Search This Blog

Friday, April 29, 2011

28 ditahan dalam Ops Sapu



MANJUNG – Seramai 28 warganegara asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam serbuan Ops Sapu oleh anggota Pejabat Imigresen Manjung bermula jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali berkata, pihaknya menahan 13 wanita, 10 lelaki, tiga kanak-kanak wanita dan dua kanak-kanak lelaki, semua mereka adalah warganegara Indonesia.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mereka bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit di sekitar daerah ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Serbuan di buat sekitar Segari dan Ayer Tawar hasil maklumat orang awam serta risikan yang kita jalankan.

“Semua mereka ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1(C)) dan Seksyen 15 (1(C)) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39 (B), Peraturan –peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Zaidi berkata, pendatang tanpa izin itu ditahan selama 14 hari di Depoh Tahanan Imigresen Langkap bagi tujuan siasatan lanjut.:

“Sekiranya mereka didapati bersalah, tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Katanya, operasi itu akan dijalankan dari semasa ke semasa agar gejala pendatang tanpa izin ini dapat dibanteras.

“Kita menasihatkan agar majikan mengambil pekerja warganegara asing yang memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Jika majikan terbukti menggaji dan melindungi pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 56 (1(D)) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta sama.

“Selain itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai gejala seumpama ini diminta tampil menyalurkannya untuk membantu kami menjalankan penguatkuasaan di daerah ini,” katanya.

Mangsa gigit jari penyamun lepas diri



IPOH – Seorang wanita berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa samun seorang lelaki di sebuah premis Jalan Laxmana, Pasar Besar, Pekan Baru, di sini kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa berjaya melepaskan diri dari dicekik dengan menggigit jari suspek hingga terkoyak.

“Dalam keadaan sakit, suspek terus melarikan diri tanpa menaiki sebarang kenderaan dan mangsa pula tidak mengalami kecederaan serta tiada barang yang berjaya diambil oleh suspek.

“Suspek memakai topi keledar, baju T berwarna ungu dan berseluar jeans mengetuk pejabat pengadu sambil memperkenalkan dirinya sebagai polis dengan menunjukkan sekeping kad biru tertera logo polis,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Azisman berkata, suspek mengarah pengadu menunjukkan kad pengenalan dan menyalin semula maklumat pada kad pengenalan berkenaan pada sehelai kertas.

Katanya, suspek berumur lingkungan 30 tahun itu bertubuh gempal, berkulit gelap dan terdapat kesan bekas jerawat di pipi.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek tersebut boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mazhar Malik di talian 013-5908025 atau telefon di talian 05-2542222,” katanya.

Ugutan: suami isteri ketakutan



SALAK BARU – Setelah dilempar surat layang, sepasang suami isteri semakin tertekan dan ketakutan apabila kediaman mereka pula dijadikan sasaran dengan simbahan cat merah.

Kejadian yang berlaku kelmarin hanya disedari pemilik rumah, Wong Kiau, 73, ketika dia dan isteri ingin keluar ke kedai minum.

Menurutnya, simbahan cat berkenaan dikesan di bahagian hadapan rumah mereka di Kampung Baru.

“Ini bukan kejadian kali pertama kerana sebelum ini saya pernah menerima sekeping kertas dalam bahasa Cina.

“Kandungan kertas (surat layang) yang diletakkan dalam peti surat rumah itu meminta wang sebanyak RM60,000, turut diselitkan nombor telefon untuk dihubungi,” katanya.

Wong Kiau berkata, pada waktu itu, ada kesan simbahan cat di hadapan rumah, namun dia tidak melaporkan insiden itu kepada polis.

Bagaimanapun, katanya, apabila insiden sama berulang, dia dan keluarga mula bimbang akan keselamatan dan membuat keputusan melaporkannya kepada polis.

“Surat layang yang diterima juga sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, kami bimbang sekiranya pihak berkenaan bertindak ganas,” katanya.

Wong Kiau berkata, sehingga kini, dia tidak mengetahui motif sebenar perbuatan menyimbah cat itu dan sebab pihak berkenaan meminta sejumlah wang daripadanya.

“Saya dapat rasakan perbuatan ini satu petanda atau amaran kepada kami supaya menyerahkan wang yang diminta, harap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Premis judi kuda diserbu



TAPAH – Sebanyak lapan premis yang disyaki terlibat dengan aktiviti mesin perjudian di sekitar Bidor dan Sungkai diserbu pihak berkuasa sepanjang Januari hingga April ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, dalam operasi yang dilakukan itu, lapan pemilik premis turut ditahan.

Menurutnya, semua pemilik ditahan bagi membantu siasatan polis berkaitan perniagaan perjudian menggunakan komputer dan internet secara haram.

“Kita percaya aktiviti perjudian haram yang dilakukan ini melibatkan taruhan antarabangsa kerana menggunakan kemudahan internet.

“Operasi yang dijalankan di lapan premis itu juga merampas 96 unit komputer,” katanya kepada media ketika ditemui di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.

Roslan Bek berkata, antara kegiatan judi yang dikenal pasti termasuklah judi kuda dan kad (poker) melalui internet.

Katanya, kerjasama ibu bapa juga penting dalam mengawal aktiviti anak-anak agar tidak terlibat dengan kegiatan perjudian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi dan Taruhan kerana menjalankan aktiviti perjudian berkomputer,” katanya.

Dalam kes berasingan, tiga lelaki berusia awal 20-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes kecurian kabel syarikat telekomunikasi yang berlaku di sekitar kawasan Sungkai dan Bidor, 25 April lalu.

Roslan Bek berkata, pihaknya percaya, penahanan ketiga-tiga lelaki berkenaan membantu polis menyelesaikan 11 kes kecurian kabel bawah tanah (mainhole) milik sebuah syarikat telekomunikasi.

“Polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini, kita juga percaya barangan kabel berkenaan sudah dijual dan dilupuskan kepada pihak ketiga,” katanya.

Buat masa ini, kata beliau, pihaknya masih memburu suspek yang menggunakan modus operandi sama, menarik kabel menggunakan motosikal dan menjual barangan sejurus selepas dicuri. 

Awas lakonan sindiket jual ubat susu getah



KUALA NERANG - Kenaikan harga getah di pasaran dijadikan kesempatan sebuah sindiket menjual ubat susu getah yang didakwa mampu meningkatkan jumlah kuantiti susu bagi setiap batang pokok getah yang ditoreh.

Namun, sindiket berkenaan berjaya dihidu sepasang suami isteri yang juga pemilik kepada sebuah kedai runcit di Kampung Padang Nyior, di sini.

Hartinie Mohamad, 28, berkata, beberapa hari lalu, kedainya didatangi tiga lelaki yang sekitar 40 tahun yang mahu meletak sebanyak lapan botol ubat susu getah.

Menurutnya, mentuanya, Siti Zaharah Mohamad, 70, bersetuju selain berasakan bahawa sudah tentu ubat berkenaan laris dijual.

“Setiap botol berharga RM85 dan kami diminta untuk membayar deposit lebih RM200 untuk tiga botol berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedainya.

Lakonan sindiket itu bermula pada keesokan harinya apabila sekali lagi kedainya dikunjungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen membeli susu getah.

Hartinie berkata, sewaktu itu, ibu mentuanya yang menjaga kedai berkenaan ditanya mengenai ubat susu getah berkenaan dan tertarik untuk membeli sebanyak 100 botol.

Menurutnya, lelaki itu bersetuju untuk membeli sebanyak 60 botol terlebih dahulu dan menyerahkan kad namanya kepada suami, Mohd Noor Idris, 32.

“Semasa kami menelefon ‘ejen’ berkenaan untuk memesan 60 botol ubat susu berkenaan, mereka datang ke kedai dan meminta kami membayar terlebih dahulu sebanyak RM4,200, tetapi kami tidak bersetuju,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Noor berkata, dia meminta lelaki berkenaan untuk menurunkan botol-botol ubat yang dipesan tetapi lelaki itu tidak mahu.

Mengukuhkan lagi bahawa ia adalah lakonan, lelaki itu terus tidak datang, Mohd Noor cuba menelefon beberapa kali tetapi tidak dijawab dan akhirnya talian itu dimatikan.

Tambahnya, dia terus membuat laporan di Balai Polis Padang Sanai dan selepas itu mereka dimaklumkan oleh masyarakat setempat bahawa modus operandi yang sama juga turut berlaku di daerah Pokok Sena.

Jumpa mayat dalam kereta



BUTTERWORTH - Pekarangan Hospital Pakar Bagan di Jalan Taman Bagan di sini yang sebelum ini tenang bertukar gempar apabila mayat seorang lelaki ditemui dalam kereta di bahagian belakang bangunan utama hospital berkenaan, lewat petang kelmarin.

Mayat Ho Kow Kia, 49, dari Mak Mandin ditemui terkulai di bahagian tempat duduk pemandu dalam kereta Proton Saga oleh seorang pekerja hospital swasta itu pada jam 7 malam semalam sebelum dilaporkan kepada polis.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian mendapati Kow Kia, seorang pekerja kontrak meninggal dunia kira-kira sejam sebelum mayatnya ditemui dan hasil siasatan awal mendapati mangsa maut kerana tersedut asap ekzos keretanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi berkata, pihaknya menemui satu lingkar paip getah yang disambungkan kepada ekzos keretanya ke dalam kenderaan itu melalui pintu belakang sambil enjin kereta dihidupkan.

