Search This Blog

Thursday, April 28, 2011

Kanak-kanak antara ditahan operasi dadah



JOHOR BAHRU - Polis berjaya menahan dua warga Singapura, lima wanita Filipina dan dua kanak-kanak pada satu operasi melibatkan dadah jenis syabu bernilai RM140,000.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaakob berkata, polis menumpaskan kumpulan tersebut pada operasi yang dilakukan di Jalan Yahya Awal 19 April lalu.

“Kami percaya wanita tersebut digunakan oleh dua lelaki Singapura terbabit untuk dijadikan sebagai penyeludup tetapi kami masih menyiasat hal ini,” katanya.

Zainuddin berkata, dadah tersebut dijumpai dalam salah sebuah bilik di rumah tempat suspek tinggal.

“Wanita Filipina bersama dua kanak-kanak berusia dua tahun setengah dan sembilan bulan tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigrasi 1959.

Sementara itu, dalam kes lain Zainuddin mengatakan pihaknya menahan lima lelaki berusia lingkungan 16 hingga 88 tahun dan seorang wanita dipercayai mengedar dadah di Felda Ulu Tebrau, 20 April lalu.

“Kami merampas dadah jenis heroin bernilai RM24,000 sewaktu serbuan yang dilakukan di dua tempat berlainan,” katanya.

Selain itu pihaknya turut merampas tiga motosikal dan wang tunai yang dipercayai digunakan untuk aktiviti dadah.

“Salah seorang suspek positif dadah dan yang lain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Menurutnya, kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua penyamun berputih mata



JOHOR BAHRU – Hasrat dua penjenayah untuk merasa hasil samun tidak kesampaian apabila mereka diberkas beberapa minit selepas melakukan kegiatan itu, semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi apabila dua orang mangsa sedang berbual-bual di Jalan Sri Lanang didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan objek tajam merampas barang berharga milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sejurus merampas barangan berharga berkenaan suspek melarikan diri menggunakan motosikal.

“Namun kecekapan anggota polis berjaya memberkas suspek beberapa minit kemudian, dua suspek yang menaiki motosikal Honda EX5 ditahan oleh anggota unit peronda setelah menerima laporan tersebut.

“Hasil siasatan, pihak kami menemui barang-barang kepunyaan mangsa termasuk kad pengenalan diri mangsa, kad bank dan telefon bimbit kepunyaan mangsa,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau memiliki dadah di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.

“Hasil tangkapan kumpulan penyamun ini, pihak polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar bandar raya Johor Bahru,” katanya.

Zainuddin berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti jumlah kes yang telah dilakukan suspek di daerah lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 357/397 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman 20 tahun penjara dan sebatan.

Duit lesap, badan masih tidak langsing



JOHOR BAHRU – Berhabis sehingga RM2,560 pada Mac tahun lalu bagi rawatan menguruskan badan, namun hasil yang diperoleh sungguh mengecewakan.

Tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan ketika cuba meminta pusat tersebut mengembalikan wangnya, Pembantu Akauntan, Robiah Razak, 27 memfailkan kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini pada bulan lepas.

Dalam perbicaraan semalam, Presiden TTPM, Maznah Haron mengarahkan pusat rawatan kecantikan itu membayar RM1,808 kepada Robiah dalam masa 14 hari.

Dua wakil pusat rawatan kecantikan itu turut hadir pada perbicaraan itu.

Dalam tuntutannya, Robiah mendakwa tidak berpuas hati selain berasa terpedaya kerana tidak mendapat berat badan yang diingini biarpun telah melalui pelbagai rawatan yang disediakan termasuk sauna, g-5 dan balutan serta menerima produk makanan kesihatan.

Menurutnya, hasil penurunan berat badannya juga hanya lebih kurang dua kilogram (kg) sahaja biarpun telah melalui dua rawatan dalam masa lebih kurang tiga bulan tidak seperti yang didakwa oleh mereka bahawa 10 rawatan yang dibayar boleh diselesaikan dalam masa tiga bulan dan mendapat berat badan yang diingini.

“Tambah menyakitkan hati, ketika menerima rawatan g-5 yang mana sesi menurunkan lemak di badan, saya seolah-olah dipukul kuat oleh alat tersebut dengan alasan cara tersebut dapat memecahkan lemah pada kadar lebih cepat.

“Setelah hampa dengan layanan tersebut dan hasil yang diharapkan tidak seperti yang diinginkan saya mahu mengembalikan wang yang dibayar tetapi mereka enggan berbuat demikian dan cuba menipu caj harga yang dikenakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Robiah berkata, mereka menyatakan bahawa dia hanya menerima wang baki rawatan yang tidak diselesaikan lebih kurang RM700 sahaja padahal caj tersebut adalah tidak munasabah lalu beliau sendiri menganggarkan beliau patut menerima lebih kurang RM1,808.

Rugi RM2,250 gara-gara pembantu rumah



JOHOR BAHRU – Gara-gara cuba mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah dengan segera, pasangan suami isteri hampir tertipu serta kerugian hingga RM2,250.

Kerani, Mohd Yazid A Hamid, 28, berkata, beliau diperkenalkan dengan seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai Pegawai Imigresen serta mengaku mampu mendapatkan seorang pembantu rumah dari negara Kemboja.

Menurutnya, setelah percaya dengan butir-butir yang meyakinkan, beliau menyerahkan RM2,000 kepada lelaki berkenaan pada 29 Disember 2010 dan tambahan RM250 pada 2 Februari lalu kerana mahu menukar pembantu rumah Kemboja kepada Indonesia sebagai kos untuk pemeriksaan kesihatan dan urusan pasport.

“Kami menyerahkan wang tersebut kerana mulai percaya apabila dia memberikan salinan fotostat pasport pembantu rumah Indonesia kepada kami serta menunjukkan cek bernilai RM5,000 sebagai usaha meyakinkan kami berdua.

“Namun dari hari ke hari pembantu rumah yang didakwa tidak muncul lalu menjalankan siasatan sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Yazid berkata, hasil siasatannya dia mengetahui bahawa lelaki itu bukanlah Pegawai Imigresen dan cek bernilai RM5,000 bukan miliknya tetap milik isterinya lalu mengambil keputusan membuat laporan polis pada 16 Mac lalu.

Pemandu hilang kawalan



ENDAU - Sebuah treler minyak sawit terlibat dalam satu kemalangan di kawasan Felda Endau, di sini, jam 6 pagi, semalam.

Dalam kejadian berkenaan, pemandu treler terbabit hilang kawalan kerana keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat menyebabkannya melanggar pengadang jalan kemudian terbabas dalam ladang Felda Endau.

Pemilik treler, Ibrahim Sahri, 53, berkata, pemandu treler, Mohd Yusof Abu Jamil, 39, dihantar ke Klinik Endau, Mersing untuk mendapatkan rawatan.

“Mohd Yusof mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan berkenaan dan telah dihantar ke Klinik Endau bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, nahas berlaku ketika treler kosong yang dipandu Mohd Yusof dalam perjalanan dari arah Bandar Tenggara menuju Endau untuk mengisi minyak sawit untuk dihantar ke kilang.

Ibrahim berkata, treler berkenaan sudah dinaikkan dan dibawa ke bengkel untuk dibaiki.

Peneroka gempar



KULAIJAYA – Warga peneroka Felda Inas, di sini gempar apabila salah seorang pekerja ladang menjumpai sebuah bom lama yang disangka objek biasa di Ladang Inas Selatan, di sini, 9.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian itu dilaporkan oleh Pengurus Ladang, Md Hanis Kordi, 50, setelah dimaklumkan oleh salah seorang pekerjanya mengenai penemuan bom lama.

“Pengadu (Md Hasni) memeriksa objek yang dijumpai dan mendapati objek berkenaan merupakan sebuah bom lama lalu segera menghubungi pihak polis,” katanya.

Zulkefly berkata, anggota balai polis Kulai bersama anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bom berkenaan merupakan jenis Shell.

“Bom seberat 40 kilogram berkenaan didapati sudah berkarat manakala panjangnya adalah 72 sentimeter (sm) dan diameter 4 sm.

“Tindakan pemusnahan telah pun dilakukan oleh Unit Pemusnah Bom,” katanya.

Terkejut jumpa pistol



JOHOR BAHRU – Seorang petani terkejut apabila menemui sepucuk pistol yang ditanam di hadapan rumahnya ketika sedang berkebun di kawasan perumahan Bandar Baru Permas Jaya, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam lapan pagi apabila petani berkenaan menemui bungkusan plastik yang mengandungi senjata api yang tertanam berhampiran rumahnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk perumahan tersebut dan bergegas ke tempat kejadian.

“Senjata api yang ditemui adalah jenis Taurus buatan Brazil dan juga mempunyai kelopak tanpa peluru jenis Cal Para buatan Brazil.

