Search This Blog

Sunday, May 1, 2011

Kapal dinaiki lanun


SINGAPURA: Lembaga Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA) menerima laporan bahawa sebuah kapal kargo bahan kimia yang berdaftar di Singapura, MT GEMINI, dipercayai dinaiki lanun kira-kira 120 batu nautika dari Dar es Salaam, Tanzania.
Menurut satu kenyataan pihak berkuasa itu, satu amaran kecemasan diterima pada jam 1150 (waktu Singapura) pada Sabtu ketika berada pada kedudukan latitud 7� 01'S longitud 41� 21'E.

Pada masa kejadian, kapal berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuala Tanjung, Indonesia ke Mombasa, Kenya. Sejumlah 25 anak kapal berada di atas kapal itu.

MPA sedang bekerja sama dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak pengurusan kapal, Glory Ship Management Pte Ltd. - Bernama

10 maut kebakaran hotel di China


BEIJING: Seramai 10 orang maut dan 35 mengalami kecederaan dalam kebakaran di sebuah hotel di timur laut China awal hari ini manakala petir menyebabkan kebakaran di beberapa bahagian negara itu, kata agensi berita.
Agensi Berita Xinhua berkata, kebakaran hotel di bandar Tonghua, wilayah Jiliin berjaya dipadamkan dalam masa setengah jam. Laporan tidak menyebut punca kebakaran berkenaan. Kakitangan pejabat kerajaan di bandar Tonghua mengesahkan jumlah kematian itu tetapi tiada sebarang maklumat lanjut.

Mereka yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan manakala anggota bomba membersihkan tempat kejadian.

Polis dilanggar Mat Rempit


JOHOR BAHRU: Dua anggota polis cedera dilanggar Mat Rempit yang cuba mengelakkan sekatan jalan raya dalam dua kejadian berasingan di persimpangan Felda Tenggaroh dan Felda Nitar di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian pertama di Felda Tenggaroh pada jam 4.15 pagi, anggota berpangakat koperal berusia 47 tahun terpaksa menerima tiga jahitan di lutut.

Manakala dalam kejadian kedua, sukarelawan polis berusia 20-an patah pegelangan tangan kanan akibat dirempuh.

Kedua-dua suspek berusia 21 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Lelaki hilang ditemui lemas


IPOH: Seorang lelaki yang tergelincir lalu terjatuh ke dalam laut dan hilang ketika memancing bersendirian di perairan Pulau Pangkor petang semalam, ditemui lemas oleh pasukan Polis Marin hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata identiti lelaki yang dipercayai dari kaum India yang ditemui pada pukul 3.56 petang itu masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.25 petang semasa lelaki itu memancing bersendirian di atas sebuah sampan.

Menurutnya beberapa nelayan yang melihat lelaki itu terjatuh, terus membuat laporan di Balai Polis Pantai Remis, dan bertindak atas laporan polis terus melancarkan operasi mencari dengan bantuan Polis Marin serta bomba.

Operasi dihentikan selepas cuaca gelap sebelum disambung pagi ini dan mayat lelaki itu ditemui terapung berhampiran Pulau Talang kira-kira 1 batu nautika daripada tempat dia dikatakan terjatuh.

"Mayat sudah dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.


Mohd Jamil berkata polis sedang menunggu waris lelaki itu untuk mengecam mayat.-mymetro

Wanita maut dalam kejadian samun


KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun hanya mampu mendiamkan diri di dalam bilik ketika ibunya yang berada di bilik sebelah dipukul, diikat dan mulutnya ditampal pita pelekat sehingga maut, dalam satu kejadian samun di Taman Desa Darul Iman, Kemaman, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian itu hanya disedari jiran wanita itu pada kira-kira pukul 4 pagi apabila ternampak pintu jeriji rumah berkenaan terbuka.

Beliau berkata oleh kerana curiga, jirannya itu terus masuk ke dalam rumah berkenaan dan ternampak wanita berumur 54 tahun itu terikat di atas katil, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Manoharan yang ditemui di pejabatnya di sini berkata wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman, namun dia meninggal dunia kira-kira 15 minit selepas tiba di hospital.