“Pintu dan tingkap kereta itu tertutup manakala hujung paip getah itu pula dihalakan ke mukanya.

“Kita percaya sebab kematiannya kerana tersedut asap ekzos. Bagaimanapun mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Seberang Jaya untuk mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Amah curi duit majikan diheret ke mahkamah



GEORGETOWN - ‘Wang yang dicuri adalah sedikit demi sedikit’ dan mengambil masa selama lima bulan. Akhirnya terbongkar apabila diketahui majikan.

Akibat tindakannya itu, seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri wang majikan tiga hari lalu.

Atin Sutinah, 39, mengaku tidak bersalah dan minta bicara selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.

Noor Aini juga membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada Mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Beliau menetapkan 12 Mei ini serah dokumen dan sebutan kes.

Atin Sutinah yang diamanahkan sebagai pembantu rumah didakwa dengan niat curang mencuri wang bernilai RM1,698 milik majikannya, Yeoh Chai Hong, 30.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Ketika rayuan, Atin Sutinah meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan itu kerana ejennya akan membayar wang jaminan.

Pemandu lori dihukum gantung



ALOR SETAR - Seorang pemandu lori dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini semalam setelah didapati bersalah membunuh teman wanitanya dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu setelah Mohamad Adnan Abdul Rahim, 29, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam pembelaannya.

Mohamad Adnan dari Simpang Ampat, Pulau Pinang didakwa membunuh Nur Bahirah Ishak, 22, pada 17 Mei 2009 antara jam 10.30 hingga 10.45 pagi di sebuah rumah di Lorong Perak 2, Taman Perak, Kulim, Kedah.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan seterika untuk mengetuk kepala mangsa dan menggunakan gunting kecil bagi menikam secara bertubi-tubi di bahagian leher serta dada mangsa.

Kesalahan itu boleh menyebabkannya dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu mengikut keterangan pakar forensik patalogi bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan serius di beberapa bahagian badan yang bukan berlaku disebabkan perbuatan mangsa sendiri.

Penyataan tertuduh ketika membuat bela diri secara bersumpah tidak mempunyai niat untuk membunuh mangsa ditolak mahkamah kerana berdasarkan kesan kecederaan yang dialami mangsa membuktikan tertuduh mempunyai niat melakukannya.

Terdahulu Mohd Zaki, berkata, setelah mendengar keterangan saksi pembelaan dan saksi pendakwaan serta membaca hujahan bertulis pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan Mohamad Adnan disabit dengan pertuduhan.

“Berdasarkan kecederaan, ia tidak berasaskan kepada hak membela diri atau provokasi mendesak oleh si mati,” katanya.

Peguam bela tertuduh, K Pathmanathan, dalam rayuannya meminta supaya hukuman yang dikenakan terhadap anak guamnya diringankan kerana tertuduh masih bujang dan ini adalah kesalahan pertama dilakukan serta turut dimasukkan ke dalam wad kerana tercedera dalam kejadian itu.

Mohd Zaki kemudian berkata, tidak ada hukuman lain yang diperuntukkan bawah seksyen itu melainkan hukuman mati dan tertuduh disabitkan dengan kesalahan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim.

Pekerja kedai besi dijel 3 tahun



GEORGETOWN - Seorang pekerja kedai besi buruk dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah mencuri barang-barang antik milik seorang lelaki yang bergelar Datuk, tujuh hari lalu.

Vijayan Thangavelu, 36, mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Noor Aini Yusof.

Tertuduh disabitkan atas kesalahan pecah rumah waktu malam dengan memasuki ke dalam rumah kepunyaan Datuk Noor Mahamad Abu Backer, 44, dengan niat mencuri barang -barang antik, barang kemas dan berlian serta duit antik yang dianggarkan bernilai kira-kira RM553,000.

Tertuduh dari Mount Erskine didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.30 malam 10 April hingga 8.30 malam 14 April di sebuah rumah banglo di Jalan Macalister.

Sebanyak 81 jenis barang yang dicuri oleh Vijayan termasuk set sudu warna kuning, patung kuda kecil, bekas telur warna merah, rantai tangan berwarna perak, pingat Darjah Setia Pangkuan Negeri Pulau Pinang, pingat darjah kebesaran, Pingat Jasa Terpuji dan pelbagai duit siling mata wang asing.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Dalam rayuan, Vijayan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan seorang anak, adik dan ibu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal mengikut keseriusan kes pecah rumah serta nilai barangan yang dirampas oleh polis daripada tertuduh.

Dalam penghakiman ringkas, Noor Aini berkata mahkamah mensabitkan tertuduh mengikut pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dari tarikh tangkapan.

“Mahkamah mengambil keputusan ini selepas mengambil kira keseriusan kes pecah rumah yang sejak akhir-akhir ini semakin berleluasa.

“Dalam pada itu, mahkamah turut mengambil kira nilai kerugian yang dialami mangsa selepas rumahnya dipecah masuk oleh tertuduh,” katanya.

Polis trafik parah



KULIM - Seorang anggota polis trafik, Mohd Izudin Mohd Salleh, 22, cedera parah apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang menghalang laluannya ketika sedang menjalankan Operasi Ninja di sekitar kawasan pekan Kulim kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, ketika kejadian, mangsa bersama dua anggota lain sedang membuat rondaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Mangsa menunggang motosikal ketika membuat rondaan di lorong sebelah kiri jalan di Jalan Tungku Abdul Rahman. Apabila tiba di stesen minyak, sebuah kereta memotong dari lorong kanan dan masuk ke stesen minyak itu.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian hadapan tayar kereta. Akibat rempuhan kuat, mangsa mengalami kecederaan serius. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kulim oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan, ”katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan patah tulang rusuk, bahu dan tulang belakang. Akibat kecederaan yang serius, mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk menjalani pembedahan.

Katanya, kes ini akan di siasat di bawah seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cara merbahaya dan mendatangkan kecederaan parah. Hasil siasatan awal dijalankan mendapati kereta berkenaan menghalang laluan mangsa sehingga mengakibatkan kemalangan.

“Sehingga kini keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih di bawah pengawasan doktor,” katanya kepada Sinar Harian.

Penyamun jadi pelanggan



BUNGA RAYA - Seorang penyamun berpakaian kemas bertindak bijak menyamar sebagai pelanggan membeli hiasan sebelum melarikan seutas rantai dan gelang tangan emas bernilai RM11,000 dalam kejadian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, suspek mengunjungi sebuah kedai emas di sini dan dilayan oleh seorang pembantu kedai sebelum meminta seutas rantai untuk diacukan di lehernya.

Setelah itu, suspek meminta pula seutas gelang tangan dan mengacunya di pergelangan tangan sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketika kejadian, terdapat tiga pekerja wanita di kedai emas berkenaan dan seorang daripadanya melayan suspek serta tiada pelanggan lain di kedai itu.

“Pekerja wanita terbabit langsung tidak mengesyaki tindak-tanduk suspek dan tidak sempat mengejar melainkan hanya menjerit selepas melihat suspek melarikan diri dengan barangan berkenaan.

“Kita telah menerima laporan daripada pemilik kedai dan akan menyiasat kes ini di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan.

Isteri tidak pulang rumah



SEREMBAN – Seorang warga emas bimbang keselamatan isterinya yang tidak pulang ke rumah sejak sebulan lalu.

Bekas pesara guru, Lokman Sharip, 67, berkata, isterinya, Rosnani Mohd Nor, 59, didapati tiada di rumah selepas dia pulang dari Semenyih setelah menghantar seorang kawan.

“Pada 26 Mac lalu, saya ada memaklumkan kepada isteri bahawa saya mahu ke Semenyih untuk menghantar kawan balik kampung.

“Tetapi sebaik sampai di rumah di Lenggeng kira-kira jam 9 malam, saya mendapati isteri tiada,” katanya kepada pemberita di pejabat Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sehingga kini, dia sekeluarga gagal menghubungi isteri dan tidak menerima sebarang khabar berita daripadanya meskipun usaha menjejaki telah dilakukan.

“Isteri saya meninggalkan rumah tanpa meninggalkan apa-apa pesan kepada saya, anak mahupun jiran.

“Kami telah mencarinya di rumah rakan dan saudara-mara tetapi sehingga kini tidak tahu di mana dia berada,” katanya.

Lokman berkata, ia kejadian pertama berlaku dan isterinya tidak mempunyai penyakit seperti kemurungan dan sebagainya.

“Isteri saya sihat dan kami tidak bergaduh sebelum kejadian.

“Sekiranya orang ramai ada melihat dan bertemu isteri, tolonglah bawa dia pulang ke rumah kami di alamat bernombor 51, Rumah Rakyat Lenggeng,” katanya.

Menurutnya, dia amat menyayangi isterinya dan merayunya kembali kerana anak juga amat merinduinya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, bolehlah menghubungi Lokman menerusi talian 013-621 9686.

