Search This Blog

Monday, May 2, 2011

Malang dua bersaudara



TELUK INTAN - Niat seorang lelaki mengambil anak saudara pulang dari kem perkhemahan di sekolah berakhir tragedi apabila terlibat dalam kemalangan maut di Lorong Tokong Siam, Jalan Selabak, petang semalam.

Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan kejadian 4.20 petang itu yang menyebabkan dua maut, seorang kritikal dan dua selamat.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai V Menan Raj, 21, juga pemandu kenderaan pacuan empat roda dan salah seorang anak saudaranya dikenali sebagai R Thivaran, 7, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, mangsa lain dikenali sebagai, R Rajaletchumy, 9, masih kritikal menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala R Mugilan, 13, dan adiknya, R Vimal, 2, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mangsa (Menan Raj) bersama empat anak saudaranya dalam perjalanan pulang dari Selabak Dalam ke Jalan Padang Tembak melalui Lorong Tokong Siam.

“Tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa melalui sebuah jambatan sempit seluas lebih kurang 2.5 meter sebelum hilang kawalan lalu masuk ke dalam parit sedalam lebih kurang tiga meter.

“Penduduk yang menyedari kejadian itu membantu kesemua mangsa keluar namun Menan Raj yang tersepit di tempat duduknya menyukarkan lagi kerja-kerja menyelamat dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan, namun anak saudara mangsa, R Thivaran, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Kok Liang berkata, punca kematian bagi kedua-dua mangsa masih belum diketahui kerana bedah siasat akan dijalankan pada 9.30 malam semalam manakala kesemua mangsa yang selamat masih menerima rawatan di pusat rawatan itu.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Lagi cubaan seludup minyak tumpas


LANGKAWI: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Langkawi mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel ke negara jiran dan merampas 2,500 liter minyak di perairan Kuala Perlis awal pagi ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Wilayah itu, DSP Salehuddin Md Zaman berkata dua lelaki rakyat tempatan berumur 22 dan 38 tahun ditahan dan menyita minyak serta bot, dengan nilai rampasan dianggarkan RM37,000.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan lima anggota melakukan rondaan cegah jenayah di perairan Kuala Perlis kira-kira pukul 3 pagi tersempak dengan sebuah bot pukat hanyut kelas A yang mencurigakan.

"Setelah menghampiri dan mengarah bot tersebut merapat di Jeti LKIM Kuala Perlis, secara tiba-tiba dua lelaki tidak dikenali melarikan diri tetapi dapat ditahan semula," katanya kepada pemberita di pangkalan Bukit Malut di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam bot itu, pihaknya menemui 2,500 liter minyak diesel yang diisi dalam tempat khas.

Katanya kes itu disiasat mengikut Sekyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup ke negara jiran dan minyak yang dirampas dibawa ke pangkalan PGM di Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Duda 63 tahun ditangkap di India


CHENNAI: Seorang warganegara Malaysia berusia 63 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Tiruchi pada pagi Ahad selepas para pegawai kastam menjumpai ketamin seberat 11kg tersembunyi di dalam bagasinya.
Penyiasat mengesyaki lelaki, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dari Kuala Lumpur itu, diupah satu sindiket pengedar dadah supaya menyeludup dadah berkenaan dari Selatan India ke Malaysia.

"Kami memang membuat pemantauan ketat terhadap para penumpang yang hendak ke Malaysia berikutan meningkatnya kes penyeludupan dadah.

"Apabila pegawai kami mengimbas bagasinya, kami mengesan beberapa beg tersembunyi di dalamnya mengandungi ketamin yang diisi di dalam paket politena dan dibungkus dengan pakaiannya," kata D Shivasankaran, Pesuruhjaya Tambahan Kastam Tiruchi kepada Bernama hari ini.

Suspek, seorang duda, tiba di Chennai bulan lepas dan ditahan ketika hendak menaiki pesawat syarikat penerbangan tambang murah ke Malaysia.

Penuntut murtad kembali Islam


KOTA BAHARU: Seorang pelajar Diploma Seni Kulinari Universiti Teknologi Mara cawangan Dungun, Terengganu yang sebelum ini mengaku menukar agama kepada Kristian, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, bahawa dia sudah insaf dan kini kembali memeluk Islam.
Berikutan pengakuan itu, Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan Mohamad Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19, dari Pengkalan Chepa, bersembahyang jemaah di tempat pengajiannya serta melaporkan kehadiran kepada Imam masjid itu selama enam bulan, berkuatkuasa hari ini.

Mohd Fariz Ilham juga diarah melaporkan diri di Pejabat Agama Dungun setiap minggu, manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Abu Bakar turut membatalkan perintah menempatkan Mohd Fariz Ilham di Pusat Bimbingan Akidah Kuala Kubu Baharu di Selangor selepas berpuas hati dia mampu membaca al-Fatihah dengan baik, selain mengucap dua kalimah syahadah dan beristighfar.

Pada 24 April lalu, Mohamad Fariz dirujuk oleh keluarganya ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan selepas mengaku keluar dari Islam dan memeluk agama Kristian.

Mahkamah Tinggi Syariah kemudian mengarahkan dia ditahan reman selama seminggu selepas menerima permohonan bagi mendapatkan perintah tegahan percubaan keluar dari Islam.


Permohonan itu menyebut Mohamad Fariz, yang menggunakan nama samaran Tyrone, mula berjinak-jinak dan menghadiri upacara gereja sejak 3 Dis 2010 serta mengaku berhasrat menukar agama di luar negara. - Bernama

Duda ditahan seludup ketamin


CHENNAI - Seorang warganegara Malaysia berusia 63 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Tiruchi pada pagi Ahad selepas para pegawai kastam menjumpai ketamin seberat 11 kilogram tersembunyi di dalam bagasinya.
Para penyiasat mengesyaki lelaki, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dari Kuala Lumpur itu, diupah satu sindiket pengedar dadah supaya menyeludup dadah berkenaan dari Selatan India ke Malaysia.
"Kami memang membuat pemantauan ketat terhadap para penumpang yang hendak ke Malaysia berikutan meningkatnya kes penyeludupan dadah.
"Apabila pegawai kami mengimbas bagasinya, kami mengesan beberapa beg tersembunyi di dalamnya mengandungi ketamin yang diisi di dalam paket politena dan dibungkus dengan pakaiannya,” kata D. Shivasankaran, Pesuruhjaya Tambahan Kastam Tiruchi kepada Bernama hari ini.