Menurutnya anak wanita itu yang ketika kejadian sedang tidur di biliknya, dipercayai terjaga setelah mendengar jeritan ibunya, namun dia hanya berani keluar selepas menyedari kehadiran jiran serta anggota polis kira-kira sejam kemudian.-mymetro

18 ditahan sertai protes harga barang

KUALA LUMPUR - Polis menahan 18 individu dalam perhimpunan sempena Hari Pekerja bagi membantah kenaikan harga barang dan menuntut Akta Gaji Minimum dilaksanakan, di sekitar Maju Junction dan Jalan Chow Kit di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Ibrahim berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
"Mereka ditahan untuk sementara waktu bagi merekodkan keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Perhimpunan bermula pukul 10.30 pagi disertai hampir 500 pekerja swasta daripada 75 syarikat pelbagai perkhidmatan.
Rata-rata mereka hadir dengan memakai baju berwarna merah dan membawa sepanduk serta kain rentang tertera “kami mahu hak kami”, “gaji minimum”, “harga barang naik, tapi gaji masih minimum” dan sebagainya.
Suasana pada mulanya terkawal apabila mereka berjalan dari Jalan Chow Kit ke Maju Junction menjadi kecoh apabila mereka yang berhimpun tidak berpuas hati dengan penahanan beberapa rakan mereka, dipercayai ingkar arahan polis supaya bersurai.
Mereka kemudian duduk di pekarangan Menara Tabung Haji sambil membaca protes dan ada yang menyanyikan lagu menuntut hak pekerja.
Selepas selesai melaungkan hak mereka, seorang lelaki dilihat menyampaikan kertas “deklarasi satu Mei 2011” kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nagayam, yang berada di lokasi perhimpunan.
Nagayam ketika ditemui berkata tuntutan itu akan dibawa ke pihak berkaitan.
Kesemua yang berhimpun bersurai kira-kira pukul 12 tengah hari. - Bernama

Warga asing seludup barang kawalan


KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat warga asing yang dipercayai cuba menyeludup barang kawalan bernilai RM10,000 dalam satu operasi di perairan Sematan semalam.
Ketua Penguakuasa Maritim Kuching, Komander Abdul Harith Mustaffa Ahmad Khairati berkata, empat lelaki berusia antara 25 dan 35 tahun itu ditahan di atas sebuah bot nelayan pada pukul 1 pagi.
"Sebaik menerima maklumat daripada orang awam, Unit Operasi Daerah Maritim 11 (Kuching) dan sebuah bot Kilat terdiri daripada lapan anggota berjaya memintas dan menahan sebuah bot nelayan kayu bersama empat awak-awak yang dipercayai dalam perjalanan dari Sematan ke Pulau Serasan, Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya pemeriksaan ke atas bot itu mendapati beberapa guni beras dianggar seberat 1,000 kg, minyak masak (500 kg), tepung gandum (200 kg) dan enam tong gas disembunyikan di bawah barangan runcit lain.
Selain itu kesemua lelaki terbabit didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, katanya. - Bernama

Pasangan bawa bayi 15 bulan ditahan


NILAI - Sepasang suami isteri yang membawa bayi mereka berumur 15 bulan adalah antara yang ditahan dalam satu operasi lumba haram di sekitar Nilai 1, Nilai 2 dan Nilai 3, di sini malam tadi.
Bayi yang masih kecil itu tidur dengan nyenyak di pangkuan bapanya yang dihimpun bersama dengan lebih dari 250 penunggang dan pembonceng yang ditahan dalam operasi oleh Ibupejabat Polis Bukit Aman itu, yang bermula dari pukul 9.30 malam sehingga 1 pagi tadi.
Ketua operasi, ASP Khuzir Abdul Majit berkata, pasangan suami isteri berumur 22 dan 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 itu meletakkan bayi mereka di tengah semasa ditahan polis.
"Polis terpaksa menahan dan menyita motosikal pasangan itu kerana penunggangnya tidak mempunyai lesen, dan motosikal itu pula didapati diubah suai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Satu ketika suasana menjadi agak kecoh apabila nenek pasangan itu yang berumur sekitar 60-an tiba, dan terus memukul serta memarahi pasangan suami isteri itu. Operasi itu membabitkan 12 anggota polis dari Bukit Aman, 109 dari Negeri Sembilan dan 18 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan.

Nelayan dilaporkan hilang dijumpai mati


KUALA LUMPUR - Nelayan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas dijumpai mati berhampiran Pulau Talang, Segari, Perak di sini petang ini.
Pengarah Siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lt Kdr Nurul Hizam Zakaria berkata, nelayan yang hanya dikenali sebagai Chala dijumpai terapung dekat pulau itu pada pukul 3.15 petang.
"Mayat nelayan itu dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat APMM yang diketuai oleh Bintara Kanan Maritim Mohd Nazam Lot bersama lima anggota,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Chala dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika sedang memukat udang bersama rakannya, S.Maniam, berdekatan pulau itu kira-kira pukul 8 malam Jumaat lepas, Maniam hanya membuat laporan polis di Ibupejabat Daerah Manjung pagi semalam. - Bernama, kosmo

