Search This Blog

Wednesday, May 4, 2011

Bakal mempelai tertipu



JOHOR BAHRU - Sepasang bakal mempelai yang merancang mendirikan rumah tangga hujung tahun ini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM5,168 selepas membuat pembelian barang kelengkapan elektrik untuk kediaman mereka di Pasir Gudang apabila berkahwin kelak.

Mohd Nazmi Mohd Nasir, 27, bersama tunangnya, Noraini Suru, 31, tidak menyangka persiapan mereka dengan membeli belah di sebuah pasar raya berhampiran Plentong, di sini, akhirnya memakan diri.

"Saya bersama pasangan teruja melihat sendiri promosi berhampiran kaunter pembayaran sebelum dihampiri jurujual yang mendakwa setiap pelanggan boleh mendapatkan :tawaran diskaun berganda :dengan syarat menggores kad cabutan bertuah.

”Selepas menggores kad diberikan, saya diberitahu memiliki tuah sekali gus berjaya mendapatkan baucar bernilai RM1,000.

"Saya bertambah teruja apabila diberitahu tidak akan dikenakan sebarang caj hasil daripada pembelian produk elektrik dihajati iaitu sebuah ketuhar gelombang mikro dan penyedut hampagas menggunakan kad kredit baru dipohon ketika promosi berkenaan,” katanya pada sesi per:bicaraan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Menara Ansar, di sini, semalam.

Mohd Nazmi berkata, dia dan tunangnya turut ditawarkan pelbagai barangan percuma membuatkan mereka tidak berfikir panjang ketika membuat pembelian.

Bagaimanapun katanya, timbul perasaan pelik apabila jurujual terbabit menyatakan dia perlu membayar barangan berkenaan menggunakan kad kredit sedia ada sementara permohonan kad kredit baru diluluskan bank.

"Saya akhirnya terpedaya dengan ‘ayat manisnya’ seterusnya mengikuti nasihat jurujual berkenaan yang mengatakan pihak bank tidak akan mengenakan sebarang caj ke atas pembelian dilakukan dan sebanyak RM5,168 akan dimasukkan ke dalam akaun kad kredit baru.

"Jurujual terbabit juga memberitahu saya bahawa tindakan dilakukan dapat mengelak daripada membayar kadar faedah bank kelak,” katanya.

Sementara itu, Presiden TTPM, Maznah Haron dalam sesi perbicaraan berkenaan mempersoalkan sikap mudah terpedaya Mohd Nazmi dengan kata-kata jurujual terbabit yang seolah-olah mempunyai kuasa meluluskan permohonan kad kredit baru.

"Mesti kakitangan syarikat itu begitu pintar sehingga boleh menahan tindakan pihak bank daripada mengenakan kadar faedah dan pelbagai perkara,” katanya.

Justeru, Maznah dalam keputusannya meminta syarikat terbabit mengembalikan semula RM5,168 kepada pihak penuntut dalam tempoh masa 14 hari perintah dikeluarkan dan semua perkakasan dibeli serta diberi percuma dipulangkan semula.

Kontraktor ugut isteri didenda RM10,000



KOTA BHARU – Seorang kontraktor yang melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya menggunakan sebilah badik dalam kejadian di Jalan Sri Cemerlang, bulan lalu dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Noorhaslinda Che Seman turut menjatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan terhadap Wan Omar Wan Bakar sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Hukuman diputuskan selepas warga emas berusia 54 tahun tersebut mengaku bersalah sejurus pertuduhan selesai dibacakan terhadapnya, semalam.

Kontraktor itu juga turut merayu pihak mahkamah untuk mengenakan hukuman denda terhadap kesalahan yang dilakukan pada 19 Mac lalu itu.

Dalam kejadian jam 2 petang, tarikh berkenaan, Wan Omar pergi ke pejabat isterinya di Wisma Redland, Jalan Sri Cemerlang dengan tiba-tiba dan memaksa isterinya itu masuk ke dalam kereta.

Pengadu yang enggan menuruti arahan suaminya itu bagaimanapun diugut menggunakan sebilah pisau badik.

Ekoran kejadian, pengadu membuat laporan di balai polis Kota Bharu yang membawa kepada penahanan tertuduh sehari selepas kejadian.

Lelaki yang beralamat di Bunut Payong, Jalan Kuala Krai, di sini itu didapati bersalah dan disabitkan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugut dengan niat terhadap isterinya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabila Nizam.

Padah beri keterangan palsu



KOTA BHARU – Tindakan seorang peniaga menyampaikan maklumat palsu ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiga tahu lalu membawa padah kepada diri sendiri selepas dijatuhi hukuman penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah daripada tertuduh, Mohd Zamri Lebai Hussain sejurus pertuduhan selesai dibacakan terhadapnya, semalam.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara berkenaan kepada kamu supaya ia menjadi pengajaran dan tidak akan mengulangi kesalahan sama kemudian hari,” katanya.

Tertuduh turut dikenakan denda sejumlah RM4,000, sekiranya gagal dijelaskan, hukuman enam bulan penjara akan menyusul kemudian.

Lelaki 40an itu didapati melalukan kesalahan tersebut ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 22(8) Akta Pencegahan Rasuah 1997 di pejabat SPRM Kota Bharu, di sini, 11 November 2008.

Dalam siasatan antara jam 4.20 dan 6.30 petang itu, Mohd Zamri membuat pernyataan iaitu, “Kemudian kawan saya Sazali menghubungi Rashid semula dan dalam perbincangan tersebut saya mendapat tahu dari Sazali bahawa Rashid hendak memberi RM300 untuk selesai kes.”

Mohd Zamri membuat pernyataan yang diketahui palsu itu kerana sebenarnya tertuduh sendiri yang meminta RM5,000 dari Rashid untuk tujuan menyelesaikan suatu masalah.

Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan mengikut Seksyen 19(1)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Ahsan Abd Latif.

Warga emas maut



API-API - Seorang warga emas maut ketika hendak menyeberangi jalan dengan menaiki basikal di Kilometer 66.2 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Nor Piah Md Amin, 69, maut di tempat kejadian, manakala pemandu Perodua Viva, seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak hanya mengalami kecederaan ringan.

Menantu mangsa, Mohd Aspandi Asmur, 32, berkata, mertuanya melambung kira-kira 200 meter selepas dilanggar kereta dari arah bertentangan ketika sedang memotong sebuah lori.

“Akibat pelanggaran yang kuat, ibu melambung sehingga masuk ke dalam parit dan terperosok ke dalamnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dengan bantuan orang ramai, mertuanya berjaya dikeluarkan lebih kurang dua minit kemudian.

Mohd Aspandi berkata, mertuanya selalu mengayuh basikal untuk ke rumah rakan di seberang jalan pada waktu pagi.

“Ibu akan menaiki basikal untuk ke rumah kawan pada setiap pagi,” katanya.

Menurutnya, sikap mertuanya berubah sehari sebelum kejadian berlaku dan dia menganggapnya sesesuatu yang luar biasa.

“Sehari sebelum kejadian, datuk saya meninggal dunia, tetapi ibu menolak pelawaan untuk melawatnya,” katanya.

Mohd Aspandi berkata, perubahan sikap amat ketara kerana kebiasaannya arwah paling bersungguh untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan berita kematian dan menziarahi keluarga. Rakan mangsa, Norhanah Yusof, 61, berkata, dia adalah orang terakhir yang sempat berjumpa dan berborak dengan arwah, pagi semalam.

“Pagi semalam, arwah cakap nak cepat pergi sebab mahu hantar orang ke kedai,” katanya.

Menurutnya, sikap arwah yang tergesa-gesa membuatkan dia pelik kerana biasanya arwah tidak begitu.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Pontian Asisten Superintendan Abdul Kadir Mansor berkata, kejadian berlaku di persimpangan masuk ke Kampung Parit 1.

Menurutnya, saksi kejadian diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Usaha kesan mayat masuk hari kelima



TEMERLOH – Polis masih meneruskan operasi mencari penjaga sangkar ikan warga asing yang terjatuh ke dalam sungai Semantan, dekat kampung Paya Kecik khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, operasi yang masuk hari kelima hari ini diperluaskan hingga ke kuala Sungai Semantan dan Sungai Pahang dekat Kuala Semantan sejauh empat kilometer.

Menurutnya, operasi tersebut disertai lebih 40 anggota terdiri pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penduduk kampung dengan menggunakan 13 bot.

“Polis menyusuri kiri kanan tebing sungai Semantan termasuk mencari di celah rumpun buluh dan kayu namun hingga kini belum menemui mayat pekerja asing terbabit.

“Mangsa dikenali sebagai Wantriyadi 20, dikatakan turun memberi makan ikan sangkar tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai Semantan,” katanya.

Mohd Nor berkata, beberapa rakan dan penduduk yang cuba memberi bantuan gagal kerana mangsa dihanyutkan arus deras sungai.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk yang tinggal di pinggir sungai Semantan dan sungai Pahang supaya menghubungi polis jika menemui mayat mangsa.

