Search This Blog

Wednesday, April 27, 2011

Guru tumbuk guru besar didenda RM2,000



ALOR SETAR — Seorang guru dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas didapati bersalah mencederakan guru besar sekolah tempat beliau mengajar lebih empat tahun lalu. 

'Tok guru Tarzan' ditahan beri ceramah pakai seluar pendek




KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin ajaran sesat mungkin layak digelar 'Tok guru Tarzan' kerana hanya memakai seluar pendek dan kemeja-T koyak rabak ketika menyampaikan ceramah kepada pengikutnya sebelum dia ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Lelaki berusia 50-an tahun itu ditahan pada kira-kira 1 pagi di sebuah rumah milik sepasang suami isteri yang juga pengikut tegarnya di Puchong, dekat sini, minggu lalu.Siasatan awal Jais mendapati bahawa lelaki itu aktif menyebarkan ajaran sesat yang dipeloporinya di negeri asalnya di pantai timur.Difahamkan ajaraannya berkaitan kegemarannya masuk ke hutan dan 'berkawan' dengan hidupan liar seperti harimau dan gajah.Penolong Pengarah Jais, Encik Shahrom Maarof, berkata 'Tok guru Tarzan' itu mula menyebarkan ajarannya tiga tahun lalu dan memiliki puluhan pengikut di kampungnya dan kini dipercayai cuba mengembangkan ajaran itu di Lembah Klang.'Dia memakai seluar pendek dan baju koyak rabak ketika ditahan dan penampilannya itu selari dengan tuntutan ajaran karutnya yang diperoleh dari kawasan hutan tempat asalnya,' kata beliau.Menurut Encik Shahrom, ketika ditahan, tok guru itu memberi ceramah kepada pemilik rumah itu, yang juga bekas anggota keselamatan, dan isterinya, kedua-duanya berusia 50-an tahun.Beliau berkata, berdasarkan maklumat, 'Tok guru Tarzan' itu datang ke rumah itu untuk memberikan ceramah terakhir sebelum membawa pasangan tersebut ke 'alam baru' dalam hutan di kampungnya.'Selain itu, dia dijemput pasangan tersebut untuk meyakinkan atau mempengaruhi anak mereka yang enggan menyertai ajaran sesat itu,' tambah Encik Shahrom.Beliau mendedahkan bahawa antara perkara yang terkandung dalam ajaran tok guru itu ialah umat Islam tidak perlu mendirikan solat, sebaliknya hanya perlu mengenal diri sebelum dapat mengenal Allah dengan hati yang bersih.'Dia mendakwa kononnya Islam tidak mementingkan pakaian zahir tapi cukup memiliki hati yang baik. Mungkin sebab itu dia gemar berseluar pendek dan memakai baju koyak rabak.'Lelaki itu membahasakan dirinya sebagai 'ayahanda' dan isterinya yang berperanan sebagai orang kanannya dipanggil 'bonda' oleh pengikutnya,' kata beliau.Ketika disoal siasat, 'Tok guru Tarzan' itu mengaku ilmunya bukan bersandarkan Al-Quran dan hadis tetapi lebih kepada ilham yang diperoleh ketika menuntut di hutan. -- Harian Metro., cyberita

Kes buang bayi: Amah dihadap ke mahkamah

SINGAPURA
Oleh
Nurul Dayana Simangoon

SEORANG wanita yang dipercayai menanam bayinya hidup-hidup di sebuah taman di Eunos Crescent pada Isnin lalu telah dihadapkan ke mahkamah semalam.
Indriani, pembantu rumah warga Indonesia berusia 27 tahun, didakwa atas kesalahan memasuki Singapura secara haram setelah diberkas polis, Ahad lalu.Ini setelah wanita itu, dipercayai seorang pembantu rumah, diberkas pada malam Ahad lalu berdekatan stesen MRT Eunos.Malah, ketika diberkas, permit kerja wanita itu juga difahamkan telah tamat tempohnya.Namun, polis masih menyiasat pelibatan Indriani dalam kes meninggalkan bayi tersebut, yang dipercayai anak lelakinya.Menurut kertas dakwaan, tertuduh dipercayai memasuki Singapura tanpa pas sah pada atau sebelum Februari tahun lalu.Semalam, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh akan ditahan di Divisyen Polis Bedok hingga 4 Mei ini kerana dipercayai terlibat dalam kes-kes jenayah lain.Jika didapati bersalah memasuki Singapura secara haram, Indriani boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan disebat tidak kurang tiga kali atau didenda tidak lebih $6,000.Dalam kejadian Isnin lalu, bayi itu, dipercayai ditinggalkan hanya beberapa jam setelah dilahirkan, ditanam hidup-hidup dalam lubang sedalam lima sentimeter.Ia ditemui di taman atas bumbung di tingkat enam sebuah tempat letak kereta bertingkat, dengan lehernya diikat dengan beg plastik sampah yang dililit seperti tali.Seorang pesara, Encik Tay Sim Kia, 60 tahun, menemui bayi itu setelah ternampak kaki kecilnya terkeluar dari tanah.Bayi tersebut kemudian dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) sejurus selepas itu dan dikatakan berada dalam keadaan stabil.Bayi itu kini berada di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).Minggu lalu, polis menyifatkan kes itu sebagai 'pembunuhan bayi sebaik sahaja dilahirkan'.Sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan itu boleh dijatuhi hukuman penjara se hingga 10 tahun, didenda atau kededuanya sekali.-cyberita

Tujuh terkorban bas terbalik


RAMADI, Iraq 27 April - Tujuh warga Pakistan terbunuh manakala 19 lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas dan kemudiannya terbalik.

Menurut pengarah Hospital Ramadi, Iyad Arak, seramai tujuh penumpang terkorban apabila bas berkenaan hilang kawalan lalu terbalik ketika dalam perjalanan dari Amman ke Baghdad, kira-kira 260 kilometer barat Baghdad.
Sementara itu, seramai 19 penumpang turut cedera dalam kejadian itu dan semua mangsa terdiri daripada pekerja asing. - AFP

Along tidak pulang rumah sejak 16 hari lalu





HULU TERENGGANU 26 April - Keluarga seorang gadis berumur 18 tahun yang menghilangkan diri dari rumah sejak 16 hari lalu amat mengharapkan kepulangannya kerana bimbang tentang keselamatannya.
Kehilangan Nur Ain Nasuha Mohd. Zabri (gambar) sejak 11 April lalu, menyebabkan ibunya, Nor Ismidar Idris, 35, tidak lena tidur.
Menurut Nor Ismidar, anak sulungnya dari lima beradik itu yang dipanggil 'Along' keluar dari rumah sehelai sepinggang dengan memakai tudung hitam, baju T berwarna ungu dan seluar jeans hitam.
Dia juga turut membawa semua sijilnya.
"Along kata nak keluar ke bandar pada pagi tu. Ayahnya hantar dia ke pondok menunggu bas pada pukul 8.30 pagi dan membekalkan dia RM50.
"Tetapi sampai pukul 11 malam, dia tak balik dan selepas puas mencari, kami buat laporan polis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Mas di sini.
Katanya, selepas dua hari kehilangannya, anak gadisnya itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan supaya dia tidak dicari.
Mesej itu, katanya, antara lain berbunyi "mak dan ayah jaga diri baik-baik, jangan cari along, along selamat. Along akan balik setelah along berjaya nanti."
Bagaimanapun Nur Ain Nasuha tidak memaklumkan lokasi dia sedang berada.
Nur Ismidar berkata, beliau dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu van, risau kerana ayat dalam mesej yang dihantar anaknya itu lebih tersusun dan tidak seperti kebiasaannya.
"Kami sangat risaukan dia. Merata tempat kami dah cari. Saya harap dia dapat hubungi saya untuk beritahu dia selamat. Kalau tak nak telefon, sekurang-kurangnya Along hantarlah mesej beritahu dia tak apa-apa," katanya.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat tentang gadis itu diharap dapat menghubungi beliau di talian 013-9890716. - BERNAMA