Kereta makan tuan



BUKIT BERUNTUNG - Seorang pengurus bengkel maut akibat dihempap kereta pacuan empat roda miliknya setelah terbabit kemalangan di Kilometer 429.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Ipoh berdekatan susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung di sini lewat petang kelmarin.

Mangsa, Hoo Ee Kuang, 35, dikatakan tercampak daripada keretanya yang terbabas sebelum diempap di tebing longkang lebuhraya.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Mohd Taib Songoh berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa maut serta merta.

“Ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan pulang ke Setiawan, Perak setelah selesai urusan perniagaan di Kuala Lumpur.

“Setibanya di tempat kejadian, kereta Kia Sorento yang dipandu mangsa telah hilang kawalan sebelum terbalik beberapa kali dan melanggar penghadang lebuhraya.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tebing longkang sebelum badannya dihempap keretanya sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun katanya, rakan mangsa, Wong Yong Ping, 53, terselamat dan berjaya merangkak keluar daripada kenderaan terbabit, namun keadaannya tidak dapat disahkan.

Beliau berkata, beberapa minit kemudian, sebuah kereta Mercedes Benz dipandu seorang ahli perniagaan turut terbabas dan nyaris merempuh kenderaan milik mangsa.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Cuci warga asing



PETALING JAYA – Cubaan seorang warga Myanmar berusia 28 tahun menunjukkan kad yang dikeluarkan sebuah badan bukan kerajaan di negaranya sebagai tiket untuk mengelak dari ditahan tidak berhasil.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati kad tersebut tidak sah dan rahsianya memasuki negara ini secara haram terbongkar.

Dalam ‘Ops cuci’ Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Imigresen Selangor semalam, 18 warga asing diperiksa.

Hasilnya, lima lelaki warga asing berumur antara 25 hingga 45 tahun terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan India ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pengarah Penguat kuasa MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata dalam operasi tersebut sebanyak tujuh buah pusat mencuci di sekitar Lembah Subang, Damansara Damai, Sri Damansara dan Mutiara Damansara dikenakan tindakan.

Menurutnya, kesemua peralatan dari tujuh pusat mencuci kereta itu turut disita.
“Tujuan operasi dibuat adalah untuk membanteras pusat cuci kereta tanpa lesen yang dimonopoli oleh warga asing,” katanya.

Tindakan di bawah undang-undang kecil pelesenan perdagangan, perniagaan dan perindustrian (MBPJ) 2007.

Selain itu, Fauzi mengakui kebanyakan pusat mencuci kereta haram di sekitar daerah ini diusahakan oleh warga asing.

“Perkara ini sentiasa dipantau dan hasil maklumat dan aduan orang awam, kita telah mengenal pasti tempat-tempat ini dan tindakan akan diambil,” katanya.

Ditahan bantu kes samun



KUANTAN - Seorang buruh kontrak ditahan polis kerana disyaki terlibat bersama empat yang lain termasuk seorang wanita menyamun seorang warga Bangladesh di tempat letak kereta, belakang bangunan Cente Point di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa kerugian kira-kira RM200 apabila wang tunai RM100 dan sebuah telefon bimbit dirampas suspek.

Mangsa juga mendakwa dia turut dipukul kumpulan terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai berjalan bersendirian di kawasan letak kereta yang agak gelap itu.

Menurutnya, ketika sampai di satu kawasan, mangsa didatangi empat lelaki dan seorang wanita sebelum mereka mengarahkannya menyerahkan wang dan telefon bimbit.

“Mangsa yang enggan menuruti kehendak suspek dibelasah bagaimanapun tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata berbahaya.

“Tindakan suspek itu memaksa mangsa menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit yang digunakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Kamaruzzaman berkata, selepas mendapatkan habuan samun yang tidak seberapa, suspek terus menghilangkan diri manakala mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Dalam laporannya, mangsa mendakwa mengenali salah seorang suspek dan susulan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun di sebuah rumah kongsi pekerja di sini kira-kira jam 3 pagi hari berikutnya.

“Lelaki tersebut ditahan untuk siasatan lanjut manakala empat lagi rakannya termasuk seorang wanita yang ada ketika kejadian masih dikesan,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai samun berkawan dan kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Bakal pengantin menyesal



KUALA ROMPIN – Seorang tertuduh yang didakwa atas kesalahan memiliki dua jenis dadah merayu majistret supaya mengurangkan jumlah jaminan yang dikenakan ke atasnya dengan alasan mahu melangsungkan perkahwinan pada 14 Mei depan.

Tertuduh, Mohd Imran Samsu, 35, merayu kepada Majistret, Emma Shahrina Ali, supaya mengurangkan jumlah jaminan sebanyak RM9,000 sementara menunggu keputusan laporan kimia pada 25 Mei depan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya tunduk ketika mengakui kesalahannya itu dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu memandangkan dia akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Saya berjanji akan berkelakuan baik dan tidak sesekali mahu terjebak dengan gejala ini kerana ia bukan saja menjejaskan masa depan saya malah kepada keluarga jika sudah berkahwin kelak,” katanya di kandang tertuduh.

Tertuduh yang berasal dari Felda Sibul, Kulai, Johor dituduh memiliki paket plastik berisi bahan ketulan dan serbuk dengan berat kasar 4.8 gram yang mengandungi heroin pada jam 9 pagi di Jeti Kampung Salang Pulau Tioman, 20 April lalu.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998) Akta A 1025 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39 A (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan tidak kurang daripada dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih sembilan sebatan.

Manakala tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam dan tarikh serta lokasi yang sama seperti tuduhan pertama dengan memiliki lima paket plastik lut sinar berisi bahan ketulan dan serbuk kristal dengan berat kasar 1.5 gram yang mengandungi methamphetamine.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah berbahaya 1952 (Pindaan 1998) Akta A 1025 dan boleh dihukum di bawah seksyen 12 (3) akta yang sama.

Tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Ridhwan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Emma Sharina dalam keputusannya menetapkan tertuduh perlu membayar RM3,500 sebagai jaminan bagi tuduhan pertama sementara RM2,500 sebagai jaminan kedua.

Beliau kemudiannya menetapkan 25 Mei depan bagi mendengar semula kes tersebut.

Angkara racun tikus



JENGKA 25 - Seorang penternak kerugian sebanyak RM15,000 apabila 13 lembu ternakannya mati kerana memakan racun tikus yang ditabur di ladang kelapa sawit di tanah rancangan ini.

Penternak itu, Mohamad Sahrim Mohd, 36, berkata, dia terkilan dan sedih kerana racun itu tidak sepatutnya ditabur merata-rata sebaliknya ia perlu diletakkan di dalam longgokan pelepah kelapa sawit.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak tahu terdapat racun tikus di sekitar ladang itu, namun rakan memberitahu terdapat beberapa lembunya mati di beberapa tempat.

“Saya sangat terkejut dan bergegas meninjau keadaan lembu-lembu itu. Saya sangat sedih kerana seekor demi seekor lembu itu mati seperti kepanasan.

Sebelum mati, terdapat darah keluar dari hidung lembu itu. Jika darah mulai keluar, ia tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke ladang itu mendapati banyak lembu milik Mohamad Sahrim mati bergelimpangan dan sebahagiannya sudah ditanam.

Mohamad Sahrim yang juga Ketua Belia merangkap Pemangku Ketua Pemuda Jengka 25 berkata, dia mula menternak lembu itu sejak sembilan tahun lalu dan kini lembunya berjumlah 25 ekor.

Menurutnya, dia juga terkilan kerana belum sempat memindahkan ternakannya itu ke kandang yang baru siap berdekatan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Jengka 21.

“Saya terkilan kerana tidak sempat memindahkan lembu ke dalam kandang itu. Sebelum ini, saya sibuk membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkempen sepanjang pilihan raya kecil (PRK) pada Mac lalu.

“Namun, ia merupakan takdir. Selepas melihat keadaan lembu yang menggelupur, saya terus ke Jabatan Veterinar untuk mendapatkan ubat atau cara yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan lembu itu,” katanya.

Mohamad Sahrim berkata, dia juga sangat terkilan kerana dalam tempoh sembilan tahun, dia masih belum merasai hasil jualan lembu ternakannya.

Menurutnya, apabila lembunya itu sudah matang, ia pasti dicuri pihak tidak bertanggungjawab pada malam hari.

“Saya tidak pernah menikmati hasil jualan lembu itu kerana apabila sudah besar, ia akan dicuri. Saya sedih kerana hasil usaha selama ini belum mendatangkan pendapatan kepada saya.

“Saya terima semua ini sebagai dugaan namun berharap ada pihak tampil membantu untuk meringankan beban di atas kematian lembu saya itu,” katanya.

Katanya, walaupun terpaksa menghadapi dugaan seberat itu, ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berusaha dan menjadi seorang penternak berjaya.

Menurutnya, dia mahu menjadi belia Felda contoh dan berjaya dalam bidang penternakan lembu.

“Walaupun sedih, namun saya perlu kuatkan semangat dan bangkit semula untuk membina kerjaya. Ia memberi pengalaman kepada saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.