“Hasil siasatan, kita percaya pistol terbabit sudah lama tertanam berhampiran rumah berikutan keadaan plastik yang sudah reput,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, pistol terbabit ditemui ketika petani tersebut sedang menggali tanah untuk menanam pokok di luar kawasan rumahnya.

“Petani berkenaan baru sahaja setahun tinggal di rumah tersebut dan tidak mengetahui apa-apa tentang senjata api itu,” katanya.

Zainuddin berkata, orang awam yang mempunyai maklumat boleh datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Kita juga ingin menasihatkan kepada orang awam agar segera melaporkan kepada polis jika menemui barang-barang terlarang seperti pistol dan bom serta tidak menyimpan barang tersebut kerana ia merupakan satu kesalahan,” katanya.

Terkejut dapat berita suami maut



SUNGAI SIPUT (U) – Seorang suri rumah, Nor Hanim Harun, 25, tidak menyangka perubahan sikap suaminya, Bazdli Shah Sulaiman, 29, yang banyak berdiam diri ketika pulang ke rumah Ahad lalu, menjadi petanda buruk kepada keluarganya.

Dia hampir pengsan apabila dikhabarkan berita kematian suaminya itu akibat ditimba sebatang kayu balak ketika membuat kerja di kawasan Pembalakan Hutan Simpan, Pos Piah, Lenggong di sini, petang kelmarin.

Kakak ipar mangsa, Hasniza Harun, 28, berkata, sebaik dimaklumkan kemalangan itu, adiknya bersikap seperti biasa kerana menyangka arwah hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi meraung sebaik sahaja mengetahui suaminya meninggal.

Menurutnya, kali terakhir Bazdli Shah pulang bertemu isteri dan anaknya berusia lima bulan Ahad lalu dan baru sebulan bekerja di kawasan pembalakan itu.

“Kira-kira jam 7 petang, ada dua lelaki datang ke rumah kami di Felda Lasah dan memberitahu adik ipar saya terkena kayu balak.

“Adik saya tidak kata apa-apa kerana terkedu, tetapi terus meraung sebaik sahaja mengetahui perkara sebenar.

“Ketika pulang ke rumah, arwah kelihatan pendiam tidak banyak cakap seperti biasa dan sempat bersama anak tunggalnya,” katanya ketika ditemui di luar Bilik Mayat, di Hospital Sungai Siput di sini, semalam.

Katanya, mangsa bersama keluarganya baru dua bulan berpindah ke Felda Lasah setelah mendapat kerja di kawasan pembalakan itu.

“Arwah berasal dari Batu Kurau, tetapi menetap di Kemunting berhampiran rumah ibu bapanya dan baru sahaja berpindah di sini.

“Dia jarang pulang kerana tinggal di rumah kongsi dan hanya sesekali bertemu isteri serta anaknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gerik, Superintendan Abd Manab Bahrum berkata, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakan sedang menarik kayu balak, tetapi tiba-tiba sebatang daripadanya patah dan terus menghempap badannya.

Jerat seks gadis penggoda



BANDARAYA MELAKA - Seorang gadis menggunakan kelicikannya menggoda lelaki kaya berusia 40-an hingga 50-an demi memenuhi keinginannya untuk memiliki barangan mewah dengan taktik menawarkan perkhidmatan seks dan penipuan untuk menjadi rakan kongsi perniagaan.

Lebih menjijikkan, gadis berusia 30-an, berasal dari negeri ini akan meninggalkan mangsa begitu sahaja selepas keinginannya memiliki barang mewah, percutian ke luar negara dan modal membuka perniagaan terlaksana.

Tidak hairanlah gadis itu kini mampu bergaya dengan beberapa buah kereta, barangan berjenama dan perniagaan yang dihasilkan menggunakan umpan aset berharga dirinya termasuk menggunakan ilmu hitam sebagai penunduk mangsa.

Cerita ini didedahkan sendiri oleh seorang isteri, Mas (bukan nama sebenar) yang mengakui suaminya, seorang pegawai tinggi di sebuah syarikat swasta terkenal pernah ditundukkan wanita licik terbabit sehingga kerugian puluhan ribu ringgit sebelum disedarkan isterinya dengan membawanya berjumpa pakar perubatan Islam negeri ini.

Berjaya dapat semula wang RM8,500
Mas menceritakan sendiri pengalaman pahitnya berdepan dengan wanita dikenali sebagai W selama beberapa tahun yang mengikat suaminya sehingga sanggup berkorban apa sahaja termasuk membelikan W sebuah kereta mewah dan membiayai perniagaan wanita terbabit.
“Saya mengetahui suami menjalin hubungan sulit dengan wanita berkenaan awal tahun lalu sebelum melakukan penyiasatan sendiri untuk mengumpul bukti.
“Suatu hari, suami mengaku dan saya mula intip pergerakannya serta mencari maklumat mengenai W daripada rakannya,” katanya.
Menurutnya, dia terkejut apabila mengetahui W menjadikan suaminya sebagai salah seorang mangsa selepas berpuluh lagi lelaki menjadi mangsanya sebelum ini.
“Saya sendiri dapat bercakap dengan beberapa lelaki yang menjadi mangsa W termasuk bekas tunangnya dan mengetahui W sanggup menggadaikan apa sahaja termasuk umpan seks untuk mendapat apa yang diinginkan.
“W juga banyak berhutang keliling pinggang dan menjadikan lelaki ini sebagai mangsa untuk membayar hutangnya serta menyara dirinya,” katanya.
Mas berkata, atas dasar mahu menyelamatkan rumah tangga yang telah lebih 30 tahun dibina dan mahu melepaskan suami daripada ikatan ilmu hitam W, dia membawa suaminya berubat dengan seorang ustaz.
“Walaupun hati saya hancur dengan pengakuan suami, saya nekad memulihkan semangatnya dan bersyukur dia telah mula melupakan W,” katanya
Menurutnya, dia sendiri berdepan dengan W dan berjaya mengutip semula wang RM8,500 suami yang telah ditipunya, kononnya untuk membuka perniagaan.
“Walaupun saya tahu suami ditundukkan dengan menyerahkan puluhan ribu ringgit, namun saya reda kerana yang penting, suami kini kembali ke pangkuan saya dan anak semula.
“Saya tidak mahu ada lebih ramai lelaki menjadi mangsa W kerana dia masih lagi aktif menjalankan kegiatan jijiknya itu,” katanya yang telah membuat laporan polis mengenai gangguan W terhadap rumah tangganya.
Menurutnya, pendedahan kisah W bukan untuk membuka aib sesiapa, namun untuk memberikan amaran kepada isteri yang mempunyai suami berpangkat dan berharta supaya tidak terpedaya dengan wanita terbabit.

Khianat



PETALING JAYA – Cubaan pihak membakar keseluruhan pejabat MIC Petaling Jaya Selatan di Taman Sri Manja PJS 6 dekat sini, kelmarin tidak kesempaian apabila kejadian itu disedari oleh orang ramai yang ternampak asap tebal kira-kira jam 4.55 pagi.

Kebakaran di tingkat satu bangunan rumah kedai tersebut berjaya dipadamkan pihak bomba yang bergegas ke tempat kejadian sebelum api dapat dikawal dan dipadamnya sepenuhnya dalam tempoh 10 minit

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisiner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati suspek memecah pintu ‘grill’ di tangga sebelum melemparkan tayar motorsikal yang dibakar.

Menurutnya, kebakaran dikesan berlaku di tangga berhadapan pintu masuk ke pejabat parti berkenaan.

Kebakaran turut mengakibatkan sebahagian besar ruang pejabat terjejas akibat jelaga asap.

“Suspek tidak masuk ke dalam ruang pejabat hanya sempat membakar kawasan ruang tangga,” katanya

Arjunadi berkata, siasatan masih berjalan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 436 kanun keseksaan kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Bunyi letupan selamatkan kedai



JITRA - Bunyi letupan di bahagian tandas sebuah kedai runcit mengejutkan pelanggan sebuah kedai makan yang terletak berdekatan kedai itu ‘menyelamatkannya’ daripada dijilat api.

Salah seorang pengunjung bertindak pantas menelefon bomba dalam satu kejadian kebakaran di Tanjung Pauh, di sini kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Saksi kejadian, Kaman Jaapar, 39, berkata, ketika itu dia sedang menjamu selera bersama beberapa rakan lain di sebuah kedai makan tomyam berhampiran sebelum ternampak kepulan asap hitam bunyi letupan lebih 10 kali terhasil dari kedai runcit itu.

Melihat keadaan itu, Kaman lantas menghubungi bomba berdekatan untuk meminta bantuan, manakala rakan-rakannya yang lain bingkas mengarahkan sekumpulan remaja di kawasan berhampiran untuk memaklumkan kepada pemilik kedai.

“Tiga jentera bomba tiba di tempat kejadian tidak sampai 10 minit selepas dihubungi dan tindakan pantas mereka memadamkan api yang marak di bahagian belakang kedai mengelakkan kedai runcit itu daripada terbakar.