Rebut tanah punca bapa robohkan rumah anak

FARIDAH Abdullah, 50, menunjukkan bahagian dapur rumahnya yang dirobohkan mengunakan jentolak oleh beberapa orang bersama bapa mentuanya di Kampung Batu 13, Marang.Foto: Imran Makhzan (02/05/2011)
FARIDAH Abdullah, 50, menunjukkan bahagian dapur rumahnya yang dirobohkan mengunakan jentolak oleh beberapa orang bersama bapa mentuanya di Kampung Batu 13, Marang.Foto: Imran Makhzan (02/05/2011)
MARANG — Ekoran masalah keluarga dan perselisihan faham berhubung pembahagian hak milik tanah, seorang lelaki bertindak meroboh rumah anaknya sendiri dengan jentolak.
Lelaki berumur 67 tahun bersama tiga anak tirinya turut mengugut keluarga Yusof Mat Yasin, 52, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi di Batu 13, Jalan Kuala Berang, semalam.
Ketika ditemui pemberita di rumahnya yang mengalami kerosakan teruk di bahagian dapur dan garaj hari ini, Yusof berkata dia telah beberapa kali disuruh mengosongkan rumahnya itu.
Yusof menjelaskan, rumah itu dibina 30 tahun lalu di atas tanah miliknya, namun ayahnya mendakwa rumahnya memasuki kawasan tanah milik bapanya di sebelah lot rumah itu.
Katanya mungkin berang kerana dia tidak juga berpindah keluar, bapanya bersama tiga saudara tirinya bertindak memutuskan bekalan elektrik dan mencabut meter air serta merobohkan garaj dan dapur rumah setingkat berkenaan pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan dalam sidang akhbarnya berkata, empat suspek berumur 30 hingga 67 tahun ditahan berhubung kejadian.
Katanya kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. — Bernama

Ibu tunggal diburu ah long



ALOR GAJAH - Niat hanya untuk membantu mengubati suaminya yang sedang sakit. Bagaimanapun, dia tersilap langkah apabila terpaksa menanggung ketakutan sepanjang masa.

Itulah nasib seorang ibu tunggal di sini apabila terpaksa menanggung hutang ah long tujuh kali ganda berbanding jumlah pinjaman yang dibuat sebelum ini.

Aini (bukan nama sebenar), lewat 40-an, tidak menyangka pinjaman wang sebanyak RM1,000 yang dibuat untuk mengubati sakit arwah suaminya sepuluh tahun lalu kini sudah mencecah RM7,000.

Semuanya kerana baki pinjaman bulan terakhir sebanyak RM280 yang tidak dijelaskannya menyebabkan bunga pinjaman bertambah menjadi hutang RM7,000.

Akibatnya, dia dan keluarganya kini hidup dalam ketakutan kerana sering diganggu konco-konco ah long yang mahu menuntut hutang daripadanya.

“Saya meminjam dari ah long pada tahun 2000 untuk mengubati suami yang sakit.

“Waktu itu saya diminta membayar RM280 selama enam bulan. Saya berjaya membayar hutang tersebut selama lima bulan, tetapi gagal menjelaskan baki sebulan lagi selepas berpindah ke Johor untuk bekerja.

“Akhirnya, saya terus diganggu kumpulan ah long itu. Saya juga terkejut apabila diberitahu bahawa hutang saya termasuk bunga kini sudah pun meningkat menjadi RM7,000,” katanya.

Berikutan itu, katanya, ah long berkenaan memaksa dia membayar jumlah berkenaan atau membayar ansuran sebanyak RM150 sebulan sehingga hutang berkenaan langsai yang mungkin mengambil masa bertahun.

Bagaimanapun, disebabkan tiada pekerjaan, ditambah masalah suaminya meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu, menyebabkan dia semakin tertekan dan tidak mungkin dapat menjelaskan hutang berkenaan.

“Sudahlah saya kini terpaksa menanggung sekolah tiga anak saya. Kini, saya dan keluarga hidup dalam ketakutan akibat diugut dan diganggu ah long pula,” katanya.

Malah, katanya, dia turut bimbang kemungkinan anaknya turut diapa-apakan kumpulan ah long terbabit.

Berikutan itu, Aini berharap semoga pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah berkenaan, memandangkan dia meminjam bukan untuk suka-suka, sebaliknya digunakan untuk mengubati sakit arwah suaminya itu.

13 tahun di Lombok



LANGKAWI - Seorang wanita yang mengikut teman lelakinya ke Lombok lebih kurang 13 tahun lalu pulang menemui keluarganya malam kelmarin.

Kepulangan Nooriah Abdullah, 26, disambut oleh ibunya, Dayah Sibun, 55, anggota keluarga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nayan.

Seorang anggota keluarganya berkata, Nooriah menghilangkan diri selepas memberitahu ibunya bahawa dia ingin ke majlis kenduri di Padang Matsirat.

“Nooriah bagaimanapun tidak pulang dan kemudiannya diketahui telah mengikut teman lelakinya yang kini menjadi suaminya ke Lombok dengan menaiki kapal terbang di Johor,” katanya.

Sementara itu, Dayah berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai cara untuk mengesan dan mencari Nooriah tetapi tidak berhasil dan hanya mengetahui bahawa dia berada di Lombok selepas menghantar surat kepada seorang daripada kakaknya.

“Saya sering mimpikan Nooriah dan sejak mengetahui bahawa anak saya akan pulang saya tidak lena tidur.
“Saya terlalu gembira memikirkan bahawa saya akan bertemu semula dengan anak saya setelah 13 tahun terpisah,” katanya.