Seorang maut, empat parah kereta terhumban ke gaung



Anggota polis memeriksa kereta Proton Waja dinaiki R. Selvakumaran yang maut dalam kemalangan di KM 187.5 Lebuh Raya Utara Selatan, Ayer Keroh menuju Jasin, Melaka, semalam.


JASIN 26 April – Seorang terbunuh manakala empat lagi parah selepas kereta yang dinaiki terhumban ke bawah gaung sedalam 20 meter di Kilometer 187.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi ini.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta Proton Waja itu, R. Selvakumaran, 21, manakala empat penumpang yang cedera parah ialah K. Saravanan, 34; M. Jeremiah, 20; K. Kogilavanan, 20, dan P. Mariamah, 27.
Menurut jurucakap polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi ketika kereta dinaiki lima mangsa itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.
Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang lebuh raya dan terhumban ke dalam sebuah gaung di kawasan tersebut.
“Kereta itu remuk teruk sehingga menyebabkan pemandunya mati di tempat kejadian manakala empat lagi rakannya cedera parah,” kata jurucakap itu lagi.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan empat rakannya turut dirawat di hospital yang sama.

Remaja mangsa 'kenduri seks'



KUALA LUMPUR 26 April - Perkenalan seorang remaja dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook menjadi mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa 'kenduri seks' sembilan lelaki di sebuah rumah teres di Mahkota Cheras, dekat sini Sabtu lalu.
Sebelum kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dikatakan keluar menaiki teksi dari rumahnya di Kondominium Rakyat, Pantai Dalam, kira-kira pukul 7 pagi untuk menemui rakan lelaki yang baru dikenali menerusi laman sosial tersebut.
Bagaimanapun, sebaik sahaja bertemu di lokasi dijanjikan, suspek membawa seorang rakannya menaiki sebuah kereta Proton Saga ke rumah mereka.
Sebaik sahaja sampai, terdapat tiga lagi lelaki yang merupakan rakan suspek. Salah seorang suspek telah mendekati mangsa untuk mengadakan seks namun remaja itu yang enggan menurut kemahuannya telah dipukul lalu dirogol.
Suspek dikatakan memanggil empat lagi rakan lelakinya datang ke rumah tersebut sebelum menjadikan mangsa sebagai 'kenduri seks' beramai-ramai.
Kejadian malang itu berakhir kira-kira pukul 9 malam selepas mangsa berjaya melarikan diri ketika dibawa salah seorang suspek ke restoran makanan tom yam.
Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian sebelum dibawa ke hospital berdekatan bagi pemeriksaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Kesemua suspek terbabit dipercayai berusia 20-an," katanya.

Perang Thai-Kemboja merebak 150km ke timur sempadan



PHANOM DONG RAK, Thailand 26 April - Tentera Thai dan Kemboja hari ini bertempur berdekatan kuil purba Preah Vihear, kira-kira 150 kilometer dari kawasan mereka mula bertempur sejak empat hari lalu, meningkatkan kebimbangan konflik itu akan merebak ke kawasan lain di sempadan kedua-dua negara.
Jurucakap tentera Thai, Sansern Kaewkamnerd berkata, kedua-dua pihak bertempur menggunakan roket pelancar jarak dekat dan senjata api selama 30 minit berdekatan kuil Hindu kurun ke-11 yang terletak di kawasan hutan dituntut kedua-dua negara itu.
''Kami cuba membendungnya ke kawasan kecil sahaja,'' katanya sambil menyifatkannya sebagai satu 'salah faham'.
Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan berkata, jet pejuang Thai melancarkan serangan ke atas kawasan jajahan Kemboja berdekatan kuil tersebut.
Kedua-dua negara jiran itu bertempur di satu lagi kawasan sempadan berdekatan kuil kurun ke-12, Ta Moan dan Ta Krabey mengakibatkan kematian 13 orang sejak Jumaat lalu dan lebih 50,000 dipindahkan.
Thailand menggesa satu penyelesaian dua hala dalam konflik itu tetapi Kemboja hari ini menolak sebarang rundingan sehingga Persidangan ASEAN bermula 7 Mei ini di Jakarta.
Menteri Penerangan Kemboja, Khieu Kanharith berkata, pihaknya akan menunggu sehingga persidangan itu untuk mengadakan perbincangan.
''Pertemuan itu boleh dilakukan secara dua hala dan jika rundingan berhubung sempadan tidak mencapai kejayaan, pihak ketiga akan diperlukan,'' ujarnya.
Walaupun pada permukaan konflik, ia kelihatan perebutan mengenai kedaulatan dan kawasan namun banyak pakar percayai pertempuran itu didalangi kepentingan politik kedua-dua pihak. - Reuters

12 pelampau Indonesia dibicarakan



SERANG, Indonesia 26 April – Seramai 12 orang dibicarakan berhubung insiden rusuhan dahsyat yang mengorbankan tiga penduduk minoriti Ahmadiyah di Serang, Jawa Barat hari ini.
Lebih 1,000 tentera dan polis yang menggunakan meriam air dan kenderaan perisai pula berkawal di sekitar mahkamah itu ekoran kebimbangan tercetus keganasan daripada penyokong radikal defenden.
Kira-kira 2,000 orang mengadakan solat beramai-ramai sambil membacakan ayat Al-Quran bagi menunjukkan sokongan kepada tertuduh yang berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun dan bunuh jika disabit bersalah.
Pendakwaan itu menuduh defendan melakukan jenayah termasuk, ‘mencetuskan keganasan’ tetapi tidak kesalahan membunuh walaupun rakaman video pembunuhan itu tersebar meluas di Internet.
Insiden pembunuhan ketiga-tiga penganut Ahmadiyah itu berlaku di wilayah Baten, Jawa Barat pada Februari lalu, satu daripada serangan paling mengerikan di Indonesia sejak beberapa tahun lalu.
Rakaman video yang disiarkan di Internet menunjukkan sekumpulan lebih 1,000 orang bertindak mengusir polis dan menyerang kediaman pemimpin Ahmadiyah.
Selepas saling membaling batu, perusuh berjaya mematahkan pertahanan kumpulan minoriti itu dan seorang lelaki dirakamkan terkena batu dan mati selepas jatuh tersungkur ke tanah ekoran dipukul dengan kayu. – afp