“Pada masa sama, saya turut mengejutkan beberapa pekerja restoran mamak di sebelah kedai runcit itu yang tidur di tingkat atas kedai selain mengarahkan pemilik kenderaan di kawasan berdekatan memindahkan kereta dengan segera,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam.

Seorang lagi saksi, J Tamil Arasu, 21, berkata, pemilik kedai runcit Bestari Mesra, R S Sarath setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.45 pagi kelmarin terus pergi ke kedai dan cuba masuk ke dalam untuk menyelamatkan benda berharga.

Menurutnya, tindakan itu dihalang anggota bomba kerana api masih marak di bahagian belakang kedai dan kebakaran dapat dikawal kira-kira 10 minit selepas itu.

“Saya difahamkan kebakaran berlaku bukan berpunca pintasan elektrik kerana bekalan elektrik masih elok dan tuan kedai juga bernasib baik kerana tidak meletakkan tong gas di bahagian belakang kedainya,” katanya.

Pemilik Kedai Runcit Bestari Mesra, R S Sarath, 25, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku sekelip mata kerana sudah memastikan keadaan kedai sebelum menutupnya.

“Saya tidak dapat kenal pasti kerugian dialami, tetapi tidak tolak kemungkinan jumlahnya hampir RM15,000 setelah ambil kira kerosakan peti sejuk, tandas dan stok kedai.

“Bagaimanapun, saya syukur kedai tidak terjejas teruk disebabkan tindakan pantas orang awam dan bomba dan berterima kasih di atas pertolongan mereka,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jitra ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian dan menjelaskan siasatan anggaran kerugian masih dijalankan.

Terseret hampir 9 meter



BENTONG – Seorang pemandu lori maut dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Kilometer 64 Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur dekat sini kira-kira jam 6.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa, S Sangkar, 34, bersama seorang kelindan dipercayai berhenti di tepi lebuh raya dekat sini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari lori tiga tan dinaikinya dan siasatan masih dijalankan untuk memastikan bagaimana secara tiba-tiba dia berada di lorong tengah sebelah kiri lebuh raya itu.

“Kebetulan datang sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga orang termasuk pemandu dari arah Karak dipercayai terlanggar mangsa. Akibat kejadian itu, mangsa terseret sejauh hampir 9 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu dan dua penumpang kereta Proton Saga yang dalam perjalanan dari Sungai Dua, Karak ke Kuala Lumpur itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati keadaan gelap dan pemandu Proton Saga tidak dapat melihat mangsa yang ketika itu berada di lorong sebelah kiri lebuh raya. Siasatan berhubung kes ini masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, kelindan lori yang dikenali sebagai Balasamy berkata, dia langsung tidak menyedari bila rakannya itu keluar dari kenderaan dan berada di bahagian kiri lebuh raya itu.

Menurutnya, dia sedih kerana kehilangan seorang rakan dan tidak menyangka perkara seumpama itu berlaku.

Melecur gara-gara curi kabel



MARAN - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.Itu nasib yang diterima seorang penganggur berusia 24 tahun dari sebuah kampung di sini apabila tindakan mencuri kabel elektrik untuk kali kedua di lokasi sama memakan diri.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari berkata, penganggur yang dipercayai penagih dadah itu terima padah apabila melecur 36 peratus dari keseluruhan badan akibat renjatan elektrik membabitkan arus 11,000 watt.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian (kelmarin), penganggur itu dipercayai berjaya mencuri kabel di Pencawang ASPA bekas tapak kilang lama dekat sini sebelum melakukannya buat kali kedua, semalam.

“Penganggur ini melakukan kegiatan menceroboh untuk mencuri kabel secara sendirian.

“Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian pencerobohan pencawang tersebut pada jam 1.25 pagi dan sepasukan anggota diketuai Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamrol Ariffin Othman ke lokasi kejadian ,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui sepana, parang dan telefon bimbit yang dipercayai milik penganggur berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Johari berkata, penganggur itu dipercayai dihantar pihak tertentu ke Klinik Kesihatan Maran bagi mendapatkan rawatan akibat melecur di bahagian pinggang ke atas.

Katanya, pihak polis dimaklumkan mengenai kehadiran penganggur ke klinik itu pada jam 2.30 pagi selepas laporan polis dibuat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Maran.

“Ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmas Shah (HoSHAS), Temerloh, penganggur ini mengaku melakukan kesalahan menceroboh di pencawang terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh pencawang TNB,” katanya.



Rentung akibat ‘flash over’



Sementara itu, menurut pihak TNB Maran, kejadian yang menimpa penganggur itu berlaku akibat ‘flash over’ selepas menyentuh perkakasan suis di pencawang tersebut sehingga mengakibatkan kecederaan teruk.

Katanya, kejadian itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik membabitkan separuh kawasan Bandar Maran selama 32 minit.

“Pihak TNB Maran bergegas ke pencawang tersebut berikutan berlaku gangguan bekalan elektrik terpelantik di pencawang masuk utama TNB sebelum berjaya mengatasi masalah tersebut.

“Sehari sebelum kejadian, penceroboh berjaya mencuri kabel jenis Busbar Compartment di pencawang sama tetapi nasib tidak menyebelahinya pada cubaan kedua,”katanya.

Pihak TNB bersama polis ke lokasi kejadian mendapati berlaku pencerobohan dan berjaya mengesan mangsa dalam tempoh sejam.

Menurutnya, penceroboh yang mengalami kecederaan teruk itu dipercayai mendapatkan bantuan pihak tertentu untuk mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.

“Pihak TNB sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes ini dan percayai ia mempunyai kaitan dengan beberapa kes kecurian kabel sejak tahun lalu,” katanya.

Gadai nyawa selamatkan dadah

 

KUALA TERENGGANU- Demi menyelamatkan dadah miliknya yang bernilai kira-kira RM10,000, seorang duda kepada tiga anak sanggup menggadai nyawa dengan mempertahankan 10 botol berisi heroin yang digenggam erat di dalam tangan kanannya ketika diserbu polis di kampung Jeram Tok Kong, Tepoh, Jumaat lalu.

Duda yang berumur 50 tahun itu diserbu kira-kira jam 8 malam, ketika berada di dalam kawasan semak di kampung itu dipercayai sedang menunggu pelanggan tetapnya yang tinggal di sekitar kawasan Tepoh dan Bukit Berangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Roslan Abd Wahid berkata, menyedari kehadiran polis, duda yang berasal dari kampung Bukit Berangan, Tepoh itu cuba melarikan diri.

“Dia berjaya ditangkap selepas dikejar polis dan berlaku pergelutan kerana dia cuba melawan untuk menyelamatkan diri.

“Walau bagaimanapun, setelah ditangkap, dia masih berdegil untuk memberi kerjasama dengan tidak mahu menyerahkan botol berisi heroin itu, malah menggenggam lebih erat tangan kanannya itu ketika diminta menyerahkan botol tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut Roslan, hasil siasatan awal mendapati suspek yang turut positif morfin itu seorang pengedar dadah yang aktif sejak 15 tahun lalu.

Katanya, tindakan berani suspek yang masih menyelamatkan dan mempertahankan dadah miliknya walaupun menyedari aktivitinya diketahui polis menunjukkan betapa ‘taksubnya’ suspek terhadap dadah itu.

“Suspek itu dilihat lebih sayangkan dadah daripada nyawanya sendiri walaupun menyedari kesalahannya itu boleh membawa dia dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, pada hari sama kira-kira jam 4.30 petang, pihaknya turut menahan seorang lelaki Melayu yang dipercayai sedang mengedar dadah di tepi jalan besar, kampung Gong Pak Jin, Batu Rakit.

Katanya, suspek yang berumur 29 tahun dan berasal dari kampung Pasir Putih, Bukit Chempaka, Batu Rakit itu ditahan ketika berada di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri, suspek cuba melarikan diri, walaupun bagaimanapun, selepas berlaku sedikit pergelutan, dia berjaya ditahan.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, kami berjaya menjumpai lima botol serbuk putih dipercayai heroin seberat 23 gram yang disorokkan di dalam poket seluar jeansnya,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang tidak memiliki pekerjaan itu merupakan seorang penagih dan pengedar dadah yang aktif sejak lima tahun lalu.

Roslan berkata, kedua-dua suspek yang ditangkap direman selama seminggu bagi tujuan penyiasatan bahagian Narkotik dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Malang si penagih



TELUK BIDARA - Sudahlah tangan kiri berbalut akibat kemalangan kini dicekup pula ketika mengunjungi port untuk melepaskan gian.

Lebih malang apabila kaki dadah itu dipercayai turut menjadi pembekal kepada penagih lain.

Ternyata, tragedi yang menimpa tidak cukup untuk memberi keinsa-fan kepada lelaki tersebut apabila tindakan mengunjungi port itu membawa padah setelah lokasi persembunyiannya berhampiran pangkalan nelayan itu diserbu polis narkotik kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Hasilnya, enam lelaki ditahan untuk membantu siasatan dan pemeriksaan lanjut dalam poket seluar suspek yang cedera akibat kemalangan itu menemui satu botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis morfin.