Noriah yang ditemui wakil Sinar Harian di balai ketibaan kelihatan termangu-mangu seperti tidak percaya bahawa dia telah pulang ke tanah air.
“Saya masih mengingati ahli keluarga dan sentiasa mahu bertemu dengan mereka. “Saya bersyukur kerana dapat bertemu mereka kembali,” katanya.

Nooriah berkata, dia mempunyai dua anak berumur 5 dan 12 tahun yang masih berada di Lombok bersama suaminya.

“Saya masih memikirkan mengenai mereka” katanya.

Noriah memasuki Indonesia menggunakan pasport palsu dan tinggal secara haram di sana.

Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nayan berkata, Pemuda UMNO Langkawi berusaha mengesan Nooriah melalui surat yang dihantar dan menghantar wakil ke Mataram untuk mengesan Nooriah.

“Pemuda UMNO Malaysia telah berusaha selama lebih kurang dua bulan untuk membawa pulang Nooriah ke Malaysia.” katanya.

Menurutnya, melalui bantuan Datuk Khairul Aseh serta kerjasama yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia di Indonesia kami berjaya mengesan Nooriah.

“Masalah timbul apabila kami diberi arahan dari pihak berkuasa Indonesia untuk mengeluarkan Nooriah dari Mataram dalam tempoh 24 jam bermula Jumaat lalu kerana Nooriah masuk ke Indonesia secara tidak sah.

“Sekiranya kami gagal berbuat demikian Nooriah akan ditahan dan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun serta denda 30 juta rupiah,” katanya.

Kes Nooriah merupakan kes gadis dilarikan ke Lombok yang paling lama iaitu selama 13 tahun.

Ahli keluarga Nooriah berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus berusaha membawa pulang Nooriah ke Malaysia.

Polis dapat petunjuk kes kematian Ka’Yah



KUALA TERENGGANU - Polis kini sedang memburu suspek yang terlibat dengan kes rompakan sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja kilang, Ka’Yah Said, 53, di Taman Desa Darul Iman di Bukit Kuang, Kemaman, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, polis kini telah menemui beberapa petunjuk dan percaya, suspek melebihi seorang.

Menurut Manoharan, berdasarkan maklumat awal pihaknya, kejadian itu disedari jirannya yang ketika itu keluar untuk menghisap rokok kira-kira jam 4 pagi di luar rumah.

Bagaimanapun, jirannya curiga apabila melihat pintu jeriji terbuka, lalu menjenguk ke dalam rumah dan mendapati mangsa telah pengsan dengan tangan terikat dalam biliknya.

“Anak mangsa, seorang gadis berusia 13 tahun berada di bilik dalam keadaan ketakutan. Suaminya yang berusia 56 tahun ketika itu berada di Kota Bharu, Kelantan atas urusan kerja.

“Jirannya kemudian menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman kira-kira jam 4.50 pagi. Dia juga cuba membantu untuk menghantar mangsa ke Hospital Kemaman tetapi selepas 15 minit mendapatkan rawatan, mangsa meninggal dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Ka’Yah dipercayai mati disebabkan lemas kerana sukar bernafas akibat mulutnya yang ditutup dengan pita pelekat.

Berdasarkan siasatan awal polis, suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa dengan mengumpil jeriji.

Bagaimanapun, suspek dipercayai terserempak dengan mangsa, lalu bertindak mengikatnya. Mangsa dipercayai menjerit, menyebabkan suspek menutup mulutnya dengan pelekat.

Mangsa juga dipercayai telah dipukul pada bahagian muka berdasarkan kesan kecederaan pada bahagian itu.

Suspek juga dipercayai telah melarikan beberapa barang kemas dan perkakasan elektronik.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 396 dan 302 Kanun Keseksaan kerana samun dan bunuh. Polis dari IPD Kemaman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kini sedang berusaha mengesan suspek.

Temui ajal di hutan lipur



KUALA JENGAI – Kegembiraan sekumpulan sahabat menghabiskan masa cuti hujung minggu di lokasi perkelahan hutan lipur bertukar duka apabila seorang daripada rakannya menemui ajal akibat serangan jantung.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu dipercayai berlaku ketika Ramli Mohd Daud, 60, bersama kira-kira 20 lagi rakannya sedang berkelah di Hutan Lipur Lubuk Buntal, Kuala Jengai, Hulu Dungun.

Mangsa yang tiba di lokasi terbabit petang Jumaat lalu melalui jalan sungai, dipercayai turun mandi di kawasan air cetek sebelum secara tiba-tiba mengalami sesak nafas menyebabkan dia naik untuk meminta bantuan.

Bagaimanapun, ketika beberapa lagi rakannya yang lain cuba membantu, mangsa yang sempat menyebut kalimah ‘Allah’ beberapa kali akhirnya menghembuskan nafasnya di situ.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Kuala Jengai dengan menaiki bot sebelum dihantar ke Hospital Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan mangsa mati akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Penagih gergaji pintu bilik bilal



TANAH MERAH – Gara-gara terdesak untuk membeli dadah, seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan awal 30 tahun sanggup menjadikan Masjid Besar Tanah Merah sebagai tempat untuk mendapatkan duit bagi membeli barang terlarang itu.

Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila tindakannya menyelinap masuk ke masjid disedari Imam Muda, Alias Daud yang ketika itu sedang membuat rondaan sekitar kawasan itu.

Alias berkata, kira-kira jam 1.30 pagi Khamis lalu, dia terdengar bunyi seperti ada orang sedang menggergaji sesuatu dalam masjid.

Menurutnya, beliau lantas memanggil bilal bagi melihat apa sebenarnya sedang berlaku ketika itu.

“Ketika masuk ke masjid, kelihatan kelibat seorang lelaki sedang menggergaji pintu bilik bilal.

“Lelaki itu terus berlari keluar daripada masjid setelah menyedari kehadiran kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Alias berkata, sebelum itu lelaki itu pernah cuba memecahkan tabung masjid, tetapi tidak sempat melarikannya sebaik menyedari kehadiran kami.

