Search This Blog

Tuesday, April 26, 2011

Lelaki bersenjata pisau cuba rampas pesawat agar lencong ke Libya



ROME: Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau kelmarin cuba merampas sebuah pesawat dari Paris ke Rome dan menuntut agar penerbangan itu dipesongkan ke Libya.
Lelaki itu bagaimanapun telah dapat dilawan oleh kru pesawat dan kemudian ditahan apabila pesawat penerbangan Alitalia itu mendarat di sini. Kesemua 131 penumpang selamat dalam kejadian itu.Polis mengenal pasti suspek sebagai Valeriy Tolmashev, 48 tahun, seorang lelaki warga Kazakhstan yang bertugas di Paris. Motifnya bagaimanapun tidak segera diketahui.Seorang penumpang, Cik Sofia, berkata lelaki itu kelihatan tidak keruan.'Lelaki itu menarik seorang pramugari itu daripada belakang dan mengacukan pisau. Beliau menahan pramugari itu selama beberapa minit sebelum kru lain campur tangan, sementara para penumpang lain juga menolong memegang lelaki itu pada lantai.'Seorang lagi penumpang, Cik Stefanie, pula berkata sebelum itu lelaki itu ketawa apabila pramugari berkenaan meminta lelaki itu mengikutnya ke bahagian depan pesawat.Satu kenyataan daripada syarikat penerbangan Alitalia berkata kejadian itu dapat ditangani dengan baik ekoran tindakan segera kru pesawat itu.Pesawat itu mendarat di Rome sekitar 9.55 malam (waktu tempatan) seperti yang dijadualkan.Suspek ditahan untuk disoal siasat sebaik saja pesawat itu mendarat di lapangan terbang Leonardo da Vinci. -- AP, AFP.

Empat individu disiasat kerana beri maklumat palsu



KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kolonel Azmi Zainal Abidin, yang didedahkan pengendali blog, Raja Petra Kamaruddin, dengan akuan bersumpahnya, disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung kes jenayah.
Turut disiasat ialah pengendali blog Malaysia Today itu kerana akuan bersumpahnya dua tahun lalu yang mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, bagaimanapun menjelaskan siasatan yang dilakukan pihaknya lebih menjurus kepada empat individu yang didedahkan Raja Petra.Mereka ialah pegawai risik ATM, Kolonel Azmi; penulis blog, Encik Din Merican; selain Encik Nik Azmi Nik Daud dan Encik John Pang.'Sebenarnya Raja Petra banyak membantu dengan menyalurkan maklumat kepada polis bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara.'Sebaik keterangan Raja Petra diambil di Bangkok (Sabtu lalu), polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaannya dan pendedahannya (mengenai empat lelaki terbabit),' katanya ketika dihubungi, Sabtu lalu.Sabtu lalu, dua pegawai polis dari Bukit Aman menemui Raja Petra bagi merekod kenyataannya di hotel tempatnya menginap ketika menghadiri satu majlis dialog dengan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) di Bangkok.Sebelum ini, polis sudah merekod keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung pendedahannya mengenai pembabitan mereka menyalur maklumat kepadanya supaya membuat akuan bersumpah dua tahun lalu, mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan mendiang Altantuya.Ditanya sama ada Raja Petra akan ditahan jika pulang ke Malaysia, Datuk Khalid enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.'Saya tidak mahu ulas tentang itu kerana ia belum dilakukan dan berlaku.... kes sedang disiasat dan biar polis menjalankan siasatan secara terperinci.'Berapa ramai yang sudah diambil keterangan dan akan diambil keterangan juga tidak perlu tahu kerana itu kerja polis.... cukuplah, saya tidak mahu mengulas lanjut perkara itu,' katanya. -- BHM.

Warga Iran Terselamat Dari Tali Gantung



SHAH ALAM: Seorang tukang gunting warga Iran yang terselamat daripada hukuman mati memberitahu pihak media bahawa dia tidak sabar untuk pulang ke negara asal.
"Saya hanya mahu pulang," kata Alireza Shahidi Houshang, 27, yang telah setahun ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan terhadapnya yang didakwa mengedar 1.79 kilogram syabu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.45 malam, 1 Februari 2010, di Kaunter Pemeriksaan A, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dekat sini.
Pada Selasa, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Alim Abdullah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Alireza daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati pembelaannya berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Alireza yang diwakili peguam Mohd Irwan Mohd Mubarak mengemukakan seorang saksi untuk menyokong pembelaannya manakala pihak pendakwaan mengemukakan 10 saksi.

Empat Wanita Menyamar Kastam Sukarela Dihukum



SHAH ALAM: Empat wanita yang mengaku diri mereka adalah sukarelawan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 kerana menipu seorang pemilik kilang, lima tahun lalu.
Mereka yang dhukum ialah Masitah Nasir, 30, yang sedang hamil enam bulan; ibu tunggal dengan empat orang anak, Norfarisha Samsudin, 32; Noor Asmarzillah, 32, dan Pa'aiza Baki, 42 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah yang menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah semua tertuduh turut memerintahkan supaya mereka dipenjarakan selama empat bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Norfarisha, Masitah dan Noor Asmarzillah mengaku bersalah memperdayakan Wong Ying Lin, 30, dengan menyamar sebagai pegawai Kastam agar pemilik kilang Stainless Steel Engineering tersebut menyerahkan RM1,300 kepada mereka.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11 pagi, 8 September 2006 dan wang tersebut kononnya sebagai sumbangan iklan penerbitan Buletin Kesatuan Pegawai Maritim.
Pengakuan salah Pa'aiza pula direkodkan bagi pertuduhan bersubahat dengan ketiga-tiga rakannya untuk melakukan kesalahan yang serupa pada masa dan di tempat yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee.
Pada prosiding itu, Masitah mengalirkan air mata sewaktu memberitahu bahawa dia mengalami komplikasi kehamilan manakala suaminya mengalami masalah kewangan.
Peguam Dir Kheidzwan Kamaruddin yang mewakili Pa'aiza merayu mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang ringan ke atas tertuduh yang sedang mengalami saat-saat getir ekoran suaminya telah diisytiharkan sebagai muflis.
"Tertuduh juga menghidap ketumbuhan pada rahim dan perlu menjalani rawatan setiap bulan. Tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang penuh sepanjang kes ini disiasat," katanya.

Nama meragukan pada slip bank



KUALA ROMPIN – Seorang peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang kehilangan wang sebanyak RM11,230 di dalam akaunnya di sebuah bank, tidak menolak kemungkinan kehilangan wang itu ada kaitan dengan kakitangan institusi kewangan tersebut.

Rokiah Kemat, 53, berkata, berdasarkan pada penyata yang diperoleh dari bank itu, terdapat satu nama seorang wanita yang meragukan dipercayai mendalangi kegiatan pengeluaran wang pinjaman AIM yang dimasukkan ke dalam akaunnya pada 31 Mac lalu.

Menurutnya, kegiatan pengeluaran wang itu juga dipercayai bukan dilakukan orang biasa, tetapi ia dilakukan mereka yang sudah mahir dengan transaski pengeluaran wang masuk dan keluar.