Dua termasuk kanak-kanak maut nahas


TELUK INTAN – Dua terbunuh manakala seorang cedera parah dan dua lagi tercedera apabila kereta jenis pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Selabak-Padang Tembak di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 4.20 petang itu ialah pemandu kenderaan Menan Raj a/l Vasus, 21, dan anak saudaranya Thivaran a/l Ragu, 7 tahun.
"Menan Raj meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siadat, manakala Thivaran meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya seorang lagi kanak-kanak Rejeltchumi a/p Ragu, 9, yang juga cedera parah kini dirawat di hospital berkenaan, bersama dua lagi kanak-kanak yang cedera, Mugalan a/l Ragu, 13, dan Vimal a/l Ragu, 2.
Beliau berkata kejadian berlaku ketika kenderaan yang dipandu Menan Raj membawa empat anak saudaranya itu hendak pulang kerumah mereka dari sini ke Selabak.
"Ketika melalui jambatan, kenderaan itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan terhumban ke dalam parit sedalam tiga meter yang dipenuh air akibat hujan lebat,” katanya.
Kok Liang berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan semua di dalam kenderaan itu. - Bernama

Kaku atas katil



KEMAMAN – “Ketika membuka pintu bilik di bahagian belakang, kami terkejut lihat Kak Yah terlentang kaku di atas katil yang berselerak dengan tangan dan kaki diikat, manakala mata dan mulut ditutup dengan pita pelekat hitam.

“Terkejut melihat dia berkeadaan begitu, saya buntu dan pucat seketika manakala abang segera mendapatkan Kak Yah dan membuka pita pelekat pada mata dan mulutnya serta ikatan kain selimut di kaki dan ikatan di tangan,” kata jiran mangsa pecah rumah, Noor Suhasliza Razali, 28, yang menceritakan detik mereka sekeluarga menyedari rumah jirannya dipercayai dipecah masuk perompak awal pagi semalam.

Dalam kejadian di Bukit Kuang itu, mangsa, Ka’ Yah Said, 53, ditemui dalam keadaan menyayat hati dan sudah meninggal dunia di dalam bilik tidurnya di ruang belakang rumah teres yang dihuni bersama anak perempuannya berusia 13 tahun.

Peniaga ayam maut terbabas



TEMERLOH – Seorang peniaga ayam yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut apabila kereta dipandu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 13 jalan Jerantut Temerloh dekat simpang Taman Seri Makmur, Kuala Krau.

:Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam itu, mangsa Rosenizam Mohd Tahar, 32, dari Kampung Bukit Lada, Kerdau memandu seorang diri dari Kuala Krau menuju ke Mentakab.

Apabila tiba di tempat kejadian kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik ke dalam longkang di tepi jalan.

Akibat kejadian, mangsa cedera parah di kepala dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, ketika kejadian keadaan jalan lurus, cuaca dan permukaan jalan baik.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

:Sementara itu, dalam kes berlainan seorang pekerja asing yang bekerja di sangkar ikan di Kampung Paya Kechik di sini dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Semantan jam 7 petang Khamis lalu.

Mohd Nor berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai Wantriyadi, 20, masih gagal dikesan sejak operasi mencari dilakukan kelmarin.

“Operasi mencari dilakukan pasukan penyelamat terdiri dari polis, polis Marin, Kuantan, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dianggotai 27 anggota serta lima bot,” katanya.

Mohd Nor berkata, turut membantu mencari adalah 22 penduduk kampung iaitu dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Kechik dan JKKK Lompat dengan lapan bot nelayan digunakan.

Dua lelaki maut kemalangan



RAUB – Dua lelaki maut akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan setelah terlibat dalam kejadian kemalangan berasingan, kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kejadian pertama melibatkan seorang pemuda berasal dari Rantau Panjang.

Menurutnya, mangsa, Mohd Hasnizam Hasdi, 30, menunggang motosikal Yamaha RXZ 125 dalam perjalanan daripada Kota Bharu ke Port Dickson.

“Pada jam lebih kurang 12.45 tengah hari di kilometer 357 Jalan Raub – Bentong, mangsa gagal mengawal motosikal akibat tayar pancit lalu terbabas.

“Pemeriksaan mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Nazlan berkata, kejadian kedua pada jam lebih kurang 2.15 petang di Kilometer 343 Jalan Raub – Lipis melibatkan pemandu kereta Datsun yang gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan.

Menurutnya, mangsa, Lo Hoi Su, 64, dari Taman Seri Raub, Sempalit dalam perjalanan dari Lipis ke Raub bersama seorang cucu lelaki dan seorang cucu perempuan.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa terbabas dan mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

“Kedua-dua cucunya pula mengalami ke cederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Raub,” katanya.

Angkara muatan berlebihan



LINGGI – Hasrat seorang remaja, Mohd Haimi Hasnan, 18, yang dalam perjalanan ke Telok Kemang untuk bertemu rakannya tidak kesampaian apabila terlibat dalam satu kemalangan sekitar jam 8.30 malam, kelmarin.