4 maut, 56 cedera serangan bom di Karachi



KARACHI 26 April - Empat orang terbunuh dan 56 lagi cedera apabila dua butir bom meletup dekat bas-bas yang membawa pegawai tentera laut di bandar raya di selatan Pakistan ini hari ini, serangan pertama di sini ke atas tentera dalam tempoh tujuh tahun.
Polis berkata, bom dalam serangan di dua kawasan berlainan di Karachi itu diletupkan secara serentak dengan menggunakan alat kawalan jauh.
Seorang pegawai rendah tentera laut dan seorang doktor awam wanita antara mereka yang terbunuh dalam letupan itu, kata jurucakap Tentera Laut Pakistan, Komander Salman Ali.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut tetapi penganalisis berkata, keganasan itu mungkin sebahagian kempen militan yang lebih luas untuk menyerang pasukan keselamatan di seluruh negara ini.
"Serangan itu dipercayai sebahagian kempen militan yang sama tetapi saya tidak nampak lojik menyerang tentera laut kerana mereka tidak terlibat dalam operasi menggempur militan, berlainan dengan tentera darat dan udara," kata seorang penganalisis keselamatan yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, Tasneem Noorani.
Beliau percaya tentera laut kini menjadi sasaran oleh militan yang terdesak kerana tentera darat dan udara sudah mengambil langkah keselamatan lebih ketat dan bertambah sukar untuk diserang.
Serangan ke atas tentera laut di sini adalah yang pertama sejak 2004 apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang hendap konvoi yang mengiringi komander kor tentera darat Karachi, yang nyaris maut dalam serangan itu.
Karachi ialah bandar raya terbesar dan hab komersial di Pakistan, menempatkan bank pusat negara ini, bursa saham utama dan dua pelabuhan utama. - Reuters

Guru hilang berjoging di Bukit Larut ditemui mati



NOORAZIEAH Zulkifli gagal mengawal emosi setelah mayat suaminya ditemui sehingga terpaksa ditenangkan saudara-mara dan anggota penyelamat di Bukit Larut, Taiping, semalam.


TAIPING 26 April - Seorang guru yang dilaporkan hilang semasa keluar berjoging seorang diri di Bukit Larut di sini, kelmarin, ditemui mati di sebuah gaung sedalam kira-kira 10 meter di kawasan bukit itu hari ini.
Mayat Abdullah Zubair Ismail, 27, dijumpai dengan kesan kecederaan di kepala oleh pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira lima kilometer dari kaki bukit itu, pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Diah berkata, siasatan awal polis percaya guru Sekolah Menengah King Edward VII di sini itu tergelincir semasa mendaki laluan curam dan licin di dalam hutan Bukit Larut.
"Sebaik sahaja ditemui oleh anggota penyelamat, mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Taiping untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Taiping, di sini hari ini.
Abdullah dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar berjoging di Bukit Larut pada pukul 10 pagi, kelmarin.
Isterinya, Noorazieah Zulkifli, 26, yang juga seorang guru memberitahu, kali terakhir dia bertemu Abdullah semasa suaminya menghantarnya pulang ke Tanjung Karang, Selangor, pada 18 April lalu.
Guru pelatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burung, Tanjung Karang itu, berkata, Abdullah ada menyatakan hasrat untuk berjoging di Bukit Larut semasa menghubunginya pada malam Sabtu lalu.
"Saya tidak menggalakkan dia berjoging di Bukit Larut sebab tahu dia agak kepenatan. Semasa kali terakhir berhubung dengan dia pada pukul 8.30 pagi kelmarin, suami saya cakap mahu keluar sarapan.
"Saya tidak sangka dia tetap ke Bukit Larut sehingga diberitahu tentang kehilangannya pada pagi semalam," ujarnya.-utusan

69,000 liter diesel subsidi dirampas



KUALA LANGAT 26 April - Kegiatan penyelewengan diesel subsidi kian menjadi-jadi apabila sejumlah 69,000 liter bahan api itu ditemui di sebuah premis yang tersorok di Kilometer 16, Kampung Kebun Baru, Telok Panglima Garang, di sini hari ini.
Kejayaan itu hasil serbuan anggota dan pegawai Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri yang diadakan pada pukul 11.30 pagi ini.
Kesemua bahan api bernilai RM128,000 itu sepatutnya dijual di stesen-stesen minyak berasaskan harga yang telah disubsidikan oleh kerajaan.
Syarikat pemborong tersebut yang hanya memiliki lesen untuk mendapatkan bekalan diesel industri bagaimanapun menyalurkan diesel subsidi itu kepada pembeli industri.
Malah, syarikat itu dikatakan beroperasi di premis yang terlindung daripada pandangan umum di sebuah kampung, selain kawasan itu dikawal oleh lebih daripada tiga kamera litar tertutup (CCTV).
Syarikat itu juga dikatakan beroperasi di Pandamaran sejak tahun 1965 sebelum berpindah ke lokasi di kampung itu lima tahun lalu.
Ketika serbuan, selain empat tangki yang memuatkan bahan api itu, terdapat beberapa tangki kecil berisi minyak tanah dan dua lori tangki yang tidak mempunyai muatan di dalam kawasan premis tersebut.
Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, siasatan awal mendapati pemilik premis berusia lingkungan 40-an itu membeli bekalan diesel tersebut daripada pemborong lain di Pandamaran.
"Siasatan awal juga mendapati, diesel subsidi ini dipasarkan di sekitar kawasan industri di Telok Panglima Garang berhampiran premis tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan itu hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum adalah sebanyak RM250,000.
Ahad lalu, kementerian yang sama berjaya merampas sejumlah 43,000 liter diesel subsidi milik Persatuan Nelayan Teluk Intan, Perak yang diseleweng selepas menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong, dekat sini.

Mangsa asid terus jalani pembedahan susulan di hospital



Wan Komsah Wan Ahmad mengelap tubuh suaminya Mohd. Riza Jaafar yang terbakar selepas menjadi mangsa kebocoran asid di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payong, kelmarin.


MARANG 26 April - Seorang kakitangan sebuah syarikat penyelenggaraan yang cedera terkena simbahan asid ketika menjalankan kerja di sebuah kilang di sini akan menjalani pembedahan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, 17 Mac lalu, Mohd. Riza Jaafar, 35, melecur hampir 35 peratus bahagian tubuhnya menyebabkan masa depannya kini tidak menentu.
Menurutnya, selepas lebih sebulan berada di hospital akibat insiden tersebut, dia akan menjalani satu pembedahan susulan.
Menceritakan kejadian itu Mohd. Riza memberitahu, ia berlaku ketika dia dan dua lagi rakannya baru hendak memulakan kerja-kerja menguji ketahanan paip memproses produk daripada bahan kimia.
Bagaimanapun katanya, paip yang mengandungi asid itu secara tiba-tiba pecah dan bocor menyebabkan cecair itu mengenai mereka.
"Dua rakan saya hanya cedera ringan manakala saya pula terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman sebelum dirujuk ke HSNZ akibat melecur," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payung semalam.
Jelas Mohd. Riza, berikutan insiden itu, dia menjalani beberapa fasa pembedahan dan terpaksa menahan sakit setiap kali lukanya dicuci.
"Sebaik sahaja terkena asid semua pakaian saya 'cair' kecuali topi keselamatan, cermin mata dan kasut menyebabkan saya terpaksa berbogel," katanya yang terus mencari paip air untuk mandi akibat terlalu panas dan kesakitan.
Menurutnya, dia akan menimbang untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang berkenaan selepas keadaan kesihatannya mengizinkan.
"Saya bimbang dengan masa depan keluarga kerana tidak tahu sama ada boleh kembali bekerja atau tidak selepas ini," katanya.
Tambah Mohd. Riza, wakil kilang ada melawatnya selepas kejadian tersebut tetapi tidak menjanjikan apa-apa pampasan.

