Search This Blog

Sunday, April 24, 2011

Polis Bongkar Sindiket Perjudian Peroleh Taruhan RM1 Juta


GEORGE TOWN: Polis menyerbu sebuah rumah pangsapuri di Jelutong di sini, awal pagi ini dan berjaya membongkar sebuah sindiket perjudian bola yang dipercayai mampu memperoleh pertaruhan sehingga mencecah jutaan ringgit sehari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Timur Laut pada 12.30 pagi tadi, pihaknya menahan tujuh lelaki dan dua wanita termasuk seorang wanita warga China.
"Ketika diserbu kesemua mereka sedang leka mengambil pertaruhan dalam talian menggunakan tiga buah komputer riba," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pertaruhan dilakukan dengan pembelian cip melalui nombor akaun bank mereka yang bertaruh dengan sindiket berkenaan.
"Setiap pemain dibenarkan bertaruh hingga RM10,000 dalam setiap pertaruhan dan sindiket berkenaan boleh mengutip wang pertaruhan sehingga RM1 juta sehari," katanya.
Gan berkata dalam operasi itu, pihaknya turut merampas tiga buah komputer riba dan beberapa buah kerusi serta meja ala mini kasino.
Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan saki baki anggota sindiket berkenaan dan pihaknya juga sedang menyiasat sama ada sindiket itu mempunyai rangkaian dengan sindiket antarabangsa.
Katanya kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 48 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Sekyen 6(3) Akta Pertaruhan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membuat aduan berhubung aktiviti berkenaan dan berharap orang ramai akan sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan jenayah. -BERNAMA

Lapan Juvana Mengaku Salah Belasah Pelajar Sekolah Agama



MARANG: Lapan pelajar berumur antara 15 hingga 17 tahun pada Ahad mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh kawasan sekolah dan memukul seorang pelajar sekolah agama pada 7 April lalu.
Kesemua tertuduh terdiri daripada empat pelajar Tingkatan Lima, seorang pelajar Tingkatan Empat dan tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Mahathir Mohd Yusof secara tertutup di hadapan Majistret Nur Azizah Yusoff.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menceroboh sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di sini, antara 11 pagi hingga 11.30 pagi 7 April lalu.
Perbuatan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Untuk pertuduhan kedua, kesemua pelajar itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 17 tahun, pada masa dan tempat yang sama.
Kesalahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan.
Majistret menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak kesemua tertuduh. -BERNAMA

Gesa berkas cepat-cepat



IPOH - Orang ramai menggesa pihak berkuasa segera melaksanakan tindakan sewajarnya memberkas pihak yang didakwa menganjurkan skim pelaburan dengan pengambilan deposit yang mencurigakan.

Antara skim yang didakwa telah memperdaya orang ramai untuk melabur ialah projek cacing pawah yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan di sini.

Pekerja Swasta, Khoo Kok Foo berkata, dia mula melibatkan diri dengan skim berkenaan setelah dicadangkan seorang rakan tidak lama dahulu.

Katanya, rakannya itu berjaya memujuknya menyertai skim berkenaan dengan alasan mahu membantu meningkatkan taraf ekonominya.

“Rakan saya itu sangat petah bila bercakap termasuk janji-janji mengatakan pelaburan ini menjadikan saya kaya.

“Bagaimanapun, apabia syarikat itu memberi notis penangguhan pembayaran dengan alasan syarikat tidak dapat menanggung kerugian, saya mula curiga,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi peserta skim pelaburan tersebut, M Ramesh berkata, dia membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi menyertai skim tersebut.

Menurut Ramesh, apabila menerima notis yang mengatakan pihak syarikat boleh menamatkan kontrak jika peserta mengingkari notis penangguhan, dia mula syak sesuatu yang tidak kena dengan pelaburan itu.

“Saya membuat laporan polis dan berharap akan ada tindakan susulan bagi membawa syarikat berkenaan ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berharap polis dapat segera tangani perkara itu kerana ia semakin serius sejak kebelakangan ini.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan orang ramai berhubung skim pelaburan seperti itu sejak akhir-akhir ini.

Tiga kes pecah rumah dilapor



KULIM - Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim menasihatkan semua penduduk memastikan keadaan rumah sentiasa dalam keadaan selamat, kerana kes jenayah pecah rumah kerap berlaku terutama selepas jam 12 malam.

Kelmarin, tiga kes pecah rumah dilaporkan berlaku di sekitar Taman Cengal, Taman Merawan dan Taman Melor.

Sehingga kini, PPKM sedang memburu empat lelaki dipercayai menunggang motosikal setiap kali melakukan samun dan pecah rumah.

“Di Taman Merawan, empat lelaki tidak dikenali masuk ke rumah seorang penjawat awam kira-kira jam 1 pagi. Ketika kejadian, keluarga mangsa sedang nyenyak tidur. Apabila terdengar bunyi di luar rumah, mangsa bangun dan melihat empat lelaki memanjat pagar dan tebing rumah.

“Bagaimanapun, semua terlibat berjaya lari dengan menaiki dua motosikal jenis Honda EX5. Saya percaya suspek masuk ke dalam rumah untuk mencuri motosikal milik mangsa, namun tidak berjaya,” katanya.

Menurutnya, penduduk di sekitar Taman Merawan juga memaklumkan bahawa kejadian cubaan pecah rumah berlaku setiap minggu dan keadaan ini sangat membimbangkan.

Eng Khim menyarankan kepada penduduk yang tinggal di kawasan sunyi supaya mendaftarkan diri bersama PPKM.