Mangsa menunggang motosikal bersama seorang rakannya, Amirul Farhan Md Shah, 17, dari arah Pasir Panjang ke Telok Kemang terpelanting selepas bertembung dengan sebuah treler lebihan muatan dari arah bertentangan.

Abang mangsa, Awalluddin Maani, 42, berkata, adiknya menunggang motosikal itu dan sebaik tiba di Batu 9 Jalan Pantai Pasir Panjang-Telok Kemang dia bertembung dengan sebuah treler panjang yang membawa muatan paip plastik PVC (Polyvinil Cloride).

Menurutnya, treler itu membawa muatan secara berlebihan dan paip yang terjulur di bahagian depan itu melibas adik saya mengakibatkan dia tertolak ke belakang dan jatuh sementara motosikalnya terbabas terus ke hadapan.

“Paip itu melibas bahagian dada adik saya mengakibatkannya mengalami kecederaan parah.

“Dia terus dia dibawa ke Hospital Port Dickson sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Awalluddin berkata, adiknya berada di dalam keadaan kritikal dan doktor memaklumkan adiknya mengalami kecederaan parah di bahagian paru-paru.

“Manakala, Amirul Farhan hanya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, treler itu ditahan di Jalan Pengkalan Kempas sekitar jam 9 malam, kelmarin.

Menurutnya, treler itu didapati membawa muatan berlebihan dan dipandu dalam keadaan berbahaya.

“Pemandu treler yang juga seorang lelaki berusia lingkungan 50an itu di saman polis atas kesalahan membawa muatan berlebihan dan memandu dalam keadaan berbahaya.

“Polis kemudian mengeluarkan arahan agar pemandu itu menyediakan sebuah lagi treler lain bagi membawa muatan berlebihan tersebut.

“Sebelum itu, paip dipotong dua bagi mengelakkan muatan berlebihan dan mengganggu keselamatan pengguna lain.

“Bagaimanapun, untuk sementara waktu, treler itu ditahan polis,” katanya.

Katanya, kesalahan lalu lintas boleh mengundang bahaya dan mengancam nyawa, malah pihaknya juga tidak akan bertolak ansur kepada pengguna yang ingkar dengan peraturan itu.

Dikebumikan secara Islam



BANDARAYA MELAKA - Jenazah seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel di Tanjung Kling, baru-baru ini diuruskan pihak Persatuan Tiong Hwa Malaysia untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jelutong.

Pengerusi Persatuan Tiong Hwa Malaysia, Mansur Abdullah berkata, mangsa merupakan seorang saudara baru dan jenazahnya perlu dikebumikan mengikut cara Islam.

Menurutnya, keluarga arwah juga tidak menuntut mayatnya dan berikutan itu, pihaknya mengambil keputusan meneruskan segala kerja pengkebumian.

“Ini adalah tanggung jawab kita kepada arwah. Kita akan uruskan segalanya sehingga jenazah siap dikebumikan secara Islam,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menuntut jenazah di rumah mayat Hospital Melaka, dekat sini semalam.

Isnin lalu, mangsa ditemui mati akibat terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel di Tanjung Kling, di sini, kira-kira 12 tengahari.

Arwah dikenali sebagai Datuk Mohd Alif Abdullah, 53, merupakan seorang peniaga ayam di Pasar Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah dan dikatakan mendaftar ke hotel berkenaan kira-kira tiga jam sebelum kejadian.

Polis bagaimanapun mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut dan tidak terdapat unsur jenayah di sebalik kejadian tersebut.

Disergah tetamu mabuk



MASJID TANAH - Berang akibat kedai makan ditutup, dua lelaki dipercayai sedang mabuk bertindak menyerang dan membuat kecoh di sebuah kedai makan ala barat di Pengkalan Balak, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia awal 30-an itu dikatakan tiba-tiba terpacul di hadapan kedai makan terbabit ketika pemilik kedai baru saja menutup kedai mereka dan sedang bersiap sedia untuk pulang ke rumah.

Kekecohan berlaku apabila lelaki terbabit tiba-tiba menjerit dari luar kedai memesan makanan sehingga menyebabkan pasangan pemilik kedai, Juriah Abd Karim, 44, dan suaminya, Azizan Jantan, 54, terkejut.

Menurut Juriah, sewaktu itu, dia dan suami sedang bersiap untuk pulang sebelum terdengar jeritan lelaki berkenaan yang meminta dua hidangan nasi ayam serta air kosong.

“Masa itu kedai sudah ditutup tetapi lampu bahagian hadapan masih menyala. Ketika itu saya berada di dalam dapur, manakala suami berada di bahagian belakang kedai.