Dipenjara sehari, denda RM17,500





Lee Bok Piu diiringi seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 26 April - Seorang nelayan dihukum penjara sehari dan denda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah memberi rasuah RM3,500 kepada seorang pegawai polis tahun lalu.
Hakim Madihah Hairullah turut memerintahkan Lee Bok Piu, 58, dipenjara 20 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Warga emas itu didakwa memberi rasuah itu kepada Lans Korporal Toda Priengok sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dirinya yang disyaki mencuri diesel di Jeti Nelayan Pontian Kecil, Jalan Al-Sagof, Pontian antara pukul 2 dan 3 pagi, 13 April 2010.
Bok Piu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Bok Piu merayu supaya hukuman ke atas dirinya dikurangkan kerana dia mengalami masalah migrain yang serius dan pada masa sama terpaksa menanggung ibunya yang berusia 80 tahun.
"Saya tak kerja lagi, mahu jaga emak...emak sakit, mahu kurangkan sikit hukuman," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Faizal Sadri manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Suami sesat mati tersembam


SESAK...pelajar Sekolah Menengah King Edward VII menunggu jenazah guru mereka di pekarangan rumah mayat Hospital Taiping. Gambar kecil, Norziah.
SESAK...pelajar Sekolah Menengah King Edward VII menunggu jenazah guru mereka di pekarangan rumah mayat Hospital Taiping. Gambar kecil, Norziah.

TAIPING: “Hati saya remuk sejurus mengetahui suami tersesat, akhirnya ditemui tidak bernyawa dan lebih menyedihkan dia tidak sempat menimang cahaya mata pertama yang diidamkannya,” kata Norziah Zulkifli, 26, yang sedang mengandung empat bulan, selepas jenazah suaminya, Abdullah Zubair Ismail, 27, dilaporkan tersesat di Bukit Larut, Ahad lalu, ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan muka tersembam dalam lopak air, pagi semalam.
Mangsa, guru sejarah di Sekolah Menengah King Edward VII dikatakan melakukan riadah dengan mendaki bukit berkenaan bersendirian kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu, sebelum kehilangannya disedari rakan serumah pada petang hari sama.

Norziah yang ditemui di bilik jenazah Hospital Taiping berkata, suaminya ada menghubunginya malam Sabtu lalu bagi menyatakan hasratnya mendaki bukit berkenaan.
“Bagaimanapun saya tidak setuju dan menasihatinya membatalkan rancangan itu, namun dia tetap mahu meneruskan keinginan itu.

“Dia sempat menghubungi saya pada jam 8.30 pagi hari Ahad lalu ketika keluar bersarapan pagi. Itulah panggilan terakhir sebelum dia gagal dihubungi,” katanya.

Norziah yang kini menjalani latihan praktikal perguruan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor, berkata kali terakhir dia bertemu suaminya ialah Isnin minggu lalu, di Taiping.
“Masih teringat kata-katanya yang tidak sabar bergelar bapa dan mendukung cahaya mata pertama kami. Malang hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya yang melangsungkan perkahwinan November tahun lalu.

Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula kelmarin, bertukar duka apabila pasukan menyelamat menemui jenazah mangsa terbaring kira-kira 2.8 kilometer dari kaki bukit berkenaan.
Ketika ditemui, jenazah mangsa yang tertiarap dalam lopak berair manakala kasut kanannya tercabut, selain kesan darah di kepala dan kening kiri.

Mangsa dipercayai terjatuh dari lereng bukit setinggi lebih tiga meter tidak jauh dari kawasan air terjun di hutan simpan bukit peranginan berkenaan. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah yang ditemui di lokasi kejadian berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula jam 10 pagi kelmarin disertai anggota polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela, Jabatan Hutan dan Kelab Team Penyelamat Taiping (Taiping Off Road Club).-mymetro

Maut kereta terbabas terjunam dalam gaung


JASIN: Perjalanan lima sahabat dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka terbunuh selepas Proton Waja dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di tepi Kilometer 187.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.44 pagi itu dipercayai berlaku disebabkan kereta terbabit dipandu laju dan gagal dikawal hingga terbabas kira-kira 50 meter dari lebuh raya berkenaan sebelum merempuh penghadang besi di sebelah kiri lalu ‘terbang’ dan terjunam ke dalam gaung kira-kira 20 meter.

Difahamkan, akibat kemalangan itu kereta mangsa remuk teruk menyebabkan semua mangsa tersepit di dalam kenderaan itu selama beberapa minit sebelum anggota bomba dan penyelamat, ambulans, polis trafik dan petugas lebuh raya tiba memberi bantuan.

Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Jasin, Cif Inspektor Mohd Zaim Sulaiman, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kereta terbabit dipandu laju hingga gagal dikawal dan terbabas sebelum merempuh penghadang besi dan ‘terbang’ ke dalam gaung itu berdasarkan kesan di tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai R Selvakumaran, 21, dari Simpang Empat, Hutan Melintang, Perak yang parah di kepala dan badan, manakala empat rakannya termasuk seorang wanita iaitu M Jeremiah, 20, P Mariamah, 27, K Kogilavanan, 20, dan K Saravanan, 34, masing-masing parah di kepala dan badan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin manakala semua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Melaka.


“Setakat ini, kami masih menyiasat punca kemalangan itu kerana belum ada saksi tampil memberi maklumat berkaitan,” katanya ketika ditemui di tempat kemalangan.

3 sepupu terjerat


AMPANG: Tiga sepupu yang aktif melakukan jenayah di sekitar daerah ini diberkas polis selepas intipan dilakukan selama beberapa hari di rumah mereka.
Kumpulan bersaudara terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu dipercayai sudah melakukan lebih 30 kegiatan pecah rumah, curi motosikal dan ragut.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, serbuan kira-kira jam 1.45 pagi Ahad lalu di rumah mereka di Pandan Indah, di sini.

“Selepas intipan pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mendapati semua suspek berada dalam rumah itu sebelum serbuan dilakukan.

“Ketika serbuan, semua suspek berusia antara 33 hingga 36 tahun itu cuba meloloskan diri namun berjaya diberkas,” katanya ketika sidang media di IPD Ampang Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, hasil serbuan itu turut menemui beberapa peralatan pecah rumah dan curi motosikal antaranya serangkai kunci utama dipercayai digunakan untuk pecah masuk rumah.


