Search This Blog

Saturday, April 23, 2011

Perompak guna basikal



GEORGETOWN -Ibarat filem P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok. Seorang lelaki ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut tiga hari lalu kerana menjalankan kegiatan pecah rumah hanya menggunakan basikal.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, lelaki itu menggunakan basikal untuk mengangkut sekurang-kurangnya tiga kali barang berharga dari sebuah rumah di Jalan Macalister dekat sini.

“Suspek mengakui menggunakan basikal bagi menjalankan aktiviti itu namun kita masih tertanya-tanya bagaimana dia mengangkut kesemua barang-barang itu. Jika dilihat, sebahagian barang yang dicuri bersaiz besar,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, pemilik rumah itu terkejut apabila mendapati pintu belakang rumahnya itu pecah dan ada kesan dimasuki orang.

“Rumah itu tidak berpenghuni kerana pemiliknya tinggal di Kuala Lumpur namun sekali sekala pulang ke rumah itu untuk menjenguk rumah ibunya. Namun setibanya di rumah pada 15 April lalu, pemilik itu terkejut apabila mendapati banyak barang miliknya hilang dan mengesyaki ia dicuri selain keadaan rumah berselerak.

“Apabila diperiksa, didapati pintu belakang rumahnya dipecah dan barang-barangnya hilang termasuk barang antik, wang kertas lama, barang kemas dan keris kurniaan Sultan Kelantan,” katanya.

Kong Meng berkata, pemilik rumah yang bergelar Datuk mengakui, rumahnya itu sebelum ini pernah dipecah masuk namun tidak membuat laporan polis atas sebab tertentu.

“Pemilik berumur 44 tahun itu menjalankan perniagaan sendiri dan menetap di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, berikutan kehilangan banyak barang miliknya, pemilik rumah itu membuat laporan polis pada 15 April lalu dengan anggaran kerugian lebih RM500,000. Sebahagiannya berjaya ditemui di rumah suspek di Puncak Terubong, Jalan Bukit Kukus,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan, polis menemui 12 kesan cap jari di dalam rumah itu sehingga berjaya menangkap seorang lelaki berumur 36 tahun.

“Polis menemui separuh daripada barang curi itu di rumah suspek ialah satu kotak mengandungi aksesori pakaian, satu bekas seramik berwarna putih dan sebuah jam dinding manakala pelbagai duit syiling mata wang asing dan dua keping wang kertas mata wang asing di kedai pengurup wang,” katanya.

Lelaki mati kena kelar



SITIAWAN – Seorang lelaki ditemui mati di kawasan perindustrian di Pelabuhan Lumut, Kampung Acheh, di sini, disyaki dikelar pada leher, kelmarin.

Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, pihaknya menerima panggilan dari pekerja kawasan perindustrian itu kira-kira jam 4.50 petang.

Menurutnya, pekerja itu menemui mayat seorang lelaki di tempat simpanan besi dan binaan.

“Mayat ini ditutup dengan plastik berwarna biru selain tiada dokumen penting dijumpai.

“Terdapat dua kesan kelar pada bawah dagu dan leher mangsa namun senjata yang digunakan tidak ditemui,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Manjung, di sini.

Menurutnya, ketika ditemui mangsa berpakaian lengkap dan tiada kesan pergelutan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa berusia kira-kira 30-an selain dipercayai berasal dari Johor.

“Mangsa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain sudah menetap di sini, sejak dua tahun lalu,” katanya.

Katanya, mangsa juga adalah salah seorang pekerja di kawasan perindustrian itu.

“Punca kematian dan motif pembunuhan masih lagi dalam siasatan pihak kami,” katanya.

Dua lelaki curi peralatan pejabat ditahan polis



GEORGETOWN - Dua lelaki ditahan selepas terlibat dengan kes pecah pejabat di Prima Tanjung, Bandar Tanjong Tokong dengan kerugian dianggarkan RM15,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, seorang wanita membuat laporan polis pada 18 April lalu bahawa pejabatnya dipecah masuk dengan kehilangan pelbagai peralatan pejabat.

“Pada hari yang sama kira-kira jam 5 petang, hasil daripada siasatan pegawai dan anggota polis dari unit Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berjaya menangkap dua lelaki berumur 28 dan 30 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes ini.

“Seorang daripadanya mempunyai lapan kesalahan lampau iaitu tiga rekod jenayah dan lima rekod melibatkan dadah. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut sehingga 25 April ini. Polis juga berjaya merampas 15 monitor LCD komputer pelbagai jenama, enam komputer riba dan tiga unit pemprosesan komputer (CPU),” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, dengan tertangkapnya kedua-dua lelaki itu, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 10 kes pecah rumah dan pejabat yang berlaku sekitar kawasan daerah Timur Laut dan Barat Daya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun dan maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Seludup masuk teman wanita



KLUANG - Kegiatan tidak bermoral seorang gadis 14 tahun yang dibawa masuk ke rumah keluarga kekasihnya, akhirnya membawa pada apabila dicekup sepasukan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) daerah Kluang di sebuah rumah di Taman Sri Lambak kira-kira jam 2.25 pagi kelmarin.

Pelajar tingkatan dua itu ditangkap bersama teman lelakinya berusia 18 tahun yang bekerja di sebuah kilang di kawasan Kluang.

Kadi Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, tangkapan yang dijalankan itu adalah hasil daripada aduan orang awam yang memberikan maklumat kepada pihak penguat kuasa.

Pasangan remaja itu ditangkap ketika sedang tidur berdua dalam bilik rumah lelaki berkenaan.

“Sewaktu tangkapan dilakukan, ibu dan dua adik-beradik lelaki berkenaan sedang tidur di dalam rumah dan bapanya pula dikatakan pergi bekerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalil berkata, hasil siasatan juga mendapati pasangan terbabit sudah berkenalan kira-kira lima bulan lalu.

Atas kesalahan itu, pasangan terbabit akan dituduh di bawah seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh membawa denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pada masa ini penguat kuasa akan bertindak tegas dan sentiasa melakukan pemeriksaan dalam usaha mencegah maksiat di daerah Kluang.

“Oleh yang demikian, jika orang awam mempunyai maklumat berhubung kes maksiat atau sebagainya, bolehlah menghubungi talian bebas tol JAIJ yang beroperasi 24 jam iaitu 1-800-88-3072 untuk membuat aduan,” katanya.

Mangsa culik masih belum ditemui



JOHOR BAHRU – Ahli perniagaan dipercayai bernama Lam Seng yang diculik empat lelaki memakai topeng bersenjatakan pistol dari restoran di Taman Puteri Wangsa kelmarin, masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung penculikan lelaki berusia 40-an itu kira-kira jam 3 petang kelmarin, namun setakat ini belum ada tangkapan dilakukan pihaknya.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan kita juga belum menerima sebarang maklumat mengenai kedudukan mangsa. Kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, tiga suspek memakai balaclava bersenjatakan pistol menyerbu masuk sebuah kedai kopi dipenuhi hampir 50 pelanggan di Jalan Beladau 19, Puteri Wangsa kira-kira jam 1.45 tengah hari, kelmarin.

Berdiri di depan salah sebuah meja yang diduduki lima lelaki, salah seorang suspek menjerit “Saya mahu Lam Seng”.

Kemudian, leher mangsa dirangkul dan diheret masuk ke dalam sebuah kereta Proton Gen2 berwarna perak yang diletakkan selang satu kedai dari restoran terbabit dan memecut melarikan diri.

Ketika kejadian kira-kira dua minit itu, salah seorang suspek turut melepaskan tembakan ke arah siling kedai apabila rakan mangsa cuba menghalang.

Awasi sindiket licik



JOHOR BAHRU – Sebanyak 15 aduan diterima berhubung penyelewengan sindiket gores dan menang dari Januari hingga Mac tahun 2011, di negeri ini.

Daripada angka itu, 12 kes telah disiasat dan diselesaikan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (PDNKK).

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, ada aduan yang masih belum diselesaikan kerana memerlukan kerjasama pihak pengadu yang bekerja di Singapura untuk direkodkan percakapan.

“Sindiket gores dan menang ini memang tak dapat ditumpaskan biarpun pelbagai usaha dibuat, termasuk saya sendiri pernah turun padang. Apa yang saya boleh nasihatkan ialah ada individu masih terpedaya dan masih mencuba nasib untuk terperangkap dalam sindiket penipuan itu biarpun pelbagai hebahan dibuat.

“Perkara ini kita tidak boleh bendung kerana mereka (sindiket) ini licik. Apabila didekati pegawai kami mereka bertindak seperti orang awam biasa dan menyukarkan penangkapan,” katanya selepas Kempen Turun Harga, di sini, semalam.

Lian Hoe berkata, tindakan proaktif telah dijalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di lokasi ‘hotspot’ dan pemasangan banting mengenai penyelewengan sindiket itu di lokasi orang awam untuk pendedahan.

Modus operandi sindiket ini ialah menawarkan sampul surat bagi memenangi cabutan bertuah untuk memenangi hadiah mewah dan berharga sebelum mengumpan mangsa ke pejabat mereka ke lokasi yang berlainan dan mengarahkan pembayaran cukai kerajaan bagi menebus hadiah yang dimenangi.

Menurutnya, setelah pembayaran dibuat, hadiah yang dimenangi mangsa tidak setanding dengan pembayaran yang dilakukan.

Sementara itu, Lian Hoe berkata, sebanyak 370 pemfailan kes direkodkan sekali gus menempatkan Johor di tempat ketiga tertinggi pemfailan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna selepas Kuala Lumpur dan Selangor.

Daripada angka itu, 201 pemfailan untuk barang dan 169 pemfailan perkhidmatan iaitu berdasar statistik 56 kes membabitkan kes rawatan pusat kecantikan.