“Tiba-tiba saya dengar suara orang lelaki menjerit dari luar memesan makanan.

“Dalam keadaan terkejut, saya terus menjengah dari celah pintu dapur untuk memastikan siapa menjerit sebelum memberitahu lelaki berkenaan yang kedai sudah kami sudah ditutup,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan tidak puas hati dengan jawapan itu menyebabkan seorang daripadanya bangun sambil menunding jari ke arah Juriah sambil menengking dengan nada suara keras.

Juriah berkata, keadaan menjadi kecoh apabila kedua-dua lelaki terbabit berang dan dengan muka bengis mahu dia menyediakan makanan seperti mana dipesan.

“Lelaki itu bertanyakan mana tukang masak, katanya dia lapar dan perlu makan segera. Dengan muka bengis, dia terus menepuk meja makan dengan kuat menyebabkan saya menggigil ketakutan.

“Tanpa fikir panjang, saya berlari masuk ke dapur dan mengunci pintu dari dalam kerana nampak seperti dia mahu menyerang. Saya maklumkan perkara itu kepada suami yang berada di dalam kedai,” katanya.

Sejurus selepas itu, katanya, suaminya bertindak keluar menenangkan keadaan, manakala dia terus hubungi polis.

Sementara itu, Azizan berkata, lelaki berkenaan terus mengherdiknya dengan kata-kata kesat, biarpun sudah berkali-kali saya terangkan bahawa kedai sudah ditutup dan minta mereka beredar dari situ.

“Masa saya menghampiri lelaki berkenaan, saya dapat bau arak dari mulut mereka dengan begitu kuat.

“Kemudian lelaki berkenaan memaki hamun saya dan seorang daripadanya bergerak ke dapur dan mencabar saya memanggil polis sebelum beredar dari situ,” katanya.

Berikutan insiden itu, pasangan suami isteri terbabit trauma memandangkan ia merupakan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku sejak berniaga 10 tahun lalu.

Dia bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan, bagaimanapun bimbang lelaki terbabit akan datang lagi mengganggu.

Mereka kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada hari sama.

Nyaris maut dihempap pokok



PENGKALAN BARU – Kejadian ribut di Kampung Selekoh hampir meragut nyawa warga emas, Sapiah Salleh, 87, yang sedang memasak, apabila dapur dan bilik air rumahnya dihempap sebatang pokok kekabu, kelmarin.

Sapiah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dan telah memusnahkan keseluruhan dapur serta bilik air termasuk perkakas elektrik seperti peti ais dan mesin basuh.

“Saya terkejut mendengar bunyi dentuman apabila pokok kekabu di tepi rumah menghempap bahagian dapur serta bilik air dan bernasib baik kerana berada di bahagian tepi dapur ketika itu.

“Andainya berada sedikit ke tengah tentu saya juga dihempap pokok itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Anaknya, Fauziah Hamid, 40-an berkata, dia tinggal sekitar 15 meter dari rumah ibunya dan sedang memasak sewaktu mendengar bunyi dentuman yang disangka bunyi guruh.

“Saya keluar melihat dan terkejut apabila terpandang rumah ibu yang dihempap pokok lantas berlari ke situ untuk melihat keadaan ibu yang sedang menggigil ketakutan di tepi meja di dapur.

“Saya bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa dan telah melaporkan kejadian di Balai Polis Pantai Remis serta membuat aduan kepada Ketua Kampung Tanjung Ara, Omar Sharif,” katanya.

Fauziah berkata, dia juga telah memaklumkan kejadian kepada pihak Tenaga Nasional Berhad untuk agensi itu membuat pemotongan bekalan elektrik.

Menurutnya, anggaran kerugian adalah sekitar RM15,000 dan berharap ada pihak sudi membantu untuk membaik pulih rumah ibunya.

Sementara itu, Omar berkata, kejadian yang menimpa Sapiah telah dipanjangkan kepada Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Manaf Hashim serta penghulu mukim.

“Kita telah laksanakan kerja pembersihan dan telah meminta Pasukan Bomba dan Penyelamat Pantai Remis untuk memotong pokok ]itu.

“Saya juga menyalurkan sedikit sumbangan peribadi kepada Sapiah sebagai langkah awal,” katanya.

Kereta lesap dipercayai dicuri



PEKAN NENAS - “Saya tidak sedar ketika kejadian itu berlaku kerana sedang tidur di ruang tamu.”

Demikian yang diluahkan pemilik kereta, Loh Fah Kiam, 35, yang hilang dalam kejadian kelmarin.

Fah Kiam berkata, dia hanya menyedari keretanya hilang selepas mendapati pintu pagar rumah terbuka.