Dengan cara ini, mereka akan diberikan alat perhubungan. Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, mangsa boleh terus menghubungi PPKM bila-bila masa.

“Saya sebelum ini sudah menawarkan penduduk di kawasan taman untuk menjadi ahli, tetapi tiada tindak balas diterima.

“Sekiranya penduduk dan semua komuniti setempat bekerjasama membendung perlakuan jenayah ini, saya percaya masalah ini akan selesai,” katanya.

Nelayan terpaksa tanggung rugi



KANGKONG - Harga ikan kembung yang dijual sekitar RM1 bagi sekilogram sejak dua bulan lalu mungkin berita gembira bagi pembeli, namun tidak bagi golongan nelayan dan peraih yang perlu berdepan dengan lebihan ikan.

Peraih, Hamizi Salleh, 35, berkata, harga RM1 sekilogram itu hanya bagi ikan kembung yang bersaiz kecil manakala bersaiz besar masih dijual dengan harga lama sekitar RM4.

Menurutnya, lambakkan ikan itu menyebabkan penjual juga terpaksa menanggung sedikit kerugian apabila banyak ikan yang tidak habis dijual.

“Kami hanya menjual ikan di sekitar kawasan Kangkong sahaja, jadi apabila situasi ini timbul ia memberi kesan kepada peniaga yang terpaksa menghabiskan jualan ikan kembung bagi mengelak daripada ikan itu rosak.

“Pembeli mungkin tidak merasai masalah ini dan meringankan beban mereka kerana harga ikan murah, namun bagi peraih dan nelayan, masalah ini sememangnya dirasai oleh kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi nelayan, Mohd Azam Ahmad, 29, berkata, lambakkan ikan kembung menyebabkan golongan nelayan berasa malas untuk turun ke laut kerana mereka terpaksa menanggung kerugian.

Katanya, nelayan kini terpaksa berdepan dengan kerugian kerana harga ikan terlalu murah dan mereka berasa tidak berbaloi untuk turun ke laut setiap hari sedangkan bekalan ikan masih banyak.

Menurutnya, situasi yang berlaku kini turut menyebabkan pembaziran kepada nelayan apabila bekalan ikan menjadi lembik tidak lagi boleh dijual kepada peraih atau pembeli.

“Pembeli dan peraih mahukan ikan yang segar sedangkan lebihan ikan rosak manakala nelayan pula terpaksa berdepan dengan kerugian apabila masalah ini timbul.

“Nelayan sendiri kadangkala buntu untuk menangani masalah yang berlaku ini kerana nelayan kini seolah-olah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Nelayan, Sobri Zain, 29, berkata, tanggungan dua anak yang berusia 11 tahun dan dua tahun sangat dirasai sewaktu krisis lambakkan ikan kembung berlaku.

Sobri berkata, perbelanjaannya perlu lebih jimat dan dihadkan untuk mengelak perbelanjaan yang tidak berfaedah dan memastikan pendapatan hariannya sentiasa mencukupi.

Katanya, situasi yang berlaku kini diharap tidak berpanjangan supaya golongan nelayan tidak lagi perlu bimbang dengan hasil pendapatan mereka.

Kaki judi ditahan



BUTTERWORTH - Sekumpulan kaki judi gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila taktik mereka menjadikan upacara majlis kematian sebuah keluarga di Jalan Raja Uda di sini sebagai lokasi perjudian dihidu polis.

Malah kegiatan haram itu sudah dimulakan sejak beberapa hari lalu di sebuah premis di Pangsapuri Tanjung Jaya di sini hasil risikan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas menerima maklumat orang awam.

Dalam serbuan pada jam 12 tengah malam semalam, pasukan yang diketuai oleh Pegawai Turus D7, IPK Pulau Pinang, Asisten Superintendan Sayuti Harun berjaya menahan 17 lelaki dan dua wanita yang sedang leka berjudi.

“Kita melancarkan OPS Dadu selepas melakukan intipan sejak beberapa hari lalu di premis bersebelahan rumah yang menjalankan upacara majlis kematian itu malam semalam.

“Hasil siasatan awal kita percaya kumpulan ini sering mengubah lokasi mereka berdekatan rumah yang menjalankan upacara kematian sekitar daerah ini untuk mengaburi pihak polis untuk membolehkan mereka berjudi,” katanya.

Turut dirampas peralatan judi seperti buah dadu, mangkuk dan wang tunai 300 ringgit dan sedang berusaha mengesan ketua sindiket berkenaan.

Kesemua suspek yang berusia 30 hingga 54 ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan serbuan dan penangkapan itu selepas dimaklumkan oleh Sayuti sejurus selesai operasi berkenaan dijalankan.

Didakwa bunuh wanita warga China




SEREMBAN – Seorang penganggur dituduh di Mahkamah Majistret Seremban, di sini kelmarin atas tuduhan menyebabkan kematian seorang wanita warga China, 18 Mac lalu.

Loh Swee Peng, 32, yang memakai baju lokap berwarna oren mengangguk faham pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Marsilawati Mohd Shah, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas mangsa, Lin Li Hong, 30-an.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di tingkat satu sebuah rumah kedai Taman AST, Jalan Sungai Ujong, di sini kira-kira 11.30 malam, 18 Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Swee Peng turut berdepan dengan tuduhan sengaja mendatangkan ketakutan kepada Tan Kuen Yuen, 48, dengan mendorongnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,000 di Taman AST kira-kira 12 tengahari, 22 Mac lalu.

Mangsa kenalan Cyber



MASJID TANAH - Niat murni seorang gadis dari Pantai Timur untuk untuk bekerja bagi membantu keluarganya tidak kesampaian apabila dia ditipu seorang lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial dengan menjanjikan pekerjaan di negeri ini.