“Kegiatan ini dipercayai didalangi orang dalam yang mahir dengan selok belok transaksi pengeluaran dan saya percaya ia bukan didalangi orang luar yang tidak tahu apa-apa kod berkaitan bank,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian pada 9 April lalu melaporkan Rokiah yang baru memperoleh pinjaman mikro kredit terpaksa berputih mata selepas wang di dalam akaunnya berjumlah RM11,230 lesap dipercayai dikebas penggodam internet yang tidak dikenali.

Kejadian itu disedari Rokiah pada 3 April lalu selepas wang yang diluluskan AIM tidak dapat dikeluarkan dan membuat aduan selepas empat hari kemudiannya kepada kakitangan AIM berhubung dengan pinjaman berkenaan.

Kakitangan AIM terbabit memberitahu wang pinjamannya itu telah dimasukkan ke dalam akaunnya pada 31 Mac lalu dan akan menyiasat perkara itu termasuk menghubungi bank berkaitan.

Bagaimanapun Rokiah berkata, sehingga kini dia masih belum menerima apa-apa maklumat dan perkembangan berhubung kes kehilangan wang pinjamannya menerusi bank terbabit sedangkan dia terpaksa membayar semula pinjaman wang itu dalam masa terdekat.

“Cuma saya diberitahu oleh cawangan bank di Kuala Rompin bahawa perkara itu sudah dibawa ke Kuantan dan laporan itu akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Saya kecewa sehingga kini siasatan terbabit masih belum menunjukkan perkembangan positif dan berharap agar pihak bank dapat menjalankan siasatan segera supaya penjenayah itu dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, sebagai ahli AIM dia bimbang jika pihak terbabit akan menggunakan modus operandi yang sama dengan menjadikan wang pinjaman AIM sebagai sasaran bagi mendapatkan wang dengan cara yang mudah.

“Saya nasihatkan rakan lain supaya lebih berhati-hati kerana taktik ini juga mungkin digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil wang milik orang lain di dalam akaun mereka,” katanya.

12 nelayan asing tanpa permit ditahan

 

KUANTAN - Seramai 12 nelayan asing warga Vietnam dipercayai tanpa permit ditahan untuk siasatan lanjut hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan di Kuala Sungai Kuantan, Sabtu lalu.

Semua nelayan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30an itu ditahan pihak polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan Pahang untuk tindakan lanjut.

Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Datuk Mohamad Mat Saman ketika dihubungi mengesahkan berhubung penahanan semua nelayan terbabit.

Menurutnya, nelayan warga asing itu didapati bekerja atas bot nelayan berlesen tanpa permit sah.

“Semua awak-awak ini dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Rahsia bersekedudukan pecah



KUALA TERENGGANU - Rahsia aktiviti maksiat sepasang kekasih yang bersekedudukan hampir tiga tahun terbongkar setelah polis menyerbu kediaman yang disewa mereka di Kuala Ibai, di sini, petang kelmarin.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2.30 petang itu pada awalnya bertujuan mencari suspek wanita itu yang berumur 30 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah pecah amanah.

Bagaimanapun, setelah soal siasat dijalankan, rahsia pasangan yang hidup seperti suami isteri selama ini terbongkar setelah gagal menunjukkan sijil pernikahan dan MyKid anak perempuannya yang berumur setahun setengah.

Lebih memeranjatkan, pasangan itu bukan sahaja tidak pernah mendaftarkan kelahiran anak perempuannya itu kerana takut hubungan mereka terbongkar, malah wanita berkenaan yang berasal dari Johor Bahru itu sebenarnya masih berstatus isteri orang.

Sinar Harian difahamkan, suami wanita terbabit kini berada di Johor Bahru dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak yang kini tinggal bersama suaminya di negeri tersebut.

Wanita yang tidak bekerja itu difahamkan melarikan diri ke negeri ini kerana mendakwa suaminya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Selepas itu, dia berjumpa dengan ‘suami barunya’ yang berasal dari Setiu dan bekerja sebagai kelindan lori, lalu mengambil keputusan menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan menyewa sebuah rumah di flat berkenaan.

Wanita itu kini ditahan untuk siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam kes pecah amanah, rentetan daripada laporan polis yang dibuat bekas majikannya, seorang peniaga kedai aksesori wanita di Pasar Besar Kedai Payang, di sini.

Bekas majikannya mendakwa, suspek yang diberi amanah untuk memajak gadai barang kemasnya di sebuah kedai pajak gadai di sekitar bandar raya ini, telah menjual surat pajak gadai itu tanpa pengetahuannya.

Tindakan suspek hanya disedari selepas bekas majikannya itu ingin menebus barang kemasnya kembali yang bernilai RM7,400, difahamkan pada 5 April lalu.

Tidak berpuas hati dengan tindakan suspek itu, dia mengambil keputusan membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintenden Azmi Adam ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan suspek dan kini dia direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 406 kerana pecah amanah.

Janda gian tidak serik



FELDA KERTEH 3 – Biarpun baru tiga hari keluar penjara, namun hukuman dilalui tidak dapat menimbulkan keinsafan bagi seorang wanita kaki dadah apabila dia kembali terjebak dengan aktiviti songsang itu sehingga ditangkap pihak berkuasa.

Janda anak tiga itu ketika berkongsi pengalaman berkata, sebaik keluar dari penjara, dia tiada tempat untuk dituju lalu kembali mencari kenalan lamanya yang juga kaki dadah.

Bekas banduan Penjara Pengkalan Chepa itu berkata, kesalahan yang dilakukannya menyebabkan ahli keluarga enggan menerimanya semula, sehubungan itu, dia terpaksa mencari tempat berlindung lalu datang ke rumah ibu saudaranya di sini untuk membina kehidupan baru.

Bagaimanapun, sebaik tiba di sini, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang juga kaki dadah sebelum kembali terjebak, selain turut dijadikan teman tidur.

“Saya memang ada niat untuk berubah, tetapi orang macam saya, siapa mahu terima. Hendak kahwin lain, mungkin agak mustahil untuk bertemu jodoh, apatah lagi dengan status saya ini.

“Dulu saya pernah kena tangkap, lepas tu saya taubat namun saya kembali menagih selepas tidak tahan dengan tekanan hidup,” katanya yang berasal dari Besut.

Janda berusia 25 itu ditahan pihak berkuasa ketika berada bersama teman lelakinya dalam bilik di sebuah rumah dekat sini, awal minggu lalu.

Hasil ujian saringan air kencing dia dan juga pasangannya didapati positif dadah jenis methampethamine dan ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pasangan terbabit juga bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah me�ngikut Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

5 beranak sehelai sepinggang



KUALA NERUS - Hasrat seorang ibu tunggal membaik pulih kediamannya melalui saluran bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) tidak kesampaian setelah rumahnya hangus sama sekali dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Kubang Jela, Manir, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, Yusrina Mat Jusoh, 32, yang tinggal bersama empat anaknya tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kayu itu hangus.

Bapa mangsa, Mat Jusoh Ali, 58, berkata, ketika kejadian, anaknya yang bekerja mengambil upah mengemas rumah orang secara kebetulan tiada di rumah, manakala keempat-empat cucunya yang masih kecil keluar bermain di kawasan berhampiran.

Katanya, kejadian itu hanya disedari isterinya, Halimah Mat Zin, 59, yang berada di rumah mereka yang terletak jarak 50 meter dari lokasi kejadian.

“Kejadian itu disedari setelah isteri saya yang ketika itu berada di dalam rumah kami terbau benda terbakar lalu keluar dari rumah untuk mencari puncanya.