Dalam serbuan berasingan di Sungai Buaya pula, dua penagih yang lena dibuai mimpi siang hari dikejutkan dengan kedatangan tetamu tidak diundang yang bakal membawa mereka ke bilik penginapan bertirai besi.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah methampethamine.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan dan kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Buang rangka motosikal di sungai



KAMPUNG RAJA - Polis percaya dapat menyelesaikan lebih 10 kes curi motosikal di daerah ini dan di dua daerah lain masing-masing di Perak serta Kelantan selepas berjaya menahan dua remaja lelaki dalam satu sekatan jalan raya di Jertih minggu lalu.

Dua remaja lelaki berumur 18 dan 20 tahun turut membawa polis ke lokasi tempat mereka dikatakan membuang rangka motosikal curi dekat Empangan Pengkalan Nangka di Sungai Besut, semalam.

:Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dua suspek yang menaiki motosikal ditahan dalam sekatan jalan raya apabila dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati motosikal yang dinaiki suspek adalah motosikal yang dilaporkan hilang di Taiping, Perak.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek juga percayai terbabit dengan kes curi sembilan lagi motosikal termasuk sebuah yang dilaporkan hilang di Pasir Putih, Kelantan.

“Polis percaya dua suspek dari kampung Beris Baru itu terbabit mencuri keseluruhan 10 motosikal dan lapan daripada jumlah itu dicuri di beberapa kawasan daerah ini seperti di sekitar Hospital Besut, Jertih, Kuala Besut dan kampung Raja,” katanya.

Kamaruddin berkata, modus operandi suspek adalah mencuri motosikal kemudian menjual alat ganti termasuk enjin sebelum membuang rangka motosikal tersebut ke Sungai Besut.

Katanya, suspek mengaku membuang sebanyak enam rangka motosikal yang dicuri berhampiran Empangan Pengkalan Nangka itu sejak 2009 lalu hingga akhir tahun lalu.

Berikutan itu, tiga penyelam daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM) membantu mengesan rangka motosikal di empangan tersebut semalam bermula jam 10 pagi hingga 3 petang namun gagal dan usaha mencari akan disambung hari ini.

Warga emas maut, kereta bertembung treler



KAMPUNG TELAGA- Hasrat seorang warga emas untuk pulang ke rumah selepas selesai urusan di pasar pagi (Hari Giliran) Kuala Berang tidak kesampaian apabila dia maut setelah kereta dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Kuala Berang-Sungai Tong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa Abu Abd Latif, 63, yang memandu sendirian Proton Iswara dari arah Kuala Berang menuju Sungai Tong dan sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandunya memasuki lorong bertentangan secara tiba-tiba lalu bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, akibat kemala-ngan tersebut mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Mangsa berasal dari kampung Kepah dan bekerja sendiri ini dikatakan masuk ke laluan bertentangan secara tiba-tiba hingga menyebabkan kereta dipandunya bertembung sebuah treler dipandu Muhamad Al Amin Yusof, 43, beralamat di Bukit Besi, Dungun.

“Akibat pertembungan itu juga, treler tersebut terbabas lalu merempuh bangsal di hadapan sebuah rumah penduduk. Mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut, manakala pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zaki Abd Hamid berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk membawa keluar mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu setelah menerima panggilan jam 11.30 pagi dan seramai enam anggota dengan sebuah jentera terlibat dalam operasi berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai turut memenuhi lokasi kejadian bagi melihat dengan lebih dekat kemalangan tersebut.

Sinar Harian juga difahamkan walaupun kawasan tersebut merupakan jalan lurus namun ia merupakan salah satu lokasi yang sering berlakunya kemalangan.

Penduduk yang hanya ingin dikenal sebagai Abdullah berkata, walaupun pada pandangan mata kasar permukaan jalan raya di situ kelihatan rata namun sebenarnya terdapat satu lokasi yang seolah-olah berbonggol.

Apatah lagi, kebanya-kan pemandu memecut laju kerana ia merupakan jalan lurus.
“Kebiasannya, apabila kenderaan berat melalui kawasan dikatakan seolah-olah berbonggol itu, sudah pasti kita fikirkan ia kemalangan kerana bunyinya.

“Malah, pada mulanya tadi saya tidak menyangka bunyi dentuman kuat itu akibat kemalangan sehinggalah mendengar bunyi siren kecemasan,” katanya.

“Mujurlah kemalangan waktu pagi”

“Mujurlah kemala-ngan ini berlaku waktu pagi kerana kebiasannya setiap petang anak bongsu saya bermain badminton di halaman rumah bersama kawannya.

“Malah, saya juga bersyukur kerana treler yang terbabas ini hanya merempuh bahagian garaj kereta bukannya rumah,” luah Aidawati Mustapha, 36.

Aidawati, penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kemalangan maut berlaku di Kilometer 4 Jalan Kuala Berang-Sungai Tong, di sini, kira-kira 11.30 pagi semalam membabitkan sebuah Proton Iswara dengan sebuah treler.

Malah, akibat kemalangan itu, garaj kereta milik Aidawati turut dirempuh.

Menurut Aidawati yang juga seorang ibu tunggal, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Berang.

Dia hanya mengetahui garaj keretanya dirempuh treler setelah dihubungi bapanya, Mustapha Ibrahim, 57, yang ketika itu berada di Kemaman.

“Saya terus bergegas pulang apabila diberitahu rumah saya hampir dirempuh treler yang terbabas akibat kemalangan dengan sebuah kereta dan saya sangat beryukur kerana ia hanya melibatkan garaj kereta biarpun jaraknya hanya beberapa meter sahaja dengan rumah.

“Kebiasaannya, kawasan garaj itu digunakan untuk parkir kereta Proton Saga, namun hari ini (semalam) ia digunakan adik saya, Amri Rizal Mustapha, 29, untuk ke tempat kerjanya kerana motosikalnya rosak. Sekiranya tidak, sudah tentu kereta tersebut juga turut terlibat.

“Saya tinggal di sini bersama enam ahli keluarga termasuk tiga anak yang berumur 8, 12, dan 13 tahun,” katanya.

Aidawati berkata, biasanya setiap petang, anak bongsu saya, Tengku Aidil Putra Tengku Nasiruddin bermain badminton bersama kawannya di hala-man rumah.

“Namun, syukurlah kemalangan ini berlaku pada waktu pagi iaitu ketika anak saya berada di sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Lelaki bebas tuduhan miliki 8,000 pil kuda



KOTA BHARU – Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas Timbalan Pendakwa Raya negeri menarik balik tuduhan miliki hampir 8,000 pil kuda terhadapnya, dua tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah membuat keputusan itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Abdul Razak Wan Husain bersetuju menarik balik tuduhan terhadap Zaki Mohd Zain, 27, selepas dibenarkan Peguam Negara.

Zaki yang diwakili peguam bela, Hasif Hassan sebelum itu dituduh secara bersama dua lagi rakannya, Muhamad Azmi, 24 dan Wan Muhammad Wan Mat Noor, 29, pada 13 April lalu.

Mereka dituduh dalam pertuduhan pilihan secara bersama memiliki dadah Metamphetamine (pil kuda) dalam sebuah Honda Jazz di tepi Jalan Batu 4, Kampung Tunjung, 10 Disember 2009.

Bagaimanapun, dua rakan Zaki itu mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman 8 tahun penjara serta 10 sebatan rotan di mahkamah sama pada tarikh sama mereka dituduh, 13 April 2011.

Zaki, ketika itu mengaku tidak bersalah dan ketika sebutan semula kes semalam, beliau dibebaskan oleh Hakim Azman.

Sebelum itu, dalam serbuan jam 4.15 petang itu, ketiga-tiganya bagaimanapun cuba meloloskan diri sehingga memaksa polis melepaskan satu das tembakan.

Pemeriksaan lanjut ke atas kereta milik ibu Muhamad Azmi menjumpai 7,937 biji pil kuda seberat 106.9 gram dalam sebuah beg jenis Louis Vuitton dalam kenderaan tersebut.

Tiga lelaki ditahan curi 215 batang besi tembaga TNB

TAPAH 28 April – Tiga lelaki ditahan ketika memunggah sejumlah 215 batang besi tembaga milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM20,164 ke dalam sebuah kereta di Jalan Bruseh, Bidor semalam.Kesemua mereka yang berusia lingkungan awal 20-an itu ditangkap oleh anggota polis yang sedang melakukan aktiviti rondaan cegah jenayah di kawasan itu. – Utusan

Dua anggota tentera antara 16 ditahan positif dadah

MELAKA 28 April – Polis menahan 16 lelaki termasuk dua anggota tentera selepas didapati positif heroin ketika mereka sedang mendapatkan bekalan dadah di sebuah kebun kelapa sawit berhampiran Penjara Sungai Udang di sini kelmarin.
Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Jaafar Mat berkata, kebun sawit itu dikatakan sering menjadi tumpuan penagih dadah untuk mendapatkan bekalan walaupun pernah diserbu beberapa kali sebelum ini. – Utusan

25 maut taufan melanda Alabama


CHICAGO: Ribut taufan kuat melanda bahagian tengah dan selatan Amerika Syarikat sejak 24 jam lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang terutama di Alabama, menurut pegawai kecemasan hari ini.


