Search This Blog

Monday, April 25, 2011

Polis Russia bebaskan anak Kaspersky yang diculik





2011/04/25

MOSCOW: Polis Russia menyelamatkan anak pemilik pembangun perisian utama Russia, Kaspersky yang diculik minggu lalu, kata syarikat itu. 

Evgeny Kaspersky, 45, pemilik dan pengurus Kaspersky Lab, berkata anak lelakinya Ivan yang berusia 20 tahun dibebaskan dan tiada wang tebusan yang dibayar.
Minggu lalu, media tempatan melaporkan kejadian penculikan itu tetapi ia tidak disahkan Kaspersky ketika itu.
Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata risikan Russia terbabit dalam operasi berkenaan bagi membebaskan remaja yang diculik itu. 

Menurutnya lagi, Ivan tidak dicederakan dan berada di lokasi selamat. - AP 

Guru sekolah hilang


IPOH: Seorang guru Sekolah Menengah King Edward Taiping dilapor hilang selepas keluar berjoging seorang diri di kawasan Bukit Larut, Taiping pagi semalam.
Kehilangan Abdullah Zubir Ismail, 29, disedari oleh rakannya apabila dia tidak pulang ke rumahnya petang semalam.

"Sehingga kini operasi mencari guru berkenaan masih diteruskan," kata Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof Diah.

Beliau berkata guru itu dikatakan berjoging seorang diri pada pukul 10 pagi dan tidak pulang ke rumah sehingga pukul 7 petang semalam.

Rakannya yang juga seorang guru di sekolah yang sama membuat laporan polis mengenai kehilangan guru itu, katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yusof berkata polis dengan kerjasama Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melancarkan gerakan mencari sejurus menerima laporan kehilangan guru berkenaan.

Penjenayah pura-pura buat laporan polis


SHAH ALAM: Helah seorang lelaki yang membuat laporan polis bahawa bahu kirinya cedera kononnya terkena peluru sesat terbongkar apabila polis mengecamnya sebagai salah seorang suspek yang melarikan diri selepas cuba menyerang anggota polis di Kampung Air Kuning, Sungai Rasau di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata lelaki berusia 26 tahun itu diberkas semasa memberi kenyataan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada 5.30 petang tadi.

Sebelum ini pada kira-kira 6.45 pagi, lelaki yang ''berpura-pura'' terkena peluru sesat itu dan rakannya cuba ditahan oleh dua anggota polis kerana berkelakuan mencurigakan di Taman Sri Muda di sini.kata Zahedi kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun kedua-dua suspek yang menaiki motosikal enggan berhenti malah cuba menyerang anggota polis dengan parang semasa dikejar di Taman Air Kuning hingga memaksa polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, katanya.

Kedua-dua suspek kemudian meninggalkan motosikal untuk melarikan diri di Taman Rashna berhampiran sebuah tugu keris di sini, kata Zahedi kepada pemberita hari ini.

Dua beradik ditahan kerana miliki dadah


TELUK INTAN - Polis menahan dua beradik setelah menemui 18 gram heroin dipercayai milik mereka dalam serbuan di rumah dua beranak itu di sini pada kira-kira 5.30 petang Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, lelaki berumur 53 tahun dan adik perempuannya berumur 42 tahun itu ditahan selepas polis menemui dadah berkenaan di rumah mereka.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Goh berkata, siasatan polis mendapati lelaki itu mempunyai 14 kesalahan lampau membabitkan jenyah dan dadah dan menurutnya dua beradik itu ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan. - Bernama

Nelayan Vietnam ditahan pungut gamat


KUALA TERENGGANU - Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) menahan 15 nelayan Vietnam yang menggunakan bot tempatan menceroboh ke kawasan perairan Taman Laut Pulau Yu Kecil, Pulau Redang, dekat sini Khamis lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pelesenan JTLM, Abd Rahim Gor Yaman berkata, nelayan itu ditahan semasa sedang memungut gamat kira-kira 0.27 batu nautika dari Pulau Yu Kecil, Pulau Redang.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau berkata, perbuatan mereka itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 43 (1)(b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan iaitu melanggar syarat lesen.
Menurutnya kawasan Taman Laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan menurut peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994), jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Pekerja KTMB temui 10 jari manusia dekat Sesen Kuang


KUALA LUMPUR - Seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sedang memeriksa trek kereta api terkejut apabila menemui 10 jari manusia dalam sebuah beg plastik berhampiran Stesen Kuang, dekat sini hari ini.

Sharudin Manaf dilaporkan menemui jari-jari tersebut dalam sebuah beg plastik berwarna putih kira-kira pukul 10 pagi, kata Ketua Polis Daerah Gombak ACP Rahim Abdullah kepada Bernama, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Turut ditemui dalam beg plastik itu ialah pita pelekat berwarna hijau, manakala sehelai baju berwarna hitam berbelang putih serta seluar panjang hitam ditemui berhampiran beg plastik tersebut, katanya.
"Cap jari itu akan dirujuk segera ke Sistem Cap Jari Automatik Malaysia (MAFIS) untuk mengenalpasti butir-butir mangsa,” kata beliau.
Rahim berkata, perlakuan jenayah itu dipercayai dilakukan kurang dari tempoh 24 jam.
Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan jari tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Pengusaha ladang terkejut terima peluru hidup


KEMAMAN - Seorang pengusaha ladang kelapa sawit terperanjat besar apabila menerima satu sampul surat berisi peluru hidup yang dihantar orang tidak dikenali, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Abdullah Sani Salat berkata, sampul surat berwarna coklat itu diletakkan di dalam peti surat di rumahnya di Taman Haji Wang Ngah, Chukai di sini.
"Bimbang keselamatannya mungkin terancam, lelaki itu terus membuat laporan polis di Balai Polis Kemaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat sini hari ini.
Beliau berkata, polis mengambil peluru 19 milimeter itu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah secara bersembunyi. - Bernama

Polis cari saksi lelaki untuk kes penipuan


KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan seorang saksi lelaki berkaitan satu kes penipuan bagi perbicaraan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 5 Mei.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) ASP Suffian Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil mengesan saksi, Herwin Efendi Abdullah beralamat di No 2 Jalan Terbul 8/2 Petaling Jaya, Selangor dan bernombor kad pengenalan 780506-14-5697.
"Kes penipuan yang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Jenayah (4),” katanya. - Bernama

Ketamin: Peniaga warga India ke tali gantung


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang peniaga barangan elektrik warga India setelah didapati bersalah mengedar dadah ketamin seberat 3.9kg di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dua tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman ke atas Samad Mohamad Sulthan, 44, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan ke atas Samad mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 melampaui keraguan munasabah.
Semasa membacakan keputusannya di akhir kes pembelaan, Siti Mariah berkata, di dalam pembelaannya tertuduh tidak memanggil saksi pendakwaan dan gagal memanggil saksi yang hanya dikenali Jaafar di mahkamah untuk memberikan keterangan atas alasan Jaafar sibuk dengan perniagaannya. - Bernama

Penyeludupan 13 lelaki Afghanistan dipatahkan


ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 13 lelaki rakyat Afghanistan ke Indonesia menggunakan bot pancung di pantai Kuala Sungai Baru, di sini malam tadi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim 5 Kuala Linggi Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, kesemua lelaki yang ditahan itu berusia antara 16 dan 43 tahun dan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Australia.
"Siasatan awal mendapati mereka memasuki negara ini melalui beberapa laluan seperti Rantau Panjang, Kelantan dan Johor Baharu, Johor,” katanya kepada pemberita pemberita di pejabat APMM di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit sebelum itu menaiki kapal terbang melalui Lahore (Pakistan), Colombo (Sri Lanka), Bangkok (Thailand) dan Singapura sebelum memasuki negara ini.
"Dipercayai mereka dikenakan bayaran antara AS$5,000 hingga AS$17,000 setiap seorang oleh satu sindiket antarabangsa yang dibantu oleh sindiket tempatan,” katanya. - Bernama

Dua beradik ditahan kerana miliki dadah


TELUK INTAN - Polis menahan dua beradik setelah menemui 18 gram heroin dipercayai milik mereka dalam serbuan di rumah dua beranak itu di sini pada kira-kira 5.30 petang Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, lelaki berumur 53 tahun dan adik perempuannya berumur 42 tahun itu ditahan selepas polis menemui dadah berkenaan di rumah mereka.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Goh berkata, siasatan polis mendapati lelaki itu mempunyai 14 kesalahan lampau membabitkan jenyah dan dadah dan menurutnya dua beradik itu ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan. - Bernama

476 banduan penjara Afghanistan loloskan diri


KABUL: Sejumlah 476 banduan meloloskan diri dari penjara Kandahar, Afghanistan menerusi laluan terowong, kata Pengarah Penjara, Jeneral Ghulam Dastageer Mayar, hari ini. 