Menurutnya, beliau yakin, lelaki itu cuba mengambil duit yang disimpan sementara di bilik bilal sebelum dimasukkan ke dalam akaun bank.

“Ini bukan kejadian pertama berlaku di masjid ini, tetapi kali pertama saya terserempak dengan suspek yang menyelinap masuk ke masjid,” katanya.

Alias berkata, walaupun lelaki itu tidak sempat melarikan wang daripada tabung masjid, tetapi dia benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku dan yakin suspek terlibat gejala dadah.

Menurutnya, mereka yang terlibat najis itu sanggup melakukan apa sahaja sehinggakan tempat ibadat sanggup dicerobohi demi mendapatkan duit.

“Justeru, saya mengharapkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak dan mementingkan penerapan nilai agama dalam mendidik mereka.

“Jika terjebak dengan gejala dadah, mereka tidak mempedulikan apa-apa lagi yang penting dapat membeli dadah untuk kepuasan mereka,” katanya.

Berikutan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat pada hari kejadian, 28 April lalu.

Mayat warga emas ditemui berulat di rumahnya



MARANG - Mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan berulat dan bersandar di dinding bilik tidurnya di Taman Rahmat Mercang, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata, mayat Mustapa Yusof, 67, ditemui jirannya pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari apabila jirannya itu terhidu bau busuk semasa dia sedang memetik buah mangga dekat dengan rumah warga emas itu.

Beliau berkata, Mustapa yang mengidap penyakit asma dipercayai mati kira-kira empat hari lalu kerana sesak nafas, dan mayatnya yang dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sudah dituntut oleh anggota keluarganya untuk dikebumikan di kampung halamannya Kuala Berang.-Bernama

4 lelaki tanpa senjata rompak barang kemas bernilai RM7 juta

Cyberita Online Luar Negara: "

PETALING JAYA: Empat lelaki, yang disyaki warga asing melarikan sejumlah barangan kemas bernilai RM7 juta ($2.8 juta) tanpa menggunakan sebarang senjata selepas memperdaya seorang pekerja kedai emas di Jalan Petaling Jaya Utama, malam kelmarin.

Ketika kejadian sekitar 11 malam itu, semua pekerja dikatakan sedang sibuk memasukkan sejumlah berlian dan emas ke dalam beg selepas pameran selesai dijalankan.

Tiba-tiba muncul tiga individu dan berpura-pura bertanya kepada salah seorang pekerja kononnya untuk membeli barangan kemas.

Ketika pekerja itu sibuk melayan tiga individu terbabit, seorang suspek lain segera melarikan beg yang berisi barang kemas tersebut.

Pekerja terbabit hanya menyedari kehilangan barang berkenaan selepas kesemua suspek beredar meninggalkan tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya masih menyiasat suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan.

'Kita masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bangunan tersebut,' katanya.

Tambahnya, orang ramai yang berada di tempat kejadian diminta tampil memberikan maklumat berhubung kes terbabit. -- Mingguan Malaysia."

Kereta melambung langgar tebing batu sebelum terbalik

MASJID TANAH: “Kereta di depan saya tiba-tiba ke sebelah kanan jalan sebelum melanggar tebing batu menyebabkannya melambung, berpusing dan terbalik,” kata saksi kemalangan maut yang mengorbankan seorang pekerja kilang di Ramuan China Kechil dekat sini, petang kelmarin.
Saksi yang dikenali sebagai Ahmad berkata, sejurus kemalangan dia memberhentikan motosikal untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

“Pemandu kereta yang tersepit di tempat duduk sudah tidak bersuara dan saya menahan beberapa pengguna jalan raya lain untuk memberikan bantuan serta mengeluarkan lelaki yang cedera parah itu.

“Bagaimanapun usaha kami untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam keretanya yang remuk teruk itu gagal kerana tidak mempunyai peralatan mencukupi.

“Saya menghubungi pasukan penyelamat untuk meminta bantuan dan pasukan bomba tiba tidak lama selepas itu untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya yang menunggang motosikal di belakang kenderaan mangsa ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu.


Mangsa, Anuar Mohamad Din, 39, yang memandu Proton Saga dipercayai gagal mengawal keretanya ketika menuruni laluan berbukit di situ lalu terbabas dan terbalik menyebabkannya mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta anggota badan.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Din Mohamad, 67, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu adalah ketika menghadiri majlis pengebumian saudara mereka yang terbabit dalam kemalangan di Lubok China, dekat sini, Ahad lalu.

“Arwah bekerja kilang di Senawang, Negeri Sembilan dan menetap di Taman Pinggiran Senawang. Saya difahamkan ketika kejadian, Anuar baru pulang menghantar isteri dan empat anaknya ke rumah mentuanya di Kampung Gelam, dekat sini. “Anuar anak ketiga daripada lapan beradik dan seorang yang baik hati disenangi kalangan ahli keluarga lain. Ingatkan saya yang akan pergi dulu, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya.
myMetro

Lelaki kebas emas RM3j masih diburu


PETALING JAYA: Polis masih lagi mengesan suspek yang mencuri beg berisi barang kemas dan berlian milik syarikat terkenal yang dianggarkan melebihi RM3 juta dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Jumaat lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini tiada lagi perkembangan baru berhubung kes terbabit dan pihaknya masih menunggu laporan cap jari yang dilakukan unit forensik serta penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, siasatan awal mendapati ia mungkin dilakukan sekumpulan warga asing dan polis giat menjalankan siasatan mengenalpasti suspek berkenaan.

“Setakat ini, kami masih meneliti rakaman CCTV bagi mengesan suspek,” katanya.

Lawan penceroboh


BUTTERWORTH: Seorang ibu tunggal mengalami detik menakutkan apabila bergelut dengan seorang lelaki bertopeng yang menceroboh rumahnya di Kampung Manggis, Sungai Puyu, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, Fatimah Yahya, 50-an (gambar), yang tinggal seorang diri tidak menyedari suspek memasuki rumahnya melalui tingkap dapur.