Beliau berkata, 197 kes telah diselesaikan sama ada pemfailan kes telah ditarik balik, melalui perundingan, award atau tuntutan tersebut ditolak atas sebab di luar bidang kuasa atau tuntutan tidak munasabah

Pemandu Bas Maut Dirempuh Kereta Ketika Seberang Jalan Untuk Bertemu Rakan



KUALA LUMPUR: Tindakan Hussin Razaly menyeberangi lebuh raya untuk bertemu rakan di Kilometer 429 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mengundang padah apabila pemandu bas itu maut dirempuh kereta kira-kira 10 malam tadi.
Hussin, 47, mati di tempat kejadian selain 'hilang' kaki kiri akibat rempuhan itu, yang dipercayai berlaku ketika dia melepasi penghadang tengah lebuh raya untuk menyeberangi jalan.
Bagaimanapun, kereta yang merempuh Hussin bertindak meninggalkan tempat kejadian dan sehingga kini, kenderaan itu gagal dikesan.
Jurucakap polis ketika dihubungi hari ini berkata kaki kiri mangsa yang putus akibat kemalangan itu, tidak ditemui di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat.
Sebelum kemalangan itu, Hussin, yang juga bekas pesara tentera, dikatakan menghentikan bas yang dinaiki 15 penumpang dari Pulau Pinang menghala Kuala Lumpur di lorong kecemasan untuk bertemu rakannya.
Bagaimanapun, tujuan mangsa mahu bertemu rakannya, yang juga pemandu bas, tidak diketahui.
Jurucakap polis itu berkata mangsa yang berasal dari Hulu Bernam, Selangor baru bekerja sebagai pemandu bas dua bulan lepas.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan gerakan memburu suspek sedang dilakukan, dan polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil membantu siasatan polis," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Polis Tahan Remaja Sorok Heroin Dalam Lipatan Kaki Seluar



GEORGE TOWN: Polis menahan dua remaja dipercayai pengedar dadah dan merampas bungkusan dadah jenis heroin bernilai RM10,000 dalam satu operasi sekatan jalan raya di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang di sini awal pagi Sabtu.
Pegawai Turus Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata kedua-dua remaja lelaki berusia awal 20-an itu ditahan pada 3 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kedah.
"Mereka yang bekerja di sebuah kilang dan restoran di Kedah dipercayai datang ke Pulau Pinang untuk mengambil bekalan dadah sebelum diedarkan di kawasan tempat tinggal mereka di Kedah," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Beliau berkata polis menahan dua remaja yang menaiki kereta jenis Proton Satria itu dan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit namun tidak menemui sebarang benda yang mencurigakan.
"Ketika mahu membuat pemeriksaan di badan, salah seorang daripada remaja terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan dan dia cuba melipat seluar yang dipakai ketika polis memintanya membuang kasut untuk diperiksa," katanya.
Rohizad berkata curiga melihat kelakuan remaja berkenaan, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati terdapat bungkusan plastikdisembunyikan dalam lipatan seluar di kaki kirinya.
Katanya siasatan awal mendapati mereka merupakan pengedar dadah secara kecil-kecilan di Kedah dan mendapatkan bekalan daripada satu sindiket di Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supritendan S. Batumalai mengesahkan penahan dua remaja berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sindiket yang menjual bekalan dadah terbabit.
"Mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Lelaki Cedera Ditembak Dalam Rompakan Stesen Minyak Jalan Tengkera-Limbongan, Melaka



MELAKA: Seorang lelaki berusia 27 tahun cedera di bahagian perut terkena tembakan ketika merompak sebuah stesen minyak di Jalan Tengkera-Limbongan malam Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata dalam kejadian 9.15 malam itu, suspek masuk ke kiosk stesen minyak tersebut dan mengugut seorang pekerja wanita agar menyerahkan wang dalam mesin juruwang.
"Suspek yang tidak menyedari kehadiran anggota polis berpakaian preman dalam kiosk berkenaan, disergah agar menyerah diri, bagaimanapun, suspek mengacukan pisau kepada anggota polis itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, Sabtu.
Beliau berkata polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ketika suspek cuba melarikan diri dan mengenai bahagian kiri perutnya sebelum dia ditangkap kira-kira 200 meter dari stesen itu.
Katanya, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Melaka manakala seorang rakannya yang menunggu di luar kiosk, melarikan diri dengan sebuah motosikal sebaik menyedari kejadian itu, dan polis sedang menjejakinya, yang dipercayai rakyat tempatan. Rompakan itu merupakan kejadian keempat melibatkan stesen minyak dan polis sedang menyiasat sama ada suspek merupakan orang sama yang merompak stesen minyak berkenaan serta sebuah lagi stesen minyak di Jalan Munshi Abdullah sebelum ini, katanya.
Dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan wanita, 74, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga emas yang mayatnya ditemui dalam bonet sebuah kereta di Jalan Air Semubuk, Durian Tunggal, daerah Alor Gajah Selasa lepas.
Raja Shahrom berkata suspek ditangkap pada 11.30 pagi dan 12 tengah hari ini di sekitar Melaka dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata polis ingin menghubungi Lim Kok Yong, 51, dari Cheng, yang dipercayai kawan si mati dalam perniagaan, dan sesiapa yang mengenali suspek diminta menghubungi ASP Mohd Zulkifli Yusof di talian 016-6308222 atau balai Polis Alor Gajah 06-5564153.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Tan Lock, 77, dari Peringgit Jaya, ditemui pada 11.30 malam oleh anggota polis selepas memeriksa kereta berkenaan yang diletakkan di bahu jalan. - BERNAMA

Rumah terbakar, gadis kahwin di kediaman jiran



NOOR Akma Edayu Othman bersama Mohd. Radhi Harun melihat rumah keluarga Akma yang musnah terbakar sebelum melangsungkan majlis perkahwinan mereka di Kampung Mengabang Tengah Masjid, Batu Buruk, Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 22 April - Seorang gadis, Noor Akma Edayu Othman terpaksa melangsungkan perkahwinannya di rumah seorang jiran berikutan kebakaran rumahnya pada 4 April lalu.
Semua persiapan perkahwinan termasuk barang hantaran bernilai RM10,000 musnah dijilat api dalam kejadian di Kampung Mengabang Tengah Masjid, Batu Buruk, dekat sini, baru-baru ini.
Akibat kejadian itu, Noor Akma, 26, bersama enam lagi anggota keluarganya terpaksa menumpang di rumah jiran mereka, Mohd. Zain Awang Besar.
"Arwah ayah ada berpesan supaya keluarga melangsungkan perkahwinan saya di rumah ini.
"Ayah sendiri meminta izin daripada tuan rumah supaya kami sekeluarga dapat menumpang sementara serta melangsungkan majlis kahwin kami di sini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis perkahwinannya di sini hari ini.
Bapa Noor Akma, Othman Said, 56, meninggal dunia di rumah yang ditumpang mereka pada 11 April lalu akibat kanser paru-paru yang dihidapinya sejak sekian lama.
Noor Akma melangsungkan perkahwinan bersama Mohd. Radhi Harun, 26, dari Kampung Losong di sini dengan persiapan serba ringkas.
Dia dan suaminya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada jirannya itu atas kesudian menerima mereka menumpang teduh sementara menunggu kediaman baru dibina atas bantuan kerajaan negeri.

2 parah ditembak dua suspek



RASAH 22 April - Seorang pemilik kedai dan pemandu lori cedera parah selepas ditembak oleh dua lelaki dalam kejadian berasingan di Taman Seremban Jaya, di sini, malam tadi.
Mangsa pertama, R. Achudan, 30, terkena dua das tembakan di perut dan belakang badan manakala mangsa kedua, M. Vadiveloo, 41, ditembak di tangan dan perut.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan menaiki motosikal dan melepaskan tembakan ke arah mangsa pertama dalam jarak dekat.
"Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri sejurus melihat mangsa rebah di hadapan kedai berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-12, di sini hari ini.
Menurut beliau, selang beberapa minit kemudian, kedua-dua suspek menembak Vadiveloo ketika mangsa sedang memasukkan barang ke dalam kereta di rumahnya.
Siasatan awal kata beliau mendapati kedua-dua mangsa tidak mempunyai sebarang perhubungan.
Beliau berkata, polis masih menyiasat lanjut motif serangan berkenaan dari segenap aspek tetapi tidak menolak kemungkinan berpunca daripada dendam, kongsi gelap atau pembunuh upahan.
"Setakat ini pihak polis belum mengambil keterangan lengkap mangsa yang masih lemah selepas menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Ja'afar,'' katanya.

Kertas siasatan dibuka dakwaan anggota polis berlumba



KUALA LUMPUR 22 April - Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang anggotanya terlibat dalam perlumbaan sehingga mengakibatkan kemalangan yang membunuh seorang wanita warga emas di Kilometer 4 Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) berhampiran Taman Selaseh, Gombak, dekat sini semalam.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kes kemalangan tersebut kini dalam siasatan dan beberapa saksi yang melihat kemalangan akan dipanggil untuk memberikan keterangan.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga akan mendapatkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di tempat kejadian daripada pihak pengurusan DUKE bagi mendapatkan gambaran sebenar kemalangan tersebut.
"Kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sekiranya hasil siasatan mendapati memang benar anggota polis terbabit berlumba dan menjadi punca kemalangan, maka dia akan didakwa di mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.45 pagi semalam, Rokiah Mat Nor, 65, maut selepas dikatakan menjadi mangsa dua buah kereta sedang berlumba yang mana salah seorang pemandunya dipercayai anggota polis.
Rokiah meninggal dunia di tempat kejadian setelah tersepit dalam kereta Perodua Kancil dipandu suaminya, Baharuddin Hussin.
Baharuddin dan adik perempuan Rokiah yang duduk di belakang mengalami kecederaan ringan, begitu juga anggota polis yang memandu kereta Proton Putra selepas melanggar kereta mereka.