“Malah, ada juga beberapa kunci utama motosikal yang disyaki digunakan untuk mencuri motosikal. Turut dirampas ialah wang tunai RM452, enam telefon bimbit dan kad ATM.

“Selain itu, polis turut menemui beberapa tiub dadah dipercayai heroin,” katanya.
Amiruddin berkata, hasil semakan pihaknya mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, penahanan suspek itu berjaya menyelesaikan lebih 30 kes membabitkan kes pecah rumah, curi motosikal dan ragut di daerah ini.

“Mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari sama kira-kira jam 3 petang, tiga anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Pandan Utama, di sini ternampak dua kereta diletakkan di sebuah kawasan lapang dengan satu daripadanya tidak mempunyai nombor pendaftaran lalu menjalankan penyiasatan.

Mautlintasjalankekedaidurian


KUANTAN: Hasrat seorang lelaki warga emas mahu membeli durian di sebuah gerai di tepi jalan berakhir tragedi menyedihkan apabila dia maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan, di Kilometer 32, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Mat Ismail, 75, dari Felda Bukit Sagu, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sebelum kejadian, mangsa menaiki kereta bersama anaknya dalam perjalanan ke Segamat dari Kuantan sebelum berhenti di tepi jalan untuk membeli durian.

Pegawai Penguatkuasa Pentadbiran Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata mangsa kemudian keluar daripada kereta berkenaan sebelum cuba untuk melintas jalan menuju ke gerai durian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal terbabit dipercayai tidak sempat hendak mengelak berikutan jarak terlalu dekat sebaik saja melihat mangsa sedang melintas jalan.

Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat dijalankan, malam kelmarin.


“Penunggang motosikal terbabit turut cedera selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gambang untuk menerima rawatan.

“Siasatan turut mendapati, ketika kejadian permukaan jalan kering dan cuaca baik kecuali lampu jalan tiada menyebabkan penunggang motosikal itu dipercayai tidak menyedari mangsa sedang melintas,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta Perodua Kancil dinaiki bertembung dengan Proton Satria Neo di di Kilometer 26, Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Kem Bina Semangat, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa, Zulkarnaian Mamat, 35, dari Felda Chalok Barat, Setiu, Terengganu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.

Zainalabidin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6 petang akibat kecederaan di kepala manakala isteri mangsa masih menerima rawatan di HTAA.

Diserang enggan beri wang perlindungan


PETALING JAYA: Demi mempertahankan perniagaan diwarisi daripada ayahnya, seorang peniaga surat khabar bergelut dengan sekumpulan empat lelaki yang menyerangnya ketika sibuk menjaga gerainya di Sri Hartamas, Ahad lalu.
Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, empat lelaki warga tempatan terbabit dipercayai meminta wang perlindungan perniagaan daripada mangsa dan mendakwa kawasan itu di bawah pengawasan mereka.

Mangsa yang dikenali sebagai Jefri, 29, enggan memenuhi kehendak mereka kerana dia mendakwa sudah bertahun-tahun berniaga di kawasan itu menyebabkan tercetus pertengkaran.

Difahamkan, kerana tidak berpuas hati, seorang daripada suspek bertindak agresif dengan menumbuk muka dan badan mangsa sebelum semua suspek membelasah mangsa.

“Mereka tiba-tiba datang dan menyuruh saya tidak berniaga di kawasan itu.

“Kalau ingin meneruskan perniagaan, saya diminta membayar wang perlindungan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya.


Suspek turut mengugut akan bertindak lebih kejam termasuk membunuh mangsa sekiranya enggan membayar wang perlindungan dan menjalankan perniagaannya di situ.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa anggota polis yang bersarapan di kawasan berhampiran tempat kejadian dan meleraikan pergaduhan itu.
Mangsa yang cedera di kepala selain kecederaan dalaman pada pipi kirinya, kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

Menurutnya, identiti dua daripada suspek sudah dikenal pasti dan menyerahkan maklumat terbabit kepada polis untuk mengesan suspek.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan kes itu dan akan meneruskan siasatan.

Misteri penemuan 10 jari tangan terjawab


KUALA LUMPUR: Misteri penemuan 10 jari tangan dalam beg plastik putih di kawasan berhampiran Stesen Komuter Kuang, terjawab selepas pemilik jari itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, semalam.
Difahamkan, pemilik jari itu baru tiga bulan dibebaskan dari sebuah penjara di sini selepas terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Gombak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jari mangsa ditetak berpunca daripada pembabitan kumpulan samseng.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan sedang mengesan sama ada terdapat suspek lain yang mungkin terbabit dalam kejadian itu.


“Bagaimanapun, mangsa ketika disoal siasat polis enggan memberi kerjasama termasuk menceritakan kejadian sebenar yang menimpa dirinya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sekolah ‘ditembak’


RETAK...anggota Unit Forensik polis memeriksa kesan tembakan di tingkap kaca di tingkat tiga sekolah terbabit, semalam.
RETAK...anggota Unit Forensik polis memeriksa kesan tembakan di tingkap kaca di tingkat tiga sekolah terbabit, semalam.

AMPANG: Pelajar Sekolah Kebangsaan Agama Islam Adni, Taman Seri Ukay, di sini, gempar selepas beberapa peluru ditemui selain terdapat kesan tembakan di cermin tingkap bangunan tingkat tiga itu, semalam.
Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata tembakan dipercayai dilakukan individu tidak dikenali lebih 50 meter dari sebuah kondominium di belakang sekolah berkenaan.

Katanya, kejadian itu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti peluru digunakan.
“Kami sudah menghantar anggota forensik bagi menjalankan siasatan yang akan mengenal pasti jenis peluru digunakan dalam tembakan itu,” katanya di sini, semalam.

Kejadian itu diketahui selepas seorang guru membuat laporan di Balai Polis Ulu Klang kira-kira jam 10.30 pagi, semalam selepas melihat cermin tingkap di sekolah itu berkecai akibat kesan tembakan.

Beliau berkata, kira-kira 15 minit kemudian, pihaknya menghantar pasukan forensik untuk menyiasat punca kejadian itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39, Akta Senjata Api 1960,” katanya yang meminta orang ramai membantu siasatan jika mengetahui kejadian itu.

Sementara itu, seorang pekerja sekolah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu tembakan berkenaan mungkin berlaku malam kelmarin atau Ahad lalu hingga tidak disedari penghuni sekolah.
Katanya, perkara itu tidak dihebohkan menyebabkan suasana di sekolah itu masih tenang dan pembelajaran berjalan seperti biasa.

“Seorang guru menyedari perkara itu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut kerana bimbang dengan keselamatan pelajar,” katanya yang ditemui di sekolah berkenaan, semalam.

Dituduh bunuh 3 Qadiani


SERANG: Seramai 12 orang didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dengan kejam tiga penganut Qadiani.
Lebih daripada 1,000 anggota tentera dan polis dengan meriam air dan kenderaan dilengkapi senjata mengawal keselamatan di mahkamah di Jawa Barat itu ekoran kebimbangan kemungkinan keganasan meletus.