“Dia terkejut setelah mendapati sebahagian daripada rumah anak kami sudah terbakar,” katanya.

Menurut Mat Jusoh, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya kira-kira jam 6 petang.

Usaha menemu ramah mangsa gagal kerana difahamkan dia masih dalam keadaan terkejut dan tidak mahu diganggu.

Sementara itu, Pegawai Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, TPgB Kamerul Bieza Mohamed Kassim ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.44 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 5.53 petang.

“Dengan kekuatan seramai 23 anggota, kami berjaya mengawal keadaan dalam beberapa minit sahaja, namun, rumah separuh kekal itu gagal diselamatkan kerana ketika tiba, hampir 80 peratus rumah sudah hangus,” katanya.

Rogol: Dijel lapan tahun penjara, tiga sebatan



KOTA BHARU – Tempoh hukuman penjara seorang lelaki bersabit kesalahan merogol seorang gadis bawah umur dua tahun lalu, ditambah daripada lima kepada lapan tahun penjara serta dikenakan tiga sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya akibat tidak berpuas hati dengan hukuman yang diputuskan terhadap Mohd Faizal Mohd Yusof di Mahkamah Sesyen, sebelum ini.

“Jika dibandingkan usia kamu 24 tahun sangatlah jauh berbeza dengan mangsa yang hanya berusia 14 tahun.

”Tidak ada sebab untuk kamu berasa kekurangan dalam melakukan hubungan seks kerana kamu sudah pun mempunyai isteri dan anak,” katanya.

Menurutnya, walaupun tertuduh menjadikan mangsa sebagai teman wanita tetapi umurnya di bawah 16 tahun, maka perbuatan itu dikira merogol walaupun secara rela atau sebaliknya.

Sebelum ini, pada 27 Mei tahun lalu, Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Mohd Faizal selepas didapati bersalah merogol mangsa yang baru berusia 14 tahun 9 bulan, ketika di hari kejadian, 16 Mei 2009.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa dirogol di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, tarikh berkenaan.

Lelaki yang kini berusia 26 tahun itu bersalah dan disabitkan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Rayuan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof.

Kemalangan akibat minyak tumpah atas jalan



TUMPAT- Seorang pemandu lori, Hamzah Yusof,42, cedera selepas kenderaannya yang membawa barang lusuh terbalik di selekoh berdekatan cabang tiga Kampung Berangan dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, lori terbabit hilang kawalan ketika sedang melalui jalan itu apabila ada tumpahan minyak dipercayai minyak pelincir di hadapan tapak pasar malam jalan Kampung Berangan tersebut.

Kemalangan itu menyebabkan dua kenderaan lain iaitu lori dan kereta proton wira yang mengekori lori terbalik terbabas apabila masing-masing hilang kawalan ketika melalui laluan minyak yang tumpah itu.

Dalam kejadian itu, lori yang terbabas berada di tengah-tengah antara lori terbalik dengan kereta jenis Proton Wira dan akibat jalan licin, Proton Wira itu merempuh belakang lori terbabit, namun kedua-dua pemandu kenderaan ini tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, tumpahan minyak dipercayai minyak pelincir itu tidak diketahui dari kenderaan mana sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan berlaku selepas melalui laluan ini.

“Lori terbabit yang menghala ke Kota Bharu itu hilang kawalan lalu terbalik selepas melalui jalan dengan tumpahan minyak itu. Pemandu terbabit dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Minum arak: Dua tertuduh disebat, dipenjara



KOTA BAHARU – Mahkamah Tinggi Syariah semalam memutuskan dua tertuduh yang melakukan kesalahan meminum arak di hadapan khalayak dihukum enam sebatan dan sebulan penjara mandatori.

Hakim, Abu Bakar Abdullah Kutky menjatuhkan hukuman berkenaan selepas meneliti pendakwaan yang dilakukan Pendakwa Raya, Ramli Abdul Rahman terhadap kesalahan kedua tertuduh yang bertugas sebagai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion ke-16 itu.

Abu Bakar semasa perbicaraannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman yang sama kepada kedua-dua tertuduh iaitu membayar denda sebanyak RM2,500 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda dan dihukum enam kali sebatan dan penjara satu bulan mandatori.

“Kesalahan itu di bawah Seksyen 25 (1) Enakmen Jenayah yang membawa kepada bayaran denda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak lebih daripada tiga tahun dan enam kali sebatan.

“Kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh itu adalah tidak sepatutnya memandangkan usia mereka sudah matang dan boleh berfikir secara jelas,” katanya semasa perbicaraan kes itu.

Abu Bakar berkata, berdasarkan maklumat yang diterima menjelaskan bahawa kedua-dua tertuduh itu meminum arak jenis Chang Classic sebanyak 6.4 mililiter dan meminum dua tin minuman serta pernafasan kedua tertuduh berbau arak sama seperti dalam tin tersebut.

Pada 25 Januari lalu jam 7 malam, Jamal Juhai dan Jamil Sarakawi dari RAMD Kem Desa Pahlawan, masing-masing berusia 26 serta 28 tahun melakukan kesalahan meminum arak di bawah payung dataran Kok Lanas, Kota Bharu.

Hakim menasihatkan tertuduh agar hukuman dijalankan ke atas kedua-duanya memberikan kesedaran dan tidak akan mengulanginya lagi.

Padah akibat memandu laju




SUNGAI LIMAU – Sebuah kereta yang dipandu laju merempuh sebuah lori menghempap lori tersebut terbalik dan menghempap seorang penunggang motosikal dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang, semalam.

Kemalangan yang berlaku itu turut melibatkan dua motosikal lain yang nyaris dihempap lori berkenaan.

Seorang mangsa, Dzulkarnain Ahmad Kamal, 19, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar adiknya ke �sekolah.

“Saya berhenti di persimpangan keluar ke jalan utama dan menunggu ��pengawal mengawal lalu lintas. Tiba-tiba sebuah kereta Waja yang dipandu laju dari arah Sungai Besar merempuh sebuah lori yang sedang melintas masuk ke persimpangan tempat saya menunggu.

“Rempuhan itu menyebabkan lori itu terbalik dan menimpa seorang penunggang motosikal yang berada di depan saya. Manakala, seorang lagi penunggang motosikal dan anaknya hampir masuk ke parit berhampiran di sebabkan insiden berkenaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, pemandu lori dan Dzulkarnain yang terkena sedikit bahagian lori hanya mengalami cedera ringan.

“Penunggang motosikal seorang lelaki berusia sekitar 40-an yang ditimpa lori dibawa oleh orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu kereta Waja tidak dapat dikesan,” katanya.

Sementara itu, pengawal lalu lintas, Abdul Latif Osman, 53, berkata, sebuah lori dari arah Klang melintas masuk ke persimpangan sebelah kanan dan dirempuh kereta Waja yang dipandu laju dari arah Sungai Besar.

“Ketika itu saya sedang menuju ke lampu isyarat untuk menekan punat lampu untuk membolehkan kenderaan dari persimpangan melintas. Belum sempat saya menekan punat lampu, lori melintas dan dirempuh kereta Waja.

“Pemandu kereta Waja cuba memberhentikan kenderaan yang dipandunya berdasarkan kesan geseran tayar, namun gagal lalu merempuh lori itu,” katanya.