Kastam rampas dadah bernilai RM3.4j



SEREMBAN 22 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis Eramin 5 ke negara ini setelah menahan dua lelaki tempatan yang cuba menyeludup masuk dadah tersebut dari China.
Dadah bernilai hampir RM3.4 juta itu dirampas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Rabu lalu.
Kedua-dua suspek berusia 27 dan 35 tahun yang menaiki penerbangan dari republik itu ditahan anggota penguat kuasa sejurus selepas mendarat pada pukul 4.45 petang.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Liah Omar berkata, hasil pemeriksaan terhadap dua lelaki tersebut, pihaknya menemui 168,480 biji pil Eramin 5 seberat 35 kilogram (kg) yang disorok dalam bagasi masing-masing.
"Pada mulanya, kita menahan suspek yang berusia 27 tahun itu dan hasil pemeriksaan, kita menemui 18 bungkusan mengandungi dadah jenis Eramin 5 dalam dua beg dibawanya.
"Tidak lama selepas itu, kita menahan suspek kedua berusia 35 tahun dan menjumpai enam bungkusan mengandungi dadah jenis sama," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Narkotik, Kampung Jijan, Nilai, di sini hari ini.
Jelas Liah, pihaknya percaya dadah yang dirampas itu bernilai RM3.4 juta mengikut nilai pasaran tempatan.
"Siasatan lanjut pihak kami mendapati kedua-dua lelaki terbabit menganggur dan mempunyai ikatan persaudaraan.
"Berdasarkan rekod, kedua-dua suspek yang berasal dari Bukit Pelandok, Port Dickson itu kerap ke negara China iaitu hampir setiap bulan sejak awal tahun lalu," tambahnya.
Katanya lagi, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
"Kita percaya dengan penahanan dua lelaki itu kita telah melumpuhkan satu sindiket menyeludup dadah ke pasaran tempatan.
"Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dadah agar dapat menyalurkannya dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau 06-791 7792/7587. Ganjaran akan diberi kepada pemberi maklumat tepat," ujarnya.

RM4 juta lebur dek rakan


JITRA: Niat murni lebih 50 wanita yang kebanyakannya warga emas membantu seorang rakan mereka dengan memberikan pinjaman kerana suspek ingin menjalankan perniagaan dan pelaburan, terjerat apabila mereka tertipu membabitkan kerugian lebih RM4 juta.
Wanita berusia 50-an itu dikatakan sudah mengenali semua mangsa sejak antara 20 hingga 30 tahun lalu di Pusat Nyanyian dan Tarian di sini, namun masih tergamak menipu mereka sebelum menghilangkan diri akhir Mac lalu.

Difahamkan, suspek meminjam wang daripada mangsa kononnya untuk menjalankan perniagaan serta pelaburan dan berjanji akan memberi komisen antara lima hingga 10 peratus kepada mereka.

Kebanyakan mangsa yang berusia antara 40 hingga 80 tahun tidak menyangka suspek yang kelihatan baik dan pendiam itu mempunyai niat tidak baik.

Semua wanita itu mula menyedari perbuatan jahat suspek selepas dia tidak lagi mengunjungi pusat hiburan berkenaan iaitu tempat mereka sering berkumpul.

Suspek yang berasal dari Taman Ihsan di sini, sudah menjalankan kegiatan itu sejak lima bulan lalu dengan meyakinkan mangsa dia boleh mendapatkan keuntungan hasil pelaburan dan perniagaan yang dijalankannya.


Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Oong, 82, berkata dia kerugian hampir RM60,000 selepas tertarik dengan pelaburan yang dijanjikan wanita itu.

“Saya tak sangka dia berniat jahat. Sebelum ini kami percayakannya kerana kami anggap dia seperti adik beradik. Sudah 20 tahun saya kenal dia, kenapa dia sanggup buat saya macam ini.
“Sekarang saya jadi miskin sampai nak makan pun susah, habis semua duit simpanan saya selama beberapa tahun hilang sekelip mata,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, semalam.

Seorang tukang jahit dikenali sebagai Teoh, 56, berkata dia menyerahkan RM43,000 kerana percaya dengan suspek yang berjanji memberikan komisen 10 peratus.

“Dia ada datang rumah saya di Taman Indera pada Jun tahun lalu, kira-kira jam 8 pagi dan mempelawa saya menyertai skim pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

“Saya sudah lama kenal dia, sebab itu saya tidak curiga. Saya bagi dia duit sebanyak empat kali iaitu RM15,000, RM12,000, RM10,000 dan RM6,000.

“Sepanjang tempoh itu, saya cuma dapat komisen RM1,000 dan selepas itu tiada lagi sehingga dia menghilangkan diri,” katanya.

Yeoh, 50, berkata dia kerugian hampir RM80,000 selepas terpedaya dengan pelaburan dan perniagaan yang ditawarkan wanita itu.

“Suspek kata dia banyak perniagaan dan pelaburan yang sudah berjaya seperti kilang kain terbesar di Sungai Petani. Jadi dia suruh kami melabur dengannya supaya keuntungan dapat dikongsi bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Loh Eng Chong berkata, dia menerima panggilan daripada beberapa mangsa berhubung kes penipuan wang mencecah RM4 juta, Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa memberitahu mereka tidak mengetahui ditipu wanita terbabit kerana semuanya menyimpan rahsia ketika memberi pinjaman wang kepada suspek.

“Bagaimanapun, penipuan itu terbongkar selepas masing-masing mula mengesyaki sesuatu sejak wanita berkenaan tidak lagi datang ke pusat hiburan untuk berlatih nyanyian dan tarian sejak 27 Mac lalu.

“Semua mangsa memberitahu wanita berkenaan memperdayakan mereka dengan ganjaran dua kali ganda daripada jumlah pinjaman yang dibuat dan sebab itulah mereka yakin dengan wanita berkenaan yang turut memberi cek namun ia hanya cek tendang,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Geng Haikal Johan Setia punah


SHAH ALAM: Polis menumpaskan satu sindiket curi motosikal dikenali sebagai kumpulan Haikal Johan Setia yang dipercayai bergiat aktif sejak dua tahun lalu terutama di sekitar bandar raya ini dan Klang dalam Ops Lejang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata sindiket itu ditumpaskan apabila ketua sindiket berusia 21 tahun dengan nama samaran Haikal ditangkap pada 13 April lalu selepas polis menjalankan risikan seminggu.

Susulan itu, katanya, 10 lagi anggota sindiket berusia 17 dan 21 tahun diberkas dalam operasi berasingan antara 13 April hingga 16 April lalu di beberapa kawasan termasuk Taman Johan Setia, Bukit Naga dan Jalan Kebun dekat sini.

Katanya, polis menyelesaikan 12 kes curi motosikal termasuk lapan kes di Shah Alam, Klang (dua kes), Sentul (dua kes) dan satu kes di Kota Bharu, Kelantan berikutan kejayaan melumpuhkan kumpulan Haikal Johan Setia itu.

“Polis juga percaya dapat menyelesaikan 49 kes lagi kecurian motosikal yang dipercayai berkaitan dengan kumpulan ini.

“Suspek yang ditangkap adalah dua mekanik, empat penghantar barang kilang, dua pekerja kilang dan tiga penganggur. Siasatan mendapati semua tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.


Menurutnya, antara barang kes dirampas daripada kumpulan yang berpangkalan di Johan Setia, dekat sini, enam motosikal masih dalam keadaan sempurna, 20 rangka motosikal, tiga enjin, lapan rangka potong dan beberapa komponen terlerai.

Katanya, modus operandi kumpulan itu mencuri motosikal menggunakan kunci ‘allen’ sebelum dibawa ke rumah kosong di beberapa kawasan untuk dileraikan dan membuang rangka kenderaan itu ke sungai.

Pelajar OKU mangsa buli


TELUK INTAN: Hanya kerana tidak menyerahkan 20 sen kepada pelajar senior, seorang pelajar tingkatan satu yang juga orang kelainan upaya (OKU) cedera dibelasah pelajar berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin, pelajar Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Bagan Datoh di sini, cedera di perut akibat diterajang pelajar senior berkenaan.

Insiden dikatakan berlaku sewaktu mangsa, Nalson John, 14, sedang berjalan ke kelas apabila dia ditahan seorang pelajar tingkatan lima.

Bapa mangsa, K Agashdin, 41, berkata, pelajar tingkatan lima itu meminta anaknya menyerahkan 20 sen, namun anaknya enggan akur dengan ugutan itu.

Menurutnya, pelajar senior itu bertindak menendang perut dan kepala anaknya sekuat hati.

“Tendangan itu mengakibatkan anak saya hampir pengsan dan dibawa ke Klinik Sungai Sumun di sini, oleh guru sekolah selepas dimaklumkan pelajar lain.


“Anak saya itu dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan susulan,” katanya.

Bapa mangsa yang bekerja sebagai pekerja kilang kelapa sawit di Sungai Dulang berkata, anaknya dimasukkan ke wad 1A untuk rawatan dan menjalani beberapa ujian x-Ray bagi memastikan sama ada berlaku keretakan tulang berhampiran paru-paru.
Dia berkata, anaknya itu mengalami kecacatan fizikal sejak lahir dan tidak membesar normal seperti kanak-kanak seusianya.

“Ketinggian anak saya tidak sampai satu meter walaupun usianya sudah 14 tahun.

“Sebaik mengetahui anak saya dipukul, saya bergegas ke HTI untuk melihat keadaannya. Bagaimanapun saya lega apabila diberitahu dia tidak mengalami kecederaan serius pada organ dalaman,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak sekolah yang pantas menghantar anaknya mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun terkilan kerana anak saya yang kekurangan fizikal menjadi mangsa buli pelajar normal.