“Sebuah terowong sepanjang ratusan meter digali dari selatan penjara menuju ke arah penjara. Seramai 476 tahanan politik melarikan diri malam tadi,” katanya. - AFP

Gempa 6.2 Gegar Pulau Sulawesi



SINGAPURA: Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda pulau Sulawesi di Indonesia pada Isnin, menurut agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Menurut USGS, gempa bumi itu berlaku pada 2307 GMT (7.07 pagi waktu Malaysia) 108 kilometer ke timur of Baubau pada kedalaman 10 kilometer. - Reuters

Banduan loloskan diri


KABUL: Sejumlah 476 banduan meloloskan diri dari penjara Kandahar, Afghanistan menerusi laluan terowong, kata Pengarah Penjara Afghanistan, Jeneral Ghulam Dastageer Mayar, hari ini.
“Sebuah terowong sepanjang ratusan meter digali dari selatan penjara menuju ke arah penjara. Seramai 476 tahanan politik melarikan diri malam tadi,” katanya.

Kena samun depan rumah



REMBAU - Sepasang suami isteri kerugian kira-kira RM5,800 apabila disamun sekumpulan lelaki bermotosikal menggunakan parang, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin, di Taman Datuk Lela Maharaja, Chembong.

Mangsa, Abdul Latip Alias, 53, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya duduk berehat di pangkin rumah jiran, didatangi dua motosikal dinaiki empat lelaki dipercayai Melayu menghampiri mereka bertanyakan jalan ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika dia dan isteri memberikan penerangan kepada lelaki terbabit, secara tiba-tiba pembonceng motosikal bertindak berani mengacukan parang ke arah mereka dan mengarahkan untuk memberi semua barang berharga.

“Saya terkejut apabila diacukan parang dan mereka mengugut akan mencederakan kami jika tidak mengikut arahan.

“Isteri saya cuba melawan tetapi dengan pantas mereka dapat meragut gelang emas yang dipakainya,” katanya.

Abdul Latip berkata, mereka turut merampas jam tangan dan telefon bimbit miliknya sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami kecederaan.

“Kami trauma dengan kejadian ini dan telah membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu diharap dapat memberi pengajaran kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan orang tidak dikenali terutama yang datang secara berkumpulan.

“Niat kami ikhlas untuk membantu tetapi disalah guna oleh mereka yang berniat jahat untuk mendapatkan duit cara salah.

“Mereka juga bertindak berani apabila menggunakan senjata menakut-nakutkan orang ramai dan sanggup mencederakan mangsa,” katanya.

Awas taktik wanita cantik



BATU BERENDAM - “Berhati-hati apabila anda didatangi seorang wanita cantik dan jangan mudah terpedaya dengan apa yang dikatakannya.”

Amaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong itu berikutan beberapa insiden membabitkan seorang wanita dan dua rakannya dikatakan sering menjadikan warga emas sebagai sasaran penipuan.

Poay Tiong berkata, kumpulan itu sering menjadikan warga emas yang bersendirian di rumah sebagai mangsa yang akhirnya terpedaya dengan mulut manis mereka.

Menurutnya, dalam kes terbaru yang dimaklumkan kepadanya, seorang nenek berusia 70 tahun menjadi mangsa kepada kumpulan berkenaan, Selasa lalu.

“Dalam kejadian ini, mangsa yang menunggu di sebuah pondok bas di Bukit Beruang telah didatangi salah seorang daripada ahli kumpulan berkenaan.

“Mereka bertanya kepada mangsa sama ada mengenali mana-mana pengamal perubatan untuk mengubat suaminya yang berperangai ganjil selepas minum sejenis minuman,” katanya.

Poay Tiong berkata, kedua-dua mereka kemudiannya didatangi seorang lagi ahli kumpulan yang mendakwa mempunyai seorang kawan yang boleh mengubati suami wanita terbabit.

“Pada masa itu, ‘kawan’ wanita berkenaan iaitu wanita cantik ini muncul dan pada masa sama telah memaklumkan kepada mangsa bahawa dia dapat ‘melihat’ keadaan rumahnya yang turut dihuni makhluk lain.

“M:angsa turut diberitahu bahaya akan menimpanya sekiranya kehadiran makhluk berkenaan tidak diambil sebarang tindakan,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit kemudiannya meminta mangsa mengambil barang kemas dan wang dari rumahnya sebelum membungkusnya untuk ‘dibersihkan.’

“Akur dengan arahan, mangsa telah mengambil barang kemas dan wangnya sebelum dibungkus dan diserahkan kepada wanita berkenaan untuk ‘dibersihkan.’

“Barangan ini kemudiannya diserahkan kembali kepada mangsa dan dinasihatkan supaya jangan membuka bungkusan berkenaan sebelum dia tiba di rumah serta tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai pertemuan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, apabila membuka bungkusan itu di rumah, mangsa mendapati ia mengandungi botol air mineral dan gumpalan kertas.

“Mangsa kerugian kira-kira RM5,000 termasuk mata wang asing dalam kejadian berkenaan,” katanya. 

Pencuri lembu kecundang, ditangkap penduduk



SERI MANJUNG – Percubaan enam lelaki mencuri lembu di ladang kelapa sawit Ayer Tawar, dekat sini gagal apabila empat daripada mereka ditangkap sekumpulan penduduk, 19 April lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, polis menerima panggilan berhubung penangkapan empat suspek itu pada jam 12.00 tengah hari.

Menurutnya, penternak lembu berjaya mengesan enam lelaki mencurigakan yang cuba menembak lembunya di kawasan ladang berkenaan.

“Penternak lembu kemudiannya memanggil penduduk untuk menangkap enam lelaki itu, malangnya dua daripada mereka berjaya melarikan diri.

“Suspek dipercayai menggunakan senapang angin buatan sendiri yang berisi ubat pelali,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Jamil berkata, polis percaya lembu yang berjaya ditembak dan pengsan akan dibawa lari menggunakan lori.

“Pemilik lembu telah beberapa kali berdepan dengan masalah kehilangan ternakan sebelum ini dan kali ini suspek tumpas.

“Polis telah membuat tangkapan semula dan merampas satu laras senapang angin, satu tabung angin, tiga ubat pelali dan satu guni berisi tali,” katanya.

Katanya, semua suspek yang berasal dari Ayer Tawar dan berusia 25 hingga 38 tahun, masih ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Warga emas seleweng minyak



TELUK INTAN - Dua warga emas ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Teluk Intan apabila dipercayai terlibat dalam satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di kawasan Hutan Melintang.

Ketua Cawangan Pejabat KPDNKK Teluk Intan, Omar Ismail berkata, tangkapan dibuat ketika beliau melakukan rondaan dalam satu operasi membanteras kes penyelewengan minyak ini bersama beberapa anggota penguatkuasa KPDNKK.

Menurutnya, menerusi rondaan itu, pihaknya menemui seorang lelaki berumur 66 tahun berdiri di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan bersama beberapa tong minyak di Batu 8, Jalan Teluk Intan - Hutan Melintang dekat persimpangan masuk Kampung Sungai Buluh kira-kira jam 4.30 pagi.