Berpaut pada dahan reput

 

SEREMBAN – Kegem-biraan 11 sahabat menghabiskan cuti umum dengan bermandi-manda di hutan rekreasi Sungai Gunung Berambun, Pantai, di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa, S. Sasitharan dikatakan tergelincir dan tenggelam ke dalam air sebelum dibawa arus deras.

Rakan mangsa dikenali sebagai Ariaran, 26, berkata, mereka tiba di tempat itu kira-kira 12.30 tengahari.

Menurutnya, semasa mereka sedang berseronok bermain air, paras air di sungai berkenaan secara tiba-tiba naik mendadak.

“Pada awalnya memang paras air hanya pada lutut kami. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, paras berkenaan tiba-tiba naik secara mendadak hingga paras dada selain mengalir deras walaupun cuaca tidak hujan.

“Kami terkejut dan segera mahu naik ke atas tebing dengan berpaut pada tali kabel di sekitar kawasan terbabit.

“Tetapi Sasitharan berkata, dia mahu mengambil begnya terlebih dahulu. Bagaimanapun, dia tidak sempat dan kami nampak dia tenggelam sebelum dihanyutkan arus deras,” katanya.

Menurutnya, sejurus naik ke tebing, dia terkejut melihat mangsa berada dalam jarak kira-kira 50 meter tenggelam dan sempat berpaut pada sebatang dahan pokok reput.

“Kami kemudian segera membaling kayu untuk cuba menariknya dari situ, namun masih gagal dan mangsa terus dihanyutkan arus berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rahang, Zakaria Ahmad berkata, sepasukan anggota membabitkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan.

“Kita menyelamatkan kesemua mereka ke tempat selamat. Manakala, mangsa yang hanyut itu kita jumpai dan dibawa ke darat kira-kira 8.50 pagi tadi (semalam),” katanya.

Penjara lima tahun, 10 sebat akibat tipu MAIM



MELAKA - Seorang lelaki dihukum lima tahun penjara dan 10 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan menipu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Majistret Mozila Mohd Arsad menjatuhkan hukuman kepada tertuduh, Mazrin Abd Aziz, 35, kerana bersubahat dengan rakanya Khairul Mukhzani Khairuddin, 31, untuk menipu MAIM dengan mengemukakan satu surat pembayaran Interim oleh Uni Integrated Construction Sdn. Bhd.

Ia bagi pembinaan Kompleks MAIM mengarahkan pembaya-ran RM486,500 yang dimasukkan ke akaun Malayan Banking Berhad bernombor 5040-1282-9988 di 171-175, Jalan Munshi Abdullah pada 6 September 2005 kira-kira 10.45 pagi.

Tertuduh didapati dengan curangnya mendorong MAIM membuat bayaran RM486,500 ke dalam akaun tersebut dengan menggunakan cek Bank Islam Malaysia Berhad, sedangkan MAIM tidak akan membuat pembayaran tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Misteri kehilangan anak terjawab




MELAKA - Kebimbangan seorang ibu selepas anaknya tidak pulang ke rumah akhirnya terjawab apabila anaknya itu ditemui lemas di sungai berhampiran rumahnya di Paya Rumput, dekat sini semalam. Mohd Sapuan Zakaria, 19, ditemui mati dalam sungai berkenaan kira-kira 7 pagi oleh orang ramai.

Ibu mangsa, Surina Md Dom, 54, berkata, arwah yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu dipercayai lemas ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal jenis Yamaha EX5.

Manakala, katanya, motosikal yang ditungganginya ditemui di tepi sungai berkenaan.

‘Saya dipaksa mengaku curi’



BANDA HILIR - Tertekan dengan desakan menyebabkan seorang pembantu jualan di sebuah pasaraya dekat sini terpaksa mengaku mencuri wang walaupun sebenarnya dia tidak melakukan perkara itu.

Semuanya disebabkan takut dengan tiga pegawai yang mendesak dia mengaku mengambil wang dari kaunter juruwang, Sabtu lalu, sehingga mengheret dirinya ke dalam lokap.

Itulah yang dialami Adik (bukan nama sebenar), 24, apabila dia dipanggil masuk ke pejabat pengurusan pasaraya berkenaan kira-kira 3.30 petang, Sabtu lalu.

Adik berkata, dia berhada-pan dengan pengurus pasaraya, penyelia pengawal keselamatan dan seorang lagi lelaki yang kemudian menghulurkan sehelai kertas dan menyuruhnya menulis pengakuan mengambil RM85.90 dari kaunter juruwang pada 28 April lalu.

Menurutnya, mereka memaklumkan padanya ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kesalahannya, walaupun berulang kali menafikan tuduhan berkenaan.

“Bagaimanapun, apabila saya meminta untuk melihat sendiri rakaman CCTV itu, mereka enggan membenarkan saya berbuat demikian.

“Mereka terus mendesak saya supaya menulis pengakuan saya dengan menyuruh saya menulis berapa jumlah saya ambil, untuk apa saya ambil dan sebagainya.

“Kerana takut dengan desakan mereka, memandangkan saya merupakan satu-satunya perempuan di dalam bilik itu, saya tidak mempunyai pilihan melainkan melakukan apa yang mereka suruh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini malam kelmarin.

Terdahulu, Adik dengan ditemani keluarganya membuat satu laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Kaba ekoran tuduhan itu.

Dalam laporan berkenaan, dia mendakwa telah dipaksa pengurus pasaraya berkenaan supaya mengaku mengambil wang berkenaan.

Menurut Adik, selepas menulis pengakuan sebagaimana diminta, pihak pengurusan pasaraya berkenaan memaklumkan kepada polis sebelum dia ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap selepas itu.

Bagaimanapun, katanya, bapanya datang menjaminnya beberapa jam kemudian selepas dimaklumkan mengenai apa yang berlaku.

“Tuduhan berkenaan mendatangkan fitnah kepada saya. Lagipun, saya bertugas sebagai seorang pembantu jualan dan bukannya sebagai juruwang.

“Saya dan keluarga merasa amat tidak puas hati dengan apa berlaku,” katanya.

Berikutan itu, katanya, dia dan keluarga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka terbabit.

Kedai dipecah masuk



TAMAN ANIKA – Seorang peniaga sebuah kedai menjual barangan runcit di sini, mengalami kerugian ribuan ringgit apabila kedainya dipecah masuk pencuri malam, kelmarin.

Pemilik kedai, New Chee Lieh, 38, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu ketika mahu membuka kedainya seperti biasa pada jam 8 pagi semalam.

Menurutnya, dia membuka bahagian depan kedainya dan terus terlihat ruangan menyimpan rokok kosong.

“Sebanyak 30 karton rokok hilang serta 60 kotak minuman keras yang setiap satunya mengandungi 24 tin turut hilang.

“Selain itu beberapa barang seperti milo dan nescafe juga hilang dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Chee Lieh berkata, selepas dikenal pasti pencuri terbabit dipercayai masuk melalui pintu belakang kedai dan dianggarkan jumlah kerugian mencecah RM30,000.

“Malam semalam saya tutup kedai sekitar jam 10 malam dan saya tidur di tingkat atas bangunan kedai, namun tidak menyedari kejadian kecurian itu.

“Saya sudah berniaga di sini, hampir lima tahun dan ini adalah kejadian pertama seumpama ini,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Telok Kemang, di sini.

Sementara, kedai bersebelahan turut menjadi mangsa pecah dipercayai pada malam sama.

Pemilik kedai, S Sushela, 28, berkata, dia bergegas ke kedai selepas dimaklumkan rakannya tentang keadaan tingkap belakang kedainya yang terbuka dan didapati tiga alat pemain cakera dan beberapa peralatan suis elektrik hilang.

“Sebenarnya saya tidak membuka kedai ini sejak enam hari lalu, kerana keluarga mengadakan satu acara perayaan kepercayaan masyarakat Hindu.

“Saya tidak percaya kejadian seperti ini boleh berlaku. Saya bernasib baik kerana kerugian tidak terlalu banyak. Namun, tahap keselamatan kedai akan dipertingkatkan,” katanya.

Wanita diperdaya rakan lama


SHAH ALAM – Pertemuan kembali dengan seorang rakan sejak kecil beberapa bulan lalu bukan menjalin semula kemesraan tetapi membawa padah kepada seorang wanita setelah rakan yang sebelum ini terpisah itu memaksanya menelan bungkusan dadah.

Akibatnya, Roslaila Abd Aziz, 35, seperti ditimpa nasib malang pada 1 Mei lalu yang kebetulan Hari Buruh apabila ditahan polis di Lapangan Terbang Brisbane, Australia selepas polis menemui 75 bungkusan dadah dalam perutnya.

Itu angkara jerat rakan sejak kecil mangsa yang sanggup menganiaya wanita itu dengan menjadikannya keldai dadah ke luar negara semata-mata kerana wang.

Difahamkan, sebelum kejadian itu Roslaila dikatakan ditawar bekerja kerja sebagai pembantu untuk menggantikan seorang pekerja rakannya itu yang cuti bersalin.