Dua bas bawa anggota tentera dibom di Karachi


KARACHI: Sebuah bas yang membawa pegawai tentera laut Pakistan di Karachi dibom hari ini, menyebabkan 15 orang cedera. 


Jurucakap tentera laut Pakistan, Kapten Salman Ali, mengesahkan insiden itu tetapi berkata beliau tidak mengetahui butirannya.
“Kami tidak pasti sama ada ia serangan nekad. Kami sibuk dengan usaha menyelamat dan 15 yang tercedera sudah dibawa ke hospital," kata seorang pegawai kanan polis.
Sebuah lagi bas yang membawa pasukan keselamatan turut dibom di bahagian lain bandaraya itu. - Reuters 

1 maut, 4 cedera kereta terhumban ke gaung


BEBERAPA petugas Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) memeriksa keadaan kereta yang remuk selepas terhumban ke dalam semak di Kilometer 187, arah utara di Jasin, 5 pagi tadi. Nahas itu mengorbankan seorang mangsa manakala empat lagi cedera. - Foto BERNAMA


JASIN: Seorang terbunuh manakala empat lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terhumban ke gaung selepas terbabas di Kilometer 187.5, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara dekat sini, awal pagi tadi. 


Mangsa yang maut dalam kejadian jam 5.40 pagi itu ialah R Selvakumaran, 21, dari Taman Kayangan, Simpang Empat, Hutan Melintang, Perak.
Kereta yang dipandu mangsa dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur, dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu terhumban ke gaung bersebelahan lebuh raya berkenaan.

Polis buru 'Geng Chellu'


JAWI: Polis memburu seorang lelaki berusia dalam lingkungan awal 20-an yang yang dikenali sebagai T Sugunthan bagi membantu siasatan beberapa kes samun bersenjata oleh kumpulan "Geng Chellu" di sekitar daerah Seberang Perai Selatan di sini. 



Ketua Polis Daerah Jawi, Supt Shafien Mamat, berkata lelaki yang menggelar dirinya sebagai "Veera" dari Taman Merak Simpang Ampat itu dipercayai menganggotai kumpulan samun terbabit yang menjalankan kegiatan jenayah sejak tahun lepas.
"Geng itu dipercayai bergerak dalam dua kumpulan kecil yang menjadikan warga asing di kawasan itu sebagai mangsa mereka dengan menyamun wang dan telefon bimbit milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Geng terbabit dianggotai empat lelaki dan bergerak dengan menggunakan motosikal serta bersenjatakan pisau dan parang. 


Tiga lelaki anggota kumpulan itu ditahan dalam serbuan di dua rumah, dekat Simpang Ampat pada 15 April lalu dan polis turut merampas tiga motosikal, sebuah komputer riba dan resit jual beli daripada ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 18 tahun itu. 


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sugunthan diminta

menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA 

Pemilik kereta junam dalam KB Mall dipenjara


KOTA BHARU: Seorang penjaga burung layang-layang dijatuhi hukuman penjara setahun kerana cuai sehingga menyebabkan kematian dua penuntut kolej kejururawatan selepas keretanya menjunam di Kompleks Membeli belah KB Mall pada 2009. 


Masjistret Norhaslinda Che Seman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Sabri Jusoh, 29, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan disabitkan bersalah.
Dia dituduh menyebabkan kematian dengan cuai terhadap Siti Amira Shamsudin, 19, dan Siti Nur Dianah Azman, 23, di kawasan Kompleks Membeli Belah KB Mall, pada 5.10 petang, 6 Disember 2009.
Mohd Sabri didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Dua penuntut kejururawatan Kolej Masterskill Kota Baharu itu meninggal dunia, manakala seorang rakan mereka cedera parah ditimpa Ford Laser yang terjunam dan menimpa mangsa dari tempat letak kereta di tingkat tiga KB Mall itu selepas merempuh dinding lubang angin di situ. 

Siti Amira, dari Gua Musang, mati di tempat kejadian manakala rakannya, Siti Nur Dianah, dari Wakaf Bharu, Tumpat, meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). 

Rakan kolej mereka, Rashidah Ahmad Lotfi, 24, dari Jerteh, Terengganu dan pemandu kereta, Nor Ain Said, 19, yang cedera parah pada kepala, telah dirawat di hospital yang sama. - BERNAMA 

Gabenor Pattani terselamat dalam serangan bom


BANGKOK: Gabenor Pattani, Nipon Narapitakkul, terselamat dalam serangan bom di Pattani hari ini. 


Ketua Polis Pattani, Jeneral Polis Pichet Pitiserttapan, berkata sebutir bom buatan sendiri seberat lima kilogram disembunyikan pada sebuah motosikal dan diletupkan dari jarak jauh ketika kereta gabenor itu melalui daerah Panarek, pada 11.40 pagi.
"Gabenor terselamat kecuali mengalami impak pendengaran awal akibat bunyi letupan itu," katanya.
Beliau berkata, Narapitakkul dalam perjalanan ke pejabatnya selepas merasmikan kursus bahasa Inggeris di sekolah agama Aljamiah Al-Islamiyah di daerah itu. 

"Dua lagi penumpang dalam kereta itu juga terselamat tanpa cedera dan kereta mengalami kerosakan kecil," katanya. 

Lebih 4,000 orang terkorban sejak kumpulan yang disyaki sebagai puak pemisah melancarkan gerakan bersenjata memperjuangkan kemerdekaan bagi tiga wilayah - Narathiwat, Pattani dan Yala, tujuh tahun lalu. - BERNAMA 

Pelajar maut terlanggar tayar lori


IPOH: Seorang pelajar terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Besar, Felda Trolak Selatan, Slim River semalam.
Muhammad Bazli Zuhaili Sharuddin, 15, pelajar Sekolah Menengah Trolak Selatan yang cedera parah di kepala meninggal di Hospital Slim River.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak berkata kemalangan itu berlaku pada pukul 5 petang.

"Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila motosikalnya terlanggar tayar kiri lori di hadapannya ketika hujan lebat," katanya.

Empat lelaki cuba rasuah anggota RELA dipenjara


KUALA LUMPUR: Empat lelaki, tiga daripadanya warganegara asing dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai RELA untuk membebaskan saudara mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman tersebut terhadap Nazmul Haques Late SK. Reazul, 36, warganegara Bangladesh dan seorang warganegara Indonesia yang memiliki taraf penduduk tetap (PR) Agoosahari Suriman 50.

Bagaimanapun Rozilah memerintahkan penjara tambahan lima bulan setiap seorang sekiranya gagal membayar denda itu.

Beliau berkata mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah yang telah menjimatkan masa semua pihak. Bagaimanapun beliau mengingatkan kesalahan jenayah rasuah adalah serius dan tidak boleh dipandang remeh.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Nazmul didakwa memberi rasuah RM800 kepada Hambali Abdul Manap, sebagai dorongan untuk membebaskan saudaranya iaitu Md Rokul Jawan yang ditahan oleh RELA kerana tiada dokumen perjalan yang sah.

Guru SMK King Edward VII ditemui mati


TAIPING: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII Taiping yang dilapor hilang selepas keluar berjoging seorang diri di kawasan Bukit Larut, di sini dua hari lepas ditemui mati hari ini.
Mayat Abdullah Zubir Ismail, 29, ditemui dalam keadaan terbaring di dalam gaung sedalam 10 meter di kawasan bukit itu dengan kesan kecederaan di kepala oleh pasukan penyelamat pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof Diah berkata mayat guru itu dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Jitra, Kedah.