“Kami turut menemui sebuah pam yang dipercayai digunakan untuk menyedut minyak daripada lori yang singgah di situ.

“Apabila pemeriksaan dan soal siasat dijalankan terhadap lelaki itu, kami mendapati warga emas tersebut sedang menunggu lori besar yang dipercayai digunakan bagi melakukan aktiviti haram ini,” katanya kepada pemberita di Pejabat KPDNKK Cawangan Teluk Intan.

Omar berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek sendiri mengakui terlibat dalam kegiatan haram ini dan membawa pihaknya ke sebuah pusat pengumpulan minyak terletak kira-kira 100 meter dari tepi jalan utama itu

Menurutnya, pihaknya juga menemui sejumlah 650 liter minyak diesel dipercayai minyak bersubsidi dalam tiga tong yang memuatkan kira-kira 200 liter setiap satu.

“Kami juga turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun dipercayai pemilik lori berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapati tong 200 liter itu akan dijual dalam lingkungan RM280 setiap satu.

Katanya, pihaknya merampas semua barangan termasuk minyak dan lori yang bernilai anggaran RM21,200.

“Kes tersebut disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman penalti denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mangsa terpelanting



IPOH – Akibat melanggar lampu isyarat merah, seorang lelaki berusia 40 tahun maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabit dalam satu kemalangan berhampiran kilang Percetakan Nasional di Jalan Kuala Kangsar, tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, M Mogan, maut serta-merta di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab berkata, siasatan awal mendapati mangsa maut akibat kecuaiannya melanggar lampu isyarat merah sebelum dilanggar sebuah kereta yang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya.

“Kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa keluar dari simpang Jalan Cetak menuju ke arah Chemor dan melanggar lampu isyarat merah.

“Sewaktu motosikal mangsa melintasi jalan, kereta yang datang dari arah bertentangan gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa terpelanting daripada motosikal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Rodzi berkata, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis berhubung kemalangan itu.

Empat nelayan ditahan



ALOR SETAR - Cubaan empat lelaki disyaki nelayan menyeludup rokok bebas cukai dari Langkawi bernilai RM372,834 berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi penguatkuasaan kira-kira tiga batu dari muara Sungai Kedah, Kuala Kedah lewat petang Rabu lalu.

Selain rokok pelbagai jenama, turut ditahan dua bot gentian kaca dan dua enjin sangkut Yamaha 60 kuasa kuda, menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM412,834.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Muhammad Abdul Basar Taji berkata, ini adalah rampasan pertama di pangkalan maritim Kuala Kedah membabitkan 3,300 kartun rokok yang diisi dalam kotak dibaluti plastik merah, hitam dan hijau.

“Bot ronda APMM mengejar dua bot yang bergerak seiring memasuki Sungai Kedah, dan setelah menyedari kehadiran APMM, bot suspek dipandu laju menuju ke jeti kecil dan empat suspek melarikan diri ke kawasan hutan nipah berdekatan,” katanya pada sidang media, di pejabat APMM, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot yang ditinggalkan dipenuhi muatan rokok pelbagai jenama. Sebanyak 1,400 kartun dirampas daripada bot pertama dengan nombor pendaftaran KHS3371, manakala bot kedua tanpa nombor pendaftaran sebanyak 1,900 kartun.

“Ketika pemeriksaan, terdapat 70 kotak yang dibungkus membabitkan nilai rampasan bernilai RM42,000 manakala cukai taksiran RM329,934, menjadikan jumlah keseluruhan RM372,834,” katanya.

Muhammad Abdul Basar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Kastam. Jika sabit kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan lebih 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Rokok yang dirampas dipercayai untuk pasaran Kuala Kedah dan tidak menolak kemungkinan juga untuk pasaran Alor Setar,” katanya.

Pemandu ambulans ditahan miliki syabu



CAMERON HIGHLANDS - Seorang pemandu ambulans di sebuah pusat perubatan, dekat sini, yang dalam perjalanan pulang ke pusat perubatan itu selepas menghantar pesakit ditahan bersama sepaket serbuk lutsinar dipercayai dadah jenis syabu, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, pemandu berusia 39 tahun itu yang mempunyai lima cahaya mata ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Cameron Highlands ketika sedang melalui di Jalan Besar hadapan IPD Cameron Highlands.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata, sebaik saja menyedari van yang dipandu melalui jalan di depan IPD, polis mengarahkannya berhenti di tepi jalan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, pemandu terbabit mengikut arahan berhenti di tepi jalan sebelum anggota polis menjalankan pemeriksaan fizikal pada tubuh serta dalam van berkenaan sebelum menemui sepaket plastik lutsinar di poket seluar suspek.

Katanya, hasil siasatn lanjut mendapati bahan berbentuk kristal adalah dadah dipercayai jenis syabu seberat 0.5 gram.

“Hasil ujian air kencing mendapati pemandu terbabit positif menggunakan dadah jenis Methamphithamine.

“Siasatan mendapati, pemandu terbabit yang tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini mendakwa mendapat bekalan dari satu sindiket di sebuah daerah di negeri ini,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis sudah memaklumkan berhubung kejadian itu kepada ahli keluarganya dan suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952.

Rogol dalam asrama



AYER KEROH - Seorang lelaki yang merogol seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negeri ini sanggup memanjat pagar kawasan asrama sebelum memasuki bilik mangsa semata-mata mahu melampiaskan nafsunya serakahnya.

Lelaki berumur 22 tahun itu dikatakan masuk ke dalam bilik mangsa yang tidur keseorangan, sementara empat rakan serumahnya keluar ke bandar dan lima lagi yang lain pulang ke kampung sempena cuti minggu belajar.

Mangsa berumur 19 tahun dan ketika itu demam cuba melawan namun tidak berjaya menghalang perbuatan lelaki bernafsu haiwan itu selepas dipukul.

Menurut sumber, ketika kejadian jam 2.15 petang Isnin minggu lalu, suspek melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas menyamun barang milik mangsa.


Katanya, mangsa tersedar daripada tidurnya apabila mendengar bunyi pintu bilik dibuka dan ditutup sebelum terperanjat melihat seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan bogel berdiri di tepi katilnya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek berjaya ditangkap pengawal keselamatan asrama terbabit.

“Suspek yang menyorok dijumpai di kawasan asrama dan kemudian diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan samun mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Misteri kehilangan ternakan terjawab



BALAI BESAR - Misteri kehilangan binatang ternakan milik penduduk sekitar sejak akhir-akhir ini terjawab apabila seekor ular sawa batik berjaya ditangkap pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dekat sini, pagi kelmarin.

Kehadiran spesies reptilia sepanjang kira-kira 5.5 meter kira-kira jam 10 pagi di hadapan pintu rumah itu menyebabkan seorang penduduk, Mohd Ridhuan Sakana, 33, yang sedang berehat di rumahnya cemas seketika sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan segera.

Ular sawa batik yang dipercayai baru membaham ayam ternakan milik penduduk berhampiran pada malam sebelumnya itu berjaya ditangkap lalu dibawa ke pejabat JPAM Dungun sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

Buruh kena penjara 15 tahun, 13 sebatan



KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam terhadap dua pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine seberat 40.49 gram pada November 2009.

Tertuduh, A Bahagia Yusof, 36, dari Kampung Batu 7, Jalan Paka, Dungun mengaku bersalah di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan juga di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Zalina Awang @ Mamat di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, manakala tertuduh diwakili peguam bela Ghazali Ismail.

Mengikut fakta kes, tertuduh, bapa kepada tiga anak ini ditangkap pada 3 November 2009, kira-kira jam 11.15 malam dalam serbuan khas anggota polis Narkotik daerah Dungun yang diketuai Inspektor V Ravi ketika sedang membungkus dadah di ruang tamu kediamannya di Jalan Tok Kah, Dungun.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menukarkan pertuduhan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh digantung mandatori kepada 39A (2) ADB 1952 dan juga Seksyen 12 (2) ADB 1952.