Suami mangsa, Mohd Adam Aiman Abdullah, 32, berkata, wanita terbabit mendakwa memiliki sebuah spa kecantikan di Kuala Lumpur dan mengajak Roslaila ke Jakarta untuk mengambil barang perniagaan.

“Wanita itu datang ke rumah kami di Ipoh, Perak, pada 28 April lalu, untuk pujuk isteri saya kerja dengan dia. Saya izinkan isteri bekerja dan tinggal di rumah wanita itu di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Pengawal keselamatan itu berkata, bagaimanapun dia tidak langsung mengenali wanita itu tetapi menurut isterinya, wanita terbabit merupakan rakan sejak kecil yang terputus hubungan beberapa tahun tetapi bertemu semula enam bulan lalu.

“Saya terkejut selepas Roslaila telefon saya kelmarin dan beritahu dia ditahan di lapangan terbang.

“Dia beritahu dipaksa telan bungkusan dadah oleh rakannya itu dan teman lelaki yang merupakan lelaki Negro.

“Dua lelaki Negro, dipercayai rakan kepada teman lelaki wanita itu mengugut isteri saya dengan acukan pisau di leher dan sekiranya enggan menurut arahan mereka, dia akan dibunuh,” katanya.

Menurutnya, selepas itu Roslaila dipaksa ke Australia secara berseorangan untuk urusan dadah terbabit.

Sehubungan itu, Mohd Adam Aiman membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kelmarin dan meminta pihak Wisma Putra membantu isterinya.

Dia berharap supaya Roslaila dapat pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga.

Satu malam samun lima rumah



TELOK PANGLIMA GARANG - 10 lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan parang bukan hanya melarikan wang tunai dan barangan berharga malah, turut mengikat keluarga terbabit semata-mata bagi mendapatkan wang dan barangan berharga lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, dalam kejadian malam kelmarin, kesemua suspek terbabit berjaya memecah masuk lima buah rumah di Batu 7 dan Batu 8 Kebun Baru, di sini

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, anggota daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat bagaimana pun berjaya memberkas kesemua 10 penyamun berkenaan kurang 24 jam daripada masa kejadian.

“Saya menyarankan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) beroperasi di sesebuah kawasan bagi membantu mengurangkan kes jenayah sekali gus mensifarkan kes pecah rumah”, katanya yang turut melancarkan SRS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Wira dan Ops Payung di kawasan berkenaan.

Nordin berkata, dengan adanya penubuhan SRS dan Ops Payung yang dilancarkan, ia turut membantu mengurangkan indeks jenayah di Kuala Langat sekali gus membawa perpaduan dalam komuniti.

Malah, ia membuktikan komuniti bersatu hati bagi mengelak kawasan mereka dari terus dilabel sebagai kawasan jenayah.

Sementara itu, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Nordin Selamat, berkata, beliau berpuas hati apabila penubuhan SRS di Taman Desa Wira merupakan Penubuhan SRS pertama di DUN Sijangkang.

“Operasi mencegah dan mengawal keselamatan kawasan perlu diwujudkan di setiap kawasan bukan sahaja mengelakkan kes jenayah malah membantu meningkatkan keselamatan sesebuah komuniti.

“Saya juga menyarankan kawasan perumahan lain yang masih belum menubuhkan SRS dapat mencontohi Taman Desa Wira supaya perpaduan dapat diteruskan melalui aktiviti SRS dalam komuniti mereka,” katanya.

Bakal ke tali gantung



KUALA TERENGGANU- Seorang penagih tegar bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengedar dadah jenis heroin pada April lalu.

Tertuduh, Mat Salleh Kadir, 51, dari kampung Bukit Berangan, Tepoh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) Akta yang sama.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin, tertuduh telah mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 30.91 gram di dalam kawasan kebun kelapa di kampung Jeram, Tepoh pada 23 April lalu lebih kurang jam 8 malam.

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Majistret menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud.

Datuk 12 cucu otai dadah



FELDA KERTEH 3 – Biarpun pernah menjalani hukuman penjara, namun ia belum cukup menginsafkan seorang warga emas untuk kembali ke pangkal jalan.

Lebih menyedihkan, datuk 12 cucu itu dikatakan mengetepikan perasaan malunya apabila sanggup menggadai maruah diri dengan menjadikan tempat tinggal yang turut dihuni anak dan cucunya sebagai lokasi melepas gian.

Tindakan licik lelaki berusia lebih separuh abad itu bagaimanapun terbongkar apabila polis narkotik melakukan risikan atas kegiatan penyalahgunaan dadah oleh lelaki tua yang disifatkan ‘otai dadah’ itu sebelum satu serbuan dilakukan di rumahnya dekat sini kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Suspek yang ketika itu sedang tidur bagaimanapun kelihatan tergamam sebaik menyedari kehadiran anggota polis.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati dia yang menjadi sebahagian masyarakat peneroka yang tinggal di kawasan penempatan Felda itu positif dadah jenis morfin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah Rawatan dan Pemulihan.

Dewan makan jadi abu



MENGABANG LEKAR – “Sejak Bidong View Beach Resort dibuka pada 1993, inilah kebakaran pertama berlaku di kawasan ini yang melibatkan kerugian hampir RM50,000,” luah pemiliknya, Amir Hamzah Adam.

Menurut Amir, kejadian kebakaran membabitkan dewan makan yang boleh memuatkan seramai 100 orang itu terbakar kira-kira jam 2.40 petang dipercayai berpunca daripada pembakaran semak di sebelah chalet itu.

“Ketika kejadian, saya sedang berehat di rumah yang jaraknya 100 meter dari chalet dan memang tidak mengetahui kebakaran tersebut sehinggalah ternampak orang kampung meluru ke arah chalet dalam keadaan tergesa-gesa.

“Tanpa berlengah, saya terus meluru ke chalet dan ternampak asap tebal serta api sedang marak membakar hampir sebahagian dewan makan terbabit,” katanya.

Amir berkata, dalam keadaan kelam-kabut, dia menghubungi bomba dan kira-kira jam 3.30 petang sebanyak tiga jentera bomba dari Kuala Terengganu tiba, namun keseluruhan ruang di kawasan itu telah hangus.

“Walaupun mengalami kerugian, saya tetap bersyukur kerana dewan mesyuarat dan musala yang berada berdekatan dewan itu selamat.

“Kerja pengubahsuaian yang dilakukan sejak tiga bulan yang lalu turut menyelamatkan nyawa pekerja kerana operasi chalet ditutup buat sementara waktu, ketika kejadian tiada seorang yang berada di tempat itu,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat awal, dipercayai kebakaran itu berlaku akibat pembakaran semak tidak terkawal apabila salah satu daun pandan laut telah diterbangkan angin dan jatuh ke atas bumbung dewan makan yang diperbuat daripada getah PVC.

“Memandangkan cuaca sekarang yang panas dan berangin, menyebabkan ia terus merebak dan memusnahkan keseluruhan dewan terbabit,” katanya.

Kakitangan MBKT maut



KUALA TERENGGANU - Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) maut setelah motosikal jenis Yamaha Nouvo yang dinaikinya merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam satu kejadian kemalangan di jalan kampung Nibong, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, di sini, awal pagi, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa, Fazrul Wahid Mohamad, 39, dari kampung Bukit Besar, di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai tercampak ke atas jalan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah, Asisten Superintenden Khazahari Che Mat berkata, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di kampung Gong Pak Maseh selepas menghantar dua anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar gagal mengawal motosikal yang ditungganginya lalu merempuh sebuah Perodua Kembara yang diletakkan di bahu jalan.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan yang teruk di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kata Khazahari, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, menurut rakan sekerja mangsa, Jamalludin Nordin, 53, sebelum keja-dian, mangsa sudah ke tempat kerja di Bahagian Kejuruteraan, Jentera dan Loji MBKT di Pulau Kambing kira-kira jam 7.30 pagi.

“Dia memaklumkan kepada saya hendak pulang ke rumah sekejap untuk menghantar dua anaknya yang masing-masing bersekolah di darjah lima dan enam di SK Pusat Bukit Besar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Namun, menurut Jamalludin, tidak sampai setengah jam, dia terkejut menerima panggi-lan memaklumkan mangsa terlibat dalam kemalangan dan difahamkan cedera parah.

“Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan setibanya di sini, saya dapati dia sudah tiada lagi,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Mastura Mida, 35, yang bergegas ke tempat kejadian tidak dapat ditemu bual kerana terlalu sedih.