“Saya terkejut sebaik terserempak lelaki terbabit dalam rumah. Kami bergelut kira-kira lima minit sebelum dia mengeluarkan senjata tajam.

“Ketika bergelut, tiba-tiba saya rasa pedih di pipi kanan, jari kiri dan kaki kanan, lalu menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, semalam.

Adik lemas diserang sawan ketika mandi


PORT DICKSON: Kegembiraan dua keluarga menghabiskan cuti umum Hari Pekerja dengan berkelah, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) mati lemas di Pantai 1, Teluk Kemang di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, C Ganesanmorty, 35, dipercayai diserang sawan ketika mandi di pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarganya.

Abang ipar mangsa, A Sukalinggam, 53, berkata mereka sekeluarga yang menetap di Seremban tiba di pantai berkenaan, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Ketika asyik mandi, kami langsung tidak mengetahui dia (Ganesanmorty) sudah hilang.

“Namun, kami mula tersedar apabila melihat baju-T putih dipakainya seolah-olah terapung di air dan mula mencurigai sesuatu perkara buruk berlaku.

“Saya berenang ke baju itu dan terkejut selepas mendapati adik ipar sudah lemas lalu menariknya ke darat dan dia bagaimanapun sudah mati,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson (HPD) di sini, semalam.


Menurutnya, mangsa yang mempunyai adik kembar menghidap sawan sejak dari kecil dan tidak dapat bekerja.

“Apabila sawannya menyerang, dia seperti tidak sedarkan diri. Kami tidak menyangka penyakitnya itu datang ketika dia mandi di pantai hingga mengorbankan nyawanya,” katanya.

Lelaki maut kereta rempuh tiang papan tanda

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 20 tahun terbunuh apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang papan tanda di Lebuhraya Persekutuan dari pusat bandar raya menghala Petaling Jaya berhampiran pusat beli-belah Mid Valley, di sini, awal pagi semalam.
Usaha mengeluarkan mangsa, Sayyid Mohammad Hasiff Ab Latif, 20, yang tersepit mengambil masa lebih 30 minit sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang bersendirian gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh papan tanda berkenaan.

Ketua Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi berkata mangsa yang memandu kereta Honda CRV hitam gagal mengawal kenderaan disebabkan jalan licin.

“Mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tiang papan tanda di kawasan berkenaan. “Mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
myMetro

Lemas dalam kereta


MAUT...anggota polis memeriksa mayat Menan selepas ditarik keluar  penduduk kampung.
MAUT...anggota polis memeriksa mayat Menan selepas ditarik keluar penduduk kampung.


TELUK INTAN: “Ketika cuba menyelamatkan mereka, saya melihat pemandu dan kanak-kanak dalam kereta itu kelemasan dan bergelut untuk keluar,” kata Mohd Izzaidi Mohd Rosli, 23, saksi kemalangan yang meragut nyawa dua bersaudara, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu V Menan Raj, 21, terbabas sebelum terhumban ke dalam sebuah parit di Lorong Tokong Siam, Kampung Selabak, Jalan Padang Tembak, dekat sini.

Kejadian ketika hujan lebat itu menyebabkan Menan Raj mati di tempat kejadian akibat lemas selepas terperangkap dalam kenderaan itu, manakala anak saudaranya R Thivaran, 7, menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI).

Dua lagi penumpang yang juga adik beradik Thivaran, R Rajeletchumi, 9, dan R Vimal, 2, dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTI manakala abang mereka, R Mugilan, 13, dalam keadaan stabil di hospital sama.

Mohd Izzaidi berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi geseran tayar sebelum dentuman kuat seperti objek tercampak ke dalam air.


“Saya bersama beberapa ahli keluarga bergegas ke tempat kejadian dan seperti tidak percaya melihat sebuah kenderaan tenggelam dalam parit sedalam kira-kira 2.5 meter itu.

“Sebaik menghampiri kenderaan itu, saya melihat terdapat beberapa mangsa terperangkap di dalamnya bergelut untuk keluar,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Mohd Izaidi bersama beberapa ahli keluarga dan penduduk kampung kemudian terjun ke dalam parit dan berjaya menarik Mugilan keluar dan segera memberikan pertolongan cemas kepadanya.

Menurutnya, mereka kemudian berhempas-pulas membuka pintu kenderaan itu sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa.

“Dalam keadaan kelam-kabut sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa, saya sempat melihat seorang daripada mangsa (Menan Raj) sudah tidak bergerak kerana tersepit di tempat duduk, manakala tiga lagi seperti dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.


“Saya sedih kerana seorang daripadanya disahkan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika dikejarkan ke hospital. Saya berdoa dua lagi mangsa yang dilaporkan kritikal supaya selamat,” katanya.


Sementara itu, bapa kepada keempat-empat penumpang yang juga abang kepada Menan Raj, gagal ditemu bual kerana terlalu sedih atas kejadian malang itu.


Seorang daripada ahli keluarga mangsa yang enggan identitinya disiarkan berkata, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Jaya, dekat sini, selepas menjemput Mugilan yang menghadiri kem di sebuah sekolah rendah berdekatan tempat kejadian.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan.
myMetro | Lemas dalam kereta

Kekasih merajuk mati terjun kondo

KUALA LUMPUR: Gara-gara merajuk dengan teman lelaki berusia lewat 30-an, seorang wanita maut selepas terjun dari tingkat lima sebuah kondominium di Sentul, di sini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa berusia 28 tahun itu merajuk dengan teman lelakinya kerana lewat pulang ke rumah hingga terlepas sambutan ulang tahun percintaan mereka yang dirancang sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Selayang (HS), di sini, untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, berkata ketika kejadian, teman lelaki mangsa berada kurang 30 meter dari balkoni tempat mangsa terjun.

“Teman lelaki mangsa mendakwa berada di kaki lima depan pintu utama rumah mereka, malah lelaki itu mendakwa cuba menghalang mangsa daripada terjun. Namun, disebabkan kejadian berlaku terlalu pantas, dia gagal menghalang mangsa daripada berbuat demikian,” katanya.


