itu mengikut Seksyen 394/397 kanun keseksaan, suspek kini sedang diburu polis.

Penuntut kolej swasta mengaku berkhalwat



KAMPUNG RAJA - Penuntut lelaki sebuah kolej swasta di Kemaman terpaksa membayar denda RM2,200 selepas dia mengaku bersalah berkhalwat dengan pasangannya, pelatih jururawat dari sebuah pusat latihan kejururawa-tan swasta di Kota Bharu, Kelantan.

Mahkamah Rendah Syariah di sini turut mengarahkan lelaki berumur 22 tahun dan pasangannya, 21, itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Mereka sebelum itu dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut selepas ditangkap di sebuah chalet di Pantai Air Tawar pada 22 Mei tahun lalu pada jam 6.40 petang.

Pasangan berkenaan didakwa di bawah Seksyen 31(a)dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2011 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof membenarkan kedua-dua tertuduh membuat rayuan dan menegur pasangan itu yang melakukan perbuatan tidak bermoral kerana masing-masing berpelajaran.

Sementara itu, tertuduh wanita memberitahu mahkamah dia tidak sempat melakukan apa-apa lagi ketika ditahan dan mereka berdua tidak ada rancangan berkahwin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, satu serbuan telah dilakukan di sebuah chalet di Pantai Tawar oleh sepasukan penguat kuasa.

Penguat kuasa mendapati pintu utama dan tingkap chalet tersebut tertutup rapat dan selepas beberapa minit pintu diketuk, tertuduh lelaki membuka pintu serta hasil pemeriksaan dilakukan mendapati tertuduh wanita berada dalam bilik itu.

Mereka didapati bukan muhrim dan tidak mempunyai hubungan suami isteri. Kedua-dua mereka dari Semerak, Pasir Putih, Kelantan.

Warga Bangladesh dijel 3 tahun



KOTA BHARU – Perlakuan jijik seorang warga Bangladesh cuba mencabul seorang kanak-kanak lelaki dalam kejadian di sebuah stor di Tanjung Chenok, Pasir Mas, tahun lalu menerima balasan apabila dihukum penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan Hakim Rofiah Mohamad selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Md Hauann Padhn,31 sejurus selepas pertuduhan pilihan selesai dibacakan terhadapnya.

Md Hauann didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di sebuah stor bersebelahan rumah di Jalan Sekolah Kebangsaan, Tanjung Chenok, Pasir Mas, 30 Jun 2010 lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 hari itu, tertuduh memanggil mangsa yang juga anak kepada majikannya itu masuk ke dalam stor berkenaan sebelum bertindak membuka seluar kanak-kanak berkenaan.

Tertuduh turut membuka seluarnya sendiri dan cuba memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa tetapi gagal.

Mangsa yang menangis kemudiannya memakai seluarnya semula lalu berlari masuk ke dalam rumah sebelum menceritakan kejadian itu kepada bapanya pada jam 1.30 petang.

Bapa kanak-kanak itu bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Bunut Susu yang membawa kepada penahanan tertuduh hari sama kejadian berlaku.

Mangsa yang dibawa menjalani pemeriksaan doktor disahkan tidak mengalami kesan kecederaan di duburnya.

Semasa prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali yang mengendalikan kes memohon mahkamah memberatkan hukuman terhadap tertuduh berikutan kesalahannya itu serius.

“Perlakuan mangsa menyebabkan kanak-kanak yang masih bersekolah itu mengalami trauma dan ketakutan sehingga tidak mahu melihat wajah tertuduh.

“Tertuduh juga melakukan kesalahan itu di tempat tertuduh sendiri mencari rezeki sebagai pekerja pembuat batu bata,” katanya.

:Julai lalu, tertuduh mulanya didakwa mengikut Seksyen 377C/511 Kanun Keseksaan kerana meliwat dan tidak mengaku bersalah sebelum kemudiannya ditawarkan pertuduhan pilihan 354 Kanun Keseksaan kerana guna kekerasan dengan niat mencabul.