“Saya berharap pihak sekolah dapat mengatasi masalah ini dengan baik. Saya juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan kelmarin,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

“Polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tembak bukan untuk bunuh


SEREMBAN: Dendam dipercayai motif dua penjenayah bermotosikal bertindak nekad menembak dua lelaki dari jarak dekat hingga parah dalam serangan ala gangster di Taman Seremban Jaya, di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, serang hendap bermula kira-kira jam 9 malam itu dilakukan suspek di dua lokasi berasingan masing-masing di depan sebuah kedai dan rumah yang jaraknya kira-kira 200 meter.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal terlebih dulu berhenti di depan kedai telefon milik seorang daripada mangsa berusia 30-an.

“Seorang suspek iaitu pembonceng motosikal turun dan menghampiri lelaki berkenaan lalu melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai perut dan belakang badan mangsa.

“Kedua-dua penjenayah memakai topi keledar berpenutup penuh itu seterusnya pergi ke sebuah rumah berdekatan dan menembak seorang lagi iaitu pemandu lori berusia 40-an yang ketika itu berada di keretanya.

“Tembakan mengenai beberapa bahagian badan termasuk punggung dan kaki mangsa. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan,” katanya di sini, semalam.


Menurut Osman, kedua-dua mangsa masing-masing terkena lima dan dua das tembakan manakala suspek meloloskan diri.

“Mangsa sudah selamat menjalani pembedahan membuang peluru dan setakat ini keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang ditembak itu tiada sebarang perhubungan dan pihaknya berusaha mengenal pasti motif serangan.

“Berdasarkan corak serangan kami tidak menolak kemungkinan ia berpunca akibat dendam, kongsi gelap atau pembunuh upahan. Selain itu, suspek mungkin hanya mahu mencederakan mangsa kerana peluru tidak terkena organ penting walaupun banyak tembakan dilepaskan dari jarak dekat.

“Kami belum mengambil keterangan mangsa berikutan keadaan mereka yang lemah selepas pembedahan,” katanya.

Rakan disedut pusaran air


DUNGUN: “Pusaran air itu cukup kuat menyebabkan pegangan kami terlepas,” kata Mohd Hazwan Suhaimi, 20, menceritakan detik cemas selepas gagal menyelamatkan rakannya yang lemas di kawasan Air Terjun Cemerong, Hulu Dungun di sini, semalam.
Mohd Hazwan berkata, ketika itu, dia juga turut dibawa arus, bagaimanapun berjaya menyelamat diri.
Mangsa, Alan Saharuddin A Halim, 20, pelajar jurusan Diploma Automotif Diesel, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), dekat sini, dihanyutkan arus sebelum tenggelam ke dasar air terjun itu kira-kira jam 1 tengah hari.

Mangsa ditemui beberapa pengunjung sebelum diberikan bantuan pernafasan (CPR), bagaimanapun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira 10 minit kemudian.


Mohd Hazwan berkata, dia bersama mangsa serta 13 lagi pelajar politeknik bertolak ke air terjun terbabit kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki lima kereta yang disewa.

“Setibanya di kawasan air terjun terbabit, saya dan mangsa naik ke kawasan yang tinggi, manakala rakan lain menikmati makanan yang dibawa.

“Selepas terjun, mangsa kelihatan terkapai-kapai dan saya menghampirinya dan sempat menyambar tangannya, namun keadaan arus kuat menyebabkan pegangan tangan kami terpisah,” katanya. 

Lelaki misteri masih bebas


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki misteri bermotosikal dan memakai topi keledar berpenutup penuh yang dipercayai mendalangi beberapa siri simbahan asid di bandar raya ini masih bebas mencari mangsa terutama golongan wanita dan kanak-kanak tanpa diketahui motif tindakannya itu.
Kejadian simbahan asid dilakukan lelaki itu menjadi ancaman baru kepada warga kota hingga meninggalkan trauma seumur hidup kepada mangsa.

Berdasarkan beberapa kejadian, modus operandi suspek adalah menunggang motosikal bersendirian dengan membawa cecair berbahaya dipercayai asid sebelum membaling cecair itu secara rawak kepada mangsa.

Motif utama perbuatan itu tidak diketahui kerana suspek tidak mempunyai sasaran tertentu dan lokasi kejadian juga semakin berkembang iaitu bermula dari Bangsar kemudian ke Brickfields, Dang Wangi dan Sentul.

Bukan itu saja, malah kejadian itu turut dilaporkan di Mantin, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kes di Negeri Sembilan itu tiada kaitan dengan kejadian yang berlaku di ibu kota.


Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya memerlukan maklumat saksi atau orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan untuk menjejaki lelaki misteri itu.

Menurutnya, pihaknya percaya suspek adalah rakyat tempatan berdasarkan warna kulit, tetapi motif sukar dikesan berikutan suspek tidak memilih mangsa dan membaling cecair berbahaya itu tanpa tujuan. “Kami sudah menerima 10 laporan berkaitan simbahan cecair berbahaya sejak awal tahun ini, tetapi gagal untuk menjejaki suspek kerana mangsa tidak dapat mengecamnya dan tiada saksi tampil untuk membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dan mereka tidak perlu risau atau takut kerana identiti akan dirahsiakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak dapat menentukan jenis cecair yang diguna suspek sama ada berlainan jenis atau tidak kerana laporan Jabatan Kimia belum siap.

Bagaimanapun, katanya, anggota polis sudah ditempatkan di kawasan Bangsar dan Brickfields yang menjadi tumpuan penyerang misteri yang menunggang motosikal berwarna gelap. Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan berikutan menimbulkan panik di kalangan penduduk bandar.

Katanya, Polis Kontinjen Selangor kini berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan menambah bilangan anggota untuk bertugas di Brickfields dan Sentul.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, penyebaran sistem pesanan ringkas (SMS) mengenai beberapa kejadian itu dikatakan semakin berleluasa dan menimbulkan panik di kalangan masyarakat.

SMS itu menyebut suspek menjadikan wanita sebagai sasaran terutamanya mereka yang memandu kereta dengan membuka tingkap.

Menurut SMS itu, kejadian berlaku di sekitar Dang Wangi, Sentul dan yang terbaru di hadapan Istana Budaya dan mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, Bahagian Perhubungan Awam HKL ketika dihubungi mengesahkan tidak menerima sebarang kes terbaru yang membabitkan mangsa simbahan asid setakat ini.

“Apa yang kami terima hanyalah kes Mac lalu membabitkan wanita disimbah asid ketika memandu oleh penunggang motosikal yang tidak dikenali,” katanya.

Luka bernanah


KUALA LUMPUR: “Nanah keluar dari puting payudara saya sejak hari kejadian dan kini baru luka itu mulai kering,” kata seorang guru dikenali sebagai Ng, 25, yang terkena simbahan asid dibaling seorang lelaki tidak dikenali, pada 26 Mac lalu.
Ng yang juga mangsa ke-12 kejadian simbahan asid itu berkata, pada hari kejadian kira-kira jam 7 pagi, dia yang sedang melalui kawasan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Vivekanda di Brickfields, di sini, tiba-tiba dibaling sejenis cecair oleh seorang lelaki bermotosikal tidak dikenali hingga mengalami kecederaan parah di dada.

Katanya, akibat kejadian itu, dia memohon untuk berpindah ke sekolah lain kerana takut untuk melihat tempat kejadian selain trauma ketika mendekati objek panas.

“Saya tidak dapat mengecam suspek kerana diserang dari belakang hingga membuatkan saya tidak dapat tidur pada waktu malam selain takut apabila mendengar bunyi motosikal.

“Kini, harapan saya hanya untuk keluar dari Kuala Lumpur bagi meneruskan kehidupan seperti biasa hingga kecederaan ini pulih,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa memperbanyakkan lagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bandar bagi memudahkan pengawasan dijalankan.


“Saya mahu lelaki yang tidak bertanggungjawab itu ditahan segera dan dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan dilakukan,” katanya.

Mangsa ke-10, Rohainah Hussin, 30, yang terkena simbahan asid di muka kiri dan leher pada 25 Mac lalu berkata, dia hanya berasa panas pada muka dan leher selepas seorang lelaki bermotosikal membaling sejenis cecair ke arahnya dan rakan ketika mereka menuju ke kereta rakannya berhampiran tempat letak kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields.
Katanya, dia mengalami kecederaan parah dan kemungkinan buta akibat kejadian berkenaan.

“Saya mahu tindakan tegas diambil kepada suspek kerana kebanyakan mangsa mengalami kecederaan teruk dan cacat seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata, rakan yang berada di sebelah juga terkena tempias cecair itu di muka, tetapi kecederaannya tidak serius.

“Selepas kejadian, saya hanya mampu meminta tolong sebelum berlari bersama rakan ke arah paip berdekatan untuk membasuh muka,” katanya Perbuatan lelaki menyimbah asid bermula pada 2 Mac lalu selepas lapan murid tahun enam termasuk empat murid perempuan yang sedang menunggu bas di hadapan sekolah mereka di Bangsar, di sini, dibaling cecair dipercayai asid oleh seorang lelaki bermotosikal hingga cedera pada muka dan badan.

Suspek yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan melarikan diri sebaik melempar bungkusan plastik cecair itu kepada mangsa.

Dalam kejadian lain pada 26 Mac pula, sepasang kekasih warga Perancis yang melancong ke negara ini turut menjadi sasaran lelaki itu ketika mereka sedang berjalan di Jalan Conlay, kira-kira jam 3 petang hingga kedua-duanya mengalami radang kulit.

Suami isteri edar dadah


KEMAMAN: Polis menahan sepasang suami isteri serta merampas 1,000 pil yaba dan 10 botol heroin seberat 50.4 gram bernilai RM30,000 dalam serbuan di Hulu Terenggganu Ahad lalu.
Kedua-dua suspek ditahan ketika Proton Waja dinaiki berhenti di hadapan sebuah rumah di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, pemandu kereta yang juga suspek utama cuba melarikan ketika serbuan. Bagaimanapun, polis berjaya mematahkan cubaan itu selepas satu pergelutan kecil berlaku di belakang rumah berkenaan.