Natijah menyamar polis



KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang penganggur yang menyamar menjadi pegawai polis dengan merompak dan mengambil wang tunai, pasport serta kad pengenalan milik dua orang awam pada 12 Disember 2010 akhirnya menerima natijah setelah dia dihukum tiga tahun penjara di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan hakim Azman Mustaffa selepas tertuduh, Mohd Faizul Azri Zulkifli, 28, dari Taman Desa Azam Labok, Machang, Kelantan mengaku bersalah melakukan dua kesalahan itu pada 12 Disember 2010 kira-kira jam 5 petang di tepi jalan Batu 22, Ajil, Hulu Terengganu.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didapati merompak Nurkojim Saun, 59, dan Ridoi dengan mengambil tunai, tiga keping pasport dan kad pengenalan milik mereka berdua.

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Manakala dalam pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah berpura-pura memegang jawatan pegawai polis dengan menahan dan menggari kedua-dua orang awam berkenaan dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmod.

Dalam rayuannya, tertuduh yang memakai baju penjara warna merah memohon supaya hakim meringankan hukuman kerana dia mengaku bersalah atas setiap pertuduhan dan memberitahu kesalahan berkenaan adalah yang pertama dilakukannya selain menanggung dua adik yang masih menuntut di universiti.

Azman menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun untuk pertuduhan merompak dan penjara setahun untuk pertuduhan menyamar penjawat awam sebagai polis serta memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Disember 2010 lalu.

Nenek pertaruh nyawa demi cucu



KUALA NERUS- Seorang nenek sanggup menggadaikan nyawanya dengan meredah api yang sedang marak di sebahagian rumahnya demi menyelamatkan nyawa cucu dalam satu kejadian kebakaran di kampung Batu Hampar, Manir, tengah hari semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari itu, Minah Abdullah, 58, memberanikan diri membolos masuk bahagian dapur rumahnya untuk mengangkat cucu lelakinya berusia dua tahun yang ketika itu sedang tidur dalam buaian di ruang itu.

Menceritakan peristiwa ngeri itu, Minah berkata, ketika kejadian, dia berada di luar rumah sedang menyapu sampah manakala cucunya yang sedang tidur itu ditinggalkan keseorangan di ruang dapur.

“Ketika sedang menyapu sampah, secara tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman yang begitu kuat dari arah bahagian belakang rumah dan begitu terkejut kerana ternampak api sudah marak menjilat dinding kayu rumah saya.

“Melihat situasi berkenaan, saya hanya fikir ingin menyelamatkan cucu yang sedang tidur dan disebabkan itulah, saya langsung tidak mengendahkan keadaan api yang sedang marak membakar satu demi satu bahagian rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di lokasi kejadian.

Menurut Minah, walaupun dia sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang, namun tetap bersyukur kerana nyawa dia dan cucunya selamat.

Sementara itu, menurut suaminya, Abdullah Long, 61, dia yang bekerja sebagai penoreh getah hanya mengetahui kejadian menimpa keluarganya setelah diberitahu jiran kerana ketika kejadian, dia berada di kebun getahnya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan II, Zubir Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian jam 12.35 tengah hari.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kami dapati rumah sementara kekal itu sudah seratus peratus terbakar dan dengan kekuatan anggota seramai 17 orang, kami berjaya mengawal api daripada terus merebak di lokasi berhampiran hanya dalam beberapa minit sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, sehingga kini, punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Penoreh getah dijel



KOTA BHARU – Tindakan seorang penoreh getah yang meragut rantai leher seorang wanita di Pasir Puteh, dua minggu lalu menerima padah apabila Mahkamah Sesyen, di sini menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun terhadapnya, semalam.

Bapa dua anak itu turut dikenakan empat kali sebatan rotan oleh Hakim Rofiah Mohamad sejurus menerima pengakuan salahnya selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa mahkamah.

Jailani Johari, 40 bersalah dan disabitkan dengan kesalahan merompak Siti Hafisah Rolizan, 20 dengan meragut rantai lehernya bernilai RM5,000, 15 April lalu.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa bersama adik lelakinya yang berusia 11 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal menuju ke Alor Pasir sebelum dihimpit motosikal tertuduh.

Tertuduh bertindak meragut rantai leher yang dipakai mangsa menyebabkan beliau menarik tangan tertuduh sehingga kedua-dua motosikal mereka terjatuh.

Siti Hafisah yang memukul tertuduh secara bertubi-tubi diacukan sebilah pisau sebelum dia beredar dari tempat kejadian.

Kedua-dua adik-beradik itu dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh serta disahkan mengalami luka di leher, lengan dan lulut.

Dalam prosiding semalam, Hakim Rofiah menilai alasan tiada keperluan barang dapur dan anak sakit yang diberitahu tertuduh sebagai satu perkara yang remeh.

“Jika saya mengambil kira alasan itu mudahlah semua orang melalukan jenayah apabila keadaan hidup susah sikit lalu bertindak senang-wenang meragut harta orang lain, merompak dan mencuri,” katanya.

Imigresen Pulau Pinang tahan 11 GRO warga China



BUTTERWORTH - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menyerbu sebuah pusat karaoke di Jalan Siang Teiki dan berjaya menahan 11 wanita warganegara China dipercayai pelayan pelanggan (GRO) malam tadi.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Abdul Rahman Hassan berkata, dalam serbuan pukul 11.30 malam itu kesemua wanita berusia antara 28 dan 37 tahun itu berpakaian seksi dan sedang melayan pelanggan mereka dalam premis hiburan berkenaan.

Menurutnya, bertindak hasil maklumat dan intipan selama seminggu, sepasukan 20 pegawai imigresen telah menyerbu pusat hiburan itu.

"Semasa serbuan dilakukan terdapat beberapa pelanggan dan ada diantara mereka cuba melarikan diri tetapi gagal kerana telah mengepung premis empat tingkat itu.

"Siasatan mendapati dua daripada wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan manakala sembilan lagi mempunyai pas lawatan sosial yang telah tamat tempoh," katanya kesemua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Juru.

Dua kanak lelaki yang hilang petang semalam ditemui hari ini



TAIPING - Dua kanak-kanak lelaki adik beradik yang dilaporkan hilang oleh bapanya petang semalam di sebuah pasar malam di Kamunting ditemui hari ini.

Kedua adik beradik berusia tujuh dan 12 tahun itu ditemui oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada pukul 11 pagi tadi di sebuah rumah kosong di Kampung Setiajaya kira-kira enam kilomerter dari rumah mereka.

Bapa kanak-kanak tersebut, Nasaruddin Puteh, 43, seorang peniaga pasar malam berkata, kedua-dua anaknya disedari hilang pada pukul 8 malam tadi dan tidak pulang sehingga pagi ini lalu membuat laporan polis.

"Sebelum itu saya dan isteri membawa mereka ke pasar malam Kamunting untuk berniaga pada pukul 5 petang semalam," katanya hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata, bertindak atas laporan itu, polis dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat telah mengadakan operasi mencari pada pukul 9 malam tadi dan dihentikan pada jam 12.00.

Operasi mencari yang disambung pagi ini dengan 14 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat telah menemui kedua-dua kanak-kanak itu bersama seorang lagi kanak-kanak disebuah rumah kosong.
Ketika ditemui ketiga-tiga mereka sedang tidur dan keletihan. - Bernama

Ibu Aminulrasyid Buat Laporan Dakwa Polis Cuba Tutup Kes

KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Aminulrasyid Amzah,15, yang ditembak mati polis di Seksyen 11 Shah Alam, April tahun lepas pada Jumaat membuat laporan polis kerana mendakwa pasukan penguatkuasa itu mengeluarkan kenyataan fitnah dan cuba menutup kes kematian anaknya.
Norsiah Mohamad, 61, tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kira-kira pukul 10.30 pagi diiringi lima peguam.
Norsiah mendakwa selepas kematian anaknya, polis telah memfitnah anak dan keluarganya dalam suatu percubaan untuk menutup kes berkenaan dengan membuat kenyatan kononnya anaknya dan rakannya, Azamudin Omar yang berada dalam kereta itu adalah penjenayah.
Beliau juga mendakwa bahawa kenyataan polis yang menyatakan anaknya cuba merempuh anggota polis yang berada di tempat kejadian adalah palsu, dan bertujuan menutup kes ini.
Pada 25 April tahun lepas, Aminulrasyid mati setelah terkena tembakan yang dilepaskan polis di Seksyen 11, Shah Alam ketika cuba melarikan diri selepas kenderaan dipandunya terserempak dengan kereta peronda polis.- BERNAMA