Lebih membingungkan, pekerjaan yang dijanjikan bukan saja tidak wujud, malah wang dibawanya turut dikebas selain MyKad miliknya digunakan lelaki terbabit untuk menyewa sebuah kenderaan.

Gadis berusia 23 tahun itu juga mendakwa dibawa ke beberapa tempat luar negeri Melaka tanpa tujuan dan menginap di hotel murah dengan menggunakan wang poket sendiri.

Bagaimanapun, helah lelaki itu akhirnya terbongkar apabila mangsa mengetahui kenalannya itu merupakan penghidu gam tegar sebelum mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis.

Kereta kena pecah ketika joging



BUKIT JALIL – Seorang pekerja kerajaan tidak menyangka niatnya untuk beriadah di Taman Reakrasi Bukit Jalil di sini, mengundang malang apabila keretanya dipecah penyamun.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa, Aishon Rahmat, 50 berkata, dia meninggalkan kereta di tempat letak kereta taman itu untuk berjoging sebelum kembali semula kira-kira dua jam selepas itu.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut apabila pintu keretanya gagal dibuka dan mendapati tombol pintu kereta sudah dirosakkan.

“Apabila diperiksa, saya dapati dompet duit diletakkan dalam kereta sudah hilang,” katanya yang memaklumkan meninggalkan beg duit itu dalam kereta kerana bimbang ia tercicir ketika berjoging.

Aishon berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Puchong tengahari semalam dan menggesa pihak berkuasa memantau perkara itu kerana dimaklumkan dia bukan mangsa pertama yang berdepan kes jenayah itu di taman berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan lebih berjaga-jaga dan memastikan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan untuk mengelakkan menjadi mangsa jenayah.

Perompak nekad gadai nyawa



BUKIT SERDANG – Sanggup memperjudikan nyawa sendiri semata-mata mahu menyamun.

Itu yang dilakukan geng pecah rumah di sebuah pangsapuri di Seksyen 12, di sini, apabila sanggup meniti tembok kaki lima di tingkat 12 pangsapuri itu sebelum memecah masuk rumah mangsanya melalui tingkap dapur.

Difahamkan, kejadian hanya disedari mangsa selepas pulang ke rumah kira-kira jam 6 petang apabila mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak.

Mangsa, Chan Huey Shan, 25, berkata, suaminya terkejut apabila mendapati rumahnya bersepah dan barang-barang bertaburan di atas lantai.

“Setelah mensyaki rumah dimasuki pencuri, suami saya kemudian menghubungi pengawal keselamatan yang bertugas,” katanya kepada Sinar Harian.

Huey San berkata, selepas melakukan pemeriksaan, dia mendapati kunci jeriji tingkap dapur rumahnya rosak.

“Pintu rumah semuanya dalam keadaan baik dan mustahil mereka memecah masuk melalui pintu utama. Saya mengesyaki mereka masuk melalui pintu dapur apabila ada kesan tapak kasut selain kunci jeriji tingkap yang telah dipecahkan.

“Saya tidak menyangka penyamun itu sanggup melompat ke tingkap dapur dari tembok kaki lima untuk melarikan barang berharga,” katanya yang kerugian hampir RM10,000 apabila barang kemas dan sejumlah wang dilarikan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang menerima aduan daripada mangsa berkata, beliau berasa bimbang dengan kes pecah rumah dan ragut dilaporkan di sekitar Seri Kembangan.

Menurutnya, penduduk menyuarakan kebimbangan itu dan menggesa pihak polis memberi lebih tumpuan terhadap dua kejadian jenayah berkenaan.

“Saya minta penduduk juga supaya meningkatkan tahap keselamatan rumah mereka.

“Malah, saya juga meminta supaya jiran-jiran dapat bersama-sama memantau rumah jiran mereka dan segera melaporkan sebarang kecurigaan kepada polis,” katanya.

Pemandu bas maut dilanggar lari



BUKIT BERUNTUNG - Selang 24 jam kejadian mangsa di gilis kenderaan berat di Kilometer 424.2 Lebuhraya Utara Selatan, 22 April lalu, seorang lagi rakyat tempatan maut dalam insiden sama kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

Malam kelmarin, seorang pemandu bas ekspres maut setelah dilanggar kenderaan ketika cuba melintas lebuh raya di Kilometer 429 arah Kuala Lumpur selepas susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung, kira-kira jam 9.15 malam.

Insiden langgar lari itu berlaku apabila mangsa, Hussin Razaly, 47, cuba menyeberangi lebuh raya untuk menemui rakannya yang juga pemandu bas ekspres yang menunggu di seberang jalan menghala Ipoh.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah, Asisten Superintendan Mohd Taib Songoh berkata, kejadian bermula apabila pemandu bas berkenaan memberhentikan basnya di lorong ke cemasan sebelum cuba menyeberang.

“Sebaik berada di tengah pembahagi lebuh raya, mangsa dilanggar kenderaan mengakibatkan mangsa parah di kepala sementara kaki kirinya putus.

“Kenderaan yang melanggar mangsa pula lari dan masih gagal dikesan sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, kaki kiri mangsa yang terputus ke paras lutut juga hilang dipercayai ‘dibawa’ sekali kenderaan yang merempuhnya.

Katanya, usaha mencari kaki mangsa di kawasan beberapa kilometer sekitar lokasi malam kelmarin gagal

Mohd Taib berkata, mangsa sebelum itu membawa 15 penumpang dan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Berikutan kejadian itu, kesemua penumpang dipindahkan ke bas lain sebelum meneruskan perjalanan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), di sini untuk bedah siasat.