Beliau berkata, suspek wanita itu ditahan di dalam kereta dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Hasil pemeriksaan polis mendapati 1,000 pil disyaki yaba di sebelah kaki suspek wanita dan 10 botol heroin disorok di bawah kerusi pemandu dan semua rampasan itu dianggarkan seberat 50.4 gram.

"Kedua-dua suspek yang juga suami isteri dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar Bukit Payong, Marang, Ajil, Hulu Terengganu serta Alor Lintang, Besut dan mereka kini didireman sehingga 29 April ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pada Program Pencegahan Jenayah – Reaching Out Walk About bersama masyarakat daerah Kemaman di sini, semalam.


Menurutnya, suspek lelaki berusia 33 tahun dari Rantau Panjang, Kelantan dan isterinya yang berusia 24 tahun dari Kampung Raja, Besut disahkan positif methamphetamine dan morfin.

Katanya, suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 pada 2001 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama pada 2007 dengan kedua-dua kes di Kelantan.
Selain itu, pasangan berkenaan juga disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak angkat mereka.

Mereka disyaki mendera dan menyebabkan kematian ke atas Nor Syazwina Alia, 2, kira-kira tiga tahun lalu selepas wanita berkenaan membawa mangsa yang didakwa lemas di dalam bekas air ke Hospital Daerah Kemaman dalam keadaan nazak.

Mangsa mengalami pendarahan dalam otak, pendarahan pada mata sebelah kiri, patah tulang lengan kiri dan retak tulang jari telunjuk kanan.

Tarik mayat mangsa bawah lori


KUALA LUMPUR: “Saya menarik sendiri mangsa keluar dari bawah lori selepas mendapati dia terperosok bersama motosikalnya berikutan orang ramai tidak mahu membantu.
“Bagaimanapun, mangsa sudah meninggal dunia manakala pemboncengnya hanya cedera ringan. Saya terus menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” kata pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5.8, Lebuh Raya Sprint berhampiran persimpangan Bukit Kiara di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang dikenal sebagai Balakrishnan, 56, bersama anak lelakinya berusia 20-an dalam perjalanan ke Pusat Bandar Damansara.

Pemandu berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, sebelum kejadian, dia terdengar dentuman kuat dari belakang lori dipandunya lalu memberhentikan kenderaan itu untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya sangkakan kereta yang melanggar dan bukan motosikal kerana bunyinya terlalu kuat. “Perkara ini memang tidak disangka kerana jalan ketika itu sesak dan semua kenderaan bergerak perlahan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian berkenaan.


“Lori yang berada di depan mangsa dipercayai menukar laluan ke kanan secara mengejut menyebabkan motosikal ditunggang mangsa gagal dikawal lalu melanggar belakang lori itu.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya cedera ringan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Minta RM2,000 denda RM10,000


SHAH ALAM: Seorang penolong pegawai di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dipenjara tiga bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah meminta suapan RM2,000 daripada pengusaha pasir di Bandar Baru Bangi, dekat sini, dua tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Abdul Halim Khailani, 48; selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Abdul Halim yang berasal dari Bandar Baru Bangi didapati bersalah meminta suapan RM2,000 daripada Khairul Anuar Ahmad Bustaman, 24, supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas aktiviti pengeluaran pasir tanpa permit yang sah oleh lelaki itu.

Khairul Anuar melakukan kerja mengorek pasir itu di kawasan Lot 1519, Batu 19 1/2 dan Lot 3654, Batu 1/4 Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah & Tanah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, kira-kira jam 11 pagi, pada 23 April 2009. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan bagi menggantung pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guamnya sementara menunggu proses rayuan di Mahkaman Tinggi. Ketika kali pertama dihadapkan ke mahkamah, Abdul Halim didakwa bersama lima lagi tertuduh termasuk Penolong Pengurus Tanah Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Abd Wahab Nordin, 56, pegawai polis berpangkat inspektor, Abdul Amir Wahab, 41.

Kena denda RM500,000


PETALING JAYA: Seorang ibu tunggal yang juga mualaf dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM500,000 di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM50,000 daripada seorang wanita yang kononnya bagi pihak seorang pegawai kanan polis Selangor, tujuh tahun lalu.
Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu terhadap jurusolek Ong Lai Fong, 37, atau nama Islamnya, Nur Hidayah Jasmin Abdullah selepas mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan “Bagi kesalahan itu, kamu dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM25,000 bagi setiap pertuduhan,” katanya Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan sekiranya gagal menjelaskan denda, Ong boleh dikenakan tambahan penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Ong untuk menangguhkan hukuman itu sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa meminta RM50,000 daripada seorang ahli perniagaan Yeow Wai Yee yang kononnya bagi pihak Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ketika itu, SAC II Abu Bakar Mustaffa, sebagai dorongan bagi membebaskan suami Yeow, Chung Siew Ling, yang ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Bagi tuduhan kedua, Ong didakwa menerima RM50,000 daripada Yeow bagi tujuan yang sama.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Bandar One Utama di sini pada 7 dan 10 Jun 2004.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan Terdahulu peguam bela, Datuk Naran Singh, yang mewakili Ong memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak yang berumur 14 tahun.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ahsan Abdul Latif memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius dilakukan.

Tertipu beli kereta di Internet


KUALA LUMPUR: Cita-cita membeli kereta terpakai melalui iklan dalam laman web menyebabkan pensyarah sebuah kolej swasta di ibu kota kerugian RM500 apabila wang yang dianggap sebagai pendahuluan lesap.
Mangsa yang dikenali sebagai Robert, 26, berkata, dia selalu membeli barangan melalui Internet dan kali ini, dia ingin membeli kereta terpakai jenis Volvo yang diiklankan pada harga RM19,000.

Beliau kemudian menghubungi pemilik kereta terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Raymond.

“Perbincangan dengan Raymond lancar dan pada jam 11.30 pagi, 15 April lalu, saya memasukkan RM500 wang pendahuluan untuk bayaran kereta kepada akaun lelaki bernama Rajendran sebelum menghubungi Raymond semula,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, selepas mengesahkan bayaran pendahuluan itu, Raymond memintanya menunggu di kawasan berdekatan premis di Taman Segar, Cheras bagi menyerahkan kereta namun selepas hampir lima jam menunggu lelaki itu tidak muncul.

“Keesokannya Raymond menutup talian telefonnya dan apabila saya menyemak semula di laman web berkenaan, saya mangsa ke-20 yang ditipu lelaki bernama Rajendrandengan nama samaran Raymond,” katanya.

Pipi lebam kena tampar


JASIN: Seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di daerah ini berbirat pipi selepas mendakwa menerima ‘penampar Jepun’ daripada guru lelaki sekolah berkenaan, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Muhammad Khairul Nizam Mohd Norizam dikatakan terbuang air besar dalam seluar membuatkan guru berkenaan berang lalu menampar pipinya beberapa kali menyebabkan murid itu menangis kesakitan.

Difahamkan kejadian berhampiran kantin sekolah itu turut disaksikan murid lain kebetulan berada di situ untuk menjamu selera pada waktu rehat.

Bapa mangsa, Mohd Norizam Ali, 35, berkata dia menyedari pipi anaknya mempunyai kesan birat berhampiran telinga kiri ketika menurunkannya dari motosikal selepas menjemputnya pulang sekolah.

Dia bertanyakan bagaimana kesan yang nampak jelas kemerah-merahan serta mempunyai garisan itu boleh terjadi dan anaknya memberitahu dia ditampar seorang guru.

“Saya terus ke sekolah bersama anak dan ditemani isteri (Noorjumaaton Nawawi, 32) yang sarat mengandung untuk menemui guru terbabit bagi meminta penjelasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jaya Batang Melaka, dekat sini, semalam.


Mohd Norizam mendakwa setiba di sekolah dia menemui guru berkenaan dan bertanyakan mengenai kejadian itu dan guru itu mengaku menampar pipi anaknya, tetapi mendakwa menampar pipi kanan, bukannya pipi kiri yang berbirat.

“Anak saya bagaimanapun memberitahu dia ditampar di pipi kiri menyebabkan guru terbabit terdiam. Saya kemudian berjumpa guru besar bagi mendapatkan penjelasan, tetapi guru besar berkata dia tahu mengenai perkara itu kerana ketika kejadian dia tiada di sekolah,” katanya yang bekerja sendiri.
Menurutnya, guru besar terbabit meminta maaf mengenai kejadian itu manakala guru lelaki yang menampar anaknya hanya berdiam diri. “Saya tidak kisah kalau Muhammad Khairul Nizam dihukum kerana melakukan kesalahan tetapi bukanlah dengan menampar atau mencederakan di bahagian muka.

“Saya sendiri ada merotannya, tetapi memadailah sebagai pengajaran, bukan mengikut emosi,” katanya.

Mohd Norizan berkata, guru besar sekolah berkenaan datang ke rumahnya petang kelmarin untuk melihat keadaan anaknya selain mengambil beberapa keping gambar kesan kecederaan.

Katanya, perbuatan menampar anaknya itu agak keterlaluan memandangkan Muhammad Khairul Nizam cuma murid tahun satu dan bukan sengaja membuang air besar dalam seluar.

“Anak saya trauma dengan kejadian itu dan enggan ke sekolah pagi tadi (semalam) kerana takut untuk berhadapan dengan guru berkenaan,” katanya.