Polis Tahan Tiga Pelacur Termasuk Ibu Ayam Indonesia

GEORGE TOWN: Polis menahan tiga wanita warga Indonesia termasuk seorang "ibu ayam" yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di sebuah pengsapuri di Jalan Pattani di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata bertindak atas maklumat dan intipan selama seminggu, polis menyerbu pangsapuri berkenaan pada pukul 4 petang dan menahan ketiga-tiga wanita yang berusia antara 46 dan 55 tahun itu.
"Ketika ditahan, wanita-wanita terbabit sedang menunggu pelanggan dan hasil siasatan polis merampas beberapa keping kondom yang belum dipakai dan minyak pelincir yang didapati digunakan untuk tujuan tidak bermoral," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
Beliau berkata wanita-wanita terbabit didapati menyalahguna pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Dua daripada wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana menjalankan kegiatan pelacuran manakala ibu ayam itu disiasat di bawah Seksyen 372 A Kanun Keseksaan.
Mereka juga turut disiasat di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan) 1997 selama 14 hari sebelum tindakan mengusir mereka kembali ke negara asal dibuat.- BERNAMA

Guru Yoga Didakwa Larikan, Kurung Dua Saksi Kes Rogol


KUALA LUMPUR: Seorang guru yoga Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini terhadap pertuduhan melarikan dan mengurung dua pelajar yang merupakan saksi kes rogol yang dihadapinya.
Abdul Malik Abdullah, 55, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah No G-1-5, Jalan Desa, Batu Caves 1/7, Taman Desa Batu Caves dekat sini pada 3.45 pagi, antara 7 dan 12 April lepas.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melarikan kedua-dua mangsa dan cuba mempengaruhi mereka dengan niat untuk menghalang perjalanan keadilan kes rogol yang dihadapinya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta kerana Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan 27 Mei ini untuk menyebut semula kes itu.
Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan Abdul Malik diikat jamin selepas membenarkan permohonan pegawai pendakwa ASP A Vasu yang memberi alasan perbuatan tertuduh mengganggu saksi merupakan kesalahan serius.
Sebelum ini, Abdul Malik didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 dan 17 tahun pada bulan Februari dan November tahun lepas, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Pelakon Indonesia ditahan





Inong Malinda Dee , Andhika Gumilang


JAKARTA 28 April – Polis Indonesia menahan seorang pelakon filem lelaki, Andhika Gumilang yang juga suami kepada eksekutif bank antarabangsa, Citibank, Inong Malinda Dee berhubung kes penyelewengan dana pelanggan Citibank.
Andhika disyaki menerima habuan sebanyak Rupiah 311 juta (RM108,000) daripada Malinda, sejumlah daripada AS$2.3 juta (RM6.8 juta) yang digelapkan wanita itu daripada simpanan pelanggan bank berkenaan.
Malinda mengejutkan Indonesia apabila dia ditahan polis berikutan kes penyelewengan dana pelanggan Citibank pada bulan lepas.
Kes berkenaan mendapat liputan meluas media tempatan, selain mencetus kebimbangan rakyat di negara ini berhubung sistem keselamatan perbankan yang meragukan.
Andhika boleh didakwa di bawah Undang-Undang Penyelewengan Wang dan jika didapati bersalah aktor muda itu boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan denda sebanyak Rupiah 15 bilion.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Polis Indonesia, Ito Sumardi, Andhika, 22, disyaki menerima wang berkenaan yang kemudiannya dijadikan sebagai wang pendahuluan untuk membeli kenderaan Hummer H3 bewarna putih atas namanya. – Utusan

Dua sahabat maut kemalangan





MUAR 28 April - Dua sahabat maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan kelapa sawit di Batu 14, Jalan Bakri-Yong Peng di Air Hitam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, pemandu kereta Mitsubishi Pajero tersebut, Mohamad Azarul Akmal Md. Ramlan, 21, dan rakannya, Mohd. Nazri Md. Asan, 25, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut jurucakap polis, kemalangan berlaku apabila kenderaan mangsa dari arah Muar menghala ke Air Hitam tiba-tiba terlanggar lopak sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
"Kemalangan itu berlaku di kawasan selekoh dan kenderaan mangsa telah dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
"Pemandu lori muatan kelapa sawit itu hanya cedera ringan," katanya.
Kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dalam perjalanan ke rumah masing-masing selepas bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Parit Ulu di sini.
Allahyarham Mohamad Azarul berasal dari Parit Jepun, Air Hitam manakala Allahyarham Mohd. Nazri berasal dari Parit Haji Anuar, Air Hitam.
Mayat dua sahabat itu dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Air Hitam di sini hari ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik daerah, Inspektor Mohd. Redzuan Mohd. Lin di talian 06-9526222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Suami isteri didakwa edar dadah



SUNAIDI Ismail (kiri) dan Nuur Muhaimi Yahya hadir menghadapi pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 28 April - Sepasang suami isteri berhadapan dengan hukuman di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, pertengahan bulan ini.
Sunaidi Ismail, 33, dan isteri, Nuur Muhaimi Yahya, 25, didakwa secara bersama mengedar 80 gram methamphetamine ketika berada dalam kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran AFL 4630 di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, pada pukul 1 pagi, 17 April lalu.
Mereka juga didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 46.2 gram pada pukul 1.30 pagi, pada hari dan tempat yang sama.
Bagi kedua-dua perbuatan tersebut, pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pasangan yang belum mempunyai anak itu juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu didakwa memiliki heroin seberat 4.2 gram pada pukul 1 pagi, pada hari dan tempat yang sama.
Bagi tuduhan tersebut, mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya.
Sunaidi dan Nuur Muhaimi hanya mengangguk faham apabila ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin. Tiada pengakuan direkodkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh-tertuduh kerana pertuduhan yang dihadapi mereka membawa hukuman mati.
Majistret menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai penangkapan seorang wanita bersama suaminya di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu bagi membantu siasatan berhubung satu kes penderaan anak angkatnya pada 2008.
Ketika ditahan, polis turut menemui sebanyak 1,000 biji pil kuda dan 10 botol heroin bernilai RM30,000 di dalam kereta mereka.

3 penyamun asing ditembak mati





Sharifuddin Abdul Ghani menunjukkan senjata yang digunakan oleh tiga penyamun ketika menyamun sebuah rumah di Felda Jengka 18 pada sidang akhbar di Maran, semalam. - BERNAMA


MARAN 28 April - Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing selepas kira-kira sejam mereka menyamun sebuah rumah keluarga peneroka di Felda Jengka 18 di sini awal pagi ini.
Kesemua penjenayah terbabit ditembak selepas cuba menyerang anggota polis yang mengejar mereka di sebuah ladang sawit di tanah rancangan itu kira-kira pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melakukan rondaan jenayah 'Ops Rantau' berhampiran kawasan itu.
Katanya, pasukan polis itu terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva di simpang Felda Jengka 18 yang dipercayai kenderaan curi dalam kejadian rompakan di Kampung Pandan 2, Kuantan, kelmarin.
"Polis kemudian memberi arahan supaya pemandu kereta terbabit berhenti tetapi kereta itu terus memecut laju. Selepas mengejar sejauh kira-kira empat kilometer, kereta itu masuk ke ladang kelapa sawit tetapi akhirnya terbabas akibat terlanggar pokok.
"Ketiga-tiga suspek yang bersenjata parang kemudian meluru keluar dan terus menyerang anggota polis berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini.
Bagi mempertahankan diri, kata Sharifuddin, anggota polis tersebut terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah perompak itu menyebabkan kesemua mereka mati di tempat kejadian.
Menurut beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada ketiga-tiga penjenayah tersebut.
Katanya, penjenayah tersebut dikatakan baru selesai menyamun sebuah rumah peneroka di tanah rancangan Felda Jengka 18 ketika mangsa sedang menonton perlawanan bola sepak di di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2.30 pagi.
Penyamun itu ujarnya, mengikat mangsa menggunakan tuala tetapi isteri dan seorang anaknya yang sedang tidur di bilik masing-masing tidak menyedari kejadian tersebut.
Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berjaya menyamun wang tunai RM300 dan telefon bimbit.
Menurut Sharifuddin, polis menemui semula barangan dipercayai hasil samun yang keseluruhannya bernilai RM30,000 termasuk hasil jenayah yang dilakukan di Pekan dan Kuantan beberapa hari lalu.

PDRM tunggu laporan polis New Zealand


KUALA LUMPUR 28 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan terperinci mengenai penangkapan 10 rakyat Malaysia bersama dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta) di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, penahanan rakyat Malaysia terbabit sudah dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa negara berkenaan kepada PDRM.
Namun, kata beliau, belum ada maklumat terperinci mengenai tangkapan tersebut dimaklumkan kepada pihaknya setakat ini.
"Sehubungan itu, polis antarabangsa (Interpol) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan bekerjasama rapat dengan mereka (polis New Zealand) dalam siasatan kes ini.
"Sudah tentu kita mahu mengetahui bagaimana mereka (penyeludup) boleh melepasi pintu pemeriksaan di lapangan terbang, dari mana asal dadah tersebut dan pelbagai lagi maklumat lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Kelmarin, 10 rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Auckland selepas didapati cuba menyeludup dadah bernilai NZ$10 juta.
Akhbar New Zealand Herald melaporkan, dadah jenis methamphetamine itu ditemui disorok dalam kasut suspek.
Laporan menyebut, kastam membuat tangkapan itu selepas menahan dua rakyat Malaysia daripada sekumpulan pelancong yang tiba di lapangan tersebut pada tengah hari kelmarin.