Dalam pada itu, lebih 2,000 orang mengadakan solat berjemaah dan membaca al-Quran sebagai tanda sokongan kepada 12 tertuduh yang mungkin menghadapi hukuman mati atau penjara 12 tahun jika didapati bersalah. Suspek utama, imam, Ujang Mohamed Arif, 52, didakwa menjadi dalang apabila menggalakkan orang lain melakukan serangan itu di Desa Cikeusik, Banten Februari lalu. Ujang dikatakan menghantar mesej pesanan ringkas kepada seorang lagi tertuduh, Endang bin Sidik sebelum serangan. Mesej itu berbunyi: “Tolong maklumkan kepada ulama, imam dan pelajar tahfiz supaya mengepung pengikut Ahmadiyah di Desa Cikeusik,” kata pendakwa raya.

Endang kemudian menghantar mesej itu kepada 62 orang lain dan meminta mereka berhimpun di rumahnya dan memakai riben biru pada hari berlakunya serangan.

Rakaman video menunjukkan kira-kira 1,000 orangmenyerbu rumah seorang pemimpin kumpulan terbabit sebelum membunuhnya dan dua yang lain. - AP

Bekas Presiden Filipina dituduh salah guna dana pekerja


MANILA: Seorang peguam memfailkan aduan ke atas bekas Presiden Filipina, Gloria Arroyo, kerana menyalahgunakan dana pekerja di luar negara untuk membantu kempen pilihan rayanya, semalam.
Bekas Ketua Peguam Cara, Frank Chavez, mendakwa Gloria mengarahkan Pentadbiran Kebajikan Pekerja Luar Negara mengagihkan kad kesihatan menggunakan gambarnya ketika pilihan raya presiden 2004 membabitkan belanja kira-kira RM36.7 juta.

Jabatan Keadilan akan menentukan jika ada bukti mencukupi untuk meneruskan proses perundangan.

Selama ini Gloria sentiasa menafikan sebarang salah laku sepanjang pentadbirannya.

Selepas memenangi pilihan raya tahun lalu, dia terus dibayangi pelbagai tuduhan rasuah. - AP, bharian

65 banduan ditahan semula


KANDAHAR: Pihak berkuasa menahan 65 daripada 500 banduan yang memboloskan diri dari penjara di selatan Afghanistan, semalam.
Banduan terbabit - kebanyakannya anggota Taliban - melarikan diri pada malam Ahad lalu melalui terowong sepanjang satu kilometer. Taliban mendakwa mereka mengambil masa lima bulan menggali terowong berkenaan untuk sampai ke penjara terbabit.

Menurut pertubuhan itu, lebih 100 pemimpin pemberontak adalah antara yang berjaya melarikan diri.

Kenyataan pihak berkuasa Kandahar menyatakan, pasukan keselamatan dan tentera asing melancarkan gerakan memburu besar-besaran sebaik saja kejadian disedari.

“Operasi ini mendapat sokongan orang awam dan menghasilkan keputusan positif,” katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua berlaku dalam tempoh tiga tahun di Afghanistan.


Ia turut mengaibkan pasukan keselamatan negara itu yang dijadual mengambil tanggungjawab lebih besar daripada pasukan asing pada 2014. - AFP

Konflik Thai - Kemboja merebak

NONG KANNA (Thailand): Pertempuran paling sengit dalam tempoh beberapa tahun di antara Thailand dan Kemboja merebak ke kawasan lain, semalam.

Pertempuran di sepanjang sempadan kedua-dua negara berhampiran kuil Preah Vihear yang dibina pada abad ke-11 itu menggagalkan usaha antarabangsa mencapai gencatan senjata kedua-dua pihak.


Kuil Preah Vihear menjadi lokasi pertempuran maut selama empat hari pada Februari lalu.

Pertempuran terbaru semalam menyaksikan kedua-dua pihak berbalas tembakan artileri di kawasan dipertikaikan itu sejak ia tercetus Jumaat lalu.


Setakat ini kedua-dua pihak saling menuduh lawan memulakan pertempuran.


Semalam, PBB menyatakan sokongan terhadap inisiatif Indonesia untuk menjadi perantara bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, berkata Washington amat bimbang terhadap keganasan di sempadan itu dan menggesa Bangkok dan Phnom Penh berusaha mengurangkan ketegangan.


“Pegawai AS kini berbincang dengan wakil kedua-dua negara,” katanya.


Setakat ini Bangkok menolak sebarang campur tangan pihak luar kerana beranggapan isu berkenaan perlu diselesaikan sendiri dengan Kemboja.


Bagaimanapun, Ahad lalu, Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya, membayangkan Bangkok mungkin menerima tentera Indonesia sebagai pemerhati di sempadan.


Usul yang sama memang sudah diterima Phnom Penh. - AP, bharian

Polis tembak isteri


BANDUNG: seorang anggota polis ditangkap selepas dia menembak isterinya di kediaman mereka di Tasik Malaya.
Menurut polis, kejadian belaku sejurus selepas tengah malam ketika anggota terbabit membersihkan pistolnya.

Polis berkata, mereka masih menyiasat sama ada kejadian itu dilakukan dengan senjaga atau sebaliknya.

Bagaimanapun, satu sumber polis berkata, pasangan itu bertengkar sebelum kejadian. “Mereka bertengkar sebelum si suami bertindak melepaskan tembakan pada isterinya,” kata sumber itu. - Agensi

4 sukarelawan wanita kastam dihukum penjara, denda


SHAH ALAM: Empat sukarelawan wanita Kastam Diraja Malaysia (KDRM), seorang daripada mereka sarat mengandung, dihukum penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku salah menipu dan bersubahat menipu seorang pemilik kilang keluli, di Batu Caves, lima tahun lalu. 


Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan keempat-empat mereka iaitu ibu tunggal empat anak, Norfarisha Samsudin, 32; wanita hamil tujuh bulan, Masitah Nasir, 30, dan penjual kuih, Noor Asmarzillah Abdullah, 32 dan suri rumah, Pa’aiza Baki, 42, dipenjarakan empat bulan jika gagal membayar denda.
Norfarisha, Masitah dan Noor Asmarzillah mengaku salah mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan, menipu pemilik Stainless Steel Engineering, Wong Ying Lin, 30, di Batu Caves, pada 11 pagi, 8 September 2006, iaitu memperdayakan mangsa, dengan menyamar sebagai pegawai kastam supaya lelaki itu menyerahkan RM1,300 kononnya sebagai sumbangan iklan penerbitan Buletin Kesatuan Pegawai Marin (CAMARA) KDRM.
Pa’aiza pula mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 416, kanun sama, bersubahat dengan tiga rakannya itu melakukan kesalahan menipu Ying Lin di tempat dan pada masa sama. 

Kesalahan mengikut Seksyen 416 itu dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, peguam mewakili Pa'aiza, Dir Kheizwan Kamaruddin memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah kerana anak guamnya tidak bekerja dan menjalani kehidupan sukar berikutan suaminya sudah diisytiharkan muflis. 