Tahanan reman lari guna kereta polis


PAPAR: Seorang tahanan reman kes pecah rumah licik melarikan diri menggunakan kereta polis selepas dia ditinggalkan di dalam kenderaan itu berseorangan ketika dibawa untuk siasatan di lokasi jenayah dilakukannya di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari, ketika suspek, Norzaleh Md Sipin, 33, dibawa anggota polis ke Kampung Sedul, Ranau, di sini untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan yang pernah dilakukannya di kampung itu.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Rakman berkata, suspek ditahan di Labuan pada 15 April lalu kerana disyaki terbabit kes pecah rumah di daerah ini dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Untuk siasatan, polis membawanya ke lokasi kejadian bagi pengesahan mengenai beberapa bahan bukti yang dijualnya kepada seorang lelaki di kampung itu.

“Suspek dibawa ke kampung itu dengan kereta peronda polis. Bagaimanapun, dia tidak tahu nama kampung yang hendak dituju menyebabkan dua anggota polis membawanya menahan sebuah kereta yang melalui kawasan itu bagi bertanya nama kampung berkenaan.

“Ketika itulah suspek mengambil kesempatan melarikan diri dengan memandu kereta polis,” katanya.


George berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau dan IPD Telupid sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan usaha sedang giat sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

“Kereta peronda polis itu berjaya ditemui di sekitar Telupid beberapa jam kemudian. Di dalamnya, polis menemui kemeja-T berwarna merah jenama Adidas dan kemungkinan besar suspek menukar pakaian sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, suspek masih bebas dan usaha sedang dijalankan di semua daerah.

“Dia berasal dari Kota Belud dan beralamat terakhirnya di Kampung Suang Parai, Menggatal. Dia juga berbadan tegap, mempunyai ketinggian 1.67 meter serta mempunyai tatu berbentuk lipan di lengan kanan, tengkorak di lengan kiri dan bentuk Maori di kaki kanan,” katanya.

Sehubungan itu, George meminta orang ramai yang mengenali atau ternampak lelaki berkenaan menghubungnya di talian 016-8819145, Bilik Gerakan IPD Papar 088-916064, Inspektor Che Rosli di talian 016-8437878 atau mana-mana balai polis berdekatan.

17 ‘Miss Hawaii’ dicekup


KLANG: Keseronokan gadis pelayan pelanggan (GRO) yang menyertai pertandingan Ratu Cantik ‘Miss Hawaii’ di sebuah kelab malam, di Bukit Tinggi, di sini, membawa padah apabila kelab itu diserbu sepasukan polis Bukit Aman, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, 17 gadis GRO yang menyertai pertandingan peringkat suku akhir itu diberkas.

Mereka terdiri daripada warga Thailand dan Indonesia berumur 17 hingga 30 tahun.

Ketika serbuan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) itu, sebahagian GRO terbabit cuba melarikan diri, tetapi dengan ketangkasan polis mereka diberkas.

Pegawai Unit Antipemerdagangan Orang, Asisten Superintendan Hadzwan Zulkefle, berkata wanita yang diberkas itu menyalahgunakan pas lawatan dengan bekerja sebagai GRO.

“Siasatan mendapati wanita terbabit dibayar sehingga RM200 setiap kali layanan diberikan dan wang itu akan diserahkan kepada penjaga mereka.


“Kami percaya tempat ini ‘stesen’ mereka untuk mencari makan. Mereka ada penjaga tersendiri,” katanya ketika ditemui selepas serbuan, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati lima daripada 17 GRO itu dikesan diperdagangkan dan kes akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Gegendang telinga kiri pecah


KAJANG: Angkara menegur empat remaja supaya berperangai baik, seorang lelaki berusia 33 tahun dibelasah remaja itu hingga menyebabkan telinga kirinya kemungkinan pekak dalam kejadian di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini.
Kejadian kira-kira jam 11.30 malam Selasa lalu turut menyebabkan mangsa lebam di mata dan badan.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Syukri berkata, sebelum kejadian, dia bersendirian membeli burger dan melihat remaja terbabit melepak di depan kedai berkenaan dan berkelakuan tidak senonoh serta membuat bising.

“Saya cuba menegur mereka dengan cara baik supaya tidak berkelakuan seperti itu, namun musibah menimpa apabila mereka naik berang lalu terus memukul telinga, muka dan badan saya.

“Akibat pukulan itu, telinga kiri saya kini berdengung selain berdarah,” katanya.

Syukri berkata, dia merayu supaya tidak dicederakan namun rayuan itu tidak diendahkan remaja terbabit.


Katanya, selepas melihat telinganya keluar darah, semua remaja itu yang ketakutan berlalu pergi meninggalkannya seorang diri.

“Saya yang kesakitan mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan doktor memberitahu gegendang telinga kiri pecah dan boleh menjadi pekak,” katanya yang terkilan apabila tiada seorang pun tampil membantu walaupun kawasan itu menjadi laluan utama kenderaan.
Menurutnya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Kajang Rabu lalu, untuk melindungi diri dan mahu pihak berkuasa menyiasat terperinci kes itu bagi mengelak kejadian demikian berlaku ke atas orang lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Didakwa cabul 2 murid


KOTA KINABALU: Seorang ustaz yang sepatutnya memberikan didikan agama kepada muridnya sebaliknya mengambil kesempatan apabila dipercayai mencabul dua murid perempuan di sekolah kebangsaan di Sandakan, dekat sini, ketika mereka belajar di sekolah itu antara 2004 hingga 2008.
Kejadian itu didedahkan seorang lelaki yang mendakwa dua anak saudara perempuannya itu yang kini 14 dan 15 tahun dicabul ustaz ketika belajar di sekolah tersebut.

Bagaimanapun, laporan kejadian itu hanya dibuat petang kelmarin oleh lelaki terbabit yang berusia 50 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan selepas kedua-dua anak saudaranya itu mengadu mengenai kejadian berkenaan kepadanya Isnin lalu.

“Menurut pengadu, kedua-dua anak saudaranya mendakwa ustaz terbabit dipercayai memasukkan tangannya ke dalam baju mereka ketika berada dalam bilik darjah. Selain itu, pengadu juga mendakwa ustaz terbabit meraba paha mereka.

“Kejadian itu dikatakan sering berlaku ketika mereka belajar dalam tahun satu hingga tahun enam. Pengadu juga mendakwa, ibu bapa anak saudaranya itu tahu mengenai kejadian berkenaan, tetapi tidak membuat aduan polis kerana tidak memahami tindakan ustaz itu adalah jenayah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber itu berkata, pengadu memaklumkan ada ramai lagi murid yang menjadi mangsa ustaz berkenaan tetapi kejadian itu dibiarkan begitu saja.


Sementara itu, sumber berkata, ibu bapa kedua-dua murid itu dipercayai daripada keluarga miskin dan tidak memahami proses undang-undang menyebabkan mereka tidak mengambil berat mengenai kejadian itu.

Setakat ini, polis juga belum memanggil kedua-dua murid itu untuk dirakam keterangan.
“Hanya selepas mengambil keterangan daripada mereka, polis akan memanggil ustaz terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.mymetro

Eramin warna hijau


SEREMBAN: Perjalanan dua lelaki warga tempatan yang baru tiba dari China berakhir dalam lokap apabila mereka dikesan membawa 35 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.3 juta di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, dekat sini, Rabu lalu.
Lebih mengejutkan apabila semua dadah disyaki jenis Eramin 5 yang ditemui dalam ruang khas tiga beg mereka agak berbeza iaitu berwarna hijau dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa kononnya pil biasa atau ubatan herba.

Bagaimanapun, taktik mereka tidak berkesan apabila pemeriksaan mendapati bahan haram itu adalah dadah dan kedua-dua lelaki berusia 20 dan 30-an berkenaan ditahan.

Perkara itu dibongkar sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam dua tangkapan berasingan ketika membuat pemeriksaan menyeluruh di terminal berkenaan, kira-kira jam 4.45 petang Rabu lalu. Timbalan Pengarahnya, Liah Omar berkata kejayaan yang dianggap paling besar setakat ini adalah hasil risikan pihaknya selama sebulan sebelum melancarkan operasi khas sejak Isnin lalu. “Ketika melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagasi penumpang yang baru tiba dari Shenzen, China, kita menahan seorang lelaki berusia 20-an kerana dilihat mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan dua bagasi dibawanya, kami menemui 12 bungkusan plastik lut sinar disyaki dadah jenis Eramin 5 seberat 23.4 kg dianggarkan bernilai lebih RM2.24 juta. “Pada masa sama, kita turut memberkas seorang lagi lelaki berusia 30-an kerana memiliki enam bungkusan plastik seberat 11.7 kg berisi dadah disyaki jenis sama bernilai lebih RM1.1 juta dalam sebuah beg dibawanya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kampung Jijan, Nilai, semalam.

Menurut Liah, semua dadah berbentuk pil seberat 35 kg itu ditemui dalam ruang khas beg berkenaan yang diubah suai.


“Selain itu, kita dapati warna dadah berkenaan agak berbeza iaitu hijau berbanding kebiasaannya merah. Ia mungkin bertujuan mengaburi pihak berkuasa supaya menyangka ia ubatan biasa,” katanya.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang berasal dari Negeri Sembilan itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan mereka turut sering ke China sejak tahun lalu.

“Kami sedang menyiasat sama ada dadah itu adalah untuk pasaran tempatan atau sindiket hanya menjadikan negara ini sebagai transit,” kata Liah yang meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti haram berkenaan menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855 atau talian terus Pejabat Cawangan Narkotik JKDM 06-7917792/7587 atau pejabat JKDM berdekatan.

Ganjaran akan diberikan kepada maklumat yang membawa kepada rampasan dan tangkapan.

Tegur bising kereta dibakar


HANGUS...Ab Kadir menunjukkan bahagian hadapan keretanya yang dibakar.
HANGUS...Ab Kadir menunjukkan bahagian hadapan keretanya yang dibakar.