Selepas mendengar rayuan tertuduh yang diwakili peguam belanya, hakim Mohd Yazid menjatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 dan penjara selama empat tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952.

Semua hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh ditangkap iaitu pada 3 November 2009.

Tayar lori tangki terbakar



KUALA ABANG – “Ketika sedang menumpukan perhatian memandu, tiba-tiba datang sebuah kereta cuba memotong lori saya lalu membunyikan hon yang kuat. Saya melihat melalui cermin sisi lalu ternampak api. Tanpa berlengah saya terus memberhentikan lori di tepi jalan,” kata Rosmawi Atan, 31, yang berdepan detik cemas apabila tayar lori tangki dipandunya terbakar.

Menceritakan penglaman mencemaskan itu, Rosmawi berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 malam itu, dia dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu untuk menghantar bahan api petrol dan diesel.

Menurutnya, sebaik melihat percikan api setelah diberitahu pemandu kereta terbabit, dia yang memberhentikan kenderaannya cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam, namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Nasib baik bomba cepat tiba, kalau tidak saya tidak dapat bayangkan letupan yang mungkin bakal berlaku kerana lori yang saya pandu sarat dengan 47,000 liter muatan bahan api,” katanya.

:Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Razali Omar berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan daripada pemandu terbabit.

“Api dipercayai berpunca daripada tayar yang terbakar, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Rasuah pegawai polis



KOTA BHARU – Seorang peniaga kain dijel sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam merasuah pegawai polis sebanyak RM2,775 supaya tidak mengambil tindakan bagi kes dadah yang dihadapinya.

Hakim Irwan Suainbon turut memerintahkan tertuduh, Eleszulhelmie Ilias, 23, penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tertuduh yang berniaga kain di pasar malam didapati bersalah dalam pertuduhan pilihan memberi wang RM2,775 kepada Asisten Superintendan Basar Salam yang bertugas di Bahagian Teknikal dan Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, pada jam 4.45 pagi, 28 Ogos tahun lalu.

Dia yang diwakili peguambela, Ahmad Nuri memberikan wang itu sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya bagi kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Ahsan Latif memohon mahkamah mengenakan hukuman serius kerana kesalahan yang dilakukan berat.

“Hukuman yang dikenakan perlu mengambil kira kepentingan awam kerana kerajaan begitu serius membanteras kegiatan ini di kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad berkata, pengakuan anak guamnnya menjimatkan masa mahkamah dan ia dibuat secara sukarela tambahan pula ia kesalahan pertama tertuduh.

Menurutnya, tertuduh juga bukan penjenayah tegar, baru berusia 23 tahun dan berpendapatan antara RM700 hingga RM1,000 sebulan hasil berniaga kain di pasar malam.

Katanya, tertuduh anak bongsu daripada tujuh beradik menyara ibu bapanya yang berusia 60an dan 70 an manakala adik beradiknya yang lain tidak tinggal di Kelantan.

“Saya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara tidak melebihi sehari dan denda paling minimum terhadap anak guam saya,” katanya.

Kantoi asyik urut badan ke badan



PUCHONG – Gara-gara asyik mengurut pelanggan dari badan ke badan (B2B), seorang tukang urut dan pelanggan tidak sempat menyarung pakaian ketika sebuah premis urut diserbu lewat malam kelmarin.

Ketika serbuan, tiga pekerja sedang menunggu pelanggan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis dengan keluar menerusi tingkap dan meniti di papan tanda iklan premis berkenaan, namun mereka berjaya diberkas beberapa minit selepas itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, dalam serbuan diketuai Pegawai Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Cif Inspektor Roslin Mohamadisa, seramai 13 ditahan termasuk seorang penjaga dan dua pelanggan.

“Sepuluh warga China ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30-an dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 372 kerana melacur.

“Manakala tiga lagi warga tempatan termasuk seorang pelanggan Melayu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, premis terletak di Jalan Kenari 17F, Puchong Jaya di sini berselindung di sebalik perniagaan urutan kaki itu dipercayai turut menyediakan khidmat pelacuran:.

43,000 Liter Diesel Subsidi Nelayan Ditemui Di Bukit Puchong



KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya mengesan 43,000 liter diesel dipercayai daripada penyelewengan subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong dekat sini awal pagi, Ahad.
Dalam operasi kira-kira 2 pagi itu, KPDNKK turut menahan tiga lelaki termasuk penjaga setor di kawasan itu untuk siasatan, kata Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya Mohd Roslan Mahayudin hari ini.
Beliau berkata hasil maklumat awam, pasukan itu mengekori sebuah treler dari Teluk Intan, Perak dan memberkas pemandu dan kelindannya ketika sedang mengepam masuk kira-kira 25,000 liter diesel dari sebuah tangki dalam treler ke dalam sebuah tangki di kawasan perindustrian itu.
Hasil pemeriksaan lanjut, katanya pasukan itu turut menemui 18,000 liter diesel lagi di dalam sebuah tangki di kawasan perindustrian berkenaan.
"Kami menerima aduan daripada orang awam minggu lepas. Dengan mengekori treler kargo ini, kami dapat menahan pemandu dan kelindannya," katanya kepada pemberita di sini.
Mohd Roslan berkata pasukan itu mendapat aduan awam minggu lepas bahawa Persatuan Nelayan Teluk Intan menyeleweng minyak diesel subsidi apabila membekalkannya kepada pihak industri di kawasan Puchong.
"Diesel subsidi yang diberikan kerajaan untuk kegunaan mereka telah disalahgunakan...ini perbuatan yang serius.
"Kita dapati hal ini kerap berlaku khususnya di kawasan-kawasan nelayan. Saya meminta kerjasama orang ramai untuk membuat aduan demi membanteras perbuatan ini," katanya.
Ketiga-tiga lelaki itu, yang berumur dalam lingkungan 40-an, akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Rasuah: Peniaga pasar malam dipenjara sehari, denda RM10,000



Eleszulhelmie Ilias mengaku salah kerana cuba merasuah polis dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 24 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap seorang peniaga pasar malam, Eleszulhelmie Ilias kerana cuba merasuah pegawai polis sebanyak RM2,775 tahun lalu.
Hakim Irwan Suainbon turut memerintahkan Eleszulhelmie, 23, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Balai Polis Kubang Kerian, kira-kira pukul 4.45 pagi pada 28 Ogos tahun lalu.
Eleszulhelmie didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh diwakili peguam Ahmad Nurie, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Ahsan Abd. Latif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebelum itu ditangkap sepasukan anggota polis di sekitar daerah ini kerana melakukan kesalahan berkaitan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketika ditangkap, polis menemui beberapa pil dipercayai dadah di dalam kereta dinaiki tertuduh termasuk wang tunai sebanyak RM2,775 dan dia dibawa ke Balai Polis Kubang Kerian untuk siasatan.
Dalam proses siasatan itu, tertuduh didakwa cuba merasuah Asisten Supritendan Basar Salam dari Bahagian Teknikal dan Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah negeri sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan, tetapi ditolak oleh pegawai berkenaan yang kemudiannya membuat aduan kepada SPRM.
Dalam prosiding hari ini, peguam tertuduh, Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan ia kesalahan pertama tertuduh dan anak bongsu daripada tujuh beradik itu terpaksa menanggung ibu bapanya.
"Dengan pendapatan sebanyak RM700 sebulan, tertuduh perlu menanggung kedua orang tuanya selepas kesemua kakak dan abangnya tidak berada di Kelantan kerana sudah berkahwin dan bekerja di negeri lain," katanya.