Angka korban terbaru menunjukkan peningkatan iaitu enam terbunuh, menjadikan keseluruhan 44 maut akibat taufan melanda di seluruh Amerika.Ribut taufan musim panas di tengah Amerika Syarikat sejak beberapa hari ini membawa hujan dan puting beliung, menyebabkan jalan raya, talian elektrik dan bangunan rosak. - AFP, bharian

Bekas Presiden Costa Rica bersalah tuduhan rasuah


SAN JOSE: Mahkamah hari ini menjatuhi hukuman enam tahun penjara terhadap bekas Presiden Costa Rica, Miguel Angel Rodriguez selepas didapati bersalah mengambil suapan daripada syarikat telekomunikasi gergasi Perancis, Alcatel.

“Miguel Angel Rodriguez Echeverria didapati memainkan peranan utama dalam kegiatan jenayah rasuah ini dan dia dijatuhi lima tahun penjara," kata
Ketua Hakim, Rosaura Garcia dalam keputusannya di Mahkamah San Jose. Rodriguez, 69, adalah bekas ketua Pertubuhan Amerika Syarikat yang meletakkan jawatan pada 2004 selepas skandal rasuah berkenaan didedahkan kepada umum.

Mahkamah juga memutuskan beliau tidak boleh memenang apa-apa jawatan dalam perkhidmatan awam selama 12 tahun.

Pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjawa tujuh tahun kepada
Rodriguez atas tuduhan menerima lebih AS$800,000 sebagai bayaran daripada Alcatel ketika beliau menjadi Presiden.

Bayaran itu sebagai bantuannya kepada syarikat itu mendapatkan kontrak kerajaan bernilai AS$149 juta bagi projek pemasangan 400,000 rangkaian talian telefon bimbit di negara itu. - AFP , bharian

3 maut dalam serangan terbaru ke atas bas tentera laut Pakistan

KARACHI: Sekurang-kurannya tiga maut manakala 15 yang lain cedera selepas sebuah bas tentera laut terkena bom tepi jalan di bandar pelabuhan Karachi hari ini, serangan ketiga seumpama itu minggu ini.
“Bom yang diletakkan di tepi jalan itu meletup apabila bas tentera laut Pakistan melaluinya. Seorang pejalan kaki terbunuh manakala 15 yang lain cedera," kata pegawai kerajaan negeri, Sharfuddin Memon.
Pegawai tentera laut pula berkata, seorang doktor wanita dan pegawai tentera laut turut terbunuh manakala sembilan pegawai lain cedera.
“Seorang doktor wanita dan seorang pegawai mati syahid dalam serangan itu dan sembilan lagi pegawai cedera," katanya.

Kelmarin, dua bas yang membawa pegawai tentera laut Pakistan turut dibom di Karachi, menyebabkan empat orang terbunuh. - AFP , bharian

Polis tahan dua lelaki dan pasangan suami isteri, rampas 4.7kg heroin

GEORGETOWN: Polis menahan dua lelaki dan pasangan suami isteri serta merampas 4.7 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM250,000 dalam serbuan di kawasan tempat letak kereta sebuah pasaraya besar di Alma, Bukit Mertajam di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kesemua mereka berusia antara 63 dan 37 tahun itu ditahan pada jam 3.25 petang oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Pulau Pinang.
"Hasil maklumat awam dan risikan sejak sebulan lepas, pasukan JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang berjaya mengesan sindiket pengedaran dadah berkenaan di kawasan letak kereta terbabit.
"Semasa serbuan, kita menahan dua orang di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira dan hasil pemeriksaan polis menemui 4.7 kilogram dadah jenis heroin berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Turut hadir Ketua JSJN Pulau Pinang Superintendan S Batumalai.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis berjaya menahan dua lagi rakan mereka yang turut berada di kawasan pasar raya berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka termasuk sepasang suami isteri yang ditahan itu adalah anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar negeri ini sejak beberapa bulan lepas," katanya.

Katanya, mereka dipercayai berada di kawasan tempat letak kereta berkenaan untuk urusan jual beli dadah.
Abdul Rahim berkata, setelah menjalankan siasatan lanjut, polis dibawa ke sebuah rumah milik salah seorang daripada mereka yang ditahan dan polis menemui wang tunai dalam mata wang Malaysia dan asing bernilai RM137,595 dan sejumlah barang kemas bernilai RM16,545.

"Suami isteri yang ditahan itu tidak bekerja manakala lelaki berumur 63 tahun itu bekerja sebagai penjaga kedai komputer dan seorang lagi adalah peniaga," katanya dan menurutnya dua daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Beliau berkata, kesemua mereka kini direman sehingga 4 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah. - BERNAMA , mymetro

Dua rakyat Malaysia dibicarakan di Teluk Guantanamo: Duta AS


KOTA BHARU: Dua rakyat Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 akan didakwa selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Paul Wayne Jones, berkata Washington masih belum membuat keputusan sama ada mendakwa mereka di mahkamah tradisional atau tribunal tentera, yang mana sering digunapakai dalam situasi ketika perang.
Jones yang mengadakan lawatan dua hari ke Kelantan, bagaimanapun, berkata tiada kemungkinan mereka akan dihantar balik ke Malaysia untuk didakwa di negara ini.
Beliau berkata, proses pendakwaan akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Mereka adalah Mohamad Nazir Lep atau dikenali sebagai Bashir Lap atau Lilie dan Mohd Farik Amin yang dikenali sebagai Yazid Zubair.

Kedua-dua mereka didakwa mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda serta pertubuhan militan Asia Tenggara, Jemaah Islamiyah (JI). - BERNAMA , mymetro

Bayi baru lahir di bawah pokok


SINI...Satyadevi menunjukkan tempat bayi lelaki  bertali pusat ditemui di bawah pokok, semalam.
SINI...Satyadevi menunjukkan tempat bayi lelaki bertali pusat ditemui di bawah pokok, semalam.

GEORGETOWN: Hanya beralaskan kain dan dibungkus dengan plastik hitam, seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di bawah pokok di Jalan Satu, Changkat Miden di Gelugor, pagi semalam.
Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui jam 7 pagi oleh orang ramai yang kebetulan berjoging di kawasan berkenaan.

Saksi, T Satyadevi, 69, berkata, ketika itu dia berada dalam rumah kakaknya tidak jauh dari kawasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan penemuan bayi itu selepas terdengar tangisan bayi.
Menurutnya, dia yang bergegas ke kawasan itu diminta membuka bungkusan berkenaan.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati seorang bayi lelaki yang comel masih bertali pusat dalam bungkusan berkenaan dan terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

“Saya bersyukur kerana bayi comel ini ditemui hidup walaupun masih dalam keadaan bertali pusat serta tidak digigit anjing atau serangga berbisa lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan bayi lelaki yang masih bernyawa dan sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi penemuan.

Menurutnya, bayi lelaki yang masih belum diketahui bangsanya itu k dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, pihaknya masih lagi menyiasat untuk mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab meninggalkannya di kawasan berkenaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822., mymetro

Datuk, nenek dicekup khalwat


KANGAR: Memalukan apabila sepasang warga emas mengaku bersekedudukan ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam atas kesalahan berkhalwat pada awal tahun ini.
Tertuduh, Salleh Nyan, 66, duda dan pasangannya yang juga janda, Azizah Saad, 60, membuat pengakuan berkenaan apabila dihadapkan di depan Hakim Syarie Azeman Omar.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Raya Syarie, Fakhrurrazi Mahdzir.

Mengikut pertuduhan, warga emas terbabit berkurung di dalam rumah di No 254, Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, dekat sini, kira-kira jam 2.25 pagi pada 17 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), kedua-dua tertuduh enggan membuka pintu biarpun diketuk beberapa kali.

Tertuduh lelaki didakwa mengikut Seksyen 9(1) Enakmen Jenayah dalam Syarak Negeri Perlis 1991 manakala Azizah dituduh mengikut Seksyen 9(1)(2) enakmen sama yang boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.


Fakhrurrazi dalam prosiding berkata, kedua-dua tertuduh orang berusia dan kelakuan berdua-duaan sehingga lewat pagi boleh menimbulkan syak dan mendorong kepada zina.

Katanya, mereka perlu dikenakan hukuman yang boleh memberi pengajaran termasuk sebagai ingatan kepada orang lain.
“Justeru, saya mohon mahkamah mengenakan denda maksimum terhadap tertuduh,” katanya.