Menurutnya, mangsa dilaporkan terjatuh atas bumbung sebuah Perodua Kancil milik penghuni lain di tempat letak kereta kondominium berkenaan.

“Tersentak dengan perbuatan itu, lelaki terbabit bergegas turun sebelum mendapati teman wanitanya itu masih bernyawa. Dia segera menghubungi hospital dan polis memaklumkan kejadian berkenaan.

“Ambulans tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian sebelum mangsa dikejarkan ke HS.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam,” katanya.

Katanya, setakat ini, kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
myMetro | Kekasih merajuk mati terjun kondo

Simpan jari dikerat


TERLANTAR...Muthukrishnan kini dirawat di Hospital Selayang.
TERLANTAR...Muthukrishnan kini dirawat di Hospital Selayang.


KUALA LUMPUR: Sebahagian telinga kirinya dipotong, begitu juga ibu jari tangan kiri manakala kedua-dua tangan dan kakinya turut ditetak hingga hampir putus.
Itu penderitaan yang dilalui seorang peniaga akibat kekejaman ceti haram atau along menyebabkan dia terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang selama seminggu sebelum dipindahkan ke wad biasa, kelmarin.

A Muthukrishnan, 42, yang mengusahakan perniagaan daging kambing diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai konco along di hadapan rumahnya di Bandar Baru Selayang, di sini, pada kira-kira jam 4 pagi, 23 April lalu.

Serangan ke atasnya disebabkan dia dikatakan gagal melunaskan hutang RM50,000 sedangkan dia sudah pun membayar lebih daripada RM60,000 sejak lima tahun lalu.


Dalam kejadian serangan itu, mangsa yang menaiki motosikal untuk memulakan perniagaannya dihalang sebuah kereta tidak diketahui jenisnya.
myMetro

Polis Iraq tembak mati isteri, 3 anak

myMetro
"AMARA: Seorang anggota polis Iraq ditahan semalam selepas menembak mati isteri dan tiga anaknya selepas pasangan itu terbabit dalam pertengkaran.

Ghalib Hamish Noayim membunuh keluarganya dalam rumah mereka kira-kira jam 5 pagi (waktu tempatan) sebelum berjalan menyerah diri di balai polis.


Jurucakap polis berkata, Ghalib mendakwa budak itu bukan anaknya.

Seorang doktor berkata, isteri Ghalib ditembak di kepala dan dada, manakala tiga anaknya maut akibat kecederaan di perut.


Dua daripada tiga budak itu adalah lelaki berusia empat tahun dan enam bulan, manakala seorang lagi perempuan berusia tiga tahun. - AFP"

Setuju bayar wang tebusan

myMetro
JAKARTA: Rundingan bagi membebaskan anak kapal Indonesia yang ditawan lanun Somalia berakhir dengan persetujuan dicapai, kata pemilik kapal itu, semalam.

Naib Presiden PT Samudera Indonesia, David Batubara, berkata pihaknya melengkapkan rundingan itu bersama pelan pembayaran wang tebusan.


“Pembebasan mereka masih dalam proses dan kami menunggu perkembangan selanjutnya,” katanya. - AFP, mymetro

Anak lelaki bongsu Gaddafi maut



Imej yang dikeluarkan oleh kerajaan Libya merakamkan rumah Seif al-Arab, anak lelaki bongsu Gaddafi rosak teruk akibat serangan udara NATO di Gargour, Tripoli, semalam yang mengakibatkan Seif al-Arab dan tiga cucu Gaddafi terkorban, - AFP


TRIPOLI 1 Mei - Anak lelaki bongsu Muammar Gaddafi dan tiga cucunya terbunuh dalam satu serangan udara yang dilancarkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di ibu negara Libya ini, malam tadi.
Serangan tersebut yang disasarkan untuk membunuh Gaddafi dilancarkan selepas pemberontak dan NATO menolak tawaran pemimpin veteran Libya itu untuk berunding bagi menamatkan krisis di negara ini.
Rumah Seif al-Arab Gaddafi (gambar) , 29, diserang malam tadi dengan seluruh kekuatan, kata jurucakap kerajaan, Moussa Ibrahim pada sidang media, hari ini.
Pemimpin Libya itu dan isterinya turut berada di dalam bangunan yang dibedil tetapi mereka terselamat, walaupun yang lain terbunuh atau cedera termasuk Seif al-Arab dalam 'operasi langsung untuk membunuh pemimpin negara ini', kata Ibrahim.
"Pemimpin kami dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, begitu juga dengan isterinya tetapi orang lain terbunuh atau cedera," katanya.
Ibrahim mendakwa maklumat mengenai lokasi Gaddafi berada dipercayai telah dibocorkan.
NATO mengakui melancarkan serangan udara di Tripoli tetapi tidak mengesahkan dakwaan kerajaan Libya itu.
"NATO meneruskan serangan ke atas kedudukan tentera rejim Gaddafi di Tripoli malam tadi, termasuk serangan ke atas sebuah bangunan yang diketahui menjadi pusat pemerintah dan kawalan di pekarangan Bab al-Aziziya selepas 1800 GMT (2 pagi ini waktu Malaysia)," menurut kenyataan NATO.
Bunyi tembakan senjata automatik, dipercayai sebagai tanda berkabung, bergema di seluruh Tripoli berikutan pengumuman mengenai kematian Seif al-Arab itu.
Pemberontak pula melepaskan tembakan roket, raifal Kalashnikov dan mesingan antipesawat udara selama lebih setengah jam, menggegarkan ibu kota yang dikuasai pemberontak di Benghazi dengan tembakan dan letupan berterusan untuk meraikan detik itu. - AFP