Siasatan awal mendapati guru berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung. Polis tidak mengesyaki perbuatan jenayah, katanya di sini hari ini.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan guru itu daripada rakannya petang Ahad lepas. Dia dilapor hilang selepas keluar berjoging di Bukit Larut pada pukul 10 pagi dan tidak pulang sehingga pukul 7 petang.

Cubaan seludup gula pasir gagal


SEMPORNA: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Semporna merampas 1,925 kilogram gula pasir bernilai RM5,390 yang dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Azim Khan Abdullah berkata gula pasir itu dirampas daripada sebuah bot di kawasan perairan Tobo-Tobo ketika bot itu cuba meninggalkan perairan negara.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot yang didapati dalam keadaan mencurigakan dalam operasi pada pukul 1.15 pagi itu, kami menemui sejumlah bungkusan mengandungi gula pasir yang disusun rapi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata turut dirampas ialah bot berkenaan beserta enjin dalam yang dianggar bernilai RM15,000 dan menahan empat lelaki berumur antara 20 dan 47 tahun untuk membantu siasatan.

Pelajar terbunuh dalam kemalangan


IPOH – Seorang pelajar terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Besar, Felda Trolak Selatan, Slim River semalam.

Muhammad Bazli Zuhaili Sharuddin, 15, pelajar Sekolah Menengah Trolak Selatan yang cedera parah di kepala meninggal di Hospital Slim River.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak berkata kemalangan itu berlaku pada pukul 5 petang.
“Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila motosikalnya terlanggar tayar kiri lori di hadapannya ketika hujan lebat,” katanya.
Dalam kejadian di Tapah pula pada 2.15 petang semalam, seorang warga emas Orang Asli Pang Ensif a/l Yusof, 64, terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ayer Kuning-Tapah.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ayer Kuning apabila dirempuh dari belakang oleh kenderan terbabit yang hilang kawalan selepas kedua-dua tayarnya dikatakan meletup.
Mangsa yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.
Wan Abdullah berkata seorang lagi penunggang motosikal turut terbunuh semalam selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km 4 Jalan Beruas-Ayer Tawar, Manjung.
Mangsa ialah Shaiful Azlan Zakaria, 30, dari Kampung Tualang, Beruas yang terbabit dalam kemalangan pada pukul 1.05 petang.
"Kejadian berlaku ketika mangsa keluar dari satu simpang empat lalu terlanggar tayar belakang sebuah lori menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. - Bernama

Gudang barang samun terbongkar

ANGGOTA polis menunjukkan sebahagian daripada barangan elektrik pelbagai jenis dipercayai disamun yang ditemui disimpan di sebuah gudang di Taman Sentosa Perdana, Klang, hari ini. - Foto Zailani Ahmad
KLANG — Polis Selangor menemui sebanyak 311 unit barangan elektrik pelbagai jenis bernilai lebih RM200,000 dipercayai disamun di sebuah gudang di Taman Sentosa Perdana di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, soal siasat ke atas seorang lelaki warga Nigeria berumur 37 tahun telah membawa polis ke gudang itu kira-kira pukul 5 petang.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas gudang tersebut menjumpai sebanyak 116 unit televisyen pelbagai jenama dan saiz, 48 pemain cakera video (DVD), 21 unit peti ais jenama Sanyo pelbagai saiz, empat unit ketuhar gelombang mikro jenama Sanyo, tiga unit radio jenama Akustik dan 119 buah cerek aluminium.
"Suspek warga Nigeria terbabit telah ditangkap semalam bersama 12 lelaki dan seorang perempuan warga tempatan yang disyaki terlibat dengan kes samun barangan kargo mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Gudang itu dipercayai telah disewa oleh warga Nigeria itu untuk menyimpan barangan tersebut. Turut ditemui disimpan di dalam tiga buah peti ais ialah barangan lain seperti lampin pakai buang dan makanan lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. — Bernama

Keluarga bimbang gadis hilang 16 hari


HULU TERENGGANU — Keluarga seorang gadis berumur 18 tahun yang menghilangkan diri dari rumah sejak 16 hari lalu amat mengharapkan kepulangannya kerana bimbang tentang keselamatannya.

Kehilangan Nur Ain Nasuha Mohd. Zabri sejak 11 April lalu, menyebabkan ibunya Nor Ismidar Idris, 35, tidak lena tidur.
Menurut Nor Ismidar, anak sulungnya dari lima beradik itu yang dipanggil ‘Along’ keluar dari rumah sehelai sepinggang dengan memakai tudung hitam, baju T berwarna ungu dan seluar jeans hitam.
Dia juga turut membawa semua sijil-sijilnya.
"Along kata nak keluar ke bandar pada pagi tu. Ayahnya hantar dia ke pondok menunggu bas pada pukul 8.30 pagi dan membekalkan dia RM50.
"Tetapi sampai pukul 11 malam, dia tak balik dan selepas puas mencari, kami buat laporan polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Mas di sini.
Jelasnya, selepas dua hari kehilangannya, anak gadisnya itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan supaya dia tidak perlu dicari.
Nur Ismidar berkata, dia dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu van, risau kerana ayat dalam mesej yang dihantar anaknya itu lebih tersusun dan tidak seperti kebiasaannya.
Katanya mereka yang mempunyai maklumat tentang gadis itu diharap dapat menghubungi beliau di talian 013-9890716. — Bernama

APMM tahan 14 Nelayan Vietnam di Terengganu


KEMAMAN — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan 14 nelayan Vietnam dalam operasi berhampiran pelantar minyak Tiong Alfa kira-kira 125 batu nautika dari Kuala Terengganu semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, bot nelayan Vietnam itu berjaya ditahan selepas dikejar anggota penguatkuasa sejauh tiga kilometer dalam oeprasi pada pukul 8 pagi
"Kesemua lelaki rakyat Vietnam berusia antara 19 dan 38 tahun itu ditempatkan sementara di Pusat Tahanan Vesel di sini sebelum dihantar ke Penjara Marang untuk direman manakala hasil tangkapan enam tan pelbagai jenis ikan dilelong dengan harga RM1 sekilogram,” katanya kepada pemberita di Pusat Tahanan Vessel Maritim di sini hari ini.
Beliau berkata, bot yang dirampas bersama pelbagai kelengkapan menangkap ikan itu dianggar bernilai RM100,000. Bernama

Tauke perabot maut dalam kejadian langgar lari


GEORGE TOWN, 26 April (Bernama) — Seorang pemilik kedai perabot di Bandar Baru Farlim di sini, maut dalam kemalangan langgar lari di Jalan Air Itam di sini awal hari ini.