Polis tahan enam suspek melalui facebook



SHAH ALAM - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan melalui laman sosial Facebook setelah menahan empat lelaki rakyat asing dan dua wanita tempatan di sekitar ibu negara melibatkan kerugian RM1.11 juta dalam Ops Tiong semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata dua rakyat Afrika dan dua Bangladesh serta dua wanita yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 33 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Kepong ekoran laporan polis oleh seorang wanita berumur 48 tahun di Kota Kinabalu, Sabah Mac lepas.
"Dua warga Bangladesh yang ditahan adalah pekerja kepada suspek utama yang juga seorang warga Afrika," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Beliau berkata modus operandi sindiket terbabit ialah dengan memancing mangsa secara berkenalan melalui Facebook dan selepas beberapa minggu suspek akan memperdaya mangsa dengan memberitahu beliau mendapat projek dengan Petronas dan menunggu baki pembayaran daripada Petronas berjumlah kira-kira RM4.6 juta.
"Suspek pada awalnya meminta pertolongan mangsa untuk menggunakan akaun bank mangsa bagi menerima sejumlah wang daripada apa yang dikatakan kontrak yang telah diperoleh daripada Petronas.
"Lelaki itu mendakwa terdapat caj insurans dan duti stem yang perlu dibayar sebelum dia boleh mendapatkan kontraknya yang benilai kira-kira RM4.6 juta itu," katanya.
Syed Ismail berkata susulan penangkapan itu, polis merampas wang tunai lebih RM15,000, 18 kad ATM pelbagai bank, tujuh telefon bimbit dan sebuah komputer riba.
Beliau berkata kesemua suspek yang kini ditahan reman disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 1,114 kes penipuan menerusi internet dilaporkan di seluruh negara melibatkan kerugian RM3.12 juta.- Bernama

Gempa bumi lemah dikesan di Lahad Datu, Sabah



KUALA LUMPUR - Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter dikesan berlaku berdekatan Lahad Datu, Sabah pada pukul 3.43 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, pusat gegaran itu dikesan di 4.9 darjah Utara dan 117.6 darjah Timur iaitu 79km dari barat daya Lahad Datu.

Gegaran mungkin dapat dirasai di beberapa kawasan di bahagian Tawau dan Lahad Datu, kata kenyataan itu.

Dua pelancong wanita Singapura hilang di Taman Negara



KUANTAN - Dua pelancong wanita warga Singapura dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti "jungle trekking" di kawasan Hutan Taman Negara berdekatan Kuala Tembeling, Jerantut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Wendy Zhao, 26, dan Yiling Neo, 20-an, dikatakan melakukan aktiviti itu pada 10 pagi Isnin lepas tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong.
"Kedua-dua sahabat itu sepatutnya daftar keluar dari tempat penginapan mereka semalam.
"Pihak hotel telah memaklumkan kepada polis bahawa mereka tidak mendaftar keluar dan dipercayai telah tersesat semasa melakukan aktiviti berkenaan," katanya hari ini.
Beliau berkata, gerakan mencari melibatkan pasukan keselamatan dan penduduk kampung telah dijalankan sejak petang semalam.
"Sehingga kini mereka belum ditemui dan operasi mencari dan mengesan masih diteruskan sehingga jam 7 petang ini, dan akan disambung semula esok," katanya.
Beliau berkata pihak kedutaan Singapura dan keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan.- Bernama

Dua Polis Dihukum Kerana Rasuah



SHAH ALAM: Seorang wanita yang tidak dapat menerima hakikat suami tersayang bakal meringkuk di penjara bertindak menghantukkan kepala ke dinding Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Wanita tersebut juga menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga sehingga dia ditenangkan oleh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, esakan wanita itu semakin kuat apabila melihat tangan suaminya, K. Vellu digari oleh anggota polis untuk dibawa ke lokap mahkamah.
Vellu yang merupakan seorang anggota polis yang berpangkat konstabel diarahkan menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan denda RM25,000 selepas disabitkan bersalah atas dua pertuduhan rasuah.
Hakim Aslam Zainuddin juga memerintahkan agar tertuduh yang mempunyai dua orang anak berusia empat tahun dan tujuh bulan dihukum penjara 25 bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Vellu didakwa telah bersetuju untuk menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada seorang warga India, Mohamed Jallaluddin Syed Ibrahim pada pukul 11.30 malam, 11 Januari 2005 di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, dekat sini.
Dia juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu didakwa telah secara rasuah menerima RM500 daripada Mohamed Jallaluddin pada pukul 9.50 malam, 12 Januari 2005 di Restoran Maju Curry House, Petaling Jaya.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap Mohamed Jallaluddin yang berkerja sebagai guru sekolah memandu tanpa permit kerja yang sah.
Sementara itu, rakan sejawatan Vellu, K.Murali dihukum penjara selama dua tahun dan denda RM15,000 atau 15 bulan penjara jika gagal, selepas disabitkan bersalah bersubahat untuk bersetuju terima suapan tersebut pada 11 Januari 2005.
Vellu dan Murali, kedua-duanya berusia 29 tahun terdahulu merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadap mereka yang merupakan penyara tunggal keluarga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Josiendra Abu Senin memohon mahkamah memberikan hukuman yang dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh.
"Kesalahan rasuah bukan hanya dilihat daripada jumlah wang yang terlibat, tetapi perlu juga dilihat dari segi moral dan etika serta kesannya kepada masyarakat," katanya.
Pada prosiding sama, Aslam juga menolak permohonan peguam-peguam A Kalidas dan M Suria yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman atas alasan permohonan tersebut perlu dibuat secara rasmi sebelum diputuskan.

Polis Tahan Pemandu Lori Curi Komputer Riba 1Malaysia



TIMBALAN Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar (dua dari kiri) menunjukkan komputer riba 1Malaysia yang dicuri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, hari ini. Sebanyak 23 komputer riba yang dianggarkan bernilai RM35,000 dilarikan tiga lelaki selepas memecah masuk ke dalam sebuah pejabat di Krsytal Point, dekat Bayan Baru, Bukit Mertajam, 11 April lalu. - Foto Bernama
bharian


BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang pemandu lori yang membuat laporan polis mendakwa lori dengan muatan 355 unit komputer riba 1Malaysia bernilai RM324,825 yang dibawanya dicuri ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 7.30 pagi, 28 April lepas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pemandu lori berusia 45 tahun itu ditahan selepas membuat laporan mengenai kejadian itu pada hari yang sama setelah mendapati laporan itu mencurigakan.
Siasatan yang dijalankan mendapati pemandu lori itu bersama rakannya berusia 47 tahun merancang untuk mencuri muatan lori berkenaan, katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.
Abdul Rahim berkata susulan penahanan pemandu lori itu, polis membuat serbuan di dua lokasi iaitu Taman Sutera Prima dan Taman Tun Hussein Onn dan menemui semula semua komputer netbook berkenaan.
"Polis berjaya menemui semula kesemua netbook 1Malaysia yang dibawa dari Taman Tanjung Aman dan sepatutnya dihantar ke beberapa buah sekolah di Sungai Bakap dan Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) itu," katanya.
Beliau berkata siasatan juga mendapati pemandu lori berkenaan memberi kunci pendua kepada rakannya untuk melarikan lori dan muatan yang dibawa sebelum menyembunyikannya.
"Pemandu lori berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah, curi dan rogol dan kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan," katanya.
Pada perkembangan lain, beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial telah menjalankan lima serbuan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) dalam tempoh sebulan lepas dan merampas 3,852 keping DVD haram serta 750 keping DVD lucah bernilai RM33,416.
Katanya sepanjang operasi itu juga, polis menahan lima lelaki berusia 20 hingga 30 tahun yang dipercayai pengedar DVD haram di sekitar kawasan SPT.
Mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2001 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.-BERNAMA

Polis Tahan Warga Taiwan, Rampas Dadah Bernilai RM7.1 Juta



SHAH ALAM: Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah jenis Eramin 5 selepas menahan dua orang termasuk seorang rakyat Taiwan dan merampas dadah bernilai RM7.1 juta di sebuah rumah kedai kosong di Bandar Pinggiran Subang, Petaling Jaya, Isnin lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kedua-dua suspek dipercayai ahli kimia yang berpengetahuan memproses dadah, ditahan kira-kira pukul 3 petang hasil maklumat orang ramai.
"Dalam serbuan itu, polis merampas 317,130 biji pil Eramin 5 seberat 54.6kg, empat bungkusan plastik besar yang mengandungi serbuk Eramin 5 seberat 6.08kg, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM7.1 juta.
"Selain itu, polis turut merampas bahan-bahan kimia dan mesin yang digunakan untuk memproses dadah itu serta wang tunai RM21,000, dollar Taiwan 101,800, dollar Singapura 7,572, Yuan China 1,440 dan dollar Hong Kong 450," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini. Tun Hisan berkata siasatan mendapati sindiket itu membekalkan dadah di Malaysia dan luar negara.
Katanya, kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 35 dan 41 tahun disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Pegawai Penjara Ditahan Kerja Didakwa Kasari Orang Awam



KOTA KINABALU: Seorang pegawai penjara dari Sekolah Henry Gurney di Keningau telah ditahan kerja berhubung dakwaan mengasari seorang lelaki di tempat awam pada 30 April lepas.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Jabatan Penjara Malaysia, berkata ia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis agar siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
"Sekiranya hasil siasatan menunjukkan pegawai tersebut terlibat, adalah ditegaskan tindakan sedemikian merupakan tindakan individu dan tidak berkaitan dengan Jabatan Penjara," kata kenyataan itu.
Jabatan Penjara juga menjalankan siasatan dalaman bagi membolehkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai itu.
Siasatan itu dijalankan ekoran laporan dalam laman web sabahkini.net pada 1 Mei lalu berhubung tindakan seorang pegawai Jabatan Penjara dan rakan-rakannya menggunakan kekerasan dan mencederakan seorang lelaki bernama Ben Cheah Pin Xenpada lewat malam 30 April di sebuah kedai di Keningau. - BERNAMA