Pekebun maut terkena tembakan


MUAR 1 Mei – Hajat seorang pekebun untuk memburu babi hutan tidak kesampaian apabila dia maut terkena tembakan dari senapang miliknya di sebuah kebun kelapa sawit di Parit Yono, Air Hitam, di sini hari ini.
Ketika ditemui rakannya kira-kira pukul 4 petang, mangsa, Tan Soo Meng, 47, masih bernyawa tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Menurut rakan mangsa yang ingin dikenali sebagai Mohamad, 40, dia terdengar sahutan meminta pertolongan ketika dalam perjalanan ke kebun sawitnya.
“Saya nampak motosikal ‘Ah Meng’ berhampiran kebun dan memanggil namanya berulang kali kerana tahu dia selalu berburu babi hutan di kawasan itu.
“Saya kemudian mencari dan menemui Ah Meng terbaring dalam keadaan mukanya berlumuran darah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dia bersama seorang lagi rakannya bergegas menghantar mangsa ke hospital, namun sebaik sahaja tiba di HPSF, mangsa disahkan telah meninggal dunia.
Katanya, dia mengenali mangsa kerana sering berburu babi hutan di kawasan kebun kelapa sawit di situ sama ada bersendirian atau bersama rakannya.
Menurut isteri mangsa yang enggan dikenali, suaminya keluar dari rumah mereka di Taman Pagoh Jaya untuk berburu pada pukul 2.30 petang.
“Namun, saya tidak tahu sama ada dia pergi seorang diri atau bersama rakan. Saya hanya dapat tahu apabila menerima panggilan daripada seorang saudara bahawa suami meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 5 petang.-utusan

Dua polis dirempuh mat rempit

MERSING 1 Mei - Dua anggota polis cedera selepas dirempuh samseng jalanan ketika sekatan jalan raya dalam operasi berasingan sempena Hari Pekerja di sekitar bandar Mersing, di sini awal pagi ini.
Koperal Ariffin Abbas, 46, mengalami kecederaan pada kaki kanannya selepas dirempuh seorang penunggang motosikal ketika sekatan jalan raya di simpang tiga, Tenggaroh kira-kira pukul 4.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, mangsa yang bertugas di Balai Polis Sungai Ambat tersebut menerima rawatan di Hospital Mersing.
"Dalam kejadian kedua pula, seorang anggota polis bantuan patah pergelangan tangan kanan selepas dirempuh seorang penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya di Kluang menghala Mersing kira-kira pukul 6.15 pagi ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nor, anggota tersebut juga mendapat rawatan lanjut di Hospital Mersing sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
"Kedua-dua samseng jalanan terbabit bagaimanapun berjaya diberkas di kedua-dua lokasi operasi tersebut.
"Mereka direman selama tujuh hari dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya lagi.-utusan

Tinggal najis, renjis air bilik mangsa


Perompak warga asing samun suami isteri


KUANTAN: Umpama satu syarat ilmu yang perlu dipatuhi, tiga penyamun warga asing bukan saja meninggalkan najis dalam longkang, sebaliknya turut merenjis air di dalam bilik di sebuah rumah milik sepasang suami isteri yang disamun mereka, di Kampung Paya Teh, dekat Jerantut, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, tiga lelaki bersenjatakan parang memecah masuk rumah pasangan suami isteri terbabit masing-masing berusia 26 tahun yang sedang tidur di dalam bilik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata suspek dipercayai bertindak memotong besi tingkap dapur sebelum menyusup masuk ke dalam rumah.
Beliau berkata, suspek yang mengejutkan mangsa dengan menggunakan parang kemudian mengarahkan pasangan suami isteri yang baru dua bulan berkahwin itu mendiamkan diri.

“Seorang daripada suspek kemudian mengikat tangan pasangan terbabit menggunakan wayar seterika manakala dua lagi rakannya menggeledah rumah.

“Selain merampas komputer riba, beberapa barang hantaran perkahwinan mangsa, lima telefon bimbit dan pakaian berjenama, suspek turut meminta wanita itu menyerahkan barang kemas dipakainya.

“Kerugian yang dialami mangsa samun dianggarkan hampir RM10,000. 
“Malah sebelum melarikan diri, suspek dikatakan turut meninggalkan sepasang selipar buruk, najis di dalam longkang selain merenjis air di tiga bilik di rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zakaria berkata, mangsa kemudian berjaya membuka ikatan kira-kira setengah jam kemudian sebelum meminta bantuan ahli keluarga dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, kira-kira jam 5 pagi.

“Susulan kejadian terbabit, gerakan memburu suspek dijalankan, malah polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil di IPD Jerantut bagi membantu siasatan,” katanya.-bharian

Kakitangan Maybank dilapor hilang



Roslina Awang Kechik

Roslina Awang Kechik

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan bank, Roslina Awang Kechik, 37 (atas), dilaporkan hilang sejak 22 April lalu selepas keluar rumah menuju ke pejabatnya di Dataran Maybank, Bangsar.

Suami mangsa, seorang anggota tentera, Sabri Man, 38, berkata isterinya keluar ke tempat kerja dengan menaiki Transit Aliran Ringan jam 7.30 pagi selepas menghantar anak ke sekolah.
Sabri bimbang sesuatu buruk berlaku kepada isterinya kerana mengesan dua pengeluaran wang dilakukan daripada akaun anak perempuannya sehari selepas kehilangan Roslina dibuat di mesin juruwang automatik di Shah Alam.
“Saya curiga kenapa isteri perlu membuat pengeluaran RM3,000 di satu kawasan terpencil serta jauh dari jalan utama dan ini menguatkan lagi tanggapan Roslina mungkin diculik dan berada dalam bahaya,” katanya yang datang membuat aduan di Balai Berita di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa dan pihaknya menjalankan siasatan kes itu sebagai kes orang hilang. -bharian

Mati lemas ditampal pelekat

Perompak pukul, tampar mulut, hidung wanita sebelum geledah rumah

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita lemas selepas mulut dan hidungnya ditampal pelekat, selain dipukul pada muka oleh penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Desa Darul Iman, Bukit Kuang, Kemaman, awal pagi kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa berusia 53 tahun itu meninggal dunia selepas 15 minit mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.
Katanya, dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, rumah mangsa dipecah masuk penjenayah, sebelum terserempak dengan mangsa yang kemudian menjerit.
Beliau berkata, penjenayah yang bimbang jeritan mangsa didengari jiran kemudian bertindak memukul mangsa dan menampal mulutnya dengan pelekat serta mencederakan mangsa di muka dipercayai ditumbuk.