Difahamkan, mangsa berasal dari Taman Tempua Bestari, Kalumpang dekat sini adalah seorang bekas tentera dan baru dua bulan bekerja di syarikat bas terbabit.

Amuk ala samseng



RAWANG - Seorang lelaki kurang siuman bertindak ‘ala samseng’ apabila memecahkan 17 cermin kenderaan yang dipakir di kawasan letak kereta berhadapan premis Jalan Bandar Rawang 15 di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu disedari pekerja bengkel kereta dan peniaga di situ setelah lelaki terbabit dilihat memecahkan kereta jenis Honda City dan Proton Arena.

Berang dengan tindakan lelaki itu, mereka bersama sekumpulan tujuh orang awam bertindak membelasahnya sehingga cedera di muka dan badan.

Saksi kejadian, Loges Karna, 30, berkata, dia bertindak menahan lelaki terbabit kerana bimbang lebih banyak kenderaan akan dipecahkan.

“Saya terkejut bila tengok dia buat begitu dan terus tangkap sebelum orang lain yang nampak datang dan memukulnya.

“Dia cuba minta dilepaskan tapi keadaan masa itu tegang jadi orang macam lepas geram sebab bukan dua kereta saja dipecahkan tapi hampir 20 kereta,” katanya ketika ditemui di sini.

Loges yang juga pekerja bengkel kereta di situ terkejut setelah melihat beberapa cermin kenderaan lain yang dipakir berdekatan premis tersebut telah dipecahkan.

Menurutnya, lelaki itu dilihat melakukan perbuatan itu tanpa rasa bersalah dan tidak mempedulikan orang awam yang lalu lalang di kawasan tersebut.

Katanya, dengan ‘selamba’ lelaki itu memukul berkali-kali cermin kenderaan di hadapannya sehingga pecah sebelum bergerak ke kenderaan lain.

Loges berkata, kebanyakan pemilik kenderaan yang diletakkan di kawasan itu bekerja di luar Rawang antaranya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Putrajaya.

Menurutnya, tindakan lelaki itu juga mengejutkan memandangkan dia pada awalnya kelihatan tenang.

“Saya cuma sempat melihatnya selepas sekumpulan orang yang membelasahnya dileraikan dan mengenali dia adalah lelaki yang duduk di sini pagi tadi,” katanya.

Hisham berkata, orang awam beberapa kali mengherdiknya dan bertanya mengapa dia berbuat begitu, namun lelaki itu kurang bercakap sesekali kedengaran dialek seakan Kelantan dan Siam.

Menurutnya, lelaki itu ditahan sebelum anggota polis membawanya ke balai untuk tindakan selanjutnya.

Ekoran kejadian terbabit, 17 kenderaan antaranya jenis Honda Civic, Proton Wira, Saga, Perodua Alza, Kancil, Van dan lori satu tan pecah cermin pada bahagian depan, belakang, tepi akibat di hentak dengan besi paip.

Sementara itu, sumber pihak berkuasa memberitahu, lelaki berusia lewat 20-an itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya berseluar pendek serta tidak berbaju.

Sumber sama memberitahu, lelaki terbabit masih ditahan untuk siasatan memandangkan pemilik kenderaan yang menjadi mangsa amukannya tidak berada di kawasan ini.

Menurutnya, keadaan lelaki itu juga tidak terurus dan siasatan menunjukkan dia tidak dipengaruhi alkohol, manakala identitinya masih gagal dikesan dan berkemungkinan bukan rakyat tempatan.

Dicekup celah pukat



DUNGUN – Rahsia sulit seorang ‘tomboy’ yang sering menjadikan timbunan pukat di jeti perikanan sebagai lokasi untuk melepak bersama sekumpulan lelaki terbongkar apabila port sosial itu diserbu polis narkotik, di Kuala Dungun pagi kelmarin.

Aktiviti yang menimbulkan rasa curiga bagi nelayan yang menggunakan jeti terbabit untuk aktiviti memunggah hasil tangkapan itu telah mendapat perhatian pihak berkuasa, lalu satu operasi khas untuk membongkar rahsia mereka dilakukan.

Hasilnya, tujuh ditahan termasuk seorang wanita berimej tomboy dari Bijangga yang didapati positif dadah menjawab persoalan bahawa lokasi itu dijadikan sarang penagih dadah di kawasan sekitar.

Serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Assistan Superintendan Saravanan Shanmuggan, turut menahan seorang penagih berulang yang pernah ditahan dalam serbuan sebelumnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana positif morfin.

Penyamun kena tembak



MELAKA - Seorang penjenayah cedera ditembak polis selepas menyamun sebuah stesen minyak di Jalan Tengkera- Limbongan, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, penjenayah berusia 27 tahun itu bertindak melarikan diri sejauh kira-kira 200 meter dari stesen minyak terbabit sebelum dua anggota polis berpakaian preman mengejarnya.

Bagaimanapun, penjenayah terbabit bertindak menyerang kedua-dua anggota polis itu menyebabkan seorang daripadanya terpaksa melepas satu das tembakan dan mengenai bahagian kiri perut suspek.

Sementara, seorang lagi penjenayah yang menunggu di luar kiosk dikatakan sempat melarikan diri dengan sebuah motosikal sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, semasa kejadian, suspek masuk ke dalam kiosk stesen minyak berkenaan dan mengacukan pisau kepada seorang juruwang wanita untuk mendapatkan wang dalam mesin wang.