Polis sahkan kebakaran pejabat DUN Pas akibat khianat


PASIR PUTEH 4 Mei - Polis hari ini mengesahkan bahawa kejadian kebakaran di pejabat anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal di Pasir Puteh pada Sabtu lepas adalah akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd. Kamal Zainal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan akibat khianat ke atas bangunan.
"Kami tidak boleh bagi komen lanjut mengenainya sehingga siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Anggota Dewan Undangan Negeri Gaal Dr Nik Mazian Nik Mohamad mendakwa beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah sabotaj di atas kejayaannya mempertahankan jawatan Yang Dipertua Pas Pasir Puteh. - Bernama

Sony terus digodam



TOKYO 3 Mei – Krisis keselamatan Internet Sony semakin buruk berikutan pendedahan terbaru syarikat itu, semalam bahawa penggodam telah mencuri data daripada 25 juta pengguna sistem permainan komputer mereka, Sony Online Entertainment.
Pendedahan itu dibuat sehari selepas orang nombor dua Sony, Kazuo Hirai mengumumkan satu penilaian baru diperkenalkan untuk menghindari serangan siber seperti yang berlaku ke atas PlayStation Network.
Ia dilakukan bagi memperbaiki imej syarikat itu dan memberi jaminan kepada penggunanya yang mungkin beralih ke permainan Microsoft, Xbox.
Serangan terbaru yang didedahkan, semalam itu berlaku sehari sebelum satu lagi kes pencerobohan besar ke atas rangkaian permainan video yang menyebabkan kecurian 77 juta akaun pengguna PlayStation Network.
Syarikat elektronik Jepun ini berkata, mereka mengesan pencerobohan rangkaian permainan komputer di dalam talian ini pada 2 Mei lalu.
Pencerobohan itu menyebabkan kecurian 10,700 rekod debit secara langsung daripada pengguna di Austria, Jerman, Belanda dan Sepanyol serta 12,700 nombor kad kredit dan debit dari luar Amerika Syarikat (AS).
Rangkaian Sony Online Entertainment ialah perkhidmatan yang membolehkan seseorang itu bermain permainan komputer di Internet.
Menurut Sony, data seperti nama, alamat, e-mel, tarikh lahir, nombor telefon dan beberapa maklumat lain daripada 24.6 juta pengguna permainan komputer itu telah dicuri daripada pelayan mereka, selain satu ‘pangkalan data lama’ tahun 2007.
Jurucakap permainan itu yang beribu pejabat di San Diego berkata, perkhidmatan tersebut telah dihentikan pada pukul 1.30 pagi waktu Pasifik, semalam.
Jurucakap Sony, Sue Tanaka ketika ditanya mengenai risiko kecurian data lain memberitahu bahawa mereka telah mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan firewall (pengasingan virus). – REUTERS

New Zealand pula dilanda puting beliung kuat



Beberapa buah kereta terbalik dan mengalami kerosakan teruk di tempat letak kereta di sebuah pusat memebli-belah selepas dilanda puting beliung kuat di pinggir Albany di Auckland, semalam. - REUTERS


WELLINGTON 3 Mei - Dua maut sementara lebih 20 yang lain cedera apabila satu puting beliung kuat membadai bandar terbesar New Zealand, Auckland hari ini, mengakibatkan bumbung sebuah kompleks membeli belah di pinggir bandar itu runtuh.
Angin kencang sehingga 200 kilometer sejam menghentam Albany pada kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia), menerbangkan kereta-kereta, menumbangkan pokok dan mengakibatkan kemusnahan teruk sepanjang beberapa kilometer.
Rakaman televisyen turut menunjukkan satu serpihan besar bumbung berterbangan semasa ribut itu, sekali gus mencetuskan panik di kalangan penduduk yang lari menyelamatkan diri.
Seorang saksi, Rob Crawford berkata, puting beliung itu disertai bunyi deruman kuat seperti 'vakum gergasi' semasa ia membadai Albany Megacentre, satu daripada kompleks membeli-belah terbesar di negara ini.
Jelasnya, puting beliung itu melanda hanya selama 30 saat.
Sementara itu, di Amerika Syarikat (AS), data awal Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Negara menunjukkan sebanyak 312 puting beliung direkod dalam tempoh 24 jam pada minggu lalu.
Menurut agensi itu, ia merupakan bilangan puting beliung terbanyak pernah direkod dalam tempoh sehari sejak 1925, yang turut mengorbankan 340 nyawa dalam tempoh sama. - AFP

Bekas polis digantung kerana bunuh anggota Rela



SHAH ALAM 3 Mei - ''Makcik takkan maafkan dia!'' Itu luahan hati seorang ibu, Saemah Mohamad, 58, sebaik sahaja Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang bekas anggota polis yang didapati bersalah membunuh anak keduanya, tiga tahun lalu.
Wanita yang tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan kes tersebut dan sering memandu sendiri kenderaannya dari Mentakab, Pahang turut menyuarakan rasa lega mendengar keputusan tersebut.
Terdahulu, Hakim Noor Azian Shaari sebelum menjatuhkan hukuman tersebut menyatakan, pembelaan Mohd. Fadli Mohd. Yusof @ Katang, 44, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes tersebut.
''Oleh itu saya mensabitkan kamu dengan pertuduhan yang dihadapi dan menjatuhkan hukuman tanpa pilihan lain iaitu gantung sampai mati,'' ujarnya.
Mohd. Fadli disabitkan bersalah membunuh Suhadi Ramli, 37, seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di antara pukul 6.15 petang, 25 Julai 2009 dan 3.30 petang, 28 Julai 2009 di Jalan Keretapi Lama, Rantau Panjang, Klang dekat sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Zuraida Wan Nawan manakala tertuduh diwakili peguam bela, K. Vigneswaran.
Seramai 24 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan manakala barisan pembelaan hanya memanggil tiga saksi termasuk Mohd. Fadli.
Menurut keterangan dua saksi yang juga rakan tertuduh, Mohd. Fadli telah mengambil Suhadi di rumah rakannya di Kampung Awah, Pahang kononnya hendak dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Dalam perjalanan, saksi-saksi tersebut telah melihat tertuduh memukul mangsa dengan kayu sebelum dimasukkan ke dalam kereta dan ditinggalkan di dalam longkang bersebelahan dengan Jalan Keretapi Lama.
Laporan forensik menyatakan punca kematian mangsa adalah akibat hentakan objek keras di bahagian kepala sehingga menyebabkan tengkorak retak.

Mayat lelaki perut terbakar ditemui



IPOH 3 Mei – Sekumpulan pengunjung yang sedang beriadah di Taman D.R. Seenivasagam di sini, dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang keadaan perutnya terbakar.
Pada mulanya, ketika ditemui kira-kira pukul 7 pagi, pengunjung menyangkakan lelaki itu adalah pengemis yang sedang tidur di kawasan rekreasi tersebut.
Bagaimanapun mereka mula mengesyaki sesuatu kerana lelaki tersebut masih tidak bergerak selepas kira-kira sejam, lalu seorang pengunjung mendekati lelaki itu dan mendapati dia sudah mati dengan kesan torehan dan perutnya terbakar.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa dikenali sebagai M. Daniel, 31, dan dia dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di situ.
“Siasatan awal mendapati, terdapat kesan torehan pisau di dahi mangsa sepanjang kira-kira 7.5 sentimeter. Selain itu, terdapat kesan terbakar di perut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, adik mangsa, M. Donovan, 30, ketika ditemui memberitahu, keluarganya amat terkejut dengan penemuan mayat abangnya yang bekerja sebagai buruh itu.