Katanya, jiran mangsa yang kebetulan ke bahagian luar rumah untuk menghisap rokok ternampak pintu jeriji rumah mangsa terbuka pada awal pagi itu, lalu ke rumah mangsa dan terkejut menemui mangsa pengsan dalam bilik tidurnya dalam keadaan tangan terikat dan mulut ditampal pelekat.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dengan bantuan jirannya yang memaklumkan kejadian kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada jam 4.50 pagi. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia selepas 15 minit mendapatkan rawatan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas.

“Hasil bedah siasat juga mendapati selain lemas, muka mangsa turut ada kesan kecederaan dipercayai akibat dipukul dan ditumbuk ketika mangsa menjerit. Ketika kejadian, suami mangsa berusia 56 tahun tiada di rumah kerana berada di Kota Bharu, Kelantan atas urusan perniagaan.
“Anak perempuan mangsa berusia 13 tahun pula ada dalam rumah dan turut mendengar bunyi bising, tetapi tidak berani keluar dan hanya duduk dalam bilik. Siasatan polis mendapati suspek memecah masuk ke rumah mangsa untuk mencuri dan terserempak dengan mangsa lalu mengikat tangan mangsa.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa menjerit menyebabkan dia dipukul penjenayah di bahagian muka. Suspek dipercayai lebih daripada seorang turut melarikan barang kemas dan barangan elektronik milik mangsa,” katanya di sini, semalam.

Manoharan berkata, polis kini memburu suspek dan hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis menemui beberapa petunjuk dan maklumat yang boleh membantu siasatan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Ajal ketika mandi sungai


AHLI keluarga dan kakitangan Hospital Dungun mengusung jenazah Ramli yang meninggal dunia akibat diserang sakit jantung untuk dikebumikan di Kuala Jengal, Dungun semalam.


DUNGUN - Hajat seorang peniaga batik untuk memancing ikan kelah bersama 19 rakannya selama tiga hari berturut-turut tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika mandi di sebatang sungai di Lubuk Pasir Buntal, Kuala Jengal dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Ramli Mohd. Daud, 60 (gambar), mandi bersendirian di kawasan cetek di kawasan tersebut sebelum dia mengadu sesak nafas.
Rakan mangsa, Mohd. Shafie Muda, 54, berkata, mereka pergi ke kawasan itu untuk memancing kelah sejak Jumaat lalu sempena cuti Hari Pekerja dan dijangka pulang semalam.
“Ketika itu kami berada di tempat arwah mandi dan terkejut apabila mendapati dia datang dalam keadaan longlai dan pucat. Kami kemudian mengurut belakang badan dan kaki arwah.-kosmo

Pelesit rempit masuk perangkap


SEBAHAGIAN daripada 203 pelesit rempit dan motosikal yang ditahan untuk diperiksa dalam operasi di Dataran Nilai, Nilai semalam.


NILAI – Taktik polis yang ‘memberi muka’ terhadap pelesit rempit untuk berpesta sambil menayangkan aksi berani mati sebelum melakukan serbuan membuahkan hasil apabila seramai 203 penunggang motosikal ditahan di Dataran Nilai di sini semalam.
Sebelum ditahan, mereka yang berusia di antara 14 dan 25 tahun itu khusyuk dengan gelagat masing-masing menunggang secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘Superman’.
Sebaik pasukan penguat kuasa daripada pelbagai agensi yang berjumlah 130 orang mula menutup jalan pada pukul 9.30 malam, pelesit rempit tersebut kelihatan panik.
Ada di antara mereka begitu terdesak sehingga cuba merempuh anggota penguat kuasa.
Ketua Operasi, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, selain polis trafik Bukit Aman, operasi itu turut disertai anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).-kosmo

Dua maut kenderaan masuk parit


PENDUDUK melihat mayat Menan Raj dan kenderaan Mitsubishi Storm yang tenggelam dalam parit di Lorong Tokong Siam, Jalan Selabak, Teluk Intan semalam.


TELUK INTAN – Dua maut manakala tiga lagi parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam parit sedalam tiga meter di Lorong Tokong Siam, Jalan Selabak dekat sini semalam.
Kejadian pukul 4.20 petang itu mengakibatkan V. Menan Raj, 21, yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm mati di tempat kejadian sementara anak saudaranya, R. Thivaran meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, selain dua mangsa itu, tiga adik-beradik yang menaiki kenderaan itu, R. Mugilan, 13, R. Rajeletchumi, 9 dan R. Vimal, 2, cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.-kosmo

Parah ditikam peragut



MAT RASHID terpaksa menerima 15 jahitan di perut selepas ditoreh dengan pisau oleh dua peragut.


MACHANG – Seorang peniaga restorannyaris maut apabila ditikam dan ditoreh di perut serta tangan kiri ketika bergelut dengan dua penyamun yang cuba meragut rantai leher adik iparnya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, dekat sini, Mat Rashid Othman, 53, sedang melayan pelanggan di restorannya yang terletak bersebelahan dengan kedai runcit milik adik iparnya, Che Zamrah Mohamad, 43.
Sebaik mendengar jeritan Che Zamrah, dia bergegas ke kedai adik iparnya itu dan mendapati dua lelaki cuba meragut rantai mangsa.
Mat Rashid cuba membantu mangsa dan bergelut dengan suspek hingga menyebabkan dia ditikam dan ditoreh.
Selain Mat Rashid, anak saudaranya yang juga anak ketiga Che Zamrah, Mohd. Effifazlu Romi, 17, yang cuba membantu turut cedera ditoreh di perut.
Mengimbau semula kejadian itu, Che Zamrah berkata, ketika hendak menutup kedai, salah seorang daripada dua lelaki bermotosikal datang ke kedainya kononnya hendak membeli barangan dapur.
Katanya, ketika hendak membungkus barang itu, lelaki berkenaan terus menerkam ke arahnya untuk meragut rantai lehernya.