Rogol pelajar: 3 sahabat kekal dipenjara, sebat



ALOR SETAR 24 April - Tiga sahabat gagal dalam rayuan mereka apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan atas tuduhan merogol dan meliwat seorang pelajar kolej, lapan tahun lalu.
Tertuduh pertama, Shahril Ahmad, 34, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan, rakannya, Mohamad Fadzli Mohamad Fidzon, 33, enam tahun penjara serta tiga sebatan manakala Farizan Fadzil, 25, tiga tahun penjara.
Hakim Datuk Mohamad Azman Husin dalam prosidingnya menyebut terdapat prima facie di atas kes itu dan pihak perayu gagal membangkitkan keraguan di atas perintah Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Rampas rokok seludup





ALOR SETAR 24 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot nelayan dan merampas 3,300 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM400,000 di Kuala Kedah, di sini Rabu lalu.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Utara, Laksamana Pertama Muhammad Abdul Basar Taji berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan ketika operasi penguatkuasaan di perairan Kedah sebelum anggotanya mengejar mereka yang menuju ke Sungai Kedah dalam kejadian kira-kira 6.20 petang.
Katanya, sebaik sahaja menyedari dikejar, empat suspek yang menaiki kedua-dua bot itu memecut menuju ke jeti kecil Sungai Kedah sebelum melarikan diri di kawasan hutan nipah di Kuala Kedah.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot yang ditinggalkan suspek menemui sejumlah 3,300 karton rokok dalam bungkusan plastik berwarna merah, hijau dan hitam.
"Sejumlah 1,400 karton rokok ditemui dalam bot pertama dengan nombor pendaftaran KHS 3371 manakala 1,900 karton rokok lagi dalam bot gentian kaca yang tiada nombor pendaftaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Penguat Kuasa Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah dan Leftenan Komander Maritim, Mohd. Khairi Abd Aziz.
Muhammad Basar memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM412,834 melihatkan rokok (RM42,000), cukai taksiran (RM329,834), bot (RM26,000) dan dua buah enjin bernilai RM14,000.
Katanya, rokok berkenaan dipercayai dibawa dari Langkawi untuk diseludup ke pasaran di sekitar Kuala Kedah dan bandar raya ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Kastam. Ia memperuntukan hukuman denda 10 kali ganda daripada nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Suspek kes samun, dadah dicekup



KUALA LUMPUR 24 April - Tiga suspek kes samun dan seorang lelaki yang dikehendaki polis berkaitan kes dadah, tidak bernasib baik apabila mereka dicekup dalam 'Ops Bersepadu' di sekitar daerah Ampang Jaya, dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, keempat-empat penjenayah itu merupakan antara 11 individu yang ditahan semasa pemeriksaan dalam operasi tersebut.
Beliau berkata, operasi bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi ini, oleh 14 pegawai dan 169 anggota polis ketuai timbalannya, Supritendan Mohd. Nazri Zawawi.
"Dalam operasi ini, seramai 450 orang dan 233 kenderaan telah diperiksa. Kami menahan enam orang kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah termasuk seorang suspek yang memang dikehendaki polis di bawah Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

40,000 liter diesel seleweng dirampas



KUALA LUMPUR 24 April - Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan tiga lelaki termasuk seorang penjaga stor yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan diesel subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan, Perak di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong di sini awal pagi ini.
Ketiga-tiga mereka yang ditahan berusia lingkungan 40-an.
Ketua Pengarah Bahagian itu, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi itu, pihaknya berjaya mengesan sejumlah 40,000 liter diesel subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan yang dipercayai diseleweng.
Menurutnya, hasil maklumat awam, pihaknya mengekori sebuah treler dari Teluk Intan dan berjaya menangkap pemandu dan kelindannya.

Pasukan khas siasat kes culik



KULAIJAYA 24 April - Polis Johor menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 40-an yang diculik di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram dekat sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya menemui beberapa petunjuk berhubung kes itu yang dipercayai dapat membantu polis.
"Kita yakin akan dapat menahan mereka yang terlibat dalam kes ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rakan Cop, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.45 petang Khamis lalu, Lam Seng diculik empat lelaki bertopeng masing-masing bersenjatakan pistol di sebuah restoran di taman itu.

Polis serbu premis judi



KUALA LUMPUR 24 April - Polis membongkar satu kegiatan perjudian selepas menyerbu sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya dekat sini malam tadi.
Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam itu, polis turut menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.
Operasi diketuai oleh Asisten Supritendan Yusir Othman itu merampas sebanyak 11 mesin judi seperti Roulet, Jackpot dan kuda.
Yusir berkata, pihaknya menyamar sebagai pelanggan selama sebulan sebelum menyerbu premis berkenaan dan siasatan mendapati, sindiket ini telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan tidak menolak kemungkinan mempunyai rangkaian lain di sekitar Selangor.

Isteri keguguran selepas berita penahanan suami kerana rasuah tersebar



DI SEBALIK kesusahan dialami oleh mangsa kemalangan, ada pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan meminta rasuah.
Kononnya mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat boleh membantu mengelakkan mangsa daripada didakwa di mahkamah.
Mangsa yang bimbang kesnya dibawa ke mahkamah dan bakal menerima hukuman berat biasanya terpedaya sehingga sanggup membayar wang suapan.
Daripada fail Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini mengisahkan penahanan dua lelaki dikenali sebagai Muin dan Seman (bukan nama sebenar) kerana meminta suapan daripada mereka yang terlibat kemalangan maut.
Ceritanya bermula apabila pemandu lori, Ah Seng (bukan nama sebenar) diminta suapan sebanyak RM50,000 selepas terbabit dalam kemalangan maut dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di ibu negara, tahun lalu.
Dalam kemalangan tersebut dia yang merupakan peniaga telah mengalami kecederaan di kepalanya manakala pemandu kereta itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pada keesokannya, Ah Seng yang ditemani anaknya telah membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut sebelum didatangi Muin dan Seman.
Mereka memberitahu mangsa boleh didakwa kerana menyebabkan kematian seseorang dan boleh dihukum penjara lima tahun hingga 10 tahun.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu meletakkan syarat membayar RM50,000 lalu memberikan sekeping kertas kepada Ah Seng yang tercatat nombor telefon bimbit dan meminta dia menghubungi mereka setelah wang sudah sedia.
Ah Seng yang tidak mempunyai wang sebanyak itu, menceritakan hal tersebut kepada rakannya, Jefri. Jefri menasihatkannya supaya melaporkan perkara itu ke pejabat SPRM.
Berikutan maklumat itu, satu perangkap telah dibuat. Ah Seng telah menghubungi Muin dan Seman serta memaklumkan bahawa wang yang diminta sudah sedia lalu membuat temu janji di sebuah restoran.
Ketika wang terbabit sedang diterima kepada kedua-dua lelaki berkenaan, pegawai SPRM telah menangkap mereka kerana kesalahan meminta dan menerima rasuah.
Berita penahanan Muin dan Seman yang telah tersebar di akhbar tempatan mengejutkan isteri Muin yang ketika itu sedang hamil. Ekoran terlalu tertekan dan malu, isterinya keguguran bayi sulung mereka.

Pelan pengunduran Presiden Yaman diterima



SANAA 24 April - Parti pemerintah Yemen, Kongres Agung Rakyat menerima pelan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menghendaki Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan dalam masa 30 hari.
GCC yang dianggotai oleh enam negara Teluk telah mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan negara di Yemen, Saleh memindahkan kuasa beliau kepada Naib Presidennya, dan ditamatkan protes berdarah yang menggegarkan negara miskin ini.
Mengikut inisiatif GCC itu, Saleh akan mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Parlimen dalam tempoh 30 hari, manakala pilihan raya Presiden akan diadakan dalam masa dua bulan.
"Kongres Agung Rakyat (GPC) dan sekutu-sekutunya telah menerima inisiatif GCC secara keseluruhannya," kata Timbalan Setiausaha Agung GPC, Soltan al-Barakani yang juga ketua blok parti itu di Parlimen.
Menteri Luar Yemen, Abu Bakr al-Kurbi berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana beliau dijangka menemui rakan sejawatannya dari UAE, kini memegang kerusi Presiden GCC, mengenai keputusan tersebut, ujar Barakani.
White House semalam mengalu-alukan rancangan Saleh untuk meletakkan jawatan, sambil menggesa semua pihak supaya 'segera' melaksanakan peralihan kuasa secara aman.
Kelmarin, Saleh yang telah memerintah Yemen selama 32 tahun memberi sambutan dingin terhadap pelan GCC supaya beliau berundur, meskipun penunjuk perasaan kembali beramai-ramai ke jalan raya untuk menuntut penyingkiran beliau.
Seorang jurucakap perikatan pembangkang, Forum Bersama kelmarin berkata, penubuhan sebuah kerajaan perpaduan negara sedangkan Saleh masih berkuasa tidak boleh diterima dan pengunduran Presiden itu perlu bagi mencapai sebarang penyelesaian.
Saleh sebelum ini berkeras untuk berpegang pada Perlembagaan dalam sebarang peralihan kuasa. - AFP