Katanya, tertuduh juga memberikan kerjasama penuh apabila hadir lebih 50 kali ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan. 
“Selain itu, anak guam saya juga menghidap ketumbuhan rahim dan perlu menjalani rawatan di hospital setiap bulan,” katanya. 

Norfarisha, Masitah dan Noor Asmarzillah tidak diwakili peguam, merayu mahkamah mengenakan hukuman denda yang minimum. -bharian

Datuk maut jatuh hotel


MELAKA TENGAH: Seorang lelaki bergelar Datuk, ditemui mati di sebuah resort di Tanjung Kling, dekat sini, pagi kelmarin, dipercayai terjatuh dari tingkat 14 bangunan berkenaan. 


Mangsa yang juga mualaf keturunan Cina, Datuk Mohd Alif Abdullah, 53, dari Skudai, Johor ditemui pekerja resort itu pada jam 10.30 pagi dalam keadaan berlumuran darah.
Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata Datuk terbabit yang juga peniaga ayam di Pasar Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah ditemui dengan berpakaian kemeja-t putih dan berkain pelekat.
“Mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, semalam. 

Chua berkata, siasatan awal mendapati kematian lelaki terbabit tidak mempunyai unsur jenayah, tetapi tidak menolak kemungkinan berpunca daripada masalah kewangan. -bharian

Lelaki ‘mati hidup semula’ meninggal


BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang 'mati hidup semula' di sini, baru-baru ini akhirnya meninggal dunia semalam selepas 13 hari tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya (HSJ). 


Ng Swee Hock, 65, meninggal dunia jam 10.50 pagi di rumahnya di Kampung Tok Elong, Tanah Liat di sini, sejurus tiba dari HSJ selepas keluarganya meminta kebenaran hospital untuk membawanya pulang selepas dimaklumkan peluang untuk hidup adalah 50-50.
Sebaik tiba di rumahnya, jam 10.40 pagi, keluarganya bersetuju meminta jururawat mencabut alat pernafasan yang digunakan mendiang walaupun menyedari risikonya.
Isteri mendiang, Lim Siew Hua, 56, berkata suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di hospital itu sejak 14 April lalu. 

Swee Hock dibawa pulang kelmarin selepas dapat nasihat ketua agama. - bharian

Lelaki lesap bila isteri meninggal



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/04/27

Doktor temui kesan jerutan pada leher mangsa ketika diberi rawatan 

JOHOR BAHRU: Lelaki misteri yang menggendong seorang wanita yang didakwa isterinya ketika mendapatkan rawatan kecemasan akibat diserang penyakit lelah, menghilangkan diri selepas diberitahu mangsa sudah meninggal dunia di sebuah klinik dekat Bandar Baru UDA di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi di klinik yang beroperasi 24 jam terbabit, kakitangan yang bertugas ketika itu membantu membawa masuk wanita berusia 20-an yang dikendong lelaki itu sebelum doktor yang merawatnya mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Sumber berkata, selepas doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, lelaki berkenaan mula resah dan mendesak doktor memasang alat bantuan pernafasan pada isterinya itu dengan harapan wanita itu kembali bernafas, namun usaha itu sia-sia. 

“Ketika menjalankan pemeriksaan lanjut, doktor terkejut apabila melihat kesan seperti jerutan pada leher mangsa dan lelaki berkenaan yang turut ada di situ kelihatan pucat dan ketakutan. 

“Doktor memberitahu lelaki berkenaan supaya menghubungi polis namun dia memberi alasan mahu keluar menghubungi seseorang sebelum menghilangkan diri,” katanya. 

Sumber berkata, identiti sebenar mayat wanita terbabit dan lelaki yang menghantarnya tidak diketahui berikutan mereka tidak membawa dokumen pengenalan diri ketika mendaftar di klinik berkenaan. 
Curiga terhadap kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena dengan pasangan itu, kakitangan klinik kemudian menghubungi polis sebelum mayat wanita terbabit dihantar ke Hosital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan klinik terbabit untuk mengesan lelaki itu. 

“Siasatan masih di peringkat awal dan orang ramai diminta memberi ruang kepada polis serta tidak membuat sebarang andaian. 

“Punca sebenar kematian mangsa belum dipastikan dan kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat. 

“Motif dan punca sebenar kejadian juga belum dapat dipastikan, kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. 

Ruslan berkata, pihaknya juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di klinik berkenaan bagi mendapatkan gambaran wajah lelaki terbabit. -bharian

Geng eksport barang samun



ANGGOTA polis menunjukkan sebahagian  barangan elektrik pelbagai jenis dipercayai  disamun di sebuah gudang di Taman Sentosa Perdana, Klang, petang kelmarin.
ANGGOTA polis menunjukkan sebahagian barangan elektrik pelbagai jenis dipercayai disamun di sebuah gudang di Taman Sentosa Perdana, Klang, petang kelmarin.

Kegiatan terbongkar berikutan penahanan 13 warga tempatan, pedagang Nigeria 

KLANG: Kegiatan mengeksport barangan samun kini menjadi aliran baru segelintir warga asing kerana hasilnya dikatakan lumayan hinggakan mereka tidak mempedulikan sekatan perundangan.
Kebanyakan dalang kegiatan itu disyaki berlindung di sebalik syarikat perniagaan berdaftar tetapi bersekongkol dengan beberapa kumpulan penyamun tempatan dengan memborong hasil samun termasuk barangan elektrik dan elektronik untuk dieksport ke luar negara.
Bagaimanapun, kegiatan haram mereka akhirnya terbongkar berikutan tertangkapnya 13 warga tempatan dan seorang pedagang Nigeria di Petaling Jaya, kelmarin, sekali gus mematahkan percubaan mengeksport barangan samun bernilai RM200,000. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata hasil pemerhatian sejak bulan lalu, polis menahan 13 warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun dan seorang lelaki Nigeria 37 tahun dalam operasi di sekitar Petaling Jaya, petang kelmarin. 

Beliau berkata, polis juga berjaya memujuk warga Nigeria itu menunjukkan gudang yang dipercayai menyimpan hasil samun di Taman Sentosa Perdana, 6 kilometer dari bandar Klang. 

Katanya, hasil pemeriksaan di kawasan itu, polis menjumpai 116 unit televisyen pelbagai jenama dan saiz, 48 pemain cakera video (DVD), 21 unit peti ais, empat unit ketuhar gelombang mikro, tiga unit radio dan 119 cerek aluminium. 
“Polis mengesyaki gudang itu disewa warga Nigeria itu untuk menyimpan barangan samun untuk dieksport ke benua Afrika,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam. 

Mohamad berkata, ketika disoal siasat warga Nigeria yang mendakwa dirinya pedagang barangan elektrik dan elektronik, gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang disimpan di gudang berkenaan. 

Katanya, lelaki terbabit mendakwa dia memborong barangan elektrik daripada pengusaha tempatan dan bercadang mengeksportnya ke luar negara terutama benua Afrika. 

"Suspek dipercayai menjadi perantara untuk mengeksport barangan ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki barang secara haram. 

"Bagaimanapun, berdasarkan maklumat kecurian sebuah gudang barangan elektrik di kawasan industri Subang Perdana bulan lalu, polis akan mendakwa lelaki berkenaan atas kesalahan menyamun mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. 