“Saya kerja pada sebelah malam dan biasanya akan bangun jam 1 tengah hari kerana akan mula bekerja pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, dia dan isteri hanya tinggal berdua di rumah berkenaan dan isterinya akan bertolak ke tempat kerja pada jam 8 pagi.

Menurutnya, kejadian berkenaan langsung tidak diduga akan berlaku memandangkan pintu pagar akan dikunci dan ‘alarm’ kereta berfungsi dengan baik.

“Seperti biasa pintu pagar akan dikunci isteri saya selepas bertolak ke tempat kerja,” katanya.

Katanya, kompresor pendingin hawa digunakan bagi membuka pintu bagi membolehkan kereta Toyota Viosnya bergerak.

“Saya mengesyaki kereta ini dicuri memandangkan tiada sebarang bunyi yang kedengaran ketika kejadian berkenaan dan hanya tersedar selepas mendapati pintu pagar terbuka,” katanya.

Tambahan pula, dia turut menjumpai peralatan kompresor pendingin hawa yang ditinggalkan di halaman rumah tidak lama selepas keretanya didapati hilang.

Susulan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Nenas dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Sikap tamak makan diri



BATU PAHAT – Seorang penjenayah dipercayai warga asing ditembak mati polis, manakala tiga rakannya berjaya meloloskan diri dalam kejadian kes pecah rumah di Jalan Yong Peng berhampiran pekan Parit Yaani, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, seorang suri rumah, Rohayah Othman, 51, sedang memasak di bahagian luar kediamannya dan didatangi empat penyamun yang bersenjatakan parang, pisau dan alat pemotong besi.

Suaminya, Ali Masturi, 56, berkata, empat penjenayah itu bukan saja mengilas tangan isterinya ke belakang dan menekup mulut supaya diam, tetapi turut diacukan senjata tajam di kepala.

Menurutnya, penyamun itu kemudiannya membawa isterinya masuk ke rumah dan menyangka semua penghuni sedang nyenyak tidur, namun sangkaan mereka meleset kerana rata-rata penghuni rumah masih berjaga bagi membuat persiapan bagi kenduri.

“Saya terkejut selepas semua suspek memasuki kediaman dan isteri pula dalam bahaya. Saya cuba melawan namun penjenayah mula bertindak agresif dan mengikat tangan saya menggunakan wayar.

“Penyamun itu kemudiannya menggeledah rumah dan mengambil barangan kemas seperti gelang dan cincin. Namun salah seorang daripada mereka mula berang apabila hasil rompakan tidak memuaskan,” katanya.

Ali berkata, anaknya yang berada di dalam bilik sempat menghubungi polis dan memaklumkan kejadian itu sebelum perompak berkenaan mengarahkan keluar dari biliknya, dan berjanji tidak akan mengapa-apakannya.

“Tidak lama kemudian, tiga daripada perompak berkenaan menyedari kediaman dikepung dan mengarahkan seorang lagi yang masih menyelongkar bilik utama itu supaya segera keluar bimbang akan diberkas pihak berkuasa.

“Akibat rasa tamak, laungan itu tidak diendahkan sebelum tiga lagi rakannya bergegas meninggalkan kediaman itu dan menghilangkan diri. Seorang perompak kemudiannya turut keluar dari rumah itu tetapi panik selepas melihat anggota polis. Dia cuba masuk ke rumah tetapi gagal sebelum cuba melawan,” katanya.

Difahamkan, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 dalam insiden mencemaskan hampir 20 minit itu dan satu laporan polis di Balai Polis Yong Peng kira-kira jam 11.30 pagi.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon turut berkunjung di kediaman mangsa.

Dua keldai dadah dicekup



JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga asing dari Timur Tengah ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Sultan Ismail, Senai kerana menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta.

Sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bersama JSJN Bukit Aman menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 4.30 petang pada 27 April lalu dipercayai ‘keldai dadah’ kepada sindiket dadah antarabangsa dari Timur Tengah.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pemeriksaan ke atas dua lelaki yang berumur 22 dan 27 itu menemui dadah jenis syabu kira-kira 4,550 gram, yang diletakkan di bahagian tersembunyi dalam sebuah bagasi yang dibawa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masih bujang dan berlagak seperti pelancong yang datang ke negara ini untuk bercuti.

"Namun setelah tembelang mereka dapat dihidu polis, kedua-duanya menggigil ketakutan.
“Salah seorang daripada suspek telah beberapa kali masuk ke negara ini sejak tahun 2009 dan seorang lagi baru pertama kali datang ke sini,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media, IPK Johor, semalam.

Mereka ditahan reman dari 28 April sehingga 4 Mei ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Mokhtar, pihaknya ingin mengenal pasti jaringan sindiket pengedaran dadah itu seperti dari mana ia diperoleh dan siapa yang terlibat sama.