Sindiket curi besi tumpas




ANGGOTA polis memeriksa besi landasan kereta api yang dicuri sekumpulan lelaki di Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 3 Mei - Sekumpulan 26 lelaki termasuk 19 warga asing dicekup ketika sedang leka mencuri besi di sebuah landasan kereta api berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dekat sini kelmarin.
Kesemua mereka daripada sebuah sindiket sebelum ini pernah mencuri lebih 400 meter besi landasan kereta api di Selangor bernilai jutaan ringgit.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mereka hanya mampu tergamam dan tidak sempat melarikan diri apabila lokasi terbabit diserbu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, serbuan dilakukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Selangor selepas mendapat maklumat awam.
Menurutnya, kegiatan jenayah secara besar-besaran berkenaan dilakukan kerana landasan yang ditinggalkan sejak beberapa tahun itu tidak dilalui oleh orang awam.
"Ketika diserbu kesemua mereka sedang sibuk mengeluarkan baki besi landasan kereta api berkenaan. Polis turut merampas alat pemotong besi, sebuah lori dan jengkaut yang dipercayai digunakan untuk kerja-kerja mencuri besi," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, hari ini.
Beliau menambah, sindiket tersebut yang aktif sejak setahun lalu dipercayai menjadikan hari cuti sebagai waktu untuk mencuri dalam skala besar menggunakan tenaga kerja tambahan.
"Polis kini sedang mengesan kedai-kedai barangan lusuh yang menjadi tempat penjualan besi tersebut. Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Katanya, siasatan turut dibantu oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Berpura-pura diculik terdesak sedia wang perkahwinan



PETALING JAYA 3 Mei - Seorang lelaki sanggup memperdayakan bakal tunangnya dengan mengatakan dirinya diculik selepas terdesak untuk menyediakan wang belanja bagi majlis pertunangan dan perkahwinan mereka.
Pemuda berusia 26 tahun itu berpura-pura diculik sebelum meminta bakal tunangnya, 25, yang bekerja di sebuah hospital swasta di Damansara membayar wang tebusan bernilai RM47,000 bersama sebuah kereta pada Ahad lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek pada mulanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan telefon bimbitnya kepada teman wanitanya itu untuk memaklumkan kejadian berkenaan kira-kira 6.30 petang.
"Suspek memberitahu wanita itu bahawa dia telah diculik, diikat dan matanya ditutup menggunakan pita pelekat serta tidak mengetahui lokasi dan kedudukan tempat dia disembunyikan.
"Tidak sampai tiga jam kemudian, suspek sekali lagi menghantar SMS dan meminta menyediakan wang tebusan berjumlah RM47,000 dan sebuah kereta milik wanita itu dan jika tidak berbuat demikian dia akan dicederakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan rel berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Tun Hisan berkata, bimbang dengan keselamatan suspek, wanita itu kemudiannya bertindak membuat laporan polis dan polis terus melancarkan gerakan bagi mengesan bakal tunang mangsa yang dikatakan diculik.
Beliau berkata, muslihat suspek bagaimanapun berakhir apabila dia berjaya ditahan sepasukan polis di Kuala Lumpur Sentral dekat Brickfields keesokan harinya kira-kira 10.15 malam.
"Hasil siasatan mendapati suspek sengaja mereka-reka cerita dengan mengatakan dirinya diculik kerana terdesak untuk menyediakan wang belanja sedangkan tarikh majlis itu semakin hampir," katanya sambil menambah pasangan itu telah berkenalan sejak empat tahun lalu.
Katanya, polis turut merampas dua buah telefon bimbit daripada lelaki terbabit dan kad pengenalan miliknya untuk siasatan.
Beliau berkata, pihak polis tidak memandang ringan kes yang membabitkan penculikan dan akan bertindak segera sebaik menerima laporan.
Dalam pada itu, mengenai kes samun barangan kemas dan berlian bernilai jutaan ringgit di sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di Mutiara Damansara, beliau berkata, polis sedang mengenal pasti suspek warganegara asing yang terlibat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.
Beliau berkata, rakaman CCTV itu menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita sedang bercakap dengan pekerja premis terbabit manakala seorang lelaki menarik sebuah beg mengandungi barangan kemas tanpa disedari oleh pekerja kedai.
"Meskipun kualiti rakaman CCTV yang diperoleh rendah, kita telah menghantar beberapa keping gambar kepada Jabatan Forensik untuk peningkatan kualiti bagi mengenalpasti mereka yang terbabit.
"Kita percaya ketiga-tiga mereka berusia dalam lingkungan umur 30-an," katanya.
Kira-kira pukul 10.30 malam pada 29 April lepas, sekumpulan warga asing melarikan sebuah beg berisi barang kemas dan berlian selepas menyamar sebagai pelanggan ketika premis tersebut hendak ditutup di kompleks tersebut tanpa disedari sesiapa.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau balai polis berdekatan. - BERNAMA

Gadis maut ditikam kekasih kerana tolak lamaran



ALOR SETAR 3 Mei – Seorang gadis berusia 23 tahun maut ditikam teman lelakinya dipercayai setelah menolak lamaran untuk berkahwin dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Stadium di sini malam tadi.
Dalam kejadian antara pukul 10.45 hingga 11 malam itu, mangsa, Ratna Sufizzah Riyyanti Omar mati di tempat kejadian akibat ditikam beberapa kali menggunakan pisau di dada, perut dan tangan oleh suspek yang berusia lingkungan 50-an.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Adzaman Mohd. Jan berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Jalan Sultanah Sambungan di sini baru sebulan berpindah ke Alor Setar.
“Sebelum ini suspek bekerja sebagai chef di sebuah hotel di Genting Highlands dan dipercayai telah mempunyai keluarga di Johor Bahru. Mangsa dan suspek dipercayai berselisih faham setelah mangsa mahu perhubungan mereka diputuskan semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa merupakan graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekerja di sebuah kilang di Gurun sejak setahun lalu.
“Sebaik sahaja menikam mangsa, suspek terus menceritakan perkara tersebut kepada majikannya dan atas nasihat majikannya suspek menyerah diri kepada polis pada pukul 1.30 pagi ini,” katanya.
Mohd. Adzaman memberitahu, suspek yang mengaku menjalin hubungan dengan mangsa sejak lima tahun lalu kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumahnya di Kampung Balik Bukit, Tobiar, Pendang selewat-lewatnya pukul 7 petang.

'Tolonglah bawa anak saya pulang'




Azmi Sulaiman dan isterinya, Pahzin Fatimah Mohd. Noor menunjukkan gambar Azhlina yang didakwa dilarikan seorang pemuda ke Kalimantan Timur, Indonesia di rumahnya Kampung Bukit Tiu, Machang, semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH


MACHANG 3 Mei - Seorang bapa merayu agar pihak berkuasa membantu membawa pulang anak perempuan sulungnya, Azhlina Azmi, 23, yang dilarikan oleh seorang pemuda dari Lombok, Indonesia dikenali sebagai Salleh sejak tiga tahun lalu.
Menurut Azmi Sulaiman, 50, dia dan ahli keluarga sangat berharap Azhlina dapat dibawa pulang kerana mereka amat merinduinya.
"Sudah lama kami merinduinya, saya sudah tidak tahan menanggung derita, tolonglah bawa anak saya pulang. Kami tidak mampu, jadi kami berharap ada pihak yang sudi kerana dia juga ingin pulang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Azmi memberitahu, anak sulung daripada enam beradik itu dipercayai mengikut Salleh yang pernah bekerja di sebuah kilang papan di Padang Tengku, Pahang, sementara anaknya itu bekerja sebagai akauntan di kilang yang sama.
Menurutnya, mereka yang sebelum ini menetap di Pahang, telah berpindah ke Kampung Bukit Tiu dekat sini, sementara Azhlina mengambil keputusan untuk terus bekerja di sana.
"Kali terakhir kami berjumpa dengan Lina (Azlina) semasa dia pulang ke kampung pada 21 Februari 2008 sempena cuti Tahun Baru Cina.
"Selepas tiga bulan kehilangannya, anak lelaki saya, Azizul Hafiz, 22, menerima panggilan telefon daripada Lina yang memberitahu dia berada di Indonesia dan sudah berkahwin tetapi tidak mengingati bagaimana dia ke sana dan di mana dia berkahwin," katanya.
Azmi berkata, Azhlina turut memberitahu dia berada di rumah kongsi di kawasan Desa Kebun Agung Rantau Pulung, Balik Papan, Kalimantan Timur, Indonesia bersama suaminya yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit dengan pendapatan kira-kira RM15 sehari.
Jelasnya, Azhlina kerap menelefon dan merintih mengenai kehidupannya di sana yang begitu daif selain merayu supaya dia dapat dibawa pulang.
"Dia sudah mempunyai anak dan bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak untuk membantu suami. Dia terlalu ingin pulang tetapi tidak mampu. Kehidupan mereka sekeluarga sangat miskin kerana pendapatan yang diperolehi hanya cukup untuk menampung hidup setiap bulan," ujarnya.

Bingkas bangun gantung diri


KULIM: “Sejurus masuk ke rumah, saya nampak suami menggantung diri dengan kain di ruang tamu sebelum saya berlari membuka lilitan di lehernya.
“Suami jatuh ke riba saya, namun dalam keadaan lemah. Bagaimanapun, dia bangun semula dan mengambil kain cadar serta melilitkan di lehernya sebelum melompat dari kerusi menyebabkan dia meninggal dunia,” kata seorang isteri yang menyaksikan tindakan nekad suaminya menggantung diri di rumah mereka di Kampung Padang Janggus, di sini, pagi kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, wanita yang tidak mahu dikenali itu berada di luar rumah, manakala anak-anaknya sudah ke sekolah.

Wanita berusia 20-an itu berkata, dalam cubaan kali pertama, dia berjaya menyelamatkan suaminya, malah memintanya mengucap dua kalimah syahadah, namun apabila suaminya bangun semula dan mengambil kain cadar sebelum melompat dari atas kerusi, dia tidak mampu menghalang.


“Kejadian berlaku pantas malah saya sendiri terkejut dengan tindakan suami yang sanggup berbuat sedemikian,” katanya.