Salleh dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan denda dengan alasan tidak mampu untuk bekerja, menghidap kencing manis, darah tinggi dan sudah bertaubat dengan tidak mengulangi perbuatan itu.

Azeman menjatuhkan hukuman denda kepada Salleh sebanyak RM2,200 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, manakala Azizah didenda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda.

Polis tembak mati tiga perompak


MARAN: Polis menembak mati tiga lelaki warganegara Indonesia selepas dipercayai merompak sebuah rumah peneroka di Felda Jengka 18 di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi, sepasukan polis mengejar tiga lelaki terbabit yang melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva.

Beliau berkata suspek yang bersenjatakan parang kemudian cuba menyerang anggota polis sebelum ditembak mati di ladang kelapa sawit berhampiran Felda Jengka 18., kosmo

Peniaga nasi campur didakwa samun kereta



GEORGE TOWN — Seorang peniaga nasi campur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menyamun sebuah kereta milik seorang lelaki dengan bersenjatakan pisau pada Jumaat lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen, Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Shahrul Azlan Abdul Jaffar, 25, diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
Shahrul Azlan dituduh telah menyamun sebuah kereta jenis Honda Civic milik Kenneth Chew, 30, pada 12.40 pagi 16 April lepas di tepi Jalan Thean Teik.
Shahrul Azlan turut didakwa di Mahkamah Majistret berhubung tuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 5.7 gram di hadapan wad bersalin Hospital Pulau Pinang pada 11.30 malam juga pada 16 April lepas.
Majistret Noor Aini Yusof membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Bunuh kekasih: Pemandu lori dihukum gantung

ALOR SETAR — Seorang pemandu lori hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh teman wanitanya kira-kira dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh Mohd. Adnan Abdul Karim, 29, telah melakukan kesalahan tersebut dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.
Beliau berkata, ketika membela diri, tertuduh tidak menafikan melakukan kecederaan kepada si mati tetapi mendakwa tiada niat untuk membunuh si mati. — Bernama, kosmo

Miliki ganja: Dua anggota kastam ditahan

28 April 2011. - ANGGOTA polis membawa dua pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang ditahan kerana memiliki ganja mampat seberat tujuh kilogram di Mahkamah Majistret Kangar. - Utusan/FAIZAL ABU HASSAN

KANGAR — Polis menahan dua anggota Kastam selepas menemui tujuh kilogram ketulan dipercayai ganja mampat dalam sebuah kenderaan di tempat letak lori berhampiran Kilang Simen, Bukit Keteri, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Perlis, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, kedua-dua lelaki itu masing-masing berumur 42 dan 44 tahun ditahan kira-kira pukul 9 malam selepas diintip selama 30 minit oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam, pasukan itu melakukan intipan di kawasan berkenaan dan bertindak menahan mereka setelah menemui tujuh ketulan dipercayai ganja mampat yang setiap satu seberat satu kilogram dalam kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka.
"Ketulan ganja itu dipercayai diambil dari negara jiran dan dua suspek itu dipercayai sedang menunggu seseorang untuk melakukan proses jual beli,” katanya selepas menghadiri program derma darah sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-204 di Mess Pegawai Kanan, Sungai Batu Pahat, dekat sini hari ini.
Kedua-dua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. — Bernama, kosmo

Curi barang majikan: Lelaki dipenjara 3 tahun

GEORGETOWN — Seorang pekerja kedai besi buruk dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana kesalahan mencuri barangan kemas dan antik bernilai kira-kira RM553,000 milik majikannya dua minggu lepas.
Majistret Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu apabila tertuduh, T.Vijayan, 36, mengaku bersalah selepas faham dengan pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil terhadapnya pada prosiding mahkamah hari ini.
Vijayan mengaku salah melakukan pecah rumah milik Datuk Noor Mahamad Abu Backer, 44, di Jalan Macalister dan mencuri barang-barang antik, barang kemas dan berlian serta duit antik bernilai kira-kira RM553,000, pada kira-kira 8.30 malam antara 10 hingga 14 April lepas. Ketika kejadian dia tiada di rumahnya.
Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan. — Bernama,kosmo

Polis tahan dua budak giat curi motosikal

BALIK PULAU — Seorang budak lelaki berumur 11 tahun dan rakan perempuannya berumur 12 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian motosikal di sekitar kawasan Teluk Kumbar di sini sejak sebulan lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Far Hin berkata, kedua-dua mereka dipercayai giat menjalankan kegiatan mencuri motosikal bagi tujuan berseronok dan bersiar-siar.
"Polis menahan kedua-duanya pada petang semalam ketika mereka sedang meronda (bersiar-siar) di kawasan flat di Teluk Kumbar dan siasatan mendapati motosikal yang ditunggang itu dilaporkan hilang pada Selasa lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui tiga buah motosikal yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran rumah mereka tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Beliau berkata, mereka dipercayai akan menyembunyikan motosikal yang dicuri setelah kehabisan minyak selepas bersiar-siar.
Menurut Far Hin, hasil siasatan mendapati kedua-dua budak itu akan merayau-rayau di sekitar kawasan flat berkenaan selepas waktu persekolahan dan melakukan kegiatan mencuri dengan menggunakan pisau kecil bagi menghidupkan enjin motosikal.
Kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, katanya. — Bernama, kosmo

Pasangan suami isteri dituduh edar dadah

KUALA TERENGGANU — Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis metamphetamine dan heroin, 17 April lepas.
Sunaidi Ismail, 33, dari Rantau Panjang dan isterinya, Nuur Muhaimi Yahya, 25, dari Kampung Raja, Besut hanya mengangguk faham apabila tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa secara bersama mengedar 80.0 gram metamphetamine ketika berada dalam kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran AFL 4630 di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, pada 1 pagi, 17 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa pada 1.30 pagi, pada hari dan tempat yang sama, mengedar dadah jenis heroin seberat 46.2 gram.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, kedua-duanya didakwa memiliki heroin seberat 4.2 gram pada 1 pagi, di lokasi sama dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB itu membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali. — Bernama, kosmo

Imigresen Lahad Datu Tahan 24 Warga Asing Langgar Syarat Pasport

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Lahad Datu menahan 24 warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Sri Perdana sini malam tadi kerana melanggar pelbagai peraturan Imigresen negara ini.
Pengarah Imigresen Sabah Mohammad Mentek berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 15 wanita iaitu tujuh rakyat Filipina, empat rakyat China, tiga rakyat Vietnam dan seorang warganegara Kemboja.
Sembilan lelaki warga asing yang ditahan pula ialah tujuh rakyat Filipina dan dua rakyat Indonesia. Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
"Kesemua warga asing berkenaan ditahan dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan kira-kira jam 9 malam yang diketuai oleh Ketua Imigresen Lahad Datu Dzul Azwie Nawawi bersama 21 anggotanya melalui Ops Sayang," katanya.
Katanya operasi seumpama itu akan dijalankan dari semasa kesemasa bagi membandung kegiatan tidak bermoral. - BERNAMA

Polis Tembak Mati Tiga Dipercayai Perompak

MARAN: Polis menembak mati tiga lelaki warganegara Indonesia selepas dipercayai merompak sebuah rumah peneroka di Felda Jengka 18 di sini, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi, sepasukan polis mengejar tiga lelaki terbabit yang melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva.
Beliau berkata suspek yang bersenjatakan parang kemudian cuba menyerang anggota polis sebelum ditembak mati di ladang kelapa sawit berhampiran Felda Jengka 18.BERNAMA

Pengganas Indonesia dihukum penjara 10 tahun

JAKARTA 27 April – Seorang militan Indonesia hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana menyertai satu ‘konspirasi jahat’ membabitkan kumpulan militan yang berkomplot untuk melancarkan serangan di negara ini.
Abdullah Sunata, 32, didapati bersalah terlibat membantu menganjurkan latihan ketenteraan ‘al-Qaeda di Aceh’ di wilayah Aceh, selain membekalkan senjata api dan wang.
Al-Qaeda di Aceh yang pernah diketuai suspek militan paling dikehendaki di rantau ini, Dulmatin merancang untuk melancarkan serangan ala Mumbai.
“Defendan memberi bantuan untuk melancarkan keganasan dan tindakannya menimbulkan suasana takut yang meluas,” kata ketua hakim Mahkamah Daerah Jakarta Timur, Suhartoyo.
Abdullah boleh dijatuhi hukuman mati tetapi pendakwa raya hanya meminta dia dipenjara 15 tahun.
Sebagai perbandingan, seorang lelaki Australia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun awal minggu ini kerana menyeludup tidak sampai dua kilogram methamphetamine ke negara ini.
Abdullah ialah seorang militan terkenal sebelum ditangkap dalam kes terbaru.
Dia dibebaskan pada 2009 kerana berkelakuan baik selepas menjalani hanya sebahagian daripada hukuman penjara tujuh tahun kerana peranannya dalam serangan bom di Kedutaan Australia pada 2004 yang membunuh 10 orang.
Selepas dibebaskan dia menemui Dulmatin, anggota kanan Jemaah Islamiah (JI) yang terlibat mendalangi letupan bom di Bali yang membunuh 202 orang pada 2002.
Dulmatin dibunuh oleh polis pada Mac tahun lepas berikutan penemuan kem latihan al-Qaeda di Aceh. – AFP, utusan