“Suspek kemudian keluar dari kiosk, bagaimana:pun dia disergah anggota polis yang kebetulan berada berhampiran kawasan stesen minyak itu. Suspek kemudian melarikan diri menuju sebuah lampu isyarat.

“Suspek kemudian menyerang anggota polis menyebabkan polis terpaksa bertindak melepaskan satu das tembakan dan mengenai kiri perut suspek,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, malam kelmarin.

Raja Shahrom berkata, kedua-dua anggota polis itu sebenarnya terlibat dalam ‘Operasi Kiosk’.

"Anggota polis terbabit juga dikatakan bergelut dengan suspek yang cuba melepaskan diri selepas ditangkap. Bagaimanapun, kesakitan dialami suspek menyebabkan dia gagal melepaskan diri," katanya.

Berikutan itu, katanya, penjenayah terbabit dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

Menurutnya, kejadian samun itu merupakan kali keempat berlaku di stesen minyak berkenaan.

"Polis masih menyiasat sama ada suspek bersama rakannya itu adalah orang yang sama merompak stesen minyak berkenaan sebelum ini.

“Kita juga masih menyiasat sama ada suspek adalah orang sama yang merompak sebuah stesen minyak di Jalan Munshi Abdullah, di sini kira-kira 15 minit sebelum kejadian," katanya.

Beliau berkata, usaha menjejaki rakan suspek yang dipercayai rakyat tempatan sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.

Misteri kaki kiri mangsa kemalangan hilang 19 jam

Anggota keselamatan mengangkat jenazah Hussin Razaly yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 429 Lebuh Raya Utara-Selatan, semalam.


HULU SELANGOR 23 April - Kemalangan maut melibatkan seorang pemandu bas ekspres di Kilometer 429 Lebuh Raya Utara-Selatan selepas susur keluar Bukit Beruntung di sini malam tadi, mencetuskan misteri apabila kaki kiri mangsa yang terputus hilang 19 jam.
Mangsa, Hussin Razaly, 47, sebelum itu memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan dan cuba melintas lebuh raya untuk bertemu rakannya di seberang jalan, dirempuh sebuah kenderaan.
Berikutan kemalangan pukul 9.30 malam itu Hussin yang memandu bas syarikat Yakin Ekspres membawa 15 penumpang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur maut di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan dengan kaki kirinya terputus.
Polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian gagal menemui kaki mangsa menyebabkan ahli keluarga Hussin dan rakan sekerja mengambil inisiatif mencari kaki tersebut.
Pencarian mereka selama berjam-jam buntu sehinggalah ternampak dua ekor burung gagak berlegar-legar di udara, kira-kira 200 meter dari lokasi kemalangan.
Rakan setugas Hussin, Sobri Long, 39, memberitahu, mereka yang hampir berputus asa mencari kaki Allahyarham pada pukul 3 petang tergerak hati menuju ke arah burung berkenaan.
"Rupa-rupanya burung itu berlegar-legar di atas kaki mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.
Sementara itu, pemandu kenderaan yang merempuh Hussin sehingga ini masih belum dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, Cif Inspektor Maszaliza Ibrahim @ Othman di talian 03-60641223 bagi membantu siasatan.

Pertempuran tercetus lagi


Rakyat Kemboja yang tinggal di kawasan sempadan Kemboja-Thai di wilayah Oddar, Meanchey terpaksa dipindahkan selepas pertempuran sengit tercetus antara tentera dua negara semalam dan kelmarin. - REUTERS


BANGKOK 23 April - Satu pertempuran sengit tercetus buat hari kedua berturut-turut di sempadan Thai-Kemboja hari ini, mengorbankan empat lagi nyawa sekali gus menjadikan angka korban pertelingkahan kepada 10 orang.
Menurut pegawai dua negara, tiga tentera Kemboja dan seorang askar Thailand maut, sementara 11 yang lain turut cedera dalam pertempuran terbaru hari ini yang berlaku kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia).
Kementerian Pertahanan Kemboja menuduh Thailand menggunakan senjata berat 75mm dan 105mm yang dimuatkan dengan gas beracun, tetapi tidak memberikan butiran lanjut dan dakwaan itu tidak dapat disahkan.
Tentera Thai menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Menurut seorang jurugambar AFP, sebuah rumah yang terletak sejauh 10 kilometer dari pertempuran tercetus, turut musnah terkena tembakan senjata berat.
Seperti biasa, dua negara itu saling menunding jari antara satu sama lain selepas pertempuran kembali reda beberapa jam kemudian.
"Tentera Kemboja secara tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah kami," kata Menteri Pertahanan Thai, Jeneral Prawit Wongsuwon.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra hari ini menggesa tentera tidak campur tangan dalam politik selain mengulangi kenyataannya agar satu pilihan raya yang bebas dan adil dilaksanakan melalui persidangan video pada pertemuan parti Puea Thai.
"Tentera tidak seharusnya masuk campur dalam penubuhan kerajaan seperti sebelum ini,'' katanya yang kini berada di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu (UAE). - AFP

Pelajar kolej ditahan jadi keldai dadah



PUTRAJAYA 23 April – Seorang gadis berasal dari Sarawak yang menuntut di sebuah kolej di ibu negara ditahan di Shenzhen, China, selepas dikesan cuba menyeludup 100 biji kapsul dadah jenis heroin seberat 700 gram dengan cara menelannya sebelum ke negara tersebut, pada 29 Mac lalu.
Mangsa dikatakan sanggup berbuat demikian selepas terpedaya dengan lelaki dipercayai warga Afrika yang baru dikenalinya melalui laman sosial, Facebook, tahun lalu, dengan bayaran hanya RM5,000.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, kes itu terbongkar selepas mangsa memohon bantuan dari pihak konsulat kerana sukar membeli makanan di penjara Shenzhen.
“Lebih malang, mangsa tidak pernah berjumpa lelaki Afrika itu dan semasa ditemui wakil konsulat, dia merayu kesnya tidak dimaklumkan kepada keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Keluarga Wisma Putra di sini hari ini.
Beliau menasihatkan gadis-gadis tempatan terutamanya dari kawasan pedalaman agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.
“Kebanyakan mangsa berasal dari keluarga susah yang memerlukan wang untuk pengajian atau kehidupan. Saya amat kecewa apabila ada lagi yang masih menjadi mangsa keldai dadah,” katanya.