Tan Joo Seng, 51, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
Mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Jurucakap polis berkata, motosikal yang ditunggang Joo Seng menghala ke pusat bandar dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pada pukul 1 pagi menyebabkan lelaki itu jatuh di atas jalan.
Polis percaya Joo Seng dilanggar oleh sebuah kereta berdasarkan serpihan cermin yang dijumpai di tempat kejadian, katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Insp Muhammad Najib Zulkifli di talian 013-5163583 atau 04-2181872 atau balai polis berhampiran.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. — Bernama nfak aze sn

Keldai dadah: Hanya seorang wanita ditahan



KUALA LUMPUR 25 April - Hanya seorang wanita tempatan yang menjadi 'keldai dadah' ditahan pihak berkuasa di luar negara kerana kesalahan mengedar dadah sehingga Mac tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, bagi tahun lalu, seramai 13 wanita tempatan ditahan kerana kesalahan sama iaitu berkurangan berbanding pada 2009 iaitu seramai 26 orang.
"Penurunan jumlah tangkapan wanita tempatan itu adalah hasil tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menubuhkan pasukan khas bagi menangani sindiket keldai dadah ini," katanya ketika menggulung perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Warga Australia dipenjara 18 tahun edar dadah



DENPASAR 25 April - Seorang rakyat Australia dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun oleh sebuah mahkamah Indonesia, hari ini kerana kesalahan menyeludup dadah ke pulau Bali.
Michael Sacatides, 43, ditahan Oktober lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bali selepas mendarat dari Bangkok menaiki pesawat AirAsia dengan 1.7 kilogram dadah jenismethamphetamine ditemui dalam beg miliknya.
"Defendan disahkan bersalah kerana menyeludup dadah dan dihukum penjara selama 18 tahun," kata Ketua Hakim Sigit Sutanto ketika menjatuhkan hukuman.
Katanya, Sacatides dijatuhi hukuman lebih dua tahun dari hukuman yang dicadangkan pihak pendakwa raya kerana dia tidak mengaku dadah itu miliknya.
"Dia melakukan jenayah yang boleh membahayakan generasi muda kita dan ia bertentangan dengan kempen kerajaan untuk menghapuskan dadah," ujarnya.
Jurulatih tinju dari Sydney itu akan menyertai beberapa orang teman senegaranya yang dipenjarakan di penjara Kerobokan, Bali atas kesalahan berkaitan dadah. - AFP

Pekerja kilang didakwa merogol



RASAH 25 April – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, dua minggu lalu.
Mohamad Sani Antah, 27, didakwa merogol mangsa pada pukul 9 pagi, 14 April lalu di sebuah rumah di Blok C, Taman Semarak, Nilai.
Timbalan Pendakwa Raya, Aznie Ahmad mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Hakim Mazilah Manap membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Hukuman pemandu lori rogol gadis bawah umur ditambah



KOTA BHARU 25 April - Seorang pemandu lori terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara setelah hukuman penjara lima tahun kerana merogol gadis bawah umur, ditambah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kepada lapan tahun.
Hakim Azman Abdullah turut mengenakan hukuman sebatan tiga kali ke atas Mohd. Faizal Mohamad Yusoh, 26, selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof.
Rayuan itu dikemukakan setelah pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei tahun lalu atas alasan terlalu ringan.
"Kamu sudah beristeri jadi tiada sebab kamu rasa kekurangan seks dan menjadikan mangsa sebagai teman wanita.
"Disebabkan mangsa bawah umur, perbuatan itu dikira rogol walaupun secara rela. Justeru, saya memutuskan hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf kerana menjatuhkan hukuman terlalu rendah dan dengan ini diganti dengan lapan tahun penjara serta sebatan tiga kali," kata Azman ketika membacakan penghakimannya.
Tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun sembilan bulan pada pukul 11 malam, 16 Mei 2009 di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bukit Mas, Bukit Panau, Tanah Merah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Barangan pesanan hanya rekaan





SHAH ALAM 25 April – Seorang peniaga barangan elektrik warga India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 3.9 kilogram ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua tahun lalu.
Hukuman ke atas Samad Mohamad Sulthan, 44, dijatuhkan oleh Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad selepas mendapati pembelaan tertuduh yang diwakili peguam V. Aravindhaksan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan keterangannya tidak boleh dipercayai.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 9.35 malam, 25 Februari 2009 di Kaunter Pemeriksaan Kastam, KLIA.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Hakim itu dalam keputusannya berkata, tertuduh dalam pembelaannya menyatakan, dia mendapat pesanan daripada seorang peniaga di Malaysia yang hanya dikenali sebagai Jaafar untuk menghantar barangan dari India ke negara ini.
Tertuduh mendakwa meminta seorang lagi kenalannya yang hanya dipanggil Ismail mendapatkan barangan tersebut tetapi tidak berjaya.
Ekoran itu, menurut Samad, dia berhasrat membatalkan penerbangannya ke Malaysia tetapi mendakwa dihalang oleh Ismail yang memintanya meneruskan perjalanan ke negara ini untuk menghantar suatu barangan dengan upah RM500.
Tertuduh mendakwa pada 25 Februari 2009, dia berjumpa Ismail di Mumbai dan mengambil barangan yang dimaksudkan tanpa memeriksanya atas alasan percayakan lelaki itu.
Keterangan tertuduh itu disifatkan oleh hakim sebagai tidak logik kerana dia sanggup membeli tiket penerbangan tanpa mengetahui barangan dan kepada siapa ia akan diserahkan.
Justeru mahkamah berpendapat barangan pesanan Jaafar seperti yang didakwa tertuduh hanya rekaan semata-mata.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Khim dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sembunyi dadah dalam bingkai gambar





KOTA BHARU 25 April – Seorang penjual sari warga India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 8,488 gram ketamine, dua tahun lalu.
Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas Mukhtar Shaker Aslien, 53, setelah pihak pembelaan gagal menangkis pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nazian Mokhtar.
Menurut hakim itu, tertuduh telah mendaftar masuk dua beg berisi dadah yang disembunyikan dalam bingkai gambar dari Lapangan Terbang Madras, India melihat tag pada bagasinya.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi, sebaik sahaja melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, tertuduh sejak awal dilihat cuba mengelak membuka kunci beg dan hanya akur setelah dipaksa supaya berbuat demikian.
Hakim itu berkata, sekiranya tertuduh tidak mengetahui begnya berisi dadah, sudah tentu dia terus membukanya apabila diarahkan.
“Tertuduh dilihat terketar-ketar apabila pengadu (pegawai kastam) menghampiri lapisan berisi dadah dan enggan mematuhi arahan pengadu supaya membuka lapisan (bingkai gambar) tersebut,” kata beliau.
Tertuduh yang diwakili peguam P. Dorairaj didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 4.30 petang, 5 Julai 2009 di Kaunter Pemeriksaan Penumpang di lapangan terbang tersebut.

‘Oh bapa mentuaku’


KESAL...Md Rosdi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Md Rosdi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang juruteknik mahu membawa isteri dan anak lelakinya keluar dari rumah mentuanya di Pantai Dalam, di sini, mengundang padah apabila dia bukan saja dibelasah sebaliknya turut diludah dan dibaling dengan batu hingga cedera, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, isteri mangsa yang berusia 24 tahun turut cedera selepas dibaling batu oleh adik iparnya, sepupu isterinya dan bapa mentuanya yang masing-masing berusia 20 hingga 56 tahun.

Mangsa turut dibelasah ketiga-tiga lelaki itu.
Difahamkan, keluarga sebelah isteri mangsa tidak merestui hubungan perkahwinan pasangan itu kerana ‘sentimen kenegerian’ dan sering menyumpah seranah mangsa menyebabkan mangsa nekad keluar dari rumah mentuanya bagi memulakan hidup baru.

Mangsa, Wan Md Rosdi Wan Md Amin, 25, berkata ketika tiba di rumah bapa mentuanya itu, adik iparnya yang berusia awal 20-an membaling batu ke arahnya dan isteri seperti mahu memulakan pergaduhan.