Penuntut kolej swasta mengaku berkelakuan tidak sopan



TUMPAT 27 April - Seorang penuntut kolej swasta mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkelakuan tidak sopan bersama pasangan sejenisnya di atas hamparan cadar di tepi Pantai Pulau Tengkorak, di sini bulan lalu.
Tertuduh Meerza Shah Abdul Hakim, 19, hadir seorang diri ke mahkamah, mengaku melakukan perbuatan tersebut dengan pasangan lelakinya, Zuhaili Ahmad @ Ghazali, 26.
Pertuduhan terhadap Zuhaili tidak dapat dibacakan kerana tertuduh itu gagal hadir ke mahkamah dan Hakim Syarie Mazlan Abdullah mengeluarkan waran tangkap.
Sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 25 Mei ini, Mazlan membenarkan Meerza Shah akan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin ataupun ditahan di penjara sehingga tarikh jatuh hukuman jika gagal membayar jaminan.
Mengikut fakta kes, pasangan terbabit sedang asyik memadu kasih pada pukul 4.35 petang, 11 Februari lalu di kawasan tersorok di pantai tersebut tanpa menyedari perbuatan mereka diperhatikan oleh tiga penguat kuasa agama.
Mereka ditahan ketika sedang berbaring dalam keadaan bertentangan hukum syarak iaitu muka tertuduh berada di atas dada pasangan yang pada mulanya pegawai penguat kuasa menyangka dia seorang perempuan berdasarkan pakaian.
Selepas ditahan dan disoal siasat, penguat kuasa agama mendapati pasangan Meerza Shah yang menyerupai wanita itu sebenarnya lelaki berdasarkan kad pengenalan.
Tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 5 (1) Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan, No. 2, 1985 yang memperuntukkan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Meerza Shah merayu supaya hukuman denda dikurangkan kerana masih menuntut di sebuah kolej swasta tetapi Penolong Pendakwa Syarie negeri, Wan Salina Wan Hussin memohon hukuman yang dapat mencegah masyarakat daripada melakukan perbuatan sama.-utusan

10 keldai dadah ditahan



KUALA LUMPUR 27 April — Sepuluh rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand, semalam selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta).
Akhbar New Zealand Herald melaporkan, dadah jenis methamphetamine itu ditemui disorokkan dalam kasut suspek.
Laporan menyebut, kastam membuat tangkapan itu selepas menahan dua rakyat Malaysia daripada sekumpulan pelancong yang tiba di lapangan terbang tersebut pada tengah hari semalam.
Selepas diperiksa dan disoal siasat, pihak berkuasa mendapati mereka membawa methamphetamine atau ‘P’ dalam kasut masing-masing, sebelum bertindak mengesan kumpulan pelancong terbabit.
“Kesemua mereka didapati membawa antara 800 gram dan sekilogram P dalam kasut masing-masing. Nilai semasa P dianggar NZ$1 juta (RM2.4 juta) sekilogram,” kata akhbar itu.
Lapan lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan awal 20-an dan lewat 60-an itu dijadual dihadapkan ke Mahkamah Daerah Manukau hari ini.
Laporan itu memetik Pengurus Siasatan Dadah Kastam Mark Day sebagai berkata, tangkapan tersebut membabitkan bilangan ‘keldai dadah’ teramai dalam satu operasi di New Zealand.
“Dengan menyertai kumpulan pelancong yang dilihat sebagai sah, penjenayah ini cuba mengikuti corak perjalanan yang biasa dilakukan pelancong agar tidak dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, sehingga 31 Mac tahun ini seramai 833 daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah kerana kes dadah. — BERNAMA

Rayu bantuan orang ramai cari anak tidak pulang ke rumah



MD. Babul menunjukkan salinan laporan polis berhubung kehilangan anak tirinya, Tia Amalia (gambar kecil) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 April - Sebuah keluarga hari ini merayu orang ramai membantu mereka mencari seorang gadis berusia 18 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak hampir dua minggu lalu.
Bapa tirinya, Md. Babul, 30-an, yang merupakan warga Bangladesh berkata, Tia Amalia baru datang ke negara ini untuk menetap bersama ibunya, Siti Zuriana Abdul Hijah, 40, seorang warga Indonesia, pada 13 Mac lalu.
"Tia Amalia bagaimanapun keluar rumah pada 17 April dan hilang tanpa khabar berita. Tia Amalia tidak mempunyai kenalan lain malah dia sentiasa menghubungi keluarga jika tidak pulang ke rumah.
"Kami sekeluarga bimbang keselamatannya kerana dia tidak membawa pakaian, kecuali pasport yang selalu ada di dalam begnya," ujarnya ketika datang ke Pejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Jelas Babul, Tia Amalia sepatutnya pulang kembali ke negara asalnya akhir bulan ini dan sehubungan itu dia menolak kemungkinan gadis tersebut cuba melarikan diri.

Wanita pengsan, dadah pecah di perut


KUALA LUMPUR 27 April - Tandatanya seorang wanita yang tiba-tiba pengsan sejurus mendarat di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada 17 April lalu, membongkar rahsianya yang cuba menyeludup 26 gram dadah jenis heroin dengan cara menelan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, wanita warga tempatan berusia 56 tahun itu didapati tidak sedarkan diri selepas satu daripada tiga ketulan dadah yang ditelan pecah.
Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas dihantar menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan dadah berkenaan dikeluarkan suspek selepas membuang air besar pada 22 April lalu.
"Pemeriksaan mendapati satu daripada tiga ketulan dadah di dalam perutnya pecah ketika dalam penerbangan pulang ke Malaysia dari sebuah negara Asia lain," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dihantar menjalankan siasatan dan merampas dadah terbabit.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini telah masuk ke sebuah negara Asia lain selama beberapa hari," katanya.
Chez Kiang memberitahu, pihaknya kini menyiasat kemungkinan suspek dijadikan keldai dadah untuk membawa masuk dadah ke negara ini.
"Suspek yang telah dibenarkan keluar daripada hospital berkenaan kini ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan," katanya.-utusan

Kembar didakwa edar heroin


ALOR SETAR: Sepasang kembar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan mengedar lima peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat kira-kira 18.56 gram pada pertengahan bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Asmadi Majid dan Muhammad Asmawi yang berusia 23 tahun apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azah Idris.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Asmadi dan Muhammad Asmawi didakwa mengedar lima peket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat kira-kira 18.56 gram di sebuah rumah bernombor 81, Kampung Kuala Lanjut, Lesong, di sini, kira-kira jam 2.50 pagi pada 21 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, pasangan terbabit yang tidak bekerja seolah-olah tidak rasa bersalah apabila kelihatan tersenyum ketika berada di kandang tertuduh.

Gelagat dua beradik itu mendapat perhatian majistret sebaik melihat kedua-duanya tersenyum di kandang tertuduh.


“Kenapa kamu senyum? Ini mungkin kamu berdua pernah masuk mahkamah ini sebelum ini,” katanya.

Sebaik pasangan berkenaan memahami pertuduhan dan hukuman yang dibacakan, Nor Azah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Muhammad Asmadi dan Muhammad Asmawi pernah dihadapkan di mahkamah sama atas tuduhan mencuri sebuah motosikal.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan apabila kes ditarik balik selepas pengadu meninggal dunia.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor.

3 sahabat kena cekup


SEREMBAN: Tiga sahabat yang terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan asrama penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Nilai, dekat sini, sejak bulan lalu, dicekup di sekitar daerah ini, kelmarin.
Difahamkan, semua suspek berusia 20 hingga 23 tahun itu menggunakan taktik memecah masuk menerusi pintu belakang premis selepas semua penghuni keluar menghadiri kuliah pada waktu pagi. Kegiatan ketiga-tiga suspek yang juga penganggur itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila ditahan polis secara berasingan di sekitar Mantin, di sini, kira-kira, jam 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, penahanan dilakukan hasil laporan tiga kes pecah rumah di sekitar Nilai.

“Kes berkenaan semuanya membabitkan kediaman dan asrama penuntut IPT iaitu masing-masing dua pada 2 Mac dan 14 Mac manakala satu kes pada 2 April lalu.

“Semua kes itu didapati menggunakan modus operandi sama iaitu hanya mencuri komputer riba,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dan risikan pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang disyaki terbabit dalam semua kes berkenaan.


“Pemeriksaan lanjut polis kemudian turut merampas empat komputer riba dan semua suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan. “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mengelak kejadian sama berulang, beliau menasihatkan penuntut IPT supaya sentiasa membawa komputer riba ketika menghadiri kuliah dan tidak meninggalkannya di dalam rumah atau asrama.