Broker tanah diburu



MELAKA: Suspek utama disyaki dapat membantu siasatan kes pembunuhan seorang ahli perniagaan warga emas yang mayatnya disumbat ke dalam but kereta di Jalan Air Semubok, Durian Tunggal, Alor Gajah, malam Rabu lalu, disyaki melarikan diri dari negeri ini sejurus selepas kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, susulan itu pihaknya melancarkan gerakan memburu suspek, termasuk melalui bantuan media menyiarkan fotofit wajahnya.

Beliau yang ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri petang semalam berkata, suspek dikenali sebagai Lim Kok Yong, 51, dan beralamat terakhir di Cheng, dekat sini.

“Suspek adalah broker tanah dan memegang kad pengenalan bernombor 600614-04-5715.

“Kita (polis) meminta suspek ini jika membaca di akhbar atau mengetahui perkara ini supaya menyerah diri di balai polis berdekatan untuk membantu menyelesaikan kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini kita percaya dia sudah keluar dari negeri ini, justeru kita mengharapkan bantuan orang ramai untuk mengesannya,” katanya.


Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/Operasi), Superintendan R Gunarajan dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Siasatan/Perundangan), Superintendan Sharul Lalli Masduki.

Beliau berkata, orang ramai yang tahu di mana suspek berada diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Zulkifli Yusuf di talian 016-6308222 atau Balai Polis Alor Gajah di talian 06-5564153.
Menurut Raja Shahrom, suspek dan si mati iaitu Tan Lock, 77, adalah rakan perniagaan dan pihaknya masih menyiasat motif sebenar pembunuhan mangsa namun enggan mendedahkan hasil bedah siasat.

Dalam perkembangan sama, Raja Shahrom berkata, pihaknya menahan dua orang membabitkan teman wanita mangsa berusia 74 tahun dan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi tujuan membantu siasatan.

“Mereka ditahan antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi (semalam) bagi membantu siasatan supaya kita dapat menentukan siapa sebenarnya terbabit dalam pembunuhan mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya masih berusaha mengesan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu sementara menunggu suspek utama terbabit ditahan.

Pemandu bertumbuk


GOMBAK: Seorang lelaki tiba-tiba naik angin apabila keretanya dihalang sebuah lori di pekan Rawang, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, pemandu kereta terbabit menghamburkan kata-kata kesat kepada pemandu lori itu dalam pertengkaran di tepi jalan.

“Pertengkaran bertambah serius apabila mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan saling menyalahi antara satu sama lain,” katanya.

Sumber berkata, beberapa minit kemudian pertengkaran itu bertukar kepada adegan tumbuk-menumbuk.

Katanya mangsa yang diserang lelaki terbabit cuba mempertahankan diri tetapi gagal menyekat amukan suspek.

Menurutnya, mangsa luka di hidung, tangan kiri dan ibu jari ketika mempertahankan diri daripada terus diserang.


Lelaki terbabit beredar dari tempat kejadian selepas mencederakan mangsa.

“Mangsa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Rawang,” katanya.

Terikut makan babi


KOTA KINABALU: “Sepatutnya saya membimbing suami ke jalan benar selepas memeluk agama Islam tetapi apa berlaku adalah sebaliknya.
“Malah, saya pula terikut-ikut kelakuannya seperti keluar berfoya-foya, minum arak dan memakan benda haram, termasuk daging babi dan ayam tidak disembelih,” kata Maria, 30, yang mengakui menyesal dan kembali ke pangkal jalan.
Bagaimanapun, Maria mendakwa penyesalannya tidak berguna lagi apabila ditinggalkan suami manakala dua anak lelakinya kini lebih terarah kepada agama asal bekas suaminya.

“Sepanjang berkahwin 13 tahun lalu, saya tidak pernah solat, berpuasa mahupun menunaikan zakat. Saya tidak pernah bayar zakat walaupun kehidupan kami baik dengan suami mengerjakan ladang,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.


Ketika ditanya mengenai perkenalan dengan suaminya yang hanya dikenali sebagai Peter, Maria berkata, mereka bertemu ketika membantu ibu saudara menjaga kedai runcit manakala bekas suami bekerja di kawasan ladang berhampiran.

“Selepas mengenali hati budi dan lima bulan menjalin cinta, saya mengambil keputusan berkahwin dengan Peter dalam satu majlis sederhana,” katanya. 

Pelajar khalwat


GEORGETOWN: Biarpun baru sehari mengenali seorang lelaki, kesanggupan si gadis mengikut temannya menjadi detik malang apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Tanjung Tokong, di sini, awal pagi semalam.
Lebih mengejutkan, gadis berusia 23 tahun yang dipercayai penuntut sebuah institusi pengajian tinggi dekat sini, ditemui berdiri keadaan berbogel di penjuru bilik ketika pemeriksaan.