“Pada mulanya, balingan itu tidak mengenai saya dan isteri. Dalam keadaan bimbang, saya turun daripada motosikal sebelum mengetuk pintu rumah mentua.
“Saya meminta izin bapa mentua untuk mengambil pakaian dan anak lelaki berusia lima bulan untuk berpindah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, pada mulanya, bapa mentuanya itu mendiamkan diri, namun selepas keluar dari rumah, adik iparnya melontar batu ke arah mereka sambil diperhatikan bapa mentua dan sepupu isterinya.
“Biarpun balingan itu tidak mengenai saya, namun mengenai kepala isteri yang gagal mengelak. Adik ipar saya berhenti sebaik melihat kakaknya cedera.

“Pada mulanya saya sangkakan mereka akan berhenti, namun kemudian bapa mentua, adik ipar dan sepupu isteri saya itu menyerang dan membelasah saya,” katanya ketika ditemui.

Ketika itu, dia merayu dikasihani sambil menutup kepalanya dengan tangan.

Md Rosdi mendakwa bapa mentuanya tidak membenarkan isteri dan anak lelakinya itu mengikutinya.

“Anak dan isteri saya dipaksa masuk ke dalam rumah itu sebelum mereka mengarahkan saya meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, penderitaannya tidak berakhir di situ apabila kumpulan yang diketuai bapa mentuanya terus melontarkan batu sehingga dia keluar dari kawasan rumah.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Amah jaja tubuh di rumah majikan


KUALA LUMPUR: Digaji untuk membuat kerja dan menjaga rumah majikannya, tetapi seorang amah warga Indonesia menawarkan khidmat seks ketika ketiadaan majikan di rumahnya, di Bukit Kiara, di sini.
Lebih keji, pembantu rumah terbabit yang berusia 24 tahun bekerja dengan majikannya sejak setahun lalu dan melakukan kerja kotornya itu bermula awal tahun ini, setiap kali bersendirian di rumah majikannya itu.

Difahamkan, pembantu rumah terbabit menyasarkan lelaki hidung belang terutama penduduk di kawasan perumahan berkenaan dan mengenakan bayaran perkhidmatan RM50 hingga RM100.

Bagaimanapun, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi, Jumaat lalu, kebodohan pembantu rumah itu meminta pertolongan majikannya menuntut bayaran khidmat seksnya daripada seorang pengawal keselamatan membongkar rahsia pendapatan sampingannya itu.

Berang dengan pembantu rumah terbabit selain kesal dengan sikap pengawal keselamatan yang turut menjadi pelanggan, majikan amah itu membuat laporan di Balai Polis Travers, di sini, kerana bimbang kegiatan tidak bermoral itu berterusan di rumahnya.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 56 tahun itu menyedari kegiatan jijik pembantu rumah terbabit selepas diakui sendiri wanita itu ketika dia bersarapan.


“Pembantu rumah itu resah dan selepas mangsa menanyakan apa yang berlaku, wanita itu menceritakan kepada mangsa.

“Dipercayai, pembantu rumah itu tidak pernah mendatangkan masalah sepanjang dia berkhidmat, malah cermat dalam menjalankan tugas mengemas serta menjaga rumah mangsa.
“Oleh itu, apabila pembantu rumah terbabit menceritakan kejadian terbabit, majikan berkenaan terkejut dengan kegiatan sampingan pembantu rumahnya itu.

“Turut menghairankan mangsa ialah pembantu rumahnya itu dengan berani meminta pertolongannya menuntut bayaran daripada pengawal keselamatan terbabit selepas dia mengaku sudah lama menggunakan rumahnya sebagai ‘port’ melakukan perbuatan terkutuk.

“Mangsa berasa tertipu dengan tindakan wanita terbabit yang melakukan perbuatan terkutuk di rumahnya semata-mata mahu pendapatan lebih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan dijalankan.

‘Kami bagaikan terpukau’


PONTIAN: “Kami bagaikan terpukau dan mengutip siput sedut macam mengutip biji kopi kerana makin lama kami mengutip, makin banyak dapat sehingga tidak perasan berjalan sejauh 500 meter dari pantai.
“Apabila tersedar dan ingin cari jalan pulang, kami mengambil masa tiga jam cuba menyusur jalan dilalui, namun hampa.

“Hari makin gelap hingga air pasang separas bahu dan bagi menyelamatkan diri kami lima sekeluarga termasuk anak saudara berusia 11 tahun berpaut pada dahan pokok bakau selama 20 jam dan tidak tidur kerana bimbang dihanyut arus laut,” kata Faizul Ani, 29, seorang daripada lima mangsa yang sesat ketika mencari siput sedut di pantai Parit Mankuasa Benut, kelmarin.

Mereka ditemui selamat pasukan penyelamat kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, Faizul Ani bersama isteri, Juli Sahizat, 32, anak saudara, Khairul Rumi Azli, 11 dan mentua, Lompak Latorak, 50, dan Zubaidah Musa, 53, leka mengutip siput sedut di pantai.

Lima sekeluarga berkenaan dari Kampung Parit Sayang dan Taman Sri Mahkota datang menaiki van, namun kegagalan mereka pulang menyebabkan keluarga membuat laporan polis, awal pagi semalam.


Faizul ketika ditemui berkata, mereka menahan sakit kerana kaki cedera terpijak teritip dan menggigil kesejukan ditambah hujan lebat.

Selain itu, semua lima mereka lemah kerana tidak menjamah makanan sejak mula mencari siput sedut jam 1 tengah hari, kelmarin.
“Ketika sesat kami cuba menghubungi ahli keluarga tapi gagal kerana dua telefon bimbit dimasuki air dan rosak menyebabkan kami hanya berserah kepada Tuhan,” katanya.

Faizul berkata, pada mulanya mereka gembira kerana mengumpul kira-kira 20 kilogram siput sedut termasuk 40 lokan, tetapi mula gelabah apabila tidak menjumpai jalan pulang.

“Kami mengambil keputusan pulang sewaktu air masih belum pasang pada jam 6 petang tapi buntu kerana sehingga jam 8 malam masih tidak jumpa dan ketika itu air mula pasang. “Air naik hingga paras bahu menyebabkan kami panjat pokok bakau. Ketika itu kami bimbang diserang binatang buas dan berbisa kerana berada di kawasan berair selain terbayang maut bakal menjemput.

“Kira-kira jam 4 pagi saya mendengar suara menjerit sayup dari arah pantai dan membalas jeritan itu dengan harapan ada orang mencari kami.

“Bagaimanapun, selepas tiga kali menjerit, jeritan kami disahut mawas menyebabkan kami terus mendiamkan diri kerana bimbang haiwan itu menyerang,” katanya.

Katanya, sebaik air surut pada kira-kira jam 6 pagi semalam, mereka turun dari pokok dan mencari jalan pulang sebelum terdengar pekikan suara serta cuba menjejakinya sehingga ditemui pasukan penyelamat.

Menurutnya, mereka trauma dengan kejadian itu dan tidak mungkin ke laut lagi buat masa terdekat.

“Saya mula berjinak mencari siput sedut sejak dua minggu lalu, namun selepas pengalaman ini, saya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Ibu kanak-kanak malang berkenaan, Asnah Muhamad, 34, berkata dia serik membenarkan ahli keluarganya ke pantai mencari siput dan menasihati ibu bapa lain tidak membenarkan anak kecil ikut sama mencari hasil laut.