“Pihak kami akan terus mempertingkatkan usaha bagi menentukan LTAB Sultan Ismail, Senai bebas dan bukan sebagai pintu masuk dadah ke Malaysia mahupun Johor,” katanya.

Turut dirampas daripada kesemua suspek iaitu wang tunai kira-kira RM1,500 dan mata wang Amerika dan Arab Saudi.

4 larikan barangan kemas RM7 juta


PETALING JAYA 30 April - Dalam apa disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku, empat lelaki disyaki warga asing melarikan sejumlah barangan kemas bernilai RM7 juta tanpa menggunakan sebarang senjata selepas memperdaya seorang pekerja kedai emas di Jalan Petaling Jaya Utama, malam semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, semua pekerja dikatakan sedang sibuk memasukkan sejumlah berlian dan emas ke dalam beg selepas pameran selesai dijalankan.
Tiba-tiba muncul tiga individu dan berpura-pura bertanya kepada salah seorang pekerja kononnya untuk membeli barangan kemas.
Ketika pekerja itu sibuk melayan tiga individu terbabit, seorang suspek lain segera melarikan beg yang berisi barang kemas tersebut.
Pekerja terbabit hanya menyedari kehilangan barang berkenaan selepas kesemua suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya masih menyiasat suspek yang terlibat di dalam kejadian tersebut dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan.
"Kita masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bangunan tersebut. Ia bagi membantu kita mengenal pasti identiti suspek," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang berada di tempat kejadian diminta tampil memberikan maklumat berhubung kes terbabit.

Dua ditahan bersama syabu RM1.2 juta



Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (dua dari kanan) melihat dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta bersama pelbagai mata wang asing yang dirampas polis pada sidang akhbar di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 30 April - Polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup dadah masuk ke negeri ini.
Ia berikutan tertangkapnya dua warga asing dari Asia Barat bersama dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai, dekat sini Rabu lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 22 dan 27 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri pukul 4.30 petang.
Beliau berkata, kedua-duanya ditahan sejurus tiba di LTASI dari Kuala Lumpur setelah dikesan menyembunyikan syabu seberat 4.5 kilogram di dalam ruangan khas beg yang dibawa.
"Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan jaringan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan berdasarkan siasatan awal, salah seorang suspek didapati kerap ke Malaysia sejak 2009.
"Akibat daripada pemeriksaan ketat di pintu masuk utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai mereka mengalihkan sasaran dengan menjadikan lapangan terbang di dalam negeri untuk kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, buat masa ini, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Ketua JSJN Negeri, Asisten Komisioner Kamarudin A. Aziz untuk menyiasat perkara itu secara terperinci.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung kes penangkapan kedua-dua suspek bersama dadah tersebut.
"Cukup sekadar ini sahaja. Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan segala maklumat mengenainya tidak boleh didedahkan," katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Peniaga ditipu RM60,000 kerana cicak tokek



BALING 30 April - Akibat terlalu percaya pada rakannya, seorang ahli perniagaan di sini kerugian RM60,000 apabila ditipu lelaki itu yang kononnya mahu berkongsi wang untuk membeli seekor cicak tokek bernilai RM300,000 untuk dijual semula dengan harga RM1.5 juta.
Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Abu itu berkata, rakannya memberitahu cicak tersebut perlu dibeli terlebih dahulu di Sik dekat sini, kerana terdapat seorang dari Ipoh, Perak, yang hendak membeli semula dengan harga RM1.5 juta.
"Sebab percaya kepadanya saya menyerahkan RM60,000 kepada rakan yang juga seorang guru di Kepala Batas, Pulau Pinang, untuk tujuan itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Abu berkata, namun selepas menyerahkan wang itu, dia bukan sahaja tidak menerima untung tetapi wang modal tersebut juga lesap dan rakannya pula gagal dijejaki.
Menurutnya, rakannya tidak dapat dihubungi selepas perbualan terakhir mereka yang antara lain rakannya memberitahu cicak tersebut sudah mati.
Justeru, Abu yang kesal dengan perkara tersebut kemudian membuat laporan polis berhubung kes itu.-utusan

Gangguan misteri landa warga SMKBBU


PELAJAR SM Bandar Baru Uda menunjukkan bangunan sekolah yang sering diganggu histeria. - Foto Mohd Yusoff Ahmad
PELAJAR SM Bandar Baru Uda menunjukkan bangunan sekolah yang sering diganggu histeria. - Foto Mohd Yusoff Ahmad

JOHOR BAHRU: Sejak lebih dua minggu lalu, warga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), di sini diselubungi kebimbangan setiap kali melangkah masuk ke kawasan sekolah berkenaan angkara gangguan misteri yang dialami. 