Agensi pelancongan disiasat


KUALA LUMPUR 28 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sebuah agensi pelancongan tempatan berikutan penahanan 10 rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand kelmarin selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, agensi pelancongan terbabit dipercayai menguruskan penerbangan 14 rakyat tempatan ke New Zealand yang dijadualkan berlepas kira-kira pukul 11.25 pagi kelmarin.
Katanya, hasil maklumat yang diterima kesemua pasport dan dokumen perjalanan yang diuruskan agensi terbabit didapati lengkap serta sah.
"Polis percaya ganjaran yang lumayan ditawarkan kepada 'keldai dadah' terbabit dan sedang menyiasat penglibatan agensi pelancongan berkenaan dengan sindiket dadah antarabangsa.
"Pihak polis turut mengesahkan penahanan 10 rakyat tempatan berusia antara 29 hingga 58 tahun yang dipercayai menyeludup masuk dadah ke New Zealand, kelmarin.
"Apa yang mengejutkan, mereka yang berusia lingkungan 50-an lebih ramai ditahan selain siasatan awal menunjukkan sepasang suami isteri dan seorang lagi wanita antara 10 individu yang ditahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan 10 rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta).
New Zealand Herald, akhbar di negara itu melaporkan, dadah jenis methamphetamine itu ditemui disorokkan dalam kasut suspek.
Noor Rashid memberitahu, dalam kejadian tengah hari itu, seorang daripada 14 rakyat tempatan yang baru tiba di lapangan terbang tersebut dilihat mencurigakan sebelum ditahan pihak kastam. Pemeriksaan awal mendapati dia menyembunyikan dadah di dalam kasutnya.
"Susulan tangkapan itu, sembilan lagi individu daripada kumpulan itu turut membawa dadah menggunakan taktik sama," katanya.
Sejak awal tahun ini, katanya, dianggarkan 30 tangkapan keldai dadah telah dibuat termasuk kes terbaru, bagaimanapun angka itu dilihat menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu melebihi 100 tangkapan.

‘Rumah babi’


TAK SESUAI...rumah yang didakwa dijadikan gudang menyimpan daging babi di Taman Maju Jaya, Ampang.
TAK SESUAI...rumah yang didakwa dijadikan gudang menyimpan daging babi di Taman Maju Jaya, Ampang.

AMPANG: Penduduk di Taman Kencana Fasa 2A, di sini, menggesa premis yang didakwa dijadikan gudang menyimpan daging babi oleh seorang penduduk yang didirikan bersebelahan rumahnya di Jalan Bunga Mawar, Taman Maju Jaya, dipindahkan ke kawasan lain.
Gudang terbabit yang dipercayai beroperasi sejak tiga tahun lalu terletak kira-kira 50 meter dari perumahan Taman Kencana Fasa 2A sehingga meresahkan penduduk terutama beragama Islam.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kencana 2A, Latisah Pit, 46, berkata pemilik rumah itu tidak wajar mendirikan gudang terbabit.
Menurutnya, keadaan itu menjejaskan keselesaan penduduk kerana setiap hari pada awal pagi sekurang-kurangnya empat lori kontena yang mengangkut daging babi melalui kawasan taman perumahan berkenaan menuju Taman Maju Jaya.

“Seawal jam 4 pagi, penduduk terganggu bunyi bising lori kontena yang mengangkut daging babi melalui lorong perumahan kami. Saya tidak bersetuju kerana jalan di lorong ini jalan mati dan agak mengganggu lalu lintas,” katanya.

Penduduk mendakwa, disebabkan lokasi kilang yang berada di jalan mati lori kontena yang berat itu sering menyebabkan kenderaan penduduk rosak akibat dilanggar lori terbabit.
Seorang lagi Ahli Jawatankuasa persatuan penduduk taman berkenaan, Norhamidah Nordin, 52, berkata kenderaan miliknya pernah tercalar dan kemik akibat dilanggar lori kontena itu.

Katanya, lori terbabit bukan saja merosakkan kenderaan, malah turut menyebabkan jalan di kawasan itu merekah kira-kira tujuh meter, sedikit mendap dan memecahkan bonggol jalan di situ.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad, berkata pihaknya belum menerima apa-apa aduan mengenai perkara itu, namun akan menjalankan siasatan dengan mengkaji secara keseluruhan dari segi operasi kilang itu.

“Pihak MPAJ akan mengkaji perkara itu dan sekiranya mendapati operasi kilang itu kurang sesuai, kami akan mengeluarkan notis arahan kepada pemilik untuk berpindah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tak mengaku lepas tembakan


SEREMBAN: Seorang konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan remaja berusia 17 tahun di Jalan Jelebu-Pantai, di sini pada tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Hakimi Samsul, 20, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Marsilawati Mohd Shah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Hakimi didakwa melepaskan tembakan dengan HK MP5 tanpa alasan yang sah hingga mencederakan Mohd Azizi Azri Azmi. Mohd Hakimi yang bertugas di Balai Polis Rahang didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Jelebu menghala ke Pantai kira-kira jam 3.30 pagi, 8 Mei lalu.

Dia kini yang digantung kerja didakwa mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya, Fairuz Shuhada Amran meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM3,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Param Sundram yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan faktor usia anak guamnya yang muda serta kali pertama dihadapkan ke mahkamah, selain kini digantung kerja manakala bapanya tidak bekerja.


Marsilawati membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Sebelum ini akhbar melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera ditembak polis kerana dikatakan tidak memberhentikan motosikal yang ditunggangnya selepas diarahkan kereta polis peronda (MPV). Insiden dikatakan bermula di depan pusat beli-belah di Jalan Dato Siamang Gagap apabila kereta peronda dinaiki dua anggota polis mengejar sekumpulan 20 penunggang motosikal, termasuk Mohd Azizi. Kumpulan itu kemudian berpecah dan motosikal ditunggang mangsa dikejar sehingga ke lokasi kejadian. Selepas dikejar sejauh beberapa kilometer, polis melepaskan tembakan amaran, namun satu das tembakan dipercayai tersasar dan terkena perut mangsa yang kemudian ditahan di persimpangan Kampung Ujong Pasir. Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh dipetik berkata, pihaknya menggantung kerja serta-merta terhadap anggota polis berpangkat konstabel itu kerana melepaskan tembakan tanpa justifikasi. “Kejadian ini dianggap kesalahan menggunakan kuasa dan saya kesal dengan tindakan anggota itu yang menembak tanpa justifikasi ditetapkan Ketua Polis Negara,” katanya.

Jari ‘polis’ hampir putus digigit wanita


IPOH: Malang buat seorang polis palsu apabila bukan saja cubaannya menyamun seorang wanita gagal, malah jarinya nyaris putus digigit mangsa yang juga pemilik sebuah syarikat di Pekan Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 20-an didatangi seorang lelaki tidak dikenali berpakaian kemeja-T ungu dan berseluar jeans serta bertopi keledar ketika tinggal bersendirian di pejabatnya.
Suspek lelaki berusia 30-an itu dikatakan mengetuk pintu pejabat sebelum memperkenalkan dirinya polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, bagi menguatkan dakwaannya, suspek turut menunjukkan kad biru yang hanya tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada mangsa.


Katanya, apabila mangsa bertanya tujuan kedatangan ‘polis’ itu, suspek memberitahu ia pemeriksaan rutin dan mengarahkan mangsa mengeluarkan MyKad.
“Selepas mangsa menunjukkan MyKadnya, suspek meminta mangsa menyalin nombor MyKad itu pada sehelai kertas.

‘Mereka sekadar tahu mencaci’


LEDANG: “Kami dicaci masyarakat sekeliling kerana menerima bantuan daripada sebuah persatuan Buddha, malah lebih mengecewakan jabatan agama Islam sendiri seolah-olah tidak mempedulikan nasib kami,” kata Ahmad Khamis, 45, yang masih menunggu permohonan bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) sejak empat tahun lalu.
Ahmad seorang orang kurang upaya (OKU) memohon bantuan motosikal roda tiga daripada Maij pada 2007 berikutan kudung kaki sebelah kanan selepas terbabit dalam kemalangan hingga mengakibatkannya hilang pekerjaan.

Katanya, Maij sudah meluluskan permohonan bantuan berkenaan namun motosikal itu masih tidak diterima sehingga kini.

Difahamkan, motosikal berkenaan sepatutnya diterima Ahmad pada 2007 namun berlaku sebaliknya, malah tiada sebarang dokumen mengesahkan dia tidak layak untuk menerima kenderaan bernilai kira-kira RM6,000 itu.

“Saya hanya menjual makanan ringan di depan sebuah sekolah di sekitar daerah ini dan pendapatan diperoleh memang tidak mencukupi untuk menyara isteri, Ruzita Ahmad Jais, 40, serta dua anak.

“Melihat penderitaan kami sekeluarga, seorang sami Buddha muncul menghulurkan bantuan kewangan serta barangan dapur setiap bulan,” katanya di sini, semalam.