Ayah rebah ketika memandu


SEREMBAN: “Dalam keadaan panik, saya memegang stereng sambil menarik brek tangan beberapa kali untuk memberhentikan lori bagi mengelak ia merempuh kereta dari arah bertentangan,” kata Ee Rui Kiat, 19, yang bapanya meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu lori dinaiki mereka berdua, semalam.
Ee Poon Kam, 62, memandu lori membawa bahan kimia bersama Rui Kiat, apabila dia tiba-tiba rebah dan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Sungai Gadut.

Menurut Rui Kiat, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, mereka dalam perjalanan dari Bukit Katil, Melaka, menuju bandar ini untuk menghantar bekalan bahan kimia.

“Kami baru selesai bersarapan di Rembau sebelum bapa memandu lori meneruskan perjalanan ke Seremban. Ketika itu saya tidak nampak sesuatu yang mencurigakan,” katanya.

Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian, dia terkejut apabila melihat bapanya rebah ke sebelah kiri hingga menyebabkan lori terhuyung-hayang.

“Saya segera memegang stereng sambil menarik brek tangan bagi memberhentikan lori di bahu jalan,” katanya.


Rui Kiat bersyukur terselamat dan sempat mengelakkan lori bertembung kenderaan lain.

“Saya selalu menemani bapa menghantar bekalan barang pelanggan di luar Melaka,” katanya. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

‘Pergi tak toleh’


KUALA TERENGGANU: “Dia tergesa-gesa keluar dari pejabat tanpa menoleh dan cuma memberitahu mahu cepat menghantar dua anaknya ke sekolah,” kata Jamaluddin Nordin, 53, rakan sepejabat mangsa kemalangan maut di Kampung Nibong, dekat sini, semalam.
Fazrul Wahid Mohamad, 39, maut di tempat kejadian apabila motosikal Yamaha Nouvo ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam, Kampung Nibong.

Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting dari motosikalnya dan jatuh beberapa meter di tepi jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jamaluddin yang ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa adalah rakan sepejabatnya yang bertugas di Bahagian Jentera dan Loji Majlis Perbandaran Kuala Terengganu di Pulau Kambing.

“Sebelum kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang sikap pelik, tetapi memang dia tergesa-gesa keluar kerana mahu menghantar anak ke sekolah.

“Kami pasti akan merasai kehilangan rakan yang begitu mesra dan baik, lagipun dia sentiasa ringan tulang dan cepat memberikan pertolongan apabila melihat rakan dalam kesusahan,” katanya.


Usaha wartawan untuk menemubual isteri mangsa, Mastura Muda, 35, yang berada di rumahnya di Kampung Gong Pak Maseh, di sini gagal berikutan dia menolak untuk ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kemalangan yang meragut nyawa suaminya. Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Amat berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berkenaan sebelum merempuh Perodua Kembara yang diletakkan di bahu jalan pada jam 8.10 pagi.

Khazahari berkata, Fazrul Wahid dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar dua anak perempuannya ke sekolah.
“Akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting dari motosikalnya dan jatuh beberapa meter di tepi jalan.

“Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Nur Zahirah sebelum dituntut ahli keluarga semalam.

Teksi samseng


PUCHONG: Berlagak samseng. Itulah situasi yang dialami pengguna teksi di beberapa lokasi di sini apabila segelintir pemandu teksi yang didakwa bersikap kurang ajar selain memeras pengguna.
Mereka bukan saja enggan menggunakan meter dan mengenakan tambang tidak berpatutan dengan jarak yang dituju, malah tergamak memarahi pengguna yang mempersoalkan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Segelintir teksi yang beroperasi di lokasi tumpuan orang ramai seperti di pasar raya besar Tesco dan IOI Mall Puchong itu dipercayai turut bergerak dalam kumpulan selain tidak membenarkan teksi lain mengambil penumpang di kawasan ‘taklukan’ mereka itu.

Seorang penduduk berhampiran yang ingin dikenali sebagai Joe berkata, jika ada teksi lain yang cuba mengambil penumpang di situ, mereka akan membunyikan hon sekuat-kuatnya sebagai isyarat supaya teksi berkenaan beredar dari situ.

“Saya pernah menyaksikan sendiri sikap biadab mereka menghalau pemandu teksi lain yang bukan terdiri daripada kumpulan mereka, malah saya difahamkan terdapat dalang yang memantau kehadiran teksi lain di kawasan itu.

“Sikap samseng yang ditunjukkan pemandu teksi terbabit menyebabkan teksi lain tidak berani lagi mengambil penumpang melainkan jika mereka memang ditempah pelanggan untuk mengambil dan menurunkan mereka di situ,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Katanya, walaupun mereka sudah beberapa kali diserbu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka masih berdegil seolah-olah tidak gentar dengan hukuman yang dikenakan, malah meneruskan kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Pekerja swasta, Zaki Azhar, 25, pengalaman diperas pemandu teksi di kawasan terbabit cukup menyakitkan hati selain alasan diberi kerana tidak menggunakan meter adalah tidak masuk akal.
“Pemandu teksi menutup meter dengan topi sebaik saja memulakan perjalanan supaya saya tidak dapat melihat caj yang sepatutnya dibayar.

“Apabila saya bertanya tindakannya berbuat demikian, dia hanya memberi alasan meter teksinya bermasalah selain memberitahu kebanyakan teksi di kawasan itu memang tidak menggunakan meter.

“Akhirnya saya dikenakan bayaran RM12 bagi perjalanan yang tidak sampai lima minit dari Tesco Puchong ke Batu 12, Puchong,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mengadakan operasi berskala di kawasan panas termasuk di sekitar Puchong.

“Kami sedia maklum, memang Puchong antara kawasan yang bermasalah dengan pemandu teksi berkenaan dan SPAD sentiasa tegas dalam hal ini. Kami akan adakan operasi berterusan termasuk secara mengejut untuk mengesan pemandu teksi yang melanggar peraturan,” katanya.

“Justeru, saya berharap orang ramai berani tampil untuk memberi maklumat kepada SPAD supaya kami dapat mengenal pasti pemandu teksi terbabit dan mengenakan tindakan,” katanya.

Enam rumah musnah dalam kebakaran


SHAH ALAM: Enam unit rumah kembar di Lorong Haji Hussin, Jalan Kebun di Seksyen 30 di sini, musnah dalam satu kebakaran malam tadi.
Jurucakap bomba berkata 19 anggota dari Balai Bomba Kota Raja, Seri Andalas dan Shah Alam mengambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran.

Katanya punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.

Dihalau keluar


SHAH ALAM: Hanya dengan satu khidmat pesanan ringkas (SMS), enam pelajar perempuan sebuah kolej swasta berhadapan saat sukar apabila dihalau pemilik rumah dengan alasan semua mereka tidak membayar sewa seperti jumlah sepatutnya hujung bulan lalu.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, semua pelajar terbabit pula sedang melalui minggu peperiksaan. Mereka kini terpaksa menumpang bersama rakan lain sementara mencari rumah sewa baru.

Menurut salah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Zai, 21, pemilik rumah disewanya begitu sukar untuk dihubungi kerana jarang mengangkat telefon apatah lagi menjawab SMS.

Semuanya bermula apabila mereka mendapati bil penyelenggaraan apartmen yang mereka sewa tertunggak sebanyak RM 627.80 selepas bekalan air di rumah mereka dipotong dan ketika cuba menghubungi pemilik, panggilan serta SMS mereka tidak diendahkan.

Oleh itu, mereka mengambil inisiatif membayar sendiri bil berkenaan dengan menolak dari jumlah bayaran sewa sebanyak RM 1,300 dan kemudian memaklumkan kepada pemilik itu melalui SMS. Dalam kejadian terbaru 26 April lalu, bekalan air di rumah mereka sekali lagi dipotong dan selepas mereka menjelaskan tunggakan itu dengan cara sama seperti sebelum ini dan menghubungi pemilik, mereka dikejutkan dengan SMS daripada pemilik menyatakan mereka dikehendaki keluar dari apartmen itu selewat-lewatnya 28 April. Mereka bertegas tidak mahu keluar dengan alasan pemilik rumah itu enggan memulangkan deposit sebanyak RM 1,300 kepada mereka sebelum menerima SMS ugutan menyatakan pemilik itu tidak teragak-agak menggunakan khidmat polis untuk menghalau mereka.

Sehubungan itu, mereka membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong pada 27 April lalu berikutan dihalau tanpa notis serta keengganan pemilik rumah menyerahkan deposit sewa sedangkan mengikut kontrak, mereka berhak mendapat kembali wang itu.