Penarik kereta parah ditetak angkara dendam


TEMERLOH: Akibat dendam lama, seorang penarik kereta kini bertarung nyawa apabila ditetak dan dibelasah dua lelaki bersenjatakan parang serta besi, dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Bahagia, dekat sini, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia lingkungan 40-an diserang dua lelaki yang tidak dikenali ketika menunggu anak majikannya yang juga seorang wakil rakyat di Temerloh.

Sebelum kejadian, mangsa berada dalam restoran berkenaan sementara menunggu anak majikannya pulang dari sekolah dan dipercayai tidak menyedari kehadiran dua lelaki terbabit yang menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata dua lelaki terbabit kemudian menghampiri mangsa sebelum seorang daripadanya terus melibas sebatang besi ke badan mangsa.

Menurutnya, seorang lagi suspek dikatakan menyerang mangsa menggunakan sebilah parang di bahagian kepalanya.

Katanya, mangsa yang bermandikan darah di kepala tidak mampu berbuat apa-apa kerana dibelasah bertubi-tubi oleh dua lelaki terbabit sebelum pengsan di tempat kejadian.


“Melihat mangsa yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sambil berlumuran darah, dua lelaki terbabit terus melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum mangsa dibantu orang awam yang berada dalam restoran berkenaan.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh untuk menerima rawatan awal sebelum dipindahkan pula ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, siasatan turut mendapati, orang ramai yang berada di tempat kejadian tidak berani untuk tampil membantu mangsa kerana bimbang dicederakan dua lelaki berkenaan yang bertindak ala mafia ketika membelasah mangsa.

Katanya, bagaimanapun, polis percaya kejadian berkenaan berkemungkinan mempunyai motif dendam lama, namun siasatan lanjut berhubung masih diteruskan.

Md Nor berkata, hingga kini, mangsa belum sedarkan diri dan polis akan mengambil keterangan berhubung kejadian itu sebaik saja mangsa sudah pulih.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Temerloh untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.-mymetro

Pelanggan bertempiaran kereta rempuh restoran


KOTA BHARU: “Saya terkejut sebaik mendengar bunyi geseran tayar dan tergamam melihat sebuah kereta meluncur ke arah meja makan pelanggan di luar kedai,” kata Mohd Hanif Ibrahim, 25, saksi kejadian sebuah kereta merempuh kedai makan di Jalan Dusun Muda, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pelanggan sebuah restoran di hadapan Wisma Persekutuan, dekat sini, bertempiaran lari apabila sebuah kereta terbabas sebelum merempuh meja di luar restoran itu.

Kejadian itu hampir meragut nyawa seorang pekerja restoran berkenaan yang mengemas meja, namun dia bernasib baik kerana sempat melompat dan terselamat.

Mohd Hanif berkata, dia melihat kereta terbabit terbabas dan hampir melanggar pembahagi jalan sebelum pemandunya yang gagal mengawal kenderaan mengubah laluan lalu merempuh barisan meja makan di luar kedai.

“Saya dengar bunyi geseran tayar dan terus berpaling untuk melihat, tetapi dengan sekelip mata kereta itu sudah tersadai di tepi restoran,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Pemilik restoran, Sapuroh Mustafa, 38, berkata, dia yang tidur di bangunan atas restoran itu tersentak sejurus mendengar dentuman kuat dan bangun untuk mengetahui kejadian sebenar.


“Saya ke bawah dan terkejut apabila melihat keadaan sebuah kereta yang remuk dan tersadai di bahagian tepi restoran, selain meja dan bangku berselerak.

“Dalam keadaan mengantuk saya melihat restoran bersepah. Saya mendengar orang ramai yang berada di situ mengatakan kereta terbabit terbabas sebelum merempuh restoran saya,” katanya ditemui di tempat kejadian semalam.
Sementara itu, seorang lagi saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, pemandu kereta terbabit yang tidak cedera menghilangkan diri sebaik kejadian.

Bagaimanapun, selepas hampir sejam kejadian, rakan pemandu terbabit yang enggan dikenali muncul dan memaklumkan kepada anggota polis yang berkawal di tempat kejadian bahawa rakannya berada di balai untuk membuat laporan.

Menurut pelanggan restoran, Mohd Razman Abd Rahim, 24, motosikalnya yang diletakkan di tepi restoran turut menjadi ‘mangsa’ rempuhan itu.

Berikutan itu, pemilik restoran dan pelanggan serta pemandu kereta terbabit membuat laporan serentak di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini, kelmarin.-mymetro

Cikgu denda ala along


JOHOR BAHRU: Seorang guru Matematik sebuah sekolah menengah di bandar raya ini, didakwa mengambil tindakan ala along terhadap pelajarnya yang gagal menyiapkan tugasan apabila bukan saja mengutip wang denda RM1, malah mengenakan kadar bunga harian dua kali ganda jika mereka lewat membuat bayaran.
Seorang ibu pelajar dikenali sebagai Sofiah, berusia 40-an berkata, dia dan suami terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab guru wanita terbabit selepas perbuatan itu didedahkan anak perempuan mereka yang belajar dalam tingkatan dua sekolah itu.

“Guru berusia lingkungan 30-an itu mengenakan denda berbentuk bayaran wang terhadap pelajar yang gagal memberikan jawapan betul bagi soalan dikemukakan mahupun tidak menyiapkan kerja sekolah.

“Tindakan itu menimbulkan masalah kepada pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah hingga ada yang terpaksa meminjam daripada rakan semata-mata untuk melunaskan denda itu,” katanya, semalam.

Menurutnya, rakan anaknya turut didenda RM1 baru-baru ini, dan guru terbabit turut mengenakan denda tambahan berjumlah RM2 jika pelajar gagal membuat bayaran pada hari sama.

Sofiah berkata, sebarang tindakan atau hukuman dilaksanakan guru selain pengurusan sekolah perlu mengikut kaedah dan garis panduan ditetapkan Kementerian Pelajaran.


“Jabatan Pelajaran Johor mahupun pengurusan sekolah perlu menyiasat perkara itu bagi mengelakkan ia berterusan.

“Niat saya bukan untuk menjatuhkan imej guru berkenaan, namun guru itu perlu lebih dedikasi memandangkan tindakannya itu tidak mungkin mampu mendisiplinkan pelajar atau mendidik mereka,” katanya. Pengetua sekolah berkenaan yang dihubungi enggan mengulas berkaitan isu itu, sebaliknya memaklumkan mahu menyiasatnya terlebih dulu.
“Kami akan menyiasat perkara sebenar kerana hingga kini, saya tidak pernah menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan.

“Sekiranya ia benar berlaku, kami akan menasihatkan guru berkenaan menghentikan perbuatannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani berkata, pihaknya tidak menerima aduan berkaitan perkara itu.

Namun, menurutnya, sekiranya ia memang berlaku, perbuatan itu menyalahi peraturan dan guru berkenaan boleh dikenakan tindakan.

“Selagi belum menyiasat perkara berkenaan, kita tidak tahu sama ada aduan itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

“Namun, kami akan berusaha mendapatkan maklumat dan menjalankan siasatan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.-mymetro

Tempias cucu edar dadah




JOHOR BAHRU: Gara-gara cucunya yang didakwa terbabit kegiatan mengedar dadah, seorang datuk berusia 88 tahun turut menerima tempias apabila ditahan selepas serbuan di kediaman mereka di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini, menemui 408 gram heroin, minggu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) itu, bukan setakat datuk, malah adik perempuan suspek berusia 16 tahun dan masih bersekolah turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dadah dirampas itu bernilai kira-kira RM16,000 dipercayai untuk edaran sekitar bandar raya ini.

“Kami turut menjalankan ujian air kencing terhadap suspek berusia 26 tahun dan mendapati dia berada di bawah pengaruh dadah.

“Siasatan mendapati, suspek mengedar dadah secara kecil-kecilan sekitar bandar raya ini sejak setahun lalu,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek, adik perempuan serta datuk mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


Beliau berkata, pihaknya terpaksa menahan warga emas itu bagi membantu siasatan mengikut undang-undang tanpa mengira usia, pangkat atau jantina.

“Ketiga-tiga kini direman hingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama,” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada jam 9 malam hari sama, tiga lelaki ditahan di sebuah rumah di tanah rancangan sama.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemui empat peket mengandungi heroin seberat 185 gram bernilai RM8,000.

“Ujian air kencing dijalankan terhadap suspek berusia 26 hingga 39 tahun itu mendapati mereka positif dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

“Polis turut menyita tiga motosikal dan wang tunai RM52,000 dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta ) 1988.

“Seorang suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditahan kerana kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, serbuan dijalankan hasil maklumat diterima berkaitan kewujudan beberapa lokasi panas di tanah rancangan itu yang menjadi sarang penagihan dadah.