Menurut OKU itu, keluarganya menerima sumbangan berkenaan memandangkan persatuan itu hanya berniat mahu membantu.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, sejak menerima bantuan itu, keluarganya dihina masyarakat sekeliling kononnya mereka makan duit haram.
“Kami menerima bantuan RM150 sebulan itu selama lebih setahun. Bagaimanapun, akibat desakan serta tekanan masyarakat, kami sekeluarga memutuskan untuk tidak menerimanya lagi,” katanya.

Ahmad yang juga peserta Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) turut mengakui menerima elaun bulanan berjumlah RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah berkenaan.

Bagaimanapun, apa yang menghairankan, bantuan yang sepatutnya diterima sebanyak RM300 sebulan dipotong RM100.

“Dengan pendapatan yang tidak menentu, saya perlu menanggung perbelanjaan pendidikan anak yang tidak menerima bantuan kerajaan. “Saya tiada pilihan lain selain menerima bantuan diberikan persatuan Buddha itu dan berharap ada pihak sudi membantu,” katanya.

Menurut Ahmad, dia bukannya mahukan kemewahan sebaliknya diberikan peluang untuk berniaga sebagai punca pendapatan.

Selain itu, Ahmad juga berharap masyarakat tidak membuat tuduhan melulu terhadap keluarganya semata-mata kerana mereka pernah menerima bantuan daripada persatuan Buddha.

‘Ayam China’ kebun sawit


MANJUNG: Walaupun kedudukan sebuah kedai makan jauh di dalam ladang kelapa sawit, kedai itu menjadi tumpuan orang ramai berikutan menyajikan ‘hidangan’ istimewa membabitkan pelacur dari China dan Vietnam.
Gadis pelayan terbabit yang memasuki negara ini dengan menyamar pelancong dikesan menawarkan khidmat seks kepada pekebun termasuk pekerja ladang yang singgah untuk makan sambil melampias nafsu.
Kegiatan tidak bermoral itu, bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan anggota Pejabat Imigresen Daerah Manjung, di sini, melakukan operasi bagi membanteras kegiatan didalangi warga tempatan.

Difahamkan, operasi dikenali ‘Ops Sayang’ itu dilakukan kelmarin bagi mengesan kehadiran gadis warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai pelacur murahan di negeri ini.


Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali, berkata pihaknya menjalankan risikan dan pemantauan terhadap kawasan sasaran selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat itu.

Pemuda biadab naik angin


LANGKAWI: Seorang lelaki bukan saja biadab, malah bertindak kejam apabila memukul seorang daripada sekumpulan remaja lelaki sehingga cedera di kepala dan luka pada pipi kiri selepas ditegur kerana membuang air kecil berdekatan meja makan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi semalam, di sebuah restoran berhampiran pusat hiburan di Pusat Dagangan Kelana Mas, dekat sini, kumpulan enam remaja terbabit dikatakan sedang makan sebelum seorang lelaki berusia 30-an muncul lalu membuka zip seluarnya.

Mangsa, Mohd Redzuan Abd Rahman, 21, dari Kampung Gelam, Mukim Kedawang, di sini, berkata, ketika sedang makan, lelaki berkenaan muncul lalu membuang air kecil berhampiran tempat mereka duduk menyebabkan seorang rakannya menegur perbuatan tidak bermoral itu.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki terbabit tiba-tiba melenting dan naik angin dengan teguran berkenaan lalu menghampiri meja mereka sambil menghamburkan kata-kata kesat.

“Sejurus kemudian lelaki terbabit yang masih tidak berpuas hati kerana ditegur cuba bertindak lebih ganas dengan menyepak badan dan menumbuk muka saya sambil dibantu rakan lelaki itu.

“Sebaik terkena hentakan objek keras, kepala saya berdarah dan hilang tenaga sambil hanya mampu berserah dengan apa yang akan berlaku, tetapi bernasib baik kerana ada rakan yang membantu.


“Saya hampir rebah selepas dipukul kumpulan lelaki terbabit, tetapi bernasib baik kerana tidak cedera parah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, berikutan itu dia dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Langkawi bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, berdasarkan perbualan kumpulan lelaki terbabit, dia yakin mereka bukan penduduk tempatan dan dilihat bergegas meninggalkan tempat kejadian menggunakan sebuah van dan kereta.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian dan masih menjalankan siasatan lanjut.

“Kes ini lebih kepada perselisihan faham antara dua kumpulan dan polis masih menyiasat untuk mengenal motif sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Dihukum gantung


ALOR SETAR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya dengan menghentak kepala mangsa menggunakan seterika serta menikam dada dan leher mangsa bertubi-tubi menggunakan gunting, dua tahun lalu.
Pesurujaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Adnan Abdul Rahim, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd Zaki berkata, selepas meneliti penghujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwa mempunyai bukti kuat untuk mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh.

“Ketika membela diri, tertuduh tidak menafikan melakukan kecederaan kepada si mati tetapi mendakwa tiada niat untuk membunuh si mati. Saya tiada pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman mati,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman itu.

Mengikut fakta kes, Mohamad Adnan dituduh membunuh Nur Bahirah Ishak, 22, di sebuah rumah bernombor 157, Lorong Perak 2, Taman Perak, Kulim, antara jam 10.30 hingga 10.45 pagi pada 17 Mei 2009.

Tertuduh berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang didakwa membunuh mangsa dengan menghentak kepalanya menggunakan seterika serta menikam bertubi-tubi dengan gunting termasuk di bahagian dada sebelah kiri dan leher akibat perselisihan faham.


Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam, K Padmanathan.
Mohamad Adnan yang memakai kemeja-T kelihatan tenang dan hanya menundukkan kepala selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Pada 18 Mei 2009, akhbar ini melaporkan seorang gadis menemui ajal akibat ditikam bertubi-tubi sejurus mengungkapkan hasrat ingin memutuskan hubungan cinta dengan seorang duda yang dikenali sejak kecil kerana mahu bertunang dengan lelaki pilihan hatinya.

Mangsa, Nurbahirah Ishak, 22, bekas pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik di rumahnya di Taman Perak, di sini.

Dua kali terkejut


MARAN: Seorang peneroka yang terlelap di ruang tamu rumahnya ketika menunggu siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah antara Real Madrid menentang Barcelona, awal pagi semalam, tergamam apabila dikejutkan tiga penyamun yang mengacukan parang di lehernya dalam kejadian samun di Felda Jengka 18, dekat sini.
Kira-kira lima jam selepas kejadian pada jam 2.30 pagi itu, mangsa Ramli Saad, 58, sekali lagi terkejut apabila diberitahu tiga penjenayah terbabit ditembak mati dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya.

“Saya lihat ramai orang berkumpul di situ dan apabila sampai di sana, seorang rakan memberitahu ada penyamun kena tembak dan mereka adalah kumpulan yang menyamun saya,” katanya Ramli berkata, dia terjaga daripada tidur apabila badannya ditepuk seorang daripada tiga penyamun terbabit yang turut mengacu parang di lehernya sebelum tangannya diikat menggunakan dawai ampaian, manakala mukanya ditekup dengan tuala.

Selepas diikat dan diarahkan diam, penjenayah bertopeng dipercayai warga asing itu menggeledah rumahnya dan melarikan empat telefon bimbit serta wang tunai RM300.

Ramli yang juga pembekal baja berkata, ketika kejadian dia berseorangan di ruang tamu rumahnya, manakala isterinya, Normah Khalid, 53, dan tiga anaknya serta dua cucunya nyenyak tidur dalam bilik.

“Saya memang ‘kaki bola’ dan menyokong pasukan Barcelona terlelap seketika sementara menunggu perlawanan itu bermula.


“Saya sama sekali tidak menyangka apabila dikejutkan tiga lelaki bertopeng yang mengacu parang ke leher saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana khuatir dicederakan.
“Selepas menggeledah kira-kira lima minit, mereka melarikan diri apabila gagal membuka tiga pintu bilik tidur di rumah saya.

“Mereka hanya melarikan empat telefon bimbit dan dompet saya mengandungi wang tunai RM300,” katanya memaklumkan penyamun terbabit masuk melalui bahagian belakang rumahnya yang sedang diubahsuai.

Ramli berkata, selepas tiga penyamun terbabit melarikan diri, dalam keadaan tangan masih terikat, dia menjerit memanggil anak sulungnya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU).

“Saya bertempik meminta pertolongannya yang kemudian membuka ikatan pada tangan saya dan mengejutkan ahli keluarga yang lain.

“Mereka semua terkejut kerana langsung tidak menyedari rumah kami dimasuki penyamun,” katanya yang menghubungi polis selepas itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui penjenayah terbabit ditembak mati dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya apabila keluar ke kedai di simpang masuk Felda berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

“Ketika saya sampai mayat penjenayah itu sudah dibawa polis. Yang tinggal hanyalah Perodua Viva berwarna merah dinaiki mereka tersadai selepas melanggar pokok sawit dan beberapa anggota polis melakukan siasatan,” katanya.

Tiga penjenayah terbabit ditembak mati sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Felda berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa dan sejam selepas melakukan rompakan.