“Pemilik terbabit hanya menghantar SMS kepada kami setiap kali menuntut bayaran sewa rumah, selain itu, memang langsung tiada khabar berita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Telan dadah atau bunuh


IPOH: Ajakan rakan lama yang kononnya mahu mengembangkan perniagaan spa ke Australia, membawa padah kepada seorang ibu beranak lima apabila dia dipaksa menelan 75 bungkusan dadah oleh sindiket Awang Hitam Afrika.
Mangsa yang diugut bunuh jika enggan akur dengan arahan sindiket itu ditahan polis Australia atas tuduhan menyeludup dadah ke negara itu, Sabtu lalu.
Wanita malang terbabit, Roslaila Abdul Aziz, 35, dari Kampung Sungai Tapah Tambahan, Gugusan Manjoi, di sini, ditahan di Lapangan Terbang Brisbane, Australia, bersama 75 bungkusan disyaki dadah di dalam perutnya. Wanita yang mempunyai anak berusia empat hingga 21 tahun itu adalah mangsa terbaru keldai dadah rakyat tempatan yang ditahan di luar negara kerana disyaki membawa dadah.

Difahamkan, Roslaila kini ditahan di lokap polis di Southport Watchouse, Gold Coast, Quenssland, selepas gagal melepasi kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Brisbane.


Episod duka wanita itu bermula apabila dia dibawa kenalan rapatnya dikenali sebagai Aishah, 30-an ke Kuala Lumpur terlebih dulu sebelum bertolak ke Jakarta, Indonesia untuk mencari kelengkapan perniagaan spa.

AMPANG: Seorang ibu bukan saja dipukul dua anaknya, malah dihalau dari rumah ekoran tidak memberi wang yang diminta dalam kejadian di Kampung Pandan Dalam, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, ibu berusia 41 tahun terbabit mengalami lebam di muka dan badan selepas dipukul anak lelaki dan perempuannya.
Kejadian dikatakan bermula apabila anak lelaki mangsa yang berusia 19 tahun dan baru balik dari berjumpa rakannya tiba-tiba meminta wang, namun mangsa memberi alasan tiada wang menyebabkan anaknya itu bertindak kejam memukul mangsa selama beberapa minit.

Sumber polis berkata, mangsa turut dicekik anaknya selain kepalanya dihentak pada dinding.


Katanya, pertelingkahan dua beranak itu bertambah parah apabila anak perempuan mangsa yang berusia 20 tahun pula campur tangan dengan turut bertindak memarahi dan memukul ibu mereka tanpa belas kasihan.

“Anak perempuan mangsa turut menghalau mangsa keluar dari rumah dengan memaki hamun menggunakan perkataan tidak sepatutnya termasuk menggunakan panggilan ‘babi’. 

‘Syak pemandu mengantuk’


SEBERANG JAYA: “Saya syak pemandu mengantuk kerana bas bergerak ke kiri dan kanan sebelum terbalik,” kata Sarinrat Reuangthantthararot, 35, seorang daripada 28 penumpang warga Thailand dalam kejadian sebuah bas ekspres dinaiki mereka terbalik di Kilometer 139.1, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), menghala utara, awal pagi semalam.
Menurut Sarinrat, bas itu dalam perjalanan dari Singapura ke Haatyai, Thailand dipandu agak laju ditambah dengan hujan lebat sebelum pemandu hilang kawalan lalu terbalik ke kanan jalan.

“Sebelum tiba di tempat kejadian, bas dalam keadaan terhoyong-hayang menyebabkan saya berdiri beberapa kali untuk melihat pemandu.

“Namun, tiba-tiba saja pemandu hilang kawalan menyebabkan bas terbalik menyebabkan penumpang yang baru terjaga dari tidur menjerit,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam.

Berikutan kejadian jam 4 pagi itu, Sarinrat yang duduk bersama rakannya, Ratchanoo Kantanate, 29, mengalami kesakitan di dada akibat terhentak.

Ratchanoo yang tidur sebelum kejadian tidak mengalami kecederaan tetapi masih trauma dengan kejadian itu.


Sejurus terbalik, sebuah kereta Proton Pesona dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bas berkenaan, namun pemandunya terselamat.

Semua penumpang bas dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Prai melalui cermin depan yang dipecahkan.
Lapan penumpang cedera termasuk dua parah yang kini mendapatkan rawatan lanjut di HSJ manakala bakinya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Bagaimanapun, pemandu bas berkenaan, Sudrak Naum, 24, berasal dari Mukim Pering, Kodiang, Kedah serta pemandu kedua tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, mangsa yang terselamat meneruskan perjalanan ke Haatyai dengan menaiki bas gantian.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayob Yaakob, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan menghala utara dipercayai terbabas ke rel besi di kanan jalan sebelum terbalik.

Pada masa sama katanya, sebuah kereta dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bas berkenaan yang melintang di tengah jalan.

Beliau berkata, pemandu bas sudah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun.

Lapah landasan


KUALA LUMPUR: Sekumpulan 26 lelaki yang sibuk memotong besi rel dan kayu landasan kereta api di sebuah stesen kereta api lama berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang terkedu apabila diserbu sepasukan polis, petang Ahad lalu.
Mereka terdiri daripada tujuh warga tempatan, empat warga Bangladesh dan 15 warga India berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati 450 meter besi rel dan kayu landasan itu dibawa keluar dan dijual manakala 170 meter lagi baru selesai dipotong.

“Hasil siasatan mendapati mereka menggunakan lori khas untuk mengangkut keluar rel besi dan kayu yang dipotong sebelum dipindahkan ke dalam lori lain dan dihantar kepada pembeli.


“Setakat ini, polis masih menyiasat dan mengesan pelanggan mereka dan lokasi barangan berkenaan dijual,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Kepala ditetak, perut dibakar


IPOH: Seorang lelaki tidak hanya ditetak berulang kali di kepala hingga mati, malah perutnya dibakar oleh penjenayah hingga hangus sebelum ditinggalkan di taman permainan kanak-kanak di sini, pagi semalam.
Mayat mangsa ditemui sekumpulan warga emas yang bersenam di taman permainan di Taman Dr Seenivasagam, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mayat lelaki dikenali sebagai M Daniel, 31, itu ditemui terbaring berlumuran darah tidak jauh dari papan selaju di taman permainan berkenaan. Mangsa yang masih lengkap berpakaian itu parah kesan tetakan senjata tajam di kepala, muka dan tangan termasuk kesan torehan pisau sepanjang 7.5 sentimeter di dahi.

Adik mangsa, M Donovan, 30, yang ditemui di Bilik Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam berkata, kali terakhir dia menemui abangnya itu kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya percaya mangsa dipukul sebelum dibunuh berdasarkan kesan kecederaan teruk ditetak senjata tajam di kepala, tangan dan muka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, perut mangsa juga terdapat kesan terbakar.


“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Cuma denda RM5,000


AMPANG: “Saya kesal dan minta maaf atas kejadian berlaku kerana ia tidak dapat dielakkan,” kata seorang jurujual dalam rayuannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Koon Kim Chuan, 47, berkata demikian selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan melanggar pemandu lori, Ong Kim Koon, 52, yang sedang membantu sepasang suami isteri yang terbabit kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Kampung Pandan, tiga minggu lalu.

Majistret Aida Mastura Mohamed Aman menjatuhkan hukuman denda RM5,500 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta lesen memandu ditulis dengan kesalahan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Khoo yang memandu kereta Toyota Estima berwarna putih bernombor pendaftaran WQR9883 tanpa pertimbangan munasabah menyebabkan kemalangan terhadap Perodua Viva, WTL9017 yang dipandu Zainal Md Yusoff dan Rossaimiah Hashim dan Ong pada jam 12.30 tengah malam, 12 April lalu. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum seksyen sama yang membawa hukuman denda minimum RM4,000 dan maksimum RM10,000. Khoo yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan terhadapnya dengan alasan ketika kejadian dia cuba mengelak, namun tidak berjaya. Terdahulu, dalam prosiding sama, Ben Si Shen, 26, didenda RM6,500 atau penjara enam bulan jika gagal bayar serta lesen perlu ditulis selepas mengaku bersalah melanggar Perodua Viva sehingga menyebabkan kemalangan berlaku sebelum Ong datang membantu pasangan suami isteri itu.

Mengikut pertuduhan, ejen insuran itu didakwa memandu Toyota Vios bernombor pendaftaran WNU608 sehingga menyebabkan kemalangan terhadap Perodua Viva yang dipandu pasangan suami isteri berkenaan pada waktu dan hari sama.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Fauziah Hanim Abuhan.


Sementara itu, waris mangsa, Ong Kah Hui, 27, berkata, dia dan keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Khoo atas kematian bapanya disebabkan kemalangan itu.

“Saya akan berbincang dengan peguam untuk memfailkan saman kerana pengajaran perlu diberikan untuk dia (Khoo) lebih bertanggungjawab selepas ini” katanya. Harian Metro 14 April lalu melaporkan keprihatinan seorang lelaki menyelamatkan sepasang suami isteri yang tersepit selepas kemalangan bertukar tragedi apabila dia kehilangan kaki kanan daripada paras paha akibat dilanggar sebuah kereta lain. Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Ong, dilanggar daripada belakang ketika berusaha mengeluarkan Zainal dari Perodua Viva yang dipandunya. Bagaimanapun, Ong yang mengalami kecederaan teruk di kedua-dua belah kakinya meninggal dunia jam 12.15 tengah malam, 22 April lalu.
-mymetro