Pada pandangan mata kasar, gangguan itu dianggap histeria yang berlaku hampir setiap hari persekolahan, namun yang peliknya ia turut membabitkan pelajar lelaki dengan waktu kejadian biasanya antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari sebelum bersambung pula selepas jam 5 petang.
Akibatnya, rata-rata pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran, malah ada yang lari ketakutan sejurus melihat rakan terkena gangguan.
Pelajar Tingkatan Tiga, Erra Natasya Mohd Asri, 15, berkata hampir setiap hari sejak dua minggu lalu, ada pelajar yang diserang histeria di sekolah berkenaan. 


"Malah pada satu pagi, sekurang-kurangnya tiga pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki diserang histeria mulai 9.30 pagi. Sebaik terkena gangguan, ustaz membantu dengan membacakan ayat al-Quran. 


"Sebelum ini, histeria pernah membabitkan antara 15 hingga 20 pelajar, menyebabkan guru sibuk membantu mereka yang mengalami serangan itu," katanya. 


Rakannya, Noor Fazila Mohd Jais, 15, berkata kejadian histeria yang dialami di sekolah itu boleh dikatakan berlaku setiap tahun, cuma berbeza masa dan bulan. 
"Sejak saya bersekolah di sini dari Tingkatan Satu, setiap tahun pasti ada kejadian histeria. Biasanya ia mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk berakhir. 


"Tahun lalu, kejadian sama berlaku di Blok E. Pengurusan sekolah menggunakan lada hitam dijampi yang ditabur di sekeliling sekolah sebelum gangguan itu reda. 


"Sejak dua minggu lalu pula, kejadian berulang lagi tetapi kali ini bermula dari tandas pelajar perempuan di Blok A. Selain ustaz, ada kala imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda turut dipanggil untuk membantu," katanya. 


Seorang lagi pelajar, Nurul Najiha Ramli, 15, berkata setiap kali berlaku serangan histeria, pelajar yang menjadi mangsa akan menjerit, menangis serta meracau sebelum merebak kepada rakan lain. 


"Keadaan itu membuatkan kami ketakutan melihat rakan yang mengalami gangguan berkenaan kerana selalunya mereka ambil masa lama untuk pulih," katanya. 


Bapa seorang pelajar ketika tampil mengadu kejadian itu, menggesa pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil langkah segera menangani kejadian terbabit bagi mengelakkannya berulang. , bharian

Warga Iran seludup syabu RM1.2j ditahan


JOHOR BAHRU: Dua lelaki Iran ditahan polis ketika cuba menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini untuk menyeludup masuk 4.55 kilogram syabu bernilai RM1.2 juta yang cukup sebagai bekalan untuk 15,000 penagih. 


Mereka berusia 22 dan 27 tahun yang sebelum itu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ditahan kira-kira jam 4.30 petang Rabu lalu dengan seorang kerap keluar masuk negara ini sebagai pelancong, manakala seorang lagi dipercayai baru kali pertama menjadi keldai dadah.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pemeriksaan terhadap sebuah beg pakaian dibawa dua lelaki itu menemui dua bungkusan plastik berisi serbuk kristal disyaki syabu, tersembunyi dalam ruang rahsia dalam beg terbabit.
Kedua-dua suspek dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa beroperasi di Asia Barat direman tujuh hari hingga 4 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -bharian

Geng Arab rompak permata RM3 juta


5 rakyat asing termasuk seorang wanita ambil kesempatan ketika premis hendak ditutup


KUALA LUMPUR: Sekumpulan lima warga asing, termasuk seorang wanita mengambil masa tidak sampai dua minit melarikan berlian dan permata dianggarkan bernilai lebih RM3 juta dari satu pameran barang kemas di pusat beli-belah di Damansara, di sini malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, semua suspek dipercayai dari Asia Barat dilaporkan mengambil kesempatan melarikan satu beg berisi barangan itu ketika 15 kakitangan sebuah syarikat barang kemas terkemuka sibuk menyimpan barang pameran.
Difahamkan empat lelaki terbabit terus meninggalkan pusat beli-belah berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan kereta dipandu seorang wanita. Kejadian disedari kakitangan syarikat barang kemas itu yang kemudian memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah dan menyerahkan rakaman kepada polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata modus operandi kumpulan itu ialah melakukan jenayah berkenaan ketika pameran mahu ditutup apabila pekerja sibuk menyimpan barangan kemas dipamerkan. 

“Polis sedang mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman CCTV. Kita percaya mereka sudah beberapa kali mengunjungi pameran ini sebelum melakukan jenayah berkenaan. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Sepasukan anggota dari Unit Forensik Polis Selangor juga sudah dihantar ke lokasi kejadian semalam bagi menjalankan siasatan lanjut. , bharian