19 hilang tanah runtuh di Filipina



PETUGAS penyelamat menemui mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Kingking di pekan Pantukan, Compostela, Filipina, semalam. - REUTERS


MANILA 24 April - Pasukan penyelamat menggunakan penggali dan jentolak hari ini untuk mencari 19 orang yang disyaki terperangkap di bawah batu dan lumpur selepas kejadian tanah runtuh di kawasan lombong emas yang terpencil di Filipina.
Jumlah kematian yang rasmi daripada bencana yang berlaku Jumaat lalu setakat ini seramai tiga orang tetapi Datuk Bandar Pantukan, Celso Sarenas memberi amaran peluang untuk menemui mangsa yang terselamat dari runtuhan tersebut amat rendah.
"Kita harus realistik. Kami percaya kebanyakan mereka yang hilang berada di dalam rumah pekerja ketika tanah runtuh berlaku," ujarnya.
Tanah runtuh itu melanda Kingking, daerah pergunungan yang terpencil berdekatan dengan Pantukan di selatan kepulauan Mindanao awal pagi Jumaat lalu selepas hujan lebat, menenggelamkan lombong emas haram serta rumah, kedai dan kilang memproses emas mentah.
Ketua 120 orang unit tentera yang menjalankan operasi menyelamat ini, Mejar Jake Obligado berkata, usaha akan diteruskan sehingga pegawai tempatan membuat keputusan untuk menamatkannya.
Menurutnya, pegawai polis, sukarelawan dan kakitangan yang dihantar syarikat perlombongan yang beroperasi berdekatan dengan lombong itu turut serta operasi menyelamat itu.
Pihak berkuasa berkata, seorang terbunuh dan lima lagi cedera parah dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan yang sama bulan lalu, manakala 21 orang lagi terkorban apabila bencana yang sama berlaku pada Mei 2009 lalu akibat hujan lebat. - AFP

Syria terus guna kekerasan



DAMSYIK 24 April - Polis rahsia Syria melancarkan serbuan ke kediaman aktivis dekat sini malam tadi, sementara tentangan rakyat terhadap rejim autoritarian Presiden Bashar al-Assad meningkat berikutan serangan paling berdarah ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi.
Pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata yang setia kepada Assad membunuh sekurang-kurangnya 112 orang dalam tempoh dua hari lalu apabila mereka melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dalam protes kelmarin dan ke arah penduduk yang mengiringi jenazah mangsa, semalam.
"Bashar al-Assad, kamu pengkhianat! Kamu pengecut. Bawa askar kamu ke Golan," teriak penunjuk perasaan semalam, membidas Assad kerana mengarahkan pasukan keselamatan menyerang rakyatnya sendiri dan bukan membebaskan Bukit Golan yang masih dikuasai Israel.
Polis rahsia berpakaian biasa dan bersenjatakan raifal penggempur memecah masuk ke rumah-rumah di kawasan pinggir bandar Harasta sejurus selepas tengah malam tadi, dan menangkap sebilangan aktivis di kawasan itu.
Dua ahli Parlimen bebas dari bandar Daraa yang menjadi fokus protes, Nasser al-Hariri dan Khalil al-Rifai memberitahu televisyen Al-Jazeera, mereka meletakkan jawatan kerana kecewa tidak mampu melindungi penduduk di kawasan mereka.
Mufti Daraa, Rizq Abdulrahman Abazeid turut melepaskan jawatannya.
Kematian kelmarin menandakan tiada tolak ansur daripada Assad, yang mengerahkan pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan di seluruh negara, kata aktivis dan saksi.
Pertumpahan darah itu berlaku ketika puluhan ribu penduduk membanjiri jalan raya untuk protes 'Good Friday' bagi menguji sejauh mana mereka dapat mengecapi kebebasan, sehari selepas Assad memansuhkan perintah darurat yang dikenakan selama berpuluh-puluh tahun.
Tenaga penggerak di sebalik protes itu, Revolusi Syria 2011 memperingati tragedi itu semalam dengan memaparkan banner hitam di laman Facebooknya dengan perkataan 'Berkabung' dalam bahasa Arab dan Inggeris.
Daraa menjadi medan utama protes menentang rejim Assad, yang turut membubarkan mahkamah keselamatan negara pada Khamis lalu dan menandatangani perintah 'untuk mengawal selia' protes yang diadakan secara aman. - Reuters/AFP

Usaha banteras jenayah di Gombak

Usaha banteras jenayah di Gombak
GOMBAK: Tiga lelaki yang melarikan wang RM50, 000 dalam rompakan di sebuah bank di Sri Gombak, di sini, ditahan polis ketika cuba melarikan diri, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, polis melepaskan tembakan selepas mereka nekad menyerang anggota polis ketika cuba membolosi sekatan dalam Ops Payung di Dataran Prima Sri Gombak.

Bagaimanapun, adegan tembak menembak terbabit gimik dipersembahkan anggota polis dari Unit Pencegahan Jenayah Gombak pada Program Pencegahan Jenayah bersama wakil peniaga di Dataran Prima Sri Gombak.

Adegan terbabit diadakan bagi memberi gambaran lebih luas kepada masyarakat mengenai keberkesanan Ops Payung yang dilancarkan dalam usaha membanteras jenayah di kawasan tumpuan.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata Ops Payung satu cara polis bagi memudahkan orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat.

Pekerja lari bertempiaran



BAWA...mayat budak yang ditemui dalam beg dibawa ke Hospital Kulim bagi tujuan bedah siasat.
BAWA...mayat budak yang ditemui dalam beg dibawa ke Hospital Kulim bagi tujuan bedah siasat.

JUMPA...mayat budak  ditemui dalam beg di Kilometer 175.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat selekoh susur keluar Plaza Tol Bandar Baharu.
JUMPA...mayat budak ditemui dalam beg di Kilometer 175.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat selekoh susur keluar Plaza Tol Bandar Baharu.

BANDAR BAHARU: “Sudah ratusan kali saya membuka beg ditinggalkan di kawasan lebuh raya ini yang kebanyakannya berisi pakaian, tapi kali ini amat memeranjatkan kerana ada mayat budak.”
Demikian kata pekerja trak tunda dikenali sebagai Ng, 45, yang menemui mayat budak lelaki berusia lebih setahun dalam satu beg pakaian di Kilometer 175.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat selekoh susur keluar Plaza Tol Bandar Baharu, kelmarin.

Ng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika dia melalui laluan berkenaan bagi mencari kereta rosak yang memerlukan bantuan trak tunda.
“Ketika lalu di situ, dua penjaga landskap yang melakukan kerja pembersihan menahan trak saya. Saya memang mengenali mereka dan segera memberhentikan kenderaan saya.

“Mereka memaklumkan terjumpa satu beg mencurigakan dan meminta saya membukanya kerana mereka takut berbuat demikian,” katanya.

Ng berkata, sebaik membuka beg itu dia terkejut besar apabila mendapati ada mayat budak di dalamnya. “Saya memberitahu dua pekerja terbabit mengenainya, tetapi mereka berdua bertempiaran lari kerana takut,” katanya yang menghubungi polis selepas itu.
Menurut Ng, dia sudah 17 tahun menggunakan laluan itu dan berulang-alik melaluinya sekurang-kurangnya lima kali sehari, namun ini kali pertama menemui mayat budak diletakkan di dalam beg di tepi lebuh raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, polis bergegas ke tempat kejadian mendapati mayat budak itu memakai baju warna merah dan berseluar pendek.
“Beg mengandungi mayat budak itu diletakkan di sebelah tiang lampu di kawasan pokok hiasan tidak jauh dari plaza tol,” katanya.