Media sebelum ini melaporkan mengenai kejayaan polis menumpaskan satu sindiket dipercayai terbabit dalam lima kes rampasan kargo bernilai lebih RM1 juta di sekitar Lembah Klang berikutan penahanan beberapa suspek di beberapa lokasi di Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. 

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dilaporkan berkata tangkapan semua suspek berumur lingkungan 20-an dan 30-an dibuat susulan kejadian rampasan terbaru membabitkan sebuah lori membawa kargo barangan elektrik di Subang Perdana, Petaling Jaya, pada 25 Mac lalu. 

Mengulas modus operandi sindiket, beliau berkata berdasarkan kejadian di Subang Perdana itu, lori membawa kargo itu dipintas oleh dua teksi sebelum beberapa lelaki bersenjatakan pistol melarikan lori terbabit. -bharian

Peguam ADUN fail saman pemula terhadap 3 pihak



 MOHD HAFARIZAM   memfailkan saman pemula terhadap tiga pihak  di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam, semalam.
MOHD HAFARIZAM memfailkan saman pemula terhadap tiga pihak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM: Peguam kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Datuk Mohd Hafarizam Harun, semalam, memfailkan saman pemula terhadap tiga pihak berhubung saman yang memerintahkannya hadir pada satu perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jumaat ini. 

Mohd Hafarizam yang memfailkan saman pemula itu melalui firma guamannya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam, di sini, menamakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebagai defendan pertama; Setiausaha Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Mohamad Yasid Bidin (kedua) dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, defendan ketiga.
Saman pemula itu memohon satu deklarasi bahawa saman bertarikh 12 April lalu yang dikeluarkan defendan kedua untuk memerintahkan plaintif hadir pada perbicaraan itu untuk menjawab tuduhan menghina dewan dalam keadaan yang ditetapkan dalam saman, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 adalah terbatal dan tidak terpakai.
Beliau juga memohon satu deklarasi bahawa saman itu adalah ultra vires (melampaui batas undang-undang) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dan Jadual Kuasa dan Kebebasan Dewan Undangan, Peraturan Tetap DUN Selangor dan Enakmen Penghinaan Dewan (Negeri Selangor) 2009 dan atau semua undang-undang relevan dan oleh itu terbatal dan tidak terpakai. 

Mohd Hafarizam juga memohon satu deklarasi bahawa saman berkenaan adalah bercanggah dengan undang-undang. 

Ia juga memohon satu deklarasi menyatakan plaintif, sebagai peguam cara dan peguam bela Mahkamah Tinggi Malaya, berhak melaksanakan tanggungjawab dan peranannya tanpa perasaan takut atau berat sebelah, termasuk untuk bertindak mengikut arahan anak guamnya, untuk menghantar surat tuntutan kepada peguam cara dan peguam bela pihak lawan bagi menuntut bayaran ekoran perintah mahkamah. 

Berikutan itu, surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Mohd Hafarizam kepada Tetuan Tomy Thomas yang mewakili Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim, pada 29 Mac lalu tidak boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap dewan. 
Surat tuntutan itu adalah surat menuntut bayaran kos berjumlah RM40,000 iaitu berhubung Perintah Mahkamah bertarikh 18 Februari lalu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang memerintahkan Chang Khim membayar kos berkenaan kepada ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang sebelum ini memohon supaya statusnya sebagai wakil rakyat di kawasannya, dikekalkan. 

Mohd Hafarizam juga memohon satu deklarasi bahawa beliau tidak perlu menghadirkan diri ke perbicaraan jawatankuasa itu seperti ditetapkan dalam saman. 

Saman pemula itu juga memohon satu deklarasi bahawa apa-apa keputusan, perintah atau perkara yang timbul akibat pengeluaran atau perbicaraan berikutan saman itu adalah terbatal dan tidak terpakai. 

Sementara itu, Mohd Hafarizam ketika ditemui selepas saman pemula itu difailkan, berkata beliau adalah peguam cara yang berhak menjalankan tugasnya tanpa rasa takut dan berat sebelah termasuk menjalankan arahan anak guamnya. 

“Kes ini akan didengar jam 9 pagi pada 29 April ini. Oleh kerana sudah ditetapkan pada 29 April ini, satu lagi alasan untuk tidak perlu hadir di perbicaraan jawatankuasa itu yang juga akan berjalan pada jam 9 pagi Jumaat ini,” katanya. 

Mohd Hafarizam berkata, beliau mahu mengetahui pendirian Majlis Peguam terhadap kes itu kerana ia membabitkan kes profesion peguam. 

Ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwanya sebagai peguam UMNO, Mohd Hafarizam berkata, tiada istilah peguam UMNO dalam Akta Profesyen Guaman. 

"Itu kenyataan politik. Tidak berdasarkan Akta Profesyen Guaman," katanya. , bharian

Tiada radioaktif di Bukit Merah


Aktiviti pelupusan sisa torium di kilang Asian Rare Earth tak jejas kesihatan 


KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa orang awam di Bukit Merah, Perak menghadapi penyakit kanser sehingga menyebabkan kematian berikutan projek pelupusan sisa torium yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi di situ, adalah tidak tepat dan diperoleh daripada sumber tidak pasti kesahihannya.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, berkata tahap kesihatan terkini di kawasan itu adalah selamat dan tidak membahayakan pekerja, orang awam dan tidak mencemarkan alam sekitar.
“Sepanjang projek pelupusan sisa torium dan bahan-bahan tercemar yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi sejak 2003, didapati tiada sebarang pencemaran, kemalangan, atau insiden berlaku. 

“Setakat ini Lembaga Pelesenan Tenaga Atom belum pernah menerima laporan berkenaan pekerja yang menghidap kanser atau sebarang masalah kesihatan yang boleh dikaitkan dengan sinaran radioaktif daripada aktiviti pelupusan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Negara, semalam. 

Katanya, aktiviti pelupusan sisa radioaktif oleh kilang milik Asian Rare Earth di situ adalah terkawal sepenuhnya dan ia tidak mendatangkan masalah kesihatan kepada pekerja apatah lagi orang awam. 

Terdahulu beliau menjelaskan berdasarkan piawaian antarabangsa oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada loji syarikat Lynas (M) Sdn Bhd di Gebeng, Pahang tidak ditakrifkan sebagai sisa nuklear atau sisa radioaktif. 
Katanya, menurut piawaian sisa yang dihasilkan oleh loji pemprosesan itu adalah sisa industri yang hanya mengandungi bahan radioaktif semula jadi. 

“Tahap keradioaktifan sisa sampingan bakal dihasilkan mempunyai tahap keradioaktifan yang sama atau menghampiri paras sama dengan tanah biasa di Malaysia. Tiada penyebaran bahaya nuklear atau radioaktif seperti yang didakwa,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya memandangkan isu Lynas mendapat perhatian pelbagai pihak, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan satu panel bebas dianggotai pakar dalam bidang berkenaan bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan sebelum syarikat terbabit diberi lesen praoperasi. – BERNAMA