Pasangannya pula yang juga jurugambar bebas berusia 23 tahun didapati berseluar panjang denim tanpa baju.

Ketika pemeriksaan dilakukan jam 1.30 pagi, pasangan berkenaan dipercayai menyewa sebuah bilik dantidak membuat pendaftaran masuk dipercayai bagi mengelak kehadiran mereka dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, sebuah motosikal yang diletakkan di luar perkarangan hotel berjaya membongkar segala aktiviti maksiat mereka sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan di hotel.

Ketika pemeriksaan di bilik berkenaan, turut ditemui sehelai baju dan seluar dalam milik gadis itu di atas sofa dan ia dirampas untuk dijadikan barang kes.


Pasangan itu antara 10 pasangan berusia 20 hingga 30-an yang ditahan sepasukan 16 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi itu.

Operasi diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, bermula jam 10 malam hingga 7 pagi itu dibantu sepasukan 13 pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pulau Pinang.
Operasi itu juga merangkumi beberapa lokasi ‘panas’, termasuk Persisiran Pantai Sungai Pinang, Pantai Seagate dan Pantai Queensbay serta beberapa hotel sekitar Gelugor, Jalan Tengku Kudin dan Jalan Tanjung Tokong.

Menurut Khairul Azman, tujuh pasangan ditahan kerana kesalahan berkhalwat manakala tiga lagi pasangan ditahan kerana berkelakuan kurang sopan atau tidak senonoh di tempat awam.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat JHEAIPP untuk tindakan selanjutnya, termasuk membuat laporan tangkapan di Balai Polis Lebuh Pantai,” katanya.

Askar Thai, Kemboja terus bertempur


PHNOM PENH (Kemboja): Pertempuran antara tentera Kemboja dan Thailand tercetus lagi pada hari kedua, semalam, sehari selepas enam anggota tentera terbunuh dan beribu-ribu orang awam diarahkan supaya meninggalkan zon perang.
Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan berkata, pertempuran hari ini (semalam) bermula kira-kira jam 6 pagi di tiga lokasi sama di mana tentera kedua-dua negara bertempur menggunakan senjata artileri selama beberapa jam, kelmarin. Pegawai kerajaan daerah Phanom Dong Rak di Thailand, Wachira Kitphan berkata, kedua-dua belah pihak berbalas tembakan artileri hingga jam 8 pagi, semalam.

Kedua-dua negara berjiran itu terbabit dengan beberapa siri pertempuran sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran perebutan kawasan di sempadan. “Pertempuran bermula kira-kira jam 6 pagi dengan tembakan mortar di lokasi sama kelmarin, kata jurucakap tentera Thai di sempadan, Kolonel Prawit Hookaew.

“Kami masih berunding untuk menghentikan pertempuran,” katanya lagi.

Sehingga petang semalam, dilaporkan seorang tentera Thai dan Kemboja maut meningkatkan jumlah kematian tentera kedua-dua negara kepada lapan dalam pertempuran yang tercetus sejak gencatan senjata Februari lalu. - AP/AFP

Paderi kena penjara 1 jam


DETROIT: Paderi Amerika Syarikat yang membakar naskhah al-Quran hingga mencetuskan kejadian keganasan di Afghanistan dipenjarakan selama satu jam, kelmarin selepas mahkamah mengharamkan bantahannya di luar sebuah masjid di sini.
Hakim tempatan memenjarakan Terry Jones dari Gainesville, Florida dan pembantunya, Wayne Sapp selepas mahkamah mendapat tahu mengenai rancangan mereka untuk mengadakan bantahan di luar Pusat Islam AS di Dearbon boleh mendorong kepada insiden kaganasan. Ketika hadir di mahkamah, Jones mempertikaikan kitab suci umat Islam itu dengan mengatakan ‘al-Quran mendorong aktiviti pengganas di seluruh dunia’. Dia juga memberitahu dia berhak untuk membantah Islam dan dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS. “Pindaan Pertama tidak memberi faedah jika ia menyekat kebebasan kita untuk menyuarakan sesuatu isu,” katanya. Namun, Ketua Polis Dearbon, Ronald Haddad mendakwa, jabatannya menerima maklumat daripada penduduk tempatan mengenai ancaman serius oleh Jones dan menekankan bantahannya itu boleh menimbulkan insiden keganasan.

Pendakwaraya Robert Moran berkata, bantahan Jones tidak mempunyai kaitan dengan Pindaan Pertama Perlembagaan dan perkara perlu diutamakan adalah keselamatan serta keamanan masyarakat.

Hakim Mark Somers kemudian mengarahkan Jones dan Sapp dipenjarakan kerana enggan membayar denda AS$1 (RM3). Namun selepas satu jam berada di dalam penjara, kedua-duanya mengubah fikiran lalu membayar denda itu sebelum dibebaskan. - AFP

4 maut, 38 cedera trak bawa mercun meletup


TAIPEI: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 38 lagi cedera apabila sebuah trak dipenuhi mercun meletup di utara negara itu, semalam.
Kejadian itu berlaku sebaik pemandu trak memunggah mercun berdekatan sebuah kedai kertas di bandar raya New Taipei yang turut memusnahkan berpuluh-puluh kediaman berhampiran, kata timbalan Datuk Bandar, Hou Yu-ih.

Akhbar Apple Daily melaporkan, bunyi letupan kuat akibat kejadian itu kedengaran hingga sejauh 10 kilometer, manakala asap tebal dapat dilihat menjulang tinggi hingga bangunan sembilan tingkat. Letupan turut membakar beberapa kereta dan menyebabkan beberapa tingkap kediaman di seberang sungai dari tempat kejadian pecah.