Menurutnya, budak itu dipercayai berketurunan India.

“Siasatan mendapati tiada kesan kecederaan pada budak itu yang dipercayai baru beberapa jam meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal juga mendapati ada cecair keluar dari mulut serta hidung mayat budak itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, mayat budak cukup sifat itu dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab membuang mayat bayi itu.

Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian supaya dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu di talian 04-4076545.

Marah kejut solat Subuh


AMPANG: Seorang isteri kini terlantar dalam keadaan koma dan bertarung nyawa di hospital akibat dibelasah serta ditikam suaminya yang naik hantu selepas wanita itu menyuruhnya menunaikan solat Subuh.
Kejadian berlaku di rumah pasangan berusia 30-an terbabit di Pandan Indah Commercial Park, di sini, kira-kira jam 6 pagi semalam dan mangsa yang kehilangan banyak darah akibat cedera di perut kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila suami mangsa yang tidur berang selepas dikejutkan isterinya dan disuruh mendirikan solat Subuh.

“Tindakan mangsa menyebabkan suaminya berang sebelum berlaku pertengkaran hampir 10 minit. Suaminya yang hilang pertimbangan membelasah mangsa lebih 30 minit sebelum mengarahkan mangsa jangan menyuruhnya bersolat.

“Biarpun dibelasah dan diugut demikian rupa, mangsa masih meminta supaya suaminya berubah selain menunaikan solat,” katanya.

Menurutnya, keengganan mangsa mematuhi arahannya menyebabkan suaminya bertindak lebih agresif dengan mengambil pisau dan menikam perut wanita itu.


“Mangsa terjatuh sebaik ditikam dan keadaan itu menyebabkan suaminya panik, apatah lagi selepas melihat isterinya berlumuran darah serta meraung kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, bunyi bising akibat pertengkaran dan serangan suspek ke atas mangsa menarik perhatian jiran mereka, seorang lelaki berusia lewat 20-an yang bergegas ke rumah pasangan itu.
“Sebaik masuk ke rumah berkenaan yang pintunya tidak berkunci, jiran itu melihat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah manakala suaminya berdiri sambil memegang pisau.

“Terkejut dengan kehadiran jirannya, suspek segera melarikan manakala mangsa dibawa jirannya itu ke hospital dengan bantuan beberapa jiran lain,” katanya.

Difahamkan, sehingga petang semalam keadaan mangsa dilaporkan kritikal manakala suaminya yang menghilangkan diri kini diburu polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dilakukan.

Seorang maut, 28 cedera dalam letupan bom diYala


BANGKOK: Seorang anggota renjer maut manakala 28 yang lain termasuk orang awam cedera dalam letupan bom di Yala hari ini.
Jurucakap polis Yala berkata mereka yang cedera terdiri daripada empat renjer dan 24 orang awam.

Beliau berkata, bom buatan sendiri itu disembunyikan dalam sebuah kereta yang diletakkan di bandar itu dan diletupkan secara kawalan jauh ketika sebuah kereta yang membawa lima anggota renjer melalui kawasan itu pada pukul 8.30 pagi.

Polis menyalahkan pihak militan atas kejadian itu.

Lebih 4,000 orang terbunuh apabila kumpulan disyaki pemisah menjalankan semula gerakan bersenjata menuntut keadilan untuk tiga wilayah selatan Yala, Narathiwat dan Pattani sejak tujuh tahun lalu. - Bernama

‘Ninja’ pecah cermin 17 kereta


PECAH...polis memeriksa kenderaan yang dirosakkan di tempat kejadian, semalam.
PECAH...polis memeriksa kenderaan yang dirosakkan di tempat kejadian, semalam

RAWANG: “Saya beranikan diri menahan lelaki itu kerana bimbang banyak cermin kenderaan lain dipecahkannya,” kata Loges Karna, 30 menceritakan kejadian lelaki berusia 20-an yang mengamuk ‘ala ninja’ di Jalan Bandar Rawang 15, dekat sini, pagi semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu apabila seorang lelaki tidak berbaju dan berseluar pendek kelabu dipercayai tidak siuman menggunakan sebatang besi paip untuk mengetuk dan memecahkan 17 cermin kereta di kawasan itu.

Katanya, pada peringkat awal, suspek memecahkan cermin kereta Honda City dan Proton Arena.
“Tujuh orang awam yang berada di kawasan kejadian membelasah lelaki terbabit dan menghalangnya memecahkan kereta lain.

“Mangsa yang meronta-ronta memohon dilepaskan, tetapi tidak dipedulikan sebelum diserahkan kepada polis,” katanya di sini, semalam.

Loges yang juga pekerja bengkel kereta terkejut selepas melihat beberapa cermin kenderaan lain yang dipakir berdekatan bengkelnya dipecahkan.
Katanya, lelaki itu memukul berkali-kali cermin kenderaan di hadapannya sehingga pecah sebelum bergerak ke kenderaan lain.

Beliau berkata, kebanyakan pemilik kenderaan yang diletakkan di kawasan itu bekerja di luar Rawang antaranya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Putrajaya.
Penduduk, Hisham Abdullah, 29, berkata lelaki tidak dikenali itu terlebih dulu dilihat duduk termenung di lorong pejalan kaki berdekatan.

Menurutnya, dia tidak menyangka lelaki itu bertindak sedemikian kerana pada awalnya lelaki terbabit kelihatan tenang.

“Lelaki itu ditahan sebelum anggota polis membawanya ke Balai Polis Rawang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, sumber polis memberitahu, lelaki berusia lewat 20-an terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, lelaki terbabit kini masih ditahan untuk siasatan.

Usaha banteras jenayah di Gombak


GOMBAK: Tiga lelaki yang melarikan wang RM50, 000 dalam rompakan di sebuah bank di Sri Gombak, di sini, ditahan polis ketika cuba melarikan diri, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, polis melepaskan tembakan selepas mereka nekad menyerang anggota polis ketika cuba membolosi sekatan dalam Ops Payung di Dataran Prima Sri Gombak.

Bagaimanapun, adegan tembak menembak terbabit gimik dipersembahkan anggota polis dari Unit Pencegahan Jenayah Gombak pada Program Pencegahan Jenayah bersama wakil peniaga di Dataran Prima Sri Gombak.

Adegan terbabit diadakan bagi memberi gambaran lebih luas kepada masyarakat mengenai keberkesanan Ops Payung yang dilancarkan dalam usaha membanteras jenayah di kawasan tumpuan.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata Ops Payung satu cara polis bagi memudahkan orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat.

Anak kapak kepala bapa


KUALA LUMPUR: Berang kerana permintaannya tidak dipenuhi, seorang lelaki bertindak nekad menetak bapa kandungnya berusia lewat 40-an menggunakan kapak sehingga menyebabkan mangsa parah dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Klang Gate Baru, di sini, Jumaat lalu.
Difahamkan, suspek berusia lewat 20-an itu pulang ke rumah dalam keadaan marah sebelum dilaporkan hilang kawalan selepas ahli keluarganya enggan memberikan wang kepadanya.
Dalam kejadian amuk kira-kira jam 11 pagi itu, adik lelaki suspek berusia 17 tahun yang cuba menenangkan abangnya itu turut cedera ketika bergelut untuk merampas senjata digunakannya.

Menurut sumber, semuanya bermula apabila suspek pulang ke rumah sebelum menjerit-jerit meminta wang.


“Pada mulanya ahli keluarga suspek hanya mendiamkan diri sebelum suspek mengambil kapak dari dalam stor di rumah dan mengugut untuk mencederakan bapa dan adik perempuannya berusia 20-an.