HULU KLANG: Akibat menegur perbuatan sekumpulan remaja membuat bising dan mengganggu lalu lintas di Taman Permata, di sini, seorang ahli perniagaan menanggung kerugian kira-kira RM20,000 apabila bahagian depan kenderaan pacuan empat rodanya dibakar.
Teguran lelaki berusia 57 tahun itu menimbulkan kemarahan kumpulan remaja terbabit yang dipercayai Mat Rempit sebelum mereka bertindak agresif menyimbah petrol dan membakar kenderaan lelaki itu.

Mangsa, Ab Kadir Mahmood, berkata dia menegur kumpulan remaja itu dua minggu lalu sebelum menyedari keretanya dibakar sejurus selepas menerima panggilan daripada isterinya kira-kira jam 5 pagi, 15 April lalu.
“Ketika menerima panggilan itu, saya baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya terkejut apabila kebakaran itu menyebabkan hadapan kereta saya hangus.

“Kejadian itu disedari jiran saya sebaik terdengar beberapa letupan kecil dan bau hangus. Mereka bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, jirannya itu terkejut apabila melihat keretanya dijilat api.
“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa dan tindakan menegur kumpulan remaja terbabit tanpa meninggikan suara. Ketika itu, mereka berdiam diri dan mendengar semua teguran.

“Tidak sangka, dua minggu selepas menegur mereka, bahagian hadapan kereta saya dibakar. Kini saya tidak lagi melihat mereka melepak di kawasan itu dan dipercayai berpindah ke kawasan lain,” katanya.
Abd Kadir membuat laporan pada hari sama di Balai Polis Taman Melawati, kira-kira jam 10 pagi. Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Lindsay dibicara hari ini


LINDSAY.
LINDSAY.

LOS ANGELES: Aktres, Lindsay Lohan dijadual dibicarakan hari ini berhubung tuduhan mencuri barang kemas yang mengancam peluang untuk menghidupkan semula kariernya.
Lindsay, 24, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dia mencuri rantai emas berharga AS$2,500 (RM7,500) dari sebuah kedai di Los Angeles Januari lalu, hanya beberapa minggu selepas menamatkan rawatan pemulihan ketagihan dadah dan alkohol yang diarahkan oleh mahkamah.

Perbicaraan hari ini memberi peluang kali pertama kepada peguam selebriti itu untuk memberi keterangan dan pendakwa raya untuk mengemukakan bukti terhadap aktres itu.

Hakim juga akan memutuskan sama ada bintang ‘Mean Girls’ itu perlu dibicarakan di depan juri atas tuduhan mencuri yang boleh menyebabkan dia dihukum penjara tiga tahun jika didapati bersalah.

Lindsay masih di bawah pengawasan polis kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan memiliki kokain.

Dia dipenjara dua minggu pada 2010 dan boleh diarah dengan mudah untuk dipenjara sekali lagi jika melanggar syarat pengawasan itu.


Pelakon itu baru-baru ini memperoleh peranan dalam filem mengenai samseng New York, John Gotti. Bagaimanapaun, setakat ini, masih belum jelas bagaimana dia akan menyesuaikan masa untuk penggambaran filem itu lewat tahun ini jika dia dipenjara. Namun, aktres itu bertegas menyatakan dia tidak bersalah.

“Saya tidak dibesarkan untuk menipu atau mencuri,” kata Lindsay dalam laman Twitternya Februari lalu.
Rakannya berkata, dia percaya barang kemas itu disewakan kepadanya apabila dia keluar dari kedai itu dengan memakainya. Pernah dianggap sebagai aktres muda yang mempunyai masa depan cerah, karier Lindsay boleh dikatakan hampir musnah. Kali terakhir dia berlakon ialah tahun lalu dalam filem ‘Machete.’ - AP, mymetro

Bayi selamat jatuh dari tingkat 4


ORLANDO: Seorang bayi terselamat daripada maut walaupun terjatuh dari balkoni di tingkat empat sebuah hotel di Orlando, Florida, semalam.
Jah-Nea Myles, 16 bulan, bernasib baik apabila dia sempat disambut seorang pelancong Britain, Helen Beard, yang kebetulan lalu di kawasan hotel itu.

Sebelum disambut pelancong terbabit, Jah-Nea terhantuk kepada palang besi hotel di tingkat tiga.

Helen dilaporkan bergegas menyambut Jah-Nea sebaik terlihat bayi terbabit jatuh.

Ibu Jah-Nea, Helena, berkata dia sangat bersyukur kerana nyawa anaknya masih panjang dan menganggap Helen sebagai ‘bidadari dari syurga’ yang muncul menyelamatkan anaknya.

Ketika kejadian, bayi itu dijaga rakan Helena, Dominique Holt, di bilik bersebelahan dan pintu ke balkoni bilik itu terbuka tanpa disedari.


Katanya, Jah-Nea mungkin merangkak keluar ketika dia berada dalam bilik mandi.

Pada masa sama, Helen, 44, berehat di tepi kolam renang hotel apabila dia kebetulan mendongak dan ternampak seorang bayi bergantung pada palang besi di tingkat empat.
Walaupun jatuh dari tempat tinggi, Jah-Nea dilaporkan sihat dan kekal riang seperti biasa.

Kata Helena, keadaan anaknya sangat baik.

“Tak ada pun sebarang calar pada badan anak saya,” katanya. - DM, mymetro

RM667,000 dimakan anai-anai


LUCKNOW: Anai-anai memusnahkan wang kertas bernilai lebih RM667,000 yang disimpan dalam sebuah peti besi bank, kata polis India, semalam.
Pegawai polis Barabanki berkata, kemusnahan itu dikesan pengurus bank terbabit yang membuka peti simpanan berkenaan selepas ia terbiar di sebuah bangunan lama.

Katanya, polis masih menyiasat bagaimana anai-anai boleh masuk dan memusnahkan wang kertas berkenaan.

“Wang itu disimpan di peti besi berkenaan pada Januari lalu,” katanya.

Sebelum ini, banyak perabot dan dokumen bank berkenaan pernah musnah diserang anai-anai.

Polis terbabit berkata, pegawai bank berkenaan disiasat kerana kesalahan cuai.


Barabanki adalah bandar terletak 30 kilometer di barat daya Lucknow. - AP, mymetro

6 askar Thai, Kemboja maut


BANGKOK: Tentera Thai dan Kemboja semalam berbalas-balas tembak dan serangan meriam, menyebabkan enam orang terbunuh.
Pertempuran berhampiran dua kuil purba, Ta Krabey dan Ta Moan memaksa beribu-ribu penduduk awam di kedua-dua belah sempadan berpindah untuk menyelamatkan diri. Ia adalah pertempuran pertama paling serius sejak pertempuran Februari lalu berhampiran sebuah kuil Hindu, Preah Vihear yang berusia 900 tahun, mengorbankan 10 orang.

Tiga askar Kemboja dan tiga tentera Thai terbunuh dalam pertempuran semalam di dua kuil purba itu yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Preah Vihear. Lebih 12 orang cedera, termasuk tiga tentera Thai yang dikatakan kritikal.

Indonesia, pengerusi Asean ketika ini, merayu keganasan ditamatkan serta-merta.

Kedua-dua pihak saling tuduh menuduh antara satu sama lain sebagai punca kepada pertempuran yang meletus awal pagi itu dan berakhir selama beberapa jam. “Tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah Thailand sebelum menyerang menggunakan meriam.

“Kami bertindak balas,” kata Menteri Pertahanan Thai, Jeneral Prawit Wongsuwon.


“Saya berpendapat Kemboja berhasrat untuk menguasai kuil di kawasan sempadan,” katanya.

Sementara itu, Kemboja menuduh tentera Thai menceroboh hingga 0.4 kilometer ke dalam wilayahnya.
“Mereka mara ke kedudukan tentera Kemboja di Kuil Ta Krabei dan melancarkan serangan,” kata jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan.

“Ini adalah satu lagi pencerobohan Thailand terhadap Kemboja. Kami tidak boleh menerimanya,” katanya. — Reuters, mymetro

Sebak lihat mayat keluarga


MAUT...(dari kiri) Kah How , Kiah Hui, Kah Heng dan Kok Sin.
MAUT...(dari kiri) Kah How , Kiah Hui, Kah Heng dan Kok Sin.

REMUK...keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat, semalam.


REMUK...keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat, semalam.

PEKAN: “Hati ibu mana yang tak sedih. Saya hanya mampu menangis ketika melihat anggota bomba mengeluarkan satu demi satu mayat anak, menantu dan anak saudara saya tersepit bawah treler.”
Demikian kata Ong Yue Lian, 43, yang kematian dua anak, seorang menantu dan anak saudara dalam nahas ngeri meragut empat nyawa di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Paloh Hinai kira-kira jam 5 pagi semalam. Mangsa dikenali sebagai Diong Kah How, 21; abangnya, Diong Kah Keng, 24, yang juga pemandu Perodua Myvi bersama isterinya, Koh Kiah Hui, 23, serta sepupu mereka, Chow Kok Sin, 23.

Semua mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan sebelum kenderaan dinaiki mereka dirempuh treler membawa muatan bahan kimia yang datang dari arah bertentangan.
Menurut Yue Lian, dia sekeluarga berkonvoi tiga kereta untuk pulang ke kampung di Taman Tas, Kuantan, bagi meraikan ulang tahun ke-81 bapa mentuanya, Diong Chang Sou dan aktiviti itu rutin setiap tahun.

Katanya, dia berada di depan sekali dengan menaiki kereta Nissan Cefiro dipandu suami, Diong Jit Ping, 46, serta seorang menantu, dua cucu dan seorang pembantu rumah manakala anak bongsu, Diong Kah Sin, 15, menaiki kereta Toyota Vios yang dipandu abang iparnya, Diong Jit Ming, 51.