“Saya bersyukur mereka semua selamat tapi serik hendak benarkan anak ke pantai,” katanya.

walaupun sudah biasa sejak kecil,” katanya.

Sementara itu Penolong Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pontian, Atan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 8 pagi semalam dan usaha dilakukan membabitkan 10 anggota di kawasan itu hingga semua mangsa ditemui pada kira-kira jam 1 tengah hari.

500 tahanan lari dari penjara Kandahar

KANDAHAR: Kira-kira 500 tahanan, kebanyakannya pejuang Taliban melarikan diri dari penjara utama di sini semalam, menerusi terowong dalam penjara yang digali kumpulan berkenaan.
Kejadian di bandar kedua terbesar Afghanistan itu menggambarkan kelemahan berterusan kerajaan Afghanistan di selatan negara itu meskipun terdapat ramai tentera, pembiayaan dan penasihat antarabangsa.

Penjara Sarposa yang boleh memuatkan 1,200 tahanan sebelum ini menjalani kerja naik taraf dan peningkatan dari segi kawalan selepas ia menjadi sasaran serangan Taliban pada 2008 hingga menyebabkan 900 tahanan melarikan diri.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, kumpulan itu menggali terowong sepanjang 320 meter hingga memasuki kawasan penjara berkenaan. Ia mengambil masa lima bulan, merentasi pusat pemeriksaan tentera dan jalan raya utama.

Mereka berjaya menembusi penjara itu malam kelmarin, membolehkan tahanan melarikan diri melaluinya dengan diketuai tiga banduan yang sudah mengetahui lebih awal mengenai rancangan itu.

Menurut Zabiullah, lebih 500 tahanan dibebaskan dan 100 daripada mereka adalah pegawai kanan Taliban.


Mereka mengambil masa empat setengah jam untuk muncul di hujung terowong yang terletak di bandar Kandahar. - Reuters

Tentera Syria lepas tembakan rambang ke arah orang awam


DAMSYIK: Sejumlah mayat dilihat bergelimpangan di tepi jalan selepas beribu-ribu tentera Syria disokong kereta kebal melancarkan serangan ke bandar Daraa dan Douma, semalam.
Aktivis hak asasi manusia berkata, pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan rambang ketika menyerbu bandar Al-Muadamiyah berhampiran Damsyik.

Amman pula melaporkan, Syria menutup pintu sempadannya dengan Jordan.

Saksi berkata, lima maut di Daraa apabila kereta mereka ditembak bertubi-tubi tentera kerajaan.

Katanya, tentera menceroboh kediaman dan sesetengahnya menembak tangki air di bumbung rumah bagi mengganggu bekalan air orang awam.

Serangan besar-besaran juga dilakukan ke atas Douma di utara Damsyik.


Aktivis tempatan berkata, tentera mengepung sebuah masjid dan melepaskan tembakan rambang di situ.

“Douma kini terputus hubungan dengan dunia luar,” katanya. - AFP

Tujuh petani rugi sawah dimusnah ribut, hujan lebat


TELUK INTAN: Tujuh pesawah berputih mata apabila kawasan sawah mereka seluas sembilan hektar yang sedia dituai, musnah dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Sungai Manik di sini, petang kelmarin. 


Tanaman padi berusia 89 hari yang rosak dalam kejadian jam 5.30 petang itu merangkumi Parit 7C Permatang dan Kuala Sungai Manik.
Padi jenis MR219 itu rebah dan petani berkemungkinan menanggung kerugian sehingga RM18,000 apabila tanaman tidak dapat dituai sekarang kerana belum benar-benar masak.
Kejadian itu turut menyebabkan bumbung 10 rumah di Parit C Permatang, Parit 1B Kuala Sungai Manik, Parit 6/6R Pekan Rabu dan Parit 8 Chenderong Balai dekat sini, rosak diterbangkan angin hingga menyebabkan penduduk yang kebanyakannya keluarga petani kerugian lebih RM20,000. 

Pesawah dari Parit 7C Permatang, Sallehuddin Imak, 42, berkata beliau kerugian apabila padinya di sawahnya seluas 0.4 hektar tumbang. 

“Saya sedih kerana padi yang tumbang ini hanya perlu menunggu 20 hari saja lagi untuk dituai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Seorang lagi mangsa, Azmi Idar, 46, berkata dia bersama isteri, Basiah Ramli, 42, serta enam anak mereka sedang berehat di rumah di Parit 3 Kuala Sungai Manik, apabila bumbung dapur rumah mereka tiba-tiba diterbangkan ribut. 
Keluarganya kini terpaksa tidur di Dewan Orang Ramai Kuala Sungai Manik kerana rumah mereka digenangi air hujan.

Dua ibu tunggal, Saedah Halus@Muhammad, 48, dan Siti Zohra Aini, 35, masing-masing bekerja di stesen minyak dan syarikat menjual kereta di Teluk Intan juga terkejut apabila pulang ke rumah apabila mendapati bumbung dapur rumah mereka juga diterbangkan angin. 

Bagaimanapun, Siti Zohra bersyukur kerana dua anaknya yang baru pulang dari sekolah ketika kejadian berlaku, terselamat. 

Sementara itu, Exco Kerajaan Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang melawat mangsa memaklumkan Jabatan Pertanian sedang membuat bancian kerugian petani, selain memberi jaminan bantuan akan dihulurkan segera. 

Lelaki rogol, samun pelajar kena 30 tahun


MOHD Karimi    dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka selepas dijatuhi hukuman,  semalam.
MOHD Karimi dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka selepas dijatuhi hukuman, semalam.
AYER KEROH: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 44 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah merogol dan menyamun seorang pelajar universiti, selain menceroboh asrama siswi di Jalan Tun Mutahir disini, minggu lalu.

Mohd Karimi Kamal Arifin, 22, dari Lorong Mata Kuching membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Katar sebaik tuduhan selesai dibacakan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa berusia 19 tahun di Kolej Siswi Tun Mutahir, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka pada kira-kira jam 2.20 petang, 18 April lalu.
Bagi kesalahan ini, Mohd Karimi dikenakan penjara 30 tahun dan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun harta milik mangsa membabitkan sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM133, selain mencederakannya sehingga lebam pada muka dan leher di lokasi dan tarikh sama, kira-kira jam 2.25 petang.

Berikutan itu, Mohd Karimi dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah mangsa di lokasi dan tarikh sama, kira-kira jam 2.15 petang. Dia dikenakan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan ini.
Terdahulu, ketika merayu hukuman diringankan, Mohd Karimi memberi alasan dia sudah menyesal dan berjanji tidak mengulangi perbuatan jenayah itu.

Mahmoodah bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh melakukan jenayah serius yang tidak berperikemanusiaan iaitu merogol dan menyamun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

“Tertuduh sanggup menumbuk muka dan menghentak kepala mangsa ke dinding tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang ketika itu turut menyatakan sedang haid, lalu bertindak merogol mangsa. Akibat kejadian itu, mangsa trauma dan terpaksa menangguh pengajiannya,” katanya.

Abu Bakar kemudian mengarahkan semua hukuman itu dijalankan serentak, menyebabkan Mohd Karimi hanya akan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun dan 16 sebatan. -bharian