“Tersentak dengan itu, bapa suspek mendakwa tiada wang menyebabkan suspek bertindak memecahkan barangan dalam rumah berkenaan,” katanya. 

Curi kulit beduk


HULU TERENGGANU: Ada pihak tidak bertanggungjawab sanggup memotong beduk berusia 105 tahun di Masjid Kampung Dusun di sini, selepas terpengaruh dengan dakwaan kononnya ia boleh dijadikan pelaris dalam perniagaan.
Kejadian itu disedari imam masjid berkenaan, Abdullah Othman, 73, apabila melihat beduk di masjid itu berlubang selepas solat Asar minggu lalu dan dipercayai dicuri seorang lelaki warga Thailand ketika datang bersolat di masjid itu.

Beliau mendakwa, sebelum beduk itu berlubang, ada seorang peniaga dari Thailand datang bersolat pada waktu Zuhur dan percaya lelaki terbabit menggunakan pisau untuk mengambil sedikit belulang lembu yang dijadikan penutup beduk berkenaan.

“Saya kesal dengan tindakan peniaga terbabit merosakkan beduk lama itu dan menyebabkan ia tidak boleh digunakan sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Abdullah yang menjadi imam di masjid itu sejak 1959 berkata, belum pernah sesiapa berani memotong kulit lembu yang menjadi penutup beduk untuk dipalu apabila masuk waktu solat.

Katanya, selepas tersebar perbuatan tidak bertanggungjawab itu, ada beberapa individu dari bandar Kuala Terengganu datang meminta sedikit kulit lembu itu untuk dijadikan pelaris dalam perniagaan.


“Saya memberi kebenaran kepada mereka untuk memotongnya dibawa pulang namun tidak menyangka perkara itu menjadi semakin besar sekarang,” katanya.

Difahamkan, kegiatan mencuri kulit beduk masjid lama di Terengganu pernah berlaku sebelum ini dan dipercayai untuk kegunaan ilmu hitam.
Hanya beberapa masjid lama saja masih menggunakan beduk terutama di kawasan pedalaman daerah ini manakala masjid baru tidak lagi memilikinya.

Tiga gadis urut lari atas papan iklan elak dicekup


PUCHONG: Tiga wanita yang asyik menunggu pelanggan di sebuah premis perniagaan urutan kaki bertempiaran lari memanjat tingkap dan meniti papan iklan ketika diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang dalam operasi di Jalan Kenari, Puchong Jaya, di sini, malam kelmarin.
Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, seramai 10 wanita warga China ditahan bersama tiga lelaki termasuk penjaga dan dua pelanggan.

Difahamkan, premis urutan kaki itu turut menawarkan pelacur kepada pelanggan dengan bayaran tambahan RM100 untuk sekali perkhidmatan.

Ketika serbuan, seorang wanita tanpa seurat benang leka mengurut pelanggan hingga tidak sempat menyarung semula pakaiannya. Premis terbabit mengenakan bayaran RM55 bagi urutan kaki dan kepada yang inginmendapatkan perkhidmatan ‘istimewa’ perlu membayar tambahan RM100.

Urutan ‘istimewa’ itu hanya diberikan kepada pelanggan berminat yang dibincangkan di dalam bilik bersama tukang urut terpilih.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata semua wanita yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 372 kerana melacur.


Menurutnya, serbuan itu diketuai Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serdang, Cif Inspektor Roslin Mohamad Isa.

Lori rempuh motor peragut


SERDANG: Dua peragut berputih mata apabila wang RM21,000 yang baru diragut daripada seorang warga emas hanya dapat dinikmati untuk beberapa minit sebelum motosikal ditunggangi mereka dirempuh lori dalam kejadian di Taman Equine, Seri Kembangan, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu menyebabkan dua peragut berkenaan jatuh dan wang yang dipegang tercampak.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila seorang wanita berusia 58 tahun baru saja mengeluarkan duit pusaka arwah ibunya dari bank untuk diagihkan kepada adik beradiknya.

Namun, sebaik saja keluar dari bank, motosikal dinaiki dua lelaki berusia 20-an mendekati mangsa yang ketika itu sudah berada dalam teksi dipandu suaminya berusia 50-an.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, dua lelaki itu kemudian terus memecahkan cermin hadapan teksi dan dengan pantas merampas wang di dalam beg tangan yang diletakkan di tempat duduk hadapan sebelah penumpang.

Katanya, suspek cuba melarikan diri, namun pemandu lori yang ternampak kejadian itu terus menghimpit motosikalnya menyebabkan dan kedua-dua suspek terjatuh dan duit terkeluar dari beg itu.


“Suspek yang panik terus melarikan diri meninggalkan wang berkenaan dan motosikalnya sebelum menaiki kereta Proton Waja yang menunggu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Wang wanita berkenaan berjaya diselamatkan tetapi suspek gagal ditahan,” katanya di sini, semalam.
Abd Razak berkata, mangsa yang trauma terus membuat laporan polis sejurus kejadian dan memasukkan kembali wang itu ke dalam bank.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat bagi menjejaki suspek.

Diperdaya RM1,000 berlakon di samping Rozita Che Wan


MUAR: Impian seorang lelaki menjadi pelakon dan beraksi bersama aktres Rozita Che Wan selain berlakon dalam filem arahan Ahmad Idham dan Datuk Yusof Haslam berkecai apabila menyedari dirinya ditipu sebuah syarikat jualan langsung yang mendakwa agensi mencari bakat di ibu kota, baru-baru ini.
Danial Ridwan, 26, bukan setakat berkali-kali datang ke pejabat agensi terbabit di bangunan bersebelahan Menara Kuala Lumpur (KLCC) malah terpaksa membayar ratusan ringgit setiap kali datang kononnya sebagai bayaran mendapat tempat dalam filem lakonan aktres serta pengarah berkenaan.

“Saya datang ke ibu kota awal tahun lalu sebelum ditawarkan menjalani uji bakat di agensi terbabit dengan janji akan digandingkan bersama pelakon serta pengarah filem terkemuka tanah air.

“Impian menjadi pelakon terkenal hampir menjadi kenyataan apabila saya kononnya ditawarkan berlakon dalam filem Khurafat dan Damping Malam,” katanya.

Danial yang terpedaya dengan tawaran berkenaan kemudiannya diminta supaya membuat sejumlah bayaran iaitu 10 peratus daripada hasil bakal diterima apabila berlakon dalam filem dijanjikan itu.

Menurutnya, dia datang beberapa kali ke pejabat agensi terbabit sejak awal tahun hingga penghujung 2010 bagi menandatangani kontrak lakonan selain membuat bayaran antara RM300 hingga RM1,000.


“Saya mula syak diperdaya apabila filem Bohsia mula ditayangkan sedangkan menurut kakitangan agensi terbabit, saya antara yang bakal beraksi.

“Selepas itu, saya menghubungi Suhan Movie Production dan Skop Production bertanyakan status filem yang bakal saya bintangi tetapi kedua-dua syarikat itu memberi jawapan tidak pernah menawarkan apa-apa watak atau mengenali agensi terbabit,” katanya.

Lagak penghuni kondominium


AMPANG: Sekumpulan enam lelaki berlagak penghuni sebuah kondominium untuk melepasi pengawal keselamatan, sebelum menyamun kereta penghuni kondominium itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Selasa lalu, kumpulan lelaki berusia 20-an menaiki tiga motosikal sebelum dipercayai menyamar penghuni kondominium di Cheras Baru, di sini.
Menurut sumber, pengawal keselamatan bertugas tidak mengesyaki apa-apa memberi kebenaran memasuki kawasan kondominium berkenaan.

“Namun, sebaik masuk ke dalam kawasan kondominium itu, kumpulan terbabit segera ke tempat letak kenderaan dan memecahkan cermin beberapa kereta.


“Mereka memecahkan cermin kiri kereta mangsa sebelum menyamun beberapa peralatan elektronik seperti pemain cakera padat digital (DVD) dan beberapa aksesori kereta,” katanya.