“Kah Keng memandu di belakang saya, manakala Kah Sin yang menumpang abang ipar saya berada di belakang sekali. Kami bertolak dari Johor Bahru jam 1 pagi.
“Perjalanan kami lancar sehingga saya melihat treler dipandu agak laju ketika berselisih dengan kereta. Pada masa itu hati saya terdetik treler itu mungkin melanggar kereta dinaiki anak saya.

“Tidak lama kemudian Kah Sin menghubungi dan bertanya sama ada saya melihat treler terbabit sebelum dia sekali lagi menghubungi dan memaklumkan kereta dipandu Kah Keng terbabit kemalangan,” katanya.
Yue Lian berkata, dia berpatah balik ke tempat kejadian dan terkejut mendapati kereta dinaiki dua anak, menantu dan anak saudaranya terperosok di bahagian kepala treler.

“Hancur luluh hati saya melihat kejadian mengerikan itu. Lebih perit apabila diberitahu mereka meninggal dunia serta-merta,” katanya.

Menurutnya, sebelum bertolak ke Kuantan, Kah Sin mengadu kepadanya mengenai perubahan sikap Kah Keng yang banyak mendiamkan diri tetapi tidak menyangka ia petanda buruk buat mereka sekeluarga.

Bapa Kok Sin, Choi Taw Siang, 55, dari Sri Jaya, Maran berkata, kali terakhir melihat anaknya ketika pulang ke kampung bulan lalu untuk satu upacara keagamaan.

“Dia anak kedua saya daripada tiga beradik dan jarang pulang ke kampung kerana bekerja denganKah Keng,” katanya.

yang mengusahakan syarikat ubah suai rumah di Singapura. Dia baru setahun bekerja dengan sepupunya itu dan disebabkan itu dia mahu menumpukan perhatian pada pekerjaan barunya.

“Ketika dia pulang bulan lalu, saya tidak melihat sebarang perubahan pada sikapnya dan kami berbual seperti biasa kerana sudah lama tidak berjumpa.

“Kepulangannya kali ini saya tunggu dengan penuh gembira, namun, kegembiraan saya terbantut apabila menerima panggilan dari polis memaklumkan anak saya maut dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler terbabit yang membawa muatan kimia dari arah Kuantan gagal memintas kereta di hadapannya lalu bertembung kereta dinaiki mangsa.

Konduktor bas dibelasah penumpang samseng


SENTUL: Gara-gara disangka warga asing, seorang konduktor bas dibelasah seorang penumpang samseng hanya kerana diajukan soalan ‘Mahu ke mana?’, Isnin lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dolah, 30, mendakwa cedera di mata, tangan, leher dan belakang badannya akibat dibelasah penumpang itu.

Menceritakan kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Dolah seperti biasa mengambil bayaran tiket dari penumpang mengikut destinasi mereka.

Sebaik tiba di hentian bas Taman Pelangi, seorang lelaki menaiki bas itu dan bertanya pemandu sama ada bas itu menuju Gombak atau tidak.

Menurutnya, lelaki itu berlagak seperti samseng dengan menolaknya yang ketika itu mengambil bayaran dari penumpang dan tanpa meminta maaf, lelaki terbabit terus duduk.

Katanya, dia mendekati lelaki itu dan bertanya destinasinya, namun pertanyaannya tidak diendahkan menyebabkan dia meminta lelaki terbabit turun jika tidak tahu destinasi yang hendak dituju.


“Ketika saya berpusing untuk mengutip wang tiket penumpang lain, lelaki itu menolak saya dari belakang hingga badan saya terhentak di kerusi penumpang sebelum tersungkur.

“Lelaki itu menumbuk dan menendang saya tanpa henti, selain mencakar leher saya hingga luka dan memaki-hamun saya.
“Mujur pemandu memberhentikan bas sebelum beberapa penumpang membantu meleraikan pergaduhan itu,” katanya.

Dolah yang tidak berpuas hati tampil membuat laporan di Balai Polis Batu Caves, Rabu lalu.

Ong pergi jua


AMPANG: Seorang lelaki yang menyelamatkan sepasang suami isteri yang tersepit selepas kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Tesco Ampang, di sini, pada 14 April lalu, Ong Kim Koon, 52, meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah malam, semalam.
Mangsa meninggal dunia selepas 10 hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang dan tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke wad berkenaan.

Ong tidak dapat diselamatkan akibat kehilangan banyak darah selepas pembedahan malah organ dalamannya turut rosak dan gagal berfungsi.

Anaknya, Ong Kar Hui, 27, berkata, bapanya memang dikenali sebagai seorang yang baik hati dan suka membantu.

Menurutnya, beberapa tahun lalu, bapanya pernah menyelamatkan seorang pekerja warga asing yang tertimbus dalam pasir di sebuah tapak pembinaan.

“Kebetulan ketika kejadian, bapa ada di situ dan mengorek sendiri pasir yang menimbus lelaki berkenaan.


Ong berkata, polis sudah menghubunginya memberitahu pemandu kereta yang melanggar bapanya sudah membuat laporan polis.

“Saya bersama keluarga sudah berbincang untuk melantik peguam bagi mempertimbangkan saman ke atas pemandu terbabit,” katanya.
Sementara itu, mangsa kemalangan, Rosamiah Hashim, 38, ketika dihubungi berkata, dia terkejut sebaik mendapat berita pemergian Ong dan berasa sedih kerana tidak sempat berjumpa.

“Saya sedih selepas mendapat tahu Ong sudah tiada lagi.

“Saya baru sahaja ingin mengeratkan hubungan silaturahim dengannya namun tidak kesampaian,” katanya.

Beliau berkata, dia kini belum sembuh sepenuhnya dan akan ke Hospital Ampang mendapatkan rawatan susulan esok (hari ini).

Harian Metro 14 April lalu, melaporkan keprihatinan seorang lelaki menyelamatkan sepasang suami isteri yang tersepit selepas kemalangan bertukar tragedi apabila dia kehilangan kaki kanan dari paras paha akibat dilanggar sebuah kereta lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ong, dilanggar dari belakang ketika berusaha mengeluarkan Zainal Mohammad, 45, dari Perodua Viva yang dipandunya.-mymetro

Kawan larikan RM4 juta

JITRA: Niat murni lebih 50 wanita yang kebanyakannya warga emas membantu seorang rakan mereka dengan memberikan pinjaman kerana suspek ingin menjalankan perniagaan dan pelaburan, terjerat apabila mereka tertipu membabitkan kerugian lebih RM4 juta.
Wanita berusia 50-an itu dikatakan sudah mengenali semua mangsa sejak antara 20 hingga 30 tahun lalu di Pusat Nyanyian dan Tarian di sini, namun masih tergamak menipu mereka sebelum menghilangkan diri akhir Mac lalu.

Difahamkan, suspek meminjam wang daripada mangsa kononnya untuk menjalankan perniagaan serta pelaburan dan berjanji akan memberi komisen antara lima hingga 10 peratus kepada mereka.

Kebanyakan mangsa yang berusia antara 40 hingga 80 tahun tidak menyangka suspek yang kelihatan baik dan pendiam itu mempunyai niat tidak baik.

Semua wanita itu mula menyedari perbuatan jahat suspek selepas dia tidak lagi mengunjungi pusat hiburan berkenaan iaitu tempat mereka sering berkumpul.

Suspek yang berasal dari Taman Ihsan di sini, sudah menjalankan kegiatan itu sejak lima bulan lalu dengan meyakinkan mangsa dia boleh mendapatkan keuntungan hasil pelaburan dan perniagaan yang dijalankannya.


Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Oong, 82, berkata dia kerugian hampir RM60,000 selepas tertarik dengan pelaburan yang dijanjikan wanita itu.

“Saya tak sangka dia berniat jahat. Sebelum ini kami percayakannya kerana kami anggap dia seperti adik beradik. Sudah 20 tahun saya kenal dia, kenapa dia sanggup buat saya macam ini.
“Sekarang saya jadi miskin sampai nak makan pun susah, habis semua duit simpanan saya selama beberapa tahun hilang sekelip mata,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, semalam.

Seorang tukang jahit dikenali sebagai Teoh, 56, berkata dia menyerahkan RM43,000 kerana percaya dengan suspek yang berjanji memberikan komisen 10 peratus.

“Dia ada datang rumah saya di Taman Indera pada Jun tahun lalu, kira-kira jam 8 pagi dan mempelawa saya menyertai skim pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

“Saya sudah lama kenal dia, sebab itu saya tidak curiga. Saya bagi dia duit sebanyak empat kali iaitu RM15,000, RM12,000, RM10,000 dan RM6,000.

“Sepanjang tempoh itu, saya cuma dapat komisen RM1,000 dan selepas itu tiada lagi sehingga dia menghilangkan diri,” katanya.

Yeoh, 50, berkata dia kerugian hampir RM80,000 selepas terpedaya dengan pelaburan dan perniagaan yang ditawarkan wanita itu.

“Suspek kata dia banyak perniagaan dan pelaburan yang sudah berjaya seperti kilang kain terbesar di Sungai Petani. Jadi dia suruh kami melabur dengannya supaya keuntungan dapat dikongsi bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Loh Eng Chong berkata, dia menerima panggilan daripada beberapa mangsa berhubung kes penipuan wang mencecah RM4 juta, Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa memberitahu mereka tidak mengetahui ditipu wanita terbabit kerana semuanya menyimpan rahsia ketika memberi pinjaman wang kepada suspek.

“Bagaimanapun, penipuan itu terbongkar selepas masing-masing mula mengesyaki sesuatu sejak wanita berkenaan tidak lagi datang ke pusat hiburan untuk berlatih nyanyian dan tarian sejak 27 Mac lalu.

“Semua mangsa memberitahu wanita berkenaan memperdayakan mereka dengan ganjaran dua kali ganda daripada jumlah pinjaman yang dibuat dan sebab itulah mereka yakin dengan wanita berkenaan yang turut memberi cek namun ia hanya cek tendang,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.-mymetro