Kedai yang menjual sampul wang dan colok kemenyan itu dilaporkan membeli mercun untuk stok simpanan sempena festival keagamaan yang akan berlangsung minggu depan. - AFP

Bintang bola sepak Hong Kong terjun tingkat 36


HONG KONG: Seorang bintang bola sepak Hong Kong yang ternama membunuh diri dengan terjun bangunan pangsapuri selepas bertengkar dengan isterinya, semalam.
Cheung Sai-ho, 35, dinobat sebagai pemain paling berharga Hong Kong pada 2003 dan pemegang rekod dunia - membuat jaringan untuk pasukan belia Hong Kong kira-kira 2.8 saat selepas perlawanan bermula dalam pertandingan Piala Portsmouth di Britain pada 1993. Pemain tengah berbakat yang bersara daripada bidang sukan pada 2008 itu terjun dari tingkap tingkat 36 pangsapuri kediamannya selepas bertengkar dengan isterinya, kata polis sebagaimana dipetik daripada akhbar South China Morning Post. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

- AFP

17 main judi sebelah mayat


BUTTERWORTH: Akibat gila judi, sekumpulan 17 kaki judi, termasuk dua wanita sanggup melakukan kegiatan itu di sebelah mayat di Rumah Pangsa Seri Tanjung, Jalan Raja Uda di sini, tengah malam kelmarin. 


Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, kumpulan terbabit berusia antara 27 hingga 60 tahun bermain judi belangkas di bawah khemah yang menempatkan keranda tanpa menghiraukan tetamu memberi penghormatan kepada si mati.
Meja judi hanya dipisahkan dengan keranda oleh kain tabir.
Tanpa menghiraukan waris si mati, mereka leka berjudi hinggalah sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, menyerbu tempat itu, kata Pegawai Turus D7 IPK Pulau Pinang, Asisten Superintendan Sayuti Harun. 

Rakan Facebook taktik terbaru latih keldai dadah



Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2011/04/24

Rakyat Malaysia perlu waspada elak jadi mangsa warga Afrika 

PUTRAJAYA: Sekat atau 'block' (halang) warga Afrika daripada menjadi rakan Facebook dan tindakan itu mungkin menyelamat anda. Itu nasihat Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot, yang mendedahkan taktik terbaru warga asing untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah atau melakukan jenayah lain menerusi laman sosial Facebook.
Oleh itu, katanya, orang ramai jangan terlalu mempercayai rakan yang baru dikenali, terutama menerusi Facebook, sehingga ada yang terpengaruh menjadi keldai dadah atau melakukan jenayah lain, walaupun pihak berkuasa berkali-kali memberi amaran mengenai sindiket yang mendalanginya.
Beliau kesal kerana kebanyakan kes jenayah membabitkan rakyat Malaysia di luar negara adalah akibat diperalatkan pihak lain bagi perbuatan seperti menyeludup dadah, walaupun ada yang baru saja mengenali satu sama lain. 

“Antara 1991 hingga 31 Mac lalu, 1,880 warga Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan, termasuk 833 orang atas kes berkaitan dadah, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, berusia antara 20 hingga 30 tahun, tiada rekod jenayah dan menganggur atau daripada golongan berpendapatan rendah. 

“Dalang perbuatan ini kebanyakannya warga Afrika yang menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan ibu tunggal menggunakan Facebook. Justeru, saya syorkan pengguna Facebook jangan layan atau ‘block’ (halang) warga Afrika daripada memasuki laman sembang mereka. 

“Saya juga musykil kenapa dadah yang diseludup ini tidak dikesan ketika dibawa keluar dari sini supaya tidak perlu kita berurusan dengan kerajaan asing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan hari keluarga Wisma Putra di sini, semalam. 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes terbaru, Rabu lalu membabitkan pelajar kejururawatan kolej swasta di Damansara, Marylyne Sandra Sapat, 22, ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup 100 biji dadah jenis heroin dengan menelannya. 

Mangsa dipercayai ditawarkan RM5,000 untuk menyeludup dadah berkenaan oleh rakan Facebook lelaki warga Afrika yang hanya dikenali sebagai Chimezie Michael dalam akaun Facebook. 

Penyamun tamak terima padah ditembak polis




ANGGOTA polis menjalankan siasatan di sebuah stesen minyak yang cuba disamun di Tengkera, Melaka kelmarin.


MELAKA – Tidak puas dengan hasil samun yang diperoleh daripada sebuah stesen minyak di Jalan Munsyi Abdullah di sini, dua penjenayah menyamun pula sebuah stesen minyak di Tengkera selang 15 minit selepas itu malam kelmarin.
Sikap tamak mereka bagaimanapun membawa padah apabila salah seorang daripadanya ditembak dan ditahan polis ketika melakukan samun kedua.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian pertama di sebuah stesen minyak di Jalan Munsyi Abdullah itu berlaku kira-kira pukul 9 malam.
Menurutnya, ketika melakukan samun kedua, salah seorang penjenayah itu memasuki kaunter bayaran dan mengugut juruwang wanita berusia 20-an dengan sebilah pisau agar menyerahkan wang.
“Dua anggota polis yang menyamar dalam Ops Kios di stesen minyak ini menggagalkan cubaan samun tersebut.
“Suspek kemudian keluar dari kaunter dan menyerang anggota polis tersebut dengan pisau menyebabkan satu tembakan terpaksa dilepaskan dan mengena bahagian kiri perut suspek,” katanya.