8 pelajar keracunan


MELAKA: Seramai lapan pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Malim, dekat sini, terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) apabila mengadu sakit perut dipercayai keracunan makanan selepas menikmati hidangan nasi goreng dan kentang pada waktu rehat di kantin sekolah, pagi semalam.
Semua mereka dibawa dengan tiga ambulans dan dimasukkan ke unit kecemasan bagi pemeriksaan sebaik tiba di hospital dengan ditemani guru.

Menurut seorang ibu pelajar berkenaan yang enggan dikenali, dia dimaklumkan pihak sekolah berhubung kejadian itu melalui panggilan telefon yang menyatakan dua anak perempuannya dibawa ke HM kerana disyaki keracunan makanan.

“Pihak sekolah menelefon saya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) mengatakan anak saya mengadu sakit perut dan disyaki keracunan makanan selepas makan nasi goreng di kantin sekolah pada jam 10 pagi.

“Sebelum ini anak saya beberapa kali mengadu mengenai makanan di kantin sekolah yang kurang memuaskan,” katanya yang ditemui di HM, semalam.

Seorang pelajar yang ditemui mendakwa selain nasi goreng, makanan lain seperti kentang goreng yang dijual operator kantin kelihatan berlendir dan lembap ketika dibeli.


“Saya sakit perut selepas makan makanan itu,” katanya.

Tinjauan Harian Metro kira-kira jam 2 petang di bahagian Farmasi Klinik Pakar Hospital Melaka mendapati beberapa pelajar sedang mendapatkan ubat.
Bagaimanapun, usaha menemubual pelajar sukar kerana dihalang beberapa guru manakala ibu bapa pelajar yang ditemui juga enggan mengulas lanjut dipercayai atas arahan sekolah.

Bagaimanapun, semua pelajar meninggalkan perkarangan hospital selepas kira-kira dua jam kemudian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata beliau akan meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu hari ini.

Suami isteri edar heroin


GEORGETOWN: Sepasang suami isteri yang dipercayai mendalangi sindiket pengedaran dadah jenis heroin ditahan dalam serbuan di Bukit Mertajam, kelmarin.
Pasangan berusia 30-an itu ditahan bersama-sama dua lagi rakan termasuk seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun.

Serbuan kira-kira jam 3.25 petang itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN negeri hasil maklumat awam yang diterima.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, dua lelaki termasuk warga emas ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Alma, dekat Bukit Mertajam.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan membawa kepada penemuan 4.7 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM250,000.

Katanya, siasatan awal juga mendapati warga emas itu mempunyai rekod jenayah kesalahan lampau berkaitan dadah.


“Hasil siasatan lanjut, sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam turut diserbu polis dan menahan pasangan suami isteri itu.

“Pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah berkenaan turut menemui wang tunai sebanyak RM136,265, beberapa mata wang asing termasuk Amerika, China, Australia dan Thailand berjumlah RM1,234 serta barang kemas.
“Kesemua barangan yang dirampas termasuk kereta Proton Wira dianggarkan bernilai RM174,140 yang kemudiannya disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Abd Rahim berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti aktiviti sebenar mereka termasuk dalang sindiket.

Beliau berkata, siasatan mendapati warga emas itu bekerja sebagai penjaga kedai komputer manakala rakannya, seorang peniaga manakala pasangan suami isteri berkenaan pula tidak bekerja.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati mandatori.

“Kesemua mereka ditahan reman sehingga 4 Mei depan untuk membantu siasatan,” katanya.

Tiga diburu perkosa gadis bergilir-gilir


SEGAMAT: Seorang gadis sunti berumur 14 tahun yang ketakutan terpaksa membiarkan tubuhnya diratah tiga lelaki termasuk rakan karib abang iparnya sendiri di sebuah rumah di Kampung Kadut di sini.
Dalam kejadian antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam pada 16 April lalu, suspek dipaksa membuka pakaian sebelum dirogol di ruang tamu rumah seorang daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, mangsa pada mulanya setuju mengikut seorang daripada suspek yang juga rakan baik abang iparnya.

“Suspek pertama memaklumkan kepada mangsa bahawa adik kandung lelaki berkenaan mahu bertemunya.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa setuju dibawa ke rumah berkenaan dan setiba di sana, dua lagi rakan suspek pertama sudah sedia menunggu mereka,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam.

Menurut Majid, ahli keluarga suspek tiada di rumah ketika kejadian dan mangsa dipaksa membuka pakaian sebelum ketiga-tiga lelaki terbabit bergilir-gilir merogolnya.


Katanya, mangsa kemudiannya dihantar pulang dan dia diugut supaya merahsiakan kejadian itu dan gadis itu yang sudah tidak bersekolah hanya membuat laporan polis pada 24 April lalu.

“Polis berusaha mengesan suspek tetapi ketiga-tiga lelaki berkenaan gagal ditemui, dipercayai sudah melarikan diri ke luar daerah,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan, suspek pertama dikenali sebagai Mohd Haziq Sulaiman, 20, nombor kad pengenalan 910131-01-5863 dengan alamat terakhir di Nombor 3, Jalan Jaya 3, Taman Sri Jaya, Pekan Jabi, Segamat.

Suspek kedua Mohd Rozali Zaliza, 20, memegang kad pengenalan 911122-10-5749 dan alamat terakhirnya di Nombor 82, Kampung Kadut, Simpang Jabi, Segamat.

Suspek ketiga Mohd Hanis Mohd Yasin, berumur 20 tahun dan beralamat terakhir di 3560 A, Jalan Kuari, Tahang Rimau, Segamat.

Maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Hazaitul Akma Mohd Hanapiah di talian 07-9312222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan kerana merogol, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun serta sebatan.

Penagih Thai gila kratum


NARATHIWAT (Selatan Thailand): Polis Thailand mendedahkan, daun ketum atau dikenali sebagai kratum di negara jiran itu kini menjadi kegilaan di kalangan penagih di negara berkenaan, malah ada yang mencipta ‘resipi’ sendiri mencampurkan daun itu dengan ubat nyamuk dan ubat batuk bagi mendapat kesan khayal luar biasa.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Yongyut Charoenwanit berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, daun ketum yang diseludup dari negara ini direbus terlebih dulu sebelum dicampur dengan ubat nyamuk dan ubat batuk.

Katanya, bahan terlarang yang siap dibungkus dalam bekas khas itu dijual kepada penagih dengan harga tertentu.

“Berikutan mempunyai permintaan dan mampu memberi keuntungan mudah, ada sebahagian penduduk di Wilayah Narathiwat khususnya yang tinggal di kawasan kampung bersempadan Kelantan mengambil kesempatan membawa masuk daun ketum untuk dijual di negara itu.

“Berdasarkan tangkapan yang dibuat, penyeludup daun ketum dari pekan Sungai Golok dan Sungai Padi, dekat sini, membeli daun ketum dan ubat batuk dari Malaysia untuk diproses semula dengan mencampurkan dua bahan terlarang itu bersama ubat nyamuk,” katanya ketika ditemui pada Festival Palang Merah Thailand, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Gabenor Wilayah Narathiwat, Tanon Vechakorntahnon dan Komander Taskforce Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Utis Sunthorn.


Menurut Yongyut, pihaknya sukar menahan individu yang menyeludup masuk bahan berkenaan ke Thailand berikutan keadaan sempadan hanya dipisahkan Sungai Golok yang sempit dan panjang.

“Dalam soal ini, kita amat berterima kasih kepada pihak berkuasa di Malaysia yang menjalankan penguatkuasaan tegas berhubung kegiatan itu dan ada penduduk (warga Thailand) yang cuba menyeludup masuk daun ketum serta ubat batuk ke Thailand ditahan.
“Dalam menjalankan operasi, kita tidak menghadapi masalah kerana sentiasa bertukar-tukar maklumat dengan pihak berkuasa Malaysia,” katanya yang tidak dapat memberikan jumlah sebenar warga Thailand yang ditahan kerana menyeludup daun ketum.

Difahamkan, daun ketum atau nama saintifiknya Mitragyna Speciosa Korth banyak tumbuh meliar di beberapa perkampungan di Jeli, tetapi tidak popular sebagai minuman mengkhayalkan di Kelantan .

Bagaimanapun, ada penduduk dari luar seperti dari Thailand dan Terengganu yang membelinya daripada penduduk tempatan untuk diproses menjadi minuman mengkhayalkan.

Pada 13 April lalu, Harian Metro melaporkan, dua lelaki warga Thailand yang cuba menyeludup lima kilogram daun ketum dan 59 botol cecair ubat batuk membawa padah apabila ditahan sepasukan anggota Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan (RS), dalam satu operasi di Rantau Panjang.

Siasatan mendapati, semua bahan itu diperoleh di sekitar negeri ini sebelum diseludup ke Thailand.

Pegawai Memerintah Batalion Ke 2 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Zambery Jefry Darus, dipetik sebagai berkata, rampasan berkenaan adalah hasil rondaan rutin anggotanya di sepanjang pangkalan haram sekitar Rantau Panjang.

Katanya dua lelaki berusia 20-an itu ditahan selepas mereka dilihat dalam keadaan tidak menentu sebaik menyedari kehadiran anggota RS di kawasan terbabit sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ada berpuluh botol kecil mengandungi cecair ubat batuk serta daun ketum di dalam beg dibawa.